Kejadian
yang aneh mula mengemparkan di Lobak, Seremban dalam tahun 1973 apabila ada
orang yang terserempak orang berkepala anjing. Tetapi saya tidaklah berapa
percaya sangat kerana kemungkinan orang itu memakai topeng seperti anjing
ketika ditemui.
Seorang
perempuan Cina memberitahu saya orang berkepala anjing itu lari ke satu to’ kong
di Lobak, kemudiannya hilang. Lobak itu memanglah kawasan tempat tinggal orang
Cina, hanya sedikit sahaja orang India dan Melayu. Tentulah mengherankan
kejadian seperti ini berlaku dalam kawasan orang-orang Cina.
Kira-kira
sebulan selepas itu kegemparan mengenai orang berkepala anjing hilang begitu
saja. Jelaslah peristiwa orang berkepala anjing itu hanya perbuatan budak-budak
nakal saja untuk menakut-nakutkan orang ramai. Mereka yang terserempak orang
berkepala anjing itu pula kebanyakannya terdiri dari pasangan muda mudi yang
sedang bercengkerama.
Semasa
saya berkunjung ke rumah seorang kawan di Teluk Kumbar di Pulau Pinang dalam
tahun 1976, dia juga memberitahu saya tentang cerita orang berkepala anjing
yang berlaku di Tanjung Bungah. Macam mana pula boleh terjadi kisah orang
berkepala anjing ini.
Akhirnya
saya membuat kesimpulan mungkin kisah orang berkepala anjing ada hubungannya
dengan pengaruh TV mengenai orang serigala dan sebagainya. Oleh itu saya
berpendapat cerita seperti ini sengaja ditimbulkan oleh budak-budak nakal yang
iri hati dengan pasangan muda mudi yang sedang bercengkarama.
Ketika
saya mengikut seorang lagi kawan saya ke Temerloh balik ke kampungnya, dia juga
menceritakan kepada saya mengenai orang berkepala anjing yang mengganggu
kampungnya. Dia sudah pun berusaha untuk menangkap lembaga manusia berkepala
anjing itu, tetapi tidak juga berjaya.
Kawalan
malam juga diperketatkan, tetapi tidak dapat mengesannya. Malah setiap kali
kawalan malam dibuat tidak ada pulak lembaga itu muncul. Maka anggapan saya
kegemparan tersebut sengaja ditimbulkan oleh budak-budak nakal. Sebab saya
tidak pernah mendengar adanya anjing jadi-jadian yang berbentuk lembaga manusia
berkepala anjing.
Tetapi
kuasa Allah tidak siapa pun dapat mempertikaikan. Usahkan manusia berkepala
anjing, lebih dari itu Allah SWT boleh menjadikannya.
Bagaimanapun
cerita mengenai orang berkepala anjing yang menggemparkan itu mungkin perbuatan
budak-budak nakal saja. Bagaimana pun Mat Sitam berkuat mengajak saya menemui
Ngah Jamat untuk mengetahui tentang orang berkepala anjing yang mengganggu di
kampungnya. Katanya Ngah Jamat yang berjaya menangkap orang berkepala anjing
itu.
“Orang
betul.............?” tanya saya.
Mat
Sitam mengangguk
“Pakai
topeng?” soal saya lagi.
“Tidak..”
Mat Sitam menggeleng kepala pula.
Terpaksa
pula Ngah Jamat mengubatnya dulu sebelum dapat dipulihkan menjadi manusia
normal. Setelah pulih lelaki itu kelihatan seperti orang bodoh tidak tahu apa
yang telah berlaku.
Inilah
yang menguatkan hati saya mahu bertemu dengan Ngah Jamat untuk mendapatkan
cerita orang yang berkepala annjing seperti dikatakan oleh Mat Sitam. Bukanlah
saya tidak percaya dengan cerita tersebut, tetapi kemungkinannya ialah
perbuatan budak-budah nakal. Kalaulah ianya suatu pekerjaan sihir, bukanlah
juga mengherankan. Kerana sejak zaman dulu lagi, malah di zaman para nabi pun
ramai muncul tukang-tukang sihir.
Bagaimanapun
perbuatan sihir tetap menjadi musuh orang-orang mukmin. Sihir mesti ditentang
kerana ianya boleh memesongkan aqidah sesaorang.
Tetapi
mengapa orang-orang Islam mahu mengamalkan sihir hingga boleh terjadi kisah
manusia berkepala anjing itu. Sebenarnya saya belum pernah menemui kisah
seperti ini, dan saya juga tidak mahu bertemu dengan kisah-kisah begini. Kalau
boleh saya tidak mahu mendekati orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir.
