Saturday, April 2, 2016

170. LELAKI HODOH TUBUHNYA LEMBU



BIARLAH punca yang rnenyebabkan Sirah menanggung sakit berpanjangan itu dirahsiakan sampai bila-bila pun. Memang Haji Sakari tidak akan beritahu Sirah ataupun suaminya Basir kejadian yang menimpanya ketika menemui dia. Ngah Ucup juga tidak akan diberitahu sekalipun dia mendesak Junuh.

Memang Junuh juga tidak tahu apa-apa semasa Sirah tiba-tiba sahaja bingkas bangun mahu menyepak gelas di bawah tangan saya. Kalau Junuh tahu memang dia tidak akan dapat menyimpan rahsia. Bila-bila dia akan beritahu Ngah Ucup disebabkan mereka berdua memang sama-sama sering bertembung di bagan.

Tidak ada sebab Junuh mahu sembunyikan segala kemampuan ayahnya mengubati sesiapa sahaja patah tulang. Dia tidak bermaksud mahu berbangga apabila memberitahu mengenai ayahnya akan mengurut rotan di tengah malam secara makrifat.  Junuh sekadar menjelaskan apa yang dia ketahui mengenai ayahnya.

Kalau orang lain menuduhnya sengaja mahu berbangga Junuh tidak peduli apa-apa.  Biarlah mereka menuduh demikian, kerana sudah menjadi sifat manusia sering iri hati dengan kemampuan orang lain.  Mudah sahaja mereka mahu aniaya orang lain sekiranya kelebihan mereka menjadi saingan.

“Memang aku tidak tahu,” jelas Junuh apabila didesak oleh Ngah Ucup tatkala bertembung di bagan memilih ikan di perahu.

“Tak pernah aku tengok, Sirah tiba-tiba saja bangun nak melawan," Ngah Ucup masih dibayangi oleh kejadian yang berlaku di tengah rumah Haji Sakari.

"Ah, yang melawan tu bukannya Sirah," lantas sahaja Junuh membuat tanggapan.Dia sendiri tidak memahami sangat bagaimana yang dialami oleh Sirah ketika itu. Mahu bertanya kepada ayahnya bimbang juga dia kalau dijerkah pula.

Takat mengagak Sirah diganggu rasukan memang Ngah Ucup pun tahu.Sudah berkali-kali dia membantu orang dirasuk pelesit sampai meracau-racau tidak menentu.Sama ada orang percaya ataupun tidak rasukan pelesit, Ngah Ucup tidak peduli.

Biarlah semua orang menuduhnya percayakan sangat perkara tahyol, Ngah Ucup tetap mengakui gangguan syaitan itu berterusan ke atas manusia. Kalau anak-anak muda seronok menonton cerita tv mengenai khayalan sains, kenapa pula perkara yang berlaku di dalam masyarakat dianggap tahyol.

Tidak mungkin wujud orang-orang kerdil seperti awang kenit dalam cerita orang putih di tv, tetapi kenapa tidak dianggap tahyol? Asal sahaja masyarakat Melayu merungut mengenai gangguan syaitan, cepat sahaja dituduh lekas percayakan tahyol seperti Ngah Ucup? Masakan Sirah berpura-pura tidak sedarkan diri tatkala melihat gelas air dipenuhi darah mendidih.

"Sebab itu ayah tak mahu cakap sangat perkara macam ni," tutur Junuh apabila kenangkan ayahnya berahsia sangat kalau diungkit mengenai penyakit yang dihidapi seperti Sirah.

Memang Haji Sakari tidak mahu sebut pun mengenai punca penyakitnya. Cukuplah dia doakan sahaja asalkan Sirah sembuh tidak diganggu rasukan yang merimaskan. Biarlah semua urusan Allah diserahkan kepadaNya dalam menentukan takdir makhluk.
Siapa mahu mempercayai kalau dia memberitahu mengenai tujuh butir kemenyan yang dikirimkan kepada Sirah untuk dibawa balik. Bukan kemenyan semata-mata yang dibungkuskan supaya direndamkan ke air apabila balik ke rumah.

Kemenyan itu sekadar benda lahiriah yang dapat dilihat dengan pandangan mata. Tetapi dia sudah bekalkan zikir yang bergema untuk digenggam oleh Sirah ataupun Basir. Sewaktu kemenyan ditumbuk halus dibancuh bersama air setelah direndam tiga hari, Haji Sakari dapat merasakan zikirnya berterusan tidak henti-henti.

Sebaik sahaja air kemenyan itu dipercikkan sekeliling rumah, Haji Sakari bagaikan tercegat di sisi rumah Basir. Dia melihat rumah Basir kecil di bawah kangkangnya laksana kotak mancis tertegak.Ketika ini dia memerhatikan lembaga tiga beranak bagaikan orang India berkeliling mahu mencari ruang masuk.

"Kasi saya jalan nak masuk, haji," lembaga yang lelaki menyeru sambil mendongak memerhati Haji Sakari tercegat.

