Sunday, October 9, 2016

197. ULAT BERENGE DI TUBUH WANITA



MEMANG peristiwa ini telah berlaku beberapa tahun dulu apabila harimau mengganas di kampungnya di Pelangai menangkap kerbau ternakan, tetapi bagi Ulung Sali kenangan itu tetap disimpannya baik-baik dalam hati.  Kalau saya ke rumahnya Ulung Sali tetap akan menceritakan bagaimana kerbau jantannya terpaksa ditembak oleh orang-orang kampung.
“Sayang benar Tok Ulung pada kerbau jantan tu,”  ceritanya apabila mengingat kembali peristiwa tersebut.  “Tapi kalau tak di tembak mati, nanti dia mengamuk pula habis orang-orang kampung ditebongnya,”  ujar Ulung Sali lagi lantas menghisap rokok yang terjepit di celah bibirnya.
Perkataan ‘tebong’ itu mungkin tidak difahami oleh orang-orang di luar Kampung Pelangai dan sekitarnya seperti di Mentaus, Simpang Durian dan Mancis.  Tetapi maksud sebenarnya ialah ‘ditanduk’.  Disebabkan saya sering ke sana, maka mudahlah saya memahami perkataan-perkataan loghat kampung berkenaan sebanyak sedikit.
Kerbau kesayangan Ulung Sali itu meragut rumput bersama kerbau-kerbau lain di hujung sawah berhampiran dengan sempadan hutan.  Orang-orang kampung yang sedang berkerja di sawah termasuk Ulung Sali sendiri heran mendengar kerbau jantan itu tiba-tiba menguak kuat.  Mereka melihat dia berjalan mengereng meninggalkan kerbau-kerbau betina yang lain sedang meragut rumput.
Tidak semena-mena dia menyerbu kearah belukar kecil berhampiran menghayunkan tanduknya yang runcing.  Apabila kepalanya terangkat orang ramai melihat seekor harimau belang bagaikan bertenggek di atas kepalanya dengan ngauman yang menggerunkan.
Orang-orang yang melihat kejadian itu semuanya menyangka harimau belang itu cuba menangkap kerbau jantan Ulung Sali, kerana dia bertenggek di kepala kerbau dengan tangan dan kakinya mencakar-cakar.  Tetapi kerbau jantan Ulung Sali masih juga tertegak sekalipun kepalanya menunduk ke bumi.
Setelah diamat-amati barulah mereka menyedari bahawa kerbau jantan itu telah menanduk harimau yang cuba mengendap mangsa di sebalik belukar.  Disebabkan tubuh harimau itu berat dan terlekat pada tanduknya, kerbau jantan Ulung Sali tidak dapat melepaskan harimau berkenaan yang tersangkut di tanduknya itu.
Bagaimanapun orang-orang kampung yang datang mengelilingi kerbau jantan itu melihat harimau itu sudah mati kerana hujung tanduk kerbau itu menembusi bahagian dadanya.  Ulung Sali mengajak orang-orang kampung melepaskan harimau tersebut dari hujung tanduk kerbau jantannya, tetapi cepat-cepat dinasihatkan oleh orang-orang kampung jangan lakukan demikian.
“Kerbau macam ni biasanya akan naik minyak, kita mesti sembelih dia,”  kata Abang Amud mengingatkan.
Kata-kata Abang Amud itu disokong oleh orang ramai, kerana mereka menyedari kerbau terluka atau selepas berkelahi akan mudah naik minyak.  Dia akan mengamuk menanduk siapa saja sekiranya terlepas.  Akhirnya terpaksalah Ulung Sali menyetujui supaya kerbau itu ditembak dan disembelih saja.
Kematian kerbaunya itu memang terkilan sangat pada hati Ulung Sali, apalagi kematiannya dalam keadaan yang menyedihkan.  Kerbaunya itu terpaksa dibunuh sekalipun telah berjasa besar menyelamatkan kerbau ternakan orang-orang kampung dari serangan harimau ganas.
