Sunday, May 17, 2015

124. ORANG MATI UBATKAN PENYAKIT



TERASA segar setelah mandi tiga pagi berturut-turut air yang sudah didoakan oleh Haji Kadri.  Terpaksa pula Mat Johar ke Sungai Manik ikut jalan menyeberang sungai melalui rel keretapi.  Ketika itu memang jalan perhubungan amat sukar disebabkan di mana-mana pun masih diselubungi hutan belukar.  Lainlah sekarang jalan ke Sungai Manik sudah terbina jambatan merentangi sungai yang berarus deras.
Kalau tidak disebabkan emak mentuanya Embok Sinah mendesak dia menemui Haji Kadri di Sungai Manik memang Mat Johar tidak akan ke sana.  Bukan ada saudara mara tempat tumpu untuk bertanya khabar.  Puas juga dia bertanya beberapa orang kampung di situ tetapi tidak siapa pun mengenali Haji Kadri.  Tetapi Embok Sinah tahu sangat kerapkali arwah suaminya Usup Gonjeng ke Sungai Manik memberitahu untuk menemui Haji Kadri di sana.
Bukan Usup Gonjeng sahaja ke Sungai Manik, malah Wak Lijat juga beberapa kali ke sana.  Asal sahaja ke Sungai Manik memang mereka menemui Haji Kadri disebabkan lelaki itu banyak mengetahui mengenai amalan susuk lam.  Sehingga arwah suaminya meninggal dunia,  Embok Sinah memang tidak pernah menemi Haji Kadri.  Hanya tatkala dia terkejang menahan kesakitan semenjak berbulan-bulan teringat sahaja di hatinya mahu ke Sungai Manik.
Embok Sinah bagaikan terimbau-imbau suara bisikan Usup Gonjeng mendesaknya supaya mencari Haji Kadri di Sungai Manik, setelah puas berusaha mahu menemui Haji Basudi di Sekinchan.  Sebab itu dia desak juga menantunya Mat Johar ke Sungai Manik biar dapat menemui Haji Kadri yang tidak pernah dikenalinya itu.
“Aku dengar seolah-olah arwah Usup berbisik ke telinga aku!”  jelas Embok Sinah terketar-ketar tidak bermaya.  “Arwah Usup desak supaya mencari Haji Kadri,”  dia menambah lantas mengesat pelupuk matanya yang lembap.
“Sungai Manik tu luas, di mana nak cari Haji Kadri?”  gerutu Meliah serba salah mahu membantah desakan emaknya.
“Apa salahnya tanyakan pada orang-orang di situ!”  kecewa juga Embok Sinah dengan tutur kata anaknya yang cepat sangat berdalih.
Tetapi Mat Johar tidak mahu membantah apa-apa.  Biarlah dia ke Sungai Manik kalau takat mahu mencari Haji Kadri.  Lagi pun Sungai Manik bukannya jauh sangat dari Teluk Intan.  Setidak-tidaknya dia mahu puaskan hati emak mentuanya setelah tidak sabar lagi mahu dapatkan bantuanh Haji Kadri buangkan susuk berlian yang ditusukkan ke pipinya.  Memang emak mentuanya kesal sangat tidak mahu buangkan susuk berlian berkenaan setelah didesak oleh Haji Basudi sejak lama dulu.
Kalau dia tidak berbohong pada Haji Basudi nescaya susuk berlian itu sudah dibuangkan.  Bekas abang iparnya itu memang syak dia gunakan susuk berlian sebaik sahaja berkahwin dengan Usup Gonjeng.  Tetapi Haji Basudi tidak dapat berkeras apabila dia sendiri tetap berdalih.
Kalau Wak Aji memang saya tahu,”  jelas abang Ripin setelah dia membawakan Mat Johar menemuik Wak Aji di seberang sungai.  “Manalah saya tahu dengan Haji Kadri,”  tersengih-sengih dia mengerling Wak Aji yang baru sahaja selesai solat asar di suraunya.
“Haji Kadri ke, Wak Aji ke tidak penting,”  sahut Wak Aji setelah menyedari lelaki berkenaan terkeliru disebabkan namanya dipanggil Haji Kadri.  “Yang pentingnya dapat jumpa, sudahlah,”  ujarnya lantas ketawa kecil.
Memang di kampung berkenaan siapa pun tidak akan mengenalinya kalau dipanggil Haji Kadri, disebabkan mereka memanggilnya Wak Aji sahaja.  Sebaik sahaja Mat Johar naik ke surau, tidak bertangguh Wak Aji memintanya beritahu sahaja niat yang tersemat di hati.  Dia seolah-olah memahami hasrat yang terpendam di hati Mat Johar apabila bersusah payah sangat mahu menemuinya.
Lantas sahaja Mat Johar beritahu mengenai emak mentuanya terkejang sakit sejak berminggu-minggu hingga meracau-racau memanggil Usup Gonjeng.  Dia mengakui mengenai susuk berlian yang ditusukkan ke mukanya bagaikan menakutkan dia setiap kali meracau-racau memanggil Usup Gonjeng disebabkan susuk berlian tersebut tidak memberi apa-apa kebahagian dalam hidup mereka.
Embok Sinah sekadar berbangga suaranya lunak didengar sewaktu nyanyikan lagu marhaban atau qasidah di majlis perkahwinan hingga memikat ramai lelaki.  Tetapi jauh dilipatan hatinya dia terus menyembunyikan rahsia tidak boleh mengandung sekirannya mengambil keputusan berkahwin.  Apabila Usup Gonjeng mendesak mahu mengahwininya dia tetap rahsiakan mengenai susuk berlian yang sudah ditusukkan ke pipinya itu.
