BIARLAH seisi kampung tertanya-tanya bagaimana rumah
kecil di pinggir sawah sudah diganti menjadi rumah besar tersergam. Dinding papan juga diganti dengan batu hingga
Kossim satu-satunya yang mampu dirikan rumah batu di kampung mereka.
Tahu sangat mereka Kossim sekadar petani biasa yang
habiskan masanya di tengah bendang sawah. Tetapi semenjak isterinya ditemui
Samsiar yang datang dari Pariaman ke kampung mereka Kossim tidak menyoal
apa-apa bagaimana isterinya dapat kumpulkan wang yang banyak.
Kossim tidak melarang isterinya Raonah mematuhi apa
sahaja petua Samsiar yang mengakui bomoh dari Pariaman. Memang dia datang ke kampung berkenaan mahu
membantu Raonah amalkan petua, biar gedung wang tempat mereka yang tidak membayar
zakat di sembunyikan oleh jin-jin dipunggah ke sisi mereka.
Siapa pun tidak percaya apabila Samsiar beritahu mengenai
wang mereka yang tidak membayar zakat disembunyikan oleh jin tatkala mereka
tidak menyedari apa-apa. Cubalah
mengelak diri tidak mahu membayar zakat yang diwajibkan, nescaya jin-jin akan
berkeliaran mengambilnya lantas di sembunyikan dalam gedung yang tidak
diketahui oleh manusia.
Petua amalan yang diamalkan oleh Samsiar satu-satunya
yang dapat menyusup masuk ke dalam gedung menyembunyikan wang itu lantas
dipunggah habis. Memang Sansiar yang
bantu Raonah dapatkan wang tersebut sampai dia dapat membina rumah besar
tersergam di dalam kampung.
“Tak salah kita ambil duit orang yang tak bayar
zakat,” beritahu Raonah apabila suaminya
meragui amalan yang diamalkannya dari tunjuk ajar Samsiar.
“Siapa kata tak salah?”
Kossim menjadi resah setelah orang-orang kampung mula ingatkan dia
mengenai Samsiar wanita muda yang datang dari Pariaman itu.
“Mereka mengelak bayar zakat, jadi kita ambil duit mereka,” tegas Raonah seperti dituturkan kepadanya
oleh Samsiar.
“Itu urusan mereka dengan Allah,” sahut Kossim cuba mendesak isterinya lupakan
sahaja usaha mahu bertapa setiap malam Jumaat jauh di gua tengah hutan. “Cara itu sama juga macam mencuri, siapa kata
mencuri tidak salah?” dia ingatkan
isterinya supaya tidak terjerumus dengan amalan demikian.
Disebabkan Kossim berkeras melarang Raonah mematuhi
kemahuan Samsiar yang mengakui menjadi saudara angkatnya setelah menetap di
kampung berkenaan, terpaksa juga Raonah
mengalah. Tetapi Samsiar tetap juga
membantu dia menguruskan rumah dengan memasak dan membasuh pakaian, sementara Kossim bertungkus lumus di bendang.
Tidak sampai sebulan Samsiar di rumah Raonah, tiba-tiba
sahaja perubahaan pada diri Kossim hingga dia tidak berani lagi menasihati
isterinya. Dia tidak akan membantah
sekiranya Raonah bangun tengah malam beramal di bilik Samsiar.
Kalau Raonah dan Samsiar tidak sempat memasak untuk makan
tengah hari, Kossim sendiri akan memasak
sebaik sahaja balik dari bendang. Kossim
juga akan membasuh pakaian sekiranya Raonah tidak ke telaga membasuh. Raonah tetap mematuhi amalan Samsiar mahu
mendampingi jin yang mengawal gedung wang mereka yang tidak membayar zakat
seperti diberi tahu oleh Samsiar.
Sebab itu mudah sahaja Raonah tinggalkan rumah mengikut
Samsiar sampai seminggu amalkan bertapa di gua tengah hutan. Kossim tidak perlu bimbang sebaik sahaja
Raonah turun dari rumah malam Jumaat sehingga sampai santak malam Jumaat
seminggu kemudian dia baru balik ke rumah.
Tatkala balik ke rumah itulah Raonah tunjukkan di depan Kossim satu
gendong duit yang dikatakan diambil dari gedung jin sembunyikan wang mereka
yang tidak membayar zakat.
“Abang Kossim jangan bimbang,” pujuk Samsiar setelah satu gendong duit itu
ditunjukkan di depannya. “Kalau kita tak
berusaha sampai bila pun hidup kita tak berubah,” ujarnya ingatkan lelaki itu mengenai amalan
yang mereka amalkan.
Kossim sekadar menggeleng-geleng lemah. Dia tidak berdaya membantah apa-apa, kerana
pandangannya terhadap Raonah terlalu melemahkan hatinya. Bimbang benar dia Raonah akan tersinggung
hingga meninggalkan dirinya sekiranya berkeras sangat membantah.
