HUJAN lebat sejak subuh menyebabkan semakin kukuh menarik selimut hingga mata juga tidak mahu terbuka. Malas sangat Mat Sunoh mahu bingkas bangun disebabkan kesejukan masih lagi membungkus suasana pagi. Lagi pun bukan boleh turun menoreh getah tatkala hujan berterusan turun mencurah-curah. Mahu ke kebun pisang juga sia-sia sahaja kerana tidak tahu apa pun kerja yang boleh dibuat ditengah hujan demikian.
Satu-satunya yang terlintas di benak Mat Sunoh hanya
menarik selimut kukuh-kukuh sementara menunggu hujan bnerhenti. Biarlah dia tidak bangun untuk sarapan pagi
sekalipun perut terasa juga kosong.
Tentu isterinya Melah Gedek tengah masak rebus keladi untuk sediakan
sarapan pagi, disebabkan dia sendiri yang cabut ubi keladi semalam petangnya.
Memang gemar benar Mat Sunoh makan rebus keladi cecah
nyiur parut apakala menghadap sarapan pagi.
Tahu sangat Melah Gedek kegemaran suaminya jika dia sudah mencabut ubi
keladi di kebun di belakang rumah. Kalau
tidak direbus pun digoreng macam goreng pisang tetap menyelerakan Mat Sunoh.
Kalau tidak disebabkan hujan turun sejak subuh tentu Mat
Sunoh sendiri yang bangun rebus keladi di dapur. Dia tidak peduli sama ada Melah Gedek bangun
atau tidak sediakan sarapan pagi. Asal
sahaja dia selesai solat subuh Mat Sunoh tetap ke dapur jerangkan cerek air ke
tungku. Tidak perlu mahu manunggu
isterinya bangun kalau takat jerang air di dapur.
“Hei, kanapa tak bangun lagi?” Melah Gedek melaung dari
dapur sambil mendiangkan badan ke api akibat kesejukan pagi yang menusuk-nusuk.
Mat Sunoh tidak menyahut.
Dia semakin kukuh menarik selimut.
Apalah guna cepat sangat bangun kalau hujan masih turun
mencurah-curah. Kalau bangun pun sekadar
mahu menyirat jeramak di pangkal serambi.
Jeramak yang koyak perlu jua disirat.
Manalah tahu apabila sungai susut boleh juga menjeramak ikan terasak ke
tebing.
“Bangunlah, boleh sarapan pagi,” desak Melah Gedek disebabkan suaminya tidak
juga bingkas bangun.
Sekiranya Mat Sunoh tidak bangun apalah gunanya dia
bancuh kopi yang dibancuh akan sejuk hingga tidak berselera mahu dihirup. Dia terpaksa juga tunggu suaminya bangun
kalau mahu sediakan sarapan pagi.
Kadangkala gelisah juga Melah Gedek apabila kenang
nasibnya masih juga tidak mempunyai anak setelah hampir sepuluh tahun mereka
berkahwin. Kalau mahu dituduh dia
mandul, semua adik beradiknya mempunyai ramai anak setelah berkahwin. Masakan dia seorang sahaja mandul hingga
tidak mempunyai anak langsung.
Adik beradik Mat Sunoh juga mempunyai ramai anak, masakan
Mat Sunoh pula yang mandul! Sebab itu Melah Gedek tidak percaya dia suami
isteri yang mandul. Lantas sahaja dia
menuduh tentu badi puaka hutan menyebabkan nasib malang menimpa mereka. Apalagi memang Mat Sunoh kerapkali mengikut
Pak Tua Mahat berburu ke hutan.
Sudah beberapa kali pada Melah Gedek mengandung, tetapi
takat dua atau tiga bulan usia kandungannya nescaya akan keguguran. Tidak tahu pula dia mengapa kejadian itu
berulang beberapa kali. Tetapi Melah
Gedek malu sangat mahu memberi tahu nenek saya Bidan Ibah mengenai kebimbangan
yang ditanggungnya selama ini.
Memang Melah Gedek sendiri bimbang kalau mengandung. Bukan takat anak dalam kandungan keguguran, tetapi dia tidak mahu berlaku
seperti dialami oleh emak saudaranya Alang Maherah. Dia sendiri masih kecil lagi tatkala kejadian
itu menimpa Alang Maherah tengah mengandung Sembilan bulan. Melah Gedek tidak berapa ingat sangat
kejadian itu kalau tidak diberi tahu oleh emaknya.
Siapa lagi diharapkan membidankan Alang Maherah kalau
bukan nenek saya Bidan Ibah? Memang dia satu-satunya menjadi tempat bergantung
orang kampung apakala isteri mereka tengah sarat mengandung. Semasa Alang Maherah mula mengadu sakit
merengat-rengat, tidak bertangguh suaminya Malim Sukat menjemput nenek saya.
Di sebabkan hari siang nenek saya tidak perlu
terburu-buru ikut Malim Sukat balik sama.
Biarlah lelaki itu balik terlebih dahulu. Dia akan mengikuti kemudian setelah siapkan
semua kelengkapan berbidan. Sebaik
sahaja Malim Sukat jejak kaki dirumahnya, dia mendapati Alang Maherah terkejang
tidak sedarkan diri. Perutnya yang
memboyot juga sudah kempis seolah-olah sudah melahirkan bayi.