“Sampai bila-bila pun Tok Ulung kenang betul-betul kerbau jantan Tok Ulung tu…” ujarnya semasa datang berkunjung ke rumah saya.  Dia datang ke rumah saya kerana dijemput oleh Bahaman cicitnya yang tinggal di Hulu Kelang.  Bahaman inilah yang menghantar dia ke rumah saya, kerana Ulung Sali memintanya membawa dia ke rumah saya.
“Kau dah tau rumah Angah ni, selalu-selalulah datang cari dia,”  katanya mengingatkan Bahaman setelah menceritakan semula peristiwa kerbaunya berjaya membunuh harimau.
Bahaman mengangguk tersengih-sengih.  Orang muda sepertinya memanglah sukar mengenali saudara mara yang hanya bau-bau bacang saja sekiranya tidak diperkenalkan oleh orang-orang peringkat tua.  Ini di sebabkan masing-masing sudah duduk berjauhan, di samping tidak mengetahui akan salasilah keturunan sendiri.
“Angah ni pangkat bapak pada kau, takkanlah dia nak cari kau, tapi kenalah kau cari dia…”  suara Ulung Sali keras dan garau, tetapi memang demikianlah nada dia bercakap.
“Saya memang pernah dengar mengenai diri Pak Ngah tapi inilah pertama kali berjumpa,”  beritahu Bahaman mengerling kearah Ulung Sali.
“Iyalah, orang peringkat muda-muda manalah saya nak ingat,”  ujar saya kerana baru itulah pertama kali menyedari bahawa Bahaman itu mempunyai hubungan kekeluargaan.  Sejak beberapa lama dia bertugas di Kuala Lumpur, memang kami tidak pernah berkenalan.
Hinggalah Ulung Sali memberikan alamat saya dan mengajak Bahaman datang ke rumah.  Kalaulah saya tahu Ulung Sali datang ke Kuala Lumpur, memang saya sendiri akan datang mencarinya.
“Onyang ni datang pun kerana di jemput, kalau tidak pun tak mau dia datang,” beritahu Raonah isteri Bahaman.  “Susah sangat nak bawa dia ke sini, nak ke kebunlah, nak bagi makan ayam itiklah, ada-ada aje alasan dia,”  katanya menambah.
“Kau dah tua besok, kau rasalah semuanya tu,”  sambut Ulung Sali tertawa macam mengejek Raonah.  Tubuhnya masih kelihatan bertenaga sekalipun usianya sudah hampir seratus tahun.
Dia memberitahu saya kedatangannya disebabkan anak Bahaman yang berusia dua tahun itu sering sakit-sakit sejak lahirnya.  Oleh itu dia datang membawakan daun serum untuk dijaramkan, di samping mengubatinya untuk tempoh selama tiga hari berturut-turut.
Bagaimanapun Ulung Sali mendesak supaya Bahaman membawa anaknya balik ke kampung sekiranya masih juga belum sembuh.  Sakit yang dihidapi oleh anak Bahaman itu ialah kudis di seluruh tubuhnya.  Apabila dibawa ke hospital, kudis itu akan hilang untuk seminggu saja, kemudian akan kembali menanah berair-air.
Semasa dia datang bersama Ulung Sali itu, anak Bahaman yang kecilI ni masih juga berkudis.  Tetapi keadaan tubuhnya tetap segar, dan dia bermain riang dengan anak-anak saya.
“Sakit macam mana ni?”  saya bertanya sambil memerhatikan anak kecil Bahaman dan Raonah,
“Entahlah Pak Ngah,”  beritahu Raonah bagaikan terbayang rasa putus asa di wajahnya.  “Tengoklah badannya tu penuh dengan kudis,  tak mau sembuh.  Dah puas berubat di hospital dan di klinik tu.  Bila makan ubat, kudis tu keringlah, tapi seminggu lepas tu, berbalik semula,”  jelasnya merendah.
