Mula-mula ke kampung selepas lama merantau di
Kelantan, Pak Andak Deraoh memang suka ke hutan berburu. Kadangkala merungut
juga Mak Andak Nah, tetapi Pak Andak Deraoh bukanlah orang yang boleh dihalang.
Apabila dia pulang dengan membawa hasil buruannya, Mak Andak Nah juga ikut sama
gembira. Hilanglah marahnya bila melihat Pak Andak Deraoh balik dengan membawa
pelanduk, kijang atau napuh.
Jaamat dan Mat Noh akan mengikut dia. Kadangkala Leman Dibab juga ikut.
Tetapi Jaamatlah yang selalu diajaknya.
Demikianlah pada satu malam Pak Andak Deraoh
mengajak Jaamat dan Mat Noh mengendap
pelanduk. Pak Andak Deraoh memang tahu di mana pelanduk selalu berkeliaran
mencari daun ludai. Malam itu nasib mereka agak malang kerana tersalah jalan.
Jaamat yang selalu masuk ke hutan mencari manau dan damar pun hilang pedoman
jalan. Puas mereka menyusur lereng bukit, menuruni lurah dan meredah belukar
puar yang padat, tetapi masih juga tidak bertemu dengan jalan pulang.
Ketika ini mereka sudah dapat menembak tiga
ekor pelanduk. Selalunya Pak Andak Deraoh tidak mahu menembak banyak binatang
hutan, tetapi memadai untuk makanan mereka saja. Disebabkan mereka pergi
bertiga, maka memadai memburu tiga ekor saja pelanduk. Jarang pula Pak Andak
Deraoh balik dengan tangan kosong.
“Kemana kita ni Pak Andak?” keluh Jaamat
kerana dinihari sudahmula turun embun jantan. Terasa juga dingin udara malam di
tengah hutan rimba yang hanya kelihatan pohon-pohon tinggi. Bayang pohon-pohon
tinggi itu menyebabkan kelilingnya menjadi gelap gelita.
“Jauh rasanya kita berjalan ni,”sahut Mat Noh
pula sambil menggalas buntil berisi daging pelanduk.Bergilir-gilir dia mengalas
dengan Jaamat.
Pak Andak Deraoh tidak menyahut. Dia sendiri
merasa heran kerana tidak pernah pula tersesat di hutan selama ini. Sejak
tinggal di Gua Musang pun memang dia sudah mahir di hutan, tidak pula pernah
dia tersesat. Masakan hutan di kampungnya sendiri dia hilang pedoman.
“Kau kata, kau tau tiap-tiap selekoh hutan
Jaamat?” Mat Noh merasa bimbang juga tidak berjaya mencari jalan balik.
“Entah, aku tak pernah tempuh tempat ini
rasanya.....” beritahu Jaamat serba salah. Matanya liar memerhati kegelapan
malam yang mengerunkan.
“Agaknya jauh kita ni tersesat....” bisik Pak
Andak Deraoh perlahan.
“Entahlah Pak Andak,” sahut Jaamat gelisah.
“Kalau siang hari tau juga aku cari jalan, kalau malam macam ni memang benak
aku,” jelasnya mengakui tidak sanggup mencari jalan untuk balik.
“Jangan cepat putus asa,” Pak Andak Deraoh
mengingatkan dua orang rakannya itu. “Guna akal yang diberi Allah Taala. Dia
yang melindungi dan menolong kita,” katanya mengenggam lampu suluh ubat sambung
enam di tangannya erat-erat.
Dia menyuluh lorong di hadapannya saja.
Sementara matanya tetap melingas ke kiri dan ke kanan. Lorong yang diikutinya
pula semakin lama semakin sebun, seperti tidak pernah ditempuh orang. Berdebar
juga hati Pak Andak Deraoh memikirkan lorong sebun tidak penah ditempuhi orang
itu.
Hutan di Pahang tidak sama dengan hutan di
negeri-negeri lain yang terlepas dari masa berkurung 24 jam di musim darurat.
Bimbang juga dia kalau termasuk dalam kawasan perintah berkurung. Kalau
terserempak anggota pasukan keselamatan pun boleh mengelirukan.