“Ustaz
takut ke ?” tanya Mat Sitam bila saya terangkan keengganan saya bertemu dengan
perbuatan-perbuatan sihir demikian.
Saya
hanya tersenyum. Biarlah Mat Sitam menganggap saya takut. Memang saya tidak
akan sengaja mencari kisah-kisah orang berkepala anjing, lembaga hitam dan
sebagainya. Kalaulah benar satu permainan sihir, eloklah saya menjauhkan diri
saja.
“Kalau
ada orang pakai ilmu sihir, kita boleh minta tolong pada Ngah Jamat tu...” ujar
Mat Sitam selanjutnya.
“Saya
minta tolong pada Allah....” cepat-cepat saya memotong cakapnya.
Terdiam
Mat Sitam mendengar jawapan saya. Dia beranggapan saya tidak yakin dengan
kebolehan Ngah Jamat bejaya menangkap orang berkepala anjing yang
diceritakannya itu. Menyedari akan Mat Sitam tersinggung dengan kata-kata saya
tadi lantas saya menjelaskan.
“Ngah
Jamat juga meminta dari Allah. Hanya dengan izin Alla baru dia berjaya
menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu...” Saya tersengih-sengih
menepuk bahu Mat Sitam.
Saya
tahu Mat Sitam sangat fanatik dengan Ngah Jamat yang dianggap seorang dukun
besar di kampungnya. Sebab itulah dia mudah tersinggung kalau ada anggapan
memperkecilkan kebolehan Ngah Jamat. Apa lagi yang membuat anggapan itu orang
luar.
Sementara
saya pula tidak memperkecilkan usaha-usaha seorang dukun. Mereka juga memohon
doa kepada Allah. Cara doanya tidaklah semestinya menggunakan Bahasa Arab,
kerana doa juga boleh didalam bahasa yang kita fahami. Tetapi akidah mestilah
betul supaya kepercayaan pada yang ghaib seperti dalam Surah al- Baqarah ayat 3
itu tidak disalah tafsirkan.
Kepercayaan
kepada yang ghaib mestilah semata-mata kepada Allah SWT. Inilah yang hendak
saya katakan kepada Mat Sitam , tetapi nampaknya dia tidak memahami maksud saya. Oleh itu saya tidaklah mahu
memanjangkan lagi mengenai kejayaan Ngah Jamat menangkap orang berkepala
anjing.
Saya
telah mengikuti Mat Sitam ke kampungnya untuk menemui Ngah Jamat. Dalam
pertemuan itu Ngah Jamat tidak banyak bercakap. Suaranya perlahan bila
menyatakan sesuatu. Misai tebalnya yang putih bergerak-gerak bila ia
tersengih-sengih memerhati saya.
“Ustaz
ni pun banyak pengalamannya...” kata Ngah Jamat mengerling pada Mat Sitam.
“Orang
muda, darah baru setampuk pinang, umur baru setahun jagung, pengalaman apa yang
ada!” ujar saya perlahan.
Ngah
Jamal tersenyum. Tetapi saya tahu senyumannya itu macam tidak mempercayai
kata-kata saya. Bagaimana pun saya tidak peduli sangat, kerana seorang berilmu
seperti Ngah Jamat memang suka membuat anggapan demikian. Dia merasa dirinya
sentiasa kurang dari orang lain.
“Saya
pernah juga ke sini dua tiga kali..” beritahu saya mengubah perbualan.
“Kemana
?” tanyanya
“Bukanlah
kampung ni, tapi di Lancang ...” jelas saya mengisar punggong mencari sandar ke
dinding.
“Lancang,
jumpa siapa?” Ngah Jamat macam terkejut bila saya memberitahu pernah datang ke
Lancang di Temerluh.
“Ulung
Bahar , “ beritahu saya lagi.
“Ohoooo,
kenal saya tu, ujar Ngah Jamat. “Ulung Bahar tu puak-puak saya juga,” katanya
teangguk-angguk kepala. Terbayang kegembiraan diwajahnya bila saya menyatakan
pernah beberapa kali bertemu dengan Ulung Bahar.
Sebenarnya
dari Ulung Bahar juga saya mendapat tahu ada sepupunya bernama Ngah Jamat.
Kebetulan Jamlus adik Meon yang memperkenalkan saya kepada Mat Sitam, kerana
Mat Sitam lebih mengenali Ngah Jamat. Tujuan saya mahu menemui Ngah Jamat sama
juga saya menemui Ulung Bahar iaitu untuk bertukar-bertukar fikiran di samping
mempelajari serba sedikit pengalaman yang ada padanya.
