Saturday, September 17, 2016

194. MAYAT TERBERSIN MASA MANDI


DALAM kegelapan yang hanya disinari cahaya samar-samar dari luar rumah, Mahani keluar dari bilik tidur terus berjalan ke tingkat bawah. Langkahnya kemas seolah-olah dipandu orang ketika menuruni tangga rumah dua tingkat di salah satu kawasan perumahan di Kuala Lumpur. Sebaik saja, Mahani keluar meninggalkan bilik suaminya Khamis mengekorinya belakang.
Sudah beberapa malam sebelumnya Khamis menyedari kejadian yang menimpa isterinya, setelah Mahani memberitahu yang dia bermimpi yang mengerikan. Dia seolah-olah dibawa ke sebuah taman yang indah oleh seorang wanita yang jelita. Tetapi apabila wanita itu mengajaknya pergi jauh lagi mengikuti satu terowong, Mahani enggan mengikutnya. Akibatnya dia ditinggalkan oleh wanita berkenaan di situ, hinggalah dia menyedari dirinya di kejutkan oleh suaminya Khamis.
Apabila dia terjaga, Mahani mendapati dirinya terbaring di pintu pagar rumah.  Dia sendiri merasa heran bagaimana dia boleh sampai ke pintu pagar sedangkan pintu dan grill rumahnya terkunci rapat.  Khamis juga merasa heran dengan kejadian yang menimpa dirinya.
Disebabkan gangguan yang menimpa dirinya dan Mahani barulangkali, Khamis balik ke kampung menemui Ngah Tiban yang memang dikenali di kampungnya di Pahang seorang dukun.  Ngah Tiban membekalkan kepadanya garam digaul dengan lada hitam yang sudah didoakannya supaya ditaburkan di halaman rumah. Setelah dibekalkan dengan garam yang bergaul dengan lada hitam itulah, tiba-tiba saja Khamis terkejut dari tidur semasa Mahani melangkah keluar ke pintu bilik.
Sebelumnya memang dia terlena tidak menyedari apa-apa yang berlaku. Hanya setelah hampir pagi barulah di sedarinya Mahani tidak ada di sebelahnya. Cepat-cepat dia berlari turun ke tingkat bawah.  Pintu dan grill rumahnya terkunci kukuh.  Tetapi dia dapat melihat dari cermin pintunya Mahani tergolek di pintu pagar tidur dengan lenanya.
“Hai, kakinya tak berjejak,”  bisik hati Khamis apabila di lihatnya Mahani yang menuruni anak tangga ke tingkat bawah seolah-olah melayang saja di awang-awangan.
Buat beberapa ketika Khamis merasa dirinya seakan-akan terpukau melihat keadaan isterinya.
Tetapi apabila Mahani hampir sampai ke pintu, Khamis segera melimparkan garam bergaul lada hitam yang di bekalkan oleh Ngah Tiban itu ke arah Mahani.  Dia melihat Mahani menggeliat-geliat seperti kesakitan, tetapi tidak bersuara apa.  Kemudian tubuhnya rebah di muka pintu dalam keadaan tertiarap.
Cepat-cepat Khamis memasang suis lampu di ruang tengah.  Sebaik lampu terpasang dia melihat Mahani bingkas bangun.Pantas Mahani menghempaskan badannya ke kusyin.
“Mahani…!”  Khamis menggoyang-goyang bahu isterinya.
Sekaligus Mahani mendengar sambil menepis tangan Khamis.Dia memasamkan muka seperti terlalu marah dengan tindakan Khamis mengekorinya.
“Mahani…”  ujar Khamis lagi menampar-nampar bahu Mahani.
“Ah, bisinglah,” sahut Mahani keras.
“Kenapa kau ni,”  Tanya Khamis perlahan.
“Tak boleh tengok orang senang,” rungut isterinya menggertap bibir.
Disebabkan dia tidak tahu apa harus dilakukan, Khamis hanya duduk saja memerhatikan isterinya.  Dia hanya mengawal supaya Mahani tidak terus mengigau hingga ke luar dari rumah. Ketika ini Mahani merungut-rungut saja sambil mengerling ke arahnya.
“Macam budak-budak main garam,”  ejek Mahani mendengus, tetapi dia memandang muka suaminya.
“Ini ubat, Ngah Tiban yang bekalkan,”  jelas Khamis mengingatkan isterinya.