Kalau bertembung dengan hal-hal lain memang
Pak Andak Deraoh tidak takut, kerana semasa di Gua Musang dulu pun sudah
beberapa kali dia diganggu makhluk halus. Malah pernah juga dia terserempak
harimau dan beruang. Semua ini dapat diatasi oleh Pak Andak Deraoh.
Yang membimbangkan dia ialah hutan di Pahang.
Dia bimbang kalau keluar jauh dari kawasan kampung akan termsuk pula dalam
kawasan perintah berkurung. Tentulah membahayakan kalau termasuk di kawasan
perintah berkurung ini. Sebab itulah Pak Andak Deraoh berharap mereka akan
tembus ke jalan raya. Kalau terlepas ke jalan raya, dapatlah diagak ke mana
mereka sampai. Lagipun di jalan raya terlepas dari sebarang kawasan perintah
berkurung.
“Cuba dengar-dengar kalau ada bunyi kereta
lalu,” ujar Pak Andak Deraoh tidak berpaling ke belakang. Dia tidak peduli
samaada Jaamat dan Mat Noh mendengarnya atau tidak. “Kalau ada bunyi kereta
bermakna kita dekat dengan lebuh,” katanya macam memberi arahan.
Jaamat dan Mat Noh hanya mendiamkan diri.
Mereka juga berharap akan sampai ke jalan raya. Biarlah mereka berada jauh dari
kampung akibat tersesat di hutan, asalkan bertemu juga jalan keluar. Dalam
fikiran mereka berdua sama juga seperti Pak Andak Deraoh, iaitu bimbang kalau
termasuk dalam kawasan perintah berkurung.
Tetapi sehingga jam 1.30 pagi mereka bertiga
masih juga tidak dapat mencari jalan keluar. Bunyi deru kereta juga tidak
kedengaran yang menandakan mereka berada jauh dari jalan raya. Kokok ayam juga
tidak kedengaran yang boleh memberi alamat terdapatnya perkampungan orang,
setidak-tidaknya perkampungan Orang Asli.
Terniat juga pada hati Pak Andak Deraoh mahu
bermalam di hutan itu, tetapi memikirkan jam sudah 1.30 pagi sia-sia pula
bermalam di situ. Lebih baik mereka mencari jalan untuk balik. Mungkin kalau terus
juga mencari mereka akan bertemu tanda yang boleh memberi pedoman.
“Kita ni jauh ke tengah hutan agaknya Pak
Andak,” Jaamat semakin gelisah.
“Boleh jadi juga,” sahut Mat Noh mengeluh
pahit. “Tak ada pun kita dengar bunyi kereta lalu di bawah bukit. Bunyi ayam
berkokok pun tak ada,” katanya menampakkan kegelisahan sama seperti Jaamat
juga.
Pak Andak Deraoh sudah mula merasa letih.
Matanya melingas-lingas memerhati kalau nampak api di seberang bukit. Dalam
gelap malam itu tidak ada apa yang kelihatan, walau pun kabus yang mulai turun
menutupi pandangan tetapi mereka dapat mengagak bahawa di seberang bukit adalah
tanah pamah. Sekiranya ada api tentulah menembusi kabus tebal berkenaan.
Ketika itulah Jaamat menceritakan pada Pak
Andak Deraoh pengalamannya sewaktu sesat di hutan bersama arwah ayahnya Dukun
Amid. Kata Jaamat, setelah puas berjalan dia dan ayahnya menemui sebuah rumah
buruk. Disebabkan keletihan mereka berdua masuk juga ke rumah buruk itu. Di
dapatinya rumah buruk itu adalah rumah tinggal yang tidak didiami lagi.
Dukun Amid menyuruh Jaamat berehat sementara
menunggu hari siang. Disebabkan ayahnya ada bersama Jaamat memberanikan juga
hatinya untuk tidur. Ayahnya mengumpulkan kayu-kayu buruk yang bersepah dibakar
buat unggun api bagi menjauhkan gangguan nyamuk.
Baru Jaamat mahu terlelap dia terdengar
ayahnya memarahi sesuatu. Bila dia membuka mata didapati ayahnya sedang
bercekak pinggang berdepan dengan satu lembaga yang duduk bersila di atas
awang-awangan.