Haji Sakari tidak menyahut apa-apa. Dia sekadar menyebut: Bismillahi Allahhumma, ya Allah ya Allah ya Allah ya Allah, ya Muhammad ya Muhammad ya Muhammad dengan diulangi hingga 100 kali.

Serentak dengan itu sekeliling pagar rumah Basir menjadi merah bagaikan besi disepuh ke api. Lembaga tiga beranak itu tidak dapat menghampiri tepi pagar akibat bahang panas.Kalau mereka berkeras mendekati bahang panas itu nescaya seluruh tubuhnya akanterbakar tidak bersisa.

"Haji, ini tempat kita, awak tahu ke!" bentak lembaga yang perempuan mencebek bibir. Marah benar dia disebabkan dihalang oleh Haji Sakari mahu menyerbu ke rumah Basir.

Lantas Haji Sakari menghentakkan tumitnya ke tanah hingga keliling rumah bergoyang .menyebabkan tanahnya jerlus ke bawah. Terpaksa lembaga tiga beranak itu mencari tempat bertahan supaya tidak disinggahi tanah jerlus itu.

Di mana sahaja mereka berpijak berhampiran rumah semuanya jerlus tidak bertahan. Tetapi lembaga lelaki itu terkekeh-kekeh ketawa dengan keadaan tanah jerlus di merata tempat. Dia menjadi terhuyung-hayang seolah-olah langkahnya goyah disebabkan gegaran yang kuat selepas Haji Sakari menghentak tumit ke tanah.

"Saya lagi suka mati!" pekik lembaga lelaki India itu melambai-lambai tangan bagaikan mengejek Haji Sakari.

"Kalau laki saya mati, saya bunuh semua orang," lantas lembaga perempuan itu pula membentak melepaskan rasa geram. Marah benar dia apabila melihat suaminya terhuyung-hayang tidak menentu.

Ketika ini lembaga kecil seperti anaknya itu melompat melepasi tanah jerlus berpaut kepada pagar. Tetapi dia terjerit-jerit kesakitan apabila tangannya melecur disebabkan keliling pagar masih berbara merah laksana besi disepuh ke api.

Cepat-cepat pula lembaga perempuan itu hulurkan kayu biar anaknya berpaut kuat. Terkial-kial anaknya meniti pada kayu yang dihulurkan untuk mengelakkan tanah jerlus asal sahaja dipijak.


"Haji, betul-betul mahu lawan ke?" tersengih-sengih lembaga lelaki India mendongak Haji Sakari, sekalipun langkahnya goyah terhuyung-hayang. Kemudian dia terkekeh-kekeh ketawa menggenggam penumbuk diperagakan kepada Haji Sakari bagaikan mahu mencabar.

Belum sempat lembaga lelaki India itu melonjak menerpa ke arah betis Haji Sakari, segera dia bacakan surah al-Ikhlas sebelas kali diikuti dengan surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian Haji Sakari meneruskan membaca:

Qul innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yarju ilqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solihan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.

Apabila dihembuskan oleh Haji Sakari ketiga-tiga lembaga itu berpusar bagaikan gasing tengah uri. Lama lembaga tiga beranak berpusar segera Haji Sakari menudingkan jari ke arahnya dengan serta merta tubuh mereka terhenti berpusar. Semua nya terpelanting laksana puntung rokok dilontar ke tepi longkang.

"Ayoyo yo, tuan haji mahu kasi kita mati ke?" termengah-mengah lembaga lelaki India semakin goyah kakinya mahu berdiri tegak.

"Apa fasal tuan haji bikin kita ini macam?" lembaga perempuan India itu pula mendengus sampai termuntah-muntah menahan perut memual-mual akibat terlalu lama tubuhnya berpusar.

Ketika ini lembaga kanak-kanak itu menangis teresak-esak tersandar di perdu pokok.Tubuh-nya menjadi lembik tidak bermaya setelah lama berpusat laksana gasing ligat berpaci.

Tetapi Haji Sakari tidak akan melayani mereka. Sambil mengisar tapak tangannya, Haji Sakari membacakan doa berterusan:

Waman yabtaghi ghairal Islamidinan falan yuqbala minhu wahuwa fil akhirati minal khosirin.

Lantas sahaja asap putih keluar dari kisaran tapak tangannya bagaikan debu kaca menerjah ke muka lembaga tiga beranak yang terhuyung-hayang tidak keruan. Debu-debu itu hinggap ke seluruh tubuh lembaga tiga beranak itu menyebabkan kulit mereka luka tidak menentu.

Apabila mereka menepis debu-debu kaca itu, semakin bertambah teruk luka di kulitnya.Ketika ini mereka mula gementar mahu menatap muka Haji Sakari yang tercegat dengan kaki terkangkang melangkaui bumbung rumah Basir.

"Memang aku tak boleh masuk lagi ke sini!" gerutu lembaga lelaki India itu berundur mencari tempat berlindung. Sebab itu semasa Basir datang menemuinya semula, Haji Sakari sekadar memberi jaminan akan mengulangi lagi membaca doa. Dia tidak mahu memberitahu apa-apa mengenai apa pun pengalamannya setelah bekalkan tujuh butir kemenyan kepada pasangan suami isteri itu.

