Sunday, October 15, 2017

249. PEREMPUAN MUKA BERLUBANG LUBANG

Tatkala terkejang sejak berhari-hari tidak dapat lagi bangun Bidan Sumi sempat berbisik meminta menantunya Imam Deraoh sentapkan susuk emas yang tertusuk pada dahi dan pipinya. Segera Imam Deraoh ambil tujuh helai daun pucuk kelapa, tujuh helai daun kari dan tujuh helai daun limau.
Tujuh kali disebatnya pusat Bidan Sumi dengan daun kelapa berkenaan menyebabkan emak mentuanya sendawa berulang kali. Kemudian dia beritahu anaknya Jeleha fasal perutnya memulas-mulas tidak menentu. Cepat cepat Jeleha lapik punggung emaknya dengan kain kerana bimbang akan buang air besar.
Tetapi Bidan Sumi tidak buang air besar langsung hanya sendawa sahaja berulang kali sampai berai-air mata menahan rasa tersedak di kerengkung. Disebabkan emak mentuanya sendawa berterusan, lantas Imam Deraoh ambil tiga biji buah kelapa muda dengan didoakan:
Bismillahhil lazi layad-hurru ma'asmihi syai-un fil-ardhi wala fis-sama-i wa-huwas sami'ul 'alim, Allah, Allah, Allah.
Apabila disudukan air kelapa berkenaan ke mulut Bidan Sumi, sekali gus dia terbersin kuat menyebabkan tenaganya bertambah lemah. Ombak dadanya juga bergetar menahan sesak yang menyengkang nafas. Ketika ini Imam Deraoh terus membacakan Yasin perlahan di sisi emak mentuanya yang semakin tenat.
Dalam masa Imam Deraoh membacakan Yasin inilah Udin Lambai ternampak jarum emas halus bagaikan rambut di atas dada neneknya. Cepat-cepat dia beritahu ayahnya mengenai jarum emas berkenaan. Apabila Imam Deraoh mengutip jarum emas tersebut terus ditusukkan pada daun kelapa yang sudah didoakannya, Jeleha juga ternampak sampai empat batang lagi di sisi emaknya.
Setelah semuanya dicucukkan pada daun kelapa di tangan Imam Deraoh, perlahan-lahan Bidan Sumi menghembuskan nafasnya. Daun kelapa bersama jarum itu dibakar oleh Imam Deraoh, kemudian dihanyutkan dalam tempurung ke sungai. Memang Udin Lambai tidak tahu apa-apa mengenai jarum emas berkenaan hingga dihanyutkan oleh ayahnya ke tengah arus sungai setelah dibakar.
 "Ayah saya Imam Deraoh dah lama meninggal dunia," beritahu Udin Lambai apabila Wak Semidin menemuinya mahu buangkan susuk besi yang ditusuk ke tubuhnya.
Harapkan Udin Lambai memang dia tidak tahu apa-apa mengenai susuk yang diamalkan sesiapa pun. Dia sekadat melihat jarum emas halus di atas dada neneknya selepas ayahnya sudukan air kelapa muda hingga Bidan Sumi terbersin. Lagi pun ketika neneknya meninggal dunia dia masih kanak-kanak berhingus.
Tetapi memang dia dengar mengenai Ali Tepek biarkan Bidan Sumi memboceng di belakang basikal. Tergamang Ali Tepek sampai dia demam akibat ketakutan setelah menyedari Bidan Sumi memboceng di belakang basikalnya. Terpaksa pula emaknya beritahu Jeleha mengenai kejadian yang menimpa Ali Tepek terserempak Bidan Sumi minta tumpangkan memboceng di belakang basikal setelah beberapa bulan meninggal dunia.
Tiga petang Jeleha letakkan air sebotol di atas kubur emaknya, kemudian dijirus ke kepala Ali Tepek tatkala matahari naik segalah. Imam Deraoh juga datang menjengah tiga pagi dengan mengusap seluruh badan Ali Tepek dengan tapak tangannya setelah dibacakan surah aI-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.
