Monday, February 16, 2015

111. MATI HIDUP SEMULA


 
AIR berkeladak dengan perut ikan bekas mencuci ikan baru disiang itu di curahkan ke perdu rumpun kacang.  Tahu sangat Mat Tipin air berkeladak perut ikan itu boleh juga dibuat baja pupuk ke perdu rumpun kacang di atas batas.  Tentu rumpunya subur dengan buah lebat bergayutan.
“Hah, bila kamu balik, Bahadin?”  tuturnya disebabkan sudah lama anaknya tidak balik ke kampung.
“Baru sekejap ni,”  beri tahu Bahadin perlahan lantas tercangkung memerhatikan ayahnya menyiram rumpun kacang dengan air keladak perut ikan dibuat baja pupuk.
“Anak-anak kamu balik semua?”  Mat Tipin terhenti mengesat peluh yang memercik di dahi.
“Semuanya balik,” jelas Bahadin mengenai keluarganya yang balik ke kampung.  Sengaja dia datang menjengah ayahnya ke kebun setelah diberitahu oleh emaknya sebaik sahaja dia sampai ke tengah halaman rumah.
Bahadin tidak terus naik ke rumah.  Biarlah isterinya Mesiah dan anak-anak naik dulu ke rumah.  Dia perlu menyusul ayahnya di kebun kerana bimbang orang tua itu tersinggung disebabkan lama dia tidak balik ke kampung.
Tahu sangat dia ayahnya memang marah apabila dia mendesak supaya emaknya yang terkejang sakit dibawa ke hospital.  Mat Tipin tidak membantah apa-apa setelah Bahadin membawa emaknya Uda Lipah ke hospital akibat diganggu demam, dia tidak mahu menatap isterinya di hospital.  Biarlah anak-anak semua uruskan sehingga isterinya sembuh.
Seminggu Uda Lipah terkejang di hospital, keadaannya pulih semula.  Tatkala dia terkejang dia sedarkan diri itu, memang Bahadin beri tahu juga kepada saya.  Terpaksa saya balik hingga lemah tidak bermaya.
Sebaik sahaja dibawa ke hospital Mat Tipin tidak pernah jejak kaki menjengah isterinya.  Biarlah semua anak-anaknya uruskan setelah mereka semua membuat keputusan supaya dibawa ke hospital.  Tersinggung benar Mat Tipin disebabkan semua anak-anak tidak mahu dengarkan cakapnya supaya tidak terburu-buru.  Disebabkan mereka semua sama-sama mendesak Mat Tipin tidak membantah apa-apa.
Dia tahu Uda Lipah sekadar demam sahaja.  Disebabkan dia berpantang sangat mengenai makan, tubuh Uda Lipah menjadi kurang tenaga.  Sebab itulah dia lemah sampai tidak boleh gerakkan badan langsung.
Tetapi Bahadin tuduh dia percayakan sangat mengenai gangguan jembalang hingga Uda Lipah terkejang tidak bermaya.  Tidak pernah pun Mat Tipin sebut mengenai penyakit isterinya disebabkan gangguan jembalang.  Dia sekadar ingatkan Bahadin supaya tidak terburu-buru sangat buat keputusan sebelum mendapat persetujuan adik beradik yang lain.
Disebabkan tersinggung dengan tuduhan Bahadin itulah juga saya ke kampung menjengah Uda Lipah.  Semasa isteri saya memegang tangannya Uda Lipah mengangguk lemah sekalipun suaranya tidak boleh dituturkan.
Memang tidak ada gangguan apa-apa.  Uda Lipah sekadar lemah disebabkan tidak mahu menjamah makanan.  Sebelum itu doktor sendiri nasihatkan dia supaya mengawal makanan supaya penyakit yang di hidapinya tidak melarat.  Tetapi Uda Lipah sendiri salah faham dengan nasihat doctor itu hingga  langsung tidak mahu menjamah makanan.
Setelah emaknya sembuh Bahadin sendiri tidak mahu balik ke kampong kerana menganggap ayahnya marahkan dia dengan kejadian membawa Uda Lipah ke hospital.  Hampir lima tahun dia tidak jejak kaki balik ke kampung kerana tidak mahu ayahnya menyalahkan dia.
Sampaikan dia mengidap sakit bengkak buku lali tidak boleh berjalan pun Bahadin ingatkan isterinya supaya tidak memberi tahu ke kampung.  Ketika dia di wad hospital saya datang menjengah setelah diberi tahu oleh Mesiah.
“Ayah tak tahu dia sakit, pak ngah,’  ujar Mesiah mengerling Bahadin yang menunjukkan buku lali kakinya yang bengkak kepada saya.
“Sakit sikit, tak payahlah susah-susahkan ayah,”  sahut Bahadin berasa mjalu hendak memberi tahu ayahnya di kampung.  Tentu ayahnya juga tidak akab jengah dia disebabkan sudah dimasukkan ke hospital.  Tahu sangat Bahadin mengenai ayahnya tidak akan jengah siapa pun kalau sudah dimasukkan ke hospital.
