Monday, December 29, 2014

105. ORANG BOTAK REMPUH JARING




Untuk mengetahui lebih lanjut beberapa pengalamannya, Pak Musid sengaja mengajak saya mendekut burung wak-wak ini, bolehlah melunturkan semangat saya supaya tidak lagi berkeras mahu menuntut ilmu kebatinan darinya.

Memang Pak Musid tidak suka saya mahu menuntut ilmu darinya.  Dia sendiri enggan mengajarkan.  Sebab itu dia cuba menceritakan kepada saya pengalaman-pengalaman ganjil yang pernah dialaminya itu.

“Kita mendekut mesti cari tempat lapang….” Katanya pada satu malam yang gelap gelita.  “Kalau di tempat banyak pokok burung-burung itu akan hinggap di atas pokok, dia tidak turun ke tanah,”  jelasnya sambil membelek-belek buluh peniup untuk mendekut.

“Dari mana burung wak-wak ni datang?”  Tanya saya, kerana menurut cerita Pak Musid apabila buluh mendekut itu di tiup beribu-ribu ekar burung wak-wak akan datang menyerbu.

“Dia tu macam binatang ternak dalam reban,”  ujarnya mendongak ke langit yang hitam gelap.  “Bila kita tiup buluh mendekut ni, terbukalah pintu rebannya.  Jadi mereka pun datang mencari bunyi dekut kita ni…” dia menambah.

Teringin juga saya mahu melihat bagaimana Pak Musid mendekut burung wak-wak.  Saya di beritahu burung tersebut akan datang seperti ayam yang jinak mengikut cahaya lampu suluh di tangan.  Kemudian dengan mudah kita boleh menangkapnya dengan tangan.

Tetapi ada juga orang-orang yang tidak sabar menggunakan tangguk untuk menangkap burung wak-wak ini.  Kadangkala mereka mendapat dua tiga guni sekali mendekut.  Setiap malam mereka akan mendekut burung wak-wak itu, kemudian menjualnya kepada peraih-peraih Cina.

“Ertinya, adalah orang yang mengembala burung ni Pak Musid?” soal saya.

Pak Musid mengangguk kepala.  “Semua binatang liar tu ada gembala, sebab itu kita minta izin kalau mahu menangkapnya…” ujarnya perlahan.

“Apa yang menyebabkan tuan yang menggembala itu boleh marah?”  saya ingin tahu.

“Macam kita jugalah…..”  jelas Pak Musid mengajak saya ke tengah sawah mencari tempat yang lapang.  “Binatang ternak kita kalau dicuri orang tentu kita marah, kalau orang minta pun mestilah dengan cara jual beli.  Kalau mencuri hak dia tentulah dia marah,”  katanya lagi.

Malam bertambah gelap.  Segaja Pak Musid menetapkan waktu malam gelap untuk mengajak saya mendekut wak-wak itu.  Burung wak-wak ini tidak mungkin datang kalau bulan gelap.  Lagi pun dia mudah lari kalau nampak bayang manusia.

“Wak-wak yang kita dekut ni tidak sama dengan wak-wak yang ada di sawah.  Wak-wak sawah tubuhnya besar sedikit, tapi wak-wak yang ini tubuhnya kecil,”  Pak Musid memberitahu.

Kami sampai di tengah sawah sambil mendongak ke langit.  Saya memegang lampu suluh panjang sambung ubat enam.  Lama Pak Musid mendongak ke langit barulah dia menghentak-hentak tumit ke tanah.  Dia tidak terus meniup buluh khas untuk mendekut itu.

Pak Musid menyuruh saya mengikut dia sama menyangkung di tanah.  Takut juga saya mahu menyangkung kerana bimbangkan pacat masuk ke dalam seluar.  Tetapi biasanya kalau sawah kering jarang ada pacat di situ.

Keadaan malam yang gelap gelita itu juga cukup mendebarkan.  Maklumlah saya belum pernah lagi mengikut Pak Musid mendekut.  Pernah juga saya mendengar cerita dari Pak Musid mengenai Jidin Bacul yang mendekut burung wak-wak ini.

