Monday, February 2, 2015

109. NGAH JAAMAN JADI BUAYA PUTIH


Saya bersetuju dengan pandangan arwah nenek saya bahawa ilmu yang sebaik-baiknya ialah ilmu yang diredai Allah.  Tok Aji sendiri iaitu ayah kepada ayah saya sering mengingatkan saya supaya hanya meminta pertolongan serta perlindungan Allah semata-mata.  Kisah Ngah Jaaman ini adalah baik untuk dijadikan tauladan, kerana kekuatan ilmu batinya tidak dapat mengatasi keganasan tentera Jepun yang memerintah Tanah Melayu dulu.
Dimana Ngah Jaaman menuntut ilmu kebatinan, nenek juga tidak tahu.  Tetapi nenek menberitahu saya Ngah Jaaman boleh menyelam di dalam air sampai satu hari satu malam.  Mula-mula tentera Jepun memburunya dia telah terjun ke dalam lombong.  Puas tentera Jepun menunggunya di tepi lombong selama 12 jam. Namun Ngah Jaaman tidak juga timbul ke permukaan air.
Sejak itulah tentera-tentera Jepun sentiasa berdendam dengan Ngah Jaaman.  Apa lagi talibarut-talibarut Jepun memberitahu penglibatannya dengan golongan anti-Jepun di dalam hutan.  Sebelum Jepun datang ke Tanah Melayu, suasana di kampung adalah aman tenteram.  Walaupun politik di negeri ini hebat, tetapi Ngah Jaaman tidaklah mencampuri urusan politik.  Dia membuat kerja-kerja kampung seperti abangnya Pak Tua Mahat.
Kelebihan Ngah Jaaman pada penglihatan mata orang kampung ialah dia menjadi pawang air.  Tidak sama dengan abangnya Pak Tua Mahat yang menjadi pawang berburu, tetapi pengajian agama Pak Tua Mahat lebih mendalam kerana sejak ayah saya berkahwin dengan emak saya yakni adiknya (emak saya ialah adik Pak Tua Mahat dan Ngah Jaaman), Pak Tua Mahat rajin mendampingi  Tok Aji ayah kepada ayah saya.
Sama ada Ngah Jaaman pernah belajar dengan Tok Aji atau tidak memang nenek tidak tahu, kerana Ngah Jaaman tidaklah rapat dengan Tok Aji seperti Pak Tua Mahat.  Kata ayah saya, pernah satu waktu air sungai bah,  Tok Aji menyebarang sungai itu kerana mahu menyelamatkan emak saya yang sedang mengandungkan saya.  Kebetulan rumah ayah saya terletak di seberang sungai, jadi Tok Aji terpaksa menyeberangi sungai untuk membawa emak saya ke sebelah darat kampung.  Ketika inilah orang-orang kampung melihat Tok Aji berjalan di atas air seperti meniti di atas jambatan saja.
Orang-orang kampung tidak mengetahui tentang kebolehan Ngah Jaaman.  Hanya setelah di berkahwin dengan Ngah Som di Kampung Kuala dan berpindah tinggal di kampung Ngah Som, barulah orang mendengar akan kebolehan Ngah Jaaman itu.  Nenek sendiri heran dari mana Ngah Jaaman mendapat kepandaian tersebut.  Mula-mulanya cerita mengenai Ngah Jaaman ini diketahui apabila seorang gadis disambar buaya ketika membasuh di sungai.
Pak Dahok yang menjadi pawang di situ telah berusaha mencari gadis yang disambar buaya itu tetapi tidak berjaya.  Biasanya Pak Dahok akan memanggil semua buaya beratur di atas pasir, dan buaya yang bersalah akan menyerah diri minta hukuman.  Kemudian buaya itu akan dibunuh, dan mengikut arahan Pak Dahok,  buaya itu kemudian dikapankan seperti mayat manusia dan disempurnakan pengkebumiannya seperti manusia juga.
Apabila gadis itu diketahui oleh emaknya sudah disambar buaya, maka Pak Dahok pun mula membakar kemenyan di tebing sungai.  Kemudian orang-orang kampung melihat satu demi satu buaya naik ke pasir.  Selepas itu dia kembali terjun ke air.
“Ah, dia nak minta geruh aku ni!”  rungut Pak Dahok mengertap bibir.
“Mengapa?”  Ngah Jaaman yang ada bersama di situ bertanya.  Kebetulan gadis yang disambar buaya itu ada hubungan kekeluargaan dengan Ngah Som.
“Tak mau naik dia ke atas,”  jelas Pak Dahok gelisah.
Dia merasa dirinya sudah dicabar.  Sebagai seorang pawang berpengalaman dia sudah dapat mengagak akan cabaran tersebut.  Ketika ini dia sudah dapat menggambarkan bahawa buaya ini berdendam dengan dirinya sebagai pawang sungai di situ.  Selama ini orang-orang di kampung Kuala selalu meminta Pak Dahok membakar kemenyan kalau mahu mencari ikan di sungai.
