Sunday, July 12, 2015

132. PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS



MAHU dikatakan sudah lama berlalu tidak juga kerana adik bongsu Andak Libit meninggal dunia semasa berusia tiga tahun, ketika itu dia sudah anak dara sunti. Adiknya Matan menangis nyaring mahu mengikut ayahnya ke kedai, sampai tidak sempat dihalang oleh emaknya.
Memang Pak Sulah tidak mahu membawa anak kecil itu ke kedai dengan menunggang basikal melalui jalan kecil berlubang-lubang. Lainlah kalau di kedai kopi dalam kampung memang seringkali juga Pak Sulah dukung anaknya Matan. Sudah menjadi kebiasaan anak kecil itu asal sahaja ayahnya tinggalkan rumah, dia tetap mahu mengikut sama. Kalau dilarang kemahuannya Matan akan menggila menangis sampai hilang suara.
 Disebabkan Pak Sulah sudah berjanji dengan jirannya Long Zidin mahu ke Lenggong menunggang basikal, dia terpaksa mengelak daripada anaknya Matan. Sengaja Pak Sulah turun ikut jalan dapur mengheret basikal buruknya dengan menyuruh Andak Libit awasi Matan. Tetapi semasa menarik basikalnya Matan dapat juga melihat kelibat ayahnya cepat-cepat tinggalkan rumah.
Tidak bertangguh Matan berkejar mengekori dari belakang mahu menjejaki ayahnya yang sudah jauh ke darat kampung. Pak Sulah tahu Long Zidin tentu lama menunggu di rumahnya, kerana lorong tersebut melalui halaman rumah Long Zidin juga.
Tangisan Matan mengekori ayahnya menjadikan emaknya Mak Tmbun serba salah juga. Tidak disangkanya keras sangat hati Matan sampai mengejar dari belakang dengan tidak hiraukan lorong kecil itu dipenuhi belukar di kiri kanan. Jalan mahu ke rumah Long Zidin itu pula dipisahkan oleh parit kecil dengan dihubungkan titian batang pinang.
"Adik kamu tu tengok, Libit," laung Mak Tambun setelah melihat anaknya melepasi selekoh yang dilindung belukar senduduk di kiri kanan lorong.
Tidak bertangguh Andak Libit mengejar adiknya pula. Bimbang juga dia sekiranya Matan jatuh ke dalam parit longkang hingga dihanyutkan air. Memang air di dalam parit itu cetek dan tidak deras, tetapi manalah tahu kalau geruh mahu datang menimpa. Tentu adiknya terjatuh semasa melalui titian batang pinang melintang parit itu.
Belum pun sempat Andak Libit sampai ke parit berkenaan, adiknya Matan sudah berpatah balik. Tersenyum Andak Libit kerana Matan tidak berani mahu meneruskan perjalanan mengejar ayahnya. Cepat-cepat pula dia memeluk Matan yang datang berlari menerpa ke arahnya.
"Andak, aku takut," beritahu Matan pelat-pelat dalam sedu sedan tangisnya.
"Takut apa?" pujuk Andak Libit terus mendukung adiknya dibawa balik ke rumah.
"Ada orang dekat titi," Matan tersengguk-sengguk menangis sampai ke halaman rumahnya.
Setelah dipujuk oleh emaknya, lantas sahaja Matan beritahu dia hampir jatuh sewaktu mahu meniti titian batang pinang melintang parit. Tetapi orang tua berkaki capik datang membantunya dengan memegang tubuhnya. Terkejut benar Matan apakala melihat muka hodoh lelaki itu dengan bibirnya berlumuran darah.
Tersengih-sengih lelaki tua itu membawa dia balik ke tebing parit. Lantas lelaki itu memujuknya supaya balik semula ke rumah. Semasa Matan meniti titian itu memang dia nampak lelaki tua itu berjalan di dalam parit dengan terjengket-jengket disebabkan kakinya capik.
Tangisan Matan menjadi bertambah kuat bukan disebabkan marah ayahnya tinggalkan dia, tetapi lelaki tua itu memujuknya supaya balik ke rumah. Dia juga terkejut kerana muka lelaki itu terlalu hodoh hingga kulitnya berkedut-kedut macam kertas diramas di dalam air.
Mak Tambun tersenyum dengan cerita anaknya yang pelat-pelat itu. Anak kecil berusia lebih tiga tahun itu sengaja mahu berdalih disebabkan hatinya mendongkol ditinggalkan oleh ayahnya yang tidak mahu dia sama menunggang basikal ke kedai. Tentulah Matan meluahkan rasa marahnya dengan membuat cerita bohong demikian.
Setelah dipujuk, Matan tidur juga disebabkan keletihan sampai santak petang. Sehingga Pak Sulah balik dari kedai sebelah petangnya barulah dia terbangun dari tidur. Sengaja Pak Sulah belikan coklat untuk memujuk Matan supaya tidak berterusan mendongkol perasaan.