“Setiap malam Jumaat saya kena ikut Samsiar bertapa di
gua,” jelas Raonah bangga dengan jumlah wang
yang diperolehinya itu. Bukan mudah mahu
dapatkan wang beribu-ribu dalam tangan kalau takat kerjakan bendang saja.
Kalau Raonah tidak meminta kebenaran pun memang Kossim
tidak akan melarang. Seisi kampung
menyedari Kossim sudah ditundukkan dengan ubat guna-guna oleh isterinya
menyebabkan dia patuh sepatuh-patuhnya pada kemahuan Raonah. Apa lagi Samsiar yang sentiasa mendampingi
Raonah itu akan menasihatnya.
Setelah rumah besarnya tersergam di tengah kampung,
Raonah tidak benarkan lagi Kossim bekerja di tengah bendang. Biarlah Kossim awasi pekerja-pekerja di
bendang sahaja. Raonah tidak mahu
suaminya bersusah payah lagi berjemur di bawah panas matahari setelah kehidupan
mereka berubah menjadi senang lenang.
Tetapi Kossim tidak boleh melarang asal sahaja isterinya
tinggalkan rumah setiap malam Jumaat.
Tahu sangat dia Raonah bertapa di gua tengah hutan bersama Samsiar
supaya kekayaan mereka tidak lupus akibat melanggar pantang larang. Sudah menjadi pantang larang amalan petuanya
Raonah mesti bertapa di gua tengah hutan setiap malam Jumaat.
“Kalau amalan ini tidak dibuat, dalam sekelip mata
kekayaan Abang Kossim hilang!” Samsiar
ingatkan dia sewaktu meninggalkan rumah bersama Raonah.
Bimbang juga Kossim sekiranya kekayaan yang dinikmati itu
hilang tidak semena-mena. Dia akan
kembali berjemur tengah panas matahari mengerjakan bendang bermandi lumpur
selut. Alangkah selesanya dia terconggok
di tepi bendang memerhati anak-anak muda kampung mengambil upah dengan Raonah
yang memiliki kekayaan itu!.
Cukuplah dia menumpang kekayaan Raonah. Apalah salahnya dia menumpang kekayaan Raonah
isterinya sendiri. Siapa pun tidak akan
melarang, kalau Raonah tetap menjadi isterinya sampai bila-bila. Kekayaan Raonah samalah macam kekayaan
dirinya juga.
Tetapi Tusip adik Kossim tersinggung juga dengan sikap
abangnya yang berubah selepas menikmati kekayaan yang di miliki oleh
Raonah. Sudah lama Kossim tidak jejak
kaki ke masollah semenjak dilarang oleh isterinya Raonah.
Tahu sangat Tusip memang abangnya tidak dibenarkan
dirikan solat kalau mahu menikmati kekayaan.
Raonah akan membentak sekiranya Kossim berkeras mahu berjemaah di
masollah. Memang Kossim tidak akan
angkat muka apabila isterinya mula membebel membentaknya.
Terkejut juga Tusip apakala melihat abangnya tidak akan
membantah apabila kepalanya dihentak oleh Raonah dengan pangkal penyapu. Malah Samsiar juga berani menunjal jari ke
muka Kossim kalau ungkit mengenai kekayaan yang dimiliki oleh Raonah.
Disebabkan tidak tertahan dengan sikap Raonah dan Samsiar
itulah Tusip sanggup ke Payakumbuh menemui Haji Mat Lohim. Manalah tahu orang tua itu boleh tunjukkan
ikhtiar bagaimana mahu selamatkan abangnya Kossim yang tidak berupaya
melepaskan diri daripada ubat guna-guna.
Memang Tusip percaya abangnya sudah dikenakan ubat
guna-guna oleh Raonah yang dibantu oleh Samsiar. Kalau Samsiar boleh membantu Raonah dapatkan
kekayaan dengan bertapa di gua tengah hutan, kenapa Samsiar sendiri tidak
lakukan sendiri. Alangkah baiknya dia
menikmati wang beribut-ribu dengan bertapa sahaja setiap malam Jumaat.
Tersenyum Haji Mat Lohim apabila diberi tahu oleh Tusip
mengenai kejadian yang menimpa abangnya Kossim.
Kalau tidak dibawa Kossim menemuinya masakan dia boleh luruhkan apa
sahaja yang sudah diberi makan oleh Raonah kepada Kossim. Tentu ubat guna-guna itu sudah meresap dalam
tubuh Kossim setelah diberi makan
kotoran yang berlebihan. Kalau takat
jampi mentera sahaja bila-bila pun Kossim tidak boleh melepaskan dirinya dari
belenggu ubat guna-guna itu.
Semasa di Bangkinang pun Haji Mat Lohim sudah mengalami
kejadian si suami termakan kotoran yang sengaja diberi oleh isterinya. Seisi kampung tahu mengenai Nobin yang tidak
pernah membantah kemahuan isterinya Semiah, hingga telinga di pial pun dia
tidak melawan apa-apa.