Tatkala nenek saya sampai dia sendiri berasa hairan
kerana Alang Maherah sudah melahirkan anak.
Tetapi ke mana pula anaknya hilang selepas perut Alang Maherah
kempis? Tidak siapa pun datang menjengah
kerumahnya sewaktu Alang Maherah mengerang-ngerang sakit mahu melahirkan
anak. Jiran-jiran yang sudah berkumpul
di situ pun tidak menyedari bagaimana perut Alang Maherah boleh kempis tidak
semena-mena.
Semasa
Alang Maherah mengerang-ngerang menahan kesakitan tiba-tiba sahaja dia melaung
kuat. Apabila jiran-jiran membantunya
Alang Maherah sudah terkancing gigi langsung pengsan. Ketika Malim Sukat balik ke rumah dia juga
gelabah dengan keadaan yang menimpa isterinya itu.
“Panggilkan
Dukun Samid cepat,” desak nenek saya supaya Malim Sukat tidak bertangguh.
Sebaik
sahaja Malim Sukat turun mahu menjemput Dukun Samid, nenek saya segera
sangkutkan duri mengkuang di bawah rumah bersetentang dengan Alang Maherah
terkejang. Tahu sangat nenek saya kalau
amalan syaitan penanggal cuba mengganggu nescaya duri mengkuang itu akan
menjadi penghalan. Sudah menjadi pantang
sesiapa sahaja amalkan ilmu syaitan penanggal tidak boleh tersangkut pada duri
mengkuang.
Kalau
tersangkut pada duri mengkuang amalannya tidak akan dapat bertahan. Rahsianya akan terdedah kepada manusia
menyebabkan dia tidak dapat lagi mengelak.
Tentu semua orang akan memusuhinya sampai dia terpaksa melarikan diri
dari kampung halaman sendiri. Sebab itu
mereka yang amalkan ilmu syaitan penanggal tidak akan sentuh pun duri
mengkuang.
Tetapi
nenek saya tahu sesiapa yang amalkan ilmu syaitan penanggal itu kadangkala di
perangkap juga. Mereka sekadar mahu
amalkan semangat padi sahaja biar sawah bendangnya buah padi menjadi. Tentu mereka mahu padi penuh sekepuk setelah
jenuh bertungkus lumus di tengah sawah.
Setelah menuai padi dua tiga bakul sahaja nescaya padi yang selebihnya
akan masuk sendiri ke kepuk.
Tatkala
amalan ilmu semangat padi ini diturunkan, gurunya akan turunkan amalan syaitan
penanggal itu. Memang gurunya juga sudah
tidak tertahan lagi amalkan. Sebab itu
dia mencari sesiapa sahaja yang sanggup menerima amalan tersebut supaya mudah
dilupuskan dari dirinya.
Setelah
amalan diturunkan dia dikehendaki menyimpan tempayan cuka yang dibekalkan oleh
gurunya. Asal sahaja musim padi
berbunga, memang dia merasakan perut sentiasa lapar. Bila-bila sahaja keinginannya bergelojak mahu
menghirup darah perempuan baru lepas bersalin.
Ketika ini dia akan menggelepar tidak menentu hingga terpaksa
bersembunyi di dalam bilik.
Apabila
sesiapa pun tidak melihatnya, tiba-tiba sahaja dia merasa kepalanya tertanggal
dari tubuh lantas mengheret tali perunya berjurai-jurai. Memang dia tidak tahu apa-apa lagi ketika itu
kecuali dibawa terbang melayang oleh lembaga perempuan hodoh dengan kulit
mengelambir berdedut-kedut.
Sebaik
sahaja tercium banyir darah perempuan bersalin, lembaga perempuan hodoh itu
tidak bertangguh menjunam turun. Lembaga
perempuan hodoh itu tidak bertangguh menjilat darah yang masih mengalir pekat
bersama tembuni sampaikan dia sendiri merasa loya tidak bertahan. Tidak bertangguh lembaga perempuan hodoh itu
akan memarahinya kalau terjeluih muntah akibat loya tekak dengan bau hanyir
darah tersebut.
Setelah
puas menjilat darah berkenaan dia akan diterbangkan semua ke udara oleh lembaga
perempuan hodoh itu. Kemudian dibenamkan
tali perutnya ke dalam tempayan yang disediakan di penjuru dapur. Setelah tali perutnya kecut, lembaga
perempuan hodoh itu akan masukkan semula ke dalam tubuhnya dengan kepala
berpusing ke belakang.
Perlahan-lahan
kepalanya berpusing hingga kedudukannya pulih semula dengan muka di sebelah
hadapan. Ketika ini barulah dia
terbangun bagaikan terpisat-pisat terkejut dari tidur. Dia akan merasa seluruh badannya sakit-sakit
dengan lehernya ngilu seolah-olah dikelar mata parang. Masakan dia boleh melepaskan diri setelah
amalkan ilmu syaitan penanggal itu kecuali ada sesiapa yang sanggup menyimpan
tempayan cuka peninggalan gurunya.
