Saturday, January 12, 2013

47. TOK AWANG NGAH - LEMBAGA TINGGI MENGHADANG JALAN

    
Hujan turun renyai-renyai sejak senja lagi, tetapi bertambah lebat apabila masuk Isya. Ketika ini Mirah semakin mengerang-ngerang sakit hampir melahirkan anak. Mak Bidan Mun mula cemas kerana beberapa usaha telah dilakukan namun Mirah tetap juga mengerang-ngerang. Bayi yang dikandungnya masih juga tidak dapat dilahirkan.

Kalau mahu dikira bayi berkenaan songsang sudah pun dibetulkan. Tidak ada lagi masaalah songsang atau tidak songsang. Mak Bidan Mun bukanlah baru sehari dua menjadi bidan di kampung tersebut. Sudah bertahun-tahun dia menjadi bidan. Sudah rata segenap pelusuk kampung dipanggil untuk membidankan ibu sarat mengandung.

Kadangkala sampai ke Temerloh, ke Chenor, ke Lancang dia dipanggil orang. Malah pernah juga ke Karak, ke Manchis, ke Simpang Durian dijemput orang untuk mengurut. Mustahil dia tidak dapat melepaskan Mirah kalau mengandung bayi songsang.

Dia terkumat kamit mulut membakar kemenyan. Asap kemenyan berkepul-kepul naik sampai berbau hingga keluar di serambi. Beberapa orang lelaki yang berceratuk di pangkal serambi juga mulai resah. Latip Baran suami Mirah lah yang kelihatan bertambah resah dengan keadaan isterinya.

Sejak petang lepas Asar lagi Mirah sudah mula mengadu sakit perut merengat-rengat. Cepat-cepat Latip Baran mengayuh basikal memanggil Mak Bidan Mun. Termengah-mengah dia tidak keruan apabila sampai di tengah halaman rumah Mak Bidan Mun memberitahu mak bidan itu mengenai keadaan Mirah.

Seperti biasa Mak Bidan Mun tidak pernah menolak. Memang tanggong jawabnya membidankan siapa saja . Bagi bidan itu tanggongjawab membidankan bayi itu sampai ke akhirat kelak. Dia akan ditanya mengenai tanggongjawab tersebut. Inilah dipesankan oleh aruah emaknya semasa menurunkan ilmu bidan kepadanya. Sebab itu Mak Bidan Mun sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat-syarat menjadi seorang bidan.

“Eh, teruk nampaknya budak ni.......” keluh Pak Itam Nong memerhati anaknya mengerang-ngerang kesakitan. Sekali sekala dia mengerling menantunya Latip Baran terkebil-kebil mata menanggung bimbang dengan keadaan Mirah

Hujan mula turun mencurah-curah. Angin juga bertiup kencang sampai lampu pelita terkedau-kedau.

“Macam mana Mak Bidan?” Pak Itam Nong tidak sabar lagi.

Mak Bidan Mun tidak menyahut. Dia terus terkumat kamit mulut dengan mata terpejam mengadap dapur perasap tempat membakar kemenyan.

Mirah mengerang-ngerang juga sambil tangannya berpaut pada paha emaknya, Mak Ibah yang duduk di hulu kepala. Heran juga Mak Ibah melihat Mirah. Kalau anak sulung boleh juga dikatakan susah. Memang siapa pun sukar kalau melahirkan anak sulung. Tetapi Mirah sudah mempunyai tiga orang anak sebelum itu. Anak yang tua sudah berumur enam tahun. Masakan susah sangat dia mahu melahirkan anaknya yang keempat.

Lagipun Mirah sudah berumur 28 tahun, bukannya anak dara baru menjadi emak. Mirah sudah tahu bagaimana mahu meneran supaya bayinya mudah disambut bidan. Tidak ada yang menyulitkan kalau tidak ada sesuatu yang menghalang.

“Macam mana Mak Bidan?”   ulangi Pak Itam Nong.

“His awak pun tak sabar-sabar....” rungut Mak Ibah mengerling suaminya terlangut di muka pintu induk rumah. “Biarlah Mak Bidan tu buat kerjanya dulu,” katanya macam tidak senang sikap suaminya itu.

Mak Bidan Mun terus terkumat kamit.

Hujan di luar sekali sekala terasa

Bertempias pada tabir layar rumah yang cuma diperbuat  dari atap rembia. Ketika itu kampung berkenaan masih belum terbuka dengan pembangunan seperti sekarang ini. Rumah pun terpencil sebuah sebuah.

