Tuesday, November 18, 2014

100. MAT AKIR JADI PENGHULU BUNIAN



SEJAK usaha mengubat Mat Akir diheboh-hebohkan, tiba-tiba saja dia hilang dari kampung. Kali terakhir dia dilihat oleh Latip Debok ialah ketika menuju ke sungai memasang rawai. Kalau mahu dikatakan dia dihanyutkan arus,tidak mungkin, kerana sungai di kampung itu tidaklah besar sangat. Arusnya juga tidak kuat. Airnya juga cetek hanya separas pinggang saja.
Walaupun usaha mencarinya dilakukan oleh orang-orang kampung tetapi tidak juga ditemui. Kalaulah benar Mat Akir dihanyutkan arus, tentu bertemu juga dengan mayatnya. Hanya yang di jumpai oleh orang-orang kampung ialah rawai yang dipasangnya. Ada setengah rawainya memang terdapat ikan yang sudah mati.
Kehilangan Mat Akir ini merunsingkan fikiran Mak Teh. Selalulah dia termenung mengenangkan nasib yang menimpa Mat Akir. Kalaulah mati ada juga tanda batu nesannya. Selain dari Mat Akir ada juga anak Mak Teh seorang perempuan iaitu kakak kepada Mat Akir.
Tetapi Saerah anaknya sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Saerah tidak lagi tinggal bersamanya. Sebab itulah kehilangan Mat Akir itu terasa sangat memilukan hatinya.
Dengan kehilangan Mat Akir itu berakhirlah kisahnya di kampung berkenaan. Bagaimanapun Pawang Bulin tetap berkeyakinan bahawa Mat Akir sudah dilarikan oleh bunian. Menurut cerita Pawang Bulin, dia sendiri tidak dapat menentang kelebihan ilmu kebatinan Mat Akir.;
“Kalau sekadar Mat Akir dikuasai oleh bunian, aku masih boleh mengambilnya balik. Tetapi kalau Mat Akir sendiri tidak mahu balik ke pangkuan kita, aku sendiri tak upaya nak menentangnya. Mat Akir bukan lagi Mat Akir sebelum ini,” demikian pengakuan dari Pawang Bulin.
Tetapi cerita Pawang Bulin ini tidak dihiraukan sangat oleh orang-orang kampung. Ada setengahnya berpendapat Mat Akir terkena sawan babi ketika merawai, lalu dihanyutkan oleh arus. Mayat Mat Akir tidak dapat ditemui lagi kerana sudah ditimbus oleh pasir di dasar sungai.
“Tapi, Mat Akir tidak pernah kena sawan babi.” Ujar Mak Teh bila Rasad suami Saerah mendakwa begitu. “Sepanjang yang aku ingat, dia tidak mengidap sawan babi. Tak tahulah kalau dia tiba-tiba kena pitam atau pengsan semasa di tengah air,” kata Mak Teh lagi.
Lama kelamaan cerita kehilangan Mat Akir itu lenyap begitu saja. Mak Teh juga sudah menerima kenyataan sebenarnya bahawa Mat Akir sudah hilang. Sama ada Mat Akir sudah mati atau dilarikan oleh bunian, Mak Teh tidak peduli lagi. Kepadanya sudah jelas bahawa Mat Akir sudah tidak ada lagi di dunia.
Kira-kira dua tahun selepas kehilangan Mat Akir, Pawang Bulin pun meninggal dunia. Sebelum dia meninggal dunia, Pawang Bulin menceritakan kepada Rasad, abang ipar Mat Akir bahawa dia bermimpi bertemu deng Mat Akir.
“Mat Akir sudah jadi Penghulu Bunian. Itulah To’ Sheikh yang sering datang bila aku berejin. To’ Sheikh itulah Mat Akir. Aku tidak ada upaya lagi mahu melebehi ilmunya,” Pawang Bulin menerangkan.
Memang Rasad tahu semasa akhir-akhir hayatnya Pawang Bulin selalu ‘berejin’ (menyeru nama-nama tertentu dalam ilmu pendukunan) yang datang menyerap dalam tubuhnya ialah To’ Sheikh. Kadangkala dia berusaha mengelak tidak mahu diresapi oleh To’ Sheikh, tetapi To’ Sheikh tetap juga datang meresap ke tubuh Pawang Bulin.
