Jalan masuk ke kampung kecil
iaitu kampung asal nenek saya masih tanah merah, hanya sebatu dari pekan kecil
di luar saja diturap minyak tar. Apabila masuk ke dalam sedikit, di situlah
dikenali oleh orang-orang kampung sebagai Bukit Merah.
Sebenarnya Bukit Merah itu
bukanlah bukit betul cuma jalannya saja mendaki tinggi sedikit. Disebabkan
jalan itu masih tanah merah maka semua orang-orang di kampung itu
mengelarkannya Bukit Merah. Orang orang kampung terpaksa keluar ke jalan besar
untuk menunggu bas, atau mahu ke bandar dengan berjalan kaki atau menunggang
basikal sejauh lebih tiga batu.
Bas pula hingga 6.00 petang
saja melintasi di situ. Oleh itu kebanyakan penduduk-penduduk kampung yang
dianggarkan 50 kelamin saja itu akan menunggang basikal saja sampai ke simpang
di jalan besar. Kemudian mereka tumpangkan basikal di rumah Kandayah seorang
India pekerja estate, dan menunggu bas di situ.
Sementara pekan kecil yang
berhampiran dari rumah Kandayah itu sejauh 2 batu. Kadangkala kalau mereka mahu
balik malam sedikit, mereka akan terus menunggang basikal ke pekan kecil sejauh
2 batu itu. Sebelah malam memang tidak ada bas lagi, malah teksi sapu pun tidak
mahu lagi mengambil penumpang kalau sudah lebih dari jam enam petang.
Disebabkan sudah lama tidak
balik ke kampung asal nenek saya, maka saya telah mengikut sepupu saya ke sana.
Ingin juga saya hendak bertemu dengan Pak Andak Deraoh, kerana lama saya tidak
bertemu muka dengannya. Maklum saja bila sudah duduk berjauhan memang jarang
dapat berjumpa muka.
Di sekitar kawasan Bukit
Merah itulah mengikut kata Jani, dua pupu saya itu, selalu orang bertemu dengan
lembaga tidak berkepala. Kononnya disitulah askar-askar Jepun memancung leher
mangsanya dengan menyuruh mangsanya itu menggali lubang terlebih dahulu.
Selepas dipancung mangsanya itu ditolak ke dalam lubang tersebut. Orang-orang
kampung percaya mungkin lembaga yang kelihatan itu adalah jelmaan dari
mangsa-mangsa pembunuhan askar Jepun.
“Adakah lembaga-lembaga itu
menganggu ?” saya bertanya kepada Jani semasa melalui jalan Bukit Merah itu.
“Ada juga” jelas Jani antara
percaya dengan tidak.
“Kadangkala dia menumpang
naik basikal” ujarnya kelihatan gelisah sedikit walaupun sebenarnya kami berada
di dalam kereta. Jani yang memandu kereta tersebut.
“Kau pernah kena ganggu?”
soal saya mahu menduganya.
“Aku tak pernah pula bertemu
lembaga itu” dia memberitahu.
“Maukah kau jumpa?” saya
tersenyum mengusiknya.
“Buat apa” Jani
tersengih-sengih mengerling ke arah saya. Isterinya yan duduk di belakang
ketawa kecil mendengar jawapan Jani.
Sehinggalah kami melepasi
Bukit Merah itu tidak ada pula bersua dengan lembaga tidak berkepala itu. Saya
pun sma seperti Jani tidak mahu bertemu makhluk-makhluk macam ini, tetapi saya
tidak akan berundur kalau sudah terserempak.
Kira-kira jam 9.30 malam
kami sampai ke rumah Pak Andak Deraoh. Dia pun terperanjat melihat saya, kerana
selama ini cuma dua kali dia bertemu saya. Itu pun ketika saya masih kecil.
Ketika Jani melangsungkan perkahwinan saya tidak dapat hadhir, kerana kebetulan
saya pergi Mekah menunaikan umrah. Sebab itulah saya bersetuju mengikut Jani
balik, bukan sebabkan tidak datang semasa Jani berkahwin, tetapi kerana mahu
berjumpa dengan Pak Andak Deraoh.
Sebenarnya, pak Andak Deraoh
ini Cuma sepupu emak saya, iaitu emak Pak Andak Deraoh itu adik nenek saya.
Disebabkan duduk berjauhan maka persaudaraan juga terasa macam berjauhan kerana
jarang berjumpa. Bagaimanapun saya selalu mengirim surat kepada Pak Andak
Deraoh. Malah setiap menjelang hari raya saya tetap mengirimkan kad hari raya.
