SEPANJANG lima bulan Daboh
dalam kurungan pasung kayu, dia hanya tersengih-sengih saja setiap kali Dukun
Sood datang. Kadangkala dia melambai-lambai tangan apabila Dukun Sood membakar
kemenyan. Tetapi Daboh akan merungut-rungut sekiranya dia nampak Sarip Kubung
tersandar pada tiang tengah.
Dukun Sood sering mengingatkan
Sarip Kubung supaya tidak berkasar dengan adiknya itu. Daboh sakit hilang akal,
bukannya demam biasa. Dia tidak mengganggu sesiapa, cuma tersengih-sengih saja.
Dukun Sood menyuruh dikurung dalam pasung kayu, bukan bimbangkan Daboh
mengganggu orang, tetapi supaya dia terkawal tidak dapat merayau-rayau ke sana
ke mari.
Bila terlepas Daboh akan
berjalan-jalan ke tepi sungai sambil tersengih-sengih. Perempuan-perempuan yang
sedang membasuh akan bertempiaran lari bila ternampak Daboh, kerana ketakutan.
Sebenarnya Daboh tidak mengusik sesiapa pun. Tetapi disebabkan takut
perempuan-perempuan itu lari bertempiaran. Daboh pula akan terlompat-lompat
kesukaan melihat perempuan-perempuan itu lari.
Sarip Kubung pula akan
menempeleng muka adiknya itu kalau dijumpainya merayau-rayau di keliling
kampung. Dia akan mengheret Daboh memaksa adiknya balik semula ke rumah.
Kadang-kala menangis juga Mak Leha melihat lutut Daboh berdarah-darah kerana
diheret oleh abangnya.
Kira-kira lima bulan Daboh
menderita dalam kurungan pasung kayu. Kalau Dukun Sood tidak suruh demikian
tentulah lebih teruk Daboh diseksa oleh abangnya Sarip Kubung. Manalah dapat
menahan Daboh berjalan-jalan sambil tersengih-sengih memegang sebatang kayu,
sedangkan fikirannya bukanlah seperti orang biasa. Dia hilang akal sejak
beberapa lama.
Puncanya tidak siapa pun tahu.
Tetapi seingat-ingat Mak Leha, mula-mulanya Daboh selalu duduk termenung. Dia
tidak lagi mengikut kawan-kawannya memburu ke hutan, atau memikat balam, atau
mendekut wak-wak. Disuruh makan pun, Daboh tidak mahu. Dia enggan bercakap
dengan sesiapa.
Kemudian sedikit demi sedikit
perangainya mula berubah. Dia mula bercakap seorang diri, tersengih-sengih dan
ketawa sesuka hatinya bila masa saja. Dukun Sood yang dipanggil mengubatnya
hanya dapat mengatakan Daboh terkena badi hutan.
"Kau tak boleh berkasar
dengan adik kau, Sarip." Dukun Sood mengingatkan setelah mendengar cerita
Mak Leha bagaimana Sarip Kubung melayani adiknya itu. "Dia tu kena badi,
susah nak diubat. Kena bersabarlah kita menjaga dia," nasihat dukun itu.
Sarip Kubung hanya mengangguk
kepala. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bersikap kasar dengan Daboh. Tetapi
apabila dipujuk baik-baik Daboh tidak mahu mempedulikannya, sebab itulah dia
terpaksa berkeras. Kadang-kadang disuruh makan pun Daboh sengaja terberak atau
terkencing di dalam pinggan, kecuali apabila disergah barulah dia mahu menurut
perintah Sarip Kubung.
"Menjaga orang macam ni memang
susah" kata Dukun Sood lagi. "Tapi, kita kenalah sabar. Kalau tidak
kita menjaga dia siapa lagi hendak diharapkan!" ujar orang tua itu
mengingatkan.
Mak Leha memang tidak dapat
berkata-kata lagi sejak Daboh jatuh sakit. Sarip Kubung berkahwin, hanya dengan
Daboh sajalah dia tinggal di rumahnya. Daboh yang menyara hidupnya selama ini.
