Sunday, January 14, 2018

262. BOLA API MELAYANG DI UDARA


Sudah lima enam kali Delit berkejar ke parit di belakang rumahnya bila perut memulas-mulas sakit. Heran juga isterinya Bedah. Kalau mahu dikatakan tersalah makan, apa pula yang dimasaknya. Gulai nangka lemak kuning masak dengan cili padi memang kegemaran Delit. Masakan gulainya tersangat pedas boleh menyebabkan Delit sakit perut sampai berkejar ke parit di belakang rumah.
Kalau hari siang mungkin tidak menjadi soal. Tetapi malam-malam demikian tentu bukannya sakit perut biasa. Setakat mahu terberak, cukuplah sekali dua meneran di alur air. Lagi pun bila sisa-sisa najis habis keluar menyembur tentulah perut tidak akan memulas-mulas lagi.
"Sapulah minyak angin  Bedah mengingatkan dia.
Delit tidak mem-bantah. Dia menyapukan minyak angin ke perutnya supaya sakit memulas-mulas itu reda. Kalau slang hari mungkin anak-anaknya akan bertanyakan juga mengapa dia sakit perut. Anak-anaknya akan menuduh dia termakan julap. Biasanya orang termakan julap saja terpaksa berkejar ke jamban sampai lima enam kali.
Tetapi anak-anaknya sudah tidur nyenyak. Alim, Mimah, Sahak sudah berdengkur di sudut dinding. Hingga hampir jam 12.00 tengah malam pun sakit perutnya tidak juga beransur kurang. Bila sakit memulas-mulas Delit cepat-cepat mencapai lampu suluh berkejar ke parit di belakang rumah. Lama dia tercangkung di situ sampai lepuk lepak menampar nyamuk hinggap di punggung. Terasa gatal-gatal dicelah kangkang akibat nyamuk banyak menyerbu.
Puas tercangkung perutnya terasa juga lega. Cepat-cepat pula dia ke telaga beristinjak. Lepas itu naik semula ke rumah berbaring-baring. Matanya tidak mahu lelap akibat menahan perut yang merengat rengat. Terasa juga Ietih-Ietih badannya kerana kerap sangat berkejar ke jamban di parit berkenaan.
Baru saja mahu melurus-luruskan lunjur di tempat tidur sakit perutnya datang semula. Memulas-mulas juga sampai dia terbongkok-bongkok menahan senak yang menyengkang. Cepat-cepat lagi dia berkejar ke jamban di parit belakang rumah.
Sejak senja lagi dia bercadang mengajak Bedah menjengah Saridah yang sakit. Tidak patut pula tidak menjengah jiran sekampung. Lagi pun mertuanya Pak Jubin sendiri yang mengubati Saridah. Tetapi sejak sakit perutnya menyerang Delit tidak jadi menjengah Saridah. Bedah juga tidak jadi pergi disebabkan suaminya tiba-tiba saja diganggu sakit perut.
"Kejutkan Alim, biar dia panggilkan ayah" kata Bedah mula merebahkan badan.
"Emmm, ayah lagi mengubat Saridah  " dengus Delft perlahan. ApaIah perlu memanggil mertuanya Pak Jubin, kalau sekadar sakit perut mahu buang air besar. Kadangkala tersilap makan barang-barang pedas bercili pun boleh menyebabkan perut sakit memulas-mulas.
"Apa salahnya, tentu ayah pun bukannya lama sangat di situ" Bedah merasa bimbang juga melihat suaminya tiba-tiba saja di-serang sakit perut.
"Ah, takat terberak-berak pun, nak panggil dukun mengubat" Delit tersengih-sengih mengerling isterinya yang mudah bimbang.
Malam sudah mulai sepi. Sudah hampir jam 12.00 tengah malam tentulah kampung kecil itu diserkupi kesepian. Malah belum pun masuk isya kampung di situ sudah sunyi sepi, inikan pula sudah jauh malam. Ketika ini sakit perut Delit memulas-mulas semula.
"Huh, sakit lagi ." keluhnya lantas bingkas bangun mencapai lampu picit. Dia berkejar lagi ke jamban di parit belakang rumah. .
Puas juga Delit tercangkung di dalam gelap itu menunggu perutnya lega semula. Semasa tercangkung itu dia memerhati juga arah ke darat rumah. Gelap gelita di sekelilingnya mendebarkan juga. Kalaulah emaknya masih hidup tentulah rumah tersebut tidak terbiar.
