Sunday, December 9, 2012

42. TOK AWANG NGAH - ORANG BERKEPALA ANJING


Kejadian yang aneh mula mengemparkan di Lobak, Seremban dalam tahun 1973 apabila ada orang yang terserempak orang berkepala anjing. Tetapi saya tidaklah berapa percaya sangat kerana kemungkinan orang itu memakai topeng seperti anjing ketika ditemui.
Seorang perempuan Cina memberitahu saya orang berkepala anjing itu lari ke satu to’ kong di Lobak, kemudiannya hilang. Lobak itu memanglah kawasan tempat tinggal orang Cina, hanya sedikit sahaja orang India dan Melayu. Tentulah mengherankan kejadian seperti ini berlaku dalam kawasan orang-orang Cina.
Kira-kira sebulan selepas itu kegemparan mengenai orang berkepala anjing hilang begitu saja. Jelaslah peristiwa orang berkepala anjing itu hanya perbuatan budak-budak nakal saja untuk menakut-nakutkan orang ramai. Mereka yang terserempak orang berkepala anjing itu pula kebanyakannya terdiri dari pasangan muda mudi yang sedang bercengkerama.
Semasa saya berkunjung ke rumah seorang kawan di Teluk Kumbar di Pulau Pinang dalam tahun 1976, dia juga memberitahu saya tentang cerita orang berkepala anjing yang berlaku di Tanjung Bungah. Macam mana pula boleh terjadi kisah orang berkepala anjing ini.
Akhirnya saya membuat kesimpulan mungkin kisah orang berkepala anjing ada hubungannya dengan pengaruh TV mengenai orang serigala dan sebagainya. Oleh itu saya berpendapat cerita seperti ini sengaja ditimbulkan oleh budak-budak nakal yang iri hati dengan pasangan muda mudi yang sedang bercengkarama.
Ketika saya mengikut seorang lagi kawan saya ke Temerloh balik ke kampungnya, dia juga menceritakan kepada saya mengenai orang berkepala anjing yang mengganggu kampungnya. Dia sudah pun berusaha untuk menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu, tetapi tidak juga berjaya.
Kawalan malam juga diperketatkan, tetapi tidak dapat mengesannya. Malah setiap kali kawalan malam dibuat tidak ada pulak lembaga itu muncul. Maka anggapan saya kegemparan tersebut sengaja ditimbulkan oleh budak-budak nakal. Sebab saya tidak pernah mendengar adanya anjing jadi-jadian yang berbentuk lembaga manusia berkepala anjing.
Tetapi kuasa Allah tidak siapa pun dapat mempertikaikan. Usahkan manusia berkepala anjing, lebih dari itu Allah SWT boleh menjadikannya.
Bagaimanapun cerita mengenai orang berkepala anjing yang menggemparkan itu mungkin perbuatan budak-budak nakal saja. Bagaimana pun Mat Sitam berkuat mengajak saya menemui Ngah Jamat untuk mengetahui tentang orang berkepala anjing yang mengganggu di kampungnya. Katanya Ngah Jamat yang berjaya menangkap orang berkepala anjing itu.
“Orang betul.............?” tanya saya.
Mat Sitam mengangguk
“Pakai topeng?” soal saya lagi.
“Tidak..” Mat Sitam menggeleng kepala pula.
Terpaksa pula Ngah Jamat mengubatnya dulu sebelum dapat dipulihkan menjadi manusia normal. Setelah pulih lelaki itu kelihatan seperti orang bodoh tidak tahu apa yang telah berlaku.
Inilah yang menguatkan hati saya mahu bertemu dengan Ngah Jamat untuk mendapatkan cerita orang yang berkepala annjing seperti dikatakan oleh Mat Sitam. Bukanlah saya tidak percaya dengan cerita tersebut, tetapi kemungkinannya ialah perbuatan budak-budah nakal. Kalaulah ianya suatu pekerjaan sihir, bukanlah juga mengherankan. Kerana sejak zaman dulu lagi, malah di zaman para nabi pun ramai muncul tukang-tukang sihir.
Bagaimanapun perbuatan sihir tetap menjadi musuh orang-orang mukmin. Sihir mesti ditentang kerana ianya boleh memesongkan aqidah sesaorang.
