DI TENGAH pusaran air yang menolak ke tebing sungai
berteluk itu nampak buih terapung-apung beralun perlahan. Lantas ayah saya
kuis-kuiskan buih tersebut sambil memerhati anak-anak ikan menggelepar. Tentu
mereka menuba sungai sampai tidak hiraukan anak-anak ikan juga menjadi mangsa.
Sudah berkali-kali ayah saya ingatkan Sudin Mamai supaya
tidak tuba sungai kalau sekadar mahu dapatkan ikan. Gunakan jeramak pun boleh
dapat hampir setengah keruntung. Tidak perlu taburkan tuba biar ikan mabuk
tercangut ke permukaan arus.
Memang seisi kampung tahu sangat mengenai Sudin Mamai
yang suka ke hutan mencari akar tuba. Dia akan titik akar tuba itu dan
direndamkan ke tengah arus sungai. Dalam masa setengah jam sahaja ikan terbul,
ikan masai, ikan susur batang, ikan betuk akan terkapung di tengah arus sungai.
Orang-orang kampung juga akan menyerbu ke sungai membawa tengguk dengan harapan
dapat ikan sampai penuh setimba.
Siapa pun tidak marahkan Sudin Mamai tuba sungai. Mereka
akan tumpang sama dapat rezeki banyak ikan terkapung akibat mabuk tuba. Masakan
mereka marah asal sahaja Sudin Mamai tidak larang mereka ikut sama menangguk
ikan mabuk tuba terkapung di tengah arus sungai. Lagi pun mereka tidak perlu
bersusah payah ikut Sudin Mamai ke hutan mencari akar tuba berkenaan.
Tetapi ayah saya marah benar dengan sikap Sudin Mamai
suka menuba ikan di sungai. Kadangkala tidak sampai tiga bulan dia akan cari
lagi akar tuba. Sudin Mamai akan titik sampai hancur biar akan tuba keluarkan
getah untuk mabukkan ikan.
Bukan takat ikan menyonsong arus sahaja terkapung mabuk,
ikan yang menyusup ke kawasan berteluk sama ada ikan semilang, ikan baung, ikan
haruan, ikan tilan juga akan menggelepar ke permukaan arus sekiranya tidak
sempat menyusup ke lubang tebing.
Bila-bila sahaja ikan yang mabuk tuba itu mudah ditangguk
orang-orang kampung yang sentiasa menunggu Sudin Mamai turun menuba. Siapa lagi
tahu menuba sungai di kampung itu selain daripada Sudin Mamai. Memang Sudin
Mamai sahaja yang tahu mencari akar tuba di tengah hutan.
"Ada orang
tuba sungai lagi," gerutu ayah saya memerhati emak saya yang tercegat di
tebing sungai.
"Ah, tentu kerja Sudin Mamai tu," sahut emak
saya menjuihkan bibir kerana sudah dapat mengagak tentu Sudin Mamai yang
lakukan.
"Makan ikan kena tuba, samalah macam tuba diri
sendiri!" ujar ayah saya tidak terus mandi di sungai sebaik sahaja batik
dari menajak di sawah.
Sudah menjadi kebiasaan ayah saya dia lebih selesa mandi
di sungai apabila balik dari menajak di sawah. Lumpur yang banyak terpalit di
seluruh badan mudah disental dengan sabut biar habis tanggal tidak bersisa.
Emak saya juga akan membasuh kain di sungai setiap kali balik dari sawah.
Sebaik sahaja menyedari sungai dituba orang, beberapa
orang yang sama-sama balik dari sawah tidak lepaskan peluang ikut sama
menangkap ikan mabuk tuba. Resat Tepek cepat sahaja terjun dari tebing sungai
mencapai kayu panjang sehasta. Asal
sahaja ikan tercangut di permukaan arus dia akan ketuk sahaja biar mudah
ditangkap.
