Sunday, May 31, 2015

126. MELAWAN RAJA SEGALA SUSUK



BELALANG banyak berlompatan di daun padi tengah merimbun hijau memang mudah ditangkap sampai penuh segenggam.  Tidak bertangguh Mak Rainah cucuk dengan lidi yang disediakan lantas diganggang pada api hingga garing. Terasa lemak apabila dimakan bersama nasi tatkala berteduh rihat di bawah pohon dedali tengah sawah. Di situ dia berteduh tatkala matahari tegak di kepala semasa musim turun ke sawah.
Memang Mak Rainah tidak akan balik ke rumah apabila tengahari sewaktu musim turun ke sawah tengah galak.  Lainlah kalau dia tidak bercadang mahu datang semula ke tengah sawah apabila petang menjelang.  Asal sahaja mahu teruskan kerjanya sampai santak petang Mak Rainah akan bawa nasi bekal apabila turun ke sawah bersama suaminya Pak Danok.
Lagi pun di bawah pokok dedali di tubir tali air tengah sawah itu tempatnya lapang. Pak Danok boleh bentangkan tikar untuk solat zohor atau solat asar.  Mereka tidak bimbang tinggalkan Nyimin di rumah.  Kadangkala anak gadisnya juga ikut sama membantu ditengah sawah sekiranya tidak banyak kerja di rumah perlu dibereskan.
Tahu sangat Mak Rainah tanggungjawab anak gadisnya Nyimin di rumah bukan takat memasak nasi di dapur sahaja, tetapi dia juga diharapkan membasuh pakaian, berkemas rumah atau mencari kayu api di tengah belukar, Nyimin juga tidak membantah dibebankan dengan kerja-kerja membantu ibu bapanya sebagai gadis pingitan di tengah desa di Pariaman.
“Gemar sangat awak makan belalang panggang!”  tegur suaminya Pak Danok tatkala memerhati Mak Rainah memanggang belalang yang sudah dicucuk pada lidi laksana daging sate.
“Ah, boleh juga diratah,” sahut Mak Rainah tercangkung membetulkan bara api yang berserak di bawah penyalai.  Kalau tidak dipanggang belalang berkenaan memang dia sudah dibekalkan oleh Nyimin pindang anak sepat ditabur sambal kelapa parut.  Cukuplah untuk gecurkan liur apabila menghadap hidangan makan di bawah redup pokok dedali itu.
“Kenapa tak pindang sahaja belalang tu?” sengaja Pak Danok mengusik isterinya supaya mencuba masak pindang belalang sama macam memasak pindang anak sepat yang ditimba dalam lubuk.  Apa salahnya dicuba masak pindang belalang kalau dipanggang pun terasa menyelerakan.
Kalau tidak dipindang pun belalang berkenaan Pak Danok juga gemar meratah belalang panggang yang diganggang keapi oleh Mak Rainah.  Dia sengaja mahu mengusik biar Mak Rainah buat masak pindang sama macam anak sepat di tengah lubuk.  Sudah beberapa kali emaknya buat masak pindang belalang sekiranya banyak dapat ditangkap semasa galak berlompatan di daun padi.
Sewaktu Mak Rainah cucukkan hujung lidi pada perut seekor belalang kunyit tiba-tiba dia melihat terpancut tahinya keputih-putihan.  Mak Rainah tidak peduli sangat dengan belalang kunyit sebesar kelengkeng itu kerana dagingnya sama juga macam belalang kecil yang lain setelah garing diganggang keapi.
Tatkala dia mahu menjamah belalang kunyit yang sudah garing itu tiba-tiba sahaja Pak Danok menepis tangannya.  Lantas Pak Danok tidak benarkan dia menjamah belalang kunyit berkenaan.  Kepalang marahnya Mak Rainah apabila ditegah oleh Pak Danok supaya tidak menjamah belalang kunyit sebesar kelengkeng yang sudah garing dipanggang itu.
Memang Pak Danok tidak benarkahn isterinya menjamah belalang kunyit berkenaan.  Tidak pernah pula orang-orang kampung menjamah belalang berkenaan, sekalipun tidak siapa pun melarang mereka.  Tahu sangat Pak Danok mereka sekadar menjamah belalang-belalang kecil setelah ditangkap banyak.
Tetapi Mak Rainah dapat menangkap belalang kunyit berkenaan tatkala hinhggap bersama belalang-belalang kecil yang lain.  Apalah salahnya belalang kunyit sebesar kelengkeng itu diganggang sama.  Setelah cukup garing nescaya menyelerakan apabila dicecah sambal kelapa parut yang dibekalkan oleh anaknya Nyimin.
Tersinggung benar dia apabila tangannya ditepis oleh Pak Danok sebaik sahaja mencekak panggang belalang kunyit yang dicucukkan ke lidi.  Cepat-cepat pula Pak Danok campakkan belalang berkenaan ke dalam tali air melintasi pohon pokok dedali itu.  Sebaik sahaja belalang itu dicampakkan Mak Rainah hilang selera untuk meneruskan jamah nasi.  Pantas dia membasuh tangan mendogak matahari mahu dirikan solat zohor sahaja dengan tidak menunggu Pak Danok selesai makan.
Pak Danok tersengih-sengih sahaja dengan sikap isterinya mendengus marah.  Dia tahu Mak Rainah merajuk setelah tidak dibenarkan menjamah nbelalang kunyit yang sudfah garing di panggangnya.  Jauh di lipatan hatinya dia tidak bermaksud mahu menyakiti perasaan isterinya.  Tetapi Pak Danok terasa dadanya berdebar kencang sewaktu isterinya mencapai belalang kunyit berkenaan.
