Saturday, March 21, 2015

116. DAGING BUSUK DALAM MUNTAH



 LEMAH sangat seluruh badannya disebabkan sudah kurus tidak bertenaga semenjak terkejang sahaja di tengah rumah lebih sebulan.  Sewaktu saya ke kampung itu keadaan Utih Simek bertambah tenat, dengan anaknya Selipah sudukan bubur sahaja ke mulutnya.
Sudah puas Aki Minin ikhtiarkan sampai berubat besar pun dengan sediakan tujuh piring bertih, tujuh geluk air, tujuh jenis bunga dan tujuh jenis limau.  Apabila Aki Minin berubat besar bermakna dia akan menyeru semua pendampingnya biar datang menjelma di situ.
Setelah Aki Minin berubat besar tujuh helai daun nyiur di letakkan di hadapan tangga supaya mereka yang datang menziarah tidak dibenarkan memanggil dari tengah halaman.  Mereka mesti naik ikut jalan tangga dapur sekiranya mahu menjengah Utih Simek terkejang sakit.  Siapa pun dilarang bercakap-cakap dengan Utih Simek setelah Aki Minin berubat besar.
Isterinya Uda Kimah bersama anak gadisnya Selipah mesti diikat kain kuning di lengan sebagai tanda di rumah mereka sudah dibuat berubat besar.  Pantang larang ini ditetapkan oleh Aki Minin sejak turun temurun, supaya seisi kampung menyedari kalau sudah berubat besar banyak pantang larang mesti dipatuhi.
Aki Minin sendiri tidak suka berubat besar kalau tidak di sebabkan penyakit Utih Simek sudah bertambah tenat.  Badannya yang gempal juga sudah kurus benar akibat tidak selera mahu menjamah makanan.  Utih Simek sendiri tidak benarkan abangnya Lebai Sali datang menjengah apabila abangnya mendesak dia dibawa ke hospital sahaja.
Masakan Utih Simek mahu berubat ke hospital, setelah dia yakin kejadian yang menimpanya disebabkan burung pungguk hinggap di atas bumbung rumahnya.  Apabila burung pungguk sudah bertenggek di atas bumbung rumah bermakna dia mahu memberi alamat tentu mayat akan terbujur di situ.
Sebab itu Utih Simek tidak mahu dibawa ke hospital.  Kalau dia mahu jadi mayat terbujur pun biarlah terkejang di tengah rumahnya sendiri.  Tentu anak isteri akan menghadap dia tatkala tengah nazak tercangut-cangut menanggung kepayahan mahu bernafas.
“Memang burung pungguk tu puncanya,”  Uda Kimah juga percaya mengenai kejadian burung pungguk menyerbu ke atas pokok kundang  di hujung halaman.  Kemudian melayang hinggap ke atas bumbung rumah apabila dilontar oleh Utih Simek dengan kayu api.
Sewaktu saya menziarahi Utih Simek setelah diajak oleh Lebai Sali menjengahnya dia tetap tersenyum menyambut.  Memang keadaannya payah sangat mahu bergerak disebabkan badannya terlalu kurus.  Tetapi semangatnya tetap kuat melawan derita kesakitan yang ditanggungnya.
“Macam mana dengan ubat Aki Minin?”  Lebai Sali bimbang juga dengan keadaan adiknya yang masih tidak ada perubahan sekalipun sudah dua kali Aki Minin lakukan berubat besar.
“Entahlah, dia nak cuba tiga kali naik,”  Uda Kimah sayu setelah diberi tahu oleh Aki Minin demikian.  Kalau cukup tiga kali berubat besar keadaan Utih Simek tidak juga sembuh, dia sendiri akan mengalah.  Biarlah Uda Kimah cari dukun yang lain untuk mencubanya atau terpulanglah kepada keputusan Lebai Sali mahu membawanya ke hospital.
Memang Aki Minin sendiri tidak suka sangat mahu berubat besar.  Lainlah kalau sudah terpaksa dia akan lakukan juga.  Mahu berubat besar bermakna dia mesti mematuhi segala petua dan pantang larang.  Siapa pun tidak dibenarkan lagi menjengah tatkala dia sudah mula membakar kemenyan.
Sebab itu Uda Kimah mesti memberi tahu jiran-jiran mengenai masa Aki Minin akan membakar kemenyan supaya tidak ada siapa pun datang menjengah ketika ini.  Bimbang sangat Aki Minin kalau mereka yang mahu datang menjengah akan terserempak jelmaan Moyang Laban menyebabkan sesiapa yang melihatnya akan terkejang tiba-tiba.  Tentu mereka akan salahkan dirinya kalau mereka terkejang akibat terserempak Moyang Laban tercegat di kaki tangga.
Dia tahu memang Utih Semik terkejut tatkala melihat jelmaan Moyang Laban berdiri di depan tangga laksana gajah tersergam.  Sewaktu berubat besar di rumah Berahim Misai, tiba-tiba sahaja Utih Simek terlupa.  Lantas sahaja dia datang menjengah disebabkan sudah tiga hari Berahim Misai terlantar dia tidak juga datang menjengah.
