Tuesday, November 13, 2012

40. TOK AWANG NGAH - HARIMAU JADI PENJAGA DIRI


Semasa sampai di rumah Haji Kawa langkah Mizah jadi perlahan apabila terasa dadanya mulai sebak. Kebetulan pula saya berjalan-jalan di depan rumah memerhatikan pokok mangga berbuah lebat, disebabkan Haji Kawa di bilik air mandi untuk tunaikan solat asar. Isteri saya di dapur menemani isteri muda Haji Kawa mengoreng cucur pisang.
Ketika sampai di rumahnya Haji Kawa masih lagi tidur akibat keletihan. Kebetulan pula giliran dia bermalam di rumah isteri mudanya pada hari Rabu. Sebab itu saya berkunjung di rumahnya petang Rabu kerana bimbang tidak dapat bertemu dia.
Sebaik saja Mizah memberi salam terus sahaja dia masuk ke pintu pagar kerana di sangkanya saya Haji Kawa. Tatkala bersalam dia membongkok sedikit seolah-olah mahu mencium tangan, tetapi segera saya tarik ke belakang.
“Ini Tuan Haji Kawa ke?” Mizah tercegat di depan saya disebabkan tidak dipelawa masuk.
Kebetulan dia datang seorang diri sahaja dengan berjalan kaki. Tentu rumahnya berhampiran dengan tempat tinggal Haji Kawa. Masakan dia tidak pernah bersua  uka dengan Haji Kawa.
“Bukan, saya pun datang nak jumpa dia,” beritahu saya masih juga tidak mempelawanya masuk ke rumah.
“Saya datang dari Taiping,” ujar Mizah perlahan setelah menyedari saya bukan orang yang di carinya. “ Datang ke rumah anak saya di bawah tu, ada orang yang kata Tuan Haji Kawa ni boleh mengubat,” katanya ikut sama memerhatikan buah mangga yang lebat di dahan.
“Emmmm... bolehlah cuba,” sahut saya tidak berganjak berdiri di bawah pokok mangga di depan rumah.
“Abang ni sakit jugak ke?” Mizahmenatap muka saya sambil menekan-nekan dada menahansebak.
“Saya datang nak ziarah kawan,” jelas saya mengajaknya masuk ke rumah sebaik sahaja Haji Kawa berdiri di muka pintu. Dia juga mempelawa tetamunya masuk ke rumah disebabkan isterinya sudah pun bersiap hidangkan minuman di dapur.
Sudah menjadi kelaziman Haji Kawa pula kalau saya datang berkunjung ke rumahnya mesti jamah juga masakan isterinya. Tetapi isteri mudanya baru pertama kali saya bersua. Lainlah kalau isteri tuanya, sampai santak jam 11.00 malam pundia tidak akan membantah untuk memasak kalau saya datang berkunjung.
Kadangkala terasa juga segan mahu menyusahkan dia apabila berkunjung ke rumahnya selepas habis Isya. Memang semasa belajar pondok pun Haji Kawa terlalu rapat dengan saya. Sampaikan kain baju saya direndam untuk dibasuh pun, dia sanggup cuci dan sidai ke ampai. Kalau memasak pun Haji Kawa rajin ke dapur.
“Ustaz ni pun boleh ubatkan,” sengaja Haji Kawa bergurau sebaik sahaj tetamunya masuk ke rumah.
Tetapi Mizah tidak peduli apa pun penjelasan Haji Kawa. Biarlah Haji Kawa sengaja berdalih memberitahu saya boleh mengubati penyakitnya, namun dia tetap harapkan Haji Kawa. Lagi pun tatkala keluar rumah dia sudah nekad mahu menemui Haji Kawa, sekalipun dia belum pernah bersua.
Sudah beberapa orang dukun ditemuinya semasa di kampung, mereka menuduh Mizah terlangkah barang yang ditanam orang. Sebab itu dia merasa kebas paha apabila senja menjelang. Kadangkala kebas di bahagian paha itu menyebabkan dia pitam kepala sampai terasa rumahnya berpusing ligat.
Memang anaknya Lamiah sudah membawanya menemui doktor, tetapi tidak ada tanda tanda dia diganggu darah tinggi. Lamiah rela emaknya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sekiranya diganggu darah tinggi sampai pitam tidak bertahan.
Apabila balik ke Taiping anaknya Mat Ripin berusaha juga menemui dukun sampai ke Sungkai, tetapi keadaan emaknya masih belum berubah. Mat Ripin bawa juga menemui bidan berurut seluruh badan kalau emaknya diganggu angin. Dua pagi bidan itu mengurutnya, dia pula termengah-mengah sakit menanggung hingga terasa sesak nafas.
‘Dah puas saya berubat Tuan Haji.” Tutur Mizah bergetar seolah-olah suaranya menahan debar yang kencang.
“Hah, kalau sakit wajiblah berubat,” sahut Haji Kawa tersengih-sengih mengerling saya.