Tetapi mengapa orang-orang Islam mahu mengamalkan sihir hingga boleh terjadi kisah manusia berkepala anjing itu. Sebenarnya saya belum pernah menemui kisah seperti ini, dan saya juga tidak mahu bertemu dengan kisah-kisah begini. Kalau boleh saya tidak mahu mendekati orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir.
“Ustaz takut ke ?” tanya Mat Sitam bila saya terangkan keengganan saya bertemu dengan perbuatan-perbuatan sihir demikian.
Saya hanya tersenyum. Biarlah Mat Sitam menganggap saya takut. Memang saya tidak akan sengaja mencari kisah-kisah orang berkepala anjing, lembaga hitam dan sebagainya. Kalaulah benar satu permainan sihir, eloklah saya menjauhkan diri saja.
“Kalau ada orang pakai ilmu sihir, kita boleh minta tolong pada Ngah Jamat tu...” ujar Mat Sitam selanjutnya.
“Saya minta tolong pada Allah....” cepat-cepat saya memotong cakapnya.
Terdiam Mat Sitam mendengar jawapan saya. Dia beranggapan saya tidak yakin dengan kebolehan Ngah Jamat bejaya menangkap orang berkepala anjing yang diceritakannya itu. Menyedari akan Mat Sitam tersinggung dengan kata-kata saya tadi lantas saya menjelaskan.
“Ngah Jamat juga meminta dari Allah. Hanya dengan izin Alla baru dia berjaya menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu...” Saya tersengih-sengih menepuk bahu Mat Sitam.
Saya tahu Mat Sitam sangat fanatik dengan Ngah Jamat yang dianggap seorang dukun besar di kampungnya. Sebab itulah dia mudah tersinggung kalau ada anggapan memperkecilkan kebolehan Ngah Jamat. Apa lagi yang membuat anggapan itu orang luar.
Sementara saya pula tidak memperkecilkan usaha-usaha seorang dukun. Mereka juga memohon doa kepada Allah. Cara doanya tidaklah semestinya menggunakan Bahasa Arab, kerana doa juga boleh didalam bahasa yang kita fahami. Tetapi akidah mestilah betul supaya kepercayaan pada yang ghaib seperti dalam Surah al- Baqarah ayat 3 itu tidak disalah tafsirkan.
Kepercayaan kepada yang ghaib mestilah semata-mata kepada Allah SWT. Inilah yang hendak saya katakan kepada Mat Sitam , tetapi nampaknya dia tidak memahami  maksud saya. Oleh itu saya tidaklah mahu memanjangkan lagi mengenai kejayaan Ngah Jamat menangkap orang berkepala anjing.
Saya telah mengikuti Mat Sitam ke kampungnya untuk menemui Ngah Jamat. Dalam pertemuan itu Ngah Jamat tidak banyak bercakap. Suaranya perlahan bila menyatakan sesuatu. Misai tebalnya yang putih bergerak-gerak bila ia tersengih-sengih memerhati saya.
“Ustaz ni pun banyak pengalamannya...” kata Ngah Jamat mengerling pada Mat Sitam.
“Orang muda, darah baru setampuk pinang, umur baru setahun jagung, pengalaman apa yang ada!” ujar saya perlahan.
Ngah Jamal tersenyum. Tetapi saya tahu senyumannya itu macam tidak mempercayai kata-kata saya. Bagaimana pun saya tidak peduli sangat, kerana seorang berilmu seperti Ngah Jamat memang suka membuat anggapan demikian. Dia merasa dirinya sentiasa kurang dari orang lain.
“Saya pernah juga ke sini dua tiga kali..” beritahu saya mengubah perbualan.
“Kemana ?” tanyanya
“Bukanlah kampung ni, tapi di Lancang ...” jelas saya mengisar punggong mencari sandar ke dinding.
“Lancang, jumpa siapa?” Ngah Jamat macam terkejut bila saya memberitahu pernah datang ke Lancang di Temerluh.
“Ulung Bahar , “ beritahu saya lagi.
“Ohoooo, kenal saya tu, ujar Ngah Jamat. “Ulung Bahar tu puak-puak saya juga,” katanya teangguk-angguk kepala. Terbayang kegembiraan diwajahnya bila saya menyatakan pernah beberapa kali bertemu dengan Ulung Bahar.
Sebenarnya dari Ulung Bahar juga saya mendapat tahu ada sepupunya bernama Ngah Jamat. Kebetulan Jamlus adik Meon yang memperkenalkan saya kepada Mat Sitam, kerana Mat Sitam lebih mengenali Ngah Jamat. Tujuan saya mahu menemui Ngah Jamat sama juga saya menemui Ulung Bahar iaitu untuk bertukar-bertukar fikiran di samping mempelajari serba sedikit pengalaman yang ada padanya.