Tubuh anak kecil itu memang di penuhi kudis, tetapi sudah kelihatan kering berparut.  Setelah dijaram oleh Ulung Sali dengan air daun serum kudis itu mulai mahu sembuh.  Ulung Sali memberitahu anak kecil itu terkena kenan semasa dalam kandungan lagi.
Sukar juga saya hendak memahami ‘kenan’ yang dimaksudkan oleh Ulung Sali itu, kerana kepercayaan orang-orang di kampung penyakit kenan itu berpunca dari gangguan yang bersangkutan dari perbuatan ibu dan ayah bayi semasa ianya di dalam kandungan.
Misalnya kalau si ayah memukul katak semasa bayi di dalam kandungan ibunya, berkemungkinan bayi itu lahir mengidap ‘kenan’ seperti katak yang kena pukul itu.
Tetapi bagaimana pula Ulung Sali boleh mempercayai ‘kenan’ ini kerana penyakit kudis di seluruh badan ini pernah menghinggapi adik iparnya Saebah.  Ramai orang-orang kampung itu percaya Saebah terkena ‘kenan’ harimau belang yang mati di tanduk oleh kerbau jantan Ulung Sali.
Selepas peristiwa kerbau jantan menanduk harimau itu, orang-orang kampung tidak manghiraukan sangat bangkai harimau berkenaan.  Mereka hanya mengambil kerbau jantan yang sudah ditembak dan disembelih itu saja.  Abang Amud menyuruh Mat Dabit dan Lias Badak membuang bangkai harimau tersebut ke sungai.  Entah macam mana bangkai harimau yang di campakkan oleh Mat Dabit dan Lias Badak ke sungai itu tidak hanyut ke hilir.
Ianya tersangkut pada tunggul di tebing sungai.  Ketika inilah Saebah mahu memancing tiba-tiba dia terkejut melihat bangkai harimau tersadai pada tunggul kayu di tebing sungai sudah hampir reput dengan seluruh tubuhnya dihinggapi ulat berenga.
Akibat terkejut melihat bangkai harimau tersadai di tunggul kayu di tebing sungai itu Saebah diserang demam menggigil.  Hampir seminggu pula dia terbaring di tempat tidur diganggu oleh igauan yang menakutkan.  Dia terpekik-pekik di tengah malam meminta tolong kerana mengigau dikejar oleh harimau yang tersangkut pada tunggul di tepi tebing.
Seminggu Saebah terlantar sakit, suaminya Ngah Derani pula tidak turun ke sawah kerana menunggu isterinya itu.  Dia tidak percaya meninggalkan Saebah dijaga oleh anak-anak di rumah tatkala dia mengerjakan sawah di bendang.  Terpaksalah Ngah Derani sendiri membantu Saebah kalau mahu buang air kecil atau besar pun.
Semasa Ulung Sali datang menziarahi dia melihat keadaan Saebah bertambah tenat.  Kudis yang merebak ke seluruh badan itu sudah membengkak dan menanah, hingga ada yang dihurungi ulat berenga sebesar hujung lidi.
“Boleh jadi Kak Saebah ni ketulan,”  kata adiknya Abang Amud yang menyedari sikap kakaknya terlalu kasar terhadap suami sendiri. Malah pernah Abang Amud melihat Saebah membangunkan Ngah Derani dari tidur dengan menunjalnya dengan hujung kaki.
Tetapi Ulung Sali tidak percaya dengan dakwaan Abang  Amud.  Bagaimanapun dari keadaan penyakit Saebah itu ada tanda-tanda ianya mempunyai kaitan dengan ketulahan. Kudis yang menumbuhi seluruh badannya memang tidak sama dengan kudis yang biasa dihidapi oleh orang.
