BELALANG banyak berlompatan di daun padi tengah merimbun
hijau memang mudah ditangkap sampai penuh segenggam. Tidak bertangguh Mak Rainah cucuk dengan lidi
yang disediakan lantas diganggang pada api hingga garing. Terasa lemak apabila
dimakan bersama nasi tatkala berteduh rihat di bawah pohon dedali tengah sawah.
Di situ dia berteduh tatkala matahari tegak di kepala semasa musim turun ke
sawah.
Memang Mak Rainah tidak akan balik ke rumah apabila
tengahari sewaktu musim turun ke sawah tengah galak. Lainlah kalau dia tidak bercadang mahu datang
semula ke tengah sawah apabila petang menjelang. Asal sahaja mahu teruskan kerjanya sampai
santak petang Mak Rainah akan bawa nasi bekal apabila turun ke sawah bersama
suaminya Pak Danok.
Lagi pun di bawah pokok dedali di tubir tali air tengah
sawah itu tempatnya lapang. Pak Danok boleh bentangkan tikar untuk solat zohor
atau solat asar. Mereka tidak bimbang
tinggalkan Nyimin di rumah. Kadangkala
anak gadisnya juga ikut sama membantu ditengah sawah sekiranya tidak banyak
kerja di rumah perlu dibereskan.
Tahu sangat Mak Rainah tanggungjawab anak gadisnya Nyimin
di rumah bukan takat memasak nasi di dapur sahaja, tetapi dia juga diharapkan
membasuh pakaian, berkemas rumah atau mencari kayu api di tengah belukar,
Nyimin juga tidak membantah dibebankan dengan kerja-kerja membantu ibu bapanya
sebagai gadis pingitan di tengah desa di Pariaman.
“Gemar sangat awak makan belalang panggang!” tegur suaminya Pak Danok tatkala memerhati
Mak Rainah memanggang belalang yang sudah dicucuk pada lidi laksana daging
sate.
“Ah, boleh juga diratah,” sahut Mak Rainah tercangkung
membetulkan bara api yang berserak di bawah penyalai. Kalau tidak dipanggang belalang berkenaan
memang dia sudah dibekalkan oleh Nyimin pindang anak sepat ditabur sambal
kelapa parut. Cukuplah untuk gecurkan
liur apabila menghadap hidangan makan di bawah redup pokok dedali itu.
“Kenapa tak pindang sahaja belalang tu?” sengaja Pak
Danok mengusik isterinya supaya mencuba masak pindang belalang sama macam
memasak pindang anak sepat yang ditimba dalam lubuk. Apa salahnya dicuba masak pindang belalang
kalau dipanggang pun terasa menyelerakan.
Kalau tidak dipindang pun belalang berkenaan Pak Danok
juga gemar meratah belalang panggang yang diganggang keapi oleh Mak
Rainah. Dia sengaja mahu mengusik biar
Mak Rainah buat masak pindang sama macam anak sepat di tengah lubuk. Sudah beberapa kali emaknya buat masak pindang
belalang sekiranya banyak dapat ditangkap semasa galak berlompatan di daun
padi.
Sewaktu Mak Rainah cucukkan hujung lidi pada perut seekor
belalang kunyit tiba-tiba dia melihat terpancut tahinya keputih-putihan. Mak Rainah tidak peduli sangat dengan
belalang kunyit sebesar kelengkeng itu kerana dagingnya sama juga macam belalang
kecil yang lain setelah garing diganggang keapi.
Tatkala dia mahu menjamah belalang kunyit yang sudah
garing itu tiba-tiba sahaja Pak Danok menepis tangannya. Lantas Pak Danok tidak benarkan dia menjamah
belalang kunyit berkenaan. Kepalang
marahnya Mak Rainah apabila ditegah oleh Pak Danok supaya tidak menjamah
belalang kunyit sebesar kelengkeng yang sudah garing dipanggang itu.
Memang Pak Danok tidak benarkahn isterinya menjamah
belalang kunyit berkenaan. Tidak pernah
pula orang-orang kampung menjamah belalang berkenaan, sekalipun tidak siapa pun
melarang mereka. Tahu sangat Pak Danok
mereka sekadar menjamah belalang-belalang kecil setelah ditangkap banyak.
Tetapi Mak Rainah dapat menangkap belalang kunyit
berkenaan tatkala hinhggap bersama belalang-belalang kecil yang lain. Apalah salahnya belalang kunyit sebesar
kelengkeng itu diganggang sama. Setelah
cukup garing nescaya menyelerakan apabila dicecah sambal kelapa parut yang
dibekalkan oleh anaknya Nyimin.
Tersinggung benar dia apabila tangannya ditepis oleh Pak
Danok sebaik sahaja mencekak panggang belalang kunyit yang dicucukkan ke
lidi. Cepat-cepat pula Pak Danok
campakkan belalang berkenaan ke dalam tali air melintasi pohon pokok dedali
itu. Sebaik sahaja belalang itu
dicampakkan Mak Rainah hilang selera untuk meneruskan jamah nasi. Pantas dia membasuh tangan mendogak matahari
mahu dirikan solat zohor sahaja dengan tidak menunggu Pak Danok selesai makan.
Pak Danok tersengih-sengih sahaja dengan sikap isterinya
mendengus marah. Dia tahu Mak Rainah
merajuk setelah tidak dibenarkan menjamah nbelalang kunyit yang sudfah garing
di panggangnya. Jauh di lipatan hatinya
dia tidak bermaksud mahu menyakiti perasaan isterinya. Tetapi Pak Danok terasa dadanya berdebar
kencang sewaktu isterinya mencapai belalang kunyit berkenaan.