Sebaik sahaja Matan terkejut bangun, lantas Pak Sulah hulurkan coklat yang  dibelinya di kedai. Tahu sangat dia tentu Matan tidak akan merajuk lagi setelah dibelikan coklat kegemarannya. Tidak bertangguh pula Matan membuka pembungkus coklat sebaik sahaja dihulurkan kepadanya.
Ketika Matan menjamah, coklat, Andak Libit sengaja mengusiknya dengan memintanya sedikit. Matan tidak kedekut pun. Dihulurnya sebahagian coklat itu, tetapi Andak Libit menggeleng sahaja. Dia sekadar mengusik adiknya yang masih terpisat-pisat bangun dari tidur.
Apabila Mak Tambun siap menyediakan minuman petang, Pak Sulah terus mendukung Matan ke dapur. Kesal juga dia tidak membawa anaknya bersama ke Lenggong apabila melihat bekas air mata masih terbayang di pipinya. Tetapi mahu dibawa Matan menunggang basikal jauh sangat sampai berbatu-batu jaraknya. Lainlah dia berseorangan mengayuh basikal tidak terasa apa-apa, kerana tenaganya masih gagah.
Matan tidak galak bermain semasa duduk berpangku ayah-nya di dapur. Dilayan oleh emaknya bercakap pun, Matan tidak menyahut apa-apa. Dia kelihatan lesu dan tubuhnya panas.
"Demam budak ni agak-nya," gerutu Mak Tambun apabila meletakkan tapak tangan ke dahi Matan. "Panas kepalanya, memang dia demam," ujar-nya mengagak lantas merapati anak kecilnya.
"Budak bangun tidur, tentu-lah panas badan," sahut Pak Sulah mengusap kepala anaknya.
"Awak tengok tu, letih aje dia!" tegas Mak Tambun terus memangku Matan. Dia selak baju suakan ke mulut Matan biar anak kecil itu menyusu, tetapi Matan menggeleng. Selepas menjamah coklat dia tidak mahu lagi menyusu pada emaknya.
"Adik demam ke?" Andak Libit pula mendekati adiknya.
Matan mengangguk. Semenjak petang itu pula demam Matan semakin bertambah. Sepanjang malam dia merengek tidak menentu. Terpaksa pula Mak Tambun jaramkan kepala-nya dengan daun bunga raya, biar suhu panas beransur sejuk.
Tiga hari Matan merengek demam, dengan tidak mahu lagi menyusu Long Zidin mendesak dibawa sahaja ke hospital. Serba salah juga Pak Sulah mahu hantar Matan ke hospital kerana dia dapat mengagak anaknya demam kepialu. Suhu panas badan Matan memang disebabkan demam kepialu dengan perutnya kembung sepanjang hari.
"Panas jatuh ke dalam ni," ujar Long Zidin tidak sabar lagi mendesak sepupunya hantar sahaja anaknya itu ke hospital.
Dalam keadaan serba salah, Pak Sulah hantar juga anaknya ke hospital jauh di bandar. Memang di hospital pun Matan dikatakan dihinggapi typhoid menyebab-kan suhu badannya bertambah panas. Pak Sulah tidak peduli pun apa penyakit anaknya, tetapi kesal terus menusuk di hatinya kerana dia menjadi punca anaknya dihinggapi penyakit.
 Memang Long Zidin juga beritahu typhoid itu demam kepialu. Pak Sulah tidak bimbang sekiranya Matan dihinggapi demam kepialu. Tahu sangat dia kalau demam kepialu boleh dijaram dengan daun pulasan diperah air. Kepala Matan juga perlu dipupuk dengan daun sedingin biar wap panas segera hilang.
Tetapi di hospital dia tidak boleh berkeras. Apa lagi ketika itu siapa pun tidak berani angkat muka di hadapan doktor atau jururawat. Mereka orang kampung terangguk-angguk di depan doktor dengan memanggilnya tuan berulang kali. Doktor pula tersengih-sengih dengan telatah orang kampung yang terketar-ketar apakala berhadapan dengannya.
Lainlah kalau Matan terkejang di rumah. Memang Pak Sulah akan pupuk kepala anak-nya dengan daun sedingin. Demam kepialu bukan membimbangkan sangat pada orang-orang kampung. Lainlah penyakit hawar yang mengganggu mereka beberapa tahun sebelum itu.
Setiap hari sampai enam tujuh orang penduduk kampung meninggal dunia akibat termuntah-muntah. Doktor orang putih yang datang melawat menuduh mereka diganggu taun. Belum pun sempat kubur digali, sudah ada orang memberitahu mengenai jiran mereka baru sahaja meninggal dunia. Menjelang senja bergilir-gilir pula orang menggali kubur.
Tetapi Utih Semik tidak percaya dengan penyakit taun. Dia percaya wabak hawar yang melanda kampung mereka. Sebab itu Utih Semik desak seisi kampung buat sembahyang hajat setiap malam. Macam mana doktor orang putih menuduh mereka diganggu penyakit taun, kerana tiga bulan sebelum wabak hawar melanda, orang-orang kampung melihat terlalu banyak belalang berkeliaran.