“Awak tak minta izin masuk rumah kawan ni Tok
Dukun,” kata lembaga itu dengan suara garau yang sayup di kerongkong.
“Awak jangan cuba nak cari geruh kawan!”
jerkah Dukun Amid tidak berganjak dari tempat dia berdiri bercekak pinggang.
Jaamat dapat melihat dengan jelas lembaga
berkenaan di satu sudut. Rambutnya panjang sampai menutup muka. Dia duduk
seperti di atas pangkin bersila kukuh dengan dua tangan tertumpu ke lutut.
Tetapi sebenarnya tidak ada pangkin atau tempat lembaga itu duduk. Dia hanya
duduk di atas awang-awangan seolah-olah seperti bunga lalang terapung ditiup
angin.
Dia menjadi gerun melihat lembaga itu
berkata-kata dengan ayahnya. Hatinya bimbang juga kalau-kalau lembaga itu
mengapakan ayahnya, maklum saja ayahnya seorang dukun di kampung. Biasanya
dukunlah yang sering menghadapi dugaan demikian kalau tersilap langkah.
“Lebih baik awak pergi,” Dukun Amid mengusir
lembaga berkenaan supaya tidak mengganggu.
“Kawan nak pergi kemana, ini rumah kawan,”
balas lembaga itu marah.
“Kalau macam tu, biar kawan pergi!” kata
Dukun Amid mengertap bibir.
“Suka hati awaklah, tapi kayu-kayu kawan yang
awak bakar tu macam mana?” ujarnya macam mengugut.
“Kawan boleh ganti,” sahut Dukun Amid keras.
“Senang awak cakap...” lembaga itu mengejek.
Dia tetap berkeras tidak mahu diganti dengan yang baru. Dia mahu Dukun Amid
mengembalikan kayu-kayu yang sudah dibakar itu seperti asalnya. Tentulah
mustahil mahu menjadikan kayu-kayu yang sudah dibakar kembali seperti
sebelumnya.
Dukun Amid bertambah marah dengan ancaman
lembaga tersebut. Segala kejadian tersebut dilihat sendiri oleh Jaamat dengan
tidak diketahui oleh ayahnya. Sengaja Jaamat berpura-pura tidur tidak sedarkan
diri. Apa yang dilihatnya bukanlah mimpi tetapi sesuatu yang nyata.
Dia lihat ayahnya mula duduk sama seperti
dilakukan oleh lembaga hitam di penjuru rumah. Bila melihat Dukun Amid sudah
duduk lembaga itu cepat-cepat menerkam. Setiap kali dia mahu menghampiri Dukun
Amid, lembaga berkenaan melayang bagaikan di tiup angin kencang. Dia terhumban
ke dinding menyebabkan dinding rumah itu bergegar kuat.
Jaamat tetap mematikan dirinya memerhatikan
kejadian yang tidak pernah dilihatnya. Sebagai anak muda yang sering mengikut
ayahnya ke hutan atau mengubat orang, Jaamat tidaklah merasa gementar. Dia
masih dapat mengawal dirinya walaupun hatinya benar-benar dalam ketakutan. Dia
percaya ayahnya masih mampu mengatasi keadaan yang dihadapinya itu.
“Awak yang menipu kawan sampai kawan tersesat
ke sini, “ kata Dukun Amid yang duduk bersila kukuh sambil matanya terpejam.
Jaamat tidak tahu yang dilakukan oleh ayahnya.
“Sekarang awak nak ugut kawan pulak ...?”
ujarnya macam mengejek lembaga tersebut.
Jaamat nampak lembaga itu seperti menggeliat
kesakitan apabila terhumban ke dinding.
“Aku tau asal kau jadi, orang sesat di hutan
asal kau jadi...!” tegas Dukun Amid lantas mengangkat sebelah tangannya
menghalakan tapak tangan ke arah lembaga hitam yang masih mengeliat-geliat di
dinding. “Jangan kau ganggu aku, anak cucu Malim Kerimon yang punya jaga,
huh...” dia menumbuk angin dengan pantas.
Apabila penumbuk Dukun Amid dihayun ke udara,
lembaga itu terpelanting seolah-olah disinggahi penumbuk Dukun Amid. Dia
termengah-mengah bagaikan menahan kesakitan.
