Tuesday, February 23, 2016

164. MELAWAN TIGA LELAKI BERTANDUK




MEMANG terasa malas mahu bangun mengangkat telefon tatkala sedang membaca buku di bilik.  Terpaksa isteri saya berkejar dari ruang dapur mencapai telefon,  sebaik sahaja ianya berdering berulang kali. Tahu sangat isteri saya dia tidak akan mengganggu sekiranya saya leka membaca buku di tingkat atas.
Tetapi terpaksa juga dia memanggil saya setelah diberi tahu Haji Maasar di Segamat yang menelefon.  Sudah beberapakali dia menelefon semasa saya ke Sumatera menemui Haji Salim di Batu Sangkar.  Balik dari madrasah Haji Salim sengaja Mamak Bandaro mengajak ikut jalan ke Baso sebelum ke Payakumbuh.
Mamak Bandaro mahu mengajak saya berhenti makan tengah hari di restoran tengah sawah menikmati belut goreng garing.  Memang saya tidak gemar sangat belut goring garing itu,  tetapi disebabkan Mamak Bandaro mendesak terpaksa juga saya menjamah sedikit.
Bagaimana pun menjamah belut goreng garing tidak sama dengan daging dab buat sup yang disogok oleh Haji Maasar sewaktu saya menemui dia di Segamat.  Entah kenapa tidak teringin langsung saya mahu menjamahnya sekali pun Haji Maasar mengakui banyak khasiatnya.
Bukan daging dab sahaja tidak menyelerakan saya,  malah daging arnab pun saya tidak pernah menjamah.  Kalau balik ke kampung emak saya akan sembelih juga arnab peliharaannya yang banyak penuh sekandang disebabkan isteri dan anak-anak saya gemar masak rendang.  Tetapi saya tidak teringin mahu menjamahnya walau pun secubit.
“Ini rezeki dari Allah, apa salahnya nikmati,”  sengaja Mamak Bandaro mendesak tatkala menghulurkan goreng belut garing itu.
Terpaksa juga saya jamah belut goreng garing itu.  Memang terasa kelazatan setelah dihidang dengan masakan demikian.  Tetapi Mamak Bandaro mengakui amalan memakan daging belut itu boleh menghidarkan sakit pinggang.  Bagaimana pun saya tidak tahu apakah hubungan sakit pinggang dengan khasiat memakan daging belut ini.
Emak saya juga ingatkan fasal amalan memakan daging arnab boleh hindarkan penyakit lelah.  Sebab itu emak saya gemar memakan daging arnab hingga penuh sekandag dipeliharanya.
Perkara menghindarkan penyakit itu tidak penting sangat pada saya.  Sebenarnya saya tidak gemar menikmati daging belut, daging arnab atau daging dab.  Memang Haji Maasar beri tahu mengenai khasiat daging dab ini,  tetapi selera saya tidak mahu menerima hidangan daging dab yang disajikan oleh Haji Maasar.
“Ini bukan fasal daging dab, ustaz!”  saya mendengar Haji Maasar ketawa memanjang melalui telefon.
Saya juga ketawa dengan usikan Haji Maasar.  Tahu sangat dia asal sahaja menelefon nescaya saya akan tanyakan mengenai daging dab.  Hingga kadangkala sengaja saya memanggilnya Haji Dab sahaja.
Lama juga dia terdiam di sebabkan serba salah mahu memberi tahu sebab dia menelefon beberapa kali sewaktu saya masih lagi di Bukittinggi menziarahi Mamak Bandaro.  Memang tidak lama saya ke Bukittinggi,  tetapi Haji Maasar berasa hampa sangat setelah mendapat tahu saya tidak ada di rumah.
Sebab itu dia terus sahaja menelefon setelah diberi tahu oleh isteri saya mengenai kunjungan ke Bukittinggi Cuma dua tiga hari sahaja.  Sebaik sampai di Bukittinggi terus sahaja ke Batusangkar menemui Haji Salim tengah uzur.  Ketika saya jejak kaki ke rumahnya Haji Salim sudah segar sampai berdekah-dekah ketawa mengusik isterinya Hajah Patomah.
“Saya nak kerumah ustaz, sehari dua ni,” jelas Haji Maasar kerana bimbang saya keluar ke mana-mana pula.
Tetapi Haji Maasar sengaja menelefon sebelum dia datang berkunjung.  Kalau dia tidak menelefon pun,  saya memang tidak ke mana-mana.  Hanya kebetulan sahaja saya ke Bukittinggi semasa Haji Maasar bertanyakan melalui telefon sama ada saya ada di rumah atau pun tidak.
Sudah lama saya berkawan dengan Haji Maasar, hingga dia tunaikan umrah ke Mekah pun mengajak saya ikut sama.  Sewaktu perniagaan jatuh merosot dia menemui saya mengharapkan saya boleh membantunya.  Tetapi saya ingatkan Haji Maasar hanya kepada Allah sahaja memohon pertolonan,  kerana saya tidak berupaya apa-apa.
