Sunday, May 21, 2017

229. JELMAAN BABI BERSUMBI EMAS



Ingatan yang diberikan oleh Tok Aji mengenai ilmu anak saudara gurunya di Batu Sangkar itu adalah sebagai satu pengajaran. Mat Sulih tidak akan dapat membawa ilmunya kepada kebaikan sekalipun dia bertujuan untuk melindungkan orang-orang kampungnya. Akhirnya dia menjadi ria' akibat hasutan syaitan yang sentiasa mahu memusnahkan imannya.
Sekalipun ada kuasa lain yang boleh digunakan, tetapi tentulah lebih bermakna kalau kita hanya meminta perlindungan Aliah SWT semata-mata. Mungkin orang keliru kerana kononnya apa jua kuasa dari makhluk-makhluk lain adalah dari Allah jua, maka sesiapa pun boleh menggunakan kuasa tersebut. Dari sini saya teringatlah mengenai kawan saya Meon dan isterinya Simah di Gombak yang diganggu pelesit turun-temurun itu.
Tentu Simah tidak menyedari apabila nenek moyangnya dari Tok Bani mendapatkan kuasa dari pelesit untuk membalas dendam terhadap lelaki-lelaki yang bermain gila dengan isterinya Yong Saenah, hingga semua lelaki-lelaki tersebut hilang tenaga batin. Kuasa-kuasa seperti itu memanglah dengan izin Allah juga, tetapi adalah tidak diredainya. Saya teringat kisah Pak Uduh yang saya temui di Felda di Johor yang berasal dari Merlimau Melaka yang diperkenalkan oleh Ali Burn kepada saya.
Dia tidak memohon kuasa dari mana-mana pun, tetapi menyerahkan semuanya kepada Allah SWT, sehingga kisah isterinya Naesah Lawa bermain gila dengan Ielaki lain menerima balasan dari Allah SWT sendiri. Naesah Lawa mati setelah menanggung penderitaan yang lama, dan apabila dikebumikan liang lahadnya dipenuhi dengan ular yang tidak tahu dari mana datangnya.
Oleh itu saya sentiasa berpegang kepada ingatan Tok Aji, kalau kita boleh memohon terus kepada Allah SWT mengapa mesti mendapatkan pertolongan dari kuasa lain dariNya. Kata Tok Aji, Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, apa sangatlah kepadaNya hendak melakukan yang lain dari itu.
Sekalipun Tok Aji sudah lama meninggal dunia, tetapi saya masih ingatkan segala pesan-nya.
"Tok Aji dulu memang sayangnya lebih pada Angah…’ beritahu Itam Samir sewaktu saya mengunjungi ,dia di Endau. Itam Samir ini anak Tok Aji dengan isteri-nya yang di Kota Tinggi dulu. Saya tidaklah tahu sama ada dakwaan Itam Samir ini betul atau tidak, tetapi sepanjang ingatan saya Tok Aji sering juga memarahi saya.
Bagaimanapun dia tidak pernah memukul anak-anak atau cucu-ucunya. Jangankan merotan, malah menjentik telinga pun tidak pernah kata ayah saya. Memang Tok Aji tidak pernah melakukannya, tetapi sekiranya berlaku pertengkaran dengan nenek saya sebagai suami isteri, Tok Aji tidak akan bersuara tinggi menentang leteran nenek. Kalau dia marah pun, dia akan turun ke tanah sambil menampar pokok kelapa atau lain-lain pokok yang berhampiran dengannya. Tahu-tahu saja tiga hari selepas itu, pokok berkenaan akan layu daunnya hingga akhirnya mati begitu saja.
"Kalau dia datang ke sini dulu, tak lepas mulutnya menyebut Angah aje" ujar Itam Samir tersengih-sengih mengenangkan ayahnya yang datang sekali-sekala mengunjungi dia ke Endau.
Dari Itam Samir inilah saya mendengar cerita mengenai seekor babi yang sering menjelma di kampungnya dengan menampakkan gigi emas.
"Pak ltam pernah jumpa...?" tanya saya.
Dia mengangguk perlahan, tetapi mengerling ke arah dapur mempastikan sama ada isterinya mendengar atau tidak perbualan kami.