Memang
tahu sangat nenek saya mengenai sesiapa sahaja yang amalkan ilmu syaitan
penanggal itu. Sebab itu dia tahu
mengenai pantang larang amalan itu yang tidak akan berani menyentuh duri
mengkuang. Bila-bila pun mereka yang
amalkannya akan mengelak supaya tidak bersentuhan dengan duri mengkuang yang
akan memusahkan dirinya.
Apa
lagi lembaga perempuan hodoh itu akan meraung kesakitan sekiranya duri
mengkuang tercangkuk di tekaknya tatkala menjilat darah melalui celah
lantai. Sebab tiu apabila disangkutkan
duri mengkuang di bawah lantai tempat Alang Maherah terkejang tentu lembaga
perempuan hodoh itu akan jauh-jauh membawa diri.
“Kalau
macam ni, tak tahu saya kak bidan,’ ujar Dukun Samid sebaik sahaja jejak kaki
menjengah Alang Maherah. Setelah diberi
tahu mengenai kejadian yang menimpa Alang Maherah memang Dukun Samid mengaku
tidak sanggup membantu.
“Habis,
apa kita nak buat sekarang ni?” desak
nenek saya semakin rusuh dengan keadaan Alang Maherah terkejang dihadap oleh
jiran-jiran.
“Cubalah,
Kak Bidan ikhtiar,” sahut Dukun Samid
terkebil-kebil mata memandang nenek saya.
Nenek
saya menjadi serba salah apabila Dukun Samid meminta dia ikhtiarkan, sekali pun
dia sudah menyerahkan kepada keputusan Dukun Samid. Tetapi Dukun Samid bersedia
membantu kerana perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar terpaksa
dilakukan dengan penuh kesabaran.
Bukan
mudah mahu mencari punca kenapa anak dalam kandungan Alang Maherah tiba-tiba
hilang. Kalau keguguran pun tentu mereka
boleh melihat mayat bayi dilahirkan.
Mereka terpaksa kebumikan juga dengan sempurna kalau bayi berkenaan
sudah cukup sifatnya.
Dalam
masa nenek saya dan Dukun Samid mula membakar kemenyan. Pak Tua Mahat terjongol muka. Sebaik sahaja dia diberi tahu mengenai adik
iparnya Alang Maherah tengah mengandung hilang bayinya, terus sahaja Pak Tua
Mahat bergegas datang.
“Mak
dengan Dukun Samid, buatlah cara mana pun,” ujar Pak Tua Mahat tidak mahu
mengganggu nenek saya dan Dukun Samid tengah membakar kemenyan. Pak Tua Mahat terus sahaja mengambil wuduk
lantas tunaikan solat sunat dua rakaat.
Selesai
sahaja Pak Tua Mahat solat sunat dia memerhatikan Tok Syeikh berjubah kuning
sudah tercegat di belakang nenek saya.
Mengeleng-geleng kepala Tok Syeikh apabila Alang Maherah mengaku di
depannya membawa nasi kunyit ke kubur Tok Sepada berkaul meminta cepat
mengandung. Kecewa benar dia setelah
bertahun-tahun berkahwin dengan Malim Sukat masih juga tidak mempunyai anak.
Memang
sudah berkali-kali Pak Tua Mahat melarang orang-orang kampung supaya tidak
berkaul di kubur Tok Sepada itu. Apa
sangat diharapkan pada kubur lama di kawasan tanah perkuburan di kampung itu
selain daripada batu nesannya dikatakan hidup tumbuh sampai setinggi berdiri.
Tetapi
Alang Maherah tidak peduli juga.
Disebabkan kehampaannya tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun
berkahwin. Lantas sahaja dia menjunjung
nasi kunyit sepantar. Dukun Samid
sendiri yang sediakan kemenyan supaya dibakar sewaktu menghantar sepantar nasi
kunyit di atas kubur berkenaan.
“Hah,
awak buat apa Dukun Samid!” gerutu Tok
Syeikh berjubah kuning marah apabila menatap muka Dukun Samid.
“Kawan
hanya sediakan kelengkapan ubat aje,”
beri tahu Dukun Samid serba salah kerana tidak dapat menyembunyikan
rahsia bagaimana Alang Maherah berkaul di kubur Tok Sepada.
“Sepatutnya
awak yang bertanggung jawab,” lantas Tok
Syeikh mengejeknya disebabkan Dukun Samid menyerahkan ikhtiar itu kepada nenek
saya. “Macam mana awak buat kerja tak
selesai ni?” tegasnya semacam mendesak
Dukun Samid sendiri mesti pulihkan keadaan Alang Maherah.
“Kawan
dah mati akal,” sahut Dukun Samid ikhlas kerana dia sudah tidak dapat melakukan
apa-apa lagi.
Tentu
Alang Maherah sudah melanggar pantang larang yang ditetapkan setelah dia
mengandung apabila berkaul di kubur Tok Sepada.
Dukun Samid dapat mengagak kalau berkaul dengan mengantar nasi kunyit
sepantar tentu diingatkan pantang larangnya.
Bukan mudah kalau harapkan berkaul di kubur Tok Sepada meminta
pertolongan!.