Seminggu juga Bahadin diwad hospital hingga bengkak buku lali kakinya seruh baru dia dibenarkan balik ke rumah.  Memang saya sendiri ingatkan dia supaya jengah balik ke kampung.  Masakan ayahnya marah sampai berdendam apabila Bahadin jejak kaki menjengah dia.
Tidak bercakap apa-apa pun lantas Mat Tipin mengajak anaknya balik ke rumah.  Apalah gunanya tercegat di kebun pisang di bawah silauan cahaya matahari yang memancar hangat.  Tentu Bahadin juga mahu berihat setelah jauh memandu kereta balik ke kampung.
“Macam mana dengan kaki kamu?”  perlahan sahaja Mat Tipin menuturkan sewaktu beriringan balik ke rumah.
“Dah baik,” jelas Bahadin tersengih-sengih.  “Mana ayah tahu, pak ngah ke yang cakap?” dia berasa hairan bagaimana ayahnya tahu mengenai dirinya dimasukkan ke hospital akibat mengidap bengkak buku lali kaki.
“Huh, bukannya jauh sangat, aku pun boleh jengah,” ujar Mat Tipin mengatur langkah menuju ke tangga rumah.
“Pak ngah agaknya yang beri tahu ayah ni!”  Bahadin percaya tentu saya yang memberi tahu ayahnya.
“Hah, angah tu bukan nak ingatkan kau sakit aje,”  Mat Tipin mencebek bibir terus duduk di tangga.  Bahadin terhenti di kaki tangga tercegat dengan menyeluk saku seluar.
Mat Tipin berterus terang memberi tahu tidak siapa pun menyampaikan berita mengenai Bahadin masuk ke hospital akibat diserang bengkak buku lali. Tidak perlu saya menghubungi dia kalau takat mahu memberi tahu keadaan penyakit Bahadin.
Asal sahaja anak-anaknya diganggu penyakit, Mat Tipin sudah dapat mengagaknya.  Tatkala anak perempuannya Naemah mahu melahirkan anak, dia sendiri merasa perutnya senak.  Terpaksa dia menanggung sakit bagaikan Naemah mahu melahirkan anak juga.  Setelah Naemah selamat melahirkan anak barulah sakit perutnya yang merengat-rengat itu beransur reda.
Sebab itu Mat Tipin dapat menuduh Bahadin mengidap sakit bengkak buku lali, apabila buku lali kakinya juga membengkak tidak semena-mena.  Dia sendiri pupuk buku lalinya dengan halia ditumbuk digaul dengan kapur campur asam jawa.  Mat Tipin tahu penyakit yang dihidapinya bukan berpunca dalam dirinya sendiri.
Apabila tidak ada anak-anak nya yang lain mengidap bengkak buku lali, sudah tentu Bahadin satu-satunya yang menderita sakit bengkak buku lali itu hingga melangkah pun terdengkot-dengkot.  Jangan cuba anak-anaknya mahu berbohong, kerana dia sendiri yang menanggung sama apa sahaja yang di alami oleh anak-anaknya.
Tetapi rahsia dirinya tidak pernah diberi tahu oleh Mat Tipin kepada anak-anaknya.  Biarlah anak-anaknya cuba berbohong dia tetap dapat mengagak apa sebenarnya terjadi.  Masakan Bahadin dapat menyembunyikan darinya kalau mengidap penyakit yang teruk benar.
Memang saya tahu sangat mengenai sepupu saya Mat Tipin yang dapat merasakan sama segala penyakit yang ditanggung anak-anaknya.  Semenjak ayahnya Pak Tua Mahat masih hidup pun, dia tidak menyembunyikan kejadian yang dialaminya itu.
Asal sahaja perutnya kembung tengah malam, Mat Tipin dapat mengagak kenapa anak kecilnya menangis tenar berterusan.  Setelah dia tuam perutnya sendiri dengan batu tungku dipanaskan serta merta sahaja anak kecilnya yang menangis tenar akan beransur tenang tenteram semula.
Pak Tua Mahat sendiri tidak tahu mengenai amalan anaknya itu hingga boleh mengesan kesusahan yang menimpa anak-anaknya.  Selepas belajar di madarasah Tok Aji, lama juga Mat Tipin di Patani belajar pondok.  Tatkala dia balik ke kampung setelah sekian lama di Patani, saya sendiri tidak ada di kampung ketika itu.
Apabila Mat Tipin berkahwin dengan Uda Lipah pun saya masih tidak berada di kampung.  Setelah Bahadin lahir barulah saya sempat balik ke kampung.  Disebabkan saya bertugas di merata tempat selepas habis belajar, tidak banyaklah saya mengetahui mengenai pengalaman Mat Tipin itu.