Selepas dia menemui saya itulah perniagaannya naik semula.  Sebab itulah Haji Maasar bersungguh-sungguh sangat mengajak saya temankan dia tunaikan umrah ke Mekah.  Dia percaya perniagaannya naik semula disebabkan doa saya.  Terpaksa pula saya ingatkan dia mengenai Allah Subhanahu Wataala sahaja yang mengurniakan kepada hamba-Nya rezeki atau menyempitkan.
Memang saya penuhi juga hasrat Haji Maasar yang mahu menunaikan umrah bersama saya.  Apa salahnya saya turuti dia ke Mekah Mukarammah sekiranya dia ikhlas.  Perkara perniagaannya pulih semula tidak penting sangat disebabkan semuanya ditentukan oleh Allah.
Tatkala di Mekah sepanjang malam Haji Maasar mengeluh disebabkan kepalanya sakit berdenyut-denyut.  Asal sahaja duduk menghadap kaabah dia semakin terganggu dengan sakit kepala yang menusuk-nusuk itu.  Apabila balik ke tempat penginapan sakit kepalanya beransur reda, setelah saya doakan dengan membaca:
A’uzu bi’izzatillahhi waqo-dratihi min sarrima yajidu wayuhaziru, wa-imma yanza ghanna ka minsy syaitoni nazghun fasta’iz billahhi, innahu huwas sami’ul ‘alim.
Tetapi Haji Maasar berkeras juga bangun tengah malam jam 3.00 pagi jejak kaki ke tengah Masjidil-Haram.  Dia tetap terconggok menghadap kaabah sekali pun kepalanya berdenyut-denyut sakit.  Tiga malam berturut-turut Haji Maasar melawan sakit kepalanya semata-mata mahu duduk menghadap kaabah, tiba-tiba dia merasa pahanya dihimpit paha lelaki bertubuh besar.
Semasa dia berpaling Haji Maasar melihat kulit lelaki itu hitam dengan tubuhnya duduk sama tinggi dengan Haji Maasar berdiri.  Berdebar benar hati Haji Maasar apabila didampingi oleh lelaki berkenaan.  Asal sahaja dia cuba melepaskan pahanya yang terhimpit, lelaki berkenaan terus juga mengasak.
Kalau tidak kenang sedang menghadap kaabah, memang mahu sahaja Haji Maasar jerkah lelaki berkenaan.  Biarlah lelaki itu tidak memahami bahasa yang dituturkan,  tetapi setidak-tidaknya lelaki bertubuh besar itu sedar Haji Maasar tidak senang diperlakukan demikian.
“Kalau kepala awak sakit boleh dilawan, takkan paha kena himpit tak boleh sabar!”  terkejut juga Haji Masar apabila lelaki bertubuh besar itu boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
“Awak nisiapa,  rupanya macam orang Habsyah tapi tahu cakap melayu?”  gerutu Haji Maasar melepaskan geram yang mendongkol di hati.
Lelaki hitam bertubuh besar itu tidak menyahut apa-apa Dia terus menunjduk dengan kepala meliuk ke kiri ke kanan.  Pahanya masih menghimpit paha Haji Maasar.  Saat ini Haji maasar dapat menuduh lelaki bertubuh besar di sisinya tentu syaitan yang mahu mengganggu, sekali pun ketika itu sakit kepala yang berdenyut-denyut tidak terasa langsung.
Segera Haji Maasar membacakan Ayatul Kursi, tetapi diikuti sama oleh lelaki itu.  Hingga masuk waktu subuh barulah lelaki bertubuh besar itu meninggalkan Haji Maasar hilang ditengah orang ramai yang berombak-ombak melakukan tawaf tujuh keliling.
Apabila Haji Maasar memberi tahu saya setelah balik ke tempat penginapan mengenai kejadian yang menimpanya,  saya sendiri tidak dapat mengagak apa-apa.  Lagi pun setelah meninggalkan Mekah al-Mukarammah menuju ke Madinah al-Munawarrah Haji Maasar tidak lagi diganggu sakit kepala.  Sewaktu dia bangun jam 3.00 pagi duduk di tengah masjid Nabawi, tidak pula menemui lelaki bertubuh besar dengan kulitnya hitam itu.
Memang Haji Maasar tetap kenang kejadian yang dialaminya semasa menunaikan umrah bersama saya bertahun-tahun dulu.  Selepas itu apabila dia ke Mekah, memang Haji Maasar sentiasa membeli dab.  Gemar sangat dia menjamah daging dab dimasak sup.
“Bukan fasal daging dab, ustaz,”  terkekeh-kekeh dia ketawa di telefon apabila kenang daging dab.
“Kalau haji nak datang, tak fasal daging dab pun ada salahnya,”  lantas saya mengusiknya.  Bertambah terkekeh-kekeh dia ketawa disebabkan dia tahu saya mengusiknya mengenai kemampuannya berkahwin tiga orang.