Mendengar penjelasan Khamis itu, Mahani ketawa terkekeh-keheh.  Dia mengejek-ngejek ubat yang dibekalkan oleh Ngah Tiban yang dianggapnya cuba memperbodoh-bodohkan dirinya.  Khamis hanya tersengih-sengih saja.  Biarlah isterinya tidak mempercayai orang tua berkenaan, tetapi dia yakin Ngah Tiban  tidak mensia-siakan harapannya.
“Buangkanlah garam tu…”  jerkah Mahani meninggikan suaranya.
“Hiss, Ngah Tiban tak kasi buang,”  dia mengingatkanh Mahani tentang pesanan Ngah Tiban semasa mereka mengunjungi orangtua itu di kampong.
“Buat apa…’ di rumah kita ni banyak garam,”  sahut Mahani melembutkan suaranya pula.
Sekalipun Khamis tidak memahami apa sebenarnya berlaku ke atas diri Mahani, tetapi dia tidaklah membuang terus garam bergaul lada hitam yang di bekalkan oleh Ngah Tiban itu.  Dia hanya tersengih-sengih saja kerana menganggap isterinya semata-mata bergurau.
“Buangkan garam tu…!”  tiba-tiba Mahani berdiri tegak menyebabkan Khamis serba salah.  Suara keras Mahani itu bukan lagi bergurau, sebaliknya sudah mencabar dia.
“Duduk dulu,”  ujar Khamis lembut memujuk isterinya.  Apabila dia cuba menghampiri Mahani, perempuan itu cepat-cepat mengelak.  “Kenapa kau takutkan aku, Mahani…?”  tanyanya keheranan kerana Mahani tidak mahu dia mendekatinya.
“Aku kata buangkan garam tu!”kata Mahani berkeras.
“Tidak…”  sahut Khamis tegas.  Dia tahu garam bergaul lada hitam itu sudah didoakan oleh Ngtah Tiban. Mengapa secara tiba-tiba saja Mahani mendesak supaya dibuangkan? Ketika ini Khamis sudah dapat menduga bahawa bukan Mahani yang mendesak supaya perkakas-perkakas yang dibekalkan oleh Ngah Tiban itu di buang.
Serentak dengan itu juga dia mendengar suara azan dari surau di kawasan perumahan itu sayup-sayup menusuk perasaan menandakan masuknya waktu subuh. Keheningan subuh itu mula diselubungi oleh suara azan yang memanjang. Terasa juga pada Khamis isterinya sudah lama berkeadaan demikian sejak disedarinya apabila turun ke tingkat bawah sebelum itu.
Sebaik saja suara azan bergema dari arah surau.Khamis melihat tubuh isterinya menjadi lemah longlai lalu rebah berhampiran dengannya. Dia menepuk-nepuk pipi Mahani menyuruhnya bangun, tetapi perempuan itu terkapar tidak sedarkan diri. Peluhnya memercik di dahi, sedangkan subuh ketika itu dibungkus kedinginan yang menysup sampai ke tulang hitam.
Khamis menjadi kebingungan. Mujurlah ketika ini dua orang anaknya yang berumur empat dan dua tahun tidak terjaga.  Kalau anak-anaknya terbangun mungkin mereka akan riuh tidak menentu, hingga mengganggu jiran-jiran yang tinggal bersebelahan di rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan berkenaan.
Bagaimanapun dia tetap bertenang menunggu pagi yang akan membawa sinar matahari cerah melayah.  Beberapa minit dia termenung melihat Mahani terbaring tidak sedarkan diri,  Khamis mengambil keputusan untuk menunaikan fardu subuh terlebih dulu.  Selesai saja dia menunaikan fardu subuh serta berdoa pendek, dia mendengar isterinya merungut-rungut di tingkat bawah.
Apabila dia turun menjengah, Khamis menjadi heran kerana Mahani berrtanyakan kepadanya bagaimana dia boleh tidur di atas karpet di tingkat bawah.
“Kau turun sendiri…”  jelas Khamis tersengih-sengih.
“Aku mengigau lagi?” tanyanya mahu mempastikan.
“Boleh jadi,”  ujar Khamis terus turun mendapatkan isterinya.
Dia meletakkan tapak tangannya ke dahi Mahani, ternyata tidak lagi di perciki peluh.Tubuh Mahani juga tidak panas memijar bagaikan orang demam panas.
“Apa kau rasa? “Soal Khamis mengeluh perlahan lalu duduk di kusyin.