Dalam
masa Tok Sheikh berjubah kuning masih bertelagah dengan Dukun Samid, tidak
bertangguh Pak Tua Mahat menyerbu ke tengah asap hitam yang berpusar di
sekelilingnya. Sebaik sahaja dia
melepasi pusaran asap hitam itu, Pak Tua Mahat tercegat berdiri ditengah
halaman rumah tersergam dikelilingi bunga-bungaan.
Apabila
dia masuk ke kawasan taman bunga yang banyak kuntum-kuntum berkembang, dia
melihat seorang perempuan muda di atas buaian memangku bayi kecil. Tersenyum perempuan muda itu apabila melihat
Pak Tua Mahat tercegat di depannya.
“Janganlah
marah, Tok Pawang,” tutur perempuan muda memujuk setelah melihat Pak Tua Mahat
terlalu marah.
Pak
Tua Mahat tidak menyahut. Dia merenung
tepat ke mata perempuan muda itu hingga terpancar asap memutih di celah pelupuk
mata itu. Lantas Pak Tua mahat
membacakan doa:
Wa-in yamsaskallahhu bidhurin fala kasyifa lahu illahuwa, wa-in
yuridka bikhairin fala radda lifadhlihi, yusibubihi man yasya-u min ‘ibadihi,
wahuwal ghafurur rohim.
Apabila
Pak Tua Mahat menepuk kedua belah tangannya tiba-tiba sahaja tali buaian
terputus hingga perempuan muda itu jatuh terhenyak. Bayi di tangannya juga jatuh bergolek ke
tanah dengan tangisnya yang menyayukan.
Tetapi lama kelamaan tangisan bayi itu tenggelam bersama tiupan angin.
Kemudian
Pak Tua Mahat melihat bayi yang jatuh tergolek itu diselaputi lumut hingga
bertukar menjadi batu nesan yang keras.
Beberapa kali Pak Tua Mahat beristighfar menahan rasa sebak dengan
kejadian yang dilihatnya. Betapa
malangnya nasib bayi kecil itu akibat gangguan syaitan yang mencari kesempatan
disebabkan kebodohan Alang Maherah yang mengharapkan pertolongan daripadanya.
“Kenapa
kamu perdayakan Maherah?” Pak Tua Mahat
menghentakkan tumit ke tanah lantas mengisarnya tiga kali. Terbatuk-batuk perempuan muda itu seolah-olah
dadanya dihentak oleh Pak Tua Mahat dengan tumit.
“Maherah
minta nak mengandung, bukannya nakkan anak,” sengaja perempuan itu berdalih.
“Memang
kamu memalukan bunian!” tersengih-sengih Pak Tua Mahat mengejeknya biar
perempuan muda itu tersinggung. “Bunian
selalunya baik-baik, bukan macam syaitan yang dilaknat,” ujarnya menyebabkan perempuan muda itu
tertunduk malu dihina demikian.
“Tok
Sheikh dah tak sukakan aku,” sahut
perempuan muda itu mengaku dirinya memang dari golongan bunian. Apabila dia menyebut Tok Syeikh berjubah
kuning, Pak Tua Mahat dapat mengagak tentu bunian yang mahu memperdayakan Alang
Maherah.
Kemudian
Pak Tua Mahat membacakan Ayatul Kursi 17 kali dan dihembuskan kearah perempuan
muda itu. Tiba-tiba sahaja api menyambar
kearahnya hingga perempuan muda itu terkial-kial mahu melarikan diri. Apabila perempuan muda itu terkurung di
sekeliling tembok akibat api menyambar pantas Pak Tua Mahat terus membacakan
tiga kali:
Huwallahhul kholiqul bari-ul musauwiru lahul asma-ul husna,
yusabbihu lahu mafis-samawati wal-ardhi wahuwal ‘azizul hakim.
Tidak
bertangguh perempuan muda itu menekup telinganya akibat bunyi guruh yang
menggegar di udara. Tersengguk-sengguk
dia menangis kerana tidak bertahan dengan ancaman guruh yang menggegar
itu. Kulit tubuhnya juga melecur
disambar api setiap kali guruh bergema di udara.
“Minta
ampun Pak Tua Mahat,” gerutunya
terketar-ketar menahan kesakitan akibat melecur seluruh badan.
Dalam
suara terketar-ketar juga dia memberi tahu Pak Tua Mahat mengenai Alang Maherah
meminta bantuan Dukun Samid. Malim Sukat
berharap sangat mahukan isterinya mengandung setelah bertahun-tahun mereka
berkahwin. Sebab itu Dukun Samid berikan
petua supaya hantarkan sepantar nasi kunyit ke kubur lama Tok Sepada.
Di
situlah berkaul supaya jelmaan Tok Sepada boleh membantu. Tentu Tok Sepada akan berikan petua yang
mesti di patuhi oleh Malim Sukat dan Alang Maherah biar cepat boleh
mengandung. Setelah berkaul di kubur Tok
Sepada itulah Malim Sukat bermimpi menemui perempuan muda yang mengajaknya
berkahwin kalau inginkan anak.