"Jelmaan manusia" kata Itam Samir berbisik. "Keluarga Mak ltam kau tu juga" dia menambah tersengih-sengih. Mungkin Itam Nirah tidak peduli sangat mengenai keluarganya yang dikatakan meninggal dunia kemudian sering ditemui oleh orang-orang kampung jelmaan babi yang mempunyai gigi emas merayau-rayau, tetapi Itam Samir bimbang juga kalau-kalau isterinya itu tersinggung.
Bagaimanapun sewaktu makan tengahari, saya berterus terang bertanyakan pada Mak Itam Nirah mengenai babi bergigi emas itu. Dia tidaklah terperanjat dengan pertanyaan saya, sebaliknya tersenyum saja.
"Di halaman rumah ni pun ada dia datang, tapi Mak Itam suruh dia pergi baik-baik. Elok aje dia pergi ke belukar tu" beritahu Mak Itam Nirah memuncungkan bibir ke arah belukar senduduk di belakang rumahnya.
Namun cerita sebenarnya tidaklah siapa pun tahu kerana kejadian itu sudah berlaku lebih 50 tahun dulu. Hanya selepas kematian Mak Selidah saja orang-orang kampung menemui babi berkenaan merayau-rayau di dalam kampung di kawasan rumah atau tanah yang ditinggalkan oIeh Mak Selidah. Apabila babi itu menyeringai kelihatanlah gigi emasnya sebatang sama seperti Mak Selidah yang mempunyai gigi emas sebatang.
"Dulu, sampai lima enam kali dalam sebulan dia keluar" jelas Mak Itam Nirah. "Tapi, sekarang dah lebih lima puluh tahun, lima enam bulan sekali, adalah dia muncul" katanya mengingatkan peristiwa babi yang bergigi emas.
Pernah juga satu ketika babi tersebut memusnahkan anak-anak pisang ltam Samir apa-bila dia menyungkur-nyungkur tanah di situ. Kepalang marahnya Itam Samir melihat anak-anak pisangnya habis terbongkar. Apatah lagi melihat seekor babi berwarna hitam menyungkur-nyungkur di situ. Kalau babi peliharaan orang-orang Cina tentulah berwarna putih, kalau ada yang hitam pun boleh dikenali sebagai babi peliharaan.
Tetapi Cina memelihara babi jauh dari kampungnya, masakan babi tersebut boleh terlepas. Sekiranya babi hutan tentulah liar. Dia akan lari apabila mendengar orang menyorak nyoraknya. Itam Samir sudah menyorak-nyorak namun babi tersebut terus juga menyungkur-nyungkur tanah. Disebabkan terlalu marah, Itam Samir lantas menghunus parangnya menyerbu mahu memangkas tengkuk babi yang sedang menyungkur-nyu ngkur itu.
"Nanti…….  jangan dibunuh dia ……!”jerit Mak Itam Nirah dari bawah rumpun pisang tempat dia berteduh sebaik melihat suaminya meluru ke arah babi tersebut dengan parang terhunus.
Terhenti langkah Itam Samir mendengar teriakan isterinya. Babi itu tidak juga lari, walaupun Itam Samir sudah hampir ke rumpun pisang tempat dia menyungkur-nyungkur.
"Habis anak pisang aku!" gerutu Itam Samir disebabkan Mak Itam Nirah menegah dia dari terus menerkam ke arah babi tersebut.
Mak Itam Nirah tidak menghiraukan Itam Samir marah dengan sikapnya menghalang bertindak kepada babi yang memusnahkan tanaman dia. Dia memangkas pelepah pisang lantas dipukulnya punggung babi berkenaan. "Hai, Makda Selidah janganlah rosak kan kebun aku ni, pergilah Makda Selidah cari rezeki tempat lain" katanya seperti bercakap dengan manusia biasa.
Babi itu berpaling ke arah Mak Itam Nirah sambil menyeringaikan giginya seperti orang yang kemalu-maluan. Kemudian dia menggoyang-goyangkan kepala seolah-olah mengangguk faham. Setelah itu babi berkenaan pun berjalan longlai masuk ke dalam belukar senduduk langsung hilang. Sewaktu dia menyeringai itu memang ternampak oleh Itam Samir gigi babi bersumbi emas.