Seperti sana juga, Jidin Bacul berharap Pak Musid supaya mengajarkan dia ilmu mendekut burung wak-wak ini.  Disebabkan Jidin Bacul sudah biasa dengan Pak Musid, malah mereka pernah sama-sama ke hutan bersama Pak Tua Mahat, maka tidaklah menjadi keberatan kepada Pak Musid menurunkan ilmu yang ada di dada kepada Jidin Bacul.

Dengan berbekalkan ilmu yang diberi Pak Musid, hanya beberapa waktu saja Jidin Bacul sudah dikenali sebagai ahli mendekut burung wak-wak di kampung itu.  Tiap-tiap malam dia mendapat dua karung sarat berisi burung wak-wak ini.  Burung-burung ini di jualnya borong kepada seorang peraih Cina dengan harga 50 sen seekor.

“Tak baik kau buat macam tu, Jidin,”  Pak Musid mengingat dia.

“Ah, sikit-sikit aje Pak Musid,”  sahut Jidin Bacul cuba menyembunyikan kegiatannya dari Pak Musid.

“Aku dengar tiap-tiap malam kau kerjakan,”  sindir Pak Musid.

“Hah, cakap orang aje Pak Musid,”  Jidin Bacul berdalih.  “takkan saya berni melanggar pantang,”  jelasnya lagi.

“Terpulanglah pada kau Jidin.  Benda salah lambat laun makan diri juga,’  Pak Musid mengingatkan Jidin Bacul.

Sejak itu tidak adalah lagi Pak Musid menegurnya.  Terpulanglah pada Jidin Bacul sendiri sama ada mahu meneruskan perbuatan mendekut burung wak-wak itu setiap malam atau tidak.  Pak Musid sudah mengingatkan bahayanya kalau terlalu tamak.

Perbuatan Jidin Bacul mencari wang dengan menjualkan burung wak-wak yang diperolehinya itu memang tidak menyenangkan hati Pak Musid.  Dia sudah menegahnya, tetapi Jidin Bacul tidak menghiraukan nasihatnya.

Ketika menurunkan ilmunya kepada Jidin Bacul sudah disyaratkan supaya tidak menyalah-gunakan ilmu tersebut.  Tetapi ternyata Jidin Bacul melanggar syarat itu.  Dia terus juga mendekut burung wak-wak ini setiap malam, kerana ada peraih yang sanggup membeli darinya.

Untuk memudahkan kerjanya dia mengajak pula bapa saudara saya Usu Khatibah membantunya.  Usu Khatib memanglah suka pergi mendekut burung wak-wak ini, apalagi mendapat wang yang lumayan pula.  Satu karung itu berisi kira-kira 50 ke 60 ekor burung wak-wak.  Bayangkanlah berapakah yang mereka perolehi kalau seekor dijual dengan harga 50 sen.

Satu malam Usu Khatib mengajak Jidin Bacul memasang jaring di sepanjang sawah.  Dengan cara ini burung-burung berkenaan akan tersangkut pada jaring.  Mereka akan mendapat lebih banyak lagi kalau dibandingkan dengan menggunakan tangguk.

Sebenarnya Usu Khatib pun memang berkebolehan dalam mendekut burung wak-wak ini.  Ada juga dia belajar dari Pak Tua Mahat.  Di samping itu dia juga rajin menuntut ilmu sampai bertapa ke hutan-hutan.  Sama ada juga dia lebih handal dari Pak Tua Mahat atau tidak, saya kurang pasti pula.

Pada mulanya Jidin Bacul yang mendekut, tetapi bila burung wak-wak sudah mula menyerbu beratus-ratus ekor,  Usu Khatib pula meniup buluh mendekut itu.  Jidin Bacul yang memungut burung wak-wak yang tersangkut pada jarring,

Ketika burung-burung bertempiaran menyerbu jaring Jidin Bacul terdengar bunyi orang mendehem.  Pada sangkanya Usu Khatib yang mendehem di dalam gelap gelita.  Tetapi Usu khatib sudah pun mendengar bunyi orang mendehem itu jauh di udara.

