Saturday, March 7, 2015

114.MAKAN CACING HIDANGAN BUNIAN



 SUDAH lama kejadian yang menimpa Mat Sunoh itu berlaku.  Dia menjadi tidak siuman kerana tekanan perasan disebabkan tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun kahwin dengan Melah Gedek.  Tetapi nenek saya percaya gangguan bunian itu yang menyebabkan Mat Sunoh mengalami tekanan perasaan hingga menjadi tidak siuman.
Memang susah mahu dijelaskan mengenai gangguan bunian ini kerana siapa pun tidak dapat melihat dengan mata kasar.  Tetapi bunian juga jenis syaitan yang boleh mengganggu sekiranya tidak sabar menghadapi tekanannya.
Tetapi puas juga nenek saya berusaha mahu membantu Mat Sunoh.  Bukan nenek sahaja, malah Pak Tua Mahat dan Dukun Samid juga mencuba mengubatinya.  Sebab itulah apabila saya menjengah balik ke kampung Itam Leha tidak dapat menahan sebak memberi tahu saya mengenai nasib malang yang menimpa Mat Sunoh itu.
“Dah berbulan-bulan dia macam tu, ustaz,”  ujar Itam Leha yang sudukan bubur ke mulut Mat Sunoh.  Kalau takat letakkan sahaja pinggan bubur di hadapannya memang Mat Sunoh tidak akan menjamah langsung.  Sebab itu Itam Leha sudukan juga biar Mat Sunoh tidak kelaparan.
Tetapi Mat Sunoh tidak peduli sama ada emaknya Itam Leha sudukan bubur atau nasi ke mulutnya.  Kalau tidak disudukan pun dia tidak akan berasa lapar.  Biarlah berhari-hari dia tidak menjamah nasi pun, Mat Sunoh tidak pernah berasa lapar.  Sampaikan Melah Gedek pun tidak sanggup lagi mahu melayani dia.  Sebab itu Item Leha sendiri bawa Mat Sunoh balik ke rumahnya.
Biarlah dia menjaga anaknya Mat Sunoh kalau isterinya sendiri sudah tidak sanggup melayani keadaan suaminya.  Tidak tahu kenapa Melah Gedek mudah sahaja tersinggung hati dengan peragai Mat Sunoh yang akan marah-marah jika disediakan nasi atau bubur di hadapannya.  Mat Sunoh juga akan merungut-rungut marah kalau Melah Gedek terconggok di depannya.
Sebab itu Melah Gedek terpaksa memberi tahu emak mentuanya Itam Leha mengenai perangai Mat Sunoh tidak mahu dia melayaninya.  Terpaksalah Itam Leha sendiri menjaga Mat Sunoh dalam keadaan tidak siuman demikian.
Asal sahaja Melah Gedek datang menjengah, lantas Mat Sunoh merungut-rungut meluahkan rasa bencinya terhadap perempuan itu.  Setiap kali Melah Gedek datang menjengah nescaya Mat Sunoh tidak mahu menjamah nasi atau bubur yang di hidangkan.  Puas disudu oleh Itam Leha pun akan disemburnya semula keluar.
Sengaja Itam Leha tidak benarkan lagi Melah Gedek menjengah suaminya.  Biarlah Melah Gedek tidak datang asalkan Mat Sunoh selesa dilayani emaknya.
“Macam mana ustaz tengok keadeaan Mat Sunoh ni?” tidak sabar lagi Itam Leha mendesak.
Tertunduk saya apabila Itam Leha mendesak demikian.  Kalau nenek dan Pak Tua Mahat sudah puas berikhtiar, apa sangatlah diharap kepada saya.  Lagi pun Dukun Samid apalah kurangnya kalau diminta mengubati penyakit Mat Sunoh itu.
“Kenapa tak beri tahu Tok Aji?” ujar saya berpaling pada Pak Tua Mahjat yang baru naik di kepala tangga.
“Tok Aji pun uzur,:  beri tahu Pak Tua Mahat kerana tidak tergamak mahu menyusahkan orang tua berkenaan.
Saya sendiri tahu mengenai Tok Aji sejak berminggu-minggu mengalami sesak nafas.  Sebab itu saya balik ke kampung menjengahnya.  Puas didesak supaya dibawa ke hospital berkeras sangat Tok Aji membantah.  Kadangkala apabila jauh malam keadaan lelah Tok Aji bertambah kencang hingga bunyi ombak dadanya bagaikan itik angsa mengerang.
Apabila balik menjengah Tok Aji inilah Nenek Aji beri tahu mengenai Mat Sunoh.  Di sebabkan jarak kampung Tok Aji dengan kampung emak saya sekadar tiga batu sahaja, tidak menjadi keberatan untuk saya menziarahi Mat Sunoh.  Lagi pun kebetulan saya menjengah emak dan ayah saya juga di kampungnya.
“Bilal Hud juga dah cuba doakan, tapi Mat Sunoh macam tu juga,”  jelas Itam Leha memberi tahu mengenai ayah saya juga sudah datang menjengah.
