SUDAH ramai orang menziarahi
Aki Sahak semasa saya sampai bersama isteri saya dan Sali. Sepanjang jalan
untuk ke rumah Aki Sahak saya berfikir bagaimana Aki Sahak boleh muntah darah.
Bagaimanapun saya belum dapat memastikan macam mana keadaan Aki Sahak
sebenarnya.
Hendak bertanya pada Sali pun
saya fikir tidak penting. Lagi pun Sali dalam keadaan gelabah tidak tahu apa
mahu dibuat. Bila Abang Amud suruh memanggil saya, dia panggil. Makda Saodah
suruh dia panjat kelapa ambil buah kelapa muda, dia panjat. Itu saja yang dia
tahu.
Ketika saya masuk mendapatkan
Aki Sahak, saya lihat Abang Amud ada duduk di kepalanya. Manakala Tonel sedang
menyudukan air kelapa muda yang dijampi oleh Abang Amud.
"Macam mana jadi ni?"
saya duduk sebelah Tonel.
"Emm, dah geruh macam mana
pula" sahut Aki Sahak tenang. Saya lihat beberapa helai kain sudah basah
dengan darah yang keluar dari mulut Aki Sahak.
Teringat saya kepada kata-kata
Aki Sahak semasa terdengar bunyi air disedut dekat lombong semasa anak Abang
Amud mati lemas. Aki Sahak pernah menyebut puaka lombong mahukan geruh dia.
Bererti puaka lombong mahukan Aki Sahak sendiri menjadi galang ganti.
Heran juga saya bagaimana Aki
Sahak boleh terlalai sehingga puaka lombong dapat mengganggu dia. Tetapi ini
bukanlah mustahil kerana manusia ini ada kelebihannya dan ada kelemahannya.
Musuh manusia akan sentiasa menunggu kelemahan itu.
Begitulah yang terjadi kepada
seorang ulama di Seremban iaitu mufti Negeri Sembilan. Saya mendapat tahu
Allahyarham merupakan ulama yang doanya selalu menolong orang ramai. Tetapi
beliau juga menghembuskan nafas akibat muntah darah juga.
Jadi, tidaklah heran perkara
yang sama boleh berlaku ke atas Aki Sahak. Sedangkan ulama besar seperti mufti
itu pun bila sampai masanya tidak dapat mengelak dari geruh, apakan pula Aki
Sahak yang cuma belajar pondok. Semuanya telah ditentukan oleh Allah.
Bagaimanapun Aki Sahak masih kelihatan segar, walaupun darah banyak keluar dari
mulutnya.
"Buatlah apa-apa patut
ustaz..." bisik Abang Amud perlahan.
Saya tidak menyahut. Saya
memerhatikan pelupuk mata Aki Sahak. Pelupuk mata itu masih segar. Cuma
bibirnya agak lebam sedikit.
Ada juga di antaranya yang
mengatakan Aki Sahak terkena 'kelintasan' yakni dilangkah oleh hantu raya atau
hantu tinggi. Ada juga yang menuduh puaka lombong membalas dendam. Tetapi pada
pendapat saya jenis-jenis syaitan tidak akan berani mengganggu Aki Sahak
memandangkan amalannya selama ini sudah cukup kuat mendinding dirinya.
Boleh jadi syaitan digunakan
oleh orang-orang berilmu untuk menyempurnakan tugasnya. Inilah yang boleh
memporak-perandakan manusia.
Aruah Tok Aji iaitu tok aki
saya juga pernah menghadapi perbuatan orang-orang berilmu menggunakan syaitan
bagi memenuhi kehendak mereka. Tok Aji ini dilahirkan di Sumatera, kemudian dia
berhijrah ke Tanah Melayu. Dia sudah berkahwin di Semenyih, di Singapura dan di
Kota Tinggi. Kemudian menetap di kampung saya.
Semasa dia menikah dengan nenek
saya, Tok Aji sudah berumur hampir 60 tahun, manakala nenek saya baru berumur 18
tahun. Tetapi itu jodoh namanya. Tok Aji kekal dengan nenek saya sehingga akhir
hayatnya.
Disebabkan Tok Aji berkahwin
muda maka adalah orang yang iri hati dengannya. Dalam satu kenduri di rumah
seorang kawannya, dia telah dihidangkan dengan kopi. Sebelum kopi itu
diunjukkan kepadanya Tok Aji sudah tahu bahawa yang diberikan kepadanya ialah
racun santau. Bagaimanapun Tok Aji tidak boleh mengelak dan dia mesti
meminumnya juga.