Bukan Resat Tepek sahaja yang cepat-cepat menerkam ikan
mabuk tuba, Senah Lawar pun ikut sama tadahkan kain tutup kepala. Ikan mabuk
tuba itu tidak boleh dibiarkan mati kembung hingga insangnya dimasuki habis
semua racun tuba itu. Kalau dibiarkan racun tuba meresap habis, tentu mereka
juga akan menerima padah.
Disebabkan sudah ramai orang menyerbu ke sungai, ayah
saya tidak mahu lagi mandi di sungai. Dia tidak mahu mandi air sungai yang
sudah ditabur dengan racun tuba. Lantas ayah saya mengajak emak saya balik
sahaja mandi di telaga. Biarlah emak saya juga membasuh kain di telaga
disebabkan terkilan dengan perbuatan Sudin Mamai menuba sungai tatkala tengah
hari demikian.
"Tak serik-serik Sudin Mamai ni," emak saya
mendengus apabila kenangkan adik sepupunya itu. Sudah berkali-kali dimarahi
oleh Pak Tua Mahat pun dia tetap berdegil mahu menuba di sungai.
"Ikan di sungai dalam kampung ni, gunakan jeramak
pun boleh," ujar ayah saya kesal kerana ikan mabuk tuba itu banyak mati
tidak dapat dikutip.
Memang ayah saya
lebih gemarkan menjeramak ikan di sungai kalau teringin mahu masak gulai ikan
dengan bacang muda. Sebaik sahaja emak saya jerangkan nasi di tungku, lantas
sahaja ayah saya turun ke sungai membawa jeramak. Tidak sampai satu jam dia
akan balik ke rumah dengan ikan bertengah keruntung.
Kalau bandingkan
dengan kakaknya Ngah Siah, memang ayah saya tidak mampu melakukan sepertinya.
Ngah Siah masuk ke lombong dengan tidak memerlukan jeramak atau tangguk. Dia
sekadar hulurkan tangan ke bawah rumput-rumput menyerungkup ke tebing. Dalam
masa beberapa minit sahaja Ngah Siah sudah menangkap ikan dengan tangannya
sahaja.
Bukan takat ikan haruan, ikan bujuk atau ikan yang tidak
berduri sahaja boleh dicekup Ngah Siah dengan tangannya di dalam air, malah
akan semilang, ikan baung atau ikan limbat pun mudah sahaja dicekaknya. Memang
Ngah Siah tidak bimbang apa pun kalau mencekup ikan di dalam air.
Tetapi ayah saya memang terkilan dengan sikap Sudin Mamai
gemar gunakan tuba kalau mahu menangkap ikan. Sudin Mamai sanggup meranduk ke
tengah hutan mencari akar tuba tumbuh meliar dalam beluka. Sudah beberapa kali
juga ayah saya menegurnya, tetapi Sudin Mamai sekadar tersengih-sengih sahaja.
Sewaktu ayah saya balik dari telaga, saya sudah menunggu
di kaki tangga disebabkan baru balik dari madrasah Tok Aji. Kakak saya juga
sudah siap di dapur hidangkan nasi dengan gulai pisang muda.
"Tok Aji apa khabar?" tanya emak saya sebaik
sahaja bersalam tangan di kaki tangga.
"Sihat," beritahu saya lantas sampaikan salam
Tok Aji dan Nenek Aji.
Memang sekali sekala sahaja saya balik ke kampung emak
saya, semenjak diajak oleh Tok Aji tinggal bersama di madrasahnya. Jauh juga
jaraknya madrasah Tok Aji dari kampung emak saya, terpaksa menaiki bas juga.
Kemudian berjalan kaki masuk ke kampung melalui jalan estet sampai tiga batu.
Ketika itu pengangkutan juga bukanlah mudah. Sebab itulah
jarang saya mahu balik ke kampung emak saya. Tetapi sekali sekala balik, memang
nenek saya di sebelah emak Bidan Ibah akan merungut panjang sekiranya tidak
singgah menjamah nasi di rumahnya.