Setelah Pak Dahok membakar kemenyan, mereka tidak takut lagi untuk menjeramak ikan, walaupun masuk ke kawasan teluk.  Mereka tidak takut memasukkan jeramak ke bawah perut buaya.  Di bawah perut buaya itulah ikan banyak berkumpul.  Orang-orang kampung akan gembira kerana mendapat ikan banyak setelah Pak Dahok membakar kemenyan.
“Memang dia nak cari geruh aku,”  gerutu Pak Dahok sambil meramas-ramas pasir.
“Kalau Tok Pawang benarkan, biar aku bantu,”  tiba-tiba saja Ngah Jaaman menawarkan diri.
Terkejut juga Pak Dahok dengan permintaan Ngah Jaaman.  Malah Ngah Som juga terkejut apabila mendengar suaminya bersungguh-sungguh mahu membantu Pak Dahok.  Dia percaya kalau nenek saya ada di situ tentu nenek melarang Ngah Jaaman membantu.  Maklumlah perkara menentang buaya di air samalah macam menempah musuh.  Sedangkan Pak Dahok yang sudah bertahun-tahun menjadi pawang sungai lagikan tidak berdaya mengatasi keadaan itu.
“Awak nak buat macam mana?”  Ngah Som menyatakan rasa bimbangnya.
Ngah Jaaman tersenyum mendengar kata-kata Ngah Som.  Dia tahu Ngah Som terkejut mendengar dia mahu membantu Pak Dahok.  Cara mana dia mahu membantu Pak Dahok tidak pula diketahui.  Boleh jadi Ngah Jaaman pula akan memanggil buaya yang menyambar gadis itu naik ke darat.  Bolah jadi juga Ngah Jaaman akan menangkap buaya tersebut.
“Aku boleh membantu Tok Pawang,”  beritahu Ngah Jaaman lagi.
Pak Dahok tertunduk mendengar pengakuan Ngah Jaaman yang mahu membantunya itu.  Di sebabkan dia terdesak maka Pak Dahok pun bersetuju menerima bantuan Ngah Jaaman.  Sebaik saja Pak Dahok bersetuju ditolong, orang-orang kampung yang berdiri di tebing sungai melihat Ngah Jaaman terus meluru ke air.  Dia terjun ke dalam air sungai berarus deras.
Setelah terjun ke air, Ngah Jaaman tidak timbul-timbul ke permukaan air.  Ngah Som mula gelisah setelah hampir 10 minit Ngah Jaaman tidak naik semula ke tebing sungai.
“Jangan khuatir Som.”  Pak Dahok mententeramkan hati Ngah Som.  Dia tahu Ngah Som cemas dengan peristiwa itu.  Tetapi Pak Dahok sudah dapat merasakan kebolehan Ngah Jaaman itu.  Bagaimanapun bukanlah mudah baginya untuk menerangkan perkara tersebut kepada orang-orang kampung, biarpun mereka melihat sendiri Ngah Jaaman terjun ke air.
Siapa pun tidak tahu apa telah berlaku kepada Ngah Jaaman sebaik saja dia terjun ke air kira-kira jam 11.00 pagi.  Hingga jam 5 petang barulah Ngah Jaaman timbul di permukaan air membawa mayat gadis yang disambar buaya itu.  Mayat itu masih belum reput lagi, kerana pagi itu saja dia disambar oleh buaya berkenaan.
Setelah mayat itu dapat dibawa naik, Ngah Jaaman tidak menceritakan apa-apa mengenai peristiwa yang berlaku semasa dia menyelam ke dalam sungai selam 6 jam.  Bagi manusia biasa 6 minit pun tidak berdaya untuk tinggal di dalam air, tetapi Ngah Jaaman telah membuktikan dia boleh hidup di dalam air berjam-jam.
Sejak peristiwa gadis membasuh kain di tebing sungai di sambar buaya, orang-orang di kampung Kuala takut untuk mandi ke sungai.  Mereka juga takut menangkap ikan ke sungai.  Malah mereka tidak berani lagi untuk menjeramak ikan, walaupun Pak Dahok sanggup membakarkan kemenyan.
Perbuatan Ngah Jaaman menyelam ke air itu diceritakan oleh Ngah Som kepada nenek saya, apabila dia berkunjung ke rumah nenek.  Ngah Jaaman hanya tersengih-sengih saja bila dimarahi oleh nenek.  Bagaimanapun nenek sendiri merasa kagum akan kebolehan Ngah Jaaman.  Tetapi apabila diberitahu pada Pak Tua Mahat, dia merasakan tidak ada apa-apa anehnya tentang kebolehan adiknya itu.  Katanya, tidak ada yang mustahil kalau diizinkan Allah.
Beberapa tahun kemudian barulah Ngah Jaaman menceritakan pada Ngah Som bagaimana dia mencari gadis yang disambar buaya itu.  Ngah Jaaman menceritakan pada isterinya sebab ketika ini orang-orang di Kampung Kuala telah menjadikan Ngah Jaaman pawang air, setelah Pak Dahok meninggal dunia.  Semasa Pak Dahok meninggal dunia dia menghempas-hempas badan seperti seekaor buaya.  Kakinya melibas ke kiri ke kanan seperti ekor buaya melibas juga.