Bagi saya kejayaan Ngah Jamat menangkap orang berkepala anjing itu satu pengalaman baik kepadanya. Memang jarang kita menemui keadaan seperti ini. Bagaimana pun itu merupakan soal kedua saja, yang penting bagi saya ialah mahu berkenalan dengan Ngah Jamat.
Ulung Bahar sudah menerangkan bagaimana kejadian yang menimpa kampung Ngah Jamat itu, kerana dengan tiba-tiba sahaja muncul lembaga manusia berkepala anjing. Kalaulah budak-budak nakal memakai topeng mengapa dia menyalak seperti anjing juga di tengah-tengah malam? Inilah menjadi tanda tanya kepada penduduk-penduduk kampung.
Orang kampung terpaksa membaca Yassin beramai-ramai di surau bagi menyekat gangguan tersebut. Cara tersebut tidak juga memberi kesan, kerana pada malam yang ramai membaca Yassin, lembaga orang berkepala anjing tidak muncul. Sebaliknya bila dihentikan, dia akan muncul semula menganggu.
Apabila diminta Ngah Jamat membantu, dia telah menggunakan ilmu dukunnya pasung bumi untuk memerangkap lembaga jadi-jadian anjing itu. Malam pertama lembaga itu masuk ke dalam perangkap pasung bumi Ngah Jamat, menyebabkan dia berligar-ligar dalam kawasan rumah mangsanya kerana tidak dapat mencari jalan keluar. Tetapi bila orang-orang kampung menyerbu mahu menangkapnya, lembaga tersebut hilang dari pandangan mereka.
Selepas termasuk perangkap Ngah Jamat lembaga orang berkepala anjing itu tidak lagi terdengar kabar beritanya. Setakat itu sajalah orang-orang kampung tahu mengenai lembaga orang berkepala anjing tersebut. Bagaimanapun mereka tetap mengakui bahawa lembaga manusia berkepala anjing itu dapat ditangkap, walaupun sebenarnya telah menhilangkan diri sebelum sempat ditawan.
“Itu sajalah cerita sebenarnya,” beritahu Ngah Jamat mengenang semula peristiwa itu. “Ngah Jamat cuma dapat menangkap zahirnya saja, lepas itu dia menghilang semula” katanya merendah.
Perkara dia dapat menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu hanya dibesar-besarkan oleh orang kampung saja. Dia sendiri tidak mengaku dapat menangkap lembaga tersebut.
“Kalau dapat ditangkap tentulah dapat kenal rupa orangnya....” dia menjelaskan.
Demikian Ngah Jamat merendahkan diri. Tetapi saya tahu orang yang selalu merendah diri itu memang ibarat padi, semakin tunduk semakin berisi. Pertama kali saya bertentang mata dengan Ngah Jamat, dapat saya mengagak akan kemampuan dia dalam kebatinan.
Ilmu jadi-jadian itu bukanlah asing kepada masyarakat Melayu dulu. Sebelum agama Islam berkembang ke Alam Melayu, kebanyakan orang Melayu menganu agama Hindu. Mereka inilah sering mengamalkan ilmu pertapaan. Dari sinilah ilmu-ilmu sihir diperolehi terutama yang bertujuan menentang musuh sama ada secara baik mahu pun secara jahat.
Aruah nenek saya pernah menceritakan kisah ilmu jadi-jadian ini di zaman aruah akinya. Ketika itu aki nenek saya itu bernama Aki Dahuk tinggal dirumah bersama adiknya Nenek Bek. Mereka berdua masih muda lagi semasa kejadian tersebut berlaku. Masa itu Aki Dahuk berumur 15 tahun, manakala Nenek Bek berumur 10 tahun.     
Rumah orang-orang kampung terpencil antara satu dengan lain. Di dalam kampung itu ada jiran sakit yang patut diziarahi. Jadi emak Aki Dahuk pun pergi menziarahi jiran tersebut pada waktu hampir senja. Biasanya mereka melawat jiran sakit semasa dukun sedang membuat ubat pada sebelah malam.
