Saturday, April 11, 2015

119.SUSUK BERLIAN DI RUMPUN SERAI



JAUH di lipatan hati memang sudah jelas gangguan mengenai barang-barang kemasnya yang hilang dalam persimpanan perbuatan toyol.  Siapa lagi yang mampu membolos masuk ke dalam bilik tidur kalau bukan toyol tatkala mereka sekeluarga tengah nyenyak tidur.  Sebaik sahaja malam gelap diserkup kesepian nescaya toyol akan membolos ikut lubang yang boleh ditembusi angin di mana-mana.
Sudah beberapa kali rumah Haji Musir diceroboh hingga tidak ada kesan jendela rumahnya dikopak habis.  Lainlah kalau pencuri memecah masuk tentu pintu atau jendelanya dikopak sampai terpokah macam mulut buaya tengah lapar.  Tetapi pintu atau jendela rumahnya tidak  ada kesan dipecah pencuri yang membolos masuk.
Sebab itu dia berkeras menuduh perbuatan toyol menceroboh.  Semenjak beberapa kali rumahnya diceroboh, wang yang diperosok ke dalam beg duit tidak disentuh satu sen pun.  Hairan juga Haji Musir disebabkan wang di dalam dompet tidak diganggu pencuri yang menceroboh.  Kenapa pun  barang-barang kemas isterinya sahaja yang menjadi sasaran?.
“Awak salah letak agaknya!” gerutu Haji Musir sengaja menyalahkan isterinya Hajah Natisah.
“Nak salah letak apa lagi?”  rungut isterinya Hajah Natisah tersinggung dengan sikap suaminya.  “Kotak bekas cincin dan kalung tu kena selongkar,”  beritahunya mengenai kotak bekas barang-barang kemas itu berselerak di lantai.  Haji Musir sendiri melihat seurat gelang tangannya bertaburan di muka pintu rumah.
“Siapa yang bela toyol di sini?”  marah benar Haji Musir disebabkan sudah beberapa kali rumahnya diceroboh.
“Mana saya tahu,”  sahut Hajah Natisah masih sebak dengan kejadian yang menimpanya itu.  “Kalau saya tahu siapa simpan toyol, sekarang juga saya serbu rumahnya!”  geram benar hatinya apabila kenang mereka yang gunakan toyol semata-mata mahu mencari keuntungan secara mudah.
“Hah, besarnya cakap awak,”  lantas Haji Musir mengejek isterinya yang berdendam sangat apabila rumah mereka diceroboh pencuri.
“Siapa tak marah, kalau gunakan toyol cari untung?”  memang Hajah Natisah tidak dapat maafkan sesiapa sahaja peralatkan toyol mencuri barang-barang kemas di rumahnya.
Tetapi dia hairan benar disebabkan toyol yang menceroboh tidak peduli langsung fasal wang di dalam dompet.  Dia letakkan wang di dalam almari dapur pun toyol berkenaan tidak sentuh apa-apa.  Galak sangat toyol tersebut mahu meragut sebaik sahaja melihat barang-barang kemas yang baru diibeli.  Mudah sangat lembaga kecil seperti bayi baru lahir itu tercium bau barang-barang kemas yang dibelinya.
Kalau dia tidak mendesak suaminya Haji Musir membeli ganti barang-barang kemas yang hilang, nescaya rumahnya tidak diceroboh.  Tetapi, pantang sahaja barang-barang kemas tersebut dibeli sebaik sahaja gantikan barang-barang kemas yang hilang, tetap sahaja toyol berkenaan membolos masuk.
Malu sangat Hajah Natisah sekiranya dia tidak memakai barang-barang kemas tatkala saudara mara datang berkunjung ke rumah.  Tentu mereka akan mengejek dia tidak tahu memikat suaminya untuk meminta belikan barang-barang kemas.  Apalah gunanya dia menjadi isteri muda sekiranya tidak memiliki seurat pun emas berharga? 
Apabila bersedia menjadikan dia isteri mujda, Haji Musir mesti mampu belikan barang-barang kemas yang mahal harganya.  Kalau boleh berlian juga perlu dikalungkan ke lehernya, sama seperti isteri Haji Musir yang lain.  Apa sangat barang-barang  kemas demikian pada Haji Musir, kalau bandingkan dia sering ke luar negeri uruskan berniaga di mana-mana.
“Agaknya awak tak bayar zakat, Haji Musir,”  Tokji Jamadi menyindir apabila lelaki itu beritahu mengenai kejadian yang menimpa rumahnya berulang kali.
Berkerut dahi Haji Musir apabila diungkit mengenai zakat yang tidak ditunaikan.  Takat zakat fitrah setiap kali masuk hari ke 21 bulan Ramadhan setiap tahun memang Haji Musir tidak pernah abaikan.  Tetapi zakat harta dengan zakat pendapatan, manalah dia ada masa mahu memikirkan sangat.