Apabila terkejang sakit berminggu-minggu bimbang juga Embok Sinah dia akan menutup mata dengan tidak sempat buangkan susuk berlian berkenaan.  Setlah puas mencari Haji Basudi tidak juga bertemu, semakin gelisah perasaan Embok Sinah.  Dalam saat inilah dia seolah-olah melihat Usup Genjeng menjelma di depannya.  Lantas sahaja Usup Gonjeng mengutuknya disebabkan mahu menyembunyikan rahsia susuk berlian berkenaan.
Setiap kali Usup Gonjeng menjelma di depannya memang gementar perasaan Embok Sinah.  Dia semakin rusuh apabila Usup Gonjeng ungkit mengenai dia keguguran berulang kali asal sahaja mengandung dua atau tiga bulan.  Sekaligus pula Usup Gonjeng macam mengancam mahu mencekek lehernya.  Jari jemari Usup Gonjeng membesar sampai mengembang laksana batang kelapa mencengkam kuat.
Dia semakin mengalami sesak nafas apakala jari jemari Usup Gonjeng menghipit dada.  Tatkala dia termengah-mengah menahan sesak nafas susuk berlian yang ditusuk ke mukanya menunjal-nunjal mahu membolos keluar bagaikan ikan haruan menyerbu tangguk.  Tetapi susuk berlian berkenaan tersangkut pada kulit muka menyebabkan terasa ngilu pedih kepada Embok Sinah.
Mahu sahaja Embok Sinah menjerit sekuat hati menahan kesakitan tatkala susuk berlian mahu membolos keluar menerjah kulit muka.  Kesakitan itu seolah-olah menyerap ke seluruh tubuh hingga setiap sendi anggota menjadi lemah tidak bertenaga.  Setiap kali dia cuba menjerti suaranya tersekat di kerongkung akibat jari jemari Usup Gonjeng menyengkang di dada.
“Buangkan susuk berlian kamu, Sinah!”  dia mendengar suara Usup Gonjeng bagaikan bergema menusuk telinga.
“Macam mana aku nak buangkan, aku dah cari abang Haji Basudi,”  jelas Embok Sinah terketar-ketar dengan terngaga-nganga mulut.
“Kau tak pernah cari Haji Basudi!”  sengaja Usup Gonjeng mengejeknya disebabkan Embok Sinah sentiasa mahu mengelak daripada terserempak Haji Basudi.
“Sekarang aku mahu cari dia,”  lantas Embok Sinah memberi pengakuan tidak akan berdalih lagi sekiranya bertemu Haji Basudi yang sudah menghilang dari kampong halamannya di Sekinchan.
“Kalau kau tak jumpa Haji Basudi, kamu boleh cari Haji Kadri,”  bentak Usup Gonjeng keras memarahi Embok Sinah.
“Di mana aku nak cari Haji Kadri?”  semakin rusuh perasaan Embok Sinah apabila didesak berterusan.
“Haji Kadri ada di Sungai Manik, bukannya jauh!”  dia mendengar gema suara Usup Gonjeng bertalu-talu menusuk ke telinganya.
Memang siapa pun tidak mendengar gema suara Usup Gonjeng membentaknya.  Mat Johar juga tidak dapat tahu apa pun biji butir yang dituturkannya tatkala dia merungut-rungut tidak menentu.  Setelah Embok Sinah meraskan sekelilingnya tenteram barulah dia dapat bisikan kepada Mat Johar supaya tidak bertangguh ke Sungai Manik
Macam tidak percaya sahaja Mat Johar setelah didesak supaya ke Sungai Manik.  Kalau dia tidak bertemu dengan Abang Ripin tengah memancing di tebing sungai, memang dia berputus asa mahu mencari Haji Kadri.  Kecewa benar dia setelah puas bertanya pada ornag-orang kampung mengenai Haji Kadri yang seringkali dikunjungi oleh Wak Lijat  dan Usup Gonjeng dari Sekinchan.  Manalah mereka pernah mendengar nama Wak Lijat dan usup Gonjeng sudah bertahun-tahun meninggal dunia itu.
Sewaktu Wak Lijat atau Usup Gonjeng seringkali jejak kaki ke Sungai Manik mereka tidak berapa ingat lagi.  Masing-masing masih anak-anak atau rakan-rakan sebaya Wak Lijat sendiri sudah terlalu tua.  Tentulah mereka tidak ambil peduli sangat dengan kunjugan Wak Lijat atau Usup Gonjeng ke Sungai Manik semata-mata menemui Haji Kadri itu.
Bukan mudah mahu mencari Haji Kadri yang sekadar dirapik oleh emak mentuanya tatkala melihat jelmaan Usup Gonjeng di depannya.  Embok Sinah sekadar terkejang sahaja dengan keadaan seluruh badannya lemah tidak bertenaga.  Jelmaan Usup Gonjeng yang tercegat di depannya bagaikan memberi semangat terhadap dirinya setelah terkejang berminggu-minggu.
Embok Sinah merasa bersalah setiap kali bayang jelmaan Usup Gonjeng itu tercegat dengan merenung tajam.  Ketika itu Embok Sinah lantas ingatkan suami pertamanya Sidin Bagak yang perongos hingga tidak boleh ditegur.  Kalau Sidin Bagak balik ke rumah jauh malam pun dia tidak boleh bantah apa-apa.  Bila-bila Sidin Bagak akan jerkah dia dengan tamparan keras tidak bertangguh.