Sewaktu emak saya hulurkan pinggan ketika menghadap
hidangan, nenek saya Bidan Ibah memanggil ayah saya. Cepat-cepat ayah saya
bangun menerpa ke pintu. Dia bukakan pintu, tetapi nenek saya tidak mahu naik
ke rumah.
"Cepatlah bilal, tengokkan anak Sudin,"
beritahu nenek saya bagaikan cemas sangat.
Memang nenek saya
tengah menyapu sampah di tengah halaman semasa Milah Dukung memberitahu
mengenai Salim sesak nafas. Lantas nenek saya ke rumah Milah Dukung urutkan
dada Salim dengan minyak kelapa di tenyeh bawang merah.
Nenek saya sudah tangkalkan dengan jampi terkena angin
pasang biar lelah anak kecil itu berkurangan. Tidak pernah pula Salim mengidap
penyakit lelah sampai dia tercangut-cangut macam ikan mabuk tuba. Lantas sahaja
Milah Dukung menuduh suaminya Sudin Mamai yang menyebabkan kejadian tersebut
berlaku ke atas anaknya.
Tidak jadi ayah saya menyuap nasi sekalipun sudah
terhidang. Dia sekadar jamah sahaja secubit nasi sebelum turun mengikut nenek
saya ke rumah Milah Dukung. Tetapi emak saya tidak tergesa-gesa. Biarlah ayah
saya ikhtiarkan untuk memulihkan Salim tercangut-cengut akibat lelah yang
menyerang tiba-tiba.
Selepas siap makan tengah hari barulah saya ke rumah
Milah Dukung bersama emak dan kakak saya. Tatkala saya sampai di rumahnya Salim
udah pun duduk menghadap hidangan nasi bersama ayahnya Sudin Mamai. Mereka
berdua makan sehidangan dengan tidak pedulikan orang ramai berkumpul di
rumahnya.
"Tak ada beban batu digalas!" rungut nenek saya
apabila kenangkan anak saudaranya Sudin Mamai tersengih-sengih menyuap nasi
dengan gulai ikan campur belimbing buluh.
Saya melihat Wak Sarimin balik dari kubur menggalas
cangkul dengan merungut-rungut tidak menentu. Penat juga dia menggali kubur,
tetapi terpaksa dikambus semula dengan menanam batang pisang sebagai ganti
mayat. Sudah menjadi pantang larang pula di kampung itu, apakala kubur digali
mesti ditanam juga apa-apa pun apabila tidak ada mayat mahu dikebumikan.
Memang nenek saya sendiri menyuruh Wak Sarimin bersama
beberapa orang jiran galikan kubur sebaik sahaja Salim terkejang tidak
bernyawa. Tidak sempat ayah saya sampai bersama nenek semasa Salim terkejang
tidak bergerak lagi. Beberapa orang jiran juga sudah terconggok di tengah rumah
disebabkan Wak Sarimin sudah sahkan memang Salim meninggal dunia.
Ayah saya juga sahkan Salim sudah meninggal dunia semasa
dia naik ke rumah bersama nenek saya. Cepat-cepat ayah saya suruh bujurkan
mayat itu di tengah rumah bersetentang dengan bumbung. Dalam masa jiran-jiran
dan keluarga bersiap-siap untuk kebumikan Salim inilah, Sudin Mamai balik membawa
ikan sekeruntung.
"Memang awak ni bawa puaka balik ke rumah!"
jerit Milah Dukung di kepala tangga melepaskan geram.
Tetapi Sudin Mamai tidak menyahut apa-apa. Dia tidak
terkejut dengan keadaan orang ramai berkumpul di rumahnya. Biarlah isterinya
terjerit-jerit melepaskan geram terhadap dirinya, Sudin Mamai tetap
tersengih-sengih hambar.
"Awak makanlah ikan to sampai termuntah, aku tak
ingin!" semakin galak Milah Dukung menjerit dengan suara meninggi.
"Milah, bawah bersabar, selesaikan anak ni
dulu," nenek saya memujuknya supaya tidak ikutkan sangat perasaan.