“Perempuan tu datang lagi dalam mimpi aku,”  beritahu Mahani menghela nafas.  “Tapi dia tak berani memegang tangan aku macam selalu….”Katanya mengerutkan dahi seolah-olah mengingatkan semula mimpi yang di alaminya.
“Tak boleh jadi macam ni!”  Khamis menggeleng-geleng kepala dengan kejadian yang menimpa isterinya itu. Bagaimanapun dia tidak pula menceritakan peristiwa tersebut kepada jiran-jiran di sebelahnya.  Malu juga Khamis mahu menceritakan  kerana bimbang dituduh oleh jiran-jiran dia terlalu mempercayai perkara-perkara yang tahyol.
Di Kuala Lumpur tentulah tidak sama dengan kampungnya di Pahang.  Orang-orang kampungnya masih lagi mempercayai kejadian-kejadian seperti itu yang mereka yakin tidak mustahil boleh berlaku. Tetapi masyarakat di Kuala Lumpur tidak dapat menerimanya, kerana cerita-cerita tahyol hanya dongengan dari orangtua-orang tua dahulu bagi menakut-nakutkan anak cucunya saja.
Khamis sendiri merasakan kisah-kisah demikian adalah tahyol juga. Hinggalah kejadian yang berlaku kepada isterinya itu, menyebabkan dia serba salah.  Adalah tidak munasabah Mahani boleh keluar hingga tidur di pintu pagar dengan keadaan pintu dan grill berkunci kukuh.  Sedangkan anak kuncinya masih tergantung pada papan meter letrik di dalam rumah.
Dia sendiri dapat melihat Mahani berjalan menuruni anak tangga dengan kakinya tidak berjejak.
“Kita balik jumpa Ngah Tiban…”  Khamis memberi cadangan sambil merenungi wajah isterinya.
“Kita bawa aje dia ke sini, suruh tengok-tengokkan,”  sahut Mahani pula menambah.
Memang Khamis juga mempunyai keinginan mahu membawa Ngah Tiban datang ke Kuala Lumpur supaya dapat mengatasi masalah yang mengganggu isterinya Mahani. Jiran-jiran sebelah hanya melihat Mahani sihat sejahtera tidak mengalami apa-apa kesakitan. Hanya pada beberapa malam tertentu saja dia di ganggui mimpi yang menakutkan.
Mahani merasakan seorang wanita cantik masuk ke bilik tidurnya lantas mengajaknya pergi.  Kalau dia enggan mengikutinya kawasan biliknya akan di penuhi oleh pelbagai binatang-binatang buas termasuk ular, kala jengking dan lintah yang muncul terlalu banyak tidak tahu dari mana datangnya. 
Disebabkan takut gangguan binatang-binatang bisa itulah dia terpaksa mengikut wanita itu dengan melayangkan dirinya ke udara supaya tidak digigit oleh ular-ular bisa yang menunggu di tangga, serta kala jengking yang disetiap penjuru. Lintah-lintah juga keluar dari dinding batu dengan memuntahkan darah merah yang mengerikan.
Mimpi ini datang berulang-ulang dua malam sekali mengganggu Mahani. Apabila diceritakannya kepada Khamis, memang suaminya mentertawakan dia pada mula-mula kejadian tersebut. Khamis menganggapnya sebagai mimpi biasa saja yang tidak boleh dituruti sangat.
Bagaimanapun dari jiran-jirannya, Mahani mendapat tahu sudah beberapa orang menyewa rumah berkenaan. Tetapi tidak ada seorang pun yang tinggal di situ lebih dari tiga bulan. Kadangkala sebulan saja mereka mendiami rumah tersebut, lantas mengambil keputusan berpindah.
Tuan rumah itu sendiri tidak mahu tinggal di rumah berkenaan.  Dia menyewa rumah lain pula di Hulu Kelang.  Pernah juga dia berhasrat mahu menjualkan saja rumah tersebut, tetapi sukar sangat mahu mendapatkan pembelinya.  Hinggalah Khamis mendiami rumah berkenaan, tuan rumahnya masih mempunyai hasrat untuk menjualnya.  Tetapi setelah tiga bulan Khamis menyewa di situ, dia tidak pun mengambil keputusan untuk berpindah, hasrat tuan rumah itu mahu menjualkannya ikut sama tenggelam bersama kesediaan Khamis untuk terus menyewa rumah tersebut,
Apabila mereka menemui Ngah Tiban orang tua itu tidak dapat memenuhi hasrat Khamis untuk membawanya ke Kuala Lumpur. Selepas menemui Ngah Tiban itulah Khamis bersama isterinya Mahani datang ke rumah saya.