Keadaan Mirah tetap tidak berubah. Dia merengek-rengek menahan kesakitan. Perutnya yang memboyot seolah-olah keras akibat meronta-ronta meneran, namun bayi yang dikandung tetap tidak lahir.

Setelah puas Mak Bidan mencuba dengan kemahiran yang ada pada dirinya, dia mengeleng-ngeleng kepala lemah. Belum pernah dia menghadapi keadaan seperti ini. Sepanjang pengalamannya menjadi bidan dia dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Kalau bayi songsang pun dia dapat membetulkan semula dengan mudah.

“Latip.......” katanya perlahan. Peluh kelihatan merecik di dahinya. “Tolong panggil Tok Uda Badin. Cepat !” dia berpaling pada Latip Baran.

Dengan tidak bertangguh Latip Baran terus melompat ke tangga serambi. Dia tak perlu bertanya apa-apa mengapa Mak Bidan Mun menyuruh panggil Tok Uda Badin. Dia hanya menurut perintah saja. Dalam keadaan demikian Latip Baran tidak perlu memikirkan apa-apa selain dari mahu menyelamatkan isterinya.

Dia tahu Mak Bidan Mun sudah gelabah melihatkan keadaan Mirah. Sebab itu dia tidak tergesa-gesa menyuruh memanggil Tok Uda Badin. Mungkin Tok Uda Badin dapat membantunya.

Kalau mahu dikira pawang besar memang Tok Uda Badin bukannya pawang. Tidak pernah orang-orang kampung menjemputnya kalau ada sakit pening di kalangan keluarga mereka. Cuma Dukun Amid satu-satunya pawang besar di dalam kampung tersebut. Tetapi mengapa Nak Bidan Mun tidak menyuruh dia memanggil Dukun Amid saja kalau Mirah tersampuk apa-apa?

Latip Baran terus meredah hujan lebat menunggang basikal buruk tidak berlampu. Hanya lampu picit malap saja menyuluh lorong kecil di tengah kampung. Sekali sekala basikal Latip Baran terlambung-lambung bila terjelantus akar pokok menungkal. Namun dia tetap tabahkan hati mahu segera mendapatkan Tok Uda Badin.

Sampai di selekoh tubir tiba-tiba lampu picitnya padam. Puas dia menghentak-hentak buntut lampu picit ke handle basikal, tetapi lampu picitnya tetap tidak bernyala. Selalunya kalau tersilap dimana-mana hentakkan saja buntutnya tentu dia akan menyala semula.

Kepalang marahnya latip Baran. Mahu saja dilemparkan lampu picit itu kedalam gaung di bawah tubir. Dalam keadaan demikian hatinya mudah saja panas baran. Dia tidak sabar menghadapi suasana yang benar-benar mencabar. Mengapa malam isterinya hampir akan melahirkan anak tiba-tiba hujan turun mencurah-curah ? Mengapa Mirah tiba-tiba saja sukar bersalin ? Mengapa lampu picit padam sebelum sempat sampai ke rumah Tok Uda Badin ?

Huh ! Latip Baran mengertap bibir. Dia terus merempuh kegelapan malam tidak peduli apa lagi. Jalan di hadapan tidak kelihatan apa-apa. Latip Baran cuma berpedomankan kesamaran malam apabila sekali sekala kilat memancar. Dia berharap biarlah anak isterinya dalamkeadaan selamat.

Ketika turun dari rumah pun Mak Bidan Mun sudah berpesan supaya dia bersabar. Keselamatan Mirah tidak perlu dibimbangkan selagu Mak Bidan Mun ada menunggu. Bila kenangkan Mak Bidan Mun ada menyambut bayinya sekiranya Mirah bersalin ketika dia menjemput Tok Uda Badin, perasaan Latip Baran tenang semula.

Hujan turun mencurah-curah. Latip Baran mengayuh basikalnya merempuh kegelapan malam kerana lampu picit masih tidak menyala. Puas dia menghentak-hentakan buntut lampu, tetapi tetap tidak menyala juga.

“Hussss, bangsat....” jerit Latip Baran bila basikalnya tiba-tiba meluru ke tebing. Dia tidak dapat mengawal basikalnya ketika tayar depannya terlanggar akar besar menungkal.

Terkial-kial Latip Baran mencapai basikalnya semula. Ketika dia mahu melompat untuk menunggang, di depannya tertegak satu lembaga hitam. Rupa-rupanya basikalnya terlanggar kaki lembaga berkenaan. Dia mendongak ke atas memerhatikan lembaga hitam berdiri tegak dengan kepala mencecah hingga ke awan.