Beberapa orang jiran terpaksa pula memegang Milah Dukung
yang meronta-ronta mahu menerkam suaminya. Marah benar dia disebabkan Sudin
Mamai tidak pedulikan nasihat orang-orang kampung. Kerapkali orang nasihatkan
dia supaya tidak menuba ikan di sungai, setelah Dukun Lamat beritahu mengenai
puaka di batu dagu mahukan nyawa setelah sungai melalui bukit di situ dituba
orang.
Dukun Lamat beritahu mengenai mimpinya apabila puaka di
batu dagu di kaki bukit sungai kampung berkenaan tidak sabar dengan perbuatan
menuba ikan. Tetapi Sudin Mamai tidak pedulikan mimpi Dukun Lamat yang beritahu
mengenai dendam puaka di batu dagu itu.
Sebab itu Milah Dukung marah benar dengan suaminya yang
berkeras tidak mempercayai mimpi Dukun Lamat. Dalam keadaan Milah Dukung
menjerit-jerit marah ini, Sudin Mamai terus menyiang ikan di dapur. Kemudian
memetik belimbing besi di belakang rumah. Dia gulai ikan sebarau dan ikan
terbul masak lemak kuning campur belimbing buluh itu.
Setelah nasinya masak, Sudin Mamai siapkan hidangan dalam
dulang. Dia angkat hidangan itu dibawa ke sisi anaknya yang sudah dibujurkan di
tengah rumah. Sewaktu membasuh tangan Sudin Mamai renjiskan tiga kali ke muka
anak-nya yang terbujur itu. Sekaligus pula Salim terbersin kuat lantas bangun
membuang kain yang diselubungkan ke tubuhnya.
"Mari makan," Sudin Mamai menyuruh anaknya
basuh tangan, terus makan bersama.
Sewaktu Milah Dukung mahu menerpa dapatkan anak-nya,
cepat-cepat dihalang oleh ayah saya. Biarlah Sudin Mamai bersama Salim habis
makan nasi dengan gulai ikan itu, sebelum masing-masing mendekati mereka.
Dukun Lamat juga nasihatkan Milah Dukung supaya tidak
tergesa-gesa dapatkan anaknya Salim. Manalah tahu yang bingkas bangun itu
sekadar puaka lembaga yang merasuk anak kecil itu. Kalau Sudin Mamai yang
mulakan puncanya biarlah dia sendiri yang selesaikan urusan dengan puaka batu
dagu di kaki bukit.
Sebaik sahaja saya sampai bersama emak dan kakak, Sudin
Mamai masih lagi menyuap nasi dengan Salim. Dia melambai saya mara mendekatinya
mengajak makan bersama. Serba salah juga saya mahu mengelak disebabkan baru
sahaja makan nasi di rumah sebelum datang ke situ.
Beberapa kali diajak oleh Sudin Mamai terpaksa juga saya
duduk di sisinya. Saya terus menjamah nasi dengan gulai ikan sebarau masak
lemak kuning bercampur belimbing buluh. Memang saya tidak makan banyak,
sekalipun terasa gulai ikan itu sungguh menyelerakan. Kalau tidak kenangkan
perut tengah kenyang memang mahu juga saya bertambah lagi.
Selesai sahaja makan, Sudin Mamal meminta saya bacakan
doa selamat. Setelah saya bacakan doa selamat inilah Pak Tua Mahat jejak kaki
di kepala tangga setelah mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Sudin
Mamai. Cemas juga Pak Tua Mahat apabila diberitahu kejadian yang berlaku ke
atas Sudin Mamai
Tetapi dia juga sudah mengalaminya sewaktu anaknya Lajis
masih kecil lagi. Memang Pak Tua Mahat hampir kecewa setelah menembak ayam
hutan bertenggek di akar. Balik sahaja dari berburu emak mertuanya sudah
menyergah disebabkan Lajis terbujur tidak bernyawa.
Hampir juga nenek saya bercekak rambut dengan emak mentua
Pak Tua Mahat disebabkan perempuan itu menyalahkan Pak Tua Mahat sahaja.