Sejak emaknya mati pulalah ayahnya Mat Natar kah-win lain dengan janda dari Pelangai. Ayahnya terus berpindah ke kampung isterinya di Pelangai. Tinggallah rumah tersebut terbiar tidak ada orang yang menjaganya. Cuma sekali sekala isterihya menyapu-nyapu sampah di bawah rumah, atau di tengah halaman.
Tidak ada adik beradiknya yang mahu tinggal di rumah peninggalan emaknya. Masing-masing sudah berkahwin dan mengikut suami atau berpindah ke kampung isteri mereka. Cuma Delit saja yang tinggal di kawasan tanah pesaka peninggalan emaknya, itu pun tidaklah tinggal di rumah berkenaan. Dia sudah mendirikan rumah lain sejak emaknya masih hidup lagi, sebaik saja dia menikah dengan Bedah.
Tatka!a tercangkung di parit belakang rumah inilah Delit ternampak bola api melayang-layang di udara bersetentang dengan bumbung rumah Saridah yang tidak jauh dari rumahnya. Kalaulah tidak terlindung oleh belukar dan kebun getah tua di darat kampung, tentulah boleh nampak rumah Razak.
Delit percaya mertuanya Pak Jubin tentulah sedang menghadapi saat genting semasa mengubati Saridah. Bola api yang dapat dilihat oleh Delit itu sudah tentulah sedang mengancam mertuanya. Tidak heranlah mengapa dia juga merasa bahang akibat keadaan yang dihadapi oleh mertuanya itu.
"Patutlah, senak perut ni lain macam aje " keluh Delit mendongak memerhati bola api masih berligar-ligar. Geram juga hatinya bila merasakan bola api itu mengancam mertuanya.
Biasanya memang orang yang menjadi dukun, memang menghadapi masalah tersebut. Dalam masa dia mengubati pesakit, maka keluarganya sendiri menjadi sasaran syaitan yang merasuk pesakit berkenaan.
"Celaka “gerutu Delit tidak lepas memerhati bola api di udara setentang dengan bumbung rumah Razak.
Selesai saja dia beristinjak di telaga, cepat-cepat dia naik ke rumah. Termengah-mengah dia menerpa ke tempat tidur. Tubuhnya menggigiI seram sejuk.
"Ini bahana ayah awak mengubati orang" katanya terketar-ketar meminta di lingkupkan dengan selimut.
Bedah dapat mengagak tentulah disebabkan ayahnya mengubati Saridah, maka Delit menjadi sasaran. Mahu juga dia menasihati ayahnya supaya berhenti saja menjadi dukun, tetapi mungkin ayah nya memarahi dia pula. Ayah Delit sendiri pernah menjadi dukun. Sebab itulah dia berhenti setelah berpindah ke Pelangai.
Ketika emak Delit iaitu emak mertuanya masih hidup, memang ayah mertuanya dikenali sebagai dukun. Sebut saja Mat Natar semua orang mengenalinya di kampung itu, malah lebih dikenali dari ayahnya sendiri Pak Jubin. Sebab itulah bila dia berkahwin dengan Delit banyak orang mengusik ayahnya dengan ejekan dukun berbisan dengan dukun juga.
Tetapi masa Mat Natar tinggal di kampung itu, Pak Jubin tidaklah menjadi dukun sangat. Dia hanya sekali sekala saja dipanggil orang apabila Mat Natar ke Temerluh atau ke Segamat dijemput orang ke sana. Sampai seminggu Mat Natar ke sana, masa inilah tenaga Pak Jubin diharapkan bagaikan tak ada rotan akar berguna juga, di kampung berkenaan
"Inilah bahana jadi dukun. Nak selamatkan orang, keluarga sendiri menanggung" rungut Delit tergigil-gigil di bawah selimut. Masih terbayang kepadanya bola api berjurai-jurai di udara dengan cahaya berkerlip-kerlip. Belum pernah dia melihat keadaan aneh demikian. Inilah menyebabkan dia terperanjat akibat terlalu gerun melihat bola api yang berjurai-jurai itu.
Tetapi dia tidak menceritakan kepada isterinya apa yang dilihatnya itu. Biarlah dia sendiri menanggung kebimbangan itu, asalkan Bedah tidak merasa bimbang sama. Kalau diberitahu kepada Bedah mungkin perempuan itu akan sama terkejut.
"Agaknya aruah mak dulu macam inilahhh  keluh Delit lagi.