Manalah Mak Rainah menyedari apabila dada Pak Danok
berdetak kuat dia melihat seolah-olah mata belalang kunyit yang sudah garing
diganggang itu tiba-tiba bergerak.
Masakan dia mahu memberitahu isterinmya mengenai kejadian berkenaan. Tentu Mak Rainah tidak percaya mengenai mata
belalang tersebut bergerak setelah garing diganggang keapi.
Sebab itu dia sekadar tepis sahaja tangan isterinya biar
terganggu mahu mencapai belalang tersebut.
Biarlah Mak Rinah merajuk asal sahaja tidak mudaratkan dirinya setelah
menjamah belalang kunyit dipanggang.
Perkara merajuk bukanya boleh berterusan sampai tidak bertegur sapa
berhari-hari. Bila-bila dia boleh pujuk
semula biar isterinya mengalah.
Sewaktu Mak Rainah selesai solat zohor, Pak Danok
bersiap-siap pula untuk mengambil wuduk.
Dia tetap berselera makan sekalipun isterinya mendengus terus merajuk.
Tatkala Pak Danok turun ke anak air membersihkan dirinya untuik mengambil
wuduk, jirannya bekejar datang memberitahu mengenai anak gadisnya Nyimin
termuntah-muntah akibat sakit perut memual-mual.
Terpaksa Pak Danok balik sahaja ke rumah dengan tidak
sempat solat zohor di situ. Mereka
berdua suami isteri tidak bertangguh berkemas barang-barang bekalan setelah
diberitahu mengenai anaknya sakit perut memulas-mulas sampai termuntah. Ketika sampai di rumah memang Nyimin
mengerang-erang kesakitan dengan muntahnya keputih-putihan sama dengan tahi
belalang kunyit yang dicucuk perut tatkala dipanggang.
Mengusap-usap dada Mak Rainah apabila melihat keadaan
anaknya Nyimin. Dia dapat mengagak tentu
suaminya Pak Danok dapat merasakan sesuatu yang ganjil tatkala menepis
tangannya mahu mencapai belalang kunyit yang sudah garing dipanggang. Sebab itu dia segera menarik tangan Pak Danok
meminta dibantu anak gadisnya yang mengerang-erang kesakitan.
“Tak apa, jangan cemas!” bisik Pak Danok ingatkan
isterinya supaya tidak terburu-buru. Memang dia tidak bimbang apa-apa sekalipun
Nyimin merintih-rintih menahan sakit perut bagaikan ditusuk berulang kali.
Dalam masa jiran-jiran mereka menyerbu datang sebaik
sahaja diberitlahu mengenai penyakit yang menimpa Nyimin inilah Mat Labuh ikut
sama menjengah. Setelah lama mereka
semua tidak dapat memulihkan keadaan Nyimin, lantas sahaja Mat Labuh meminta
izin untuik mencuba kebolehannya.
Dia meminta ambilkan pucuk pokok jambu batu tiga kuntum,
kemudian dicampurkan dengan tiga butir garam kasar. Setelah dibibuh ke dalam piring, Mat Labuh
mengisar ibu jari tangannya paeda buntat piring berkenaan. Kemudian dia hembuskan perlahan dengan
membacakan seru:
Batang penak batang badam, batang buruk guling bayi,
datang senak datang tajam,, datang tawar tak jadi lagi, tajam hawar yang aku
tawar, tajam jembalang yang aku tawar berkat hu….
Setelah pucuk jambu batu itu dikunyah dengan ditelah
airnya bersama garam, hampasnya disapukan pada pusat Nyimin. Sekali gus terasa sejuk menyucuk hingga ke
ususnya menyebabkan kesakitan memual-mual itu beransur hilang Nyimin kembali
segar setelah terlalu lemah akibat termuntah-muntah.
Semenjak diubati oleh Mat Labuh itulah Nyimin tidak dapat
melupakan lelaki berkenaan, sekalipun dia menyedari Mat Labuh sudah mempunyai
isteri. Dia rela menjadi isteri Mat
Labuh dengan menerima hakikat hidup bermadu di samping isteri-isteri yang lain.
“Dia yang kirimkan belalang kunyit tu,” gerutu Mak Rainah setelah menyedari dia
terperangkap takala menangkap belalang kunyit sebesar kelengkeng. Dia menjadi ghairah mahu menangkapnya sebaik
sahaja belalang kunyit itu hinggap di hadapannya.
“Tak baik menuduh demikian!” Pak Danok ingatkan isterinya supaya tideak
menyalahkan sesiapa.
“Amalan dunia takkan sampai ke mana!” marah benar Mak Rainah disebabkan dia
terburu-buru mahu menangkap belalang kunyit hinggap di depannya. Manalah dia dapat mengagak belalang tersebut
sekadar dikirim melalui amalan mereka yang amalkan ilmu kebatinan.
“Biarlah dia buat apa saja, kerana Allah Maha
Mengetahui,” tutur Pak Danok rela
menerima takdir apabila anak gadisnya lari mengikut Mat Labuh.
“Awak pun apa kuragnnya, kenapa tidak gunakan ilmu awak?” rungut Mak Rainah kesalkan sikap suaminya
yang mengalah sahaja dengan perbuatan Mat Labuh menganiaya keluarganya.
“Hanya Allah sahaja yang Maha Berilmu,” beritahu Pak Danok menahan sebak dada dengan
kejadian yang menimpa keluarganya itu.
