Jalan
ke Kampung Baduk berbelok-belok mengikut jalan tanah merah yang berlopak itu,
menyebabkan kereta yang dipandu oleh Tamrim bergoncang-goncang. Tetapi saya
dapati Osman yang duduk di belakang boleh juga melelapkan mata walaupun kereta
bergoncang kuat. Boleh jadi Osman terlalu mengantuk kerana sudah hampir jam 4
pagi.
Sebenarnya
Osman yang menunjukkan jalan ke kampung berkenaan. Sudah berkali-kali Tok Imam
Mat Dah mahu bertemu saya. Selalu dia berpesan pada Osman supaya mengajak saya
bertemu dengannya. Osmanlah yang menyebutkan nama saya di depan Tok Imam Mat
Dah, sampai orang tua itu ingin sangat bertemu dengan saya.
Kebetulan
pula Tamrim ada hal ke Temerloh. Dia mempelawa saya dan Osman ke sana. Lagipun
cuma Osman yang tahu mengenai jalan ke sana kerana dia memang asal dari
Temerloh. Disebabkan Tamrim mahu ke Temerloh lalu Osman menerangkan kepada saya
tentang keinginan Tok Imam Mat Dah mahu berjumpa saya itu.
Saya
pun bersetuju sangat mahu bertemu dengan Tok Imam Mat Dah. Dari cerita Osman
saya difahamkan Tok Imam Mat Dah mempunyai pengajian agama yang tinggi. Dia
pernah menuntut di Kelantan di bawah bimbingan Tok Kenali ulama yang terkenal
itu. Malah menjadi kegemaran saya pula akan segera mendapatkan orang-orang yang
mempunyai ilmu aga seperti Tok Imam Mat Dah ini.
Kalau
mahu mencari ahli agama memang boleh ditemui. Ustaz-ustaz yang mengajar di
sekolah pun ramai menjadi teman teman saya. Malah mereka berkelulusan dari
Mesir, Mekah dan juga ramai yang menjadi teman-teman saya. Ketinggian ilmu
begini hanya dari satu aspek sahaja, tetapi dari cerita Osman dapat saya fahami
bahawa Tok Imam Mat Dah mempunyai ketinggian ilmu dari aspek lain pula.
Minatnya
mahu bertemu dengan saya itu, sudah dapat saya agak tentu mahu ajak saya
berbual dalam aspek tersebut.
Saya
bersama Tamrim dan Osman sampai ke rumahnya kira-kira jam 12.00 tengah malam,
tetapi dia tidak ada di rumah. Kami diberitahu Tok Imam Mat Dah menunggu dusun
duriannya.
“Hah,
ada can kita cari durian. Durian sini memang bagus isinya” kata Osman yang
memang berasal dari Temerloh.
Osman
ini badannya kecil saja, tetapi pandai bercakap dalam banyak perkara. Dia suka
bercakap mengenai politik juga. Jadi macam-macamlah cerita politik yang
dibualkannya sepanjang perjalanan itu, terutama mengenai suasana politik di
Temerloh. Disebabkan dia pandai bercakap maka ramailah kawan-kawannya termasuk
Tok Imam Mat Dah ini.
Disebabkan
terlalu asyik mendengar bualan Osman sehinggakan Tamrim memandu kereta pun
kehilangan jalan. Puas memerhati di sekeliling, tetapi tidak dapat mencari
kawasan dusun durian Tok Imam Mat Dah. Sebenarnya dusun durian ini terletak di
tepi jalan saja. Mungkin disebabkan kami asyik mendengar bualan Osman, atau
mungkin Tamrim mengantuk kerana malam sudah larut, maka kami tidak dapat
mencari jalan ke dusun durian Tok Imam Mat Dah.
“Eh,
kawan cam betul jalannya, memang sampai pada lurah ni…” beritahu Osman
mengaru-garu kepala. Dia masih memanjangkan leher ke luar tingkap kereta
memerhatikan lorong ke dusun durian tersebut. Tetapi sekitar kami kelihatan
gelap gelita walaupun bulan terang benderang mengambang.
“Kau
salah jalan agaknya Man” rungut Tamrim mulut terkuap-kuap.
“hai,
macam mana pula salah jalan, tempat kawan main-main masa kecil dulu. Mana ceruk
ke sini yang kawan tak tau….!” Osman seolah-olah merasa dirinya dicabar.