Hingga dia lahirkan Meliah pun sikap Sidin Bagak tidak juga berubah.  Kalau tidak habiskan masa berjudi Sidin Bagak akan mencari gadis lain di mana-mana.  Setiap kali Embok Sinah bertengkar dengan Sidin Bagak nescaya lelaki itu akan mengejeknya tidak memikat mana-mana lelaki.  Berulang kali Sidin Bagak ingatkan dia kalau tidak kenangkan keluarganya mendesak meminang, memang dia tidak terlintas langsung mahu berkahwin dengan Embok Sinah.
Sebab itu Embok Sinah terhiris sangat perasaan dengan sikap Sidin Bagak mengejak dia.  Tidak bertangguh dia mendesak emak saudaranya Ibek Tuminah tusukkan susuk berlian biar Sidin Bagak terkulat-kulat mata memandang mukanya.  Memang berdendam sangat dia pada Sidin Bagak disebabkan kesombongan lelaki itu.
“Banyak pantang larangnya, Sinah!”  beritahu Ibek Tuminah kerana bimbang anak saudaranya itu tidak sanggup mematuhi pesanan dia.
Tetapi Embok Sinah tidak bimbang apa-apa sekalipun terpaksa menunggu bulan mengambang penuh.  Ibek Tuminah mengajak Embok Sinah berdiri di bawah silau bulan di tengah halaman hingga jarum berlian sebesar rambut itu nampak berbayang di bawah cahaya bulan.  Dalam masa beberapa saat sahaja dia tusukkan susuk berlian berkenaan hingga tidak terasa langsung pada Embok Sinah kulit pipinya ditembusi.
Tiga tahun Embok Sinah dilarang menjamah gulai ikan yang bersengat, sayur rebung dan menjahit pakaian.  Apa sahaja perbuatan mencucuk tidak dibenarkan sampai tiga tahun sekalipun sulam menyulam pakaian, menanam anak benih padi atau cucuk sanggul.  Embok Sinah tetap patuhi pantang larang yang ditetapkan asal sahaja susuk berlian itu mesra sejati di dalam tubuhnya.
Bukan takat wajahnya sahaja kelihatan berseri laksana bulan mengambang penuh, malah suara juga lunak bagaikan elusan angin tatkala sepi malam.  Sebab itu apabila Embok Sinah berlagu marhaban atau qasidah mereka yang mendengar tertegun tidak menentu.  Sidin Bagak pula merasa kesal kerana sering tidak pedulikan Embo Sinah.
Disebabkan tikga tahun Ibek Tuminah larang dia supaya tidak melayani suami, serba salah pula Embok Sinah apabila Sidin Bagak merayu-rayu di depannya.  Dalam keadaan bimbang dia cuba juga melanggar pantang dengan melayani Sidin Bagak.  Biarlah dia menanggung bahana kalau pantang larang demikian dilanggar juga.  Dia tidak dapat menahan perasaan terharu apabila Sidin Bagak merayu-rayu bagaikan anak kecil harapkan belaian.
Malam itu juga Sidin Bagak mengadu sakit dada hingga sesak nafas.  Terjerit-jerit dia kesakitan bagaikan seluruh badannya ditusuk jarum bisa.  Setelah diberitahu sanak saudara mengenai geruh yang menimpa Sidin Bagak, mereka menuduh tentu diganggu hantu tinggi.  Manalah tahu hantu tinggi berkeliaran tengah malam diserbu Sidin Bagak semasa balik dari berjudi.
Belum pun menjelang pagi Sidin Bagak terkejang menutup matanya rapat-rapat.  Satu-satunya yang mengetahu rahsia geruh menimpa Sidin Bagak memang Embok Sinah.  Dia sudah melanggar pantang sebelum sempat menamatkan amalan sampai tiga tahun.  Dia sendiri tidak menduga pantang larang berkenaan termasuik juga tidak boleh melayani suami.  Kesal juga dia disebabkan tidak bertanya khusus kepada emak saudaranya mengenai melayani suami hingga mendatangkan musibah demikian.
Tentulah berasa malu kalau tanyakan masalah rahsia suami isteri kepada Ibek Tuminah sewaktu dia tusukkan susuk berlian berkenaan.  Masakan tiga tahun dia tidak boleh melayani suami sendiri.  Apabila diberitahu Ibek Tuminah memang perempuan itu sudah ingatkan dia amalan susuk berkenaan tidak dibenarkan kepada mereka yang bersuami.  Lainlah kalau Embok Sinah anak gadis atau pun janda yang boleh menolak lamaran lelaki dalam tempoh tiga tahun.
“Aku sudah ingatkan kamu jangan amalkan susuk kalau masih bersuami!”  jelas Ibek Timinah tatkala Embok Sinah masih murung menahan kesedihan.
“Siodin suami saya, takkan saya tak mahu layan?”  keluh Embok Sinah dalam sebak yang mengombak-ombak di dada.
“Pantangnya tiga tahun, kenapa kamu tak ikut pantang!”  Ibek Tuminah mencebek bibir apabila kenang anak saudaranya tidak dapat tunaikan pantang larang amalan tusukkan susuk itu.
“Manalah saya tahu pantangnya tal boleh melayan suami,”  sahut Embok Sinah kesal benar dengan musibah yang menimpa suaminya arwah Sidin Bagak yang menggelepar sesak nafas sebaik sahaja melayani dia.
“Aku dah ingatkan jangan amalkan kalau masih bersuami!”  beritahu Ibek Tuminah supaya Embok Sinah tidak perlu sesalkan lagi setelah nasi menjadi bibur demikan.  “Kalau kau berkahwin lain, kau tentu takkan dapat anak,”  ujarnya menambah dengan rasa kesal memanjang.