"Wah, sedap kopi ni"
katanya bila menghirup kopi tersebut. Orang ramai yang menyaksikan tidak tahu
apa telah berlaku.
Setelah diminumnya Tok Aji
seperti biasa saja. Tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi
tidak semena-semena anjing di bawah rumah terjerit-jerit lalu mati dengan darah
mengalir di mulutnya. Selepas itu beberapa kali Tok Aji telah diuji, dan dia
terpaksa meminumnya sekalipun diketahuinya air tersebut telah dibubuh racun
santau.
Aruah Tok Aji memberitahu saya,
racun santau ini dibuat oleh manusia dari serbuk kaca yang mempunyai ibu.
Kadangkala orang yang menyimpan santau ini tidak perlu membubuhkan sendiri
racun santau tersebut, memadai dengan menyeru saja maka ibu racun itu akan
terbang seperti lipas dan memasukkan racun santau berkenaan ke dalam makanan
mangsanya.
Sebab itulah ayah saya tidak
mahu mengetahui sangat tentang racun santau, kerana katanya sesiapa yang sudah
mengetahui maka dugaan sentiasa mengganggu seperti aruah Tok Aji. Bagaimanapun
ayah saya pernah juga mahu diduga. Semasa saya bersamanya mengikut orang
bertakbir Hari Raya pada malam Hari Raya, tiba-tiba gelas yang dihulurkan orang
kepada ayah saya meletup dan pecah. Air kopi dari gelas itu menimpa kepala
saya.
Semua orang menyangka pipi dan
muka saya melecur terkena air panas. Tetapi apa yang saya rasakan adalah
sebaliknya. Air kopi itu sejuk seperti dimasukkan ketul air batu. Rupanya ayah
saya tidak mengambil ilmu santau dari Tok Aji yang mesti diminum kalau
mengetahui santau ada di dalamnya. Ayah saya mempelajari doa supaya tidak
sampai untuk diberikan kepadanya.
Walaupun Tok Aji dapat mempertahankan
dirinya dari racun santau, tetapi apabila akhir hayatnya bisa racun santau itu
naik semula. dia tercungap-cungap seperti itik kena sembelih sehinggalah
nafasnya yang terakhir.
Inilah yang saya fikirkan kalau
apa yang dialami oleh aruah Tok Aji dilakukan oleh Aki Sahak. Mana tahu bisa
racun santau yang mengancamnya sekarang sudah bertahun-tahun dulu dihirupnya.
Mungkin dia terpaksa menghirupnya seperti aruah Tok Aji kerana amalannya
terpaksa meminum juga.
Hal demikian bukan berlaku ke
atas orang-orang yang mendalami ilmu agama saja. Malah bomoh-bomoh terkenal
juga mengalaminya. Seorang sahabat saya telah mempelajari ilmu mempertahankan
diri dari racun santau ini dari ayahnya seorang bomoh. Sekarang sahabat saya
berkhidmat dalam pasukan askar. Ketika dia menuntut dari ayahnya dia masih di
kampung lagi dan menoreh getah.
Pernah juga dia mengajak saya
menuntut dari ayahnya ilmu mempertahankan diri. Tetapi entah mengapa hati saya
enggan saja mahu mempelajarinya. Mungkin kerana saya lebih tertarik dengan
pelajaran agama dari aruah Tok Aji menyebabkan saya tidak tertarik hati dengan
ilmu-ilmu bomoh ini. Lagi pun saya tidak berniat langsung untuk menjadi bomoh,
seperti kawan saya itu. Malah dia sendiri apabila menyertai pasukan askar
langsung melupakan terus cita-citanya mahu menjadi bomoh itu.
Selepas saja dia tamat melalui
ujian ilmu mempertahankan diri dari racun santau, satu hari apabila dia balik
dari menoreh getah dia terasa haus lalu meminta air dari emaknya. Oleh kerana
emaknya lewat membawakan air, maka kawan saya terpandangkan botol aiskrim soda.
Pada sangkaannya tentulah aiskrim soda. Dia pun tidak bertangguh lagi lalu
menghirupnya hingga habis sebotol.