Apabila emak Ali Tepek hulurkan air satu jag biar didoakan, segera Imam Deraoh bacakan:
Qodja-akumul hoqqu min-rabbikum famanihtado fa-innama yahtadi linafsihi waman dholla fa-innama yudhillu 'alaiha wama-ana 'alaikum biwakil.
Setelah Imam Deraoh doakan, manakala Jeleha jiruskan dia dengan air ditapakan atas kubur, kebetulan pula Ali Tepek tidak lagi diganggu demam. Tidur malam juga tidak lagi mengigau akibat bermimpi diekori oleh jelmaan Bidan Sumi. Memang Ali Tepek demam disebabkan ketakutan apabila bermimpi Bidan Sumi sentiasa mengekori asal sahaja lelapkan mata.
Selepas kejadian menimpa Ali Tepek lama juga orang-orang kampung tidak diganggu jelmaan Bidan Sumi. Tetapi Suman Dobok tidak bimbang apa-apa sekiranya terserempak jelmaan demikian. Biarlah seisi kampung ketawakan dia disebabkan terserempak jelmaan perempuan rambut mengerbang pada pokok cenerai semasa balik memancing di lombong tatkala senja, dia tidak peduli apa-apa.
Sama ada orang kampung sengaja mengejeknya atau mereka percaya apabila diberitahu dia terserempak perempuan rambut mengerbang itu, Suman Dobok tetap kenang kejadian tersebut. Memang tidak siapa pun melihat dia terserempak, tetapi Suman Dobok cam perempuan rambut mengerbang itu terconggok di atas dahan pokok cenerai.
Tidak bertangguh dia hunus parang menyerbu ke arah pokok cenerai mahu menetak perempuan berkenaan. Belum sempat dia menghayun mata parang, jelmaan perempuan itu melayang ke udara hingga memercik air laksana hujan gerimis menimpa mukanya. Puas direndam pakaiannya akibat disinggahi kencing jelmaan perempuan berkenaan, tetapi hancingnya tidak hilang apa-apa.
Sebab itu seisi kampung tuduh Suman Dobok dikencing pontianak yang menjelma macam perempuan rambut mengerbang. Terkekeh-kekeh mereka ketawakan Suman Dobok akibat dikencing jelmaan perempuan rambut mengerbang hingga berbau hancing berminggu-minggu. Memang Suman Dobok tidak peduli mereka ketawakan dia, disebabkan masing-masing sekadar gemar mengejek. Kalau mereka sendiri terserempak sudah tentu berhari-hari pula demam ketakutan macam dialami Ali Tepek.
Siapa pun tidak berani bertahan seperti Suman Dobok apabila terserempak jelmaan perempuan rambut mengerbang itu. Tetapi Suman Dobok sudah bersiap sedia hunus parang. Bila-bila dia akan menerkam tidak bertangguh menetak biar mata parangnya singgah memangkas batang leher. Cubalah lembaga jelmaan itu bertahan tatkaia dia menyerbu demikian!
Semasa tergelincir kaki balik dari memancing di tepi lombong, siku Suman Dobok tertampan pada akar rumpun rembia. Sekali gus tangannya terkehel hingga membengkak. Disebabkan kesakitan siku terkehel itulah Suman Dobok terpaksa balik cepat sebelum masuk maghrib. Ketika melintasi pokok cenrai di selekoh lorong segera Suman Dobok mengisar hulu parang yang tersisip di pinggang. Dia tidak bimbang apa sekiranya jelmaan perempuan rambut mengerbang bertahan di situ.
Apabila dia mendongak pokok cenerai itu tidak siapa pun terconggok. Memang dia tidak gementar pun kalau melintas di situ kerana mahu terserempak jelmaan tersebut. Dia akan cekak rambut jelmaan itu terus rentap tidak bersisa. Suman Dobok akan tunjukkan kepada jelmaan perempuan rambut mengerbang itu, jangan cuba mahu takut-takutkan dia!