Tersinggung juga nenek saya apabila anaknya Pak Tua Mahat diperlakukan macam
anak yang tidak mempunyai emak dan ayah.
Tetapi Pak Tua Mahat tetap bersabar. Kesabaran Pak Tua
Mahat menghadapi dugaan itulah dituruti oleh Sudin Mamai dalam masa dia
benar-benar terdesak. Sebaik sahaja batik dari menuba ikan Sudin Mamai sudah
dapat mengagak kejadian itu akan menimpa keluarganya.
Sebaik sahaja dia naik ke tebing sungai selepas mengutip
ikan mabuk tuba, Sudin mamai tercium bau busuk. Tatkala dia melihat keruntung
berisi ikan terkejut benar Sudin Mamai kerana ikan di dalam keruntung semuanya
tulang-tulang tidak berguna. Berdebar hati Sudin Mamai dengan keadaan ikan-ikan
di dalam keruntung sudah bertukar mnejadi tulang-tulang ikan sahaja.
Lantas sahaja Sudin Mamai ingatkan kejadian yang menimpa
Pak Tua Mahat bertahun-tahun sebelum itu. Ketika Pak Tua Mahat berburu ayam
hutan bertenggek pada akar pohon ara. Sebaik sahaja ditembak, Pak Tua Mahat
terkejut kerana ayam hutan bertukar menjadi daun terap kering. Tetapi Pak Tua
Mahat dapat pulihkan semula ayam hutan yang ditembaknya.
Semasa balik membawa ayam hutan siap disembelih itulah
Pak Tua Mahat diberitahu mengenai anaknya
Lajis meninggal dunia. Orang-orang kampung juga sudah bersiap-siap mahu
kebumikan Lajis hingga kubur pun sudah digali. Tetapi Pak Tua Mahat tidak
berputus asa, dia tidak terus naik ke rumah menatap anaknya yang sudah dibujurkan.
Pak Tua Mahat masuk ke dapur meletakkan ayam hutan siap
disembelih di pelantar dapur. Mereka yang datang berkumpul ke situ melihat Pak
Tua Mahat menyiang ayam lantas menggulainya sampai nasi dihidangkan ke sisi
Lajis. Memang Sudin Mamai tahu bukan Pak Tua Mahat yang memasak di dapur.
Ketika ini Pak Tua Mahat duduk di perdu pohon ara merendang dengan tangannya
tidak lepas mencekak lelaki tua berpakaian seperti Cina tua.
Tangan Pak Tua Mahat tidak lepas mencengkam kuat batang
leher lelaki Cina tua itu. Kemudian dia membacakan seratus kali:
Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad,
terus memuntal rambut lelaki Cina tua yang mengerbang
panjang.
Terkial-kial lelaki Cina tua itu dengan merengek-rengek
lemah. Pak Tua Mahat terus membaca-kan:
Allahhumma inni as-alaka
bismikal ahadal 'aza wada'waka, Allahhumma bismikal ahadal samada wadaiwaka
Allahhumma bismikal 'azimil witri wada'waka, Allahhumma bismikal kabiral
muta'alallzi mala-ai arkana kullaha an-tak'afa 'inni ma-asbahata wama amsita
fihi.
Pak Tua Mahat menggenggam tubuh Cina tua itu di dalam
tapak tangannya setelah seluruh tubuhnya mengecil. Dia tahu memang Lajis
terperangkap di dalam tapak tangan jelmaan lembaga besar yang mahu menguji
kesabaran hatinya. Selagi Pak Tua Mahal tidak meledak marah, sekalipun di maki
hamun emak mentuanya, dia tidak akan dapat dikalahkan oleh pesona syaitan.
Selagi syaitan mahu memperdayakan keluarganya, memang Pak
Tua Mahat juga tidak lepaskan jelmaan Cina tua di dalam genggamannya. Sebab itu
Sudin Mamai juga mesti menahan sabar tatkala semua ikan di dalam keruntung
bertukar menjadi tulang-tulang ikan yang tidak berguna.