Kononnya To’ Sheikh itu menjaga ‘anak ubat; Pawang Bulin di kampung berkenaan. To’ Sheikh tidak membenarkan orang luar menjaga ‘anak ubat’ Pawang Bulin yang menetap di kampung tersebut.
“Jadi, Mat Akir masih hidup lagi?” Tanya Rasad.
“Itu aku tak tau,” sahut Pawang Bulin. “Sama ada dia hidup atau mati, aku tak tahu. Semua itu kuasa Allah semata-mata dan Allah saja yang mengetahui. Yang dapat aku katakana pada kau itu sajalah, Mat Akir itulah To’ Sheikh,” dia menjelaskan selanjutnya.
Tidak lama selepas kematian Pawang Bulin itu, pada satu petang Mak Teh terkejut bila namanya dipanggil dari tengah halaman. Dia dapat camkan suara yang memanggilnya itu ialah Mat Akir. Bila dia menjengah melalui tingkap didapatinya benarlah Mat Akir berdiri ditengah halaman. Pakaian Mat Akir sama seperti yang dipakainya semasa pergi merawai dua tahu sebelumnya.
“Siapa kau ni?” Tanya Mak Teh enggan membukakan pintu. “Kau ni setankah, manusiakah?” dia merasakan bulu tengkuknya meremang ketakutan.
“Saya Mat Akir. Saya bukan setan, saya manusia biasa, mak,” kata Mat Akir tersenyum.
“Mat Akir sudah mati,” suara Mak Teh gementar kerana tidak diduganya Mat Akir yang sudah hilang sejak dua tahun lebih, tiba-tiba menjelma di depan matanya.
“Saya tak mati mak, saya pergi bertapa ke Hutan Nuang,” jelasnya sambil mengharapkan emaknya membukakan pintu.
Tetapi Mak Teh tetap enggan membukakan pintu. Dia merasa takut berhadapan dengan Mat Akir yang dianggapnya sudah mati itu. Lalu dia melaungkan sekuat hatinya memanggil Saerah yang tinggal tidak jauh dari situ.
Semasa Rasad dan Saerah datang dalam keadaan cemas kerana di laung oleh emaknya mereka juga tercengang hairan melihat Mat Akir berdiri di tengah halaman. Dengan adanya Rasad dan Saerah, barulah Mak Teh berani membuka pintu.
Mat Akir terus mendapatkan emaknya lalu bongkok mencium tangannya sambil berlinang-linang air mata. Mak Teh juga barulah yakin Mat Akir sendiri yang balik menemuinya itu.
Pada malamnya Mak Teh membuat kenduri doa selamat. Hatinya gembira kerana dapat bertemu semula dengan Mat Akir. Kawan-kawanya seperti Latip Debok, Sarip Uncoi dan lain-lain anak kampung yang sebaya dengannya ikut hadir sama pada malam itu.
Tidak ada yang kelihatan berbeza pada diri Mat Akir semenjak kehilangannya dua tahun lebih sebelum itu. Kecuali mukanya kelihatan pucat sedikit. Tingkah lakunya tetap pendiam dan tidak bercakap. Dia juga selalu ketawa riang bila mendengar perbualan dari rakan-rakannya.
“Kemana kau menghilang selama lebih dua tahun ni?” Tanya Latip Debok. Di wajahnya terbayang juga kegembiraan kerana dapat berjumpa semula dengan temannya itu.
“Aku bertapa menambahkan ilmu,” jawab Mat Akir perlahan.
“Jauhkah tempatnya?” Sarip Uncoi pula mencelah.
“Jauh juga…..” beritahu Mat Akir tersengih-sengih. “Aku bertapa di Hutang Nuang, terpaksa mendaki gunung dan bukit,” katanya mengharapkan kawan-kawannya tidak bertanya banyak mengenai kehilangannya itu.
