Sunday, June 5, 2016

179. DIGANGGU PELESIT TUJUH KETURUNAN




HAMPIR sahaja jiran seisi kampung berebut-rebut melihat barang-barang kemas berserak hingga ke tangga rumah Itam Suging. Tetapi segera dilarang tok ketua setelah menyedari barang-barang kemas berkenaan kepunyaan Haji Derani. Memang sebaik sahaja terjaga bangun solat subuh Haji Derani sudah diberitahu oleh isterinya yang terkejut dengan kehilangan barang-barang kemas di dalam almari.

Sewaktu Hajah Rodimah membuka almari mahu mencapai telekung yang tersimpan, dia mendapati kotak berisi barang-barang kemas tidak ada di dalam laci. Duit yang disimpan bawah lipatan kain juga berbekas diambil orang.Siapa pula yang boleh membolos mencuri masuk kalau semua pintu dan tingkap berkunci kukuh?

Tetapi Haji Derani sudah mengesyaki memang perbuatan mereka yang amalkan ilmu syaitan. Siapa lagi yang boleh melakukan perbuatan demikian kalau bukan mereka yang amalkan ilmu syaitan untuk memncari kesenangan duniawi.

Tatkala seisi kampong menuduh Tok Aji menyimpan toyol, sengaja Haji Derani mengusik disebabkan mereka seringkali bertemu di surau. Manalah tahu sekiranya Tok Aji baru jejak kaki ke kampung tersebut dari tanah seberang memang menyimpan toyol. Apa lagi mereka di kampung berkenaan percaya hanya mereka yang datang dari tanah seberang sahaja ghairah amalkan kebatinan.

“Kalau saya simpan toyol, buat apa teruk-teruk buat kerja kopek kelapa!” tersenyum Tok Aji beritahu Haji Derani sebaik sahaja mereka selesai solat subuh di surau.

Haji Derani mengangguk perlahan.  Dia percaya pengakuan Tok Aji memang ikhlas. Semenjak datang jejak kaki ke situ Tok Aji ambil upah kopek kelapa sahaja di kebun Haji Derani. Lainlah Sumaleh yang masih muda boleh ikut orang bersampan ke laut menjaring ikan.

Tetapi Tok Aji bisikan juga kepada Haji Derani mengenai amalannya bangun solat tahajud tengah malam memohon Allah lindungkan kampung berkenaan dari kejahatan manusia dan syaitan. Dia percaya sesiapa yang amalkan syaitan itu sudah di hinggapi kudis tokak seluruh badan. Memang Tok Aji dapat mengagak keadaan orang yang amalkan sebagai pembalasan di dunia, sekalipun dia tidak cam siapa orang yang mengamalkannya.

Memang dia dapat  meneka dengan tepat.  Lagi pun bukan mudah mahu menuduh seseorang itu dihinggapi kudis tokak seluruh badan, sekiranya orang itu berpakaian litup.  Lainlan kalau orang itu berlenging tidak berbaju hingga boleh nampak kulit belakang atau celah ketiaknya dipenuhi kudis tokak sampai mengangkut nanah!

“Tetapi kejadian duit hilang di kampung ni, bukan perbuatan toyol,”  jelas Tok Aji dalam keluhan pendek.

“Kalau bukan toyol, perbuatan siapa pula?” hairan juga Haji Derani apabila kenangkan cerita orang tua-tua mengenai kepintaran toyol menyusup masuk ke dalam bilik tidur mencuri duit atau barang-barang kemas.

"Mungkin mereka gunakan puja," Tok Aji cuba mengagak kerana dia sendiri bukanlah dapat memastikan cara mana amalan itu dibuat.

Perkara puja memang boleh lakukan dengan berbagai cara amalan seperti diturunkan oleh guru masing-masing. Kalau gunakan puja sudah tentu orang itu amalkan perbuatan yang mungkar sampai sanggup menggali kubur lama. Dia akan mengambil tulang rusuk dari dalam kubur dengan sekepal tanah di bahagian kaki.

Tulang tersebut akan ditumbuk halus ditapa tujuh malam di atas kubur yang telah digali juga. Dia akan ambil kain kapan mayat di dalam kubur sekali pun sudah reput. Kain tersebut digunakan membungkus serbuk tulang dengan kepalan tanah yang diambiI di liang lahad berkenaan.

Memang sesiapa yang berakal tidak sanggup melakukan perbuatan keji demikian. Tetapi orang yang sanggup amalkan amalan demikian disebabkan hati mereka didorong oleh hasutan syaitan yang mahu memusnahkan kehidupan manusia. Mereka bersedia melakukan apa sahaja asalkan sentiasa berdamping dengan syaitan yang menjanjikan indah-indah belaka segala perbuatan yang buruk.