Tatkala Utih Simek sampai ditengah halaman, terkejut besar dia apabila ternampak bayang putih di kaki tangga rumah Berahim Misai.  Dia cam betul jelmaan kepala gajah dengan telinganya lebar tersergam di situ.  Tetapi dia tidak melihat pun tubuh gajah itu tercegat di kaki tangga.
Dalam keadaan gementar itulah Utih Simek naik ke rumah ikut pintu dapur.  Dia tidak memberi tahu sesiapa pun mengenai kejadian terserempak jelmaan kepala gajah di depan pintu rumah.  Tetapi Aki Minin merungut-rungut marah disebabkan Utih Simek melanggar pantang larang.
“Kenapa tak tahu pantang larang Moyang Laban?”  marah benar Aki Minin sebaik sahaja selesai dia berubat besar.
Terkejut juga mereka di atas rumah Berahim Misai apabila dituduh demikian oleh Aki Minin.  Tetapi siapa pun tidak dapat berdalih kerana Aki Minin mengakui dia dimarahi Moyang Laban.  Tatkala dia menyeru Moyang Laban tiba-tiba sahaja jelmaan kepala gajah itu tersergam di depannya.
Siapa pun tidak melihat kepala gajah dengan belalainya meliuk-liuk di depan Aki Minin.  Tatkala Utih Simek tercegat di tengah halaman tidak bertangguh jelmaan kepala gajah itu memukul Aki Minin dengan belalainya.  Mereka yang terconggok di tengah rumah menghadap dia sedang membakar kemenyan terkejut juga apabila Aki Minin terpelanting bagaikan dikuis kuat.
Cepat-cepat Aki Minin bangun semula tetapi ditolak oleh jelmaan kepala gajah itu dengan belalainya.  Apabila Moyang Laban berdiri di kepala gajah memang dimarahinya Aki Minin kerana tidak tahu pantang larang berubat.
“Awak ni berubat apa, pantang larang tak tahu!” jerkah Moyang Laban ingatkan Aki minin.
Tersengih-sengih Aki Minin disebabkan dijerkah Moyang Laban demikian.  Masakan Moyang Laban tiba-tiba sahaja marah kalau tidak bersebab.  Aki Minin mengeluh pendek kerana tidak tahu punca kenapa Moyang Laban marah sangat.  Kalau mahu dikira pantang larang semuanya sudah dipatuhi tatkala lengkapkan semua perkakas ubat di dalam dulang.
Tujuh geluk air sudah diisi dengan air telaga, tujuh piring bertih disiapkan dengan tidak boleh bercakap semasa direndam di kuala, tujuh jenis bunga juga dipetik dengan diserahkan kepada Embok Supi.  Sepanjang jalan semasa mencari tujuh jenis bunga itu Embok Supi tidak bercakap dengan sesiapa sekalipun ditegur sapa oleh kenalan yang melintas.
“Tak tahu kawan, pantang larang macam mana?”  Aki Minin tersinggung juga dituduh oleh Moyang Laban demikian sampai dipukul dengan belalai gajah.  Betapa malunya dia apabila di pukul sampai terpelanting di hadapan jiran-jiran yang melihat dia mengubati Berahim Misai.
“Kenapa biarkan orang di tengah halaman semasa kawan datang?” gerutu Moyang Laban terkilan diperolok-olokkan demikian.
“Siapa, kawan tak tahu?”  Aki Minin juga tersinggung dengan perbuatan orang-orang kampung yang tidak mematuhi pantang larangnya.
“Awak tengoklah sendiri!” tegas Moyang Laban menuding kearah halaman yang dapat dilihat sendiri oleh Aki Minin.
“Hah, Utih Simek,” perlahan Aki Minin menggeleng sebaik sahaja melihat Utih Simek tergamam ditengah halaman.
Kalau tidak kenang Utih Simek memang dia tidak peduli pun sama ada Moyang Laban mahu terjah dengan kaki gajah sampai lelaki itu tergolek di tengah halaman.  Moyang Laban akan perintahkan gajah tunggangannya memijak kepala Utih Simek biar remuk tidak bersisa.
Sebab itu Aki Minin mesti memujuk supaya Moyang Laban dapat bersabar.  Dia sanggup bertanggung jawab kalau anak-anak ubatnya melanggar pantang larang.  Bila-bila dia sanggup junjung dulang berisi kepala kambing letakkan di hujung serambi.  Dia sedia mengaku salah di depan Moyang Laban disebabkan Utih Simek sengaja mahu melihat jelmaan gajah putih tiu tatkala Aki Minin membakar kemenyan.
Sudah menjadi pantang larang Moyang Laban sesiapa pun tidak boleh menjengah keluar apabila Aki Minin membakar kemenyan menyerunya datang menjelma.  Tentu mereka akan terkejut melihat kepala gajah putih itu di depan pintu dengan tubuhnya tidak kelihatan.  Kalau nampak tubuh gajah itu tentu mereka akan melihat sendiri Moyang Laban bertunggang di atas belakangnya.
