Saturday, April 16, 2016

172. RANGKA MANUSIA DIIKAT RANTAI


 
TERKEJUT benar adik saya apabila diberitahu oleh emak semasa dia balik ke kampung mengenai ayah saya tidak pernah ke rumahnya. Sejak beberapa minggu ayah saya memang uzur disebabkan demam selsema yang berlarutan.

Sudah hampir tiga minggu dia tidak ke kebun pisangnya. Kalau ke kebun pun dia bukanlah bekerja sangat. Tidak sampai setengah jam sahaja dia menarah rumput, ayah saya akan bersandar di rumpun pisang melepaskan penat.

Kalau ditegah oleh anak-anak dia akan merungut panjang. Tetapi saya tahu dia ke kebun sekadar mahu mengeluarkan peluh. Dia lebih seronok habiskan masa di kebun pisang berjemur di bawah matahari sambil menarah rumput di bawah rumpun pisang.

Setiap kali saya balik ke kampung, dia akan tergocoh-gocoh ke kebunnya menebang pisang. Bangga sangat dia menunjukkan tandan pisangnya yang subur. Terpaksa pula saya agih-agihkan pada jiran-jiran disebabkan banyak sangat dibekalkannya.

"Dah hampir tiga minggu dia uzur," beritahu emak saya sebaik sahaja Alif naik ke rumah. "Masa bila pula dia ke rumah kamu?" hairan juga emak saya apabila diberitahu ayah saya datang menjengahnya tatkala gangguan berlaku di rumahnya.

"Ayah yang suruh jemput, angah," jelas Alif mengerling ayah saya yang tersandar berbaring di katil.

"Entah, dah lupa aku," sahut ayah saya perlahan sambil memerhati jam di dinding. Bimbang sangat dia sekiranya terlepas waktu solat sekalipun dalam keadaan uzur demikian.

"Angah tak balik ke?" Leha mencelah disebabkan saya masih tidak balik ke kampung, sekali-pun saya yang menelefonnya di sekolah memberitahu mengenai ayah tengah uzur.

"Emm, angah kamu tu, kalau nak balik tengah malam pun dia sampai, gerutu emak saya menghela nafas. Kadangkala merungut juga dia disebabkan saya seringkali balik ke kampung tengah malam baru jejak ke rumah.

Memang emak saya menelefon memberitahu ayah tengah uzur, tetapi ayah sudah berpesan mengenai uzurnya tidaklah membimbangkan. Sebab itulah saya tidak perlu tergesa-gesa balik ke kampung.

Perkara uzur ayah saya tidak pelik sangat pada Alif, dia macam tidak percaya apabila diberitahu ayah tidak jejakkan kaki ke rumahnya. Kalau sudah tiga minggu ayah terbaring di katil, siapa pula yang datang jengah dia suami isteri?

Uzur ayah pun memang tidaklah terlantar, tetapi sukar juga dia mahu berjalan ke bilik air pun terpaksa bertongkat disebabkan terasa lemah-lemah. Berkali-kali juga emak menyindir, ayah saya uzur disebabkan banyak makan durian.

Masakan ayah boleh menaiki bas ke rumah Alif. Lagi pun bukan mudah mahu mencari rumah sewa Alif, kerana dia tidak pernah pun jejak kaki ke situ. Tahu sangat saya, ayah bukan mudah mahu ke mana-mana kalau tidak dibawa sama.

Lainlah ke rumah Haji Mosli di Pulau Sebang, memang ayah gagahi juga menaiki bas. Dia boleh berjalan kaki sahaja dari stesen bas ke rumah Haji Mosli. Kadangkala merungut juga kakak saya disebabkan dia tidak mahu menelefon meminta Haji Mosli ambilkan sahaja di stesen bas.

"Ah, sakit orang tua, bukan-nya apa-apa," tersengih-sengih ayah saya memberitahu Haji Mosli sebaik sahaja abang ipar saya itu jejak kaki ke rumah. Memang tergesa-gesa Haji Mosli mengajak kakak saya balik ke kampung sebaik sahaja diberitahu mengenai ayah yang uzur.

Riang juga hati ayah saya setelah semua anak-anak berkumpul sebelum maghrib. Lantas sahaja dia gagah berdiri imamkan solat.maghrib berjemaah semua anak cucu yang balik ke kampung. Becok juga mulutnya menyuruh emak saya masak bubur durian.

"Balik anak cucu, sihatlah ayah kamu tu," ujar emak saya sengaja menyindir. Tetapi hatinya kecewa juga disebabkan saya sekeluarga masih tidak jengah muka sehingga jam 11 malam.

"Emak kamu pun apa kurangnya," sahut ayah saya bergurau sambil mencebek bibir. "Kalau balik angah, sakit tenat pun boleh sembuh," dia ketawa memanjang mengerling emak saya.