“Tapi arwah Pawang Bulin kata, kau selalu balik ke sini…..” Rasad tiba-tiba menyampuk. Dia mahu mempastikan sendiri akan kebenaran cerita Mat Akir pergi bertapa itu.
“Iyalah, arwah Pawang Bulin tu guru saya juga,” jelasnya serba salah.
Jawapan Mat Akir itu meragukan Rasad. Kalau benarlah Mat Akir mengaku Pawang Bulin gurunya, mengapa pula Pawang Bulin sendiri mengatakan ilmunya tidak upaya menentang Mat Akir.
“Kau balik ke kampung ni, bila diseru oleh Pawang Bulin?” desak Rasad supaya Mat Akir menceritakan rahsia sebenar dirinya.
Mat Akir mengangguk. Tetapi dia mula tidak mahu melayani sangat pertanyaan-pertanyaan seperti itu. Setiap kali orang bertanya Mat Akir membawa kepada cerita lain pula.
“Jadi benarlah kata arwah Pawang Bulin, kau ni bukannya Mat Akir dulu. Engkau sebenarnya To’ Sheikh penghulu bunian.” Rasad meninggikan suara.
Mat Akir tidak menjawab. Dia hanya tunduk mengalirkan air mata kerana kesedihan. Dia tidak menduga kepulangannya disambut dengan ejekan dari Rasad. Bagaimanapun dia masih dapat mententeramkan hatinya, kerana dari ilmu kebatinannya memang sudah diketahui bahawa sifat manusia biasa ini selalu tergesa-gesa. Mereka tidak sabar-sabar mahu mengetahui rahsia di sebalik satu-satu kejadian itu.
Walaupun didesak oleh Rasad berulang kali sama ada benar dia To’ Sheikh yang diceritakan oleh arwah Pawang Bulin itu, Mat Akir tetap membisu. Sekali sekala dia mengesat air matanya dengan lengan baju.
Kira-kira seminggu dia di rumah, Mat Akir meminta izin kepada emaknya untuk pergi semula.
“Kemana kau nak pergi lagi Akir?” rintih Mak Teh tersedu-sedu menahan sebak di dada.
“Saya nak balik ke Hutan Nuang,” sahut Mat Akir. “Nanti saya akan balik lagi menemui emak,” jelasnya menahan kesedihan kerana berpisah dengan sanak saudara.
“Menetaplah di kampung ni, Akir. Tak payahlah pergi bertapa lagi. Cukuplah dengan apa yang kau ada sekarang. Emak pun dah tua, kaulah menjaga mak sekarang,” Mak Teh merayu supaya Mat Akir tidak meninggalkannya.
“Saya akan balik dua tiga bulan sekali,” Mat Akir memberi jaminan.
“Kau kahwin sajalah dengan gadis di kampung ni Akir. Kalau kau dah kahwin, senang hati mak,” Mak Teh tetap mencari helah untuk menghalang Mat Akir.
Mat Akir hanya tersenyum bila ditimbulkan perkara berkahwin. Tetapi sebelum dia pergi, dia memeluk emaknya, erat-erat. Terasa juga pada Mak Teh air mata Mat Akir panas menitik di atas bahunya.
Dua tiga bulan selepas peristiwa itu, sekali lagi Mat Akir muncul. Ternyata dia tidak memungkirkan janjinya kepada emaknya. Pada kali ini Mak Teh tidaklah ragu-ragu lagi dengan kemunculan Mat Akir itu. Setiap kali Mat Akir balik, emaknya mengadakan kenduri doa selamat di samping doa arwah.
Bagaimana pun Rasad abang iparnya tetap berikhtiar mahu mengetahui rahsia sebenarnya Mat Akir. Apabila Mat Akir balik semula ke hutan, dia mengendap dari belakang. Apabila sampai ke satu tempant lapang didapatinya Mat Akir tiba-tiba ghaib dari pandangan. Kemudian dia merasakan dirinya tersesat hingga tidak dapat mencari jalan pulang.
Puas Rasad berpusing-pusing mencari jalan untuk balik semula tetapi tidak juga berjumpa. Dalam keadaan demikian Rasad tidaklah tergopoh-gopoh. Terlintas di kepalanya akan petua yang diberi oleh aruah Pawang Bulin apabila menghadapi keadaan tersesat di hutan.