"Saya pun tak tahu, sama ada amalan macam ni ada atau tidak, Tuan Haji," segera Tok Aji menerangkan disebabkan Haji Derani bertambah hairan. Sukar juga dia mahu menjelaskan kepada Haji Derani mengenai apa yang diberitahunya itu sekadar melihat seperti bayang-bayangan sahaja selepas dia selesai solat tengah malam.

Sebab itu dia enggan bercerita sangat kerana bimbang akan dituduh mahu memfitnah sahaja.

Kalau tidak disebabkan Haji Derani mendesak memang Tok Aji tidak akan beritahu apa-apa pun mengenai bayangan yang melintas di depannya semasa dia terpegun di atas tikar sembahyang tengah malam. Lintasan bayangan itulah yang dilihatnya mengenai lelaki yang sanggup mengorek kubur lama semata-mata amalan yang dituntutnya.

Apabila diberi tahu oleh tok ketua mengenai peti kayu berisi barang kemasnya ditemui berhampiran rumah Itam Suging, macam tidak percaya Haji Derani kerana barang-barang kemasnya berserak sampai ke tangga rumah. Sewaktu dia menjengah mayat memang seluruh tubuh Itam Suging dipenuhi kudis tokak. Sekiranya tidak berbekas calar balar bagai dicakar kuku binatang liar, memang kudis tokak itu macam kelihatan reput tubuh mayat berkenaan.

Mengeluh panjang Haji Derani dengan keadaan mayat Itam Suging. Tetapi dia juga tidak berani menuduh Itam Suging amalkan amalan yang disebut oleh Tok Aji. Siapa yang mahu percaya kalau tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Selepas kematian Itam Suging seisi kampung tidak lagi gelisah dengan kejadian rumah diselongkar toyol. Kalau mahu dituduh Itam Suging amalkan toyol, tidak ada pula tanda-tanda dia amalkan. Tahu sangat Wak Tobak tanda-tanda orang amalkan toyol tentu ada kolam kecil di belakang rumahnya tempat toyol berendam.

Siapa tidak tahu mengenai kemampuan Wak Tobak menewaskan amalan toyol dengan tidak perlu rentangkan jala buruk di pintu bilik. Wak Tobak akan letakkan air yang dijampi dalam geluk dibubuh bunga raya dan jantung pisang sahaja. Bila-bila sahaja toyol akan menyerbu menghirup air yang disediakan sebaik sahaja membolos masuk.

Tatkala toyol menghirup tidak bertangguh nescaya kerengkungnya akan terbakar laksana menelan bara tengah merah menyala. Ketika ini lembaga toyol akan tergolek di lantai hingga boleh dilihat oleh sesiapa pun. Memang siapa pun tidak akan dapat melihat lembaga toyol sewaktu tempat menyimpan duit diselongkar, disebabkan amalan syaitan bukan dapat dinilai dengan mata biasa.

Tetapi lembaga toyol akan menggelepar tidak bertahan sebaik sahaja minum air yang sudah dijampi oleh Wak Tobak. Semenjak seisi kampung gelisah dengan kejadian toyol menceroboh, mereka sudah meminta Wak Tobak membantu. Beberapa kali Wak Tobak jampikan air dalam geluk dibubuh bunga raya dengan jantung pisang, namun gangguan duit hilang itu berterusan juga.

"Allah Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," tutur Haji Derani perlahan sewaktu memujuk Tok Aji supaya tidak berpindah dari kampungnya. "Apa salahnya adik Aji menetap saja di sini," ujarnya keberatan mahu melepaskan Tok Aji setelah menyedari mudah sangat Tok Aji merajuk.

Bagaimana pun dia tidak dapat menghalang keputusan Tok Aji yang sudah bulat mahu meninggalkan Pontian. Dia sendiri tidak menjelaskan ke mana akan jejak kaki. Disebabkan Tok Aji berpindah, Sumaleh juga mengambil keputusan mencari tempat penghidupan baru.

Ketika itu tidak banyak masalah sekiranya berpindah ke mana-mana. Asal sahaja rajin berusaha mereka mudah mencari tempat menetap. Sewaktu Tok Aji terus ke Kota Tinggi, Sumaleh tidak meneruskan perjalanan ke sana. Dia hanya mengambil keputusan bekerja estet di Kluang sahaja.

"Orang muda macam Sumaleh, di mana-mana pun boleh cari kerja," ujar Tok Aji menjelaskan keputusannya kepada Haji Derani setelah sama-sama berkeras dengan Sumaleh mahu berpindah.

"Tapi bila senang-senang, jengah jugalah kami," Haji Derani ingatkan mereka berdua. Memang Sumaleh juga keberatan mahu berpindah kalau  sekadar mahu mencari kerja di estet. Ikut sampan ke laut menjaring ikan juga boleh menampung hidupnya. Tetapi hatinya tidak senang mahu terus menetap di situ disebabkan Tok Aji berpindah akibat dituduh menyimpan toyol. Sewaktu dia jejak kaki di situ memang bertumpu di rumah Tok Aji, sebab itu dia merasakan apa yang berlaku ke atas Tok Aji samalah seperti menimpa dirinya juga.