Manalah Mak Rainah menyedari apabila dada Pak Danok berdetak kuat dia melihat seolah-olah mata belalang kunyit yang sudah garing diganggang itu tiba-tiba bergerak.  Masakan dia mahu memberitahu isterinmya mengenai kejadian berkenaan.  Tentu Mak Rainah tidak percaya mengenai mata belalang tersebut bergerak setelah garing diganggang keapi.
Sebab itu dia sekadar tepis sahaja tangan isterinya biar terganggu mahu mencapai belalang tersebut.  Biarlah Mak Rinah merajuk asal sahaja tidak mudaratkan dirinya setelah menjamah belalang kunyit dipanggang.  Perkara merajuk bukanya boleh berterusan sampai tidak bertegur sapa berhari-hari.  Bila-bila dia boleh pujuk semula biar isterinya mengalah.
Sewaktu Mak Rainah selesai solat zohor, Pak Danok bersiap-siap pula untuk mengambil wuduk.  Dia tetap berselera makan sekalipun isterinya mendengus terus merajuk. Tatkala Pak Danok turun ke anak air membersihkan dirinya untuik mengambil wuduk, jirannya bekejar datang memberitahu mengenai anak gadisnya Nyimin termuntah-muntah akibat sakit perut memual-mual.
Terpaksa Pak Danok balik sahaja ke rumah dengan tidak sempat solat zohor di situ.  Mereka berdua suami isteri tidak bertangguh berkemas barang-barang bekalan setelah diberitahu mengenai anaknya sakit perut memulas-mulas sampai termuntah.  Ketika sampai di rumah memang Nyimin mengerang-erang kesakitan dengan muntahnya keputih-putihan sama dengan tahi belalang kunyit yang dicucuk perut tatkala dipanggang.
Mengusap-usap dada Mak Rainah apabila melihat keadaan anaknya Nyimin.  Dia dapat mengagak tentu suaminya Pak Danok dapat merasakan sesuatu yang ganjil tatkala menepis tangannya mahu mencapai belalang kunyit yang sudah garing dipanggang.  Sebab itu dia segera menarik tangan Pak Danok meminta dibantu anak gadisnya yang mengerang-erang kesakitan.
“Tak apa, jangan cemas!” bisik Pak Danok ingatkan isterinya supaya tidak terburu-buru. Memang dia tidak bimbang apa-apa sekalipun Nyimin merintih-rintih menahan sakit perut bagaikan ditusuk berulang kali.
Dalam masa jiran-jiran mereka menyerbu datang sebaik sahaja diberitlahu mengenai penyakit yang menimpa Nyimin inilah Mat Labuh ikut sama menjengah.  Setelah lama mereka semua tidak dapat memulihkan keadaan Nyimin, lantas sahaja Mat Labuh meminta izin untuik mencuba kebolehannya.
Dia meminta ambilkan pucuk pokok jambu batu tiga kuntum, kemudian dicampurkan dengan tiga butir garam kasar.  Setelah dibibuh ke dalam piring, Mat Labuh mengisar ibu jari tangannya paeda buntat piring berkenaan.  Kemudian dia hembuskan perlahan dengan membacakan seru:
Batang penak batang badam, batang buruk guling bayi, datang senak datang tajam,, datang tawar tak jadi lagi, tajam hawar yang aku tawar, tajam jembalang yang aku tawar berkat hu….
Setelah pucuk jambu batu itu dikunyah dengan ditelah airnya bersama garam, hampasnya disapukan pada pusat Nyimin.  Sekali gus terasa sejuk menyucuk hingga ke ususnya menyebabkan kesakitan memual-mual itu beransur hilang Nyimin kembali segar setelah terlalu lemah akibat termuntah-muntah.
Semenjak diubati oleh Mat Labuh itulah Nyimin tidak dapat melupakan lelaki berkenaan, sekalipun dia menyedari Mat Labuh sudah mempunyai isteri.  Dia rela menjadi isteri Mat Labuh dengan menerima hakikat hidup bermadu di samping isteri-isteri yang lain.
“Dia yang kirimkan belalang kunyit tu,”  gerutu Mak Rainah setelah menyedari dia terperangkap takala menangkap belalang kunyit sebesar kelengkeng.  Dia menjadi ghairah mahu menangkapnya sebaik sahaja belalang kunyit itu hinggap di hadapannya.
“Tak baik menuduh demikian!”  Pak Danok ingatkan isterinya supaya tideak menyalahkan sesiapa.
“Amalan dunia takkan sampai ke mana!”  marah benar Mak Rainah disebabkan dia terburu-buru mahu menangkap belalang kunyit hinggap di depannya.  Manalah dia dapat mengagak belalang tersebut sekadar dikirim melalui amalan mereka yang amalkan ilmu kebatinan.
“Biarlah dia buat apa saja, kerana Allah Maha Mengetahui,”  tutur Pak Danok rela menerima takdir apabila anak gadisnya lari mengikut Mat Labuh.
“Awak pun apa kuragnnya, kenapa tidak gunakan ilmu awak?”  rungut Mak Rainah kesalkan sikap suaminya yang mengalah sahaja dengan perbuatan Mat Labuh menganiaya keluarganya.