Tetapi Pak Tua Mahat beberapa kali juga bertanyakan kepada saya mengenai amalan Mat Tipin itu.  Bagaimana Mat Tipin boleh merasakan apa sahaja kesulitan yang dihadapi oleh anak-anaknya?  Sebab itu mudah sahaja dia membantu asal sahaja anak-anaknya menderita kesakitan.
Lainlah Pak Tua Mahat yang dikenali sangat oleh seisi kampung sebagai pawang di hutan.  Asal sahaja diganggu badi binatang hutan, mereka akan serbu rumah Pak Tua Mahat harapkan bantuan dia.  Apa lagi kalau mereka berburu ke hutan memang banyak sangat puaka yang tinggalkan badi hingga mereka ditimpa geruh,
Sekali pun Pak Tua Mahat tidak mengakui dirinya pawang besar namun seisi kampung percaya dia memang banyak pengalaman kalau berhadapan dengan puaka hutan.  Siapa yang pulihkan Ulung Sali terkejang selepas menerima padah badi menembak ayam hutan bertenggek di akar pokok beringin di tubir bukit, kalau bukan Pak Tua Mahat?
Seisi kampung tahu mengenai kejadian Ulung Sali melihat ayam hutan bertenggek di akar pokok beringin.  Dia tidak peduli mengenai pantang larang berburu di hutan yang tidak benarkan menembak ayam hutan tatkala bertenggek di akar pokok beringin atau diatas tunggul reput.  Disebabkan melanggar pantang itulah ayam hutan yang ditembak Ulung Sali bertukar menjadi bangkai ular hingga berulat berenga seluruh tubuh.
Puas Ulung Sali pulihkan semua dengan berkibas kain hitam panjang sedepa, namun ayam hutan yang ditembak itu tidak berubah dari menjadi bangkai ular berulat.  Kalau tidak Pak Tua Mahat diberi tahu mengenai kejadian itu nescaya geruhnya menimpa Ulung Sali juga.
“Mat Tipin tu, umur berlebih,” ujar emak saya apabila kenangkan anak saudaranya yang pendiam sangat kalau terserempak di mana-mana.  Dia tidak akan berbual panjang apabila berkumpul dengan sanak saudara, sekadar tersengih-sengih sahaja mengangguk lemah.
“Umur tak berlebih, tetapi Allah sudah menentukan semuanya,”  sahut ayah saya sekalipun menyedari emak saya sekadar mahu menerangkan kejadian yang menimpa Mat Tipin tatkala usianya baru tiga tahun lebih.  Malah Mat Tipin sendiri tidak tahu apa-apa pun kalau disebutkan kejadian yang menimpa dirinya itu.
Sudah berkali-kali diingatkan oleh Dukun Jaamit mengenai ayam hutan yang seringkali nampak kelibat di hujung kampung jangan ditembak.  Bimbang benar Dukun Jaamit kerana derai kokok ayam hutan itu tidak sama dengan kokok ayam biasa.  Memang seisi kampung tidak berani berburu ayam hutan sekalipun mengekas tepi belukar rumah mereka.
Cuma Pak Tua Mahat atau Ulung Sali sahaja yang tidak peduli mengenai pantang larang.  Mereka akan buru ayam hutan asal sahaja nampak kelibat.  Perkara geruh tidak penting sangat kepada mereka berdua, selagi keyakinannya tetap kukuh.
Semenjak beberapa pagi Pak Tua Mahat sudah tidak dapat menahan sabar mendengar kokok ayam hutan di hujung kampung.  Dia sudah membayangkan gulai daging ayam hutan masak lemak kuning dengan nenas muda kepalang sedapnya. Sebab itu sebelum matahari naik segalah dia sudah memanggul senapang kampungnya menghendap ayam hutan mengekas.
Tetapi ayam hutan berkokok itu bertenggek di atas akar pokok beringin membelit dahan.  Berdebar juga hati Pak Tua Mahat apakala dirinya diuji tatkala dia sudah nekad tidak mahu berundur.  Beberapa kali dilontar dengan pasir tanah, ayam berkenaan tidak juga mahu terbang melarikan diri.
“Hah, kau nak cari geruh aku!” gerutu Pak Tua Mahat menggertap bibir menahan rasa marahnya.
Ayam hutan itu tetap berkokok terangguk-angguk kepala bagaikan mencabar Pak Tua Mahat yang bersiap sedia membedek senapangnya.  Memang ayam hutan itu tidak mahu turun mengekas di tanah.  Tidak juga terbang melarikan diri ke dalam belukar.  Dia tetap berkokok di situ seolah-olah menunggu Pak Tuan Mahat melepaska tembakan.
“Belum tahu siapa yang geruh!”  tegasnya lantas melepaskan tembakan yang menepati ke sasaran.
“Awak dah tak mahu bersahabat nampaknya, Mahat,”  ujar lembaga tinggi itu mengejeknya.
