Sunday, December 6, 2015

153. ILMU PENGASIH MEMAKAN DIRI


JALAN baru tidak melalui pekan itu memakan masa tidak sampai dua jam setengah sampai ke simpang Kampung Awah di Temerloh. Bersungguh-sungguh sangat Lahak mengajak kawannya Tukimin menemui Wak Busil di kawasan Felda di situ. Tetapi Tukimin bukanlah kenal sangat dengan Wak Busil yang sudah sekian lama menetap di Kampung Awah sejak berpindah dari kampung halamannya di Perak.
Cuma kawannya Mat Leh yang memberitahu Tukimin mengenai Wak Busil yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk di situ sekiranya mereka mengidap penyakit ganjil.
Disebabkan Lahak mendesak terpaksa juga Tukimin menemui Mat Leh meminta dia temankan mereka ke Kampung Awah. Manalah Tukimin tahu sangat jalan ke situ kalau menyerbu tidak menentu. Lainlah pekan Temerloh yang sememangnya jadi tumpuan sesiapa sahaja sebelum jambatan panjang merentang melintasi Sungai Pahang dulu.
"Kawan saya ada di Temerloh," jelas Tukimin memandu kereta di tengah hujan renyai-renyai sewaktu maghrib semakin samar.
"Siapa?" soal Mat Leh perlahan.
"Mat Jubin..." beritahu Tukimin mencebik bibir merenung jalan yang bersilau dipercik hujan. "Tapi, kampungnya aje di sini, dia jarang ada di rumah," katanya tidak berharap sangat mahu menemui Mat Jubin.
"Saya pernah dengar juga nama Mat Jubin tu," lantas Lahak yang duduk di belakang mencelah.
"Dia dukun juga ke?" Mat Leh mengisar duduk berpaling ke belakang.
Lahak tidak menyahut. Dia sendiri tidak tahu sangat mengenai Mat Jubin sama ada dukun ataupun tidak. Memang Lahak sekadar serkap jarang sahaja, biar Tukimin memberitahu selanjutnya mengenai Mat Jubin itu Tetapi Tukimin tidak memberitahu apa-apa.
Apa perlunya dia memberitahu Lahak mengenai Mat Jubin, kalau disebabkan lelaki itu memerlukan Wak Busil setelah hatinya dilukakan. Kalau dia membawa menemui Mat Jubin, tentu sahaja akan disuruhnya dapatkan Alang Bumin. Tukimin tahu sangat perangai Mat Jubin sekiranya tidak kena pada hatinya. Tidak bertangguh Mat Jubin akan mengherdik kalau fasal mahu gunakan ilmu pengasih.
Serba salah juga Tukimin mahu mengajak Lahak menemui Mat Jubin, sekalipun lelaki itu mendesak. Tentu Mat Jubin tidak mahu melayani sekiranya mahu gunakan ilmu pengasih sampai gadis tersebut melutut di depan Lahak. Tahu sangat Tukimin perangai kawannya itu yang sudah sekian lama habiskan duit semata-mata menanggung gadis berkenaan.
Terkilan benar Lahak disebabkan gadis itu meninggalkan dia, setelah banyak wangnya dihabiskan. Sebab itu dia bersusah payah mahu mencari dukun, biar gadis itu tidak dapat melarikan diri ke mana. Memang Lahak menyimpan dendam biarlah sehari pun dia tetap akan berkahwin dengan gadis itu.
Tatkala sampai di Kampung Sungai Nerek, beberapa orang menunggu giliran di rumah Wak Busil. Hampir jam 10.00 mereka bertiga sampai di rumah Wak Busil, dengan keadaan malam gelap gelita akibat hujan renyai-renyai tidak berhenti. Kalau tidak disebabkan berhenti makan di simpang Kampung Awah, memang cepat juga mereka sampai di situ.
Tetapi Lahak merungut sepanjang perjalanan disebabkan perut terasa lapar tidak bersebab. Puas juga dia memerhati di kiri kanan jalan mencari gerai semuanya tidak menarik perhatian. Mat Leh juga ingatkan gerai di tepi jalan itu untuk mereka yang turun naik bas ekspres; sudah tentu mahal harga makanan yang dijual.
Sebab itulah Lahak ajak berhenti juga di simpang Kampung Awah sebelum membelok ke Kampung Sungai Nerek itu. Dia mesti makan juga biar rasa lapar yang mengganggu hilang serta merta. Sebaik sahaja berhenti di gerai di persimpangan itu, tidak pula terasa lapar lagi. Tidak habis pun sepinggan mee yang dipesannya kerana sudah tidak berselera lagi.