Sebaik sahaja melalui rumah kosong peninggalan Bidan Sumi berdebar juga hatinya apabila melihat halaman rumah seolah-olah baru sahaja dikuak sampah. Di hujung halaman sampah dilonggokkan juga masih berasap kesan baru sahaja dibakar. Tetapi Suman Dobok mengagak tentu Jeleha yang datang ke situ membersihkan halaman rumah peninggalan emaknya.
Lantas Suman Dobok mara ke tangga mahu memastikan siapa kuak sampah di tengah halaman. Ketika ini dia terkejut apabila Bidan Sumi menjengah di tingkap. Tidak bertangguh Suman Dobok menghunus parang kerana dia menyedari Bidan Sumi yang menjengah sudah lama meninggal dunia.
"Jangan buat kami macam tu," ujar Bidan Sumi mencemik muka. "Kami nak bantu tangan kamu yang terkehel tu, kenapa pula nak tunjuk garang?' rungutnya tidak senang dengan sikap perongos Suman Dobok.
"Tapi, nenek dah mati!" sahut Suman Dobok tercegat di kaki tangga tidak berganjak apa-apa.
"Kami tahu, hati kamu memang berani," tersenyum Bidan Sumi terus menuruni anak tangga.
"Nenek cuba nak takut-takutkan aku ke!" Suman Dobok mengisar-ngisar hulu parang lantas mengerling Bidan Sumi merentap daun kelapa yang pelepahnya terjuntai.
Tidak bercakap apa-apa Bidan Sumi sapukan daun kelapa tujuh helai di tangannya dengan minyak yang dipegang dalam botol. Kemudian dia bertenggong di atas anak tangga mengurut-urut daun kelapa di tangannya. Terjerit-jerit perlahan Suman Dobok menahan kesakitan pula sikunya yang terkehel.
Tatkala mengerling wajah Bidan Sumi tidak kelihatan pun kesan comot diselaputi tanah, tetap bersih seolah-olah sebelum perempuan itu meninggal dunia. Hanya pelupuk matanya sahaja hitam akibat diconteng celak. Baunya juga tidaklah busuk tetapi wangi bagaikan daun pandan.
Setelah daun kelapa di tangannya kering laksana lama terjemur, Suman Dobok merasa sikunya yang terkehel sembuh tidak membengkak. Tersenyum Suman Dobok apabila Bidan Sumi yang ditakuti oleh Ali Tepek tidak mengganggu apa-apa. Dia sendiri macam tidak percaya sikunya yang terkehel pulih semula setelah Bidan Sumi urutkan pada daun kelapa.
"Lain kali kamu mesti tahu bezakan yang mana baik, yang mana tak baik," lantas Bidan Sumi ingatkan supaya tidak cepat sangat bersikap perongos.
 "Minta maaflah nenek," tutur Suman Dobok terharu apabila terserempak Bidan Sumi di situ.
Tetapi Bidan Sumi desak dia supaya tidak beritahu sesiapa pun mengenai sikunya terkehel hingga terserempak di situ. Semenjak kejadian itulah Suman Dobok tidak lagi terburu-buru mahu menghunus parang kalau dicabar sesiapa. Kerapkali juga orang kampung melihat dia bacakan Yasin di.kubur Bidan Sumi asal sahaja petang Jumaat.
Kalau tidak disebabkan Usin Lambai beritahu kejadian Wak Semidin tersesat di hutan terserempak Bidan Sumi, memang Suman Dobok rahsiakan fasal sikunya terkehel. Sudah bertahun-tahun kejadian berkenaan dialaminya, baru Suman Dobok beritahu pada Udin Lambai.
"Bukan abang aje yang mengalami, Suman Dobok juga terserempak Bidan Sumi tu," jelas Udin Lambai beritahu Wak Semidin mengenai Suman Dobok terkehel siku.