Tidak
pernah pula Malim Sukat beri tahu Dukun Samid mengenai mimpinya itu. Masakan mimpi boleh mengganggu
keluarganya. Sebab itu dia tidak beri
tahu apa-apa pada Dukun Samid. Biarlah
mimpi dia berkahwin dengan perempuan muda itu menjadi rahsia dirinya sendiri
sahaja.
Apalah
gunanya dia beri tahu mengenai perkahwinan dengan perempuan muda di dalam
mimpi. Tentu Puteri Bayu yang ditemuinya
di dalam mimpi itu tidak sama dengan Alang Maherah. Dia dilayani oleh Puteri Bayu bagaikan raja
yang berkuasa di mana-mana. Apa sahaja
kemahuannya dituruti oleh Puteri Bayu.
Memang
jelmaan Puteri Bayu itu melihat dia bersama Alang Maherah menghantar sepantar
nasi kunyit ke kubur Tok Sepada. Tentu
Tok Sepada tidak akan menjelma kerana sudah lama tok pawang itu meninggal
dunia. Kalau pun Tok Sepada dikenali
sebagai tok pawang terkenal hanya semasa hayatnya sahaja. Setelah Tok Sepada meninggal dunia
kebolehannya sebagai tok pawang juga sudah berakhir sebaik sahaja tubuhnya
dimasukkan ke liang lahad.
Sebab
itu Puteri Bayu sengaja menawarkan diri kepada Malim Sukat. Sebaik sahaja dia mengajak berkahwin memang
Malim Sukat tidak membantah apa-apa.
Biarlah Puteri bayu membawa dia kemana sahaja asal sahaja dia dilayani
tiada batasan.
Di
sebabkan Malim Sukat tidak memberi tahu apa-apa kepadanya mengenai mimpi yang
dialaminya. Dukun Samid pun tidak
bertanya apa-apa. Dia mengagak tentulah
Malim Sukat berpuas hati setelah menghantar sepantar nasi kunyit berkaul di
kubur lama Tok Sepada.
Apa
lagi tidak selepas berkaul di kubur Tok Sepada, memang Alang Maherah
mengandung. Setelah kandungannya membesar Alang Maherah juga tidak bertanya
kepada Dukun Samid apa perlu dibuat selanjutnya. Sebab itu Dukun Samid tidak berani mahu
campur tangan mahu tunjukkan petua-petua yang perlu diamalkan.
“Maherah
hanya mengandungkan anak aku!” jelas perempuan muda itu mendayu-dayu menatap
muka Pak Tua Mahat. “Sebab itu aku mesti
ambil balik,” dia menggertap bibir
kerana kecewa setelah diserbu oleh Pak Tua Mahat di situ.
“Kamu
bunian yang tak bermalu” ejek Pak Tua Mahat selanjutnya mahu menyakiti hati
perempuan muda itu. Nanti aku tunjukkan
wajah kau yang sebenar pada Malim Sukat,”
ujarnya memberi amaran supaya jangan mengganggu keluarga Alang Maherah.
Semakin
gelisah perempuan muda itu apabila rahsia wajahnya yang sebenar sudah diketahui
oleh Pak Tua Mahat. Masakan dia boleh
bersembunyi daripada Pak Tua Mahat mengenai kepalanya yang bertanduk macam
binatang ternak, tidak berhidung serta tengkuknya yang berlubang macam tunggul
tengah belukar.
Tentu
Malim Sukat akan ketakutan sekiranya melihat wajah perempuan muda itu
demikian. Belum pun sempat perempuan itu
merayu kepada Pak Tua Mahat, lantas sahaja dibacakan al-Fatihah tiga kali dan
Ayatul Kursi 11 kali terus di hembuskan kearah perempuan muda yang terkaku
bagaikan di pukau.
Serta
merta sahaja wajah perempuan muda itu bertukar menjadi hodoh dengan rambut
mengerbang, hidung ternganga dan dua tanduk bercangap laksana kambing
jantan. Dia menjadi bertambah malu di
sebabkan wajah sebenarnya sudah tidak dapat disembunyikan lagi.
Apabila
Pak Tua Mahat bangun dari tempat dia solat, terus sahaja Dukun Samid berjabat
tangan dengannya. Dukun Samid mengakui
fasal Alang Maherah dan Malim Sukat menemuinya minta petua supaya mereka suami
isteri cepat mengandung. Memang Dukun
Samid tidak tahu bagaimana gangguan bunian itu boleh menyebabkan nasib malang
demikian menimpa Malim Sukat suami isteri.
Sebab
itu Melah Gedek tidak peduli sangat mengenai dirinya tidak mempunyai anak
setelah beberapa tahun berkahwin dengan Mat Sunoh. Kalau suaminya berkeras sangat mahukan anak
biarlah mereka mengambil anak angkat sahaja.
Tentu saudara mara mereka sanggup serahkan anak yang baru lahir
sekirannya dia menujuk dengan baik.
Bimbang
benar Melah Gedek apabila kenangkan kejadian yang menimpa Alang Maherah
bertahun-tahun dulu. Tidak perlu dia
berkaul di kubur lama Tok Sepada semata-mata mahukan cepat mengandung. Perkara mendapat anak atau tidak memang urusan
Allah Subhanahu Wataala, kenapa pula dia mersti berkaul pada kubur lama yang
hanya tersergam batu nesan sahaja?.