Masakan dia boleh tersesat di jalan kampung selorong demikian. Sedangkan ibu
kota Kuala Lumpur yang mempunyai jalan bersimpang siur itu tidak pernah
tersesat.
“Jangan-jangan
kita dah terlansung tak?” saya mencelah pula.
“Tak
mungkin” sahut Osman memotong. “Kawan cam betul jalan ni, kita belum sampai
lagi. Dekat sini aje, cuba perhatikan kawasan berlurah sedikit” katanya masih
memanjangkan leher keluar tingkap kereta.
“Kalau
kau tau mana jalannya..” gerutu Tamrim macam menyindir Osman. Terasa juga penat
dia memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Temerloh, kemudian masuk pula ke jalan
tanah ke Kampung Baduk ini. Sudah tentu dia juga rasa mengantuk.
Tetapi
jalan yang dikatakan oleh Osman itu tidak ketahuan halanya, manakala dusun
durian Tok Imam Mat Dah itu juga tidak ditemui.
“Tak
jumpa kita balik sajalah” kata Tamrim macam hampa.
“Sabar
dulu Rim…” cepat-cepat saya mengingatkan Tamrim supaya tidak putus asa. “Kita
datang jauh dari Kuala Lumpur, tengah malam pula. Nanti penat aje kita datang
tak ada hasil” ujar saya tersengih-sengih mengerling gelagat Tamrim yang cepat
naik angin.
“Hari
malam mana nak nampak jalan, sabarlah” jelas Osman pula meredakan perasaan
Tamrim.
Memanglah
pada perasaan Osman kami berada tidak jauh dari rumah Tok Imam Mat Dah, pada
hal kami sebenarnya sudah jauh meninggalkan kampung tersebut. Apa yang
dirasakan oleh Osman sebenarnya adalah di luar dugaan dirinya.
Tatkala
ini saya teringat akan cerita Pak Uda Karib semasa dia ke hutan memburu. Pak
Uda Karib diberi senapang patah oleh Tuan DO orang putih kerana jasanya pada
kepada Tuan DO itu. Di samping itu dia juga bebas masuk ke hutan, walaupun di
zaman darurat.
Bagaimanapun
Pak Uda Karib memang memahami selok belok hutan di kampung kami. Dia tahu di
mana kawasan larangan, di mana kawasan yang selalu dironda oleh askar, di mana
kawasan yang sering menjadi gangguan kominis di masa darurat.Oleh itu dia
sentiasa terlepas dari sebarang gangguan.
Lagi
pun suasana darurat tidaklah mengancam sangat di kampung saya, walaupun daerah
tersebut merupakan sarang kominis. Hutan di pinggir kampung ketika ini memang
banyak binatang-binatang hutan lagi. Tidak seperti masa sekarang di tengah
hutan pun tidak ditemui pelanduk, rusa atau kijang. Saya mendapat tahu
binatang-binatang seperti ini selalunya mati kerana termakan racun hijau di
kebun-kebun pisang yang disembur oleh pekebun-pekebun Cina.
Biasanya
Pak Uda Karib pergi ke hutan pagi. Dia tidak mahu berburu pada sebelah malam,
kerana bimbang terkeliru oleh pihak keselamatan. Askar-askar yang meronda tidak
peduli siapa, asal masuk saja ke hutan membawa senjata api akan ditembaknya.
Kalau hari siang boleh juga di elakkan dari bertembung.
Disamping
itu Pak Uda Karib tahu mengambil hati Tuan DO dan OCPD. Kalau dia mendapat
buruan, seekor pelanduk akan dihadiahnya kepada Tuan DO dan Tuan OCPD. Mereka
ini sangat sayang pada Pak Uda Karib. Oleh itu kalau ada masalah semasa pergi
berburu, memang Tuan DO dan Tuan OCPD sedia menolongnya.
Pernah
juga dia ditangkap oleh Jungle Squad ketika berburu di hutan. Apabila dibawa ke
balai polis Tuan OCPD pura-pura memarahi dia di depan anggota Jungle Squad yang
menangkapnya.Tetapi selepas itu Tuan OCPD menepuk-nepuk bahunya sambil
mempelawa minum kopi bersamanya.