Bau busuk tulang-tulang ikan itu juga menusuk ke hidung,
hinggakan kepala ikan juga sudah berulat dengan ulat berenga memutih. Sudin
Mamai tahu sangat gangguan demikian akan memusnahkan dirinya. Sekiranya dia
buangkan tulang-tulang ikan yang sudah berulat di dalam keruntung, nescaya
padah akan menimpa dirinya.
Dia wajib bertahan sekalipun akibatnya boleh mengancam
keluarga sendiri. Biarlah siapa pun keluarganya menghadapi ancaman syaitan,
asal sahaja dia mampu bersabar tatkala dugaan demikian sedang memuncak. Sudin
Mamai sudah bersedia dimaki hamun oleh isterinya Melah Dukung yang tidak
memahami kejadian sebenarnya.
Tentu Sudin Mamai juga tidak dapat menghalang sesiapa pun
memaki hamunnya selagi keadaan Salim tidak dapat dipulihkan. Disebabkan dia
terlalu berkeras menuba ikan, petaka demikian mengganggunya. Apabila petaka
gangguan syaitan sudah tidak boleh dielakkan dia mesti bertahan juga.
Kalau Pak Tua Mahat mampu melalui saat getir berdepan
dengan gangguan syaitan, kenapa pula dia mesti mengalah? Sudin Mamai tidak akan
biarkan dirinya diperangkap syaitan yang sentiasa mahu mengelirukan manusia.
Siapa sahaja terperangkap memang tidak akan dapat menahan sabar.
Setelah keruntungnya dipenuhi tulang-tulang ikan tidak
berguna, Sudin Mamai terus menutup mulut keruntung. Biar-lah tangannya
menggenggam apa sahaja jelmaan syaitan, asalkan bukan jelmaan syaitan yang
menggenggam dirinya.
Apabila dia merentap akar tuba di dalam hutan, Sudin
Mamai sudah merasakan dia merentap tali perut syaitan hingga terburai laksana
tali terlepas ikatan. Ketika tangannya menggenggam mulut keruntung, Sudin Mamai
juga merasakan kepala syaitan yang dicengkam di dalam genggamannya.
Sudin Mamai menguatkan semangatnya lantas membacakan
tujuh kali:
Wa-immayanzag-hannakka minasy
syaitoni nazghunfasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.
Serentak dengan itu Sudin Mamai merasakan keruntungnya
bergoncang kuat, tetapi tangannya tetap tidak lepas daripada menggenggam mulut
keruntung berkenaan.
Lama dia menggenggam mulut keruntung itu tiba-tiba
berdepa bunyi benda besar jatuh di depannya. Dia melihat jelmaan lelaki perut
buncit jatuh terlentang di depannya dengan kepala seperti ikan haruan.
Tersengih-sengih jelmaan lelaki perut buncit itu bingkas bangun dengan terkial-kial.
"Aku boleh balikkan semula ikan dalam keruntung
kau," ujar jelmaan lelaki perut buncit menyapu mulutnya dengan tangan.
"Tapi aku mahu gantinya, anak kau sendiri!"
tegasnya lantas mengejek-ejek Sudin Mamai.
"Kalau kau boleh campur urusan Allah, cubalah!"
sahut Sudin Mamai tersenyum menyindirnya. "Ketentuan Allah memang aku tak
dapat menghalangnya," dia merenung tajam ke muka lelaki perut buncit
dengan membacakan surah al-Ikhlas 17 kali.
Sebaik sahaja perut lelaki itu meletup laksana gelembung meletus,
segera diterpa oleh Sudin Mamai. Dia merentap tali perut lelaki itu yang
terburai tidak bertahan. Ketika inilah Milah Dukung melihat suaminya
terkial-kial memasak di dapur. Siapa pun tidak tahu mengenai Sudin Mamai masih
bergelut di tebing sungai.