Tetapi Wak Semidin jengah semula ke kampung berkenaan setelah bertahun-tahun kejadian dia tersesat di hutan itu berlalu. Kalau tidak disebabkan mahu buang susuk besinya, memang dia tidak jejak kaki lagi ke kampung berkenaan. Ketika dia jengah semula Udin Lambai, memang lelaki itu mengakui Suman Dobok mahir buangkan susuk yang ditusukkan.
Selepas kejadian terserempak Bidan Sumi itulah Suman Dobok diharapkan orang kampung buangkan susuk. Dia ingatkan sesiapa sahaja supaya buang sahaja susuk berkenaan sebelum memudaratkan diri.
Suman Dobok yang beritahu Udin Lambai mengenai Bidan Sumi kesal sangat dengan susuk emas yang ditusukkan oleh neneknya tatkala dia masih lagi dara sunti. Manalah dia tahu mengenai susuk emas berkenaan hingga dia terkejang menanggung sesak nafas. Tiba-tiba sahaja hatinya tergerak meminta menantunya Imam Deraoh buangkan apabila ingatkan neneknya tusukkan susuk berkenaan.
Sewaktu neneknya tusukkan susuk berkenaan dia sekadar menyangka hanya ubat sembuhkan sakit gigi gatal-gatal yang dihidapinya hingga meruam merah seluruh badan. Setelah neneknya tusukkan susuk berkenaan gatal-gatal badan itu tidak lagi mengganggu. Tidak lama selepas itulah dia dilamar suami pertamanya Mat Sirun.
Tiga tahun sahaja Bidan Sumi berkahwin dengan Mat Sirun, suaminya ditimpa mala petaka apabila jatuh ke dalam unggun api semasa memerun tanah kebun. Habis melecur seluruh badannya semasa diselamatkan kawan-kawan yang sama menebang tebas hutan. Dua hari Mat Sirun tidak sedarkan diri akibat melecur badan baru dia meninggal dunia.
Semenjak kematian Mat Sirun beberapa orang juga lelaki melamar, tetapi Bidan Sumi serik mahu menerima. Bimbang sangat dia akan berterusan menjadi janda sekiranya suami yang lain menerima padah yang sama dengan Mat Sirun. Puas dipujuk oleh neneknya terpaksa juga Bidan Sumi berkahwin dengan Mail Gewang.
Beberapa kali Mail Gewang beralih tempat tidur tatkala nyenyak lina. Kadangkala dia terlentang di hujung serambi dengan tidak berbantal apabila terbangun tengah malam. Hairan juga dia bagaimana dia beralih tempat tidur, sekalipun memang rebahkan badan di sisi Bidan Sumi.
Apabila Mail Gewang menjengah semula ke dalam bilik, memang Bidan Sumi tergolek bersendirian sahaja. Lantas Bidan Sumi tuduh suaminya mengigau sampai berjalan tengah nyenyak tidur. Malu juga Mail Gewang apabila kenang dia mengigau sampai berjalan ke hujung serambi beralih tempat tidur. Kalau tidak disebabkan sejuk tengah malam akibat tidak berselimut memang dia nyenyak sampai ke pagi di hujung serambi.
Bukan takat beralih tidur ke hujung serambi, tetapi Mail Gewang beralih tidur ke perdu rumpun tebu di belakang rumah. Merungut juga Mail Gewang setelah merasakan dia seolah-olah dicampakkan ke perdu rumpun tebu, disebabkan pintu rumah terkunci dari dalam. Kalau dia mengigau hingga berjalan turun ke tanah tentu pintu tidak terkunci apabila dia selak dari dalam.
"Aku tak mengigau, Sumi!" tegas Mail Gewang apabila kenang dia dicampak-kan ke perdu rumpun tebu. "Tentu ada puaka dalam rumah ni," gerutunya sudah tidak dapat lagi menahan sabar.