Cuma untuk datang menziarahinya memanglah sukar, kerana saya disamping balik ke
kampung sendiri terpaksa pula seminggu kemudiannya ke kampung isteri saya pula
di Perak.
Masaalah kesuntukan masa
juga menjadi sebab utama mengapa saya tidak dapat menziarahi Pak Andak Deraoh
saya ini.
“Pak Andak ini selalu
uzur.....” beritahu Pak Andak Deraoh sebaik saja bertemu muka.“Jengok-jengoklah
Pak Andak ni selalu, orang tua macam daun nyiur tua, bila bila boleh luruh ke
tanah” katanya tersenyum.
Saya hanya menganggukkan
kepala saja.
“Mengapa tak bawa isteri kau
sekali?” Mak Andak Nah pula bertanya.
“Insya Allah lain kali
datang lagi” saya menjelaskan.
Sebenarnya bukanlah saya
tidak mahu membawa isteri dan anak-anak menziarah sanak saudara. Tetapi saya
tidak mempunyai kenderaan sendiri tentulah sukar mahu berjalan jauh seperti di
Pahang ini dari Kuala Lumpur. Sebab itu lebih baik saya seorang diri saja menziarahi
terlebih dahulu. Lain kali apabila sudah tahu tempat yang hendak di tuju, boleh
saya membawa anak isteri bersama.
Kedatangan saya menziarahi
Pak Andak Deraoh juga adalah disebabkan cerita Jani mengenai Bukit Merah itu.
Saya tidaklah tertarik dengan kisah orang-orang kampung bertemu lembaga tidak
berkepala di Bukit Merah, tetapi mahu mendengar cerita Pak Andak Deraoh tentang
sanak saudara saya di Pahang.
“Ulung Bahar duduk di
Lancang...” dia menerangkan sambil mengerling ke arah saya.
“Pak Andak dengar selalu kau
ke sana, maklumlah Ulung Bahar tu banyak tahunya. Lainlah macam Pak Andak ni,
orang tua tak berguna” katanya macam menyindir saya.
Saya hanya tersengih-sengih
saja mendengar sindirin tersebut. Memang saya sedar, sudah beberapa kali saya
menemui Ulung Bahar di Lancang tetapi tidak pernah datang menemui Pak Andak
Deraoh.
Bagaimanapun Pak Andak
Deraoh tidaklah kurang hebat mengenai cerita dirinya dari Ulung Bahar. Saya
tidak datang menemui dia bukanlah disebabkan kelebihan yang ada pada Ulung
Bahar, sebaliknya setelah bertemu dengan Jani inilah baru terkenang saya pada
Pak Andak Deraoh. Sebelumnya saya tidak tahu dimana dia tinggal, kerana dia
pernah tinggal di Kelantan semasa bekerja di sana. Mak Andak Nah itu, ialah
isterinya yang keempat.
Esoknya barulah saya
berkesempatan mendengar cerita mengenai lembaga tidak berkepala di Bukit Merah
itu. Kisahnya samalah seperti yang diceritakan oleh Jani kepada saya iaitu
disitulah askar Jepun memancung leher mangsanya.
Pak Andak Deraoh sendiri mengalami
kejadian bertemu dengan lembaga tersebut. Kisahnya bermula ketika dia balik
dari pekan kecil kira-kira jam 10.30 malam melintasi jalan di Bukit Merah itu.
Disebabkan jalan di situ mendaki Pak Andak Deraoh terpaksalah turun menolak
basikalnya.
Malam itu bulan samar-samar
dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pak Andak Deraoh tidak merasa takut
melintasi jalan tersebut kerana dia memang sudah biasa balik malam dari pekan
kecil di luar. Pada mulanya dia menunggu kalau ada kawan-kawan yang mahu balik sama,
tetapi sehingga jam 10.00 malam tidak ada orang dari kampung yang ternampak di
pekan kecil itu, mahu tak mahu terpaksalah Pak Andak Deraoh balik bersendirian.
Jalan masuk ke kampung dari
jalan besar memang gelap kerana pohon-pohon getah di kiri kanan jalan
melindungi cahaya bulan yang samar-samar. Keadaan sekitarnya mulai sunyi sepi
kerana tidak ada kenderaan yang lain masuk ke kampung tersebut. Hanya
kedengaran bunyi cengkerik mengiang-ngiang yang meremangkan bulu roma.