“Mat Sunoh ni dah diasuh oleh bunian,” sahut Pak Tua Mahat apabila kenangkan menantu saudaranya mengalami nasib malang demikian.
“Cubalah ustaz doakan, manalah tahu kalau-kalau serasi,” tersenyum Itam Leha mengerling saya dengan harapan yang tulus ikhlas.
“Iya, tak ya juga, angah pun boleh,”  lantas Pak Tua Mahat menepuk bahu saya.
Saya mengangguk perlahan. Perkara berdoa bukanlah untuk menguji kebolehan, tetapi di lakukan dengan penuh harap dan cemas.  Manalah tahu kalau terlalu berharap sangat Allah Subhanahu Wataala tidak mengkabulkan.  Tentulah mereka akan menuduh saya tidak boleh di harapkan sangat untuk berdoa.
Memang serba salah saya mahu memenuhi permintaan sesiapa pun kerana bimbang mereka tidak memahami perkara berdoa itu.  Siapa pun tidak boleh mengagak sama ada doa seseorang itu dimakbulkan Allah Subhanahu Wataala atau pun tidak.  Bagaimana kalau doa yang dipohon kepada Allah lambat dimakbulkan?  Sama ada mereka bersabar menunggu beberapa lama pun sekiranya lambat di makbulkan doa yang dipohonkan itu?
Lainlah dengan Tok Aji yang tidak akan tergopoh-gopoh mengharapkan doanya dimakbulkan atau pun tidak.  Dia sekadar berdoa, kemudiannya menunggu dengan sabar.  Tatkala dia terlantar akibat meneguk santau pun Tok Aji sekadar terbaring menanggung keletihan.  Dia tidak boleh bergerak kuat disebabkan dadanya kesakitan seolah-olah ditusuk ranjau meruncing.
Sebaik sahaja dia menyedari dirinya terminum racun santau, Tok Aji tidak memberi tahu sesiapa pun.  Nenek Aji juga tidak diberi tahu sekali pun dia terkejang dihujung serambi sampai tiga hari.  Memang Nenek Aji tidak mahu mengganggunya, kerana bimbang tok Aji di serang demam.
Memang orang tua seperti Tok Aji sering diganggu demam hingga seluruh badan menjadi lemah tidak bermaya.  Betapa tidak Tok Aji mengalami demam dan uzur, kerana umurnya dengan nenek Aji jauh berbeza.  Semasa dia berpindah ke kampung Nenek Aji pun umurnya sudah hampir 50 tahun, sedangkan Nenek Aji belum pun berumur 20 tahun.
Kalau tidak ayah Nenek Aji berkeras sangat tentu Tok Aji juga tidak tergamak mahu berkahwin.  Apa lagi ayah Nenek Aji memang berkawan rapat dengan dia.  Tidak siapa pun di kampung itu berani menganggu nenek Aji apabila kenangkan  ayahnya Wak Kacan.  Asal sahaja Wak kacan sudah menghunus parang di pinggang siapa sahaja akan ditetaknya tidak peduli apa-apa.
Asal sahaja musim ke sawah tengah menuai, Tok Aji sering kali membantu Wak Kacan.  Dia akan duduk berihat meniup serunai batang padi tatkala berhenti minum atau makan.  Sebaik sahaja dia meniup serunai batang padi, beberapa oang anak gadis akan datang mendekatinya.  Cuma satu-satunya yang tidak menghampiri dia memang Nenek Aji.
Mudah sahaja Wak Kacan dapat menyelami perbuatan Tok Aji meniup serunai padi itu.  Tentu Tok Aji menaruh hati kepada Nenek Aji dengan sengaja meniup serunai batang padi  hingga beberapa orang anak gadis mendekatinya.  Tahu sangat Wak Kacan mengenai kebolehan Tok Aji kalau mahu memikat anak-anak gadis.
Bukan takat meniup serunai batang padi sahaja, kadangkala apabila dia berzanji pun suaranya akan meruntum perasaan anak-anak gadis yang mendengar.  Apabila menjelang tengah malam Tok Aji akan rapatkan belakangnya ke tiang tengah surau tatkala dia nyaringkan suara tengah berzanji.
Sebaik sahaja suaranya mengimbau ke segenap kampung, anak gadis tengah menarik selimut kukuh-kukuh juga akan bingkas bangun.  Mereka akan    menyerbu ke surau mahu mendengar Tok Aji berzanji.  Sebab itu Wak Kacan tidak mahu membiarkan Nenek Aji dapat di tundukkan oleh Tok Aji dengan tiupan serunai batang padi yang mahu pun suara berzanji yang menggetarkan.
Semenjak datang ke kampung itu sudah beberapa kali Tok Aji berkahwin.  Tetapi kebanyakan isterinya meninggal dunia, atau bercerai tidak sampai setahu berkahwin.  Mereka salahkan Tok Aji disebabkan mudah tergoda dengan perempuan yang lain, sekali pun dia ingatkan isterinya mengenai dirinya boleh berkahwin hingga empat orang.