Cepat-cepat Rasad membuka pakaiannya sampai bertelanjang bulat. Kemudian dia berjalan memerhatikan akar melintang jalan. Apabila dapat akar tersebut dia pun membelahnya lalu menyusup tubuhnya di celah belahan akar itu.
Sebaik saja dia keluar dari belahan akar itu di dapatinya dia berada di tepi sungai dekat pokok kelepung di tempat Mat Akir memasang rawai dulu. Selepas itu barulah dia merasa gementar ketakutan. Segala apa yang dialaminya ini tidak di ceritakan oleh Rasad kepada sesiapa pun.
Begitulah seterusnya berlaku kepada keluarga Mak Teh. Setiap dua atau tiga bulan sekali Mat Akir balik ke rumah emaknya. Kadangkala sampai seminggu dia di rumah, kadangkala dua tiga hari saja. Setiap kali dia balik ada saja orang meminta ubat darinya.
Mat Akir tidak keberatan mengubati orang-orang yang meminta ubat. Kononnya ada seorang tua bermata rabun meminta Mat Akir ubatkan. Mat Akir menjampikan air lalu disapu kepada mata orang tua berkenaan. Dengan izin Allah orang tua itu dapat melihat semula.
Kerana kebolehannya itu Rasad mula mengesyaki bahawa Mat Akir yang ada di depannya tidak sama dengan Mat Akir yang hilang dua tahun sebelumnya.
Apa yang menjadi keraguan Rasad itu pula memang sudah diduga oleh Mat Akir. Tetapi dia tetap bersabar supaya tidak melanggar syaratnya, agar boleh keluar menemui kaum keluarga sendiri. Dia mesti merahsiakan kedudukan sebenarnya.
Sebab di dalam ilmu kebatinan yang dituntutnya, apabila orang sudah mengenal asal usul musuhnya, maka mudahlah musuh itu ditundukkan. Demikian juga dalam menghadapi gangguan setan, apabila sudah di ketahui asal usul setan maka mudahlah mengalahkan setan itu.
Puteri Bungsu juga menasihatkan Mat Akir supaya jangan kerap sangat menemui keluarganya.
“Manusia selalunya tidak ramai yang berhati jujur. Kalau Putera Ali selalu sangat ke sana, mereka akan mencari jalan untuk menghalang Putera Ali datang semula ke sini,” kata Puteri Bungsu mengingatkan dia.
“Pandailah saya menjaga diri Puteri Bungsu,” Mat Akir memberi pengakuan.
“Saya bimbang Putera Ali akan dianiaya oleh manusia,” ujarnya lagi.
“Janganlah bimbang. Kalau keadaan memaksa mungkin saya akan mengambil keputusan tidak akan menemui mereka lagi. Kita berdua tidak boleh di pisahkan lagi,” tegasnya memeluk Puteri Bungsu erat-erat.
“Kita sudah mempunyai anak di sini, sebab itu saya takut kalau Putera Ali tidak dapat melepaskan diri dari perbuatan mereka yang tidak jujur.” Puteri Bungsu menyatakan keraguannya.
Dia tahu manusia biasa juga mempunyai kebolehan ilmu kebatinan yang boleh menundukkan orang-orang bunian. Mereka terpaksa lari jauh mencari tempat bersembunyi kalau diganggu oleh kekuatan ilmu kebatinan manusia. Apalagi kalau manusia itu mempunyai ilmu agama yang tinggi.
Masakan Mat Akir boleh mengatasi ilmu kebatinan orang-orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Malah kalimat-kalimat yang diucapkan oleh mereka itu boleh membakar sekujur tubuhnya
“Saya hanya mahu bertemu dengan emak saya,” jelas Mat Akir bila mengenangkan emaknya yang sudah tua.
“Tetapi berhati-hatilah supaya Putera Ali tidak dianiaya. Kita sudah mempunyai anak, bermakna Putera Ali tidak boleh lagi meninggalkan kami,” dia mengingatkan.