“Apa guna bersahabat kalau aku kena ikut telunjuk kamu!”  sahut Pak Tua mahat menggertap bibnir.  “Aku tahu asal usul kau, pemburu rusa putih sesat di hutan,’ jelasnya sengaja mahu menyakiti hati lembaga tinggi yang tercegat didepannya mahu memijak dada Mat Tipin.
Tidak berani lembaga tinggi itu mahu memijak setelah melihat tubuh Pak Tua Mahat memanjang dengan kepalanya tersantak keawan. Masakan dia boleh tundukkan Pak Tua Mahat setelah mereka sama-sama tercegat mencecah awan tinggi berkabus.  Tentu Pak Tua Mahat tidak biarkan anaknya Mat Tipin dianiaya di depan matanya.
Lantas Pak Tua Mahat mengisar tapak tangannya dengan membacakan tiga kali al-Fatihah iikuti dengan sebelas kali surah al-Ikhlas.  Kemudian dia memicitkan ibu jari kanannya ketapak tangan kiri dengan menyebut:
..Asyhhadu tegal, Allah meliputi, Allah tiada kelihatan, Allah tiada binasa, tegakku seperti alif, berdiri aku seperti zat, lenyap aku dalam kandang, kandung kalimat….
Tersentak lembaga tinggi di hadapannya apabila ibu jari ditekan kuat oleh Pak Tua Mahat ketapak tangan kiri.  Dia tidak akan tunduk kepada jelmaan Malim Panjang yang disumpah tatkala sesat di hutan.  Tahu sangat dia asal usul lembaga tinggi menjadi puaka hutan setelah disumpah itu.
Memang Pak Tua Mahat diturunkan amalan Pawang Jumadi yang memberi tahu petua yang diwarisi daripada Malim Kerimun apabila berhadapan dengan jelmaan lembaga tinggi itu.  Pawang Jumadi yang ingatkan dia supaya memahami asal usul puaka supaya mudah mencari penawarnya.
Pawang Jumadi yang beri tahu mengenai Malim Panjang masuk ke hutan mencari rusa putih setelah isterinya yang sarat mengandung mengidam.  Tiba-tiba sahaja Seri Mayang mengidam mahu menjamah daging rusa putih apabila mengndung anak sulung.  Tahu sangat dia dengan kebolehan suaminya apabila berburu di hutan.  Tiadak pernah suaminya balik dengan tangann kosong sekiranya sudah jejak kaki ke hutan memburu dengan tombak saktinya.
Sebaik sahaja Seri Mayang memberi tahu mengidam rusa putih, tidak bertanggung Malim Panjang masuk ke hutan menggalas tombak saktinya.  Apabila melintas sahaja rusa di hadapannya Malim Panjang mengejar dengan tenaga luar biasa hingga dapat menobak di bahagian tengkuk.  Sekali gus rusa berkenaan tergolek dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin.
Tetapi rusa yang ditombak Malim Panjang bukanlah rusa putih yang diidamkan oleh isterinya.  Terpaksa dia masuk jauh ke tengah hutan mahu mencari rusa putih itu. Tetapi setiap ekor rusa yang ditombaknya mati memang bukan rusa putih.
Tatkala sampai di sebuah pondok diperbuat daripada nibung Malim Panjang terserempak dengan perempuan cantik yang menunggunya seorang diri di tengah hutan lengang itu. Perempuan itu ingatkan Malim Panjang betapa marahnya ayahnya disebabkan habis rusa peliharaan mereka dibunuh oleh Maling Panjang.
Sebab itu Malim Panjang mesti menjadi gembala rusa peliharaan ayahnya, kecuali kalau rusa-rusa yang dibunuh dapat dihidupkan semula.  Malim Panjang tidak boleh berkeras apabila perempuan itu menuntut supaya bawakan isterinya Seri mayang tengah mengandung itu sebagai galang ganti disebabkan rusa peliharaanya habis mati ditombak.
Malim Panjang tidak rela isterinya menjadi mangsa.  Dia menyedari dirinya di perangkap puaka hutan akibat terlalu ikutkan perasaan mahu mencari rusa putih.  Terpaksalah Malim Panjang mengalah juga dengan menerima kemahuan perempuan itu supaya berkahwin dengannya.  Semenjak itu pula Malim Panjang tidak dibenarkan lagi balik ke rumah setelah dipaksa menjadi gembala rusa peliharaan perempuan berkenaan.
Anjing perburuan yang di bawa sama oleh Malim Panjang tetap mengekori ke mana sahaja dia berligar di tengah hutan berkenaan menggembala rusanya.  Tetapi Malim Panjang tahu anjing perburuannya sudah bertukar menjadi burung birik-birik yang berterbangan di udara.  Saat ini dia sendiri tidak lagi jejak kaki di bumi tetapi melayang ke udara dengan kepala cecah keawan.