"Sumaleh ni bukan orang muda sebarangan, Tuan Haji," tersengih-sengih Tok Aji mengusik lantas mengerling Sumaleh tengah berkemas-kemas membungkus barang-barangnya.

"Memang saya sudah agak begitu," sahut Haji Derani tersenyum.

Sekali pun Tok Aji tidak berterus terang, tetapi dia dapat mengagak tentu Sumaleh tahu mengenai kejadian yang menimpa Itam Suging. Memang Tok Aji sekadar menjelaskan tentu Sumaleh tahu mengenai keluang yang merobek-robek tubuh Itam Suging. Hingga Sumaleh juga terkejut disebabkan semua pengalaman tatkala menghambat lembaga hitam berkudis seluruh badan dengan lembaga bayi itu diketahui oleh Tok Aji.

Tersengih-sengih Sumaleh apabila diberi tahu oleh Tok Aji dia bermimpi melihat Sumaleh menjadi jaring terentang. Sekali gus pula jaring terentang itu memerangkap lembaga berkenaan yang bertukar menjadi keluang meranduk kegelapan malam.

"Mimpi tu mainan tidur, abang Aji," segera Sumaleh memintas supaya Tok Aji tidak meneruskan. Dia percaya Tok Aji bukan bermimpi tetapi telah melihat semua kejadian dengan jelas. Sebab itu dia tidak mahu Haji Derani mengetahui lebih banyak lagi mengenai kematian Itam Suging.

Tentu Haji Derani seolah-olah diperolokkan sekiranya dikatakan Sumaleh menjelma menjadi jaring terentang. Dua lembaga yang menceroboh masuk ke rumah Haji Derani terkial-kial terperangkap dalam jaring terentang dalam kegelapan malam. Selepas dua lembaga itu ditewaskan akibat jaring yang melemaskan, tidak bertangguh Sumaleh memerintahkan supaya barang-barang kemas diserakkan.

Biarlah barang-barang kemas diserakkan hingga ke kaki tangga Itam Suging menjadi pedoman orang kampung kalau mahu menjejaki siapa amalkan amalan syaitan. Tidak pula diduga oleh Sumaleh dua lembaga yang terperangkap itu tiba-tiba menjadi berang. Lantas sahaja dua lembaga itu menjelma menjadi keluang terus menerpa ke arah Itam Suging.

Dia percaya tentu Tok Aji tahu semua kejadian tersebut. Memang Tok Aji yang berdoa biar Itam Suging tidak menanggung malu berterusan sekiranya orang-orang kampung menuduh dia amalkan toyol. Apalagi Wak Tobak sudah berusaha memerangkap toyol tersebut, tetapi tidak siapa pun yang amalkan toyol.

Haji Derani juga tahu mengenai Wak Tobak tatkala mula-mula dia datang jejak kaki ke situ. Ketika ini memang orang-orang kampung diganggu toyol hingga tidak senang diam simpan duit di dalam gobok. Tidak segan-segan Wak Tobak menawarkan diri mahu memerangkap toyol berkenaan.

Wak Tobak dapat ikatkan karung tepung ke kaki toyol hingga orang-orang kampung boleh melihat karung itu terapung-apung seolah, diheret. Sengaja bucu karung itu dibocorkan hingga tepung terburai sepanjang jalan hingga sampai ke kaki tangga Tok Mangga.

Semasa orang-orang kampung menyerbu mengekori tepung, yang berserak di sepanjang jalan, mereka sampai ke kaki tangga rumah Tok Mangga. Apabila orang-orang kampung menuduhnya menyimpan toyol, lantas Tok Mangga memberang marah. Siapa yang melihat toyol kalau sekadar menuduh tidak ketahuan.

Memang orang-orang kampung tidak pernah melihat toyol. Lainlah toyol itu berkeliaran macam anak-anak nakal meranggah buah masak ranum di dusun. Sebab itu Tok Mangga boleh berkeras menafikan tuduhan yang dianggapnya mahu memfitnah.

Tetapi Tok Mangga tidak boleh berbohong di depan Wak Tobak yang menunjukkan ke arah ibu jari kakinya yang kecut seolah-olah dinyonyot semenjak bertahun-tahun. Bukan takat ibu jari kaki Tok Mangga sahaja kecut dinyonyot, tetapi dia semakin gementar apabila menyedari toyol peliharaannya sudah dicekak tengkuk oleh Wak Tobak.

Terkial-kial lembaga kecil macam bayi itu apabila kakinya bersilang dengan kepala tertonggeng ke bawah, semasa Wak Tobak menekan ibu jari kaki ke tanah. Ketika ini Tok Mangga juga merasa sesak nafas hingga tercungap-cungap tidak menentu.