Tetapi manalah perempuan dapat menerima pujukan Tok Aji supaya membenarkan dia berkahwin lain.  Sudah tentulah mereka meminta diceraikan sahaja sekiranya Tok Aji berkeras mahu mengambil keputusan berkahwin dengan perempuan lain yang terpikat dengan suaranya berzanji atau tertawan dengan alunan tiupan serunai batang padinya.
“Kalau kamu nak kahwin dengan anak aku, jangan sia-siakan dia!”  Wak Kacan ingatkan Tok Aji sekiranya dia bersungguh-sungguh mahu berkahwin dengan Nenek Aji.
Selepas berkahwin dengan Nenek Aji, memang Tok Aji tidak lagi mahu berkahwin lain.  Dia mematuhi janjinya dengan arwah Wak Kacan tidak akan sia-siakan Nenek Aji.  Tok Aji juga tidak lagi bermain dengan serunai batang padi atau berzanji di tengah malam.  Apa lagi setelah beberapa kali terminum racun santau, memang Tok Aji tidak dapat lagi nyaringkan suaranya kalau berzanji pun.
Kalau dia menyedari di dalam makanan yang dihidangkan mengandungi racun santau Tok Aji tidak akan mengelak.  Dia tetap jamah juga sekali pun terasa seolah-olah menelan pasir kering yang menyekat di kerengkung.  Sudah menjadi petua Tok Aji dia mesti habiskan juga makanan yang dihidangkan setelah mengetahui mengandungi santau.
Masakan mereka boleh sembunyikan daripada Tok Aji kalau mahu mengujinya dengan santau.  Mudah sahaja Tok Aji melihat di dalam cawan kopi bara api mengerlap apabila dia membacakan tiga kali surah Al-Quraisy.  Ketika ini Tok Aji tidak boleh mengelak lagi sekali pun dia menyedari di dalam cawan kopi memang sudah dibubuh racun santau.
Sebaik sahaja meneguk kopi berkenaan dia akan sendawa tiga kali dan mengulagi membaca surah al-Quraisy itu hinga 100 kali.  Tok Aji akan balik ke rumah lantas berbaring.  Tiga hari dia mengalami demam hingga sengal segala sendi-sendi anggota.  Selepas itu Tok Aji akan pulih semula seolah-olah tidak merasai apa-apa kesakitan pun.
Memang Nenek Aji tahu kejadian yang manimpa Tok Aji.  Tetapi bukan sekali dua dia mengalami kejadian diuji orang dengan racun santau.  Semenjak dia di Bukit Tinggi hingga berhijrah di Kampur Sembilan atau merantau ke Jambi sebelum datang ke Semenanjung, memang sudah beberapa kali Tok Aji di uji.
Siapa sahaja boleh berzanji dengan lagu yang mempesonakan orang ketika itu nescaya akan diuji dengan racun santau.  Tetapi Tok Aji tidak pernah batuk darah hingga suaranya serak tidak boleh berzanji.  Dia sekadar demam tiga hari sahaja, sebelum pulih semula untuk berzanji di madarasahnya.
Setelah usianya semakin lanjut segala kebolehan Tok Aji semasa muda bertahan dari bisa racun santau tidak kukuh lagi.  Dia sering mengidap lelah sampai tercungap-cungap menahan sesak nafas yang payah.  Kadangkala merungut juga Nenek Aji kerana amalan Tok Aji yang memudaratkan diri setelah hari tuanya.  Lainlah kalau usia yang singkat tentulah tidak menanggung kepayahan demikian.
Tetapi semasa menjengah Tok Aji dia gamit juga saya meminta didoakan. Perlahan-lahan dia berbisik kepada saya supaya lakukan seperti yang pernah diajarkannya.  Bagaimana pun saya tidak sepenuhnya lakukan mengikut amalan Tok Aji.  Setelah saya letakkan tujuh helai daun sirih ke atas dadanya, lantas saya bacakan:
“Bismillahil lazi laya dhuru ma’asmihi syai-un fil-ardhi walafis sama-I wahuwas sami’ul ‘alim, bismillahhi amanabillahhi waman yaumin billahhi lahaufu ‘alaihi, fa-uttahazat min-dunihim hijaban fa-arsalna ilaiha rohana fatamas thala laha basyaran sawiya.”
Apabila Tok Aji menghela nafas lelahnya, daun sirih diatas dadanya menjadi layu seolah-olah dilayur ke api.  Sebaik sahaja saya angkat daun sirih berkenaan, di bahagian yang terlekap di dada Tok Aji dipenuhi serbuk kaca bercampur darah.  Tersenyum Tok Aji membelek-belek daun sirih layu dilekati serbuka kaca itu,
“Tengok tu, itulah yang awak biarkan dalam dada awak,” gerutu Nenek Aji kesal dengan sikap Tok Aji sengaja menghirup racun santau sekali pun dia menyedari dihidangkan dalam makanannya.
“Ah, biarkan!” sahut Tok Aji yang masih merungut-rungut. ‘Allah lebih berkuasa dari santau, kalau ajal sudah ditentukan Allah kerana santau, tak siapa yang boleh elakkan.”  Tegasnya ingatkan nenek Aji supaya tidak menunduh dia sengaja mencari nahas.