Memang Pak Danok dapat rasakan setiap kali Mat Labuh
meniup serunai batang padi, dia sudah pujakan belalang kunyit yang dikurungnya
dalam sangkar halus setelah ditusuk dengan susuk berlian. Biarlah belalang berkenaan ditangkap sesiapa
sahaja asal sahaja susuk berlian yang dikirimkan menusuk mangsa.
Sebaik sahaja belalang berkenaan dipanggang nescaya
mangsa akan menjamah tidak bertangguh.
Tentu susuk berlian yang dikirim melalui belalang berkenaan sebati dalam
diri mangsa, sama juga macam bersebati dengan dirinya. Tetapi Mak Rainah yang menjadi mangsa apabila
menangkap belalang yang terbang setelah Mat Labuh meniup serunai batang
padinya.
Tahu sangat Mat Labuh belalang yang dikirim sengaja
menerpa ke tengah sawah. Masakan Nyimin
mahu menangkap kalau takat melihat belalang hinggap pada dinding rumah. Lainlah kalau Nyimin ikut sama ke tengah
sawah membantu emaknya bersihkan permatang lopak. Sudah tentu Nyimin ikut sama menangkap
belalang yang berlompatan hinggap pada daun padi membesar rumpun.
Tetapi Nyimin tidak akan turun ke sawah setelah padi mula
menghijau. Sebab itu dia sengaja kirimkan belalang berkenaan ke tengah sawah
biar ditangkap Mak Rainah. Sebaik sahaja
susuk berlian di perut belalang menyusup masuk ke dalam tubuh Mak Rainah
nescaya perempuan itu akan mematuhi apa sahaja kemahuannya. Bila-bila sahaja Mak Rainah akan bersetuju
sekiranya dia melamar Nyimin.
Tatkala Mak Rainah menusuk perut belalang kunyit dengan
lidi memang Mat Labuh sudah bayangkan tusukan itu menyinggahi Nyimin. Tentu Nyimin akan menahan kesakitan
memual-mual perut akibat tusukan yang disebatikan dengan susuk berlian dikirim
melalui belalang berkenaan.
Sebab itu Pak Danok tidak dapat menhalang apa-apa setelah
isterinya terperangkap dengan muslihat belalang kunyit yang berlompatan sama di
tengah kelompok belalang-belalang kecil.
Sekiranya Mak Rainah tidak menangkap belalang berkenaan bila-bila Pak
Danok boleh elakkan, biar belalang yang dikirim balik menerpa kearah Mat Labuh.
“Kita dah berhutang, kita kena bayar Ujar Pak Danok
memujuk isterinya supaya tidak berdendam sangat setelah Nyimin mengikut
suaminya pindah ke Maninjau.
Tetapi dia ingatkan Nyimin biar tidak lepaskan
solat. Tatkala jauh dari sanak saudara
Nyimin tidak boleh jauh dari Allah. Sebab itu sebaik sahaja Nyimin berkahwin
dengan Mat Labuh dia menyuruh anaknya amalkan solat sunat tahajud kalau
seringkali terganggu perasaan.
Memang Nyimin tidak lupakan pesanan ayahnya sekalipun Mat
Labuh tidak benarkan dia balik menjengah sanak saudara. Hinggalah ayahnya Pak Danok meninggal dunia
dia terpaksa mengambil keputusan tinggalkan sahaja suaminya Mat Labuh. Kalau
Mat Labuh mahu memisahkan dirinya dari keluarga sendiri, Nyimin rela berpisah
terus dari Mat Labuh.
Apalagi semenjak dia menerima cucuk sanggul yang
dihulurkan oleh bayang jelmaan ayahnya, perasaan bencikan Mat Labuh semakin
meresap ke dalam jiwanya. Dia merasa
dirinya telah dipersia-siakan sejak menjadi isteri Mat Labuh, sampai melahirkan
anaknya Oneng Tiah lelaki itu tetap tidak ambil peduli mengenai rumahtangga
yang telah dibina.
Sebab itu dia tinggalkan sahaja Mat Labuh, sekalipun
lelaki itu memberi amaran tidak akan menjemputnya di Pariaman. Biarlah Mat Labuh gugurkan talaq sekalipun,
dia sudah nekad mahu jengah juga ayahnya yang sudah meninggal dunia. Apa sangat diharapkan pada suami seperti Mat
Labuh yang tidak pernah ambil peduli mengenai makan minumnya.
Nyimin sendiri terpaksa ambil upah di sawah padi mahu
menanggung anaknya Oneng Tiah. Sama ada
dia bersuami atau pun tidak sama sahaja beban yang mesti ditanggung untuk
membesarkan anaknya. Biarlah dia balik
sahaja ke pangkuan keluarganya daripada terperosok dalam genggaman Mat Labuh.
Semenjak menetap di kampungnya memang Oneng Tiah sentiasa
ikut neneknya Mak Rainah turun ke sawah.
Setiap kali Oneng Tiah berkejaran menghambat belalang bersama rakan
sebaya dengannya Semiah, nescaya neneknya akan terjerit-jerit melarang. Tetapi Mak Rainah tidak membantah apa-apa
sekiranya Oneng Tiah bersama Semiah memanggang belalang yang ditusuk pada lidi.
“Kenapa nenek larang, belalang ni tak boleh dimakan
ke?” hairan juga Oneng Tiah apabila
neneknya melarang dia meratah belalang panggang itu.