"Apa halnya ni?" lantas sahaja Wak Busil menegur sebaik sahaja mereka bertiga dipelawa masuk ke bilik khas. Di dalam bilik memang dipenuhi dengan akar-akar kayu dan botol-botol minyak ramuan. Beberapa helai daun sirih berselerak di hadapan Wak Busil.
"Hah, ceritalah apa masalah awak," tutur Mat Leh mengerling Lahak yang tersengih-sengih malu mahu memulakan cerita.
"Dia gila nak berbini," ujar Tukimin mengusiknya.
Lahak tersengih-sengih. Dia tidak tersinggung pun diusik demikian oleh Tukimin. Memang sudah lama dia menanggung Saerah gadis kecil berumur belasan tahun itu. Malah isteri Lahak sendiri sudah menganggap Saerah itu macam adiknya juga, disebabkan Saerah bekerja di pejabat Lahak.
Apa sangat mahu dicemburukan dengan Saerah, sedangkan anak gadisnya Hamiah sebaya dengan Saerah. Memang Mizah tidak tahu apa-apa mengenai hubungan Lahak dengan gadis tersebut. Mizah juga tidak peduli sangat tatkala Lahak merungut disebabkan Saerah berhenti dari pejabatnya.
Tetapi Lahak tidak boleh diamkan begitu sahaja, setelah duitnya banyak habis. Siapa yang bayarkan sewa rumah Saerah sejak bertahun-tahun bekerja di pejabatnya? Siapa yang uruskan hutang di kedai yang tertunggak kalau Saerah berbelanja? Memang dia tidak akan lepaskan Saerah begitu sahaja.
Sebab itu dia desak Tukimin membantunya carikan siapa sahaja dukun yang mampu melembutkan hati Saerah, biar kembali melutut kepadanya. Kalau terpaksa berkahwin, bila-bila Lahak sanggup jadikan Saerah isteri keduanya. Perkara Mizah mahu menerima ataupun tidak, dia memang tidak pedulikan apa-apa. Lama kelamaan tentu Mizah akan relakan juga dia berkahwin dengan Saerah kalau jodohnya berpanjangan.
"Apa salahnya kahwin lebih, kalau awak mampu," ujar Wak Busil mengulum senyum sebaik sahaja melihat Lahak serba salah.
Kemudian dia meminta gambar Saerah dan gambar Lahak juga. Tertegun dia tatkala merenung gambar Saerah berambut pendek bagaikan anak teruna berdiri tampan.
Lama dia merenung gambar Saerah, lantas dicapainya daun sirih di hadapannya. Wak Busil mengurut-urut daun. sirih itu sebelum dihembuskan tiga kali. Dia dapat melihat pada daun sirih itu Saerah tidak mengikut lelaki lain, tetapi berpelukan dengan seorang gadis.
"His macam mana ni?" gerutu Wak Busil mengeleng-geleng lemah kemudian mengangkat menatap Lahak.
"Kenapa wak?" terkejut juga Lahak apabila Wak Busil menggeleng-geleng kepala tatkala merenung ke daun sirih yang diurutk urutnya itu.
"Budak ni, bukannya mengikut jantan lain," keluhnya semacam tidak percaya dengan apa yang dilihatnya melalui pedoman di daun sirih.
"Memang dia tak ikut lelaki lain, tapi dia jatuh hati dengan perempuan juga," Lahak menerangkan rahsia sebenar di sebalik masalah yang menyelubungi dirinya itu.
Tahu sangat dia fasal Saerah yang meninggalkan dia berkawan rapat dengan gadis sebaya dengannya. Kalau diajak keluar ke manapun Saerah tetap akan membawa teman sebiliknya itu. Sekali sekala Lahak sendiri melihat mereka berdua berpegangan tangan bagaikan sedang dilamun kasih.
Memang malu juga Lahak mahu memberitahu kawannya Tukimin mengenai Saerah yang jatuh hati dengan sesama perempuan. Tetapi dia tidak dapat berbohong apabila Wak Busil melihat sendiri pedoman yang ditunjukkan melalui daun sirih itu.
Belum pernah lagi tilikan Wak Busil meleset kalau dia telah mengurut-urut daun sirih di tapak tangan. Dia seolah-olah dapat melihat melalui daun sirih tersebut apa yang berlaku sebenarnya. Memang dia melihat bayangan dua orang perempuan berpelukan di situ sebaik sahaja diseru nama Saerah. Masakan Lahak boleh berbohong lagi setelah Wak Busil dapat menilik dengan jelas di situ.
"Setidak-tidaknya saya boleh selamatkan dia, wak..." tutur Lahak cuba menyembunyikan keresahan hatinya.