Mat Akir tetap ingat bahawa dia sudah mempunyai anak dengan Puteri bungsu. Kalau dia kembali ke pangkuan masyarakatnya bererti anak-anak itu akan mati, kerana masyarakat bunian tidak akan menerima anaknya kalau dia sudah memungkiri janji. Anak-anak itu akan dibunuh.
Bererti kalau dia berkahwin dengan gadis lain di kampungnya, setiap anaknya akan mati seperti anak-anak bunian itu juga. Kalau anak-anak buniannya mati tiga orang, maka anak-anaknya dengan gadis di kampung juga akan mati tiga orang.
Bagaimanapun Mat Akir masih berupaya mengatasi rintangan tersebut. Selepas kematian Pawang Bulin dia merasakan dirinya aman kalau balik menemui emaknya. Hanya Pawang Bulin yang boleh memerangkap dia bila sudah menjelma menjadi manusia biasa semula.
Kalau Pawang Bulin masih hidup tentu dia tidak dapat balik semula kealam bunian bila di ganggu dengan ilmu kebatinannya. Sebab itulah dia berani muncul semula setelah pawang Bulin meninggal dunia.
Selepas itu didapatinya Rasad juga berusaha untuk memulihkan dia supaya kembali menjadi manusia biasa. Tetapi kebolehan Rasad tidaklah membimbangkannya. Dia masih boleh melarikan diri dari perangkap yang dipasang oleh Rasad selama ini.
Misalnya semasa kenduri doa selamat, sengaja Rasad tidak membenarkan masak sayur-sayuran. Mereka menghidangkan ayam, kambing dan daging. Benda-benda makanan begini dikira sebagai berdarah yang menjadi pantang larang kepadanya.
Sebab itu Mat Akir tidak mahu memakannya. Dia hanya memakan nasi dengan ulam-ulam yang disediakan saja. Berbagai-bagai cara lagi Rasad mahu mengalahkan dia, tetapi semuanya dapat diatasi oleh Mat Akir.
Setelah beberapa kali Mat Akir balik menemui emaknya, satu ketika dia balik semasa emaknya Mak Teh sedang sakit. Mat Akir sendiri mengubat emaknya. Agak lama juga Mat Akir berikhtiar mengubat emaknya, dengan izin Allah sembuhlah Mak Teh dari sakit.
Lebih kurang hampir sebulan Mat Akir tidak balik kepada masyarakat bunian. Semasa emaknya sakit, Mak Teh berharap Mat Akir tidak meninggalkannya. Sebab itulah Mat Akir bertahan di situ menunggu emaknya sakit. Sebenarnya dalam masa dia tidak balik itu, perhubungan antara Mat Akir dengan Puteri Bungsu tidaklah terputus.
Melalui petunjuk-petunjuk Puteri Bungsu jugalah dia mengubat emaknya, kerana apabila dia pulih menjadi manusia biasa, ilmu kebatinan yang diperolehinya dari masyarakat bunian itu tidak boleh dibawanya bersama.
Setelah Mak Teh betul-betul sihat mereka mengadakan kenduri doa selamat. Ketika berkumpul sanak saudara dan orang-orang kampung inilah berlaku sedikit pertengkaran antara Rasad dengan Mat Akir, sehingga Rasad mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan Mat Akir.
“Malam ni kita berkumpul untuk mendapatkan kata putus dari Mat Akir,” kata Rasad keras. “Dia mesti berterus terang kepada kita semua, kemanakah dia selama ini. Saya sudah mengikuti jejaknya, dan dari tanda-tanda yang saya perolehi memang benar seperti cerita arwah Pawang Bulin dulu. Mat Akir sudah bernikah dengan bunian,” jelasnya mengerling kearah Mat Akir.
Muka Mat Akir tiba-tiba menjadi pucat. Tubuhnya jadi gementar mendengar kata-kata Rasad. Air matanya mula berlinang menahan kesedihan.
“Benarkah kau dah bernikah dengan bunian, dik?” Tanya Saerah tersedu sedan. Seluruh badanya terasa lemah longlai bila mendengar adiknya itu sudah bernikah dengan bunian.
“Nampaknya orang-orang sini tak sukakan saya lagi,” keluh Mat Akir perlahan.