Sekali sekala apabila Malim Panjang melintas di tengah kampung dia melihat pokok-pokok kayu meliuk-liuk dikibas angin daripada hayunan lenggangnya menjadi kencang laksana taufan menderu.  Lama kelamaan Malim Panjang menyedari dia semakin tersisih dari isterinya setelah Seri Mayang tidak dapat dijengah lagi.
Keadaan tubuhnya yang berbulu dengan meninggi hingga kepala cecah keawan itu, memang dia sudah semakin jauh daripada isterinya.  Tidak mungkin lagi dia dapat kembali bersama Seri Mayang selagi dia dibelenggu menjadi gembala rusa peliharaan Puteri Tinggi.  Selagi dia tidak boleh hidupkan semula rusa-rusa yang sudah ditombak mati, Malim Panjang dipaksa menjadi gembala rusa Puteri Tinggi selama-lamanya.
Dia sendiri bukan lagi Malim Panjang yang gagah perkasa, tetapi berjalan mendongak ke langit disebabkan wajahnya sama seperti rusa.  Sumpahan Puteri Tinggi itu terpaksa diterima oleh Malim Panjang demi menyelamatkan anak di dalam kandungan Seri Mayang.
Hinggalah anaknya sudah berusia 20 tahun, Seri Mayang memberi tahu mengenai kehilangan ayahnya semasa memburu rusa putih ke hutan.  Memang kesal benar Seri Mayang apabila mengidam rusa putih yang mustahil boleh diburu oleh suaminya.  Saat itu barulah Seri Mayang menyedari perkara mengidam semasa mengandung itu hanya pesona syaitan untuk mengelirukan mereka suami isteri.
Tidak dapat menjamah daging rusa putih pun dia selamatkan melahirkan anaknya Malim Kerimun.  Dia tidak pun kempunan setelah tidak dapat menjamah daging rusa berbulu putih itu.  Apabila diberi tahu kepada anakmya Malim Karimun, lantas sahaja anak muda itu bertekad mahu mencari ayahnya ke tengah hutan.
Malim Kerimun tidak bimbang apa-apa sekalipun masuk jauh ke tengah hutan mencari ayahnya.  Biarlah dia sekadar menemui tombak peninggalan ayahnya sahaja, kerana Malim Kerimun tahu ayahnya boleh berlari sama pantas dengan rusa di tengah hutan.  Memang rusa tidak dapat melarikan diri sekiranya dihambat oleh ayahnya.
Tatkala terserempak dengan Puteri Tinggi yang menjelma menjadi perempuan tua hodoh di pondok diperbuat daripada nibung, tidak bertangguh Malim Kerimun mendesaknya memberi tahu.  Apa lagi setelah melihat tombak peninggalan ayahnya tersandar di dalam pondok tersebut.  Puteri Tinggi tidak boleh berkeras setelah menyedari dirinya akan terancam kerana sumpahannya tidak boleh memperdayakan Malim Kerimun.
Tahu sangat dia satu-satunya yang boleh memusnahkan dirinya ialah lelaki bernama Malim Kerimun.  Sebab itulah dia memanggil Malim Panjang gembala rusanya datang ke situ.  Marah benar Malim Kerimun melihat keadaan ayahnya sudah menjelma menadi puaka hutan bertubuh tinggi dengan berjalan mendongak ke atas.
Terisak-isak Malim Panjang menangis apabila melihat anaknya Malim Kerimjun tercegat jauh dibawah lututnya.  Setelah diberikan tombak pesakanya, Malim Panjang ingatkan anaknya supaya menanam lengkuas di hadapan rumah supaya dia tahu rumah kediaman anak cucunya.  Tatkala ribut kencang Malim Kerimun disuruh membakar lada kering dengan garam, sebagai tanda anak cucunya di situ, Malim Panjang akan cepat-cepat melarikan diri kearah lain sekiranya jalan laluan melalui kawasan tempat tinggal anak cucunya.
“Aku tahu asal kau jadi, Malim Panjang pemburu rusa putih sesat di hutan asal kau jadi!”  Pak Tua Mahat mencebek bibir tidak berganjak duduk bersila di atas hulu parang tercacak ke tanah.
Semakin gelisah lembaga tinggi itu apabila disebut demikian oleh Pak Tua Mahat.  Dia seolah-olah memahami petua amalan Pak Tua Mahat akan membawa padah kepada dirinya setelah bersumpah tidak akan mengganggu keturunan Malim Kerimun.  Kalau dia ganggu juga keturunan Malim Kerimun samalah macam mengganggu anak cucunya sendiri.
Sebaik sahaja ayam hujtan melambung akibat diterjah peluru dengan bulunya bertaburan di tanah, tidak bertangguh Pak Tua Mahat menyerbu.  Dia terundur ke belakang apakala melihat anaknya Mat Tipin terbaring berlumuran darah dilingkupi daun-daun kering.