Perkara mahu lunakkan suara tatkala membaca al-Qur’an atau berzanji tidak sama dengan menyanyi lagu nasyid.  Dia mesti minum air suam sahaja berbulan-bulan.  Setiap pagi dia kan jamah nenas muda yang direndam dengan tawas lantas berdoa:
Wa-iz sarafna ilaika nafaran minal jinni yastami’unal Qurana, fa-lamma hadhoruhu qolu ansitu, falamma qudiya wallau ila-qaumihim munzirin.
Semenjak di Bukit Tinggi pun memang seisi kampong tahu mengenai kelunakan suara Tok Aji tatkala membaca al-Quran atau berzanji.  Sebab itu dia tidak akan lupa meminum air suam kemana sahaja dia menetap.  Setelah menetap di kampong Nenek Aji pun dia tetap meneguk air suam selepas minum kopi atau sarapan pagi.
“Nasiblah Hud tu tak ikut perangai awak,” Nenek Aji merungut melepaskan grram.  Sengaja dia sebut mengenai ayah saya yang tidak mahu amalkan menjamah nenas muda dengan direndam air tawas.  Biarlah dia sekadar diminta azan sahaja di surau kalau tidak dijemput berzanji atau pun menbacakan al-Quran.
Tersengih-sengih sahaja Tok Aji dengan leteran Tok Aji.  Memang dia tidak akan marah apa-apa sekali pun dileteri Nenek Aji.  Kalau tenaganya gagah merajuk juga dia apabila dileteri tidak henti-henti.  Tetapi usia tua tidak sama dengan sewaktu tenaga tengah gagah yang mudah sahaja merajuk sekiranya hati tersinggung.
Lainlah sewaktu hatinya mudah tersinggung memang Tok Aji tinggalkan sahaja rumah dengan bertongkat akibat sebelah kakinya layuh.  Terkejut juga ayah saya apabila diberi tahu mengenai Tok Aji merajuk meninggalkan rumah selepas tunaikan solat asar.  Bimbang juga dia ke mana Tok Aji membawa diri tatkala bulan puasa mahu berbuka sebaik sahaja masuk maghrib?
Tidak bertangguh dia mengayuh basikal menghala ke jalan besar yang tiga batu jaraknya dari perkampungan.  Ayah saya tidak bimbang kalau Tok Aji menunggu bas di jalan besar disebabkan satu jam setengah baru bas melintas setiap hari.  Sekiranya Tok Aji menunggu bas di simpang jalan besar nescaya dia sempat memujuk ayahnya.
Tiga kali dia terserempak jiran-jiran melintas sepanjang jalan, mereka semua mengakui melihat Tok Aji hanya di selekoh jalan sahaja.  Apabila ayah saya melepasi selekoh jalan di hadapan, dia tidak juga bertemu Tok Aji.  Hingga sampai di simpang jalan besar, ayah saya terserempak Lebai Yusak baru balik dari pekan menuruni bas di simpang jalan besar berkenaan.
“Sudah lalukan bas ke pekan?”  ayah saya mahu memastikan Tok Aji akan terlepas bas yang ditunggu.
“Bas yang turun berselisih dengan aku semasa balik,” jelas Lebai Yusak memang tahu sangat mengenai bas yang berselisih semasa dia balik dari pekan.
Terasa lega hati ayah saya kerana Tok Aji terpaksa menunggu satu jam setengah menunggu bas yang lain turun ke pekan.  Dia percaya dapat menghambat ayahnya sebelum sempat menaiki bas.  Sekiranya ayahnya tidak sempat menaiki bas bila-bila dia akan memujuk Tok Aji biar balik semula ke rumah.  Apalah gunanya merajuk hati dalam saat menjelang hari raya yang mereka sama-sama tunggu.
Sampai di simpang jalan besar ayah saya tidak menemui Tok Aji.  Masakan cepat sangat Tok Aji berjalan disebabkan kakinya layuh dan terpaksa menggunakan tongkat.  Hingga pukul 6.00 petang ayah saya menunggu di simpang jalan besar apabila bas yang terakhir melintas, Tok Aji tidak juga nampak muka.
Hanya beberapa hari selepas itu baru kakaknya berlainan ibu menulis surat memberi tahu Tok Aji sampai di rumahnya selepas asar.  Terkejut juga ayah saya di sebabkan Tok Aji turun dari rumah hanya selepas solat asar,  bagaimana pula dalam masa beberapa minit sahaja dia sudah sampai bepuluh-puluh batu jaraknya.
Tetapi saya tahu Tok Aji merajuk bukan takat tersinggung hati sahaja, sebaliknya dia mahu menyembunyikan kemarahan yang mendongkol.  Ketika anak-anaknya masih kecil memang tidak pernah di merotan kalau disebabkan terlalu nakal.  Apabila dia melepaskan marah lantas sahaja ditampar tangan ke perdu pokok kelapa.  Tidak sampai dia hari nescaya daun dan pelepah kelapa akan luruh ke bawah akibat pucuknya mulai layu.