Sebab itu Mail Gewang menemui Lebai Bilin beritahu mengenai kejadian menimpanya. Lebai Bilin suruh anak saudaranya itu bangun tengah malam sahaja tunaikan solat sunat tahajud, mohon kepada Allah lindungkan daripada mala petaka. Apa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan memohon pertolongan Allah!
Berturut-turut tujuh malam Mail Gewang bangun solat tahajud tengah malam, tiba-tiba dia melihat perempuan muda berpakaian serba putih menjelma di depannya. Lantas sahaja perempuan itu ingatkan Mail Gewang, dia sekadar jauhkan daripada Bidan Sumi biar mereka tidak melahirkan anak.
"Kamu tak boleh campur urusan rumah tangga aku!" jerkah Mail Gewang menuding jari ke muka perempuan itu meminta segera berundur.
Tersengguk-sengguk perempuan itu menangis apabila diusir oleh Mail Gewang. Kalau berkeras usir dia samalah macam Mail Gewang mengusir Bidan Sumi juga. Tetapi Mail Gewang tidak peduli apa-apa, dia terus membacakan:
In-kuntum fi-syakkim min-dini fala a-budullazina ta'buduna min-dunillahhi walakin a'budullahallazi yatawaffakum wa-umirtu an-akuna urinal-mukminin.
Sekali gus tubuh perempuan itu tebuk berlubang-lubang bagaikan pasir dititis air menerjah kuat. Mukanya rebut hingga luruh laksana lilin terbakar hingga berlonggok menjadi debu di depan Mail Gewang. Semasa Mail Gewang menyapu debu berkenaan dengan tangannya dia terdengar isterinya Bidan Sumi beberapa kali terbersin.
Apabila dia beritahu Bidan Sumi mengenai jelmaan perempuan yang mahu mengganggu , segera mereka menemui neneknya. Menggeleng lemah neneknya disebabkan gangguan tersebut. Memang dia sendiri tidak mengalami apa-apa kejadian demikian kalau disebabkan susuk yang ditusukkan ke pipi Bidan Sumi.
Tidak lama selepas itulah Bidan Sumi mengandung juga sampai melahirkan anaknya Jeleha. Selepas Jeleha dilahirkan tiba-tiba sahaja Mail Gewang terpikat dengan perempuan lain di kampung seberang sawah. Kecewa benar Bidan Sumi apabila Mail Gewang sengaja berkahwin seolah-olah mahu menyakiti hatinya.
Sebab itu berkeras dia tidak mahu dimadukan. Biarlah dia terbiar menjadi janda kalau semata-mata harapkan Mail Gewang menjadi suaminya. Terpaksa juga Mail Gewang berpisah dengan Bidan Sumi, setelah perempuan itu berkeras tidak mahu dimadukan. Sebaik sahaja Mail Gewang jatuhkan talaq, memang Bidan Sumi bernekad tidak mahu berkahwin lagi.
Tatkala malam dicakup kesepian, terkejut benar Bidan Sumi apabila perempuan berpakaian serba putih tercegat di depannya. Lantas sahaja perempuan itu bisikkan supaya Bidan Sumi tidak lahirkan anak sekiranya tidak mahu dimadukan, apabila berkahwin lain. Memang perempuan itu yang berikan petua biar dia menjadi bidan sama seperti neneknya juga.
Memang berat juga Bidan Sumi mahu berkahwin lagi apabila kenang Mail Gewang sanggup berubah hati setelah mereka mendapat anak. Tetapi masakan Bidan Sumi dapat mengelak setelah ramai lelaki masuk melamar. Neneknya juga desak dia supaya berkahwin sahaja disebabkan seisi kampung harapkan dia menjadi bidan.
Terpaksa juga Bidan Sumi menerima lamaran Timin Bauk setelah beberapa kali lelaki itu memujuk neneknya. Seminggu sahaja selepas berkahwin Timin Bauk mengalami kejadian dipindahkan tempat tidur. Terkejut benar dia apabila menyedari pagi lagi tersandar di perdu pokok kayu manis.