Bagi
saya kejayaan Ngah Jamat menangkap orang berkepala anjing itu satu pengalaman
baik kepadanya. Memang jarang kita menemui keadaan seperti ini. Bagaimana pun
itu merupakan soal kedua saja, yang penting bagi saya ialah mahu berkenalan
dengan Ngah Jamat.
Ulung
Bahar sudah menerangkan bagaimana kejadian yang menimpa kampung Ngah Jamat itu,
kerana dengan tiba-tiba sahaja muncul lembaga manusia berkepala anjing.
Kalaulah budak-budak nakal memakai topeng mengapa dia menyalak seperti anjing
juga di tengah-tengah malam? Inilah menjadi tanda tanya kepada
penduduk-penduduk kampung.
Orang
kampung terpaksa membaca Yassin beramai-ramai di surau bagi menyekat gangguan
tersebut. Cara tersebut tidak juga memberi kesan, kerana pada malam yang ramai
membaca Yassin, lembaga orang berkepala anjing tidak muncul. Sebaliknya bila
dihentikan, dia akan muncul semula menganggu.
Apabila
diminta Ngah Jamat membantu, dia telah menggunakan ilmu dukunnya pasung bumi
untuk memerangkap lembaga jadi-jadian anjing itu. Malam pertama lembaga itu
masuk ke dalam perangkap pasung bumi Ngah Jamat, menyebabkan dia berligar-ligar
dalam kawasan rumah mangsanya kerana tidak dapat mencari jalan keluar. Tetapi
bila orang-orang kampung menyerbu mahu menangkapnya, lembaga tersebut hilang
dari pandangan mereka.
Selepas
termasuk perangkap Ngah Jamat lembaga orang berkepala anjing itu tidak lagi
terdengar kabar beritanya. Setakat itu sajalah orang-orang kampung tahu
mengenai lembaga orang berkepala anjing tersebut. Bagaimanapun mereka tetap
mengakui bahawa lembaga manusia berkepala anjing itu dapat ditangkap, walaupun
sebenarnya telah menhilangkan diri sebelum sempat ditawan.
“Itu
sajalah cerita sebenarnya,” beritahu Ngah Jamat mengenang semula peristiwa itu.
“Ngah Jamat cuma dapat menangkap zahirnya saja, lepas itu dia menghilang
semula” katanya merendah.
Perkara
dia dapat menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu hanya dibesar-besarkan
oleh orang kampung saja. Dia sendiri tidak mengaku dapat menangkap lembaga tersebut.
“Kalau
dapat ditangkap tentulah dapat kenal rupa orangnya....” dia menjelaskan.
Demikian
Ngah Jamat merendahkan diri. Tetapi saya tahu orang yang selalu merendah diri
itu memang ibarat padi, semakin tunduk semakin berisi. Pertama kali saya
bertentang mata dengan Ngah Jamat, dapat saya mengagak akan kemampuan dia dalam
kebatinan.
Ilmu
jadi-jadian itu bukanlah asing kepada masyarakat Melayu dulu. Sebelum agama
Islam berkembang ke Alam Melayu, kebanyakan orang Melayu menganu agama Hindu.
Mereka inilah sering mengamalkan ilmu pertapaan. Dari sinilah ilmu-ilmu sihir
diperolehi terutama yang bertujuan menentang musuh sama ada secara baik mahu pun
secara jahat.
Aruah
nenek saya pernah menceritakan kisah ilmu jadi-jadian ini di zaman aruah
akinya. Ketika itu aki nenek saya itu bernama Aki Dahuk tinggal dirumah bersama
adiknya Nenek Bek. Mereka berdua masih muda lagi semasa kejadian tersebut
berlaku. Masa itu Aki Dahuk berumur 15 tahun, manakala Nenek Bek berumur 10
tahun.
Rumah
orang-orang kampung terpencil antara satu dengan lain. Di dalam kampung itu ada
jiran sakit yang patut diziarahi. Jadi emak Aki Dahuk pun pergi menziarahi
jiran tersebut pada waktu hampir senja. Biasanya mereka melawat jiran sakit
semasa dukun sedang membuat ubat pada sebelah malam.
Semasa
pergi itulah emak dan ayah Aki Dahuk berpesan pada jiran yang dekat sekali dengan
rumahnya supaya tengok-tengokkan anaknya di rumah. Kebetulan jiran itu tidak
pergi menziarah si sakit, kerana dia telah menziarahinya pada sebelah siang
hari.