"Alhamdullillah, kalau niat awak baik," sahut Wak Busil sambil meletakkan dua keping gambar Lahak dan Saerah ke atas kain putih.
Memang Wak Busil kasihan juga dengan nasib Saerah yang tiba-tiba jatuh hati kepada kaum sejenis. Alangkah hibanya dia kalau kejadian demikian berlaku kepada keluarganya sendiri. Sebab itulah dia berjanji mahu membantu Lahak, biar gadis itu kembali berfikiran seperti perempuan biasa dengan memilih pasangan daripada kaum lelaki.
Apalah salahnya bermadu, sekiranya Lahak mampu membimbing Saerah ke jalan yang diredai. Dia tidak merasa bersalah kalau berjaya memutuskan hubungan Saerah dengan gadis yang dikasihinya itu, apabila membantu Lahak.
Biarlah dia terpaksa bangun tengah malam sampai berturut-turut tiga malam. Dia akan buaikan dua keping gambar yang ditangkupkan di atas kaca cermin dan dibungkus kain putih. Kemudian dia akan nyanyikan dalam buaian sehingga hati Saerah berkocak mahu mencari Lahak tidak sempat menunggu matahari terbit.
"Kawin juga Lahak dengan Saerah tu, ustaz..." beritahu Tukimin tatkala menemui saya di rumah Kadir Misai. Hanya dua minggu sahaja menemui Wak Busil, tiba tiba sahaja Saerah datang ke pejabat Lahak. Belum sempat Lahat menegur Iantas sahaja Saerah memeluknya tidak mahu renggang sedikit pun.
Saya mengangguk. Perkara ilmu pengasih memang sukar mahu dijelaskan kerana kerapkali sudah berlaku. Siapa sahaja boleh amalkan apapun ilmu, tetapi sama ada Allah reda atau tidak dengan amalan tersebut. Bukan Wak Busil sahaja amalkan semata-mata mahu membantu Lahak, saya tahu Mat Jubin juga amalkan.
Tetapi saya tetap menjadikan nasihat Tok Aji sebagai pedoman, sekalipun dia sudah lama meninggal dunia. Memang dia ingatkan saya betul-betul supaya tidak memainkan perasaan seseorang dengan doa-doa, apatah lagi dengan jampi serapah. Biarlah semua ketentuan Allah itu diserahkan kepada Allah jua!
Apabila kenangkan Aki Alang memang gementar juga saya, disebabkan dia terketar-ketar menanggung sakit lebih tiga bulan tidak dapat buang air kecil. Sewaktu saya menziarahinya, memang air matanya bergenang di pelupuk. Suaranya yang jauh di kerongkong membisikkan kepada saya, "Aki tahu, dosa aki selama ini..."
Saya sekadar mengangguk lemah sahaja. Lama dia meramas-ramas tangan saya dalam keluhan memanjang dengan nafasnya berombak-ombak lemah. Memang Aki Alang tidak segan-segan membisikkan kepada saya, disebabkan dia terlalu rapat dengan Tok Aji.
"Angah beruntung ikut Tok Aji," tuturnya lemah dengan pelupuk mata semakin layu.
Di saat-saat akhirnya memang Aki Alang tidak putus-putus meminta saya supaya tidak berenggang dari sisinya. Kalau saya tidak membacakan Yassin dia akan merasa tenang dapat meramas-ramas jari saya. Terasa dia semakin tenang tatkala saya duduk di sisinya, setelah diberitahu mengenai keadaan penyakitnya yang kian tenat.
Lama dia terlantar sakit hingga tiga bulan tidak dapat buang air kecil. Sampai terjerit-jerit dia meminta tolong tatkala perut terasa menyenak mahu buang air kecil. Keadaannya yang gelisah sejak berminggu-minggu tiba-tiba sahaja berubah menjadi tenang sebaik sahaja saya jejak kaki ke rumahnya.
"Kalau boleh, angah duduklah di sini dua tiga hari," desak isterinya Ucu Besah setelah melihat keadaan suaminya beransur tenang. "Nampaknya dia tak sakit sangat, kalau angah ada," katanya dengan harapan membumbung tinggi.
Saya mengangguk perlahan. Apalah salahnya saya bertahan dua tiga hari kalau mereka mengharapkan. Lagipun Aki Alang memang adik nenek aji.
 Disebabkan saya dibesarkan di madrasah Tok Aji, seringkali juga Aki Alang membawa saya balik ke rumahnya.
Sehingga saya dewasa pun seringkali juga saya berulang ke rumahnya. Malah kalau balik ke kampung tidak pernah saya tidak jengah dia di rumahnya. Sebab itu tahu sangat saya mengenai amalan Aki Alang sekiranya dia terpikat dengan mana-mana perempuan.