Setelah menjengah Tok Aji itulah saya balik ke rumah emak dan ayah saya.  Apabila diberi tahu mengenai Mat Sunoh di ganggu bunian lantas sahaja saya menziarahi dia.  Dia sudah tidak mengenali saya lagi sebaik sahaja saya menegurnya.
“Dah berbulan-bulan Mat Sunoh ni sakit, ustaz,” ujar Itam Leha sayu apabila melihat keadaan anaknya memuntal-muntal bohol kain.
“Pak Tua lebih tahu dari saya,” tegas saya memandang Pak Tua Mahat mengukuhkan sandar ke dinding.
“Dengan Pak Tua jangan angah nak berdalih-dalih, sahut Pak Tua Mahat mencebek bibir.  “Item Leha dah berharap jangan hampakan dia,” dia menambah terus mencuit kepala lutut saya.
Tetapi nenek saya Bidan Ibah sudah beri tahu mengenai nasib yang menimpa Mat Sunoh itu, sewaktu singgah di rumahnya.  Tahu sangat nenek tatkala Melah Gedek mengejek suaminya bermimpi setelah santak pagi.  Tengah hujan lebat turun itulah nenek dapat bayangkan bunian itu menjelma di sisi Mat Sunoh.. 
Masakan Melah Gedek dapat melihat dengan mata kasar mengenai jelmaan bunian di tengah hujan pagi turun mencurah-curah. Mat Sunoh seolah-olah bermimpi bergembira bersama anaknya bermain hujan di tengah halaman.  Memang dia melihat jelmaan bunian itu menyerupai Melah Gedek bermain hujan ditengah halaman bersama anak kecil kesejukan.
Sebab itu dia menjerit menyuruh isterinya bawa anak kecil itu berteduh.  Manalah Melah Gedek menyedari bunian bersama anaknya riang bermain hujan di tengah halaman.  Setelah hujan teduh tiba-tiba sahaja Melah Gedek memarahi sumainya hingga berkemas kain baju melarikan diri balik ke rumah ayahnya Uda Seman.
Sekiranya Melah Gedek bersabar tidak tinggalkan Mat Sunoh nescaya jelmaan bunian itu tidak dapat merasuk hingga lelaki itu terperangkap tidak dapat menbezakan bunian dengan isterinya sendiri.  Manalah Melah Gedek tahu mengenai Mat Sunoh sering bertapa di batu tunggal di pinggir hutan amalkan petua supaya hapuskan mandul pada dirinya.
Dia tidak mahu diejek kawan-kawan tidak tahu menjadi suami hingga tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun berkahwin.  Sebab itu Mat Sunoh sanggup bertapa di atas batu tunggal di pinggir hutan selang satu malam,tiga malam dan tujuh malam.
“Perkara anak dalam kandungan bukan urusan kita, Sunoh,”  terkejut Mat Sunoh apabila dia melihat seolah-oleh bayangan Tok Aji berdiri di depannya memakai jubah serba putih.
Mat Sunoh tidak menyahut.  Memang dia sudah diingatkan oleh Pak Latih supaya tidak bercakap sepatah pun semasa tengah bertapa.  Puas dia memujuk Pak Lateh supaya orang tua itu tunjukkan kepadanya petua bertapa di atas batu tunggal di pinggir hutan.
Biarlah siapa pun melintas di hadapannya Mat Sunoh tidak akan menegur.  Tentu bayangan Tok Aji di depannya sengaja mahu mengganggu dia hingga terpaksa menyahut juga.  Dia akan mengalami nasib buruk apabila petuanya terganggu sekiranya melayani jelmaan Tok Aji yang tercegat di depannya.
“Sepatutnya kau berdoa kepada Allah,” tersinggung juga Mat Sunoh apabila bayangan Tok Aji itu terus juga mengejeknya.  Dia pun tahu hanya kepada Allah sahaja memohon doa dengan penuh cemas dan harap.  Manalah bayangan Tok Aji yang menjelma di depannya tahu mengenai doanya yang selalu di buat.  Tetapi sudah bertahun-tahun keadaannya masih juga tidak berubah.
Memang Mat Sunoh kecewa disebabkan doanya tidak dimakbulkan mahu mempunyai anak.  Masakan sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi Melah Gedek tidak juga mengandung.  Tidak tahu di mana silapnya dia memyebabkan mereka berdua tidak juga mempunyai anak.
Kalau tidak kenang dia tengah bertapa khusuk, memang Mat Sunoh akan bingkas bangun mencekak leher bayangan Tok Aji di depannya.  Tidak patut orang tua itu mengejeknya di sebabkan bertapa di situ mengharapkan akan dikurniakan anak.  Dia juga bertapa sebagai berikhtiar kerana sudah berbagai-bagai usaha dibuat.
Sewaku menemui Pak Lateh bapa saudaranya itu yang menyuruh dia bertapa.  Manalah tahu usahanya itu akan berhasil juga.  Sebab itu Mat Sunoh tidak peduli apa pun halangan, dia sanggup bertapa di pinggir hutan mencari batu tunggal tersergam tengah belukar.  Biarlah sepanjang malam seluruh tubuhnya dihurung nyamuk, Mat Sunoh tetap tabah menempuhnya.