Tatkala berkahwin dengan Usup Gonjeng memang keberatan juga Embok Sinah mahu menerima lamaran anak muda itu.  Tetapi Usup Gonjeng sekadar menyangka Embok Sinah menolak disebabkan dirinya janda beranak satu.  Sewaktu Usup Gonjeng membawanya berpindah ke Sekinchan juga dia merasakan tersisih daripada keluarga suaminya itu.  Kalau tidak disebabkan Haji Basudi yang pertahankan dia, sudah tentu Usup Gonjeng sanggup tinggalkan kampong halaman.
Kebimbangan Embok Sinah semakin rusuh apabila dia mula mengandung.  Hanya beberapa bulan selepas itu dia mengalami keguguran.  Apabila dituduh oleh Haji Basudi mengenai susuk yang diamalkannya,  Embok Sinah tetap berdalih.  Sebab itu Haji Basudi salahkan Usup Gonjeng fasal amalkan susuk lam semata-mata mahu elakkan diri daripada cedera parah.
Embok Sinah juga tahu mengenai suaminya amalkan susuk lam sama seperti Wak Lijat.  Tetapi Wak Lijat tidak pula mengalami nasib malang hingga isterinya keguguran tatkala hamil sebulan dua.  Memang Wak Lijat mempunyai anak yang ramai bersama isterinya.  Sebab itu Usup Gonjeng tidak percaya apabila abangnya menuduh susuk lam yang diamalkannya menyebabkan Embok Sinah tidak boleh hamil.
Seisi kampung tahu mengenai Usup Gonjeng yng dapat elakkan dirinya daripada tercedera.  Asal sahaja kakinya luka disinggahi tajak, dalam masa beberapa saat seahaja kulit yang terkoyak bercantum semula.  Haji Basudi juga menyedari keistimewaan adiknya boleh bertahan sekalipun tangannya ditetak parang sampai terkulai.  Tetapi dia ingatkan Usup Gonjeng supaya buangkan susuk lam itu disebabkan Wak Lijat sendiri sudah buangkan amalan tersebut.
Memang Wak Lijat sendiri beritahu Haji Basudi sesiapa sahaja amalkan susuk lam, mayatnya mesti dipenggal kepala.  Kalau tidak dipenggal nescaya mayat berkenaan akan bangkit semula sebaik sahaja embun turun tatkala dinihari.  Wak Lijat tidak mahu mayatnya yang sudah dibujurkan itu bangkit semula tartkala embun turun.  Kemudian akan rebah terbujur sementara embun turun semula menunggu tibanya waktu dinihari.
Bukan dengan Usup Gonjeng sahaja Embok Sinah seringkali keguguran, tetapi selepas arwah suaminya meninggal dunia beberapa kali dia berkahwin lain tidak juga mendapat anak.  Memang kecewa juga dia disebabkan tidak mendapat anak lagi, namun segalanya terpaksa dipendamkan sahaja jauh di lipatan hatinya.
Selepas mengalami sakit perut hingga menyenak sampai ke rahim, Embok Sinah menyedari tentu dia mengalami sakit rahim akibat beberapa kali keguguran.  Apabila berminggu-minggu terlantar dia dapat mengagak keadaan penyakit rahimnya bertambah tenat.  Embok Sinah tidak kecewa apa-apa disebabkan hatinya sudah nekad mahu menerima apa sahaja musibah setelah amalkan susuk berlian peninggalan emak saudaranya Ibek Tuminah.
Tidak lama selepas dimandikan air yang didoakan oleh Haji Kadri,  Embok Sinah kembali segar.  Penyakit perut yang menyenak sampai ke Rahim itu sembuh semula.  Dia tidak merasa kesakitan yang berterusan.  Dalam masa dia berasa gembira dengan penyakitnya sembuh, keadaan tubuh Embok Sinah mula mengecut.
Pipinya cengkung sampai kulitnya yang tegang menjadi kendur lisut.  Embok Sinah sedar perubahan dirinya yang berkulit putih cerah menjadi hitam sawo matang akibat mengendur.  Dia tahu segala keadaan yang dialaminya disebabkan susuk berlian itu sudah madal di dalam tubuhnya akibat dimandikan air yang sudah didoakan oleh Haji Kadri.
“Kita buat kenduri doa selamat dan jemput Haji Kadri,”  ujar Embok Sinah menyuruh menantunya ke Sungai Manik setelah tiga bulan dia merasa tubuhnya semakin segar.
“Kalau nak buat kenduri, tak payah jemput Haji Kadri apa salahnya,”  serba salah juga Mat Johar mahu ke Sungai Manik setelah Haji Kadri enggan menemuinya lagi.  Memang Haji Kadri sudah pesankan pada Abang Ripin sekirannya penyakit Embok Sinah sembuh, dia tidak mahu lagi Mat Johar jejak kaki ke situ.
“Budi bahasa kena jaga juga, Johar,”  lantas Embok Sinah ingatkan menantunya mengenai budi baik Haji Kadri yang sudah membantunya.
“Dia tak mahu siapa pun berasa termakan budi,”  beritahu Mat Johar apabila kenang pesan Abang Ripin orang tua itu tidak mahu sesiapa pun terhutang budi kepadanya.  Dia sekadar ingatkan Mat Johar mahu mencuba doakan sahaja, kerana urusan sembuh atau tidak hanya dalam pengetahuan Allah sahaja.
“Ini bukan fasal terhutang budi, tapi budi bahasa kita aje!”  tegas Embok Sinah mahukan menantunya jemput juga Haji Kadri hadiri majlis kenduri doa selamatnya.  Apa salahnya jemput Haji Kadri sekalipun orang tua itu tidak mahu jejak kaki ke rumahnya.
