Saturday, September 10, 2016

193. SUAMINYA MENJELMA LELAKI TUA



 SEMINGGU selepas berkahwin, perasaan benci terhadap suaminya meluap-luap.  Memang Seriyah tidak boleh menatap muka suaminya Lajis, sekalipun mereka berkahwin setelah sama-sama bersetuju.  Hairan juga keluarga mereka dengan sikap Seriyah yang berubah tiba-tiba selepas mereka menghabiskan banyak perbelanjaan kerana melangsungkan majlis perkahwinan.

Kalau Lajis tidur di bilik, Seryah akan lari keluar.  Dia rela tidur terselit di penjuru dapur daripada bertilam dengan selimut tebal di sisi Lajis.  Tetapi Lajis juga tidak memaksa Seriyah.  Kalau isterinya sudah memutuskan mahu tidur di luar bilik, dia tidak akan berkeras memujuknya.  Rumah tersergam itu milik keluarga Seriyah.

Memang menjadi kebiasaan di Serting suami akan menetap di rumah isteri sebelum mereka berpindah ke rumah sendiri,  Dalam masa seminggu itu memang Lajis menetap di rumah mertuanya.  Bilik pengantin sudah dihias cantik sebelum mereka bersanding lagi.

“Kenapa kau tak layan Lajis tu, Seriyah?”  emak saudaranya Ngah Tisah merungut sewaktu menghadapi sarapan pagi.  Marah juga dia dengan sikap anak saudaranya sengaja mahu memalukan keluarga.  Malu mereka bukan setakat anak beranak Seriyah sahaja, tetapi semua sanak saudara yang berkedim.  Aturan hidup  itulah yang mereka pegang di Serting sejak turun temurun.

“Tak baik buat macam tu, Seriyah,”  Ucu Mijah emaknya sendiri pula menegur.  Memang mereka wajib menegur sebelum saudara mara yang lelaki masuk campur.  Kalau Pak Ngah Soned atau ayah Seriyah sendiri sudah bercekak pinggang, tentu mereka akan menampir pipi sampai berbekas lima jari.

Sebelum itu mereka perlu berlembut dahulu memujuk Seriyah.  Manalah tahu ada silap kedua belah pihak yang sengaja mahu disembunyikan.  Kalau boleh diubati silap salah itu, apa salahnya mereka sama-sama berusaha.  Lajis tidak perlu malu kalaulah dia memang mempunyai kelemahan.

“Cakaplah pada Mak Ngah, apa salahnya Lajis tu?”  desak Ngah Tisah apabila Seriyah menunduk tidak mahu menuturkan sepatah kata pun.

Tetapi Ngah Tisah tidak berani menuduh.  Masakan Lajis mempunyai kelemahan kalau sejak selepas malam bersanding Seriyah enggan mendekati suaminya.  Malah dia tidak mahu lagi menegur Lajis sekalipun berselisih bahu di pintu.

“Kau ada lelaki pilihan selain dari Lajis?”  Ucu Mijah juga mendesak.

Seriyah menggeleng.  Memang dia tidak mempunyai lelaki pilihan.  Sejak ditunangkan dengan Lajis, dia sendiri rela menerimanya.  Beberapa kali Lajis mengajaknyha ke pekan Bahau membeli belah, tidak pernah pula Seriyah membantah.  Dia juga mematuhi pelawaan Lajis berkunjung ke rumah bakal mertuanya.

Tidak ada sebab dia boleh berubah hati setelah majlis persandingan dilangsungkan.  Tentulah keluarganya malu sekiranya keluarga Lajis menyedari sikap Seriyah.  Sudah seminggu pun mereka berdua tidak lagi berkunjung ke rumah saudara mara seperti aturan hidup yang pengang turun temurun.

Memang di Serting diwajibkan pengantin berkunjung ke rumah saudara mara kedua belah pihak selepas dua tiga hari majlis bersanding.  Mereka akan membawa sepinggan dodol dan sepinggan wajik ke rumah saudara mara kerana memperkenalkan pasangannya.  Balik dari berkunjung itu saudara mara akan meletakkan wang seringgit dua di dalam pinggan tersebut.

Tetapi setelah seminggu mereka bersanding, Lajis tidak membawa Seriyah berkunjung ke rumah saudara maranya.  Seriyah juga tidak membawa Lajis.  Sebab itulah Ucu Mijah bimbang sekiranya keluarga Lajis datang bertanyakan fasal pasangan pengantin tidak datang berkunjung.

“Kalau tak ada lelaki lain, kenapa kau tak mahu layan Lajis?”  tidak dapat lagi Ucu Mijah menahan sabar lantas menolak kuat bahu anaknya.

Seriyah tetap tidak mahu menyahut.  Dia menunduk dengan bahu berhenjut-henjut menahan sebak di dada.

“Kita tak boleh diamkan perkara ni, Mijah,”  ujar Ngah Tisah memujuk adiknya  supaya tidak berkeras dengan Seriyah.  Setidak-tidaknya mereka juga perlukan Lajis memberi penjelasan.

Sudah seminggu Seriyah tidak menghiraukan dia kenapa Lajis juga mendiamkan diri?  Sepatutnya Lajis cuba memujuk dengan lemah lembut.  Masakan Seriyah terus merajuk kalau Lajis bersedia memujuknya.  Hati perempuan samalah macam kerak nasi yang akan kembang lembut sekiranya di simbahkan air berulang kali.