Jiran
itu, Pak Sogok setuju untuk menemankan anak-anak yang ditinggalkan sendirian di
rumah itu. Waktu senja Pak Sogok pun datanglah ke rumah Aki Dahuk dengan tujuan
untuk menemankannya. Dia memanglah kenal dengan Pak Sogok yangmenjadi jiran
terdekatnya.
Pak
Sogok ini selalu bercerita dengan Aki Dahuk mengenai harimau jadi-jadian,
kerana Aki Dahu belajar mengaji Quran di rumah orang tua itu.
“Macam
mana nak tahu harimau jadian tu?” soal Aki Dahuk semasa mendengar cerita Pak
Sogok fasal harimau jadian tersebut.
“Dia
selalu duduk pada tiang tengah rumah...” beritahu Pak Sogok. “Dia duduk
bertenggong dan suka meneran seperti orang terberak. Itu tandanya dia nak
menukarkan dirinya jadi harimau” jelas orang tua itu selanjutnya.
“Mengapa
dia meneran....?” Aki Dahuk bertanya lagi.
“Ketika
inilah dia meneran ekornya supaya keluar” kata Pak Sogok.
Gerun
juga Aki Dahuk mendengar cerita harimau jadian ini. Maklum sajalah manusia
sendiri menjadi harimau. Kemudian dia akan membaham mangsanya seperti harimau
biasa juga. Dia akan mencuri lembu atau kerbau di kandang. Bukan mudah pula
mahu menewaskannya kalau sekadar bersenjatakan senapang.
Harimau
ini tidak lut oleh senjata besi. Dia juga boleh menghilangkan diri apabila
terdesak.
“Macam
mana kalau harimau itu naik ke rumah kita? Aki Dahuk mahu tahu. Memang dia
gemar bertanya pada Pak Sogok mengenai cerita-cerita yang bersangkutan dengan
ilmu sihir. Maklum sajalah budak-budak sedang berusia lima belas tahun seperti
Aki Dahuk ketika itu, sudah tentulah menjadi kegemarannya mendengar cerita
demikian.
Pak
Sogok pula suka bercerita dengan Aki Dahuk. Memang dia suka dengan budak-budak.
Apa lagi Pak Sogok tidak mempunyai anak. Jadi, dengan Aki Dahuklah dia bermain
dengan budak-budak. Sampailah Aki Dahuk sudah berumur 15 tahun dia tetap
menyayanginya seperti anak sendiri juga.
“Macam
mana kalau terserempak dengan harimau jadian ni Pak Sogok?” ulangi Aki Dahuk
ingin tahu.
“Dia
takutkan antan pengemping ...” jelas Pak Sogok tersenyum. Geli benar hatinya
dengan sikap Aki Dahuk suka bertanya macam-macam perkara mengenai harimau
jadian.
Macam
mana pun Pak Sogok tetap melayani Aki Dahuk. Dia tidak merasa bosan walaupun
Aki Dahuk becok mulut bertanya itu dan ini.
Walaupun
baru berumur 15 tahun tetapi Aki Dahuk pintar berfikir. Berkat pergaulannya
dengan Pak Sogok tahu juga dia serba sedikit mempertahan diri apabila terdesak.
Malah Pak Sogk juga yang mengajar dia menegakkan sembahyang. Memang banyak jasa
orang tua itu terhadapnya.
Jadi
apabila Pak Sogok datang ke rumah mahu menemankan dia dan adiknya, terasa
gembira hati Aki Dahuk. Orang tua itu terlalu mengambil berat terhadap dirinya.
Bagaimanapun itulah pertama kali Pak Sogok datang menemani dia di rumah.
Biasanya
kalau emak atau ayahnya ke surau dan meminta Pak Sogok tengok-tengokkan rumah,
Pak Sogok akan menjengah dari jauh saja. Kadangkala marah juga dia pada emak
dan ayah Aki Dahuk kerana percaya sangat tinggalkan anak-anak di rumah pada
waktu malam.
Tetapi
ayah Aki Dahuk memberitahu, “Ah, Dahuk tu dah besar. Tahu dia menjaga adiknya.
Pak
Sogok tidak kuasa sangat lagi mahu menegahi ayah Aki Dahuk. Kalau dia sudah
menaruh sepenuh kepercayaan kepada anaknya, mengapa pula sebagai orang luar
perlu ambil tahu. Terpulanglah kepada ayah Aki Dahuk sendiri. Kadangkala kalau
tidak ke surau pun, mereka suka berjalan ke rumah-rumah jiran berborak hingga
jauh malam.