Akhirnya
apabila pihak Jungle Squad tahu akan hubungan baik antara Tuan OCPD dengan Pak
Uda Karib, mereka pun tidak mengambil apa-apa tindakan lagi.
Satu pagi
Pak Uda Karib mengajak kawannya Mion mengendap pelanduk. Kebetulan sebelah
malamnya hari hujan menyebabkan Mion tidak dapat menoreh getah. Mion pun memang
suka mengikut Pak Uda Karib berburu.
Mereka
masuk ke hutan ketika matahari sudah naik segalah. Sebenarnya kalau Pak Uda
Karib masuk ke hutan, dia bukan saja mengendap pelanduk atau rusa atau kijang.
Kadangkala dia mengendap ayam denak juga. Kalau tidak mengendap pelanduk, rusa,
kijang atau ayam denak, dia akan mencari petai saja. Tetapi jarang Pak Uda
Karib masuk ke hutan balik dengan tangan kosong.
Kepandaiannya
menepuk daun palas di busut mudah saja pelanduk datang menjengah. Pelanduk akan
datang terlompat-lompat mendengar paluan daun palasnya ke busut. “Menepuk daun
palas tidak boleh menggunakan tempurung..” Pak Uda Karib memberitahu Mion.
“Mengapa
Pak Da?” tanya Mion.
“Nak
mampus kau…!” Pak Uda Karib mengerut dahinya. “Bukan pelanduk yang datang, tapi
pak belang. Berani kau bersilat dengan pak belang” katanya ketawa kecil.
Meremang
bulu tengkok Mion bila mendengar harimau. Walaupun dia sudah mendengar mengenai
keberanian Pak Uda Karib kalau bertembung dengan harimau, tetapi gementar juga
dia sekiranya tiba-tiba saja harimau tercongkok di depannya. Ketika Talip
Jengket mengikut Pak Uda Karib, pernah juga bertembung dengan harimau.
Talip
Jengket memberitahu Mion, dia nampak harimau itu berbaring di balik pokok
lereng bukit. Pak Uda Karib bukannya mengajak dia lari, tetai memangkas anak
kayu sebesar lengan dan dikerat-kerat sepanjang satu hasta. Kemudian
dibalingnya harimau sedang tidur itu. Sekaligus harimau itu melompat lalu lari
ke bawah lurah.
Pak Uda
Karib ketawa terkekeh-kekeh melihat harimau itu lari simpang perinang.
Itulah
cerita yang didengar oleh Mion dari Talip Jengket, hinggakan sejak itu Talip
Jengket taubat tidak mahu mengikut Pak Uda Karib ke hutan lagi. Puas diajak
oleh Pak Uda Karib, namun Talip Jengket tetap tidak mahu mengikut. Sebab itu
Mion cepat saja meremang bulu tengkok bila Pak Uda Karib menyebut harimau akan
datang kalau ditepuk tempurung dengan palas dengan ditangkupkan ke busut.
“Kau
nak jumpa harimau?” tanya Pak Uda Karib mengerling ke arah Mion.
“Rimau
mati bolehlah” sahut Mion bergurau. “Rimau mati sepak kepala pun aku berani”
katanya macam menyambut cabaran Pak Uda Karib.
“Apa
pula rimau mati” kata Pak Uda Karib tersengih-sengih. “kalau kau nak tengok dia
datang, aku panggilkan” ujarnya membetul-betulkan senapang tersandang di
belakang.
“Kalau
Pak Uda ada aku berani!” sambut Mion memberanikan hatinya. Dia pun mahu melihat
sendiri akan kebenaran kata-kata Talip Jengket mengenai dakwaannya.
“Kalau
kau nak tengok sekejap lagi datang lah dia” jelas Pak Uda Karib macam mahu
menduga.
Mion
terdiam. Bimbang juga dia kalau Pak Uda Karib tidak bergurau. Mana tahu harimau
belang tiba-tiba tercongkok di depannya; Harimau liar di hutan bukan seperti
anak kucing yang jinak. Bila-bila dia akan menerkam mangsanya, tidak peduli
sama ada Pak Uda Karib atau siapa pun.
Memanglah
Pak Uda Karib terkenal di kampung itu tentang kemahiranya berburu. Dia juga
boleh dikira pawang di hutan. Cerita mengenai pengalamannya sebagai pemburu
sudah banyak didengar oleh Mion. Tetapi semua cerita itu didengar oleh Mion
dari mulut ke mulut saja. Selama dia mengikut Pak Uda Karib ke hutan beberpa
kali, belum pernah pula dia mengalami kejadian-kejadian aneh seperti yang
didengarnya selama ini.