“Sekarang pergi kau, pergi!” perintah Dukun
Amid.
Perlahan-lahan lembaga itu bertukar menjadi
asap langsung hilang dalam kegelapan malam. Selepas lembaga itu hilang barulah
Jaamat cepat-cepat bangun mendapatkan ayahnya. Terkejut juga Dukun Amid kerana
diketahuinya Jaamat tidak tidur.
“Hah, ini permainan orang ke hutan,” beritahu
Dukun Amid kepada anaknya.
Walaupun dipujuk disuruh tidur oleh Dukun
Amid, namun Jaamat tidak dapat melelapkan mata. Hatinya tetap teringat dengan
peristiwa yang baru berlaku di depan matanya. Masih terpandang-pandang olehnya
wajah lembaga itu yang berkedut-kedut sampai wajahnya tidak jelas kelihatan.
Setelah hari siang Jaamat dapati rumah kosong
yang dimasukinya itu hanyalah bangsal tempat orang menunggu durian. Bangsal itu
sudah reput juga, kerana dusun durian adalah dusun tinggal. Sudah lama dusun
itu ditinggalkan semasa perintah Kerajaan Orang Putih menyuruh orang-orang
kampung berpindah ke kampung di luar yang berhampiran dengan pekan kecil.
Dusun terbiar itu memang terletak jauh dari
kampung iaitu di pinggir hutan. Selepas tidak ada gangguan apa-apa lagi, Jaamat
dan ayahnya pun menyeberangi sawah yang sudah menjadi paya sampai ke kampung
yang ditinggalkan. Kemudian barulah mereka balik menuju ke kampung tempat
tinggalnya.
Cerita Jaamat ini tidak mengherankan Pak
Andak Deraoh langsung. Dia hanya tersengih-sengih saja, kerana dia tahu Jaamat
mulai takut apabila teringat semula peristiwa dia bersama aruah ayahnya
diganggu di rumah buruk.
“Kau takut ke Jaamat?” soal Pak Andak Deraoh
sengaja menduga.
Belum sempat Jaamat menyahut tiba-tiba dia
terjerit kesakitan. Jaamat terguling ke tanah disebabkan kakinya tersepak akar
pokok. Dia jatuh terlibas pada perdu pokok besar di lereng bukit. Cepat-cepat
pula Pak Andak Deraoh dan Mat Noh menerpa ke arahnya.
Mat Noh membantu Jaamat duduk bersandar pada
perdu pokok. Tetapi Jaamat bersusah payah mahu bangun semula. Dia
terkinjal-kinjal menahan sakit sambil memegang bahagian lengan kanan.
“Tangan aku Pak Andak,” bisik Jaamat perlahan
merintih-rintih kesakitan.
Pak Andak Deraoh menyuluk ke tangan Jaamat.
Hatinya berdebar melihat tangannya bengkok sedikit.
“Jangan bergerak Jaamat,” perintah Pak Andak
Deraoh sambil mengenjur-ngenjur tangan Jaamat.
“Patah ke tangan aku ni Pak Andak,” tanya
Jaamat kesakitan.
“His, diamlah,” kata Pak Andak Deraoh.
Dia tahu tangan Jaamat memang patah. Mungkin
tatkala jatuh tadi tangan Jaamat tersendal pada perdu pokok menyebabkan tulang
tangannya terlanggung. Kemudian tubuhnya pula menghimpit tangan yang tulangnya
sudah terlanggung itu.
“Patah ke?” desak Jaamat lagi. Memang dia
sendiri sudah menduga tangannya patah. Cuma dia mahu kepastian saja dari Pak
Andak Deraoh. Jaamat dapat merasakan kesakitan di tangannya itu.
“Cuba kau gerakkan jari tangan kau,” Mat Noh
pula menyampuk.
Jaamat mematuhi suruhan Mat Noh. Dia cuba
mengerakkan jarinya tangannya, tetapi ternyata tidak dapat digerakkan.
“Hah, patah nampaknya Pak Andak,” beritahu
Mat Noh.
Pak Andak Deraoh diam saja. Terus dia memapah
Jaamat menuruni bukit sehingga sampai ke kawasan tanah getah. Pokok-pokok getah
di situ sudah tua dan dipenuhi belukar senduduk.
