Tuesday, January 6, 2015

106. BERJUMPA PUTERI BUNIAN




“Kau akan dihantar ke tempat-tempat yang menakutkan supaya menjadi biasa, dan pada masa-masa akan datang kau tidak akan takut lagi kalau menghadapi suasana begitu,”  Pak Musid menjelaskan.

Saya bersetuju dengan cadangan Pak Musid itu.

Dia menyuruh saya berdiri tegak berhadapan dengannya.  Sementara Jidin Bacul berdiri di belakang saya, kononnya apabila saya rebah tertidur Jidin Bacul akan menyambut saya dari belakang.  Pengalaman ini pada mulanya sungguh mengerikan, setelah mengikuti cara-cara amalan yang ditunjukkan oleh Pak Musid.

“Jangan berhenti berzikir di dalam hati…”  dia mengingatkan saya sambil tangannya diangkat tingi-tinggi.  “Dan pandang tapak tangan saya serta kuatkan zikir,”  perintahnya.

Saya memandang tepat kepada tapak tangan pak Musid.  Dia membaca sebahagian dari surah Yasiin kemudian dihembuskan kepada kepala saya.

“Dengan izin Allah tidur kau…tidur,”  serunya sambil menyuruh saya memandang tepat-tepat kepada tapak tangannya.  Lama kelamaan saya nampak tapak tangannya kabur.  Akhirnya menjadi hitam tidak kelihatan apa lagi.

Sejurus kemudian saya dengar Pak Musid berbisik ke telinga saya,  “Mulakan dengan ayat Bismillahhi-Rahmanni-Rahim…”  Saya menurut arahannya membaca ayat tersebut.  “Teruskan zikir….” Perintahnya lagi.  Saya juga mematuhinya.

“Sekarang jangan takut, ikut perintah aku, dan ikut apa arahan aku,”  katanya berbisik tetapi dapat saya dengar dengan jelas.

Saya tidak nampak apa-apa kecuali suara bisikan dari Pak Musid saja.  Saya seolah-olah berada di satu tempat gelap yang terlindung.

“Sekarang keluar perlahan-lahan dari tubuh kau,”  saya terdengar lagi arahan dari Pak Musid.

Kemudia saya merasa dirinya saya melayang ke udara keluar dari tempat gelap yang mengurung tadi.

“Kau sudah keluar?”  Tanya Pak Musid.

“Sudah…”  sahut saya yang ketika itu berada di awang-awangan.

“Apa yang kau nampak?”  Pak Musid bertanya lagi.

Ketika ini saya merasa diri saya seperti orang tidur yang sedang bermimpi.  Saya melihat kebawah dan nampak tubuh saya tidur terlentang.  Jidin Bacul ada duduk di hujung kepala saya, sementara Pak Musid di sisi saya sambil memegang pergelangan tangan saya.

“Saya nampak tubuh saya terbaring…..”  saya memberitahu apa yang saya lihat kepada Pak Musid.

“Baiklah, sekarang baca Fatihah dan pergi ke hujung kampung,”  kata Pak Musid lagi.

Saya menurut saja perintah Pak Musid.  Ketika ini saya merasa diri saya ada di atas tengkuk Pak Musid.  Tubuh saya menjadi kecil kalau dibandingkan dengan tubuh Pak Musid.  Dia membawa saya ke hujung kampung di kawasan paya.

“Apa yang kau nampak?”  soalnya.

“Saya nampak paya,”  jelas saya.

“Baik sekarang baca Waddhuha,”  katanya.

Walaupun dia menyuruh saya membaca,  tetapi sebenarnya dia sendirilah yang membaca.  Saya terdengar dia membaca setiap surah yang disuruhnya saya membaca itu. Kemudiannya saya mengikut saja dengan lancar apa jua ayat yang dikehendakinya.

“Apa kau nampak?”  tanyanya lagi.

“Paya tadi dah hilang,” ujar saya setelah melihat kawasan paya itu selepas saja dibacakan surath Waddhuha dan dihembuskan kearah kawasan paya tersebut.

“Apa kau nampak?”  dia bertanya sambil tangannya tetap memegang pergelangan tangan aya.  Di samping itu saya merasa seolah-oleh duduk di atas tengkuknya.