Setelah didesak oleh isterinya Meliah, terpaksa juga Mat Johar mematuhi kemahuan mereka.  Dia mesti memujuk Abang Ripin supaya orang tua berkenaan dapat diajak ke majlis kenduri doa selamat emak mentuanya.  Tentu Embok Sinah teringin sangat mahu menatap muka Haji Kadri yang sering dikunjungi oleh arwah suaminya Usup Gonjeng bertahun-tahaun dulu.
Sewaktu sampai di rumah Abang Ripin serba salah juga Mat Johar apabila melihat rumah berkenaan tidak sama seperti dikunjunginya tiga bulan sebelum itu.  Kawasan keliling rumah dipenuhi belukar teberau dengan tiangnya juga sudah reput.  Masakan tiga bulan sahaja dia tidak jejak kaki ke situ keadaan rumah tersebut sudah reput seolah-olah menunggu masa untuk jatuh tersemban ke bumi.
Semasa singgah di warung tepi jalan dalam perasaan hampa, Mat Johar tanyakan juga pada Jeman Botak mengenai Abang Ripin.  Terkejut juga Mat Johar apabila diberitahu oleh Jeman Botak bapa mentuanya itu sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia.  Jeman Botak mengakui rumah peninggalan bapa mentuanya tinggal terbiar disebabkan dia sudah berpindah ke darat kampung.
Tahu sangat Mat Johar bapa mentuanya memang belajar agama dengan Haji Kadri, tetapi dia sendiri tidak tahu mengenai Haji Kadri yang meninggalkan kampung berkenaan sebelum Abang Ripin meninggal dunia lagi.  Hairan benar Mat Johar dengan Abang Ripin sendiri yang temukan dia dengan Haji Kadri tidak jauh dari rumahnya.
Tetapi rumah Abang Ripin sudah ditumbuhi belukar teberau hingga jalan menyeberang parit mahu ke rumah Haji Kadri juga sudah tidak berlorong lagi.  Sebaik sahaja diberitahu oleh Jeman Botak mengenai Abang Ripin yang sudah meninggal dunia lebih sepuluh tahun, terasa juga meremang bulu tengkuknya.
Sepanjang perjalanan balik memang Mat Johar terasa gementar apabila diberitahu dia menemui Abang Ripin yang sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia.  Jeman Botak juga mengakui beberapa kali dia diberitahu oleh orang-orang kampung apabila melihat rumah Abang Ripin terang benderang dengan cahaya pelita tatkala malam gelap gelita.
Sebab itulah Jeman Botak tidak mahu menetap di rumah berkenaan.  Tidak bertangguh dia mengajak isterinya berpindah sahaja dari rumah berkenaan.  Semasa dia tinggal di rumah tersebut Jeman Botak serba salah kerana tercium bau setanggi asal sahaja malam Jumaat.  Biarlah dia berpindah sahaja tinggalkan rumah pesaka tersebut, daripada diganggu dengan bermacam-macam perkara yang di luar pengetahuannya.
“Syukurlah awak mengalami sendiri, kalau saya cerita tentu awak tak percaya!”  ujar Jeman Botak setelah diberitahu oleh Mat Johar mengenai dia menemui Abang Ripin yang membawanya ke rumah  Haji Kadri di seberang parit.
Beberapa kali Mat Johar beristighfar dalam keluhan memanjang.  Tatkala dia jejak kaki balik ke rumah mahu beritahu mengenai pengalamanya, dia diberitahu oleh Meliah emaknya terkejang semula dalam keadaan lemah tidak bertenaga.  Tiba-tiba sahaja Embok Sinah merasa kepalanya pening berdenyut-denyut sebaik sahaja Mat Johar ke Sungai Manik.  Disebabkan tidak tertahan kepalannya sakit berdenyut-denyut dia terus terbaring hingga terkejang tidak bermaya.
Kalaulah emak mentuanya tidak bekeras mahu menjuemput Haji Kadri hadiri majlis kenduri doa selamat setelah penyakitnya sembuh,. Memang dia tidak tahu mengenai Abang Rifin dan Haji Kadri sudah lama meninggal dunia.  Mungkin disebabkan rahsia Haji Kadri yang sudah lama meninggal dunia doakan air untuk kegunaan Embok Sinah mahu diketaui itulah menyebabkan penyakit kembali mengganggu.
Embok Sinah hanya terkejang sahaja tidak bergerak hanya setelah beberapa jam menanggung sakit kepala berdenyut-denyut.  Dalam keadaan cemas dengan penyakit yang dihidapi oleh emak mentuanya, terpaksa Mat Johar memberi tahu abangnya Kimin Dobok.  Manalah tahu abangnya boleh ikhtiarkan cara lain disebabkan dia lama mengaji pondok di Patani.
“Marilah kita ke Teluk Intan, ustaz,”  desak Kimin Dobok tatkala dia menjengah ke rumah saya.  “Manalah tahu kalau-kalau ustaz boleh tunjukkan jalannya,”   ujarnya apabila kenang adiknya Mat Johar terlalu sebak tatkala beritahu mengenai penyakit yang dihidapi oleh emak mentuanya.
Sewaktu saya bersama Kimin Dobok jejak kaki ke rumahnya, mata Embok Sinah sahaja terkebil-kebil memandang saya.  Suaranya terketar-ketar tidak tentu lagi biji butir akibat terkejang berminggu-minggu.  Memang saya melihat pelupuk matanya bhasah akibat air terfenang banyak.
“Kakak mesti bercakap berterus terang!”  tegas saya lantas mengusapkan tapak tangan kepalanya dengan membacakan perlahan:
Ma-asoba mim-musibatin illa bi-iznillahi wamaiyukmin billahhi yahdi qolbahu wallahhu bikulli syai-in’alim.