Berdebar juga Latip Baran bila berhadapan dengan lembaga berkenaan. Dia sudah menduga bahawa lembaga tersebut sudah tentu hantu tinggi. Memang dia selalu mendengar dari Dukun Amid mengenai hantu tinggi tetapi inilah pertama kali dia bertemu dengan makhluk itu.

Teringat juga dia dengan pesanan emaknya mengenai siapa yang gemar mengacah-acahkan antan untuk memukul orang, satu waktu tentu akan ditunggu oleh hantu tinggi. Menjadi kepantangan hantu tinggi kalau mempermain-mainkan antan. Tetapi sepanjang ingatan Latip Baran belum pernah dia mengacah-acahkan antan untuk memukul sesiapa pun. Pantang larang itu sudah diingatnya betul-betul sejak kecil-kecil lagi.

Cuma dia dipanggil Latip Baran fasal mudah sangat menyinsing lengan baju kalau dicabar. Dia tidak peduli siapa, kalau mencabar dia tetap menyambut cabaran. Satu kampung memang tahu perangai Latip Baran mudah menyerbu kalau hatinya disakiti

Lembaga hitam itu masih tertegak di situ. Hujan turun juga mencurah-curah. Dia dapat melihat dengan jelas lembaga itu setiap kali kilat memancar.

“Hui, aku bukan nak cari kau....” laung Latip Baran memberanikan hatinya mendongak lembaga berkenaan. “Beri aku jalan, aku nak cepat ke rumah Tok Uda Badin,” jelasnya macam merayu.

Dia mendengar bunyi orang berdehem batuk sayup-sayup di udara.

“Beri aku jalan ......! ” laung Latip Baran lagi.

Tetapi hantu tinggi di hadapannya tidak juga memberikan dia jalan. Latip Baran menjadi serba salah. Kalau mahu ditempuh juga dia bimbang kalau dikepitnya sewaktu melintasi di bawah kangkangnya. Kalau dibiarkan bagaimana pula dengan nasib isterinya Mirah ?

“Hoi, beri aku jalan...” dia mendongak lembaga itu. Hatinya mula meradang apabila menghadapi keadaan demikian. Kalau tidak kenangkan yang di hadapannya itu hantu tinggi mahu saja diserbunya macam dia menampar muka Dalip Gagap fasal robohkan permatang sawahnya.

Terkebil-kebil mata Dalip Gagap disinggahi penamparnya. Tidak berani Dalip Gagap menerpa dia untuk bertindak balas. Kalau Dalip Gagap gagahi mahu menerpa, dia akan mencabut parang di pinggang. Cubalah ! Dia akan kibaskan mata parang sampai berdecap-decap ke dada.

Tetapi Dalip Gagap tidak sama dengan hantu tinggi. Dia tidak boleh bertindak mengikut perasaan. Hantu tinggi di depannya bukan manusia biasa seperti Dalip Gagap. Kalau tidak ada ilmu di dada jangan cuba mahu tunjukkan berani berdepan dengan hantu tinggi. Malah Dukun Amid sendiri pun cepat meremang bulu tengkok bila disebut hantu tinggi di depannya.

“Hoi, tok...... berilah cucu jalan ” pekik Latip Baran merayu. “Cucu nak cepat ni, berilah cucu jalan” katanya dengan penuh harapan. Dia semakin serba salah bila mengenangkan keadaan Mirah mengerang-ngerang kesakitan tidak dapat bersalin.

Kemudian dia mendengar lagi dehem batuk sayup-sayup di udara. Lembaga hitam itu tidak juga berundur memberi dia jalan. Keadaan ini menyebabkan Latip Baran tidak dapat menahan sabar lagi. Dia mengertap bibir sambil mendongak ke udara.

“Hoi, bangsat !” laungnya tidak peduli apa lagi. “Kau nak bagi aku jalan atau tidak?” dia mula nekad untuk menyerbu. Panas barannya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Lembaga itu seolah-olah sengaja mencari geruh dia sejak lepas Asar lagi.

Dengan tidak menghiraukan keselamatannya Latip Baran terus menerpa betis hantu tinggi itu. Terasa padanya kaki itu terlalu keras bagaikan ruyung nibung. Sebaik saja dia berpaut pada kaki lembaga itu. Latip Baran merasa dirinya melayang di udara. Sayup dia memerhati ke bawah dengan pokok-pokok dan bukit bakau berbalam. Tetapi dia tetap berpaut kuat-kuat.