"Hah, angah kenapa tak balik?" Haji Mosli mencuit kepala lutut kakak saya minta ambilkan bujam bekas sirih. "Dia yang telefon kita suruh balik, dia pula yang tak balik," tersengih-sengih abang ipar saya apabila bujam bekas sirih disorong ke hadapannya.

"Dia memang begitu," lantas kakak saya mencemik. "Dia tahu menyuruh kita balik aje!" katanya macam tidak puas hati ,disebabkan saya masih tidak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai ayah saya yang uzur.

Emak tidak peduli sangat dengan rasa tidak puas hati kakak saya. Dia terus sahaja ke dapur lantas memanggil anak-anak kakak saya membantunya membelah durian. Banyak juga durian yang gugur sudah dikumpulkannya semata-mata harapkan cucu-cucu balik ke kampung.

Anak-anak kakak saya memang sudah balik ke kampung sebelum kakak saya sampai lagi. Cepat sahaja mereka balik sebaik diberitahu datuknya uzur.

Ketika anak saya sampai memberi salam dari tengah halaman, tidak bertangguh kakak saya bertanyakan saya. Tetapi anak saya sendiri tidak tahu disebabkan dia terus sahaja ke kampung dari Muar. Dia tidak  balik ke rumah saya apabila bertolak balik ke kampung.

Bimbang juga dia apabila diberitahu mengenai datuknya uzur sejak tiga minggu. Tetapi sebaik sahaja melihat datuknya tersandar di kusyin dengan senyum melirik, terasa juga lapang hatinya.

"Buat apa nak heboh fasal angah tak balik," Alif bersuara perlahan macam tidak bersetuju menyalahkan saya. Apabila kenangkan kejadian yang berlaku di rumahnya, Alif merasa serba salah juga sama ada saya yang datang ke rumahnya atau pun bukan.

Kalau dia keliru disebabkan ayah saya tidak pernah datang menjengah ke rumahnya, bagai-mana pula tiba-tiba saya jejak kaki setelah dijemput. Memang Alif sendiri menelefon saya memberitahu mengenai ayah saya suruh menjengah dia.

Ketika saya datang, Abang Simek juga sudah lama menunggu. Teringin juga dia mahu menemui saya setelah ayah saya ingatkan Alif supaya memberitahu saya. Abang Simek sendiri berharap sangat kejadian di rumah peninggalan arwah emaknya tidak berulang lagi.

"Itu bukan urusan kita," jelas saya pada Abang Simek setelah berulang kali dia mendesak. "Kita hanya berdoa, urusan selebihnya kepunyaan Allah," saya ingatkan dia setelah Japar Gonjeng juga menjengah datang.

"Tapi ayah ustaz sendiri yang pesan pada Cikgu Alif begitu," ujar Abang Simek tersengih-sengih macam terasa malu.

"Sudah dua tiga kali saya nampak jerangkung tu, ustaz," Japar Gonjeng juga meluahkan kebimbangannya selama ini setelah melihat sendiri jelmaan lembaga seperti rangka manusia itu.

Saya rnenggeleng-geleng disebabkan mereka berdua terlalu mengharapkan saya menghalau gangguan itu. Sebenarnya saya sendiri tiada upaya apa-apa, kecuali berdoa harapkan pertolongan dari Allah. Sekiranya doa itu tidak dimakbulkan, terasa juga bimbang saya kerana tidak dapat memenuhi harapan mereka yang membumbung tinggi.

Manalah saya tahu sama ada doa itu dimakbulkan atau pun tidak. Sebab itulah saya sekadar mampu untuk berdoa sahaja, kerana urusan selebihnya adalah kepunyaan Allah Subhana Wataala.

Selepas solat maghrib saya gaulkan lada hitam dengan garam kasar di dalam besen, kemudian didoakan dengan Ayatul Kursi 100 kali. Lada hitam digaul garam kasar itu ditabur sekeliling rumah. Habis sahaja taburkan lada hitam gaul garam kasar, saya duduk bersila di ruang tamu dengan beristighfar sampai 100 kali juga.

Semasa saya bersila ini, Abang Simek datang lagi menjengah selepas sahaja dia habis solat isya di surau. Termengah-mengah dia memberitahu Alif apabila melihat lembaga rangka manusia terlompat-lompat di keliling pagar.

Sebaik sahaja Alif mahu keluar rumah menjengah, Japar Gonjeng juga masuk tergopoh-gopoh dari pintu pagar. Dia juga memberitahu fasal ternampak lembaga rangka manusia itu berligar-ligar di keliling rumah.

Disebabkan mereka melihat saya tidak bergerak di ruang tamu, Alif mengajak jirannya itu ke tengah halaman. Berdebar juga hati Alif apabila melihat rangka manusia itu berjalan terlompat-lompat.

"Kita nak buat apa ni, cikgu?" bisik Abang Simek mula terasa gementar disebabkan lembaga itu menghala ke arah mereka.

"Lebih baik panggilkan ustaz," lantas sahaja Japar Gonjeng berpatah balik ke pintu. Tetapi dia teragak-agak mahu menegur apabila melihat saya masih bersila rapat dengan menunduk ke karpet.