Pernah
juga orang melihatnya bertunggang di atas belakang harimau seperti sedang
menunggang kuda. Orang yang melihatnya terlepas cakap mengatakan Pak Uda Karib
hanya lebih temberang saja. Cakap saja besar sampai mengaku dirinya pawang,
pada hal orang tahu kebolehannya berburu kerana dia memiliki senapang yang
dihadiahkan oleh Tuan DO. Senapang itulah menjadi pawang dia kononnya.
Kata-kata
orang itu menyinggung perasaan Pak Uda Karib. Bagaimanapun dia tidaklah
mengambil tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan. Memang sudah menjadi
kelaziman masyarakat di situ, mudah iri hati dengan kelebihan orang lain. Oleh
itu cerita yang memburuk-burukkan Pak Uda Karib itu adalah berpunca dari
perasaan iri hati tadi.
Semasa
balik dari surau lepas isya orang berkenaan balik bersama-sama dengan Pak Uda
Karib dan beberapa orang lagi jiran. Di pertengahan jalan seekor harimau sedang
menunggu seperti seekor kuda menunggu tuannya. Di depan jiran-jiran itulah Pak
Uda terus melompat ke atas belakang harimau itu terus menunggangnya dan hilang
di dalam kegelapan malam.
Mereka
yang melihat kejadian itu tergamam. Mereka semacam bermimpi melihat kejadian
yang berlaku di depannya. Orang yang memburuk-burukan nama Pak Uda Karib itu
tidak sedar terkencing dalam kain.
Semua
cerita mengenai Pak Uda Karib memang sudah didengar oleh Mion. Sebab itu dia
tidak berani sangat celupar mulut meminta supaya Pak Uda Karib memanggil
harimau menjengah muka di situ. Takut juga dia kalau harimau tiba-tiba saja
muncul di situ. Apa yang harus dilakukannya kalau bertembung harimau di tengah
hutan demikian.
Tetapi
sehingga jam 2 petang tidak ada harimau tercongkok. Mereka sudah berjaya
menembak lima ekor pelanduk yang sedang memakai pucuk ludai. Pak Uda Karib
sendiri yang menyembelihnya. Mion cuma membawa pelanduk tersebut. Berat juga
mahu memikul lima ekor pelanduk yang telah dimasukkan ke dalam karung.
“Kita
balik sajalah” Mion mencadangkan kerana terasa sangat berat bebannya.
“Ah
siang lagi ni…..” sahut Pak da Karib perlahan. “Kau nak ke mana cepat-cepat
balik?” sindirnya sambil menggalas senapang di bahu.
“Cukuplah
ni” jelas Mion, tetapi dia tidak memberitahu tentang beban berat yang
dirasakannya. Malu juga dia mahu memberitahu Pak Uda Karib fasal tidak terdaya
mahu memikul karung berisi pelanduk itu. “Kalau jumpa lagi pun tak larat nak
bawa” katanya termengah-mengah.
“Ah
banyak tu tak larat bawa, lebih baik tak usah makan” dia mengejek Mion.
Mion
tidak menyahut. Mendongkol juga hatinya bila dengar ejekan tersebut. Tetapi dia
memang tidak berdaya lagi mahu memikulnya. Terasa berat beban yang dipikulnya
bukan lima ekor pelanduk, tetapi berlipat ganda dari itu.
Bagaimanapun
Mion tidak mahu menerangkan keadaan sebenarnya. Dia tidak menyangka berat lima
ekor pelanduk itu sampai tidak terdaya lagi dia memikulnya. Akhirnya dia
terpaksa mencampakkannya ke tanah. Apabila mencampakkan karung berisi pelanduk
itu ke tanah, Pak Uda Karib melompat ke arah karung tersebut.
“Ambil
senapang ni…” katanya menghulurkan senapang kepada Mion. Cepat-cepat Mion
menyambarnya.
“Sejak
tadi kau ikut aku, kau ingat aku tak tau!” bentaknya sambil menghunus parang.
Mion terpinga-pinga dengan kelakuan Pak Uda Karib yang tiba-tiba saja membuka
langkah silat.