Tetapi Pak Andak Deraoh
tidak merasa bimbang apa-apa. Dia sendiri tidak hiraukan sangat tentang cerita
orang-orang kampung yang pernah bertemu lembaga tidak berkepala di Bukit Merah.
Sehinggalah dia turun menyorong basikalnya Pak Andak Deraoh tidak teringat
langsung mengenai lembaga berkenaan.
“Tiba-tiba Pak Andak rasa
basikal Pak Andak macam ditolak orang dari belakang” ujarnya sambil
mengingat-ngingat semula peristiwa yang menimpanya pada malam tersebut.
Mula-mulanya dia tidak
hiraukan sangat, tetapi apabila sampai di pertengahan bukit Pan Andak Deaoh
menoleh ke belakang. Hatinya sekaligus berdebar melihat satu lembaga hitam
tidak berkepala menolak basikalnya. Dia cuba melawan ketakutan yang mula
menganggu fikirannya. Mujurlah Pak Andak Deraoh tidak cepat panik menghadapi
keadaan demikian.
“Terima kasihlah datuk
kerana menolong anak cucu.....” dia memberanikan diri menegur lembaga tidak
berkepala itu.
Lembaga itu tidak menyahut.
Dia terus menolak basikal Pak Andak Deraoh dari belakang. Serba salah juga Pak
Andak Deraoh mahu bertindak. Kalau dia cepat-cepat berjalan meninggalkan
lembaga itu boleh jadi juga lembaga berkenaan akan memintas di sebelah depan.
Pak Andak Deraoh sudah
mendengar sebelumnya bagaimana Leman Dibab dipintas oleh lembaga berkenaan.
Disebabkan Leman Dibab terkejut basikalnya ditolak dari belakang, dia telah
menyorong basikalnya dengan berlari kuat-kuat. Tiba-tiba lembaga berkenaan tercegat
didepannya menahan basikal Leman Dibab menyebabkan dia terhumban ke tepi parit
jalan.
Nasib baik tidak lama lepas
kejadian tersebut Jaamat dan Mat Noh lalu di situ. Mereka terserempak dengan
Leman Dibab terbaring di tepi jalan tidak sedarkan diri. Mereka berdualah
mengusung Leman Dibab balik. Tiga hari Leman Dibab tidak sedarkan diri.
Isteri Leman Dibab memanggil
Tok Andak Deraoh menubati suaminya. Memang Pak Andak Deraoh sudah mengetahui
bahawa Leman Dibab diganggu oleh makhluk halus di Bukit Merah. Makhluk halus
ini pula adalah berpunca dari kejadian membunuh orang-orang yang disyaki
menentang Jepun berberapa tahun dulu.
Setelah sembuh dari tidak
sedarkan diri barulah Leman Dibab menceritakan apa yang dilihatnya di Bukit
Merah. Dia melihat dengan mata kepalanya sendiri lembaga tidak berkepala itu
memintas jalannya. Lembaga itu tidaklah mengganggunya, Cuma dia merintih minta
tolong.
“Haiya, gua manyak sejuk,
tlong sama gua.....” rintih lembaga itu . Suaranya bergaung jauh tetapi jelas
dapat didengar oleh Leman Dibab.
Leman Dibab cuba melepaskan
penumbuk. Setiap kali penumbuk dihalakannya ke arah dada lembaga tersebut,
setiap kali juga penumbuknya debus menyinggah angin. Akhirnya dia merasakan
pipinya ditampar kuat.
“Cilaka lu, gua mali minta
tolong, tapi lu mau hantam sama gua!” herdik lembaga itu keras.
Selepas itu sekali lagi
Leman Dibab menerima tamparan keras sehingga dia terhumban ke tepi parit jalan.
Dia tidak dpat lagi bangun menentang lembaga yang tidak berkepala itu. Tidak
lama kemudian dia mendapati dirinya berada di tengah-tengah kumpulan manusia
yang tidak berkepala.
Mereka semua mengelilingi
Leman Dibab merayu-rayu minta tolong. Ini menyebabkan Leman Dibab bertambah
takut kerana dia tidak tahu apa harus dibuat. Mahu juga dia melarikan diri dari
kepungan lembaga-lembaga tidak berkepala itu, tetapi dia mendapati dirinya
terkurung dalam jurang yang dalam.
“Gua punya leher manyak
sakit looo” rintih salah satu lembaga menghampiri Leman Dibab.
“Tolong sama gua, tolong
kasi lepas sama gua,” Leman Dibab meminta belas kasihan supaya dia dibebaskan.