Kadangkala Nobin terpaksa meminta wang dari kawan-kawan
kalau mahu minum di warung, disebabkan wang di tangannya akan diambil oleh
Semiah. Asal sahaja menerima gaji dari
kantor, Nobin akan serahkan semuanya kepada isterinya. Dia sekadar menerima tambang menaiki bas
untuk ke tempat kerja sahaja dari Semiah.
Siapa pun tidak berani mencampuri urusan keluarga
berkenaan, disebabkan Nobin tidak menanggung kesakitan apa-apa. Tidak ada apa-apa perubahan pada dirinya
selain dari tunduk dengan kemahuan isterinya sahaja. Tahu sangat orang-orang kampung Semiah memang
kenakan ubat guna-guna kerana bimbang Nobin akan mencari perempuan lain.
Tentu Semiah bimbang sekiranya Nobin memilih wanita yang
lain disebabkan suaminya memang kacak.
Apa lagi bandingkan dengan dirinya yang berkulit hitam dan sudah
berumur. Sebab itu dia sanggup kenakan
ubat guna-guna biar Nobin terus kekal menjadi suaminya.
Hingga Nobin meninggal dunia dalam usianya baru mencapai
umur 40 tahun sahaja akibat seluruh badannya tiba-tiba menjadi kuning, barulah
Haji Mat Lohim menyedari nasib yang menimpa lelaki berkenaan. Tatkala dia dijemput sembahyangkan jenazah,
sempat juga Haji Mat Lohim menjengah mayat dimandikan.
Beristighfar panjang Haji Mat Lohim apabila melihat air
yang keluar dari tubuh mayat bagaikan pelimbahan. Memang mereka menuduh Nobin amalkan ilmu
hitam menyebabkan mayatnya mengeluarkan air seperti pelimbahan tatkala
dimandikan. Tetapi Haji Mat Lohim tahu
Nobin diberi makan kotoran yang berlebihan semata-mata mahu tundukkan dia.
Masakan Semiah boleh berbohong apabila Haji Mat Lohim
dapat bayangkan bagaimana perempuan itu sengaja memakan julap biar cacing
gelang-gelang dari perut ikut keluar sama sewaktu buang air besar. Cacing gelang-gelang itu dikeringkan sampai
mersik terjemur di bawah cahaya matahari.
Cacing sudah kering terjemur itu digoreng garing oleh
Semiah sebelum ditumbuk di jadikan serbuk.
Dia akan kikis hujung kuku kaki dan tangannya dicampurkan bersama serbuk
cacing gelang-gelang yang sudah ditumbuk.
Ramuan itu dibancuh lagi ke dalam air yang memercik dari tubuhnya
selepas mandi setiap pagi.
“Cuba bawa Kossim ke sini,” ujar Haji Mat Lohim menghela nafas perlahan
apabila kenangkan kejadian yang menimpa Nobin di Bangkinang.
“Macam mana Tuan Haji, bukannya dia mahu?” keluh Tusip
disebabkan mustahil boleh mengajak abangnya tinggalkan rumah selagi Raonah dan
Samsiar idak berganjak.
“Kamu mahu, kamu kena ikhtiar,” jelas Haji Mat Lohim ingatkan lelaki itu
sekiranya mahu selamatkan Kossim. Kalau
harapkan orang lain membantu sampai bila pun tidak akan berhasil sekiranya diri
sendiri tidak mahu berusaha.
Serba salah juga Tusip mahu mengajak abangnya menemui
Haji Mat Lohim di Payakumbuh semata-mata mahu ubati dirinya. Tentu Kossim tidak berani tinggalkan rumah
kalau tidak di benarkan oleh Raonah. Apa
lagi Samsiar yang sentiasa ingatkan Raonah supaya tidak terpengaruh dengan
orang-orang kampung yang iri hati dengan kekayaaan yang dimilikinya.
Setelah nekad membuat keputusan, Tusip paksa juga abangnya
mengikut dia ke Payakumbuh tatkala Raonah bertapa malam Jumaat di gua tengah
hutan bersama Samsiar. Dia sendiri akan
berdepan dengan dua orang perempuan itu kalau cuba menghalang keputusannya.
Sebaik sahaja Kossim dibawa menemjui Haji Mat Lohim dia
disuruh meniarap dengan perutnya tidak cecah ke lantai. Ketika ini Haji Mat Lohim menepuk-nepuk
belakangnya dengan membacakan:
Ya
Sin, diulangi tujuh kali dan:
Waja’alna
min baini aidihim saddan wamin kholfihim saddan fa-aghsyai-nahum fahum la
yub-sirun,
diulangi sampai sepuluh kali.
Ketika ini Kossim mula tersedak kuat hingga hampir dia
termuntah. Tetapi Haji Mat Lohim
menyuruhnya bertahan supaya tidak muntah sekali pun besen disediakan di
hadapannya. Tusip juga membantu abangnya
memegang besen berkenaan. Biarlah
abangnya muntah di dalam besen tersebut hingga habis melambak.