Apabila Embok Sinah merungut-rungut tidak menentu, lantas Mat Johar segera tinggikan suara tanyakan biji butirnya.  Tetapi segera ditegah oleh Kimin Dobok, kerana dia menyedari saya sudah dapat memahami apa sahaja yang dituturkan oleh Embok Sinah.  Ketika ini memang saya tahu Embok Sinah memberitahu segala yang terbuku di hati dalam rungutan yang berterusan.
Apabila saya bacakan tiga kali al-Fatihah, 11 kali surah al-Ikhlas dan 17 kali Ayatul Kursi, perlahan-lahan Embok Sinah membawa saya jauh di hujung rumah.  Tersengih-sengih dia tunjukkan susuk berlian pada pipinya hingga cahayanya memancar dengan silauan gemerlapan.
Bukan takat Usup Gonjeng sahaja terpesona tatkala mendengar Embok Sinah berlagu marhaban dan qasidah, malah selepas kematian Usup Gonjeng pun dia memikat ramai lelaki.  Disebabkan ramai lelaki yang menaruh harapan pada dirinya perasaan Embok Sinah menjadi semakin riak hingga kesombongan mula menyelubungi dirinya.  Dia mahu sesiapa sahaja ingin melamarnya melutut kepadanya laksana anak kecil meminta-minta.
Embok Sinah tidak sama lagi seperti tatkala Usup Gonjeng melamarnya.  Dia menyedari dirinya tidak akan memperolehi anak lagi sekiranya berkahwin lain.  Setelah melanggar pantang larang yang ditetapkan oleh Ibek Tuminah, sampai bila pun dia tidak boleh hamil lagi.  Kalau mengandung pun tentu akan keguguran tatkala hamil dua atau tiga bulan.
Tetapi Ibek Tuminah tidak beritahu mengenai rahimnya sudah di tusuk susuk berlian berkenaan menyebabkan dia tidak boleh lagi hamil.  Sewaktu dia berkahwin dengan Sapar Tenjot lantas dia ingatkan lelaki itu supaya tidak sebut fasal inginkan anak.  Kalau Sapar Tenjot berkeras mahukan anak memang dia akan halau sahaja dari rumahnya.
“Kalau isteri fantik tak boleh beranak, apa gunanya?”  marah juga Utih Bisah apabila kenang anaknya Sapar Tenjot mengikut sahaja telunjuk isteri.
“Dah tal ada rezelo. Nal nbiat ,aca, ,ama. Mak!”  sahut Sapar Tenjot memujuk emaknya biar tidak ungkit-ungkit lagi mengenai amnak bersama Embok Sinah.
“Kamu tu muda lagi, sepatutnya pilih anak dara,”  gerutu Utih Bisah kesal disebabkan anaknya memilih janda yang lebih tua umur menjadi isteri semata-mata terpesona dengan susuk berlian yang ditusukkan ke mukanya.
Tahu sangat Utih bisah mengenai perempuan yang gunakan susuk berlian seperti Embok Sinah.  Kecantikan yang dimilikinya semata-mata disebabkan susuk berlian berkenaan.  Sekiranya susuk berlian itu dimusnahkan sudah tentu kecantikan itu juga ikut luntur tidak berguna.
“Jodoh pertemuan ditentukan Allah, mak,”  jelas Sapar Tenjot tidak kesal apa-apa setelah memilih Embok Sinah yanbg lebih tua dari usianya untuk menjadi isteri.
“Ah, kamu tu8 dah terkena ubat guna-guna perempuan tu!”  Utih Bisah menyindir dengan luahan perasaan benci yang tersemat di hatinya.
Memang tersinggung benar Embok Sinah dengan sikap emak mentuanya Utih Bisah menuduh dia demikian.  Jauh di lipatan hatinya memang dia tidak mahu menerima lamaran Sapar Tenjot.  Tetapi anak muda itu yang mendesak sehingga sanggup terjun ke tengah arus sungai sekiranya dia menolak.
Tetapi selepas dia berkahwin dengan Sapar Tenjot emak mentuanya sering sahaja menyindir dirinya.  Kalau bandingkan umurnya dengan Utih Bisah tidaklah jauh tua sangat emak mentuanya.  Kadangkala terasa malu juga dia apabila kenang umurnya hampir sebaya dengan Utih Bisah, tetapi berkahwin dengan anak teruna perempuan berkenaan.  Setelah dia berkahwin dengan Sapar Tenjot, sedikit demi sedikit perasaan bencikan Utih Bisah kian meluap-luap dalam jiwanya disebabkan emak mentuanya tidak menyenangi dirinya.
Setiap waktu Utih Bisah sentiasa mendesak biar Sapar Tenjot tinggalkan sahaja Embok Sinah.  Bila-bila dia boleh pinangkan gadis lain yang lebih sesuai untuk dijadikan isteri Sapar Tenjot.  Sebab itu marah sangat Embiok Sinah terhadap emak mentuanya yang bersungguh-sungguh sangat mahu pisahkan dirinya dengan suaminya.
Apabila Embok Sinah menggeleng-geleng kepala tatkala merungut perlahan segera saya bacakan:
Ya qadim ya doim ya ahad ya wahid ya somad, Allahhumma inni as-alaka bismikal ahadl a’za wadakwaka, Allahhumma bismikal ahadal somada wadakwaka, Allahhumma bismikal ‘azimil witri wadakwaka, Allahhumma bismikal kabiral muta’al lazi malaat rak-ana kullaha an-tak’afa ‘inni ma-asbahata wama amsitu fihi.
Sebaik sahaja saya hembuskan ke ubun-ubunnya bibir Embok Sinjah bergerak-gerak sekalipun suaranya tidak menuturkan apa-apa.  Tatkala ini saya melihat Embok Sinah bagaikan berdiri di atas tempayan beras dengan api marak menyala di kelilingnya.  Apabila saya kibaskan tangan serta merta api berkenaan padam seolah-olah disimbah air mencurah laksana hujan lebat menerjah dari langit.
