”Bagaimana kalau cara itu dicuba dulu.”
Demikian dirumuskan oleh hati. Otak segera diperah
dan jarum ingatan segera berputar ke masa lalu. Saat datuk memproses ramuan
samada dari dedaun, akar dan kulit kayu untuk menawarkan penyakit.
Semuanya terpeta dalam kepala secara terperinci.
Jelas tergambar bagaimana jari jemari datuk memilih dan memetik daun senduduk
putih. Kemudian memprosesnya dengan teliti secara teratur untuk dijadikan ubat
luka, sakit-sakit badan dan sebagainya.
“Cubalah, mudah-mudahan menjadi,” bisik hati.
Setelah membaca surah Al-Fatihah yang dituruti
dengan surah surah tertentu. Daun senduduk putih berdekatan segera dipetik.
Diramas-ramas hancur hingga terasa berlendir.
Dan daun yang berlendir itu segera ditampalkan pada
bahagian kulit tubuh yang luka. Pinggang saya gerakkan ke kanan dan ke kiri.
Masih terasa sakit, segera disapukan ke bahagian pinggang hingga kesan telapak
tangan tidak tersisa.
Suara datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan pemandunya
tidak dapat dikesan. Kuasa mata masih belum dapat melihat mereka, pandangan
masih samar-samar. Tetapi, hembusan bayu terasa menyentuh kulit muka, begitu
juga dengan bunyi kicau burung.
Saya terus berusaha cuba bangun. Tetapi, setiap
kali usaha dilakukan tetap berdepan dengan kekecewaan. Rasa putus asa
bertandang dalam hati. Hati kecil terus meramalkan saya akan terus terlantar di
situ sementara menanti pertolongan datang.
Dalam saat yang serba tidak menjadi itu seluruh
kulit badan terasa panas semacam. Meluap-luap hingga timbul bintit-bintit peluh
halus di badan. Perasan jadi tidak sedap. Seluruh pelipat sendi tubuh berpeluh.
Badan seperti kena panas yang terik. Pedih dan sakit. Kulit muka seperti
mengelupas.
PANAS
“Ya Allah, apakah ini sebuah dugaan darimu untk
menguji diri ku,” suara rintihan terus berombak dan bergelombang dalam dada.
Sekujur tubuh digolekkan atas permukaan bumi. Namun rasa panas dan perit tidak
juga mahu pergi.
Kalau diturutkan kata hati, mahu saja menjerit
dengan sekuat hati dan berlari sekeliling kawasan lapang. Biar badan jadi
sejuk. Tetapi mana mungkin perkara itu boleh dlakukan? Untuk bergerak pun tidak
mampu inikan pula bangun dan berlari.
Tubuh segera ditelentangkan menadah langit. Awan
gemawan begerak lembut dalam kolam mata. Unggas liar beterbangan pulang menuju
sarang. Pasrah diri pada Allah. Biar dia menentukan nasib untung diri ini. Apa
yang mampu dlakukan ialah berzikir dan terus berzikir.
“AH……..”
Rasa panas yang membahang terus meninggalkan tubuh yang
terlentang di bumi. Terasa nyaman dan agak selesa. Perasaan kembali tenang.
Rasa nyaman itu tidak berlanjutan lama. Rasa sejuk
sedikit demi sedikit mengigit kulit tubuh. Tidak semena-mena tubuh mengigil,
macam berada dalam kotak air batu.
Dagu dan bibir bergerak hebat. Tangan bagaikan
tidak cukup untuk memeluk tubuh.
Dalam keadaan terlentang, saya mengkerikutkan tubuh
memeluk lutut, bentuknya macam angka lima. Dalam masa yang sama, bahagian tubuh
yang disapukan dengan lendir daun senduduk putih terasa kebas.
BIBIR
Kesan dan rasa kebas itu, bibir terasa tebal. Begitu juga dengan batang
hidung dan cuping telinga. Tetapi, rasa sejuk beransur kurang sedikit demi
sedikit. Perubahan yang berlaku secara mendadak dan silih berganti itu, membuat
saya takut dan cemas.
Seperti digerakkan sesuatu, mulut mengigit pergelangan tangan hingga
berdarah. Anehnya tidak terasa sakit.
Malah darah yang keluar dari tempat yang digigit tidak banyak. Hanya setitik
dua dengan warna merah kehitaman.
“Allah selamatkan hambaMu dari malapetaka ini,” timbul doa dan harapan
dengan hati kecil. Selesai saya berkata demikian, baru terasa pedih dan perit
ditangan yang digigit sebentar tadi. Bahagian tubuh yang kebas kembali normal.