“Sebab itu saya datang jumpa tuan haji,” ujar Mizah apabila kenangkan jiran anaknya Uda Lijah yang menyuruhnya ke situ. Sepanjang malam dia diganggu pitam, memang Uda Lijah dipanggil oleh Lamiah mengurut tengkok emaknya. Cemas juga Lamiah disebabkan seluruh tubuk emaknya sudah berpeluh sejuk bagaikan air mandi mayat.
Uda Lijah sudah mendesak supaya dihantar sahaja ke hospital, tetapi Lamiah bertahan. Memang emaknya berpesan sangat supaya tidak tergesa-gesa dihantar ke hospital sekiranya sakit sampai jatuh pitam. Tahu sangat Lamiah mengenai penyakit emaknya sudah beberapa kali menganggu.
Kalau tidak disebabkan hujan turun sebelum asar, Uda Lijah sudah berjanji mau bawakkan Mizah menemui Haji Kawa. Tahu sangat dia Haji Kawa datang ke situ  hari Rabu atau Jumaat atau Ahad. Tiga hari itu sahaja dia bermalam di rumah isteri mudanya. Sebab itulah dia berjanji mahu hantar Mizah ke rumah Haji Kawa.
Disebabkan Uda Lijah tidak datang jengah muka selepas hujan mulai teduh, tidak sabar lagi Mizah mahu menemui Haji Kawa. Dia sendiri camkan alamat rumah yang diberikan oleh Uda Lijah itu sampai termengah-mengah berjalan kaki.
“Awak ni patut kurangkan berat badan,” ujar saya setelah melihat keadaan Mizah yang gemuk.
Dia tidak menyahut, tetapi mengangguk lemah. Memang dia menyedari tubuh badannya semakin gemuk, sekalipun sudah cuba mengawal makannya. Tetapi perkara badan naik gemuk bukanlah disebabkan makanan dikawal , kadangkala tubuhnya menjadi lemah tidak bertenaga sekiranya dikurangkan sangat menjamah makanan.
“Berapa umur awak sekarang?” Haji Kawa cuba mengagak.
“Dah lima puluh umur saya ni, tuan haji,” jelasnya sambil mengusap usap dada.
“Biarlah saya cuba dulu,” tegas Haji Kawa lantas memegang ibu jari kaki Mizah dengan membacakan:
Innama illahukumullahhul lazi la-ilaha illa huwa, wasi’a kulla syai-in ‘ilman
Tiga kali Haji Kawa mengulanginya, tiba-tiba sahaja Mizah menyentak menahan kesakitan. Tidak jadi Haji Kawa mahu meneruskan disebabkan Mizah termengah-mengah.
“Macam mana rasanya tuan haji,” tersengih-sengih Miza merenung Haji Kawa yang tidak mahu meneruskan membaca doa-doanya.
“Tak apalah, lepas isya nanti awak datang kalau rumahnya dekat,” ujar Haji Kawa seolah-olah mahu mengelak disebabkan saya baru sahaja menjejak kaki ke rumahnya. Belum pun sampai berbual-berbual dengan saya kerana sudah lama tidak bersua, tiba-tiba sahaja ada tetamu datang minta doakan.
“Apa kelengkapan yang perlu saya bawa?” soal Mizah mahu pasti barang-barang yang perlu dibawa bersama.
Memang dia tinggal dalam kawasan kampung itu juga, bila-bila sahaja boleh datang kesitu. Disebabkan Haji Kawa memintanya datang selepas isya, tentulah memerlukan kelengkapan untuk dibawa sama. Tetapi Haji Kawa tidak meminta apa-apa.
Disebabkan dia baru sahaja sampai di rumah isteri mudanya, biarlah dia berehat dahulu sampai selepas isya. Apa salahnya tetamu-tetamu datang selepas isya. Tidak perlu mereka menganggu petang-petang demikian.
Tetapi Mizah tidak sabar menunggu selepas isya. Sebab itulah dia cari juga rumah Haji Kawa sebaik sahaja hujan lebat mulai reda. Setelah diubati oleh Haji Kawa, dia tidak terkilan apa-apa apabila disuruh datang selepas isya.
“Tak payah bawak apa-apa, kita tengok dulu,” tutur Haji Kawa kerana dia belum dapat menentukan apakah kelengkapan yang perlu disediakan. Manalah dia tahu penyakit yang menganggu  Mizah kalau tidak diuji terlebih dahulu.
Tetapi dia sudah dapat mengagak Mizah memang diganggu syaitan, setelah dibacakannya doa tiba-tiba sahaja perempuan itu terjerit kesakitan. Biarlah ditunggu selepas isya sahaja baru dia bersungguh-sungguh ubatkan dengan berdoa.
“Agaknya, apa penyakit saya ni Tuan Haji?” Mizah mendesak disebabkan tidak sabar mahukan kepastian. Lama sangat dia menanggung gangguan sejak arwah suaminya masih hidup lagi. Ketika arwah suaminya menderita sakit lumpuh, dia juga ikut sama termengah-mengah sesak nafas.
