Sunday, January 28, 2018

264. TEMPAYAN AIR MEMANCUT DARAH


Hampir subuh barulah Pak Jubin sampai di rumah menantunya Delit. Wajah lesu masuk ke tengah rumah akibat tidak tidur sepanjang malam. Ketika dia melaung dari tengah halaman anaknya Anjang Mamud yang membukakan pintu. Dengan tidak bertanya sepatah pun pada Anjang Mamud dia terus masuk ke dalam.
Delit sudah tidur. Bedah juga sudah tidur. Tiga orang anak Delit dan Bedah, Alim, Mimah dan Sahak tidur berdengkur dekat lunjur kaki ayahnya. Manakala Mak Tinah terbengkok tidur di pangkal tiang tengah. Terpisat-pisat dia bangun bila punggungnya digoyang-goyang Pak Jubin. "Awak ke mana lama sangat?" tanya Mak Tinah masih lagi menggosok-gosok mata.
Pak Jubin tidak menyahut. Perlahan-lahan dia duduk di sisi isterinya. Dia terkuap-kuap menahan mengantuk akibat tidak tidur semalaman.
"Macam mana Delit….?" dia pula bertanya dengan tidak mempedulikan soalan Mak Tinah. "Macam mana Delit tu,  macam mana?" ulanginya lemah.
"Eloklah nampak nya tu. Lebai Cot yang ubatkan tadi" beritahu Mak Tinah.
Pak Jubin terus merebahkan badan. Hatinya lapang bila dengar menantunya sudah dapat dipulihkan. Sejak balik dari membuang bajang ke tengah hutan dalam rumpun rotan, dia sudah diberitahu oleh Mat Kidam mengenai menantunya tidak sedarkan diri. Berdebar juga hati Pak Jubin bila diberitahu demikian.
Tentu menantunya terancam. Siapa pun menjadi dukun memang menghadapi dugaan demikian. Apabila dia mengubati orang, maka keluarganyalah menjadi sasaran. Gangguan yang merasuk pesakit akan membalas dendam dengan mencari keluarga si dukun menjadi mangsanya.
"Awak ke hutan buat apa?" Mak Tinah masih mendesak.
Tetapi Pak Jubin tidak menyahut apa-apa. Dia terus bersenar tidur sebaik saja kepala rebah ke bantal. Heran juga Mak Tinah melihat suaminya mudah sangat terlelap.
Selalunya kalau letih macam mana pun Pak Jubin tidak mudah mahu melelapkan mata. Kadangkala puas berpusing ke kiri ke kanan pun belum tentu dapat tidur. Dia akan membuka baju berlenging sambil mengibas-ngibaskan baju ke badan pun, masih juga tidak dapat tidur. Hingga Mak Tinah sendiri tidak tahu bilakah pula Pak Jubin terlelap.
Tetapi, balik saja mengubat Saridah tidak sempat bertanya apa-apa, Pak Jubin sudah pun berdengkur. Kokok ayam bersahut-sahut memecah keheningan pagi. Mak Tinah juga merebahkan badannya semula di sisi Pak Jubin, tetapi matanya sukar pula mahu dilelapkan setelah terganggu. Kalaulah tidak dikejutkan Pak Jubin sudah tentu dia akan terlina sampai ke pagi.
Cuma dia saja menemankan Bedah bersama Anjang Mamud anaknya. Lebai Cot sudah pun balik. Mak Jidah juga balik. Mereka tidak perlu menunggu sampai ke pagi setelah Delit pulih semula. Lagi pun rumah mereka bukanlah jauh sangat dari rumah Delit. Laung dari tingkap pun boleh kedengaran. Sebab itulah mereka meng-ambil keputusan balik saja ke rumah setelah Delit benar-benar pulih.