Memang orang-orang kampung tidak melihat toyol di mana-mana dalam saat Tok Mangga gelisah menahan sebak dada. Ketika ini Wak Tobak sekadar tercegat sahaja dengan mata tajam merenung ke arah Tok Mangga. Setiap kali toyol cuba bersembunyi di sebalik tubuh Tok Mangga, semakin kelam kabut dia disebabkan pakaiannya juga hampir terlondeh.

Toyol terus memaut kuat di tengkuk Tok Mangga mahu berIindung daripada tenungan Wak Tobak yang membahang panas.Sebab itu toyol terpaksa berlindung mengelakkan daripada terjahan panas yang membahang laksana mata parang dikilir ke leher.

"Cukuplah Tobak, lepaskan anak aku tu," ujar Tok Mangga mengalah menyebabkan orang-orang kampung hairan dengan tuturnya apabila melihat Wak Tobak sekadar tercegat berdiri sahaja.

"Kalau lepaskan, nanti dia mengganggu lagi!" sahut Wak Tobak mencebek bibir setelah melihat lembaga toyol berpaut kuat di tengkuk Tok Mangga.

"Biarkan anakku pergi, dia tak akan mengganggu lagi," Tok Mangga tidak dapat berdalih setelah diperangkap oleh Wak Tobak.

"Tok Mangga kenalah berjanji dengan orang-orang kampung!" seru Wak Tobak tidak berganjak dari tengah halaman dengan ibu jari kakinya terus menekan ke tanah.

Terpaksa Tok Mangga mengakui dia menyimpan toyol yang mengganggu di dalam kampung. Tiga hari sahaja  selepas Wak Tobak menyerbu ke rumahnya bersama orang-orang kampung, terus sahaja Tok Mangga berpindah meninggalkan kampung tersebut.

Sebab itu orang-orang kampung mendesak supaya Wak Tobak menetap sahaja di situ. Hinggalah kejadian yang berlaku semasa Tok Aji bersama Sumaleh menetap di situ sampai disyaki menyimpan toyol, orang-orang kampung berharap Wak Tobak dapat perlakukan seperti Tok Mangga. Biarlah Tok Aji merayu meminta maaf kepada seisi kampung kerana cuba mengganggu dengan amalan toyol.

Tetapi Wak Tobak mengakui Tok Aji tidak amalkan toyol. Dia juga tidak tergamak mahu menuduh sesiapa setelah jampi serapahnya tidak dapat menghalang gangguan kecurian terus juga berlaku. Sekalipun Wak Tobak sudah mengakui Tok Aji tidak amalkan toyol, tetapi seisi kampung tetap juga mengesyaki.

Setelah kejadian menimpa Itam Suging diketahui orang-orang kampung, Tok Aji merasa dia sudah dapat membersihkan namanya daripada dicemar. Sebab itulah dia meninggalkan kampung berkenaan setelah dapat membersihkan dirinya. Biarlah kenangan pahit sewaktu menetap di kampung itu dibawanya bersama ke mana-mana.

"Semua yang berlaku itu ada hikmahnya dari Allah," bisik Sumaleh perlahan sengaja mahu mengelak supaya saya tidak bertanyakan pengalamannya semenjak di Solok Manggis.

Saya mengangguk-angguk. Sumaleh yang saya panggil Pak Suma itu sengaja mahu melupakan kenangan silamnya. Apalagi kalau ingatkan peristiwa tunangnya Masinah ketakutan asal sahaja disebut namanya. Manalah gadis seperti Masinah dapat bertahan kalau melihat sendiri tunangnya bertukar menjelma menjadi ular sawa besar berlingkar.

Tetapi Pak Suma bukan sengaja mahu menunjuk-nunjuk. Kalau tidak disebabkan terpaksa pertahankan diri akibat ancaman Tonel, memang dia tidak mahu lakukan demikian. Masakan boleh tewaskan Tonel semata-mata dengan tenaga biasa sahaja.

Tentu Tonel tidak bimbang takat ditetak dengan parang tajam mata berkilat. Bila-bila sahaja Tonel akan biarkan dadanya ditetak mata parang hingga terbelengot macam timah disepuh. Disebab dia amalkan kebal tidak lut senjata itulah Tonel berani mencabar sesiapa pun.

Tatkala Tonel bergomol mencekak lehernya hampir juga Pak Suma tidak dapat bernafas. Lantas dia memusatkan fikirannya memerhati ular sawa yang berlingkar di dalam belukar, hingga terasa seluruh badannya ditumbuhi sisik keras. Saat ini Pak Suma tahu dirinya sudah menjelma menjadi seekor ular sawa yang garang mahu menyambar musuh.

Asal sahaja dia memusatkan fikiran melihat binatang lain di depannya nescaya dalam sekelip mata sahaja dirinya bertukar. Segera dia menjadi helang terbang ke udara, apabila Tonel sudah mendapat akal mahu menewaskan ular sawa. Tatkala Tonel semakin nekad mahu membunuhnya, tidak bertangguh Pak Suma ingatkan kerbau jantan yang boleh merempuh kuat.