Memang marah juga bapa saudara Lajis apabila diberitahu mengenai perbuatan Seriyah terhadap suaminya.  Tidak bertangguh dia menyuruh Lajis balik sahaja ke rumah ibu bapa sendiri kalau tidak dilayan oleh isteri.

“Apa gunanya nikah, kalau isteri tak mahu layan!”  bentak Ulung Simek menyuruh adik iparnya Alang Kamat memaksa Lajis tinggalkan rumah keluarga isterinya.  “Kita anak jantan emas sepuluh…”  katanya melepaskan geram yang mendongkol.

Terhina sangat Ulung Simek apabila anak saudaranya dilakukan demikian oleh keluarga Seriyah.  Di kampungnya memang bapa saudaraya yang menanggung malu kalau anak saudara tidak dilayani orang.  Aturan hidup ini memang menjadi pegangan penduduk-penduduk di Serting.

“Kita siasat dulu, bang,”  Alang Kamat tidak mahu terburu-buru bertindak.  Biarlah mereka berunding sesama keluarga sebelum mengambil keputusan yang boleh menyinggung perasaan keluarga besannya.

Kalau Ulung Simek tidak mahu berunding dengan Pak Ngah Soned, dia sendiri sanggup menemui Fakeh Akir ayah Seriyah.  Apa lagi salahnya mereka berbincang selesaikan masaalah anak-anak.  Sekalipun anak-anak mereka sudah berkahwin, tetapi pengalaman hidup masih belum mencukupi.

Manalah tahu hati tersinggung sebelum naik pelamin masih berterusan.  Masing-msing berkeras tidak mahu mengalah.  Sebab itu mereka perlu damaikan, sekiranya tidak mahu bersengkita terus. Tentulah kedua pihak menanggung malu kalau perkahwinan anak-anak berkeceai dalam masa seminggu sahaja.

Mengeluh panjang Fakeh Akir apabila Alang Kamat berkunjung ke rumah tanyakan masaalah anak-anak.  Malu juga dia disebabkan Alang Kamat datang berjumpa.  Tentu perkara Seriyah sudah diketahui oleh sanak saudara Lajis.

“Boleh jadi anak kita sakit,”  jelas Alang Kamat perlahan setelah bisannya Fakeh Akir serba salah.

“Lajis ke yang sakit?”  Fakeh Akir tersenyum kerana menjangkakan Lajis menghadapi masaalah lemah tenaga batin.

Tetapi dia tidak percaya pula Lajis mengalami masalah demikian.  Seriyah tidak melayani Lajis sejak selepas malam bersanding lagi.  Tentu Seriyah tidak tahu langsung fasal Lajis lemah tenaga batin.

“Boleh jadi dua-dua sakit,”  Alang Kamat menerangkan.

“Sakit macam mana?”  soal Fakeh Akir kehairanan.

“Kita cari bomoh, manalah tahu ada gangguan,”  Alang Kamat mengesyaki anaknya di dengki orang dengan ilmu hitam untuk merosakkan hubungannya suami isteri.  Kalau tidak bersebab masakan Seriyah tidak mahu melayani Lajis.  Bila-bila pun Seriyah boleh halau Lajis sekiranya dia tidak mahu lagi bersuamikan lelaki itu.

Tetapi Seriyah tidak pernah memberitahu dia tidak rela bersuamikan Lajis.  Sewaktu malam bersanding pun Seriyah merelakan jarinya dipengang  oleh Lajis untuk di sarungkan cincin.  Semua sanak saudara melihat mereka saling tersenyum sebaik sahaja cincin disarungkan oleh Lajis ke jari Seriyah.

Masakan mereka bergaduh di bilik pengantin sampai bermasam muka santak ke pagi.  Tiba-tiba sahaja Seriyah lari keluar bilik terus merebahkan badan di penjuru induk rumah bersama asak belakang dengan Ngah Tisah.  Malam berikutnya Seriyah tetap tidak mahu  masuk ke bilik pengantin tidur di sisi Lajis.

Sewaktu didesak oleh Fateh Akir pun Lajis sekadar mengeleng kepala sambil terbatuk-batuk.  Tubuhnya terketar-ketar sekalipun dia mengaku tidak di ganggu demam sejuk.  Hairan juga Fateh Akir tiba-tiba sahaja Lajis menjadi moyok tidak bersebab.  Dia tidak lagi riang gembira selepas majlis bersanding.  Kalau berjalan mandi ke telaga pun tunduk dengan langkahnya goyah tidak menentu.

Ketika bapa saudara Fateh Akir datang ke rumahnya, dia cuba sembunyikan juga daripada pengetahun Pak Hid mengenai masaalah yang menyelubungi anaknya.  Sengaja Pak Hid datang dari Bukit Kelulut, setelah hampir seminggu menunggu pengantin tidak jejak kaki ke rumahnya.

“Kenapa rumah kau ni busuk macam bau bangkai?”  Pak Hid memandang keliling rumah macam mencari sesuatu.

“Tak  ada bau apa pun,”  sahut Fateh Akir hairan dengan tuduhan bapa saudaranya.  Memang dia tidak berbau apa-apa.  Bukan dia sahaja, malah isterinya Ucu Mijah pun tidak heboh berbau busuk.  Masakan siapa pun di rumah itu tidak tercium bau busuk yang menusuk-nusuk.

