Selalu orang bertanya
mengapa makhluk-makhluk halus selalunya muncul pada waktu malam, kenapa tidak
pada siang hari? Perkara ini mudah dijawab sekiranya orang-orang ini memahami
surah Al Falaq. Hanya pada malam harilah manusia mudah terlalai, dan ketika
inilah syaitan mencari kesempatan dari kelalaian manusia. Sebab itulah Allah
mengingatkan manusia supaya bertasbih di sebelah malam hari dan kurangkanlah
tidur.
Hal tidak percaya
ujudnya syaitan inilah menyebabkan Cikgu Salim kelu tidak dapat bercakap ketika
ke sungai pada sebelah malam hari. Dia ke sungai berdekatan dengan surau
kampung untuk mengambil wuduk. Memang di sungai itulah orang-orang kampung yang
berjemaah di surau mengambil wuduk.
Cikgu Salim memang tidak
percaya sekiranya Usup tukang kebun sekolah bercerita mengenai hantu. Dia tetap
berpendapat adalah karut dan tahyol mempercayainya. Pernah juga dia bertanyakan
kepada saya samaada percaya adanya hantu. Mula-mulanya malas juga saya mahu
melayan dia, tetapi kemudiannya saya menyuruh dia memahami akan maksud:
‘auzubillahi minasy
syaitan nir rajim.
“Apabila ayat itu
diturunkan oleh Allah, maka bererti makhluk itu ada” jelas saya.
Tetapi Cikgu salim tetap
berkeras mengatakan tidak ada. Dia menganggap bahawa maksud ayat itu sebagai
perumpamaan saja. Disebabkan Cikgu Salim seorang yang berpendidikan Inggeris,
maka dia sangat menentang perkara-perkara yang dianggapnya karut dan tahyol.
Jadi saya tidak mahulah berhujah lebih jauh dengannya.
Kampung kecil di satu
tempat di Jerantut ini mempunyai surau yang
terletak di pinggir sungai. Disebabkan kemudahan asa belum sampai lagi
ke situ ketka itu, maka tidaklah ada paip air. Mereka akan mengambil wuduk untuk
sembahyang di surau hanya ke sungai sahaja.
Kami ikut sama dengan
penduduk-penduduk kampung berjemaah di surau. Usup tukang kebun sekolah yang
memang penduduk di kampung itu juga berjemaah sama. Kira-kira masuk waktu isya,
Bilal Mat Kitang terus azan. Mereka yang tidak ada wuduk cepat-cepat turun ke
sungai untuk mengambil wuduk.
Saya dan Usup juga turut
mengambil wuduk kerana sudah terkentut semasa duduk berbual-bual sebelumnya.
Selepas selesai mengambil wuduk baru saya nampak Cikgu Salim turun ke sungai.
“Hai Cikgu pun dah habis
wuduk?” tegur saya semasa dia menuruni tangga surau.
“Puas tahan-tahn
terkentut pula dia “ katanya tersengih-sengih. “Ni pukulan makan pengat
pisanglah ni “ ujarnya mengusik Usup yang menjamu kami dengan pengan pisang
selepas maghrib.
“Cikgu nak melepas pula
ke?” tanya Usup mengusik.
“Tengoklah dulu, kalau
nak melepas, kena jugalah melepas” sahutnya ketawa kecil.
Kami terus naik ke
surau. Cikgu Salim bergegas-gegas ke surau untuk mengambil wuduk. Cahaya lamu
gasilin yang tergantung pada alang tengah memang sampai ke tepi sungai. Kalau
tidak membawa lampu picit pun masih boleh jelas nampak jalan.
Cikgu Salim masuk ke air
sungai separas lutut itu, kebetulan semua orang sudah naik ke atas surau. Baru
dia membongkok mahu mencepuk air dengan tangan, dia terdengar air berkocak
tidak jauh ke hulu sedikit. Mula-mulanya dia tidak menghiraukan sangat. Tetapi
bila kocak air itu kuat sedikit dia terpaksa juga mengangkat muka memerhati ke
arah air berkocak itu. Dia tahu tidak ada jalan orang ke sungai di sebelah hulu
sungai tersebut.