Kadangkala bagaikan gelap langit apakala belalang-belalang berkenaan terbang di udara. Apabila hingga di pelepah kelapa, tidak sampai sepuluh minit daun kelapa hanya tinggal lidi sahaja akibat dimakan oleh belalang yang terlalu banyak.
Utih Semik percaya wabak hawar memang bala disebabkan perbuatan manusia yang mungkar. Dia tetap tidak percaya wabak taun melanda kampung sampai mereka termuntah-muntah akibat demam tidak menentu. Kalau tidak masakan terlalu banyak belalang masuk ke kampung. Jangan katakan hinggap di daun padi tengah sawah, hingga di pelepah kelapa pun habis dimamah sampai tinggal lidi.
Memang padi di tengah sawah dimakan belalang sampai ke umbi. Mereka tidak tahu dari mana belalang yang terlalu banyak itu datang menyerbu ke tengah kampung macam kelkatu berterbangan merata tempat. Utih Semik yang kumpulkan seisi kampung di surau sembahyang hajat minta Allah jauhkan mala petaka dari kampung.
Tiga malam berturut-turut sembahyang hajat, mereka tidak nampak lagi kelibat belalang yang banyak laksana lebih mencari sarang. Tidak seorang pun pegawai orang putih yang datang menjengah kampung mereka sekalipun penghulu sudah sampaikan kejadian tersebut. Lama selepas gangguan belalang, itulah seisi kampung diseram, wabak hawar.
 Tiba-tiba sahaja mereka berasa pening kepala, kemudian perut memual-mual hingga termuntah tidak bertahan. Tiga hari sahaja mereka mengidap demam tidak menentu memang tidak dapat diselamatkan lagi. Dalam masa beberapa hari sahaja sampai enam tujuh orang meninggal dunia setiap hari tidak kira kanak-kanak, perempuan, lelaki atau orang dewasa.
Biarlah seisi kampung percaya pegawai orang putih memberitahu mereka mengidap wabak taun, tetapi Utih Semik tetap berkeras menuduh wabak hawar. Seisi kampung mesti sembahyang hajat beramai-ramai memohon perlindungan Allah supaya hindarkan wabak hawar itu dari kampung halaman mereka.
Tetapi pegawai orang putih tidak peduli orang-orang kampung berkeras melawan perintah mereka mahukan setiap orang disuntik. Penghulu sendiri iringkan pegawai perubatan orang putih memaksa semua orang mesti disuntik. Mereka tidak dibenarkan lagi buang air besar di sungai, tetapi mesti dibina tandas tiap-tiap rumah.
Siapa pun tidak berani membantah apabila pegawai orang putih sendiri masuk ke kampung mereka. Utih Semik juga terpaksa mematuhi dengan membiarkan bahunya disuntik ubat. Bimbang juga dia mahu membantah kalau pegawai berkenaan masuk bersama polis lengkap pakaian seragam. Manalah tahu menjadi kesalahan pula sampai boleh ditahan di balai kalau mereka membantah setiap orang mesti disuntik.
Disebabkan Utih Semik juga disuntik, orang-orang kampung terpaksa mematuhi perintah penghulu. Mereka terpaksa menahan sakit suntikan jarum dengan alasan mahu mencegah wabak taun daripada merebak. Tidak lama selepas mereka sembahyang hajat dan disuntik ubat, memang penyakit tersebut serta merta sahaja terhindar.
Sebab itulah Alang Lipah marah benar dengan keputusan menantunya Pak Sulah membawa Matan ke hospital. Siapa mahu jengah Matan terlantar di hospital disebabkan jauh dari kampung. Alang Lipah percaya tentu Matan disuntik seluruh badan sama macam orang-orang kampung menderita akibat wabak hawar itu.
"Kenapa tak bertanya pada Utih Semik?" gerutu Alang Lipah memarahi anaknya Mak Tambun. "Matam tu mesti diubat dulu, sebelum dihantar ke hospital!" mendongkol benar hatinya dengan keputusan Pak Sulah itu.
"Long Zidin yang desak," beritahu Mak Tambun serba sawah apabila emaknya tidak bersetuju Matan dibawa ke hospital.
"Matan tu anak kamu ke, atau anak Long Zidin?" semak in geram Alang Lipah dengan jawapan anaknya.
Kalau Matan terkejang akibat demam kepialu memang Alang Lipah tidak peduli sangat Pak Sulah mahu bawa ke hospital. Tetapi Andak Libit yang beritahu dia Matan terkejut semasa mahu meniti titian batang pinang apabila melihat lelaki hodoh capik memeluknya. Kalau lelaki tua capik itu tidak datang membantu nescaya Matan jatuh ke dalam parit.
Matan sendiri terangkan pada kakaknya apabila berpatah balik dalam keadaan ketakutan. Memang dia terkejut melihat lelaki tua capik yang tidak dikenalinya. Tiba-tiba sahaja dia nampak lelaki berkenaan berjalan terdengkot-dengkot di dalam air paras betis.