Kalau patut menoreh getah, Daboh akan pergi menoreh getah. Kalau patut ke hutan
mencari manau, damar atau petai, dia ke hutan bersama kawan-kawannya.
Kadangkala Daboh memasang
perangkap pelanduk, memburu denak, mendekut wak-wak. Memang Daboh anak muda
yang rajin bekerja. Susuk tubuhnya gempal berambut kerinting, berkulit hitam
manis. Boleh dikatakan dalam kampung itu dia merupakan anak muda yang tampan
juga. Kalau ada kenduri kendara selalulah dia bersenda gurau dengan anak gadis
di penanggah.
Tetapi semenjak dia jatuh
sakit, Daboh berubah sama sekali. Tubuhnya masih gempal tetapi comot selekeh
tidak terurus. Baunya hapak kerana jarang mandi. Hanya sekali sekala saja emaknya
dapat memujuk menyuruh dia mandi.
"Kenapa kau jadi macam ni
Daboh!" rintih Mak Leha bila sekali sekala dia tidak dapat menahan
perasaan terharunya melihat keadaan anaknya itu.
Daboh hanya tersengih-sengih
melihat emaknya menangis merintih-rintih. Kadangkala dia menggaru-garu belakang
dengan menggosokkannya ke dinding. Atau dia berjalan berligar-ligar di dalam
kandang kayu yang dibuat berpasung itu. Daboh tidak akan menyahut apa-apa kalau
emaknya merintih-rintih di depannya.
"Nasib kaulah Daboh, kalau
pendek umur emak macam manalah kau Daboh" Mak Leha menahan kesedihan yang
mengganggu jiwanya.
Daboh hanya tersengih-sengih.
Dia tidak peduli emaknya merintih-rintih tersedu di depannya.
Sama ada Daboh terkena badi
binatang hutan, Mak Leha tidaklah hiraukan sangat kerana dia tahu Daboh memang
gemar berburu. Pernah juga dia mengidap sakit telinga berdarah selepas dapat
menjerat kijang. Ketika kijang meronta-ronta dia dan kawan-kawannya merebahkan
binatang itu ke tanah. Daboh menekan lututnya ke pangkal telinga kijang itu
bagi membolehkan Lajis menyembelih.
Balik dari hutan itu semua
mereka yang pergi seramai 8 orang jatuh demam. Lajis demam kena beguk hingga
kedua-dua belah lehernya bengkak. Mat Jol yang memegangkan kaki pula kena bisul
pada betis samapai sebulan lebih menghidap bengkak betis. Rasip meracau-racau
takutkan orang besar mengganggu setiap kali terlena. Liham pula sakit mata
sebulan biji matanya merah tidak boleh melihat. Sanip pula terberak-berak darah
menghidap berbulan-bulan. Hendak dikatakan buasir bukannya penyakit buasir,
tetapi duburnya terasa seperti luka baru sembuh.
Keenam-enam mereka terkena badi
kata Dukun Sood. Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sarip jeran sejeran-jerannya
selepas dikatakan badi kijang itu. Baik saja dari sakit mereka tidak mahu lagi
berburu binatang hutan. Lajis yang menyembelih kijang terasa lehernya pedih
bagaikan dihiris dengan pisau semasa menghidap beguk itu. Kalau beguk biasa dua
tiga hari akan sembuh. Atau ianya boleh menjangkit pada orang lain.
Sebaliknya beguk yang dihidap
oleh Lajis sampai lebih sebulan. Terpaksa Dukun Sood berkebas dengan kain hitam
dan mayang pinang. Sementara Mat Jol yang memegangkan kaki, betisnya pula
hinggap bisul. Betis itu membengkak sampai sebesar batang pinang. Dukun Sood juga
mengubatnya dengan merendang bertih. Hampir sebulan dia mengidap barulah bisul
itu meletus hingga keluar nanah bercampur darah pekat.