Apa yang dicerita oleh Ngah Jaaman kepada Ngah Som, diceritakan semula oleh Ngah Som kepada nenek.  Cerita ini pula disampaikan oleh nenek kepada saya.
Sebaik saja Ngah Jaaman terjun ke air dia didampingi oleh ‘akuan’nya.  (Akuan – ialah sahabat kepada mereka yang mempelajari ilmu pawang dan ini tidak ada pada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah, kerana bagi mereka yang memberi pertolongan dan perlindungan hanya Allah semata-mata).  Ngah Jaaman hanya menyebut ‘Tok Syeikh’ saja mengenai akuannya itu.
“Kau ni berani buta aje Jaaman!”  Tok Sheikh memarahi Ngah Jaaman.
“Ah, aku tau Tok Sheikh akan datang juga,”  sahutnya penuh yakin.
“Cepat naik ke atas belakang aku,” perintah Tok Sheikh.  Ketika ini Tok Sheikh sudah menjelma menjadi buaya putih.  Ngah Jaaman mematuhi perintah Tok Sheikh lalu naik ke atas belakang buaya putih itu seperti menunggang kuda.
Ngah Jaaman di bawa menghilir sungai jauh dari tempat orang berkumpul.  Dengan panduan buaya putih itu dia dibawa ke tengah sungai berarus deras yang terdapat sebatang tunggul kayu.  Di celah-celah akar bawah tunggul kayu itulah mayat gadis itu tersadai.  Memang manjadi kelaziman buaya dia tidak akan memakan mangsanya selagi tidak reput.  Sebab itulah gadis yang menjadi mangsanya itu diletakkan di situ sementara mayatnya menjadi reput.
Apabila sudah reput barulah di makannya, kerana buaya memang memakan bangkai iaitu daging yang sudah reput.  Mujurlah mayat gadis itu ditemui sebelum sempat dimakan oleh sang buaya.  Dengan bantuan Tok Sheikh, Ngah Jaaman cuba mengeluarkan mayat tersebut dari celah-celah akar kayu.  Sekonyong-koyong datanglah seekor buaya besar menuju kearah Ngah Jaaman.
Setelah mangsanya diletakkan pada celah akar-akar kayu, buaya itu tetap menjaganya supaya tidak disambar oleh buaya yang lain.  Dari Tok Sheikh itulah Ngah Jaaman mendapat tahu, bahawa setelah buaya berkenaan menyambar mangsanya dia membunuhnya terlebih dulu ke dalam air.  Selepas itu dia akan menjulang mangsanya ke permukaan air sebanyak tiga kali sebagai menyatakan bahawa bukan dia yang membunuh mangsanya, tetapi air.
Kemudian barulah dia menyimpan di tempat-tempat yang tidak boleh dihanyutkan oleh air, sementara menunggu daging mansanya reput.  Di samping itu dia memerhatikan dari jauh supaya tidak ada buaya-buaya lain yang melarikannya.  Dia akan mengenjah beberapa kali untuk mempastikan sama ada mangsanya itu sudah reput atau belum.
Ketika Ngah Jaaman sedang mengeluarkan mayat gadis itu dari celah agar tunggul di tengah air, tidak disedarinya buaya berkenaan mara ke arahnya.  Cepat-cepat Tok Sheikh melaung ke arahnya.  “Hoi, Jaaman kenapa kau ni  lalai sangat!”  suara Tok Sheikh bergema kuat.
Ngah Jaaman berpaling kearah buaya yang datang meluru kearahnya.  Dia bersiap sedia menunggu kedatangan musuhnya.  Ketika ini dirasakannya Tok Sheikh menyambar dirinya.  Dia masuk ke dalam mulut Tok Sheikh seperti duduk di dalam balang kaca.  Ngah Jaaman nampak bagaimana Tok Sheikh yang menjelma menjadi buaya putih memukul buaya yang datang mahu menyerang itu dengan ekornya.  Setiap kali buaya itu mahu menyerang, Tok Sheikh memukulnya sampai terhambur keatas permukaan air.
Tok Sheikh mendapat tahu itulah buaya ganas di sungai itu yang ditakuti oleh buaya-buaya lain.  Malah Ngah Jaaman sendiri mengagakkan tentulah buaya itu merupakan penghulu buaya di situ.  Sebab itulah dia tidak naik ke darat bila diseru oleh Pak Dahok.  Ini bererti dia tidak mahu lagi tunduk kepada kekuasaan Pak Dahok.
Tetapi selepas menerima tentangan hebat dari Tok Sheikh, buaya itu lari jauh dari situ.  Bahagian pinggang buaya itu bagaikan patah dipukul oleh tok Sheikh.  Fasal itulah terpaksa melarikan diri selepas merasakan kesakitan akibat di pukul oleh Tok Sheikh.  Bagaimanapun Ngah Jaaman seolah-olah dapat memahami pertelingkahan antara Tok Sheikh dengan buaya tersebut.