Apabila emaknya keluar,
alangkah terperanjatnya orang tua itu kerana yang diminum oleh kawan saya itu
ialah cuka getah yang baru dibeli oleh emaknya. Kelam kabutlah emaknya
menyaksikan kejadian tersebut. Tetapi tidak ada apa pun merosakkan dia. Kawan
saya hanya tersenyum saja selepas meminum cuka getah tadi.
Tidak tahulah bagaimana dia
sekarang, kerana sudah lama saya tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah
berkahwin dengan orang Kluang di Johor. Jadi, jaranglah saya dapat bertemu
dengannya.
"Cubalah buat apa-apa
ustaz..." desak Abang Amud lagi.
Aki Sahak tersandar pada
bantal. Dia kelihatan letih sedikit, tetapi matanya tetap segar. Dia tersenyum
memerhati saya sudah ada di sisinya.
"Takkan kau nak biarkan
Aki macam ni" tangannya menampar lutut saya.
Saya tidak juga menyahut.
Menghadapi orang berilmu seperti Aki Sahak bukanlah mudah. Kadangkala dia
sengaja mahu menguji seseorang walhal dia memang tahu bagaimana mahu
mengatasinya. Tidak ada langsung tanda-tanda dia dalam kesakitan apabila saya
mula-mula menjengah dia tadi.
"Buatlah apa-apa pun"
pinta Aki Sahak masih memegang kepala lutut saya.
"Bila kena ni?" saya
mengeluh pendek.
"Tiba-tiba aje..."
Makda Saodah mencelah. "Lepas makan tengahari tadi dia rasa sakit dada.
Langsunglah jadi macam tu" jelasnya dalam keadaan rusuh.
"Aki, tak buat
apa-apa?" tanya saya perlahan.
"Nak buat apa...!"
jawabnya tersengih-sengih. Tok Kadi pun tak boleh nikahkan diri dia sendiri.
Orang sakit macam Aki ni pun tentulah tak dapat nak ubat diri sendiri..."
ujarnya ketawa macam menyindir.
Serba salah juga saya
dibuatnya. Keadaan Aki Sahak memang tenat, tetapi saya lihat dia tidak seperti
orang sakit. Suaranya tetap tenang. Sekali sekala dia terbatuk hingga keluar
darah pekat dari mulutnya.
Darah yang keluar dari mulut
Aki Sahak itu seolah-olah orang mengalami luka parah. Kalau dibiarkan mungkin
Aki Sahak akan kehilangan darah. Ada juga orang yang mendesak Aki Sahak supaya
dibawa ke hospital, tetapi Aki Sahak enggan. Dia yang suruh Abang Amud segera
memanggil saya.
Sebenarnya saya jadi bingung
menghadapi keadaan demikian. Kalau Aki Sahak yang saya anggap guru sudah tidak
dapat bertahan, bagaimana pula saya boleh membantunya. Saya sendiri tidak tahu
apakah ubatnya, kerana sebelum ini saya tidak pernah mengubati orang terkena
racun atau santau. Lainlah kalau gangguan syaitan boleh juga saya mencuba-cuba.
"Penyakit macam ni jenis
gangguan syaitan juga..." ujar Aki Sahak macam mengetahui apa yang
terbendung di jiwa saya.
"Macam mana saya nak
mulakan?" saya serba salah.
"Buatlah macam mana
pun..." desak Aki Sahak tersenyum pahit. Darah masih mengalir juga apabila
dia terbatuk.
Saya hanya mencuba. Tidak tahu
apakah ayat-ayat tertentu harus digunakan. Saya merenung muka Aki Sahak
tepat-tepat sambil berzikir khusyuk di dalam hati hingga terasa zikir itu
menyeluruh ke segenap badan. Ketika ini dapat saya rasakan diri saya ditolak
kuat oleh satu tenaga, tetapi tenaga itu tidak berdaya menolak saya.
Akhirnya saya tenggelam di
dalam zikir. Saya tidak takut kepada apa pun yang mencabar. Hanya berserah saja
kepada Allah untuk meminta pertolongan dan perlindungan. Saya terus menyemadikan
diri, "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyum Ya Qayyum, Ya Zaljalalil
Wal Ikram, kepada Engkaulah aku memohon pertolongan". Demikian saya
memulakan doa yang menyerahkan diri semata-mata kepada Allah.