“Saya nampak perkampungan orang.  Di situ ada rumah besar yang di kelilingi oleh kolam mandi,”  jelas saya menerangkan seperti apa yang saya lihat sendiri.

“Sekarang kau masuk ke kampung itu, lenyapkan diri kau dengan zikir dan beritahu aku apa yang kau nampak,”  perintah Pak Musid lagi.

Saya turun dari tengkuknya menuju ke rumah besar yang dikelilingi kolam mandi.  Saya terus berzikir seperti yang diarahkan oleh Pak Musid.  Ketika ini saya melihat beberapa orang melintasi berhampiran dengan saya, tetapi mereka tidak menegur saya.

Bagaimanapun saya tidaklah berani menegur orang itu selagi tidak menerima perintah dari Pak Musid.  Orang-orang yang saya temui itu adalah terlalu asing kepada saya.  Tentulah saya berada di sebuah perkampung yang belum pernah saya sampai sebelum ini.

Anehnya orang di situ tidak berjalan seperti manusia.  Mereka kelihatan seperti melayang-layang di udara, walaupun kelihatan kakinya mencecah ke bumi.  Semua yang saya lihat itu saya laporkan kepada Pak Musid. .

Sebenarnya kau berada di perkampungan bunian sekarang ini,”  beritahu Pak Musid perlahan.

Bila mendengar diri saya sedang berada di perkampungan bunian hati saya mula gementar. Saya tahu hanya saya seorang diri saja berada di situ.  Walaupun Pak Musid memang sentiasa mengirigi saya, tetapi saya tidak kelihatan di mana dia berada.

“Jangan takut, baca sebahagian Yasiin dan hembuskan,”  perintah Pak Musid.

Saya membacanya dan saya menjadi berani semula.  Tiba-tiba saja ketakutan saya lenyap dari mengganggu perasaan.  Ketika ini saya tidak takut berhadapan dengan sesiapa saja.

“Masuk ke dalam rumah besar dengan membaca Fatihah,”  bisik Pak Musid mengarahkan saya.

Saya terus mengikut arahan Pak Musid.  Saya tahu inilah ujian kebatinan yang amat sengit.  Hanya mereka yang sudah mengalami saja dapat merasakan.  Oleh itu amatlah sukar mahu menceritakan kepada orang lain, bagaimanakah realiti sebenarnya pengalaman ini.

Apabila saya masuk ke dalam rumah besar berkenaan, saya bertemu seorang perempuan muda.  Wajahnya kelihatan cantik, dan sekitarnya tercium bau harum semerbak.  Perempuan muda itu tidak melihat saya ada di sisinya.

Saya memberitahu Pak Musid mengenai perempuan muda berkenaan.  Kemudian saya mendengar arahannya supaya memerhatikan ke mana perempuan itu pergi.  Apa yang diarahkan oleh Pak Musid saya patuhi.  Saya memerhatikan perempuan itu bermain-main dengan teman-temannya yang lain.

“Itulah puteri bunian….”  Pak Musid memberitahu saya.

“Bolehkah saya berjumpa dengannya?”  saya cuba menduga.

Pak Musid mengajarkan saya membaca satu surah mengenai Nabi Allah Sulaiman dan menghembuskan kearah perempuan muda itu.  Saya menurutkan saja arahan tersebut.

Tiba-tiba saya dapati saya berdiri di sisi perempuan muda tadi.  Dia tercengang-cengang melihat saya berdiri di situ.  Hampir dia terjerit kerana ketakutan.  Tetapi saya mendengar sesuatu yang dibacakan oleh Pak Musid menyebabkan perempuan muda itu kembali tenang.

“Selamat datang….” Dia menegur saya ramah.

Saya menganggukkan kepala kerana tidak dapat berkata-kata . Lidah saya terasa kelu berhadapan dengannya.

“Inilah tempat kami jauh dari penglihatan manusia,”  ujarnya sambil mengajak saya duduk.

Saya tidak menyahut.  Sebenarnya saya tidak tahu bagaimanakah mahu bercakap-cakap dengannya.  Saya mengharapkan Pak Musid datang membisikkan sesuatu kepada saya, tetapi puas saya menunggu-nunggu Pak Musid tidak juga memberi apa-apa isyarat.