Tidak pernah pun terniat dalam hati Pak Suma mahu menunjuk-nunjuk kepada penduduk kampung dia boleh menewaskan Tonel. Apa sangatlah tewaskan Tonel kalau takat kebal tidak lut senjata sahaia, kalau bandingkan dengan malu yang ditangguhnya.

Betapa kecewanya dia apabila dituduh Masinah dirinya seekor ular sawa yang akan menelan mangsa. Tentu Masinah takut kepadanya kerana bila-bila masa sahaja akan bertukar menjadi ular sawa. Tidak bertangguh ular sawa yang sudah berlingkar di sisi itu akan membelit mahu menelan isi tembolok.  Saat itu Pak Suma memang jelmaan ular yang tidak berfikiran seperti manusia yang tahu rasa belas kasihan.

"Kalau tidak disebabkan kejadian di Solok Manggis," tegas Pak Suma menahan rasa terharu yang menusuk jiwanya, "Tentu saya tak bertemu dengan Abang Aji," dia mengakui pertemuan dengan Tok Aji banyak mengubah hidupnya apabila jejak kaki ke Tanah Melayu.

Dia tahu Tok Aji mengajar di madrasah di Bukittinggi sebelum berpindah ke Bangkinang. Lama juga Tok Aji di Jambi mengajar di madrasah hingga diburu Belanda ke mana sahaja dia menetap. Setelah tidak dapat mengelakkan diri daripada ancaman Belanda, terpaksa juga Tok Aji menumpang kapal barang menyeberang ke Tanah Melayu.

Tatkala sampai di Singapura, Tok Aji tidak peduli akan kedudukannya menjadi guru madrasah di Bukittinggi. Dia sanggup bekerja di mana-mana pun sekali pun membantu berjualan di pasar. Apabila dia berpindah ke Pontian, Tok Aji juga sanggup mengopek kepala di kebun Haji Derani. Tetapi Haji Derani dapat mengagak memang Tok Aji pernah mengajar di madrasah sekalipun dia sengaja berdalih.

"Abang Aji tak sama dengan saya," jelas Pak Suma setelah saya beritahu mengenai Tok Aji sudah meninggal dunia.

Memang menitik air matanya apabila kenang Tok Aji setelah bertahun-tahun tidak ditemui. Hanya beberapa kali sahaja mereka bertemu di Tangkak, sebelum Tok Aji berpindah ke kampung Nenek Aji. Apabila Pak Suma juga berpindah dari Tangkak terus menetap di perkampungan melalui jalan balak itu, hubungan mereka terus terputus langsung.

Kalau tidak disebabkan Kadir Misai sudah beberapa kali menemui Pak Suma di kampung pedalaman itu, memang saya sendiri tidak dapat menjejaki dia di situ. Lainlah macam Wak Samin di Endau memang Tok Aji sendiri tahu tempat tinggalnya. Mudah sahaja saya menemui kawannya yang sudah terpisah lama sejak bertahun-tahun itu.

Tetapi Pak Suma tidak diketahui di mana dia menetap. Tok Aji sekadar memberitahu mengenai Pak Suma adik angkatnya semasa sama-sama menetap di Pontian. Apabila saia beritahu Kadir Misai mengenai adik angkat Tok Aji yang berpisah selepas beberapa kali mereka bertemu di Tangkak, lantas sahaja dia mengagak Pak Suma yang tinggal di kampung pedalaman Itu.

Lagi pun Kadir Misai percaya Pak Suma itu adik angkat Tok Aji disebabkan dia tahu mengenai Tangkak dan Pontian. Sebaik sahaja Kadir Misai sebut fasal Tok Aji, tiba-tiba sahaja dia tertegun bagaikan terkejut daripada tidur nyenyak. Memang siapa pun tidak mengenali dia disitu kalau tanyakan Sumaleh, kerana mereka di situ memanggilnya Pak Suma sahaja.

Kadir Misai jejak kaki ke situ pun setelah diberitahu oleh sepupunya Mat Tera mengenai isterinya diganggu pelesit. Tetapi Kadir Misai tidak perlu tergesa-gesa ke kampung berkenaan setelah Misah dapat dipulihkan. Semenjak berbulan-bulan Misah menanggung kesakitan kepalanya berdenyut asal sahaja matahari tegak di kepala, puas juga Mat Tera bawa menemui doktor.

Setelah diberi ubat oleh doktor memang penyakit kepala berdenyut Misah itu beransur hilang. Tetapi takat dua tiga hari sahaja penyakitnya sembuh, Misah diganggu sakit kepala berterusan. Disebabkan jiran-jiran menyuruh dia menemui Pak Suma di hujung kampung, Mat Tera tidak bertangguh ke sana.