“Utih Simek tu tak faham moyang,” lantas Aki Minin meminta jelmaan itu tidak salahkan Utih Simek datang ke situ sewaktu dia tengah membakar kemenyan.  “Maafkan dia, sebab dia tak tahu pantang larang kita,” dia menambah seolah-olah menyedari kesalahannya membenarkan Utih Simek datang semasa dia menyeru Moyang Laban menjelma.
Sewaktu Moyang Laban menghilangkan diri bersama jelmaan kepala gajah, segera Aki Minin menyuruh pasang sahaja pelita.  Mereka tidak perlu lagi bergelap kerana Aki Minin tidak dapat meneruskan berubat besar setelah cabuh dengan kedatangan Utih Simek.
Sebab itu marah sangat dia pada Utih Simek yang tersengih-sengih di dapur tidak berani masuk ke ruang tengah rumah.  Tahu sangat dia disebabkan melanggar pantang larang Aki Minin itulah hingga terserempak kepala gajah putih menjelma di depan pintu.
“Kenapa sekarang awak nak datang, Utik Simek?” lantas Aki Minin menggamit lelaki itu supaya masuk ke tengah rumah.
“Dah terlupa, apa nak buat Aki,” keluh Utih Simek mengakui akan kesilapan datang menjengah tatkala Aki Minin membakar kemenyan.  Kalau mahu datang pun tidak menjadi sesalahan selepas selesai Aki Minin mengubati Berahim Misai.
Tetapi dia terlupa mengenai berubat besar Aki Minin kerana menyangka belum habis tempoh tiga hari berubat besar sebelumnya. Sebab itu dia datang juga mahu menjengah pada sebelah malam.
“Memang kau tak tau pantang larang orang tua-tua!” marah benar Aki Minin apabila kenang sakit juga pipinya dilibas oleh belalai gajah tunggangan Moyang Laban.
Kesal benar Utih Simek di sebabkan terlanggar pantang larang yang ditetapkan oleh Aki Minin.  Kalau dia tahu Aki Minin tengah berubat besar memang dia tidak akan jejak kaki ke rumah Berahim Misai.  Perkara budi bahasa mahu ziarah Berahim Misai terlantar sakit tidak penting lagi kalau bandingkan dengan pantang larang Aki Minin.
Siapa berani melanggar pantang larang hingga dijerkah Moyang Laban?  Utih Simek sendiri rasakan mahu terlambak kencing akibat ketakutan sebaik sahaja melihat jelmaan kepala gajah di depan pintu.  Kalau dia tidak tabahkan semangat tentu akan tersungkur rebah tidak bertampan.
Semasa beberapa orang turun ke tengah halaman, mereka semua melihat tapak gajah di depan tangga.  Pelik juga mereka disebabkan tiga sahaja tapak gajah itu berbekas, sementara satu lagi tidak jelas kelihatan.
Tetapi perkara tapak gajah tersergam selepas Aki Minin berubat besar bukanlah menghairankan mereka.  Sudah beberapa kali mereka melihat tapak gajah di tengah halaman asal sahaja Aki Minin berubat besar.  Semasa mereka menuruni tangga rumah Berahim Misai tiga batang anak tangganya patah remuk laksana dirempuh gajah.
Tidak pernah pula berlaku kejadian demikian semenjak Aki Minin mula berdukun.  Dia sendiri dapat mengagak tentu marah benar Moyang Laban disebabkan pantang larangnya dicabuh.  Bagaimana Utih Simek yang kuat berpegang dengan pantang larang Aki Minin boleh cabuh tatkala tengah berubat besar?
Balik dari rumah Berahim Misai itulah Utih Simek mula berasa tidak sihat badan.  Dia terus sahaja tarik selimut sebaik sahaja rebahkan badan di tempat tidur.  Sepanjang malam itu beberapa kali Utih Simek tergamang seolah-olah burung pungguk melayang hinggap di kepalanya.
“Macam tu mulanya, ustaz,” ujar Uda Kimah menjelaskan bagaimana Utih Simek diganggu demam sejuk berterusan.  Dia terketar-ketar menahan kesejukan sampai dua tiga jam.  Kemudian dia akan kepanasan selepas sahaja sejuk beransur hilang.  Kadangkala meracau-racau dia hingga berpeluh seluruh badan.  Setelah badannya berpeluh barulah Utih Simek berasa lega dan boleh berihat tidur.
Tetapi Lebai Sali percaya adiknya diganggu demam kura bukan di asuh oleh Moyang Laban.  Kalau diasuh oleh Moyang Laban kenapa pula Utih Simek semakin lemah dengan mukanya pucat tidak menentu? Tentulah dia akan sama seperti Aki Minin sekiranya sentiasa di damping oleh Moyang Laban.