Sebab itu sampai tiga minggu dia tidak dapat menjengah arwah suaminya di hospital, apabila dia juga terlantar diserang sesak nafas yang berterusan. Kelam kabut juga anak-anaknya kerana tidak tahu yang mana perlu dijengah apabila kedua-duanya serentak sakit teruk.
“Arwah suami saya dulu memang banyak menuntut ilmu dukun,” beritahu Mizah masih tidak berganjak di kerusi sekali pun Haji Kawa akan merawatnya selepas isya.
“Arwah suami awak dulu dukun ke?” tersenyum Haji Kawa apabila diberitahu demikian.
Mizah mengangguk. Terbayang kesugulan diwajahnya apabila kenangkan suaminya sanggup berguru sampai lupakan rumah tangga. Semenjak ditukarkan ke Sabah, Derih Bauk sudah mula tumpukan masa belajar ilmu dukun. Sampaikan kawan-kawan yang sama bertugas di kem pun usik dia dengan memanggilnya dukun.
Derih Bauk tidak peduli apa pun kalau kawan-kawan mengusiknya apabila balik ke kem. Biarlah mereka mahu panggil apa pun, asal sahaja dia tidak mengalah. Bukan mudah mahu mencari guru turunkan ilmu kalau tidak tahu memujuk. Memang sukar guru yang tinggi ilmu kebatinan mahu turunkan ilmu sekiranya tidak bersungguh-sungguh.
Tetapi Mizah yang terkilan dengan sikap suaminya. Sampaikan di rumah tidak cukup barang keperluan  Derih Bauk tidak peduli sangat. Dia mesti pastikan gurunya cukup barang-barang keperluan terlebih dahulu.
Hanya selepas berhenti dari tentera baru suaminya amalkan berdukun. Dia sedia mengubati sesiapa sahaja apabila mereka meminta pertolongan. Apalah salahnya dia gunakan ilmu yang dituntut untuk membantu orang lain yang harapkan pertolongan.
Tidak lama selepas berhenti kerja itulah, Derih Bauk tiba-tiba jatuh di bilik air tatkala mahu amabil wuduk. Terkial-kial dia berpaut untuk berdiri semula, tetapi kakinya semakin goyah.Dia tidak dapat jejakkan kakinya lagi menyebabkan terpaksa memanggil isterinya. Cepat-cepat pula Mizah memapah ke bilik setelah Derih Bauk semakin tidak bermaya.
Lama terlantar di hospital, Mizah terpaksa desak anak-anaknya menemui bomoh di Bidor. Jiranya yang beritahu mengenai bomoh muda yang sanggup mengubati penyakit diganggu syaitan itu. Belum pun ada umurnya 30 tahun, Mat Tauhid yang dikatakan bomoh di Bidor seperti diberitahu oleh jirannya.
Perkara umur tidak penting pada Mizah. Masakan Mat Tauhid yang masih muda itu mengaku menjadi bomoh kalau dia tidak mampu mengubati orang. Macam mana pun dia perlu mencuba terlebih dahulu , biar Mat Tauhid menguji kemampuannya.
Sewaktu Mizah bawa suaminya menemui Mat Tauhid, memang Derih Bauk sudah gelisah tidak menentu. Matanya garang merenung Mat Tauhid, seolah-olah tidak menyenangi bomoh muda itu. Kalaulah tidak disebabkan tubuhnya lemah, memang dia gagahi juga bangun meninggalkan tempat itu.
Tersinggung juga dia dengan sikap isterinya bawakan dia menemui bomoh terlalu muda macam Mat Tauhid, salangkan dia sendiri bomoh juga. Tentu Mat Tauhid akan tercengang kalau mengalami kejadian di Sabah apabila mangsa gangguan syaitan hilang kemaluan. Kadangkala kemaluannya dialihkan ke dahi hingga bagaikan belalai gajah tergantung di situ.
“Kita cubalah berikhtiar dulu,” Mizah memujuk suaminya supaya menurut sahaja kemahuan keluarga.
Tetapi Mat Tauhid tahu yang tidak senang terhadap dirinya bukan Derih Bauk yang terkejang lemah. Tentu syaitan yang menganggunya sahaja mengaruk biar setiap orang bencikan Derih Bauk . Kalau dia sendiri tersinggung, tentulah Derih Bauk akan terbiar tidak diubati langsung.
Apabila Mat Tauhid menepuk dahi Derih Bauk memang terasa kepadanya kesat seolah-olah mengusap kepala harimau. Semakin lama dia usapkan tangannya ke dahi Derih Bauk. Tiba-tiba sahaja lelaki itu mengerang-erang. Memang Mat Tauhid dapat mendengar erangan itu sama seperti ngauman harimau yang menggerunkan.