“Bukan tak boleh, tapi banyak lagi yang boleh
dimakan,” sahut neneknya Mak Rainah cuba
sembunyikan rahsia sebenar yang memcurigakan hatinya.
“Semuua orang di sini gemar makan belalang panggang,”
jelas Oneng Tiah serba salah setiap kali neneknya tidak benarkan dia menghambat
ke tengah lopak sawah.
“Sekali sekala tak apa, tapi kamu sering sangat tangkap
belalang,” beritahu Mak Rainah mengerling tajam kearah cucunya yang termangu
apabila ditegah menangkap belalang yang banyak berlompatan.
Tetapi Semiah akan memanggilnya mengajak menghambat
belalang. Ibu bapa Semiah tidak melarang
pun sekiranya mereka berdua meranduk ke dalam lopak sawah. Biarlah Semiah atau Oneng Tiah bebas
berkejaran di tengah sawah sama macam anak-anak petani di perkampungan
mereka. Masing-masing berkejaran riang
menangkap belalang-belalang yang banyak berterbangan lantas ditusuk dengan
lidi. Kemudian dipanggang keapi laksana
menyalai sate di atas bara.
Masakan Mak Rainah dapat melarang Oneng Tiah sekiranya
anak gadis kecil itu mengikut Semiah ke tengah lopak sawah ibu bapanya.
Rumpun padi tidak akan rebah diranduk sewaktu mereka mengejar
belalang-belalang berkenaan. Apalah salahnya Oneng Tiah ikut Semiajh sama-sama
menghambat sampai belalang penuh seraga.
“Cukuplah sekali sekala kamu tangkap belalang,” Mak
Rainah tetap bimbang cucunya menangkap belalang apabila kenang kejadian yang
menimpa dirinya. Kalau tidak disebabkan
Pak Danok tepis tangannya nescaya belalang kunyit sebesar kelengkeng itu sudah
diratahnya habis.
Oneng Tiah juga tidaklah membantah sangat apabila
neneknya berkeras melarang. Apa sangat
dengan belalang-belalang yang berlompatan itu kalau bandingkan dengan menimba
lubuk di penuru lopak sawah. Bukan takat anak-anak sepat sahaja masuk ke dalam
timba. Kadangkala ikan haruan sebesar
lengan juga dapat dicekak kepala.
Betapa berselera dia menikmati ikan sawah masak pindang
yang disudip emak dalam kuali. Gecur sahaja liurnya tatkala bau anak ikan masak
pindang tengah terjerang di atas tungku. Memang Oneng Tiah gemar masak pindang
setiap kali neneknya menimba lubuk di penjuru lopak sawah.
Saat ini dia tidak peduli sangat mengenai ayahnya
menyerbu ke tengah halaman menuntut bayaran jumlah wang yang banyak dari
neneknya. Masakan neneknya bodoh sangat
hingga tunduk dengan apa sahaja kemahuan ayahnya. Keluarga emaknya tetap bertahan apabila
ayahnya menuduh mereka larikan dia bersama emaknya balik ke kampung halaman.
Biarlah terbujur menjadi mayat pun, Oneng Tiah tetap akan
bersama dengan emaknya. Dia tidak akan menuruti ayahnya balik semula ke
Maninjau semata-mata bimbang membayar jumlah wang yang dituntut. Kemana sahaja dibawa oleh emaknya dia tetap
ikut bersama supaya mereka berdua tidak dipisahkan sampai bila-bila.
“Aku tak akan tunduk dengan kemahuan Mat Labuh!” tegas Mak Rainah setelah Mat Labuh tinggalkan
kampung halamannya balik semual ke Maninjau.
Seisi kampung melihat sendiri Mat Labuh dipusar angin bagaikan
gasing berputar ligat akibat terserempak bayang jelmaan Pak Danok. Memang mereka terkejut tiba-tiba sahaja
jelmaan itu datang terapung-apung di udara.
Sekalipun dalam ketakutan namun Mat Labuh cuba juga menyembunyikan
perasaan tersebut daripada orang-orang kampung yang tercegat berkeliling
halaman.
Satu-satunya yang tidak terkejut tartkala melihat jelmaan
Pak Danok memang Mak Rainah sendiri.
Tahu sangat dia kesabaran Pak Danok menyebabkan dia diperlakukan oleh
Mat Labuh macam anak-anak kecil yang mudah diugut. Tetapi Pak Danok sekadar berdoa memohon
perlindungan dari Allah semata-mata setiap kali berhadapan dengan mala petaka.
Tatkala terkejang sakit menahan sesak nafas yang menumpu
dada, Pak Danok sekadar berbisik memberitahu seolah-olah jantungnya ditusuk
jarum. Dia sendiri tidak menduga
bagaimana penyakinya menyerang tidak semena-mena sebaik sahaja selesai solat
sunat tahajud. Memang dia sendiri dapat
mengagak anaknya Nyimin juga sentiasa bangun tengah malam semata-mata ingatkan
pesannya supaya amalkan solat sunat tahajud memohon perlindungan Allah.
Ketika ini dia dapat melihat cucuk sanggul peninggalan
emaknya tergenggam erat di tangannya sebaik sahaja bayangan dirinya menjelma di
hadapan. Dia seolah-olah duduk di depan
cermin melihat bayang sendiri terconggok gagah.
Sanyup-sayup di udara Pak Danok mendengar suara ibunya ingatkan dia
supaya hulurkan cucuk sanggul tersebut kepada Nyimin.
Berdebar benar hatinya apabila diberitahu mengenai Nyimin
yang jauh di rantau orang, sekalikpun sekadar mendengar imbauan suara emaknya
sayup-sayup di tengah kesepain malam.