“Kahwin tiga orang,  bukan fasal daging dab, ustaz!”  ujarnya masih lagi ketawa memanjang. Memang dia suka bergurau hingga bercakap pun sentiasa terkekeh-kekeh ketawa dengan tidak bersebab.
Di sebabkan Haji Maasar sudah memberi tahu dia akan datang dari Segamat,  memang saya tidak bercadang mahu ke mana-mana. Lama juga sudah lama tidak bertemu Haji Maasar setelah saya kerapkali ke Sumatera sampai tidak sempat mahu berkunjung ke rumah kawan-kawan.
Bukan ke rumah Haji Maarit di Segamat saja lama saya tidak berkunjung ke rumah Kadir Misai juga tidak sempat mahu berhari raya pun.  Hanya Kadir Misai menelefon memberi tahu Mat Jubin selalu uzur,  hingga sudah dimasukkan ke hospital beberapa kali.
Memang saya berasa hairan juga apabila Haji Maasar tidak mahu memberi tahu apa-apa hasratnya apabila mahu menemui saya.  Masakan perkara rahsia sangat hingga tidak boleh dijelaskan langsung kepada saya.  Salangkan pahanya dihimpit lelaki bertubuh besar di tengah Masjidil-Haram pun dia beri tahu juga kepada saya.  Sudah tentu bukannya manusia biasa yang menghimpit paha Haji Maasar disebabkan duduknya sama tinggi dengan Haji Maasar berdiri.
Siapa pun tidak peduli Haji Maasar merintih meminta pertolongan kerana masing-masing khusyuk berdiri dengan tidak menghiraukan Jemaah lain.  Tentulah mereka juga tidak menyedari kehadiran lelaki bertubuh besar hingga duduknya pun sama tinggi Haji Maasar berdiri.  Manalah wujud manusia biasa sebesar yang dilihat oleh Haji Maasar itu.
Disebabkan Haji Maasar memberi tahu dia akan datang berkunjung dalam masa sehari dua,  saya sendiri dapat mengagak tentulah bukan perkara penting sangat.  Kalau tidak penting kenapa dia terpaksa berpesan di telefon mahu sangat berjumpa dengan saya?
Sewaktu tunaikan solat tahajud tengah malamnya,  saya seolah-olah melihat keliling rumah Haji Maasar dipenuhi kulit limau yang sudah dihiris.  Kulit limau yang kering itu berlonggok di dalam longkang di sekeliling rumah hingga baunya terasa tengik menusuk hidung.  Keadaan rumah lenggang tidak diganggu bunyi apa-apa pun,  kecuali desir angin memukul daun-daun pokok berhampiran.
Ketika ini isterinya Hajah Selibah tercengang-cengang ketakutan apabila melihat seorang wanita muda duduk bertimpuh di udara.  Bimbang sangat Hajah Seliah sebaik sahaja melihat wanita muda itu terjongol di tengah kesamaran malam.
Lantas dia bangunmenerpa ke jendela sambil menyelak langsir.  Hajah Selibah tidak peduli lagi suaminya Haji Maasar nyenyak tidur apabila melihat wanita muda itu terjongol muka  di udara.
“Aku dah cakap,  ikut aku kalau mahu kekayaan!”  ujar wanita muda itu tidak berkedip mata merenung Hajah Selibah.
“Macam mana aku nak pergi,  kalau suami aku tak ikut sama?”  sahut Hajah Selibah gementar menahan sebak suara yang menusuk ke dada.
“Kita jumpa dulu tok guru,”  jelas wanita muda itu perlahan.  “Bila dalam bilik awak akan lihat tok guru itu sama dengan suami awak juga,”  dia terus memujuk untuk menpengaruhi Hajah Selibah.
“Ah, biarlah aku susah di dunia,  jangan terseksa di akhirat!”  lantas Hajah Selibah meluahkan rasa geram dengan desakan wanita muda itu berterusan.
Haji Maasar yang terlina tidur merungut-rungut halus bagaikan mengigau tidak menentu.  Marah sangat dia dengan jelmaan wanita muda itu mendesak isterinya menemui tok guru,  biar cepat mendapat wang berlonggok di depan mata.  Wanita muda itu sendiri mengakui dia sudah mendapatkan wang beribu-ribu ringgit setelah suaminya menanggung kerugian dalam perniagaan.
“Aku tahu kamu!”  gerutu Haji Maasar meracau dalajm igauannya.
“Apa yang awak tahu, Haji Maasar?”  sengaja jelmaan wanita muda itu mengejeknya menyebabkan Hajah Selibah terkejut.
“Awak nak ajak Selibah jumpa tok guru kau!”  semakin galak Haji Maasar meracau.
“Selibah yang pujuk aku,”  sahut wanita muda itu tersengih-sengih mengerling Hajah Selibah.
“Tak guna awak ke Mekah naik haji,  tapi tunduk pada tok guru!”  sengaja Haji maasar mengejek.