"Dah beritahu, ustaz?" Alif menegur sebaik sahaja Japar Gonjeng datang semula ke sisinya.

"Agaknya, ustaz lagi berdoa," beritahu Japar Gonjeng semakin gementar dengan gelagat lembaga rangka manusia itu terlompat-lompat di tengah halaman. Lembaga itu tidak berani mara ke tempat terang tempat mereka bertahan di hadapan grill.

"Tetak dengan parang tak berhulu!" ujar Leha tercegat di depan pintu setelah nampak lembaga rangka manusia itu tersentak-sentak di tengah halaman bersama kesamaran cahaya lampu yang menyilau ke situ.

"Tunggu dulu, biar angah yang tentukan apa nak buat," segera Alif menegah isterinya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghalang lembaga seperti rangka manusia itu terlompat-lompat tidak dapat mara ke hadapan.

"Tapi, angah duduk aje!" serba salah Leha disebabkan lembaga itu menakutkan dia.

"Cikgu Leha jangan panik," segera Abang Simek ingatkan dia. "Ustaz bukan duduk saja itu, ada benda di buat," katanya berundur rapat ke tepi grill.

Lembaga rangka manusia itu terketar-ketar di tengah halaman tidak dapat melompat.Dia terhuyung-hayang terdengar bunyi tulang temulangnya berlaga.

Apabila saya keluar ke hadapan rumah, mereka berempat tercegat sahaja di muka pintu. Saya terus mara mendapatkan rangka manusia yang terketar-ketar tidak dapat bergerak kuat. Sebaik sahaja saya hampiri lembaga berkenaan, lantas terdengar esakan tersengguk-sengguk di pohon-pohon pokok keliling rumah.

"Aku disuruh orang, ustaz," terdengar getaran suaranya halus bersama hembusan angin sejuk.

"Siapa suruh kamu?" bentak saya perlahan sambil menekan ibu jari kaki ke tanah.

"Ustaz dah tahu, buat apa nak tanya," lembaga itu merintih lantas tangannya menekup ke dada. Sewaktu saya hentakkan tumit ke tanah, segera saya baca-kan:

Innama ilahukumullahhul lazi la-ilaha illahuwawasi'a kulla syai-in 'ilman, in-nallahha ma'allazi nattagauwallazinahum muhsinun.

Setelah diulangi tiga kali, saya melihat Iembaga rangka manusia itu menggeleng-geleng kepala. Ketika ini di sekeliling rumah dipenuhi bara api yang memancar daripada lada hitam digaul garam kasar yang telah ditaburkan. Ke mana sahaja lembaga itu berjejak kakinya melecur tidak dapat bertahan.

Tangannya melambai-lambai meminta saya berhentikan zikir yang bergema di dalam hati. Selagi zikir tidak putus-putus jauh di sanubari saya, kelilingnya menjadi bergegar sampai bergoncang kuat. Semakin kuat esak tangis lembaga rangka manusia itu disebabkan saya tak hiraukan langsung rintihanya.

"Cukuplah, ustaz, aku tak datang lagi ke sini," lembaga itu merayu harapkan belas kasihan. "Aku tak tahan di sini, semuanya panas," ujarnya terketar-ketar menahan bara di kaki yang membakar tulangnya.

"Mahu kami bai'ah dengan nama Allah?" jerkah saya apabila mendapati dia terketar-ketar ketakutan.

Terdiam lembaga rangka manusia itu. Dia menggeleng-geleng tidak mahu menuturkan apa-apa. Disebabkan dia berkeras tidak mahu memberi janji apabila diminta jangan jejak lagi di situ, segera saya bacakan al-Fatihah sebelas kali, diikuti dengan surah al-Ikhlas 1 1 kali dan Ayatul Kursi 17 kali.

Tiba-tiba sahaja tanah tempat dia berpijak terjerlus menyebabkan lembaga itu tenggelam se-paras lutut. Kemudian saya terus bacakan:

Ya hai-yun ha Qayyum ya illahana wa-ilaha kulli syai-in ilahan wahidan la-ilaha illa-anta,
dengan diulangi 33 kali.

Lembaga itu berputar laksana gasing tengah naik uri, hingga dia terjerit-jerit ketakutan. Jeritan halus lembaga rangka manusia itu dapat didengar oleh Abang Simek, Japar Gonjeng, Alif dan Leha yang masih tercegat di hadapan grill.

Hampir satu minit dia berputar, lembaga itu jatuh tertiarap di depan saya dengan kakinya paras lutut masih tertanam di bumi. Tetapi tulang temulangnya tidak pula berserak sekalipun jatuh terhempas kuat.

"Ustaz, aku disuruh orang," lembaga itu merintih akibat tidak dapat menahan kepayahan. "Cukuplah, aku tak mahu lagi datang ke sini," ujarnya terketar-ketar disebabkan menderita kesakitan.