Disebabkan terserempak lelaki hodoh berkaki capik itulah Matan hampir terjatuh kerana terkejut benar. Cepat-cepat pula lelaki hodoh capik itu menyambutnya lantas membantu balik semula ke tebing parit. Matan nampak mulut lelaki itu berbuih dengan darah dalam senyumnya yang melirik.
"Matan tu demam kepialu?" keras suara Alang Lipah membantah. "Anak kamu Libit kata, Matan terkejut nampak orang tua capik!" tegasnya mencebek bibir kerana Mak Tambun tidak percaya dengan penjelasan Matan.
"Emmm, cakap budak. budak, bukan boleh percaya," keluh Mak Tambun perlahan cuba pertahankan suaminya.
"Kamu memang percaya cakap orang dari cakap anak kamu sendiri," Alang Lipah memang geram benar. Mak Tambun sengaja mahu berkeras menghantar Matan ke hospital dengan tidak berunding sesama sanak saudara. Apa salahnya tanyakan dia terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa dibawa ke hospital.
Bukan Matan sahaja terserempak lelaki tua hodoh berkaki capik melalui parit berkenaan, Alang Lipah juga pernah terserempak. Beberapa orang di kampung tersebut juga nampak kelibat lelaki hodoh berkenaan terutama tatkala hujan panas turun menyerak.
Sudah diingatkan oleh Utih Semik sekiranya terserempak lelaki hodoh itu berjalan terdengkot-dengkot di dalam parit, tidak perlu takut apa-apa. Biarlah dia melalui parit itu sampai hilang dari pandangan dengan tidak perlu ditegur.
Tahu sangat Utih Semik mengenai rahsia lelaki hodoh yang selalu ditemui orang-orang kampung. Sia-sia dia menjadi pawang besar di situ kalau tidak memahami rahsia di sekeliling kampung!  Asal sahaja hujan panas turun bersesak janganlah melalui parit berkenaan sekiranya lemah semangat.
Siapa sahaja lemah semangat tentu mudah terkejut sambil demam terketar-ketar. Sekiranya lambat dipulihkan semangat mangsa tidak dapat lagi diselamatkan. Tentulah mereka tuduh diganggu demam kepialu apabila demam tidak menentu. Tetapi Utih Semik dapat mengagak tentulah puaka yang menjelma macam lelaki tua hodoh berkaki capik membawa semangat mangsa itu bersamanya.
"Dia sekadar nak berkawan," ujar Utih Semik apabila ditanyakan mengenai jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu. "Sebab itu diajaknya kemana saja, sampai mangsanya tak tahu jalan balik, dia melanjutkan sambil mengeluh perlahan.
Sebab itu Alang Lipah terkilan dengan keputusan Pak Sulah kerana tidak memberitahu Utih Semik. Sengaja Pak Sulah tidak mahu mempercayai penjelasan Matan mengenai lelaki hodoh berkaki capik itu. Siapa lagi yang ditemui oleh Matan tatkala hujan panas turun renyai-renyai di parit berkenaan kalau bukan puaka berkenaan menjelma?
Sudah berkali-kali Utih Semik ingatkan supaya jangan melintas parit itu tatkala hujan panas turun renyai-renyai sekira-nya lemah semangat. Lelaki tua hodoh berkaki capik itu memang tidak mengganggu sesiapa pun, tetapi dia mahu mencari kawan sahaja. Utih Semik tahu mengenai rahsia jelmaan puaka itu dari ayahnya sendiri Pawang Minin.
Sama ada mahu percaya atau pun tidak, memang Utih Semik juga sudah terserempak lelaki hodoh berkaki capik itu. Sengaja dia mengendap di parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Beberapa kali dia ke situ memang sukar juga mahu terserempak disebabkan semangatnya memang tidak mudah dilentur.
Hanya menjelang senja dia mengendap ketika hujan panas turun renyai-renyai, Utih Semik nampak jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu berjalan menghulu. Tidak bertangguh Litih Semik melompat keluar dari sebalik belukar membentak lelaki hodoh itu dengan membacakan:
Qolillahhil hamdurabb is samawati warabbil ardhi rabbit 'alamin, walahul kibraya u-fissamawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.
Tiga kali dibacakan oleh Utih Semik dia menghentakkan tumitnya ke tanah. Tiba-tiba lelaki hodoh itu terbatuk-batuk, kemudian berpaling ke arah Utih Semik. Tersenyum dia apabila melihat Utih Semik tercegat di tebing parit dengan tumit mengisar ke tanah.
"Aku tahu kamu nak jumpa aku Semik!" ujar lelaki hodoh itu bagaikan mengejek.
"Buat apa awak lalu di sini?" jerkah Utih Semik mengokohkan semangatnya tatkala berhadapan dengan lelaki hodoh berkaki capik itu.
"Hah, kamu ni anak Pawang Minin, ye tak?" semakin ramah lelaki hodoh itu menegur Utih Simek, tetapi dia tetap tidak ber-ghnjak dari tengah air.
"Tak perlu awak tahu!" sahut Utih Semik keras tidak mahu mengalah.
"Pawang Minin pun tak macam kamu Semik," tegas lelaki hodoh itu terus mengejek-nya.