Sudah dua kali berubat besar hairan jua Aki Minin kerana Moyang Laban tidak datang menjelma.  Dia sekadar melihat bayangan Moyang Laban jauh di kaki bukit tidak mahu melangkah mara ke depannya.  Puas diseru setelah kemenyang dibakar pun, Moyang Laban tetap enggan mara mendapatkan dia. Masakan dia boleh memaksa sekiranya Moyang Laban tidak mahu lagi menjelma di depannya.
Sebab itu Aki Minin tidak berputus asa.  Dua kali moyang Laban tidak mahu menjelma selepas berubat besar, tentu kali ketiga dia terpaksa juga jengah datang.  Masakan setelah berubat besar Moyang Laban tidak mahu juga menjelma.
Tentu dia akan ungkit asal usul Moyang Labang dari pawang besar yang bersumpah mahu menjaga negeri, tetapi kenapa menyusahkan anak cucu.  Lainlah dengan Malim Panjang yang menjelma menjadi hantu tinggi seperti ditemui oleh Akop Botak.
Sekiranya diminta Akop Botak mengubati Utih Simek tentu hantu tinggi yang menjelma.  Masakan hantu tinggi boleh diminta mengubati Utih Simek terkejang sakit, kalau jelmaan Malim Panjang itu sekadar mahu tunjukkan gagah perkasa sahaja.
Memang Akop Botak boleh gunakan hantu tinggi jelmaan Malim Panjang itu apabila mahu buat kerja-kerja berat.  Semasa emaknya Embok Supi minta bawakan kabung sagu rembia untuk makan itik ayamnya, terkejut benar Embok Supi apabila sebatang tegah pokok sagu rembia itu dipikul oleh Akop Botak.  Berbulan-bulan  pula dia mahu habiskan pokok sagu rembia yang melintang di hujung halaman setelah digolekkan oleh Akop Botak di situ.
Tahu sangat Aki Minin bagaimana cucunya memikul sebatang pokok sagu rembia dari hujung sawah dicampakkan ke tengah halaman rumah emaknya.  Masakan Akop Botak boleh sembunyikan dari dia tatkala jelmaan hantu tinggi datang membantu.  Akop Botak sekadar berpaut pada lengan hantu tinggi itu sahaja tatkala sebatang pokok sagu itu dicekaknya dibawa ke tengah halaman.
Dia boleh melihat jelmaan hantu tinggi itu mendampingi cucunya apabila Akop Botak terdesak.  Semasa jambatan masuk ke kampungnya dibina oleh kontraktor Cina, memang Aki Minin sendiri tahu bagaimana Ah Sang mecabar cucunya disebabkan mereka seramai 20 orang tidak berdaya mahu mengangkat tiang jambatan.
Dalam masa perintah orang putih memang tidak ada kren untuk mengangkat tiang jambatan yang besar lima enam pemeluk sepanjang 15 kaki.  Pekerja-pekerja kontrak sampai 20 orang akan mengumpil gunakan tali biar mudah ditegakkan sebelum dicacakkan ke tengah air.  Sengaja Akop Botak persendakan kawannya Ah Sang di sebabkan terkial-kial mahu menyorong tiang besar itu ke tengah sungai.
Disebabkan matahari tegak di kepala dengan panas membahang tersinggung juga Ah Sang apabila diusik oleh Akop Botak.
“Awak semua tak makankah, Ah Sang!” terkekeh-kekeh Akop Botak mentertawakan 20 orang pekerja Ah Sang terkial-kial menyorong tiang jambatan sepanjang 15 kaki itu.
“Bukan ringan Akop,” sahut Ah Sang ingatkan kawannya dalam perasaan tersinggung.
“Itu satu batang sahaja, mana ada berat?” sengaja Akop Botak bergurau dalam masa Ah Sang bersama kawan-kawannya terkial-kial dibawah terik matahari yang membahang.
“Awak cakap besar Akop, kalau boleh angkat marilah tolong,” ujar Ah Sang cuba menahan kesabarannya.
“Ini macam punya kayu, saya satu orang pun boleh angkat,” beri tahu Akop Botak masih juga mengusik kawannya yang mula berpinar marah.
“Kalau awak boleh angkat satu orang, sekarang saya kasi dua ratus ringgit!” lantas Ah Sang bercekak pinggang menyuruh pekerja-pekerjanya berundur.
Akop Botak ketawa sahaja dicabar oleh Ah Sang demikian.  Dia sekadar bergurau sahaja kerana sudah lama dia berkawan dengan Ah Sang.  Kadangkala Ah Sang juga mempelawanya bekerja sekiranya mendapat kontrak di mana-mana.  Tetapi semasa dia dapat kontrak membina jambatan di kampung itu Akop Botak sendiri tdak mahu bekerja dengan dia.
Sebab itu Ah Sang tersinggung kerana menyangka Akop Botak sengaja mengejeknya di sebabkan tidak diajak ikut sama bekerja.  Apa lagi Akop Botak terjongol di situ semasa pekerja-pekerjanya terkial-kial mahu mengangkat tiang besar sepanjang 15 kaki.