Dia sanggup menaiki rumah isteri orang, kalau suaminya mencemburui dia disebabkan hatinya tersinggung. Suami orang itu hanya terkebil-kebil mata sahaja melihat dia berbaring di sisi isterinya sampai tidak dapat bergerak sedikit pun.
Cubalah mencabar dia sampai hatinya tersinggung nescaya Aki Alang akan buaikan buah limau diikat benang tujuh warna. Dia akan bungkus gambar perempuan itu bersama limau yang dihayun kalau tidak dapat kuku dan rambutnya. Tengah malam tatkala kuang berbunyi sayup-sayup jauh di tengah rimba, Aki Alang akan membakar kemenyan. Dia akan menyanyi perlahan membacakan:
"Batu luak batu nani, dititik nila menila, di sini aku mandi, si anu akan gila, ambil galah buluh aur, pucuk melimpai sampai ke seberang, ambil benang tujuh warna, buat pengambil semangat si anu, kurrr semangat si anu, kalau kau tak datang kepada aku, gila kau tak minuet tak makan ..."
Memang Aki Alang sekadar gunakan jampi serapah sahaja, tetapi petuanya yang tidak akan diberitahu kepada sesiapa kecuali sediakan segenggam garam, segenggam gula, kain putih sehasta, benang tujuh warna dan duit tujuh puluh lima sen.
Siapapun boleh bacakan jampi serapah, tetapi tidak akan memberi apa-apa kesan kalau tidak disertakan dengan petua. Hanya petua ini sahajalah yang menjadi rahsia kepada Aki Alang.
Bukan takat menyeru perempuan sampai melutut di hadapannya sahaja boleh Aki Alang gunakan jampi serapah. Kalau orang sengaja mahu mengujinya fasal jampi serapah, dia akan menunggu sampai orang itu tertidur lina. Kemudian Aki Alang akan mengikat jari hantu orang itu dengan benang putih, lantas membacakan jampi serapahnya.
Dalam masa beberapa saat sahaja orang itu akan bingkas bangun berjalan merayau-rayau sampai keluar rumah dalam keadaan nyenyak tidur. Apabila kakinya terantuk di mana-mana orang itu akan rebah terbaring di situ sampai santak pagi baru terjaga.
Sewaktu kenduri nikahkan anak saudaranya, Lajim Togel bertengkar dengan Aki Alang kerana membelakangkan dia fasal membeli barang-barang di tungku penanggah. Tidak patut Aki Alang yang buat keputusan selagi Lajim Togel abang isterinya Ucu Besah masih terconggok. Cuma Lajim Togel satu-satunya yang boleh membuat keputusan.
Tetapi mahu ditunggu Lajim Togel sampai bilapun barang-barang tidak dibeli di kedai. Tiga hari lagi kenduri akan dimulakan, Lajim Togel masih belum nampak kelibat. Berulang kali dituruti ke rumahnya, dia sekadar memberitahu masanya masih panjang.
Sebab itu Ngah Tiamah tidak sabar lagi mahu harapkan abangnya Lajim Togel. Biarlah semuanya serahkan pada adik iparnya Aki Alang. Semasa kenduri tengah terpasang lat inilah Lajim Togel memberang tidak pedulikan siapapun.
Tersinggung juga Aki Alang dengan sikap abang iparnya Lajim Togel macam ayam betina berketak lepas bertelur. Menghentak-hentak kaki ke tanah dia memarahi Ngah Tiamah di tengah khalayak ramai kerana tidak sabar mahu menunggu dia datang menentukan majlis kenduri untuk diatur mengikut adat resam orang Melayu.
Disebabkan terlalu marah itulah Lajim Togel tidak mahu jejakkan kaki ke rumah Ngah Tiamah. Kalau Ngah Tiamah sudah membelakangkan dirinya, biarlah semua urusan serahkan sahaja pada Aki Alang. Tidak bertangguh dia mendesak semua anak isterinya balik sahaja ke rumah sewaktu lat kenduri kahwin tengah terpasang.
"Biarlah, dia nak marah tak bertempat," tutur Aki Alang mengingatkan Ngah Tiamah yang serba salah dengan keputusan Lajim Togel itu.
Malamnya tatkala Lajim Togel tengah nyenyak tidur, Aki Alang terus sahaja menaiki rumahnya. Setelah diikat jari hantu Lajim Togel dengan benang, dia membacakan:
Bismillahi aqattu jabna al-qarib walisanal hayati wafamatta masyihi-wal asuyudi wayadayi sariqi wal-hariqi wazzalima biqauli, urat engkau seribu empat ratus empat puluh empat, aku jadikan kepada empat uri, mari wall azani, dihimpunkan kepada satu hu Allah...