Rasip cuma duduk saja diatas
badan kijang yang sudah rebah ke tanah. Dia tidak melakukan apa-apa. Tetapi
apabila balik ke rumah dia kena demam panas seluruh badan. Setiap malam dia
merepek meracau-racau takutkan orang besar datang mencekik lehernya. Dukun Sood
berkebas dengan kain hitam juga di samping air tujuh geluk dari tujuh kuala
sungai dibubuh bunga tujuh warna. Sampai kurus badan Rasip menderita sakit
barulah dia pulih semula.
Sementara Liham pula kerana
mahu cepat dia menerpa hingga pahanya menghimpit bahagian mata kijang. Mungkin
itulah sebabnya dia mengidap sakit mata sebulan lebih. Matanya merah tidak
boleh celik kalau berdepan dengan cahaya. Apabila bangun pagi kedua pelupuk
matanya seperti kena gam melekat tidak boleh dibuka. Terpaksa pula dibasuh
dengan air embun. Kadangkala mata itu pedih seperti dibubuh pasir.
Sanip yang melompat ke atas
perut kijang itu berdiri dan menginjak-nginjak supaya binatang itu tidak dapat
berkuat terkena pula sakit terberak-berak darah. Semuanya berubat kepada Dukun
Sood. Mengikut cerita Dukun Sood memang mereka terkena badi kijang.
Begitu jugalah Daboh yang
menghimpit pangkal telinga kijang itu dengan kepala lututnya, menyebabkan
telinganya berdarah. Dia merasa menggelegak macam dimasuki lipas. Bila disumbat
dengan kapas didapati kapas itu berdarah. "Binatang hutan ada gembala,
kalau tak tahu permainan gembalanya nanti kita yang musnah" Dukun Sood
mengingatkan mereka supaya jangan lagi memburu binatang hutan.
"Yang kuat badinya burung
puyuh..." jelas Dukun Sood menasihati anak-anak muda yang ghairah memburu
itu. "Yang kedua ayam denak, yang ketiga rusa dan keempat kijang. Nasib
baiklah awak semua terkena badi kijang, masih boleh ditolong" beritahunya
macam memberi amaran.
Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham
dan Sanip memang tidak berani lagi sebut perkara memburu di hutan. Tetapi Daboh
tetap berdegil. Dia tidak mengalah walaupun dilarang oleh Dukun Sood. Kalau
kawan-kawannya tidak mahu ke hutan dia pergi berseorangan saja. Dia akan
memasang jerat di tempat biasa dipasangnya.
Tidak lama selepas itulah dia
selalu duduk termenung tidak ketahuan. Akhirnya berubah menjadi seperti
sekarang ini. Dia merayau-rayau ke merata kampung dengan membawa sebatang kayu.
Di mana ada pokok dia berhenti lantas bersandar melepaskan penat. Kadangkala
dia bercakap seorang diri tidak tentu biji butir.
Bila terserempak Sarip Kubung
dia akan berlari terhencot-hencot ketakutan. Abangnya akan menyergah dia
menyuruh balik ke rumah. Tetapi Daboh tidak balik ke rumah. Dia lari ke mana
saja ikut suka hatinya. Mahu tidak mahu terpaksalah Sarip Kubung berkasar
mengheretnya balik ke rumah.
Tetapi selepas dikurung dalam
pasung kayu, tidak payah lagi Sarip Kubung mengawasi adiknya merayau-rayau ke
sekeliling kampung. Dia hanya datang menjengah waktu hendak makan tengahari
atau malam. Mana tahu kalau Daboh mengencing dan memberakkan makanannya,
kemudian dibancuh-bancuh sebelum dimakan.
Emaknya memang sudah tidak
berupaya lagi mahu menjaganya. Orang tua itu mudah menangis melihat perangai
anaknya yang berubah sama sekali dari perangai biasanya. Dari seorang anak muda
yang tampan, dia sudah menjadi hodoh kerana tidak terurus lagi pakaiannya.
