Sunday, July 3, 2016

183.TANDUK TUMBUH DI KEPALA LIMIN



BADI binatang hutan memang ditakuti oleh mereka seisi kampung kerana boleh menimbulkan bencana kepada keluarga masing-masing. Asal sahaja dihinggapi badi binatang hutan nescaya anak yang dalam kandungan boleh ditimpa kenan hingga cacat tatkala dilahirkan. Mereka percaya betul-betul mengenai badi yang boleh datangkan bencana.

Satu-satunya tempat mereka bertahan hanya bukit batu bersendi dengan puaka penunggunya boleh diseru menjelma membantu mereka. Sebab itu Saleh Dobok sanggup usung dulang sepantar berisi nasi kunyit, panggang ayam mentah dan tujuh piring bertih. Tahu sangat dia mengenai syarat yang perlu disediakan apakala menyeru puaka penunggu di bukit batu bersendi yang tersergam laksana pengantin bersanding di atas pelamin.

Sejak turun temurun seisi kampung tahu mengenai batu bersendi di kaki bukit pinggir hutan sama macam sepasang pengantin bersanding. Kalau ditanya Aki Sahak dia percaya batu tersebut dihakis air sejak bertahun-tahun menyebabkan bentuknya menjadi seperti sepasang pengantin tengah bersanding.

Tetapi orang-orang kampung percaya batu bersanding itu jelmaan Limin yang hilang semasa memburu beruang hitam yang melarikan tunangnya. Manalah mereka dapat buktikan kejadian yang berlaku bertahun-tahun sebelum kampung berkenaan diteroka orang.

"Limin tu anak yang baik," macam terharu Ulung Sijah memberitahu saya apabila kenangkan kejadian yang menimpa keluarga Saleh Dobok.

Memang Ulung Sijah sekadar diberitahu mengenai nasib yang menimpa Limin itu sejak dari arwah neneknya. Dari semenjak turun temurun pula arwah neneknya diberitahu mengenai Limin anak muda yang lemah lembut sering masuk ke hutan berburu dengan lembingnya.

Tatkala dia memasang jerat melalui satu denai, tiba-tiba Limin terkejut kerana jeratnya menanjul kaki seorang perempuan cantik. Terpaksalah Limin membantu lepaskan kaki yang terjerut itu dengan tidak bertangguh. Terdengkot-dengkot kaki perempuan itu akibat terjerut tali jerat yang dipasang oleh Limin.

Tetapi Limin tidak berniat mahu mencederakan perempuan tersebut. Manalah dia tahu di tengah hutan demikian masih ada perempuan melintas melalui denai binatang liar. Serba salah juga Limin kerana bimbang perempuan itu mengalami cedera yang teruk disebabkan jerat yang dipasangnya.

"Saya tak berniat nak cederakan awak," ujar Limin kesal dengan kejadian tersebut.

"Tak apalah, saya pun tak cedera teruk," sahut perempuan itu lembut dengan senyuman melirik.

"Apa awak buat di sini?" gugup juga Limin disebabkan tidak pernah melihat sesiapa pun tinggal di kawasan berkenaan.

"Saya ni Puteri Embun, awak jangan bimbang," jelas perempuan cantik itu mengajak Limin melalui alur denai itu hingga sampai ke kawasan kolam yang dihias dengan bunga-bunga.

Ketika ini Limin sudah dapat mengagak dia diperangkap oleh bunian yang menjelma bagaikan perempuan cantik. Tetapi dia tidak bimbang apa-apa kalau bunian cuba mahu memperdayakannya, kerana Limin tidak akan mengalah begitu sahaja.

Setelah menyedari dia dibawa ke kawasan bunian, segera Limin membacakan Fatihah 17 kali diikuti dengan surah aI-Ikhlas 17 kali dan Ayatul Kursi juga 17 kali. Ketika ini sekeliling kawasan menjadi bergegar laksana diserbu gempa menyebabkan Puteri Embun terpaksa berlindung di sebalik banir pokok.

"Saya tak berniat jahat, Limin," lantas Puteri Embun merayu meminta Limin tidak merosakkan kawasannya.

Disebabkan Puteri Embun ikhlas membawa dia masuk ke kawasan bunian, tidaklah Limin berkeras mahu menguji ketulusan hati perempuan itu. Puteri Embun sekadar mahu berkawan sahaja dengan Limin setelah terpesona dengan kebaikannya. Sebab itu Puteri  Embun juga tunjukkan kepada Limin mengurut urat tergeliat.

Kalau patah tulang pun Puteri Embun tunjukkan juga kepada Limin mengubatinya gunakan daun patah but-but. Sebab itu Puteri Embun tidak cedera sangat akibat terkena jerut tali jerat Limin, kerana dia pupuk dengan daun patah but-but yang dikutip di tepi paya. Setelah dipupuk daun patah but-but hanya dalam beberapa jam sahaja pergelangan kaki yang tergeliat sembuh betul.