“Alhamdulillah, kita sampai ke kampung
orang,” ujar Pak Andak Deraoh memapah Jaamat. Dia dapat menduga sudah sampai ke
kawasan kampung kerana menemui kebun getah pokok tua itu. Biasanya kebun getah
tentulah berdekatan dengan kampung.
Tetapi puas mereka meredah belukar senduduk
itu tidak juga kelihatan rumah orang. Malah tidak juga ditemui jalan raya atau
jalan kampung yang boleh menjadi pedoman kemanakah mereka telah sampai.
“Di mana kita ni agaknya Pak Andak?” tanya
Mat Noh.
“Entahlah,” sahutnya kebingungan.
“Lepas ke Lancang agaknya kita ni,” Mat Noh
menduga.
“Kalau ke Lancang tak apa, Ulung Bahar ada di
sana,” kata Pak Andak Deraoh masih tidak tahu ke mana mereka telah berada.
Jaamat hanya mendiamkan diri. Bukan saja
kesakitan tangannya menyebabkan dia tidak mahu bersuara, tetapi keletihan juga
terasa memenatkan badannya. Jam di tangan sudah pukul 3.00 pagi. Waktu begini
memang belum ada penoreh yang datang menoreh getah. Walaupun mereka sudah
sampai ke kebun getah tua, tentulah tidak akan bertemu penoreh di situ
untukbertanyakan di mana mereka sudah tersesat.
Hampir saja Pak Andak Deraoh putus asa. Dia
semakin kecewa kerana tidak dapat bertemu jalan keluar. Kerana tidak ada jalan
lain untuk dilakukan, dia mengambil keputusan berhenti sebentar duduk di
pangkal pokok getah. Jaamat yang kesakitan hanya mengeluh-ngeluh kecil saja.
Ada kira-kira 10 minit berhenti Pak Andak
Deraoh pun berdiri lalu azan. Tiga kali dia melaungkan azan, tetapi tidaklah
berapa kuat. Selepas azan barulah Pak Andak Deraoh mengajak kawan-kawannya
meneruskan perjalanan. Kira-kira serantai jaraknya dia meninggalkan tempat
berhenti tadi, ternampak olehnya cahaya api tidak jauh dari situ.
“Itu rumah orang agaknya,” jelas Mat Noh
sambil menudingkan jari ke arah api yang berkelip-kelip dalam cahaya kabus
tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
Teruslah mereka bertiga menuju ke tempat
nampaknya cahaya api tadi. Setelah hampir ke situ memang benar mereka temui
sebuah pondok kecil beratap rembia dan berdinding pelupuh buluh. Pak Andak
Deraoh sendiri memberi salam. Kemudian muncullah seorang perempuan tua membuka
pintu.
“Hai, dari mana awak semua ni?” tegurnya
sambil menyuruh naik.
Pak Andak Deraoh menceritakan kepada nenek tua mengenai perjalanannya yang
tersesat di hutan Chenor. Terdiam juga nenek itu mendengar penerangan Pak Andak
Deraoh yang berjalan dari hutan Chenor hingga sampai di situ.
“Jauh anak-anak semua ni berjalan,” ujar
nenek tua itu menerangkan.
“Nenek ini seorang saja ke di sini?” tanya
Pak Andak Deraoh.
Orang tua itu menganggok. “Nenek ni dulu
berbidan, tapi sekarang ni dah tak larat lagi, dah tua,” dia menjelaskan.
“Sini, apa nama kampungnya nenek,” soal Pak
Andak Deraoh lagi.
“Pelangai.....” ujarnya pendek.
Terkejut juga pak Andak Deraoh mendengar
jawapan tersebut. Memang jauh mereka sudah tersesat. Hampir sampai ke sempadan
Negeri Sembilan. Patutlah terasa jauh mereka meredah hutan. Macam mana pula
boleh sampai sejauh itu tersesat masih menjadi tanda tanya pada diri Pak Andak
Deraoh.
“Anak yang ini apa kenanya?” perempuan itu
mengerling pada Jaamat yang mengerang-ngerang menahan kesakitan.
“Jatuh di hutan tadi nek,” beritahu Jaamat
perlahan.
“Bak nenek tengok,” katanya sambil mendekati
Jaamat.