Lama saya menguatkan zikir saya
barulah saya merasakan diri saya cukup gagah. Kekuatan yang ada pada saya sudah cukup untuk menghadapi
sebarang musuh yang berdampingan dengan syaitan. Saya melihat seorang lelaki
tua yang pernah saya temui sedang mengambil miang rebung dikumpulkan dalam satu
balang. Puas saya mengingatkan di manakah saya pernah menemui orang tua
tersebut. Orangnya kurus tetapi tinggi susuk tubuhnya. Dahinya sulah dan
rambutnya jarang sedikit. Sudah dipenuhi uban hingga memutih.
"Tua kutuk...!" keluh
saya meluat melihat perangainya. Tidak sedar sudah tua tetapi masih mahu
melakukan perbuatan yang dilaknati Allah. Sepatutnya orang tua seperti itu
mestilah melebihkan amal ibadat.
Miang rebung yang diambilnya
tadi digaul dengan serbuk kaca ditumbuk halus. Kemudian balang berisi serbuk
kaca bergaul miang rebung itu diasap dengan kemenyan. Selepas itu ditapakan
jauh dari kampung, di satu tempat yang dirahsiakan.
Orang tua itu memuja balang
berisi serbuk kaca dengan miang rebung itu hingga timbul ulat seperti bubuk di
dalamnya. Ulat-ulat ini menjalar dalam gumpalan miang rebung yang seakan-akan
rambut itu. Sebenarnya saya tidaklah nampak dengan jelas. Hanya seperti
bayang-bayang saja. Sebab itulah orang tua yang saya lihat hanya seperti bayang
saja. Bagaimanapun memang saya cam mukanya kalau bertemu di mana-mana.
"Tua kutuk..." keluh
saya perlahan.
Orang tua itu berpaling. Dia
seolah-olah mendengar keluhan saya tadi. Sebaik saja melihat saya berdiri
bercekak pinggang menghadapnya, orang tua itu cepat-cepat melontarkan serbuk
kaca itu ke mata saya. Tetapi serbuk kaca yang dilemparkan kepada saya itu
tersekat pada tembok yang memagari saya tiba-tiba.
"Kau berani datang ye!" pekik orang
tua tersebut kelihatan marah.
"Orang tua macam awak ni
patutnya banyakkan amal ibadat" saya menyindir. Marah sangat saya kerana
dicabar oleh orang tua berkenaan.
"Kau datang nak cabar
aku...?" dia mengancam dengan pandangan yang menggerunkan.
"Bukan fasal cabar
mencabar" jelas saya mengerling ke arahnya. "Kerja awak ni kerja
syaitan. Jadi hamba syaitan. Dilaknat Allah..." ujar saya seterusnya.
Dia semakin marah bila saya
sindir begitu. Dia melepaskan beribu-ribu ekor ular mahu mematuk saya. Tetapi
ular-ular yang dilepaskan oleh orang tua itu semuanya terbakar hangus bila saya
hembuskan ayat-ayat yang tertentu. Bertambah marah dia bila dilihatnya semua
ular-ular yang menyerang tadi terbakar hangus.
Kemudian dia membawa saya ke
lombong tempat anak Abang Amud mati lemas. Dia berlari-lari di atas air
tersebut bagaikan berpijak dia atas bumi. Orang tua itu ketawa berdekah-dekah
bila melihat saya kehairanan memerhati dia berjejak di atas air.
"Awak berkawan dengan
puaka, berkawan dengan syaitan..." bentak saya mula mengancam dia.
Melihatkan saya marah orang tu itu semakin kuat tertawa. Dia bertandak di atas
air lombong itu seolah-olah memperagakan kebolehan luar biasanya.
"Awak nak tunjuk
kepandaian awak ye!" saya cuba mengawal perasaan marah apabila
diejek-ejek.
Dia tidak menghiraukan
kata-kata saya, sebaliknya terus bertandak-tandak. Tetapi dia tidaklah
menyerang saya seperti mula-mula tadi. Mungkin pada peringkat kedua dia hanya
mahu saya meradang saja. Memang inilah cara syaitan mahu mengalahkan manusia.
dia sengaja mahukan kita marah supaya mudah baginya mencari kelemahan.
Mujurlah saya sedar akan tipu
muslihat syaitan yang mahukan saya marah. Setelah dapat mengawal diri saya pun
mula membacakan beberapa ayat Quran dan menghembuskan ke arahnya. Air lombong
tiba-tiba menggelegak dan cair. Orang tua itu tercungap-cungap lari mencari
tanah daratan.