“Jidin, balik kita.  Jangan tunggu lagi, geruh kita,”  laung Usu Khatib yang berada kira-kira setengah rantai dari tempat Jidin Bacul memungut burung wak-wak tersangkut di jaring itu.

Laungan Usu Khatib tidak didengar oleh Jidin Bacul.  Dia terus juga memungut burung-burung tersangkut dimasukkan ke dalam karung.  Setakat itu sudah dua karung penuh diisi dengan burung wak-wak.

“Cukuplah Jidin, mari kita balik.  Orang tua dah menegur di atas,”  pekik Usu Khatib lagi.

Tetapi suara Usu Khatib tenggelam di dalam keghairahan Jidin Bacul hendak menangkap burung wak-wak lebih banyak.  Perasaan tamak sudah bersarang di hatinya apabila mendapati banyak burung wak-wak tersangkut pada jaring yang terentang.

“Balik kita Jidin, cukuplah tu,”  Usu Khatib memanggilnya.  Tetapi dia nampak lampu suluh Jidin Bacul tidak juga bergerak mendapatkan dia.  Marah juga Usu Khatib kerana Jidin Bacul berdegil mahu memungut lagi burung-burung tersebut.

Bunyi dehem orang bergaung lagi di udara.  Usu Khatib mula merasa bimbang.  Dia tidak berani mendekati sinar lampu suluh yang dipegang oleh Jidin Bacul.

“Padamkan lampu Jidin, kita balik sekarang.  Cukuplah yang dapat tu….”  Dia melaung sekuat hatinya.

Puas Usu Khatib memanggil namun Jidin Bacul tidak juga mempedulikan.  Lampu suluhnya tetap terpasang menyilau keatas ke bawah menyuluh jaring yang terentang.  Burung wak-wak menggelupur tersangkut pada jaring tersebut.  Jidin Bacul terlalu gembira kerana banyak dapat menangkap burung wak-wak itu.

Bunyi dehem orang semakin garang.  Usu Khatib mendongak ke langit memerhati awan gelap di udara.  Dia nampak gumpalan awan hitam itu berputar-putar seperti bola menggolek.  Apabila gumpalan awan tadi menerpa kearah jaring sinar lampu suluh ditangan Jidin Bacul menyilau kearahnya.

Usu Khatib nampak satu lembaga orang berkepala botak merempuh ke dalam jaring.  Serentak dengan itu dia terdengar Jidin Bacul menjerit.  Lampu suluh di tangannya juga terpelanting jatuh.  Lama Usu Khatib memerhati kearah tempat Jidin Bacul memungut burung wak-wak tersangkut di jaring.

“Jidin….”  Laung Usu Khatib dari jauh.

Jidin Bacul tidak menyahut.  Silau lampu suluhnya tidak lagi menyuluh keatas ke bawah.  Cepat-cepat Usu Khatib mara ke tempat Jidin Bacul tadi.  Sesampai saja dia di situ didapatinya lampu suluh panjang sambung enam sudah terpelanting ke tanah.  Dia mencapai lampu tersebut sambil menyuluh mencari Jidin Bacul.

Tiba-tiba dilihatnya Jidin Bacul terbaring ditanah.  Mulutnya berbuih-buih.  Tangannya mengepak-gepak macam burung wak-wak menggelupur pada jaring.  Usu Khatib mendapati jaring yang terentang juga sudah roboh seperti kena rempuh.

Tidak ada seekor pun burung wak-wak tersangkut pada jaringnya. Di dalam karung yang diisi oleh Jidin Bacul tadi, masih ada lagi burung wak-wak menggelupur.  Usu Khatib membukakan iktan karung sambil melepaskan burung-burung yang ada di dalamnya.