“Hanya Allah sahaja yang Maha Berilmu,”  beritahu Pak Danok menahan sebak dada dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu.
Memang Pak Danok dapat rasakan setiap kali Mat Labuh meniup serunai batang padi, dia sudah pujakan belalang kunyit yang dikurungnya dalam sangkar halus setelah ditusuk dengan susuk berlian.  Biarlah belalang berkenaan ditangkap sesiapa sahaja asal sahaja susuk berlian yang dikirimkan menusuk mangsa.
Sebaik sahaja belalang berkenaan dipanggang nescaya mangsa akan menjamah tidak bertangguh.  Tentu susuk berlian yang dikirim melalui belalang berkenaan sebati dalam diri mangsa, sama juga macam bersebati dengan dirinya.  Tetapi Mak Rainah yang menjadi mangsa apabila menangkap belalang yang terbang setelah Mat Labuh meniup serunai batang padinya.
Tahu sangat Mat Labuh belalang yang dikirim sengaja menerpa ke tengah sawah.  Masakan Nyimin mahu menangkap kalau takat melihat belalang hinggap pada dinding rumah.  Lainlah kalau Nyimin ikut sama ke tengah sawah membantu emaknya bersihkan permatang lopak.  Sudah tentu Nyimin ikut sama menangkap belalang yang berlompatan hinggap pada daun padi membesar rumpun.
Tetapi Nyimin tidak akan turun ke sawah setelah padi mula menghijau. Sebab itu dia sengaja kirimkan belalang berkenaan ke tengah sawah biar ditangkap Mak Rainah.  Sebaik sahaja susuk berlian di perut belalang menyusup masuk ke dalam tubuh Mak Rainah nescaya perempuan itu akan mematuhi apa sahaja kemahuannya.  Bila-bila sahaja Mak Rainah akan bersetuju sekiranya dia melamar Nyimin.
Tatkala Mak Rainah menusuk perut belalang kunyit dengan lidi memang Mat Labuh sudah bayangkan tusukan itu menyinggahi Nyimin.  Tentu Nyimin akan menahan kesakitan memual-mual perut akibat tusukan yang disebatikan dengan susuk berlian dikirim melalui belalang berkenaan.
Sebab itu Pak Danok tidak dapat menhalang apa-apa setelah isterinya terperangkap dengan muslihat belalang kunyit yang berlompatan sama di tengah kelompok belalang-belalang kecil.  Sekiranya Mak Rainah tidak menangkap belalang berkenaan bila-bila Pak Danok boleh elakkan, biar belalang yang dikirim balik menerpa kearah Mat Labuh.
“Kita dah berhutang, kita kena bayar Ujar Pak Danok memujuk isterinya supaya tidak berdendam sangat setelah Nyimin mengikut suaminya pindah ke Maninjau.
Tetapi dia ingatkan Nyimin biar tidak lepaskan solat.  Tatkala jauh dari sanak saudara Nyimin  tidak boleh jauh dari Allah.  Sebab itu sebaik sahaja Nyimin berkahwin dengan Mat Labuh dia menyuruh anaknya amalkan solat sunat tahajud kalau seringkali terganggu perasaan.
Memang Nyimin tidak lupakan pesanan ayahnya sekalipun Mat Labuh tidak benarkan dia balik menjengah sanak saudara.  Hinggalah ayahnya Pak Danok meninggal dunia dia terpaksa mengambil keputusan tinggalkan sahaja suaminya Mat Labuh. Kalau Mat Labuh mahu memisahkan dirinya dari keluarga sendiri, Nyimin rela berpisah terus dari Mat Labuh.
Apalagi semenjak dia menerima cucuk sanggul yang dihulurkan oleh bayang jelmaan ayahnya, perasaan bencikan Mat Labuh semakin meresap ke dalam jiwanya.  Dia merasa dirinya telah dipersia-siakan sejak menjadi isteri Mat Labuh, sampai melahirkan anaknya Oneng Tiah lelaki itu tetap tidak ambil peduli mengenai rumahtangga yang telah dibina.
Sebab itu dia tinggalkan sahaja Mat Labuh, sekalipun lelaki itu memberi amaran tidak akan menjemputnya di Pariaman.  Biarlah Mat Labuh gugurkan talaq sekalipun, dia sudah nekad mahu jengah juga ayahnya yang sudah meninggal dunia.  Apa sangat diharapkan pada suami seperti Mat Labuh yang tidak pernah ambil peduli mengenai makan minumnya.
Nyimin sendiri terpaksa ambil upah di sawah padi mahu menanggung anaknya Oneng Tiah.  Sama ada dia bersuami atau pun tidak sama sahaja beban yang mesti ditanggung untuk membesarkan anaknya.  Biarlah dia balik sahaja ke pangkuan keluarganya daripada terperosok dalam genggaman Mat Labuh.
Semenjak menetap di kampungnya memang Oneng Tiah sentiasa ikut neneknya Mak Rainah turun ke sawah.  Setiap kali Oneng Tiah berkejaran menghambat belalang bersama rakan sebaya dengannya Semiah, nescaya neneknya akan terjerit-jerit melarang.  Tetapi Mak Rainah tidak membantah apa-apa sekiranya Oneng Tiah bersama Semiah memanggang belalang yang ditusuk pada lidi.
“Kenapa nenek larang, belalang ni tak boleh dimakan ke?”  hairan juga Oneng Tiah apabila neneknya melarang dia meratah belalang panggang itu.