Mula-mula tumbuh berbelak-belak di kulit seperti di hinggapi panau.  Lama kelamaan ianya akan bertukar menjadi merah meruam berbintik-bintik.  Ketika ini Saebah akan merasa gatal merenyam-renyam menyebabkan dia menggaru sampai ditonyoh-tonyoh ke dinding.  Darah akan memercik dari bekas digaru ke dinding itu, dan dari sinilah mulanya kudis akan membusuk.
“Aku percaya ni tulah pada Ngah Derani,”  Abang Amud tetap menuduh kakaknya demikian.  “Tengoklah macam mana dia buatkan Ngah Derani, macam anak-anak aje dibuatnya,”  ujarnya bagaikan kesal dengan sikap kakaknya selama ini yang terlalu langgar bahasa dengan suami sendiri.
“Ketulan ni bukan boleh buat main-main , Amud,”  Ulung Sali mengingatkan dia.
“Aku percaya Kak Saebah ni ketulahan pada Ngah Derani,”  ulangi Abang Amud memberi pendapatnya semasa berunding mahu mengubati penyakit Saebah.
“Sepanjang yang ingat tak ada pula Saebah menderhaka pada aku,”  jelas Ngah Derani pula membantah dakwaan adik iparnya.
“Ngah Derani memang tak nampak, sebab dia yang kena,”  beritahu Abang Amud kerana jauh di sudut hatinya dapat membayangkan bahawa Ngah Derani sudah terkena ubat guna-guna Saebah.  Sebab itulah pada diri Ngah Derani dia tetap memandang segala perbuatan isterinya terhadap dirinya adalah baik belaka.
Ketika berbincang mahu mengubati penyakit Saebah itulah Abang Amud mendedahkan kejadian yang pernah berlaku semasa kenduri mengahwinkan anak mereka.  Menurut Abang Amud di sebabkan terlalu mengantuk berjaga, dia dan Ngah Derani telah tertidur di penanggah.
Keesokan paginya Saebah datang membangunkan Ngah Derani supaya segera mengambil sayur yang dipesan dari Mail Badut.  Disebabkan Ngah Derani masih menggeliat-geliat manahan rasa mengantuknya, Saebah menjadi marah lantas naik ke atas penanggah.  Dia menyepak-nyepak betis Ngah Derani menyuruhnya bangun segera.
Perbuatannya ini dilihat oleh Abang Amud, menyebabkan dia malu kepada abang iparnya di atas perbuatan kakaknya.  Cepat-cepat Abang Amud memarahi Saebah kerana membangunkan Ngah Derani dengan menyepak-nyepak betisnya.  Setelah di marahi oleh Abang Amud terpaksalah Saebah pergi dengan tersipu-sipu.
“Itu contoh yang saya lihat sendiri,”  tegas Abang Amud penuh yakin bahawa Saebah memang ketulahan.  “Selama ni memang kita tahu Kak Saebah melayan Ngah Derani macam anak-anaknya aje,”  dia tetap mendakwa penyakit yang dihidapi oleh Saebah itu disebabkan ketulahannya bersikap menderhaka kepada suami sendiri.
“Kalau betul dia ketulahan pada aku, bila-bila pun aku ampunkan dia,”  sahut Ngah Derani ikhlas.
Tetapi penyakit Saebah tidak akan sembuh kalau sekadar berbincang sesama sanak saudara tidak habis-habisnya sehari suntuk.  Dalam masa berbincang itu usaha mengubatinya tidak juga dilakukan.  Dibahagian badan Saebah yang ditumbuhi kudis itu, kulitnya tegang mengening-ngening macam buah kundang masak.
“Kalau aku ketulahan Ngah Derani, awak ampunkanlah aku,”  kata Saebah semacam merayu disebabkan tidak tertahan menanggung derita kesakitan kudis yang dihidapinya itu.
Dibahagian pelipat atas betisnya, di bawah ketiak dan di bahagian punggung baunya sudah busuk berwap-wap.  Manakala di bahagian bawah lehernya ada daging yang sudah reput, di samping kelihatan ulat berenga sebesar hujung lidi bergerak-gerak di celah daging busuk itu.