Diperdu pokok kelepung
ke hulu sedikit dia ternampak dari bayang silauan lampu gasilin di atas surau
seperti ada orang duduk menjuntaikan kaki ke air. Di situ hanya belukar
tebrau,, tidak ada lorong orang ke sungai. Dia cuba mendekati pokok kelepung
itu untuk mempastikan siapakah yang duduk di situ.
Apabila dekat sedikit
dia ternampak seorang perempuan muda sedang berkemban duduk di situ.
Berhampirannya ada segendong kain untuk dibasuh. Heran juga Cikgu Salim menhapa
perempuan itu membasuh kain pada waktu malam. Dari mana pula perempuan itu
datang.
“Kenapa awak membasuh
kain malam hari?” tanya Cikgu Salim keheranan.
Perempuan itu tidak
menyahut. Dia menundukkan kepala sambil mengincah-ngincah kain ke air. Cikgu
Salim nampak kesan darah pada kain yang dikincah-kincah itu kerana air yang
menaglir ke hilir itu berwarna merah.
“Awak tak takut kah
seorang diri di situ?” tanyanya lagi sambil mara perlahan-lahan.
Baru beberapa langkah
dia mara ke depan tiba-tiba perempuan yang dudukdi perdu pokok kelepung itu
melayang ke atas. Sekelip mata saja dia hilang di tengah rimbunan daun pokok
kelepung itu. Cikgu Salim tiba-tiba bertukar jadi gementar.
Cepat-cepat Cikgu Salim
menerpa naik ke tebing sungai. Termengah-mengah dia berlari naik ke tangga
surau lantas melemparkan badan ke tengah surau. Dia termengah-mengah tidak
bercakap apa-apa pun, tetapi tangannya menunjuk-nunjukkan ke arah sungai.
“Mengapa Cikgu?” Bilal
Mat Kitang merapatinya.
Cikgu Salim
ternganga-nganga macam mahu bercakap, tetapi suaranya tersekat di kerengkung.
Imam Leh yang sudah berdiri tegak mahu memulakan sembahyang tidak jadi
meneruskannya. Kami semua mengelilingi Cik Gu Salim yang kelu lidah tidak dapat
berkata-kata.
Mukanya pucat lesi
ketakutan. Badannya mengigil terketar-ketar seperti orang hilang pedoman.
“Mengapa Cikgu?” tanya
Bilal Mat Kitang keheranan.
“Apa lagi, tentulah
orang dihulu tu agaknya ...” sahut Usup menjuihkan bibir. “Biar saya panggilkan
Dukun Hun” kata Usup dalam kecemasan.
“Nanti dulu” Imam leh
menahan.”Jangan kita terburu-buru, sabar dulu dan bertenang” ujurnya duduk
bertumit di kepala Cikgu Salim.
Saya dapat merasakan
pada jiwa Imam Leh tidak mahu Usup memanggil Dukun Hun di saat demikian.
Sepatutnya Usup tidak perlu terburu-buru memanggil sahabatnya Dukun Hun, kerana
seorang yang berilmu masakan tidak mahu berjemaah di surau. Mungkin dia boleh
menunaikan sembahyang di rumah saja, tetapi orang berilmu tidak akan
memencilkan diri dari orang ramai.
Kerana itulh Imam Leh
tidak mahu memanggil Dukun Hun datang ke surau itu ketka menghadapi saat cemas
seperti ini. Kalau di rumah masing-masing mungkin Imam Leh tidak akan menegah
sesiapa pun mahu memanggil Dukun Hun. Sikap Imam Leh ini menherankan Usup
sendiri. Selama ini orang-orang kampung akan memanggil Dukun Hun kalau keluarga
mereka menghadapi masaalah seperti Cikgu Salim sekarang.
“Tak kan kita nak
biarkan Cigu Sali macam ni” Usup masih mendesak supaya segera dipangil Dukun
Hun.
“Jangan cepat hilang
punca” ujar Imam Leh berkeras tidak mahu dipanggil Dukun Hun. “Bertenang dulu
dan sabar. Kalau sudah terpaksa barulah kita jemput Dukun Hun tu” jelasnya
tegas.