Bedah serba salah juga melihat suaminya terketar-ketar di bawah selimut. Pada mulanya tadi dia hanya merungut sakit perut merengat rengat sarnpai lima enam kali berkejar ke parit di belakang rumah. Lepas buang air terasa lega perutnya. Tetapi sakit merengat-rengat itu datang semula baru saja mahu meluruskan lunjur.
"Ayah degil sangat. Mahu terus berdukun" Delit macam kesal dengan apa yang menimpa emaknya. "Akhirnya, bila emak meninggal barulah ayah nak tinggalkan kerja berdukun" ujarnya menelan keluhan pahit.
Tetapi dia tahu Bedah tidak akan berani melarang ayahnya supaya jangan menjadi dukun. Siapa saja sanggup menjadi dukun sudah tentu menerima banyak dugaan. Walaupun dia boleh mempertahankan dirinya dari dugaan atau gangguan syaitan, tetapi sudah tentu dia tidak dapat mengawal semua keluarganya. Memang keluarganya juga terdedah oleh ancaman gangguan syaitan, apabila sasarannya kepada pesakit dapat ditangkis oleh dukun berkenaan.
Inilah yang ber-laku kepada emaknya. Memang Delit menuduh emaknya mati disebabkan jadi sasaran syaitan, apabila ayahnya Mat Natar berjaya mempertahankan pesakit lain dari gangguan tersebut. Ketika ini Mat Natar ke Chenor mengubati orang terkena sihir. Semasa, dia ke sanalah isterinya tiba-tiba saja terbalik mata dengan mulutnya berbuih-buih.
Disebabkan Mat Natar masih belum balik, terpaksalah Delit meminta mertuanya Pak Jubin mengubati emaknya. Malangnya, belum sempat Pak Jubin tiba, isteri Mat Natar meninggal dunia.
Mungkin kesal dengan kejadian itulah ayahnya Mat Natar berhenti dari menjadi dukun. Apabila berkahwin dengan seorang janda dari Pelangai, dia pun terus berpindah ke kampung isterinya.
Semakin diingatnya bola api berligar-ligar di udara, semakin sakit pula perut Delit. Terasa merengat-rengat sekalipun badannya terketar-ketar di bawah Iingkup selimut. Disebabkan tidak tahan dengan sakit perut memulas mulas itu, Delit bingkas juga bangun. Cepat-cepat dia mencapai lampu picit berkejar lagi ke parit di belakang rumah.
Semasa berkejar itu dia berharap tidak ada lagi bola api berligar-ligar di kawasan bumbung rumah Razak. BiarIah ayah mertuanya berjaya menentang gangguan yang merasuk Saridah. Kalau ayah mertuanya Pak Jubin dapat menghapuskan gangguan berkenaan bererti dia tidak perlu bimbang lagi.
Sebaik saja tercangkung di parit berkenaan, Delit dapat merasakan air tersembur dari punggung. Bila air sudah tersembur keluar, barulah dia merasa perutnya lega semula. Cepat-cepat dia mendongak ke udara ke arah bumbung rumah Razak yang terselindung di sebalik belukar kebun getah tua. Tidak ada apa pun yang kelihatan di situ.
Rumah ayahnya di sebelah darat kelihatan berbalam-balam di dalam gelap malam. Kalau rumah itu tidak di-tinggal kan lama tentu ada silauan api pelita minyak tanah. Sudah lama rumah peninggalan emaknya terbiar tidak dijaga oleh sesiapa pun, kecuali isterinya Bedah saja. Stu pun Bedah tidak pernah naik ke rumah. Dia hanya menyapu-nyapu sampah di bawah rumah atau di tengah halaman saja.
Setelah merasa perutnya lega semula, Delit segera ke telaga. Dia beristinja lagi hingga punggungnya terasa pedih. Semasa dia bangun untuk meninggalkan telaga, Delit terdengar bunyi berdesing kuat di udara. Dia mendongak mahu mempastikan bunyi tersebut.
Ketika ini dia nampak bola api seperti tadi berligar-ligar lagi. Dia tertegun di situ tidak dapat melangkah, kerana bola api itu terasa terlalu hampir di sebalik belukar kebun getah menuju ke rumahnya.
"Bangsat kau  gerutu Delit melepaskan geram. Dia merasakan ayah mertuanya tidak berdaya menentang gangguan tersebut. Boleh jadi ayah mertuanya juga sedang diancam.