“Hei,
anak kita kena hujan, kenapa biarkan?”
terkejut Melah Gedek apabila suaminya terjerit-jerit di tengah
rumah. Tidak bertangguh dia menjengah
mahu memastikan kenapa Mat Sunoh menjerit-jerit menyebut mengenai anak. Bagaimana pula anaknya terkena hujan
sedangkan mereka berdua belum pun di kurniakan seorang anak.
“Hah,
dah siang pun mengigau lagi!” gerutu Melah Gedek terus menampar-nampar bahu
suaminya biar cepat bangun.
“Kenapa
biarkan anak kita main hujan?” keras suara Mat Sunoh membentak masih lagik
menarik selimut kukuh-kukuh.
“Anak
kita yang mana pula ni?” tersengih-sengih Melah Gedek disebabkan Mat Sunoh
merapik tidak menentu.
“Di
tengah halaman tu, jangan biarkan dia main hujan!” marah benar Mat Sunoh apabila isterinya tidak
pedulikan dia.
“Awak
aje bangun, suruh anak awak naik,” Melah
Gedek tersenyum merenung suaminya mengigau tidak hiraukan dia di sisinya.
Puas
ditampar-tampar bahunya oleh Melah Gedek, perlahan-lahan Mat Sunoh membuka
mata. Dia mengusap-usap muka dalam
keadaan terpisat-pisat. Hairan benar dia
disebabkan Melah Gedek mentertawakan setelah mengejutkan dia dari tidur.
Cepat-cepat
Mat Sunoh berkejar ke tingkap memerhati hujan yang masih turun di luar. Dia merenung ke tengah halaman lantas
menggeleng-geleng lemah. Apabila tertentang
mata dengan isterinya Mat Senoh masih terpinga-pinga disebabkan Melah Gedek
terkekeh-kekeh ketawa.
“Kenapa
awak ketawakan saya?” tersinggung juga
Mat Senoh disebabkan isterinya perolok-olokkan dirinya.
“Awak
tu mengigau sampai mengaku dah ada anak,”
beritahu Melah Gedek tidak dapat menahan rasa geli hatinya dengan igauan
Mat Sunoh.
“Hah,
aku mimpi…” keluhnya terharu apabila
kenangkan mimpinya dia sudah mempunyai anak tengah galak berlari.
Gembira
benar dia bermain dengan anak kecil tengah galak berlari itu. Tetapi Melah Gedek sengaja membawa anak kecil
itu bermain di tengah halaman hinggakan hujan turun lebat pun tidak dipedulikan
langsung. Isterinya asyik bermain di tengah hujan bersama anak
kecilnya. Beberapa kali dipanggil oleh
Mat Sunoh tidak juga dihiraukan Melah Gedek sampai anak kecil itu
tercungap-cungap kesejukan.
Lantas
sahaja Mat Sunoh mahu melompat ke tengah halaman menyambar anak kecilnya. Dia akan jerkah Melah Gedek kerana biarkan
anak kecilnya kesejukan ditengah hujan mencurah-curah. Tetapi kaki Mat Sunoh tekaku tidak boleh di
gerakkan langsung. Terkial-kial dia mahu
melompat turun dalam keadaan terlalu payah.
“Sebab
tu, lepas subuh jangan tidur lagi,”
Melah Gedek mengusik dengan tersengih-sengih.
Hampir
jam 10.00 pagi baru hujan mulai reda.
Mat Sunoh hanya tersandar di jenang pintu duduk berjuntai kaki di kepala
tangga. Kalau sudah hujan pagi memang
buntu fikiran mahu tuju ke mana. Mahu ke
kebun pisang tanah masih lekit dan becak akibat hujan turun mencurah. Hanya ke sungai sahaja yang boleh lakukan
menggalas joran kail. Sekiranya air
sebak ikan juga tidak akan menyambar kail disebabkan tengah kenyang.
Sengaja
Mat Sunoh terconggok di depan pintu memerhati ayam mengekas di hujung
halaman. Itik juga berdepap-depap
menyudu di bawah rumput becak dilinati lumpur.
Apabila hujan teduh burung-burung juga berkicau riang di hujung
dahan. Asyik sangat Mat Sunoh memerhati
burung-burung berlompatan di hujung dahan jambu sampai tidak turun lagi ke
telaga untuk mandi.
“Tak
ada anak awak di halaman tu, pergilah mandi,”
semakin galak Melah Gedek mengusik suaminya yang leka duduk di kepala
tangga. Lainlah dalam mimpi semuanya
terlintas di kepala menjelma di depan mata.
Apa lagi Mat Sunoh asyik sangat mahu menimang anak tentulah terbawa-bawa
dalam mimpinya yang serba indah.
Sebab
itu sudah santak pagi pun Mat Sunoh bermimpi mengenai anak kecil bermain di
tengah halaman. Kalaulah dia tidak asyik
mahukan anak masakan boleh bermimpi demikian.