Kemudian dia rnengetukkan jari telunjuknya ke dahi Lajim Togel tiga kali, sehingga abang iparnya itu perlahan-lahan bangun sambil terkuap-kuap. Dia memerhatikan sahaja Lajim Togel berjalan ke pintu, terus menuruni tangga. Memang Lajim Togel berjalan seolah-olah mengikut sahaja panduan di dalam gelap itu menuju ke rumah adiknya Ngah Tiamah.
Sampai sahaja di penanggah, dia terus berbaring di pangkin kayu hingga sampai ke pagi. Tatkala orang-orang yang berkumpul di rumah Ngah Tiamah mahu berkemas di penanggah, mereka terkejut melihat Lajim Togel tidur nyenyak di situ sampai bersenar kuat.
"Siapa yang bawa aku ke sini?" gerutu Lajim Togel sebaik sahaja terbangun setelah dikejutkan oleh Ngah Tiamah.
"Memang abang Lajim tidur di situ," beritahu Ngah Tiamah tersengih-sengih mengerling Lajim Togel merungut-rungut tidak tentu biji butir.
Ketika dia melihat benang terikat pada jari hantunya, Lajim Togel menggeleng lemah. Memang dia tahu Aki Alang yang memperdayakan dia. Tahu sangat dia kebolehan Aki Alang yang boleh memindahkan orang tatkala tengah nyenyak tidur sekadar mengikatkan benang di jari hantunya sahaja.
Tetapi takat jampi serapah itu sahaja yang diberitahu oleh arwah Aki Alang kepada saya. Sengaja saya tidak mendesak mahukan petua yang sangat mustahak menjadi rahsianya. Kalau saya meminta bila-bila dia sanggup memberitahu asal sahaja memenuhi syarat-syaratnya.
Setiap kali kenangkan Tok Aji bimbang juga saya mahu menyelami rahsia petua Aki Alang, sekalipun dia memberikan jampi serapahnya. Marah benar Tok Aji kalau sengaja Aki Alang turunkan petua jampi serapahnya kepada saya. Sebab itu Aki Alang juga tidak akan memberi apa-apa petua, sekiranya tidak dibenarkan oleh Tok Aji.
"Kamu masih budak-budak, jangan belajar dulu ilmu Aki Alang tu," nenek Aji juga seringkali ingatkan saya.
Sebab itulah apabila Aki Alang terlantar sejak tiga bulan tidak dapat bangun akibat menahan kencing, beberapa kali juga Ucu Besah memanggil ayah saya meminta bacakan Yassin. Tiga malam ber-turut-turut ayah saya jemput jemaah di surau mem-bacakan Yassin, keadaan Aki Alang tidak juga berubah.
Tubuhnya semakin kurus hingga tulang pipinya yang cengkung menungkal macam akar pokok terbongkar di perdu. Sebaik sahaja ayah saya memberitahu akan keadaannya, terpaksa juga saya balik ke kampung menjengah. Tersengguk-sengguk Ucu Besah menahan kesedihan apabila menatap saya.
"Cubalah bantu Aki Alang ni, angah ..." gerutu Ucu Besah mengesat pelupuk mata.
"His, biarlah angah tu lepaskan penat dulu," tutur anaknya yang tua Ulung Mali memujuk Ucu Besah. Memang dia tahu emaknya rusuh dengan keadaan ayahnya yang terlantar dalam keadaan payah, tetapi tidak patutlah menggesa saya yang baru sahaja jejak kaki ke kampung.
"Dah macam-macam ikhtiar," keluh Ucu Besah sebaik sahaja saya duduk di sisi Aki Alang.
Saya tidak menyahut apa-apa. Hanya tunduk menatap muka Aki Alang yang perlahan membukakan mata sebaik sahaja mengetahui saya duduk di sisinya. Dia tersenyum dan cuba menggerakkan badannya.
Apabila saya memegang tangannya, Aki Alang meramas-ramas tangan saya. Bibirnya bergerak-gerak mahu menuturkan sesuatu, tetapi bagaikan tersekat tidak dapat diluahkan.  Lama dia menggigit bibir barulah tangannya memberi isyarat menyuruh saya dekatkan telinga mahu berbisik.
"Dah tiga bulan, aki tak dapat nak kencing," bisiknya terketar-ketar jauh di kerongkong. Saya memberi isyarat pula menyuruh dia bertenang dan banyakkan istighfar. Kemudian saya letakkan tapak tangan ke dahinya dengan membacakan Fatihah tiga kali, lantas diusapkan ke mukanya perlahan-lahan. Apabila saya bacakan surat al-Ikhlas tiga kali terus saya usapkan pula ke dadanya hingga terasa debaran mengombak-ombak.