Semasa pergi itulah emak dan ayah Aki Dahuk berpesan pada jiran yang dekat sekali dengan rumahnya supaya tengok-tengokkan anaknya di rumah. Kebetulan jiran itu tidak pergi menziarah si sakit, kerana dia telah menziarahinya pada sebelah siang hari.
Jiran itu, Pak Sogok setuju untuk menemankan anak-anak yang ditinggalkan sendirian di rumah itu. Waktu senja Pak Sogok pun datanglah ke rumah Aki Dahuk dengan tujuan untuk menemankannya. Dia memanglah kenal dengan Pak Sogok yangmenjadi jiran terdekatnya.
Pak Sogok ini selalu bercerita dengan Aki Dahuk mengenai harimau jadi-jadian, kerana Aki Dahu belajar mengaji Quran di rumah orang tua itu.
“Macam mana nak tahu harimau jadian tu?” soal Aki Dahuk semasa mendengar cerita Pak Sogok fasal harimau jadian tersebut.
“Dia selalu duduk pada tiang tengah rumah...” beritahu Pak Sogok. “Dia duduk bertenggong dan suka meneran seperti orang terberak. Itu tandanya dia nak menukarkan dirinya jadi harimau” jelas orang tua itu selanjutnya.
“Mengapa dia meneran....?” Aki Dahuk bertanya lagi.
“Ketika inilah dia meneran ekornya supaya keluar” kata Pak Sogok.
Gerun juga Aki Dahuk mendengar cerita harimau jadian ini. Maklum sajalah manusia sendiri menjadi harimau. Kemudian dia akan membaham mangsanya seperti harimau biasa juga. Dia akan mencuri lembu atau kerbau di kandang. Bukan mudah pula mahu menewaskannya kalau sekadar bersenjatakan senapang.
Harimau ini tidak lut oleh senjata besi. Dia juga boleh menghilangkan diri apabila terdesak.
“Macam mana kalau harimau itu naik ke rumah kita? Aki Dahuk mahu tahu. Memang dia gemar bertanya pada Pak Sogok mengenai cerita-cerita yang bersangkutan dengan ilmu sihir. Maklum sajalah budak-budak sedang berusia lima belas tahun seperti Aki Dahuk ketika itu, sudah tentulah menjadi kegemarannya mendengar cerita demikian.
Pak Sogok pula suka bercerita dengan Aki Dahuk. Memang dia suka dengan budak-budak. Apa lagi Pak Sogok tidak mempunyai anak. Jadi, dengan Aki Dahuklah dia bermain dengan budak-budak. Sampailah Aki Dahuk sudah berumur 15 tahun dia tetap menyayanginya seperti anak sendiri juga.
“Macam mana kalau terserempak dengan harimau jadian ni Pak Sogok?” ulangi Aki Dahuk ingin tahu.
“Dia takutkan antan pengemping ...” jelas Pak Sogok tersenyum. Geli benar hatinya dengan sikap Aki Dahuk suka bertanya macam-macam perkara mengenai harimau jadian.
Macam mana pun Pak Sogok tetap melayani Aki Dahuk. Dia tidak merasa bosan walaupun Aki Dahuk becok mulut bertanya itu dan ini.
Walaupun baru berumur 15 tahun tetapi Aki Dahuk pintar berfikir. Berkat pergaulannya dengan Pak Sogok tahu juga dia serba sedikit mempertahan diri apabila terdesak. Malah Pak Sogk juga yang mengajar dia menegakkan sembahyang. Memang banyak jasa orang tua itu terhadapnya.
Jadi apabila Pak Sogok datang ke rumah mahu menemankan dia dan adiknya, terasa gembira hati Aki Dahuk. Orang tua itu terlalu mengambil berat terhadap dirinya. Bagaimanapun itulah pertama kali Pak Sogok datang menemani dia di rumah.
Biasanya kalau emak atau ayahnya ke surau dan meminta Pak Sogok tengok-tengokkan rumah, Pak Sogok akan menjengah dari jauh saja. Kadangkala marah juga dia pada emak dan ayah Aki Dahuk kerana percaya sangat tinggalkan anak-anak di rumah pada waktu malam.
Tetapi ayah Aki Dahuk memberitahu, “Ah, Dahuk tu dah besar. Tahu dia menjaga adiknya.
Pak Sogok tidak kuasa sangat lagi mahu menegahi ayah Aki Dahuk. Kalau dia sudah menaruh sepenuh kepercayaan kepada anaknya, mengapa pula sebagai orang luar perlu ambil tahu. Terpulanglah kepada ayah Aki Dahuk sendiri. Kadangkala kalau tidak ke surau pun, mereka suka berjalan ke rumah-rumah jiran berborak hingga jauh malam.