"Kamu mesti bai'ah dengan nama Allah," tegas saya memberi isyarat yang mesti diterimanya.

"Bai'ah macam mana?" lembaga itu terus mencari helah supaya tidak meneruskan membaca doa.

"Kamu jangan datang ke sini Iagi mengganggu!" saya ingatkan dia supaya mematuhi keputusan tersebut.

"Memang aku tak mahu datang," tersenyum lembaga itu kerana menyangka saya percaya dengan janjinya.

Apabila dia cuba permainkan saya, lantas saya bacakan surah at-Tariq dan diikuti dengan azan 7 kali. Serentak dengan itu kilatan api memancar menerjah ke arahnya bagaikan rantai besi menyala merah melilit ke seluruh tubuhnya.

Sekaligus lembaga itu menjerit dengan laungan sayup-sayup ke udara. Setiap kali dia cuba melarikan diri rantai besi menyala merah itu menyambar pantas. Lembaga rangka manusia itu akan tertumus ke bumi apabila rantai besi melilitnya, kemudian terkial-kial dia bangun mahu melarikan diri.

Dalam keadaan terdesak itulah lembaga rangka manusia itu mengakui dia sekadar disuruh menghalang supaya rumah berkenaan tidak disewakan. Terkial-kial dia merangkak ke tengah halaman menggali di perdu pokok bunga puding, lantas mengeluarkan botol kecil.

Setelah botol kecil itu dilimparkan ke hadapan saya, kilauan api terus menyambarnya. Lembaga itu lenyap dalam laungan halus bersama kilauan api yang menyambar bagaikan kilat memancar.

Memang jiran-jiran berhampiran tidak mendengar apa-apapun kejadian yang berlaku di situ. Sebab itu mereka tidak datang menjengah. Saat ini cuma Abang Simek, Japar Gonjeng, Alif dan Leha sahaja berdebar-debar hati berdepan dengan kejadian demikian.

Tidak pernah mereka melihat lembaga rangka manusia tercegat tengah halaman, kemudian disambar kilauan api seperti rantai besi menyala merah. Dalam masa beberapa saat sahaja lembaga berkenaan lenyap seperti asap ditiup angin kencang.

Setelah mendapat botol kecil yang tertanam di tengah halaman itu, segera saya mengajak mereka semua masuk semula ke tengah rumah. Dalam botol kecil itu saya melihat kain putih bertuliskan rajah seperti rangka manusia yang dikelilingi ayat-ayat:

Sayahzamul jam'uu wayu-wallu naddubura balissa'atu mau'iduhum wassa'atu adha wa-amarru, yuhribuna buyutahum bi-adihim wa-aidilmuk-minin,ka-annahum humurun mustanfira-tun farratu min gaswaratin, faasbahu layura illa masakinu-hum.

"Ah, nampaknya orang nak aniaya saya, ustaz!" gerutu Abang Simek menggertap bibir setelah mneyedari punca sebenarnya yang menimpa penyewa-penyewa rumah arwah emaknya.

"Saya pun tak percaya arwah mak aji yang menjelma," sahut Japar Gonjeng kerana jiran-jiran memang syak jelmaan yang dilihat beberapa kali itu disebabkan amalan arwah emak Abang Simek. Mereka percaya tentu arwah emak Abang Simek tidak bersetuju rumah berkenaan disewakan kepada orang bukan Islam.

Tetapi saya tidak berani mahu membuat telahan apa-apa. Saya sekadar membuka botol kecil yang diisi dengan kertas yang bertulis rajah tersebut. Serbuk kemenyan juga ditabur pada kertas berkenaan.

Apabila saya membakar kertas tersebut dengan membacakan al-Fatihah tiga kali, tiba-tiba sahaja Abang Simek bertempik.Dia bingkas bangun bercekak pinggang merenung tajam ke muka pintu.

"Kau rupanya ye!" Abang Simek menuding ke muka pintu menyebabkan Leha ketakutan lantas memaut lengan Alif.

"Kenapa, abang Simek?" Japar Gonjeng mencuit bahunya kehairanan kerana Abang Simek tiba-tiba sahaja menjadi berang.

"Selama ni, dia rupanya nak aniaya aku!" marah benar dia tidak berkedip mata merenung ke muka pintu.

"Siapa, abang Simek?" desak Japar Gonjeng semakin serba salah dengan perubahan sikap Abang Simek.

"Mari duduk dulu, abang Simek," pujuk Alif cuba mententeramkan lelaki itu disebabkan berang tidak bersebab.

"Biarkan dia!" lantas saya ingatkan Alif dan Japar Gonjeng supaya jauh dari sisi Abang Simek. "Simek sudah dapat melihat siapa yang aniaya rumah ni," beritahu saya setelah keadaan Abang Simek semakin garang membentak.

Dia tidak bergerak dengan bercekak pinggang di tengah rumah. Matanya tidak berkedip merenung ke muka pintu bagaikan berdepan dengan musuh yang dibenci. Siapa pun tidak melihat siapa yang dijerkah oleh Abang Simek di situ.