Bagaimana pun karung yang satu lagi tetap di ambilnya.  Dengan bersusah payah dia memapah Jidin Bacul balik ke rumah.  Esoknya gemparlah sebuah kampung mendengar berita Jidin Bacul pengsan ketika mendekut burung wak-wak di tengah sawah.

Jidin Bacul hanya terkejang saja di tengah rumah tidak dapat bercakap.  Mulutnya terkancing, kaki tangannya kejang, nafasnya turun naik kencang.

Masuk minggu yang pertama Jidin Bacul terkejang saja di tengah rumah, isterinya pun memanggil Pak Tua Mahat dan Pak Musid.  Dia menceritakan kepada Pak Tua Mahat apa yang telah berlaku seperti yang diberitahu oleh Usu Khatib.

“Khatib dah cuba mengubatnya, tapi nampaknya tak juga berubah,”  beritahu isteri Jidin Bacul.

“Nampaknya Jidin ni pasang kenanya.  Tak boleh dengan air sejuk atau kain hitam aje….”  Ujar Pak Tua Mahat.

“Habis, kena simah ke?”  Tanya isteri Jidin Bacul bercampur bimbang.

“Nak simah dengan apa…?”  gerutu Pak Tua Mahat menampar-nampar tapak tangan kepada kepala lutut.  “Perkara ni bukan fasal simah, bukan fasal nasi kunyit ayam panggang, bukan fasal tabur bertih,”  rungutnya macam menyesali sikap degil adiknya Usu Khatib dan Jidin Bacul mendekut wak-wak.

“Jadi, apa kita nak buat sekarang?” isteri Jidin Bacul semakin cemas.

“Ini perkara dah terlanjut,”  sahut Pak Musid pula.  Hatinya memang terkilan kerana Jidin Bacul tidak menghiraukan tegahan dia supaya jangan mendekut lagi.

“Kalau dah terlanjur, kita nak biarkan Jidin macam ni aje ke…?”  tangis isteri Jidin Bacul mula menusuk.

“Kenalah kita ikhtiar,”  sahut Pak Tua Mahat mententeramkan hati perempuan itu.  “Tetapi melepaskan perkara dah terlanjut tidak sama dengan macam yang belum terlanjut,”  ujarnya mengeluh kesal.

Jidin Bacul terlentang juga di tengah rumah.  Mulutnya tetap terkancing tangan kakinya tetap terkejang.  Nafasnya tetap kencang turun naik.

“Nampaknya awak kenalah ditidurkan, Musid,”  Pak Tua Mahat memandang kearah Pak Musid.  Kata-kata Pak Tua Mahat itu difahami oleh Pak Musid.  Bererti dia terpaksa membantu Pak Tua Mahat secara kebatinan keluar dari tubuhnya mencari punca sakit yang dihadapi oleh Jidin Bacul itu.

Pak Musid menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.

Pada malam ditetapkan untuk mengubat Jidin Bacul, orang-orang kampung semua datang untuk menyaksikan.  Masa ini saya masih budak-budak lagi, tetapi saya dapat ingat bagaimana pengubatan itu dibuat.  Bagaimanpun saya tidaklah tahu hujung pangkalnya.

Apabila saya sudah dewasa dan mendengar cerita dari Pak Musid barulah saya memahami akan kejadian beberapa tahu lampau.

Pak Musid diminta berdiri tegak berhampiran dengan Jidin Bacul terbaring.  Kemudian Pak Tua Mahat menyuruh Pak Musid merenung tapak tangannya yang diangkat tinggi melangkaui kepala.  Beberapa minit kemudian Pak Musid tersentak-sentak lalu rebah sambil disambut oleh Usu Khatib.

Semua orang yang ada di situ melihat Pak Musid tidur tidak sedarkan diri lagi.

“Keluar kau Musid, keluar dari jasad…..”  perintah Pak Tua Mahat.  “Kau dengar apa yang aku suruh, dan buat apa yang suruh,”  katanya memberi arahan.

Pak Musid yang terlentang tidak sedarkan diri tidak bercakap apa-apa.

“Keluar kau Musid, keluar dari jasad,”  Pak Tua Mahat mengulangi.