“Awak marah ke, Ah Sang?” Akop Botak berlembut setelah melihat kawannya marah sangat diusik demikian.
“Angkatlah, saya kasi dua ratus!” tegas Ah Sang mengulagi lagi setelah hilang kesabaran.
Disebabkan Ah Sang mencabarnya lantas sahaja Akop Botak menjadi marah.  Sebaik sahaja dia marah tiba-tiba sahaja pandangannya menjadi gelap.  Dia sendiri tidak dapat lagi mengawal dirinya apabila merasakan tubuhnya membesar hingga berbulu seluruh badan.  Saat ini Akop Botak tidak menyedari apa-apa kerana dilihat tiang besar sepanjang 15 kaki itu sama seperti bilah mancis sahaja.
Apabila bilah mancis itu dipegang dengan hujung jarinya dia cacakkan ditengah alur air sebesar kelengkeng sahaja.  Mudah sahaja dia cacakkan bilah mancis itu dengan tidak payah mengempang air yang mengalir.  Apa sangat air yang mengalir itu pada Akop Botak dikuis dengan kelengkeng pun boleh tersekat tidak boleh mengalir ke mana.
Tetapi mereka yang berdiri di tebing sungai melihat Akop Botak memikul tiang besar sepanjang 15 kaki itu macam menggalas galah buluh sebesar lengan.  Dia cacakkan tiang berkenaan laksana menghentak kayu menugal jagung tengah kebun sahaja.  Tercengang Ah Sang apabila melihat tenaga luar biasa Akop Botak boleh mengangkat tiang jambatan sepanjang 15 kaki itu.
Memang Aki Minin tahu bukan cucunya yang mengangkat tiang jambatan berkenaan.  Asal sahaja Akop Botak marah tidak dapat mengawal perasaan sudah tentu jelmaan Malim Panjang akan tercegat di sisinya.  Siapa pun tidak akan boleh tewaskan Akop Botak tatkala hantu tinggi itu menjelma.
Tentu Ah Sang tidak melihat hantu tinggi jelmaan Malin Pajang itu tercegat mengangkat tiang jambatan yang dilihatnya sebesar bilah mancis sahaja.  Tetapi Aki Minin boleh melihatnya kalau dia sudah membakar kemenyan menyeru Moyang Laban.  Apa sahaja yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar memang mudah sahaja dilihat oleh Aki Minin apabila Moyang Laban datang menjelma.
“Ah, tak datang pula orang tua tu!”  keluh Aki Minin setelah puas menyeru tatkala membakar kemenuan di sisi Utih Simek.  Kecewa juga dia sekiranya Moyang Laban tidak menjelma membantunya mengubati Utih Simek.
Dia dapat mengagak tentu Moyang Laban tersinggung benar apabila Utih Simek melanggar pantang larang supaya tidak menjengah tatkala Aki Minin berubat besar.  Sejak turun termurun Akik Minin tahu Moyang Laban akan menjelma setelah diseru namanya dengan membakar kemenyan.  Memang amalan arwah datuknya diturunkan sejak beberapa tenggang yang menjadi amalan Moyang Laban juga.
Arwah datuknya beri tahu mengenai Moyang Laban pawang besar yang meninggalkan amalan kepada anak cucunya.  Sejak turun temurun pula mereka diberi tahu mengenai amalan Moyang Laban itu dengan pantang larangnya yang mesti dipatuhi.
Tetapi siapa pun tidak tahu kemana menghilangnya Moyang Laban selepas dia berhenti di bawah pokok mangga di hujung sawahnya.  Apabila ditemui oleh anak-anakmya bekas tapak kaki gajah hanya tiga sahaja sedangkan satu lagi tidak berapa jelas kelihatan, mereka dapat mengagak tentu gajah berkenaan berkaki tempang.
Selepas kehilangan Moyang Laban itu beberapa kali juga mereka terserempak di hujung kampung gajah putih berkaki tempang.  Anak-anaknya dapat mengagak tentu gajah putih berkenaan jelmaan Moyang Laban yang memang berkaki tempang.  Disebabkan kakinya tempang itulah Moyang Laban lama tertapa di tengah hutan sebelum menjadi pawang besar.
Semasa Tok Besar mahu membina rumahnya, dia terkejut apabila melihat tapaknya terdapat batu besar tertanam.  Tidak ada siapa boleh diharapkan mahu menentukan sama ada tapak rumah itu sesuai atau tidak, selain daripada Moyang Laban.  Setelah diberi tahu kepadanya mengenai batu besar di bahagian tapak rumah Tok Besar yang mahu di bina, Moyang Laban berkeras mahu menggali batu berkenaan.
Apabila batu besar itu di korek terpaksa dibongkar habis.  Semasa membongkarkan batu itulah kaki Moyang Laban terhimpit menyebabkan dia menjadi tempang.  Setelah kakinya tidak boleh digerakkan dia cuba berubat ke mana-mana tetapi tidak juga pulih.  Sebab itulah dia mengambil keputusan bertapa jauh di tengah hutan.