Mungkin kerana kesihan pada dirinya, Pak Sogok datang juga menemankan dia adik beradik. Inilah yang terfikir pada Aki Dahuk semasa Pak Sogok datang.
“Maghrib dah masuk, Pak Sogok lah jadi imam,” Aki Dahuk mengajak Pak Sogok bersembahyang.
“Ah, Pak Sogok uzur hari ni, kau aje sembahyang” katanya lalu duduk bertenggong pada tiang tengah.
Heran juga Aki Dahuk bila Pak Sogok duduk bertenggong di tiang tengah. Kebiasaannya orang-orang kampung ketika ini sengaja membuat lubang pada lantai di tiang tengah bagi tempat membuang sampah. Jadi di situlah Pak Sogok duduk sementara menunggu Aki Dahuk menunaikan fardhu Maghrib.
Terfikir juga pada Aki Dahuk mungkin Pak Sogok cuba menakut-nakutkan dia kali ini. Sengaja Pak Sogok datang ke rumahnya dan melakukan seperti apa yang dicakapkannya kepada dia selama ini.
“Duduklah sebelah sini Pak Sogok......”  Aki Dahu menyuruhnya duduk bersandar ke dinding.
“Tak apalah di sini,” sahut Pak Sogok perlahan. “Pak Sogok suka duduk di tiang tengah kerana selalu teringat makan gulai ikan terubuk. Kalau lekat tulangnya di tekak senanglah meluahkan di lubang ini...” dia tersengih-tersengih mengerling Aki Dahuk.
Aki Dahuk terus menunaikan fardu Maghrib. Selepas sembahyang dia pun duduk bersetentang dengan Pak Sogok. Dalam hatinya sudah merasakan Pak Sogok bukan sengaja datang mahu menakut-nakutkan dia, tetapi sudah lebih dari itu. Dia nampak Pak Sogok meneran perlahan-lahan.
“Bek, pergi kau buat kopi Pak Sogok” Aki Dahuk menyuruh adiknya ke dapur.
Apabila Nenek Bek berjalan ke dapur, Aki Dahuk mengikutnya dari belakang. “Bukan boleh percaya Bek tu Pak Sogok, kita suruh masak air nanti tah apa yang dibuatnya,” dia memberitahu Pak Sogok.
Pak Sogok mengangguk.
Sampai saja di dapur Aki Dahuk tidak membenarkan adiknya membuat kopi. Dia mengambil antan pengemping di balik pintu dapur lalu di berinya pada Nenek Bek. Katanya pada adiknya, “Bila abang kata bawakan kopi, cepat-cepat kau keluar dan pukul kepala Pak Sagok dengan antan ini.”
“Kenapa pulak bang ?” Nenek Bek keheranan denan sikap abangnya mahu memukul Pak Sogok. Pada hal Pak Sogok itu guru dia mengaji  Quran.
“Jangan banyak soal jawab, buat apa yang abang suruh,” dia mengingatkan adiknya.
Nenek Bek mengangguk kepala. Dia memang mematuhi abangnya selama ini. Lagipun apabila emak dan ayahnya keluar pada waktu malam hari, dengan abangnya itulah dia tinggal dirumah. Sebab itulah apa saja perintah abangnya dia akan turuti. Kepada abangnyalah dia mengharapkan perlindungan semasa emak dan ayahnya tidak ada di rumah.
Tentulah apa yang hendak dibuat oleh abangnya itu memang untuk kepentingan mereka berdua. Kalau abangnya mengambil keputusan mahu memukul Pak Sogok, boleh jadi orang tua itu mempunyai niat tidak baik terhadap mereka. Fasal itu abangnya bertindak demikian. Walaupun Pak Sogok merupakan guru mereka mengaji Quran, mereka mesti tentang sekiranya orang tua itu berniat tidak baik terhadap mereka berdua beradik.
Setelah berpesan demikian pada adiknya, Aki Dahuk pun keluar semula mendapatkan Pak Sogok sambil membawakan tepak sirih. Pada mata kacip diletaknya kunyit seperti pernah dikatakan oleh Pak Sogok kepadanya. Apabila dia menghulurkan tepak sirih tadi Pak Sogok mengerutkan dahi bila tepandang kunyit terselit di celah kacip.