Terlalu marah wanita muda itu diejek demikian oleh Haji Maasar.  Dia mengisar tangannya hingga memancar kilat di udara.  Di tengah kilat itu tiba-tiba menjelma lelaki berkulit hitam tidak berbaju dengan rambutnya panjang sampai ke bahu.  Kepalanya dililit kain warna kuning dengan di lehernya tergantung tangkal yang memancar-mancar cahaya hitam.
Lelaki itu berjalan di udara diiringi oleh tiga lelaki bertanduk dengan matanya memancar merah.  Apabila dia mengisar-ngisar tangkal di leher tiga  lelaki bertanduk yang mengiringinya terus mendamping wanita muda itu.  Tahu sangat Hajah Selibah wanita muda itu memang kawan baiknya sejak bertahun-tahun.
Sebaik sahaja lelaki bertanduk itu mengusung wanita muda berkenaan ke sisi lelaki berkulit hitam tidak berbaju itu,  Hajah Selibah melihat mereka berdua bercumbu bagaikan suami isteri.  Berdebar benar hati Hajah Selibah kerana kawannya itu sanggup melayani lelaki tidak bebaju yang dipanggilnya tok guru.
Memang dia serba salah melihat kejadian tersebut di sebabkan kawannya itu masih lagi bersuami.  Tahu sangat dia suami wanita muda itu yang mengalami kemerosotan perniagaan.  Hampir sahaja suami kawannya itu hilang akal di sebabkan masalah yang menimpanya.
Di sebabkan masalah yang dihadapi oleh suaminya itulah wanita muda itu terjerumus menemui tok guru.  Setelah bertemu tok guru itulah perniagaan suaminya kembali pulih.  Tetapi wanita muda itu disyaratkan menemui tok guru itu asal sahaja malam Jumaat hingga santak sampai ke subuh dengan tidak diketahui oleh suaminya.
“Lfamidah, tak baik awak buat macam tu!?  Saya mendengar Hajah Selibah melaung dari jendela mendongak ke udara.
“Kamu jangan nak berpura-pura Selibah,”  sahut Lamidah membiarkan dirinya dipeluk erat oleh tok guru.  Apabila dia mengusap-usap dada tok guru Hajah Selibah melihat lelaki tidak berbaju itu menjelma bagaikan Haji Derahim suami wanita muda itu.
Tersengih-sengih Lamidah mengejek Hajah Selibah di sebabkan kawannya itu berasa hairan apabila tok guru menjelma menjadi Haji Derahim dalam masa sekelip mata. Apa salahnya dia bermesra dengan suami sendiri sekali pun Hajah Selibah tahu di depannya memang tok guru yang menjelma menukarkan dirinya demikian.
“Tapi, lelaki itu bukan Haji Derahim!”  ujar Hajah Selibah mencebek bibir.
“Kamu pun sama macam aku, Selibah,”  Lamidah mencemik muka mengejek kawannya.”Kita ni isteri ketiga,  kalau tak berikhtiar kita akan terbuang nanti,”  dia terus mencemuh disebabkan Hajah Selibah enggan diajak menemui tok guru yang menjanjikan bantuan untuk membantu.
Lamidah sendiri beri tahu mengenai tok guru yang boleh menjelmakan wang berpuluh ribu ringgit asal sahaja sanggup bersamanya setiap malam Jumaat.  Lamidah juga dikehendaki mencarikan wanita lain yang masih bersuami untuk menggantikannya,  sekirannya dia tidak mahu lagi menemui tok guru.  Sekiranya Lamidah tidak dapat mencarikan ganti dia akan menerima padah kalau sengaja meninggalkan tok guru.
Sebab itu Hajah Selibah sudah dapat menangkap tujuan Lamidah mahu membawa dia menemui tok guru.  Sudah tentu Lamidah juga mulai bosan untuk melayani tok guru berterusan.  Manalah tahu rahsianya akan diketahui juga oleh Haji Derahim setelah dia carikan wang untuk menutup kerugian yang dialami dalam perniagaan.
Biarlah dia carikan gantinya untuk tok guru dengan serahkan Hajah Selibah.  Sekiranya Hajah Selibah sudah bosan dengan Tok Guru dia boleh carikan gantinya di mana-mana.  Siapa sahaja isteri orang boleh diperdayakan kalau mereka perlukan wang.  Apa lagi mereka yang berniaga tengah menghadapi kesulitan berterusan.
“Aku akan beri tahu suami kamu,  Haji Derahim!”  lantas Hajah Selibah ingatkan setelah melihat Lamidah di dalam pelukan tok guru itu.
Terlalu marah Lamidah apabila diugut Hajah Selibah demikian.  Dia mendongak meminta pertolongan tok guru setelah merasa dihina olah Hajah Selibah.  Dia tidak peduli lagi sama ada Hajah Selibah kawan baiknya atau tidak.  Asal sahaja menghina perbuatannya dia tetap akan bertindak.
Segera tok guru memberi isyarat kepada tiga lelaki bertanduk yang tercegat berpeluk tubuh di sisinya, supaya menyerbu kearah Hajah Selibah.  Mereka bertiga serentak menyerbu lantas menyerkup Hajah Selibah dengan  karung guni. Meronta-ronta Hajah Selibah di dalam karung guni menjerit-jerit memanggil Haji Maasar.