“Lebih baik mati aje dari menanggung sakit macam ni…”  keluh Saebah merintih-rtintih dalam nada sungguh keciwa.
Jiran-jiran yang datang menziarah memang tersa belas kesihan melihat keadaan Saebah seolah-olah mayat busuk yang bernyawa.  Dia juga mengakui akan perbuatannya bersikap kasar terhadap Ngah Derani selama ini, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang isteri terhadap suaminya sendiri.
Tetapi dia percaya sikap perongosnya itu dapat di terima oleh suaminya.  Ngah Derani tidak sedikit pun tersinggung dengan sikapnya, malah lelaki itu semakin mencurahkan kasih sayang terhadap dirinya.  Memang ada jiran-jiran sekampung yang mendakwa dia telah mengunakan ubat guna-guna agar suaminya sentiasa menurut saja hujung telunjuknya.  Bagaimanapun Saebah tahu dia tidak pernah menuntut sebarang ubat guna-guna.
Kebetulan Ngah Derani seorang yang lemah lembut, dan jarang melenting marah kalau tidak benar-benar terdesak, maka anggapan orang-orang kampung yang menuduh dia menggunakan ubat guna-guna terhadap Ngah Derani, dirasakan benar oleh adiknya sendiri, Abang Amud.
Setelah berbincang bersama sanak saudara semuanya, Ulung Sali bersetuju mengubati Saebah sebagai seorang yang ketulahan menderhaka kepada suaminya.
“Ubatnya mudah, kenalah Saebah meminum dan dimandikan dengan air basuh kaki Derani,”  ujarnya menahan rasa hiba melihat keadaan adik iparnya itu.
“Bukan takat minum air basuh kaki Ngah Derani, kalau suruh sujud ke bawah tapak kakinya pun aku sanggup…”  beritahu Saebah sebaik saja mendengar keputusan muafakat sanak saudara.
Apalah salahnya dia sujud ke kaki suaminya kalaulah benar-benar dia memang ketulahan menderhaka kepada Ngah Derani.  Selama ini dia hanya menyangka sikap garangnya itu adalah sikap semulajadinya, dan Ngah Derani pula dapat menerima sikapnya dengan tidak mahu menegurnya.
Dia tidak akan merasa malu kalau meminum air basuh kaki suaminya, kerana sebagai seorang isteri dia mestilah menyerahkan dirinya kepada suami sendiri.  Bukanlah disebabkan oleh penyakit luar-biasa yang dihidapinya itu menyebabkan dia mahu meminum dan dimandikan dengan air basuh kaki Ngah Derani, malah kalu didapati benar-benar  dia melakukan perbuatan menderhaka yang tidak disedarinya terhadap suaminya, memang dia sanggup meminum air basuh kaki suaminya.
Biarlah perutnya kembung dipenuhi air akibat meminum air basuh kaki tersebut, namun Saebah tetap tabahkan hati.  Di dalam hatinya memang tidak pernah terlintas mahu menderhaka kepada Ngah Derani kecuali sikap perongos dan panas barannya saja yang sukar dikawalnya,
“Ubatkanlah aku ni Ulung…”  rayu Saebah lagi.  Dia terbaring saja di atas tikar beralaskan daun pucuk pisang kerana tidak tertahan bahang panas yang menyerap di seluruh badannya.
Keadaan ini semakin menyakinkan orang-orang kampung akan dakwaan Abang Amud bahawa Saebah sebenarnya menderita sakit akibat ketulahan menderhaka kepada suami.  Bahang panas itu pada pendapat mereka adalah bahang dari api neraka yang membakar seluruh jiwa Saebah.
“Ampunkanlah dosa aku pada kau Ngah…”  mata Saebah layu memandang kearah suamin ya.
“Aku ampunkan…”  sahut Ngah Derani bergetar menahan rasa terharu yang menusuk perasaannya.  “Macam mana besar pun dosa kau pada aku, memang aku ampunkan,”  bisiknya meminta isterinya bersabar menanggung penderitaan yang datang secara mendadak ke tengah keluarganya.