Semenjak bertemu Puteri Embun itu Limin balik ke kampung lantas menjadi tukang urut. Mudah sahaja dia pulihkan kaki atau tangan tergeliat dengan menepuk-nepuk sahaja beberapa kali. Sebaik sahaja ditepuk oleh Limin nescaya terkehel atau patah tulang akan sembuh dalam masa beberapa hari sahaja.

Asal sahaja malam bulan mengambang penuh Limin akan menghilangkan diri sampai seminggu. Tetapi mereka tahu tentu Limin masuk menemui bunian yang sudah menjalinkan hubungan dengannya. Memang Limin mengakui dia sudah bersaudara dengan bunian setelah berbaik-baik dengan Puteri Embun.

Tetapi emaknya Andak Kimah bimbang juga kalau Limin terus meninggalkan keluarga setelah berbaik-baik dengan bunian. Manalah tahu Limin akan berkahwin dengan Puteri Embun menyebabkan dia terpaksa menetap dengan bunian.

Tahu sangat Andak Kimah mengenai abangnya Tok Munin yang tidak balik lagi setelah berkahwin dengan bunian. Siapa tidak tahu kebolehan Tok Munin tundukkan bunian mengikut perintahnya kalau dia memerlukan bantuan. Tatkala orang-orang kampung diganggu Itam Sapek yang tidak lut senjata, tidak siapa pun berani menentangnya.

Itam Sapek bukan takat merampas apa sahaja harta orang-orang kampung, malah kalau dia berkenan isteri orang pun dia akan heret bawa balik ke rumah. Satu-satunya yang tidak berani diganggu oleh Itam Sapek memang Tok Munin.

Kalau dia ganggu Tok Munin nescaya akan bertemu buku dengan ruas. Dia tahu Tok Munin mampu hilangkan diri kalau diserbu tidak berhati-hati. Macam mana dia mahu tewaskan Tok Munin kalau tidak kelihatan di mana pun. Tatkala ini tentu Tok Munin akan memukulnya dengan batang teberau sampai seluruh tubuhnya menjadi lemah tidak bertenaga.

Takat tidak lut senjata tidak bermakna dia boleh bertahan kalau berdepan dengan Tok Munin. Sudah menjadi pantang larangnya tidak boleh disentuh batang teberau, kerana amalan kebalnya akan luruh tidak bersisa. Sebab itu Itam Sapek sentiasa menjauhkan diri dari Tok Munin.

"Kalau kau ganggu keluarga aku, ke lubang cacing aku cari kau, Itam Sapek!" Tok Munin ingatkan lelaki itu yang sering mengganggu orang-orang .kampung.

"Buat apa aku ganggu keluarga kau, Tok Munin?" sengaja Itam Sapek mengejek kerana tidak mahu mengalah. Tentulah dia berasa malu sekiranya diketahui oleh orang-orang kampung disebabkan takut berdepan dengan Tok Munin. Apalah gunanya dia tunjukkan dirinya kebal tidak lut senjata kalau mengalah dengan Tok Munin.

"Jangan kau fikir diri kau kebal, tak boleh dikalahkan!" Tok Munin meluahkan rasa geram di hatinya. Sekalipun dia tahu sikap angkuh Itam Sapek, tetapi Tok Munin tidak boleh bertindak sekiranya lelaki itu tidak mengganggu dia.

"Orang halimun pun bukannya tak boleh dikalahkan, Tok Munin," ujar Itam Sapek seolah-olah mencabar Tok Munin.

"Kau cubalah kalau nak tahu langit ni tinggi rendahnya!" tegas Tok Munin menyimpan rasa dendam yang membara.

Tersengih-sengih sahaja Itam Sapek dengan amaran Tok Munin yang mengancam dirinya. Kalau tidak diberi amaran pun memang Itam Sapek tidak akan mahu mencuba ganggu keluarga Tok Munin. Buat apa dia mencari nahas dengan Tok Munin sedangkan ramai lagi orang-orang kampung yang boleh dijadikan mangsa. Siapa berani angkat muka menentangnya kalau dia memaksa mereka ikut sahaja kemahuannya?

Setiap hari Itam Sapek tidak lepaskan peluang mencekak leher sesiapa sahaja minta serahkan barang-barang kemas. Kalau dia mahu mengheret anak gadis sesiapa pun balik ke rumah, memang orang-orang kampung tidak berani membantah.

Jangan kata mahu meradak Itam Sapek dengan tombak, keraskan suara pun mereka tidak berani membuka mulut. Asal sahaja kelibat Itam Sapek meIintas di depan rumah mereka sudah menduga malang akan menimpa. Kalau berkeras melawan nescaya mata parang akan dipenggal ke lehernya.