Dalam saat demikian Mat Tera tetap mematuhi apa sahaja pandangan jiran-jiran, kerana dia sendiri semakin buntu benak setelah penyakit kepala yang dihidapi Misah tidak juga beransur sembuh. Lagi pun apa salahnya mencuba berubat kampung dengan jampi mentera sekiranya serasi.

Sewaktu dia membawa Misah ke rumah Pak Suma tiba-tiba sahaja isterinya berkeras tidak mahu naik ke rumah. Puas dipujuk Mat Tera pun Misah tetap tidak mahu jejak anak tangga. Hairan juga Mak Ibah isteri Pak Suma disebabkan Misah tidak mahu naik ke rumah.

Setelah Mat Ibah memujuknya barulah Misah mahu naik ke rumah.Terus sahaja Mat Tera beritahu mengenai penyakit yang dihidapi Misah sebaik sahaja duduk berdepan dengan Pak Suma. Memang Pak Suma juga tidak dapat mengagak penyakit yang mengganggu Misah.

Kalau sudah dibawa berjumpa doktor pun sakit kepala berdenyut-denyut tidak boleh sembuh, macam mana Pak Suma mahu mengubati. Sebab itu dia perlu mencari punca penyakit itu terlebih dahulu sebelum dapat menemui ubatnya.

Lantas Pak Suma meminta isterinya sediakan air sejuk satu gelas. Sebaik sahaja dihulurkan oleh Mak Ibah air segelas di depannya, Pak Suma memusing-musing gelas itu sampai tiga kali. Kemudian dia mengusap-usap tapak tangannya ke muka dengan membacakan:

Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim qof, uskun aiyuhal waji' billlazi, in-yasya yuskinir riho fayazlalna rawakida 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sobbaran syakur, walahu masakana fillaili wannhari wahuwas sami'ul 'alim.

Air dalam gelas itu segera dihulurkan kepada Misah. Tidak bertangguh Mat Tera membantu isterinya meneguk air yang sudah didoakan oleh Pak Suma. Sebaik sahaja Misah meneguk air di dalam gelas dia terjerit seolah-olah menghirup air tengah panas menggelegak.

"Nak bunuh aku ke, air ni panas menggelegak!" gerutu Misah mula merentap-rentap rambut.

"Eh, kenapa pula isteri saya ni, Pak Suma?" Mat Tera cemas dengan keadaan isterinya berguling di lantai dengan merentap rambut sendiri.

"Tak apa, kita tengokkan dulu," ujar Pak Suma meminta Mat Tera bertenang.

"Mat Tera, kau campakkan aku depan ular sawa!" bentak Misah bingkas bangun menuding ke arah Pak Suma.

Tersenyum Pak Suma apabila Misah merungut-rungut ketakutan disebabkan dia melihat ular sawa berlingkar di depannya. Sekejap dia melihat Pak Sumi seperti seekor ular sawa, sekejap bagaikan kerbau jantan mahu meluru mara, sekejap laksana helang mengembang sayap berligar-ligar di udara.

"Mana ada ular sawa di sini," tersenyum Mak Ibah memujuk Misah yang bertambah gelisah.

"Kamu perempuan bodoh Mak Ibah, bersuamikan ular sawa," tiba-tiba sahaja Misah mengilai ketawa mengejek-ejek Mak Ibah.

Apabila dia mahu melompat, Misah jatuh terduduk semula sambil memegang pinggangnya. Dia menggeliat-geliat cemas seolah-olah melepaskan diri daripada belitan ular sawa yang semakin kukuh. Terkial-kial dia memanggil Mat Tera meminta bantuan melepaskan dari belitan tersebut.

Pak Suma hanya duduk sahaja berpeluk tubuh memerhati kelakuan Misah yang terkial-kial memegang pinggang. Mukanya menjadi merah seolah-olah menahan cerutan yang kuat. Berkali-kali dia memukul bahagian pinggang mahu melepaskan cerutan kuat dengan belitan yang kukuh.

"Mat Tera lepaskan aku dari belitan ular ni," rayu Misah terputus-putus suara akibat sesak nafas yang menusuk ke dada.

"Merepek, mana ada ular di sini?" sahut Mat Tera tersengih-sengih kerana menyangka Misah sekadar bergurau.

"Depan kamu ni ular sawa!" gerutu Misah menuding jari ke muka Pak Suma. Sepatah pun Pak Suma tidak menyahut. Dia mengukuhkan duduknya dengan tidak berkedip mata merenung ke tubuh Misah. Kemudian dia terus membaca tiga kali Fatihah diikuti dengan surah al-Ikhlas dan Ayatul Kursi. Setelah dihembus perlahan ke muka Misah, dia meneruskan membaca doa:

 Bal-naqzifu bil-hoqqi 'alal bathili fayad maghuhu fa-izahuwa za-hiqqun, walakumul wailu mimma tasifun.