“Apa macam gua mahu tolong
sama lu, gua punya kepala pun tatak,” herdik satu lembaga bertubuh besar
memegang bahu Leman Dibab. “Lu patut mesti tolong sama gua,” katanya lebih
keras.
“Gua tak boleh tolong, gua
tak boleh tolong,” ujar Leman Dibab ketakutan.
“Apa pasal lu tak boleh
tolong?” lembaga bertubuh besar itu kelihatan marah.
“Apa macam mahu tolong
............” Leman Dibab memberanikan hatinya.
“Kasi balik gua punya
kepala,” kata lembaga itu.
Leman Dibab kebingungan.
Bagaimana dia boleh memberikan lembaga-lembaga berkenaan kepala? Kalau tidak
dpat memberikan kepala apa pula tindakan yang akan dilakukan oleh
lembaga-lembaga berkenaan terhadap dirinya.
Dalam masa kebingungan
inilah dia mendapati dirinya ditarik oleh Jaamat dan Mat Nohdari dalam jurang.
Tetapi lembaga-lembaga tidak berkepala itu semuanya mengekori dia ke mana saja
dibawa oleh Jaamat dan mat Noh. Hanya selepas kedatangan Pak Andak Deraoh
barulah lembaga itu melepaskan dia pergi. Hinggalah dia sedar semula, Leman
Dibab masih kelihatan takut-takut walaupun dia tahu dirinya berada di rumahnya
sendiri.
Apa yang dialami oleh Leman
Dibab pernah juga berlaku pada beberapa orang Cina penoreh getah yang melintasi
Bukit Merah jam 5.00 pagi. Kata penoreh-penoreh getah itu, lembaga-lembaga
tidak berkepala itu bercakap dengan mereka dalam bahasa Cina loghat Khek.
Oleh itu Pak Andak Deraoh
tidaklah merasa bimbang bila menghadapi kejadian yang menimpanya pada malam itu
di Bukit Merah. Dia sudah menduga bahawa yang menganggunya memang
makhluk-makhluk halus yang berkeliaran disitu akibat pembunuhan mangsa perang
Jepun dulu. Makhluk-makhluk halus ini juga adalah makhluk Allah, Cuma mereka
tidak mempunyai jasad lengkap yang boleh ujud pada mata kasar.
“Haiya gua punya leher
manyak pedih looo” ujar lembaga itu perlahan.
“Apa fasal datuk punya leher
banyak pedih?” Pak Andak Deraoh sengaja bertanya demikian.
“Oooo, itu orang tatak akai
potong gua punya kepala,” jelas lembaga itu merintih-rintih kesakitan. “Tolong
kasi laaa gua punya kepala.” Ujarnya macam terdesak.
“Apa macam cucu mau kasi
datuk punya kepala,” Pak Andak Deraoh mencari helah. Dia tahu kepala yang
dituntut oleh lembaga itu bukanlah kepala sebarangan. Dari pengalamannya ketika
mengubat Leman Dibab, kepala yang dituntut oleh lembaga itu adalah kepalanya
sendiri.
Sampai di pertengahan bukit
mendaki tegak, lembaga itu terus naik ke atas basikal Pak Andak Deraoh.
Berdebar juga hati Pak Andak Deraoh kerana serba salah mahu bertindak. Kalau
dilepaskan basikal tersebut, bimbang uaga dia kala lembaga itu menerkam ke
arahnya. Tetapi kalau dibiarkan saja, terasa berat pula mahu menyorong basikal
mendaki bukit tersebut.
“Kasilah gua punya kepala,”
desak lembaga tidak berkepala itu lagi.
“Itu kepala Jepun sudah
angkat, datuk carilah sama Jepun,” kata Pak Andak Deraoh mencari helah lagi.
“Haiya, gua punya leher
manyak pedih,” lembaga tidak berkepala itu tiba-tiba menarik basikal yang
disorong oleh Pak Andak Deraoh.
“Bukan cucu punya salah, itu
Jepun punya salah!” suara Pak Andak mulai keras setelah didapatinya lembaga
tidak berkepala itu terus juga tidak mahu melepaskan dia.
“Lu jangan tipu, “ herdik
lembaga itu menampar basikal Pak Andak Deraoh. “Sekarang gua mau kepala, gua
mau kepala, atak atau tatak!” dia menyentap basikal Pak Andak Deraoh lalu
dilimparkannya ke tebing jalan.