Hati saya bimbang kalaulah  ditinggalkan oleh Pak Musid di situ.  Hanya dia saja yang bertanggung jawab keatas saya ketika ini.  Demikianlah pengalaman yang saya rasakan dalam pengembaraan ke alam batin itu.

Sebaik saja saya mahu membuka mulut dengan puteri bunian itu,  Pak Musid memerintahkan saya supaya meninggalkan tempat tersebut.  Saya merasa diri saya melayang ke udara.  Kemudian saya lihat perkampungan itu tidak ada lagi, hanya kawasan paya yang di penuhi oleh belukar teberau.

“Sekarang balik….”  Suara Pak Musid berbisik ke telinga saya.

Saya terus mencari jalan balik semula ke rumah Pak Musid.

“Baca astaghafarullah alazzim dan masuk perlahan-lahan,”  katanya lagi.

Saya terasa melayang masuk ke kawasan gelap yang tidak kelihatan.  Selepas itu saya pun terjaga.  Saya dapati Pak Musid dan Jidin Bacul ada di sisi saya.  Jidin Bacul menepuk-nepuk belakang saya dengan mengucapkan syukur.

“Alhamdullillah, kau berjaya menempuh ujian,”  kata Jidin Bacul berulang-ulang.

Saya merasa tubuh badan saya sengal-sengal.  Seluruh anggota saya menjadi kebas.  Saya memberitahu Pak Musid mengenai tubuh saya yang sengal-sengal dan merasa kebas seluruh anggota itu.  Pak Musid tidak bercakap apa-apa,  tetapi dia menghembus beberapa kali ke kepala saya.

Barulah saya merasa pulih seperti biasa.  “Memang begitulah selalunya,”  beritahu Jidin Bacul tersenyum melihat saya.

Pengalaman ini amat besar ertinya kepada saya.  Bukanlah semudah itu Pak Musid mahu menguji seseorang.  Kata Jidin Bacul, dia sendiri mengambil masa yang lama baru berani diuji oleh Pak Musid.  Pengembaraan alam batin ini sebenarnya memang boleh dilakukan oleh manusia, tetapi bukan semua orang boleh melakukannya.

Bagi orang-orang seperti Pak Musid dia sendiri boleh melakukan dengan tidak payah di pandu oleh orang lain lagi.  Tetapi bagi orang yang baru mahu memulainya harus ada orang yang memandu.  Apakah rahsia di sebalik pengajaran itu, tidaklah saya fahami sangat.

Apabila kita mengembara di alam batin pancaindera kita sudah dapat meliputi segalanya.  Kita sudah boleh melihat yang ghaib dan tersembunyi.  Bagaimanapun pengembaraan kealam batin ini terpaksa mempunyai latihan yang keras dari segi kerohanian.

Sebanarnya Jidin Bacul juga sudah mengalami pemgembaraan seperti saya ini. Malah dia sudah sampai kepada peringkat boleh bercakap-cakap dengan sesiapa yang ditemuinya. Rupa-rupanya lidah saya kelu semasa bertemu dengan puteri bunian itu, adalah disebabkan oleh saya belum biasa melakukan pengembaraan seperti ini.

“Kalau sudah biasa nanti, kau sendiri oleh bercakap dengan puteri bunian itu,”  jelas Jidin Bacul.

“Dia faham apa yang kita cakap?”  Tanya saya mengusik.

“Memang,dia faham.  Sama macam kita memahami apa yang dia cakap…”  katanya memberitahu.

“Saya tidak faham apa yang dicakapnya,” saya menerangkan pertemuan saya dengan puteri bunian itu,  “Hanya saya dengar suara Pak Musid menerangkan maksud kata-kata puteri berkenaan,”  ujar saya.

“Aku dulu pun begitu….”  Kata Jidin Bacul.”Lama kelamaan aku pun dapat faham cakapnya, dia juga faham cakap aku.”  Dia menceritakan pengalamannya pula.