“Aku
tahu kau bertenggek atas bahu Mion” gerutunya lagi sambil mengertap bibir.
“Jadi, kau ingat aku tak tau ye! His, ini Karib, turun temurun Malim Kerimun.
Kalau kau nak baik, aku terima baik. Kalau kau nak jahat, aku terima jahat.
Sekarang menjelma kau, menjelma kau” bentak Pak Uda Karib berdiri tegak.
Sekaligus dia mencacakkan mata parangnya ke tanah.
Dia
berpusing berligar-ligar di sekeliling karung berisi pelanduk tadi. Mion
bertambah gementar melihat kejadian tersebut. Belum pernah dia mengalami
kejadian demikian selama dia mengikut Pak Uda Karib ke hutan. Mungkin Talip
Jengket tidak mahu mengikutnya lagi pun disebabkan sudah mengalami
kejadian-kejadian yang diluar dugaan sedemikian.
Berligar-ligar
Pak Uda Karib. Mulutnya kumat kamit membaca sesuatu yang tidak dapat didengar
jelas oleh Mion.
“Sekarang
menjelma kau! Ikut perintah aku, menjelma kau….. “ bentaknya nyaring
menghembuskan nafas perlahan.
Mion
dapat melihat sendiri seorang perempuan tua tiba-tiba terpelanting ke tanah
dari atas karung berisi pelanduk tadi. Rambutnya putih menggerbang, dan
teteknya labuh sampai ke paha.
“Kau
rupanya Kopek … ?” kata Pak Uda Karib dengan nada marah. “Aku ingatkan puaka
hutan, rupanya kau nak sorokkan jalan aku. Kau nak sesat aku dalam hutan ini.
Kau nak main-main dengan aku” jerkahnya lalu melompat menyepak dagu perempuan
tua itu.
Peremuan
tua itu tersungkur. Mulutnya berdarah akibat disepak oleh Pak Uda Karib.
“Kau
kejam Karib….” Suara perempuan tua itu terketar-ketar.
“Berani
kau mempermain-mainkan aku hah!” secepat kilat Pak Uda Karib menendang dada
perempuan itu. “Dari tadi kau bertenggek atas bahu Mion, kau fikir aku tak tau.
Aku ingatkan pawang rimba tadi, sebab itu aku biarkan dulu permainannya.
Rupa-rupanya kau, laknat….! Dia melompat sambil menyepak kepala perempuan tua
berkenaan.
“Kejam
kau, kejam kau…” rengek perempuan tua iti terketar-ketar.
“Kalau
kau menganggu manusia tak kejam!” sindir Pak Uda Karib berligar-ligar
sekeliling perempuan tua yang melutut meminta ampun. “Kau bertenggek atas bahu
Mion tadi tak kejam…” ujarnya mengejek.
Perempuan
tua berkenaan terketar-ketar mahu berdiri, Rupanya semakin hodoh kerana
rambutnya dipenuhi daun-daun kayu kering tersangkut. Dia tidak berani bergerak
dari tempatnya berjejak.
“Lepaskan
aku Karib” rayunya bergetar.
“Mengapa
kau berani ganggu aku?” jerkah Pak Uda Karib.
“Sumpah,
sumpah aku tak ganggu kau lagi “ kata perempuan tua tersedu sedan.
“Kau
nak sorokkan jalan aku. Memang kerja kau ni Kopek, suka menyorokkan jalan. Kau
mahu manusia semuanya sesat meraba-raba!” bentak Pak Uda Karib bertambah marah.
Mion
terkebil-kebil melihat Pak Uda Karib berligar-ligar.
Dia juga mendengar dengan jelas suara perempuan tua itu terketar-ketar menahan
kesakitan. Kalaulah orang tua yang dilihatnya itu manusia biasa, memang terasa
kesihan dia apabila terguling ke tanah disepak oleh Pak Uda Karib.
Tetapi
dia tahu yang disepak oleh Pak Uda Karib bukanlah manusia biasa. Sepakan dia
juga bukanlah sepakan biasa seperti menyepak bola raga. Tetapi sepakan makrifat
yang melantasi alam lain. Mion juga sedar beban berat yang dipikulnya sejak
tadi ialah perempua tua tersebut.