Disebabkan saya menyuruh mereka berundur ke belakang, segera Alif mengajak Japar Gonjeng duduk sahaja di kusyin. Japar Gonjeng tidak membantah lantas duduk sambil mengeluh panjang. Tidak diduganya pula kejadian demikian bertimpa-timpa datang.

Beberapa kali Abang Simek menggenggam penumbuk dihayunkan kehadapan seolah-olah meninju. Geram benar dia mahu melepaskan tinju, tetapi tidak tahu siapa menjadi sasarannya.

Apabila saya letakkan tapak tangan ke ubun-ubun Abang Simek, lantas saya menyuruhnya duduk. Perlahan-lahan Abang Simek mematuhi perintah saya duduk di tengah rumah, tetapi matanya tidak berkedip merenung ke hadapan pintu.

"Siapa di sana tu, Simek?" saya menampar dahinya tiga kali dengan membacakan surah al-Ikhlas tujuh kali. Tersentak Abang Simek apabila ditepuk dahinya bagaikan orang terbangun daripada tidur tengah nyenyak.

"Tak sangka, dia rupanya," menggeleng-geleng Abang Simek mencebek bibir disebabkan terlalu marah.

"Siapa?" desak saya apabila Abang Simek bertambah garang. "Laki Salbiah!" gerutunya melepaskan geram yang mendongkol di hati sambil menuding ke arah pintu.

Terkejut Japar Gonjeng apa-bila Abang Simek menuduh adik iparnya berdiri di muka pintu. Sekalipun Japar Gonjeng tidak melihat siapa pun di situ, tetapi dia dapat mengagak memang bayangan suami Salbiah tercegat di depan pintu.

Kenapa pula bayangan suami Salbiah menjelma sebaik sahaja saya membakar kertas di dalam botol yang tertanam di halaman rumah? Tetapi Abang Simek sudah tidak dapat menahan sabar sebaik sahaja terserempak bayangan adik iparnya tercegat menampan di pintu hadapan.

Tetapi saya tidaklah menyerbu tidak menentu. Dia sekadar tercegat merenung ke arah pintu dengan tidak berkedip mata. Memang saya tahu saat ini Abang Simek tidaklah sedar apa yang dilakukannya. Sekaligus ingatan dia tertumpu kepada bayangan yang menjelma di depan pintu.

"Cuba tanya, apa yang dia mahu, Simek," lantas saya menepuk belakang Abang Simek.

"Apa yang kau mahu, Lajak?" bentak Abang Simek masih tidak lepas merenung ke hadapan pintu.

"Apa katanya?" desak saya biar Abang Simek jelaskan sendiri.

"Dia suruh jual tapak rumah ni," bisik Abang Simek melenggok-lenggok badan bagaikan sedang beratib.

Saya tahu Abang Simek dapat bercakap dengan bayangan yang menjelma di depan pintu, sekalipun Japar Gonjeng, Alif dan Leha tidak melihat siapa pun di situ. Apabila saya membacakan :

Innahu min-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahman nir Rahim, wain yuridu an yakha'uka fain hasbakallah hu huwallazi aiyadaka binasrihi wabilmukminin,

sekaligus bayangan yang dilihat oleh Abang Simek menjelma di depan saya.

Tangan saya tetap tidak lepas  dilekapkan ke belakang Abang Simek seolah-olah menemankan dia berdepan dengan bayangan yang menjelma di depan pintu.Saya melihat lelaki separuh umur berkain pelikat dengan tidak berbaju tercegat di situ. Di sisinya lelaki tua memegang buah tasbih tersengih-sengih mengerling Abang Simek.

"Jual saja tapak rumah ni, Simek," ujar lelaki tua itu sengaja mahu menyakiti hatinya.

"Kau diupah Lajak, ye?" lantas sahaja Abang Simek menyindirnya. "Berapa upah yang Lajak beri pada kau?" jerkahnya meluahkan rasa marah yang membara di dadanya.

"Memang aku yang upah, Pak Timin ni," sahut Lajak menepuk-nepuk dada terlalu angkuh.

"Apa faedah yang kau dapat?" bentak Abang Simek menggertap bibir dengan merenung Lajak tidak berkedip mata.

Lajak terkekeh-kekeh ketawa macam mengejek Abang Simek. Dia berbangga dapat mengganggu kawasan rumah peninggalan arwah emak mertuanya hingga siapa pun tidak berani menyewa. Tetapi menggeleng-geleng kepala setiap kali berpaling ke arah adik saya, apabila dilihatnya terlalu banyak lembaga menyerupai adik saya di situ.

Di tengah-tengah bayangan lembaga adik saya itu ayah saya tercegat menjengil mata. Lelaki tua yang dipanggil Pak Timin itu juga berpaling tidak mahu berdepan dengan ayah saya.

"Kita tak mahu bermusuh dengan orang tu," bisik bayangan Pak Timin mengingatkan Lajak apabila mengerling ke arah ayah saya.