Balik dari bertapa berbulan-bulan Moyang Laban sudah boleh berjalan gagah sekali pun tempang sedikit.  Batu yang di koreknya dari tapak rumah tok besar itu dipikulnya sahaja lantas dibuatnya lela.  Tok besar sendiri benarkan Moyang Laban membakar lela itu setiap kali menyambut hari raya.
Setelah Moyang Laban hilang semasa duduk berihat di bawah pokok mangga setelah penat bekerja di sawah, lela yang diletakkan dihujung halaman rumahnya juga hilang entah kemana.  Apabila diberi tahu kepada Tok Besar dia sendiri berasa hairan ke mana Moyang Laban menghilangkan diri.
Di sebabkan mereka berkawan baik, Tok Besar sendiri buatkan tanda dengan mencacakkan dua batang batu bukit ditempat Moyang Laban hilang.  Dia tetapkan di situlah makam Moyang Laban supaya menjadi kenangan anak cucunya.  Tetapi makam tersebut bukanlah kubur Moyang Laban, kerana anak-anaknya sendiri tidak tahu dia menghilang ke mana.
Cuma Tok Besar satu-satunya dapat mengagak tentu Moyang Laban balik semula ke tempat dia bertapa.  Pawang besar seperti Moyang Laban akan balik semula ke tempat dia bertapa.  Pawang besar seperti Moyang Laban tidak akan memberi tahu mengenai tempat sembunyinya apabila menyedari dia akan mati.  Dia tidak mahu anak cucunya kebumikan dia sebagai petua amalannya selama bertapa berbulan-bulan.
Tetapi gajah putih berkaki tempang yang beberapa kali di temui oleh anak-anak Moyang Laban hanya dilihat sekali imbas sahaja.  Dalam sekelip mata sahaja dia akan hilang di sebalik belukar anak-anak kayu.
Hanya mereka cam asal sahaja menjelang hari raya lela Moyang Laban akan kedengaran ditembakkan tiga das.  Mereka dapat mendengar seolah-olah dari bawah pokok mangga di hujung sawah tembakan itu dilepaskan.  Tentu Moyang Laban menjelma di tempat makamnya ditandakan oleh tok besar.
Kadangkala mereka boleh melihat api tembakan dari muncung lela itu di tengah kegelapan senja pada arah pokok mangga di hujung sawah.  Tetapi tidak ada sepucuk pun lela di situ apabila mereka menjengah.  Sebab itu Tok Besar tidak benarkan sesiapa pun ungkit lagi mengenai kehilangan Moyang Laban.
Asal sahaja musim turun ke sawah mereka akan melihat air parit yang dibina oleh Moyang Laban akan keruh bukat.  Cam sangat mereka sekiranya air parit itu keruh bukat nescaya padi mereka akan menjadi.  Anak padi yang subur tidak akan diganggu tikus atau burung tiak sepanjang tahun.  Sekiranya air parit itu tidak keruh bukat, masing-masing akan mengeluh panjang disebabkan anak padi akan di musnahkan tikus berkeliaran.
Cuma Aki Minin satu-satunya yang pernah terserempak kubur lama di tengah hutan sewaktu mencari rotan.  Berdebar hatinya tatkala melihat kubur berkenaan dengan nesannya di perbuat daripada ruyung nibung.  Pagar di keliling kubur juga tercancang ruyung nibung yang kukuh seperti tembok. Tidak bertangguh Aki Minin memangkas anak-anak kayu di sekeliling kubur setelah dia dapat mengagak tentu kubur Moyang Laban yang ditemuinya.
Malamnya Aki Minin bermimpi menemui Moyang Laban berkaki tempang sama seperti jelmaan yang datang tatkala dia membakar kemenyan.  Dia satu-satunya di dalam kampung yang amalkan petua peninggalan Moyang Laban, tentu mudah berhubungan sekali pun melalui mimpi demikian.
Memang Moyang Laban memuji-muji Aki Minin disebabkan usahanya membersihkan kubur di tengah hutan.  Bukan mudah mahu menemui kubur Moyang Laban yang bernesankan ruyung nibung itu.  Arwah datuknya sekadar menemui lela kepunyaan Moyang Laban sahaja tertanam di batu jeram.  Apabila arwah datuknya memanggil orang-orang kampung supaya membantunya membongkarkan lela tersebut, dia tidak menemui apa-apa lagi di situ.
Aki Minin juga mengajak Mail Tenjot masuk ke hutan mahu memastikan kubur Moyang Laban yang ditemuinya. Semasa mereka sampai di tengah hutan Aki Minin sekadar menemui belukar bamban yang sudah di tetaknya habis.  Tetapi kubur bernesankan ruyung nibung itu tidak kelihatan lagi.  Malah pagar yang dicacak dengan ruyung nibung seperti tembok itu juga tidak berbekas apa-apa di situ.