Hinggalah Itam Sapek mengheret Tuminah isteri Manap Begar setelah meradak lelaki itu dengan parang. Tersandar Manap Begar ke dinding akibat kepalanya disinggahi mata parang Itam Sapek. Dia terhuyung-hayang menahan darah memercik di kulit kepala dengan penuh kecewa kerana tidak dapat pertahankan isterinya.

Tatkala inilah Tuminah mengejek Itam Sapek sekadar berani mengganggu orang kampung, tetapi gementar mengusik keluarga Tok Munin. Memang terhina Itam Sapek disebabkan Tuminah tahu mengenai ketakutan dia kalau berdepan dengan Tok Munin. Tentu seisi kampung akan diberitahu oleh Tuminah mengenai dirinya kecut sekecut-kecutnya asal sahaja Tok Munin nampak kelibat.

"Dengan Tok Munin, kamu kecut perut, Itam Sapek!" ejek Tuminah tersengguk-sengguk menahan rasa sebak akibat diperlakukan demikian oleh Itam Sapek.

"Tak ada siapa yang berani dengan aku, Tuminah!" sahut Itam Sapek mendabik dada.

"Kalau begitu, cuba kau ganggu keluarga Tok Munin!" sengaja Tuminah sakiti hati Itam Sapek disebabkan lelaki itu terlalu sombong dengan kegagahan-nya.

"Jangan kata keluarga dia, Tok Munin pun aku boleh ganggu," semakin marah Itam Sapek diperolok-olokkan oleh Tuminah.

"Ah, kau tu cakap aje besar, Itam Sapek!" Tuminah tidak gentar lagi berhadapan dengan Itam Sapek. Kalau dia mengalah pun bila-bila sahaja Itam Sapek akan perlakukan sesuka hati. Biarlah dia sakiti hati Itam Sapek untuk melepaskan dendam yang mendongkol sekian lama.

"Kau boleh tengok sendiri," tidak bertangguh Itam Sapek merentap rambut Tuminah lantas diheret hingga ke halaman rumah Tok Munin.

Terkejut juga Tok Munin apabila Itam Sapek tunjukkan keberanian di depannya dengan mengheret Tuminah. Sekalipun dia tahu Tuminah bukan keluarganya, tetapi Manap Begar memang berkawan baik dengannya. Dia tidak boleh biarkan Itam Sapek membuat sekehendak hati terhadap isteri kawan baiknya.

Sebaik sahaja Itam Sapek tercegat di tengah halaman, dia mencebek bibir memperagakan kepada Tok Munin keangkuhannya. Di depan Tok Munin dia rentap baju Tuminah sampai terkoyak habis. Terisak-isak Tuminah menangis akibat malu dengan jiran-jiran yang memer-hatikan diri balik dinding rumah.

Siapa pun tidak berani jengah muka tatkala Itam Sapek tengah memberang demikian. Tahu sangat mereka perangai Itam Sapek yang tidak boleh dibantah kemahuannya. Apa lagi dengan Tok Munin yang belum tentu dapat menghalang sekalipun mereka tahu lelaki itu boleh hilangkan diri dengan amalan halimunnya.

Tetapi rahsia Itam Sapek tidak berani berhadapan dengan Tok Munin itu hanya Manap Begar sahaja yang tahu. Sebab itu isterinya Tuminah sengaja menguji Itam Sapek dengan mengungkit-ungkit nama Tok Munin di depannya. Sekaligus sahaja hati Itam Sapek meradang tidak bertahan apabila Tuminah perkecilkan dia kalau dibandingkan dengan Tok Munin.

"Apa tujuan kau, Itam Sapek?" tutur Tok Munin setelah menyedari Itam Sapek mahu mencabarnya.

"Aku nak tunjukkan pada Tuminah, kau tak boleh buat apa-apa! " gerutu Itam Sapek merentap pakaian perempuan itu biar habis koyak rabak tidak bersisa.

"Memang kamu setan, Itam Sapek!" jerit Tuminah melepaskan geram yang terpendam di hatinya.

Terkekeh-kekeh Itam Sapek ketawa setelah dapat membuktikan kepada Tuminah tidak ada siapa pun yang berani menghalang dia termasuk juga Tok Munin. Memang Tuminah sendiri melihat Tok Munin sekadar tercegat sahaja di kepala tangga dengan tidak terjun ke tanah melindungkan dirinya.

"Tok Munin takkan lindungkan kau, Tuminah," bentak Itam Sapek mencemik muka mengejek wanita itu yang terjelepoh di tanah.

"Kamu tak berhati perut!" semakin marah Tuminah sekalipun tenaganya lemah tidak mampu melawan kegagahan Itam Sapek.

Sekonyong-konyong sahaja Tuminah melihat Tok Munin tidak lagi berdiri di kepala tangga. Dalam sekelip mata sahaja Itam Sapek merasakan tubuhnya bagaikan ditumbuk berulang kali sampai berguling ke tanah. Dia tahu memang Tok Munin yang menyerangnya setelah batang tubuhnya tidak dapat dilihat lagi dengan mata kasar.