Tentu Mizah tidak mendengar apa-apa selain dari erangan Derih Bauk sahaja. Dia juga melihat suaminya cuba mengerakkan badan, tetapi suaminya lemah tidak bermaya.
“Dia berdamping dengan harimau ni, mak cik,” Mat Tauhid menjelaskan setelah mencuba mengubati lelaki itu.
“Buatlah macam mana pun, tok dukun,” ujar Mizah memberikan kebenaran apa saja yang diperlukan oleh Mat Tauhid untuk melakukannya.
“Kena buat berturut-turut malam mak cik,” lantas Mat Tauhid memberi pengakuan akan mencubanya.
Mizah tidak peduli. Biarlah berturut-turut malam mereka anak beranak datang ke Bidor, asal sahaja penyakit suaminya boleh diubati. Tidak tergamak lagi dia membiarkan Derih Bauk menderita menahan kesakitan sejak berbulan-bulan.
Sampai lebih seminggu Mizah datang ke Bidor membawa suaminya menemui Mat Tauhid. Setiap kali Mat Tauhid melakukan cara pengubatannya, memang Derih Bauk mengerang-ngerang tidak menentu. Kalaulah badannya boleh digerakkan, mungkin Derih Bauk akan bangun melompat.
Tetapi Mat Tauhid tetap bersabar apabila memerangkap gangguan syaitan yang merasuk dalam diri Derih Bauk masuk kedalam botol yang disedakan. Puas juga Mat Tauhid menunggu dengan meletakkan botol di hujung ibu jari kaki Derih Bauk sambil amalkan pertuanya  hinga Mizah nampak seolah-olah asap kuning masuk ke dalam botol.
Selama empat belas hari Mat Tauhid mencuba, dia mengeluh pendek kerana dapat mengeluarkan penyakit mengikut petuanya hanya lima botol sahaja. Dia bagaikan kecewa kerana tidak dapat membantu Mizah memulihkan suaminya.
“Banyak harimau yang dibelanya makcik,” keluh Mat Tauhid mendedahkan rahsia sebenar amalan Derih Bauk selama ini. “Saya hanya dapat tangkap lima sahaja,” jelasnya menatap muka Mizah dalam kehampaan.
“His banyaknya,” Mizah juga hairan bagaimana suaminya sanggup amalkan ilmu yang tidak memberi manafaat demikian. “ Jadi, kita nak buat macam mana sekarang ?” katanya memang tidak tahu apa yang perlu dilakukan kalau Mat Tauhid sudah mengalah.
“Beginilah, makcik...” beritahu Mat Tauhid macam menasihatkan perempuan itu. “Kita serahkan pada ketentuan Allah, kalau nak diubati pun keadaannya dah teruk sangat,” tuturnya lembut untuk menyabarkan Mizah.
Tetapi Mizah tidak bimbang apa. Kalau ajal suaminya sudah tiba waktu, siapa pun tidak boleh menghalang ketentuan Allah. Lagipun biarlah suaminya menemui ajal kalau dibiarkan menanggung beban yang berpanjangan. Dia sendiri tidak menduga terlalu jauh suaminya beramal hingga terpengaruh dengan gangguan syairan yang mahu memusnahkan manusia.
Setelah dia membawa suaminya balik, memang anak-anaknya mendesak juga supaya dimasukkan semula ke hospital. Setidak-tidaknya masih boleh diberi bantuan kalau keadaan ayahnya dalam keadaan terdesak. Tetapi Mizah berkeras tidak mahu lagi berubat, setelah mendengar nasihat Mat Tauhid.
“Mak tak boleh putus asa,” Lamiah ingatkan dia supaya tidak percaya sangat dengan pendapat Mat Tauhid. Lagi pun Mat Tauhid sekadar memberi pendapat dan bukannya keputusan yang mesti dipatuhi.
“Penyakit ayah kamu bukan boleh diubat di hospital,” tegas Mizah kerana memahami keadaan sebenar yang menyelubungi diri suaminya.
Manalah anak-anaknya tahu mengenai ayah mereka yang sanggup bertapa sampai ke gua semata-mata mahu amalkan ilmu kebatinan. Sewaktu Derih Bauk berkhidmat di Sabah, anak-anak mereka masih kecil lagi. Memang anak-anaknya tidak tahu mengenai amalan ayah mereka selama ini.
Sebab itu kalau anak-anaknya sakit, Derih Bauk tidak perlu minta dukun ubatkan. Dia sendiri akan jampikan sampai anaknya sembuh betul. Biar kawan-kawannya dalam kem tuduh dia kolot kerana percayakan amalan demikian.
“Kalau di hospital ayah dapat dirawat,” Lamiah terus mendesak. “Di rumah ni mak nak jaga macam mana, mak pun sakit.” Ujarnya kerana kasihan dengan keadaan emaknya yang semput termengah-mengah.
Anak-anak lain juga bersetuju supaya Derih Bauk dimasukkan sahaja ke hospital. Tetapi Mizah tidak berganjak dengan keputusannya. Derih Bauk tidak perlu lagi dibawa ke hospital, setelah dugaannya memang mempunyai alasan.