Tersenyum Pak Tua Mahat dengan ujian yang diterimanya ketika itu.  Lantas sahaja dia cacakkan mata parangnya ke tanah.  Kemudian dipatahkannya ranting kayu sebesar kelengkeng dicacakkan pula di kepala Mat Tipin.  Setelah itu Pak Tua Mahat duduk bersila di atas hulu parang yang dicacakkannya ke tanah.
Tidak bergerak parang yang dicacakkan itu sekalipun Pak Tua Mahat duduk bersila di atasnya laksana terconggok di tikar sembahyang.  Dengan meletakkan dua tangannya ke dada Pak Tua Mahat mula menyeru dengan membacakan:
..Ya Allah, ya Rahman ya Rahim ya Haiyun ya Quyyum ya Zaljalalli wal-ikram, ya ahlattaqwa wa-ahlal maghfirati ya zakiraz zakirina tub ‘alaiya taubatan nasoha wazidni bifadli rahmatika nurau wawadhuhan ya arhamar rahimin.
Ketika ini Pak Tua Mahat dapat melihat lembaga tinggi di depannya mendongak ke langit mahu memijak dada anaknya Mat Tipin.  Tidak bertangguh Pak Tua Mahat menepis kaki lembaga itu dengan tapak tangannya yang membesar selebar bukit.
“Cuba, kalau kau berani usik anak aku!” jerkah Pak Tua Mahat merenungnya tidak berkedip mata.  Kalau lembaga itu tinggi hingga kepalanya mencecah awan, Pak Tua Mahat juga meninggikan tubuhnya sayup tersantak keawan.
Cuma Malim Kerimun satu-satunya yang tahu mengenai asal usulnya setelah sesat di hutan akibat memburu rusa putih.  Tentu Pak Tua Mahat yang terconggok di hadapannya sama dengan Malim Kerimun. Menggeleng-geleng kepala lembaga tinggi lantas mendengus-sengus perlahan bagaikan kesal yang amat menusuk perasaan.
Sebaik sahaja lembaga tinggi itu hilang laksana asap ditiup angin, tidak bertangguh Pak Tua Mahat melompat lantas berdiri tegak.  Segera dia mencapai parangnya yang tercacak sekalipun dalam keadaan biasa Pak Tua Mahat tidak mungkin boleh duduk bersila di atas hulu parang tercacak di tanah. Tetapi saat semikian dia tidak duduk di atas hulu parang,  Pak Tua Mahat tegak berdiri dengan kepalanya sayup mencecah keawan sama seperti lembaga tinggi berkenaan.
Setelah melihat ayam hutan yang ditembak tergenjur-genjur kaki di bawah daun-daun kering, tidak bertangguh dia menyembelihnya.  Tidak sia-sia amalan petuanya tatkala diganggu lembaga tinggi berkenaan.  Memang tidak pernah dia menghadapi gangguan sampai lembaga tinggi itu menjelma mahu mencari geruh.
“Alhamdullillah, syukur kepada Allah kerana melindungkan aku dari bencara syaitan!” perlahan Pak Tua mahat menuturkan lantas mencapai ayam hutan siap disembelih yang masih tergolek di tanah.
Tatkala dia sampai di halaman rumahnya berdebar hati Pak Tua mahat apakala melihat jiran-jiran sudah berkumpul.  Masing-masing bersiap di kubur untuk kebumikan anaknya Mat Tipin.  Belum sempat Pak Tua Mahat mahu menjengah anaknya yang dibujurkan di tengah rumah, emak mentuanya bercekak pinggang di muka pintu memaki hamunnya.
“Kau yang bawa mala petaka, Mahat!” bentak emak mentuanya melepaskan geram yang mendongkol setelah diberi tahu mengenai Pak Tua Mahat memburu ayam hutan berkokok di hujung kampung.
Tidak lama selepas Pak Tua Mahat memanggul senapang laras duanya ke hujung kampung tiba-tiba sahaja Mat Tipin mengelepar laksana ayam disembelih.  Kakinya menendang-nendang angin dengan punggung terangkat sedikit.  Tidak lama dia menggelepar Mat Tipin pun terkejang dengan tidak berombak lagi dadanya.
Mak Tua Yam menjadi lemah longlai apabila melihat anaknya terkejang tidak bergerak lagi.  Setelah dipanggil Dukun Jaamit dia sendiri menggeleng kepala.  Dia yang sahkan Mat Tipin sudah tidak bernyawa lagi apabila mendapati ombak dada anak kecil itu tidak lagi bergerak.
Sebab itu emak mentuanya marah sangat disebabkan Pak Tua Mahat berdegil mahu berburu ayam hutan.  Sudah berkali-kali diingatkan oleh emak mentuanya supaya tidak galak berburu.  Lambat laun tentu akan menerima geruh badi binatang hutan sekiranya berdegil sangat mahu berburu tidak mematuhi peraturan Dukun Jaamit.
“Hah, dah puas hati kau tengok Mat Tipin terbujur?” emak mentuanya terus menjerit-jerit laksana orang hilang akal.