“Memang tak pernah bayar pun!” segera Hajah Kinah isteri tuanya menjelaskan.  Memang Hajah Kinah yang desak dia menemui Tokji Jamadi di Batu Pahat disebabkan suaminya runsing sangat mengenai gangguan toyol di rumah isteri mudanya Hajah Natisah.
Kalau tidak Hajah Kinah yang mendesak memang Haji Musir tidak pernah terfikir mahu ke Batu Pahat.  Tahu sangat dia sekiranya menemui bapa saudara isterinya Tokji Jamadi, nescaya orang tua itu akan berleter panjang disebabkan dia terlalu pentingkan sangat berniaga hingga tidak peduli perkara amal ibadat.
Memang Tokji Jamadi tidak peduli anak menantu, kalau dia menegur tidak akan berselindung-selindung.  Sebab itu Haji Musir bimbang sangat mahu jejak kaki ke rumah Tokji Jamadi.  Tetapi  kalau tidak disebabkan Tokji Jamadi masakan mudah dia mahu memujuk Hajah Kinah izinkan dia berkahwin lain.  Dia tidak kenang budi baik Tokji Jamadi sampai bila-bila pun.
“Kalau belum bayar zakat, awak kena bayar,” lantas Tokji Jamadi ingatkan dia.  “Jangan fikir harta dunia aje, bayarlah zakat!”  tegasnya mendesak supaya Haji Musir tidak berdalih apabila sebut fasal membayar zakat.
Tetapi Haji Musir bukan mahu mengelak fasal membayar zakat.  Buat apa dia bermegah-megah memberitahu Tokji Jamadi mengenai zakat yang sudah dibayar.  Perkara membayar zakat bukan mahu menunjuk-nunjukkan kepada orang lain.  Biarlah Tokji Jamadi menuduh dia belum membayar zakat, tetapi Haji Musir sudah tunaikan tanggungjawabnya.
Perkara barang-barang kemas isterinya Hajah Natisah hilang dalam persimpanan tidak penting sangat.  Apa sangat dengan barang-barang kemas yang hilang kalau takat tiga atau empat ribu sahaja nilainya.  Bila-bila Haji Musir boleh gantikan dengan barang-barang kemas yang lain.  Tetapi dia bimbang barang-barang kemas itu akan hilang berulang kali asal sahaja dia gantikan dengan yang lain.
Sebab itulah Haji Musir mahu mencari punca kenapa kejadian barang-barang kemas Hajah Natisah hilang dalam persimpanan itu berulang kali berlaku. Sekiranya toyol menceroboh masuk kenapa rumahnya sahaja diselongkar berterusan?  Jiran di sebelah rumahnya tidak pula merungut rumahnya diceroboh toyol!.
Masakan toyol sengaja memilih mangsa hingga rumahnya berulang kali kehilangan barang-barang kemas.  Tersengih-sengih jirannya Haji Samsi menyuruh dia mencari jala buruk sekirannya mahu memerangkap toyol berkenaan.  Sengaja Haji Musir tidak mahu mencari jala buruk, kerana tidak percaya sangat dengan gangguan toyol menceroboh masuk ke bilik tidur.
Sudah kerapkali juga Haji Musir dengar mengenai toyol seringkali masuk menceroboh sekirannya dibela tuannya.  Mudah sangat Haji Musir mengenali tuan toyol hatta tidak pernah jengah muka di mana-mana.  Cubalah tuan toyol mahu permainkan dia nescaya Haji Musir akan perangkap sampai toyol berkenaan tidak dapat bergerak asal sahaja menyusup masuk.
Tahu sangat Haji Musir di belakang rumah tuan toyol tentu tersedia kolam kecil bagaikan kolah.  Di situ toyol akan berendam sebaik senja menjelang.  Tidak bertangguh Haji Musir akan campakkan tahi besi ke dalam kolah berkenaan biar toyol tidak mampu melangkah sebaik sahaja berendam di situ.
Tatkala toyol berkenaan menyusup masuk bila-bila Haji Musir boleh melihat lembaga seperti bayi baru lahir itu terconggok di depannya.  Setelah berendam di dalam air yang sudah dimasukkan tahi besi nescaya toyol tidak dapat bersembunyi dari pandang mata kasar.  Ketika ini Haji Musir akan sangkutkan karung berisi tepung yang dikoyakkan bucunya pada pinggang toyol berkenaan.
Apabila toyol balik ke rumah tuannya sudah tentu tepung yang koyak bucunya akan bertaburan.  Seisi kampong boleh jejak toyol tersebut sampai ke rumah tuannya.  Masakan tuan toyol boleh berselindung, disebabkan tepung yang terikat di pinggang toyol akan berserakan di dalam rumah.  Sekalipun jiran-jiran tidak melihat lembaga toyol menjelma, tetapi mereka boleh melihat tepung yang bocor dari karung terkoyak bucu berserakan di merata lantai rumah.