Dengan membacakan Ayatul Kursi pula, saya usapkan hingga sampai ke hujung kaki. Tatkala saya ulangi membacakan tiga kali, Aki Alang cuba mengangkat kepala. Cepat-cepat ayah saya memangku kepalanya kerana Aki Alang mahu duduk bersandar ke bantal di belakangnya.
"Sejuknya rasa tangan angah ni," bisiknya ke telinga ayah saya.
"Kalau pak lang penat baring, eloklah duduk," ujar ayah saya lantas menyuruh Ulung Mali sendalkan bantal di belakang Aki Alang, biar dapat bersandar kukuh.
Dia mengangguk lemah. Tetapi tenaganya seolah-olah gagah untuk duduk bersandar setelah saya usapkan seluruh badannya, sekalipun tubuhnya masih tidak bermaya. Setelah Alang Aki duduk bersandar ke bantal saya memegang bahagian pinggangnya lantas membacakan:
Rabbanallahhul lazi-fissama-i taqadda man-ismaka amwata-fissama-i wal-arsi kama-rahmatuka-fissama-i faj'ala-rahmataka-filardhi wagh-firlana hau-bana wa-khatayana anta rabbut-taiyibina fa-unazil syaf a-an syifa-ika birah-matin min-rahmatika 'alaiya hazal-waji'.
Tiga kali saya usapkan tapak tangan ke pinggangnya setelah diulangi mendoakan tiga kali, tiba-tiba Aki Alang menggeliat kerana terasa senak perut mahu buang air kecil. Tangannya berpaut kuat ke lengan ayah saya sambil termengah-mengah menahan kesakitan.
Hampir lima belas minit dia terkial-kial, Aki Alang terus buang air kecil tetapi nanah bercampur darah. Baunya busuk hingga menusuk ke hidung menyebabkan saya terpaksa berpaling muka. Kemudian meminta Ulung Mali segera istinjakkan ayahnya Aki Alang.
Setelah bersih dicuci, Aki Alang terasa lagi mahu buang air kecil. Ayah saya menyuruh sepupunya Ulung Mali tebuk sahaja lantai biar mudah Aki Alang mahu buang air kecil atau-pun buang air besar. Belum sempat Ulung Mali menebuk lantai rumah, Aki Alang tidak dapat bertahan lagi terus buang air kecil lagi sama seperti sebelum-nya juga.
Nanah bercampur darah yang keluar dari maluannya berbau busuk meloyakan. Ucu Besah tidak segan-segan membantu suaminya beristinjak. Saat ini tidak ada apa lagi yang mahu dimalukan, kecuali mahu menjaga suaminya yang sekian lama terlantar. Terbayang kegembiraan di wajah Ucu Besah setelah Aki Alang boleh membuang air kecil.
Santak asar sudah beberapa kali Aki Alang buang air kecil, sekalipun sudah sekian lama dia tidak meneguk air. Memang dia takut mahu meneguk air, kerana bimbang kencing tidak tus. Dia akan menderita kesakitan mahu buang air sekiranya kencing tidak tus.
Malamnya Ucu Besah cuba juga sudukan bubur supaya Aki Alang menjamah makanan, tetapi dia sudah tidak berselera lagi mahu menjamah apapun. Selepas isya, ayah saya mengajak orang-orang di surau datang lagi membacakan Yassin.
Sewaktu orang-orang surau membacakan Yassin, mata Aki Alang liar memerhati keliling. Dia seolah-olah ketakutan sambil tangannya bagaikan menggamit meminta pertolongan. Ayah saya segera mendekati Aki Alang sambil merapatkan telinga ke mulut orang tua itu. Kemudian ayah saya mengangguk-angguk perlahan.
Selepas selesai membacakan Yassin, ayah saya menyuruh Ulung Mali mencium pusat ayahnya. Sewaktu Ulung Mali membongkok mencium pusat Aki Alang, ayah saya menepuk belakangnya tiga kali. Serentak dengan itu Aki Alang bersendawa beberapa kali dalam keadaan semakin lemah.
"Cubalah angah pula," ayah saya menggamit menyuruh saya duduk di sisi Aki Alang.
"Masa macam ni, jangan tangguh-tangguh lagi, angah," tutur Ulung Mali pula cemas dengan keadaan ayahnya.