Sebaik sahaja saya datang bersama Kadir Misai jejak kaki ke rumahnya, sengaja dia menyuruh saya membantu sama berdoa. Kalau saya tahu gangguan yang merasuk Sirah, memang saya tidak akan mencuba apa-apa selagi Haji Sakari tidak memulakan.

Disebabkan saya tidak tahu lantas sahaja air segelas yang dihulurkan kepada saya oleh Haji Sakari itu saya bacakan dengan al-Fatihah tujuh belas kali, surah al-Ikhlas tujuh belas kali dan Ayatul Kursi juga tujuh belas kali.

Saya sendiri tidak menyedari sangat bila masanya air di dalam gelas itu mengombak bagaikan tengah mendidih.Kemudian tiba-tiba sahaja merah seperti bercampur darah.Ketika ini Haji Sakari hanya tersenyum sahaja mengerling saya, sebaik sahaja Sirah bingkas bangun mahu menyepak gelas di bawah tangan saya.

Tetapi kejadian Sirah melompat garang di tengah rumahnya tidak menghairankan sangat pada Haji Sakari, kalau bandingkan dia dihadang di simpang jalan oleh lelaki tua bertubuh lembu. Memang sejak bertahun-tahun Haji Sakari mengajar pencak silat dengan membuka gelanggang di merata kampung, dia sudah mula ubatkan sesiapa sahaja memerlukan.

Kadangkala tengah memencak di gelanggang, muridnya sendiri minta urutkan kaki terkehel.Siapa lagi boleh diharapkan kalau Haji Sakari sendiri urutkan kaki.Sebab itu Haji Sakari memang belajar sampai di sempadan Siam fasal mengurut urat terkehel.

Tahu sangat dia apabila memencak tengah gelanggang memang ramai yang terkehel urat apabila tersalah langkah. Dia mesti mempelajari amalan mengurut urat terkehel sebelum membuka gelanggang di merata kampung.Tetapi orang-orang kampung tidak sekadar minta urutkan urat terkehel sahaja apabila terserempak Haji Sakari, bahkan minta ubatkan kalau mengidap sakit berminggu-minggu.

Puas disuruh oleh Haji Sakari  ke hospital pun, mereka tetap harapkan orang tua itu doakan. Kadangkala sapukan minyak digaul dengan bawang merah pun mereka mengaku sembuh setelah didoakan oleh Haji Sakari.

Tetapi Haji Sakari tidak akan datang ke rumah kalau dijemput mengubati orang. Apalagi sebaik sahaja habis maghrib dia tidak akan terjongol di rumahnya. Sampaikan Hajah Saamah sendiri tidak tahu ke mana Haji Sakari menghilang. Hingga jam 12.00 malam baru dia jejak semula kaki di rumah.

Sekiranya didesak oleh Hajah Saamah dia sekadar memberitahu ke gelanggang silat mengajar anak-anak muda.Tetapi siapa pun tidak menemui dia kalau diturut ke gelanggang silat.

Tatkala turun ke tengah halaman selepas maghrib inilah tiba-tiba Haji Sakari merasakan simpang jalan di hadapannya dipenuhi rumpun buluh. Langkahnya terhenti setelah menyedari dia dihadang hingga tidak menemui jalan langsung.Memang dia sentiasa beringat asal sahaja turun melangkah dari rumah. Jangan cuba menguji tidak bersebab dalam  saat dia sudah cukup bersedia. Setelah menekan ibu jari kakinya ke tanah, dia menarik nafas sekali, terus membacakan:

Walau-anna quranan suiyi-rat bihiljibalu auqutti'at bihil-ardh au-kullima bihilmau-ta bal-lillahil amrujami'an, ya syafi ya kafi ya mu'afi wabilhaqqi anzalnahu wabilhaqqi nazala.

Sekaligus rumpun buluh yang menebal di depannya layu tersembam ke bumi laksana rumput menerang tengah sawah diracun habis.Ketika inilah tersergam di depannya lelaki tua bermuka hodoh dengan tubuhnya lembu sambil mengotek-ngotek ekor.

"Kau jangan cuba nak sekat rezeki orang!" bentak lelaki tua bertubuh lembu itu mencemik muka. Marah sangat dia menatap muka Haji Sakari yang tidak berundur setapak pun di depan-nya.

"Aku tak berupaya nak sesekat rezeki sesiapa pun," sahut Haji Sakari mengejek lelaki tua bermuka hodoh itu. "Hanya Allah yang menentukan rezeki awak, bukannya aku," ujarnya sengaja mahu menyakiti hati lelaki tua berkenaan.

"Pandai pula kau nak temberang!" gerutu lelaki tua itu semakin marah diejek demikian. "Sekarang kau nak jadi bomoh pula, nak tutup rezeki orang?" dia meninggikan suara dengan menghentak-hentak kaki ke tanah bagaikan lembu jantan mahu berlaga.