Lajak terangguk-angguk mematuhi perintah Pak Timin. Ketika dia mahu berundur ke belakang, Pak Timin terkejut melihat lembaga rangka manusia itu tercegat di belakangnya. Rantai besi masih merah berbara terikat meliliti tubuhnya.

"Kenapa kau ke mari?" soal Pak Timin marah apabila lembaga rangka manusia itu tidak berganjak di sisinya.

"Tolong lepaskan aku, Pak Timin," rintih lembaga berkenaan terkial-kial mahu melepaskan diri.

"His, aku tak pernah panggil kau ke sini!" gerutu Pak Timin cuba menghalau lembaga itu supaya jauh dari sisinya.

"Janganlah begitu Pak Timin," ujar lembaga rangka manusia memujuk. "Aku dah tolong awak, sekarang awak patut tolong aku," dia terketar-ketar menahan kesakitan akibat rantai besi merah menyala itu terus meliliti tubuhnya.

"Aku tak pernah minta tolong kau, jerangkung!" marah benar Pak Timin setelah menyedari dirinya diperdaya oleh syaitan, setelah cuba membantu Lajak gunakan tangkal azimat yang ditanam di tengah halaman rumah. "Nampaknya kita diperdaya syaitan, Lajak," bisik Pak Timin mengeluh pendek.

"Bukankah Pak Timin mahukan rumah ni jangan disewa orang?" tersengih-sengih lembaga jerangkung itu mengejeknya sekalipun terkial-kial menahan kesakitan.

"Tapi, aku tak pernah panggil kau!" jerkah Pak Timin memukul lembaga rangka manusia itu dengan buah tasbih.

Pak Timin terus menghalau lembaga rangka manusia itu ke tengah kegelapan malam diikuti oleh Lajak. Setelah mereka hilang dalam kegelapan saya membaca al-Fatihah tiga kali, lantas mengusap-usap tangan ke muka. Kemudian saya ketukkan jari telunjuk ke dahi Abang Simek sampai dia tersentak.

Terpinga-pinga Abang Simek setelah menyedari dia masih terconggok di depan saya. Apabila dia berpaling ke pintu, Abang Simek beristighfar beberapa kali. Dia menggeleng-geleng kepala semacam tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Kenapa, Abang Simek?" Japar Gonjeng tersengih-sengih kerana melihat Abang Simek bagaikan orang mengigau terbangun dari tidur.

"Entahlah, macam mimpi aje rasanya," Abang Simek menggeleng-geleng dengan beristighfar panjang.

"Abang Simek macam merapik," lantas Leha mencela semacam hairan dengan kejadian yang menimpa Abang Simek itu.

"Entahlah," keluh Abang Simek berpaling lagi ke pintu dengan beristighfar. "Saya nampak adik ipar saya Lajak dengan bomoh berdiri di pintu," jelasnya dalam keadaan serba salah.

"Saya tak nampak siapa pun di situ," Alif juga hairan dengan penjelasan Abang Simek.

"Cukuplah, Abang Simek tak perlu bimbang, insya Allah," saya ingatkan rnereka supaya tidak sebut sangat perkara demikian. Sukar mahu menerangkan kepada Japar Gonjeng, Alif atau Leha perkara yang dilihat oleh Abang Simek itu.

Isteri saya berbaring di bilik kerana keletihan sangat, keluar juga setelah mendengar Alif ketawa terbahak-bahak dengan cerita Abang Simek. Tersengih-sengih isteri saya apabila diberitahu oleh Leha mengenai Abang Simek merapik tidak menentu.

Paginya sewaktu Alif dan Leha mahu ke sekolah, saya juga terus balik.Tidak perlu lagi saya menunggu di situ setelah yakin tidak ada lagi gangguan di rumah sewa berkenaan.

Seminggu selepas itu Alif menelefon memberitahu mengenai adik ipar Abang Simek, Lajak bersama isterinya Salbiah datang menemui Abang Simek. Memang Lajak mengakui di depan abang iparnya mengenai tangkal azimat yang ditanam dalam botol di tengah halaman.

Kesal sangat Lajak dengan kejadian yang menimpa rumah sewa peninggalan arwah emak mertuanya. Memang dia tidak bertujuan mahu gunakan amalan syaitan apabila menemui Pak Timin di Padang Rengas. Dia sekadar mahukan sesiapa sahaja tidak berani menyewa rumah berkenaan. Kalau tidak ada siapa pun mahu menyewa tentu lambat laun Abang Simek akan jualkan juga. Salbiah sendiri mengakui. Sedih sangat setiap melihat rumah peninggalan emaknya tersergam di situ. Dia sedih kerana arwah emaknya tidak dapat tinggal lama di rumah yang didirikan dengan penat lelahnya selama ini.