“Kamu akan diganggu syaitan, Mat Sunoh,”  semakin galak bayangan Tok Aji di depannya mengejek Mat Sunoh berterusan.
“His, jangan campur urusan orang!” jerkah Mat Sunoh tidak dapat lagi menahan perasaan marahnya.  Sebaik sahaja dia bingkas bangun mahu menerkam bayangan Tok Aji itu hilang di dalam kegelapan malam.
Ketika ini dia sekadar menerkam lembaga bodoh yang dipenuhi kudis seluruh badan.  Bau busuk tokak lembaga hodoh juga menusuk-nusuk.  Dalam samar-samar cahaya bulan tengah mengambang, Mat Sunoh melihat wajah lembaga itu terlindung di balik rambutnya yang kusut.
“Kamu dah langgar pantang Mat Sunoh, macam mana?”  lantas sahaja lembaga hodoh itu mengejeknya.
Berdebar hati Mat Sunoh apabila kenangkan petua Pak Latih tidak benarkan dia bercakap sepatah pun tatkala tengah bertapa di situ.  Tetapi dia tidak boleh biarkan dirinya diejek-ejek oleh bayangan Tok Aji yang menjelma di hadapannya.  Mat Sunoh juga tahu sekirannya diberitahu kepada Tok Aji mengenai petua yang diamalkannya tentu orang tua itu juga akan meleteri dia.
Mudah sahaja dia tersinggung apabila bayangan Tok Aji itu mengejeknya.  Kalau di kampung memang dia tidak berani pun angkat muka di hadapan Tok Aji, apatah lagi mahu menerkam tidak bertangguh.  Saat ini Mat Sunoh menyedari dia perterangkap akibat terburu-buru sangat.
Tetapi dia tidak mahu tunduk menyerah kalah kepada lembaga hodoh yang tercegat di depannya.  Perkara melanggar pantang tidak sama dengan menurut kemahuan lembaga bodoh berkenaan.  Belum tentu lagi geruh boleh memusnahkan dia kalau berkeras tidak mahu menuruti perintah lembaga hodoh itu.
‘Sekarang apa awak mahu?” sahut Mat Sunoh keras tidak bimbang pa pun geruh yang di hadapinya.
“Orang salah mestilah di hukum!” jelas lembaga hodoh di depannya sengaja menyakiti hatinya.
“Awak siapa nak menghukum aku?” semakin marah Mat Sunoh apabila lembaga hodoh itu terus mengugut.
“Hah, cakap besar pula awak ni, Mat Sunoh!” tersengih-sengih lembaga hodoh itu mengejeknya.
“Awak pun cakap besar juga,” sindir Mat Sunoh tidak peduli apa pun setelah lembaga hodoh itu cuba mengugut.
Lantas Mat Sunoh menghunus parang yang tersisip di pinggang.  Sekali pangkas sahaja mata parang menyinggahi leher lembaga hodoh itu sampai terkulai tengkuk.  Tetapi dia terkekeh-kekeh ketawa sekali pun darah bersemburan di lehernya.
Di sebabkan lembaga hodoh itu tidak jatuh terguling setelah dipangkas dengan parang, terpaksa Mat Sunoh berundur.  Sia-sia sahaja dia terus menyerbu kalau lembaga hodoh itu tidak tumpas sekalipun lehernya terkulai akibat dipangkas mata parang.  Lembaga itu masih berdiri gagah seolah-olah terus mencabar Mat Sunoh.
Apabila lembaga hodoh itu menampar-nampar lehernya yang terpenggal, luka akibat dipangkas mata parang itu bertaup semula. Ketawanya semakin galak mengejek Mat Senoh yang mula gementar. Tentu lembaga hodoh itu tidak akan melepaskan dia meninggalkan tempat tersebut.
Ketika ini sayup-sayup di kejauhan Mat Sunoh mendengar salakan anjing liar mendekati kawasan pinggir hutan.  Lembaga hodoh itu mendongak memandang bulan mengambang di langit lantas menepuk-nepuk dadanya.  Sebaik sahaja salakan anjing liar semakin dekat hingga belukar anak-anak kayu di sekitarnya bergegar dirempuh, lembaga hodoh itu memberi isyarat supaya menerkam kearah Mat Sunoh.
Belum pun sempat anjing-anjing liar berpuluh-puluh ekor menerkam kearah Mat Sunoh sehelai selendang nipis melayang jatuh.  Anjing-anjing liar itu tidak bertangguh menerkam selendang putih hingga berebut-rebut laksana mengerkah tulang tergolek.
“Kenapa kamu datang Puteri Sutera?” marah benar lembaga hodoh itu apakala melihat lembaga perempuan muda tercegat di atas batu tunggal.