“Tak patut awak berkasar dengan aku,”  tegas buaya ganas itu yang mengakui dirinya penghulu buaya.
“Awak ganas sangat,”  jerkah Tok Sheikh keras.
“Aku bukan ganggu awak, aku ganggu manusia,”  sahutnya mempertahankan diri.
“Tapi, Jaaman ni sahabat aku, awak tau!”  Tok Sheikh mengingatkan.  “Aku tahu, awak ni puaka air.  Jangan awak nak berdusta.  Kalau dengan Dahok bolehlah awak main-mainkan,”  kata Tok Sheikh menyindir.
“Bukan aku yang bunuh orang tu,”  jelas penghulu buaya yang dipanggil oleh Tok Sheikh puaka air.  “Air sungai yang bunuh orang tu, aku hanya menyambar dari atas tebing,”  dia masih berdendam dengan Tok Sheikh kerana menghalang maksudnya.
“Sekarang aku pun tak ambil budak ni dari kau,”  sindir Tok Sheikh ketawa mengejeknya.  “Aku mahu ambil budak ni dari air, sebab air yang membunuhnya.  Kalau kau yang membunuhnya aku akan ambil dari mulut kau, faham!”  katanya sambil mengancam.
Buaya itu tahu bahawa dia tidak akan dapat menentang Tok Sheikh.  Kalau dia berkeras menentang Tok Sheikh bererti dia tidak akan dapat melepaskan diri ke mana pun.  Sebab itulah dia melarikan diri dari Tok Sheikh hilang dari pandangan mata Ngah Jaaman.
Selepas itu tidak ada apa-apa halangan lagi bagi membolehkan Ngah Jaaman menarik mayat itu keluar dari celah-celah akar bawah tunggul di tengah air itu.  Mayat itu kemudiannya selamat di bawa semula ke darat dan dikebumikan sempurna..
Itulah yang diceritakan oleh Ngah Jaaman kepada Ngah Som mengenai pengalamannya menyelamatkan mayat gadis yang disambar buaya itu.  Sejak itu juga orang-orang Kampung Kuala iaitu kampung Ngah Som mengkagumi akan kebolehan luar biasa Ngah Jaaman.  Hanya Pak Tua Mahat saja menasihatkan Ngah Jaaman supaya tidak meneruskan amalan yang dikira oleh Pak Tua Mahat bertentangan dengan aqidah. Malah Pak Tua Mahat mengatakan seseorang yang menuntut ilmu melemahkan buaya maka lambat laun kematiannya adalah disebabkan oleh buaya juga.
Namun Ngah Jaaman tidak menghiraukan nasihat Pak Tua Mahat.  Dia tetap berpegang kuat bahawa amalannya tidak ada kena mengena dengan aqidah.  Bagaimana pun ini adalah keyakinan Ngah Jaaman, kerana dari segi aqidah kita hanya memohon pertolongan dari Allah, bukannya dari Tok Sheikh atau lain-lain ‘akuan’.  Sayangnya semasa Ngah Jaaman mati dibunuh oleh tentera Jepun saya baru berumur 10 tahun saja.  Tidak banyak yang saya ketahui sangat mengenai dirinya.
Tetapi selepas kejadian dia menyelamatkan mayat gadis itu, buaya di sungai Kampung Kuala bertambah ganas.  Setiap hari ada saja mengsanya sama ada kerbau atau lembu.  Ketakutan penduduk-penduduk kampung juga semakin membimbangkan.  Mereka selalu diserang sakit merasakan sungai sudah menjadi puaka yang menggerunkan.  Ketika inilah Pak Dahok selalu diserang sakit-sakit.  Dia selalu mengadu kepada isterinya tentang pinggangnya yang sakit seperti patah pada bahagian tersebut.
Sakit yang dideritainya itulah yang membawa kepada kematian Pak Dahok.  Selepas kematian Pak Dahok, buaya di sungai kampung Kuala tetap mengganas.  Orang-orang kampung tidak lagi membiarkan ternakan mereka meragut rumput di tebing sungai.  Mereka juga tidak berani untuk ke sungai, sama ada mandi atau membasuhkain.  Satu hari anak Pak Dahok, Usup Magang menemui Ngah Jaaman memberitahu wasiat ayahnya sebelum menghembuskan nafas.
“Ayah yang suruh beritahu Ngah Jaaman, supaya selamatkan kampung ni dari keganasan buaya,”  beritahu Usup Magang.
“Pawang buaya di sini cuma Pak Dahok dan keturunannya,”  Ngah Jaaman cuba menolak, kerana tugas seterusnya untuk menjadi pawang buaya di kampung itu ialah Usup Magang.  Tetapi Pak Dahok sudah tidak membenarkan lagi anaknya itu menjadi pawang buaya di situ.
“Ini wasiat ayah!”  kata Usup Magang bersunguh-sunguh.