“Aku dah keluar….” Sahut Pak Musid terketar-ketar.

“Kau nampak Jidin di hujung kaki kau?”  soal Pak Tua Mahat memegang pergelangan tangan Pak Musid.  Sepanjang dia mengubat itu tangannya tidak lepas dari memegang pergelangan tangan Pak Musid.

“Nampak…” jawab Pak Musid.

“Kenapa Jidin tu?”  Tanya Pak Tua Mahat lagi.

“Dia kena kurung dalam sangkar,”  Pak Musid memberitahu.

“Sekarang kau pergi lepaskan Jidin, bawa dia balik ke mari,”  ujar Pak Tua Mahat macam memberi perintah.

Ketika ini orang-orang yang melihat Pak Tua Mahat mengubat itu, dapat melihat Pak Musid mendengus-dengus saja.  Dia hanya terlentang saja seperti orang tidur yang tidak sedar apa-apa.

Sebenarnya masa ini orang tidak tahu bahawa jasad Pak Musid saja yang mereka lihat tidur di situ.  Pak Musid sebetulnya sudah mengembara jauh dengan dipandu oleh Pak Tua Mahat.  Dia merasakan dirinya berada di atas tengkuk Pak Tua Mahat melayang di udara.

Dia sampai ke satu kawasan hutan yang jauh.  Apabila sampai di kawasan lapang dia melihat Jidin Bacul sedang dikurung dalam sangkar yang diperbuat dari ruyung nibung.  Seorang lembaga hitam berkepala botak menunggu di luar sangkar tersebut.

Bagaimanapun Pak Musid tidak boleh bertindak sesuka hati.  Dia hanya mendengar suara Pak Tua Mahat saja memerintahkan dia melakukan itu dan ini.

“Keluarkan Jidin….”  Suara Pak Tua Mahat sayup-sayup di cupingnya, walaupun ketika itu dia sedang duduk di atas tengkuk Pak Tua Mahat.

Dia turun dari tengkuk Pak Tua Mahat lalu menerpa kearah lembaga hitam berkepala botak itu.

“Tak boleh, orang yang jaganya lebih besar dari aku,”  Pak Musid memberi tahu.

“Besarkan tubuh kau, besarkan lebih sekali ganda dari dia,”  dia mendengar Pak Tua Mahat membisikkan ke telinganya sambil meniup perlahan di ubun-ubunnya.  Ketika ini Pak Musid merasa tubuhnya menjadi besar, lebih sekali ganda dari tubuh lembaga hitam berkepala botak itu.

Pak Musid mendekati lembaga berkenaan.

“Aku Musid…..”  kata Pak Musid bercekak pinggang merenung muka lembaga hitam berkepala botak.  “Lepaskan Jidin, kalau tidak kau binasa,”  jerkahnya macam mengugut.

“Dia yang punahkan gembala aku!”  sahut lembaga hitam berkenaan.

“Kalau gembala kau punah kenapa tak minta ganti, kenapa kau kurung Jidin.  Kau nak tunjuk keras kepala dengan anak cucu Malim Kerimun,”  Pak Musid semakin garang.

“Dia tak mahu ganti,”  jelas lembaga hitam itu.

“Sekarang aku bagi kata dua, kau nak lepaskan Jidin atau tidak!”  dia menampar muka lembaga berkepala botak itu.  Lembaga itu cuba bangun melawan, tetapi setiap kali dia mahu menerkam kearah Pak Musid, dirinya terpelanting dihembus oleh Pak Tua Mahat.

“Mentang-mentang kau dijaga To’ Pawang, berani kau menampar aku,”  jerit lembaga hitam berkepala botak itu terlalu marah.

“Kau nak rasa lagi tangan aku.  Nanti aku besarkan lagi badan aku, tubuh halus menusia boleh besar berganda-ganda, tidak macam tubuh halus setan.  Tubuh kau besar ada had batasnya.  Cuba besarkan tubuh kau….”  Herdik Pak Tua Mahat membesarkan tubuhnya sekali ganda lagi.