Anak-anak mereka yang sudah berumahtangga juga sudah datang berkumpul ke rumahnya.  Kudis pekung yang merebak ke seluruh badan itu menyebabkan tubuh Saebah semakin lemah.  Bermacam-macam ubat telah di pupukkan supaya kudis itu tidak mengganggu, namun keadaannya tetap juga bertambah pasang.
Kepala Saebah yang panas di pupuk dengan daun sedingin, manakala kudis-kudis di seluruh badan itu dipupuk dengan pucuk jambu batu yang digiling dengan  gambir.  Ulung Sali sendiri yang menyuruh pupukkan supaya ulat berenga yang tumbuh di celah daging reput itu mati.
Air Yassin yang didoakan oleh Lebai Budin juga diminumkan kepadanya dan dijaramkan ke kepala.  Namun keadaan Saebah tidak juga beransur kurang.  Dia hanya terbaring saja dihadapi oleh sanak saudara yang hampir putus asa dalam usaha mahu mengubatinya.  Ngah Derani tidak henti melakukan solat sunat sembahgyang hajat setiap lepas maghrib memohon doa kepada Allah SWT agar disembuhkan penyakit isterinya.
Tetapi setiap kali dia  ditegukkan air Yassin kelihatan tenaganya semacam pulih sedikit.  Dia dapat menggerakkan tubuhnya di samping membuka matanya memerhati sanak saudara dan jiran-jiran yang datang menziarah.
Bagaimanapun keadaannya masih juga tidak berubah.
Setelah masing-masing bersetuju mengakui bahawa penyakit yang di hidapi oleh Saebah berpunca dari ketulahan kepada suaminya Ngah Derani maka Ulung Sali pun mula membuat persiapan untuk mengubatinya secara demikian.  Dia menyuruh Ngah Derani mengambil wuduk terlebih dahulu, kemudian air dari gayung terakhir selepas di gunakan oleh Ngah Derani membasuh kaki itu diasingkan.
“Air basuh kaki ni, buat syarat aje…”  beritahu Ulung Sali kerana pada mulanya mereka yang ada di situ menyangka air basuh kaki Ngah Derani perlu ditadah dari basuhan kakinya.  Rupanya barulah mereka mengerti bahawa air tersebut tetapi masih bersih di dalam tempayan, walaupun ianya merupakan lebihan dari yang telah digunakan oleh Ngah Derani mengambil wuduk.
Air tersebut di doakan oleh Ulung Sali, kemudian di suruh minum dan basuhkan sedikit ke tubuh Saebah.
Seminggu selepas Saebah diberi minum air basuh kaki Ngah Derani itu, dia semakin bertambah lemah.  Tubuhnya juga kurus disebabkan tidak ada selera untuk menjamah makanan.  Bau busuk dari tubuhnya semakin berwap-wap.  Ulung Sali sendiri sudah kehabisan upaya untuk mengubatinya.
“Kalau macam ni kau panggilkan Aki Sahak di Mentaus, Amud…”  ujar Ulung Sali setelah melihat keadaan Saebah tidak juga sembuh.
Abang Amud juga bersetuju menjemput Aki Sahak. Walaupun jauhnya tidaklah sampai 15 batu, tetapi Abang Amud bimbang juga  sekiranya Aki Sahak tidak ditemui.  Kadangkala ada saja orang akan mengambil Aki Sahak hingga sampai ke Chenor atau ke Serting.  Kalau Aki Sahak tidak ditemui ke mana pula mahu diharapkan.
Tetapi dia terpaksa juga mencari Aki Sahak, disebabkan permintaan Ulung Sali sendiri.  Kalau dia sudah tidak berupaya mengubati Saebah. Sudah tentulah tidak ada sesiapa pun lagi di kampung itu yang sanggup mengubatinya.  Selama ini mereka di situ memang mengharapkan Ulung Sali mengubati sesiapa saja yang sakit.