Haji Mat Lohim terus membacakan :
Wasyamsu
tajri limustaqoril laha zalika taqdirul ‘azizil ‘alim, sebanyak enam belas
kali, dan diikuti sebanyak empat belas kali membacakan : Salamun qaulan min
rabbir Rahim.
Sekaligus Kossim termuntah tidak bertahan bagaikan air
pelimbahan yang bertakung di tengah lopak.
Tetapi Haji Mat Lohim tidak berhenti menepuk-nepuk
belakang Kossim sekali pun lelaki itu termuntah-muntah bersemburan. Muka Kossim menjadi pucat akibat banyak
sangat terjeluih muntah bagaikan air pelimbahan yang bertakung di tengah lopak itu.
Apabila dia membacakan tujuh kali:
Innama
amruhu iza aro da syai-an an-yaqula lahu kun fayakun,
keadaan Kossim semakin lemah. Badannya lembik hingga tersungkur di lantai
tidak bermaya langsung akibat muntah yang banyak tersembur di mulut.
Hampir satu jam pula Kossim tidak dapat bergerak setelah
terlentang dengan disendal bantal ke kepala.
Setelah keadaannya segar sedikit, segera di suruh minum air suam oleh
Haji Mat Lohim. Sebaik sahaja Kossim
meneguk air suam, dia termuntah-muntah lagi dengan cecair kekuningan
bersemburan.
Tersengih-sengih Haji Mat Lohim memerhatikan keadaan
Kossim yang termengah-mengah menahan senak perut akibat banyak termuntah-muntah. Kalau tidak kenang adiknya mendesak dia
menemui Haji Mat Lohim, memang Kossim tidak akan jejak kaki ke Payakumbuh. Bukan kepalang terseksanya dia apabila
termuntah-muntah demikian bagaikan usus ikut sama berpintal-pintal.
Sampai santak subuh Haji Mat Lohim demah perut Kossim
dengan air suam biar senak perutnya beransur hilang. Berpeluh-peluh Kossim hingga dia tidak
menyedari apa sebenarnya di lakukan oleh Haji Mat Lohim bersama Tusip. Sepanjang malam Kossim terkejang dengan
merungut-rungut tidak menentu tatkala perutnya didemah air panas suam.
Tetapi Haji Mat Lohim tahu memang Kossim merungut-rungut
tatkala melihat bayangan isterinya Raonah terconggok di dalam bilik gelap
bersama Samsiar. Mereka membacakan
mentera sampai pintu bilik terkuak apabila seorang lelaki berkulit hitam tidak
berbaju menjengah muka. Rambutnya
terurai sampai ke bahu dengan kepala diikat dengan kain merah.
Sebaik sahaja lelaki berkenaan masuk ke bilik tidak
bertangguh Samsiar keluar meninggalkan mereka.
Saat ini Samsiar tidak perlu lagi terconggok di situ setelah tok guru
melangkah masuk. Lantas sahaja tok guru
memberi isyarat supaya Samsiar menunggu di luar bersama wanita-wanita yang
lain.
Ketika ini tok guru membakar kemenyan dengan
mengusap-usap mukanya beberapa kali hingga tubuh Raonah menjadi lemah. Tatkala Raonah merebahkan badan tok guru
menjelma menjadi Kossim lantas mendekati Raonah. Tidak ada apa-apa lagi yang dibimbangkan oleh
Raonah kerana di depannya bukan lagi tok guru berkulit hitam, tetapi Kossim
suaminya sendiri.
Berdebar Kossim apabila melihat isterinya diperdaya oleh
tok guru. Sebab itu dia merungut-rungut
marah dalam keadaan terkejang di rumah Haji Mat Lohim. Kalau tidak disebabkan badannya lemah tidak
bermaya, memang dia bingkas bangun menerkam tok guru berkenaan. Tetapi bayangan yang dilihatnya terlalu jauh
jaraknya bagaikan dalam mimpi tatkala nyenyak tidur.
Ketika ini sayup-sayup Kossim mendengar Haji Mat Lohim
membacakan al-Fatihah tiga kali, menyebabkan dia berasa tenteram. Gelora hatinya yang berkocak marah dapat di
kawal sehingga dia beristighfar beberapa kali melihat kajadian yang terjelma
dalam bayangan di depannya.
Tok guru berkulit hitam duduk bersila rapat setelah
melayani Raonah bagaikan isterinya sendiri.
Kemudian dia mencapai tangkal yang terkalung di leher diasapkan pada
kemenyan yang dibakar. Kemudian dia
menyeru dengan membacakan tujuh kali:
Hai
insanu jurbatuha wabillahi, hai nanar putih, engkau bersifat aku, aku bersifat
engkau.
Sekaligus tiga lelaki bertanduk menjelma bagaikan asap
membawakan peti kayu di depannya. Sebaik
sahaja di buka peti kayu itu Raonah bangun perlahan lantas membelek-belek
isinya. Dia melihat banyak barang-barang
emas di samping duit kertas siap diikat secekak-secekak
Setelah Raonah memilih wang kertas diikat secekak-secekak
barulah dia dibenarkan keluar meninggalkan bilik berkenaan. Tok guru bingkas bangun masuk ke bilik lain
pula yang sudah menunggu Samsiar dengan perempuan lain. Sebaik sahaja tok guru melangkah masuk ke
dalam bilik berkenaan segera Samsiar meninggalkan bilik mendapatkan Raonah
semula.
