Langkah Pak Kassan pantas sekali menuruni mata tangga pondok sementara Mak Sitam mengekurinya dari belakang dengan membawa parang panjang. Mereka tidak menggunakan alat penyuluh kerana bulan terang benderang. Daun-daun jagung berkilat-kilat di pancari cahaya bulan dengan rintik-rintik air hujan petang tadi yang tinggal pada dedaun jagung tersebut.
“Ada rezeki kita
dapat hari ni, lembing ni kalau dihayun selalu saja mengena sasaran,’ kata Pak Kassan dengan penuh keyakinan.
Bunyi tempikan
semakin kuat berhampiran dengan mereka, mereka terus terintai-intai untuk
mendapatkan mangsa itu. Pasti pada
mereka bunyi itu bunyi rusa. Pak Kassan
memang sudah tahu akan bunyi binatang kerana bapanya dulu pawang hutan dalam
kampungnya.
Jarak lebih kurang 50
meter mereka berdua ternampak bayang-bayang hitam besar sedang melompat-lompat
bagaikan menari berhampiran satu tunggul besar,
Anak-anak jagung masih paras lutut lagi.
Lembaga hitam itu terus manari-nari dan sambil bertempik bunyi rusa.
Suami isteri ini mengamati betul-betul akan lembaga hitam itu, mereka renung puas-puas dan, “Memang rusalah, tengok tanduknya itu,” Mak Sitam berbisik pada Pak Kassan.
Pak Kassan tersenyum,
matanya liar memandang tujuan untuk memintas binatang itu dari rusuk kanan atau
kiri untuk lembingnya senang mengena sasaran.
“Aku ikut belah sini,
kau ikut belah sana,” Pak Kassan
memerintah isterinya.
Lalu mereka berdua
berpecah, dan sasaran mereka tuju ialah lembaga rusa yang berada berhampiran
tunggul besar. Pak Kassan dengan lembing
sementara mak Sitam dengan parang panjang.
Terayap-rayap mereka
berdua menuju sasaran dengan pijakkan tapak kaki yang berhati-hati sekali. Sementara sang rusa yang leka menari-nari
seperti tidak sedarkan diri itu terus menari dan bertempik tak henti-henti.
Kini Pak Kassan sudah
hampir dengan tunggul besar, dia mengelik sebalik tunggul tersebut supaya sang
rusa tidak perasan kedatangannya.
Dalam
tertinjau-tinjau hendak mencari sasaran lembingnya, tiba-tiba sang rusa
bertempik lebih kuat sekali dan terus melompati tunggul besar tempat Pak Kassan
berselindung.
Terperanjat Pak
Kassan dan terus kaku. Sang rusa
menghadap pada Pak Kassan yang sedang kaku dengan lembing cuma berpegang
sahaja. Mata sang rusa bagaikan api yang keluar dari sumbu yang besar, merah
dan begitu menakutkan hati Pak Kassan.
Sang rusa terus
bertempik tetapi tidak lagi menari, Cuma kepalanya sahaja meganggok-anggok
bagaikan hendak menanduk dengan tanduknya yang berceranggah itu kearah Pak
Kassan.
Pak Kassan tiba-tiba
menjerit bila hatinya sudah terlalu kecut.
Dan sepantas itu sang rusa menerkam, lalu Pak kasan mengelak dan terus
melompat lari. Terkaman sang rusa
mengeni tunggul besar itu dan tunggul itu pecah.
Pak Kassan terus
memecut langkah seribu menuju ke pondoknya, sementara itu dia berteriak dengan
kuat pada Mak Sitam supaya menyelamatkan diri.
Mak Sitam pula bila
dia terpandang sahaja sang rusa melompat tunggul besar tadi dia terus lari ke
pondok jiranya untuk memberitahu dan meminta pertolongan menangkap sang rusa
itu.
Pantas sekali Pak
Kassan melompat naik ke pondoknya.
Lembingnya masih lagi di tangannya.
Sang rusa terus melurunya hingga melanggar anak tangga pondok dan anak
tangga itu bertaburan tercampak. Pondok
Pak Kassan bergegar kencang.
Sang rusa itu terus
menari-nari di hadapan pondok dengan dihadapi oleh Pak Kassan dari atas pondok.
Pak Kassan sudah
mengumpulkan semangat semula dan dengan tekad yang penuh bertenaga dia
membalingkan lembing pusakanya pada leher sang rusa. Tepat mengenai sasaran dan mata lembing itu
terbenam dalam leher sang rusa.
Namun sang rusa masih
terus manari, dan darah tidak ada yang keluar.
Pak Kassan mengigit jari, ketakutan.
Dia sudah terfikir yang bukan-bukan.
Dan sepantas itu juga dia membuka kain hitam ikatan pinggangnya. Lalu diserapahnya segala petua yang diberikan
oleh bapanya dulu dan di kibasnya kain hitam itu sebanyak tiga kali pada arah
sang rusa.
Sepantas itu juga
jeritan kuat sang rusa bergema dan sang rusa pun rebah. Rebah dengan tidak mengelupur di halaman
pondok. Pak Kassan terus memerhatikan
sang rusa itu rebah terbaring dan dalam pandangan Pak Kassan itulah juga tubuh
badan sang rusa itu hilang cuma yang tinggal kepala rusa itu sahaja dengan mata
lembingnya tergelempang diatas tanah.
Pak Kassan berteriak
memanggil isterinya sekuat hatinya. Dia
mulai risau akan isterinya itu. Dia
hendak juga turun mencari tetapi hatinya kuatir takt-takut perkara yang di
depan matanya ini akan berulang lagi.
Dalam dia asyik
berfikir tiba-tiba dia terdengar riuh suara orang ramai datang ke pondoknya
itu. Dalam sinaran cahaya bulan terang
jelas pada pandangan Pak Kassan kedatangan beberapa orang bersama isterinya ke
pondoknya itu.
Bila mereka sampai di
halaman pondok, mereka semua terperanjat dan seorang daripada mereka
berkata, “Hah, inilah yang dikatakan
oleh pemburu semalam.”
“Kata apa?” Pak Kassan bersuara dari atas pondok.
“Semalam ada
rombongan pemburu, mereka dapat membunuh seekor rusa jantan bertanduk tujuh
kata mereka, tapi bila selesai sahaja melapah daging hujan telah turun dengan
lebatnya petang semalam, mereka tergesa-gesa pulang melalui ladang aku, dalam
pada itu mereka kata mereka tertinggal kepala rusa tersebut atas tunggul besar
di satu ladang jagung waktu mereka hendak mencari kayu pengandar kerana
pengandar yang ada patah,” jelas jiran
itu.
Semua yang ada di
situ tercengang, memikirkan sesuatu yang belum pernah mereka alami dan dengari
Pak Kassan turun ke
tanah dan melihat kepala rusa yang lehernya tiada lagi berdarah, daging
lehernya juga sudah pucat macam dibasuh air.
“Tanduk yang ini pun
tujuh,” Pak Kassan berkata sambil
membelek kepala rusa itu.
“Ini tentu badinya
yang tinggal, kenapa mereka tertinggal kepalanya di ladang kita ini?” Jiran yang bercerita tadi membuat komen.
“Sudahlah, petua dari
arwah bapa aku dulu. Kalau keadaan begini terpaksalah kita bakar sahaja kepala
ini dan abunya kita hilirkan ke sungai,”
Pak Kassan menerangkan.
Kesemuanya berbisik
dan kelihatan pada setiap riak muka yang berkumpul di halaman pondok jagung Pak
Kassan itu ternyata dalam keadaan takut bercampur hairan….
SELESAI.