Cubalah toyol menceroboh masuk ke rumahnya!  Tahu sangat Haji Musir rahsia menewaskan toyol berkenaan.,  Sia-sia dia belajar dari ayah angkatnya semasa menetap lama di Singapura sekiranya diganggu toyol.  Siapa tidak mengenali ayah angkatnya Wak Daing ada sahaja jiran-jiran diganggu toyol sepanjang malam.
Bukan takat diganggu toyol sahaja seisi kampung bertumpu ke rumah Wak Daing, kalau mereka harapkan ilmu pengasih pun tidak segan-segan mereka jejak kaki ke rumahnya.  Tersenyum simpul Wak Daing apabila diberitahu fasal harapkan ilmu pengasih.  Sebab itu Haji Musir juga tidak lepaskan peluang harapkan ayah angkatnya itu membantu dia.
“Ilmu dunia pun kena cari, Musir!”  tersengih-sengih Wak Daing ingatkan dia disebabkan Haji Musir serba salah mahu memberi tahu masalah dirinya.”Ayah dulu pun muda macam kamu, jadi ayah tahu hati orang muda,”  ujarnya macam sengaja mahu menyindir.
Memang Haji Musir tahu mengenai rahsia toyol kalau ikutkan petua yang diturunkan oleh ayah angkatnya Wak Daing,  Tetapi dia dapat mengagak barang-barang kemas isterinya hilang dalam persimpanan bukan perbuatan toyol.  Biarlah isteri tuanya Hajah Kinah berkeras menuduh toyol hingga diajak menemui Tokji Jamadi, dia tetap menurut sahaja.
Lama Tokji Jamadi memusing-musing buah tasbih di tangannya baru dia mendongak menatap muka Haji Musir.  Tersenyum dia menggengam erat buah tasbih berkenaan.  Tetapi Tokji Jamadi tidak keras menuturkan kata-kata, dia sekadar menggeleng-geleng lemah. Hairan juga Hajah Kinah disebabkan bapa saudaranya tidak memberikan apa-apa kata putus.
“Gangguan toyol ke, Tokji?”  segera Hajah Kinah mendesa apabila Tokji Jamadi tetap mendiamkan diri.
“Kamu tahu ke?”  ujar Tokji Jamadi mencepak-cepak bibir.
“Manalah saya tahu,”  sahut Hajah Kinah tersengih-sengih.
“Aku pun tak tahu apa rupanya toyol tu!”  jelas Tokji Jamadi mengerling Haji Musir.  “Boleh jadi Musir tahu agaknya,”  dia menuturkan macam mengusik lelaki yang terconggok di depannya.
“Entahlah, saya tak tahu,”  keluh Haji Musir sengaja mahu menyembunyikan rahsia dia belajar dari ayah angkatnya Wak Daing sewaktu lama menetap di Singapura.
“Jangan-jangan kau sendiri jadi toyol!”  ujar Tokji Jamadi tersenyum, menatap muka Haji Musir.
Serba salah juga Haji Musir apabila dituduh menjadi toyol oleh Tokji Jamadi.  Kalau dia sendiri menjadi toyol masakan dia sanggup buang masa jejak kaki ke Batu Pahat semata-mata mahu menemui Tokji Jamadi.  Tersinggung juga dia apabila dituduh demikian, seolah-olah Tokji Jamadi tidak percaya langsung kepadanya.
Tidak pernah pun Wak Daing turunkan amalan menjadi toyol semasa dia menetap di Singapura.  Tentu dia terpaksa buat kolah di belakang rumah tersembunyi daripada pandangan orang ramai, biar mudah toyol berkubang di situ.  Dia akan berjalan setiap senja dengan tangan bersilang ke belakang membawa toyol berkeliling kampung.
Ketika ini toyol akan diberi tahu rumah siapa yang mesti diceroboh.  Siapa pun tidak akan melihat toyol berpimpin tangan bersama tuannya kalau dilihat dengan mata kasar.  Tahu sangat Haji Musir jelmaan toyol itu hanya menyerbu rumah yang sudah ditetapkan oleh tuannya.
Bagaimana Tokji Jamadi boleh menuduh dia menyimpan toyol, salangkan Haji Musir sendiri tidak akan didekati toyol.  Siapa sahaja menyimpan toyol akan berasa panas miang sekiranya duduk berjiran.  Asal sahaja melihat kelibat Haji Musir nescaya jelmaan toyol akan menyusup berlindung.  Mata toyol akan terbakar setiap kali terserempak Haji Musir.
“Awak ada amalkan apa-apa ke?”  desak Hajah Kinah mencuit bahu suaminya yang terdiam tidak bercakap apa-apa.
Haji Musir menggeleng.  Dia percaya tentu isterinya mengesyaki barang-barang kemas Hajah Natisah sekadar disembunyikan sahaja.  Tidak payah Hajah Kinah menuduh pun, dia sendiri sudah selongkar habis merata rumahnya.  Sengaja dia biarkan Hajah Natisah berseorangan sahaja menghadiri majlis kenduri jiran.