“Aku tak pernah buat kerja ni,”  ujar Ngah Jaaman.
“Tapi ayah kata, cuma Ngah Jaaman saja boleh mengamankan sungai ni.  Ayah tau mengenai diri Ngah Jaaman,”  jelas Usup Magang.
Kalau tidak ada pawang yang mengawal buaya di sungai, sudah tentulah keganasannya tidak dapat diatasi.  Usup Magang yang mewarisi tugas menjadi pawang buaya di situ sudah bersedia menyerahkannya kepada Ngah Jaaman.  Setelah puas usup Magang memujuk barulah Ngah Jaaman menceritakan bahawa buaya yang mengakui dirinya penghulu buaya semasa menyambar gadis dulu berdendam kepada Pak Dahok.
“Ayah tau penghulu buaya berdendam,”  kata usup Magang mengingatkan semula cerita ayahnya.  “Mujurlah Ngah Jaaman  datang membantu, kalau tidak geruh ayah masa tu,”  ujarnya macam menyesali kejadian yang menimpa kampungnya itu.
“Ayah kau salah menghukum,”  keluh Ngah Jaaman perlahan.
“Bukan salah, tapi ayah tersalah,”  sahut Usup Magang.
Ngah Jaaman terangguk-angguk.  Memang benar kata Usup Magang bahawa aruah Pak Dahok tersalah menghukum seekor buaya yang tidak bersalah.  Peristiwa itu bermula bila seekor lembu penduduk kampung disambar buaya.  Pak Dahok telah membakar kemenyan menyeru semua buaya naik ke pasir.  Hampir 30 ekor buaya naik ke pasir berbaris menunggu perintah dari Pak Dahok.
Dengan petuanya Pak Dahok memukul satu demi satu kepala buaya yang berbaris di pasir.  Setelah ekor buayan yang sudah diketuk kepalanya segera terjun semula ke air.  Hinggalah sampai kepada seekor buaya julung, apabila diketuk kepalanya dia tidak terus terjun ke air.  Pak Dahok dapat melihat air mata buaya itu seolah-olah tergenang macam air mata di pelupuk mata manusia.
“Kau yang buat ye?”  soal Pak Dahok mengetuk sekali lagi kepala buaya tersebut.
Buaya itu tidak juga terjun ke air.  Melihatkan keadaan itulah Pak Dahok merasakan buaya itulah yang telah melakukan kesalahan menyambar lembu berkenaan.  Demikian petua yang dipelajari dari gurunya turun temurun.  Setelah merasakan keputusannya adil, dia menyuruh orang menembak buaya tadi.  Bangkai buaya itu dikapan dan dikebumikan seperti adat kebiasaan yang dilakukan oleh Pak Dahok.
Malamnya Pak Dahok bermimpi dia didatangi oleh penghulu buaya yang memarahinya kerana membunuh anaknya.  Mengikut katanya, anaknya tidak melakukan perbuatan menyambar lembu di tebing sungai.  Anak penghulu buaya itu datang semata-mata menerima seruan dari Pak Dahok, dan dia tidak terjun ke air apabila kepalanya diketuk kerana kekeliruan.  Apakah masalah kekeliruan itu hanya diketahui oleh Pak Dahok dan penghulu buaya itu saja.
Walaupun esoknya Pak Dahok menyeru semua buaya-buaya bagi mempastikan mimpinya benar, dan buaya yang melakukan kesalahan itu dapat dikesan, tetapi perbuatan Pak Dahok sudah terlanjur.  Dia sudah membunuh anak penghulu buaya yang disangkanya melakukan perbuatan menyambar lembu penduduk kampong.  Oleh itu dia terpaksa menghadapi ancaman dari penghulu buaya tersebut.
Hinggalah peristiwa gadis yang disambar buaya itu terjadi.  Pak Dahok tidak menyatakan rahsia dendam penghulu buaya berkenaan.  Anehnya setelah Pak Dahok meninggal, keganasan penghulu buaya tidak juga berkhir.  Pantang saja mendapat peluang dia akan menyambar mangsanya.  Sebab itulah Usup Magang meminta Ngah Jaaman mengambil alih tugasnya sebagai pawang buaya.
Ngah Jaaman tidak bersetuju menjadi pawang buaya.  Dia meminta Usup Magang meneruskan warisan kerja ayahnya, tetapi dia bersedia membantu Usup Magang.
“Sama-sama kita buat kerja ni Sup,”  katanya pada Usup Magang.
“Kalau Ngah Jaaman saja buat , apa salahnya?”  Usup Magang masih mengharapkan Ngah Jaaman bersedia memikul tugas menjadi pawang buaya itu.
“Ini hak kau Sup, aku cuma boleh membantu aje,”  jelas Ngah Jaaman selanjutnuya.