“Bukan tak boleh, tapi banyak lagi yang boleh dimakan,”  sahut neneknya Mak Rainah cuba sembunyikan rahsia sebenar yang memcurigakan hatinya.
“Semuua orang di sini gemar makan belalang panggang,” jelas Oneng Tiah serba salah setiap kali neneknya tidak benarkan dia menghambat ke tengah lopak sawah.
“Sekali sekala tak apa, tapi kamu sering sangat tangkap belalang,” beritahu Mak Rainah mengerling tajam kearah cucunya yang termangu apabila ditegah menangkap belalang yang banyak berlompatan.
Tetapi Semiah akan memanggilnya mengajak menghambat belalang.  Ibu bapa Semiah tidak melarang pun sekiranya mereka berdua meranduk ke dalam lopak sawah.  Biarlah Semiah atau Oneng Tiah bebas berkejaran di tengah sawah sama macam anak-anak petani di perkampungan mereka.  Masing-masing berkejaran riang menangkap belalang-belalang yang banyak berterbangan lantas ditusuk dengan lidi.  Kemudian dipanggang keapi laksana menyalai sate di atas bara.
Masakan Mak Rainah dapat melarang Oneng Tiah sekiranya anak gadis kecil itu mengikut Semiah ke tengah lopak sawah  ibu bapanya.  Rumpun padi tidak akan rebah diranduk sewaktu mereka mengejar belalang-belalang berkenaan. Apalah salahnya Oneng Tiah ikut Semiajh sama-sama menghambat sampai belalang penuh seraga.
“Cukuplah sekali sekala kamu tangkap belalang,” Mak Rainah tetap bimbang cucunya menangkap belalang apabila kenang kejadian yang menimpa dirinya.  Kalau tidak disebabkan Pak Danok tepis tangannya nescaya belalang kunyit sebesar kelengkeng itu sudah diratahnya habis.
Oneng Tiah juga tidaklah membantah sangat apabila neneknya berkeras melarang.  Apa sangat dengan belalang-belalang yang berlompatan itu kalau bandingkan dengan menimba lubuk di penuru lopak sawah.  Bukan  takat anak-anak sepat sahaja masuk ke dalam timba.  Kadangkala ikan haruan sebesar lengan juga dapat dicekak kepala.
Betapa berselera dia menikmati ikan sawah masak pindang yang disudip emak dalam kuali. Gecur sahaja liurnya tatkala bau anak ikan masak pindang tengah terjerang di atas tungku. Memang Oneng Tiah gemar masak pindang setiap kali neneknya menimba lubuk di penjuru lopak sawah.
Saat ini dia tidak peduli sangat mengenai ayahnya menyerbu ke tengah halaman menuntut bayaran jumlah wang yang banyak dari neneknya.  Masakan neneknya bodoh sangat hingga tunduk dengan apa sahaja kemahuan ayahnya.  Keluarga emaknya tetap bertahan apabila ayahnya menuduh mereka larikan dia bersama emaknya balik ke kampung halaman.
Biarlah terbujur menjadi mayat pun, Oneng Tiah tetap akan bersama dengan emaknya. Dia tidak akan menuruti ayahnya balik semula ke Maninjau semata-mata bimbang membayar jumlah wang yang dituntut.  Kemana sahaja dibawa oleh emaknya dia tetap ikut bersama supaya mereka berdua tidak dipisahkan sampai bila-bila.
“Aku tak akan tunduk dengan kemahuan Mat Labuh!”  tegas Mak Rainah setelah Mat Labuh tinggalkan kampung halamannya balik semual ke Maninjau.
Seisi kampung melihat sendiri Mat Labuh dipusar angin bagaikan gasing berputar ligat akibat terserempak bayang jelmaan Pak Danok.  Memang mereka terkejut tiba-tiba sahaja jelmaan itu datang terapung-apung di udara.  Sekalipun dalam ketakutan namun Mat Labuh cuba juga menyembunyikan perasaan tersebut daripada orang-orang kampung yang tercegat berkeliling halaman.
Satu-satunya yang tidak terkejut tartkala melihat jelmaan Pak Danok memang Mak Rainah sendiri.  Tahu sangat dia kesabaran Pak Danok menyebabkan dia diperlakukan oleh Mat Labuh macam anak-anak kecil yang mudah diugut.  Tetapi Pak Danok sekadar berdoa memohon perlindungan dari Allah semata-mata setiap kali berhadapan dengan mala petaka.
Tatkala terkejang sakit menahan sesak nafas yang menumpu dada, Pak Danok sekadar berbisik memberitahu seolah-olah jantungnya ditusuk jarum.  Dia sendiri tidak menduga bagaimana penyakinya menyerang tidak semena-mena sebaik sahaja selesai solat sunat tahajud.  Memang dia sendiri dapat mengagak anaknya Nyimin juga sentiasa bangun tengah malam semata-mata ingatkan pesannya supaya amalkan solat sunat tahajud memohon perlindungan Allah.
Ketika ini dia dapat melihat cucuk sanggul peninggalan emaknya tergenggam erat di tangannya sebaik sahaja bayangan dirinya menjelma di hadapan.  Dia seolah-olah duduk di depan cermin melihat bayang sendiri terconggok gagah.  Sanyup-sayup di udara Pak Danok mendengar suara ibunya ingatkan dia supaya hulurkan cucuk sanggul tersebut kepada Nyimin.