Sebab itu Aki Minin akan sebut asal usul Moyang Laban pawang besar berkaki tempang itu, kalau dia tidak menjelma setelah diseru tatkala berubat besar.  Tentu Moyang Laban akan menitikkan air mata apabila kenangkan anak cucu terkejang mengharapkan pertolongan.  Masakan Moyang Laban boleh mengelak kalau yang terkejang sakit anak cucu sendiri.
Apalah gunanya menjadi pawang besar kalau anak cucu sendiri menderita menanggung kesakitan sampai terkejang berminggu-minggu.  Biarlah tiga kali naik menyediakan kelengkapan berubat besar, namun Aki Minin tidak akan merasa serik! Dia akan berikhtiar membantu Utih Simek yang sudah lebih sebulan terkejang di tengah rumah.
“Saya rasa, Simek ni kena demam kura,” ulangi Lebai Sali semasa Aki Minin datang menjengah.
“Aku pun tak tahu apa penyakitnya,”  tutur Aki Minin ikhlas kerana tidak mahu Utih Simek terganggu fikiran.  “Apa yang aku buat hanya ikut pengalaman aku saja,”  jelasnya tidak mahu berkeras apa-apa kalau mahu mengubati Utih Simek.  Sekiranya Lebai Sali mahu ubati adiknya siapa pun tidak akan membantah asal sahaja Utih Simek boleh sembuh.
“Masa ada hayatnya Moyang Laban memang pawang besar,” segera Lebai Sali ingatkan sesiapa sahaja yang terconggok menhadap Utih Simek terkejang menanggung kesakitan.  “Tapi, bila dia dah mati kebolehannya sebagai pawang besar dah tak ada lagi,” tegasnya tidak mahu sesiapa pun harapkan Moyang Lapab datang membantu.
Lantas Lebai Sali ingatkan mereka mengenai peristiwa Nabi Ibrahim Khalilullah yang mahu dicampakkan ke dalam api menyala setinggi gunung.  Baginda didatangi Jibril a.h yang menawarkan diri untuk membantunya dari ancaman api menyala setinggi gunung itu.
Tetapi Nabi Ibrahim Khalilullah tidak mahu menerima bantuan Jibril a.h kerana baginda hanya memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala sahaja.  Kalau pertolongan Jibril a.h pun Nabi Ibrahim Khalilullah tidak mahu menerimanya, tentu pertolongan makhluk yang lebih rendah darjatnya dari Jibril a.h tidak patut diharapkan pertolongan dan perlindungan.
“Habis, takkan kita nak berdoa aje,” sahut Uda Kimah serba salah apabila Lebai Sali menuturkan demikian di hadapan Aki Minin.  Manalah tahu Aki Minin akan tersinggung disebabkan sikap lebai Sali memperkecilkan usaha dia selama ini.
“Siapa suruh kamu berdoa?” Lebai Sali keraskan suara di sebabkan sudah lebih sebulan adiknya terkejang di tengah rumah.  “Aku suruh kamu bawa dia berubat ke hospital,”  dia menambah kerana yakin adiknya mengidap demam kura yang semakin tenat.
Terdiam Uda Kimah di sebabkan Lebai Sali mula berkeras mahukan Utih Simek dibawa ke hospital.  Tahu sangat dia mengenai demam kura yang terkokol-kokol menahan kesejukan apabila mula menyerang hingga terpaksa dilingkupkan berhelai-helai selimut.
Setelah sejuknya hilang Utih Simek akan menanggung kepanasan yang membahang sampai meracau-racau tidak menentu.  Tatkala ini dia menuduh burung pungguk hinggap di kepalanya dengan kuku mencengkam kuat.  Memang bahana burung pungguk itu membawa mala petaka kepada dirinya.
Selepas panas membahang dia akan berpeluh hingga basah lukus seluruh badan.  Demam apa lagi yang menimpa Utih Simek kalau bukan demam kura.  Kalau dibiarkan tentu kuranya akan menjadi kembang sampai bertaup  menyebabkan perutnya menjadi keras kejung.  Sekiranya kura sudah bertaup memang tidak ada lagi harapan yang boleh digantungkan terhadap Utih Simek.
Sebab itu dia mahu Utih Simek dibawa juga ke hospital.  Biarlah nasib adiknya ditentukan setelah mendapat rawatan di hospital.  Tetapi Utih Simek sendiri membantah tidak mahu dibawa ke hospital. Abangnya tidak berhak mendesak dia selagi dirinya tidak rela dirawat ke hospital sampai bila-bila pun.
“Biar aku mati di rumah ni!” tegas Utih Simek membuat keputusan tidak akan berganjak dari rumahnya.  Dia bukan terkejang sampai tidak boleh bergerak langsung menyebabkan abangnya boleh memaksa isterinya menurut kemahuan dia.
Utih Simek masih boleh bingkas bangun sekali pun tubuhnya sudah kurus benar.  Tenaganya yang lemah tidak bermakna dia tidak boleh bergerak.  Setelah berpeluh seluruh badan Utih Simek akan terlelap sekejap.  Kemudian dia akan bangun turun ke tengah halaman menyedut udara nyaman sepanjang petang.