Kisah Mak Selidah ini sewaktu hidupnya memang diketahui orang-orang kampungnya seorang janda bersumbi emas. Dia berkahwin dengan bapa saudara Mak Itam Nirah seorang duda yang dikenali di kampung itu dengan panggilan Egok Tukang, kerana kerjanya memang bertukang membuat rumah. Egok Tukang mempunyai seorang anak Jelinah berumur sepuluh tahun. Jelinah gadis kecil ini tidak bersekolah seperti gadis-gadis Iain juga di kampung itu yang jarang disekolahkan oleh ibu bapanya.
Setelah berkahwin dengan Egok Tukang, Mak Selidah ternyata bersikap garang kepada anak tirinya. Bagaimana pun siapa pun tidak hiraukan sangat masalah rumahtangga mereka. Tetapi memang orang-orang kampung melihat Jelinah dipaksa membuat kerja-kerja seperti menumbuk padi, mencari kayu, membasuh kain. Egok Tukang hanya mendiamkan diri saja, sekiranya Jelinah dipukul oleh Mak Selidah di depan matanya pun.
"Ah, memang emak tugasnya mengajar anak  " kata Egok Tukang bila perbuatan isterinya ditegur oleh saudara maranya. Akhirnya saudara maranya menjadi bosan, langsung tidak mahu campur tangan lagi.
Semasa Jelinah jatuh sakit, siapa pun tidak datang menjengahnya. Disebabkan kesihan kepada kanak-kanak, terpaksa jugalah emak kepada Mak Itam Nirah melihat anak saudaranya itu yang yatim sejak kematian emaknya.
Alangkah terperanjatnya Nenek Mejiah melihat Jelinah terbaring seorang diri dengan pinggan berisi hampas kelapa di sisinya. Dia juga mendapati kesan-kesan hampas kelapa di celah bibir Jelinah. Memandangkan keadaan Jelinah demikian, Nenek Mejiah terus membawa anak saudaranya ke rumahnya. Tiga hari Jelinah di rumah Nenek Mejiah ramailah orang-orang kampung menziarahinya, sedangkan Egok Tukang ayahnya sendiri tidak menampakkan muka hidung.
Semasa Ketua Kampung datang memberitahu keadaan anaknya Jelinah, menitik juga airmata Egok Tukang. Tetapi dia tidak berani mahu menziarahi anaknya kerana dilarang oleh Mak Selidah. Perbuatan Mak Selidah ini membuatkan Nenek Mejiah marah, lantas dia ke rumah abangnya Egok Tukang.
"Tak patut buat anak kanak-kanak macam tu Kak Selidah" kata Nenek Mejiah kesal.
"Tak patut macam mana?" jerkah Mak Selidah keras. "Adakah patut beri budak tu makan hampas kelapa!" Nenek Mejiah mula marah bila Mak Selidah berpura-pura tidak tahu akan kekejaman yang dilakukannya ke atas Jelinah.
"Aku suruh makan nasi dia tak mau . . . !" dia masih mempertahankan di rinya. "Sebab itu aku marah, aku sumbatkan hampas kelapa" katanya meninggikan suara.
"Budak tu sakit mana ada selira, mengapa pula dipaksa?" soal Nenek Mejiah.
"Nanti kata aku tak beri makan pulak" sahutnya menyindir.
Ketika inilah Egok Tukang berdiri di muka pintu bercekak. pinggang memerhati adiknya berdiri di tengah halaman. "Kau Mejiah, jangan campur hal rumahtangga aku. Kalau kau nak jaga Jelinah, jaga. Kalau tak mahu, hantar balik ke rumah aku!" kata Egok Tukang menghentak-hentak kakinya ke lan-tai.
Terpaksalah Nenek Mejiah mengalah apabila abangnya sendiri sudah bersuara demikian. Seminggu Jelinah di rumah Nenek Mejiah, dia pun meninggal dunia.