“Kami semua sayangkan kau, Akir. Sebab itulah mak dan kakak kau mahu selamatkan kau dari bunian,” Mak Teh mencelah.
Mat Akir berpaling pada emaknya. Air matanya tetap mengalir dari pelupuk matanya. Hatinya terlalu hiba mengenangkan saat perpisahan dengan keluarganya. Apabila perkara pernikahannya dengan Puteri bungsu sudah diketahui, dia tidak boleh lagi bertemu dengan sanak saudaranya dalam bentuk dirinya yang sebenar.
Rahsia itu sebenarnya tidak boleh diberitahu kepada sanak saudaranya. Kalau rahsia itu sudah di ketahui bererti akan berpisahlah mereka buat selama-lamanya.
“Tak apalah, kalau orang-orang sini dah tak suka saya, saya tak akan balik lagi ke sini,” katanya dengan bercucuran air mata.
“Mak tak mahu kau tinggalkan kami semua. Kami mahu bunian pulangkan balik kau kepada kami,” Mak Teh juga ikut tersengguk-sengguk menahan kepiluan yang menusuk.
Lama Mat Akir termenung memikirkan saat perpisahannya. Kalaulah Rasad tidak berkeras mengungkit-ngungkit fasal kemunculan dia selepas dua tahu lebih menhilangkan diri, tentulah dia boleh berterusan menemui emaknya. Memang benarlah seperti kata Puteri Bungsu bahawa manusia biasa tidak akan dapat menyimpan rahsia.
Setelah berfikir sejenak barulah Mat Akir mahu menerangkan keadaan sebenarnya. “Selepas saya menceritakan semua ini, nampaknya berpisahlah kita buat selama-lamanya. Kalau abang Rasad tidak mengungkit-ngungkit perkara ini, tentulah saya dapat mengunjungi sanak saudara dua tiga bulan sekali,” ujarnya masih dalam keadaan hiba.
“Saya sudah berkahwin dengan bunian dan sudah mempunyai anak. Saya tidak akan dapat menjelma sebagai manusia biasa lagi untuk menemui sanak saudara, selepas saya membukakan rahsia ini. Hanya itulah perjanjian saya yang selama ini saya rahsiakan.”
Dengan penjelasannya itu barulah Rasad merasa kesal atas sikapnya ingin sangat mahu mengetahui kedudukan sebenarnya Mat Akir selama ini. Tetapi apa boleh buat semuanya sudah terlanjur.
Bagaimanapun sebelum dia pergi meninggalkan keluarganya buat selama-lamanya Mat Akir ada berpesan supaya menjaga sanak saudaranya yang lain supaya tidak mengikut jejak dia.
“Perhatikanlah anak-anak kalian, kalau tidak ada parut kesan luka-luka, itulah yang akan dilarikan oleh bunian,” dia mengingatkan.
Dia memberikan kemenyan kepada Saerah sebagai hadiah terkahirnya. “Kalau orang-orang kampung nak meminjam pinggan mangkuk beratus-ratus buah untuk kenduri kendara, bakarlah kemenyan ini. Tetapi dengan syarat pulangkan balik semuanya dengan lengkap dan jangan dicuri atau disorok. Kalau pecah pulangkan juga yang pecah itu. Kepada keturunan kak Saerahlah saya benarkan,” demikianlah pesannya.
Di samping itu sempat juga dia memberi petua kepada Saerah untuk membantu orang yang memerlukan rawatan perubatan. Tetapi dia lebih banyak menunjukkan pada Saerah cara-cara membidankan orang beranak, supaya bayi itu tidaik di larikan oleh bunian.
“Perhatikan urat hijau melintang pada dahi anak itu, namanya serau. Kalau sudah ada serau itu bermakna sudah ditandanya. Janganlah jangan sampai terlepas ke tangan bunian,” dia mengingatkan.
Sejak dari peristiwa itu tidak adalah lagi Mat Akir balik ke kampungnya. Keturunan dari Saerah itulah kononnya sampai kepada arwah nenek saya, seperti yang telah diceritakan di awal tadi.

SELESAI