Sebaik sahaja mendengar jeritan isterinya Haji Maasar bingkas bangun menerpa ke jendela.  Dia melompat ke udara menyepak dagu lelaki bertanduk itu.  Tahu sangat dia di dalam karung guni  itu isterinya tengah meronta-ronta minta dilepaskan.
Masakan dia boleh membiarkan tiga lelaki bertanduk itu melarikan Hajah Selibah didepan matanya.  Dia sanggup melakukan apa sahaja kalau lelaki bertanduk itu bersikap biadap hingga tidak mengenali isteri orang.  Apabila lelaki bertanduk itu berkeras mahu bertahan,  segera Haji Maasar membacakan:
Laqod ja-akumrasulum min-anfusakum ‘azizun ‘alaihi ma-‘anittum harisun ‘alaikum bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiyal-lahhu la-ilaha illa huwa ‘alaihi tawak-kaltu wahuwa rabbul ‘arsyil ‘azim/
Tujuh kali diulangi oleh Haji Maasar lantas dia memusingkan dirinya hingga berputar seperti gasing tengah naik uri.  Putaran tubuh Haji Maasr itu menyebabkan tiga lelaki bertanduk itu menjadi cair laksana lilin terbakar.  Sebaik sahaja melihat tiga lelaki bertanduk itu cair segera tok guru melompat melepaskan Lamidah dari pelukannya.
Lama tok guru itu merenung muka Haji Maasar yang masih berputar ligat seperti gasing tengah naik uri.  Libasan angin akibat putaran tubuh Haji Maasar memancar memercikkan api menyebabkan tubuh tok guru melecur akibat diterjah percikan api itu.
Disebabkan tidak bertahan dengan percikan api yang memancar dari putaran tubuh Haji maasar,  lantas tok guru melayang ke udara hilang bersama kegelapan malam.  Haji Maasar juga segera memberhentikan putaran tubuhnya.  Tidak bertangguh dia membuka karung guni yang ditinggalkan mengeluarkan semula isterinya.
Tatkala terbangun dari tidurnya,  Haji Maasar berasa kepalanya pening akibat berputar ligat.  Tetapi dia terkejut apabila menyedari isterinya Hajah Selibah menangis teresak-esak.  Hajah Selibah beri tahu dia mengenai tok guru akan ganggu mereka suami isteri setelah Lamidah bersetuju serahkan dia kepada tok guru berkenaan.
“Siapa tok guru tu?”  hairan juga Haji Maasar apabila diberi tahu oleh isterinya mengenai tok guru berkenaan.  Dia sendiri tidak cam sangat mengenai tok guru yang dilihat di dalam mimpinya tidak berbaju dengan rambut terurai sampai ke bahu diikat kepala kain merah.
Hajah Selibah menggeleng lemah.  Bimbang juga dia mahu perjelaskan mengenai kawannya Lamidah sudah berjanji dengan tok guru mahu serahkan dirinya.  Sama ada dia bersetuju atau tidak tok guru akan seru namanya sampai dia datang melutut.  Cubalah bertahan kalau mahu  menghina tok guru!.
Memang Lamidah terpaksa memujuk Hajah Selibah supaya dia dapat melepaskan diri dari tok guru. Selagi tidak dapat mencari ganti nescaya tok guru tidak akan lepaskan dirinya.Tentu Haji Derahim syak juga apabila dia berterusan meninggalkan rumah asal sahaja menjelang hari Jumaat.  Kalau takat berdalih balik ke kampung tentu Haji Derahim tidak akan percaya sekiranya terlalu kerap.
Lagi pun tok guru sendiri sudah desak dia supaya carikan wanita lain kalau mahu kekalkan duit yang dimilikinya.  Kalau tidak dicarikan gantinya nescaya duit di tangan akan bertukar mendadi kain putih dengan kemenyan.  Haji Derahim sendiri sudah mengalaminya semasa membawa wang berkenaan ke bank apabila bertukar tidak semena-mena menjadi kain putih bersama kemenyan sudah ditumbuk hancur.
Tatkala Haji Derahim memerlukan wang beribu ringgit dia terkejut apabila Lamidah sanggup pinjamkan dia duit berapa banyak pun.  Lamidah berjanjji dapatkan duit dari tok guru dalam tempoh seminggu,  sementara menunggu hari Jumaat.
Setelah wang tersebut di perolehi tidak sabar lagi Haji Derahim mahu masukkan ke bank,  sebelum mendapat restu tok guru.  Memang terkejut Haji Derahim tatkala membuka beg dompetnya, wang di dalamnbya bertukar menjadi kain putih bercampur kemenyan
Marah benar dia disebabkan tertipu demikian.  Sebaik sahaja sampai di rumah Haji Derahim menjadi lemah tenaga apabila berdepan dengan isterinya Lamidah.  Hatinya menjadi lemah selemahnya hingga tidak berani menuturkan apa-apa lagi.  Dia melihat Lamidah terlalu jelita hingga terpesona menyebabkan dia terpegun merenungnya.