“Cukup,cukup!  Jangan besarkan tubuh halus kau,”  lembaga berkenaan macam merayu minta pertolongan.

“Sekarang kau nak lepaskan Jidin atau tidak?”  Pak Musid menghentakkan kakinya ke tanah sampai bergegar.  Lembaga hitam itu terhoyong hayang setiap kali Pak Musid menghentakkan kaki.

“Manusia tak boleh di lawan berjanji….!”  Rungut lembaga itu geram.

“Setan yang tak boleh lawan berjanji,”  sahut Pak Musid keras.

“Manusia tamak…..!”  sambut lembaga berkenaan masih berkeras tidak mahu melepaskan Jidin yang terkurung di dalam sangkar ruyung nibung.

“Aku tak hendak layan kau.  Sekarang kau nak lepaskan Jidin atau tidak?”  ugut Pak Musid sambil menghentakkan kakinya.

Kemudian Pak Musid terdengar suara Pak Tua Mahat menyuruh di membaca ayat Kursi.  Pak Tua Mahat menyuruh dia hembuskan kepada lembaga hitam itu. Pak Musid menghembusnya.

Dia melihat lembaga hitam berkepala botak itu terbakar hangus.  Menggelupur menjerit meminta pertolongan.  Tetapi tidak siapa pun datang menolongnya.  Pagar sangkar yang diperbuat dari ruyung nibung itu juga terbakar.  Pak Musid nampak Jidin mula bangun dan keluar dari sangkar tersebut.

“Sekarang kau balik Musid….”  Dia terdengar namanya diseru oleh Pak Tua Mahat.  Dia terasa tubuhnya melayang naik keatas tengkuk Pak Tua Mahat.

“Masuk semula perlahan-lahan ke dalam tubuh kau, Musid,”  perintah Pak Tua Mahat.

Dia nampak tubuhnya terbaring dihadapan orang-orang kampung.  Kemudian perlahan-lahan dia masuk melalui ubun-ubunnya langsung lenyap tidak diketahuinya lagi.  Tiba-tiba saja dia terbangun dari tidurnya.  Semuanya berlaku seperti mimpi saja kepada Pak Musid.

Apabila dibangun dari tidurnya semula, didapatinya Jidin Bacul sudah sedar dari pengsan sejak seminggu lalu.  Bidin bacul sudah meminta air untuk minum.

Kerana peristiwa itu berlaku bertahun-tahun dulu, sejak saya masih kecil, tidaklah saya tahu dengan jelas bagaimana Pak Musid tertidur dan bercakap di dalam tidurnya.  Hampir satu jam dia tertidur, tiba-tiba saja Jidin Bacul boleh sedar dari pengsan.

Kejadian ini tentulah mengherankan orang-orang kampung.  Tetapi pada Pak Musid dan Pak Tua Mahat kejadian ini perkara biasa saja.  Di dalam ilmu kebatinan tidak ada yang mengherankan.

“Selagi manusia sudah kenal pada dirinya, tak ada apa yang perlu dibimbangkannya,’  ujar Pak Musid sambil meminta saya memadamkan lampu suluh di tangan.

Malam gelap tidak kelihatan apa-apa, kecuali kawasan bukit dan kampung di darat sawah yang berbalam-balam.  Pak Musid mula meniup buluh mendekutnya.  “Kuakkk…kuakkk….kuakk….”
dia meniup berulang kali.

Kemudian saya mendengar bunyi seperti angin kencang bertiup dari awan.  Saya menjangkakan hujan akan turun.  Tiba-tiba seekor burung hinggap di atas baju menyebabkan saya terkejut.  Tetapi Pak Musid cepat-cepat menangkap burung tersebut.

“Bolehlah kita makan gulai wak-wak….” Dia menepuk bahu saya sambil mencapai lampu suluh di tangan saya.  Selepas itu beberapa ekor lagi burung wak-wak datang menyerbu kearah lampu suluh yang menyilau.



SELESAI