Tersenyum Itam Sapek setelah diserang bertubi-tubi oleh Tok Munin. Biarlah Tok Munin meradak dengan senjata besi sekalipun, tentu tubuhnya tidak lut sedikit pun. Bila-bila dia boleh bertahan selagi Tok Munin tidak gunakan batang teberau.

Apabila Itam Sapek kibaskan kain hitam ke kiri dan ke kanan, tiba-tiba sahaja Tok Munin jatuh tertiarap. Tertawa besar Itam Sapek kerana amalan halimun Tok Munin terjejas apabila dikibas dengan kain hitam. Tentu Tok Munin tidak boleh berlindung lagi setelah batang tubuhnya dapat dilihat semula.

Tidak bertangguh Itam Sapek menghunus parang mahu meradak Tok Munin yang sudah tidak dapat hilangkan dirinya. Tetapi belum sempat dia mendekati Tok Munin silauan matahari yang menyinggahi mata parangnya seolah-olah memancar panas. Terpelanting mata parang itu terhumban ke hujung halaman.

Ketika ini barulah Itam Sapek menyedari Tok Munin bukan sekadar amalkan halimun boleh hilangkan diri, tetapi dia sudah berkeluarga dengan bunian. Memang menjadi pantang larang bunian kalau mencabut parang hingga disilau cahaya matahari.

Tatkala ini ltam Sapek melihat terlalu banyak bayangan Tok Munin berdiri di sekelilingnya. Dia terkepung oleh bayangan Tok Munin yang terlalu banyak mengancam dengan batang teberau di tangan. Terjerit-jerit Itam Sapek meminta belas kasihan supaya tidak disesah dengan batang tcberau itu.

Sebaik sahaja orang-orang kampung mendengar jeritan Itam Sepek takutkan batang teberau, yang tumbuh meliar. Tergesa-gesa mereka menyerbu ke halaman rumah Tok Munin lantas menyesah Itam Sapek dengan batang teberau.

Siapa sahaja tidak dapat lagi menahan rasa dendam yang membara di dada sejak sekian lama. Mereka sesahkan sahaja batang teberau ke tubuh Itam Sapek tidak berkira lagi. Terjerit-jerit Itam Sapek cuba mengelak tetapi seisi kampung tidak pedulikan apa-apa. Sampai tubuh Itam Sapek terkejang tidak bergerak lagi mereka masih juga sesahkan batang teberau melepaskan rasa marah yang tidak terhingga.

"Cukuplah, Itam Sapek sudah tidak bernyawa!" laung Tok Munin ingatkan orang-orang kampung yang telah hilang sabar.

Selepas kematian ltam Sapek itu seringkali Tok Munin gelisah apabila orang-orang kampung menetak batang teberau di tebing sungai. Mereka tidak boleh menetak batang teberau di situ selagi tidak meminta kebenaran daripada Tok Munin. Di situlah perkampungan bunian tempat Tok Munin sering berkunjung.

Kalau tidak disebabkan bunian di situ mematuhi perintahnya nescaya orang-orang kampung akan diganggu. Di-sebabkan kesalahan orang-orang kampung itulah Tok Munin mengambil keputusan berkahwin dengan bunian, biar perasaan dendam bunian terhadap mereka  tidak berterusan. Manalah tahu dendam bunian akan mengganggu juga apabila dia sudah meninggal dunia.

Setelah Tok Munin beritahu keluarganya mengenai dia berkahwin dengan bunian, memang kecewa juga isterinya Jimah. Manalah dia dapat menahan rasa cemburu kalau setiap kali malam bulan mengambang penuh Tok Munin tidak balik ke rumah sampai dua minggu.

Tetapi Jimah tidak menuduh Tok Munin berkahwin dengan bunian, lantas sahaja dia menuduh Tok Munin berkahwin di kampung lain. Sebab itu sengaja dia berbohong biar orang-orang kampung percaya mengenai perkahwinannya dengan bunian. Disebabkan Jimah sengaja sakiti hatinya dengan menuduh berkahwin di kampung lain itulah, Tok Munin tidak balik-balik lagi selepas hilang dalam belukar teberau di tebing sungai tatkala malam bulan mengambang penuh.

"Nanti, kamu juga jadi macam Pak Tua kamu," Andak Kimin ingatkan anaknya Limin mengenai Tok Munin yang tidak balik-balik lagi selepas mengaku berkahwin dengan bunian.

Tetapi Limin tahu mengenai Tok Munin yang menjadi pawang besar di kampung berhubung baik dengan bunian. Kadangkala kalau orang kampung mahu mengadakan kenduri kahwin, Tok Munin akan membakar kemenyan sahaja di tebing sungai dipenuhi belukar teberau. Habis sahaja dia membakar kemenyan nescaya pinggan mangkuk akan berlonggok berpuluh-puluh buah cukup untuk mengadakan kenduri.