Berdebar benar hatinya apabila diberitahu mengenai Nyimin yang jauh di rantau orang, sekalikpun sekadar mendengar imbauan suara emaknya sayup-sayup di tengah kesepain malam.  Tetapi dia menyedari siap pun tidak akan dapat membantu Nyimin di dalam kesusahan selain daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib mahupun yang nyata.  Apabila dirinya makhluk Allah yang serba lemah dan tidak berkuasa apa-apa.
Sewaktu dia menghulurkan cucuk sanggul ke hadapan bayangan dirinya seperti di depan cermin, dia dapat merasakan cucuk sanggul itu dicapai lembut.  Apabila dia berkisar duduk, Pak Danok mendengar bisikan emaknya supaya tidak biarkan Nyimin di sisi Mat Labuh.
“Menantu kamu tu memang gunakan susuk berlian bunian,”  getar suara emaknya terasa menusuk perasaan.
“Tak bergerak sesuatu kalau tidak dengan izin Allah!” sahut Pak Danok kerana bimbang suara yang mendesaknya itu hanya gangguan syaitan yang mahu mengelirukan dia.
“Kenapa kamu biarkan diri kamu dianiaya Mat Labuh?” gerutu emaknya kecewa dengan sikap Pak Danok yang sentiasa mengalah.
“Mat Labuh tak akan dapat menganiaya sekiranya tak ada izin Alllah,” ujar Pak Danok tidak mahu tunduk dengan bnisikan yang tidak diketahuinya.
“Allah berikan akal, kamu mesti gunakan akal kamu!” emaknya bagaikan mengejek Pak Danok disebabkan dia terus bertahan sekalikpun menyedari Mat Labuh berlaku biadap terhadap dirinya.
Dalam keadaan serba salah tartkala mendengar bisikan suara emaknya Pak Danok memngukuhkan duduknya lantas merenung bayangan dirinya bagaikan duduk di depan cermin itu dengan membacakan perlahan.
Rabbi adkhilni mud-khola sidqin wa-akhrijni mukhraja sidqin waj’al li-min ladunka solthonan nasir
Sekali gus dia melihat kabus berpusar hingga ternampak Mat Labuh terconggok di tengah kelompok bunian.  Di muka Mat Labuh berceracak jarum berkilauan apabila disilau cahaya memancar.  Tersengih-sengih Mat Labuh sebaik sahaja menyedari Pak Danok tercegat memerhati ke arahnya.
“Aku susuk raja segala susuk!” seru Mat Labuh merenung tajam kearah Pak Danok.
Tetapi Pak Danok tidak menyahut apa-apa.  Dia sekadar tercegat sahaja tidak berkedip mata memerhatikan Mat Labuh dikelilingi kumpulan kelomplok bunian. Siapa pun tidak akan mampu menceroboh masuk apabila kelompok bunian mengelilingi Mat Labuh. Sebaik sahaja melihat Pak Danok membolos masuk memang tersentak juga dia bagaikan anak ayam diserbu kucing liar.
Saat ini dia merasakan Pak Danok tidak sama dengan Malim Dusak yang mudah memberang apabila diganggu.  Dia sekadar melihat Pak Danok sentiasa tenang tidak bimbang apa-apa tatkala berhadapan dengan kelompok bunian.  Lainlah Malim Dusak mudah sahaja dikelirukan sewaktu memberang tidak menentu.  Sebab itu Malim Dusak terkial-kial di dalam kegelapan mahu membolos masuk ke tengah kelompok bunian berkenaan.
Sebaik sahaja Pak Danok membolos masuk bermakna dia tidak akan terlepas lagi dari kelompok bunian berkenaan. Masakan dia boleh menembusi sinaran cahaya dengan mukanya berceracak jarum. Tentu seisi kampung akan terkejut hingga bertempiaran melarikan diri apabila melihat mukanya hodoh berlubang-lubang.  Mat Labuh memberang akibat dia membolos masuk ke situ.  Mat Labuh tidak dapat menyembunyikan wajahnya yang berlubang-lubang laksana tikar dianyam.  Memang Pak Danok menyedari Mat Labuh tidak akan dapat melepaskan diri dari kepungan bunian setelah mukanya dijengah oleh Pak Danok.
Kecewa benar dia apabila Pak Danok dapat menembusi kegelapan yang diselubungi kabus hitam.  Ketika ini Mat Labuh sekadar menumpukan fikiran sama ada dia terkurung di situ atau keluar semula ke tengah silau cahaya.  Masakan dia boleh keluar dari kurungan selagi Pak Danok terus memerhatikan dirinya.  Sia-sia sahaja dia membolos keluar dari kurungan tersebut sekiranya rahsia dirinya sudah diketahui manusia.
Selagi Pak Danok tidak menutup mata, selama tubuh itulah dia terkuruang di tengah kegelapan kumpulan bunian.  Semasa susuk berlian ditusukkan ke mukanya dari cahaya alam bunian, memang dia mesti menyimpan rahsianya baik-baik. Asal sahaja rahsiany diketahui manjusia dia akan terkurung di situ sampai bila-bila.
Lainlah kalau dia sanggup membunuh Pak Danok supaya rahsia dirinya tidak diketahui sesiapa.  Saat ini Mat Labuh sudah nekad untuk melakukan apa sahaja, asalkan dia tidak terus terkurung dalam kegelapan.  Dia mesti keluar semula ke tengah cahaya dengan merempuh kuat kearah Pak Danok.