Mungkin
kerana kesihan pada dirinya, Pak Sogok datang juga menemankan dia adik beradik.
Inilah yang terfikir pada Aki Dahuk semasa Pak Sogok datang.
“Maghrib
dah masuk, Pak Sogok lah jadi imam,” Aki Dahuk mengajak Pak Sogok
bersembahyang.
“Ah,
Pak Sogok uzur hari ni, kau aje sembahyang” katanya lalu duduk bertenggong pada
tiang tengah.
Heran
juga Aki Dahuk bila Pak Sogok duduk bertenggong di tiang tengah. Kebiasaannya
orang-orang kampung ketika ini sengaja membuat lubang pada lantai di tiang
tengah bagi tempat membuang sampah. Jadi di situlah Pak Sogok duduk sementara
menunggu Aki Dahuk menunaikan fardhu Maghrib.
Terfikir
juga pada Aki Dahuk mungkin Pak Sogok cuba menakut-nakutkan dia kali ini.
Sengaja Pak Sogok datang ke rumahnya dan melakukan seperti apa yang
dicakapkannya kepada dia selama ini.
“Duduklah
sebelah sini Pak Sogok......” Aki Dahu
menyuruhnya duduk bersandar ke dinding.
“Tak
apalah di sini,” sahut Pak Sogok perlahan. “Pak Sogok suka duduk di tiang
tengah kerana selalu teringat makan gulai ikan terubuk. Kalau lekat tulangnya
di tekak senanglah meluahkan di lubang ini...” dia tersengih-tersengih
mengerling Aki Dahuk.
Aki
Dahuk terus menunaikan fardu Maghrib. Selepas sembahyang dia pun duduk
bersetentang dengan Pak Sogok. Dalam hatinya sudah merasakan Pak Sogok bukan
sengaja datang mahu menakut-nakutkan dia, tetapi sudah lebih dari itu. Dia
nampak Pak Sogok meneran perlahan-lahan.
“Bek,
pergi kau buat kopi Pak Sogok” Aki Dahuk menyuruh adiknya ke dapur.
Apabila
Nenek Bek berjalan ke dapur, Aki Dahuk mengikutnya dari belakang. “Bukan boleh
percaya Bek tu Pak Sogok, kita suruh masak air nanti tah apa yang dibuatnya,”
dia memberitahu Pak Sogok.
Pak
Sogok mengangguk.
Sampai
saja di dapur Aki Dahuk tidak membenarkan adiknya membuat kopi. Dia mengambil
antan pengemping di balik pintu dapur lalu di berinya pada Nenek Bek. Katanya
pada adiknya, “Bila abang kata bawakan kopi, cepat-cepat kau keluar dan pukul
kepala Pak Sagok dengan antan ini.”
“Kenapa
pulak bang ?” Nenek Bek keheranan denan sikap abangnya mahu memukul Pak Sogok.
Pada hal Pak Sogok itu guru dia mengaji
Quran.
“Jangan
banyak soal jawab, buat apa yang abang suruh,” dia mengingatkan adiknya.
Nenek
Bek mengangguk kepala. Dia memang mematuhi abangnya selama ini. Lagipun apabila
emak dan ayahnya keluar pada waktu malam hari, dengan abangnya itulah dia
tinggal dirumah. Sebab itulah apa saja perintah abangnya dia akan turuti. Kepada
abangnyalah dia mengharapkan perlindungan semasa emak dan ayahnya tidak ada di
rumah.
Tentulah
apa yang hendak dibuat oleh abangnya itu memang untuk kepentingan mereka
berdua. Kalau abangnya mengambil keputusan mahu memukul Pak Sogok, boleh jadi
orang tua itu mempunyai niat tidak baik terhadap mereka. Fasal itu abangnya
bertindak demikian. Walaupun Pak Sogok merupakan guru mereka mengaji Quran,
mereka mesti tentang sekiranya orang tua itu berniat tidak baik terhadap mereka
berdua beradik.
Setelah
berpesan demikian pada adiknya, Aki Dahuk pun keluar semula mendapatkan Pak
Sogok sambil membawakan tepak sirih. Pada mata kacip diletaknya kunyit seperti
pernah dikatakan oleh Pak Sogok kepadanya. Apabila dia menghulurkan tepak sirih
tadi Pak Sogok mengerutkan dahi bila tepandang kunyit terselit di celah kacip.
“Kacip
gunakan mengacip pinang, bukan kunyit...” Pak Sogok macam memarahi dia.