Tatkala bersendirian sahaja di rumah tidak bertangguh Haji Musir menyelongkar sampai ke atas siling. Kalau Hajah Natisah sengaja sembunyikan brang-barang kemas berkenaan supaya mudah mendesak Haji Musir belikan yang lain tentulah sia-sia sahaja.  Bukan mudah mahu mempengaruhi Haji Musir semata-mata harapkan dia menggantikan barang-barang kemas yang hilang.
“Kalau bukan hak kamu,boleh jadi hak Hajah Natisah!”  lantas sahaja Tokji Jamadi menuduh punca kehilangan barang-barang kemas itu disebabkan jelmaan akibat amalan yang diamalkan oleh Haji Musir atau Hajah Natisah.
“Entahlah, tapi datuk Hajah Natisah dulu memang bomoh,”  ujar Haji Musir seolah-olah mengakui memang amalan arwah datuk Hajah Natisah itu menjelma menjadi saka.
“Suruh Natisah tapa air di kubur arwah datuknya,”  beritahu Tokji Jamadi tersengih-sengih mengusap muka.
“Hah macam mana,kubur datuknya tu di Terengganu,”  berkerut dahi Haji Musir apabila kenang kubur arwah datuk isterinya itu jauh di Terengganu.  Tentu dia terpaksa balik pula ke kampung halaman isterinya semata-mata mahu ditapakan sebotol air di atas kubur.  Kemudian datang semula ke Batu Pahat bawakan air berkenaan kepada Tokji Jamadi.
“Janganlah terburu-buru sangat,”  lantas Tokji Jamadi meminta Haji Musir lunjurkan kaki kearahnya. Sebaik sahaja ibu jari kakinya dipegang sekaligus Haji Musir terjerit disebabkan terasa jarinya seolah-olah dicucuh besi panas.
Tersenyum Tokji Jamadi disebabkan Haji Musir terjerit kesakitan.  Asal sahaja dia memegang ibu jari kaki Haji Musir nescaya lelaki itu terjerit tidak bertahan.  Tetapi Haji Musir tahu Tokji Jamadi tidak gunakan apa-apa pun tatkala memegang ibu jari kakinya.  Orang itu itu sekadar membacakan tiga kali Fatihah hingga menyebabkan Haji Musir terkinja-kinja menahan kesakitan.
Saat ini Hajah Kinah juga mengesyaki fasal suaminya juga gunakan toyol sampai melawan tuan sendiri.  Tentu toyol tidak diberi makan cukup menghisap darah ibu jari kaki tuannya, akan bertindak liar.  Lantas sahaja barang-barang kemas dalam persimpanan disembunyikan.  Kalau tidak masakan Haji Musir terkinja-kinja sakit tatkala ibu jari kakinya dipegang oleh Tokji Jamadi.
Tahu sangat Hajah Kinah mengenai bapa saudaranya apabila memegang ibu jari kaki seseorang, tidak bertangguh panas tangannya menyerap sampai ke jantung sekirannya mereka amalkan ilmu hitam.  Sebab itu Haji Musir tersentak seolah-olah besi panas dicucuhkan ke ibu jari kakinya sebaik sahaja Tokji Jamadi membacakan:
Qul-innama ana-basyarum mithlukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yarju liqo-I rabbihi falya’mal ‘amalan solehan wala yusyrik bi’ibadati rabbihi ahadan.
Kecewa benar Hajah Kinah disebabkan suaminya amalkan juga amalan yang boleh memudaratkan diri sendiri.  Kalau tidak disebabkan Haji Musir sendiri amalkan toyol, masakan padah demikian menimpa dirinya.  Bukan takat barang-barang kemas sahaja boleh dilarikan oleh toyol, binatang ternak yang besar seperti kerbau atau lembu juga diheretnya tidak bersisa.
Sia-sia sahaja dia mendesak Haji Musir menemui Tokji Jamadi, disebabkan amalan sendiri yang membawa padah.  Tetapi jauh di lipatan hatinya Hajah Kinah merasakan suaminya masih belum terlambat kalau meminta Tokji Jamadi buangkan sahaja toyol berkenaan.  Tentu toyol yang dicekak Tokji Jamadi tengkuknya akan gementar apabila dilontar ke Laut Merah.
Hajah Kinah tidak peduli mengenai Laut Merah di pinggir pantai Jeddah di tanah Arab, disebabkan dia tidak pernah jejak kaki di pelabuhan berkenaan tatkala tunaikan haji.  Lainlah nenek moyang dulu terpaksa berbulan-bulan di laut menaiki kapal sebelum masuk berlabuh di Jeddah melalui Laut Merah.
Dia tahu asal sahaja bapa saudaranya Tokji Jamadi mencekak leher toyol atau pelesit atau polong, nescaya akan di lontarkan ke Laut Merah.  Di mana Laut Merah tempat toyol, pelesit, polong berkenaan dilontarkan oleh Tokji Jamadi tidak penting, tetapi emaknya sudah beritahu di situlah semua jenis syaitan dicampakkan oleh Tokji Jamadi.