Tidak lama selepas rumah itu didirikan, emaknya meninggal dunia. Sebab itulah Salbiah mahu jualkan sahaja rumah peninggalan tersebut. Tetapi Abang Simek tetap berkeras pertahankan rumah peninggalan arwah emaknya. Biarlah disewakan sahaja sekiranya Salbiah tidak mahu tinggal di rumah berkenaan.

Setelah Abang Simek tidak boleh dipujuk, Lajak terus balik ke kampungnya di Padang Rengas. Dia menemui Pak Timin biarkan digunakan tangkal azimat sahaja, biar sesiapa pun tidak tertarik hati mahu menyewa rumah peninggalan itu.

Kalau gunakan amalan syaitan memang Lajak juga tidak bersetuju. Tetapi Lajak tahu, Pak Timin tidak pernah gunakan amalan syaitan. Dia sendiri melihat Pak Timin menuliskan ayat-ayat di kertas sebelum dimasukkan ke dalam botol kecil. Pak Timin yang suruh dia tanamkan botol itu di tengah halaman tatkala bulan tengah mengambang penuh.

Memang Lajak juga tahu mengenai keluarga India yang menyewa di situ katil tidurnya dialihkan ke atas bumbung rumah. Dia juga tahu fasal katil keluarga Cina dialihkan ke luar pagar. Tetapi Lajak sekadar menyangka kesan daripada tangkal azimat yang ditanamkan itu.

Hanya selepas adik saya menyewa rumah berkenaan sahaja, Lajak seringkali diganggu bayangan lembaga rangka manusia masuk ke bilik tidur-nya. Puas dibacakan Ayatul Kursi pun, lembaga itu tetap terperosok di bilik tidurnya semacam meminta perlindungan.

Tidak bertangguh dia balik semula ke Padang Rengas menemui Pak Timin. Memang Pak Timin juga terkejut apabila lembaga jerangkung itu menjelma di depannya meminta perlindungan. Lembaga jerangkung itu semakin terseksa apabila rantai besi berbara merah melilit seluruh tubuhnya.

"Awak suruh aku ganggu rumah tu," gerutu lembaga jerangkung itu apabila dihalau jauh oleh Pak Timin.

"Kamu jangan berdalih!" jerkah Pak Timin marah dengan jelmaan lembaga jerangkung.yang meminta perlindungan daripadanya.

"Bukankah awak suruh aku tunggu di situ?" termengah-mengah lembaga jerangkung mahu melepaskan lilitan rantai besi merah berbara itu.

"Kamu datang tak dijemput, jangan kamu nak perdayakan aku!" ujar Pak Timin setelah menyedari gangguan syaitan menyusup masuk sewaktu botol ditulis ayat-ayat itu ditanam oleh Lajak.

Tahu sangat Pak Timin memang gangguan syaitan mudah menyusup masuk sekalipun menggunakan ayat-ayat al-Quran, apabila tujuan di hati tidak membawa kepada kebaikan. Syaitan akan mencari kesempatan menyusup masuk sekiranya gunakan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan yang tidak memberi apa-apa manfaat.

Sebab itulah Pak Timin menyuruh Lajak segera menemui Abang Simek. Bimbang juga dia sekiranya Abang Simek gunakan amalan membalikkan semula lembaga jerangkung itu supaya mengganggunya. Perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak boleh diselesaikan dengan memusnahkan lembaga jerangkung itu sahaja.

Dia mesti mengakui kesalahannya, biar gangguan syaitan tidak dapat menyusup masuk. Sebab itulah Pak Timin desak juga Lajak supaya menemui abang Simek mengakui akan kesalahannya. Apa sangat dimalukan mahu menemui abang ipar sendiri sambil mengakui kesilapan tersebut.

"Tak sangka pula sampai macam sekali jadinya," keluh Lajak apabila dibawa oleh Abang Simek menemui adik saya. "Hah,kalau lambat ustaz datang, tentu saya, yang dituduh berhantu!" ujarnya kesal benar dengan kejadian itu.

Apabila ingatkan pengakuan Lajak itu, hiba juga hati Alif. Bagaimana syaitan boleh menyusup masuk sekalipun Lajak tidak amalkan amalan syaitan. Memang bila-bila pun syaitan sentiasa menunggu peluang untuk memecah-belahkan manusia, sekalipun di kalangan saudara mara sendiri.

Tetapi memang dia yakin saya sendiri datang jejak kaki ke rumahnya. Lagipun saya datang setelah dia sendiri menelefon. Lainlah macam ayah saya terjongol dengan tidak diberitahu apa-apa. Masakan bayangan saya sahaja datang ke rumahnya, sedangkan isteri saya juga ikut sama.

"Baguslah, kalau angah kamu datang jengah kamu," ayah saya semakin segar menghirup teh susu yang dihulurkan ke hadapan-nya. Dia tidak lagi uzur setelah semua anak-anak balik berkumpul. Setidak-tidaknya musim buah-buahan di kampung dapat dinikmati sama oleh anak cucunya.

"Tetapi, kenapa dia tak balik?" kakak saya masih juga tidak puas hati disebabkan saya yang menyuruh mereka balik ke kampung, tetapi saya sendiri tidak menjengah muka.