Kematian Jelinah sepupu Mak itam Nirah yang hampir sebaya umurnya itu, masih dapat diingat-ingat oleh nya, sekalipun ketika itu Mak Itam Nirah baru berumur sembilan tahun saja. Dia melihat tubuh Jelinah yang kurus itu seolah-olah tidak bermaya untuk menggerakkan kaki dan tangannya. Bagaimanapun dia dapat juga meramas-ramas jari Mak Itam Nirah, sebelum menghembuskan nafasnya dalam usia yang masih kecil.
Tidak lama selepas kematian Jelinah itu, berlaku pula kejadian yang tidak disangka-sangka di rumah Nenek Mejiah. Setiap senja rumahnya dipenuhi oleh ulat bulu yang tidak tahu dari mana datangnya.
"Sapu di dalam, di serambi pula oleh ulat" beritahu Mak ltam Nirah, kerana dia sendiri membantu emaknya menyapu ulat-ulat tersebut. Kalau terkena ulat bulu itu cepat saja kulitnya menjadi gatal dan meruam. "Sapu pula di serambi, penuh di dapur pula bertaburan ulat-ulat bulu tu" cerita Mak Itam Nirah selanjutnya.
Tiga senja rumahnya mengalami gangguan ulat-ulat bulu ini, ayah Mak Itam Nirah memberitahu masalahnya kepada dukun di kampung itu. Setelah dibakar kemenyan berkeliling rumahnya, maka gangguan ulat bulu itu tidak ada lagi. Dukun itu juga memberi tangkal supaya digantungkan di hadapan rumahnya sebagai pelindung dari gangguan tersebut.
Setelah dikawal oleh dukun berkenaan, tidaklah ada lagi gangguan yang menakutkan itu.
"Tapi kalau kenang-kenangkan, memang geli geleman" ujar Mak ltam Nirah perlahan. "Maklumlah beratus-ratus ulat bulu menjalar di dinding dan di lantai. Tak tau berapa pula yang bergayut di bumbung atap" kata-nya dalam keadaan geli geleman juga.
Beberapa bulan selepas kejadian ulat-ulat bulu itu, tiba-tiba nenek Mejiah sendiri diserang batuk darah. Bimbang juga mereka sekeluarga bila penyakit yang tidak disangka-sangka itu menyerang Nenek Mejiah. Puas juga dia berubat sampai ke Kota Tinggi, hingga bertemu dengan Tok Aji yang kebetulan ketika itu berada di Kota Tinggi.
"Ada kawan saya di Endau, namanya Wak Samin " beritahu Tok Aji apabila Aki Tabun menemui Tok Aji bagi mengubati penyakit ganjil yang dihidapi oleh Nenek Mejiah itu. "Kalau ada apa-apa hal, cubalah jumpa dengannya" kata Tok Aji supaya mereka tidak bersusah payah datang ke Kota Tinggi.
Setelah diberi minum air sejuk oleh Tok Aji, dapatlah Nenek Mejiah lega sedikit bernafas. Darah juga tidaklah banyak keluar apa-bila dia terbatuk. Melihatkan keadaannya sudah beransur kurang, mereka pun balik semula ke Endau. Tetapi pada sebelah senjanya, Nenek Mejlah merasa dadanya terlalu sakit setiap kali merasa mahu muntah, namun dia tidak juga muntah.
Mengerang-ngerang dia menahan kesakitan. Aki Tabun tidak ber-tangguh lagi mencari Wak Samin. Serba salah juga Wak Samin bila dijemput oleh Aki Tabun, sedangkan selama ini siapa pun tidak mengenali Wak Samin, apatah lagi untuk memanggilnya mengubati penyakit. Orang-orang kampung di situ hanya mengenali Wak Samin sebagai petani biasa, yang kadangkala mengambil upah menebas. Memang mereka tahu Wak Samin bukan anak tempatan di situ, tetapi datang dari Kota Tinggi yang sebelumnya menumpang tongkang dari Pekan Baru dan naik di Singapura.
Bagaimanapun setelah Aki Tabun memberitahu mengenai Tok Aji sendiri yang menyuruh menemuinya, terpaksalah Wak Samin datang juga ke rumah Aki Tabun. Semasa dia sampai, keadaan Nenek Mejiah semakin tenat. Kadangkala dia merepek-repek memaki-hamun Tok Aji dan Wak Samin.