“Kacip gunakan mengacip pinang, bukan kunyit...” Pak Sogok macam memarahi dia.
Cepat-cepat Aki Dahuk mengambil kacip itu lalu dijatuhkannya ke bawah rumah.
“Ah jatuh pula..” rungut Aki Dahuk. “Biar saya ambil kacip di bawah Pak Sogok” katanya tergesa-gesa turun ke tanah.
Apabila sampai di bawah rumah memang benar seperti yang dikatakan oleh Pak Sogok kepadanya petua begitulah boleh nampak tanda-tanda harimau jadian tersebut. Dia sengaja duduk di lantai berlubang bagi menghulurkan ekornya ke bawah. Hanya dengan meletakkan kunyit pada mata kacip saja ekor harimau boleh kelihatan.
Setelah melihat ekor Pak Sogok terjulur panjang sampai kebawah, Aki Dahuk melilitkan ekor tersebut ke tiang. Dia memegang ekor tersebut sambil dililitkan ke tiang sekukuh-kukuhnya . Apabila diagaknya Pak Sogok tidak boleh bergerak lagi akibat ekornya sudah dibelit kukuh ke tiang dia pun melaung dari bawah, “Dik, bawakan kopi untuk Pak Sogok....”
Sebaik saja Nenek Bek mendengar isyarat dari abangnya dia pun meluru keluar membawa antan pengemping. Ketika dia sampai terkejut dia melihat kepala Pak Sogok sudah bertukar menjadi harimau, walaupun badannya masih lagi seperti manusia biasa.
“Pukul dik, pukul...! “ laung Aki Dahuk mengingatkan adiknya supaya segera bertindak.
Tidak bercakap sepatah pun Nenek Bek pun memukul antan pengemping itu ke kepala harimau jadian. Dia memukul bertalu-talu. Walaupun pukulannya tidaklah kuat, tetapi telah melemahkan kekuatan harimau jadian tersebut. Jeritan dan laungan Aki Dahuk memang boleh kedengaran sampai ke rumah Pak Sogok, sekali pun terlindung oleh belukar senduduk.
Dalam masa Nenek Bek memukul harimau jadian dengan antan pengemping, Aki Dahuk terus memegangkan ekornya di bawah rumah. Harimau jadian itu tidak dapat bergerak, mahu pun melompat kerana ekornya sudah terlilit kukuh pada tiang.
DAlam keadaan jerit pekik inilah Nenek Bek tergamam kerana tiba-tiba sahaja Pak Sogok muncul di muka pintu. Pak Sogok terkejut melihat keberanian budak dua beradik itu menghadapi suasana demikian. Cepat-cepat Pak Sogok mencapai antan pada tangan Nenek Bek, lantas dipukulnya sekuat hati ke kepala harmau jadian tersebut. Kemudian dia meradakkan antan tersebut ke dada harimau jadian itu seperti menombak. Antan tersebut menembusi dada harimau jadian.
‘”Cukuplah Dahuk, naiklah...” kata Pak Sogok.
Alangkah terkejutnya Aki Dahuk bila melihat Pak Sogok tercegat di samping adiknya, sedangkan harimau jadian itu terkulai mati diradak oleh Pak Sogok dengan antan pengemping. Aki Dahuk pun menceritakan semua yang terjadi pada Pak Sogok.
“Nasib baik kau beringat....” jelas Pak Sogok terharu. “Dia telah merupakan dirinya seperti PaK Sogok, jadi tentulah kau berdua akan menyangkanya Pak Sogok,” keluhnya mengenangkan nasib budak-budak seperti Aki Dahuk dan Nenek Bek yang sering ditinggalkan oleh emak dan ayahnya pada waktu malam.
Memang sejak mula kedatangannya Aki Dahuk sudah menduga bukannya Pak Sogok, kerana tidak pernah Pak Sogok menemankan mereka berdua beradik. Lagipun bila masuk waktu Maghrib dia tidak bersembahyang, sedangkan Pak Sogok tidak tinggal waktu sembahyangnya. Mujurlah Aki Dahuk panjang akal walaupun baru berumur 15 tahun. Kalaulah Aki Dahuk terpedaya dengan tipu helahnya, tentu mereka berdua beradik menjdi mangsa.