“Sakit macam ni tak
boleh biarkan Tok Imam” kata Usup.
“Tengoklah dulu Bang
Usup” saya mencelah sambil menepuk lutut Usup. “Kita serahkan saja pada Tok
Imam dulu, saya fikir elok juga jangan susah-susahkan Dukun Hun tu....”kata
saya berpaling ke arahnya.
Usup terdiam. Imam Leh
mengerling ke arah Bilal Mat Kitang, kemudian berpalking memerhati muka saya.
“Macam mana ustaz ?”
tanyanya perlahan.
Saya mengelengkan
kepala. Kemudian Imam Leh berbisik sesuatu kepada Bilal Mat Kitang. Saya tidak
tahu apa yang dikatakannya, tetapi saya lihat Bilal Mat Kitang
mengangguk-anggukan kepala.
Tidak bercakap sepatah
apa pun Bilal Mat Kitang membongkok mendekatkan mulut ke telinga kanan Cikgu
Salim. Kemudian dia azan di telinga Cikgu Salim tiga kali. Kemudian kelihatan Cik
Gu Salim mengeliat-ngeliatkan badan seperti kesakitan disebat dengan rotan.
“Azankan lagi” perintah
Imam Leh menyuruh Bilal Mat Kitang.
Bilala Mat Kitang azan
di telinga kanan Cikgu Salim menyebabkan Cikgu Salim menggeletar seperti ayam
kena sembelih. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi segera dipegang
oleh beberapa orang yang ada di surau.
“Hem, dia terkejut aje”
kata Imam Leh sambil berdiri bangun. “Kita solat dulu, biarkanlah Cikgu tu di
situ..tak apa” ujarnya mengajak semua jemaah menyempurnakan solat isya dulu.
Semua orang yang ada di
surau lebih kurang 12 orang mengikut saja ajakan Imam Leh. Apabila saya bangun
untuk sama-sama berjemaah, Imam Leh menegah saya.
“Ustaz tengokkan cikgu
dulu. Lepas kami solat nanti, ustaz pula solat” dia meminta saya supaya solat
bersendirian selepas mereka semua solat.
Saya fikir betul juga
kata Imam Leh. Kalau semua menyempurnakan solat siapa pula mahu menjaga Cikgu
Salim dalam keadaan demikian. Tentulah tidak patut membiarkan dia terlantar
dengan tidak dipedulikan.
Semasa orang-orang
menunaikan solat Cikgu Salim terlantar saja di tengah surau. Dia tidak bercakap
apa-apa kecuali jarinya menuding-nuding ke arah sungai. Mulutnya
ternganga-nganga macam mahu bercakap tetapi suaranya tidak terkeluar. Serba salah
juga saya melihat keadaan Cikgu Salim dalam keadaan demikian.
Selesai semua orang
berjemaah isya, barulah saya pula menunaikan fardhu isya bersendirian. Ketika
saya memberi salam terdengar Cikgu Salim merungut-rungut tidak tentu biji
butir. Selesai saja saya menunaikan isya, cepat-cepat saya mendapatkan Cikgu
Salim semula.
Imam Leh kelihatan duduk
di kepala Cikgu Salim sambil membaca ayat Kursi. Hingga selesai dia membaca 113
kali, saya nampak Cikgu Salim semakin lemah. Dia tidak lagi meronta-ronta
seperti mula-mula Imam Leh membacakan ayat-ayat Kursi tadi. Lama kelamaan Cikgu
Salim pun tertidur sebentar.
Kira-kira setengah jam
saja Cikgu Salim tertidur dia sedar semula. Dia tercengang keheranan kerana
dihadap oleh semua orang yang ada di surau.
“Ada apa halnya ni?”
tanyanya lemah.
“Tak ada apa-apa cikgu”
sahut Imam Leh. “Balik ni nanti cikgu tidur sajalah. Berihat aje, jangan banyak
fikir lagi” katanya mengingatkan.