“Aku raja segala nur, aku raja segala susuk!” seru Mat labuh semakin nyaring hingga bergema kuat ke udara.
Ketika ini angin kencang bertiup menerjah kuat ke dada Pak Danok.  Dia terus bertahan dari rempuhan angin yang bertumpu ke dadanya.  Apabila rempuhan angin kian kencang berpusar Pak Danok terus azan tujuh kali diikuti dengan membaca:
Wamai-yabtaghi ghairal-islami dinan falai-yuqbala minhu wahuwa fil-akhiroti minal-kholsirin.
Sekali gus pula angin berpusar kuat itu berpatah balik lantas menerjah kumpulan bunian.  Mereka semua bercfempera selamatkan diri akibat diserbu angina kencang berpusar.  Terkial-kial mereka berpaut di mana sahaj apabila angina yang menampan ke dada Pak Danok tidak mampu merempuh berterusan.
Bertambah marah Mat Labuh apabila kumpulan bunian bercempera lari meninggalkan dia terkurung dalam kegelapan.  Sekiranya kumpulan bunian terkambus batu-batu yang menerah bersama angin kencang, nescaya dia juga tidak dapat melepaskan diri ke mana.  Dia tidak mahu mukanya terus berlubang-lubang bagaikan sarang anai-anai terpokah sekiranya mahu membolos keluar ke tengah cahaya.
Alangkah malunya dia mahu berhadapan dengan isteri-isteri yang menunggu kalau mereka melihat mukanya berlubang-lubang! Apa lagi kalau Nyimin sendiri menyedari keadaan yang menyelubungi dirinya akibat dijengah oleh Pak Danok.  Saat ini sorak sorai kumpulan bunian mendesak dia membunuh sahaja Pak Danok kalau mahu pulihkan semula kulit mukanya yang berlubang-lubang akibat susuk berlian yang ditusukkan.
“Hai, susuk raja segala susuk, satukan aku dengan nur raja segala nur!” Mat Labuh mengisar tapak tangan menyeru kumpulan bunian kembali mengelilingi dia.  Serentak dengan itu pusaran angin kencang terus berhenti serta merta.
Ketika ini Pak Danok melihat Nyimin bertahan dari terjahan jarum berkaca yang bertalu-talu.  Sekalipun jarum yang berterbangan itu tidak menyinggahi Nyimin tengah bertimpuh di atas sejadah memegang kukuh cucuk sanggul di tangannya, tetapi Pak Danok tidak sanggup membiarkan anaknya terus diganggu.
Tidak bertangguh dia melompat ke hadapan Nyimin bertahan dari terjahan jarum yang menjunam bertubi-tubi.  Saat ini Pak Danok terasa dadanya bagaikan ngilu luka ditusuk menyebabkan tenaganya bertambah lemah. Perlahan-lahan dia memanggil isterinya Mak Rainah memberitahu mengenai sesak nafas yang menyeksanya ketika itu.
Apabila jiran-jiran diberitahu mengenai pak Danok mengalami penyakit sesak nafas memang mereka semua terkejut.  Mereka tahu Pak Danok tidak pernah diganggu sakit dada seumur hidupnya, masakan mudah sangat diserang sesak nafas tatkala bangun tengah malam tunaikan solat sunat tahajut.
“Aku sekadar melihatnya seolah-olah dalam mimpi,”  bisik Pak Danok meminta isterinya tidak bimbang apa-apa dengan segala yang dialaminya ketika itu.
Sebab itulah Mak Rainah tidak terkejut sangat apabila bayang jelmaan Pak Danok tiba-tiba tersergam.  Mat Labuh tidak boleh berterusan menunjukkan keangkuhan kepada keluarganya dengan melenyapkan dirinya dalam kumpulan bunian.  Kalau tidak disebabkan Nyimin terancam memang Pak Danok tidak bimbang bertembung di antara dirinya yang lenyap dengan diri Mat Labuh yang lenyap juga.
Tatkala ini siapa sahaja mesti menerima padah Pak Danok sanggup mengalah semata-mata mahu selamatkan anaknya.  Tahu sangat Mak Rainah bukan mudah suaminya mahu terus bertahan kalau semata-mata berkeras tunjuk kedegilan.  Pak Danok terlalu banyak bersabar sekalipun dalam keadaan terdesak.
Dia mahu menuduh Mat Labuh aniaya dirinya hingga terkejang sesak nafas, tetapi sekadar beritahu Mak Rainah perkara yang dilihatnya berlaku seolah-olah dalam mimpi sahaja.  Apabila jelmaan Pak Danok tersergam di hadapan Mat Labuh yang mahu tunjuk jantan, Mak Rainah dapat mengagak pertembungan yang lenyap tidak sama dengan yang hilang.
Saat ini Mat Labuh bukan lagi behadapan dengan Pak Danok tatkala lenyap, tetapi Pak Danok yang sudah hilang.  Masakan dia boleh jejaki Pak Danok yang sudah hilang.  Sebab itu Mat Labuh tidak berdaya pertahankan diri tatkala angin kencang berpusar macam gasing tengah hidup uri.
Memang Mak Rainah juga memahami apa yang dihadapi oleh Mat Labuh. Apabila Nyimin enggan mengikut Mat Labuh balik ke Maninjau, dia dapat mengagak bukan mudah Mat Labuh mahu memujuknya.  Mat Labuh menjadi gementar sekiranya menatap muka Nyimin tatkala cucuk sanggul yang dicapai dari tangan ayahnya disisipkan pada rambut.