“His, aku tercium bau busuk,”  tegas Pak Hid menjuruskan tangan di sekeliling rumah.  Kemudian dia tersintak apabila menghadap hala ke penjuru pagar.

Sampai sahaja di situ Pak Hid menguis-nguis tanah dengan hujung tongkat semambu di tangan.  Setelah di tujah beberapa kali dia mencungkil tanah itu sehingga terbongkar bungkusan kain putih.  Apabila dibukanya bungkusan kain putih di lihatnya sebiji limau ditusuk dengan duri ikan semilang.

Tersenyum Pak Hid melihat bungkusan kain putih berisi limau ditusuk duri ikan semilang.  Lantas disuruhnya Fateh Akir membakar bungkusan tersebut.  Sebaik sahaja dibakar, tiba-tiba bau busuk seperti bangkai itu meribak kuat sampai terpaksa Fateh Akir menekup hidung.

“Apa yang berbau busuk ni?”  Ucu Mijah menjengah dari tingkap dapur dalam keadaan tidak keruan.  Tidak pernah pula sebelumnya dia melihat bangkai di keliling rumah menyebabkan berbau busuk demikian.  Kalau setakat ayam mati pun bangkainya tidaklah busuk sampai menusuk ke hidung.

Sewaktu Fakeh Akir dan isterinya diganggu bau busuk seperti bangkai, Pak Hid berdiri tengak di tengah halaman memerhati asap melabun  di penjuru pagar.  Dia melihat mayat seorang lelaki tua tergantung di situ dengan tubuhnya dihurung ulat berenga.  Bau busuk itu semakin meloyakan setiap kali angin bertiup beralun-alun menggetar ke pohon-pohon di keliling rumah.

Beberapa kali Pak Hid beristighfar sambil menghela nafas panjang.  Kalaulah Fateh Akir dapat melihat mayat lelaki tua tergantung itu, tentu mereka sekeluarga menjadi ketakutan.  Cuma Pak Hid sahaja dapat melihatnya hinggakan mayat itu berbuai-buai ditiup angin.

Perlahan-lahqan Pak Hid mengesat pelupuk matanya setelah melihat keadaan yang menyelubungi keluarga anak saudaranya.  Sukar dia mahu memberi tahu keadaan tersebut kepada Fateh Akir, kerana anak saudaranya itu tidak dapat melihat apa-apa.

“Cubalah kau minta Haji Siajid bawa orang-orang madrasahnya baca Yassin ramai-ramai.”  Bisik Pak Hid mengeluh panjang apabila mahu balik ke Bukit Kelulut.

“Ada orang gunakan ilmu hitam ke?”  Fateh Akir mula menyimpan dendam.  Marah benar dia dengan sikap orang yang mahu menganiaya keluarganya.  Bila-bila Fateh Akir sanggup bercekak hulu parang kalau orang yang menganiaya keluarganya dengan ilmu hitam itu mahu berdepan.

“His, jangan ingat yang bukan-bukan,”  ujar Pak Hid mencebik bibir.  “Kau ikut cakap aku tu, jemput Haji Siajid bacakan Yassin ramai-ramai,”  katanya mengusap-usap lengan setelah berasakan bulu romanya meremang.

Fateh Akir mengangguk.  Dia mematuhi pesanan bapa saudaranya, sekalipun jauh di sudut hatinya menyimpan dendam yang membara.  Kalau mereka berani menganiaya keluarganya,  Fateh Akir juga tidak akan lepaskan sesiapa pun daripada dendamnya.  Biar sama-sama bertemu buku dengan ruas.

Tidak patut orang aniaya keluarganya kalau sekadar irihati Seriyah berkahwin dengan Lajis.  Kalau mahu dikira berkedudukan, Lajis pun bukanlah mempunyai pangkat sangat.  Setakat menjadi guru sekolah rendah bukanlah besar sangat gaji Lajis.  Apa pula dianiaya sampai perkahwinannya tidak tenteram.

Sebaik sahaja Pak Hid balik ke Bukit Kelulut, lantas Fakeh Akir menjemput Alang Kamat suami isteri.  Mereka mesti membantu anak-anak supaya perkahwinannya tidak porak peranda.  Ketika sampai di rumah Fakeh Akir bau busuk yang meloyakan itu masih meruap-ruap menusuk ke hidung.

Bersetuju sahaja Alang Kamat dengan keputusan menjemput Haji Siajid membacakan yassin beramai-ramai.  Tentu banyak berkatnya guru agama yang mempunyai madrasah itu membawa anak-anak muridnya membacakan Yassin.

Keputusan membuat kenduri selepas maghrib sama-sama dipersetujui oleh Alang Kamat.  Apa lagi bau busuk di keliling rumah bisannya Fateh Akir semakin galak.  Puas dicari disekeliling rumah tidak bertemu pun bangkai binatang yang reput dihurung ulat berenga.  Tetapi bau busuk meloyakan itu terus juga meruap-ruap menusuk hidung.

Bau busuk itu serta merta hilang sebaik sahaja Haji Siajid bersama beberapa orang murid daripada madrasahnya sampai.  Jiran-jiran yang dijemput ke majlis kenduri itu pun merasa hairan apabila bau busuk yang meloyakan itu hilang sebaik sahaja Haji Siajid naik ke rumah.