Peristiwa ke atas
dirinya pada malam itu mula menyedarkan Cikgu Salim mengenai kejadian dari
Allah SWT. Dia sendiri yang menceritakan kepada Imam Leh apa yang dilihatnya
ketiak mahu mengambil wuduk. Inilah pertama kali dia mengahadapi keadaan yang
menganggunya itu.
Dari Usup Tukang Kebun
saya dapat ceritanya mengenai apa yang dilihat oleh Cikgu Salim itu. Kata Usup
baru beberapa tahun saja jelmaan perempuan membasuh kain di perdu pokok
kelepung dilihat oleh orang-orang kampung. Mula-mulanya ramai juga yang tidak
percaya, tetapi sudah beberapa orang ternampak jelmaan tersebut.
Menurut cerita Usup
diperdu pokok kelepung itulah tempat Milah gadis baru berumur 16 tahun selalu
membasuh kain. Milah seorang gadis pingitan yang cantik ketika itu. Kejadian
ini berlaku tidak sampai pun 50 tahun dulu. Biasanya kira-kira pukul 10 pagi,
Milah akan datang ke situ membasuh. Kadangkala dia membantu emaknya ke sawah
terlebih dahulu di sebelah pagi, tetapi dia cepat-cepat balik dan berhenti
membasuh kain dulu di perdu pokok kelepung itu.
Di perdu pokok kelepung
itu senang meletakkan papan membasuh, dan dia boleh menghempaskan kain ke papan
tersebut. Lajak anak ketua kampung selalu memerhatikan Milah membasuh kain di
situ. Lajak pun masih teruna berumur 20 tahun. Keinginan Lajak untuk
mendampingi Milah rupanya tidaklah bertepuk sebelah tangan.
Selalulah Lajak secara
bersembunyi-sembunyi menemui Milah di perdu pokok kelepung itu. Kalau ada orang
melintas di situ Lajak akan pura-pura mandi ke hilir sedikit. Mila akan
pura-pura membasuh kain.
Hubungan teruna dara ini
semakin erat, hingga sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Akibat terlalu kerap
bertemu secar bersembunyi-sembunyi akhirnya Mila mendapati dirinya mengandung.
Belum sempat dia memberitahu mengenai dirinya mengandung, Lajak pula jatuh
sakit diserang demam kepialu. Penyakit demam kepialu itu membawa kepada
kematian Lajak.
Kematian Lajak itu
meninggalkan kepahitan yang tidak terhapus dari jiwa Milah. Bagaimanakah dia
mahu menghadapi kedua ibu bapanya dengan keadaan perutnya yang mula berisi. Dia
tahu ayahnya tidak akan memaafkan perbuatan dia kerana memberi malu keluarga.
Lajak tempat dia menaruh harapan sudah pergi buat selama-lamanya.
Dia percaya Lajak tidak
akan menganiaya dirinya, kerana pemuda itu benar-benar kasih kepadanya. Sebab
itu Milah rela menurutkan kemahuan Lajak sehingga dia menanggung beban
penderitaan yang memalukan. Itulah nasib yang menimpa dirinya bila demam
kepialu meragut nyawa Lajak. Tinggallah Milah terumbang ambing dalam keadaan
sudah mengandung.
Hinggalah pada satu padi
dia pergi membasuh ke sungai dengan tidak membantu emaknya ke sawah terlebih
dulu. Mak Embun pun tidaklah hiraukan sangat samaada Milah datang membantunya
di sawah atau pun tidak. Dia pun tidaklah mengharapkan sangat Milah membantnya
di sawah, kerana gadis itu masih muda benar. Malah Mak Embun sendiri tidaklah
perasan sangat Milah sering termenung sejak kematian Lajak.
‘”Lajak tu budak
baik.....” kata Mak Embun berbual dengan Milah semasa memasak di dapur seminggu
selepas kematian Lajak. “Tapi umurnya pendek. Apa nak cakap, sudah kehendak
Allah” ujarnya tidak mengesyaki apa-apa.
Memang Mak Embun tidak
tahu akan perhubungan Milah dengan Lajak. Ketika ini masyarakat Melayu memang
menganggap sumbang kalau teruna dan dara bebas bercampur gaul. Sebab itulah
mereka yang dilamun oleh cinta terpaksa bertemu secara bersembunyi-sembunyi. Ibu
bapa mereka juga tidak mengesyaki apa-apa, kerana pertemuan antara mereka
terlalu amat rahsia.