"Sahabat kau tak akan datang
menolong!" saya mengejek dia. Kerana saya tahu dia lari ke lombong adalah
untuk mendapatkan pertolongan syaitan yang menjadi sahabatnya.
"Sahabat kau akan dipanah
petir kalau berani datang menolong kau" kata saya lagi menyebabkan dia
mulai marah. Gelak ketawanya tidak kedengaran lagi, sebaliknya mendengus-demgus
marah.
Dia berpaling mahu menentang.
Entah macam mana dia menjadi gementar apabila bertentang mata dengan saya,
ketika ini saya sedang azan. Gema azan itulah menyebabkan syaitan yang
diserunya tidak berani datang menolong. Nampaknya dia menggunakan puaka lombong
itu untuk menentang saya.
"Serulah sahabat-sahabat
kau" saya terus mengejek. "Selagi kau bersahabat dengan syaitan,
selama itulah kau ditipu oleh syaitan. Tak mungkin syaitan datang menolong
kalau dia tak dapat keuntungan" kata saya lagi.
Orang tua itu semakin marah.
Tetapi dia tidak berani menentang saya disebabkan syaitan yang diserunya tidak
datang setelah saya azan tadi. Bumi tempatnya berpijak juga bergegar
menyebabkan dia terhuyung hayang tidak dapat berjejak.
"Bertaubatlah, dan kembali
ke jalan Allah" saya menyerunya.
Dia tidak juga menyahut.
Berlegar-legar dia mahu menyerang. Tetapi setiap kali dia mahu mencuba gegaran
bumi semakin kuat menyebabkan dia terhuyung hayang tidak dapat berjejak.
Orang tua ini memang manusia
biasa, tetapi dia menggunakan ilmu syaitan untuk kepentingan diri sendiri.
Tidak heranlah mengapa manusia demikian mudah tertipu kerana syaitan boleh
memperdayakan mereka dengan janji-janji untuk memberi kekuatan, kekayaan,
kemewahan atau apa saja yang dihajat.
Syaitan akan memberikan mereka
kebal tidak lut oleh besi, syaitan menjanjikan kebolehan menyerang musuh dari
jauh saja, syaitan menjanjikan ilmu yang boleh ghaib dari pandangan mata.
Hal-hal seperti inilah menyebabkan manusia mudah terpedaya. Segala janji-janji
syaitan itu adalah untuk sementara saja, iaitu selagi manusia mahu mengikut
perintahnya.
Bagaimanapun syaitan akan lari
meninggalkan manusia tadi, apabila dia terseksa dengan ayat-ayat Quran. Dengan
itu manusia yang ditinggalkan oleh syaitan akan terseksa pula sebagai galang
gantinya. Inilah yang terjadi pada orang tua berkenaan.
Memang saya cam orang tua
tersebut. Bagaimanapun saya terpaksa rahsiakan dia dari pengetahuan orang-orang
kampung. Orang tua ini ada hubungan kekeluargaan dengan Abang Amud. Semasa saya
membantu Aki Sahak mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam
lombong, dia juga ada menyaksikannya bersama.
Dialah yang mendesak Ketua
Penyelam itu supaya meneruskan kerja mencari mayat tersebut dengan tidak payah
pertolongan dari Aki Sahak. Apakah tujuannya tidaklah saya tahu.
"Apa yang awak sakit hati
sangat pada Aki Sahak?" soal saya mengherdiknya.
Dia mengacau hak orang..." sahutnya
marah. "Apa yang dikacaunya?"
"Kawasan ni kami punya!"
"Kawasan apa?"
"Kawasan anak ubat
kami..." "Dia cuma menolong" "Tidak! Dia mengacau,,!"
"Dia bawa ilmu Allah, awak
kata mengacau?" sindir saya.
Orang tua itu menjadi serba
salah. Memang ada niat dia mahu menyerang saya. Tetapi setiap kali dia mahu menyerang
terasa dadanya bagaikan kena pijak. Memang telah saya perhatikan sikapnya,
sebab itu saya sudah menghentakkan tumit saya ke bumi dengan makrifat memijak
jantungnya.
"Kalau awak berani
lepaskanlah kawan.." bentaknya pula mahu menerkam saya.
"Kalau sahabat awak boleh
menolong lepaskanlah sendiri" sahut saya mengejeknya.