Saya terus duduk di sisi Aki Alang. Semasa saya renung jauh ke dalam matanya, memang terbayang kehebatan dia tatkala mudanya. Kulit tubuhnya tidak berbekas apa-apa semasa dilanggar kereta hingga terhumban sampai ke seberang jalan. Kalau tidak disebabkan saya memujuk menantunya Salim supaya bersabar, sudah tentu pemandu kereta itu dipukul teruk.
Tetapi Aki Alang yang terhumban ke seberang jalan sekadar tidak dapat bangun sahaja. Setelah dibawa ke hospital tidak ada kesan-kesan luka dikulitnya. Bagaimanapun dia enggan di x-ray kerana tidak mahu tubuhnya dilakukan macam barang tidak bernyawa. Dia sendiri meminta supaya dibawa sahaja balik ke rumah.
Sebaik sahaja sembuh selepas dilanggar kereta, Aki Alang masih mampu membantu menantunya dirikan rumah. Tatkala naik ke bumbung rangka rumah, tidak semena-mena rumah tersebut runtuh tidak bersebab. Sekaligus pula Aki Alang terhumban jatuh ditimpa kayu kasau dan tiang-tiang rumah jongkang kalang. Lebih satu jam Salim bersama Ulung Mali memunggah runtuhan kayu-kayu itu untuk lepaskan Aki Alang yang terhimpit di situ.
Memang tidak ada berbekas pada tubuh Alang akibat ditimpa runtuhan rangka rumah itu. Tiga hari sahaja dia terbaring demam, tetapi selepas itu dia bangun juga ke kedai mencari teh. Tidak dapat meneguk teh di kedai terasa tidak selesa pada dirinya.
 "Angah, aki ni banyak buat dosa ..." tuturnya seolah-olah menusuk ke jiwa saya tatkala bibirnya bergerak-gerak. Memang suaranya tidak kedengaran lagi akibat menahan kesakitan yang dideritainya sekian lama.
"Semua nya urusan Allah," bisik saya mengusapkan tangan ke mukanya dengan membacakan Fa-tihah.
Dia seolah berdiri di hadapan lorong yang gelap memanjang. Kebimbangan terbayang di wajahnya yang murung hingga teragak-agak mahu melangkah. Ce-pat-cepat saya membacakan:
La-ilahaillallahhu wal-lahhu akbar sad-daqahu rabbahu faqala la-ilaha illa-ana wa-ana-akbar, wa-izaqala la-ilahaillallahhu wandahu la-syarikalahu gala yaqulu la-ilahailla ana-wandi la-syarikali, wa-izatiala la-ilahaillallah lahulmulku walahul hamdu gala la-ilahailla ana-liyal hamdu waliyal-mulku, wa-izaqala la-ilahaillallahhu wala-haulawala qauwata illabillahhi gala la-ila ha-illa-ana wala-haulawala qauwata illabi
Setelah saya hembuskan ke ubun-ubunnya memang saya terasa seolah-olah berdiri di sisinya yang berdiri di lorong gelap memanjang. Di kiri kanannya bergema, bunyi yang menakutkan hingga terasa bulu roma meremang. Ketika ini saya seolah-olah menyerahkan kepadanya lampu suluh penerang kegelapan dengan bungkusan bekalan makanan.
Sebaik sahaja saya hulurkan lampu suluh dan bekalan makanan itu ke tangannya, terlalu berat Aki Alang mahu melangkah. Disebabkan saya masih juga berdiri di sisinya, terpaksalah dia melangkah melalui lorong gelap itu membawa lampu suluh di tangan. Saya terus berdiri memerhatikan dia berjalan di tengah kegelapan itu sehingga hilang bersama silauan lampu suluh di tangannya.
Hanya saya sedari ayah saya menepuk-nepuk bahu saya meminta melepaskan genggaman di tangan Aki Alang yang sudah menghembuskan nafasnya. Perlahan-lahan saya mengesat pelupuk mata lantas berundur ke belakang, apabila Ulung Mali sudah menyuruh adik-adiknya bersiap sedia untuk membujurkan jenazah.
"Buat apa amalkan ilmu macam tu," saya ingatkan Tukimin yang bersusah payah temukan Lahak dengan Wak Busil di Kampung Sungai Nerek itu.
"Saya cuma nak tolong Lahak tu, ustaz," beritahu Tukimin mengeluh pendek.
"Kenapa paksa hati orang perempuan menyukai kita?" soal saya semacam mengejeknya.
Tukimin tersengih-sengih. Memang Wak Busil tidak memaksa dengan kekerasan, tetapi dia mendorongkan perempuan itu jatuh hati kepada Lahak dengan memujanya. Wak Busil hayunkan semangat perempuan itu dengan makrifat melalui buaian tatkala dinihari tengah sepi sesepi-sepinya.