"Angah tu, bukan macam kamu," ayah saya mendongak memerhati jam di dinding sudah lebih pukul 12.00 tengah malam.

"Betul cakap ayah tu," sahut Haji Mosli mengerling kakak saya. "Tahu angah tu, bila dia patut balik," abang ipar saya sengaja ingatkan kakak saya.

Kakak saya menunduk. Dia tidaklah menyalahkan saya dalam saat demikian. Memang dia sekadar tertanya-tanya sahaja.Lagi pun sudah lama tidak bersua, semenjak kematian arwah adik bongsu saya.

Lama juga adik bongsu saya terlantar di hospital mengidap leukimia. Ketika di hospital memang saya juga datang doakan, semata-mata membantu dia mengurangkan penderitaan penyakitnya. Perkara sembuhkan sakit leukimia itu urusan Allah yang tidak boleh ditentukan oleh manusia.

Kadangkala sengaja kakak saya mengusik kerana saya seringkali doakan orang lain, tetapi tidak mampu mendoakan adik sendiri. Manalah saya mampu mahu menentukan seseorang itu boleh sembuh atau pun tidak apabila didoakan. Lagipun penyakit leukimia itu tidak sama dengan gangguan syaitan, sekali pun kuman-kuman penyakit itu sebahagian daripada syaitan yang mahu memusnahkan manusia.

Setelah doktor sendiri tidak memberi apa-apa harapan, adik saya sendiri meminta dia dibawa balik ke rumah. Dua minggu dia terlantar di rumah beberapa kali dia pesankan meminta saya datang menjengah. Memang merungut juga kakak saya, disebabkan saya tidak balik ke kampung semenjak adik bongsu saya dibawa balik.

"Sabarlah, Sumin, angah kamu banyak hal tu," bisik emak saya apabila adik bongsu saya bertanyakan diri saya.

Siapa pun tidak bimbang sangat dengan keadaan Sumin yang segar bugar sekalipun bibirnya bertambah pucat. Dia masih mampu bergurau apabila dikunjungi oleh jiran-jiran.

Disebabkan keadaan Sumin beransur baik, semua adik beradik balik semula ke tempat kerja masing-masing. Semasa mereka semua berkumpul hari Ahad memang saya tidak balik ke kampung. Hanya petang Isnin esoknya, saya menjengah balik setelah semua adik beradik tidak ada lagi di kampung.

"Ah, rindu benar aku nak jumpa angah," usik Simin tersengih-sengih sebaik sahaja saya naik ke rumah. Tidak pula dia bertanya mengenai isteri saya tidak ikut sama balik ke kampung.

Sewaktu saya letakkan tapak tangan ke dahinya, tiba-tiba sahaja air mata saya menitik. Ketika ini Alif yang masih belum berkahwin terconggok di sisinya, hairan juga dengan keadaan saya diselubungi sebak dada tidak 'semena-mena.

"Eh, kenapa angah menangis?" Sumin masih bergurau dengan meramas-ramas tangan saya.

Ayah terus sahaja menelefon kakak saya dan adik beradik lain menyuruhnya balik sahaja ke kampung. Apabila diberitahu mengenai keadaan Sumin kelihatan sihat, mereka tidaklah tergesa-gesa sangat mahu balik.

Sehingga lepas isya Sumin masih galak berbual dengan saya mengenai hasratnya mahu tunaikan umrah sekiranya sembuh. Tetapi saya tidak menyahut apa-apa. Apabila saya menyuruhnya mengambil wuduk, Sumin tidak membantah apa-apa. Alif yang bantu dia ambilkan wuduk hingga selesai.

Sebaik sahaja dia mulakan solat dalam keadaan berbaring, berkali-kali dia memberitahu saya sudah terlupa membaca al-Fatihah. Kemudian saya menyuruh Alif memangku Sumin, dan menggamit emak dan ayah saya mengajaknya membacakan Yassin.

Ketika Sumin menghembuskan nafasnya, emak dan ayah saya sendiri tidak menyedari. Mereka terus membacakan surah Yassin sekalipun saya sudah memberi isyarat kepada Alif supaya membujurkan jenazah.

"Kalau nak tahu kenapa angah tak balik, telefon ajelah ke rumahnya," Alif menjuihkan bibir memandang kakak saya.

"Emmm, kalau angah tak balik, dialah tak merasa rambutan dengan durian," sahut kakak saya bergurau sebaik sahaja anaknya hidangkan buah rambutan yang sudah dipetik sejak petangnya. Anak saya pula terkial-kial membelah durian sambil ditertawakan oleh emak saya.

Sewaktu mereka menikmati rambutan dan buah durian hingga jam 1.00 pagi inilah saya sampai di tengah halaman rumah. Tersengih-sengih anak saya menunjukkan durian yang dibelahnya, sebaik sahaja saya naik ke rumah bersama emaknya.


SELESAI