“Ustaz, saya mengaku gunakan susuk berlian,”  ujar Embok Sinah tercegat di atas tempayan beras.  “Saya naki buangkan susuk berlian ni, tolonglah!”  rintihnya dalam suara hiba mendayu-dayu.
“Susuk berlian kakak sudah dibuangkan oleh Haji Kadri,”  tutur saya sengaja menyindirnya.
“Haji Kadri dah lama meninggal dunia, macam mana dia nak buangkan,”  tersengih-sengih Embok Sinah mencebek bibir bagaikan tidak percaya susuk berlian yang ditusukkan sudah dibuang habis.
Lantas saya bacakan surah al-Dhuda tiga kali dan diikuti dengan membaca:
Wahuwallazi kholoqossamawati wal-ardhi bil-hoqqi, wayauma yaqulu kun fayakun, qau luhul hoqqu, wallahul mulku yauma yunfakhu fissori ‘alimul ghaibi wasy-syahadati wahuwal hakimul khobir.
Ketika ini saya melihat Embok Sinah mengangguk perlahan.  Dia mengakui Utih Bisah memang emak mentuanya yang mesti dilayan sama seperti emak sendiri.  Tetapi dia marahkan perempuan itu setelah Utih Bisah sendiri menyindir dia fasal amalkan susuk berlian semata-mata mahu memikat lelaki muda.
Sebab itu dia desak Sapar Tenjot tidak benarkan emaknya jejak kaki ke rumahnya kalau masih mahu beristerikan dia.  Memang Sapar Tenjot sanggup lakukan apa sahaja disebabkan tidak mahu berpisah dengan Embok Sinah.  Terpaksa dia memujuk emaknya supaya tidak jejak kaki ke rumahnya disebabkan Embok Sinah tidak mahu menatap muka emaknya.
Tersinggung benar hati Utih Bisah dengan sikap Embok Sinah melarang dia menemui anaknya sendiri.  Tidak benarkan dia menemui Sapar Tenjot samalah maknanya Embok Sinah sudah membodohkan anaknya.  Dia tidak mahu anaknya dibodohkan Kak Sinah tegas saya mengisar tapak tangan menyebabkan dia tesedu-sedu menangis.
“Susuk berlian Ibek Tuminah tak ganggu siapa pun,”  jelas Embok Sinah mengakui susuk berlian berkenaan tidak mengganggu.  Tetapi perasaannya bertukar menjadi angkuh setelah ramai lelaki terpikat akibat susuk berlian yang ditusukkan ke pipinya itu.
Akibat keangkuhannya itulah dia sanggup gunakan santau membalas dendam kepada emak mentuanya Utih Bisah sengaja mahu memisahkan dia dengan Sapar Tenjot.  Memang dia tidak peduli apa pun berlaku asal  sahaja kemahuannya tidak dibantah oleh sesiapa pun.
Lama saya tenung wajahnya semakin gelisah Embok Sinah.  Dia tersengguk-sengguk menangis apabila kenang perbuatannya gunakan santau membalas dendam hingga emak mentuanya terbatuk-batuk sesak nafas.  Terbayang di depannya betapa Utih Misah mengurut-urut dada akibat bisa santau meresap ke jantung.  Tatkala Sapar Tenjot kelam kabut carikan bomoh mengubati emaknya, Embok Sinah sengaja mendiamkan diri sahaja.
Asal sahaja dendamnya sudah berbalas dia tidak peduli sama ada Utih Bisah menderita atau tidak.  Biarlah perempuan itu terbatuk-batuk sesak nafas menahan bisa santau meresap ke dalam tubuh.  Hatinya puas setelah dendam kesumat yang sekian lama terpendam dapat dibalas juga.
Siapa pun tidak tahu mengenai bias santau yang meresap dalam dada Utih Bisah.  Masakan Sapar Tenjot boleh menuduh sekiranya tidak melihat sendiri dia melakukan demikian.  Sapar Tenjot berkeras dengan amalan ubat guna-guna hingga menurut sahaja kemahuan laksana kerbau ditindik hjidung di tengah kubang.
Sebab itu dia serbu rumah Embok Sinah, lantas sahaja diungkit fasal menantunya gunakan susuk berlian.  Memang Embok Sinah tidak membantah apa-apa semasa Utih Bisah mencerca dia.  Terpaksa pula Sapar Tenjot berkeras meminta emaknya tinggalkan sahaja rumah kalau semata-mata mahu memporak-perandakan rumah tangganya.
Semenjak bergaduh sampai tuduh menuduh itulah hati Embok Sinah semakin berdendam.  Apabila dia mahu menggeleng kepala segera saya bacakan al-Fatihah tiga kali menyebabkan dia tersengguk-sengguk menahan sebak dada.  Dalam suasana terharu Embok Sinah terpaksa tunjukkan kepada saya bagaimana dia gunakan serbuk santau disebabkan tidak tertahan dengan kebencian yang meluap-luap terhadap emak mentuanya.
Selepas serbuk santau dimasukkan ke dalam tempayan beras Utih Bisah, hanya beberapa bulan selepas itu emak mentuanya termengah-mengah diganggu sesak nafas.  Lama Utih Bisah diganggu batuk kering bertgerusan, dia menutup matanya dalam keadaan menderita sakit sesak nafas berbulan-bulan.
“Utiah Bisah meninggal dunia bukan disebabkan batuk kering?”  segaja saya mendesak dia.