Seperti yang dijangkakan memang Aki Sahak sudah dibawa orang ke Mentakab.  Sekalipun dia merasa hampa dengan ketiadaan Aki Sahak di rumah, namun Abang Amud berpesan juga kepada isteri Aki Sahak supaya orangtua itu dapat datang ke Pelangai.  Kebetulan pula Mat Deh sepupu saya itu ada dirumah Aki Sahak semasa Abang Amud sampai.
“Alhamdulillah ustaz ada di sini,”  kegembiraan terbayang di wajah Abang Amud bila terlihat Mat Deh meninjau dari tingkap.  “Bila ustaz kemari?”  soalnya tersengih-sengih.
“Baru pagi tadi Abang Amud,”  sahutnya perlahan.  Dia memang mengenali Abang Amud ketika lelaki itu masih menetap di situ sebelum berpindah balik ke kampung halamannya di Pelangai.  Peristiwa anak Abang Amud jatuh ke lombong dan meninggal dunia, masih segar dalam ingatan Mat Deh.  Ketika ini orang-orang kampung bersama Aki Sahak berusaha untuk mengesah mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong.  Kebetulan juga Mat Deh ada di rumah Aki Sahak semasa Abang Amud mencari orang tua berkenaan.
Selepas memberitahu mengenai dirinya yang sudah berpindah ke Pelangai, Abang Amud terus menceritakan nasib yang menimpa kakaknya Saebah.  Dia juga menjelaskan Ulung Sali sendiri yang menyuruhnya menjemput Aki Sahak.
“Marilah ustaz tengok-tengokkan dulu,”  Abang Amud terus mempelawanya.
“Emmm, saya pun dah lama tak jumpa Ulung Sali.   Nanti apa pula katanya, kalau saya ke rumah Aki Sahak tak singgah ke rumahnya,”  katanya semacam bersetuju mahu menemui Ulung Sali.
Lagi pun disebabkan Aki Sahak sendiri tidak ada di rumah ketika itu, Mat Deh memberitahu isteri Aki Sahak dia mahu ke Pelangai menemui Ulung Sali.  Dia akan datang semula ke rumah Aki Sahak, apabila balik dari rumah Ulung Sali.
Kepalang gembiranya Ulung Sali bila melihat Mat Deh yang datang bersama Abang Amud.  Terhenggot-henggot dia memboceng di atas basikal Abang Amud, walaupun melalui perjalanan yang jauh.  Ketika peristiwa ini penulis ceritakan, suasana kampung masih belum terbuka luas seperti sekarang.  Kalau mahu menunggu bas pun hampir dua jam barulah lalu sebuah bas.  Itu pun bukanlah bas yang baik, Cuma ada bas buruk yang bergegar di sana bergegar di sini.
Oleh itu terpaksalah Mat Deh membonceng basikal Abang Amud untuk ke Pelangai dari Mentaus di rumah Aki Sahak.  Bagi Ulung Sali sekiranya Aki Sahak tidak dapat datang pun dia sudah merasakan kehadiran Mat Deh juga sudah memadai.  Memang dia sudah mengetahui mengenai Mat Deh yang mengajar agama di salah sebuah sekolah Melayu di Pahang.
“Dah berapa lama kak Saebah ni sakit?”  soal Mat Deh sebaik saja dia naik ke rumah melihat keadaan Saebah.
“Dah dekat sebulan,”  beritahu Ngah Derani lemah.
“Mengapa tak bawa ke hospital?”  Mat Deh berpaling pada Ngah Derani.
“Ustaz fikir elok bawa ke hospital?”  Abang Amud cepat-cepat bertanya.
Mat Deh terdiam.  Dia kembali merenungi ke dalam mata Saebah yang pejam tertutup rapat.  Kemudian dia menggeleng-geleng kepala sambil menghela nafas.