"Celaka Aji, bagi aku minum air racun!" Nenek Mejiah menghempas-hempas badan menahan kesakilan didadanya. "Nak termuntah aku ni fasal air racun yang diberi minum oleh Aji celaka di Kota Tinggi tu" dia merengek-rengek.
"Eh, racunlah sedap. Berilah aku sikit" sahut Wak Samin sambil menekan langit-langitnya dengan ibu jari.
"Kau nak mampus minum racun?" kelihatan Nenek Mejiah macam tersenyum menyindir.
"Eh sedap, macam santau juga. Lebih sedap pada air serbat" Wak Samin menampar kepala lututnya sendiri tiga kali.
Sekaligus Nenek Mejiah terbatuk kuat hingga keluar dari mulutnya segumpal rambut, serbuk kaca dan miang rebung. Kemudian dia berpaling ke arah Wak Samin lantas meludahinya.
"Kau pun sama dengan Aji keparat tu!" Nenek Mejiah bangun mahu menerkam, tetapi segera dipegang oleh Aki Tabun. "Kau nak bunuh aku ye?" jerkah nya meronta-ronta dari pegangan Aki Tabun. Orang-orang kampung yang menziarahinya juga ikut sama mem-bantu memegangkan Nenek Mejiah.
Wak Samin tidak pedulikan Nenek Mejiah memaki-maki dia, kerana dia memahami bahawa yang memakinya bukanlah Nenek Mejiah. Tetapi syaitan yang mengganggu Nenek Mejiah itulah yang memaki-maki melalui diri Nenek Mejiah. Dia juga tahu bahawa sejak Tok Aji sudah mendoakan air sejuk itu supaya diminum oleh Nenek Mejiah, syaitan yang mengganggu itu sudah cukup terseksa.
Kedatangannya juga hanya setelah keadaan syaitan tersebut beransur lemah, tetapi berpura-pura menunjukkan kekuatannya melalui kelakuan Nenek Mejiah itu.
"Kau dah cukup terseksa, dah cukup lemah janganlah nak tunjuk kuat!" ejek Wak Samin mengerling Nenek Mejiah termengah-mengah meronta.
"Kau nak bunuh aku ye?" jerit Nenek Mejiah lagi.
"Aku tak ada kuasa nak bunuh kau, tetapi Allah yang boleh membunuh" ujar Wak Sa'min lantas bangun merapatkan mulutnya ke telinga Nenek Mejiah. Dia melaungkan azan di sebelah telinga kanan menyebabkan Nenek Mejiah terjerit-jerit tidak keruan.
Selepas melaungkan azan sepuluh kali, Wak Samin duduk semula Matanya tidak lepas merenung mata Nenek Mejiah. "Aku dulu boleh bermain dengan harimau ganas, apa sangatlah dengan kau. Janganiah nak tunjuk pandai pada manusia" gerutu Wak Samin menderam seperti bunyi harimau saja lakunya.
Lama kelamaan Nenek Mejiah menjadi lemah longlai di atas pangkuan Aki Tabun, Akhirnya tertidur tidak sedarkan diri. Keesokan paginya barulah Nenek Mejiah bangun, waiaupun masih dalam keadaan lemah. Dia sendiri memasak air di dapur menunjukkan dirinya sudah mulai sembuh.
Ketika sedang sarapan pagi itulah, orang memberitahu Nenek Mejiah mengenai Mak Selidah yang meninggal dunia secara mengejut. Sewaktu ditemui oleh Egok Tukang apabila dia masuk ke daIam, didapatinya Mak Selidah menonggeng seperti seekor babi sedang menyungkur di tanah. Memang Egok Tukang, jarang tidur dengan Mak Selidah kerana tidak dibenarkannya. Terpaksalah Egok Tukang tidur di serambi, manakala dia tidur di bilik di induk rumah.
Memang Egok Tukang terdengar juga bunyi isterinya merungut-rungut pada sebelah malamnya, tetapi dia tidak berani menjengah ke dalam. Selalu juga dia mendengar isterlnya merungut-rungu't demikian, tetapi tidak pernah pula terjadi perkara yang buruk.