“Kamu tak boleh berhenti amalkan,” bisik Samsiar ingatkan
Raonah setelah tok guru benarkan dia meninggalkan bilik. “Kalau berhenti, maknanya semua wang yang
kamu miliki akan bertukar menjadi kain putih dan kemenyan,” jelasnya mengenai amalan yang mesti di patuhi
setiap kali menemui tok guru asal sahaja malam Jumaat.
Bukan Raonah seorang sahaja yang mematuhi pantang larang
demikian. Beberapa orang wanita yang
mengharapkan bantuan tok guru juga mematuhi pantang larang tersebut, setelah
mereka bersetuju mengikut kemahuan Samsiar.
Memang Samsiar yang memujuk mereka setelah menyedari wanita-wanita itu
memerlukan bantuan.
Tatkala Kossim memerhatikan tok guru di bilik lain
bersama wanita yang baru ditemuinya, memang tok guru menukar dirinya menjelma
sebagai suami wanita berkenaan. Dia
melayani wanita berkenaan bagaikan isterinya sendiri sebelum membakar kemenyan
menyeru tiga lelaki bertanduk itu menjelma di depannya.
Apabila wanita itu memilih emas yang banyak di dalam peti
kayu berkenaan, tahulah Kossim tok guru menjanjikan apa saja yang dipilih oleh
wanita-wanita berkenaan. Sekiranya mahu
kelihatan jelita sepanjang hayat maka diberikan susuk emas yang diganti setiap
kali masuk malam Jumaat. Kalau memilih
emas mereka tidak dibenarkan menjual emas berkenaan, tetapi sekadar dijadikan
perhiasan.
Dia dapat mengagak tentu Samsiar mematuhi kemahuan tok
guru memujuk isteri sesiapa sahaja asal sahaja kejelitaannya sepanjang hayat
berterusan. Sekiranya dia tidak mematuhi
perintah tok guru, nescaya susuk berlian yang dipakainya akan musnah asal
sahaja menjelang malam Jumaat.
Sebab itu dia mesti dapatkan wanita yang masih isteri
orang untuk dipersembahkan kepada tok guru. Memang tok guru sudah jadikan
pantang larang kepada Samsiar supaya tidak memujuk wanita yang janda atau masih
belum berkahwin. Tentulah Samsiar
terpaksa menanggung banyak rintangan apabila mahu memujuk isteri-isteri orang
mengikut kemahuannya, kalau tidak dijanjikan dengan kekayaaan.
Asal sahaja tok guru boleh memenuhi kemahuan semikian,
Samsiar sanggup memujuk siapa sahaja wanita yang masih bersuami menyertai
amalan bersama tok guru. Dia boleh
kemana pun sekiranya wanita-wanita di Pariaman tidak dapat dipujuknya.
“Kamu nak awet muda, sanggup musnahkan rumah tangga
orang!” gerutu Kossim menggertap bibir
dalam rungutan yang memanjang.
“Sudah dapat kamu lihat puncanya, Abang Kossim?” segera Tusip menepuk-nepuk pipi abangnya biar
lelaki itu bingkas bangun.
“Ilmu syaitan tak akan kekal!” Kossim terus merungut-rungut dengan tidak
pedulikan Tusip di sisinya.
“Kenapa kamu tewas Abang Kossim?” Tusip mengusiknya
kerana tahu sangat dia Kossim lama berguru di Bonjol. Kalau takat mahu menguji bila-bila Kossim sanggup
berdepan.
Tetapi Kossim tidak mampu menegur isterinya Raonah
setelah diberi makan kotoran melalui ubat guna-guna Samsiar. Tusip sendiri melihat kotoran seperti air
pelimbahan dimuntahkan oleh Kossim setelah didoakan oleh Haji Mat Lohim.
Selagi Kossim tidak diubati memang dia tidak sedar
apa-apa pun dilakukan oleh isterinya.
Dia melihat segala perbuatan Raonah adalah benar belaka disebabkan
fikirannya sudah dikuasai oleh ubat guna-guna berkenaan.
“Kamu diperdaya ilmu syaitan, Raonah!” tiba-tiba sahaja keluh Kossim memanjang
setelah melihat bayangan isterinya melayani tok guru tidak berbaju dengan
raumbutnya terurai sampai ke bahu.
Tangkal di leher tok guru juga bergerak-gerak laksana ular berlingkar di
situ.
Apabila Haji Mat Lohim menepuk dahi Kossim dengan
membacakan surah al-Ikhlas tujuh kali, perlahan-lahan Kossim membuka
matanya. Dia bangun lantas duduk sambil
menggeliat-geliat malas. Beberapa kali
dia beristighfar dengan pandangan meliar di sekeliling ruang rumah.