"Bedah  dia melaung isterinya. Tetapi laungannya tidak bersahut.
Boleh jadi Bedah tidak mendengar apa-apa. Masakan Bedah tidak menyahut kalau sudah didengarnya laungan dia!
Kalau sudah terdesak Delit juga boleh bertindak. Setidak-tidaknya banyak juga diajarkan oleh ayahnya mengenai menentang musuh. Cuma Delit saja tidak mahu menjadi dukun seperti ayah mertuanya. Bukan dengan ayahnya saja, malah dengan mertuanya juga dia belajar.
Bola api dari bumbung rumah Razak itu laju saja menerkam ke arah bumbung rumahnya. Bimbang juga Delit kalau anak isterinya pula yang menjadi sasaran. Sudah tentulah anak isterinya menjadi sasaran kerana mereka anak cucu Pak Jubin sendiri.
Cepat-cepat Delit membongkok menggengam pasir di tepi telaga. Pasir tersebut dilimparkannya ke arah bumbung rumahnya. Bola api itu terhumban jauh bila pasir itu berserak ke atas bum-bung. Delit tidak nampak isterinya menjengah di tingkap atau melaung namanya sebaik saja pasir berderau di atas bumbung.
Mustahil pula Bedah tidak terdengar bunyi pasir berderau kuat. Apa lagi di tengah malam sepi demi kian, bunyi yang tidak kuat pun boleh melangsing bergema. Malah berkali-kali dilaungnya Bedah, isterinya tetap tidak menyahut.
"Bangsat!" rungut Delit memanjang.
Namun hatinya tetap mempertahankan anak isterinya dari gangguan. Dia akan gunakan apa saja kepandaiannya dalam menghadapi gangguan berkenaan.
"Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah, terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budang badang, siah kiri siah kanan siahkan ke inderaku….”  Delit menggertap bibir sambil membacakan serapah.
Dia tidak mahu bola api itu berligar-ligar di kawasan bumbung rumahnya mengancam anak isterinya. Kalau polong atau pelesit berani mengganggu anak isterinya, bila-bila dia sanggup menentangnya. Delit menunggu saja serangan bola api tersebut. Kalau polong atau hantu penanggal mudah saja diperangkapnya ke rumpun duri mengkuang di baruh rumahnya. Dia akan membawa polong itu berligar di situ biar tersangkut tali perutnya berjurai-jurai ke duri rumpun mengkuang.
Semasa dia memerhatikan bola api itu berligar, hatinya merasa berdebar juga kerana bola api itu hilang serta merta sebaik saja di-Iimparnya dengan pasir.
Tiba-tiba saja dia terdengar bunyi barang berat jatuh terhempas di belakangnya. Sebaik dia berpaling ke belakang, Delit nampak bola bulat melambung-lambung keluar asap memutih. Bola itu merah seperti kulit telur pecah mengeluarkan darah.
Delit berundur sedikit ke belakang. Hatinya yang pada mulanya terkejut sudah bertukar menjadi berani. Dia mengingatkan jampi serapah serta petua-petua yang dipelajarinya selama ini. Jadi anak kampung sepertinya, memang perlu belajar serba sedikit. Lainlah seperti orang-orang di bandar tempat belajar mereka di sekolah-sekolah tinggi, hatta sampai ke universiti pun.
Orang kampung seperti dia tidak belajar di sekolah tinggi, tetapi belajar jampi serapah. Belajar pencak silat dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri. Di bandar memang tidak ada gangguan polong, pelesit, hantu raya, bajang atau toyol. Orang-orang bandar akan mengatakan semuanya itu tahyol belaka. Tetapi mereka yang pernah mengalaminya terpaksa belajar cara-cara menghindarkan nya. Hanya orang-orang di kampung terpencil saja mengalami kejadian-kejadian demikian.
Jadi, mereka inilah yang terpaksa mempelajarinya, setidak-tidaknya untuk mempertahankan diri sendiri dan keluarga juga. Sebab itulah Delit juga ter-paksa belajar dari ayah dan mertuanya. Malah dia belajar juga dari Pak Dahok guru silat dari Mentaus.
 "Bangsat kau..." Delit meludah arah bola merah melambung-lambung seperti belon di depannya. "Kalau kau berkira dengan mertua aku, kau berkiralah dengannya. Kenapa ganggu aku anak beranak!" jerkah Delit bercekak pinggang.