Tetapi dia menyedari siap pun tidak akan dapat membantu Nyimin di dalam
kesusahan selain daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib mahupun
yang nyata. Apabila dirinya makhluk
Allah yang serba lemah dan tidak berkuasa apa-apa.
Sewaktu dia menghulurkan cucuk sanggul ke hadapan
bayangan dirinya seperti di depan cermin, dia dapat merasakan cucuk sanggul itu
dicapai lembut. Apabila dia berkisar
duduk, Pak Danok mendengar bisikan emaknya supaya tidak biarkan Nyimin di sisi
Mat Labuh.
“Menantu kamu tu memang gunakan susuk berlian
bunian,” getar suara emaknya terasa
menusuk perasaan.
“Tak bergerak sesuatu kalau tidak dengan izin Allah!”
sahut Pak Danok kerana bimbang suara yang mendesaknya itu hanya gangguan
syaitan yang mahu mengelirukan dia.
“Kenapa kamu biarkan diri kamu dianiaya Mat Labuh?”
gerutu emaknya kecewa dengan sikap Pak Danok yang sentiasa mengalah.
“Mat Labuh tak akan dapat menganiaya sekiranya tak ada
izin Alllah,” ujar Pak Danok tidak mahu tunduk dengan bnisikan yang tidak
diketahuinya.
“Allah berikan akal, kamu mesti gunakan akal kamu!”
emaknya bagaikan mengejek Pak Danok disebabkan dia terus bertahan sekalikpun
menyedari Mat Labuh berlaku biadap terhadap dirinya.
Dalam keadaan serba salah tartkala mendengar bisikan
suara emaknya Pak Danok memngukuhkan duduknya lantas merenung bayangan dirinya
bagaikan duduk di depan cermin itu dengan membacakan perlahan.
Rabbi adkhilni mud-khola sidqin wa-akhrijni mukhraja
sidqin waj’al li-min ladunka solthonan nasir
Sekali gus dia melihat kabus berpusar hingga ternampak
Mat Labuh terconggok di tengah kelompok bunian.
Di muka Mat Labuh berceracak jarum berkilauan apabila disilau cahaya
memancar. Tersengih-sengih Mat Labuh
sebaik sahaja menyedari Pak Danok tercegat memerhati ke arahnya.
“Aku susuk raja segala susuk!” seru Mat Labuh merenung
tajam kearah Pak Danok.
Tetapi Pak Danok tidak menyahut apa-apa. Dia sekadar tercegat sahaja tidak berkedip
mata memerhatikan Mat Labuh dikelilingi kumpulan kelomplok bunian. Siapa pun
tidak akan mampu menceroboh masuk apabila kelompok bunian mengelilingi Mat
Labuh. Sebaik sahaja melihat Pak Danok membolos masuk memang tersentak juga dia
bagaikan anak ayam diserbu kucing liar.
Saat ini dia merasakan Pak Danok tidak sama dengan Malim
Dusak yang mudah memberang apabila diganggu.
Dia sekadar melihat Pak Danok sentiasa tenang tidak bimbang apa-apa
tatkala berhadapan dengan kelompok bunian.
Lainlah Malim Dusak mudah sahaja dikelirukan sewaktu memberang tidak
menentu. Sebab itu Malim Dusak
terkial-kial di dalam kegelapan mahu membolos masuk ke tengah kelompok bunian
berkenaan.
Sebaik sahaja Pak Danok membolos masuk bermakna dia tidak
akan terlepas lagi dari kelompok bunian berkenaan. Masakan dia boleh menembusi
sinaran cahaya dengan mukanya berceracak jarum. Tentu seisi kampung akan
terkejut hingga bertempiaran melarikan diri apabila melihat mukanya hodoh
berlubang-lubang. Mat Labuh memberang
akibat dia membolos masuk ke situ. Mat
Labuh tidak dapat menyembunyikan wajahnya yang berlubang-lubang laksana tikar
dianyam. Memang Pak Danok menyedari Mat
Labuh tidak akan dapat melepaskan diri dari kepungan bunian setelah mukanya
dijengah oleh Pak Danok.
Kecewa benar dia apabila Pak Danok dapat menembusi
kegelapan yang diselubungi kabus hitam.
Ketika ini Mat Labuh sekadar menumpukan fikiran sama ada dia terkurung
di situ atau keluar semula ke tengah silau cahaya. Masakan dia boleh keluar dari kurungan selagi
Pak Danok terus memerhatikan dirinya.
Sia-sia sahaja dia membolos keluar dari kurungan tersebut sekiranya
rahsia dirinya sudah diketahui manusia.
Selagi Pak Danok tidak menutup mata, selama tubuh itulah
dia terkuruang di tengah kegelapan kumpulan bunian. Semasa susuk berlian ditusukkan ke mukanya
dari cahaya alam bunian, memang dia mesti menyimpan rahsianya baik-baik. Asal
sahaja rahsiany diketahui manjusia dia akan terkurung di situ sampai bila-bila.
Lainlah kalau dia sanggup membunuh Pak Danok supaya
rahsia dirinya tidak diketahui sesiapa.
Saat ini Mat Labuh sudah nekad untuk melakukan apa sahaja, asalkan dia
tidak terus terkurung dalam kegelapan.
Dia mesti keluar semula ke tengah cahaya dengan merempuh kuat kearah Pak
Danok.
“Aku raja segala nur, aku raja segala susuk!” seru Mat
labuh semakin nyaring hingga bergema kuat ke udara.