Memang Jidin Bacul pernah ditidurkan oleh Pak Musid bagi membantu seorang pengembala kambing yang hilang ketika mengembala kambingnya di hujung kampung.  Di sebabkan arwah nenek saya sudah tidak ada, mereka pun meminta pertolongan Pak Musid.

Sebelum ini orang tidak tahu cara pengubatan yang dilakukan oleh Pak Musid.  Orang-orang kampung hanya tahu bahawa Pak Musid tidak lagi mengamalkan ilmu-ilmu pawang dan bomoh.  Dia hanya lebih menumpukan kepada ilmu-ilmu agama, dan sentiasa berada di surau saja.

Hanya arwah nenek sayalah diharapkan membantu mereka kalau terjadi apa-apa gangguan dari benda-benda ghaib seperti puaka, polong, bunian dan sebaginya.  Di kampung-kampung pendalaman seperti kampung saya ini kepercayaan tahyol masih tebal di kalangan penduduknya.

Tetapi perkara tahyol ini sukar hendak dijelaskan kepada mereka yang berpendidikan moden.  Hanya mereka yang pernah mengalami saja dapat memahami keadaan ini.

Apabila nenek saya sudah tidak ada, orang-orang kampung hanya berharap pada Usu Khatib saya.  Tetapi setiap kali orang-orang kampung mengadukan mengenai sakit atau meminta rawatan, Usu Khatib selalu menyuruh menemui Pak Musid.  Atau dia menasihatkan supaya dibawa ke hospital saja.

Mengapa Usu Khatib mengambil keputusan demikian, tidaklah saya tahu.  Tetapi setahu saya pernah mengalami kerja-kerja bertapa seperti yang pernah diajaknya saya.  Malangnya saya tidak berjaya melakukan kerana hati saya tidak berapa yakin,

Saya tertarik untuk belajar dengan Pak Musid kerana dia seorang berpengetahuan dalam agama.  Sebenarnya saya banyak mahu mempelajari tentang ilmu-ilmu kerohanian di dalam Islam dari Pak Musid ini.

Jadi, berbalik kepada cerita Jidin Bacul tadi, dia mendengar tentang cerita Akop Juling hilang semasa menggembala kambing.  Budak ini baru berumur 15 tahun.  Emaknya menangis-nangis datang ke rumah Usu Khatib meminta carikan anaknya secara berpawang.

“Aku bukan bomoh Mak Weh….”  Ujar Usu Khatib menasihatkannya.  “Cubalah pada Jidin ni, aku dengar dia ada juga menuntut,”  katanya sambil mengerling yang ada sama mendengarnya di situ.

“Tak kiralah siapa, asalkan dapat menolong,”  rayu Mak Weh.

Kerana kesihan kepada Mak Weh, lalu Jidin Bacul mengajak dia menemui Pak Musid.  Mulai saat itulah orang-orang kampung pula menaruh kepercayaan pada Pak Musid.

Pada mulanya Pak Musid enggan juga.  Tetapi disebabkan ingin menolong orang dalam kesusahan seperti Mak Weh,  dia bersetuju melakukannya.  Pak Musid tidak memerlukan air bunga tujuh geluk, tidak memerlukan kemenyan, tidak memerlukan kain kuning, tidak memerlukan apa-apa.

Semasa dia datang ke rumah Mak Weh dengan Jidin Bacul dan Usu Khatib, dia tidak membawa apa-apa peralatan atau ramuan ubat seperti aruah nenek saya.  Dia juga tidak memerlukan bertih garing untuk dijadikan peluru meriam.

Orang ramai yang sudah datang berkumpul di rumah Mak weh juga merasa heran dengan sikap Pak Musid.

Pak Musid menyuruh Jidin Bacul berdiri menghadapnya,  sementara Usu Khatib berdiri di belakang Jidin Bacul.  Selepas membacakan sebahagian surah Yaasiin, Pak Musid menghembus kepada ubun-ubun Jidin Bacul.  Dia memerintahkan Jidin Bacul memerhati tapak tangannya yang diangkat tinggi.

Kemudian perlahan-lahan Jidin Bacul rebah lalu disambut oleh Usu Khatib.  Cara yang dilakukannya ke atas Jidin Bacul, samalah seperti yang dilakukannya kepada saya.  Sama juga seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat kepada Pak Musid.