Beberapa lama menderita Daboh
pun meninggal dunia secara mengejut. Ketika ditemui oleh emaknya, Daboh
tertonggeng dengan tubuhnya tersandar pada palang kayu pasung. Mulutnya
berdarah dan matanya terbeliak. Kematian Daboh itu seolah-olah terlepaslah
beban Mak Leha menjaga anaknya yang sakit hilang akal itu. Dukun Sood hanya
menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Daboh, kerana dia tidak berupaya
untuk menyelamatkan anak muda itu.
"Inilah sakit badi
binatang hutan" keluh Dukun Sood sewaktu jenazah Daboh dibawa ke kubur.
"Dia memang degil"
Sarip Kubung menjelaskan. "Sudah dilarang jangan pergi mencari barang
hutan, dia pergi juga. Tengok Lajis, Mat Jol, Liham, Sanip, Rasip semua dengar
nasihat Dukun Sood, hah selamat!" ujarnya seolah-olah menyesali sikap
adiknya itu.
"Badi apakah agaknya Tok
Dukun?" Lajis mahu tahu tentang peristiwa malang yang menimpa kawan
baiknya itu.
"Entahlah" dia
menggeleng kepala. "Tak taulah pula binatang apa, tetapi biasanya yang
keras macam ni ayam denak atau rusa" kata Dukun Sood mengagak-ngagak.
"Boleh jadi ayam
denak" Mat Jol menyampuk.
"Mana kau tahu?" soal
Lajis macam terkejut mendengar cerita baru dari Mat jol itu.
"Ada dia cakap pada
aku" jelas Mat Jol mengingatkan balik cerita Daboh kepadanya sebelum
kawannya itu jatuh sakit.
Semasa memasang jerat di satu
kawasan lapang, dia telah dapat menjerat seekor bapak denak. Ketika dia mahu
cepat menyerbu ke tempat jerat itu terpasang takut ayam denak itu terlepas,
seekor ular hitam melintas di depannya menyebabkan dia tersentak. Daboh
terkejut melihat ular melintas cepat di depannya, kemudian hilang ke dalam
belukar puar.
Dia terpaksa membiarkan ular
tersebut melintas, barulah dia mengejar jeratnya yang sudah mengena. Dalam
keadaan kelam-kabut itu dia tidak nampak ke manakah perginya ayam denak terkena
jerat itu. Tetapi di depannya berdiri seorang lelaki tua berpakaian serba
hitam. Lelaki tua itu mengelek ayam denak terkena jerat tadi.
"Mengapa jerat ayam
Aki?" tanya orang tua itu ramah.
"Tidak, saya jerat ayam
denak" sahut Daboh keheranan kerana ayam yang dikelek oleh lelaki itu
bukannya ayam denak, tetapi ayam kampung biasa.
"Ayam Aki selalu mengekas
di sini, mana ada ayam denak dekat sini" jelas orang tua itu lagi.
Daboh heran juga kerana selama
ini dia tidak pernah melihat lelaki berkenaan. Tetapi dari raut wajahnya orang
tua itu sangat ramah dan baik hati. Dia tidak memarahi Daboh walaupun ayamnya
terkena jerat Daboh.
"Tak ada ayam denak di
sini. Semuanya ayam Aki yang mengekas di sini" ujarnya lagi sambil
menunjukkan ke arah pondoknya di bawah bukit.
Bertambah heran Daboh kerana
selama ini tidak pernah dia melihat ada pondok di situ. Kalau mahu dikatakan
dia tersesat, tidak ada tanda-tanda dia tersesat. Kawasan tersebut sudah biasa
sangat kepadanya. Malah tempat dia menahan jerat denak itu sudah kerapkali
dipasangnya jerat.
"Jangan pasang jerat lagi
di sini ye, nanti terkena lagi ayam Aki" orang tua itu mengingatkan dia.
"Aki nak jual ayam-ayam tu, kalau tak jual ayam siapa nak belikan beras
Aki" ujarnya menasihatkan Daboh.
Daboh mengangguk. Dia merasa
tersalah tempat pada kali itu. Boleh jadi juga dia tersesat dari tempat biasa
dia memasang jerat. Kadangkala kawasan pinggir hutan itu sama saja. Apabila
melepasi satu bukit maka akan sampai ke kampung lain pula. Manalah dia kenal
dengan orang-orang di kampung lain, terutama dengan orang tua-tuanya.