Ketika ini angin kencang bertiup menerjah kuat ke dada
Pak Danok. Dia terus bertahan dari
rempuhan angin yang bertumpu ke dadanya.
Apabila rempuhan angin kian kencang berpusar Pak Danok terus azan tujuh
kali diikuti dengan membaca:
Wamai-yabtaghi ghairal-islami dinan falai-yuqbala minhu
wahuwa fil-akhiroti minal-kholsirin.
Sekali gus pula angin berpusar kuat itu berpatah balik
lantas menerjah kumpulan bunian. Mereka
semua bercfempera selamatkan diri akibat diserbu angina kencang berpusar. Terkial-kial mereka berpaut di mana sahaj
apabila angina yang menampan ke dada Pak Danok tidak mampu merempuh berterusan.
Bertambah marah Mat Labuh apabila kumpulan bunian
bercempera lari meninggalkan dia terkurung dalam kegelapan. Sekiranya kumpulan bunian terkambus batu-batu
yang menerah bersama angin kencang, nescaya dia juga tidak dapat melepaskan
diri ke mana. Dia tidak mahu mukanya
terus berlubang-lubang bagaikan sarang anai-anai terpokah sekiranya mahu
membolos keluar ke tengah cahaya.
Alangkah malunya dia mahu berhadapan dengan isteri-isteri
yang menunggu kalau mereka melihat mukanya berlubang-lubang! Apa lagi kalau
Nyimin sendiri menyedari keadaan yang menyelubungi dirinya akibat dijengah oleh
Pak Danok. Saat ini sorak sorai kumpulan
bunian mendesak dia membunuh sahaja Pak Danok kalau mahu pulihkan semula kulit
mukanya yang berlubang-lubang akibat susuk berlian yang ditusukkan.
“Hai, susuk raja segala susuk, satukan aku dengan nur
raja segala nur!” Mat Labuh mengisar tapak tangan menyeru kumpulan bunian
kembali mengelilingi dia. Serentak
dengan itu pusaran angin kencang terus berhenti serta merta.
Ketika ini Pak Danok melihat Nyimin bertahan dari
terjahan jarum berkaca yang bertalu-talu.
Sekalipun jarum yang berterbangan itu tidak menyinggahi Nyimin tengah
bertimpuh di atas sejadah memegang kukuh cucuk sanggul di tangannya, tetapi Pak
Danok tidak sanggup membiarkan anaknya terus diganggu.
Tidak bertangguh dia melompat ke hadapan Nyimin bertahan
dari terjahan jarum yang menjunam bertubi-tubi.
Saat ini Pak Danok terasa dadanya bagaikan ngilu luka ditusuk
menyebabkan tenaganya bertambah lemah. Perlahan-lahan dia memanggil isterinya
Mak Rainah memberitahu mengenai sesak nafas yang menyeksanya ketika itu.
Apabila jiran-jiran diberitahu mengenai pak Danok
mengalami penyakit sesak nafas memang mereka semua terkejut. Mereka tahu Pak Danok tidak pernah diganggu
sakit dada seumur hidupnya, masakan mudah sangat diserang sesak nafas tatkala
bangun tengah malam tunaikan solat sunat tahajut.
“Aku sekadar melihatnya seolah-olah dalam mimpi,” bisik Pak Danok meminta isterinya tidak
bimbang apa-apa dengan segala yang dialaminya ketika itu.
Sebab itulah Mak Rainah tidak terkejut sangat apabila
bayang jelmaan Pak Danok tiba-tiba tersergam.
Mat Labuh tidak boleh berterusan menunjukkan keangkuhan kepada
keluarganya dengan melenyapkan dirinya dalam kumpulan bunian. Kalau tidak disebabkan Nyimin terancam memang
Pak Danok tidak bimbang bertembung di antara dirinya yang lenyap dengan diri
Mat Labuh yang lenyap juga.
Tatkala ini siapa sahaja mesti menerima padah Pak Danok
sanggup mengalah semata-mata mahu selamatkan anaknya. Tahu sangat Mak Rainah bukan mudah suaminya
mahu terus bertahan kalau semata-mata berkeras tunjuk kedegilan. Pak Danok terlalu banyak bersabar sekalipun
dalam keadaan terdesak.
Dia mahu menuduh Mat Labuh aniaya dirinya hingga
terkejang sesak nafas, tetapi sekadar beritahu Mak Rainah perkara yang
dilihatnya berlaku seolah-olah dalam mimpi sahaja. Apabila jelmaan Pak Danok tersergam di hadapan
Mat Labuh yang mahu tunjuk jantan, Mak Rainah dapat mengagak pertembungan yang
lenyap tidak sama dengan yang hilang.
Saat ini Mat Labuh bukan lagi behadapan dengan Pak Danok
tatkala lenyap, tetapi Pak Danok yang sudah hilang. Masakan dia boleh jejaki Pak Danok yang sudah
hilang. Sebab itu Mat Labuh tidak
berdaya pertahankan diri tatkala angin kencang berpusar macam gasing tengah
hidup uri.
Memang Mak Rainah juga memahami apa yang dihadapi oleh
Mat Labuh. Apabila Nyimin enggan mengikut Mat Labuh balik ke Maninjau, dia
dapat mengagak bukan mudah Mat Labuh mahu memujuknya. Mat Labuh menjadi gementar sekiranya menatap
muka Nyimin tatkala cucuk sanggul yang dicapai dari tangan ayahnya disisipkan
pada rambut.