“Ini kenduri doa selamat aje, Tuan Haji,”  beritahu Fateh Akir setelah Haji Siajid duduk di hujung serambi.

“Setiap masa kita perlu berdoa minta selamat daripada Allah,”  sahut Haji Siajid perlahan-lahan memulakan membacakan Yassin.

Sewaktu mereka membaca Yassin di serambi inilah tiba-tiba Seriyah memekik di dapur.  Dia terus menangis tersengguk-sengguk sambil menekup mukanya.  Cepat-cepat Ngah Tisah memujuknya di sebabkan orang ramai masih lagi membaca Yassin di serambi.

Tetapi tangisan Seriyah semakin galak.  Dia merungut-rungut tidak menentu bagaikan dalam ketakutan.  Terpaksalah Ucu Mijah memanggil suaminya memberitahu keadaan Seriyah tersengguk-sengguk menangis.  Alang Kamat juga ikut sama berlari ke dapaur mengekori Fateh Akir.  Bimbang juga dia gangguan yang merasuk Seriyah akan bertambah pasang.

Lajis yang duduk di pintu dalam, hanya menunduk tidak bergerak ke mana.  Mulutnya sahaja kumat kamit sambil tangan memegang surah Yassin.  Dia seolah-olah tidak menghiraukan orang-orang di dapur yang gelabah selepas Seriyah tiba-tiba sahaja menangis teresak-esak.

Selesai sahaja membaca yassin dan berdoa, segera Haji Siajid bertanya,  “Apa halnya Abang Fakeh?”

“Entahlah Tuan Haji, anak saya ni,”  terputus-putus suara Fakeh Akir memberitahu sambil memapah Seriyah ke tengah rumah.  “Tiba-tiba sahaja menangis semasa kita semua baca Yassin,”  katanya setelah  membaringkan anaknya yang mengolek-golekkan badan tidak ketahuan.

“Tak pernah pula saya mengalami perkara macam ni,”  keluh Haji Siajid apabila masuk ke tengah rumah mendapatkan Seriyah.

“Kita jemput Bomoh Sidin,”  lantas Ngah Tisah menyuruh Fakeh Akir.  Mereka tidak boleh bertangguh lagi kalau keadaan penyakit Seriyah bertambah pasang.

Cuma Bomoh Sidin satu-satunya yang boleh diharapkan dalam saat demikian.  Lainlah kalau sekadar membaca Yassin dan doa selamat, memang Haji Siajid boleh.  Tetapi Seriyah memerlukan Bomoh Sidin ketika itu.  Biarlah terpaksa menjemputnya di Bayas, mereka perlu ikhtiarkan juga.

Penyakit yang di hidapi oleh Seriyah bukan demam selsema boleh di bawa ke klinik ambil pil untuk ditelan.  Sudah jelas Seriyah menghempas-hempas badan semasa orang ramai membaca Yassin di serambi.  Tentu gangguan yang merasuknya sudah semakin pasang.

“Patutlah dia bencikan Lajis selama ni,”  ujar Ucu Mijah mengeluh pendek sambil mengusap-usap kepala Seriyah.  “Janganlah kau ambil hati sangat, Lajis,”  pujuknya dengan harapan Lajis tidak tersinggung dengan sikap Seriyah.

Lajis sekadar tersengih-sengih.  Kadangkala dia merasa mengah tidak mampu berjalan.  Kalau tidak disebabkan cuti sekolah panjang, memang terpaksa dia mengambil cuti sakit akibat termengah-mengah.  Tenaganya juga terasa lemah tidak bermaya.  Sudah dua kali dia ke klinik meminta rawatan, tetapi doktor sendiri memberitahu tubuh badannya sihat.

Hanya dia sendiri yang tahu sama ada tubuh badannya sihat atau tidak.  Lajis merasakan sendi-sendinya lenguh.  Setiap kali melangkah dia menjadi letih hingga termengah-mengah.  Malu juga dia mahu memberitahu keluarga Seriyah mengenai penyakit yang dialaminya bagaikan orang tua ganyut yang sudah uzur.

“Haji Siajid nak bunuh aku!”  tiba-tiba sahaja Seriyah memekik lantas bingkas bangun mahu meluru ke pintu.  Tetapi segera di pegangkan oleh Ucu MIjah dan beberapa orang jiran yang perempuan.  “Kenapa jemput Haji Siajid ke rumah ni?”  gerutunya masih teresak-esak menangis.

“Hah, merepek aje, Haji Siajid tu baca doa selamat,”  ujar Ngah Tisah memujuknya.

“Haji Siajid tu jahat, dia tabor kaca dalam nasi aku,”  sahut Seriyah membentak marah.

“Kau ni sakit Seriyah, sampai Lajis pun kau tak layan,”  Ucu Mijah menyuruh anaknya berbaring dengan tenang.

“Lajis tu dah tua ganyut, macam mana nak jadi laki aku,”  Seriyah mencebik bibir mengejak Lajis yang tertunduk tidak bercakap apa-apa.

“Siapa kata Lajis tua ganyut?”  hairan juga Ucu Mijah apabila anaknya menuduh demikian.

“Tengok tu, kulit pun dah kerepot,”  lantas Seriyah menuding jari kearah Lajis yang terkebil-kebil mata.