“Sabarlah besan, kita sama-sama hilang cucu,’ nenek saya Bidan Ibah memujuk.  Tersinggung juga dia disebabkan anaknya Pak Tua Mahat di maki hamun di depan jiran-jiran.
“Macam mana nak sabar, besan?” menghentak-hentak kaki emak mentua Pak Tua Mahat tidak dapat mengawal perasaan.  “Mahat tu degil, tak mahu dengar cakap orang!” bentaknya sudah tidak dapat di pujuk lagi oleh sesiapa pun.
“Kalau awak nak maki hamun, hah maki hamun kawan ni,” sahut nenek saya Bidan Ibah hilang sabar dengan sikap emak mentua Pak Tua Mahat.  Bila-bila dia sanggup bercekak rambut kalau anaknya Pak Tua Mahat dipersalahkan dengan kejadian yang menimpa cucunya Mat Tipin itu.
Terpaksa pula jiran-jiran meleraikan nenek saya dengan emak mentua Pak Tua Mahat  dalam saat mereka semua di selubungi kecemasan.  Kalau di biarkan sudah tentu mereka berdua bercekak rambut, sekalipun cucu mereka Mat Tipin masih terbujur di tengah rumah.  Jiran-jiran ingatkan mereka berdua mengenai Mat Tipin adalah cucu mereka bersama.  Tidak ada sebab mengapa mesti bercekak rambut semata-mata ikutkan perasaan yang tidak membawa apa-apa faedah.
Tetapi ketika ini Pak Tua Mahat tidak bercakap sepatah apa pun.  Dia masuk ke dapur bersiap-siap untuk menggulai ayam hutan itu masak lemak kuning cili api dicampur dengan nenas muda.  Pak Tua Mahat yang tanak nasi serta siapkan hidangan di dalam dulang.  Dia tidak peduli apa pun dibuat oleh jiran-jiran yang mahu kebumikan anaknya Mat Tipin yang terkejang tidak bergerak langsung.
Semasa dia memasak gulai di dapur memang Pak Tua Mahat tidak bercakap apa-apa sekalipun jirang-jiran memanggilnya.  Puas disuruh naik menjengah anaknya sebelum dimandi dan dikafankan, Pak Tua mahat tetap membisu.
Jiran-jiran juga terpaksa menunggu kebenaran Pak Tua Mahat kalau mahu mandikan Mat Tipin yang terbujur. Mereka tidak boleh buat keputusan sendiri kerana Pak Tua Mahat masih terconggok di dapur.  Apa pula kata Pak Tua Mahat sekiranya mereka membelakangkan ayah Mat Tipin sendiri.
Setelah hidangan siap tidak bertangguh Pak Tua Mahat mengangkat dulang ke sisi anaknya yang dibujurkan di tengah rumah.  Lantas sahaja Pak Tua Mahat membuangkan kain melingkup anaknya.  Perlahan-lahan dia menepuk pipi anaknya bagaikan menyuruh bangun daripada tidur.
Ketika ini jiran-jiran macam tidak percaya apakala Mat Tipin terpinga-pinga bangun.  Terus sahaja Pak Tua Mahat menyuruh dia membasuh tangan.  Dia mengajak Mat Tipin makan nasi bersama dengan hidangan gulai ayam hutan masak lemak kuning cili api rencah nenas muda.
Tercengang emak mentuanya dengan kejadian tersebut.  Tetapi dia tidak dibenarkan oleh Pak Tua Mahat mendekati Mat Tipin selagi anak kecil itu belum selesai makan.  Mak Tua Yam yang tersandar di penjuru rumah, kembali segar setelah diberitahu mengenai Mat Tipin sudah bangun makan bersama ayahnya.
Emak saya yang duduk di sisi Mat Tipin tatkala anak kecil itu dibujurkan itu mengeluh pendek hingga tidak dapat menuturkan kata-kata lagi.  Surah Yassin yang dipengangnya juga tidak lepas dari tangan akibat terpegun dengan kejadian yang dilihatnya berlaku di hadapan mata.
“Macam mana abang buat pada Mat Tipin?” sengaja emak saya mengusik Pak Tua Mahat apabila kenangkan semula kejadian yang menimpa abangnya itu.
“Hah, Mat Tipin bukannya mati, dia hanya pengsan,” beritahu Pak Tua Mahat tersengih-sengih.
“Kalau lambat abang balik, tentu orang kampung kebumikan juga,”  ujar emak saya selanjutnya.
“Allah tu Maha Mengetahui,”  jelas Pak Tua Mahat perlahan semacam menyembunyikan rahsia di sebalik kejadian tersebut.
Memang Pak Tua Mahat tetap merahsiakan kejadian yang dilihat oleh orang-orang kampung mengenai anaknya Mat Tipin yang disangka mati itu bangun semula.  Kalau ditanyakan kepada Mat Tipin memang dia sendiri tidak tahu apa-apa kerana umurnya masih kecil lagi ketika itu.