"Awak halang dia, macam
mana dia nak datang!" katanya.
"Kalau awak handal
lepaskan halangan tu" kata saya sengaja menyakitkan hatinya.
Berkali-kali dia cuba menerkam
tetapi terasa jantungnya terpijak. Dia mengerang kesakitan bila terasa jantung
kena pijak. Akhirnya dia memekik kuat melepaskan kemarahannya. "Kau nak
bunuh aku ke?" jeritnya menggema.
"Awak nak bunuh Aki Sahak
kan?" soal saya kuat sedikit.
"Fasal dia nak bunuh
sahabat aku!" jawabnya membentak.
"Kalau awak tak mahu malu,
pergi sekarang" perintah saya masih tidak melepaskan tumit yang dihentak
ke bumi. "Kalau tidak awak malu, keluarga awak pun malu" saya
mengingatkan dia.
"Biar mati aku takkan
mengalah dengan kau!" dia berkeras tidak mahu mengalah.
"Mengapa kau beri Aki
Sahak santau?" jerkah saya apabila dia berkeras tidak mahu berundur.
"Kau fikir kau boleh selamat. Ayat-ayat Allah lebih berkuasa dari santau,
awak tau!" ujar saya seterusnya.
Untuk mengujinya sengaja saya
lepaskan tumit dari menekan bumi. Serentak dengan itu dia menerkam saya.
Bagaimanapun belum sempat dia sampai kepada saya, orang tua itu jatuh terhempap
ke bumi Saya menghembusnya dengan Surah Al Fatihah hingga dia terlambung tidak
dapat bertahan.
Kemudian saya susul dengan
Surah Al Ikhlas. Ketika ini berpuluh-puluh bukit berterbangan menimpa ke atas
dirinya. Dia terhimpit di bawah bukit-bukit yang berterbangan.
"Kau tidak akan dibantu
oleh sahabat kau. Dia juga akan hancur kalau cuba mendekati" saya menyerunya
berulang kali.
Setelah saya melihat dia tidak
bergerak di bawah himpitan bukit-bukit yang berterbangan, barulah saya
mengembalikan diri saya seperti sediakala. Saya masih menghadapi Aki Sahak yang
terbaring. Dia kelihatan lemah sedikit. Darah juga sudah mula kering dari
mulutnya.
Di samping itu air kelapa muda
yang sudah didoakan oleh Abang Amud tadi disudukan ke mulut Aki Sahak. Saya
tahu Abang Amud mendoakan 'peluruh' iaitu mengatasi bisa racun, tetapi
'peluruh' yang diberikannya belum lagi berkesan.
Walaupun keadaan Aki Sahak
sudah ada reda dia masih juga terbatuk-batuk. Bahang panas di dadanya terasa
berwap-wap. Lalu saya pun meminta air sejuk dari Makda Saodah. Pada sangkaannya
saya mahukan air minum, maka mereka pun memberikan kopi O.
"Bukan saya nak
minum" ujar saya tersenyum kerana geli hati. "Air nak buat
ubat..." jelas saya.
Barulah Makda Saodah
menghulurkan kepada saya satu jag air sejuk. Saya membacakan Yassin tiga kali.
Selepas itu air tersebut diberi minum pada Aki Sahak. Kira-kira sepuluh minit
selepas dia minum air tersebut, Aki Sahak muntahkan darah dengan lendir-lendir
putih.
Saya suruh muntah itu ditadah
dalam besen supaya tidak habis tempat tidur. Tiga kali Aki Sahak terjeluih
muntah. Kali yang ketiga muntahnya tidak lagi darah tetapi segumpal rambut
sebesar penumbuk, serbuk kaca dan miang rebung. Setelah semuanya habis keluar
barulah kelihatan Aki Sahak terkulai lemah akibat keletihan.
Disebabkan keadaan baru pulih,
saya pun menyuruh Aki Sahak tidur saja. Jiran-jiran pun saya tidak beri
mengganggunya. Biarlah jangan ditanyakan apa-apa sehingga Aki Sahak pulih
betul-betul. Biasanya dalam masa seminggu barulah ada perubahan sedikit.
"Kerja siapa
agaknya?" Sali menggertap bibir. Barulah dia mahu bersuara setelah melihat
Aki Sahak tidak lagi terbatuk-batuk.
"Siapa agaknya
ustaz?" Abang Amud pula bertanya.