Bukan takat pinggan mangkuk sahaja, kalau perlukan beras atau lembu pun bila-bila sahaja bunian akan penuhi permintaan mereka. Habis sahaja kenduri Tok Munin perintahkan supaya pinggan mangkuk dilonggokkan semula di tempat dia membakar kemenyan. Beras yang berbaki tidak digunakan juga mesti diletakkan juga di situ.

Kalau lembu disembelih, tulang-tulangnya mesti dikumpulkan juga dan dilonggokkan ke tepi belukar teberau di tebing sungai. Seisi kampung tahu sangat mengenai hubungan Tok Munin dengan bunian. Kalaulah Itam Sapek tidak terburu-buru mahu mengancamnya, sudah tentu Tok Munin tidak akan menyeru bunian membelasah Itam Sapek sampai terkejang tidak bernyawa.

Limin juga tahu orang-orang kampung yang menyerbu Itam Sapek setelah dirasuk oleh bunian. Masakan mereka berani menentang Itam Sapek sekalipun dia hampir ditewaskan oleh Tok Munin, kalau tidak dirasuk sampai tidak dapat mengawal perasaan.

"Amalan masing-masing tak sama, mak," ujar Limin memujuk emaknya supaya tidak bimbang dengan keputusannya.

Dia tidak boleh lupakan Puteri Embun yang menunjukkan dia cara mengubati patah tulang atau tergeliat urat. Asal sahaja orang-orang kampung jejak kaki ke rumahnya minta ubatkan urat tergeliat akibat tergelincir jatuh, cukuplah dia Ietakkan tiga helai daun sirih sahaja. Kemudian Limin akan menepuk-nepuk beberapa kali hingga mereka terasa kesakitan akibat tergeliat urat itu hilang beransur-ansur.

Sekiranya orang kampung datang mengerang-erang disebabkan patah tulang, Limin akan urutkan pada rotan yang diukur mengikut hasta tangan. Tiga malam dia urutkan rotan berkenaan nescaya patah tulang akan sembuh pulih. 

Sebaik sahaja Limin bertunang dengan Supinah, tiba-tiba sahaja Puteri Embun menjelma. Marah benar Puteri Embun dengan keputusan Limin bertunang dengan Supinah. Tetapi Limin berkeras tidak akan mengalah kerana tidak mahu tunduk dengan kemahuan Puteri Embun.

"Kenapa awak nak halang aku kahwin dengan Supinah?" marah juga Limin dengan sikap Puteri Embun seolah-olah mahu mempengaruhi dirinya.

"Bukan nak halang awak kahwin," sahut Puteri Embun kesal dengan keputusan Limin. "Tapi, takut Supiah akan jadi penghalang kita," jelasnya ingatkan Limin sekiranya berkahwin juga.

"Aku masih bujang, apa salahnya aku kahwin?" tegas Limin tidak mahu tunduk dengan kemahuan bunian.

"Nanti Supinah tak sabar," bimbang benar Puteri Embun sekiranya Supinah akan ungkit juga mengenai hubungan Limin dengan bunian. Kalau Supinah tidak dapat bersabar tentulah Limin juga akan menerima padah terpaksa meninggalkan keluarga.

"Masakan aku nak hina bunian," tutur Limin memberi jaminan dia tidak akan menghina bunian sebagai syarat sekiranya mengambil keputusan berkahwin. Tahu sangat dia sekiranya sudah menghina bunian maknanya dia mesti tinggalkan juga keluarga, kalau tidak mahu petaka menimpa keluarganya setelah dia meninggal dunia.

"Manalah tahu hati Supinah!" Puteri Embun ingatkan Limin supaya berterus terang dengan Supinah biar perempuan itu dapat bersabar. Manalah tahu Supinah akan hina bunian sekiranya bertengkar dengan Limin setelah menjadi suami isteri. Bukan mudah mahu mengawal perasaan tatkala bertengkar sekalipun setelah menjadi suami isteri yang aman bahagia.

Serba salah juga Limin apabila kenangkan tunangnya Supinah kalau menyedari dia berkeluarga dengan bunian. Tentu Supinah akan ungkit mengenai bunian yang tidak boleh menjelma menjadi manusia, kerana kepalanya bertanduk laksana kerbau.

Hanya beberapa hari sahaja sebelum majlis perkahwinan berlangsung, Limin diberitahu mengenai Supinah dilarikan oleh lembaga hitam seperti beruang. Marah benar Limin dengan kejadian tersebut lantas menyalahkan Puteri Embun sengaja mahu mengganggu. Tidak bertangguh Limin menyerbu masuk ke hutan melalui denai dia memasang jerat pelantik.