Lembaga itu seolah-olah menghayunkan kakinya untuk melibas Latip Baran yang berpaut di situ, setiap kali dia menghayunnya. Latip Baran dapat melihat keadaan di bawahnya hingga ternampak laut yang terbentang luas. Namun hantu tinggi itu tidak dapat mengugurkaan Latip Baran yang berpaut kuat di kakinya.

Setelah beberapa kali dihayun Latip Baran tidak juga jatuh, hantu tinggi meletakkan semula kakinya di tempat basikal Latip Baran jatuh.

“Hoi, memang awak berani Latip....” Latip Baran terdengar suara parau sayupp-syup di udara.

“Awak yang tunjuk keras kepala dengan aku !”  balas Latip Baran mengertap bibir.

“Kawan memang suka orang berani macam awak.......” sahut lembaga itu mendehem-mendehem.

“Awak nak beri aku jalan ke tidak ?” soal Latip Baran keras.

“Memang kawan nak beri.............”

“Habis, kenapa awak hadang jalan aku?”

“Ah, kawan nak tengok hati awak aje..............”

“Awak nak cari geruh aku ? “

“Orang berani macam awak, macam mana kawan nak cari geruh...” ujar lembaga itu. Suara itu dapat didengar dengan jelas oleh Latip Baran walaupun sayup-sayup di udara.

“Habis awak tunggu apa lagi ?” Latip Baran tidak dapat menahan sabar. “Tepilah, aku nak lalu !” bentaknya semakin berani.

“Awak ambillah dulu bulu betis kawan tu, tanda kita bersahabat’ kata lembaga berkenaan.

Tidak bertangguh apa-apa lagi Latip Baran pun mencabut bulu betis lembaga itu. Bulu betis lembaga itu keras dan panjang seperti ijuk enau. Sebaik saja dia mencabut bulu betis hantu tinggi itu, dia pun melompat turun dari berpaut di kaki hantu tinggi tersebut. Kemudian lembaga itu pun hilang dari pandangan.

Ketika itu hujan juga sudah berhenti . Bagaimanapun cuaca masih gelap tidak kelihatan apa-apa. Latip Baran menghentak-hentak buntut lampu picit kepada handle basikal, barulah lampu itu bernyala. Dengan bersuluhkan lampu picitmalap itulah Latip Baran terus menuju ke rumah Tok Uda Badin.

Sampai di halaman rumah Tok Uda Badin suasana sudah sepi. Tidak ada tanda-tanda orang tua itu masih belum tidur. Latip Baran pun tidak tahu pukul berapa dia sampai di umah orang tua berkenaan. Dia percaya Tok Uda Badin belum tidur lagi, kerana rumah orang tua itu tidaklah jauh sangat letaknya dari rumah dia. Sekurang-kurangnya baru masuk Isyak ketika dia sampai di situ.

Latip Baran merasa seram sejuk ketika sampai di tengah halaman rumah Tok Uda Badin. Dia merasa seluruh badannya sakit-sakit tidak menentu. Macam mana pun dia mesti memanggil orang tua itu fasal demikianlah pesan Mak Bidan Mun. Entah mengapa Mak Bidan Mun menyuruh dia memanggil Tok Uda Badin. Pada hal orang tua itu cuma guru membaca Quran saja, bukannya pawang di dalam kampung.

Lama juga dia tercegat di situ. Serba salah sangat dia mahu memanggil orang tua berkenaan.

“Assalamualaikum.....” dia melaung dari tengah halaman.

Tidak ada siapa menyahut. Rumah itu sunyi saja. Kesan titis hujan masih ada dicucur atap. Malam itu hujan benar-benar turun mencurah-curah. Latip Baran percaya dia tidak bermimpi menemui lembaga hitam yang tinggi sampai kepalanya mencecah awan.

“Tok Uda.........” Latip Baran memanggil kuat.

Tidak lama kemudian pintu hadapan dibuka. Mak Wan Yut isteri Tok Uda Badin  tercegat di situ memegang pelita ayam, Puas dia terhangak-hangak ke tengah halaman tetapi tidak dpat dicamnya Latip Baran yang tercegat di situ.

“Siapa.........................?” tanya Mak Wan Yut.

“Aku..... aku Latip..... lakinya si Mirah” beritahunya sambil rapat ke tangga.

“Apa halnya lagi Tip ?” perempuan itu bagaikan terkejut melihat Latip Baran mendapatkannya.

“Mak Bidan Mun suruh aku panggilkan Tok Uda,” dia menjelaskan perlahan.

“Eh, tadi bukan ke kau yang datang...” kata Mak Wan Yut keheranan. “Tok Uda kau turun dengan kau tadi. Lepas Isyak tadi kau datang jemput. Tak ada Tok Uda kau balik....” ujarnya macam tidak percaya dengan keterangan Latip Baran.