Di peringkat ini Pak Andak
Deraoh tidak dapat bersabar lagi. Nampaknya lembaga itu benar-benar mahu
mencabar dia. Biasanya makhluk-makhluk halus demikian kalau dipujuk secara
lembut ianya cepat mengalah. Tetapi berlainan pula dengan kejadian yang menimpa
dirinya di Bukit Merah.
“Sekarang kau yang nak cari
geruh aku, bukannya aku yang minta,” Pak Andak Deraoh mengertap bibir.
“Aku tak akan berundur,
membujur lalu melintang patah!”jerkahnya sambil mengenggam penumbuk dan
ditaupkannya ke pusat.
Ketika itu dia melihat
lembaga tidak berkepala itu bukannya bersendirian, terlalu ramai mengelilingi
dia. Semua lembaga itu menghampiri dia sambil menghulur tangan mengancam
dirinya. Mereka berjalan terhuyung-hayang bagaikan dalam keadaan kesakitan. Pak
Andak Deraoh tidak berganjak dari tempatnya berdiri menunggu kemaraan
lembaga-lembaga berkenaan.
Dia menguatkan zikirnya
hingga terasa seluruh urat sarafnya ikut sama berzikir. Terasa denyut
jantungnya ikut sama berzikir hingga bergema dan bergaung memukul ke segenap
bukit di sekeliling kampung. Pak Andak Deraoh berdiri tegak tidak bergerak pada
penglihatan zahir, tetpi jiwanya terus berzikir menyebut nama Allah.
Lembaga-lembaga tidak
berkepala cuba merapati dirinya tiba-tiba saja terpelanting bagaikan sampah
sarap ditolak angin kencang. Setiap kali mereka terpelanting mereka bangun
semula sambil menjerit-jerit kesakitan.
“Lu tipu sama gua, lu tipu
sama gua!” pekik lembaga itu marah.
“Sekarang, kalau awak tak
mahu pergi, gua hantam lagi,” kata Pak Andak Deraoh mengancam.
“Mana gua punya kepala?”
desak lembaga bertubuh besar bercekak pinggang jauh sedikit dari Pak Andak
Deraoh.
“Ini lu punya kepala,” ujar
Pak Andak Deraoh macam melemparkan sesuatu dari genggamannya ke arah lembaga
itu sambil membaca:
Hazihi jahanamullati kuntum
tu ‘adun.
Pak Andak Deraoh dapat melihat
sebutir bola api menerjah ke dada lembaga itu menyebabkan ia terpekik meminta
tolong. Seluruh tubuh lembaga berkenaan terbakar dalam api yang membara dari
bola api tersebut.
“Ampun, ampun latuk, ampun
latuk,” rayunya terketar-ketar meminta belas kasihan.
Lembaga yang terbakar itu
tergolek-golek ke bawah bukit dengan jeritan yang mengerikan. Walaupun demikian
bukanlah bermakna lembaga-lembaga yang lain berundur. Sebaliknya mereka semakin
ramai mengelilingi Pak Andak Deraoh. Namun Pak Andak Deraoh tetap tenang
menghadapi gangguan yang tiba-tiba saja menjelma di depannya.
“Sekarang awak sengaja nak
cari geruh aku ye?” dia mengertap bibir geram. Kemudian perlahan-lahan
membacakan:
Innahu Min Sulaiman Wainnahu
Bismillah Hirrahmannirrahim
Dengan jelas Pak Andak
Deraoh melihat rantai-rantai besar membelengu kaki lembaga-lembaga berkenaan.
Kemudian dia membaca Al- Fatihah sambil menghembus ke arah lembaga-lembaga itu
menyebabkan semua lembaga itu berterbangan seperti sampah sarap dilanda ribut.
Sekaligus dia mendengar jerit pekik meminta tolong dari bawah bukit.
Setelah merasakan tidak ada
lagi gangguan Pak Andak Deraoh pun mencapai semula basikalnya yang dilimparkan
ke tebing jalan. Cepat-cepat dia menunggang basikalnya balik ke rumah dengan
tidak menoleh-noleh lagi ke belakang. Tetapi Pak Andak Deraoh tidak pernah
menceritakan peritiwa itu kepada sesiapa pun kecuali kepada Mak Andak Nah saja.
Selepas itu jaranglah orang
diganggu lembaga-lembaga tidak berkepala di Bukit Merah. Penoreh-penoreh getah
cina yang melalui jalan Bukit Merah itu setiap pagi juga tidak lagi heboh
dengan lembaga berkenaan.Mereka juga sudah mulai berani berseorangan saja
melalui jalan tersebut, kalau tidak sebelumnya mereka pergi menoreh terpaksa
menunggu kawan-kawan untuk pergi bersama.