Dia
juga sedar bahawa perempuan tua itu adalah jelmaan hantu kopek yang tdak dapat
melepaskan diri dari Pak Uda Karib. Apabila makhluk demikian sudah dibawa
menjelma, bermakna dia sudah menjadi tawanan pada Pak Uda Karib. Barulah Mion
dapat menyaksikan sendiri satu pengalaman yang tidak pernah diduganya selama
ini.
“Tolong
aku, lepaskan aku.. tolong” perempuan tua yang dipanggil oleh Pak Uda Karib
sebagai kopek itu merayu-rayu minta belas kesihan.
Pak Uda
Karib tidak memperdulikan rayuan perempuan tua berkenaaan. Memang Mion tahu
masakan dengan hantu atau syaitan boleh menunjukkan belasa kesihan. Orang yang
menunjukkan belasa kesihan pada hantu atau syaitan hanya mereka yang telah
terpedaya saja.
Hantu
adalah golongan makhluk halus yang sama sejenis dengan syaitan dan iblis. Kerjanya
memang menganggu Bani Adam atau manusia. Itulah janjinya kepada Allah setelah
dinyahkan dari syurga kerana tidakmahu sujud kepada Adam. Sebab itulah Pak Uda
Karib tidak akan menaruh belas kesihan dengan golongan makhluk demikian.
Mereka
juga mempunyai kebolehan psaikologi sehingga boleh memperdayakan manusia yang
tidak memahami tipu helahnya. Kebanyakan manusia yang lemah semangat mudah
terpedaya kepada psaikologi syaitan dan iblis. Demikianlah diterangkan oleh Pak Uda Karib
kemudiannya kepada Mion.
“Tolong
aku !” suara perempuan tua itu bergetar sambil mencampakkan tetek atau kopeknya
yang labuh sampai ke paha itu ke belakang lalu tergalas ke bahunya.
“Hus,
setan tak boleh ditolong” jerkah Pak Uda Karib keras.
“Aku
bukan setan…..” rayunya lagi.
“Setan,
memang tak mahu mengaku setan!” Pak Uda Karib menyindir.
“Kalau
kau manusia kesihanilah aku” dia cuba mencari helah supaya Pak Uda Karib
mengalah.
“Manusia
tak boleh kesihankan setan” sahut Pak Uda Karib membentak.
“Mengapa?”
tanyanya selamba.
“Sebab
setan itu musuh manusia” kata Pak Uda Karib mengejek. “Sampai hari kiamat kerja
setan memang nak merosakkan manusia” dia terus menyindir perempuan tua bertetek
labuh itu.
Petempuan
tua berkenaan terus merayu-rayu kepada Pak Uda Karib supaya membebaskan dia
dari kurungan kebatinan Pak Uda Karib. Tetapi Pak Uda Karib tidak dapat
diperdayakannya. Dia berlegar-legar mengelilingi perempuan tua itu sambil
mulutnya kumat kamit membacakan ayat-ayat Quran.
Jelas
kedengaran pada Mion perempuan itu merengek-rengek kesakitan dan meminta belas
kesihan. Suaranya bergetar tenggelam timbul antara kedengaran dengan tidak
tetapi jelas biji butirnya.
Setelah
berligar-ligar Pak Uda Karib menghembuskan mulutnya ke arah perempuan tua tadi.
Terjerit-jerit perempuan tua itu menahan kesakitan. Dia menghempaskan badannya
kebumi seperti pelanduk terkena tembak di kepala. Kemudian merengek-rengek
seperti pelanduk menendang angin. Akhirnya terkejang seperti pelanduk kena
sembelih.
Selepas
itu Pak Uda pun mencabut parangnya yag tercancang ke tanah. Kelihatan darah
pekat pada mata parangnya bagaikan baru saja menyembelih pelanduk. Setelah
semuanya berakhir barulah Pak Uda Karib mengajak balik. Ketika itu Mion dapati
jam sudah menunjukkan hampir pukul lima petang.
Gerun
juga Mion bila mengenangkan kejadian yang dialaminya itu. Kalau mahu
diceritakan pada orang-orang kampung tentu tidak siapa pun mahu mempercayai.
Tentu mereka akan mengatakan dia terpengaruh dengan cerita Pak Uda Karib yang
dianggap oleh mereka memang kaki temberang. Tetapi Pak Uda Karib tidak pernah
menceritakan kepada orang-orang kampung kejadian-kejadian seperti dilihat oleh
Mion sebentar tadi.