Terdiam Latip Baran mendengar penjelasan Mak Wan Yut. Siapa pula yang datang menjemput Tok Uda Badin? Kalau dia mahu menceritakan kepada Mak Wan Yut mengenai kejadian yang menimpanya tentu perempuan itu tidak akan percaya. Tetapi bulu betis yang diberi oleh lembaga masih ada lagi digenggamnya.

Semakin lama dia berdiri di kai tangga rumah dia merasa perutnya memulas-mulas. Sekali sekala terasa mahu muntah pula. Latip Baran terpaksa menahan keadaan tersebut.

“Tok Uda dah pergi ke rumah aku?” Latip Baran keheranan.

“Iya........” jelas Mak Wan Yut. “Bukan ke kau yang jemput tadi!” kata perempuan itu lagi.

Serba salah juga Latip Baran mahu memberitahu perkara sebenarnya. Dia belum sampai lagi ke rumah tersebut, belum bertemu lagi dengan Tok Uda Badin. Kalaulah tidak dihalang oleh hantu tinggi di tengah perjalanan tentu sudah lama dia sampai ke situ. Hatinya mula gelisah bila mengenangkan keadaan isterinya Mirah.

“Tak apalah.....” beritahu Latip Baran tergesa-gesa mencapai basikalnya yang di sandarkan ke pintu pagar.

Cepat-cepat dia mengayuh basikal balik ke rumah. Tentu ada sesuatu yang buruk menimpa isterinya Mirah. Mustahil dia sudah memanggil Tok Uda Badin seperti diberitahu oleh Mak Wan Yut, pada hal dia tidak dapat melepasi diri dari alangan hantu tinggi.

Kalau benar Tok Uda Badin sudah pergi ke rumahnya bagaimana tidak bertemu dengannya di pertengahan jalan? Pada hal itu sajalah lorong ke rumah Tol Uda Badin.

Latip Baran mula rasa gementar. Mungkinkah rumah yang di tujunya tadi benar-benar rumah Tok Uda Badin? Bagaimana kalau rumah itu sebahagian dari muslihat hantu tinggi juga untuk melambat-lambatkan dia? Sudah tentu isterinya sendiri akan menghadapi bahaya!

Sejak itu Laip Baran sudah mula memikirkan bahawa bulu betis hantu tinggi yang diperolehinya itu akan membawa petaka. Kalau dia terus menyimpannya bererti dia akan terus diganggu seperti sekarang. Masakan Mak Wan Yut mahu berbohong dengannya mengenai Tok Uda Badin sudah pergi kerana dipanggil oleh dia sendiri. Sedangkan dia belum lagi bertemu dengan orang tua berkenaan.

“Aku bunuh kau !” Latip Baran mengertap bibir. Marah benar dia pada hantu tinggi yang menganggu keluarganya. Sudah tentu perbuatan hantu tinggi itu mengelirukan Tok Uda Badin, sehingga dia menyangka dijemput. Dia percaya Tok Uda Badin juga sudah diperdayakan oleh hantu tinggi.

Dia terus mengayuh basikal cepat-cepat. Sekali sekala kokok ayam memanjang memecahkan keheningan malam. Kokok ayam itu menandakan dinihari sudah semakin larut. Subuh sudah hampir akan menjelang. Ah, telalu lama dia diperdayakan oleh hantu tinggi.

“Bangsat kau orang tinggi......” dia tidak dapat menahan sabarnya. Kalau dia terserempak lagi hantu tinggi itu dia akan hentakkan dengan lampu picit. Dia akan serbu tidak peduli apa.

Latip Baran sedar dia sudah terperdaya oleh hantu tinggi. Sudahlah perjalanannya dihadang, Tok Uda Badin juga diperdaya. Dia tidak percaya Tok Uda Badin datang ke rumahnya, melainkan sudah dipesongkan jauh oleh hantu tinggi supaya Mak Bidan Mun gagal menyelamatkan Mirah.

Boleh jadi Tok Uda Badin sudah dilarikan oleh hantu tinggi ke hutan. Mungkin yang datang menjemput Tok Uda Badin itu ialah hantu tinggi yang menjelma menyerupai seperti dia.

Bagaimana pula nasib isterinya Mirah kalau Tok Uda Badin tidak sampai? Tentu Mak Bidan Mun memerlukan sangat bantuan Tok Uda Badin, kalau tidak masakan dia menyuruh panggilkan Tok Uda Badin segera.