Manalah Hajah Kinah tahu mengenai Laut Merah yang disebut-sebut oleh Tokji Jamadi setiap kali dia mencekak leher toyol, pelesit, polong atau apa sahaja jenis syaitan demikian.  Sekali sekala Tokji Jamadi sekadar beritahu di laut berkenaan menyala api yang menjulang tinggi hingga cecah ke langit. Merah api yang menyala sampai cecah ke langit itulah dipanggil Tokji Jamadi lautan yang merah tempat dia campakkan jenis syaitan yang dicekaknya.
“Haji Musir ke yang simpan toyol atau Hajah Natisah?”  segera Hajah Kinah mendesak bapa saudaranya jelas.
“Siapa kata toyol?”  hairan juga Tokji Jamadi apabila Hajah Kinah tidak sabar sangat mahukan dia memberitahu.
“Habis, apa yang Haji Musir amalkan?”  tersipu-sipu Hajah Kinah setelah menyedari di terburu-buru tidak keruan.
“Tanyalah suami kamu sendiri!”  jelas Tokji Jamadi mengerling Haji Musir seolah-olah mengejeknya.  “Lagi pun ini hal orang lelaki, jangan campur sangat,”  tegasnya mengingatkan Hajah Kinah supaya tidak mendesak sangat.
Memang tersipu-sipu Hajah Kinah apabila kenang bapa saudaranya sebut fasal perkara lelaki.  Tentu Tokji Jamadi sudah tahu rahsia sebenarnya yang terpendam amalan Haji Musir hingga terpaksa berkahwin dua.  Bukan takat Haji Musir sahaja mahu berkahwin, malah dia sendiri juga tidak membantah sekalipun suaminya akan berkahwin lagi.
Dia percaya Hajah Natisah juga tidak akan membantah.  Sama macam jirannya yang tidak pernah membantah suaminya Mat Sunoh berkahwin lain semasa jejak kaki ke Pekanbaru.  Mahaton sendiri yang beritahu Hajah Kinah mengenai suaminya Mat Sunoh sengaja bercuti ke Pekanbaru menyeberangi laut ikut Dumai.
Terpaksa Mat Sunoh tidur sahaja di masjid semasa mahu menunggu bas meneruskan perjalanan.  Tatkala tidur di masjid dia dikejutkan oleh lelaki berjubah yang menjadi imam di situ.  Lantas sahaja imam berkenaan mengajaknya tidur di rumahnya berhampiran masjid.
Tersentak Mat Sunoh sebaik sahaja jejak kaki ke rumah imam berkenaan, dia bertembung dengan seorang wanita yang ditemui semasa dalam perjalanan menyeberangi laut hingga mendarat di Dumai.  Imam berkenaan mengakui wanita itu anak gadisnya yang kerapkali berulang ke Semenanjung.
Tidak jadi Mat Sunoh mahu ke Pekanbaru disebabkan Imam Barkat menpelawanya tinggal di kampung berkenaan dalam tempoh beberapa hari.  Memang Mat Sunoh tidak penting sangat mahu terburu-buru ke Pekanbaru disebabkan dia sekadar berjalan-jalan sahaja ke bumi Sumatera.  Biarlah dia tinggal beberapa hari di kampung tersebut lagi Imam Barkat benarkan dia menumpang di rumahnya.
Kalau mahu ke Pekanbaru pun terpaksa berjam-jam menaiki bas hingga badan terasa lenguh-lenguh.  Dia sekadar mahu menemui saudara mara sahaja di Perawang di pinggir Sungai Siak dengan arusnya berair hitam.  Setidak-tidaknya dari Perawang dia boleh terus ke pekan Siak jauh terpencil di seberang sungai.
Mat Sunoh sekadar mendapat tahu dari saudara maranya sahaja perjalanan dari Perawang ke pekan Siak hampir dua jam melalui  jalan tanah merah.  Kalau mahu ke pekan Siak terpaksa menaiki bot pula dari bangunan lama peninggalan Belanda yang terbiar menyeberangi sungai yang luas terbentang.
Tidak apa-apa yang mahu dibanggakan dengan pekan Siak, sekadar pekan kecil rumah papan sebaris sama macam pekan kecil di kampungnya juga.  Kalau mahu dibanggakan pun hanya istana peninggalan Raja Siak yang dibina Belanda tersergam gagah.  Di dalam istana tersimpan peti nyanyi sebesar almari pakaian dengan piring hitamnya sebesar dulang hidangan.
Memang Mat Sunoh tidak pernah jejak kaki lagi ke bumi Siak mengenai istana peninggalan yang tersergam itu.  Dia sekadar diberitahu oleh saudaranya di Perawang yang kerapkali berutus surat ke Semenanjung.  Manalah Mat Sunoh tahu sangat mengenai Perawang, disebabkan ayahnya tidak pernah jejak kaki balik ke kampung halaman semenjak menetap di Semenanjung.