Perkara wang di tangannya bertukar menjadi kain putih dengan kemenyan tidak penting lagi.  Biarlah duit di dalam dompetnya habis tidak tinggal sehelai pun asalkan Lamidah sentiasa di sampingnya.  Dia rela Lamidah ke mana sahaja beberapa hari hatta masuk ke gua bertapa untuk pelajari apa pun amalan.
Haji Derahim tidak peduli siapa pun tok guru tempat Lamidah amalkan amalan,  setelah diberi syarat demikian.  Dia tidak boleh mengenali siapa tok guru sehingga semua hutang perniagaan yang ditanggungnya dapat dibayar habis.
Tiga minggu Lamidah tinggalkan rumahnya, memang dia balik membawa wang yang banyak.  Haji Derahim tidak syak apa-apa lagi disebabkan wang tersebut boleh digunakan membayar apa sahaja hutang yang ditanggung.  Masukkan ke bank pun tidak bertukar menjadi kain putih atau kemenyan.  Dia percaya amalan isterinya mampu selamatkan dirinya daripada mengalami keruntuhan perniagaan yang memalukan.
Tahu sangat Hajah Selibah semenjak Lamidah amalkan amalan tok guru memang banyak perubahan pada dirinya.  Lamidah suami isteri sudah bertukar kereta baru yang lebih mewah, sudah membeli rumah bungalow mewah lebih besar, sudah banyak wang simpanan di dalam bank.
Lamidah sendiri tunjukkan kepadanya mengenai wang simpanan,  hingga boleh serahkan secekak kepada Hajah Selibah.  Seminggu duit secekak yang diberi oleh Lamidah itu di simpannya baik-baik dengan tidak memberi tahu suaminya Haji Maasar.  Kalau tidak di sebabkan mereka suami isteri bertengkar kecil, memang duit secekak yang diberi oleh Lamidah itu Hajah Selibah akan belanjakan.
Disebabkan mereka tidak bertegur akibat bertengkar kecil, duit secekak itu disimpan sahaja.  Seminggu kemudian Lamidah datang berkunjung, cepat-cepat Hajah Selibah pulangkan semula wang berkenaan.  Bimbang juga dia mahu belanjakan wang secekak yang di pinjamkan oleh Lamidah itu.  Manalah tahu setelah dibelanjakan dia akan menurut sahaja kemahuan Lamidah hingga menemui tok guru berkenaan.
Perlahan-lahan saya mengesat air yng tergenang di pelupuk mata apabila kenang lintasan yang terbayang pada saya selepas tunaikan solat tahajud.  Saya mula dapat mengagak tentu kejadian yang dialaminya itu mahu di sampaikan oleh Haji Maasar kepada saya.
Paginya, tatkala saya selesai solat sunat dhuha sebelum masuk ke bilik membaca buku, isteri saya memberi tahu Haji Maasar sudah sampai di tengah halaman dari Segamat.  Cepat sangat dia sampai hingga tidak sempat menunggu dua tiga hari.  Sebaik sahaja saya keluar mendapatkannya tidak bertangguh Haji Masar memeluk saya.
Setelah mempersilakan duduk, memang serba salah juga Haji Maasar mahu memberi tahu saya.  Tetapi apabila saya bertanyakan mengenai tok guru dan wang yang diperolehi oleh Lamidah, terkejut juga Haji Maasar.  Lantas sahaja dia menuduh isterinya Hajah Selibah yang menelefon saya memberi tahu mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
Segera saya ingatkan dia bahawa isterinya tidak pernah menelefon.  Saya sekadar agakkan sahaja berdasarkan kegelisahan Haji Maasar sendiri setelah bepandukan kepada lintasan bayangan seolah-olah saya mengalami mimpi itu.  Setelah Haji Maasar menjelaskan kejadian yang dialami oleh isterinya,  memang saya sendiri terkejut kerana mempunyai persamaan seperti yang saya lihat dalam lintasan bayangan selepas solat sunat tahajud.
“Macam mana nak buat sekarang, ustaz?”  keluh Haji Maasar perlahan.  Kalau tidak ada pilihan lain memang dia akan buat laporan polis sahaja di sebabkan Lamidah kerap kali sangat mengganggu isterinya melalui telefon.  Lamidah berterusan memujuk isterinya supaya menemui tok guru berkenaan dengan tidak hiraukan sama ada Haji Maasar bersetuju atau tidak.
Apabila kenangkan isterinya hampir jatuh tertumus tatkala mengampai kain basuhan Haji Maasar menjadi semakin bimbang.  Semenjak berturut-turut tiga pagi, dia menemui kulit limau dipotong berselerak di kelililing rumah.  Apabila dikutip untuk dibakar,  dia terkejut di sebabkan kulit limau itu melompat-lompat bagaikan mengelak dari dicampakkan keapi.  Terpaksa Haji Maasar gunakan penyapu buruk mengaut kulit limau dipotong itu ditolak ke tengah api marak menyala.