Semua bahagian sendi yang terasa ngilu dan sakit terus hilang. Tangan,
kaki dan segala-galanya dapat digerakkan kembali seperti sediakala. Bahagian
yang luka akibat digigit segera ditampal dengan daun senduduk putih. Kulit yang
terkoyak bercantum kembali, walaupun tidak seratus peratus. Sekali pandang kulit
itu macam keadaan asal.
Perlahan-lahan saya mengeliat kekiri dan kekanan. Sungguh menakjubkan.
Tidak terasa sakit. Antara keyakinan yang bersalut bimbang, saya cuba bangun dengan
berdiri.
Alhamdulillah tidak masalah yang timbul. Dua langkah maju ke depan,
tidak ada masalah. Dua langkah undur kebelakang, juga tidak ada masaalah.
Setelah yakin keadaan sudah pulih seperti asal, saya pun cuba menyepak
dan menendang angin. Kemudian berlari-lari anak dalam kawasan sekitar. Semuanya
tidak menimbulkan sebarang kerumitan. Gembiranya tidak terkata.
Pandangan yang kabur bertukar jelas, boleh melihat sejauh mana yang
mampu. Kotak fikiran kembali kepasa suasana semasa, berdepan dengan musuh.
“Hei, kawan aku dah ok,” jerit saya sekuat hati.
“Tamar aku di sini, bedebah yang memukul kamu sudah aku jatuhkan ke atas
tanah.”
Saya cuba mengesan dari arah mana suara pemandu itu datang. Anak mata
terus mengawasi keadaan sekeliling. Tidak nampak batang hidungnya.
“Kamu dimana?”
“Aku di sini Tamar, dibalik batu besar, cepat datang.”
Tanpa membuang masa saya terus meluru ke arah suara pemandu Syed Hamid
Al-Hadad. Kerana sudah diberitahu di mana mereka berada. Ke situlah langkah
saya halakan.
Sebaik saja sampai ketempat yang dimaksudkan, saya berdepan dengan
suasana diluar dugaan. Rasanya tidak percaya dengan apa yang berlaku. Mana
mungkin perkara begini boleh terjadi? Timbul lagi pertanyaan dalam diri.
Lupakan tentang semuanya itu. Hadapi apa yang ada di depan mata.
Pemadu Syed Hamid Al-Hadad menyandarkan belakangnya di batu besar. Ia
bersiul-siul kecil membawakan lagu keroncong “JAUH DI MATA.” Kaki kirinya
memijak tunggul nibung yang berada di situ. Kaki kanannya memijak tanah.
Sepasang tangannya memeluk tubuh. Lagaknya tidak ubah macam hero dalam filem
cowboy keluaran 70-an 80-an.
SELESA
Si pemandu itu, berada dalam keadaan yang cukup selesa dan tenang
sekali. Rambutnya yang terjuntai di dahi bergerak lemah dirempuh angin. Saya
segera mendekatinya.
“Itu dia Tamar,” garang suaranya.
Jari telunjuknya menuding ke arah lelaki berdarah di dahi yang duduk
bersila atas rumput. Termenung panjang macam memikirkan sesuatu.
Jarak kami (saya dan pemandu)
dengan lelaki berdarah di dahi kira-kira 30 kaki. Luka di dahinya sudah
dibalut dengan kain putih. Kesan darah di kain putih dapat dilihat dengan
jelas. Muka si pemandu saya lihat lagi. Dia tidak memperlihatkan sebarang
reaksi. Kelihatan bersahaja dan masih bersiul-siul.
Lagu yang disiulkan sudah berubah. Dari keroncong ke irama melayu.
Mendayu-dayu dia membawa lagu “Halimun Malam”
nyanyian Hasnah Tahar yang cukup popular ketika itu.
Semuanya memeningkan kepala. Tadi, sebelum saya mengalami keadaan
separuh pengsan, mereka berada tidak jauh dari saya. Ketika mana mereka berubah
tempat? Barangkali semasa saya terkapar tadi, mereka bertarung hebat hingga
terpisah jauh dari saya. Begitulah hati membuat andaian.
Berdasarkan pada kedudukan semasa , saya terus membuat ramalan, lelaki
berdarah dahi tewas dalam pertarungan ini. Alangkah baiknya semasa pertarungan
berlangsung, saya dapat menyaksikannya. Apakah jenis silat yang digunakan oleh
kedua-dua insan ini.
Bagaimanakah mereka melepaskan serangan dan menepisnya. Kemudian
sepantas angin menyusung buah silat yang padu di bahagian tertentu, hingga
meninggalkan kesan pada gerak darah dan denyut nadi. Buah silat yang dilepaskan
bersama tarikan nafas dan bila kena pada sasaran. Nafas terus dilepaskan boleh
melemahkan saraf darah pergerakan musuh. Jika sasarannya tidak kena pada
sasaran boleh membuatkan musuh muntah.