Memang sayu hati Mat Sunoh tatkala pertama kali jejakkan kakinya dibumi Perawang melihat arus Sungai Siak berwarna hitam.  Kenderaan yang mahu menyeberang sungai terpaksa menunggu giliran di Perawang menaiki feri untuk ke tebing sebelah.  Dari Perawang terus sahaja Saharti membawanya ke Siak tempat melawat ke dalam istana juga.
Tatkala mahu bertolak balik ke Semenanjung, bimbang juga Mat Sunoh mahu berhadapan dengan isterinya Mahaton.  Bagaimana kalau Mahaton dapat menghidu perbuatannya berkahwin lain selepas naik ke pantari Sumatera?  Alangkah serba salahnya dia sekiranya Saharti ikut menjejakinya, kerana dia sudah kerapkali berulang alik ke Semenanjung!  Tentu mudah sahaja Saharti menjejaknya di mana-mana.
Tetapi Saharti sudah berjanji tidak akan meruntuhkan rumah tangga Mat Sunoh dengan Mahaton.  Dia sekadar menuruti kemahuan ayahnya supaya hubungan kekeluargaan Mat Sunoh dengan sanak saudara di Perawang.  Tentu Mat Sunoh akan berulang alik ke Sumatera sekiranya Saharti sentiasa menunggu  di situ.
Sewaktu balik ke tanah air, Imam Barkat sengaja bekalkan dia dua rumpun serai dengan harapan Mat Sunoh tanamkan sahaja di belakang rumah.  Tercium bau wangi serai berkenaan setiap malam dipuput angin.  Tidak sampai sebulan selepas itu tergerak sahaja hati Mahaton mahu bertanya mengenai keluarga Mat Senoh di Perawang.
Bagaikan tidak dapat dikawal lantas sahaja Mat Sunoh mengakui di hadapan Mahaton mengenai perkahwinannya dengan Saharti.  Terkejut benar Mat Sunoh kerana isterinya Mahaton tahu mengenai perkahwinan tersebut seolah-olah di bisikan melalui mimpi. Tetapi Mahaton tidak kecewa apa-apa asal sahaja suaminya berterus terang. Imam Barkat menepuk-nepuk bahu Mat Sunoh,  “Jadinya, tentu anak selalu datang ke sini,”  tersenyum dia seolah-olah mahu mengikat Mat Sunoh supaya sering berulang alik jejak kaki ke Sumatera.
“Saya sudah beristeri di sana, bapak,”  jelas Mat Sunoh jujur apabila kenang isterinya Mahaton yang ditinggalkan sejak berhari-hari.  “Lagi pun anak saya sudah lima orang,” memang di keberatan jua sekiranya didesak supaya berkahwin apabila sampai di Perawang.
“Terserah pada hati sabubari sendiri,”  perlahan sahaja Imam Barkat menuturkan dalam lirikan senyum memanjang.  “Kalau anak setuju, boleh saja dengan Saharti anak gadis saya,”  dia mengerling kearah anak gadisnya di dapur.  Serba salah juga Mat Sunoh kerana bimbang orang tua berkenaan dapat menyelami perasaannya.  Semenjak bertolak meninggalkan pantai Semenanjung memang hatinya sudah terpaut pada Saharti.
“Ini kerja berat, bapak,”  lantas sahaja Mat Sunoh merasa dirinya terdesak kalau terus melayani Imam Barkat.
“Jangan berpura-pura, Mat Sunoh !”  jelas Imam Barkat ingatkan dia supaya tidak berbohong.  “Hati sanubari itu cahayanya terpancar jauh,”  dia tetap tersenyum dengan keadaan serba salah yang merusuh dalam jiwa Mat Sunoh.
Semenjak berhari-hari menetap di rumah Imam Barkat, terpaksa juga Mat Sunoh menerima desakan orang tua itu berkahwin dengan Saharti.  Selepas berkahwin itulah Saharti ynag tunjukkan dia jalan hingga ke Perawang.  Memang dia menemui saudara maranya yang lama ditinggalkan oleh arwah ayahnya.
Semenjak itu beberapa kali pula Mahaton ikut suaminya ke Dumai menemui Saharti.  Kemudian mereka bertiga terus menziarahi sanak saudara di Perawang.  Saharti juga akan berkunjung ke Semenanjung hingga tinggal serumah dengan Mahaton.  Memang kerapkali juga Hajah Kinah terserempak Saharti di rumah jirannya itu asal sahaja dia berkunjung ke Semenanjung.
“Hairan juga saya, sebab awak boleh menerima Saharti,”  ujar Hajah Kinah kagum dengan kemersraan yang terjalin di antara Mahaton dan Saharti.
“Ah, apa kurangnya Kak Aji dengan Hajah Natisah,”  sahut Mahaton disebabkan dia tahu Hajah Kinah juga tidaklah membantah suaminya berkahwin lain.
“Tapi saya tak pernah tinggal serumah,”  beritahu Hajah Kinah tersenyum mengerling Mahaton.
“Apa salahnya Kak Aji,”  jelas Mahaton berterus terang.  “Buat apa nak gaduh,suami kita jagalah sama-sama,”  dia menerangkan dengan ikhlas mengenai perasaannya terhadap madunya Saharti.