“Pelanduk
p nada badi ke Pak Uda?” Mion cuba meredakan kebimbangan yang menganggu
perasaanya.
“Tidak…” sahut Pak Uda Karib tenang.
“Jadi
apa yang Pak Uda buat tadi?” tanyanya lagi. Setahu dia binatang hutan yang
berbadi Cuma kijang dan rusa saja. Belum pernah didengarnya pelanduk juga
mempunyai badi.
Kalau
calang-calang orang berburu memang kerap kali berlaku apabila ditemvak rusa
atau kijang, tiba-tiba saja binatang itu bertukar menjadi benda lain. Sekiranya
dibuang saja dengan tidak menghiraukanya nescaya akan datanglah geruh kepada
pemburu berkenaan. Geruh itulah yang dikatakan badi.
Tetapi
belum pernah didengarnya mengenai pelanduk yang berbadi. Sebabitu dia merasa
heran ketika menggalas karung berisi pelanduk tadi terlalu berat. Setelah
kejadian yang dilihatnya mengenai Pak Uda Karib degan perempuan tua bertetek
labuh tadi, beban yang digalasnya tidaklah berat lagi.
“Aku
nampak Pak Uda dengan anu tu…” terasa bulu tengkoknya meremang bila
terpandangkan muka perempuan tua tadi.
“Celaka..!” gerutu Pak Uda karib sambil meludah ke tanah.
“Kalau rimau nampak juga belangnya, ni benda tak nampak. Musuh macam inilah
yang lebih buruk kalau ke hutan” katanya macam menyesali kejadian yang berlaku
itu.
“Aku
nampak…” jelas nampak Mion. Sebenarnya dia cuba menghilangkan ketakutan yang
menyelubungi hatinya. Selagi tidak lepas keluar dari hutan tersebut hatinya
tetap diganggu ketakutan.
“Kau
tak takut?” soal Pak Uda Karib tidak
menoleh langsung kebelakang.
Mion
cuma tersengih sengih. Malu juga dia mahu menerangkan sama ada takut atau
tidak. Kalau mahu berbohong pun tentulah Pak Uda Karib dapat membaca air
mukanya. Siapa yang tidak takut bila
terpandang muka hodoh seorang perempuan tua yang menggerunkan di tengah
hutan?
“Ku
takut ?” ulangi Pak Uda Karib.
“Takut
jugalah…..” dia mengaku secara jujur.
“Tapi Pak Uda ada, apa lagi nak ditakutkan” sambungnya perlahan.
“Hantu
kopek…” terang Pak Uda Karib selanjutnya
terus berjalan tidak memandang kiri dan kanan. “Bukan badi pelanduk tadi tu ,
hantu kopek. Memang kalau ke hutan hantu kopek inilah selalu menyorokkan jalan.
Itu yang menyebabkan kita sesat tak dapat cari jalan keluar’ katanya
menjelaskan.
Mion
terangguk-angguk saja.
Dari
cerita pak Uda Karib itu dia dapati hantu kopek ini tidaklah merbahaya sangat.
Dia cuma menyesatkan jalan orang-orang yang pergi ke hutan. Pada mulanya Pak
Uda Karib menyangka puaka hutan yang mengganggu. Kalau puaka hutan, maka
terpaksalah menghadapi tentangan yang berat. Sebab itulah Pak Uda Karib
terpaksa buat pasung bumi untuk memerangkap.
Disebabkan
dia sudah memerangkap hantu kopek, mahu tidak mahu dia terpaksa juga
memusnahkannya. Kalau dilepaskan bererti dia sudah bertolak ansur dengan
syaitan. Mengikut petua gurunya dia tidak akan digeruni lagi oleh syaitan
sekiranya mengalah kepada makhluk demikian.
Memang
sudah didga dari awal perjalanannya diganggu. Sebab itu dia mencari tempat yang
sesuai untuk memerangkap. Bagaimanapun dia sendiri tidak menduga yang
menganggunya cuma hantu kopek, yang mahu menyesatkan perjalanannya di tengah
hutan itu.
“Petuanya
senang kalau hantu kopek ini mengganggu” Pak Uda Karib memberitahu. “Kau cari
akar kayu melintangi jalan, kemudian dibelah dua. Kau menyusup celah belahan
akar itu. Mampus dia tak dapat lagi menganggu kau…” dia menerangkan kepada Mion
petua-petua kalau tersesat semasa berjalan di hutan.