Dia meraba-raba tangan Jaamat sambil mengerutkan
dahi. “Eh, patah tangan budak ni,” katanya. Bergegas-gegas dia turun ke tanah
membawa lampu pelita ayam. Sejurus kemudian dia naik semula membawa sehelai
daun nyiur yang baru diambil dari pelepahnya.
“Macam mana boleh jatuh?” tanyanya sambil mengurut-ngurut
daun nyiur di tangannya.
“Tergelincir, nek.” Jaamat menerangkan.
“Dah lama nenek tak berbidan, dah tak pandai
nak mengurut,” ujarnya macam merendahkan diri. “Tapi, biarlah nenek cuba
urutkan ke daun nyiur ni dulu,” katanya
sambil mengurut-ngurut daun nyiur di tangannya.
Ketika ini Jaamat terjerit-jerit kecil
seperti menahan kesakitan apabila tangan diurut. Seolah-olah nenek itu tidak
mengurut daun nyiur, sebaliknya mengurut tangan Jaamat.
“Jadi, nenek bidan di kampung ni dulu?” Pak
Andak Deraoh tidaklah merasa curiga lagi. Dia percaya nenek itu memang manusia
biasa, kerana rumahnya pun terletak hampir dengan kampung, Masakan di tengah
hutan ada kebun getah seperti mereka temui sekarang.
Nenek itu menganggukkan kepala. “Kalau sebut
bidan Tet semua orang kampung di hilir tu taulah nenek...” jelasnya perlahan.
“Tak jauh pada kampung?” tanya Pak Andak
Deraoh.
“Tak jauhlah, jalan depan sikit jumpalah
jalan kampung,” dia menerangkan. “Nanti anak semua keluarlah sampai ke jalan
raya. Kalau nak ke Chenor, tunggulah bas ke Karak, kalau nak ke Pelangai
naiklah bas ke Mancis,” ujarnya tersengih-sengih menampakkan gusinya yang sudah
tidak bergigi.
“Huss, buat apa ke Pelangai. Biarlah kami
balik ke Chenor, nanti gaduh pula orang di rumah,” kata Pak Andak Deraoh
menjelaskan. Dia sendiri gelisah kalau Mak Andak Nah bimbang dia tidak balik
semalaman, kerana tidak pernah dia tidak balik kalau ke hutan.
Sebab itu apabila sampai ke jalan raya dia
tidak akan ke mana-mana lagi. Dia akan naik bas ke Karak. Dari sana baru ke
Temerloh untuk balik ke Chenor. Jauh benar dia sudah tersesat. Entah mengapa
sampai begitu sangat jauhnya tersesat Pak Deraoh tidak faham langsung.
Sambil berbual-bual itu Nenek Bidan Tet terus
juga mengurut-ngurut daun nyiur, manakal Jaamat terjerit-jerit menahan
kesakitan. Dia langsung tidak menyentuh tangan Jaamat, sebaliknya mengurut daun nyiur yang sudah dibubuh
minyak. Lama Jaamat terjerit-jerit barulah dia kelihatan tersenyum. Dia
mengenggam jarinya erat-erat sambil tangan kirinya menampar-nampar pada
bahagian tangan kanan yang dikatakan patah itu.
“Dah elok?” Pak Andak Deraoh keheranan dengan
perubahan pada tangan Jaamat yang membengkak sebelumnya.
“Tak rasa sakit lagi...” beritahu Jaamat
sambil menumbuk-numbuk angin dengan tangannya yang patah.
“Betul tak sakit lagi ?” tanya Bidan Tet
tersenyum.
Jaamat mengangguk. Dia merasa tangannya pulih
sepertia biasa. Tidak ada lagi rasa sakit atau bengkak akibat patah setelah
tergelincir pada malamnya.
“Kalau macam tu biar nenek masak air. Bas pun
lambat lalu, pukul tujuh baru ada bas lalu,” ujarnya lantas ke dapur.
Pak Andak Deraoh dan Mat Noh pun merebahkan
badan kerana terlalu letih. Jaamat juga ikut sama melelapkan mata disebabkan
mengantuk dan terlalu letih. Sampai Pak Andak Deraoh tidak sedar untuk bangun
sembahyang subuh. Lagipun pakaiannya yang kotor itu menyebabkan dia tidak
berniat untuk bangun sembahyang subuh.