Pada mulanya terkejut juga saya apabila dikunjungi oleh mereka suami isteri. Khamis memberitahu dia disuruh menemui saya oleh Ngah Tiban. Puas saya memikirkan siapakah Ngah Tiban yang dimaksudkannya itu.  Lama baru saya teringat mengenai seorang kenalan Ulung Bahar yang sudah beberapa kali kami bertemu.
Memang saya sudah beberapa kali bertemu dengan Ngah Tiban di rumah Ulung Bahar di Lancang. Tetapi saya hanya mengenali dia melalui Ulung Bahar sebagai Lebai Ngah saja. Setahu saya dia bukanlah dukun, tetapi pernah belajar pondok di Kelantan beberapa tahun.
Tidak banyak yang saya ketahui sangat mengenai Ngah Tiban atau Lebai Ngah ini, kerana selepas kematian Ulung Bahar kami tidak pernah lagi bertemu. Tetapi memang Ulung Bahar pernah juga menceritakan kepada saya mengenai diri Lebai Ngah ini yang di hebohkan sudah mati setelah diserang demam panas.
Ketika sakitnya sedang tenat, dia meminta supaya di panggilkan Ulung Bahar. Tetapi belum pun sempat Ulung Bahar sampai dia sudah pun menghembuskan nafasnya. Pada zahirnya semua orang-orang kampung melihat dia sudah terbujur menjadi mayat.
Esoknya, apabila mayatnya dimandikan sebelum dikapankan, orang melihat kedua-dua ibu jari kakinya bergerak.Tidak lama kemudian tangannya mula bergerak pula. Selepas itu dia terbersin tiga kali sebelum membuka matanya.Dia terkebil-kebil keheranan melihat orang ramai di kelilingnya sedang memandikan dirinya seperti mayat yang terbujur.
Setelah diterangkan semua kejadian yang berlaku ke atas dirinya kelihatan air mata Lebai Ngah tergenang. Dia bangun perlahan-lahan langsung mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat dua rakaat bersyukur ke hadrat Illahi. Apabila saya bertanyakan kepadanya mengenai cerita Ulung Bahar terhadap peristiwa yang dialaminya, Lebai Ngah enggan bercerita. Tetapi dia hanya menangis tersedu-sedu tidak dapat menceritakan apa-apa kepada saya.
Orangnya memang tidak suka bercakap banyak.  Kalau kita bertanyakan sepatah maka akan dijawabnya sepatah juga.  Inilah Lebai Ngah yang saya kenali melalui Ulung Bahar apabila saya berkunjung ke Lancang satu ketika dulu. Dari Ulung Bahar juga saya diberitahu mengenai peristiwa seorang lelaki yang menghadapi masalah tenaga batin.
Kebetulan pula Ulung Bahar mengubati seorang orang besar yang merasakan kemaluannya kebas seperti baru saja dikhatankan.
Bagaimanapun Ulung Bahar Berjaya memulihkannya setelah dapat mencari punca yang menyebabkan orang besar berkenaan menderita kehilangan tenaga batin.Ulung Bahar berjaya menangkap seekor anak haruan yang dihanyutkan di Sungai Kelang yang dipuja menggunakan sihir sehingga menyebabkan orang besar berkenaan menanggung penderitaan kehilangan tenaga batin beberapa tahun.
Tetapi Lebai Ngah tidaklah menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh Ulung Bahar apabila diminta oleh orang besar memulihkan penderitaannya. Satu waktu Jobel Pagan menemui Lebai Ngah memberitahu dia menghadapi kesulitan kerana menderita lemah tenaga batin.
“Habis macam mana kau boleh dapat anak?”soal Lebai Ngah atau Ngah Tiban tersengih-sengih mendengar cerita Jobel Pagan itu.
Mula-mulanya malu juga Jobel Pagan mahu menerangkan, tetapi setelah didesak oleh Lebai Ngah barulah dia membisikkan perlahan,  “Sebenarnya kalau dengan isteri saya memang boleh, tapi dengan orang lain tak boleh….”
Berdekah-dekah Lebai Ngah ketawa. Geli benar hatinya dengan cerita Jobel Pagan.
“Padanlah muka kau, kenapa kau nak buat jahat dengan perempuan lain…!”  ujar Lebai Ngah menyindir.