Utih Semik tidak menyahut. Dia merenung tepat ke muka lelaki hodoh yang berkedut-kedut kulit itu lantas membaca-kan perlahan:
 Waiz sorafna ilaika nafaran mina jinni yastamirunal Quranna, falamma hadhoruhu ansitu falamma qodhiya wallau ila qaumihim munzirin.
Selepas Utih Semik membacakan doanya, lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bersemburan darah dari mulutnya. Tetapi dia masih tersenyum dengan membiarkan darah memercik di bibirnya. Dia tidak membasuh pun darah di bibirnya sekalipun masih tercegat di tengah air.
"Semik, kalau kau tak mahu jupa aku, biarlah aku balik," lelaki hodoh itu mula gelisah dengan sikap Utih Semik.
 "Aku tak mahu awak ganggu orang kampung ni!" tegas Utih Semik ingatkan lelaki hodoh tersebut.
"Tak pernah pun aku ganggu orang," sahut lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bergegar badan. Setiap kali dia terbatuk-batuk darah memercik dari mulutnya. "Aku orang terbuang, tak ada kawan, buat apa nak ganggu orang," dia menuturkan perlahan seolah-olah mengharapkan belas kasihan.
Utih Semik mencebek bibir mengejeknya. Memang lelaki hodoh berkaki capik itu tidak mengganggu sesiapa. Dia sekadar melalui parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Tetapi siapa sahaja terserempak dengan lelaki hodoh itu mudah lemah semangat hingga demam berminggu-minggu. Terpaksa pula mereka jemput Uith Semik sekiranya suhu badan bertambah panas sampai meracau-racau tidak menentu.
Sebab itu Utih Semik marah benar selagi orang tua hodoh masih menampakkan kelibat di situ. Tahu sangat dia lelaki bodoh itu seringkali nampak kelibat tatkala hujan panas turun renyai-renyai. Kalau dia menghilir parit memang mangsanya akan membawa maut sekiranya tiba ajal. Tetapi kalau dia menghulu mangsanya akan capik kaki sama seperti dialaminya.
Semenjak ayahnya Pawang Minin lagi memang jelmaan puaka di parit itu seringkali nampakkan kelibat. Tetapi Pawang Midin akan semah di situ dengan bertih dan ayam panggang asal sahaja mangsa dapat dipulihkan setelah mengalami panas suhu badan akibat terperanjat melalui parit tersebut.
Pantang Utih Semik mahu semah dengan bertih dan ayam panggang. Dia tidak akan mengalah kalau puaka itu berkeras mahu mengganggu. Sebab itu berulang kali dia mengendap di sebalik belukar asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Biar dia sendiri berdepan dengan puaka jelmaan orang tua hodoh berkaki capik.
Dia sendiri melihat Sapar menderita capik kaki akibat demam panas selepas terserempak lelaki hodoh tersebut berjalan menghulu parit. Berminggu Sapar terkejang sakit diubati oleh Pawang Mini hingga terpaksa berubat besar. Sebaik sahaja Sapar sembuh demam-ya, dia merasa kaki kanannya jegang tidak boleh melangkah. Lama kelamaan kaki kanannya capik menyebabkan jalan terdengkot-dengkot.
"Aku tak sama dengan ayah aku Pawang Minin!" bentak Utih Semik bagaikan sengaja mencari lawan. "Kalau awak ganggu orang kampung ni, langkah mayat aku dulu," dia memberi amaran dalam suara meninggi keras.
Lelaki hodoh itu tidak menyahut. Dia termengah-mengah mendongak ke udara hingga nampak darah berbuih-buih di bibirnya. Kemudian dia berpaling menghadap Utih Semik dengan tersengih-sengih.
Marah benar Utih Semik seolah-olah mengejek dirinya. Tetapi dia tahu lelaki hodoh itu mahu menguji. Sekiranya dia cepat marah tentulah mudah lelaki hodoh itu memerangkap. Memang ayahnya Pawang Minin akan menuruti kemahuan menyediakan bertih dan ayam panggang asalkan orang-orang kampung tidak diganggu. Tetapi Utih Semik tidak mahu biarkan dirinya mematuhi kemahuan puaka di situ.
Sebab itu dia mengendap di sebalik belukar mahu bertemu di situ. Setelah lelaki hodoh itu mengerling ke arahnya macam tidak mahu mengalah segera Utih Semik membacakan:
Bal nuqzifu bilhaqqi 'alalbatili fayad maghu-hu fa-izahuwa zahiqun, walaku-mul wailu mimma tusifun,
diulangi tiga kali lantas dia menepuk dua tangan dengan mengisarnya kuat-kuat.
Sekaligus lelaki hodoh tu jatuh terduduk hingga punggungnya terhenyak ke dalam air. Menggeleng-geleng dia disebab-kan tidak dapat bertahan setelah Utih Semik bacakan doa demikian. Lelaki hodoh itu tidak bangun langsung, tetapi membiarkan tubuhnya hanyut bersama air parit yang menghilir.