Kalau Mat Tauhid tidak memberitahu mengenai tujuh belas ekor harimau menjadi pendamping Derih bauk, memang Mizah tidak syak apa-apa mengenai penyakit suaminya. Tetapi dia dapat mengagak kalau diserang angin ahmar, tentu suaminya masih boleh dipulihkan.
Dia juga tahu mengenai angin ahmar yang dikatakan stroke kalau dibawa ke hospital. Guru agamanya sendiri sering kali ingatkan mengenai angin ahmar yang memang dihembuskan oleh syaitan yang dikenali oleh ahmar juga. Syaitan ahmar itulah menjadi punca kepada penyakit ahmar.
Sebab itu guru agamanya akan doakan mereka yang mengidap ahmar dengan doa bagi menghalau syaitan ahmar itu. Ramai juga yang mengidap angin ahmar itu sembuh setelah didoakan oleh guru agamanya. Tetapi guru agamanya di Taiping itu sudah meninggal dunia tatkala Derih Bauk terkejang tidak bermaya.
“Kita bacakan Yassin sahaja ayah kamu ni,” tegas Mizah setelah seminggu Derih Bauk dibawa balik ke rumah.
Lamiah dan adik-adiknya terpaksa mematuhi keputusan emaknya. Dia tidak mahu emaknya terkilan sekiranya didesak juga untuk membawa ayahnya ke hospital. Hati emaknya juga perlu dijaga dalam saat keadaan ayahnya semakin membimbangkan.
Sewaktu malamnya bersiap-siap untuk bacakan Yassin itulah Derih Bauk merungut dadanya panas bagaikan terganggang ke api. Dalam keadaan kelam kabut itu Mizah tetap dengan keputusannya untuk menjemput orang-orang surau bacakan Yassin. Biarlah suaminya megerang-erang sakit tidak mahu dibacakan Yassin, dia tidak mengalah lagi dengan keputusannya.
Belum pun sempat orang-orang surau datang membacakan Yassin beramai-ramai, Derih Bauk sudah meninggal dunia. Dalam keadaan mengerang sakit dada akibat panas bagaikan diganggang ke api itulah dia menghembuskan nafas.
“Macam itulah tuan haji kisah suami saya tu,” beritahu Mizah apabila kenangkan penderitaan arwah suaminya Derih Bauk, Memang hairan juga dia ketika itu, asal suaminya bertambah teruk, penyakit dia juga ikut pasang sama.
Kadangkala terasa juga pada Mizah seolah-olah ajalnya bagaikan berlawan-lawan dengan suaminya. Kalau tidak suaminya akan menemui ajal tentu dia pula akan menerima padah.
Selepas Derih Bauk meninggal dunia, penyakitnya mula beransur sembuh. Berulang kali juga dia menemui Mat Tauhid di Bidor. Tetapi setelah Mat Tauhid belajar keluar negeri, tidak tahu lagi Mizah bagaimana mahu menghubunginya.
“Tak apalah lepas isya nanti, kita tengok macam mana nak buat,” jelas Haji Kawa.
Ketika Mizah meninggalkan rumah, merungut juga Haji Kawa kerana masih ada tetamu datang. Sebuah motosikal berhenti dengan seorang lelaki bersama isterinya turun di tengah halaman. Tetapi isteri Haji Kawa tidak berapa senang dengan kedatangan lelaki itu, kerana sudah beberapa kali mereka datang ke situ lelaki berkenaan macam tidak gembira.
Kalau tidak disebabkan isterinya berkeras mahu berubat memang lelaki berkenaan tidak akan jejak kaki ke situ. Isterinya mendesak asal sahaja dia tahu Haji Kawa balik ke rumah isteri mudanya itu.
TEtapi dia tidak dapat mengelak apabila perempuan itu datang juga. Tersinggung juga Haji Kawa dengan sikap lelaki tersebut, namun dia terpaksa pendamkan di hati. Biarlah lelaki itu merungut marahkan isterinya datang ke situ, Haji Kawa tidak peduli apa. Dia pun tidak mengambil sesen pun duit pengeras kalau dihulur oleh perempuan berkenaan.
“Petang ini saya tidak berapa sihat,” ujar Haji Kawa sebaik sahaja perempuan itu masuk, sementara suaminya masih tercegat di halaman rumah, “Lepas isya baru saya nak mulakan,” sengaja Haji Kawa berdalih kerana tidak mahu mendoakan perempuan itu kalau suaminya sendiri tidak mengizinkan.
“Saya datang dari jauh ni, tuan haji,” perempuan itu dapat menangkap perasaan Haji Kawa disebabkan tingkah laku suaminya.
Haji Kawa tersengih-sengih sahaja. Dia tidak menyahut apa apa kerana tidak mahu menyinggung perasaan tetamunya. Tentu tetamunya menuduh dia sengaja menghalau. Kalau menyuruh balik ketika itu juga kenapa tetapkan masa untuk berubat. Salangkan Haji Kawa sering ingatkan syaitan datang tidak tentu waktunya.