"Maaflah Aki..."
sahut Daboh kesal. "Saya tak sangka pula tempat ni dekat dengan rumah Aki.
Lain kali saya tak datang lagilah" dia memberi jaminan tidak akan memasang
jerat di situ lagi.
"Eloklah tu, ayam Aki
memang mengekas dekat sini selalunya, nanti terkena pula ayam nenek lagi"
ujarnya tersenyum sambil mengelek ayamnya dibawa balik.
Besoknya apabila Daboh datang
lagi ke situ didapatinya tempat pondok orang tua yang ditunjukkan kepadanya
semalam hanya belukar teberau saja. Bulu ayam yang reras kerana menggelupur
semasa terkena jeratnya juga memang bulu ayam denak. Inilah puncanya Daboh
meradang seolah-olah dipermainkan oleh orang tua itu.
Dia telah mengambil ketul-ketul
batu membalingkan ke arah belukar teberau yang dilihatnya ada pondok.
Betul-betul meradang benar hati Daboh kerana jeratnya yang sudah mengena,
tetapi ditipu oleh orang tua berkenaan. Daboh masih berpegang kuat bahawa tidak
ada badi pada ayam denak, sebaliknya dia telah ditipu oleh orang tua yang
dilihatnya semalam.
Kepada Mat Jol dia menceritakan
apa yang dilihatnya. Sejak itulah dia selalu termenung, kerana teringatkan
peristiwa bertemu dengan orang tersebut. Dia berdendam kepada orang tua yang
berpura-pura ramah dan baik hati itu, sebaliknya telah menipu dia.
"Mengapa kau tak beritahu
Dukun Sood semasa aruah ni sakit?" soal Lajis kesal dengan sikap Mat Jol
merahsiakan kejadian tersebut.
"Dia tak beri aku cakap
dengan orang lain" jelas Mat Jol mempertahankan dirinya.
"Kau tak boleh dengar
cakap dia" gerutu Lajis.
"Ah, sudahlah. Dah tak ada
apa-apa lagi nak ungkit-ungkit" Sarip Kubung memarahi mereka berdua.
"Sekarang ni dia dah tak ada, tak guna lagi sebut fasal-fasal yang
sudah" tegasnya.
Daboh selamat dikebumikan. Mak
Leha yang paling sedih dengan kematian
Daboh, kerana itulah satu-satunya anak bujangnya yang tinggal bersama
dia. Ketiadaan Daboh bererti dia tinggal kesepian. Memang dia boleh tinggal di
rumah Sarip Kubung, tetapi apalah gunanya memberatkan bebanan anaknya yang
sudah berkeluarga itu.
Malam selepas Daboh dikebumikan
terdengar sayup-sayup dari kuburnya
seperti merintih-rintih semasa dikurung dalam pasung kayu. Mak Leha
memberitahu perkara itu kepada Sarip Kubung. Disebabkan rumah Mak Leha memang
berhampiran dengan tanah perkuburan, maka suara itu jelas kedengaran kepadanya.
Pada malam kedua, Sarip Kubung
bersama dengan Lajis dan Mat Jol datang melihat ke kubur itu setelah Dukun Sood
menyuruhnya membacakan Yassin di atas kubur.
Mereka bertiga bergilir-gilir
membacakan Surah Yassin sejak pukul enam petang lagi sehingga sampai maghrib.
Waktu maghrib masuk saja terdengar lagi rintihan dari kuburmya meminta
pertolongan. Setelah dijiruskan air Yassin rintihan itu mengendur. Tetapi
rintihan itu berulang lagi kalau diberhentikan membaca Yassin dan dijiruskan
dengan air Yassin di atas kubur.
Hingga hampir masuk waktu Isya'
rintihan itu tidak kedengaran lagi. Mereka bertiga pun balik ke rumah, kerana Dukun
Sood menyuruh mereka mengulangi sehingga 7 malam. Disebabkan tidak ada lagi
rintihan dari kubur Daboh, mereka mengambil keputusan untuk balik. Malam
esoknya akan diulangi lagi membaca Yassin.