Malam itu sebuah kampung menjadi gempar dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Terlalu menyesal emak dan ayah Aki Dahuk dengan perbuatannya selalu meninggalkan anak-anak pada waktu malam. Sejak itu tidak berani lagi dia meninggalkan anak-anaknya. Sementara Pak Sogok pula tidak sia-sialah petua-petua yang diberikan kepada Aki Dahuk selama ini.
Itulah yang saya tahu mengenai harimau jadian yang diceritakan oleh aruah nenek saya. Kebetulan peristiwa itu pula berlaku ke atas akinya sendiri, iaitu ayah kepada emaknya.

Sekarang pulalah saya mendengar cerita mengenai jadi-jadian anjing ini. Apakah cara sihir yang digunakan itu sama tidaklah saya tahu, tetapi ternyata kisah orang berkepala anjing ini merebak beberapa kali di beberapa tempat pula.
Saya dan Mat Sitam masih berbual-bual lagi di rumah Ngah Jamat, seorang wanita datang memanggil Ngah Jamat dalam keadaan cemas. Isteri Ngah Jamat keluar bertanyakan pada wanita itu sesuatu. Kemudian dai pergi semula dengan tidak menemui Ngah Jamat.
“Saidon sakit balik...” Mak Ripah memberitahu suaminya Ngah Jamat,”.
“Hem, macam-macam hal,” keluh Ngah Jamat lalu mencapai celepa rokok daunnya. Dia mengambil sebatang rokok daun yang siap digulung. “Elok lepas Asar pergi tengok budak tu...” ujar Ngah Jamat menghisap rokoknya terlebih dahulu.
Asar belumlah masuk lagi. Sengaja dia menunggu Asar masuk sebelum pergi ke rumah Saidon yang dicakapkan oleh Mak Ripah tadi. Saya rasa itulah peluang bagi saya untuk melihat sendiri Ngah Jamat mengubati orang sakit. Oleh itu saya juga mengajak Mat Sitam sama-sama melihat Saidon sebaik saja selepas Asar. Ngah Jamat juga tidaklah membantah keinginan saya untuk sama-sama ke rumah Saidon.
“Apa sakitnya abang Saidon tu Ngah?” tanya Mat Sitam.
“Emmmm, dah lama dia sakit....” beritahu Ngah Jamat perlahan. “Sakit mendatang-datang macam ada orang membela,” keluhnya bila mengenang sakit yang dihidapi oleh Saidon.
“Sakit apa?” ulangi Mat Sitam.
“Nak kata gila, tak gila....” sahut Mak Ripah yang baru duduk bertimpuh di pintu induk rumah. “Tapi cakapnya merepek aje. Tapi bila elok, dilayannya kita bercakap. Tau dia apa yang dicakapkannya,” kata Mak Ripah lagi.
“Itulah bila penyakitnya datang, mengamuk dia...” jelas Ngah Jamat.
Selepas Asar kami pun pergi ke rumah Saidon. Wanita yang menjemput Ngah Jamat tadi ialah isterinya, dia yang mempelawa kami naik, saya lihat Saidon duduk berlunjur kaki sambil merungut-rungut tidak tentu biji butir. Seluruh badannya kelihatan berkudis. Malah kulit kepalanya juga berkerak-kerak dengan kuping kudis menyebabkan rambutnya luruh.
Isterinya Lijah memberitahu, Saidon baru saja berhenti mengamuk. Habis pinggan dan mangkok dilemparkannya ke tanah. Dia mengamuk tidak tentu fasal. Tiba-tiba saja dia bertempik, maka mengamuklah dia. Mujurlah dia tidak mencederakan anak isterinya.
Sudah berkali-kali berubat dengan Ngah Jamat. Setelah berubat dia sering melanggar pantang Ngah Jamat. Sebaik saja sakitnya sembuh Ngah Jamat melarang dia memakan daging. Bila dia memakan dagang, kudis akan tumbuh seluruh tubuhnya. Semakin lama kudis akan merebak cepat ke seluruh badan. Semakin diubat semakin cepat merebaknya. Tidak sampai satu hari kudis berkenaan akan menjalar sampai ke kepala hingga bernanah.
“Tak diberi makan daging, kadangkala mencuri-curi dia makan di rumah orang kenduri...” jelas Lijah kesedihan dengan penyakit yang menimpa suaminya.
“Hemmm... mati akal aku dibuatnya,” keluh Ngah Jamat.