Apalah gunanya menunggu sampai ke pagi. Lainlah kalau sakit Delit bertambah teruk. Lagi pun memadailah Mak Tinah menunggunya. Kalau ada apa-apa hal berlaku ke atas keluarga Delit, Mak Tinah boleh melaung dia dari tingkap. Mak Jidah akan cepat-cepat pula memanggil Lebai Cot semula.
Tetapi hampir ke subuh pun, Delit tidak diganggu bajang lagi. Kalau sudah memancar matahari bajang tidak akan mengganggu. Silau mata-hari itu akan mem-bakar baik bajang, pelesit, polong, jerangkung, atau apa saja jembalang. Mereka tidak akan bertahan disinari silau matahari. Tempat mereka hanya di dalam gelap gelita, sama seperti hati manusia yang diIetakkan Allah di dalam gelap gelita. Mereka yang tinggal di dalam gelap gelita tidak akan mahu menerima cahaya, sekalipun cahaya itu membawa mereka ke jalan yang lurus.
Dengkur Pak Jubin berombak-ombak menusuk anak telinga Mak Tinah. Bingkas saja dia bangun disebabkan tidak tertahan diganggu bunyi dengkur Pak Jubin menusuk anak telinga. Keletihan Pak Jubin meranduk gelap malam menuju ke hutan itulah menyebabkan dia tidak tertahan diulit mengantuk.
Bedah yang terlina tatkala ayahnya datang, tiba-tiba pula terjaga mendengar dengkur orangtua itu. Dia lantas bangun untuk memasak air. Sudah pukul enam pagi buat apa terbungkam di tempat tidur lagi. Kalau sakit suaminya tidak melarat, mahu juga dia ke sawah sisip permatang. Anak padi tengah naik terpaksa dijaga baik-baik. Rumput di permatang kena disisip, air ditampung mesti cukup, ulat pianggang juga mesti dikawal supaya tidak mengganggu.
Sebab itu Bedah mesti juga ke sawah sekalipun suaminya masih sakit. Dia percaya sakit suaminya tidak melarat. Fasal itulah dia tidak mahu bengkok di tempat tidur lagi bila sudah terang-terang tanah. Mahu dikejutkan ayahnya sembahyang subuh bimbang pula dia ayahnya akan marah. Maklumlah orang tua itu terlalu mengantuk tidak tidur semalaman.
"Tak kejutkan ayah, sembahyang ke mak ... ?" tanya Bedah menggeliat-geliat sambil menolak selimut. Dia terus bangun menuju ke dapur. Air mesti dijerang cepat. Lagi pun anak-anaknya mahu ke sekoIah.
Semasa Bedah berderung-derung menyeluk air di tempayan, Mak Tinah pun menggerak-gerakkan tubuh suaminya. Dia tahu suaminya terlalu mengantuk. Tetapi Pak Jubin tetap bangun sembahyang subuh walau mengantuk macam mana pun. Sebab itulah Mak Tinah kejutkan juga suaminya beritahu fasal waktu subuh sudah masuk.
Terkuap-kuap Pak Jubin bangun. Memang rasa mengantuk masih menyelubungi dirinya. Namun dia gagahi juga bangun fasal mahu sembahyang subuh. Lainlah kalau terlelap sampai meninggi hari. Asal terbangun saja tidak kiralah mengantuk atau tidak mengantuk, Pak Jubin mesti tunaikan juga sembahyang subuhnya.
Dia terus ke telaga mengambil wuduk. Pagi-pagi demikian tidak perlu mandi sangat. Lagi pun badannya bukanlah berpeluh sangat ketika ke hutan bersama Razak. Malam tengah sejuk dingin masakan badan mudah berpeluh. Bila masuk subuh rasa sejuk itu semakin menggigit tulang sum-sum. Sebab itulah Pak Jubin tidak tertahan mahu mandi. Memadailah dia mengambil wuduk saja untuk sembahyang subuh.