Ketika inilah dia melihat beruang hitam tersangkut pada jerat pelantiknya akibat tertanjul kaki. Terkial-kial beruang hitam itu mahu melepaskan diri, tetapi jerutan tali jerat semakin kukuh menanjul pergelangan kaki. tidak jauh dari situ dia melihat Supinah terbaring tidak sedarkan diri dengan kepalanya dipangku oleh Puteri Embun.

"Kamu yang punya angkara, Puteri Embun?" marah benar Limin dengan kejadian tersebut. Lantas dia menuduh Puteri Embun sengaja memerangkap mahu memperdayakan dirinya.

"Awak menghina bunian nampaknya, Limin," gerutu Puteri Embun sedih setelah dia selamatkan Supinah dari gangguan beruang hitam yang masih tersangkut pada jerat pelantik.

"Kalau bukan perbuatan kamu, perbuatan siapa?" jerkah Limin terlalu marah. Serentak dengan itu dia merasa kepalanya sakit berdenyut disebabkan terlalu kuat membentak. Sekaligus dia merasa kepalanya ditumbuhi tanduk hingga panjang sejengkal.

Setelah Supinah pulih dari tergamam, dia beritahu Limin mengenai puaka hutan yang mahu memusnahkan hubungannya dengan Puteri Embun. Kalau tidak disebabkan Puteri Embun datang menghalang nescaya puaka hutan sudah membawanya jauh ke tengah rimba. Siapa pun tidak akan menemuinya lagi kalau tidak dihalang oleh Puteri Embun.

Saat ini Limin menyedari kesilapannya menuduh Puteri Embun sampai dia sanggup menghina bunian. Apabila mendapati tanduk sudah tumbuh di kepalanya, Limin tahu dia tidak boleh balik semula ke tengah kampung. Kalau dia balik pun sekadar sembunyikan tanduknya yang tercancang di kepala hingga orang-orang kampung tidak dapat melihatnya.

Tetapi Supinah sudah melihat sendiri tanduk tumbuh di kepalanya. Tentu dia tidak dapat berbohong dengan sesiapa pun lagi mengenai dirinya yang sudah bersatu dengan bunian. Sebab itu dia menyuruh Supinah balik sahaja ke kampung memulakan  penghidupan baru.

Puteri Embun sendiri yang memimpin Supinah balik semula ke kampung setelah Limin mengambiI keputusan tidak akan jejak kaki lagi menemui emaknya Andak Kimah. Segala pengalaman yang dilaluinya diberitahu oleh Supinah kepada orang-orang kampung mengenai tunangnya Limin yang terperangkap di tengah kumpulan bunian.

Tidak lama selepas Limin hilang di hutan itulah orang-orang kampung menemui batu bersanding seolah-olah sepasang pengantin di atas pelamin tersergam di kaki bukit. Jerat pelantiknya yang dikatakan menanjul kaki beruang hitam itu juga ditemui oleh orang-orang kampung bingkas membidas di lorong denai yang dipasangnya. Tidak ada beruang hitam tertanjul kaki di situ.

Tetapi mereka terasa juga seram sejuk tatkala melintas di situ apabila kenang cerita Supinah mengenai beruang hitam masih tersangkut pada jerat berkenaan. Masakan Supinah berbohong dengan kejadian yang dialaminya sendiri tatkala dilarikan oleh puaka hutan yang menjelma seperti seperti beruang hitam. Puaka hutan tidak akan dapat mengalahkan Limin kalau dibiarkan bersatu dengan bunian.

Setelah Limin hilang dari kampung halamannya mengikut kumpulan bunian, sudah tentu tidak siapa pun berani berburu ke hutan. Bila-bila badi binatang hutan akan menimpa geruh orang-orang kampung yang berburu tidak menggunakan pawang. Lainlah kalau gunakan pawang tatkala masuk ke hutan memang puaka hutan akan mengalah.

Beberapa minggu selepas kehilangan Limin, memang Andak Kimah bermimpi mengenai Limin yang menjelma dengan berpakaian jubah serba putih. Mukanya bersih dengan senyum melirik. Limin ingatkan emaknya supaya hantarkan nasi kunyit, ayam panggang mentah dan tujuh piring bertih ke sisi batu bersendi sekiranya mahu menemui dia.

Asal sahaja Andak Kimah sediakan nasi kunyit, ayam panggang mentah dan tujuh piring bertih itu nescaya Limin akan menjelma dengan berpakaian jubah serba putih. Dia akan menjelma sekiranya Andak Kimah bersendirian sahaja. Memang Limin sudah ingatkan emaknya supaya tidak memberitahu sesiapa pun kalau mahu melihat dia sendiri menjelma.

"Memang Ulung ni keturunan Andak Kimah tu," beritahu Ulung Sijah setelah mengeluh pendek apabila kenangkan kejadian yang menimpa Limin itu.