“Kenapa suami awak tak masuk sama?” lantas saya bertanya apabila lelaki itu tidak berganjak di tengah halaman.
“Dia tak mahu saya berubat di sini,” beritahu perempuan itu mendengus perlahan.
“Kalau suami awak tak izinkan tak bolehlah,” sahut saya memujuknya supaya mengajak suaminya masuk sama dalam rumah.
Terpaksa juga perempuan itu mara ke pintu menggamit suaminya masuk. Dalam keadaan serba salah lelaki berkenaan masuk juga, tetapi matanya melingas-lingas macam tidak puas hati.
“Hah, saya sakit bukannya awak!” gerutu perempuan itu mencuit bahu suaminya  suruh duduk. “ Awak tak suka tak apa, biar saya berubat dengan tuan haji ni,” keras suara perempuan itu membentak menyebabkan suaminya terkebil-kebil biji mata.
“Kalau awak tak izinkan, kenapa awak hantar isteri awak ke sini,” sengaja saya mencelah disebabkan Haji Kawa tidak bercakap apa-apa.
Lelaki itu juga tidak menyahut. Tetapi dia semakin resah duduk di kerusi sambil tangannya menggenggam erat tepi kerusi. Belum sempat Haji Kawa mempelawanya minum kopi yang dihidangkan, tiba-tiba sahaja lelaki itu terbatuk-batuk kuat.
Matanya berubah menjadi merah dengan mulut berbuih-buih. Ketika itu saya nampak dia menelungkup dengan punggong diangkat ke atas. Terkejut juga perempuan itu melihat keadaan suaminya tidak semena-mena jadi demikian.
Segera dia menepuk-nepuk bahu suaminya menyuruh duduk tetapi lelaki itu terus juga menelungkup di lantai. Haji Kawa juga bingkas bangun mahu membantu setelah lelaki itu tertonggeng dengan mulutnya berbuih-buih.
“Hah, dengan ustaz bukankah dah kena!” Haji Kawa mengejek terus mengusap kepala lelaki berkenaan, lantas dia berdiri tegak menggamit saya.
Saya sekadar mengangguk sahaja. Memadai saya memberi isyarat kepada Haji Kawa supaya tidak perlu tergesa-gesa. Biarlah saya perhatikan dulu keadaan yang menimpa lelaki berkenaan ketika itu. Perempuan itu juga hanya melihat suaminya sekadar menelungkup dengan punggung terangkat.
Dia tidak menyedari saat ini lelaki itu sedang meneran ekor menjulur panjang sampai terjongket melibas-libas angin. Ketika mengoyang-goyang badan memang saya melihat kuku tangan lelaki itu memanjang. Kulitnya juga berubah sedikit demi sedikit berbelang menjadi harimau tua yang terkial-kial mengangkat kepala.
“Kenapa ustaz?” bisik Haji Kawa menepuk bahu saya. “Apa yang ustaz  nampak sekarang ni?” tersengih-sengih Haji Kawa apabila disedarinya saya merenung lelaki berkenaan tidak berkedip mata.
“Kakak macam mana rasanya?” Wahati isteri muda Haji Kawa merapati perempuan berkenaan. Biasanya memang Wahati yang membantu apabila Haji Kawa mengubati perempuan itu.
“Entah, seram sejuk aje rasa badan,” beritau perempuan itu sampai nampak badannya berpeluh menahan debaran yang menggoncang di dada.
“Kakau ustaz ni ada, ringanlah sikit kerja saya,” ujar haji Kawa tersengih-sengih mengerling saya.
Tetapi saya tidak menyahut apa-apa. Mata saya tidak berkedip melihat tubuh lelaki itu bertukar menjadi harimau belang hingga tercangkung di sisi isterinya. Tubuh harimau itu tidak mampu  bergerak kuat, dengan sebahagian kulit belakangnya terpokah macam pisang diselak.
“Aku dah cakap jangan datang, kamu degil juga!” gerutu harimau yang tercangkung itu mendongak memerhatikan perempuan di sisinya.
“Bukankah aku yang sakit, terpulang pada aku di mana aku nak berubat,” tegas perempuan itu mencebik bibir.
“Awak mana tahu, Naesah,” terangguk – angguk harimau yang tercangkung di depan saya itu. Tetapi Naesah sekadar melihat suaminya keluh kesah tidak menentu.
“Apa pulak aku tak tahu, awak tak suka akan ke sini,” merungut panjang Naesah,” merungut panjang Naesah membantah sikap suaminya.
“Cukuplah Naesah,” lantas saya ingatkan perempuan itu supaya tidak melayani lelaki itu. Kalaulah Naesah dapat melihat suaminya sudah bertukar menjadi harimau ketika itu, tentu dia melompat menjauhkan diri.