Habis saja mengambil wuduk cepat-cepat Pak Jubin naik ke rumah untuk tunaikan solat. Sampai di kepala tangga dia ternampak Mak Jidah sudah terconggok tengah induk rumah berhadapan dengan isterinya. Dia tidak peduli sangat Mak Jidah di situ. Tentu Mak Jidah datang pagi-pagi untuk melihat keadaan Delit. Maklumlah Delit itu anak aruah kakaknya, samalah macam anak sendiri juga.
"Hah, Ngah Jidah, dah lama sampai?" tegur Pak Jubin terus ke hujung serambi.
"Baru aje  sahut Mak Jidah lemah.
"Ada hal ni, sembahyanglah dulu  " beritahu isterinya Mak Tinah pula.
Berdebar pula Pak Jubin bila diberitahu Mak Jidah ada hal. Siapa pula yang sakit pagi-pagi demikian. Hendak di katakan suami Mak Jidah yang sakit, apa pula sakitnya. Kena rasuk bajang jugakah Usup Gendut? Selalunya bajang bila sudah merasuk memang habis sebuah kampung dirasuknya.
Tetapi Pak Jubin mesti selesaikan solatnya dulu. Kalau Usup Gendut kena rasuk juga, nampaknya benar-benar bajang yang merasuk sengaja mencari geruhnya. Selepas Saridah isteri Razak diubatnya, menantu nya jadi sasaran. Sekarang Usup Gendut pula. Lepas itu siapa pulakah yang akan dirasuk bajang berkenaan? Jadi sia-sialah dia mengurung bajang yang ditangkapnya ke dalam rumpun rotan di tengah hutan.
Selesai solat subuh, Pak Jubin tidak berwirid panjang lagi. Cepat-cepat dia masuk ke dalam mendapatkan Mak Jidah. Dia hendak tahu juga apakah diperlukan Mak Jidah kepada diri-nya. Selalunya kalau sudah terbit matahari tidakkan bajang boleh merasuk. Kalau mahu merasuk pun takat senja sampai tumpu fajar saja.
"Apa hal nya Ngah Jidah?”   Pak Jubin tidak sabar lagi mahu tahu maksud kedatangan Mak Jidah menjemputnya.
"Entahlah Pak Jubin" keluh Mak Jidah sugul. "Marilah ke rumah tengok kan sikit, entah apa jembalang yang mengacau?" katanya bagaikan mahu menangis.
"Usup ke yang kena ganggu?" tanyanya mahu mempastikan sama ada benar Usup Gendut suami Mak Jidah yang dirasuk.
"Tidak...." Mak Jidah menggeleng kepala. Kalaulah suaminya Usup Gendut yang kena rasuk tentulah kesihan juga. Tentulah orang tua itu tergolek macam guni beras akibat tubuhnya yang gemuk. Mahu berjalan menjengah Delit sebelah malam tadinya pun Usup Gendut tidak larat berjalan. Dia termengah-mengah, entah berapa kali duduk berhenti, sebelurn sampai ke tempat yang dituju.
"Habis, kalau bukan Usup, siapa?" heran juga Pak Jubin dengan apa yang diberitahu Mak Jidah. Siapa pula di rumahnya selain dari suaminya sendiri Usup Gendut. Anak-anaknya semua sudah berkahwin, tidak tinggal lagi bersama mereka.
"Marilah Pak Jubin ke rumah dulu" katanya lemah.
 "Awak pun, banyak sangat soal jawab!" Mak Tinah mencuit bahu suami nya. "Pergilah tengokkan dulu. Entah apa pula halnya Ngah Usup tu ." ujarnya menjuihkan bibir.
Pak Jubin masih tercegat di tengah rumah. Dia memerhatikan saja Mak Jidah bangun. Selagi Mak Jidah terjelepoh di lantai bagaimana pula dia mahu turun ke halaman menuju ke rumah Mak Jidah. Biarlah perempuan itu turun dulu. Dia akan mengekorinya. Biarlah letihnya ke hutan bersama Razak sepanjang malam masih melesukan sendi anggotanya. Biarlah mengantuknya terkuap-kuap akibat tidak tidur semalaman menyengkang matanya. Pak Jubin tetap akan penuhi juga permintaan Mak Jidah mengubati sakit Usup Gendut.