Setelah mendapat pengakuan Ngah Jaaman, esoknya Usup Magang pun mula membakar kemenyan di atas tebing sungai.  Orang-orang kampung datang melihat upacara Usup Magang memberitahu buaya-buaya di sungai mengenai kedudukannya sebagai pawang buaya.  Sejak turun temurun dari datuknya apabila upacara itu dibuat semua buaya di sungai akan naik ke pasir seolah-olah memberi pengakuan taat setia kepada pawang buaya.
Inilah yang dilakukan oleh Usup Magang seperti dibuat oleh datuk moyangnya turun temurun.  Tetapi baru saja Usup Magang membakar kemenyan tiba-tiba seekor buaya besar muncul di permukaan air lalu melibaskan ekornya kearah Ngah Jaaman yang berdiri di tebing sungai.  Hujung ekornya menyinggahi pinggang Ngah Jaaman hingga dia tercampak ke air.
Ngah Som yang melihat kejadian itu terpekik, kerana dia depan matanya Ngah Jaaman disambar buaya.  Orang-orang kampung hanya melihat saja dari jauh kejadian yang menimpa Ngah Jaaman.  Oleh itu mereka hanya nampak Ngah Jaaman terhumban ke dalam air lalu tenggelam bersama buaya yang menyambarnya.
Tapi tidak lama kemudian mereka nampak seekor buaya berenang pantas di permukaan air dikejar oleh seekor buaya putih.
Buaya putih itu tiba-tiba muncul dan menghambat buaya yang menyambar Ngah Jaaman tadi.  Selepas itu mereka tidak nampak apa-apa lagi mengenai kelibat buaya yang berhambat-hambatan itu.  Hanya Ngah Jaaman kelihatan terapung-apung di permukaan air.  Bagaimana pun tidak seorang yang berani terjun ke sungai menyelamatkan Ngah Jaaman, kerana mereka masih bimbang akan ancaman buaya.
Tidak lama kemudian tubuh Ngah Jaaman yang tidak sedar diri itu ditolak oleh seekor buaya putih naik ke atas pasir.  Tiga hari Ngah Jaaman demam sengal-sengal badan hingga terlantar di rumah.  Tetapi dia tidak mahu panggil sesiapa pun mengubatinya.  Setelah di desak oleh Ngah Som barulah Ngah Jaamah menceritakan semua pengalamannya menyelamatkan gadis dari menjadi mangsa penghulu buaya.
Dari situlah Ngah Som tahu akan kebolehan suaminya itu.  Setelah memahami kedudukannya tidaklah lagi Ngah Som binbang, kerana dia yakin Ngah Jaaman boleh mengatasi ancaman buaya di sungai.  Malah orang-orang kampung juga sering nampak buaya putih muncul di permukaan air.  Sejak buaya putih sering kelihatan, keganasan buaya di sungai Kampung Kuala tidak ada lagi.
Orang-orang perempuan yang membasuh kain di tebing sungai tidak lagi nampak kelihat buaya.  Ternakan meragut rumput di tepi tebing sungai pun tidak lagi disambar buaya.  Cuma mereka diingatkan oleh Ngah Jaaman jangan sekali-kali membasuh pinggan mangkuk atau sengkalan di sungai.
“Ingat Sup, pantangkan orang-orang kampong jangan basuh pinggan mangkuk di sungai,”  Ngah Jaaman mengingatkan.
Usup Magang mengangguk tanda akan mematuhi perintah Ngah Jaaman’
“Sengkalan atau lesung batu menumbuk lada juga jangan basuh di sungai,”  katanya lagi.
Usup Magang bersetuju dengan syarat-syarat yang diberikan oleh Ngah Jaaman.
Sejak itu sering orang melihat buaya putih timbul di permukaan sungai.  Orang-orang kampung tidak menghiraukan sangat fasal buaya putih timbul di sungai kerana mereka sudah tahu mengenai Ngah Jaaman.  Malah ada yang mengesyaki bahawa buaya putih itu adalah jelmaan dari Ngah Jaaman.  Ini disebabkan ada di antara mereka yang melihat Ngah Jaaman turun mandi ke sungai, kemudiannya hilang.  Tidak lama selepas itu munculah buaya putih.
Mereka juga diberitahu sekiranya buaya putih itu berenang mudik ke hulu, tidaklah ada musuh menganggu.  Sekirannya buaya putih itu berenang menghilir sungai janganlah bermain di tebing, atau membiarkan ternakan meragut rumput di tebing.  Itulah tandanya buaya sedang mencari mangsa.  Isyarat yang diberikan oleh buaya putih ini, adalah isyarat yang dinyatakan oleh Ngah Jaaman kepada Usup Magang.
Selepas Ngah Jaaman dan Usup  mengawal suasana di sungai Kampung Kuala, masalah gangguan dari buaya-buaya mengganas tidak ada lagi.  Malah penghulu buaya yang dikatakan tidak mahu tunduk dengan aruah Pak Dahok dulu pun tidak muncul-muncul lagi.  Apakah penghulu buaya itu sudah mati dibunuh oleh buaya putih atau sudah melarikan diri tidak pula diketahui?  Orang-orang kampung juga tidak berani sangat mahu bertanyakan mengenai buaya putih yang mengawal sungai mereka dari Ngah Jaaman. 