“Betulkah apa yang saya lihat?” Kossim mengeluh pendek sambil menatap wajah
Haji Mat Lohim.
“Apa yang kamu lihat, abang Kossim?” segera Tusip mendekati abangnya yang masih
terpingga-pinga tidak menentu.
Kossim menggeleng kepala dengan beristighfar. Macam tidak
percaya dia melihat bayangan Raonah melayani tok guru yang tiba-tiba menjelma
menjadi dirinya. Tentu Tusip tidak
menyedari apa sebenarnya berlaku tatkala dia terkejang dalam keadaan lemah.
Tetapi Haji Mat Lohim tidak beri tahu apa-apa pun kepada
Kossim atau Tusip mengenai kejadian yang menimpa Samsiar. Masakan Kossim tahu apabila lelaki dari
Pariaman menemui tok guru mahu bertapa hingga dapat menyusup masuk ke dalam
gedung duit yang disembunyikan jin. Dia
sekadar mengetahui gedung duit itu tempat menyembunyikan wang mereka yang tidak
membayar zakat setelah dicuri oleh jin berkenaan.
Setelah lelaki itu amalkan amalan bertapa dengan berpuasa
seminggu, tok guru menyuruhnya bakarkan kemenyan Arab tatkala tengah malam di
kubur lama. Ketika inilah dia didatangi
tiga lelaki bertanduk lantas mengajaknya menyusup masuk ke dalam kubur.
Gementar hati lelaki itu apakala dipaksa menyusup ke
dalam kubur berkenaan setelah permukaan tanah merekah. Di sebabkan ketakutan tidak bertangguh lelaki
itu malarikan diri meranduk kegelapan malam.
Tetapi tiga lelaki bertanduk itu terus juga mengekorinya.
“Kamu penakut macam perempuan!” dia mendengar laungan tiga lelaki bertanduk
di belakangnya dalam suara marah membentak.
Lelaki itu terus juga berlari tidak menoleh ke belakang,
sekalipun tiga lelaki bertanduk itu ingatkan dia supaya tidak melanggar pantang
larang tok guru. Tetapi dia membantah
tidak mahu menyusup masuk ke dalam kubur setelah tok guru sekadar menjelaskan
dia akan diuji bertarung dengan tiga lelaki bertanduk itu.
Sekiranya lelaki bertanduk itu dapat ditewaskan nescaya
akan menjelma lelaki yang menyerupai dirinya.
Tatkala ini apa sahaja yang terlintas di kepalanya akan berlaku dalam
sekelip mata. Sebab itu lelaki itu
melarikan diri supaya dapat diuji oleh tiga lelaki bertanduk itu.
“Memang kamu ni perempuan agaknya!” dia mendengar tiga lelaki bertanduk itu
melepaskan geram jauh di belakangnya.
Dalam keadaan tercungap-cungap belari di sekeliling
kampung, dia mendapati tenaganya menjadi lemah.
Langkahnya juga tidak segagah mana hingga jatuh tersepuh di kaki tangga
rumahnya. Terkejut keluarganya melihat
dia tertiarap di kaki tangga tengah malam masih di selubungi kesepian.
Keesokan harinya apabila dia mulai tersedar, didapati
perubahan pada dirinya apabila tubuhnya bertukar menjadi wanita. Hairan juga dia dengan keadaannya, sekali pun
hatinya masih bersifat lelaki.
Disebabkan malu kepada keluarganya lantas dia meninggalkan kampung
halaman.
Tok guru itu menukarkan namanya menjadi Samsiar. Selagi dia tidak dapat mencari 44 orang
wanita yang sudah bersuami diserahkan kepada tok guru nescaya keadaannya tidak
akan dapat dipulihkan. Sebab itu Samsiar
terpaksa mematuhi kemahuan tok guru asal sahaja dirinya kembali menjadi lelaki. Memang dia malu mahu menemui keluarganya di
Pariaman selagi dirinya masih kekal menjadi wanita.
“Tuan Haji nak musnahkan hidup saya!” gerutu Samsiar apabila dihalang oleh Haji Mat
Lohim sebaik sahaja meninggalkan rumah
tok guru dengan Raonah.
“Bagaimana pula dengan kamu yang musnahkan hidup orang
lain?” lantas Haji Mat Lohim menyindirnya.
“Saya mahu pulihkan semula keadaan diri saya,” jelasnya jujur dalam keadaan gementar
berdepan dengan Haji Mat Lohim.
“Jadi, kamu tak peduli orang lain musnah?” semakin keras Haji Mat Lohim ingatkan dia.
“Suami wanita ini tak tahu hidup mereka takkan
musnah,” Samsiar memujuk disebabkan dia
merasa kelilingnya panas membahang sebaik sahaja Haji Mat Lohim terjongol di
situ.
Dalam keadaan terkial-kial ini, tok guru tiba-tiba
menyerbu bersama tiga lelaki bertanduk di sisinya. Marah benar tok guru apabila Haji Mat Lohim
menghalang Samsiar mahu menghantar Raonah balik ke rumah suaminya.