Tentu Tukimin faham mengenai kejadian yang menimpa Aki Alang sampai tiga bulan terlantar tidak dapat buang air kecil itu, disebabkan semasa remajanya memenuhi hawa nafsu dengan perempuan yang dipuja semangatnya. Sudah tentu pula perempuan-perempuan itu tidak dinikahinya, melainkan melakukan perbuatan zina yang dilaknati Allah.
Alangkah seksanya tiga bulan tidak dapat buang air kecil, sekalipun perut terasa senak hingga menggelepar manahan kesakitan! Tetapi siapa yang mahu mema-hami iktibar daripada peristiwa yang menimpa Aki Alang, kerana setiap orang hanya menyangka dia sekadar mengidap penyakit batu karang bukannya qada dari Allah yang mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi?
"Tapi Lahak tu, kahwin," Tukimin masih mempertahankan kawannya itu. "Dia tak berzina dengan perempuan tu, ustaz," katanya dalam suara yang perlahan.
Saya mengangguk lemah. Perkara kahwin atau berzina bukan urusan manusia sesama makhluk, tetapi semuanya ditentukan oleh Allah. Saya sekadar mengingatkan Tukimin supaya tidak menjadikan amalan ilmu pengasih itu untuk memikat perempuan. Jodoh pertemuan di tangan Allah, biarlah Dia yang menentukan segalanya.
Hanya seminggu selepas Tukimin menemui saya itu, dia menelefon memberitahu mengenai Lahak yang sering bergaduh dengan dua orang isterinya. Jiran-jiran di sebelah rumahnya sampai menelefon polis kerana tidak sabar dengan pertengkaran yang melarat sampai jam 4.00 pagi.
Bukan di rumah isteri tua sahaja Lahak bertengkar hingga menjerit-jerit kuat, malah balik ke rumah Saerah juga tidak pernah tenteram. Terpaksa Lahak meminta bantuan Tukimin mencari bomoh biar rumah tangganya kembali tenteram.
Mereka berdua sudah menemui Wak Busil di Temerloh. Tersenyum Wak Busil apabila diberitahu mengenai perbalahan Lahak yang sudah beristeri dua itu kerana tidak dapat mengawal isteri-isterinya. Kemudian dia bekalkan pinang. beracik supaya dikunyah sebelum masuk ke rumah. Memang isterinya tidak bercakap apa-apa tatkala pinang dikunyah. Tetapi menjelang tengah malam sahaja isterinya tetap membebel juga. Isterinya tetap melepaskan geram dengan menerkam Lahak macam harimau tengah lapar. Tidak bertangguh Lahak balik ke rumah Saerah sekalipun sudah jam 2.00 pagi.
Saerah juga tidak mahu bukakan pintu sebaik sahaja kereta berhenti di hadapan rumah. Sampai pagi Lahak terpaksa merengkok dalam kereta tertidur di luar rumah.
Sebab itulah dia desak Tukimin membantunya. Hatinya semakin tidak tenteram setelah berkahwin dua. Kalaulah tidak disebabkan berkeras menemui Wak Busil untuk memikat hati Saerah, tidaklah keadaan rumah tangganya menjadi kucar kacir. Dia terpaksa tempuhi juga kegelisahan semikian disebabkan segalanya telah terlanjur.
"Tolonglah ustaz," terharu sangat Lahak mendesak apabila dibawa oleh Tukimin menemui saya. "Selamatkan rumah tangga saya yang sudah tidak tenteram lagi," katanya tidak segan-segan meluahkan perasaan hati yang terbendung dalam jiwanya.
Saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menasihati Lahak. Marah juga saya pada Tukimin yang memberikan saya beban demikian, sedangkan saya tidak pernah mendorongkan Lahak menggunakan amalan tersebut. Kalau Wak Busil sudah tidak dapat membantu setelah dia melorongkan perbuatan itu, bagaimana pula saya boleh menolong Lahak?
Lama saya berfikir, lantas saya menyuruhnya lakukan sahaja sembahyang tahajud dan bertaubat kepada Allah. Kemudian saya suruh dia amalkan membaca doa selepas solat sunat tahajud itu:
Yahibbu nahum kahu-bbillahhl wallazina amanu asyaddu hubban-lillahhi, zui-yina linnasi hubbusy-syahawati minnan nisa-i walbani-na walqanathiril muqantharah.
Saya sekadar menasihati Lahak supaya lakukan solat sahaja apabila menghadapi kesulitan demikian. Tetapi dua minggu selepas itu dia datang menemui saya memperkenalkan isteri tuanya. Tiga hari selepas itu dia datang lagl membawa Saerah pula, letapi dia tidak memberitahu apa-apapun mengenai isterinya.