Dalam hatinya memang mengagak Usup Gendut suami Mak Jidah diganggu bajang. Memang bajang akan terus mencari mangsa apabila tindak tanduknya dihalang. Orang yang menjadi sasaran sudah tentulah keluarga sesiapa yang berani menghalang maksudnya. Sudah tentulah siapa yang menjadi dukun yang berani mengubati pesakit yang dirasuknya.
Kesihan juga Pak Jubin bila kenang Usup Gendut tiba-tiba tidak sedar diri dengan mulut berbuih-buih. Tentulah tubuhnya yang gemuk itu bertambah mengah menahan sesak nafas akibat dirasuk. Usup Gendut akan terkial-kial menggapai tangan seperti orang kelemasan tengah air berarus deras.
Dia dapat membayangkan bagaimana Usup Gendut menghempas badan apabila bajang meronta dilontar dengan bertih. Tubuh gemuk Usup Gendut tidak dapat bergerak kuat, tetapi tenaga bajang yang meresapi tubuhnya menjadikan dia gagah. Sudah tentu rumahnya bergegar bagaikan dirempuh lembu jantan tengah gatal tanduk.
Siapalah dapat membantu kalaulah benar Usup Gendut dirasuk bajang. Anak-anaknya mesti segera. Setidak-tidaknya mereka semua boleh membantu kalau Usup Gendut meronta-ronta sebaik saja kemenyan dibakar. Tenaga leleki tentulah tidak sama dengan tenaga Mak Jidah. Sudah tentu Mak Jidah sendiri akan terpelanting ke dinding kalau sekiranya terkuat memegangkan Usup Gendut tatkala meronta-ronta.
"Tak bagi tau budak-budak?" tanya Pak Jubin.
"Awak ni bila pulak nak beritahu anak-anaknya .." rungut Mak Tinah macam kesalkan suaminya banyak sangat soal jawab. "Pagi ni tadi hah, rumahnya kena ganggu. Masa bila pula nak beritahu" dia mendengus kuat.
Pak Jubin terkebil-kebil, mata. Tidak patut isterinya yang banyak menyampuk bila dia menyoal Mak Jidah. Kalaulah tidak kenangkan Mak Jidah ada terjelepoh di depannya mahu saja dia menyergah isterinya. Dia patut bertanya itu dan ini sebelum memberikan pertolongan.
Manalah Mak Tinah tahu fasal mengubati orang. Kalau-lah Usup Gendut meronta-ronta siapa mahu memegangkannya kalau bukan anak-anaknya yang masih bertenaga muda? Masa kan Mak Jidah terlarat mahu memeluk tubuh gemuk Usup Gendut kalau lelaki itu melenting sebaik saja kemenyan dibakar. Mudah saja bajang yang meresap dalam tubuh Usup Gendut melenting bila terbau kemenyan yang dibakar Pak Jubin.
Tentulah Mak Jidah tidak berdaya menahan rontaan Usup Gendut. Manalah Mak Tinah tahu apa yang terbendung dalam kepalanya sebelum turun ke halaman menuju ke rumah Mak Jidah. Sudah semalaman dia tidak dapat melelapkan mata fasal mengubati Saridah.
Kalaulah Saridah seorang perempuan tiba-tiba menjadi gagah setelah dirasuk bajang, tentulah Usup Gendut Iebih bertenaga lagi. Manalah Mak Tinah tahu fasal gangguan bajang, yang akan merasuk siapa saja bila tindak tanduknya dihalang. Tahulah Pak Jubin bahawa dia gagal mengurung bajang ke dalam rumpun rotan. Kalau bajang yang dibuangnya ke hutan itu tidak dapat melepaskan diri, tentulah Delit tidak mengalami gangguan. Sembuh saja Delit, tiba-tiba saja Usup Gendut pula menjadi mangsa.