Dia mengakui hanya Andak Kimah sahaja lakukan menghantar nasi kunyit, ayam panggang mentah dan tujuh piring bertih ke sisi batu bersendi yang tersergam macam pengantin bersanding itu. Andak Kimah lakukan pun hanya apabila malam bulan mengambang penuh sekiranya mahu menemui anaknya Limin.

Setiap kali Limin menjelma dia sekadar menjamah nasi kunyit sahaja dengan berlaukkan ayam panggang. Dia akan meneguk air hujan yang ditadah serta disimpan khusus untuknya. Selepas Andak Kimah berkahwin lain dengan Tok Bumin, tidak pernah lagi Limin menjelma.

Puas dibakar kemenyan dengan sepantar dulang berisi nasi kunyit, ayam panggang mentah dan tujuh piring bertih, Limin tidak juga mahu menjelma. Tentu dia merajuk setelah emaknya berkahwin dengan Tok Bumin. Tetapi seringkali, juga Andak Kimin bermimpi menemui Limin yang sentiasa tersenyum sahaja.

Limin tidak terkilan pun mengenai perkahwinan emaknya dengan Tok Bumin, tetapi dia tidak akan menjelma sekira-nya ada orang di sisi emaknya. Berkali-kali juga Tok Bumin bermimpi menemui jelmaan Limin yang hanya tersenyum sahaja tidak bercakap apa-apa.

Hinggalah Tok Bumin tergelincir tatkala di kebun menyebabkan buku lali kakinya terkehel teruk. Di bawah cahaya matahari terik di kepala, Tok Bumin terkial-kial mengharapkan sesiapa melintas untuk membantu. Kesal juga dia disebabkan tidak benarkan Andak Kimah ikut sama ke kebun apa-bila buku lali kakinya terkehel.

Perlahan-lahan dia merangkak ke bawah rumpun tebu berlindung dari cahaya terik matahari di kepala. Ketika ini Tok Bumin tidak boleh jejakkan lagi kakinya. Buku lali juga menjadi bengkak serta merta dengan sakit berdenyut-denyut.

Dalam masa terkial-kial inilah dia melihat anak muda berjubah putih berdiri di hujung kakinya. Dengan tidak bercakap apa-apa pemuda itu menepuk-nepuk buku lalinya yang membengkak. Pemuda itu mengisar daun patah but-but di tangannya lantas disapukan ke bahagian buku lali kaki Tok Bumin yang terkehel.

Sekaligus sahaja sakit yang berdenyut-denyut hilang. Tok Bumin boleh bangun berdiri sekalipun tumitnya masih belum dapat berjejak kuat. Dia terdengkot-dengkot juga melangkah setelah diurut oleh pemuda tersebut.

"Anak ni, Limin agaknya?" segera Tok Bumin menuduh sebaik sahaja menatap muka anak muda itu.

Dia mengangguk perlahan. Memang Limin mengakui dirinya menjelma tatkala Tok Bumin dalam kesusahan. Tetapi dalam sekelip mata sahaja Limin hilang dari pandangan setelah disebut namanya. Apabila Tok Bumin beritahu kepada isterinya Andak Kimah, merungut juga dia disebabkan suaminya tidak sabar-sabar mahu bertanya.

Apalah salahnya tunggu sehingga Limin bersuara. Tentu dia mahu sampaikan pesan apabila menjelma demikian. Setidak-tidaknya Limin akan mengulangi mengurut kaki yang membengkak berturut-turut tiga hari. Disebabkan Tok Bumin tidak sabar, sekali imbas sahaja dia dapat menetap muka Limin.

Tetapi Tok Bumin tidak harapkan sangat menemui Limin berulang kali. Biarlah dia terserempak sekali sahaja, kerana dia dapat merasakan Limin bukanlah insan yang sama sepertinya. Tentu Limin sudah bersatu dengan kumpulan bunian yang tidak diketahui wujudnya.

"Limin anak awak dulu, dah tak ada," tutur Tok Bumin seolah-olah kecewa dengan sikap Limin yang menjelma sekali imbas sahaja.

 "Tiap-tiap orang bernyawa itu akan mati, kita semua yang hidup ini pun akan mati juga!" tegasnya ingatkan Andak Kimah supaya tidak berasa aneh dengan kejadian demikian.

"Saya pun tak harap dia balik ke sini," jelas Andak Kimah menyedari Limin tidak akan menjelma sekalipun dia membakar kemenyan dengan menghantar sepantar dulang berisi nasi kunyit, ayam pang-gang mentah dan tujuh piring bertih.

Sebab itu dia tidak membantah Tok Bumin buat kenduri arwah untuk kenangkan Limin yang hilang semasa mencari Supinah yang dilarikan lembaga beruang hitam. Malah Supinah yang sudah berkahwin lain pun terpaksa melupakan segala pengalaman ngeri yang dilaluinya tatkala dilarikan oleh lembaga beruang hitam.