Sampai saja di rumah Sarip
Kubung mendapati isterinya Jibah tidak sedarkan diri pula. Kelam-kabut dia
kerana tidak satu, satu bala datang menimpa. Baru saja kematian adik, isteri
pula sakit.
Malam esoknya disebabkan Jibah
sakit, terpaksalah Sarip Kubung tidak pergi membacakan Yassin seperti yang
disuruh oleh Dukun Sood.
"Macam kena kelintasan
Jibah ni" keluh Dukun Sood melihat buih hijau keluar dari mulut perempuan
itu.
"Hus, bala apa pula
ni" Sarip Kubung menggertap bibir mengenangkan nasib malang yang menimpa
dirinya itu.
"Sabarlah Sarip" kata
Dukun Sood. Mak Leha juga menasihati Sarip Kubung supaya bersabar. Sanak
saudara Jibah juga menyuruh bersabar.
Tetapi Sarip Kubung tidak dapat
menahan sabar. Manalah hatinya tidak remuk dengan kejadian di kubur adiknya
yang merintih-rintih meminta tolong darinya, Jibah pula tiba-tiba saja kelu
lidah dengan muntah hijau meleleh dari mulut.
"Jibah, kena badi juga
ke?" Sarip bertempik melepaskan geramnya. Memang selalunya Daboh akan
mengirimkan dia daging kijang atau rusa sekiranya kena perangkap. Apakah orang
yang makan daging binatang hutan juga akan dihinggap badinya?
"Sarip,sabarlah. Bawa
astaghfar..." pujuk ayah mertuanya yang turut bersedih kerana anaknya
sendiri sakit mengejut.
Orang-orang mula menduga
mungkin kerana Sarip Kubung cuba menolong adiknya, maka badi tersebut menyerang
Jibah pula. Sebab itulah sebaik saja Sarip Kubung membaca Yassin di atas kubur
Daboh, tiba-tiba saja Jibah tidak sedar diri.
Seminggu Jibah terlantar tidak
sedarkan diri dengan air liur meleleh keluar hijau seperti lumut, akhirnya dia
mati. Selepas Jibah mati tidak lagi didengar rintihan Daboh setiap kali tiba
waktu maghrib. Lajis, Mat Jol dan Rasip juga tidaklah lagi perlu membaca Yassin
di atas kuburnya. Dua tahun kemudian Dukun Sood pun berpindah ke Segamat.
Sampai sekarang sudah lebih 20
tahun dia tinggal di Segamat. Anak saudaranya Mahmud yang mengajak saya
berjumpa dengan Dukun Sood ini. Dia berpindah ke Segamat pun kerana bekerja
dengan pemborong pejabat ukur. Apabila taukehnya membuat kerja-kerja ukur di
Segamat, dia mengambil keputusan untuk menetap di sana.
Sesiapa pun tidak tahu mengenai
dirinya pernah menjadi dukun sebelum itu
di Pahang. Anak saudaranya ini memang berasal dari Pahang, tetapi selalu juga
dia menjengah Dukun Sood di Segamat. Dari Mahmud inilah saya dengar cerita
mengenai pengalaman Dukun Sood mengubat Daboh yang dikatakan terkena badi itu.
Dukun Sood termenung bila saya bangkitkan
semula cerita Daboh ini kepadanya. Kemudian barulah dia mahu bercakap. Perlahan
saja dia memberitahu saya, "Sebenarnya badi tu tak seberapa, ada rahsia
lain lagi".
"Betul ke kubur Daboh tu
ada bunyi?" tanya saya.
Dukun Sood mengangguk dengan
wajah terharu. "Dia memanggil-manggil abangnya meminta tolong. Katanya
panas tak tahan" ujarnya.
"Kalau dia hilang akal,
macam mana boleh minta tolong?" saya mahu tahu lebih lanjut.