"Bukan Usup yang sakit ." beritahu Mak Jidah perlahan. "Tempayan air rumah aku .... , tadi aku nak masak air. Tiba-tiba aje aku tengok darah dalam tempayang air aku." dia geli gelemam bila kenangkan darah berbuih-buih dalam tempayan airnya.
Berkerut dahi Pak Jubin mendengar cerita dari Mak Jidah. Heran juga dia apa yang berlaku. Belum pernah pula dia menerima ancaman demikian hebat hinggakan tempayan air dipenuhi darah. Walau pun bukan tempayan air di rumahnya, tetapi seolah-olah bajang berkenaan memberi amaran kepada dirinya.
Sudah tentulah bajang berkenaan tidak akan berdiam diri. Dia tahu hanya bajang peliharaan saja yang melakukan gangguan demikian, lepas satu, satu yang diganggunya. Siapakah yang memelihara bajang tersebut, tentulah tidak puas hati kalau bajangnya dikurung di dalam rumpun rotan.
Tuan bajang pasti akan melepaskan bajangnya yang terkurung. Sebab itulah dia bertindak balas dengan mengganggu keluarga sesiapa yang menghalang maksudnya. Sekarang keluarga Pak Jubinlah yang menjadi sasaran. MaIah jiran-jiran Pak Jubin juga akan diganggu, sehingga mereka semua membenci Pak Jubin kerana berani menghalang maksudnya sehingga seluruh kampung menerima bencana.
Tidak bercakap sepatah apa pun, Pak Jubin terus turun ke halaman. Dia berjalan Iemah menuju ke rumah Mak Jidah. Keletihan masih terasa menyelubungi perasaannya, ditambah lagi oleh rasa mengantuk. Tetapi Pak Jubin tetap gagahi juga menuju ke rumah Mak Jidah. Cepat-cepat pula Mak Jidah mengekori Pak Jubin dari belakang.
Sampai di rumah Mak Jidah, Pak Jubin terus naik ke dapur. Usup Gendut ada berdiri di sisi tempayan memerhatikan darah membuak-buak di dalam tempayan.
"Tengoklah dukun" kata Usup Gendut sebaik saja teriihat Pak Jubin menaiki tangga dapur.
Pak Jubin menjengah ke dalam mulut tempayan. Memang benar bau hanyir darah menusuk ke hidung. Rasa mahu muntah pula dia sebaik saja terbau hanyir darah dari dalam tempayan air.
Lama pula dia terhangak-hangak. Hatinya sendiri berdebar melihat keadaan yang tidak diduganya itu. Sudah tentulah apa yang dilihatnya sebagai satu cabaran dari bajang paliharaan berkenaan. Dia berani menuduh memang bajang peliharaan itulah meIakukannya. Disebabkan silau matahari pagi tenaganya Iemah untuk mengganggu manusia, sengaja dia mencari jalan untuk melemahkan semangat manusia. Sebab itulah air di tempayan dijadikan sasaran supaya Mak Jidah Iemah semangat. Mudahlah dia merasuk pada sebelah malam bila manusia Iemah semangat pada slang harinya.
Tentulah bajang peliharaan yang melakukan. Sejak semalaman dia mengubati Saridah bajang itulah yang menjelma. Bajang itulah juga yang ditangkapnya lantas dikurung dalam rumpun rotan. Rupa-rupanya bajang yang ditangkap bukanlah bajang yang menjelma dari kuburan bayi mati terbungkus tidak keluar dari rahim ibunya, tetapi bajang peliharaan yang mempunyai tuan.
Kalau bajang menjelma dari kuburan bayi, sudah tentu tidak akan terlepas setelah dikurung di hutan. Dia akan menjadi seperti bayi yang tidak boIeh melakukan apa-apa kalau sudah dikurung mengikut petuanya.