"Rezeki lembu makan rumput, buat apa aku nak ganggu," tersengih-sengih Haji Sakari setelah menyedari sebab musabab lelaki bertubuh lembu itu menghadangnya.

Dia sudah dapat mengagak tentu ada orang yang berkecil hati apabila dia mendoakan orang yang sakit tidak meminta apa-apa pengeras seperti ditetapkan. Tentu ramai orang yang terkejang sakit tidak lagi memerlukan mereka setelah Haji Sakari bersedia membantu.

Perkara tidak ambil pengeras bukan penting sangat pada Haji Sakari. Apa perlunya dia menerima pengeras berpuluh-puluh ringgit kalau doanya tidak dimakbulkan Allah? Tentu orang akan menuduhnya sengaja mahu menipu sekiranya orang sakit yang didoakan tidak sembuh-sembuh.

Memang Haji Sakari tidak akan menerima apa pun bayaran kalau dia doakan supaya Allah sembuhkan penyakit yang dideritai. Perkara doa-doa bukan direka-reka, tetapi berpandukan ayat-ayat Quran. Masakan dia mahu berjual beli dengan menggunakan ayat-ayat Quran yang diamalkan selama ini.

Tidak patut lelaki tua bermuka hodoh itu menuduhnya menutup rezeki kalau orang-orang kampung tidak mahu menemuinya. Alangkah baiknya kalau lelaki bertubuh lembu itu mencari rezeki bukan menggunakan kepandaian ilmu demikian!

"Oh, kau hina aku macam lembu makan rumput!" bertambah marah lelaki tua bertubuh lembu itu.Lantas dia menerkam ke arah Haji Sakari, tetapi segera dielakkan sampai lelaki bertubuh lembu itu terdorong ke perdu pokok kekabu di tepi parit.

"Awak tak bertanduk macam mana nak menyerbu?" ujar Haji Sakari mengejeknya lagi.

"Kau ingat aku ni lembu!" bentak lelaki itu terus memusingkan badan sambil kakinya menendang kuat mahu menerjah ke dada Haji Sakari.

Tetapi lompatan Haji Sakari lebih tangkas mengelak sambil menyepak ke dagu lelaki tua bodoh itu. Semasa kakinya menyepak sempat juga Haji Sakari membacakan:
Allahhu Akbar illa-man tazaqka illallahhu ya Saidina Ali.

Terpelanting kepala lelaki hodoh itu jatuh ke tanah seperti buah kepala bergolek di perdu pokok. Cepat-cepat pula dia membongkok mencapai kepalanya yang tercabut, terus diletakkan semula ke tengkuk.

"Hah, kenapa tak elakkan?" segera Haji Sakari menyindir apabila lelaki itu terkial-kial melekatkan semula kepalanya yang tercabut.

"Memang pantas sangat kau menyepak," gerutunya semacam mengakui ketangkasan Haji Sakari hingga tidak sempat dia mahu mengelak. "Tapi, kau jangan nak tunjuk pandai! " tegasnya masih tidak mahu mengalah.

Tetapi Haji Sakari juga tidak akan mengalah. Bila-bila dia sanggup melawan gunakan tenaga tatkala usianya masih muda. Dia mampu melompat gagah kalau sekadar mahu mengelak daripada serbuan. Tidak sia-sia dia lama belajar memencak sekiranya mahu diuji ketangkasan membuka langkah.

Cubalah, dia tidak akan undur setapak pun!

Berpusing-pusing lelaki bertubuh lembu itu mahu menyerbu ke arah Haji Sakari. Bimbang juga dia mahu menerkam sekiranya mudah sangat dielak. Tahu sangat dia Haji Sakari tidak setakat gagah memencak silat di tengah gelang-gang, tetapi amalannya sudah mantap.

Puas dia berligar-ligar masih juga tidak dapat ruang mahu menerkam. Sambil menginjal-nginjal melompat lelaki hodoh bertubuh lembu itu memukul ekornya ke tubuh hingga memancar bunga api seperti kalimayar. Ketika ini Haji Sakari melihat tunggul-tunggul buluh bercerancang di sekelilingnya.

Tersenyum Haji Sakari dengan ancaman tersebut. Hati-nya tidak gentar sedikit pun. Apabila dia mengisar tumitnya ke tanah tunggul-tunggul buluh yang bercerancang reput bagaikan kapas dimakan api.

"Aku beri tempoh lima minit!" tegas Haji Sakari setelah bosan dengan kedegilan lelaki hodoh itu. "Kalau kau tak berundur, laknat Allah akan kau terima padanya," dia menggertap bibir seolah-olah memberi amaran kepada lelaki berkenaan.

Tersengih-sengih lelaki bertubuh lembu itu apabila diancam demikian. Dia tetap tercegat menghentak-hentak kaki tidak berganjak menghadang Haji Sakari. Masakan dia mahu berundur setelah menghadang jalan di simpang. Kalau mudah digertak tentu dia tidak akan menghadang Haji Sakari di situ.