Cepat-cepat
Aki Dahuk mengambil kacip itu lalu dijatuhkannya ke bawah rumah.
“Ah
jatuh pula..” rungut Aki Dahuk. “Biar saya ambil kacip di bawah Pak Sogok”
katanya tergesa-gesa turun ke tanah.
Apabila
sampai di bawah rumah memang benar seperti yang dikatakan oleh Pak Sogok
kepadanya petua begitulah boleh nampak tanda-tanda harimau jadian tersebut. Dia
sengaja duduk di lantai berlubang bagi menghulurkan ekornya ke bawah. Hanya
dengan meletakkan kunyit pada mata kacip saja ekor harimau boleh kelihatan.
Setelah
melihat ekor Pak Sogok terjulur panjang sampai kebawah, Aki Dahuk melilitkan
ekor tersebut ke tiang. Dia memegang ekor tersebut sambil dililitkan ke tiang
sekukuh-kukuhnya . Apabila diagaknya Pak Sogok tidak boleh bergerak lagi akibat
ekornya sudah dibelit kukuh ke tiang dia pun melaung dari bawah, “Dik, bawakan
kopi untuk Pak Sogok....”
Sebaik
saja Nenek Bek mendengar isyarat dari abangnya dia pun meluru keluar membawa
antan pengemping. Ketika dia sampai terkejut dia melihat kepala Pak Sogok sudah
bertukar menjadi harimau, walaupun badannya masih lagi seperti manusia biasa.
“Pukul
dik, pukul...! “ laung Aki Dahuk mengingatkan adiknya supaya segera bertindak.
Tidak
bercakap sepatah pun Nenek Bek pun memukul antan pengemping itu ke kepala
harimau jadian. Dia memukul bertalu-talu. Walaupun pukulannya tidaklah kuat,
tetapi telah melemahkan kekuatan harimau jadian tersebut. Jeritan dan laungan
Aki Dahuk memang boleh kedengaran sampai ke rumah Pak Sogok, sekali pun
terlindung oleh belukar senduduk.
Dalam
masa Nenek Bek memukul harimau jadian dengan antan pengemping, Aki Dahuk terus
memegangkan ekornya di bawah rumah. Harimau jadian itu tidak dapat bergerak,
mahu pun melompat kerana ekornya sudah terlilit kukuh pada tiang.
DAlam
keadaan jerit pekik inilah Nenek Bek tergamam kerana tiba-tiba sahaja Pak Sogok
muncul di muka pintu. Pak Sogok terkejut melihat keberanian budak dua beradik
itu menghadapi suasana demikian. Cepat-cepat Pak Sogok mencapai antan pada
tangan Nenek Bek, lantas dipukulnya sekuat hati ke kepala harmau jadian
tersebut. Kemudian dia meradakkan antan tersebut ke dada harimau jadian itu
seperti menombak. Antan tersebut menembusi dada harimau jadian.
‘”Cukuplah
Dahuk, naiklah...” kata Pak Sogok.
Alangkah
terkejutnya Aki Dahuk bila melihat Pak Sogok tercegat di samping adiknya,
sedangkan harimau jadian itu terkulai mati diradak oleh Pak Sogok dengan antan
pengemping. Aki Dahuk pun menceritakan semua yang terjadi pada Pak Sogok.
“Nasib
baik kau beringat....” jelas Pak Sogok terharu. “Dia telah merupakan dirinya
seperti PaK Sogok, jadi tentulah kau berdua akan menyangkanya Pak Sogok,”
keluhnya mengenangkan nasib budak-budak seperti Aki Dahuk dan Nenek Bek yang
sering ditinggalkan oleh emak dan ayahnya pada waktu malam.
Memang
sejak mula kedatangannya Aki Dahuk sudah menduga bukannya Pak Sogok, kerana
tidak pernah Pak Sogok menemankan mereka berdua beradik. Lagipun bila masuk
waktu Maghrib dia tidak bersembahyang, sedangkan Pak Sogok tidak tinggal waktu
sembahyangnya. Mujurlah Aki Dahuk panjang akal walaupun baru berumur 15 tahun.
Kalaulah Aki Dahuk terpedaya dengan tipu helahnya, tentu mereka berdua beradik
menjdi mangsa.
Malam
itu sebuah kampung menjadi gempar dengan kejadian yang tidak disangka-sangka
itu. Terlalu menyesal emak dan ayah Aki Dahuk dengan perbuatannya selalu
meninggalkan anak-anak pada waktu malam. Sejak itu tidak berani lagi dia
meninggalkan anak-anaknya. Sementara Pak Sogok pula tidak sia-sialah
petua-petua yang diberikan kepada Aki Dahuk selama ini.