Semenjak itu tidak siapa lagi menemui lelaki hodoh berkenaan melintasi parit sekalipun hujan panas turun renyai-renyai. Tetapi Utih Semik tahu jelmaan itu memang turun temurun dilihat orang melalui parit berkenaan.
Ayahnya Pawang Minin yang beritahu mengenai Tok Biran yang mengidap lumpuh kaki bertapa di tengah air mahu mengubati penyakitnya. Setiap malam dia akan turun ke tengah parit merendamkan kakinya dengan pasir tersebut. Berbulan bulan Tok Biran bertapa setiap malam di tengah parit tetapi kakinya tidak juga sembuh.
Lama kelamaan dia mampu juga berjalan sendiri sekalipun terdengkot-dengkot. Tetapi Tok Biran tidak juga berpuas hati setelah boleh berjalan sendiri. Dia berazam mahu teruskan berendam kaki dengan pasir parit sehingga lumpuh kakinya sembuh betul.
Suatu pagi dia balik dari bertapa di tengah parit sebelah malamnya, Tok Biran ternampak banyak cendawan busut tembuh menguntum. Tidak bertangguh dia mengutip cendawan busut berkenaan dibawa batik ke rumah. Setiap hari dia melintas di situ, sentiasa banyak cendawan busut tumbuh. Tok Biran jualkan cendawan busut yang dikutipnya itu kepada orang-orang kampung.
 Dengan jualan cendawan busut itu sahaja Tok Biran hertukar menjadi senang lenang. Hairan juga orang-orang kampung dari mana dia mendapat sayur cendawan busut setiap hari. Tidak musim hujan pun Tok Bltan tetap dapat sayur cenda-wan busut berkenaan.
Tetapi mereka tidak pernah menemui tempat Tok Biran mengutip cendawan busut tersebut. Sekalipun sudah hidup senang lenang, Tok Biran tetap tidak puas hati dengan keadaan kakinya yang capik. Marah benar dia pada kakinya yang capik hingga melangkah terdengkot-dengkot itu.
"Buat apa hidup senang lenang, kalau kaki capik!" gerutu Tok Biran tidak ketahuan.
"Semua orang nak hidup senang," isterinya Ulin memujuk.
Dia sendiri tidak kesal apa-apa bersuamikan Tok Biran yang capik kaki. Lagipun hidup mereka sudah berubah senang lenang semenjak Tok Biran amalkan bertapa dengan merendam kaki di bawah pasir parit. "Kaki awak capik bukannya menyusahkan orang, apa salah-nya," ujar Ulin selanjutnya untuk memberi peransang kepada suaminya.
"Biar aku jadi puaka, lebih baik!" bentak Tok Biran berputus asa dengan keadaan kakinya yang capik.
"Buat apa jadi puaka?" terkejut juga Ulin dengan sikap suaminya yang tidak bersyukur dengan nikmatnya sudah berubah senang lenang itu.
 "Aku nak capikkan kaki semua orang," Tok Biran menggertap bibir mahu melepaskan geram.
"Bukan salah mereka sebabkan kaki awak capik," Ulin tetap memujuk suaminya biar bersabar dengan keadaan yang menimpa dirinya itu.
"Biar puas hati aku!" terluah sahaja dendam di hati Tok Biran sekalipun dia tahu tidak siapa pun yang mesti disalahkan.
"Cukuplah bang, hidup kita pun dah senang," tutur Ulin perlahan mencemik muka. "Abang dapat cendawan busut hari-hari, tapi orang kampung tak dapat rahmat macam ni," dia tidak mahu suaminya terus menerus ikutkan perasaan dengan marahkan orang-orang kampung tidak bersebab.
"Kalau aku jadi puaka, aku sumpah orang kampung muntah darah kalau makan sayur cendawan busut aku!" tiba-tiba sahaja Tok Biran membentak bagaikan orang hilang akal.
Tersengih-sengih Ulin memerhati suaminya bercakap seperti orang tidak siuman. Perkara kakinya capik tidak ada kena mengena dengan orang-orang kampung. Kenapa Tok Biran membenci orang-orang kampung disebabkan kakinya capik itu. Orang-orang kampung pun tidak berasa iri hati dengan kesenangan hidup mereka suami isteri setelah bertemu sayur cendawan busut tumbuh menguntum di tebing parit.
Sebelah malamnya Tok Biran tetap turun juga ke tengah parit rendamkan kakinya dengan pasir. Dia bertekad mahu kakinya baik dengan tidak capik sedikit pun. Tentu orang-orang kampung akan kagum melihat dia melangkah segak setelah kakinya pulih.
Tetapi keesokan harinya dia tidak balik ke rumah. Dia juga tidak membawa pulang cendawan busut yang dikutipnya setiap hari. Tidak bertangguh pula Ulin menjengah ke parit berkenaan setelah puas menunggu hingga matahari tegak di kepala.
Setelah diberitahu orang- orang kampung mereka sama-sama mencari Tok Biran, tetapi tidak ditemui lagi. Kesan dia menimbus kaki dengan pasir parit memang kelihatan di tengah air. Puas mereka mencari To Biran tidak nampak kelibatnya lagi.