“Kamu jembalang tanah, kenapa ganggu Mat Sunoh?” marah benar perempuan muda itu dengan sikap lelaki hodoh yang cuba memperdayakan Mat Sunoh.  “Kau nak menipu Mat Sunoh ni, aku tahu!” jelasnya lantas menghalau anjing-amjing liar yang berebut-rebut mengonggong selendang nipis yang dilimparkan oleh perempuan muda itu.
Apabila anjing-anjing liar melarikan diri setelah dihalau oleh perempuan muda itu, tiba-tiba sahaja selendang nipis itu melayang membelit leher lembaga hodoh.  Menjerit kesakitan lembaga hodoh itu akibat dicerut belitan selendang nipis yang kuat.
Kemudian perempuan muda itu melimparkan lembaga hodoh yang dicerut selendangnya itu jauh ke tengah kegelapan malam.  Setelah itu dia mendekati Mat Sunoh lantas memberi tahu mengenai dirinya puteri bunian.  Dia mengaku namanya Puteri Sutera yang menguasai anak air di pinggir hutan.  Memang batu tunggal di pinggir hutan itulah tempat Puteri Sutera bermain-main tatkala bulan tengah mengambang penuh.
“Pak Latih yang tunjukkan petua amalan ni,” beri tahu Mat Sunoh setelah didesak oleh puteri bunian itu.
Marah benar puteri hunian disebabkan Mat Sunoh tidak sabar amalkan petua hingga mudah sahaja bercakap sementara menunggu kedatangannya ke situ.  Disebabkan Mat Sunoh bertutur sebelum tiba waktunya itulah jembalang tanah menjelma.
“Awak tak dapat balik, kalau tak berkahwin dengan saya,” ujar Puteri Sutera ingatkan Mat Sunoh setelah gangguan jembalang tanah itu menjelma sebagai lembaga hodoh di hadapannya.
Selagi Mat Sunoh tidak berkahwin dengan puteri bunian itu, memang jembalang tanah itu akan berterusan berdendam.  Kemana sahaja Mat Sunoh melepaskan diri tetap akan diekori oleh jembalang tanah berkenaan.  Lainlah kalau Mat Sunoh berkahwin dengan puteri bunian, bermakna dia sentiasa dilindungi oleh puteri itu.
Sampai bila pun jembalang tanah tidak akan berani mengganggu kalau dia berkahwin dengan puteri bunian. Lagi pun Mat Sunoh tidak akan dapat balik ke rumah selagi tidak mematuhi syarat tersebut.  Sekiranya Mat Sunoh dapat balik pun nescaya jembalang tanah itu akan menjelma untuk membalas dendam. 
Disebabkan terdesak itulah Mat Sunoh bersetuju berkahwin dengan Puteri Sutera.  Asalkan dia dapat balik menemui isterinya Melah Gedek apa salahnya dia berkahwin dengan Puteri Sutera.  Apabila dia balik meninggalkan pinggir hutan puteri bunian itu ingatkan dia supaya balik semula ke situ asal sahaja bulan mengambang penuh.
Sekiranya Mat Sunoh terlupa dia akan memberi isyarat dengan hujan turun lebat di sebelah pagi hingga matahari tegak sepenggalah.  Mat Sunoh mesti datang juga ke pinggir hutan sampai beberapa hari.  Memang Mat Sunoh penuhi juga permintaan Puteri Sutera selepas kejadian tersebut.
Asal sahaja bulan mengambang penuh memang Mat Sunoh tidak balik ke rumah sampai tiga empat hari.  Apabila dia balik hairan juga Melah Gedek kerana sikapnya selalu marah-marah tidak menentu. Mat Sunoh mula merapik memberi tahu mengenai Melah Gedek sudah mengandung.  Berkeras dia menyuruh isterinya menemui nenek saya supaya tentukan sama ada sudah berapa bulan mengandungkan bayi.
Tetapi Melah Gedek tahu sama ada dia mengandung atau pun tidak.  Bagaimana dia mahu mempercayai suaminya kalau dia dapat mengagak tidak ada tanda-tanda sedang  mengandung.  Memang suaminya sudah lama kepingin sangat mahu mendapatkan anak hingga melalut tidak menentu.
Berbulan-bulan juga Melah Gedek cam mengenai perangai suaminya hilang asal sahaja bulan mengambang penuh.  Sebab itu di beri tahu juga pada Dukun Samid dan Pak Latih.  Mereka ubati juga Mat Sunoh tertapi siapa pun tidak percaya mengenai gangguan bunian.  Melah Gedek sendiri tidak percaya mengenai Mat Sunoh sudah berkahwin dengan bunain hingga bertemu isteri buniannya setiap kali bulan mengambang penuh.
Tersenyum simpul Melah Gedek apabila di ingatkan oleh Pak Latih dia bermadu dengan bunian.  Kalau Melah Gedek tidak berhati-hati nescaya bunian itu akan pisahkan juga dia dengan Mat Sunoh.  Hanya setelah keadaan Mat Senoh bertambah teruk barulah nenek saya dan Pak Tuan Mahat diberi tahu oleh Melah Gedek.