“Dia mahu hantar Raonah balik, nanti terlambat
pula!” tok guru memberi isyarat supaya
Haji Mat Lohim berundur.
“Apa salahnya lambat?”
sengaja Haji Mat Lohim perolok-olokan tok guru.
“Nanti suami Raonah sedar apa yang berlaku!” ujar tok guru itu keras membentak.
“Biarkan suami Raonah tahu!” ujar Haji Mat Lohim menyakiti hati tok guru
tengah marah memberang.
Memang tok guru marah apabila diperolok-olokkan oleh Haji
Mat Lohim. Segera dia memberi isyarat
kepada tiga lelaki bertanduk itu menyerbu Haji Mat Lohim yang mencabarnya. Belum sempat tiga lelaki bertanduk itu mara
menyerbu, lantas Haji Mat Lohim membacakan tujuh kali:
Wa-ja’alna
min baini aidihim saddan wamin kholfihim saddan fa-aghsyainahum fahum
layubsirun.
Apabila Haji Mat Lohim mengisar tapak tengannya,
sekaligus rantai besi mengikat tubuh tiga lembaga bertanduk itu. Setiap kali mereka meronta rantai besi itu
akan memancarkan kilauan api yang menyambar tubuh, Terjerit kuat tiga lembaga bertanduk itu
meminta tok guru melepaskannya.
Segera tok guru mencapai tangkal azimat yang terkalung di
lehernya lantas diramas-ramas macam mengira buah tasbih. Ketika ini seluruh tubuhnya berasap sambil
dia terkekeh-kekeh ketawa mengejek Haji Mat Lohim apabila bumi bergegar kuat
hingga merekah. Tetapi rekahan bumi itu
terhenti sebaik sahaja sampai di hadapan Haji Mat Lohim tercegat berdiri.
Tersenyum Hai Mat Lohim diuji oleh tok guru
berkenaan. Kemudian dia membaca
al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali diikuti dengan membacakan :
Alamyarau
kam ahlakna qoblahum minal quruna annahum ilaihim la-yarji’uun.
Ketika dihembuskan oleh Haji Mat Lohim kearahnya angin
berpusar kuat bagaikan membelit seluruh tubuh tok guru. Laungan tok guru tenggelam dalam pusaran
angin menyebabkan Samsiar bersama Raonah ketakutan tidak terperi. Mereka bertempiaran lari mencari tempat
berlindung akibat pusaran angin memburu kemana sahaja mereka bertahan.
“Istighfarullahhul azim…” keluh Kossim mengesat pelupuk matanya
digenangi air. “Bersyukur saya dapat
bertemu dengan Tuan Haji,” bisiknya
lantas menggenggam tangan Haji Mat Lohim erat-erat.
“Apa yang kamu lihat hanya untuk panduan sahaja,” beritahu Haji Mat Lohim ingatkan dia supaya
tidak terpengaruh dengan apa yang dilihat dalam lintasan bayangan tatkala dia
terkejang tidak sedarkan diri. “Boleh
jadi gangguan syaitan yang mahu buat fitnah,”
ujar Haji Mat Lohim selanjutnya.
Kossim mengangguk perlahan. Dia memahami apa yang tersirat jauh di
sanubari Haji Mat Lohim. Lama juga dia
belajar pondok di Padang Panjang, memang Kossim mudah mentafsirkan penjelasan
Haji Mat Lohim itu. Tidak ada siapa pun
boleh mendahului ketentuan yang ditetapkan Allah selain daripada menyerahkan
segalanya kepadaNya.
Tatkala Kossim balik ke kampungnya bersama Tusip dia
sekadar beristighfar sahaja melihat keadaan rumahnya tersembam ke bumi setelah
runtuh tidak bersisa. Seisi kampung
menjadi hairan kerana rumah besar tersergam itu runtuh bagaikan timbunan pasir,
di sebabkan tidak pernah berlaku rebut kencang atau apa-apa.
Bagaimana rumah yang kukuh tersergam itu boleh runtuh
dengan tidak bersebab? Dalam masa mereka
kehairanan melihat keadaan rumah tersergam itu runtuh, mereka seisi kampung
gempar melihat Raonah meracau-racau tidak menentu memaki hamun dirinya sendiri.
Terpaksa pula Kossim memujuknya dalam keadaan Raonah
semakin galak merentap-rentap rambutnya sekuat tenaga. Tidak ada pula Samsiar di sisinya ketika
itu. Hanya seminggu selepas itu mereka menemui
mayat Samsiar merengkok di bawah perdu pokok dengan keadaan tubuhnya sebahagian
lelaki dan sebahagian lagi wanita.
Sewaktu saya berkunjung bersama Mamak Bandaro menemui
Haji Mat Lohim di Payakumbuh, memang Kossim jejak kaki ke situ membawa isterinya
Raonah. Tersengih-sengih sahaja Raonah
dalam keadaan masih belum sembuh akibat mengalami gangguan fikiran semenjak
kejadian yang menimpanya setelah terpengaruh dengan pujukan Samsiar.