Semenjak itulah Tok Biran hilang tidak ditemui. Tiga buIan selepas itu baru Ulin bermimpi menemui Tok Biran di tengah parit. Berlinang air mata Tok Biran memberitahu dia sudah menjadi puaka kerana menurut perasaan hingga mulutnya jadi celupar.
Dia ingatkan Ulin supaya tidak benarkan anak-anaknya melalui kawasan parit dia bertapa itu sekiranya hujan panas turun renyai-renyai. Ulin juga tidak dibenarkan mengutip cendawan busut sekiranya berhampiran terdapat pokok dengan lebah membuat sarang.
"Itu tandanya cendawan busut yang sudah aku sumpah!" beritahu Tok Biran supaya anak cucunya terlepas daripada sumpahannya. Memang dia kesal kerana celupar mulutnya menyebabkan dia terperangkap dengan kemahuan puaka hingga terpaksa berpisah dengan anak isteri.
Sikapnya yang terlalu tamak mahukan kakinya sembuh setelah hidup senang lenang membawa padah sendiri. Segala mimpi yang dilaluinya itu diberitahu oleh Ulin kepada anak cucunya. Memang dipantangkan anak cucunya mengutip cendawan busut tumbuh menguntum sekiranya pokok berhampiran terdapat lebah membuat sarang.
Siapa sahaja melanggar pantang itu nescaya termuntah-muntah darah apakala menjamah sayur cendawan busut yang sudah disumpah oleh Tok Biran. Sebab itulah menjadi pantang larang Ulin kepada anak cucunya setelah dia mendapat alamat dalam mimpinya bertemu Tok Biran itu.
Memang Alang Lipah sendiri keturunan Tok Biran. Sebab itulah dia tidak percaya dengan penyakit Matan disebabkan typhoid setelah melalui parit berkenaan semasa hujan panas tengah turun renyai-renyai. Dia dapat mengagak tentu sumpahan keturunan Tok Biran masih lagi mengganggu keluarga mereka.
Sebab itu dia mahu menantunya Pak Sulah jangan terburu-buru membawa Matan ke hospital. Apa salahnya berbincang dengan adiknya Utih Semik dahulu. Tentu Utih Semik dapat mengagak sama ada Matan diganggu puaka atau benar-benar diserang penyakit typhoid.
Tetapi semuanya sudah terlambat. Matan meninggal dunia di hospital setelah lama terlantar di wad. Tubuhnya juga sudah kurus menanggung derita penyakit. Menitik juga air mata Pak Sulah disebabkan Matan merengek sakit setiap kali jarum suntikan ditusuk oleh doktor. Sudah terlalu banyak bahagian kulitnya yang disuntik sepanjang terlantar di wad berkenaan.
Setelah anak saudaranya meninggal dunia itulah Utih Semik berkali-kali mengendap di sebalik belukar berhampiran parit tersebut. Dia tahu puaka yang melintas di situ tidak mencukupi satu mangsa. Dia akan mengulangi sama ada hingga tiga orang ataupun sampai tujuh orang.
Sebab itu Utih Semik bertindak. Kalau jelmaan lelaki hodoh itu salahkan dia tidak bersemah dengan bertih dan ayam pinggang, memang Utih Semik akan terkam cekak batang lehernya. Pantang dia tunduk dengan kemahuan puaka seperti dilakukan oleh ayahnya Pawang Minin.
Utih Semik bernekad tidak mahu bersemah dengan menjamu puaka. Terpaksa pula sediakan bertih tujuh piring dengan ayam panggang seekor. Dia mesti memilih ayam selasih yang hitam seluruh badan hingga ke jari kakinya semata-mata mahu berjamu.
Sia-sia dia lama belajar pondok di Kedah kalau mudah sangat tunduk dengan kemahuan puaka. Biarlah puaka itu disebabkan keturunan dia masa lalu. Masakan dia mahu tunduk dengan Tok Biran yang bukan lagi datuk nenek keturunannya kalau sudah dipengaruhi oleh syaitan.
Selepas Utih Semik terserempak jelmaan lembaga lelaki hodoh berkaki capik itu, memang tidak siapa lagi diganggu. Tidak ada siapa pun menjadi mangsa setelah Matan meninggal dunia. Apabila hujan panas turun renyai-renyai memang seram juga mereka melintasi parit berkenaan, tetapi tidak ada pula kejadian buruk berlaku.
 Hinggalah Utih Semik meninggal dunia, tidak juga orang-orang kampung diganggu jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu. Bertahun-tahun mereka tidak diganggu, sampaikan Andak Libit pun sudah lupa segala sumpah Tok Biran yang menjadi pantang larang keturunannya.
Kalau tidak disebabkan kejadian Andak Libit menggelepar selepas menjamah sayur cendawan busut, memang dia tidak beritahu sesiapa pun mengenai Tok Biran itu. Tetapi Matan meninggal dunia disebabkan seluruh badannya panas memang Cu Selemah juga tahu.