Hanya setelah ikan di dalam keruntungnya pulih semula,
baru mereka yang berkumpul di rumahnya nampak Sudin Mamai sedang buat hidangan
nasi ke dalam dulang. Sudin Mamai sendiri yang bawa hidangan nasi itu ke sisi
anaknya yang terbujur di tengah rumah.
Sebaik melihat saya naik ke rumah bersama emak dan kakak,
lama Sudin Mamai terdiam. Setelah saya bacakan al-Fatihah tiga kali dan
dihembus perlahan ke arah ubun-ubunnya, dia se-olah-olah terbangun dari tidur
nyenyak. Lantas dia menggamit saya mengajak makan bersama dengan Salim yang
kelihatan segar.
"Kenapa orang ramai di rumah kita?" Salim
mencuit kepala lutut ayahnya.
Sudin Mamai tidak menyahut. Dia tersengih-sengih lantas
membasuh tangan. Setelah selesai makan, tidak bertangguh dia kemaskan semula.
Semua lebihan nasi dan gulai terus sahaja ditanamnya macam kebumikan mayat
dikubur.
Terpinga-pinga juga emak saya dengan kejadian yang
menimpa Sudin Mamai hingga saya juga terbabit sama. Kenapa pula Sudin Mamai
hanya mempelawa saya seorang sahaja makan bersama, sedangkan ayah saya atau Pak
Tua Mahat tidak dipedulikannya langsung.
Siapa pun tidak berani sangat mahu bertanya mengenai
kejadian itu, kerana Pak Tua Mahat sudah ingatkan supaya tidak diungkit-ungkit.
Perkara kejadian yang menimpa Sudin Mamai memang sama dengan kejadian yang
dialaminya bersama Lajis. Pak Tua Mahat dapat mengagak segala pengalaman yang dilalui
oleh Sudin Mamai itu.
Tetapi kejadian yang berlaku ke atas diri Pak Tua Mahat
sekadar saya dengar dari emak sahaja, kerana ketika Lajis masih kecil saya
masih belum lahir. Lajis sendiri tidak tahu apa-apa tatkala saya tanyakan kejadian
tersebut kepadanya.
Tentu Salim juga tidak tahu apa-apa mengenai kejadian
yang menimpa dirinya ketika masih berusia lapan tahun. Dia sekadar ingat
seolah-olah terjun ke tengah arus hingga hampir tenggelam bersama ayahnya Sudin
Mamai. Masa inilah dia seolah-olah melihat tangan saya mencapai tengkuknya
dibawa naik ke tebing.
"Lain saya tak ingat," beritahu Salim apabila
ditanyakan kejadian yang dialaminya semasa berusia lapan tahun itu.
"Agaknya saya mimpi macam tu," dia menjelaskan kerana tidak percaya
mengenai dirinya yang dikatakan sudah meninggal dunia itu boleh hidup semula.
Memang seisi kampung percaya Salim sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula
setelah dipulihkan oleh ayahnya Sudin Mamai. Masakan orang yang sudah meninggal
dunia boleh hidup semula. Hanya Tok Aji sahaja menerangkan Salim sekadar
pengsan tidak sedarkan diri akibat gangguan syaitan. Mereka melihat Salim
seolah-olah sudah tidak bernyawa di-sebabkan pesona syaitan yang mahu
mengelirukan keluarga Sudin Mamai.
Lama juga tersebar cerita mengenai Salim yang sudah
meninggal dunia itu hidup semula. Terpaksa ayah saya ingatkan orang-orang
kampung supaya tidak terpengaruh dengan cerita tahyol demikian. Tetapi masakan
mereka boleh lupakan kejadian itu kerana Wak Sarimin sendiri yang gali kubur
setelah didesak oleh nenek saya Bidan Ibah.
Bukan Wak Sarimin sahaja terpaksa gali kubur, malah Dolah
Cekang juga sudah bersiap menebang buluh untuk buat usungan. Kejadian yang
berlaku hampir empat puluh tahun itu bukan mudah mahu dilupakan oleh
orang-orang kampung yang melihat sendiri peristiwa tersebut.