“Kalau ketulahan dah pun diberi air basuh kaki suaminya,”  jelas Abang Amud selanjutnya.
“Ketulahan apa pula ni?”  Mat Deh merungut.  Dia menggertap bibir semasa merenungi mata Saebah dalam-dalam.  “Kalau ada Pak Tua Mahat bagus juga ni, tapi tak apalah kita berserah pada kekuasaan Allah,”  katanya memandang ke arah Ulung Sali yang sudah kebingungan dengan keadaan yang menimpa adik iparnya itu.
“Nak jemput Pak Tua Mahat, biar aku jemputkan,”  Abang Amud menawarkan diri.  Dalam saat demikian dia sanggup ke mana saja asal saja kakaknya dapat diselamatkan.
“Kalau Pak Da Amud letih, saya pun boleh jemputkan,”  tiba-tiba Talib menantu Ngah Derani bersuara.  Dia tidak patut mendiamkan diri saja melihat keadaan emak mertuanya itu.
“Kau tau rumahnya di Mancis sana tu?”  soal Abang Amud bangun berundur sedikit dari tempat kakaknya terbaring.
“Tak tau…”  Talib menggeleng kepala.  Sekalipun dia sudah menjadi menantu Ngah Derani, tetapi bukanlah semua saudara mara isterinya dikenalinya.  Lagi pun Pak Tua Mahat itu cuma saudara dua pupu saja dari Ngah Derani.  “Saya boleh pinjam motosikal Ah Soon bolehlah tanya-tanyakan pada orang di situ rumah Pak Tua Mahat sampai bertemu.
“Tak apalah dulu Abang Amud,”  Mat Deh mendongak ke arah Abang Amud yang sudah tegak berdiri.  “Biarlah kita tengok dulu malam ni.  Nanti saya balik esok pagi, saya singgah ke rumah Pak Tua Mahat,”  dia menegah supaya tidak tergesa-gesa menjemput Pak Tua Mahat.
Kemudian dia memandang kepada  Ulung Sali yang diketahuinya mempunyai pengalaman sebagai seorang bomoh.  Malah sudah berkali-kali Ulung Sali memberitahu dia mengenai sebilah tumbuk lada yang dikatakannya diberi oleh satu lembaga tinggi yang ditemuinya pada suatu tengah malam.  (Tumbuk lada itu kemudiannya telah diserahkan oleh Ulung Sali kepada penulis setelah dia kebelakangan ini sering uzur).
“Tok Ulung jangan berputus asa.  Kita cuba lagi…”  dia menggamit Ulung Sali supaya rapat ke tempat Saebah terlantar.
Ulung Sali mengangguk, kemudian mendekati Mat Deh.  “Kalau Deh ada, Tok Ulung gagahlah sikit nak mengubatnya,”  dia menjelaskan sambil menepuk-nepuk bahu Mat Deh.
“Insya Allah, kuatkan hati kita Tok Ulung,”  Mat Deh mula mengisar punggung mengukuhkan duduknya.  “Tidak ada siapa pun makhluk yang lebih berkuasa, kerana hanya Allah SWT yang berkuasa ke atas hambaNya,”  Mat Deh tiba-tiba saja bangun lantas turun ke perigi mengambil wuduk.
Tidak lama kemudian dia naik semula dan betenggong di hulu kepala Saebah.  Dia memulakan doanya membaca Al-Fatihah dengan tidak menghiraukan jiran-jiran yang datang ke situ.  Lama dia membacakan beberapa potongan ayat Quran, kedengaranlah pada jiran-jiran yang berkumpul di situ Saebah terbatuk-batuk.
“Tok Ulung tak fikir, anak Bahaman ni kena macam Saebah dulu…”  ujar Ulung Sali memerhati anak kecil yang didakap oleh Raonah.  Saya juga memerhatikan anak kecil itu di samping mahu mendengar selanjutnya mengenai cerita Saebah yang dijelaskan oleh Ulung Sali.

SELESAI