Harimau itu tercangkung di sisi Naesah tidak dapat bergerak. Kulit belakangnya yang tersiat memang bahan didoakan oleh Haji Kawa tatkala mengubati Naesah. Saya dapat mengagak setiap kali Naesah datang ke situ, nescaya kulit harimau itu sentiasa tersiat hingga terpokah daging.
Dia menderita kesakitan kalau Naesah berubat di situ. Tetapi Naesah tidak boleh bertahan akibat sakit-sakit seluruh badan, kalau suaminya Abu Sunoh demam sampai sesak nafas. Sebaik sahaja Abu Sunoh sembuh nescaya Naesah pula yang menderita disebabkan tulang belakangnya bagai reput kesakitan.
Lama dia menanggung sakit sampai berminggu-minggu terasa seluruh badan macam ditusuk duri. Kalau sembuh pun buat sementara sahaja. Dia akan sakit-sakit lagi sekiranya Abu Sunoh demam beberapa hari. Kadangkala sampai berak darah Naesah menahan kesakitan tidak terhingga.
“Sebenarnya yang sakit, Abu Sunoh,” tutur saya berpaling pada Naesah. Ketika ini harimau disisinya hanya mengeleng-ngeleng kepala dengan air mata.
Tercengang Naesah apabila saya menuduh demikian. Terasa juga saya terlanjur menuturkannya kerana tidak diminta oleh Naesah mengubati dirinya. Tetapi saya kenangkan Haji Kawa yang sengaja menyembunyikan keadaan sebenar daripada Naesah kerana tidak mahu menyinggung perasaan suami isteri berkenaan.
“Ustaz ni tahu keadaan suami awak tu,” lantas Haji Kawa menjelaskan perlahan.
Kalau tidak disebabkan Haji Kawa memang saya juga tidak akan campur tangan. Lagi pun terharu juga saya melihat keadaan Abu Sunoh yang berubah menjadi harimau tercangkung di tengah rumah. Ketika ini memang Naesah tidak tahu apa yang berlaku ke atas suaminya yang terangguk-angguk mendongak di sisinya.
“Teruk sangat Abu Sunoh selama ini,” bisik saya mengerling Haji Kawa yang tersengih-sengih.
“Susah nak pisahkan dia dengan Naesah,” beritahu Haji Kawa menyebabkan Naesah semakin tidak faham. Tentu dia merasakan Haji Kawa sengaja mahu memisahkan dia dengan Abu Sunoh.
Tentulah sukar menerangkan kepada Naesah bagaimana gangguan yang merasuk Abu Sunoh itu tidak mahu berenggang daripada Naesah. Kemana saja Abu Sunoh pergi, gangguan tersebut akan tetap mendampinginya. Sebab itulah Naesah menjadi mangsa apabila Abu Sunoh cuba menjauhkan diri daripada syaitan yang menyerupai harimau itu.
Apalagi Naesah sekadar melihat suaminya tercangkung dengan mengerang-erang di sisinya. Manalah dia tahu saat ini Abu Sunoh sudah tercangkung menjadi harimau yang luka parah. Dia cuba mengerakkan tubuhnya tetapi keadaannya bertambah lemah.
Memang harimau yang terconggok depan saya itu tidak melawan apa-apa. Dia hanya terkebil-kebil mata sahaja mendongak saya. Tahu sangat saya dia meminta belas kasihan supaya tidak diserang bertalu-talu.
Setiap kali Haji Kawa membacakan:
Wa-in yamsaskallahu bidhurin fala kasyifa lahu illha huwa wa-in yurridka bikhairin falaradda lifadlihi Yusibu bihi maiyasya-u min ‘ibadihi wahuwal ghafurrur rahim
Dan dihembuskan ke ubun-ubun Naesah, terpaksa Abu Sunoh melarikan diri. Dia terpaksa jauhkan harimau yang sentiasa mendampingi dirinya daripada terjahan api yang bertalu-talu.
Puas juga Abu Sunoh mahu memisahkan dirinya dari harimau berkenaan, tetapi asal sahaja dia menghalaunya nescaya harimau berkenaan akan mendampingi Naesah pula. Manalah Naesah tahu mengenai harimau tersebut kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Abu Sunoh sendiri tidak tahu mengenai harimau berkenaan. Hanya sekali sekala menjelma dalam mimpinya apabila harimau tersebut menyuruh bertunggang di belakangnya. Kadangkala kalau Abu Sunoh bermimpi diperangkap musuh, sekonyong-konyongnya harimau itu menjelma menyelamatkannya.
Memang dia tidak berupaya menghindar harimau berkenaan dari mimpinya. Apalagi setiap kali diganggu demam atau sesak nafas, Abu Sunoh merasa seolah-olah harimau itu menjelma laksana bayang-bayang menjilat seluruh tubuhnya.