Lama dia termenung memikirkan cara mana mahu mengubati Saidon. Kalau sekadar kudis atau tokah saja, dia tidak hiraukan sangat. Dia boleh nasihatkan Lijah bawa saja Saidon ke hospital di Temerloh. Tetapi Saidon bukan menderita kudis seluruh badan saja, tetapi merepek tidak tentu biji butir.
Ada juga seorang cik gu yang mengajar di kampung itu memberitahu mungkin kerana tekanan jiwa akibat kudis di seluruh badan itulah yang menyebabkan Saidon merepek-repek. Cikgu itu nasihatkan Lijah membawa Saidon berubat ke hospital. Bagaimanapun doktor hanya memberi ubat untuk disapu serta pil cukup untuk kegunaan seminggu.
Anehnya sebaik saja Saidon memakan pil , kudis akan cepat merebak. Tubuhnya akan ditumbuhi ruam merah berbintik-bintik. Apabila digaru kulitnya akan reput terkoyak. Semakin disapu ubat gatal itu, kudis dikulitnya akan cepat mengangkut nanah.
“Berapa lama sakit abang Saidon ni?” tanya saya.
“Dah dua tiga tahun...” beritahu Lijah.
“Tak cuba orang lain mengubatnya selain dari Ngah Jamat ?” tanya saya lagi.
Lijah terdiam. Serba salah dia mahu menjawap soalan saya itu. Mungkin dia merasa Ngah Jamat akan tersinggung kerana gagal mengubati suaminya.
“Baru dua tiga kali berubat dengan Ngah Jamat...” akhirnya dia menjelaskan. “Sebelum tu berubat dengan orang lain,” katanya menunduk menahan perasaan sedih.
“Berubat ni ikut rasi....” ujar Ngah Jamat perlahan. “Bukan kira dukun besar atau dukun kecil. Kalau rasi ubatnya, orang tak dukun pun boleh mengubat,” katanya lagi.
Lijah tidak menyahut. Dia serba salah juga mahu mengambil Ngah Jamat pada mulanya, kerana tidak dibenarkan oleh Saidon. Dia  suka Bomoh Mat Teda mengubatnya. Bomoh Mat Teda memang sudah terbilang kehandalannya. Setelah Bomoh Mat Teda sendiri tidak sanggup mengubatnya, barulah dia membenarkan Lijah mencari dukun lain.
Setelah baik di ubat oleh Ngah Jamat, dia sendiri pula buat silap. Dia makan gulai daging di rumah orang kenduri, pada halnya sudah dipantangkan supaya jangan menjamah daging. Sejak itu penyakitnya datang semula. Sudah beberpa kali dicuba oleh Ngah Jamat tidak juga mahu sembuh.
Saya bisikkan pada Ngah Jamat supaya mencuba pada Ulung Bahar di Lancang.
“Itulah, Lancang tu jauh sangat....” rungut Lijah bila Ngah Jamat mencadangkan supaya dijemput Ulung Bahar.
“Ini bukan soal jauh,” balas Ngah Jamat. “Orang tu berubat sampai ke England pun tak terasa jauhnya...” ujarnya mengingatkan Lijah.
“Kalau mahu, biar saya jemput,” sahut Mat Sitam pula memberi pengakuan.
“Eloklah tu, Sitam pun ada kereta,” kata Ngah Jamat.
Sebelumnya sudah saya bisikkan pada Ngah Jamat mengapa pula dipantangkan Saidon tidak boleh memakan daging, sedangkan di dalam pengubatan Islam tidak ada pantang larangnya. Tetapi Ngah Jamat memberitahu dokter yang memantangkan Saidon tidak boleh memakan daging kerana kudisnya itu dipercayai kudis buta. Daging itu jenis makanan panas jadi memudahkan lagi kudis buta itu merebak.
Akhirnya Lijah bersetuju supaya Ulung Bahar dijemput dari Lancang kira-kira 20 batu dari situ. Saya dan Mat Sitam akan menjemputnya kerana saya tahu rumah Ulung Bahar. Sebaik saja saya dan Mat Sitam mahu beredar dari situ, tiba-tiba Saidon melompat. Dia menendang dinding rumah sambil menumbuknya bertalu-talu.
Dia tidak bercakap sepatah pun. Dari mukanya yang bengis saya tahu dia terlalu marah dengan keputusan isterinya Lijah mahu menjemput Ulung Bahar. Kakinya terus menendang-nendang dinding sekuat hati.
Bersambung di MENGAPA TUBUHNYA JADI REPUT