Di kampung itu memang orang-orang kampung mengetahui Jobel Pagan suka ke  Golok di selatan Siam, apabila dia ke Kelantan kerana urusan perniagaannya.  Kadangkala sampai seminggu dia ke Golok. Isterinya Yam Gemuk sudah mendengar cerita mengenai suaminya Jobel Pagan yang suka mencari perempuan apabila ke Golok. Malah dia sudah mendengar mengenai Jobel Pagan mahu berkahwin seorang lagi dengan perempuan di Tumpat.
Tetapi berita Jobel Pagan mahu berkahwin di Tumpat, Kelantan itu hilang begitu saja.Sejak itu pun dia jarang ke Golok.  Kawan-kawannya mendapat tahu, Jobel Pagan akan sia-sia saja kalau mencari perempuan di Golok.  Dia akan kecewa kerana tidak dapat meneruskan hajatnya.
Apabila dia bertemu dengan Lebai Ngah itu, terbukalah tembelangnya di depan orangtua itu bahawa dia kehilangan tenaga batin apabila berhadapan dengan wanita yang lain dari isterinya.  Heran juga Jobel Pagan dengan kejadian yang menimpa dirinya. Anehnya apabila bersama isterinya Yam Gemuk dia menjadi gagah seperti keadaan biasanya.
“Cukuplah, Yam seorang saja, Jobel,”  usik Lebai Ngah.
“Selera ada apa salahnya Abang Lebai,”  kata Jobel Pagan seolah-olah mahu menutupkan kelemahannya.
“Kau ingat kau pandai…” ujar Lebai Ngah seterusnya.  “Hah, dengan Yam tak terikhtiarkan,”  dia mengejek lelaki berkenaan.
Jobel Pagan yang selama ini digeruni oleh Yam Gemuk, tiba-tiba saja berubah setelah di hebohkan mahu berkahwin seorang lagi di Kelantan. Dia berubah menjadi moyok kalau dijerkah oleh Yam Gemuk.  Apabila dia ke Kota Bharu sekali-sekala Jobel Pagan pergi juga ke Golok, tetapi dia sering mengeluh di depan kawan-kawannya kerana tidak dapat memenuhi hajatnya.  Dia menjadi seorang lelaki yang kehilangan segala-galanya apabila berdepan dengan wanita-wanita cantik yang muncul di pintu bilik.
Lama juga Jobel Pagan diselubungi keresahan setiap kali mengenangkan nasibnya yang pagan dan gagah selama ini, berubah menjadi moyok tidak bermaya. Kadangkala dia hanya bercerita mengenai perempuan-perempuan cantik bersama kawan-kawannya semata-mata untuk berhibur-hibur saja.
Manap Jebon yang menyuruh dia menemui Lebai Ngah, kerana Manap Jebon merupakan teman rapatnya yang sama-sama ke Golok apabila sampai di Kota Bharu. Memang dia serba salah untuk menemui Lebai Ngah mengadukan masalah yang dihadapinya itu. Tetapi bila difikirkan berapa lamakah dia mesti menanggung kerusuhan di hati, di gagahinya juga untuk menemui orangtua tersebut.
“Beginilah Jobel,”  kata Lebai Ngah menasihatkanh dia.  “Kalau diizinkan Allah penyakit kau ni pulih, lain kali janganlah kau jahat perempuan lagi,”  dia mengingatkah Jobel Pagan.
Setelah Jobel Pagan berjanji mengubah perangainya tidak mahu mencari perempuan lagi untuk bersuka-suka, Lebai Ngah, menyuruh dia menyangkung sambil duduk di atas tumit.Kemudian dia mengurut-ngurut tulang belakang lelaki itu beberapa kali. Selepas itu ditamparnya pada bahagian pinggang tiga kali.
Setelah menyuruh Jobel Pagan duduk semula, Lebai Ngah mengelilinginya tiga kali pula. Apabila dia menepuk lantainya tiga kali, Jobel Pagan melihat tapak tangan lebai Ngah dipenuhi oleh tanah merah seperti dia mengorek tanah dengan jarinya.
Kemudian dia menyuruh Jobel Pagan pergi sendiri ke tanah perkuburan di kampung itu. Jobel Pagan tidak membantah. Dia terus ke kubur yang diberitahu oleh Lebai Ngah. Sesampai saja dia di kubur yang disebutkan itu.  Jobel Pagan melihat sendiri di bahagian kepala kubur  baru saja digali seperti di cakar dengan jari yang keras.