ANDAIAN
Hati kecil saya membuat seribu andaian sambil membayangkan pertarungan
antara si pemandu dengan lelaki berdarah di dahi. Bagaikan pertarungan Hang
Tuah dengan HangJebat dibumi Melaka. Terlalu jauh khayalan menari dalam
tengkorak kepala.
“Astaghafirullah………….”
Terhambur dari kelopak bibir .
Khayalan yang merewang segera dimatikan. Saya kembalikan diri dalam situasi semasa. Kesimpulan baru tentang
pemandu Syed Hamid Al-Hadad muncul dalam hati.
Dia bukan sebarang orang. Ada isi dan ada ilmu. Tetapi, bersikap
bagaikan harimau menyembunyikan kuku.
“Siapa yang membalutkan luka di dahinya?”
“Aku, Tamar,”
Pantas si pemandu menjawab. Ada senyum kepuasan bermain di wajahnya. Dua
tiga kali perkaranya di gerakkan secara perlahan-lahan ke kiri dan ke kanan
secara teratur dan bertahap-tahap. Urat-urat di lehernya nampak dengan jelas.
“Tengkuk kamu lenguh?”
“Iya, Tamar.”
“Puncanya?” saya terus mencari rahsia.
“Si bedebah ni , banyak menyerang di sini. Semua buahnya, buah maut.”
“Kamu berjaya menepisnya.” Kata
saya. Kaki yang memijak batang nibung segera diubah memijak tanah. Belakangnya
tidak lagi bercantum dengan batu besar. Dia berdiri tegak buat beberapa ketika,
sebelum meletakkan punggung ke atas batang nibung.
“Kamu berjaya mengatasinya, “ ulang saya dengan harapan cerita yang
terhenti disambung kembali. Pancing mengena. Si pemandu memberi tindak balas
yang cukup baik.
“Rentak silatnya, Tenaga Dalam Tupai Putih. Banyak menyerang bahagian
atas tubuh terutama jantung.”
“Alhamdulillah, kamu selamat.”
“Aku juga bersyukur pada Allah. Tapi aku kecewa dan sedih, Tamar.”
“Maksud kamu?”
Muka si pemandu segera direnung. Dia melepaskan renungan sejuta
kebencian terhadap lelaki berdarah dahi yang masih belum bergerak dari tempat
asalnya. Bersila melihat dedaun kering yang melayang-layang di udara sebelum
jatuh didepannya.
“Dia sebenarnya tidak tahu apa-apa. Dia diupah oleh lelaki yang naik
motor untuk menghalang perjalanan kita. Dia baru terima upah satu perempat dari
yang dijanjikan. Tetapi badannya teruk kena belasah. Kalau ikutkan kata hati
aku bunuh dia tapi…..” kata-kata mati di situ.
ANGIN
Si pemandu terus menumbuk angin.
Melepaskan rasa marah dan geram. Kemudian dia menarik nafas dan terus termenung
buat beberapa ketika. Dia cuba mengawal dan menurunkan kemarahannya kepada
paras yang paling maksimum. Saya hanya mengikut rentak si pemandu.
Lelaki yang berdarah dahi selama ini membatu terus melompat lalu
mengatur langkah ke arah saya dan pemandu. Sudah tentu saya rasa cemas dan
takut semacam.
“Hati-hati.” Satu ingatan untuk saya.
Si pemandu juga bersedia menghadapi seribu kemungkinan. Dia terus berdiri
dalam keadaan yang siap sedia. Saya disuruh ketepi mencari tempat yang agak
selamat.
“Orang ini boleh melakukan apa saja, Tamar. Berjaga-jaga. Kalau dia
berkasar serahkan pada aku.”
“Aku faham.”
Saya pun berlindung di balik perdu pokok pisang hutan. Si pemandu mula
memperkemaskan kedudukan kekuda kakinya. Lerekan matanya tajam ke arah orang
yang datang. Gerak jari. Gerak badan. Gerak nafas lelaki berdarah dahi dihitung
dengan teliti. Kawalan nafas mula dikawal oleh si pemandu dengan sebaik
mungkin.
Dalam ilmu pendekar Tenaga Dalam yang diamalkan oleh si pemandu,
mengawal gerak nafas, gerak jantung yang bersatu dengan pusat fikiran (otak)
adalah perkara pokok sebelum disalurkan pada pancaindera yang lima untuk
bertindak balas.
Beberapa langkah lagi mahu sampai kepada si pemandu, lelaki berdarah
dahi terus berhenti melangkah. Sepasang anak matanya diarahkannya kepada saya.
Dari renungannya itu seolah-olah membayangkan tubuh saya yang kecil mahu
diratahnya dengan rakus , bagaikan kucing membaham tikus.
Dalam keadaan begitu saya jadi
dan tidak tentu arah. Tidak mahu penderitaan yang baru yang dialami beberapa
jam lalu berulang kembali. Sungguh perit dan menyiksakan. Rasa cemas yang
berkecamuk dalam kalbu segera berakhir. Lelaki berdarah dahi mendermakan senyum
persahabatan yang penuh dengan keikhlasan.