“Kalau demam kura, ambil saja ubat kuinin di hospital,” sahut Aki Minin perlahan.  Dia juga tahu sekirannya ke hospital apabila mengidap demam kura tentu akan diberikan ubat kuinin.
Sekiranya Utih Simek tidak mahukan ubat kuinin, dia boleh makan ulam pucuk betik setiap hari.  Pahit pucuk betik itu sama juga macam ubat kuinin.  Tetapi dia sudah menyuruh juga Uda Kimah berikan pucuk betik jadikan ulam makan Utih Simek.
“Saya dah beri dia pucuk betik,” sahut Uda Kimah apabila Aki Minin ingatkan dia mengenai pucuk betik.  Asal sahaja Utih Minin makan ulam pucuk betik nescaya dia akan muntah tidak bertahan.  Berair-air matanya menahan senak perut akibat muntah yang terterusan.
“Tapi, kalau tak salah pada hukum biar aku cakap sikit,” Aki  Minin memandang Lebai Sali guru membaca al-Qur’an di kampungnya.  Bimbang juga dia kalau Lebai Sali akan membantah pandangannya.
“Aki cakaplah, biar saya dengar,”  sahut Lebai Sali serbasalah kerana menyangka Aki Minin sengaja mahu mengejeknya.
“Aku tengokkan, ustaz ni serasi kalau ubatkan Simek,”  ujarnya mengerling kearah saya.
Terkejut juga Lebai Sali dengan penjelasan Aki Minin kerana menyangka saya bomoh yang boleh mengubati penyakit.  Dia sekadar mengenali saya kerana sering kali bertemu di tempat kerja yang mempunyai urusan dengan usahanya mengajar al-Quran di surau kampong berkenaan.
“Kalau betul serasi, apa salahnya ustaz ni cuba,”  Lebai Sali tersengih-sengih memadang kearah saya.
Setelah diminta oleh Aki Minin dan Lebai Sali, lantas saya meminta sediakan air satu jag untuk diminum oleh Utih Simek.  Saya hanya  membacakan Bismillahhir Rahmannir Rahim sahaja sebanyak seribu lima ratus kali.  Kemudian menyuruh Utih Simek minum air yang sudah didoakan itu.
Selepas itu saya letakkan tapak tangan ke perutnya memang terasa keras kulit perutnya.  Bimbang juga saya kelau betul pula seperti dikatakan Lebai Sali kuranya sudah bertaup.  Boleh jadi juga dia mengidap demam kura menyebabkan kuranya bengkak sampai bertaup demikian.
Kemudian saya menhembuskan ke tapak tangan tiga kali lantas diusapkan ke perut Utih Simek dengan membacakan:
Alullahhil ‘azima rabbal ‘arsyil ‘azimi an yasyfiyaka illa ‘afahullahhu min zalikal maradha, Dengan diulangi tujuh kali.
Setelah saya doakan demikian Aki Minin juga memberi tahu Uda Kimah supaya tidak payah sediakan kelengkapan berubat besar.  Dia ingatkan biar tempohkan tiga hari Utih Simek diberi minum air yang sudah didoakan itu.
“Perkara sembuh atau tidak bukan urusan kita,” jelas Aki Minin tersengih-sengih kerana tidak mahu Uda Kimah bergantung harapan dengan doa saya.
Lainlah kalau Utih Simek mahu dibawa ke hospital, tentu tidak menjadi masalah kepada Aki Minin.  Tetapi semenjak bertahun-tahun orang kampung terlalu bergantung kepada dirinya sekali pun Aki Minin mengakui jampi menteranya sekadar ikhtiar sahaja.
Tetapi sebelum balik saya sapukan ke seluruh badan Utih Simek dengan tapak tangan setelah membacakan sekali surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.  Kemudian saya ulangi sampai tiga kali hingga dia merasa seluruh badannya berpeluh sewaktu tapak tangan disapukan.
Saya ingatkan Utih Simek supaya lakukan berulang kali demikian setiap kali mahu tidur.  Seminggu selepas itu Lebai Sali mengajak saya datang ke kampungnya menjengah Utih Simek.  Disebabkan saya mahu balik ke kampung setelah berjanji dengan Tok Aji, tidak sempat saya mahu menemui Utih Simek selepas seminggu kemudian.
Bagaimana pun Lebai Sali beri tahu mengenai adiknya muntahkan ketul-ketul daging busuk tiga hari selepas dia amalkan seperti saya suruh ia lakukan.  Aki Minin sendiri hairan dengan keadaan daging busuk yang berketul-ketul keluar melalui muntah Utih Simek itu.
Perutnya yang keras bagaikan papan terendeng itu juga sudah pulih semula.  Dia mula berselara makan setelah berturut-turut hari muntahkan daging busuk berketul-ketul. Apabila ditanyakan oleh Lebai Sali mengenai penyakit adiknya Utih Simek, memang saya sendiri tidak tahu apa-apa.  

SELESAI.

No comments:

Post a Comment