“Iyalah, kalau suami kita dah berlaku adil, apakah salahnya dia nak kahwin lain,”  Hajah Kinah juga mengakui dia tidak membantah apa-apa Haji Musir berkahwin dengan Hajah Natisah.  Tetapi dia belum pernah tinggal serumah sekalipun hubungan mesranya terjalin.
Tetapi Mat Sunoh tidak pernah bertanya apa-apa pun mengenai dua rumpun serai yang di suruh ayah mertuanya Imam Barkat ditanam di belakang rumah itu.  Dia hanya tanam rumpun serai berkenaan semata-mata mematuhi nasihat ayah mentuanya.  Apa rahsia disebalik perintah Imam Barkat menanam dua rumpun serai itu memang Mat Sunoh tidak memahaminya.
Sedikit demi sedikit dia dapat mengagak tentu dua rumpun serai berkenaan membawa makna dia beristeri dua.  Biarlah hubungan dua orang isterinya akrab macam serai dua rumpun yang ditanam bedekatan.  Setelah bertahun-tahun mereka berkahwin, Mat Sunoh menyedari serai berkenaan berbunga.  Baunya akan mewangi setiap malam bulan mengambang.
Hinggalah tatkala bangun pagi Mat Sunoh melihat banyak sangat burung berterbangan mahu hinggap di rumpun serai.  Tidak bertangguh dia beritahu Mahaton mengenai burung-burung berterbangan di situ, tatkala rumpun serai berkenaan apabila ayam dan itik ternakannya juga mengelilingi rumpun serai tersebut.
Dalam keadaan cemas Mahaton desak suaminya menjengok juga ke perdu rumpun serai masakan ayam dan itik ternakan terlangah-langah di sekeliling rumpun sekiranya tidak bersebab.  Kalau mahu dituduh biawak memerap di situ tentu ayam atau itik bercempera lari.
Tetapi bukan takat ayam dan itik ternak sahaja terlangah-langah mengelilingi rumpun serai, burung-burung juga berterbangan di situ.  Kicau burung-burung juga sama macam tengah berterbangan tengah lurah anak air tatkala kemarau panjang.  Memang riuh di tengah halaman rumah Mat Sunoh dengan kicau burung dan ketakan ayam sewaktu pagi masih lagi sepenggalah matahari.
“Pergilah tengok, bang !”  desak Mahaton bombing sekiranya ular sawa berlingkar di situ.
Dalam keadaan terdesak terpaksa juga Mat Sunoh menjengah berhati-hati.  Lantas dia mencapai belantan kayu dengan memegang kukuh di tangan.  Tidak bertangguh dia akan hembatkan belantan kayu dengan memegang kukuh di tangan.  Tidak bertangguh dia akan hembatkan belantan kayu berkenaan sekiranya ular sawa berlingkar di situ.  Kenapa di rumpun serai berkenaan ular sawa mahu menyorok menunggu mangsa?
Sebaik sahaja tercegat berhampiran rumpun serai itu,  Mat Sunoh ternampak kilauan laksana sisik ular di tengah rumpun akibat disinari cahaya matahari sepenggalah naik. Berdebar hati Mat Sunoh disebabkan ketakutan kerana tidak pernah berhadapan dengan mala petaka demikian.
Tatkala dikuak-kuak dengan hujung belantan rumpun serai berkenaan, Mat Sunoh nampak batu berwarna-warna segugus macam buah anggur berangkai-rangkai.  Segera dia mengambil batu-batu berwarna-warni sebesar telur cicak itu lantas ditunjukkan kepada Mahaton.
Sebulan dia menyimpan batu-batu berkenaan di dalam kotak, Mat Sunoh semakin terkejut apabila batu berkenaan membesar hingga sebesar ibu jari tangan.  Malah masih berangkai-rangkai lagi bagaikan batu berkenaan membiak laksana ayam ternak yang dieram telur.
Sebab itu dia terburu-buru sahaja ke Dumai membawa Mahaton menemui keluarga Saharti.  Dia tunjukkan juga batu-batu berwarna seperti berlian berkilau-kilau itu kepada ayah mentuanya Imam Barkat.  Tetapi Imam Barkat tidak terkejut apa-apa sekalipun Mat Sunoh dan Mahaton hairan sangat dengan kejadian tersebut.
“Kalau tak salah rumpun serai tu, susuk berlian ayah!”  bisik Saharti tatkala dia berdua sahaja dengan suaminya Mat Sunoh melalui jalan berliku ke Perawang.
“Maksudnya, ayah gunakan susuk berlian?”  terkejut juga Mat Sunoh disebabkan imam masjid seperti ayah mentuanya amalkan susuk.
“Ayah tidak tusukkan susuk tu ke tubuhnya,”  beritahju Saharti mengenai susuk berlian yang dikatakannya.  “Tapi, susuk berkenaan ada pada rumpun serai tu,”  jelas Saharti selanjutnya.