“Kamu masih isteriku, Nyimin,”  Mat Labuh berkeras mendesak Nyimin balik semula ke pangkuannya.
Nyimin mencemik muka. Dan tidak mahu menyahut apa-apa.  Bukan mudah dia mahu melupakan perbuatan lelaki itu yang abaikan tanggungjawab sebagai suami.  Apalah maknanya dia ikut semula Mat Labuh, kalau jiwanya sentiasa memendam rasa.  Biarlah dia menjadi janda asal sahaja hatinya tenang tenteram tidak diganggu kegelisahan sepanjang masa.
“Tak kasihankah kamu pada anak kita Tiah?” Mat labuh terus merayu dengan harapan Nyimin mahu mengalah.
“Biarlah jodoh ditentukan Allah, bukan dipasa dengan amalan syaitan!” lantas Nyimin menuturkan dalam perasaan geram meluap-luap.
“Tak baik tuduh aku begitu, Nyimin!” tersentak Mat Labuh apabila disindir demikian hingga terasa menghiris ke jantung.
“Cakaplah Mat Labuh,” sahut Nyimin mencebek bibir. “Tiap-tiap yang bernyawa itu akan mati,” jelasnya ingatkan lelaki itu supaya tidak tunjukkan kesombongan diri dengan amalan yang mahu tundukkan orang lain.
“Kamu silap sebenarnya, Nyimin,” ujar Mat Labuh terus memujuk Nyimin supaya mengikutnya balik ke Maninjau.
“Bila tiba masanya, tak sesaat pun dapat diundurkan,” lantas Nyimin mengusap-usap cucuk sanggul tersisip di rambutnya. “Dan tak sesaat pun dapat didahulukan, Mat Labuh!” semakin keras dia luahkan perasaannya tidak mahu lagi hidup di samping lelaki berkenaan.
Cukuplah dia menahan kesengsaraan selama menjadi isteri Mat Labuh. Disebabkan amalan susuk berlian yang ditusukkan bunian ke mukanya, lelaki itu menjadi angkuh tidak peduli apa-apa.  Susuk berlian yang sebati dalam dirinya itu sentiasa diawasi bunian.  Dia mesti menuruti apa sahaja kemahuan kumpulan bunian selagi susuk berlian itu tertusuk di situ.
Masakan Mat Labuh boleh membantah kemahun bunian kalau terpaksa menerima padah hingga kulit mukanya nampak berlubang-lubang! Asal sahaja tiga kali bulan mengambang penuh Mat Labuh mesti berkahwin baru. Susuk berlian yang ditusukkan akan luntur sekiranya tidak berkahwin.
Tetapi semenjak Nyimin tinggalkan dirinya, Mat Labuh merasakan kesakitan yang menyeksakan.  Asal sahaja malam menjelang dia tidak boleh melihat cahaya lampu menyilau ke mukanya. Tatkala ini Mat Labuh menyedari kulit mukanya berlubang-lubang laksana tikar mengkuang dianyam. Dia terpaksa bersembunyi di dalam kegelapan malam supaya tidak disilau cahaya api pelita.
Tahu sanagat dia kalau dipujuk Nyimin balik ke pangkuannya dia akan mengalami kesakitan sampai bila-bila pun. Tiba-tiba sahaja dia melihat cahaya bersinar dari kepala Nyimin menyebabkan dia terpaksa berkurung di dalam gelap malam. Biarlah dia mengalah kepada Nyimimn asal sahaja isterinya boleh selamatkan dirinya. Dia tidak mahu bersembunyi di dalam gelap malam selama-lamanya.
Bagaimana dia mahu bertahan kalau sentiasa mengelak dari isteri-isterinya asal sahaja malam menjelang? Tentu isteri-isterinya terkejut kalau terserempak dengan keadaan mukanya berlubang-l;ubang. Dia tahu cucuk sanggul yang dipakai Nyimin menyebabkan susuk berlian yang sebati dalam dirinya menjadi madal tidak berguna.
Puas dipujuknya berulang kali Nyimin tetap juga berkeras tidak mahu balik ke pangkuannya. Mat Labuh semakin kecewa apakala diberitahu Nyimin sudah meninggalkan kampung halaman. Dia sendiri tidak tahu kemana Nyimin menghilangkan diri hingga tidak dapat dijejakinya.
“Macam itulah, ustaz,” jelas Haji Sidin berpaling memandang saya. “OPneng Tiah yang beritahu kami mengenai ceritanya demikian,” dia menambah sebaik sahaja menyambungkan bherita kematian Oneng Tiah dalam usia yang terlalu lanjut.
“Dia beritahu juga fasal cucuk sanggul peninggalan emaknya,” sahut Mat Zakir perlahan, “Tapi, kami tak pernah tengok pun, ustaz,” tersengih-sengih dia apabila kenang mengenai cucuk sanggul peninggalan Nyimin.
“Ah, cucuk sanggul pun bukannya ada kuasa apa-apa,”
Lantas Alang Jagat mencebek bibir mengerling anaknya Mat Zakir. “Yang berkuasa hanya Allah,” ujarnya mencepak-cepak bibir seolah-olah tidak mahu anaknya ungkit lagi mengenai cerita cucuk sanggul berkenaan.