Apabila orang-orang kampung ingatkan kejadian itu pada Mat Tipin, dia sendiri memberi tahu supaya jangan percaya sangat.  Dia tidak tahu sama ada benar Dukun Jaamit sudah sahkan dia meninggal dunia ketika berumur tiga tahun lebih.  Manalah dia tahu segala kejadian yang berlaku dalam saat umurnya masih kecil.
Bukan takat kejadian dia dikatakan mati hingga hendak dikebumikan itu sahaja yang Mat Tipin tidak tahu, malah dia akan mengalami kesakitan yang di deritai oleh anak-anaknya juga dia tidak tahu.  Memang dia tidak tahu kenapa buku lali kakinya membengkak tiba-tiba tatkala bangun pagi mahu tunaikan solat subuh.
Terpaksa juga dia terdengkot-dengkot ke bilik air mengambil wuduk.  Kalau sakit pun Mat Tipin mesti tunaikan solat.  Seumur hidup memang dia tidak pernah mengalami sakit teruk hingga terkejang di tempat tidur.  Lainlah kalau demam biasa akibat teruk bekerja di kebun.  Bila-bila demam otju akan sembuhsetelah dia diakan pada air sejuk dengan membaca surah Alam Nasyrah tiga kali, diikuti dengan doa:
..Labaksa labaksa rabbin-nasi isyfi wa-antasy syafi la-syifa-a illa syifa-uka qola inni wahanal ‘azmu minni wasyta’ alr raksu syaiban walam akun bido’a-ika rabbi syaqian.
Selepas meminum air yang sudah didoakan itu, Mat Tipin akan segar semula.  Sebab itu dia dapat mengagak asal sahaja buku lali kakinya sakit membengkak tentu salah seorang anaknya mengidap sakit demikian.  Sebaik sahaja selesai solat subuh, Mat Tipin memicit-micit buku lali kakinya hingga dia dapat merasakan jarinya sedang memicit-micit buku lali kaki anaknya Bahadin.
Tersenyum Mat Tipin setelah merasakan dia memicit-micit buku lali kaki Bahadin.  Dia dapat membayangkan anaknya Bahadin mengidap sakit bengkak buku lali hingga terdengkot-dengkot berjalan.  Lama dia memicit-micit barulah Mat Tipin terasa sebak di dada.  Dia tidak sebak dengan kesakitan yang dideritai oleh Bahadin, tetapi kebesaran Ilahi yang memberi petunjuk kepadanya.
Sambil mengesat pelupuk matanya perlahan-lahan Mat Tipin menuturkan hingga terasa bergema jauh di dalam hatinya:
..Wamabikum min nikmatin faminallahhi thumma izamassa kumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun..
Setelah itu dia menyuruh Uda Lipah tumbukkan halia digaul dengan kapur dan asam jawa.  Kemudian dipanaskan di dalam tempurung.  Setelah halia itu panas, Mat Tipin letakkan pada buku lali kakinya yang bengkak.  Tetapi Uda Lipah tidak melihat pun buku lali kaki suaminya membengkak hingga berjalan terdengkot-dengkot.
Tetapi Uda Lipah dapat mengagak memang salah seorang anaknya mengidap sakit buku lali kaki membengkak.  Tahu sangat Uda Lipah mengenai pengalaman Mat Tipin itu.  Namun dia tidak akan bertanya apa-apa selagi suaminya tidak memberi tahu.  Biarlah Mat Tipin sendiri memberi tahu siapa anaknya yang mengalami kesakitan dalam saat demikian.
“Masa di wad hospital, lepas subuh saya rasa macam ayah datang,’ ujar Bahadin apabila ingatkan dirinya seolah-olah bermimpi  dikunjungi oleh ayahnya.  Tetapi masakan sudah pagi benar masih juga bermimpi.  Lainlah kalau tengah nyenyak tidur waktu dinihari diserkup kesepian yang manusuk-nusuk.
“Kamu bermimpi ke?”  Uda Lipah memitas sambil mengerling suaminya Mat Tipin yang menyandar belakang ke dinding.
“Entahlah, nak kata bermimpi rasanya saya tak tidur,’ jelas Bahadin masih dapat ingatkan bagaimana ayahnya Mat Tipin terjongol di sisinya.  Dia merasa kakinya panas dipupuk oleh ayahnya dengan halia di dalam tempurung.  Apabila dia tersentak ayahnya tidak kelihatan lagi di mana-mana.  Buku lali kakinya juga tidak lagi sakit berdenyut-denyut dengan bengkaknya.  Sebab itu dia gagahi juga balik ke kampung sebaik sahaja bengkak di buku lali kakinya sembuh betul.
Tetapi Mat Tipin tidak menyahut apa-apa.  Hanya Uda Lipah sahaja tersengih-sengih memerhati Bahadin yang masih tertanya-tanya dengan bayangan ayahnya yang datang mengubati dia.

SELESAI