Bola belon itu semakin banyak mengeluarkan darah dari rekahan seperti mengkarak telur re-tak itu. Asap juga berpusar-pusar di sekelilingnya.
"Hah, aku tau kau  , aku tau kau bajang!" kata Delit macam mengejek.
Sebaik disebut saja namanya, bajang itu mengeluarkan asap tebal. Dari kepulan asap itu tercegat satu lembaga manusia berbayang hitam. Di lehernya tergantung azimat dan tangkal.
"Aku tak akan undur" beritahu Delit mengisar-ngisar dua tapak tangan-nya. Ketika ini dia tidak memerlukan lagi jampi serapah yang diajarkan oleh ayahnya atau mertuanya. Dia bukan mahu mengubati pesakit, tetapi menghadapi ancaman musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Sebab itu Delit teringatkan petua-petua yang diajarkan Pak Dahok.
Lembaga manusia berbayang hitam berligar-ligar bagaikan tidak jejak di bumi. Delit juga berligar-ligar mahu membuka langkah silat.
 "Kau nak cari geruh aku?" bentak Delit lantas menekan ibu jari kakinya ke bumi.
Bayang hitam lembaga manusia itu tertawa. Jelas suaranya garau bagaikan mengejek Delit. Kemudian Delit melihat bayang lernbaga manusia itu kepalanya bertukar menjadi bola api semula. Sekaligus dia melayang ke udara nampak berkilau-kilau.
Delit masih menekan ibu jari kakinya ke bumi. Dia tahu lembaga itu akan datang menyerbu lagi sekiranya dia terlalai. Masa terlalailah gangguan syaitan dapat merasuk. Memang dia dapat mengagak bajang yang muncul di depannya. Jelmaan bajang menyerupai lembaga manusia berbayang hitam itu, mungkin setelah dikawal oleh tuannya.
Kalau bajang tidak bertuan tentulah menjelma rupa asalnya seperti bayi dalam rahim ibunya. la kelihatan seperti bola belon dengan berurat-urat merah. Kemudian menangis merengek-rengek seperti bayi dahaga susu.
"Aku tau kau bajang, terjadi kau dari bayi mati terbungkus" bisik Delit memerhati ke udara. Bola api itu masih berligar-ligar di kawasan belukar kebun getah tua. Sekali sekala silau api berkerlip-kerlip itu memancar juga hingga bersirak seperti bunga api mainan.
Perlahan-lahan Delit melepaskan ibu jarinya yang ditekankan ke bumi. Kemudian dia membongkok mengambil pasir. Dia menghembuskan pasir di tapak tangan ke arah bola api yang melayang semula ke udara. Kalau jatuh sekali lagi lembaga berkenaan ke bumi dia tidak akan lepaskan lagi melayang ke udara. Dia akan kunci sampai tidak dapat bergerak langsung.
Selepas meniupkan pasir tersebut, dia menghentakkan tumitnya tiga kali ke tanah. Sekali lagi bola api itu menjunam jatuh. Berdebam dia jatuh terhempas seperti guni beras padat dilimparkan ke tengah halaman. Anehnya, ketika ini Delit tidak tahu mengapa isterinya tidak mendengar langsung kejadian yang sedang berlaku di belakang rumahnya.
Jarak rumahnya dengan telaga bukan lah jauh sangat. Kalau dilaung pun boleh didengar dengan jelas. Mengapa berkali-kali dia melaung, Bedah tidak juga menjengah di tingkap dapur. Masakan Bedah tidak mendengar laungannya yang langsing. Malah suaranya yang langsing itu tentu kedengaran juga hingga ke ru-mah Razak.
"Aku bunuh kau teriak Delit mencapai manggar nyiur yang terlonggok tidak jauh dari telaga. Sejak tadi lagi memang dia sudah camkan betul manggar nyiur berlonggok di situ.
Lantas dia memukul bola api berupa belon lembik berurat-urat merah itu dengan manggar nyiur. Rengek bajang yang jatuh terhempas seperti belon lembik itu melangsing bila dipukul Delit. Setiap kali Delit memukul ciia membacakan Fatihah diikuti dengan laungan 'Allahu Akbar'.
Delit tidak memberi peluang langsung bajang itu bertindak balas. Kemarahannya akibat sakit perut memulas mulas tadi sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia tahu sakit perutnya adalah beipunca dari gangguan bajang berkenaan. Selepas dia memberanikan hati menentang bajang tersebut, sakit perutnya pun hilang reda semula. Ini yang membuat dendamnya terus membara.