Tetapi Timin Bauk malu mahu beritahu sesiapa pun mengenai kejadian dia dialihkan tempat tidur hingga ke perdu pokok kayu manis. Asal sahaja dia melayani Bidan Sumi sudah tentu tempat tidurnya beralih. Cam sangat dia setelah melayani isterinya nescaya dia terawang-awang bagaikan dilamun mimpi. Apabila terbangun dari tidur memang tempat tidurnya beralih.
Serba salah juga dia mahu desak Bidan Sumi beritahu siapa yang dilayani-nya tatkala masuk tidur, hingga dia beralih tempat. Tatkala tempat tidurnya dialihkan ke belukar senduduk di belakang rumah, lantas Timin Bauk menyedaridia tidak pernah melayani Bidan Sumi. Cam sangat dia perem-puan yang rebahkan badan di sisinya muka berlubang-lubang bagaikan kertas dicucuh api.
Tatkala sarapan pagi lantas sahaja Timin Bauk beritahu isterinya dia mahu jatuhkan talak. Terkejut benar Bidan Sumi apabila suaminya membuat keputusan mendadak dengan tidak memberi apa-apa sebab. Selesai sahaja sarapan Timin Bauk turun meninggalkan kampung halaman tidak jejak lagi menjengah muka.
Semenjak Timin Bauk tidak balik lagi ke kampung halaman, memang Bidan Sumi tidak mahu lagi berkahwin. Biarlah dia menjadi janda setelah merasa serik tiga kali bersuami tetapi tidak juga kekal. Dia sendiri tidak tahu kesalahannya apabila Timin Bauk tiba-tiba sahaja mengambil keputusan demikian.
Hinggalah neneknya meninggal dunia, baru Bidan Sumi terbuka hati mahu berkahwin setelah dilamar Malim Labih. Apabila Malim Labih beralih tempat tidur hingga terketar-ketar sejuk dititik embun di bawah pokok nangka, marah benar dia seolah-olah diperolok-olok-kan.
"Awak nak bodohkan laki ke?" bentah Malim Labih sebaik sahaja naik ke rumah mencekak rambut Bidan Sumi. "Awak gunakan puaka pindahkan tempat tidur aku!" gerutunya tidak dapat menahan marah setelah merengkok tidur di bawah pokok nangka. 
"Kenapa awak tuduh saya begitu, Malim?" terharu benar hati Bidan Sumi apabila kenang perkahwinannya tidak pernah membawa kebahagia-an. Sekalipun seisi kampung mengakui wajahnya masih jelita setelah beberapa kali berkahwin, tetapi dia tidak dapat menikmati keindahan hidup sebagai seorang isteri yang mengharapkan kasih sayang suaminya.
"Memang awak amalkan ilmu hitam, tapi jangan cuba bodohkan Malim Labih!" tegas lelaki itu kian memberang.
"Saya hanya jadi bidan, tak ada amalan apa-apa," ujar Bidan Sumi merendah disebabkan dia sendiri memang tidak tahu apa-apa mengenai suaminya dialih tempat tidur.
"Jangan cuba nak sembunyikan amalan ilmu hitam kamu," tidak bertangguh Malim Labih mencapai kayu api mahu membelasah Bidan Sumi.
Belum pun sempat dia membelasah, tiba-tiba sahaja Malim Labih campakkan kayu api berkenaan ke lantai. Dia menjadi gementar apabila kayu api yang dicekak
bertukar menjadi ular sawa sebesar lengan. Dalam keadaan termangu Malim Labih melihat perempuan berpakaian putih tercegat di ruang dapur. Memang mukanya berlubang-lubang laksana sarang anai-anai terpokah.