Setelah dijilat oleh bayang-bayang harimau itu Abu Sunoh kembali segar. Tetapi dia hairan isterinya Naesah pula mengidap sakit-sakit seluruh badan. Apabila Naesah berubat menemui Haji Kawa , entah kenapa Abu Sunoh pula merasa panas miang. Dia tidak dapat lama bertahan di rumah Haji Kawa menyebabkan tergesa – gesa mahu balik ke rumah.
Sebab itu Wahati, isteri muda Haji Kawa menuduhnya tidak suka Naesah berubat ke situ. Asal sahaja dia terserempak Haji Kawa memang terasa bulu tengkoknya mengembang. Sekaligus pula hatinya tiba-tiba marah tidak menentu apabila menatap muka Haji Kawa.
“Kalau tak kita jaga anak cucu, siapa lagi nak jaga?” berbuih-buih mulut harimau mendongak saya sambil tercangkung tidak bergerak langsung.
Mengeluh perlahan Naesah setelah mendengar rungutan suaminya dalam keadaan mengerang-erang. Baru dia menyedari suaminya benar-benar dirasuk hingga suaranya terketar-ketar bagaikan orang tua.
Perlahan-lahan Naesah bangun meninggalkan suaminya yang tercangkung mengerang-erang. Bimbang juga dia kalau-kalau Abu Sunoh menerkam tidak menentu apabila terdesak.
“Abu Sunoh bencikan aku !” tutor Abu Sunoh tergeleng-geleng kepala tetapi saya melihat harimau yang menjelma dihadapan saya itu ternganga – nganga mulut menyeringai nampakkan taring.
“Kalau orang dah benci buat apa tunggu?” ujar saya mengejeknya lantas membacakan:
“Rabbuka ilal-malaikati inni ma’akum pathabbitul lazina amanu sa-ulqi fi qulubillazina kafarur ru’ba fadribu fauqol  a’naqi wadribu minhum kulla bananin”
Habis saya bacakan doa itu dia menggeletar sampai terkapai-kapai tangan meminta belas kasihan. Luka di kulit tengah belakangnya kembali berdarah seperti kena sebatan cemati yang keras. Kesan birat di tengah belakangnya timbul melintang hingga memercik darah.
“Aku nak jaga anak cucu aku, apa salahnya!” harimau itu ternganga mulut bagaikan merayu. Memang dia tidak mahu menggerakkan tubuh untuk menerkam ke arah saya. Dia sekadar menunduk dengan mulutnya berbuih-buih dengan lendir.
“Buat apa kamu jaga Abu Sunoh, bukankah Allah lebih sempurna menjaganya,” lantas Haji Kawa membentak keras.
Harimau itu mendengus-dengus tidak menentu. Matanya melingas –lingas mencari Naesah. Tetapi Naesah telah berlindung di belakang Wahati setelah menyedari suaminya dirasuk.
Tatkala Haji Kawa azan tujuh kali di telinga Abu Sunoh dan diikuti dengan membaca Surah at-Tariq sebelas kali, harimau itu menekup dada terus tersungkur menggelepar. Saat ini Naesah melihat suaminya tertiarap dalam keadaan termengah-mengah.
Apabila Abu Sunoh terkejang di lantai tidak bergerak-gerak laksana tengah nyenyak tidur tiba-tiba Naesah menangis tersengguk-sengguk. Dia mengeliat-geliat seolah-olah kesakitan di tengah belakang.
“Janganlah halau aku Naesah,” sayu suara Naesah menangis seperti mahu berpisah.
“Kamu tak berhak pada Naesah,” ejek Haji Kawa terus membacakan:
Wamai yabtaghi ghairal islami dinan falan yuqbala minhu wahuma fl akhirati minal khosirin
Hampir setengah jam barulah Abu Sunoh sedar semula. Dia bingkas bangun terpesat-pesat seperti bangun dari tidur. Keadaannya moyok akibat keletihan semasa tubuhnya bertukar sedikit demi sedikit menjadi harimau.
Sebelum balik sempat juga Abu Sunoh memberitahu mengenai datuk saudaranya yang menjadi bomoh pernah memberikan dia keris usang tidak berhulu. Mata keris itu berkarat seolah-olah besi reput  yang tidak berguna. Memang datuk saudaranya yang dipanggil Tok Ulung itu ingatkan dia supaya asapkan keris usangnya berkenaan dengan kemenyan setiap petang Jumaat.
Tetapi Abu Sunoh tidak peduli sangat pesanan Tok Ulungnya. Malah keris usang itu diletaknya merata-rata sahaja tidak dijaga dengan baaik. Dia sendiri tidak tahu mengenai hubungan keris usang berkenaan dengan bayangan harimau yang sering menjelma dalam mimpinya.
Lama baru Abu Sunoh menuturkan mengenai Tok Ulungnya yang beberapa kali ditemui orang kampung menjelma menjadi harimau. Tetapi dia semacam tidak percaya, kerana tidak pernah melihat Tok Ulungnya itu menjelma menjadi harimau.

-----bersambung---------

No comments:

Post a Comment