Memang Hajah Selibah mengaku dia hampir jatuh tertumus setelah merasakan dirinya ditolak oleh rempuhan tiga lelaki bertanduk.  Sebaik sahaja dia menjerit memanggil Haji Maasar,  tiga lelaki bertanduk itu menghambur keudara hilang bersama elusan angin.
Beberapa kali juga Hajah Selibah bermimpi melihat lelaki berkulit hitam tidak berbaju tercegat di pintu pagar rumahnya.  Rambut lelaki itu mengurai panjang hingga ke paras bahu dengan diikat kain lilit merah.  Dia memakai tiga kalung bagaikan tangkal bersama azimat.  Tetapi lelaki berkenaan tidak mampu membolos masuk ke kawasan berpagar.
“Tak tahu saya nak buat apa-apa,  Tuan Haji,”  sahut saya secara ikhlas setelah dijelaskan oleh Haji Maasar.  Memang saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghalang selagi Hajah Selibah sendiri rela berhubungan dengan Lamidah yang menjadi perataraan tok guru.  Lainlah kalau Hajah Selibah sendiri tidak mahu melayani langsung panggilan telefonnya.
Kalau mahu dikira celupar, tahu sangat saya perangai Haji Maasar mudah sangat lepas cakap tidak peduli apa-apa.  Sewaktu saya ke Bukittinggi memang dia tanyakan juga kepada isteri saya,  kalau duit dalam simpanan hilang tidak bersebab.  Terkekeh-kekeh dia ketawa apabila isteri saya beritahu kalau tidak perbuatan toyol boleh jadi juga perbuatan hantu raya.
Jenis syaitan demikian memang digunakan oleh mereka yang amalkannya untuk dapatkan wang.  Sama ada percaya atau tidak amalan demikian memang sanggup diamalkan oleh mereka yang tidak takut kepada laknat Allah dengan menjadikan syaitan karibnya.
Selepas diberi tahu demikian,  Haji Maasar tidak henti-henti menyebut fasal hantu raya.  Kalau Lamidah menelefon isterinya beri tahu mengenai wang yang diperolehinya, tidak teragak-agak dia menuduh Lamidah gunakan hantu raya.  Sikap Haji Maasar ini memang tidak saya senangi kerana perkara yang tidak boleh dilihat ini bukan untuk celoteh sesuka hati.
Memang Haji Maasar tidak tahu menutup mulut kalau menyebut perkara demikian.  Sebab itu saya malas sangat mahu bercakap mengenai amalan-amalan demikian kerana Haji Maasar bermegah-megah sangat.  Kadangkala di depan kawan-kawan pun dia tergamak beri tahu mengenai diri saya boleh melawan amalan syaitan dan ilmu hitam,  sekali pun berkali-kali saya ingatkan dia bahawa yang Maha Berilmu hanya Allah Subhanahu Wataala.
Kalau tidak kenangkan sudah lama berkawan, memang saya tidak sanggup melayani kerenah Haji Maasar.  Memang dia tidak berahsia mengenai amalan yang sukar dilihat dengan pandangan biasa.  Dia tidak menyedari perbuatan demikian boleh disalah tafsirkan oleh mereka yang tidak memahami hingga boleh dituduh sebagai memfitnah.
Sebab itu Haji Mat Lohim yang saya temui di Payakumbuh tidak mahu beri tahu apa-apa kalau didesak mengenai mereka yang boleh menjelmakan diri untuk tujuan yang tidak bermanfaat.  Perkara mendapatkan duit beribu-ribu itu Haji Mat Lohim sendiri mengakui pernah melakukannya setelah berpuasa sampai 44 hari, berselang seli dalam tempoh tujuh hari.
Dia sanggup lakukan semasa lama menetap di Bangkinang berhampiran dengan Pekan Baru.  Tujuh hari pertama berpuasa Haji Mat Lohim diserbu tiga lelaki bertanduk dengan matanya berlubang besar mengeluarkan asap hitam berkepul berbau kemenyan.
Setelah tiga lelaki bertanduk itu mengaku sanggup lakukan apa sahaja perintah Haji Mat Lohim, segera kepalanya di pangkah dengan kapur.  Selepas itu Haji Mat Lohim mulakan puasa tujuh hari kedua pula, hingga dia melihat di kelilingnya batu nesan tercancang saujana mata memandang.  Apabila tanah kubur merekah segala macam mayat keluar di celah batu nesan itu dengan erangan kesakitan.
Semua mayat yang keluar dari rekahan tanah kubur itu di pangkah kepalanya oleh Haji Mat Lohim dengan kapur.  Setelah menemui ujian tersebut baru dia mulakan puasa tujuh hari ketiga pula.  Tetapi Haji Mat Lohim tidak mahu lagi memberi tahu mengenai ujian pada puasa tujuh harinya yang ketiga, keempat, kelima dan keenam.