Huh, kepalang marahnya Latip Baran bila kenangkan hantu tinggi yang menganggu tiba-tiba. Sepanjang  ingatannya dia tidak pernah mengacah-acahkan antan penumbuk lesung mahu memukul sesiapa pun. Tidak pernah dia tidur di atas tanah dengan tidak beralas. Dia ingat betul-betul pantang larang supaya tidak diganggu hantu tinggi.

Tetapi, mengapa hantu tinggi datang juga menganggu dia?

“Aku tidak peduli kau orang tinggi!” rungut Latip Baran sambil mengayuh basikal dengan laju.

“Aku tak peduli kau! Aku tau asal kau jadi, orang berburu sesat di hutan asal kau jadi!” dia mula mengingatkan cerita yang diberitahu oleh Dukun Amid mengenai hantu tinggi ini.

Semua dukun mesti tahu asal usul hantu jembalang. Setiap hantu jembalang akan menjadi lemah bila diketahui asal usulnya. Sebab mereka juga berasal dari manusia kata Dukun Amid. Mereka menjadi jembalang kerana terlanggar sumpah. Sebab itu mereka datang semula mahu menganggu manusia untuk memenuhi sumpahan tersebut semata-mata untuk merosakkan manusia.

Tetapi Latip Baran dengar sendiri dari mulut Tok Uda Badin lain pula. Orang tua itu mengatakan semua jenis hantu jembalang adalah termasuk dalam golongan syaitan dan iblis. Golongan syaitan dan iblis ini menjadi musuh manusia yang nyata sejak nabi Adam lahir ke dunia lagi. Asal usul syaitan dan iblis adalah dari api, demikian dijelaskan oleh Tok Uda Badin yang sudah lama menjadi guru Quran di dalam kampung.

Latip Baran tidak peduli cerita siapa yang benar. Apa yang dialaminya sekarang tentu akan ditertawakan orang kalau dia menceritakan semula. Tentu siapa pun tidak akan percaya kisah dia menemui hantu tinggi. Sekali pun ditunjukkan bulu betis seperti ijuk enau itu pun mungkin orang tidak percaya juga. Satu-satunya yang akan mempercayai cerita dia tentulah Dukun Amid.

“Aku bunuh kau” gerutu Latip Baran tak habis-habis menyimpan dendam pada hantu tinggi yang menghadangnya. Hampir sampai ke halaman rumahnya basikal terjelantus pada akar pokok kelapa menyebabkan dia terguling ke tanah.

“Bangsat !” dia mengertap bibir lalu cepat-cepat tanpa disedarinya dia bingkas bangun menyepak perdu pokok kelapa itu melepaskan geram yang mendongkol. Tiba-tiba dia menjadi terkejut apabila pokok kelapa yang disepaknya tadi terbongkar akar hingga tersembam ke bumi. Dia juga tidak merasa sakit di kakinya semasa menyepak pokok kelapa tadi. Hanya pokok kelapa itu saja tumbang melintang di tengah halaman.

Heran juga Latip Baran melihat kekuatannya yang luar biasa secara mendadak, apabila dalam keadaan terlalu marah. Dia cuba mengangkat pokok kelapa melintang tengah halaman itu. Dengan sebelah tangan saja pokok kelapa itu boleh diangkatnya sampai ke paras bahu. Ketika ini Latip Baran faham bahawa dia sudah dilindungi oleh hantu tinggi.

Hari sudah mula masuk subuh, barulah Latip Baran naik ke rumah. Dalam hatinya tetap merahsiakan perubahan yang dirasainya sekarang. Cepat-cepat dia menyimpan bulu betis hantu tinggi itu di atas para dapur, sebelum menjengah isterinya di tengah induk rumah.

“Kau ke mana?” tanya ayah mertuanya Pak Itam Nong sebaik saja Latip Baran menjengah.

Dia tidak menyahut. Dia memerhatikan isterinya sudah selamat melahirkan anak. Tok Uda Badin juga ada terconggok menyandar belakang ke dinding. Semuanya sudah selamat.

“Kemana kau?” ulangi Pak Itam Nong.

“Macam mana Tok Uda Badin datang?” Latip Baran tidak menjawab sebaliknya bertanya pula.

“Eh, bukankah kau pergi jemput dia?” Pak Itam Nong keheranan.

“Tok Uda dah kemari semasa aku sampai ke rumahnya....” beritahu Latip Baran perlahan.

“Bila kau ke rumah Tok Uda?” Mak Bidan Mun mencelah.

“Kejap ni....”

“Kau tak singgah mana-mana?”

“Tak........”

“Mengapa baru balik?”

“Aku tak kemana-mana pun............”