Segera Malim Labih berundur. Matanya melingas-lingas mencari parang mahu ditetak leher perempuan berkenaan. Dia dapat mengagak tentu perempuan yang men-jelma itu sentiasa mendam-pingi isterinya asal sahaja bidankan perempuan bersalin di kampung. Tatkala dia menghunus parang yang tersandar pada tiang, semakin gementar Malim Labih melihat hulu parang yang dicekak sama dengan nangka busuk tidak berguna.
Tetapi Bidan Sumi tidak melihat siapa pun tercegat di sisinya ketika itu. Hanya suaminya sahaja ketakutan tidak menentu campakkan kayu api di tangan setelah dicekak kukuh. Malim Labih juga campakkan parang di tangan setelah dihunus bagaikan mahu menyerbu ke arahnya.
Merungut-rungut Malim Labih beritahu mengenai perempuan berlubang-lubng muka bekas ditusuk besi tercegat di sisinya, tetapi Bidan Sumi tidak nampak apa-apa pun. Tidak lama selepas itu dia mendengar Malim Labih tersekat-sekat suara mengaku mahu tinggalkan rumah berkenaan. Dia tidak akan jengah lagi ke situ setelah turun meninggalkan Bidan Sumi.
Puas dipujuk oleh Bidan Sumi pun, Malim Labih tetap dengan keputusannya kumpulkan pakaian dibung-kus dalam gendong kain. Tidak bertangguh Malim Labih turun menyandang gendong kain berkenaan tinggalkan rumah Bidan Sumi tidak menoleh ke belakang lagi. Biarlah dia berundur kalau rumah tangganya ditentukan oleh jelmaan perempuan muka berlubang-lubang itu.
Semenjak itu silih berganti Bidan Sumi berkahwin asal sahaja lelaki masuk melamar. Sebab itu dia tidak mahu tinggal serumah dengan anaknya Jeleha disebabkan anaknya melarang dia berkahwin lagi. Apabila Jeleha berkahwin dengan Imam Deraoh pun, Bidan Sumi berasa malu kepada menantunya disebabkan suaminya lebih muda daripada Imam Deraoh sendiri.
Memang dia berasa kesepian sekiranya tidak ada suami di sisinya. Kadangkala dia berasa hairan disebabkan lelaki yang lebih muda mahu melamarnya. Hatinya mudah kesihan kalau menolak lamaran apabila lelaki berkenaan sanggup lakukan apa sahaja kemahuan dia. Memang serba salah dia mahu menolak disebabkan lelaki berkenaan boleh diharapkan lindungkan dirinya. Apa lagi kalau dijemput orang tatkala tengah malam tentu suaminya boleh temankan ke mana sahaja.
Tetapi Jeleha berasa malu emaknya sudah berumur tetapi masih juga mahu berkahwin lain. Hingga sembilan orang suaminya Bidan Sumi tetap tidak peduli apa pun rungutan anaknya. Perkara dia berkahwin tidak penting sangat, tetapi siapa mahu jengah dia kalau terkejang tengah malam mengidap Ielah berterusan.
Tatkala dia berkahwin dengan Usup Kecih memang marah benar Jeleha, disebabkan emaknya sudah berusia lebih 60 tahun. Sekalipun Usup Kecih duda tetapi lelaki berkenaan belum pun berumur 40 tahun. Setiap hari Usup Kecih datang membantu kalau Bidan Sumi minta kapakkan kayu atau kabungkan sagu rembia.
Bimbang juga Bidan Sumi sekiranya orang-orang kampung tuduh dia sengaja perdayakan Usup Kecih datang menjengahnya. Sebab itu dia desak sahaja Usup Kecih menjadi suaminya. Tidak bertangguh Usup Kecih bersetuju disebabkan lama juga dia memendam rasa mahu peristerikan Bidan Sumi.
Sebaik sahaja Bidan Sumi berkahwin dengan Usup Kecih sampai berbulan-bulan Jeleha tidak mahu jengah emaknya. Terkilan benar dengan keputusan emaknya berkahwin lain setelah lapan kali bersuami. Apa lagi diharapkan dari Usup Kecih setelah emaknya semakin dimamah usia.