Dari lubang bekas digali itu dia mendapati sekerat tebu lanjung sepanjang sehasta terikat pada kain putih.Di situ juga terdapat bungkusan yang berisi dengan jantung pisang hutan yang sudah kering kecut, tetapi tidaklah busuk seperti kebiasaannya. Dia mengambil perkakas-perkakas yang ditemui itu, kemudiannya mengambuskan semula lubang berkenaan.
Segala apa yang dilihatnya itu di ceritakan semula oleh Jobel Pagan kepada Lebai Ngah.  Tebu lanjung yang keras itu dijengkal oleh Lebai Ngah lantas dipangkahnya dengan kapur.Selepas itu diketukkannya ke kepala lutut Jobel Pagan hingga terasa kepadanya kesakitan sampai ke pangkal paha.
Sebelum Jobel Pagan balik, Lebai Ngah menyuruhnya duduk di atas tumit setiap kali mandi di waktu pagi.  Kemudian meletakkan ibu jari kanan ke langit-langit sambil membacakan Surat Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas dan dihembuskan perlahan-lahan ke kemaluannya serta diurutkan dengan ibu jari yang dicecahkan ke langit-langit,  Ketika di hembuskan itu Lebai Nghah menyuruhnya seretak melafazkan: Allahhu Wahidul Qahar.
Lebih kurang sebulan selepas menemui Lebai Ngah itu, Manap Jebon menemui Jobel Pagan. Dia memberitahu Manap Jebon masih tidak ada apa-apa perubahannya masalah yang dihadapinya itu.Tetapi tidak lama kemudian Manap Jebon mendapat tahu Jobel Pagan berkahwin seorang lagi dengan seorang gadis berusia 19 tahun dari Chenor.Yam Gemuk tidak berupaya lagi menghalang kemahuan suaminya itu.
Dalam masa dua tahun saja Jobel Pagan sudah mempunyai tiga orang isteri.Malah isterinya yang ketiga itu memang mendapat restu dari Yam gemuk sendiri.
Sayangnya saya tidaklah rapat sangat dengan Lebai Ngah kalau dibandingkan hubungan saya dengan Ulung Bahar. Sebab itu tidak banyak yang saya ketahui dibandingkan hubungan saya dengan Ulung Bahar kepada saya.  Oleh itu apabila Khamis memberi tahu saya bahawa Lebai Ngah yang menyuruhnya mencari saya, seolah-olah saya sudah terlupa kepada orangtua itu.
Dalam hati saya tertanya-tanya dia mengetahui alamat saya untuk diberikan kepada Khamis.Tetapi Khamis menjelaskan bukanlah Lebai Ngah yang mengetahui alamat saya. Dia hanya menyuruh Khamis menemui anak saudaranya Kadir Misai yang sudah berpindah ke Melaka. Melalui Kadir Misai inilah Khamis dapat mencari alamat saya tinggal.
“Ngah Tiban yang suruh saya jumpa dengan ustaz ni…”  jelas Khamis sebaik saja duduk.
“Esss, saya tak tau nak buat macam mana,”  sahut saya yang serba salah dengan permintaan Khamis suami isteri.
“Saya nak minta tolong ni ustaz…”  Mahani pula merayu.
“Saya tak ada upaya Cik Mahani,”  ujar saya masih serba salah.  Bila teringatkan Ngah Tiban atau Lebai Ngah ini keinginan saya mula memuncak untuk menemui dia di Pahang. Orangtua yang saya hampir lupakan itu rupa-rupanya masih ingatkan saya lagi, sekalipun Ulung Bahar yang menemukan kami dulu sudah lama meninggal dunia.
“Saya minta dengan ikhlas ustaz.” Kata Khamis dengan penuh harapan.  “Kalau tidak kerana pesan Ngah Tiban, takkan saya sampai ke rumah ustaz ni.  Susah payah juga saya ke Melaka mencari Kadir Misai kebelum ke sini,”  ujarnya menambah dalam suara yang perlahan.
Dalam keadaan serba salah itulah saya memberikan pengakuan bersetuju untuk ke rumah Khamis selepas maghribnya.  Bagaimanapun Khamis memberitahu dia sendiri akan menjemput saya.
“Ustaz tunggu sajalah di rumah, biar saya yang datang jemput…”  katanya selepas masuk ke kereta.  Saya mengangguk sambil mengiringkannya sampai ke kereta.  Semasa bersalaman dengan isteri saya, Mahani bersungguh-sungguh mempelawa isteri saya ikut sama ke rumahnya selepas maghrib.

SELESAI