“Dia ramah mesra dengan
aku, selalu menegur aku kalau berselisih dekat sawah” beritahu Mak Embun
mengingat-ingat kembali Lajak anak ketua kampung yang sudah kembali ke
rahmatullah itu. Hanya sepuluh hari saja dia menanggung demam kepialu itu,
langsung membawa kepada kematiannya.
Inilah yang menyedihkan
orang-orang kampung, kerana mereka tahu Lajak memang seorang pemuda yang
berbudi bahasa.
Tetapi Milah tetap mendiamkan
diri apbila emaknya menyebut – nyebut tentang kebaikan Lajak. Hanya dia seorang
saja yangtahu betapa hancurnya hati dengan kematian Lajak meninggalkan dirinya
yang sedang mengandung zuriat Lajak. Mungkin orang-orang kampung akan
mengutuknya disebabkan kejadian tersebut. Ketua kampung juga tidak akan percaya
dengan cakap-cakapnya sekiranya membabitkan nama Lajak.
Semua orang kampung
percaya Lajak seorang budak baik. Sebab itu orang tidak akan percaya Lajak
melakukannya menyebabkan dia mengandung. Kalaulah Lajak masih hidup hatinya
tidaklah rusuh sangat. Lajak berjanji akan masuk meminang, sekali pun dia tidak
mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara anak gadis orang.
Ketika emaknya turun ke
sawah pada satu pagi, Milah ikut sama. Tapi sampai di perdu kelepung dia tidak
terus menyeberangi sungai untuk ke sawah, sebaliknya hendak membasuh kain saja
di situ. Mak Embun hanya mengangguk kepala saja sebelum menggalas rimbas menuju
ke sawah.
Kira-kira setengah jam
Mak Embun bertekun merimbas di sawah, Uda Latip adiknya memanggil balik.
Tercungap-cungap Uda Latip sampai di depannya. Tergagap dia menyuruh Mak Embun
balik segera. Kebetulan Uda Latip juga hendak menyeberang sungai untuk ke sawah
apabila dia dipanggil oleh ketua kampung yang sudah tercegat di tebing sungai.
“Apa halnya?” tanya Mak
Embun heran.
“Hai, jangan tanya
halnya, moh cepat balik” desak Uda Latip tidak menghiraukan kakaknya yang
tercengang-cengang disuruh balik tidak bersebab.
“Abang kau ke ?” Mak
Embun mahu tahu samada suaminya Bakar Tenjot yang menyuruh balik. Kadangkala
suaminya itu memang ada kepala angin, silap sikit saja cepat saja menghunuskan
parang mengajak orang beradu kuat. Cuma dia saja dapat menyejukkan hati
suaminya.
Bakar Tenjot akan jadi
bacul kalau Mak Embun sudah menjerit-jerit sampai menyingkap-nyingkap kain di
tengah orang ramai. Sebab itulah Bakar Tenjot mengalah. Dia tidak akan berkeras
lagi mengajak sesiapa pun beradu tenaga kalau Mak Embun sudah menjerit-jerit
menyingkap kain.
“Abang kau ke ?” ulangi
Mak Embun.
“Moh aje balik. Jangan
tanya banyak lagi” kata Uda Latip menarik tangannya.
Terpaksalah Mak Embun
mengikut sahaja kemahuan Uda Latip. Biarlah apa pun terjadi dia tidak perlu
lagi bertanya. Dia sendiri mahu melihat apakah sebabnya bersungguh-sungguh
sangat Uda Latip menyuruh dia balik.
Ketika sampai di tebing
sungai untuk balik ke seberang kampung didapatinya orang-orang kampung ramai di
tebing sungai sebelahnya. Suaminya Bakar Tenjot duduk di atas tebing dengan
wajah sugul. Barulah disedari oleh Mak Embun orang ramai berkerumundi situ
mengelilingi anaknya Milah.