Hanya sekali sekali saja
lembaga tidak berkepala itu muncul, tetapi rintihannya lebih mengerunkan
meminta tolong. Di samping itu terdengar pula bunyi dering derang rantai diheret
oleh kaki. Kadangkala tidak pula terserempak dengan lembaga-lembaga tersebut,
tetapi hanya didengar bunyinya saja merintih-rintih kesejukan atau bunyi derang
dering rantai diheret.
Cerita Pak Andaka Deraoh ini
tidaklah mengherankan saya, kerana tidak mustahil semuanya boleh berlaku. Malah
ayat-ayat yang digunakan oleh Pak Andak Deraoh seperti yang diterangkannya
kepada saya itu, sama seperti yang diberitahu oleh Tok Aji kepada saya. Dan
ayat-ayat yang dikatakannya itu bukanlah asing kepada saya.
“Sekarang masih ada lagi
orang berjumpa dengan lembaga itu?” soal saya setelah mendengar cerita dari Pak
Andak Deraoh.
“Ada juga sekali sekala,”
jelasnya memberitahu.
“Sekali sekala macam mana tu
?” saya bertanya lagi.
“Setahun sekali pun jarang
orang berjumpa,” kata Pak Andak Deraoh perlahan.
Memang makhluk-makhluk halus
seperti ini tidak akan berani mengganggu kalau manusia tidak lemah semangat.
Tetapi kuat semangat saja tidak akan memberi kesan kalau tidak berupaya
menentangnya. Hanya ayat-ayat Allah saja yang digeruni oleh makhluk-makhluk
halus ini, kerana ayat-ayat Allah adalah menembusi pandangan yang tidak dapat
dilihat oleh pancaindera.
Pak Andak Deraoh
menceritakan bagaimana dalam masa pemerintahan Jepun, ramai orang-orang Cina
yang tinggal di kampung dekat Bukit Merah ditangkap atas tuduhan menentang
Jepun. Mereka diheret ke Bukit Merah itu dengan dipaksa mengali parit dalam di
pinggir bukit. Setelah itu mereka dipaksa membongkok, dan terus di pancung oleh
askar-askar Jepun. Mayat mereka dibiarkan saja di dalam parit itu dengan tidak
dikambus.
Pernah Pak Andak Deraoh
sendiri melihat kejadia ngeri itu semasa dia balik dari kedai di pekan kecil.
“Masa itu agak-agak dalam
pukul 11.00 pagi.” Kata Pak Andak Deraoh mengingat-ngingat semula kenanagan
lama. Ketika itu Pak Andak Deraoh masih muda lagi, tentulah gerun dan cemas
melihat kejadian seperti ini.
“Pak Andak kenal sangat Cina
tu, namanya Ah Keong, buka kedai basikal di pekan”ujarnya.
Semasa dia menyorong basikal
mendaki jalan di Bukit Merah itu dilihatnya ramai askar-askar Jepun. Beberapa
orang Cina mungkin saudara-saudara Ah Keong ada di situ, masing-masing menangis
saja tidak berani mahu melawan. Pak Andak Deraoh terpaksa mengangguk- ngangguk
kepala di depan askar-askar Jepun takut kena tempeleng.
Niat di hatinya mahu mahu
terus saja balik ke rumah, tetapi disuruh berhenti di seberang jalan. Tidak
lama kemudian seorang askar Jepun menyuruh beberapa orang lagi Cina dibawa ke
situ dengan lori. Ada seorang Melayu dilihat oleh Pak Andak Deraoh tetapi tidak
dikenali oleh Pak Andak Deraoh.
Di depan Pak Andak Deraoh
itulah oarang-orang tawanan itu dipancung. Setelah selesai upacara memancung
itu barulah askar-askar Jepun membenarkan orang orang yang melihat kejadian itu
bersurai. Askar-askar Jepun seolah-olah sengaja menyuruh mereka melihat
bagaimana tindakan yang dilakukan sekiranya berani menentang pemerintahan
Jepun.
Selepas melihat kejadian itu
Pak Andak Deraoh terus balik ke rumah dalam ketakutan. Dua minggu lamanya dia
jatuh sakit terigau-igau melihat askar Jepun memancung leher Ah Keong.
“Itulah puncanya Bukit Merah
tu ada gangguan,” beritahu Pak Andak Deraoh seterusnya.