“Kenapa ayah amalkan susuk?”  gerutu mat Sunoh seolah-olah bimbang dengan penjelasan isterinya.
“Tapi, ayah tidak tusukkan ke tubuhnya,”  tersengih-sengih Saharti kerana dapat membayangkan rasa curiga suaminya terhadap ayahnya.
Memang Saharti tahu amalan ayahnya apabila berikan dua rumpun serai kepada Mat Sunoh biar ditanam dalam kawasan rumah.  Perkara susuk yang digunakan bukan mesti ditusuk ke tubuhnya.  Tentu Imam Barkat juga memahami jarum yang ditusuk ke tubuh sekadar perkara zahir yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Tentu yang dilihat dengan mata kasar hanya syarat sahaja apabila amalkan guna susuk.  Jarum yang ditusuk ke dalam tubuh akan sebati hingga sukar mahu dikeluarkan semula.  Sebab itu Imam Barkat sengaja pindahkan semangat susuk kepada rumpun serai yang diberikan kepada menantunya Mat Sunoh.
Biarlah susuk berlian itu tertanam bersama rumpun serai berkenaan setelah tangan Mat Sunoh sendiri yang menggali lubang.  Susuk berlian yang tertanam pada rumpun serai sama juga menyerap dalam tubuh Mat Sunoh sama seperti semangatnya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Sekiranya Mat Sunoh tidak mahu gunakan lagi susuk berlian, dia boleh cabut sahaja rumpun serai berkenaan.  Tidak perlu lagi keluarkan jarum susuk yang ditusuk ke dalam tubuh.  Memang Mat Sunoh tidak tahu apa-apa mengenai rumpun serai tersebut.
Setelah batu berlian terpancar dari rumpun serai berkenaan, hubungan kekeluargaan mereka semakin akrab.  Mat Sunoh tetap simpan rahsia rumpun serai berkenaan daripada sesiapa pun setelah Imam Barkat ingatkan fasal rumah tangganya akan berberantakan.  Biarlah rumpun serai berkenaan segar tumbuh di belakang rumahnya, Mat Sunoh tahu tidak siapa pun berani membongkarnya.
Dia sendiri dengar dari Saharti mengeni rumpun serai di belakang rumahnya cuba dicuri orang.  Tatkala jiran berkenaan meranduk kegelapan malam menggalas cangkul mahu membongkar perdu rumpun serai, dia menjadi tertegun apabila melihat beratus ekor ular tedung selar mencodak kepala di situ.
Jiran berkenaan terkaku di situ hingga tidak mampu melangkah kaki.  Memang dia sudah nekad mahu membongkar perdu rumpun serai, disebabkan Imam Barkat sering mendapat batu berlian di perdu rumpun berkenaan.Tentu dia boleh mendapat kesenangan sekiranya rumpun serai itu di bongkar, kemudian ditanam ditempat lain.
Masakan Imam Barkat boleh menuduhnya apabila rumpun serai dibongkar lantas ditanam di tempat lain.  Lama dia tertegun tidak dapat bergerak, terpaksa juga dia menjerit meminta tolong.  Tatkala Imam Barkat turun ke tanah mahu membantu jiranya itu, lelaki berkenaan sudah lemah terjelepoh.  Cepat-cepat Imam Barkat memanggil jiran-jiran membantunya memapah lelaki tersebut naik ke rumah.
Terketar-ketar lelaki itu mengakui mahu mencuri rumpun serai tersebut sebaik sahaja naik ke rumah dipapah jiran-jiran. Dia ketakutan apabila melihat daun serai bergerak-gerak laksana ular tedung selar berpuluh-puluh ekor mencodakkan kepala.
“Perkara yang ghaib tak sama dengan perkara yang nyata !”  jelas Imam Barkat ingatkan Mat Sunoh apabila kenang lelaki jirannya yang mahu mencuri rumpun serai yang ditanam di belakang rumah. Kemudian perlahan Imam Barkat menjelaskan doanya kepada Mat Sunoh.
Rabbana wa-atina mawa’ad tana ‘ala rusulika wala tukhzina yaumal qiyamah, innaka la-tukhlikful mi’ad.  Fabtaghu ‘indallahhir rizo wa’buduhu wasykuru lahu ilaihi turja’un.
Tatkala Hajah Kinah beritahu mengenai jiranya Mahaton itu, Tokji Jamadi tersengiah-sengih sahaja.  Perkara susuk berlian yang ditanam pada rumpun serai itu tidak penting sangat kepadanya, kerana amalan seseorang itu bukan untuk dibanding-bandingkan.  Dia dapat mengagak tentu Imam Barkat juga mempunyai sebab-sebab munasabah kenapa amalkan susuk berlian demikian.
Jauh di sudut hatinya Tokji Jamadi juga mengakui apalah salahnya Imam Barkat bekalkan menantunya rumpun serai susuk berlian itu, asal sahaja dapat mengawal kerukunan rumah tangga suami beristeri dua.

SELESAI