Beberapa detik selanjutnya, pandangan segera diubah ke wajah si pemandu.
Renungan kembali ke arah saya semula. Tapi kali ini debar dada tidak sehebat tadi. Saya hadiahkan senyum untuknya. Dibalas
dengan senyum yang lebih panjang dari yang saya berikan.
“Apa yang dikatakannya itu memang benar,” penuh persahabatan lelaki
berdarah dahi menyusun kata, “ tapi percayalah dia tidak akan membunuh aku.
Kalau kamu, aku mungkin mati,’ sambungnya terang.
Anak matanya tidak berganjak dari merenung muka saya. Kata-kata yang
terkeluar dari mulutnya mengundang berbagai-bagai ramalan. Secara spontan,
seperti ada yang menggerakkan batang leher saya ke arah si pemandu. Dan si
pemandu anggukkan kepala mengakui kebenaran kata-kata yang di tuturkan oleh
lelaki berdarah dahi.
“Sebabnya?”
Serentak pertanyaan itu saya halakan kepada lelaki berdarah dahi dan si
pemandu. Kedua-dua mengkedutkan dahi. Saya menanti siapakah yang lebih dahulu
memberikan jawapan.
“Sebabnya,” lelaki berdarah dahi bersuara agak lantang, “ dia
orang Batak macam saya. Silat Tikus Putih yang diamalkannya sama dengan amalan
saya.”
“Maksudnya kamu satu perguruan?”
“Iya, kami satu perguruan, Cuma masa menuntut berlainan waktu. Memang
jadi pegangan pengikut Pendekar Tenaga Dalam Tikus Putih, tidak akan bermusuhan
dengan orang seperguruan, tidak boleh derhaka kepada pemerintah,” lelaki
berdarah dahi memberikan penjelasan singkat.
GIGIT
Saya mengigit bibir. Rupa-rupanya dua insan di samping saya ini ada
pendinding penjaga diri. Tidak mudah dipermainkan musuh. Apa yang pasti si
pemandu tidak memberkan sebarang komentar. Tidak pula menafikan.
Ertinya apa yang diluahkan oleh lelaki berdarah dahi itu memang benar.
"Kami berdua satu MARGA,” kata si pemandu singkat.
Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.
“Saya malu marga saya diperalatkan orang kerana wang. Ini sungguh
memalukan,” si pemandu meluahkan rasa kesal.
Saya tidak pula bertanya, apakah MARGA mereka berdua. Kerana pada hemat
saya, perkara itu terlalu peribadi.
“Sekarang kamu harus membantu kami menangkap manusia yang memberi kamu upah,”
si pemandu mengajukan usul pada lelaki berdarah di dahi.
“Tapi,” rendah tekanan suara lelaki berdarah di dahi.
“Tapi apa lagi,” si pemandu terus mendesak.
“Ilmu kebatinan mereka tinggi, boleh menjadi harimau bila terdesak. Kita
berdua bukan lawan mereka,” wajah lelaki berdarah dahi nampak cemas sekali.
“Ini masalah besar, berdepan dengan mereka, bererti kita menempah maut,”
tanpa sengaja saya memberi komentar. Tiada reaksi apa-apa dari si pemandu dan
lelaki berdarah di dahi.
Kami bertiga terus bergerak di ruang yang sempit, sekitar batu besar.
Masing-masing cari formula untuk menewaskan dua lelaki itu.
Sesungguhnya saya tetap meragukan kerjasama yang akan diberikan oleh
lelaki berdarah di dahi.
Sekadar berjanji di mulut semua orang boleh melakukannya. Apa yang ada
di dalam hati tidak ada siap yang dapat membacanya.
“Aku mesti membela kepentingan harta dan diri majikan aku. Sebagai
seorang batak yang taat kepada ketua dan berpegang teguh pada janji, aku mesti
melakukan sesuatu,” si pemandu meluahkan azamnya dengan penuh semangat.
“Ilmu kita tidak setinggi mana,” tahan lelaki berdarah di dahi.
“Itu buka persoalan, di sini perkara yang menjadi pokok utamanya ialah
kesetiaan,” si pemandu mula memperlihatkan taringnya. Dia tidak mahu bertindak
dengan sesiapa yang mahu menghalangnya.
“Aku pernah melihat seorang dari lelaki itu bertukar menjadi harimau
ketika orang-orang kampung dekat Brastagi mahu menangkapnya kerana cuba masuk
sebuah rumah untuk mencabul anak gadis tuan rumah tersebut,” satu cerita yang
menyeramkan dari lelaki berdarah di dahi. Semangat saya terasa hilang.
No comments:
Post a Comment