"Itu yang susah nak
jawab" kata Dukun Sood lagi. "Perkara dah berlaku dua puluh tahun,
susah nak cakap" jelasnya macam tidak mahu menerangkan lebih lanjut kepada
saya. Tetapi setelah Mahmud memberitahu mengenai diri saya, barulah dia mahu
menerangkan.
"Ustaz tentu lebih tahu
dari saya, Huwa auwalu walakhiru walzahiru walbatinu, wahuwal aliyul azim"
dia menatap muka saya.
Saya terangguk-angguk
mendengarnya. Mungkin Dukun Sood tidak mahu lagi mengenangkan peristiwa
tersebut. Tetapi disebabkan saya bertanya, mahu tidak mahu terpaksalah dia
menerangkan. Lagipun Dukun Sood tidak mahu orang-orang di situ mengetahui
dirinya pernah menjadi dukun.
"Saya tak berdukun lagi
Ustaz, saya ni dah tua" dia merendahkan suaranya.
Disebabkan saya mahu sangat
mengetahui rahsia kematian Daboh, Dukun Sood memberitahunya dengan rasa
terharu.
"Sebenarnya, Sarip Kubung
ternampak orang lelaki melompat keluar dari tingkap biliknya semasa baru balik
dari surau" beritahu Dukun Sood. Peristiwa ini tidak sahih, kerana Sarip
Kubung hanya terdengar bunyi orang terjun ke tanah kemudian lari. Dia
bertanyakan kepada Jibah, tetapi Jibah sanggup menjunjung Quran mengatakan
tidak ada siapa pun yang naik ke rumah.
Disebabkan Sarip Kubung orang
yang kuat belajar agama, tidak beranilah dia menuduh Jibah berlaku curang
terhadap dirinya. Bagaimanapun dia terpaksa memberitahu hal itu pada Dukun
Sood. Memang Dukun Sood tidak percaya
Jibah boleh melakukan perbuatan demikian. Disebabkan Dukun Sood berkawan
baik dengan ayah Sarip Kubung, dia menyuruh Sarip Kubung membuat sembahyang
Tahajud selama 44 malam untuk membuktikan isterinya berlaku curang atau tidak.
Sarip Kubung melakukan seperti
apa yang disuruh oleh Dukun Sood. Selepas 44 malam dia melakukan sembahyang
Tahajud, didapati Jibah tidak ada apa-apa perubahan. Yakinlah dia dengan
pendapat Dukun Sood bahawa Jibah tidak berdosa. Hanya perasaan cemburunya saja
yang menyebabkan dia ternampak kelibat orang terjun dari tingkap.
Hatinya menerima kesucian
isterinya dengan tenang dan bersyukur pada Allah. Jibah pula merasa senang hati
kerana suaminya tidak lagi mengesyaki dia berlaku curang.
Tidak lama kemudian Sarip
Kubung sekali lagi dirundung malang bila adiknya Daboh pula kena badi binatang
hutan. Daboh jadi hilang akal selepas dikatakan berjumpa orang tua ketika
menjerat ayam denak. Puas pula Sarip Kubung berusaha mengubat adiknya itu,
tetapi akhirnya mati dalam keadaan mengerikan.
"Itulah kesan sembahyang
Tahajud dan bacaan Yassin" keluh Dukun Sood mengingat-ingatkan kembali
peristiwa 20 tahun lampau. "Memang benar Daboh yang terjun dari tingkap
rumah abangnya, sementara isterinya berlaku curang dengan adiknya sendiri. Tapi
saya rahsiakan ini dari Sarip Kubung..." ujar Dukun Sood dengan rasa
terharu.
Sebab itulah dia berdalih
mengatakan Daboh terkena badi binatang hutan semata-mata mahu menyembunyikan
perkara sebenarnya. Daboh sendiri mengaku di depan Dukun Sood dengan penuh
kesal, tetapi dia sudah tidak dapat menahan Sarip Kubung meneruskan sembahyang
Tahajud dan membaca Yassin yang sudah dibuatnya hampir genap 44 malam itu.
TAMAT
No comments:
Post a Comment