Itulah pertama kali Jidin Bacul bertemu dengan puteri bunian, kerana setelah beberapa kali di bacakan surah Waddhuha,  Jidin Bacul tetap ternampak Akop Juling di perkampungan bunian di kawasan paya itu.  Pak Musid terus memerintahkan dia ke situ.

Semasa Jidin Bacul sampai, puteri bunian sudah menunggu di pekarangan rumahnya.

“Nampaknya awak ni nak mengacau aje…”  sindir Jidin Bacul, kerana dia memang sudah dilatih dapat berkata-kata semasa mengembara kealam batinya.  “Takkan Mak Bidan dah tak ada, awak nak mencuri Akop dari kami.  Kami bukan bergantung pada Mak Bidan saja, tak ada Mak Bidan ramai lagi yang lebih handal dari Mak Bidan boleh menentang bunian,” kata Jidin Bacul mengingatkan.

“Awak yang mengganggu kami,”  sahut puteri bunian sambil menunjukkan kearah Akop Juling yang terbaring ditengah rumahnya.  “Dia robohkan tempat permainan kami,”  jelasnya macam menyimpan dendam.

“Awak tubuh halus, dia tubuh kasar, mana dia nampak tempat awak bermain,”  jerkah Jidin Bacul.  “Kalau awak tak lepaskan Akop, Pak Musid nak bakar tempat awak ni,”  dia mengingatkan.

“Bukan kami yang salah….”  Puteri bunian menjadi marah.

Jidin Bacul terdengar bisikan dari Pak Musid supaya membaca ayat Kursi.  Jidin Bacul membacanya lantas dihembuskan.  Setiap kali dia menghembus beberapa bahagian rumah itu terbakar.  Orang-orang bunian bertempiaran lari mencari tempat berlindung.

“Nak lepaskan atau tidak….!”  Jidin Bacul memberi amaran lagi.

Puteri bunian mengangguk bersetuju untuki membebaskan Akop Juling.

“Fasal awak semua nak mengganggu manusia,  Pak Musid halau awak dari sini,”  herdik Jidin Bacul lagi sambil membaca surah ayyatul Kursi.  Dia menhembuskan ke segenap penjuru.  Kawasan perkampungan orang-orang bunian habis terbakar.

Ketika ini Jidin bacul merasa dia melayang ke udara mengangkat Akop Juling dari kepulan api yang menyala.  Kemudian dia terdengar suaranya di panggil oleh Pak Musid supaya balik semula.  Terpaksalah Jidin Bacul meninggalkan Akop Juling di tempat yang di sendiri tidak tahu.

Setelah Jidin Bacul sedar semula, dia ditanya oleh orang-orang yang berkumpul di rumah Mak Weh, apakah yang dilihatnya.  Dia menceritakna semuanya kepada mereka.

“Tapi aku tak dapat bawa Akop, aku tinggalkan dia,”  katanjya termengah-mengah.

“Dimana kau tinggalkan dia?”  Tanya Mak Weh tidak sabar.

“Aku pun tak tahu.  Agaknya dekat kawasan paya itulah,” Jidin Bacul mengagak.

“Malam ni juga tengok Akop ke tepi paya…”  perintah To’ Penghulu.  Dia bimbang kalau ditangguhkan hingga ke besok pagi,  Akop akan sesat entah ke mana pula.

Baru orang berkira-kira mahu mencai Akop Juling ke kawasan paya, tiba-tiba budak itu memanggil emaknya dari tengah halaman.  Apabila pintu di buka kelihatan Akop Juling mara ke tangga dalam keadaan letih.  Mukanya coreng-moreng macam disinggahi debu arang.

Kejadian-kejadian demikian memang aneh pada orang-orang kampung yang menyaksikan peristiwa Akop Juling yang hilang tatkala mengembala kambing,  tiba-tiba balik dengan tidak payah dicari.  Tetapi bagi orang-orang seperti Jidin Bacul, Pak Musid dan saya sendiri yang telah mengalaminya, perkara seperti ini adalah menunjukkan tentang kekuasaan Allah, yang maha Mengetahui sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi.



SELESAI