"Kalau macam ni kita tanamkan saja darah dalam tempayan ni Sup" ujar Pak Jubin mengesyurkan.
"Terpulang pada dukun laa…”   sahut Usup Gendut mencuit punggung isterinya. "Hah, kita galikan lubang di belakang rumah tu" katanya mengerling Mak Jidah.
 Perempuan itu tidak menyahut. Cepat-cepat dia turun ke tanah mencapai cangkul di bawah rumah. Dia sendiri memikul taran cangkul menuju ke belakang rumah. Dia jugalah yang menggali lubang bawah pokok kekabu di tubir.
Manakala Usup Gendut pula terkengkang-kengkang membantu Pak Jubin mengangkat tempayan penuh berisi darah membuak-buak pekat. Hanyir darah itu cukup meloyakan. Dari manakah datangnya darah itu memang mengherankan. Bila Pak Jubin tidak perlu membakar kemenyan sebelum darah berkenaan dibuang, Usup Gendut pun tidaklah banyak bicara.
Dukun seperti Pak Jubin tentulah lebih banyak mengetahui mengenai perkara aneh demikian. Sebab itulah dia menyuruh Mak Jidah cari Pak Jubin pagi-pagi lagi, sebelum Pak Jubin ke mana-mana. Dia sendiri memang tidak tahu apa harus dibuat. Kalau mahu dikatakan air di tempayan di masuki darah, masakan sampai penuh satu tempayan darah pekat. Lagi pun tentulah airnya saja bercampur darah.
Tetapi darah yang ada di dalam tempayan airnya tidak bercampur air pun. Memang darah pekat betul.
"Jaga-jaga jangan biarkan dia tumpah" Pak Jubin mengingatkan.
Usup Gendut mengangguk. Terkial-kial dia menurunkan tempayan ke tanah yang disambut oleh Pak Jubin dari bawah. Sampai saja di tempat lubang slap digali Mak Jidah, Pak Jubin herhenti sebentar. Kemudian perlahan-lahan dia membacakan serapah:
aku tau asal kau jadi, darah ular sekati munur asal kau jadi, tersirak ke laut jadi tahi naga, tersirak ke darat jadi mambang kuning, ingang inggut di lautan, gedang Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata baginda Rasullullah, berkat Laillahhaillallah 
Dia menghembuskan ke arah mulut tempayan. Kemudian berundur setapak ke belakang sambil menghentakkan tumitnya tiga kali ke bumi.
Ketika ini terdengar bunyi berdesir seperti puntung api disirami air. Tidak lama selepas itu asap keluar dari mulut tempayan. Pak Jubin membiarkan saja asap berpusu-pusu keluar dari mulut tempayan, kemudian menghilang di dalam kabus pagi.
Menggeletar Mak Jidah melihat kejadian yang dilihat dengan mata kepala nya sendiri. Asap yang keluar dari mulut tempayan samalah macam asap yang berpusar-pusar tatkala puntung api disirami air.
"Tak pernah aku tengok macam ni.." keluh Usup Gendut terkaku tidak bergerak. Hatinya berdebuk-debuk juga. Tidak percaya dengan cerita orang-orang kampung mengenai perkara-perkara tahyol, dia sendiri sudah melihatnya. Mahu dipercayai sangat mungkin dia akan ditertawakan orang kalau diceritakan kepada orang lain.
Tetapi dia sendiri heran dengan tiba-tiba saja tempayan airnya dipenuhi darah. Siapa pula yang memasukkan darah ke situ. Apakah sewaktu Mak Jidah menjengah Delit sakit tidak sedarkan diri, dia terlina sangat sampai tidak sedar orang mencurahkan darah pekat ke situ? Tetapi darah apa pula, kalau sudah sampai penuh setempayan?
"Kita curahkan sekarang" perintah Pak Jubin mula membongkok memegang badan tempayan.