Itulah kisah Ngah Jaaman yang diceritakan oleh arwah nenek kepada saya, kerana dalam zaman Jepun memerintah negeri ini, Ngah Jaaman berpindah balik ke kampung kami.  Dia tidak mahu tinggal di kampung kuala, kerana kebanyakan orang-orang di situ takut apabila digertak oleh tentera-tentera Jepun.  Mereka mudah mengaku kalau di gertak dengan ancaman, hinggakan orang yang tidak bersalah pun jadi dituduh bersalah.  Siapa pun tidak berani membantah.
Pada hari Pak Tua Mahat pergi ke Mentakab, Ngah Jaaman ditangkap oleh tentera Jepun.  Ayah saya yang menjadi Jaikedan (ketua pengawal kampung) cuba menyelamatkannya, tetapi ayah saya pula dinasihatkan oleh pegawai Jepun di daerah kami, supaya tidak mencampuri masalah pegawai-pegawai tingginya. Menurut pegawai Jepun itu, Ngah Jaaman di dapati menjadi ketua gerakan melawan Jepun sejak dia di Kampung Kuala lagi.  Apakah benar dakwaan dari tentera-tentera Jepun ini tidaklah diketahui sangat oleh keluarga kami.
Tetapi kata nenek, dia tidak pernah melihat Ngah Jaaman meninggalkan kampung. Cuma dia enggan menyertai Jaikedan iaitu pengawal kampung di zaman pemerintahan Jepun.  Pak Tua Mahat tidak dapat dihubungi semasa Ngah Jaaman ditangkap Jepun, kerana masalah perhubungan ketika ini adalah sukar.  Seminggu Ngah Jaaman dalam kurungan Jepun, dia pun di jatuhkan hukuman bunuh.  Pada mulanya dia dipancung setelah menggali lubang sendiri.  Tetapi mata pedang Jepun itu tidak memberi bekas langsung.
Keadaan ini menyebabkan pegawai Jepun yang bertanggungjawab memancung leher Ngah Jaaman menjadi marah.  Lantas Ngah Jaaman dipaksa meminum air sabun, kemudian diletakkan sekeping papan di atas perutnya.  Beberapa orang tentera Jepun memijak papan tersebut, namun tidak juga memberi bekas kepada Ngah Jaaman.  Keganasan Jepun tidak berakhir begitu saja, selagi mangsanya tidak dapat dibunuh mereka tetap tidak berpuas hati.
Setelah dua percubaannya gagal untuk membunuh Ngah Jaaman, mereka menggantung Ngah Jaaman pula dengan kaki ke atas kepala ke bawah di batang sepohon pokok kekabu.  Kemudian di tembak bertalu-talu.  Tembakan itu juga tidak memberi bekas.  Akhir sekali barulah Ngah Jaaman di tonggengkan, kemudian diradak buntutnya dengan benet.  Tusukan benet pada bahagian lubang duburnya ini tidak dapat dipertahankan lagi oleh Ngah Jaaman.  Dia mengeletek kesakitan, dan berakhirlah riwayatnya di tangan tentera-tentera Jepun.  Bagaimanapun bagi saya semua kejadian itu adalah dengan izin Allah belaka.
Saya sendiri tidaklah berhajat mahu mempelajari ilmu-ilmu seperti yang di amalkan oleh  Ngah Jaaman itu, tetapi saya merasa bersedih dengan kematiannya yang sungguh terseksa.  Nasib yang menimpa Ngah Jaaman terus memburu keluarga saya, apabila Jepun menyerah diri.  Ketika inilah berlakunya keganasan yang di lakukan oleh golongan Bintang Tiga.  Mereka menangkap sesiapa saja yang disyaki menjadi talibarut Jepun.
Hal ini berlaku juga kepada keluarga saya.  Seramai 20 orang golongan Bintang Tiga telah datang mencari  ayah saya, kerana mereka mengesyaki ayah saya menjadi penyokong Jepun.  Ayah saya mengajak saya yang baru berumur 10 tahun pergi ke rumah Tok Aji, dan meninggalkan emak saya yang baru saja seminggu melahirkan adik saya.  Kerana emak saya masih lagi dalam ‘pantang’ maka terpaksalah emak saya ditinggalkan.
Ayah saya mengingatkan saya supaya jangan bercakap sepatah pun, walau ada ternampak apa-apa.  Ketika menuruni tubir seramai 20 orang kumpulan Bintang Tiga berselisih jalan, tetapi mereka tidak menghiraukan ayah saya yang mereka cari.  Kami pun teruslah berjalan menuju ke rumah Tok Aji yang terletak kira-kira tiga batu dari rumah kami.