Saat ini Lajis sendiri merasakan tubuhnya terlalu uzur bagaikan berumur hampir seratus tahun.  Sikunya lemah dengan lututnya terasa goyah.  Betisnya juga sengal-sengal tidak boleh berkuat.  Sekali sekala dia terbatuk-batuk menahan lelah yang menyesak di dada.

Setiap kali dia terbatuk-batuk, mereka yang melihatnya sekadar batuk biasa seperti menghidap selsema sahaja.  Tetapi Lajis dapat merasakan lelah menyebabkan dia termengah-mengah bagaikan orang tua uzur tidak bertenaga langsung.  Dia hanya duduk terkebil-kebil mata di pintu tengah dengan tidak berupaya untuk bergerak ke mana-mana.

Sewaktu Bomoh Sidin sampai setelah dijemput oleh Mat Deli, keadaan Seriyah tidak juga reda.  Dia tetap menuduh Lajis orang tua ganyut yang tidak berguna apa-apa untuk menjadi suaminya, sekalipun mereka semua tahu Lajis masih anak teruna berumur 24 tahun.  Haji Siajid juga tidak berganjak tempat duduk sejak melihat Seriyah merepek tidak sedar diri.

Tidak tergamak pula dia mahu meninggalkan rumah Fakeh Akir setelah keadaan Seriyah bertambah pasang.  Ketika sakit demikian menyelubungi Seriyah, dia wajib sama-sama bersusah payah.  Kalau terpaksa bercekang mata menunggu sehingga santak pagi,  Haji Siajid tidak akan membantah.

“Eh, Tuan Haji dah ada, kenapa tak minta doakan?”  ujar Bomoh Sidin sebaik sahaja duduk di sisi Haji Siajid.

“Saya ni guru agama aje, kerja macam ni memang serahkan pada Abang Sidin,”  sahut Haji Siajid tersengih-sengih menatap muka Bomoh Sidin.

“Marilah kita sama-sama berdoa, Tuan Haji,”  Bomoh Sidin terus mendesak dia ikut sama mendoakan supaya penyakit Seriyah segera sembuh.

Haji Siajid mengangguk.  Dia tahu Bomoh Sidin memang bersungguh-sungguh meminta dia sama berdoa.  Tahu benar Bomoh Sidin mengenai kelebihan doa Haji Siajid, sekalipun mereka di situ hanya menyedari Haji Siajid guru agama yang mempunyai ramai murid di madrasahnya.

Sebab itu Bomoh Sidin sengaja mencuit bahu Haji Siajid supaya ke hadapan.  Dia rela mengikut dari belakang sahaja.  Sepatutnya mereka di situ mengutamakan seorang guru agama seperti Haji Siajid, setelah Seriyah tiba-tiba menangis apabila dibacakan Yassin beramai-ramai.  Tidak perlu Fateh Akir menyuruh Mat Deli menyemput dia ke Bayas.

Bukan dekat mahu menjemputnya ke Bayas.  Terpaksa pula masuk melalui lorong di tengah kebun getah, meranduk kegelapan malam semata-mata mahu mencari di rumah.  Alangkah baiknya mereka  meminta doa daripada Haji Siajid yang sudah terconggok di sisi Seriyah.

“His, Mat Deli dah susah payah jemput Abang Sidin,”  Haji Siajid pula mencuit kepala lutut Bomoh Sidin.

“Sekarang permintaan saya pula, saya minta Tuan Haji doakan,”  sahut Bomoh Sidin tersenyum.

Serba salah juga Haji Siajid mahu menolak.  Dia tidak dapat berdalih lagi kalau Bomoh Sidin sendiri yang mendesak.  Masakan Haji Siajid dapat mengelak semasa mengajak saya ke Tengkek mengunjungi Lebai Mat Seh.  Sudah sebulan Lebai Mat Seh terlantar akibat batuk darah yang berlanjutan.

Puas berubat di hospital pun, tidak ada tanda-tanda dia menghidap penyakit bahaya.  Hanya doktor mengesyaki Lebai Mat Seh menderita batuk kering.  Sewaktu saya bersama Haji Siajid sampai, memang Bomoh Sidin sudah dijemput oleh isteri Lebai Mat Seh, Kak Unah.

Bimbang juga Kak Unah dengan penyakit Lebai Mat Seh sudah sebulan terkejang di tempat tidur.  Kalau banyak bergerak dia akan terbatuk-batuk sampai menyembur darah.  Sebab itulah Kak Unah bersusah payah jemput Bomoh Sidin di Bayas.  Manalah tahu penyakit Lebai Mat Seh boleh di ubati juga.

Bomoh Sidin sudah jampikan air kelapa muda tengah penuh supaya di minum oleh Lebai Mat Seh.  Tiga hari berturut-turut Bomoh Sidin jampikan air kelapa muda, terasa juga lapang dada Lebai Mat Seh mahu menarik nafas.  Disebabkan saya bersama Haji Siajid datang ke rumahnya lantas Lebai Mat Seh meminta izin daripada Bomoh Sidin supaya benarkan kami sama-sama mendoakannya.

“Tuan Haji, ustaz cubalah doakan saya ni,”  Lebai Mat Seh memandang saya.

“Silalah Tuan Haji, kita sama-sama berikhtiar, yang menyembuhkan Allah jua,”  lantas Bomoh Sidin mempelawa.  Bimbang juga dia kalau kami enggan disebabkan tidak mahu menyinggung hatinya.