“Kamu masih isteriku, Nyimin,” Mat Labuh berkeras mendesak Nyimin balik
semula ke pangkuannya.
Nyimin mencemik muka. Dan tidak mahu menyahut
apa-apa. Bukan mudah dia mahu melupakan
perbuatan lelaki itu yang abaikan tanggungjawab sebagai suami. Apalah maknanya dia ikut semula Mat Labuh,
kalau jiwanya sentiasa memendam rasa.
Biarlah dia menjadi janda asal sahaja hatinya tenang tenteram tidak
diganggu kegelisahan sepanjang masa.
“Tak kasihankah kamu pada anak kita Tiah?” Mat labuh
terus merayu dengan harapan Nyimin mahu mengalah.
“Biarlah jodoh ditentukan Allah, bukan dipasa dengan
amalan syaitan!” lantas Nyimin menuturkan dalam perasaan geram meluap-luap.
“Tak baik tuduh aku begitu, Nyimin!” tersentak Mat Labuh
apabila disindir demikian hingga terasa menghiris ke jantung.
“Cakaplah Mat Labuh,” sahut Nyimin mencebek bibir.
“Tiap-tiap yang bernyawa itu akan mati,” jelasnya ingatkan lelaki itu supaya
tidak tunjukkan kesombongan diri dengan amalan yang mahu tundukkan orang lain.
“Kamu silap sebenarnya, Nyimin,” ujar Mat Labuh terus
memujuk Nyimin supaya mengikutnya balik ke Maninjau.
“Bila tiba masanya, tak sesaat pun dapat diundurkan,”
lantas Nyimin mengusap-usap cucuk sanggul tersisip di rambutnya. “Dan tak
sesaat pun dapat didahulukan, Mat Labuh!” semakin keras dia luahkan perasaannya
tidak mahu lagi hidup di samping lelaki berkenaan.
Cukuplah dia menahan kesengsaraan selama menjadi isteri
Mat Labuh. Disebabkan amalan susuk berlian yang ditusukkan bunian ke mukanya,
lelaki itu menjadi angkuh tidak peduli apa-apa.
Susuk berlian yang sebati dalam dirinya itu sentiasa diawasi
bunian. Dia mesti menuruti apa sahaja
kemahuan kumpulan bunian selagi susuk berlian itu tertusuk di situ.
Masakan Mat Labuh boleh membantah kemahun bunian kalau
terpaksa menerima padah hingga kulit mukanya nampak berlubang-lubang! Asal sahaja
tiga kali bulan mengambang penuh Mat Labuh mesti berkahwin baru. Susuk berlian
yang ditusukkan akan luntur sekiranya tidak berkahwin.
Tetapi semenjak Nyimin tinggalkan dirinya, Mat Labuh
merasakan kesakitan yang menyeksakan.
Asal sahaja malam menjelang dia tidak boleh melihat cahaya lampu
menyilau ke mukanya. Tatkala ini Mat Labuh menyedari kulit mukanya
berlubang-lubang laksana tikar mengkuang dianyam. Dia terpaksa bersembunyi di
dalam kegelapan malam supaya tidak disilau cahaya api pelita.
Tahu sanagat dia kalau dipujuk Nyimin balik ke
pangkuannya dia akan mengalami kesakitan sampai bila-bila pun. Tiba-tiba sahaja
dia melihat cahaya bersinar dari kepala Nyimin menyebabkan dia terpaksa
berkurung di dalam gelap malam. Biarlah dia mengalah kepada Nyimimn asal sahaja
isterinya boleh selamatkan dirinya. Dia tidak mahu bersembunyi di dalam gelap
malam selama-lamanya.
Bagaimana dia mahu bertahan kalau sentiasa mengelak dari
isteri-isterinya asal sahaja malam menjelang? Tentu isteri-isterinya terkejut
kalau terserempak dengan keadaan mukanya berlubang-l;ubang. Dia tahu cucuk
sanggul yang dipakai Nyimin menyebabkan susuk berlian yang sebati dalam dirinya
menjadi madal tidak berguna.
Puas dipujuknya berulang kali Nyimin tetap juga berkeras
tidak mahu balik ke pangkuannya. Mat Labuh semakin kecewa apakala diberitahu
Nyimin sudah meninggalkan kampung halaman. Dia sendiri tidak tahu kemana Nyimin
menghilangkan diri hingga tidak dapat dijejakinya.
“Macam itulah, ustaz,” jelas Haji Sidin berpaling
memandang saya. “OPneng Tiah yang beritahu kami mengenai ceritanya demikian,”
dia menambah sebaik sahaja menyambungkan bherita kematian Oneng Tiah dalam usia
yang terlalu lanjut.
“Dia beritahu juga fasal cucuk sanggul peninggalan
emaknya,” sahut Mat Zakir perlahan, “Tapi, kami tak pernah tengok pun, ustaz,”
tersengih-sengih dia apabila kenang mengenai cucuk sanggul peninggalan Nyimin.
“Ah, cucuk sanggul pun bukannya ada kuasa apa-apa,”
Lantas Alang Jagat mencebek bibir mengerling anaknya Mat
Zakir. “Yang berkuasa hanya Allah,” ujarnya mencepak-cepak bibir seolah-olah
tidak mahu anaknya ungkit lagi mengenai cerita cucuk sanggul berkenaan.
Tetapi Alang Jagat mengakui neneknya Oneng Tiah semakin
segar setelah dimandikan air embun.