Matahari sudah memancar, mereka bertiga pun
dikejutkan oleh Bidan Tet. Setelah membasuh muka di perigi, Bidan Tet menyuruh
mereka sarapan pagi dengan menghidangkan air kopi dan rebus pisang emas.
Kebun getah tempat tinggal Bidan Tet itu
memang dipenuhi belukar senduduk. Tetapi kelilingnya bersih terjaga. Mungkin
tidak ada orang mahu menolong menebaskan belukar di sekitar kebun getah
tersebut.
Setelah sarapan pagi mereka bertiga pun
meminta izin untuk pulang. Pak Andak Deraoh memberi wang sepuluh ringgit pada
Bidan Tet sebagai ucapan terima kasih yang ikhlas. Pada mulanya Bidan Tet
menolak, tetapi setelah didesak oleh Pak Andak Deraoh dengan alasan sebagai
hajat untuk bersedekah, barulah Bidan Tet mahu menerimanya, Disamping itu
sebelah daging pelanduk itu diberikannya kepada Bidan Tet.
Selepas itu mereka meninggalkan rumah Bidan
Tet. Apabila sampai di sebalik belukar senduduk itu mereka menemui kebun pisang
baru ditanam. Tidak jauh dari situ ada tanah perkuburan Islam. Di seberang
tanah perkuburan itulah baru ditemui jalan kampung.
Mereka melalui jalan kampung itu. Hanya ada
lima enam buah rumah saja berhampiran di situ. Ketika sampai di satu titian
kayu menyeberangi anak air mereka bertemu dengan seorang lelaki mahu menoreh
getah. Darinya mereka dapat tahu memangmereka hampir sampai ke Pelangai.
Bila disebut Bidan Tet,, lelaki itu mengeluh
perlahan. Dia mengeleng-ngeleng kepala macam tidak percaya dengan apa yang
diberitahu kepadanya.
“Bidan Tet tu moyang saya,” jelas lelaki itu.
“ Lebih 80 tahun dulu dia sudah meninggal ,” ujarnya, tetapi masih terbayang
kegembiraan di wajahnya.
Jaamat menunjukkan bekas tangannya yang
patah. Masih ada kesan minak yang disapu oleh Bidan Tet. Tangannya yang patah
itu pun sudah sembuh dalam sekelip mata saja. Bersungguh-sungguh Jaamat mahu
meyakinkan lelaki berumur hampir berumur 50 tahun itu tentang kejadian yang
dialaminya itu.
“Pernah juga dua tiga kali orang bertemu
dengannya di situ, kebun getah tu memang kepunyaan aruah ayah saya . Tanah
pusaka...” lelaki itu menerangkan. “Tapi tidak ada rumah, kecuali bekas tapak
rumah aruah moyang saya dulu di situ. Memang ada saya dengar orang menemui
dia....” katanya perlahan.
Pak Andak Deraoh percaya dengan penerangan
itu. Apabila Mat Noh mengajaknya berpatah balik semula untuk melihat keadaan
sebenarnya, Pak Andak Deraoh enggan. Dia meraba poketnya menunjukkan rebus
pisang emas yang diambilnya semasa turun dari rumah Bidan Tet. Pisang emas itu
hanya pisang mentah yang masih bergetah lagi bukannya pisang rebus.
Sementara seekor pelanduk yang dibelah
sebahagian dagingnya untuk Bidan Tet ada di dalam buntil mereka. Wang sepuluh
ringgit yang diberikan oleh Pak Andak Deraoh kepada Bidan Tet yang dikoyakkan
hujungnya sedikit sebagai tanda juga ada semula dalam saku bajunya.
Memang sejak mula-mula menemui Bidan Tet itu
Pak Andak Deraoh sudah mula sangsi, tetapi apabila setiap pertanyaan yang dikemukakan
dijawab oleh Bidan Tet tidak langsung mengelirukan menyebabkan kesangsian Pak
Andak Deraoh hilang juga. Bagaimanapun setelah mendengar penerangan dari lelaki
yang mendakwa cicit Bidan Tet itu, ternyatalah segala tandatanya itu sudah
terjawab.