“Tak apa, saya dah biasa dengan Sidin ni,”  beritahu Lebai Mat Seh memberi jaminan bahawa Bomoh Sidin tidak akan tersinggung sekiranya mencampuri urusan dia sewaktu tengah berubat.

“Saya tak kira, ustaz,”  ujar Bomoh Sidin melanjutnya.  “Asalkan Abang Lebai boleh sembuh birlah siapa pun ubatkan dia,”  katanya menjelaskan dengan penuh ikhlas.

Haji Siajid mencuit bahu saya supaya mara mendapatkan Lebai Mat Seh.  Saya mengangguk lantas berinsut punggung ke hadapan.  Kemudian saya menuturkan perlahan, “Abang Sidin pun ikutlah sama,”

Dia bersetuju membacakan jampi menteranya setelah di desak.  Tidak tahu saya apa yang di bacakan oleh Bomoh Sidin, kerana ketika ini Haji Siajid sudah bersila rapat memulakan dengan bacaan Fatihah tiga kali.  Setelah mengusap tangan kemuka, Haji Siajid terus membacakan Ayatul Kursi tujuh belas kali.

Saya juga melihat Bomoh Sidin mengeluarkan cincin dari sakunya yang diikat dengan batu akik berwarna merah.  Dia memakai cincin tersebut lantas mengusap-usap lengan sambil membacakan serapahnya.  Apabila mereka sudah mula membacakan doa, barulah saya meletakkan tapak tangan ke dada Lebai Mat Seh.

Dengan tenang saya membacakan tujuh ayat terakhir daripada surah Yassin diikuti dengan Ayatul Kursi yang diulangi hingga 33 kali.  Selepas itu saya bacakan pula ayat 13 daripada surah al- Anna’am, ayat 9 daripada surah al-Sajadah dan ayat 82 surah al-Isra’.  Kemudian saya berhenti sebentar sambil mengisar duduk.

Ketika ini Lebai Mat Seh terbatuk-batuk kuat hingga berkahak bercampurr darah beku bergintil-gintil.  Apabila saya melepaskan tapak tangan dari dada Lebai Mat Seh, terasa bahang panas menjalar hingga ke siku.  Cepat-cepat saya hembuskan ketangan dengan bacaan Fatihah tiga kali.

Haji Siajid pula membacakan: 

Alif, lam, mim, sad, kaf, ha, ya,a’in, sad.  Ha, mim, a’in, sim, kaf.  Uskun ai-yuhal waji’ bil-lazi, in-yasya yuskinir-riha fayazlalna rawakida ‘ala zuhrihi, in-na fi-zalika la-ayatin likulli sab-barin syakur. 

Setelah dibacakan oleh Haji Siajid demikian batuk Lebai Mat Seh semakin galak.

Terpaksa Lebai Mat Seh duduk apabila batuknya menjadi-jadi.  Isterinya Kak Unah pula segera menyorongkan besen, sebaik sahaja dia terjeluih muntah.  Tetapi tidak ada pun muntah menyembur daripada mulutnya kecualinya sendawa angin bertalu-talu.

Beberapa kali dia sendawa angin, barulah tersembur daripada mulutnya segumpal rambut bercampur lender darah.  Lebai Mat Seh sendiri menguis-nguis gumpalan rambut itu hingga kelihatan habuk kaca berkerlap di dalamnya.

“Apa bendanya ni, Tuan Haji?”  kak Unah cemas melihat gumpalan rambut yang dikuis-kuis oleh suaminya.

“Tak tahu saya benda-benda macam ni,”  sahut Haji Siajid menggeleng lemah.  “Apa agaknya tu, ustaz?”  dia pula bertanya kepada saya tersengih-sengih.

“Saya agak tentu Abang Sidin tahu,”  lantas saya mengerling Bomoh Sidin.

Tapi Bomoh Sidin mengeluh panjang.  Dia sendiri tidak tahu mahu menuduh.  Kalau di katakan Lebai Mat Seh terkena santau bagaimana pula boleh tersembur gumpalan rambut sewaktu dia terbatuk? Air kelapa muda tengah penuh yang dijampinya memang tangkal bisa peluruh, supaya santau yang menusuk kedada termuntah keluar sampai habis tidak bersisa.

Tiga hari berturut-turut dia jampikan tangkal bisa,  tetapi keadaan Lebai Mat Seh tidak juga berubah. Tiba-tiba pula selepas didoakan bersama-sama, lelaki itu terbatuk hingga tersembut gumpalan rambut.  Belum pernah orang terkena santau menyembur gumpalan rambut bercampur lender darah.

“Belum pernah saya tengok macam ni,” Bomoh Sidin menggeleng-geleng lemah sambil menghela nafas.

Tetapi dia percaya, sekiranya saya dan Haji Siajid tidak datang menjengah, memang siapa pun tidak dapat mengagak sakit yang dihidapi oleh Lebai Mat Seh.  Hampir sebulan Lebai Mat Seh terlantar, sudah berbagai ikhtiar di buat oleh kak Unah.  Kalau tidak juga sembuh setelah di jampikan air kelapa muda tengah penuh, memang Bomoh Sidin sendiri mengalah.  Dia tidak akan menyanggupi untuk terus mengubati Lebai Mat Seh sekalipun didesak oleh sesiapa pun.