Itulah
yang saya tahu mengenai harimau jadian yang diceritakan oleh aruah nenek saya.
Kebetulan peristiwa itu pula berlaku ke atas akinya sendiri, iaitu ayah kepada
emaknya.
Sekarang
pulalah saya mendengar cerita mengenai jadi-jadian anjing ini. Apakah cara
sihir yang digunakan itu sama tidaklah saya tahu, tetapi ternyata kisah orang
berkepala anjing ini merebak beberapa kali di beberapa tempat pula.
Saya
dan Mat Sitam masih berbual-bual lagi di rumah Ngah Jamat, seorang wanita
datang memanggil Ngah Jamat dalam keadaan cemas. Isteri Ngah Jamat keluar
bertanyakan pada wanita itu sesuatu. Kemudian dai pergi semula dengan tidak
menemui Ngah Jamat.
“Saidon
sakit balik...” Mak Ripah memberitahu suaminya Ngah Jamat,”.
“Hem,
macam-macam hal,” keluh Ngah Jamat lalu mencapai celepa rokok daunnya. Dia
mengambil sebatang rokok daun yang siap digulung. “Elok lepas Asar pergi tengok
budak tu...” ujar Ngah Jamat menghisap rokoknya terlebih dahulu.
Asar
belumlah masuk lagi. Sengaja dia menunggu Asar masuk sebelum pergi ke rumah
Saidon yang dicakapkan oleh Mak Ripah tadi. Saya rasa itulah peluang bagi saya
untuk melihat sendiri Ngah Jamat mengubati orang sakit. Oleh itu saya juga
mengajak Mat Sitam sama-sama melihat Saidon sebaik saja selepas Asar. Ngah
Jamat juga tidaklah membantah keinginan saya untuk sama-sama ke rumah Saidon.
“Apa
sakitnya abang Saidon tu Ngah?” tanya Mat Sitam.
“Emmmm,
dah lama dia sakit....” beritahu Ngah Jamat perlahan. “Sakit mendatang-datang
macam ada orang membela,” keluhnya bila mengenang sakit yang dihidapi oleh
Saidon.
“Sakit
apa?” ulangi Mat Sitam.
“Nak
kata gila, tak gila....” sahut Mak Ripah yang baru duduk bertimpuh di pintu
induk rumah. “Tapi cakapnya merepek aje. Tapi bila elok, dilayannya kita
bercakap. Tau dia apa yang dicakapkannya,” kata Mak Ripah lagi.
“Itulah
bila penyakitnya datang, mengamuk dia...” jelas Ngah Jamat.
Selepas
Asar kami pun pergi ke rumah Saidon. Wanita yang menjemput Ngah Jamat tadi
ialah isterinya, dia yang mempelawa kami naik, saya lihat Saidon duduk
berlunjur kaki sambil merungut-rungut tidak tentu biji butir. Seluruh badannya
kelihatan berkudis. Malah kulit kepalanya juga berkerak-kerak dengan kuping
kudis menyebabkan rambutnya luruh.
Isterinya
Lijah memberitahu, Saidon baru saja berhenti mengamuk. Habis pinggan dan
mangkok dilemparkannya ke tanah. Dia mengamuk tidak tentu fasal. Tiba-tiba saja
dia bertempik, maka mengamuklah dia. Mujurlah dia tidak mencederakan anak isterinya.
Sudah
berkali-kali berubat dengan Ngah Jamat. Setelah berubat dia sering melanggar
pantang Ngah Jamat. Sebaik saja sakitnya sembuh Ngah Jamat melarang dia memakan
daging. Bila dia memakan dagang, kudis akan tumbuh seluruh tubuhnya. Semakin
lama kudis akan merebak cepat ke seluruh badan. Semakin diubat semakin cepat
merebaknya. Tidak sampai satu hari kudis berkenaan akan menjalar sampai ke
kepala hingga bernanah.
“Tak
diberi makan daging, kadangkala mencuri-curi dia makan di rumah orang kenduri...”
jelas Lijah kesedihan dengan penyakit yang menimpa suaminya.
“Hemmm...
mati akal aku dibuatnya,” keluh Ngah Jamat.
Lama
dia termenung memikirkan cara mana mahu mengubati Saidon. Kalau sekadar kudis
atau tokah saja, dia tidak hiraukan sangat. Dia boleh nasihatkan Lijah bawa
saja Saidon ke hospital di Temerloh. Tetapi Saidon bukan menderita kudis
seluruh badan saja, tetapi merepek tidak tentu biji butir.