Selepas kejadian itu emak memberitahu bahawa 20 orang kumpulan Bintang Tiga telah mengepung rumah kami.  Mereka berkeliling saja, tidak dapat rapat ke rumah.  Manakala adik saya yang baru lahir itupun tidak menangis langsung, menjadikan suasana di rumah itu senyap sepi seperti tidak berorang.  Kira-kira setengah jam orang-orang Bintang tiga itu berkeliling rumah kami, mereka pun beredar dari situ.  Emak tidak dapat memahami kata-kata mereka disebabkan semuanya bercakap dalam Bahasa Cina.
Tidak lama selepas itulah berlakunya peristiwa amukan orang-orang Melayu di marata tempat di negeri ini. Di Batu Pahat telah muncul Kiyai Salleh mengetuai tindakan menentang orang-orang Bintang Tiga yang mengganas.  Ketika itu saya hanya mendengar nama Kiyai Selamat bertindak di Batu Kikir, tetapi siapa pun tidak tahu siapakah Kiyai Selamat ini.  Dalam masa ini ayah saya memberitahu Tok Aji memang pergi ke Batu Kikir, kerana menantunya ada tinggal di sana.
Macam mana Tok Aji tidak pula di ketahui, kerana tidak ada kenderaan ke sana yang letaknya hampi 60 batu dari tempat kami.  Kalau mahu menaiki basikal pula Tok Aji memang tidak tahu menunggang basikal disebabkan kaki kanannya layuh atau tepok.  Tetapi kata kakak ayah saya yang di Batu Kikir itu, memang Tok Aji sampai ke sana semasa peristiwa berdarah berlaku.  Ada orang melihat Tok Aji berdiri di atas satu jambatan, dan tidak dapat hendak melarikan diri apabila dikepong oleh 30 orang lelaki Cina.
Di sebabkan tidak boleh mengelak lagi lantas Tok Aji menangkap pinggang salah seorang lelaki Cina itu seperti seekor harimau menggonggong kambing saja layaknya.  Dia menepuk-nepuk punggung lelaki itu dengan tapak tangannya,  Tiba-tiba seluruh anggota badannya luruh seperti ranting kering.  Melihatkan keadaan kawannya itu maka habislah lari semua lelaki Cina yang mengepungnya tadi.  Bagaimanapun apa yang dilihat oleh orang ramai ini, tidak diakui oleh Tok Aji.  Semasa hayatnya saya pernah bertanya kepada dia mengenai peristiwa itu, tetapi Tok Aji tetap menafikannya.
Inilah kisah keluarga saya yang dapat saya kumpulkan semasa berlakunya peristiwa kemelut di masa pemerintahan Jepun dan selepas Jepun menyerah kalah sebagi memenuhi permintaan penerbit buku ini.  Saya harap anda pembaca dapat menganggapnya sebagai hiburan saja, kerana untuk menjangkau masalah-masalah seperti ini bukanlah kudrat kita.
Saya sendiri mendengar cerita semasa berlakunya rusuhan di negeri kita dalam tahun 1969 dulu,  ramai orang yang menjual tangkal azimat.  Sebenarnya tangkal azimat tidak boleh menolong kita, sebaliknya tangkal azimat itu hanya sebagai penguat semangat saja.  Kita merasa diri kita tidak diancam bahawa kerana adanya tangkal azimat tadi, sedangkan itu hanyalah perasaan semata-mata.  Yang memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita hanyalah Allah.
Ketika saya menulis cerita ini kebetulan datang seorang wanita kononnya dari Terengganu menjual keropok.  Dia memberi salam kepada saya yang menyebabkan saya terhenti menulisnya.  Sebaik saja isteri saya membuka pintu, dia tiba-tiba serba salah untuk masuk.  Bagaimanapun saya mempersilakan dia masuk.  Mahu tidak mahu dia terpaksa juga masuk, tetapi keadaannya macam gelisah sedikit.
Memandangkan keadaannya itu saya dapat menduga tentu perempuan ini ada gangguan sedikit.  Dia seolah-oleh kepanasan bila berada di dalam rumah saya.  Untuk mempastikannya lagi saya cuba membacakan Ayat Kursi sebanyak 33 kali, sekaligus dia memekik lantas memaki-maki saya.  Jiran-jiran semuanya terkejut dan datang melihatnya.  Disebabkan jiran-jiran sudah tahu akan kedudukan saya, maka mereka pun ikut sama membantu.
“Hah, kalau ada simpan-simpan permainan, jangan jejak rumah ustaz ni,”  ujar salah seorang jiran saya.
Namun saya tidak hiraukan sangat bualan jiran-jiran seperti itu.  Yang penting bagi saya ialah menentang setan yang mengganggu manusia.  Gangguan setan ini akan berterusan kepada manusia, selagi manusia tidak teringat dan memohon pertolongan kepada Allah.
“Permainan turun termurun ni,”  kata salah seorang lagi jiran,  “Boleh jadi dia sendiri tak tau menahu dengan permainan tu,”  jelasnya sambil membantu saya memegang kaki wanita itu.  Saya membacakan 11 ayat dari  Surah As-Saffa sambil menghembuskan perlahan-lahan ke kepalanya.  Hingga masuk Asar berulah wanita itu dapat di pulihkan semula.

SELESAI