Memang kejadian di rumah Lebai Mat Seh itu tetap Bomoh Sidin kenang sampai bila-bila.  Dia tahu benar doa Haji Siajid boleh meringankan sedikit beban kesakitan yang ditanggung oleh Lebai Mat Seh.  Perkara sembuh atau tidak bukan keupayaan makhluk, kerana semuanya di dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sebab itulah hatinya gembira sebaik sahaja jejakkan kaki di rumah Fateh Akir apabila terserempak Haji Siajid di situ.  Puas juga dia melingas-lingas di keliling memerhatikan saya kalau-kalau ikut sama dengan orang-orang madrasah Haji Sijid.

“Ustaz tak ikut samakah, Tuan Haji?”  soal Bomoh Sidin setelah Haji Siajid duduk di sisinya.

“Minggu ni dia tak datang ke madrasah,”  beritahu Haji Siajid perlahan.  “Kalau dia datang, memang saya ajak dia ke sini,”  jelasnya mengulum senyum kerana Bomoh Sidin masih ingatkan saya lagi.

“Saya masih ingat dengan ustaz tu,”  ujar Bomoh Sidin menggamit Lajis supaya menghampirinya.

Enggan juga Lajis mara ke hadapan.  Tetapi setelah di desak oleh ayahnya Alang Kamat terpaksa juga dia bangun.  Tergoyah-goyah kakinya melangkah dengan bahu kucup laksana orang tua terlalu uzur.  Hairan juga Alang Kamat dengan keadaan anaknya yang tidak bermaya itu.

Tetapi Haji Siajid tidak peduli sangat fasal nama saya di sebut-sebut di tengah orang ramai di rumah Fakeh Akir.  Mereka di situ juga tidak bertanya apa-apa mengenai diri saya.  Biarlah Bomoh Sidin sahaja yang tahu.

Setelah Lajis duduk di ulu kepala Seriyah, terus Bomoh Sidin memegang bahunya.  Dia mengasapkan kepala Lajis dengan kemenyan.  Terbatuk-batuk Lajis akibat terbau asap kemenyan yang melabun-labun.  Tidak lama selepas Lajis terbatuk-batuk, mereka di situ gempar apabila tercium bau busuk seperti bangkai dihurung ulat berenga.

Berkali-kali pula Haji Siajid beristighfar, apakala dia dapat melihat Lajis yang duduk di ulu kepala Seriyah diliputi bayang mayat lelaki tua yang tergantung di sebatang pokok.  Setiap kali angin bertiup kencang wap busuk mayat tergantung itu meruap-ruap menusuk ke hidung.

Perlahan-lahan Haji Siajid membacakan: 

Innahu min-Sulaiman wain-nahu Bismillahhir Rahmannir Rahim. 

Apabila dihembuskan kearah mayat tergantung itu, tiba-tiba menjelma di hadapannya perempuan muda tersengih-sengih mengejek kearahnya.  Tetapi Haji Siajid tetap tenang berdiri merenung tepat ke muka perempuan berkenaan.

“Sekarang kau tunjukkan muka juga ye, kau tak dapat lagi nak bersembunyi,”  jerkah Haji Siajid menyindir perempuan muda yang tersengih-sengih malu.

“Mereka suruh aku nikah dengan orang tua,”  sahut perempuan itu cuba melayang ke udara, tetapi kakinya terlekat dibumi apabila Haji Siajid membacakan surah al-Ikhlas sebelas kali, dan di ikuti dengan doa: 

Wa-in yamsaskallah-hubidhurin fala ka-syifalahu il-lahuwa, wa-in yuridka bikhai-rin falaradda lifadli hi, yusibu bihiman-yasya u-min ‘ibadihi, wahuwal gharu-rur Rahim.

Perempuan muda itu menjadi ketakutan hingga tidak berani lagi menentang muka Haji Siajid.  Matanya meliar mahu melarikan diri, tetapi kakinya sudah terpasak ke bumi tidak dapat bergerak ke mana-mana.

“Nak ke mana kau?”  suara Haji Siajid keras membentak.

“Lepaskan aku,”  rayu perempuan itu terketar-ketar apakala dilihatnya Haji Siajid berdiri seperti gunung tersergam di hadapannya.  “Mereka paksa aku nikah dengan orang tua sebab itu aku bunuh dia,”  gerutunya dalam esak tangis yang mendayu-dayu.

“Kau bunuh orang ye, kau fikir orang tak tahu?”  Haji Siajid terus mengejeknya, dan diikuti dengan zikir yang bergema jauh dilubuk hatinya.

Tersipu-sipu perempuan muda itu, sekalipun kakinya tetap terlekat di bumi tidak boleh digerakkan langsung.  Malu juga dia setelah rahsianya diketahu juga.

Ketika ini orang ramai berkeliling di tengah rumah melihat Seriyah tersipu-sipu.  Bau busuk yang meloyakan sudah mula menipis.  Bomoh Sidin masih memegang bahu Lajis yang menunduk tidak bercakap apa-apa.  Hanya sekali sekala mereka melihat tubuh Lajis bergoyang-goyang lembut seperti daun padi dipuput angin sawah.