Tetapi dia tidak berani mahu menyerbu apabila Haji Sakari meletakkan tangan ke dada sama seperti mula dirikan solat. Berdebar juga hati lelaki hodoh bertubuh lembu sewaktu melihat tubuh Haji Sakari dilingkari cahaya putih seperti sumbu pelita tengah menyala.

Ketika ini sedikit demi sedikit lelaki bertubuh lembu itu merasakan kakinya terlekat di tanah hingga tidak boleh lagi menginjal-nginjal. Sewaktu dia membuka mulut mahu membentak terasa bagaikan terkunci tidak dapat berkata apa-apa.

Lingkaran cahaya yang mengelilingi tubuh Haji Sakari semakin marak menyala seolah-olah menyilau terang di sekeliling simpang jalan. Lelaki hodoh itu melihat bayang tubuhnya seekor lembu tercegat kaku tidak dapat bergerak.

Lantas dia menepuk tangan-nya yang masih boleh digerakkan terus dijuruskan ke arah Haji Sakari. Serentak dengan itu pancaran api keluar dari tapak tangannya menerjah ke arah lingkaran cahaya yang mengepung tubuh Haji Sakari.

Apabila tubuh Haji Sakari hilang di dalam lingkaran cahaya putih itu, pancaran api yang memercik dari tangan lelaki itu bergulung ke belakang. Ketika ini kilat memancar di udara dengan petir menyambar lelaki bertubuh lembu itu.

Dalam sekelip mata sahaja tubuhnya tergolek di tanah dengan kesan disambar petir. Menggelupur dia mengerang-erang sambil melambai tangan meminta pertolongan. Lama menggelupur di tengah simpang lelaki bertubuh lembu itu hilang sedikit demi sedikit dalam kesamaran senja.

Beberapa kali Haji Sakari beristighfar setelah dirinya terselamat daripada ancaman dihadang lembaga manusia bertubuh lembu itu. Sebab itu dia tidak mahu beritahu sesiapa pun pengalamannya sewaktu banyak membuka gelanggang silat di merata kampung. Masakan orang mahu mempercayai kejadian dia dihadang di pertengahan jalan itu.

Tentu siapa sahaja akan menuduhnya memfitnah. Lebih baik dia pendamkan sahaja di dalam hati menjadi rahsia seumur hidup. Semasa dia memerhatikan murid-muridnya memencak di tengah gelanggang, Seman Sepet termengah-mengah mencari abangnya Kahar Dobok tengah mencuba langkah.

Tergamam juga Kahar Dobok sebaik sahaja diberitahu oleh adiknya datuknya Aki Majak tiba-tiba terkejang menggelepar sewaktu membakar kemenyan di hujung serambi. Tubuhnya lebam-lebam bagaikan dicucuh dengan puntung api berbara merah.

Serba salah juga Kahar Dobok mahu mengajak gurunya ikut sama menjengah ke rumah. Tahu sangat Kahar Dobok fasal datuk-nya marah benar apabila dia ikut sama belajar di tengah gelanggang silat Haji Sakari. Memang Kahar Dobok tidak tahu apa-apa pun punca datuknya marah sangat terhadap guru silat berkenaan.

Tetapi dia tidak peduli apa-apa. Perkara belajar silat tidak sama dengan amalan datuknya hingga boleh menjadi bomoh di tengah kampung. Dia sekadar mahu belajar memencak, bukan-nya mahu menjadi bomoh dijemput orang mengubat sesiapa sahaja. Apalah salahnya dia berguru pada Haji Sakari semata-mata mahu belajar memencak?

"Kita tengok Aki Majak tu," beritahu Haji Sakari mengajak murid-muridnya ikut sama menziarah ke rumah orang tua berkenaan. Kahar Dobok juga tidakmenghalang apa-apa sekiranya guru silat itu sudi ikut sarna menjengah.

Tetapi ketika mereka sampai di tengah halaman rumah, Aki Majak sudah meninggal dunia. Memang Haji Sakari melihat tubuh Aki Majak lebam-lebam seperti terbakar disambar petir. Dia beristighfar dengan rasa gementar sebaik sahaja melihat keadaan tubuh Aki Majak.

"Dengan ustaz, memang tak boleh nak sembunyikan apa-apa,” tutur Haji Sakari mengerling saya apabila kenangkan kejadian yang menimpa Aki Majak itu.

Saya sekadar tersengih-sengih sahaja apabila diusik oleh Haji Sakari demikian. Apa sangat dihairankan kejadian dia dihadang di simpang jalan oleh lembaga manusia bertubuh lembu itu. Kalau Allah mengkehendaki tidak ada suatu pun yang terlepas daripada ketentuanNya.

Memang kejadian yang menimpa Sirah tidak sama dengan yang dialami oleh Haji Sakari ketika dihadang lembaga lelaki tua hodoh bertubuh lembu itu. Hanya Ngah Ucup sahaja hairan tidak menentu apabila kenangkan Sirah bangun membentak mahu menyepak saya. Kemudian terkaku tidak dapat bergerak bagaikan berolok-olok sahaja.