Hanya dia beri tahu saya selepas cukup 44 hari dia berpuasa, dia melihat jelmaan dirinya tercegat tidak bercakap apa-apa.  Apabila dia bersatu dengan lembaga yang menyerupai dirinya itu Haji Mat Lohimn boleh masuk ke dalam tembok keras sekali pun menjadi penghalang.  Apabila dia masuk menyusup ke dalam peti besi di dalam bank,memang berapa banyak pun duit tersimpan di situ boleh dipunggah keluar.
Tetapi ke mana dia mahu gunakan wang sebanyak itu kalau boleh mencurigakan masyarakat?  Kalau dia tidak berusaha kuat tentu masyarakat akan syak juga  bagaimana dia boleh mendapat wang demikian banyak?  Tentulah sia-sia sahaja amalannya kalau diamalkan berterusan.
“Amalan demikian bukan untuk bermegah-megah,”  ujar Haji Mat Lohim semasa Mamak Bandaro temukan saya dengannya setelah jejak kaki di Payakumbuh.
“Ustaz ni keponakan saya,”  beri tahu Mamak Bandaro apabila Haji Mat Lohim bertanya disebabkan saya mendiamkan diri sahaja sepanjang bertemu di madrasahnya.
“Tentu datang dari jauh?”  tersenyum Haji Mat Lohim menatap muka saya tidak berkedip mata.
Saya mengangguk perlahan.  Kalau saya tidak beri tahu mengenai kedatangan saya dari Semenanjung pun,  Haji Mat Lohim sudah dapat mengagak.  Sebab itu lantas dia menyebut saya datang dari jauh.
“Asalnya orang sini, ramai sanak saudaranya di sini,”  sahut Mamak Bandaro tersenyum riang.
“Tentu kerabatnya Haji Solim di Batusangkar,”  Haji Mat Lohim lantas sahaja menuduh.
Saya mengangguk juga.  Sengaja Mamak Bandaro temukan saya dengan Haji Mat Lohim setelah Haji Salim sendiri bisikkan kepadanya semasa menemui orang tua itu di Batusangkar.  Saya sendiri kepingin juga mahu menemui Haji Mat Lohim apabila diberi tahu oleh Haji Salim mengenai kawannya di Payakumbuh itu.
Tidak ada yang menghairankan pada Haji Mat Lohim kalau disebut sesiapa pun boleh menjelmakan dirinya kepada rupa yang berbeza.  Dia sendiri mengakui boleh mengubah dirinya sampai tujuh jelmaan, sekiranya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Sewaktu di Bangkinang seisi kampung melihat Haji Mat Lohim ada pada tujuh masjid, apabila Belanda mahu menangkapnya.  Hairan juga orang Belanda apakala diberi tahu mereka menemui Haji Mat Lohim pada tujuh tempat dalam satu masa.  Mereka tidak cam Haji Mat Lohim sebenarnya di sebabkan tujuh lelaki yang ditangkap itu menyerupai Haji Mat Lohim.
Marah sangat pegawai Belanda apabila dilaporkan Haji Mat Lohim boleh menyusup masuk mengambil wang beribu-ribu dari simpanan kerajaan.  Haji Mat Lohim dituduh menyusup masuk menggunakan amalan kebatinan,  setelah orang kampung sendiri mengadu kepada Belanda.  Tetapi Haji Mat Lohim tidak dapat ditangkap setelah Belanda tidak dapat cam yang mana di antara tujuh lelaki berkenaan menyerupai Haji Mat Lohim.
“Semuanya boleh dilakukan dengan izin Allah,”  ujar Haji Mat Lohim tersengih-sengih merenung saya.  “Tentu ustaz pun tahu, saya dapat agak banyak yang ustaz tahu,”  jelasnya lembut tidak lepas menatap muka saya.
Mamak Bandaro tersengih-sengih sahaja apabila Haji Mat Lohim menuturkan demikian.  Tahu sangat dia mengenai kejadian di Bangkinangn tatkala Haji Mat Lohim ditangkap Belanda hingga tujuh lelaki pada tujuh masjid yang ditangkap menyerupai dirinya.
“Belanda tidak pernah tangkap saya,”  jelas Haji Mat Lohim tersenyum apabila Mamak Bandaro ungkit kejadian di masa lalu yang dialaminya.  “Boleh jadi mereka tangkap orang lain, masa itu saya berada di Jambi,”  dia menambah sambil menghela nafas panjang.
Memang saya tidak mahu beri tahu Haji Maasar mengenai amalan Haji Mat Lohim itu.  Manalah tahu tok guru yang di temui itu juga mempelajari amalan demikian, manalah tahu Haji Maasar akan becok pula menyindir Lamidah mengenai amalan Haji Mat Lohim.
Kadangkala sukar mahu ingatkan Haji Maasar supaya tidak heboh sangat dengan amalan yang hanya Allah sahaja mengetahui.  Tetapi Haji Masar mudah sangat mahu menyindir seolah-olah dia tahu sangat mengenai amalan orang lain.  Dia tidak tahu amalan seseorang itu tidak sama, sekali pun jalan yang diamalkan mempunyai persamaan.