"Mana kita nak tau"
sahut saya lemah. Sebenarnya saya juga terlalu letih. Pada lahirnya memang
nampak saya duduk saja di situ, tetapi keletihan yang saya alami seolah-olah
baru saja mengangkat beban berpikul-pikul.
"Kalau tau orangnya"
Sali menumbuk-numbuk tinju ke tapak tangan. "Kalau tau orangnya, aku
pijak-pijak kepalanya. Aku terajang dia...!" gerutunya mcam menyimpan
dendam.
Saya mendiamkan diri saja. Biarlah Sali
melepaskan geramnya. Saya tahu dia tidak akan bertindak kerana dia tidak tahu
siapakah yang didendamnya. Tugas saya sudah selesai iaitu cuba mengubati Aki
Sahak. Soal membalas dendam bukan kerja saya. Sebab Allah sendiri menjanjikan:
Setiap perbuatan yang baik ada ganjarannya di akhirat, dan setiap perbuatan
jahat ada balasannya di akhirat.
"Hati binatang!" Sali
masih merungut marah.
Kalaulah saya terangkan
siapakah orang yang ternampak oleh saya mungkin Sali sanggup menyerangnya.
Tetapi saya tidak boleh memberitahunya.
Kadangkala bayangan yang kita
lihat itu tidak semestinya benar. Boleh jadi orang yang berniat jahat itu
menjelmakan dirinya seperti orang lain. Sudah tentulah kita menganiaya orang
apabila kita memberitahu apa yang kita lihat.
Sebab itu aruah tok aki saya
melarang menyebutkan orang yang kita lihat melalui bayangan itu kepada keluarga
pesakit. Ditakuti mereka akan bertindak membalas dendam.
Ustaz tak tau siapa
orangnya?" tanya Sali semakin kejap menggertap bibir.
"Tidak..." saya
menggeleng kepala.
"Kita baca Yassin
ramai-ramai" Abang Amud pula mencadangkan. "Kita balikkan semula pada
orang yang membuat Aki Sahak" katanya membayangkan kemarahan yang membakar
perasaannya. Dia berkisar punggung bagaikan mahu melompat menerkam sesiapa
saja.
"Jangan ikut perasaan..."
Aki Sahak membuka matanya perlahan. Rupanya sejak tadi dia mendengar saja
perbualan kami. "Jangan ikut perasaan. Kau boleh bacakan Yassin dengan
niat nak membunuh orang. Kalau Allah makbulkan, kau mesti ingat dosanya!
Dosanya tetap dosa membunuh juga" suara Aki Sahak masih lemah tetapi
nadanya keras.
"Orang hati binatang yang
buat ni..." sahut Sali mengepal tinju kejap-kejap, kemudian meninju-ninju
kepala lututnya.
"Habis, kau nak ikut pula
jadi hati binatang?" soal Aki Sahak bangun perlahan-lahan bersandar pada
bantal. "Kalau kau nak balas juga, kau pun sama macam dia. Sama berhati
binatang!" Aki Sahak mengingatkan.
Sali tidak berani membantah
cakap Aki Sahak lagi. Bukan saja Aki Sahak itu gurunya, tetapi juga pangkat
bapa saudara pula. Makda Saodah itulah emak saudara Sali. Sebab itu dia tidak
berani sangat berbantah-bantah dengan Aki Sahak.
"Allah lebih Maha
Mengetahui..." jelas saya setelah Sali terdiam dimarahi Aki Sahak.
"Kalau setiap hari sekurang-kurangnya kita melafazkan iyya kana'budu
waiyya kanastai'n tujuh belas kali dalam solat kita ketika membaca Fatihah
iaitu hanya kepada Engkau aku sembah dan hanya kepada Engkau aku memohon
pertolongan, mengapa kita mesti membalas dendam! Mengapa kita tidak mematuhi
ikrar kita dengan Allah" kata saya mengerling Sali.
Sali terdiam. Terasa juga dia
sudah terlanjur bercakap mengikut perasaan.
Ketika inilah terdengar seorang
seorang perempuan memanggil Pak Semail Ketua Kampung dari tengah halaman. Pak
Semail yang duduk di belakang saya terkejut juga bila ada orang mencarinya
ketika itu. Sedangkan Aki Sahak masih belum pulih akibat termakan santau.