“Pergi kau dari sini dan tinggalkan Lajis dengan Seriyah,”  perintah Bomoh Sidin menepuk–nepuk bahu Lajis.  “Kau tak ada kuasa apa-apa, hanya Allah yang Maha Berkuasa,”  ujarnya menggertap bibir setelah mengetahui kedudukan sebenarnya.  Hanya dia dan Haji Siajid yang dapat melihat rahsia yang tersembunyi di sebalik kejadian yang menyelubungi Seriyah dan Lajis.

Lajis tetap menunduk seperti orang tua ganyut yang tidak memahami apa yang berlaku terhadap dirinya.  Memang Bomoh Sidin juga seolah-olah mahu merenggangkan tubuh Lajis daripada bayangan mayat tergantung itu.  Terasa tangannya bergetar apabila berusaha mahu melepaskan tubuh Lajis yang seakan-akan bersatu dengan bayang mayat berkenaan.

Ketika ini dia tahu Haji Siajid sudah dapat mencari punca yang menyebabkan gangguan itu merasuk kehidupan Lajis dengan Seriyah.  Kalau tidak dicari puncanya masakan mereka dapat membantu. Tentu Fakeh Akir dan Ucu Mijah sekadar melihat Seriyah membenci hingga tidak mahu melayani Lajis.

Mereka juga tidak tahu apa sebenarnya dideritai oleh Lajis, sekalipun Fakeh Akir menyedari kaki menantunya goyah apakala berjalan melintasi di hadapannya.

“Kaki aku melekat, macam mana aku nak pergi?”  perempuan muda di hadapan haji Siajid merayu.

“Kau fikir boleh pergi macam itu aje.!”  Jerkah Haji Siajid membacakan Ayatul Kursi berterusan sehingga batu-batu berbara merah menerjah ke tubuh perempuan muda itu.

“Tuan Haji, mahu aku buat apa?”  jerit perempuan muda itu nyaring akibat menahan kesakitan.  Jeritan itu terhambur dalam rengekan Seriyah yang meronta-ronta mahu lepas daripada pegangan Ucu Mijah dan Ngah Tisah yang memautnya kuat.

“Kenapa kau ganggu keluarga Fakeh Akir?”  soal Haji Siajid bergema sampai ke udara yang menambahkan ketakutan kepada perempuan muda berkenaan.

Menggeleng-geleng perempuan muda itu disebabkan kakinya tidak terlepas akibat terpasak di bumi.  Air matanya tergenang di pelupuk mata apabila kenangkan dendamnya dikahwinkan dengan lelaki tua yang berharta.  Terketar-ketar dia memberitahu Haji Siajid mengenai suaminya yang sudah tua itu, tetapi masih mahu mengahwini perempuan muda.

Sebab itu dia upah orang membunuh suaminya, kemudian gantungkan di pokok kekabu.  Biar seisi kampung menuduh suaminya mati membunuh diri.  Siapa pun tidak akan mengesyaki dia melakukannya.

Terhina benar dia disebabkan dijodohkan dengan lelaki tua, sekalipun hartanya banyak.  Apalah ertinya harta tersebut kepadanya kalau hidupnya seperti menempah maut.  Kalau anak-anak suaminya mahukan harta tersebut mereka boleh ambil seberapa banyak yang dikehendaki.

Ketika suaminya dijumpai mati tergantung, memang dia tidak ada di dalam kampung.  Dia percaya sampai bila pun tidak ada sesiapa tahu dia sendiri mengupah orang membunuh suaminya.

“Kenapa kau ganggu Seriyah pula?”  Haji Siajid menyoalnya lagi.

“Aku tak ganggu siapa pun,”  sahutnya mengulum senyum cuba berdalih.  “Tapi, aku tak tahu kemana nak pergi,”  jelasnya meronta-ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di bumi.

“Kalau kau tak tahu mana nak pergi aku tujukkan jalannya,”  ujar Haji Siajid mencebik bibir lantas membacakan doa: 

Allahhu yatawaffal anfusahina mautiha wallati lam tamut fimanamiha fayumsikullati qada ‘alaihal-mauta wa-yursilul  ukhra-ila ajalin musamman, in-nafizalika la-aya-tin liqaumim yatafak-karun.

Sekaligus ribut kencang bertiup di segenap penjuru.  Tubuh perempuan muda itu terhayun-hayun dipuput angin sekalipun kakinya terlekat dibumi.  Dia terjerit-jerit menahan kesakitan disebabkan kakinya tidak dapat dilepaskan.

“Tolonglah, lepaskan aku Tuan Haji,”  rayu perempuan muda itu melambai-lambai tangan tidak dapat bertahan.

Dalam angin yang kencang itu juga mayat yang tergantung di pokok kekabu sedikit demi sedikit reput hingga bertaburan jatuh.  Lama kelamaan mayat lelaki tua itu hilang bersama angin yang bertiup.  Hanya jeritan perempuan muda itu sahaja melangsing di tengah deru angin yang bergetar.

Lama Haji Siajid termenung di tengah madrasahnya apabila saya kunjungi dia.  Perlahan-lahan dia mengesat pelupuk matanya, setelah memberitahu mengenai pengalaman sewaktu dijemput membaca Yassin di rumah Fateh Akir.  Kalau tidak disebabkan Fateh Akir sekadar menjemput untuk kenduri doa selamat memang sukar juga dia mahu jejakkan kaki.

“Saya tak sanggup kalau mahu mengubati orang yang sakit, ustaz,”  katanya perlahan sambil menggeleng-geleng lemah.

SELESAI