Di
samping itu Pak Uda Karib juga menerangkan petua yang lebih senang ialah menanggalkan
pakaian. Hantu kopek ini menjadi malu apabila melihat lelaki berbogel dan dia
akan melarikan diri. Selepas itu mudahlah mendapatkan jalan keluar.
Semua
cerita Mion ke hutan dengan Pak Uda Karib diceritakannya semula kepada saya.
Oleh itu saya sudah dapat mengagak bahawa kereta Tamrim sudah dibawa jauh entah
ke mana. Osman hanya terhangak-hangak memanjangkan leher keluar tingkap kereta
memerhatikan lurah yang dikatakan lorong ke dusun Tok Imam Mat Dah.
“Mana
jalannya Man ?” tanya Tamrim tidak sabar.
“Kawan
sedang memerhati ni..” Osman mendengus. Dia juga menjadi serba salah kerana
tidak dapat mencari lorong ke dusun durian tersebut. “Hari malam memang susah
sikit nak cam jalannya” katanya masih tergaru-garu kepala.
“Kau
kata kampung kau, takkanlah tak cam…” ujar Tamrim macam menyindir.
Osman
tersengih-sengih. Dia sendiri tidak dapat mempastikan di mana lorong hendak
dicari. Kelilingnya kelihatan seperti kabus memutih dan tidak kelihatan
apa-apa. Kalau mahu dikira kabus masakan baru pukul 12.30 tengah malam sudah
turun kabus demikian pekat. Lagi pun dilangit bulan mengambang terang,
bagaimana keadaan kabus demikian berlaku adalah mengelirukan.
Yang
dapat dilalui cuma jalan tanah merah itu. Kadangkala suluhan lampu kereta
Tamrim juga tidak dapat menyuluh dengan jelas.
Memandangkan
keadaan semakin rumit saya mula mengesyaki sesuatu. Saya teringat akan cerita
Mion. Teingat akan pengalaman yang dilihatnya semasa ke hutan bersama Pak Uda
Karib. Ketika saya membiarkan saja Osman dan Tamrim berbalah mengenai jalan
yang kami cari. Saya mendiamkan diri sambil membuat persemadian yang khusuk.
Mungkin
cara saya dengan Pak Uda Karib tidak sama. Dia seorang pawang besar. Sehingga
akhir hayatnya semua orang tahu dia seorang pawang yang terkenal dalam hal-hal
berburu di hutan. Sedangkan saya hanya bekas seorang pelajar di sekolah agama.
Bagaimanapun saya hanya mencuba-cubakan sedikit beberapa potong ayat Quran,
moga-moga dapat pertolongan dari Allah.
Semasa
menghadapi kebuntuan adalah digalakkan membaca Surah Waddhuha dengan khusuk.
Ini sajalah pegangan saya apabila menghadapi suasana yang demikian. Jadi dalam
masa Osman dan Tamrim berbalah saya pun membacakan Surah Waddhuha dengan penuh
khusuk.
Sekonyong-konyongnya
Osman memekik, “Huss, kita ni dah terlangsung jauh. Dah jauh sangat ni…” dia membuka
ketayapnya sambil dikibas-kibas ke pipi. “Itu sekolah hah…dah nak sampai ke
Jerantut kita. Pusing ke belakang balik” katanya tersengih-sengih.
“Tadi
kau kata ke depan lagi … “ keluh Tamrim pendek.
“Iyalah,
kawan rasa kereta awak ni perlahan aje. Sebab itu kawan ingatkan dekat aje dari
rumah Tok Imam tu “ jelas Osman tersengih –sengih macam rasa bersalah.
Apabila
kami berpatah balik kelihatan tidak ada lagi kabus memutih. Jalan kelihatan
terang dan di kiri kanan jalan samar-samar kelihatan disinari oleh cahaya
bulan. Akhirnya mudahlah kami menemui lorong ke dusun durian Tok Imam Mat Dah.
Hampir pukul 2.00 pagi, kami sampai ke pondok durian Tok Imam Mat Dah.
Bergegas
dia bangun bila Osman memanggil namanya. Belum pun sempat saya duduk, Osman
sudah membelah durian yang berlonggok di atas pondok.
SELESAI.