"Ada Abang Mail di
sini?" perempuan itu bertanya dari tengah halaman sebaik saja pintu
serambi dibuka oleh Makda Saodah.
"Oh, kau tadi Sumi,
naiklah" pelawa Makda Saodah masih berdiri di muka pintu.
"Ada Abang Mail di
sini?" ulangi perempuan yang dipanggil Sumi oleh Makda Saodah itu.
"Ada..." beritahu
Makda Saodah. "Macam mana pun naiklah dulu..." dia mengajak Sumi naik
ke rumah.
Belum sempat Sumi menyahut Pak
Semail sudah berdiri di belakang Makda Saodah. "Apa halnya Sumi?"
tanya Pak Semail bimbang. Berdebar juga hatinya bila adiknya itu datang
memanggil dia ke situ.
Sumi tidak terus memberitahu.
Dia kelihatan rusuh sedikit tetapi masih juga tercegat di tengah halaman.
"Apa halnya?" tanya
Pak Semail lagi. "Rumah kami dilanda ribut" jelas Sumi
tergagap-gagap. "Abang Fakeh terperangkap dalam runtuhan rumah tu..."
dia tersedu-sedu menahan perasaannya yang menyebak ke dada.
"Ribut apa pula?" Pak
Semail keheranan kerana kampung itu tidak pun dilanda ribut. Tidak ada tanda
ribut atau hujan melanda. Kampung itu tetap cerah dengan cahaya matahari petang
memancar bersih. "Macam mana boleh ada ribut, rumah kau bukan jauh dari
sini..." ujarnya sambil berastaghfar beberapa kali.
"Entahlah..." Sumi
menggeleng kepala. "Tapi ribut kencang tadi saya ada di rumah. Saya sempat
terjun ke tanah sebelum rumah tu roboh" jelasnya perlahan. Dia juga heran
kerana di kawasan rumah Aki Sahak itu tidak ada pun kesan-kesan dilanda ribut.
Kalau ada ribut melanda tentulah habis sebuah kampung terlibat. Inilah yang
mengherankan mereka.
"Marilah kita pergi tengok
Pak Fakeh..." saya mencadangkan.
Saya bersama beberapa orang
jiran lelaki yang ada menziarahi Aki Sahak terus mengikut Pak Semail.
Apabila sampai ke rumah Pak
Fakeh memang semuanya terkejut melihat keadaan di situ. Rumah Pak Fakeh habis
musnah ditimpa kayu jongkang kalang. Mereka bertambah heran bagaimana Sumi
boleh terselamat kalau melihat keadaan rumah tersebut. Pokok kelapa tidak
kurang dari lapan batang bertupang tindih menimpa rumah. Pokok durian juga
melintang menghempap dari tengah bumbung.
Kalau mahu dikira sempat
melompat ke tanah memang tidak masuk akal langsung bagaimana Sumi boleh
terselamat. Mujurlah juga cucu-cucu mereka tidak ada di rumah ketika itu. Kesan
ribut juga jelas di sekitar kawasan rumah itu kerana banyak pokok-pokok yang
patah dahan.
"Macam mana ribut di sini
aje? keluh Sali yang sama mengikut kami tadi.
"Kencang betul
ributnya" beritahu Sumi masih dalam ketakutan. "Tengoklah pokok-pokok
tu habis terbongkar akar" katanya lemah.
"Habis macam mana Mak Sumi
lepaskan diri?" tanya Tonel pula.
"Entahlah..." ujarnya
gementar mengenangkan peristiwa yang menimpa dirinya. "Mak Sumi rasa macam
mati hidup balik..." dia mengesat mata dengan hujung lengan bajunya.
Terpaksa pula masing-masing
mengambil kapak dan gergaji untuk memotong kayu yang jongkang kalang menimpa
rumah Pak Fakeh. Hampir dua jam barulah
kawasan rumah itu dapat dibersihkan. Kira-kira sudah dekat masuk Maghrib
barulah mayat Pak Fakeh ditarik keluar dari bawah pokok durian. Kepalanya
berkecai remuk. Mata, hidung dan telinganya dipenuhi darah pekat.
Memang Pak Fakeh yang saya
lihat ketika saya mengubati Aki Sahak tadi. Tetapi saya tidak mahu memberitahu
sesiapa pun tentang Pak Fakeh itu. Biarlah mereka semua menyangka Pak Fakeh
menemui ajalnya apabila rumahnya dilanda ribut.
TAMAT