"Hoi, bodoh ..." tiba-tiba satu suara garau menegurnya dari belakang.
Cepat-cepat Delit berpaling. Dia melihat bayang hitam lembaga manusia tercegat di betakangnya berpusar-pusar seperti asap di lubang sampah.
"Kau musnahkan barang permainan aku buat apa!" kata nya macam memberi amaran. "Dia mengacau kau ke?" gerutunya bercampur marah.
"Kenapa dia datang ke sini?" soal Delit garang 
"Dia bukan kacau kau……  " sahut lembaga manusia berbayang hitam seperti asap itu. "Barang permainan aku bukan nak kacau sesiapa pun, tapi kalau kau musnahkan, bererti kau sengaja mencari hutang!" bentaknya kuat.
"Kalau kau nak cuba, cubalah ...." Delit mencabar sambil berundur sedikit ke belakang.
"Kau fikir kau anak Mat Natar boleh lepaskan diri" lembaga berbayang hitam itu semakin marah bila dicabar. Pusaran asap itu semakin ligat sehingga kan bayang lembaga manusia itu tengelam dalam pusaran asap tersebut. Dia mara ke arah Delit.
Cepat-cepat Delit mengibaskan manggar nyiur itu memukul asap berpusar. Tetapi manggar nyiur di tangannya terpelanting jauh. Belum sempat Delit mencapai manggar nyiur yang jatuh dia merasa pusaran asap itu melingkari tubuhnya. Dia cuba melompat untuk melepaskan diri, tetapi terasa tengkuknya diterkam oleh belon lembik yang dipukulnya dengan manggar nyiur tadi.
Lama sangat suaminya ke jamban di parit belakang rumah tidak juga naik semula ke rumah, bimbang juga Bedah. Sudah lebih enam kali Delit berkejar ke jamban, tetapi cepat naik semula. Kalau ada apa-apa berlaku kenapa Delit tidak melaungnya saja. Bukanlah jauh sangat dari tingkap bilik ke telaga. Limpar dengan batu pun boleh sampai berdentam ke dinding.
Kenapalah lama sangat suaminya ke jamban. Ketika turun dari rumah tadi pun memang suaminya sudah terketar-ketar tidak sedap badan. Boleh jadi tidak sedap badan suaminya melarat pula. Kalau melarat mungkin juga suami nya akan melaung dia.
Puas menunggu, Bedah pun membuka tingkap bilik. Dia memerhati kan dari situ, tetapi terlindung sedikit di batik pohon mengkudu. Dia cuba melaung, tetapi Delit tidak menyahut.
"Ke mana pula perginya ..?" keluh Bedah. Hatinya mula berdebar-debar bila kenang suaminya tidak sedap badan semasa turun kali terakhir. Sakit perut memulas-mulas itulah yang menyebabkan Delit tidak sedap badan. Mahu dijemput saja ayahnya dari rumah Saridah, suaminya pun melarang.
Terkuap-kuap Bedah di tepi tingkap. Puas dia terhangak-hangak memanjangkan leher, perlahan-lahan dirapatkannya semula tingkap tersebut. Hatinya semakin gelisah bila tidak didengarnya batuk-batuk Delit. Biasanya Delit akan batuk-batuk juga.
Kalau tidak terbatuk-batuk pun Delit akan bersiul-siul panjang. Mungkin disebabkan malam hari Delit tidak bersiul, tentu dia berzanji sementara berjalan naik ke rumah. Kadangkala dia sendiri pun suka mendengar Delit berzanji.
"Alim……..”   Bedah memanggil anaknya. Budak baru berumur 12 tahun itu terkapar nyenyak tidak peduli apa pun. Bila sudah rebahkan badan sampai ke pagiIah baru dia tersintak bangun.
Cepat-cepat Bedah menerpa ke arah Alim. Dia mengejutkan Alim. Bingkas saja Alim bangun akibat terkejut digoncang-goncang bahu oleh emaknya. Terpisat-pisat dia menggosok mata seperti kucing tercekik tulang.
"Alim, bangun. Mari temankan mak ke jamban" kata Bedah masih memegang bahu anaknya. Alim tidak membantah. Heran juga dia mengapa emaknya meminta dia temankan, pada hal ayahnya ada. Dia terus mengekori emaknya menuruni anak tangga. Sampai saja hampir dengan telaga, mereka bedua terkejut melihat Delit tertiarap di situ. 
bersambung