“Sah, dah sah laa......” ujar Mak Bidan Mun tenang. “Nasib baik aku suruh kau panggil Tok Uda “ dia menjelaskan mengapa dia menyuruh Latip Baran memanggil Tok Uda Badin.

“Mengapa pula tu Bidan?” Pak Itam Nong yang masih tidak memahami keadaan sebenarnya.

“Kalau kita panggil Dukun Amid tadi, bukan dianya yang datang. Orang lain yang datang.....” katanya berpaling pada Tok Uda Badin.

Tok Uda Badin hanya tersengih-sengih mendengar kata-kata Mak Bidan Mun. Dia pun tidak suka Mak Bidan Mun memperkecilkan Dukun Amid. Masakan Dukun Amid tidak tahu bagaimana menghadapi tipu muslihat syaitan dan iblis. Bagaimanapun dia percaya Mak Bidan Mun tidak memperkecilkan Dukun Amid itu.

“Dah dua jam anak kau lahir, baru sekarang kau balik......? Mak Ibah macam memarahi menantunya.

”Eh, aku kayuh laju basikal tu, tapi ada orang yang menghadang,” rungut Latip Baran.

“Orang menghadang?” Pak Itam Nong bertambah heran.

 Latip Baran mengangguk “Orang tinggi, orang tinggi....”ujarnya mula merasa meremang bulu tengkuk. Perutnya mula mula memulas-mulas setiap kali mengerling ke arah Tok Uda Badin.

“Itulah, itulah....dah sah! Orang tinggi tu ganggu Mirah tadi.” Jelas Mak Bidan Mun perlahan.

Dia sudah nampak gangguan tersebut yang menyebabkan Mirah terlalu sukar melahirkan anak. Sebab itulah Mak Bidan Mun segera menyuruh panggilkan Tok Uda Badin untuk memperdayakan hantu tinggi tersebut. Apabila hantu tinggi memintas perjalanan orang yang memanggil Tok Uda Badin, tentulah dia terlalai terhadap gangguannya pada Mirah.

Tipu muslihat Mak Bidan Mun berjaya. Hantu tinggi berkenaan terpaksa memintas Latip Baran. Sementara Latip Baran pula mempunyai semangat yang kuat sehingga berani menerkam ke arah hantu tinggi tersebut. Sebab itulah dia tidak dapat memperdayakan Latip Baran.

Dalam masa yang sama Tok Uda Badin seolah-olah teringatkan saja Mirah sedang mengandung dan menghadapi kesulitan. Walaupun Mirah itu cuma pangkat cucu saudara saja kepadanya, tetapi Tok Uda Badin merasakan sesuatu yang mendorongkan dia supaya menjengah perempuan itu. Lantas dia memberitahu isterinya mahu ke rumah Latip Baran, kerana dia dijemput oleh Latip Baran.

Bilakah Latip Baran menjemput, Mak Wan Yut tidak tahu. Dia hanya diberitahu oleh suaminya bahawa Latip Baran memintanya datang ke rumah. Mak Wan Yut pun tidak peduli sangat kalau suaminya mahu menjengah Mirah. Kalau tidak disebabkan dia kurang sihat, mahu juga dia sama menemankan suaminya ke rumah Latip Baran.

Tidak lama selepas Tok Uda Badin sampai, Mirah pun selamat melahirkan anak. Tetapi bayi itu lahir di dalam kelonsong nipis seperti belon. Terpaksa pula Mak Bidan Mun mengoyakkan kelonsong nipis itu. Sebaik saja kelonsong nipis itu dikoyakkan barulah bayi itu dapat dikeluarkan, dan barulah dia menangis seperti lazimnya bayi dilahirkan. Mula-mula terkejut juga Mak Ibah dan Pak Itam Nong melihatkan anaknya melahirkan bayi seperti belon getah.

Tetapi setelah diberitahu oleh Mak Bidan Mun memang pernah berlaku ada bayi yang dilahirkan di dalam kelonsong, barulah mereka berasa lega. Mak Bidan Mun juga memberitahu bayi itu biasanya keras hati, dan kalau diberi makan kelonsongnya apabila dia sudah dewasa nanti, nescaya akan menjadi kebat dan tidak lut oleh senjata besi.

Bagaimanapun setelah dinasihatkan oleh Tok Uda Badin, mereka semua setuju supaya kelonsong itu ditanamka bersama dengan uri tembuni.