“Kossim ni, memang suami yang sabar,” ujar Haji Mat Lohim perkenalkan Kossim kepada
saya dan Mamak Bandaro.
“Syukurlah, tuan haji,”
sahut Kossim tersenyum mengerling Haji Mat Lohim. “Kalau tuan haji tak bantu, belum tahu saya
sabar atau tidak,” tuturnya perlahan
macam menelan keluhan yang pahit.
“Ustaz ni juga, keponakan Haji Solim di
Batusangkar,” lantas Haji Mat Lohim beri
tahu kepada Kossim.
“Oh, begitu,”
Kossim terangguk-angguk gembira.
Dia juga mengakui sudah beberapa kali menemui Haji Solim, tetapi
tidaklah kenal rapat sangat. Memang
Kossim juga tahu Haji Solim sering singgah di Padang Panjang kalau mengajar di
madrasah.
Kalau tidak diberi tahu oleh Haji Mat Lohim pun memang
Kossim pernah mendengar mengenai Haji Solim kerapkali ditemui orang yang
tunaikan umrah, tengah solat di Masjidil Haram.
Tetapi seisi kampung tahu Haji Solim tidak ke mana-mana sepanjang
minggu. Mereka yang menetap di kampung
melihat Haji Solim mengajar di madrasahnya.
Kadangkala kawan-kawannya mengakui melihat Haji Solim
solat Jumaat di Padang Panjang, tetapi isterinya Hajah Patomah tahu suaminya
solat Jumaat di Batusangkar. Sebab itu
apabila disebut sahaja nama Haji Solim di depannya mudah sangat air mata Kossim
mengalir akibat menahan rasa terharu yuang menusuk perasaan.
Kalau tidak Haji Solim yang menyuruh singgah di
Payakumbuh menemui Haji Mat Lohim memang Mamak Bandaro sudah berpatah balik ke
Bukittinggi sewaktu sampai di Baso.
Tetapi Haji Solim mendesak juga sekadar untuk sampaikan salam sahaja
kepada Haji Mat Lohim.
“Haji Solim memang begitu,” tersenyum Haji Mat Lohim apabila diberi tahu
Mamak Bandaro kami singgah di Payakumbuh semata-mata mahu sampaikan salam Haji
Solim.
Apa sangat dengan salam yang hendak disampaikan kalau
Haji Solim boleh terjongol tatkala sepupu Mamak Bandaro terkejang di
Bukittinggi. Dalam masa Agoes baru menelefon
adiknya Sarifuddin di Batusangkar bertanyakan Haji Solim, orang tua itu sudah
terjongol tiba. Belum sempat subuh
menjelang dia sudah sampai semula di Batusangkar dari Bukittinggi.
“Macam mana pandangan ustaz, penyakit isteri saya
ni?” tiba-tiba saja Kossim berpaling
memandang saya.
Tersentak saya dengan pertanyaan Kossim sampai tidak
dapat tahu menyahut. Tetapi Haji Mat Lohim lantas menepuk bahu saya memberi
isyarat tentu Kossim mengharapkan saya ketika itu. Mamak Bandaro juga tersengih-sengih ingatkan
tentu Haji Solim sudah tahu Kossim akan jejak kaki ke Payakumbuh. Sebab itu berkuat sangat Haji Solim menyuruh
singgah juga di rumah Haji Mat Lohim minta sampaikan salamnya.
“Tuan Haji ni tentu lebih tahu,” sahut saya perlahan dalam keadaan serba salah.
“Tidak ada siapa yang lebih tahu selain Allah,” ujar Haji Mat Lohim mengisar duduk.
“Allah juga lebih tahu mengenai ustaz dari kami,” segera Kossim mencelah sambil mengerling
isterinya Raonah tersengih-snegih.
Terpaksa pula Kossim memujuk isterinya apabila Raonah
cuba merentap-rentap rambutnya setiap kali dia memaki hamun diri sendiri. Apabila dipujuk oleh Kossim dia berhenti
sekejap, tetapi akan memulakan lagi.
Puas juga Kossim memujuknya supaya tidak mencederakan diri sendiri
tatkala merungut-rungut tidak menentu memaki hamun.
Disebabkan Kossim dan Haji Mat Lohim mendesak, terpaksa
juga saya mendekati Raonah. Matanya
merenung tajam kearah saya sebaik sahaja saya bacakan:
Fabtaghu
‘indallahhir rizqo wa’buduhu wasykuru lahu, ilaihi turna’un, wa-imma
yanzaghanakka minasy syaitoni nazghun fas-ta’iz billahhi, innahu huwas sami’ul
‘alim.
Apabila kenangkan kejadian tatkala singgah di Payakumbuh
itu serba salah juga saya mahu memberi tahu Haji Maasar mengenai kawannya
Lamidah itu. Manalah saya tahu apa yang
dialami oleh Lamidah bersama suaminya Haji Derahim sehingga dia cuba memujuk
Haji Maasar mengikuti amalan mereka.
SELESAI