Ada
juga seorang cik gu yang mengajar di kampung itu memberitahu mungkin kerana
tekanan jiwa akibat kudis di seluruh badan itulah yang menyebabkan Saidon
merepek-repek. Cikgu itu nasihatkan Lijah membawa Saidon berubat ke hospital.
Bagaimanapun doktor hanya memberi ubat untuk disapu serta pil cukup untuk
kegunaan seminggu.
Anehnya
sebaik saja Saidon memakan pil , kudis akan cepat merebak. Tubuhnya akan
ditumbuhi ruam merah berbintik-bintik. Apabila digaru kulitnya akan reput
terkoyak. Semakin disapu ubat gatal itu, kudis dikulitnya akan cepat mengangkut
nanah.
“Berapa
lama sakit abang Saidon ni?” tanya saya.
“Dah
dua tiga tahun...” beritahu Lijah.
“Tak
cuba orang lain mengubatnya selain dari Ngah Jamat ?” tanya saya lagi.
Lijah
terdiam. Serba salah dia mahu menjawap soalan saya itu. Mungkin dia merasa Ngah
Jamat akan tersinggung kerana gagal mengubati suaminya.
“Baru
dua tiga kali berubat dengan Ngah Jamat...” akhirnya dia menjelaskan. “Sebelum
tu berubat dengan orang lain,” katanya menunduk menahan perasaan sedih.
“Berubat
ni ikut rasi....” ujar Ngah Jamat perlahan. “Bukan kira dukun besar atau dukun
kecil. Kalau rasi ubatnya, orang tak dukun pun boleh mengubat,” katanya lagi.
Lijah
tidak menyahut. Dia serba salah juga mahu mengambil Ngah Jamat pada mulanya,
kerana tidak dibenarkan oleh Saidon. Dia
suka Bomoh Mat Teda mengubatnya. Bomoh Mat Teda memang sudah terbilang kehandalannya.
Setelah Bomoh Mat Teda sendiri tidak sanggup mengubatnya, barulah dia
membenarkan Lijah mencari dukun lain.
Setelah
baik di ubat oleh Ngah Jamat, dia sendiri pula buat silap. Dia makan gulai
daging di rumah orang kenduri, pada halnya sudah dipantangkan supaya jangan
menjamah daging. Sejak itu penyakitnya datang semula. Sudah beberpa kali dicuba
oleh Ngah Jamat tidak juga mahu sembuh.
Saya
bisikkan pada Ngah Jamat supaya mencuba pada Ulung Bahar di Lancang.
“Itulah,
Lancang tu jauh sangat....” rungut Lijah bila Ngah Jamat mencadangkan supaya
dijemput Ulung Bahar.
“Ini
bukan soal jauh,” balas Ngah Jamat. “Orang tu berubat sampai ke England pun tak
terasa jauhnya...” ujarnya mengingatkan Lijah.
“Kalau
mahu, biar saya jemput,” sahut Mat Sitam pula memberi pengakuan.
“Eloklah
tu, Sitam pun ada kereta,” kata Ngah Jamat.
Sebelumnya
sudah saya bisikkan pada Ngah Jamat mengapa pula dipantangkan Saidon tidak
boleh memakan daging, sedangkan di dalam pengubatan Islam tidak ada pantang
larangnya. Tetapi Ngah Jamat memberitahu dokter yang memantangkan Saidon tidak
boleh memakan daging kerana kudisnya itu dipercayai kudis buta. Daging itu
jenis makanan panas jadi memudahkan lagi kudis buta itu merebak.
Akhirnya
Lijah bersetuju supaya Ulung Bahar dijemput dari Lancang kira-kira 20 batu dari
situ. Saya dan Mat Sitam akan menjemputnya kerana saya tahu rumah Ulung Bahar.
Sebaik saja saya dan Mat Sitam mahu beredar dari situ, tiba-tiba Saidon
melompat. Dia menendang dinding rumah sambil menumbuknya bertalu-talu.
Dia
tidak bercakap sepatah pun. Dari mukanya yang bengis saya tahu dia terlalu marah
dengan keputusan isterinya Lijah mahu menjemput Ulung Bahar. Kakinya terus
menendang-nendang dinding sekuat hati.
Bersambung di MENGAPA TUBUHNYA JADI
REPUT
nak baca lagi.. seronok nya.
ReplyDeletekena tunggu seminggu lagi ..... sabar
ReplyDelete