Sirah sekadar memberitahu dia tidak menyedari apa-apa semasa bingkas bangun.Sebaik sahaja saya naik ke rumah Sirah berasa tubuhnya seram sejuk tidak menentu. Serentak dengan itu dia mendengar sekeliling rumah bergema dengan ratib zikirullah hingga bergegar kuat.

Dia bingkas bangun mahu melarikan diri sebaik sahaja rumah bergoncang mahu runtuh. Sirah sekadar merasakan dia mahu selamatkan diri kerana bimbang rumah Haji Sakari akan runtuh tersembam ke bumi. Ketika ini dia melihat lembaga tiga beranak bertempiaran di tengah halaman disebabkan gema zikir yang berterusan.

Kepala Sirah menjadi pening disebabkan terasa berpusing-pusing. Puas dia menggamit suaminya Basir meminta tolong, tetapi siapa pun tidak mendengar suaranya. Lembaga tiga beranak itu cuba mendekati dia dengan terhuyung-hayang menyebabkan Sirah bertambah takut.

Cam sangat Sirah memang lelaki tiga beranak seperti orang India itu menggamitnya supaya turun ke tengah halaman.Berdebar juga hati Sirah apabila beberapa kali lembaga lelaki itu melayang mahu menerkam ke arahnya, tetapi dia nampak saya menguisnya dengan jari kelengkeng sahaja.

Ketika ini Sirah melihat tubuh saya terlalu besar hingga tapak tangan sahaja menyerkup bumbung rumah Haji Sakari. Ke mana sahaja bertahan tidak dapat melepaskan diri. Sirah sengaja berlindung di bawah serkup tangan saya apabila lembaga tiga beranak itu cuba mengajaknya segera meninggalkan rumah Haji Sakari.

"Cepat lari, Sirah!" laung lembaga India itu melambai tangan."Nanti awak mati ditimpa rumah," bersusah payah dia mahu menyusup masuk di celah tapak tangan saya yang menyerkup.

Sirah menggeleng kepala. Dia tidak bimbang gegaran rumah yang kuat hingga kepalanya berpusing-pusing pening.Tetapi lembaga tiga beranak itu lebih menakutkan dia.

Beberapa kali tangan mereka jatuh akibat gegaran kuat ditengah ratib zikirullah yang bergema, tetapi cepat-cepat di capainya semula.Tidak bertangguh mereka lekatkan semula tangan atau kaki yang tertanggal itu.

Dia dapat mengagak tentu lembaga tiga beranak itu jelmaan untuk memperdayakan. Kalau tidak masakan kaki atau tangan tertanggal habis, kemudian boleh dilekatkan semula.  Kepalanya juga tertanggal daripada tengkuk hingga bergolek di tanah pun, mereka akan capai semula di lekatkan ke tengkuk.

“Ikut kami, Sirah,”  lembaga perempuan pula menjerit-jerit marah disebabkan Sirah tidak berusaha melepaskan diri dari bawah serkup tangan saya,  “Awak mati kena hempap rumah nanti,”  katanya berpusing-pusing di tengah halaman mahu mendekati rumah Haji Sakari.

Apabila lembaga kanak-kanak itu melompat ke tangga rumah tiba-tiba sahaja tanah jerlus di situ.Dia terbumban jatuh hingga terkial-kial berpaut ke kaki tangga.Semakin berkeras mereka tiga beranak mahu menghampiri rumah semakin galak tanah jerlus memerangkap mereka di tengah tema zikirullah yang membingitkan telinga.

Sirah sendiri lemas seolah-oleh terkurung di bawah tapak tangan saya dengan gema zikrullah yang berterusan.  Lama kelamaan dia menjadi lemah hingga jatuh terjelepoh tidak bertahan.

“Kalau macam tu, rumah kamu tu ada penunggu.”Ujar Ngah Ucup menuduh semasa mereka balik meninggalkan rumah Haji Sakari.

“Entahlah, dah panggil juga bomoh,” keluh Basir menjuihkan bibir apabila didesak oleh Sirah menjemput Busu Jemul pulihkan rumah

Sama ada percaya atau tidak, Basir terpaksa juga bersetuju dengan kemahuan isterinya. Gangguan yang dialami bukan takat Sirah sahaja mengidap sakit. Dia sendiri merasa gelisah asal sahaja balik ke rumah.

Apalah salahnya jemput Busu Jemul dari kampungnya pulihkan rumah.Manalah tahu tapak rumahnya memang ditunggu puaka sebelum rumah dibina di situ. Perkara percaya atau tidak bukan penting sangat pada Basir dalam saat dia mengalami sendiri keadaan tersebut.

Busu Jemul sudah tanamkan rumput sambau di empat penjuru rumah, dengan taburkan bertih di kelilingnya. Sudah berkali-kali Busu Jemul dipanggil orang pulihkan rumah, belum pernah dia gagal.Setiap kali ditanam rumput sambau empat penjuru sudah tentu gangguan puaka tidak dapat menceroboh.