Ketika bayi ini lahirlah Latip Baran bergelut hebat dengan hantu tinggi itu. Setelah merasa gagal menghalang usaha Mak Bidan Mun dan Tok Uda Badin barulah hantu tinggi itu menyerah kalah dengan memberikan bulu betisnya kepada Latip Baran. Dengan cara itulah saja dia dapat memperdayakan Latip Baran supaya mengikut kemahuannya.

Setelah mendengar cerita Mak Bidan Mun barulah Pak Itam Nong menyedari bahawa keluarganya sudah diperdayakan oleh hantu tinggi. Sekiranya Mak Bidan Mun menyuruh Latip Baran memanggil Dukun Amid, sudah tentu perjalanan Latip Baran terbantut. Dukun Amid juga tidak akan dapat ditemui oleh Latip Baran. Ketika ini sudah tentulah hantu tinggi itu menjelma seperti Dukun Amid dan datang ke rumah mereka.

“Alhamdulillah, kita sudah diselamatkan oleh Allah......” beritahu Tok Uda Badin ketika turun ke bilik air untuk mengambil wuduk. “Eloklah aku bersubuh di rumah kau. Siang sikit nanti baru lah oleh balik ke rumah” katanya mencapai lampu picit.

Cepat-cepat pula Pak Itam Nong menunjukkan jalan ke perigi kepada Tok Uda Badin. Latip Baran pula selepas melihat bayinya yang baru lahir, terus berbaring di sebelah isterinya Terasa badannya terlalu letih setelah menghadapi suasana yang belum pernah dialaminya selama ini.

Memang terkejut juga Pak Itam Nong melihat tiba-tiba saja pokok kelapanya tumbang melintang di tengah halaman. Dia terdengar juga bunyi kayu tumbang semasa Latip Baran balik, tetapi tidak disangkanya pokok kelapa di hujung halaman tumbang. Apa lagi bunyi kayu tumbang itu sayup kedengaran.

“Agaknya hujan semalam pokok kelapa ni tumbang.....”kata Tok Uda Badin tenang.

“Hujan semalam ributnya tak kuat Pak Uda” jelas Pak Itam Nong.

Pak Itam tidak percaya pokok kelapa itu tumbang kalau sekadar hujan dan ribut kencang. Kalau ribut mengapa pokok kelapa yang sebatang itu saja tumbang?

Tetapi dia tidak mahu menyoal Tok Uda Badin lagi. Orang tua itu pun bukan suka sangat membebel tidak tentu hujung pangkal. Sejak dia balik dari belajar pondok di Sumatera memang Tok Uda Badin tidak suka bercakap banyak. Dia hanya dikenali sebagai guru membaca Quran di kampung itu. Selain dari itu dia tidak akan mahu berbuak-bual kosong di kedai-kedai kopi.

Masanya banyak dihabiskan di suraunya. Pagi-pagi Tok Uda Badin akan ke sawah bersama Mak Wan Yut. Itulah saja mata pencariannya. Dia tidak membeli barang-barang dari kedai kecuali garam. Lainnya semua dibuat sendiri. Gula dibuatnya dari air tebu, kopi ditumbuknya sendiri, ikan kering dibuat sendiri, sayur-sayuran ditanam di kebunnya. Padi, sawahnya sendiri ada. Pendek kata kehidupan Tok Uda Badin berlainan dari orang-orang kampung lain.

Setelah selesai menunaikan fardu Subuh, Tok Uda Badin minta diri untuk balik ke rumah.

“Nantilah minum dulu Pak Uda” Mak Ibah cuba menahan.

Sampai di muka pintu serambi Tok Uda Badin berhenti sebentar. Kemudian katanya “ Kalau ada apa-apa barang yang didapati oleh Latip malam tadi, suruh dia buang aje” Dia tidak menjelaskan apa maksudnya, tetapi itu sajalah yang dipesankannya.

“Minumlah dulu..” ulangi Mak Ibah.

“Tak apalah Ibah, nanti gaduh* pula Mak Ibah kau” katanya (*gaduh bererti risau atau susah hati)

Ketika dia balik itu Latip Baran masih lagi tidur nyenyak.Oleh itu dia pun berpesan kepada Pak Itam Nong.

Demikianlah diceritakan oleh aruah nenek saya mengenai Mak Bidan Mun iaitu nenek kepada emaknya. Aruah nenek saya berpindah dari kampung halamannya di Pahang mengikut aruah aki saya, dan menetap di kampung kami sekarang. Walaupun masih ramai saudara mara saya di Pahang, tetapi jarang saya kesana. Tetapi orang-orang di kampung asal saya di Pahang memang tahu mengenai Mak Bidan Mun.

 

Bersambung KEPALA MELAYANG DIPOKOK ASAM