Sudah berkali-kali juga Mat Sunoh merungut disebabkan tidak mendapat
anak setelah bertahun-tahun berkahwin.
Tetapi apabila didesak oleh Melah Gedek supaya mengambil anak kakanya
dijadikan anak angkat berkeras sangat Mat Sunoh tidak mahu.
Malu
sangat dia mahu mengambil anak angkat seolah-olah dirinya benar-bernar
mandul. Bila-bila Mat Sunoh sanggup
berkahwin lain kalau mahu buktikan dirinya bukan mandul hingga tidak mempunyai
seorang anak pun. Biarlah Melah Gedek
berkeras membantah, dia tetap akan berkahwin lain sekirannya perempuan itu
mandul tidak boleh mengandung..
“Aku
mahu kahwin lagi,” ujar Mat Sunoh
perlahan menyebabkan Melah Gedek tersentak. “Aku mesti buktikan aku tak mandul,”
tegasnya macam mencabar perempuan itu.
“Apa
awak cakap?” gerutu Melah Gedek marah dengan keputusan Mat Sunoh tiba-tiba
mendadak sahaja.
Terpinga-pinga
Mat Sunoh apabila bahunyua ditampar kuat oleh Melah Gedek. Dia sendiri tidak menyedari apa yang di tuturkannya
menyebabkan isterinya marah tidak bertahan.
“Kalau
awak nak kahwin biar aku balik ke rumah mak ayah aku!” Melah Gedek terus memberikan kata putus.
Belum
pun sempat Mat Sunoh menyahut, dia sudah masuk ke dalam. Tergocoh-gocoh Melah Gedek kemaskan
pakaiannya dimasukkan ke dalam gendong kain.
Dia sudah mendengar sendiri keputusan Mat Sunoh mahu berkahwin lain
disebabkan tidak mempunyai anak semenjak bertahun-tahun berkahwin.
Tidak
berguna lagi dia bertahan di situ sekiranya Mat Sunoh sudah berdetak hati
menyalahkan dirinya. Apalah ertinya dia
menjadi isteri setelah Mat Sunoh tidak menghargai dirinya lagi hingga tergamak
menyatakan mahu berkahwin lain.
Ketika
Melah Gedek turun meninggalkan rumah, memang Mat Sunoh tidak memujuk
apa-apa. Dia seolah-olah merelakan
isterinya meninggalkan dia berseorangan di situ. Memang terkejut besar Uda Seman apabila
diberi tahu oleh Melah Gedek puncanya meninggalkan Mat Sunoh. Kalau takat Mat Sunoh menuturkan mahu
berkahwin kenapa pula anaknya Melah Gedek cepat sangat berasa hati?
Puas
dipujuk pun Melah Gedek tetap dengan keputusannya tidak mahu balik semula ke
rumah Mat Sunoh. Dia sudah nekad mahu
tinggalkan suaminya setelah hatinya tersinggung dengan keputusan Mat Sunoh. Tidak patut lelaki itu menuduh dia mandul
disebabkan sudah bertahun-tahun kahwin tetapi masih juga tidak mempunyai anak.
“Boleh
jadi Sunoh tu cakap main-main,” Uda
Seman memujuk anaknya supaya tidak membuat keputusan terburu-buru.
“Dengan
siapa Sunoh nak kahwin?” lantas emaknya Uda Demah pula mencelah. Tidak di
duganya langsung menantunya sudah berkira mahu berkahwin lain kalau banding
sikapnya yang lemah lembut tutur bahasa.
“Ah,
biarkan dia nak kahwin, dia tuduh saya ni mandul” jelas Melah Gedek meluahkan
rasa terkilan yang menusuk-nusuk di dalam hatinya.
“Jangan
ikutkan hati marah, Melah,” ujar Uda Seman ingatkan anaknya supaya banyak
bersabar dalamj menghadapi keadaan demikian.
Desebabkan
Melah Gedek berkeras tidak mahu lagi balik ke rumah, terpaksa Uda Seman menemui
Mat Sunoh. Biarlah dia mendesak Mat
Sunoh memujuk Melah Gedek. Manalah tahu
hati Melah Gedek akan surut semula sekiranya Mat Sunoh sendiri datang
mengajaknya balik ke rumah.
Sebaik
sahaja Uda Seman jejak kaki di tengah halaman dia melihat rumah Mat Sunoh
bertutup rapat. Apabila dia merapat ke
kaki tangga Uda Seman mendengar suara berbisik-bisik lelaki dan perempuan. Berdebar hatinya disebabkan Mat Sunoh
tergamak melakukan perbuatan yang mengaibkan demikian.
Siapa
pula perempuan yang naik ke rumah Mat Sunoh sebaik sahaja ditinggalkan oleh
Melah Gedek. Berkali-kali Uda Seman
beristighfar dengan perbuatan menantunya yang menjolok mata itu. Taktala dia menjengah di celah lubang dinding
memang Uda Seman sekadar melihat Mat Sunoh sahaja terlentang di tempat tidur
dengan tangan langgung ke kepala. Tidak
ada siapa pun di sisi Mat Sunoh ketika ini.