Tetapi Usup Kecih mahu berkahwin dengan Bidan Sumi bukan disebabkan perempuan itu masih menarik lelaki yang menatap wajah-nya, dia memang serba salah mahu kapakkan kayu atau tebangkan sagu rembia apabila perempuan itu meminta pertolongan. Apalah salahnya dia berkahwin kalau kerja-kerja demikian memang dipikulkan di bahunya juga.
Semenjak berkahwin dengan Bidan Sumi, memang Usup Kecih desak juga isterinya ikut sama berjemaah di surau. Berturut-turut tiga malam ke surau, Bidan Sumi akan mengalah juga. Dia berasa badannya sengal-sengal tidak menentu. Kalau isterinya tidak ke surau pun, Usup Kecih tetap berjemaah juga dengan Imam Deraoh menantu tirinya.
Sewaktu balik dari surau itulah Usup Kecih dihadang perempuan muka berlubang-lubang di bawah pokok nangka di hujung halaman. Apabila disuluh Usup Kecih dengan pelita, dia tersengih-sengih bagaikan malu ditatap wajahnya. Tidak bertangguh Usup Kecih bacakan:
Innahu min-sulaiman wa-innahu bismillahhir rahmannir rahim.
Menggeliat-geliat perem-puan itu bagaikan tubuhnya melecur disimbah dengan air panas mendidih. Dia tahu perempuan yang meng-hadangnya memang jelmaan susuk isterinya yang cuba memperdayakan dirinya. Sudah lama Usup Kecih dapat mengagak tentu Bidan Sumi amalkan susuk menyebabkan wajahnya sentiasa menarik perhatian mana-mana lelaki.
"Aku tahu jelmaan susuk, sebab itu aku tak akan mengalah!" tegas Usup Kecih lantas menghembus muka perempuan itu dengan membacakan:
Waja-'alu lillahhi syuraka-al jinna wakhola-qohum wakhora qau-lahu banina waba-tin gihairi 'ilmin subhanahu wata'ala 'amma yusifun.
Semakin hodoh wajah perempuan itu menjerit kesakitan seolah-olah kulit mukanya dikoyakkan macam kain nipis tidak bertahan. Cepat-cepat jelmaan itu hilang di dalam gelap tidak dpat berkeras di depan Usup Kecih. Ketika Usup Kecih naik ke rumah dia melihat seluruh badan isterinya meruam kemerah-merahnya bagaikan diserang demam campak.
Tiga hari Bidan Sumi menanggung kesakitan akibat demam hingga terasa kulit badannya perit bagaikan terganggang pada cahaya matahari. Setelah Imam Deraoh pupuk dengan pucuk daun awam jawa, ruam di tubuh Bidan Sumi beransur hilang. Tetapi tidak lama selepas itu, Usup Kecih dipatuh ular tedung hitam semasa mengapak kayu di tengah halaman.
Tidak sempat diubati lagi Usup Kecih terkejang mati akibat bisa ular tedung hitam menusuk ke jantungnya. Selepas kematian Usup Kecih itu memang Bidan Sumi lama memendam perasaan. Dia sering mengidap lelah hingga terkejang tidak boleh bergerak bangun.
"Cucunya sendiri yang ceritakan kisah Bidan Sumi tu, ustaz," ujar Wak Semidin menatap muka saya kerana bimbang saya tidak mempercayai cakapnya mengenai kakinya tergeliat sembuh setelah diurut jelmaan bidan berkenaan.
Tetapi memang saya sendiri sudah diberitahu oleh Pak Tua Mahat mengenai kejadian dia tersesat di hutan hingga jejak kaki sampai ke perkampungan di Jerantut. Ketika ini perkara jelmaan Bidan Sumi itu tidak penting sangat, kerana susuk besi yang ditusukkan dalam tubuh Wak Semidin itu lebih penting dibuangkan.