Sekali gus Misbah menangis mengongoi sayu dengan merentap-rentap rambut disebabkan terlalu marah. Dia berpaling meminta Pak Suma berhentikan membaca doa, lantas terjerit-jerit kepanasan seolah-olah di-kelilingi api marak menyala.

"Ilmu apa yang Pak Suma pakai ni?" rintih Misah terketar-ketar selepas menjerit panjang.

"Jangan tanya ilmu apa, sekarang kamu pergi!" bentak Pak Suma menggertap bibir. Tatkala ini gangguan yang merasuk dalam tubuh Misah tidak dapat berselindung lagi, kerana semuanya dapat dilihat dengan jelas oleh Pak Suma.

"Nak pergi ke mana lagi?" terkekeh-kekeh Misah mengejek lantas mengerling ke arah Mat Tera. Pak Suma tidak mahu melayani helah gangguan yang merasuk dalam diri Misah. Dia terus membacakan Ayatul Kursi sampai 71 kali, hingga Misah mengerekot laksana sotong kering diganggang ke bara api. Terjerit-jerit Misah kepanasan sambil melambai-lambai tangan merayu Pak Suma berhenti membacakan.

Tetapi Pak Suma tidak berhenti selagi belum mencukupi 71 kali. Kalau Misah mahu berdalih dia akan terus bacakan doa biar gangguan yang merasuk merasakan padah kalau terus berdegil dengan Pak Suma.

Terketar-ketar Misah meracau mengakui dia pelesit sejak tujuh keturunan menguasai tanah tapak rumah yang didiami Mat Tera. Setelah melihat Pak Suma menjelma bagaikan seekor ular sawa berlingkar. Misah merasakan dirinya ditolak ke hadapan oleh perempuan tua rambut mengerbang.

Tetapi ular sawa berkenaan tidak pedulikan Misah terjelepoh di lantai. Sepantas kilat ular berkenaan menghampur dengan kepalanya menumbuk ke dada perempuan tua berkenaan. Belum sempat perempuan tua itu mengelak ular sawa jelmaan Pak Suma sudah membelit pinggang-nya.

"Sudah tujuh keturunan aku yang jaga tanah tapak rumah tu," jelas perempuan tua itu terketar-ketar hingga dapat didengar oleh Misah.

"Kau siapa nak tunjuk pandai?" jerkah Pak Suma terus membelit pinggang perempuan tua yang berkedut-kedut kulit.

"Aku ni pelesit Nenek Kibin," ujarnya mengirai-ngirai rambut yang mengerbang hingga Misah tidak dapat mengawal tangannya lantas merentap-rentap rambut sendiri.

Dia beritahu mengenai Nenek Kibin yang meneroka tanah hutan bersama suaminya. Disebabkan tanah yang diteroka itu di pinggir hutan memang tanamannya diganggu binatang Iiar. Jagung tengah bersusu muda akan digonggong kera tidak bersisa. Apalagi pisang atau keledek nescaya akan dibongkar habis oleh tikus atau babi hutan.

Sebab itu Nenek Kibin marah sangat apabila tanamannya musnah. Ketika inilah dia ditemui perempuan kurus dengan rambut mengerbang sewaktu balik dari sungai tatkala senja meremang tiba. Perempuan tua kurus ini berjanji akan membantu Nenek Kibin asal sahaja dia sanggup makan belalang 44 malam berturut-turut.

Setelah memakan belalang yang ditunjukkan oleh perempuan tua kurus itu, memang tanaman di kebun Nenek Kibin tidak diganggu binatang Iiar lagi. Jiran-jiran juga tidak boleh mengambil tanaman di kebunnya kalau tidak diberitahu terlebih dulu. Asal sahaja mereka mengambil tanaman di kebunnya sudah tentu malamnya jiran itu dihurung belalang beribu-ribu hingga terkejang mati.

"Dah lama aku ni, tujuh keturunan," terbatuk-batuk perempuan tua kurus akibat seluruh tubuhnya dibelit ular sawa. "Baru sekarang aku tengok ilmu macam Pak Suma ni?" ujarnya sengaja mahu memujuk agar belitan di pinggangnya dilonggarkan.

Tetapi Misah melihat Pak Suma tidak menyahut apa-apa. Ular sawa jelmaannya terus juga membelit kukuh. Selagi perempuan tua kurus itu tidak menjauhkan diri dari Misah memang belitan ular sawa bertambah kuat mencerut. Dalam masa meronta-ronta itu perempuan tua kurus itu termuntah-muntah hingga terjeluih keluar bangkai belalang berpuluh-puluh ekor.

Ketika inilah Misah juga termuntah-muntah sampai tersembur beberapa ekor bangkai belalang dari mulutnya. Sebaik sahaja Misah habis muntah Pak Suma menghembus ubun-ubun-nya menyebabkan dia tergamang. Terkebil-kebil mata Misah setelah menyedari dia bagaikan dilamun mimpi setelah meneguk air yang didoakan oleh Pak Suma.