Cepat-cepat Mak Embun
menerpa ke arah Milah. Dia meraung sekuat-kuat hatinya melihat Milah terbujur
di pangkuan isteri Uda Latip denga lidahnya terjelir. Sempat juga dia
mengerling pada kain selimut yang tergantung pada dahan pokok kelepung
berbuai-buai di tiup angin.
“Aku jumpa dia dah
tergantung di situ” Jibah isteri Uda Latip memberitahu sambil memujuk Mak Embun
supaya bertenang.
Pak Tua Akop, ketua
kampung menyuruh Uda Latip dan beberapa orang lagi mengusung jenazah Milah
balik ke rumah.
Itulah kisah Milah
membunuh diri dengan menggantung diri di pokok kelepung tepi sungai yang
diceritakan oleh Usup Tukang kebun.
Kejadian yang menimpa
nasib keluarga Bakar Tenjot ini diketahui juga puncanya. Pak Tua Akop sendiri
menerangkan kepada Bakar Tenjot mengenai Milah yang sudah mengandung dua bulan
itu. Sebelum meninggal dunia Lajak sempat memberitahu ayahnya mengenai
pengaduan Milah, tentang dirinya sudah dua bulan tidak datang kotor. Lajak
meminta ayahnya menyelamatkan Milah.
Tetapi niat suci Lajak
itu tidak terkabul kerana dia telah meninggal dunia terlebih dulu. Sementara
Mila yang terasa dirinya terumbang ambing mengambil keputusan yang dikutuk oleh
Islam itu. Semuanya sudah terjadi kerana mengikutkan gelora nafsu muda.
Walaupun niat di hati baik, tetapi Allah menentukan segalanya.
“Ini tauladan pada anak
muda-muda” keluh saya setelah mendengar penerangan Usup. “Kematian tidak akan
bertangguh, kita akan menerima akibatnya kalau ajal sampai sebelum noda yang
kita lakukan belum dapat dibersihkan “ kata saya mengenang kembali peristiwa
Lajak dan Milah ini.
Sejak kematian Milah
mengantung diri di pokok kelepung itulah, sudah beberapa kali orang bertemu
dengan perempuan muda membasuh kain di situ. Kadangkala terdengar ada orang
menangis terisak-isak menyayukan. Hal inilah yang ditemui oleh Cikgu Salim yang
tidak percaya perkara-perkara demikian.
Bagaimana semua hal
demikian terjadi sukarlah bagi kita mahu menjawab kerana Allah sendiri
mengingatkan kita:
Wayassalu naka anirroh
kolarohhu min amri rabbi wamma autitum minalilmi illakalillan.
Apa yan terlihat oleh
beberapa orang kampung mengenai jelamaan perempuan di tepi sungai pada perdu
pokok kelepung itu, mungkin sebahagian dari pengertian tersebut.. wallahualam.
Hanya Cikgu Salim
selepas kejadian pada malam ini, masih seperti orang hilang semangat. Dia
sering termenung di jendela bilik rumahnya. Kadangkala menagis terisak-isak
tidak bersebab. Isteri Cikgu Salim yang juga seorang guru mengajar di tempat
yang sama terlalu rusuh dengan perubahan Cikgu Salim ini.
“Cikgu kena panggil Dkun
Han juga” Usup mengingatkan isteri Cikgu Salim.
“Macam mana ustaz?”
tanya Cikgu Milah mengerling sya yang berdiri bersandar ke tiang. Selalunya
Cikgu Miah meminta fikiran saya juga dalam apa apa hal, kerana kami tinggal
bersebelahan.
“Terpulangah pada cikgu”
sahut saya perlahan.
“Janganlah begitu..” dia
semakin rusuh bila mengenangkan keadaan suaminya. “Elok jugalah ustaz beri
pandangan sikit’ katanya macam sudah putus asa.
Serba salah juga saya
mahu memberi kata putus. Kalau saya menyuruh panggil Imam Leh boleh jadi Usup
berkecil hati kerana enggan menerima pertolongannya memanggil Dukun Hun. Boleh
jadi juga Dukun Hun juga berkecil hati kerana kami menolak kebolehannya sebagia
seorang dukun di dalam kampung.