Tetapi
Mat Sunoh masih bercakap tidak menentu bagaikan maraca seorang diri. Sekali gus pula suara perempuan yang di
layannya bercakap hilang sebaik sahaja Uda Seman menjengah di celah lubang
dinding. Apabila dia berundur ke tengah
halaman Uda Seman dapat mendengar suara perempuan itu berbisik-bisik dengan Mat
Sunoh.
Di
sebabkan dia dapat mengagak Mat Sunoh bercakap seorang diri, lantas sahaja Uda
Seman memberi tahu Pak Tua Mahat. Nenek
saya juga diberi tahu setelah Pak Tua Mahat mengesyaki tentu Mat Sunoh diganggu
bunian. Memang mereka di kampung itu
akan menemui nenek saya kalau sesiapa digangglu bunian hingga meracau tidak
menentu.
Memang
kesal sangat Melah Gedek setelah menyedari suaminya bukan membuat keputusan
mahu menyakiti hatinya. Apabila dipujuk
emaknya Uda Demah supaya menjengah Mat Sunoh, tidak bertangguh dia ikut
sama. Sewaktu jiran-jiran berkumpul di
rumahnya Mat Sunoh sendiri berasa hairan kenapa mereka menuduh dia tidak siuman
hingga meracau-racau seorang diri.
“Habis,
kau bercakap dengan siapa?” Uda Seman
mendesaknya disebabkan Mat Sunoh mengakui dia masih siuman.
“Saya
bercakap dengan Melah, dengan siapa pula lagi?” beri tahu Mat Sunoh mengerling
isterinya Melah Gedek.
“Aku
balik ke rumah ayah, awak jangan merapik,”
sahut Melah Gedek menjelaskan apabila kenangkan dia bertengkar dengan
suaminya.
“Huh,
pening kepala aku,” gerutu Mat Sunoh setelah diberi tahu demikian oleh Melah
Gedek. Seingat-ingat dia sebaik sahaja Melah
Gedek berkemas mahu balik ke rumah ayahnya, tidak bertangguh Mat Sunoh
memujuk. Kemudian mereka sama-sama
memasak nasi di dapur. Selepas makan
tengah hari mereka berbaring sama-sama dengan tidak turun ke mana-mana.
Siapa
pula yang melayani dia kalau bukan isterinya sendiri Melah Gedek? Sepanjang hari isterinya di samping dia,
kenapa pula Melah Gedek mengaku sudah balik ke rumah ayahnya Uda Seman? Memang
Mat Sunoh sendiri hairan apabila Melah Gedek juga menuduh dia tidak siuman
hingga meracau tidak menentu.
Tetapi
nenek saya tidak melayani sangat Mat Sunoh yang mula terkekeh-kekeh
ketawa. Dia tidak peduli Mat Sunoh
menuduh jiran-jiran yang datang ke situ tidak siuman. Lantas sahaja nenek saya minta sediakan tujuh
kuntum bunga raya dan jantung pisang kelat.
Semasa
nenek saya memotong jantung pisang kelat di belah empat, tiba-tiba sahaja Mat
Sunoh terketar-ketar. Mukanya berubah
menjadi pucat dengan peluh memercik di seluruh badan. Tujuh kuntum bunga raya yang belum kembang
itu direndam ke dalam geluk berisi air.
“Kenapa
kau menggeletar Sunoh?” sengaja Pak Tua Mahat mengusiknya disebabkan Mat Sunoh
betul-betul ketakutan.
“Buat
apa nenek buat macam tu?” lantas sahaja
Mat Sunoh menangis hiba memerhati jantung pisang kelat dibelah empat di dalam
geluk air.
“Buat
macam mana pula?” nenek sahya mengangkat muka memandang Mat Sunoh.
“Nenek
nak bunuh Melah ke?” terketar-ketar Mat Sunoh menahan kesedihan yang
menusuk-nusuk. “Melah tu isteri saya,
kenapa dipotong-potong badannya,” dia
mengeluh panjang dalam keadaan tidak bermaya.
“Melah
isteri kamu di sana tu!” sahut Pak Tua
Mahat menuding kearah Melah Gedek yang tercengang kehairanan.
Memang
mereka semua tahu keadaan Mat Sunoh bukan lagi dilamun mimpi. Dia mengalami tekanan perasaan akibat terlalu
memikirkan sangat mengenai anak. Tetapi
nenek saya menyedari Mat Sunoh bukan takat mengalami tekanan perasaan. Malah
dia melihat Mat Sunoh sudah jauh dibawa bunian ke tengah hutan rimba.
Pak
Tua Mahat sudah mengakui dia tidak berupaya membantu kalau Mat Sunoh diganggu
bunian. Lainlah kalau puaka hutan yang
menjelma laksana lembaga tinggi dengan kepala santak keawan, bila-bila Pak Tua
Mahat sanggup berikhtiar.
“Macam
itulah ustaz keadaan Mat Sunoh,” beri
tahu Itam Lijah sewaktu saya menziarahi anaknya Mat Sunoh. Memang Mat Sunoh tidak pedulikan saya sekali
pun pernah berkawan semenjak kecil-kecil.
Dia tersengih-sengih sahaja apabila saya menegurnya..
SELESAI.
No comments:
Post a Comment