Orang-orang kampung terpaksalah mengkebumikan Mak Selidah walaupun mereka tidak suka dengan kelakuannya. Soal kematian adalah fardu kifayat untuk diuruskan. Masalah kelakuan Mak Selidah di waktu hayatnya tidak boleh disamakan dengan jenazahnya yang terbujur. Ketua kampung sendiri mengarahkan supaya disempurnakan sebagai mayat seorang Islam.
Selepas kematiannya ada juga cerita mengatakan Mak Selidah menyimpan santau yang dituntutnya semasa dia masih janda lagi. Ada juga yang mengatakan dia menggunakan ubat guna-guna sehingga menundukkan suaminya Egok Tukang, sampaikan suaminya tidak berani menegahnya kalau dia menyeksa anak gadis Egok Tukang, Jelinah. Cerita itu tambah meribak lagi kononnya memang dia sendirilah membunuh Jelinah secara sihir, supaya harta Egok Tukang akan jatuh semuanya ke tangannya.
Keadaan tubuh Mak Selidah yang menonggeng itu sudah tidak dapat dibetulkan lagi disebabkan sudah keras. Jadi terpaksalah dimandi dan dikapankan dalam keadaan tubuhnya bengkok itu. Selepas dikebumikan tiga malam berturut-turut orang-orang .kampung mendengar bunyi babi menguak-nguak dari kawasan perkuburan, tetapi tidak ada siapa pun yang mahu menghiraukannya.
Cuma Egok Tukang yang menziarahi kubur isterinya itu mendapati ada kesan babi menyungkur tanah. Tahi babi juga bersepah-sepah di atas kuburnya.
Bagaimanapun sejak kematian isterinya, Egok Tukang menjadi sasau. ingatannya juga hilang akibat ubat guna-guna isterinya yang meresap mengganggu fikirannya. Sehingga akhir hayatnya pun Egok Tukang menjadi orang yang tidak siuman.
Setelah tidak ada lagi bunyi babi menguak-nguak di kawasan perkuburan, orang ternampak seekor babi hutan tetapi jinak menyungkur-nyungkur di halaman rumah Egok Tukang. Macam mana dihalau pun dia tidak mahu beredar. Apabila ternampak Egok Tukang dia akan mengekori ke mana saja letaki itu pergi, tetapi dia tidak pernah mendekati Egok Tukang. Sekiranya Egok Tukang berpaling ke arahnya, dia akan menyeringaikan gigi menampakkan sumbi emasnya.
"Datang juga kau ye..." ujar Egok Tukang tersengih-sengih sambil mengerling ke arah babi tersebut yang kelihatan malu-malu sedikit. "Macam manalah aku nak bawa kau balik Selidah, tak dapat lah nampaknya aku nak bawa kau balik" katanya menangis tersedu-sedu.
Pernah juga Egok Tukang memberitahu adiknya Nenek Mejiah bahawa dia nampak Mak Selidah datang ke rumah macam menyembah-nyembahnya meminta." ampun, tetapi semua orang kampung tahu yang datang ke rumahnya ialah seekor babi yang menyungkur-nyungkur di tengah halaman. Bila Egok Tukang turun ke tanah dia akan melarikan diri jauh dari lelaki itu, tetapi bila Egok Tukang naik ke rumah dia akan datang semula ke tengah halaman menyungkur-nyungkur hingga muncungnya kelihatan pecah berdarah disebabkan tanah halaman yang keras.
"Sewaktu Pak Tua Egok mati pun, memang orang nampak babi itu mengekorinya dari dalam belukar" beritahu Mak Itam Nirah. "Kadang kala orang nampak dia berbaring di atas kubur Pak Tua Egok" jelas-nya lagi sewaktu menceritakan kisah tersebut kepada saya.
"Sampai sekarang pun ada juga dia muncul sekali sekala" itam Samir pula menambah. "Tetapi lima enam bulan sekali, tidaklah kerap macam mula-mula dulu" katanya tersengih-sengih mengerling ke arah isterinya Mak ltam Nirah. Saya hanya mengangguk-ngangguk lemah mengenangkan akan kebesaran kuasa illahi yang boleh melakukan apa saja yang telah ditetapkanNya.