Sebenarnya saya tidaklah
menghalang kalau Cikgu Miah mahu memanggil Dukun Hun. Hanya masyarakat saja
salah anggap akan kedudukan seorang dukun setelah ada tohmah mengatakan dukun
mencari kesempatan. Kadangkala perkara mengambil kesempatan ini bukan
dukun-dukun yang tidak amanah saja, malah dokter yang diyakini orang pun
melakukan juga.
Ini tabiat manusia.
Tetapi dukun yang jujur dan ikhlas memang dapat melaksanakan tugasnya dengan
baik. Apa yang orang tidak tahu, orang yang menjadi dukun itu, apabila
mengubati pesakitnya terpaksa memusatkan fikirannya, hingga kadangkala boleh
jadi pitam. Malah kadangkala sedang lina tidur pada wktu malam hari, terpaksa
bangun juga bila dijemput orang.
Bagaimana pun anggapan
rendah terhadap dukun ini dibuat, semata-mata setelah datang rawatan moden yang
diperkenalkan oleh penjajah. Sebenarnya cara mana perubatan dibuat adalah
bertujuan baik belaka. Kita tidak seharusnya menganggap rendah satu-satu pihak.
“Saya bimbang Cikgu
Salim tak setuju” ujar saya mengingatkan Cikgu Miah kerana selama ini Cikgu
Salim bukanlah percaya sangat dengan perubahan cara dukun ini.
“Dia yang sakit, dia pa
tau” Cikgu Miah mendengus.
“Kalau macam itu eloklah
panggilkan” beritahu saya.
Semasa Dukun Hun sampai dijemput
Usup, saya baru mahu melelapkan mata selepas makan tengah hari. Cepat-cepat
isteri saya menyuruh saya bangun kerana Cikgu Miah juga tidak tahu apa yang
harus dibuat.
Apabila Dukun Hun
terpandangkan saya dia bangun mendapatkan saya. Cepat-cepat dia memeluk leher
saya. Heran juga saya mengapa Dukun Hun melakukan demikian kepada saya.
Sebenarnya saya memanglah baru di situ, hanya baru penggal pertama persekolahan
saja, setelah ditukarkan di kampung pendalaman ini.
“Saya ustaz sudah
mengajr disini’ bisiknya membayangkan kegembiraan. “Memang saya berhajat juga
nak jumpa ustaz, tapi masa tak mengizinkan” katanya melepaskan saya dari
pelukannya.
“Saya dengar juga nama
pak cik, tapi hari ini baru jumpa” sahut saya.
“Buat apa susah-susah
panggil saya, ustaz ini pun ada “ Dukun Hun duduk semula sambil mengerling
Cikgu Miah.
Heran juga Cikgu Miah
mendengar kata-kata Dukun Hun itu.
“Ustaz ini lagi tau dari
saya, cikgu” ujar Dukun Hun.
Rupa-rupanya Dukun Hun
ini pernah berguru dengan Tok Aji iaitu datuk saya. Tok Aji memberitahunya
mengenai diri saya yang sudah ditukarkan ke situ. Tetapi dia masih segan mahu
mencari saya, kalau tidak ada sebab-sebab tertentu. Orang kampung memang begitu,
mereka cepat merasa rendah diri mahu berjumpa orang-orang yang bekerja dengan
kerajaan.
“Tolonglah tengokkan
Cikgu Salim ni pak cik “ saya menepuk pahanya.
“Sila ustaz......” dia
menyuruh saya pula.
“Eh, orang berhajat
dengan pak cik, silalah pak cik mulakan” ujar saya tersengih-sengih.
Dukun Hun tersenyum. Dia
tidak dapat berdalih lagi. Mahu tidak mahu dia menginsut ke depan sedikit
merapati Cikgu Salim. Semasa Cikgu Miah bertanya pada Usup sama ada memerlukan
tempat membakar kemenyan, Usup memberitahu Dukun Hun tidak pernah menggunakan
kemenyan. Saya hanya tersenyum dengan penjelasan Usup itu.
Bersambung di PEREMPUAN
TERGANTUNG DI POKOK KELEPUNG