"Nanti awak beritahu suami awak, apa yang awak nampak," tersengih-sengih Pak Suma menghantar ke tangga semasa Misah bersama Mat Tera mahu balik.

Semua yang diberi tahu oleh Misah kepada suaminya itu, diceritakan pula oleh Mat Tera kepada Kadir Misai. Setelah termuntah-muntah bangkai belalang itu, tidak pernah lagi Misah diganggu sakit kepala berdenyut-denyut. Dia sendiri hairan bagaimana bangkai belalang itu boleh memenuhi perutnya kerana tidak pernah pun dia menjamah belalang di mana-mana.

"Mainan syaitan, macam-macam cara!" gerutu Kadir Misai setelah mendengar penjelasan sepupunya Mat Tera.

Disebabkan gangguan itu bimbang juga Mat Tera mahu menetap di tapak rumah berkenaan. Semasa dia membeli tanah tersebut yang dipenuhi belukar senduduk harganya terlalu murah. Tidak siapa pun mahu membelinya sekalipun tidak sampai empat ratus ringgit seekar.

Pak Suhur tidak sanggup mahu bangunkan tanah peninggalan nenek moyangnya sejak bertahun-tahun sekalipun memang banyak pokok buah-buahan di situ. Setelah berpindah di kampung luar Pak Suhur tidak larat mahu menjengah dusun jauh di hulu kampung. Kadang-kala buah rambutan luruh ke perdu pokok tidak ada siapa mahu meranggah.

Bukan buah rambutan sahaja habis luruh tidak berkutip, buah langsat, buah cempedak atau buah manggis juga gugur ke bumi Sebab itu Mat Tera tidak mahu tawar menawar tatkala membeli tanah dusun banyak pokok buah-buahan itu.

Kalau mahu dikira pokok-pokok tersebut bukanlah lama sangat tumbuh di dusun berkenaan. Tanah berkenaan sudah ditebang tebas semula oleh arwah ayah Pak Suhur, kemudian ditanam pokok-pokok baru. Memang tidak rugi apa-apa Mat Tera mengambil keputusan sambil membeli tanah dusun berkenaan.

Setelah menyedari gangguan pelesit itu lantas sahaja Mat Tera menemui Pak Suhur di kampung luar. Memang Pak Suhur mengakui dia keturunan Nenek Kibin, tetapi tidak tahu menahu langsung mengenai gangguan tanah berkenaan. Dia jualkan tanah dusun tersebut disebabkan tidak berupaya mahu menjengahnya tatkala buah-buahan tengah bermusim.

Tetapi Kadir Misai mendesak Mat Tera jangan mengalah dengan gangguan syaitan sampai mahu tinggalkan rumah yang sudah dibina di atas tanah berkenaan. Apa sangat dengan syaitan kerana gangguannya tidak akan berkesan apa-apa selagi Aliah tidak izinkan.

"Pak Suma ni, Pak Sumaleh ke?" segera Kadir Misai mengujinya setelah beberapa kali dia menemui orang tua berkenaan.

Tertegun Pak Suma sambil menghela nafas apabila disebut oleh Kadir Misai mengenai Sumaleh. Sukar dia mahu mengakui kerana jiran-jiran di situ semuanya mengenali dia dengan panggilan Pak Suma. Tidak siapa pun mengenali dia Sumaleh setelah berpindah dari Tangkak sejak berpuluh tahun sebelum itu.

"Kenapa awak tanya macam tu?" perlahan Pak Suma menatap muka Kadir Misai.

"Kalau betul Pak Sumaleh, tentu ustaz saya ingin nak jumpa," lantas sahaja Kadir Misai menjelaskan.

"Siapa ustaz awak tu?" semakin hairan Pak Suma mahu mengetahui rahsia pertanyaan Kadir Misai. 

"Dia tu cucu Tok Aji, katanya Tok Aji pernah beritahu adik angkatnya Pak Sumaleh," ujar Kadir Misai tersengih-sengih apabila kenangkan Pak Suma ditinggalkan tunangnya Masinah disebabkan menjelma menjadi ular sawa tengah garang mahu membelit lawan.

Ketika ini Kadir Misai melihat Pak Suma mengesat pelupuk matanya. Dia mengakui memang dia Sumaleh yang pernah menetap di beberapa tempat sebelum sampai di kampung berhampiran laluan jalan lori balak itu. Sebaik disebut mengenai Tok Aji dia menggeleng-geleng kepala bagaikan terkilan tidak dapat menemui kawannya itu.

Tatkala mula-mula saya jejak kaki di rumahnya, lantas sahaja Pak Sumaleh memeluk erat leher saya. Tidak segan-segan dia mencium pipi saya kerana merasakan saya seolah-olah cucu kandungnya juga. Lama dia tersengguk-sengguk sampai tidak dapat menuturkan apa-apa seolah-olah tidak mahu melepaskan saya dari pelukan-nya.


SELESAI