“Tidak, saya yang bubuh santau dalam tempayan berasnya!”  beritahu Embok Sinah terkial-kial berdiri di atas tempayan beras.  Ketika ini asap berkepul-kepul dari dalam tempayan beras bagaikan terjerang di atas tungku dengan api menyala hangat di bawahnya.
“Jadi, bukan susuk berlian mahu menuduh pun bila-bila dia sanggup berpisah.  Apa sangat dengan Sapar Tenjot kalau bandingkan ramai lelaki yang mudah terpikat pada dirinya.
Tetapi dia tidak kekal lama juga dengan Sapar Tenjot.  Apabila lelaki itu tiba-tiba diganggu penyakit tidak siuman, mereka berpisah juga.  Tidak lama selepas emaknya meninggal dunia, Sapar Tenjot merasakan dia bersalah biarkan emaknya terlantar sakit semata-mata ikutkan kemahuan isterinya.  Lama kelamaan dia meracau tidak menentu hingga hilang ingatan.
“Orang tak Nampak Kak Sinah aniaya emak mentua, tetapi Allah Maha Melihat,”  ujar saya lantas membacakan al-Fatihah tiga kali dan menghembuskan ke ubun-ubunnya.
Dia menangis apabila ingatkan kejadian Utih Bisah terbatuk-batuk sesak nafas itu.  Kesal sangat dia dengan perbuatan yang telah terlanjur demikian.  Tatkala dia mandi air yang didoakan oleh Haji Kadri memang terasa seluruh badannya pedih laksana luka terhiris disimbah air cuka.  Tetapi Embok Sinah tidak beritahu sesiapa mengenai kejadian yang dialaminya itu.
Sebaik sahaja dia mandi air berkenaan terus sahaja Embok Sinah muntah terjeluih, hingga nampak kilau jarum berlian jatuh bersepah.  Tetapi kilauan jarum berlian itu hilang serta merta setelah rasa memual perutnya beransur hilang.  Belum pun sempat di beralih duduk sekaligus pula buang air besar tidak dapat ditahan-tahan.
Tiga pagi berturut-turut dia mandi air yang didoakan oleh Haji Kadri, tiga pagi pula Embok Sinah mengalami kejadian yang sama.  Dia tidak peduli fasal kilauan jarum berlian tersembur bersama muntah atau terpaksa buang air besar tidak bertahan-tahan, asal sahaja penyakitnya sembuh sudah mencukupi!
Memang dia merasa segar setelah tiga pagi berturut-turut dimandikan air doa Haji Kadri.  Setelah terasa badannya sembuh pulih teringin sangat dia mahu menemui Haji Kadri.  Apa salahnya menjemput Haji Kadri hadir kenduri doa selamatnya disebabkan penyakit sudah sembuh.
Tetapi kepalanya terasa pening sebaik sahaja Mat Johar ke Sungai Manik menjemput Haji Kadri.  Lama dia mengidap rasa pening itu lantas sahaja kepalanya berputar menyebabkan dia jatuh terduduk.  Selepas itulah Meliah menjadi rusuh apabila keadaan emaknya semakin tenat.  Embok Sinah mula terkejang tidak dapat bergerak akibat terlalu lemah tidak bertenaga.
“Apa pandang ustaz?”  segera Kimin Dobok menatap muka saya sebaik sahaja saya berundur sedikit ke belakang dari sisi Embok Sinah.
“Penyakit lama dia agaknya tu, ustaz!”  Meliah pula mencelah apabila saya tidak menyahut apa-apa.
Saya sekadar tersenyum sahaja.  Tetapi Meliah seolah-olah berasa hairan apabila saya bertanyakan mengenai Sapar Tenjot dan Utih Bisah.  Mengeluh pendek Meliah apabila saya tanyakan juga mengenai Usup Gonjeng, Haji Basudi dan Wak Lijat.
“Ustaz kenalkanm mereka semua tu?”  ujar Mat Johar tersengih-sengih mendesak saya.
“Manalah ustaz ni kenal, dia cuma nak tahu aje!”  segera Kimin Dobok ingatkan adiknya supaya tidak mendesak.  Memang Kimin Dobok tahu tatkala saya terconggok lama di sisi Embok Sinah, semuanya telah diberitahu.  Hanya mereka yang melihat Embok Sinah ketika itu nampak perempuan itu sekadar merungut-rungut tidak menentu.
Dalam masa Embok Sinah terkebil-kebil mata dengan keadaan tubuhnya terkejang tidak bergerak, saya melihat pelupuk matanya basah.  Dia mengerling kearah saya cuba tersenyum sekalipun dalam keadaan payah. Lantas saya berkisar punggung mendekatinya.  Perlahan-lahan saya bacakan:
Ya-aiyuhannafsul muth-ma-innatur, irr ji’i-ila rabbika radhiyatam murdhiaytan, fadkhuli fi-’ibadi, wadkhuli jannait.
Tatkala saya hembuskan ke  dahinya Embok Sinah seolah-olah mengangguk perlahan.  Kemudian saya memberi isyarat kepada Kimin Dobok supaya meminta mereka yang terconggok di situ sama-sama membacakan Yasin.  Serentak dengan itu pula Kimin Dobok mula membacakan Yasin diikuti oleh jiran-jiran yang datang menjengah sama.
Apabila saya memegang jari Embok Sinah terasa dia mengenggam erat tangan saya, sekalipun jari jemarinya sejuk laksana tangan mayat terbujur.  Dalam masa mereka membacakan Yasin inilah saya rasakan jari saya ditusuk jarum halus berulang kali.  Sebaik sahaja tusukkan jarum itu tidak terasa lagi, Kimin Dobok memberi isyarat Embok Sinah sudah menutup matanya rapat-rapat.

SELESAI