“Mereka pun tak percaya Mat Sunoh ni nikah dengan bunian, ustaz,”  jelas Itam Leha kesal di sebabkan siapa pun tidak mempercayai kejadian yang menimpa anaknya itu, setelah Pak Tua Mahat mendesak supaya saya mencuba doakan.
“Jangan ungkit-ungkit perkara yang lepas, Itam,”  lantas Pak Tua Mahat ingatkan perempuan itu supaya tidak salahkan menantunya.  Bukan Melah Gedek yang tidak mahu uruskan Mat Sunoh tengah sakit, tetapi dia sendiri yang merungut marah sekiranya perempuan itu datang jengah muka.
“Bukan Mat Sunoh yang marahkan Melah, tapi bunian yang merasuk dia!” tegas Itam Leha mencemik muka meluahkan rasa marah terhdapap bunian yang merasuk Mat Sunoh.
“Sebab tu tak boleh salahkan Melah,” ujar Pak Tua Mahat selanjutnya.
“Saya pun tak salahkan Melah, abang Mahat,” tutur Itam Leha merendah menahan rasa terharu yang menyebak di dada.
Memang saya tidaklah berpandukan sangat kepada penjelasan Itam Leha mengenai bunian yang merasuk Mat Sunoh itu.  Tetapi kalau disebabkan Mat Sunoh terlalu kepinginan mahu mendapatkan anak mengapa pula dia kerapkali menghilangkan diri apabila bulan mengambang penuh.
Mukanya pucat setelah hilang beberapa hari.  Dia akan merungut-rungut tidak menentu kalau lama termenung merenung ke punjuru bilik.  Tetapi Melah Gedek tidak peduli sangat perangai Mat Sunoh, disebabkan sebelum itu pun kelakuan Mat Sunoh memang suka membebel tidak menentu.
“Sunoh, awak kenal saya lagi tak?” sengaja saya mahu mengujinya lantas menepuk-nepuk bahu Mat Sunoh.
“Ah, apa pula tak kenalnya, ustaz bukankah kawan aku sejak kecil lagi?” sahut Mat Sunoh bertutur lancar apabila kenangkan sama-sama mengaji di madarasah Tok Aji.
“Jadi, kenapa awak jadi macam ni?” ujar saya selanjutnya setelah melihat Mat Sunoh tidak mengidap gangguan apa-apa.
“Ah, mereka bukannya tahu apa-apa!” Mat Sunoh mencebek bibir disebabkan orang-orang kampung bersusah payah sangat mahu mengubati dia sekali pun Mat Sunoh mengakui dirinya tidak mengidap penyakit apa-apa pun.
“Tak apalah, kalau awak tak sakit tengok tangan awak,”  lantas saya meminta dia hulurkan tangannya.
Sebaik sahaja dia hulurkan tangannya segara saya menutup kuku ibu jarinya menyebabkan dia tersentak.  Apabila dia mahu melepaskan tangannya terus saya tenggam erat-erat dan membacakan 11 ayat terawal dari surah as-Saffa diikuti dengan ayat 33, 34 dan 35 surah Ar-Rahman.
Tiba-tiba sahaja kepala Mat Sunoh membengkak sebesar guli di bahagian ubun-ubunnya semasa saya teruskan dengan membaca doa:
Huwallahhul lazi la-ilahailla huwa ‘alimul ghaibi wasy-syahadati huwarrahmannur Rahim, huwallahhul lazi lailaha illa huwalmalikul qudusus salamul mukminul muhaiminul ‘azizul jabbarul mutakabbir, subhanallahhi ‘amma yusyrikun, huwallahhul kholiqul bari-ul musauwiru lahul asma ul-husna, yusabbihu lahu mafissamawati wal-ardhi wahuwal ‘azizulhakim.
Kemudian dia rebah ke lantai dengan mulutnya berbuih-buih.  Apabila saya urut belakangnya Mat Sunoh terjeluih muntah dengan bangkai cacing gelang bercampur lumpur hingga penuh sebesen.  Setelah muntah Mat Sunoh tersandar keletihan hingga tidak dapat bergerak.
“Mana datangnya cacing banyak ni?” gerutu Itam Leha lantas sahaja muduh perbuatan bunian yang memberi Mat Sunoh makan cacing dan lumpur di tengah hutan.  Sebab itu Mat Sunoh muntahkan semula cacing yang dihidangkan oleh bunian untuk makanannya selama ini.
Selepas Mat Sunoh termuntah bangkai cacing gelang setelah saya doakan, beberapa kali juga dia termuntah dua tiga hari kemudian.  Setiap kali dia muntah memang bangkai cacing bercampur lumpur yang tersembur.  Dia tidak bermaya menahan kesakitan perut akibat kerapkali muntahkan bangkai cacing gelang-gelang.
Hanya dua bulan selepas dia mengalami kejadian termuntah-muntah itu, Pak Tua Mahat memberi tahu mengenai Mat Sunoh meninggal dunia.  Memang hairan juga orang-orang kampong dengan penyakit yang dideritai oleh Mat Sunoh, sekali pun Itam Leha tetap menuduh perbuatan bunian.

SELESAI