Tetapi semakin dipulihkan oleh Busu Jemul bertambah teruk gangguan yang dialami oleh mereka sekeluarga. Sakit tengkuk Sirah bertambah merimaskan hingga kulit badannya ditumbuhi panau.Kadangkala tumbuh ruam berbintat-bintat beberapa hari.

"Dah puas juga berubat," jelas Sirah memberitahu Ngah Ucup selanjutnya.

"Jadi, kamu nampak tadi lembaga tu macam orang India?"Ngah Ucup mencebek bibir cuba mengagak gangguan yang merasuk sepupunya selama ini.

"Nampak macam dalam mimpi aje," ujar Sirah berkerut dahi ingatkan kejadian yang menimpa dirinya semasa di rumah Haji Sakari.

"Memanglah nampak macam tu," sahut Ngah Ucup terangguk-angguk.Dia sudah dapat menuduh gangguan tersebut apabila diberitahu mengenai lembaga menyerupai orang India itu."Boleh jadi kamu dianiaya orang dengan menggunakan hantu raya," lantas sahaja dia menggenggam penumbuk meninju angin.

"Hantu raya?" berdebar juga hati Basir dengan penjelasan Ngah Ucup itu.

Memang dia pernah mendengar gangguan hantu raya yang merasuk mangsa. Tetapi Basir tidak tahu bagaimana hantu raya itu merasuk atau menjelma di depan mata. Sebab itulah dia sekadar menganggap cerita demikian sebagai tahyol semata-mata.

"Tentu dia gunakan hantu raya untuk aniaya kamu!"NgahUcup terus menuduh.

Tahu sangat dia kalau mimpi bertemu orang India, memang jelmaan hantu raya. Masakan Sirah lupa dengan petua arwah datuk mereka mengenai alamat yang boleh dicamkan dalam mimpi.

Datuk mereka Aki Timin pernah ingatkan petua mengenai mimpi yang memberi alamat sekiranya dianiaya orang. Kalau bermimpi didatangi orang India memang dianiaya orang dengan hantu raya. Cam sangat Ngah Ucup dengan petua kerana beberapa kali dia bermimpi dianiaya dengan hantu raya itu.

Sebab itu dia tidak bertangguh selitkan ekor pari di depan pintu. Arwah Aki Timin sudah ingatkan dia mengenai pantang larang hantu raya sekiranya terserempak ekor pari. Percaya benar Ngah Ucup dengan petua yang diturunkan oleh arwah Aki Timin.

Tetapi semenjak Haji Sakari ingatkan dia fasal ekor pari itu tidak berupaya lindungkan dia daripada gangguan hantu raya, terasa juga padanya petua arwah Aki Timin sekadar boleh dijadikan panduan sahaja. Bimbang juga dia mahu mempercayai benar petua-petua tersebut kalau berlawanan pula dengan aqidah.

Memang arwah Aki Timin turunkan petua tersebut kepadanya kalau mengalami mimpi ganjil. Sekiranya bermimpi bergelimang dengan mayat, Aki Timin menyuruh dia beringat-ingat kerana akan dianiaya dengan sihir.

Terserempak ular mahu mematuk bukannya disebabkan ada gadis menaruh hati, tetapi akan diganggu orang dengan jembalang tanah, kalau mengunyah sirih, dia diingat supaya berhati-hati makan minum kerana bimbang akan dianiaya dengan santau.

Semua petua yang diturunkan oleh arwah Aki Timin itu memang diingat benar oleh Ngah Ucup. Dalam masa dia beringat-ingat juga kepalanya dipukul tiang sauh sewaktu ikut taukeh Cina ke laut. Kalau sudah geruh, beringat macam mana pun dia tidak akan dapat mengelak daripada musibah yang ditentukan Allah.

"Siapa pula nak aniaya dengan hantu raya?" rungut Sirah dalam keluhan memanjang.

"Ah, kadangkala kawan kenal baik pun sanggup buat,:" tegas Ngah Ucup mencemik muka bagaikan benci sangat dengan sesiapa sahaja mahu menganiaya orang dengan menggunakan ilmu syaitan .

"Kita tak tahu, susah nak tuduh," sahut Basir masih tertanya-tanya sama ada benar hantu raya yang merasuk rumah tangannya selama ini Kalau gangguan syaitan kenapa pula berterusan setelah dia amalkan membaca ayat-ayat al-Quran.

Mustahil pula syaitan berani mengganggu sekiranya ayat-ayat al-Quran dijadikan arnalan. Memang Basir sentiasa amalkan zikir setiap kali selesai solat.

Disebabkan terdesak terpaksa juga Basir bersetuju ikut kemahuan isterinya jemput Busu Jemul pulihkan rumah.Biarlah Busu Jemul tanamkan rumput sambau empat penjuru rumah supaya puaka tidak membolos masuk. Kalau Busu Jemul mahu taburkan bertih sekeliling rumah pun, Basir tidak membantah.

Asal sahaja penyakit yang mengganggu isterinya dapat dihindarkan memadailah.Kalau Sirah tidak terganggu dia juga tenang mahu membuat kerja di pejabat."Sudah tentu urusan kerjanya berjalan lancar sampai tidak tersekat-sekat pemberian tender.