Tetapi Alang Jagat mengakui neneknya Oneng Tiah semakin segar setelah dimandikan air embun.  Penyakitnya juga beransur sembuh spabila meneguk embun yang  berbutir pada daun keladi tatkala disilau cahaya matahari.  Beberapa bulan sahaja selepas tenaganya pulih semula, baru Oneng Tiah mahu beritahu cucu cicitnya mengenai kampung halamannya di Pariaman yang lama ditinggalkan.
Lama dia menetap di Semenanjung barulah neneknya Mak Rainah ikut menjejakinya setelah emaknya mengirimkan surat ke sana.  Memang Nyimin sendiri mahukan emaknya berpindah sahaja ke Semenanjung setelah dia berkahwin lain.  Terbuka sahaja hati Nyimin mahu bersuami semula setelah dilamar Haji Musnir yang lama menduda.
Memang Haji Musnir yang mendesak Nyimin menjemput emaknya datang ke Semenanjung.  Apa sangat yang ditunggu emaknya di kampung halaman dalam masa Belanda yang berkuasa menentukan hasil mahsul.  Sebab itu terpengaruh juga Mak Rainah dengan desakan Nyimin.  Biarlah dia tinggalkan kampung halaman asal sahaja dapat memulakan penghidupan baru di Semenanjung.
Tatkala sampai di Semenanjung inilah Mak Rainah beritahu Nyimin mengenai Mat Labuh ditemui terkejang mati bersendirian.  Tidak siapa pun terconggok di sisinya tatkala Mat Labuh hembuskan nafas disebabkan mahu bersembunyi asal sahaja malam kian gelap. Takut benar Mat Labuh suakan mukanya apabila api pelita dipasang di tengah rumah.
Lantas sahaja dia jauhkan diri dari semua isteri-isterinya sebaik sahaja malam menjelang. Dia mahu bersendirian sahaja setelah menyedari kulit mukanya akan berlubang-lubang laksana sarang anai-anai terpokah sekiranya disilau cahaya pada waktu malam. Tidak seorang pun isteri-isterinya menyedari padah yang menimpa Mat Labuh apabila dia ditemui terkejang mati.
Terkejut benar keluarganya tatkala melihat muka mayat berlubang-lubang di hurung semut seolah-olah membuat sarang di situ. Terpaksa pula mereka bersihkan muka mayat biar semut-semut yang bersarang dalam lubang pada kulit muka dibuang habis. Tapi semakin dibuang semut-semut berkenaan bertambah besar pula lubang-lubang berkenaan hingga sebesar pangkal lidi. Semasa mayatnya dimandikan mereka juga tidak peduli lagi menenai semut yang banyak keluar masuk melalui lubang sebesar pangkal lidi di merata kulit muka.
Mak Rainah gagahi juga hatinya mahu menziarahi mayat Mat Labuh sekalipun hatinya terlalu mendongkol. Tetapi apabila kenang Mat Labuh sekadar lafrazkan cerai sekiranya Nyimin balik menjengah ayahnya meninggal dunia. Mak Rainah sanggup juga dating menziarah. Mat Labuh tetap dirasakan bekas suami anaknya  juga.
Berdebar hatinya apabila melihat kulit muka mayat Mat Labuh berlubang-lubang dengan dihurung semut. Terlalu galak semut-semut berkenaan keluar dan masuk di situ. Tidak tergamak Mak Rainah mahu menatap lama-lama setelah melihat kejadian tersebut. Memang geli geleman dia sewaktu menceritakan semula kepada Nyimin sebaik sahaja jejak kaki ke semenanjung.
“Dah bertahun-tahun dulu ceritanya, ustaz,” jelas Alang Jagat mengenai perngalaman neneknya Oneng Tiah.
“Ayah tirinya Haji Musnir sayangkan Oneng Tiah,” Haji Sidin mencelah apabila kenang masa silam orang tua itu.
Memang emaknya beritahu Haji Sidin mengenai Oneng Tiah banyak amalkan petua yang dipelajari dari ayah tirinya Haji Musnir. Dia juga mengakui Haji Musnir sendiri sentiasa mandi embun asal sahaja bangun sewaktu subuh bening. Dia akan meneguk ketul embun di atas daun keladi sebaik sahaja disilau cahaya matahari.
Sebab itu Oneng Tiah ingatkan anak cucunya supaya tidak amalkan susuk kalau takat mahukan kecantikan. Jauh di lipatan hatinya dia tidak akan dapat lupakan malang yang menimpa ayahnya Mat Labuh. Sekalipun dia tidak melihat sendiri kejadian buruk itu, tetapi Oneng Tiah dapat merasakan pembalasan yang amat menusuk perasaan.
Tidak lama selepas dia beritahu cucu cicitnya mengenai pengalaman emaknya Nyimin di kampung halamannya, Oneng Tiah mencapai tongkatnya lantas berjalan mengelilingi rumah sampai tiga kali.
“Aku nak ambil angin dulu,” tuturnya tatkala Haji Sidin tanyakan kenapa mahu berligar keliling rumah.  Kemudian Oneng Tiah masuk semula ke rumah mahu berbaring disebabkan penat-penat badan. “Kalau kamu nak makan dulu, makanlah, aku nak tidur dulu,” pesan Oneng Tiah menyedari cucu cicitnya mahu bersarapan pagi.
“Masa itulah dia hembuskan nafasnya, ustaz,” tutur Haji Sidin beristighfar beberapa kali semasa beritahu saya mengenai kematian Oneng Tiah. Saya menundukkan kepala dalam keharuan yang menusuk.
                              SELESAI