Usup Gendut juga membongkok. Sama sama membantu Pak Jubin menonggengkan buntut tempayan supaya darah penuh di dalamnya dapat dicurahkan ke dalam lubang se-paras lutut yang digali Mak Jidah. Tatkala darah dari ternpayan dicurahkan asap berwap-wap juga naik ke atas. Bau hanyirnya juga menusuk-nusuk ke lubang hidung hingga meloyakan.
Habis saja dicurahkan darah berkenaan meresap terus dalam tanah. Mak Jidah mengambusnya. Dia memang tidak harapkah suaminya Usup Gendut melakukan kerja-kerja berat. Mudah saja lelaki itu mengah kalau disuruhi juga melakukannya. Usup Gendut tidak akan menolak kalau diserahi membuat kerja-kerja berat, tetapi Mak Jidah sendiri kesihan melihatnya. Kadang-kala sampai minta tolong urutkan dada bila Usup Gendut sudah termengah-mengah.
Bagaimanapun Usup Gendut bantu juga isterinya mengangkat tempayan ke telaga untuk dibasuh. Bau hanyir darah mesti dicuci bersih, barulah boleh tadahkan air lain.
Mulanya Pak Jubin mahu saja terus balik ke rumah. Dia mahu rebahkan badan tidur menghilangkan rasa mengantuk yang mengganggu. Biarlah satu hari suntuk itu dia terbaring terbaring tidak pergi menoreh getah. Kalau tidak dipenuhi pula permintaan orang mengubati pesakit, nanti apa pula kata jiran-jiran. Kadangkala ada pula yang menuduhnya menuntut bayaran banyak, apabila enggan memenuhi permintaan orang.
Tetapi bila sudah semalaman menyengkang mata, tentulah dia tidak berdaya untuk menoreh getah esoknya. Kalau boleh digagahi pun cuma sebelah petangnya menggalas taran cangkul menuju ke sawah. Bantu isterinya ke sawah.
Bila mahu balik, Pak Jubin merasa tidak sedap hati. Dia berdiri di atas lubang tempat menanamkan darah tadi. Dia menghentakkan tumitnya ke situ. Tiga kali dia hentakkan tumitnya, terdengar rengekan bayi sayup sayup jauh dari situ. Bertambahlah terkejutnya Mak Jidah dan Usup Gendut dengan keadaan tersebut.
Tetapi Mak Jidah memang sudah mendengarnya semasa Lebai Cot mengubati Delit semalam. Rengeken bayi itu sama benar seperti didengarnya dekat telaga di belakang rumah Delit.
Pak Jubin terus menekankan tumit nya ke situ. Hinggalah bunyi rengekan bayi itu hilang barulah dia melepaskannya. Dia merasa lega kerana dapat menghindarkan malapetaka tersebut. Kalau buat sementara pun, buat sementaralah. Asal saja dia dapat berehat melelapkan mata, cukuplah.
Tetapi baru saja dia mahu melangkah meninggalkan halaman rumah Usup Gendut, tiba-tiba saja Mak Jidah menjerit ketakutan. Tempayan air yang hendak diangkatnya bersama Usup Gendut ke atas peIantar tiba-tiba menggolek. Cepat-cepat pula ditegakkan semula oleh Usup Gendut bawa naik ke atas pelantar.
Namun ketakutan Mak Jidah masih tidak reda. Di dasar tempayan keluar mata air memancut-mancutkan darah. Semakin lama mata air itu memancut, semakin banyak darah tertadah di dalamnya.
"Apa lagi ni Pak Jubin " jerit Mak Jidah melambai-Iambai tangan memanggil Pak Jubin. Segera Pak Jubin datang terus naik ke pelantar dapur. Dia melihat sendiri mata air memancut-mancut dari tempayan. Dari mata air itu darah yang memancut-mancut keluar.
Pak Jubin mengeIuh melihat keadaan yang benar-benar mencabar dirinya. Dia terkuap-kuap juga menahan mengantuknya, sehingga pelupuk matanya terasa berat tidak terangkat.
----------bersambung