Dia tidak boleh salahkan  jabatan tidak memberi tender kalau kerjanya tidak berkesan. Selagi masalah penyakit yang mengganggu Sirah berterusan sampai bila pun urusannya di pejabat tidak tenteram. Biarlah dia bersusah payah mencari bomoh di mana-mana.

Tetapi selepas Busu Jemul tanamkan rumput sambau empat penjuru, gangguan semakin menjadi-jadi. Dalam kawasan pagar rumah tiba-tiba sahaja bangkai dua ekor kucing berwarna hitam tergolek. Jijik benar dia mahu membuangnya disebabkan bangkai itu sudah berulat hingga berbau busuk meloyakan.

Kalau tidak ditanamkan bangkai kucing itu busuknya menusuk-nusuk hidung. Terpaksa juga dia tanamkan di luar pagar sama ada terasa jijik meloyakan atau pun tidak. Dua hari selepas itu terkejut pula dia apabila bangun pagi, tujuh ekor bangkai katak berikat benang hitam bertabur di atas bumbung kereta.

Sirah juga keberah-berahan mendapati wang di dalam dompet hilang sebahagian. Siapa pula mahu mengambil wang keperluan pasar yang disimpan baik-baik di dalam almari.Kalau mahu dituduh anak-anak, mereka tidak pernah masuk ke biliknya.

Senjanya Sirah merasa kepalanya sakit berdenyut-denyut hingga tiba-tiba kulit tengkuk meruam-ruam.Apabila digaru ruam di tengkuk itu kulitnya menjadi merah sampai nampak kesan panau berbelak-belak. Malam itu juga dia mendesak suaminya balik ke kampung menemui Busu Jemul.

Tetapi Busu Jemul juga tidak sanggup dijemput ke rumah, di-sebabkan dua hari sebelum itu dia sendiri terpaksa ke hospital. Tiba-tiba sahaja geruh menimpa semasa menebas di kebunnya, apabila mata parang melipai ke beiakang lantas terbenam ke bawah belikat.

Sebaik dibawa oleh anaknya ke hospital, hampir sahaja Busu Jemul pitam, akibat mabuk darah. Memang banyak darah keluar disebabkan mata parang terbenam kuat.Terpaksa juga dia menanggung lapan belas penjahit disebabkan luka terbengah di belikat.

Busu Jemul sendiri mengakui gangguan yang merasuk mereka bukan calang-calang.Kalau Basir terlalai amalkan ayat-ayat al-Quran sepanjang masa, sudah tentu gangguan itu lebih mudah merasuk.

"Susah juga kalau banyak duit macam kamu," Ngah Ucup tersengih-sengih mengusik apa-bila kenangkan kejadian yang menimpa Busu Jemul sebaik sahaja pulihkan rumah Basir."Banyak duit ada orang dengki, lebih sikit orang dengki, pandai sikit orang dengki..." gerutunya tidak menentu mahu meluahkan rasa bencinya.

"Hanya syaitan saja buat begitu, bukannya manusia," sahut Basir menelan keluhan."Manusia yang biarkan diri dikuasai oleh syaitan!" lantas sahaja Ngah Ucup mengutuk.

Tetapi selepas Basir balik meninggalkan Sungai Besar malam itu, tidak ada lagi suami sepupunya itu hubungi dia. Kalau dikatakan pergi sendiri ke rumah Haji Sakari, tidak ada pula Junuh memberitahu.

Ngah Ucup pun tidak peduli sangat sama ada Basir datang ke rumahnya sebelum menemui Haji Sakari atau tidak. Biarlah Basir pergi sendiri kalau tidak memerlukan dia ikut bersama.Asalkan gangguan itu dapat di-hindarkan, cukuplah.

Lama dia memilih ikan di perahu bersama Junuh, memang Junuh juga mengakui Basir tidak datang menemui ayahnya lagi. Sama ada gangguan yang dialami-nya masih berterusan atau pun sudah pulih, sepatutnya Basir datang juga memberitahu.

"Ayah memang tak mahu cakap apa-apa, kalau Ngah Ucup tanya ustaz, boleh jadi dia akan beritahu," Junuh sengaja ingatkan Ngah Ucup sekiranya mahu mendesak sangat mengenai gangguan yang dialami oleh Basir.

"Tuan haji kata, ustaz tu lagi susah nak bercakap," sahut Ngah Ucup mencebek bibir.Kalau Haji Sakari yang sudah lama dikenali-nya mahu berahsia, masakan saya boleh didesak.

Tetapi Ngah Ucup tidak memahami kenapa Haji Sakari enggan memberitahu apa-apa. Bukanlah dia mahu berahsia sangat mengenai penyakit yang mengganggu Sirah suami isteri, tetapi bimbang akan dituduh memfitnah. Biarlah semua berlalu begitu sahaja, asal sahaja Basir suami isteri tidak lagi mengalami gangguan.


SELESAI