Penyakitnya juga beransur sembuh spabila meneguk embun yang berbutir pada daun keladi tatkala disilau
cahaya matahari. Beberapa bulan sahaja
selepas tenaganya pulih semula, baru Oneng Tiah mahu beritahu cucu cicitnya mengenai
kampung halamannya di Pariaman yang lama ditinggalkan.
Lama dia menetap di Semenanjung barulah neneknya Mak
Rainah ikut menjejakinya setelah emaknya mengirimkan surat ke sana. Memang Nyimin sendiri mahukan emaknya
berpindah sahaja ke Semenanjung setelah dia berkahwin lain. Terbuka sahaja hati Nyimin mahu bersuami
semula setelah dilamar Haji Musnir yang lama menduda.
Memang Haji Musnir yang mendesak Nyimin menjemput emaknya
datang ke Semenanjung. Apa sangat yang
ditunggu emaknya di kampung halaman dalam masa Belanda yang berkuasa menentukan
hasil mahsul. Sebab itu terpengaruh juga
Mak Rainah dengan desakan Nyimin.
Biarlah dia tinggalkan kampung halaman asal sahaja dapat memulakan
penghidupan baru di Semenanjung.
Tatkala sampai di Semenanjung inilah Mak Rainah beritahu
Nyimin mengenai Mat Labuh ditemui terkejang mati bersendirian. Tidak siapa pun terconggok di sisinya tatkala
Mat Labuh hembuskan nafas disebabkan mahu bersembunyi asal sahaja malam kian
gelap. Takut benar Mat Labuh suakan mukanya apabila api pelita dipasang di
tengah rumah.
Lantas sahaja dia jauhkan diri dari semua
isteri-isterinya sebaik sahaja malam menjelang. Dia mahu bersendirian sahaja
setelah menyedari kulit mukanya akan berlubang-lubang laksana sarang anai-anai
terpokah sekiranya disilau cahaya pada waktu malam. Tidak seorang pun
isteri-isterinya menyedari padah yang menimpa Mat Labuh apabila dia ditemui
terkejang mati.
Terkejut benar keluarganya tatkala melihat muka mayat
berlubang-lubang di hurung semut seolah-olah membuat sarang di situ. Terpaksa
pula mereka bersihkan muka mayat biar semut-semut yang bersarang dalam lubang
pada kulit muka dibuang habis. Tapi semakin dibuang semut-semut berkenaan
bertambah besar pula lubang-lubang berkenaan hingga sebesar pangkal lidi.
Semasa mayatnya dimandikan mereka juga tidak peduli lagi menenai semut yang
banyak keluar masuk melalui lubang sebesar pangkal lidi di merata kulit muka.
Mak Rainah gagahi juga hatinya mahu menziarahi mayat Mat
Labuh sekalipun hatinya terlalu mendongkol. Tetapi apabila kenang Mat Labuh
sekadar lafrazkan cerai sekiranya Nyimin balik menjengah ayahnya meninggal
dunia. Mak Rainah sanggup juga dating menziarah. Mat Labuh tetap dirasakan
bekas suami anaknya juga.
Berdebar hatinya apabila melihat kulit muka mayat Mat
Labuh berlubang-lubang dengan dihurung semut. Terlalu galak semut-semut berkenaan
keluar dan masuk di situ. Tidak tergamak Mak Rainah mahu menatap lama-lama
setelah melihat kejadian tersebut. Memang geli geleman dia sewaktu menceritakan
semula kepada Nyimin sebaik sahaja jejak kaki ke semenanjung.
“Dah bertahun-tahun dulu ceritanya, ustaz,” jelas Alang
Jagat mengenai perngalaman neneknya Oneng Tiah.
“Ayah tirinya Haji Musnir sayangkan Oneng Tiah,” Haji
Sidin mencelah apabila kenang masa silam orang tua itu.
Memang emaknya beritahu Haji Sidin mengenai Oneng Tiah
banyak amalkan petua yang dipelajari dari ayah tirinya Haji Musnir. Dia juga
mengakui Haji Musnir sendiri sentiasa mandi embun asal sahaja bangun sewaktu
subuh bening. Dia akan meneguk ketul embun di atas daun keladi sebaik sahaja
disilau cahaya matahari.
Sebab itu Oneng Tiah ingatkan anak cucunya supaya tidak
amalkan susuk kalau takat mahukan kecantikan. Jauh di lipatan hatinya dia tidak
akan dapat lupakan malang yang menimpa ayahnya Mat Labuh. Sekalipun dia tidak
melihat sendiri kejadian buruk itu, tetapi Oneng Tiah dapat merasakan
pembalasan yang amat menusuk perasaan.
Tidak lama selepas dia beritahu cucu cicitnya mengenai
pengalaman emaknya Nyimin di kampung halamannya, Oneng Tiah mencapai tongkatnya
lantas berjalan mengelilingi rumah sampai tiga kali.
“Aku nak ambil angin dulu,” tuturnya tatkala Haji Sidin
tanyakan kenapa mahu berligar keliling rumah.
Kemudian Oneng Tiah masuk semula ke rumah mahu berbaring disebabkan
penat-penat badan. “Kalau kamu nak makan dulu, makanlah, aku nak tidur dulu,”
pesan Oneng Tiah menyedari cucu cicitnya mahu bersarapan pagi.
“Masa itulah dia hembuskan nafasnya, ustaz,” tutur Haji
Sidin beristighfar beberapa kali semasa beritahu saya mengenai kematian Oneng
Tiah. Saya menundukkan kepala dalam keharuan yang menusuk.
SELESAI
No comments:
Post a Comment