Tentu siapa pun tidak percaya bagaimana Iembaga beruang hitam itu mendakapnya terus melayang pantas ke udara. Supinah cuba meronta tetapi seluruh tubuhnya menjadi kaku tidak boleh bergerak langsung. Tatkala melintasi denai di tengah hutan tiba-tiba sahaja lembaga hitam itu terlambung ke atas dengan kakinya tertanjul pada tali yang kukuh.

Sekaligus pula Supinah terhumban ke tanah menyebabkan dia pitam hingga berbinar-binar mata. Tatkala ini Puteri Embun menjelma di depannya lantas mengusap-usap kepala Supinah. Lembaga beruang hitam itu cuba juga melawan, tetapi kakinya tertanjuI tali jerat menyebabkan dia terkial-kial tergantung.

Sewaktu Supinah mulai sedar, dia melihat Limin tunangnya menyergah Puteri Embun. Berkali-kali diingatkan oleh Puteri Embun supaya dia tidak ikutkan perasaan, tetapi Limin tidak pedulikan. Ketika inilah Supinah nampak kilauan kilat memancar di udara menyambar Limin. Berguling-guling Limin di tanah dalam keadaan kesakitan.

Apabila Limin mahu bangun  semula dilihatnya kepalanya sudah ditumbuhi tanduk. Ketika ini Tok Munin menjelma di depannya memberitahu mengenai nasib yang menimpa Limin. Bila-bila Tok Munin benarkan dia balik semula ke kampung dengan keadaan tanduk yang masih kekal tumbuh di kepala. Malu benar Limin mahu balik menemui emaknya kalau dengan keadaan kepala tercancang tanduk.

Sebab itu dia meminta Puteri Embun hantarkan Supinah ke kampung dengan selamatnya. Sepanjang perjalanan balik ke kampung memang Puteri Embun yang iringkan Supinah hingga sampai ke tengah halaman rumah. Sebaik sahaja Supiah memanggil emak dan ayahnya, Puteri Embun hilang dalam sekelip mata.

"Orang dulu-dulu, memang banyak ilmu," terharu benar Ulung Sijah menuturkan semula peristiwa yang menimpa nenek moyangnya bertahun-tahun dulu.

"Ulung pun tentu banyak ilmu?"  sengaja saya mengusik-nya kerana dia juga tahu mengubati sesiapa terkehel urat.

"Emmm, amalan yang di-turunkan arwah emak dulu," jelasnya mengakui dia memang amalkan amalan yang diturun-kan sejak turun temurun.

Asal sahaja Ulung Sijah merasa badannya seram sejuk, bila-bila boleh urutkan sesiapa sahaja tergeliat urat. Kalau seluruh badannya menggeletar dia boleh ubatkan sesiapa patah tulang, sekalipun sudah berhari-hari tidak diubatkan.

Tatkala seluruh badannya menggeletar, Ulung Sijah tahu di depannya anak muda berjubah putih tercegat. Dia akan tunjukkan Ulung Sijah apa yang perlu dilakukan, sekalipun membacakan doa yang mesti dihafalkan. Sekiranya sesiapa pun yang patah, anak muda itu akan bawakan daun patah but-but yang sudah ditumbuk lumat.

Sebaik sahaja Ulung Sijah pupuk daun patah but-but itu nescaya sakit berdenyut-denyut akibat patah tulang akan sembuh. Dalam masa beberapa hari sahaja mereka akan sembuh betul. Kadangkala Ulung Sijah sendiri tidak tahu apa-apa pun yang berlaku tatkala Limin menjelma di depannya.

"Ulung tak ada jampi serapah apa-apa," ujar Ulung Sijah tersengih-sengih menatap muka saya disebabkan saya mendesak-nya beritahu mengenai jampi  serapah semasa mengurut.

Sudah lama dia belajar dengan Imam Suh di surau, memang Ulung Sijah tidak tahu apa-apa mengenai jampi serapah. Arwah emaknya sekadar memberi petua, asal sahaja bangun pagi ingatkan seolah-olah berdiri di depan cermin. Bayangkan sahaja jelmaan diri sendiri ada di dalam cermin sampai terasa seluruh badan menggeletar dan seram sejuk.

"Itu aje amalan Ulung sejak dulu," beritahu Ulung Sijah apa-bila saya desak mengenai amalannya. Setelah lebih 70 tahun umurnya ketika itu saya melihat kulitnya masih tidak berkedut.

Sebab itulah semasa Munir datang menemui saya memberitahu mengenai buku lali kakinya menyakit semula sejak beberapa tahun sebefum itu, sengaja saya meyuruh dia carikan daun patah but-but. Tentu ayahnya Saleh Dobok tahu mengenai daun tersebut yang tumbuh di hutan.

Memang burung but-but akan gunakan daun rumput tersebut dijadikan sarang, sebab itu Ulung Sijah namakan rumput itu daun patah but-but sahaja. Saya akan cuba pupukkan daun tersebut ke buku lali kaki Munir.



SELESA