 Ketika kejadian itu berlaku dia juga sebaya dengan Andak Libit masih dara sunti lagi. Dia takat mengetahui kejadian int sahaja. Ketika mayat Matan di mandikan Cu Selemah juga menitiskan air mata melihat ke adaan tubuh yang kurus itu.
Tetapi Cu Selemah tidak tahu mengenai arwah Utih Semik mengendap di sebalik belukar berhampiran tebing parit sebaik sahaja hujan panas turun renyai renyai. Manalah dia ambit peduli sangat perkara yang di luar jangkauan fikirannya ketika itu.
"Saya nampak lelaki hodoh berkaki capik tu," beritahu Cu Selemah setelah Andak Libit sendiri menerangkan pantang larang keturunannya yang di-sampaikan sejak Ulin lagi.
"Agaknya itulah puaka Tok Biran," keluh Andak Libit mengusap-usap dadanya yang terasa masih berbahang panas.
"Nasib baik Cu Selemah kamu pun boleh dicuba oleh ustaz," tersengih-sengih Acik 'Mikon mengerling isterinya.
"Cuba macam mana?" hairan juga Semail Bujuk bagai-mana Cu Selemah boleh melihat lelaki hodoh berkaki capik yang dikatakan oleh isterinya puaka Tok Biran itu.
 "Cara ustaz ni, dia tidurkan Cu Selemah kamu," lantas Acik Mikon menuduh."Cara Acik lain pula, tapi jalannya tetap sama," dia ketawa mencuit bahu saya.
Memang Semail Bujuk tidak faham apa yang diterangkan oleh Acik Mikon. Bagaimana Cu Selemah boleh tidur sekiranya dia duduk terconggok di bawah rumpun pisang? Sekiranya Cu Selemah sekadar duduk terconggok bagaimana dia mengaku melihat lelaki hodoh berkaki capik di situ?
Tetapi Semail Bujuk, tidak peduli sangat dengan apa yang dilihat oleh Cu Selemah di perdu rumpun pisang. Memang dia sedar isterinya Andak Libit sudah melanggar pantang larang apabila mengutip cendawan busut banyak tumbuh menguntum dalam masa lebah membuat sarang di dahan pokok nangka berhampiran rumpun pisang kelat berkenaan.
Andak Libit sendiri sedar dengan pantang larang tersebut. Tetapi semenjak arwah Utih Semik sudah menyonsong puaka Tok Biran, tidak pernah lagi jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu mengganggu mangsa. Hujan panas turun pun mereka tidak bimbang terserempak puaka itu lagi. Sebab itu dia tidak peduli apabila ternampak sarang lebah sebesar tempayan tergantung di dahan pokok nangka berhampiran rumpun pisang kelat.
Sebaik sahaja ternampak cendawan busut tumbuh menguntum di perdu pisang kelat itu, tidak bertangguh Andak Libit mengutipnya. Tentu pantang larang itu sudah lupus setelah Utih Semik menyonsong ke tebing parit. Puaka Tok Biran tidak berani lagi menjengah ke situ setelah diberi amaran oleh Utih Simek.
"Bunuh aje laaa puaka tu ustaz," lantas sahaja Semail Bujuk mendesak dengan dendam yang memuncak terhadap kejadian yang menimpa isterinya. Selagi puaka itu dibiarkan sampai bila-bila pun tetap akan mengganggu keturunan mereka.
"Bukan ada daya upaya saya nak buat macam tu," sahut saya perlahan menatap muka Semail Bujuk. Apalah sangat saya mahu diharapkan membunuh puaka yang segalanya dalam pengetahuan Allah menentukannya.
"Kalau tak dibunuh, dia akan mencari mangsa lagi," ujar Semail Bujuk menggertap bibir.
"Hah, syaitan macam macam mana nak dibunuh!" segera Acik Mikon memintas dalam ketawa memanjang. "Kamu ingat syaitan tu macam kita ni," tegasnya ingatkan Semail Bujuk supaya tidak ber-cakap sebarangan.
"Syaitan tu musuh manusia yang nyata," sahut Cu Selemah pula mencepak-cepak bibir memandang Semail Bujuk. "Sebab itulah iman kita kena kuatkan," sengaja dia mengejek lelaki itu yang tiba-tiba sahaja menuturkan dendamnya.
Jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu memang dilihat oleh Cu Selemah tercegat di perdu rumpun pisang. Andak Libit sendiri mengaku dia seolah-olah nampak jelmaan tersebut mahu mencengkam tengkuknya dengan kuku yang panjang. Tetapi Cu Selemah tiba-tiba menghalang di hadapannya.
Sebaik sahaja terpancar kilauan cahaya putih yang mengepung saya menerjah ke tubuh Cu Selemah, memang Andak Libit nampak tubuh Cu Selemah menjadi besar. Kepalanya mencecah ke awan dengan tapak kaki sama lebar dengan bukit tersergam. Dalam saat inilah Cu Selemah memijak kepala lelaki hodoh itu hingga terpenyek di bawah tapak kakinya sebesar bukit itu.