Sunday, September 30, 2012

12. TOK AWANG NGAH - HANTU PONTIANAK TERSESAT



TOK AWANG NGAH  - CETAKAN PERTAMA 1985
TAJUK BUKU: ULAR DALAM KUBUR WANITA. (12 siri)

KESIHAN saya mendengar cerita Jali mengenai kematian emaknya semasa melahirkan anak kira-kira 20 tahun dulu. Saya kesihan bukanlah disebabkan emaknya meninggal dunia, kerana perkara meninggal dunia adalah sudah ditentukan Allah. Tetapi saya kesihan kerana jenazah emaknya sebelum dikebumikan telah dicucukkan jarum pada kesemua jari tangan dan kakinya.

Mengapa sampai begitu sangat mereka menyeksa mayat? Kononnya kalau tidak dilakukan begitu jenazah tersebut akan bertukar menjadi langsuyar. Apakah langsuyar ini saya sendiri pun tidak pernah menemuinya.

Jali berasal dari Bukit Mertajam di sebelah utara. Dia hanya sekadar menceritakan peristiwa 20 tahun dulu kepada saya. Ketika ini dia masih kecil berumur kira-kira 10 tahun. Tentulah anak kecil seperti ini tidak berdaya membantah apabila orang menyuruh menyeksa jenazah emaknya.

Mungkin langsuyar yang dimaksudkan oleh mereka itu adalah sejenis syaitan juga, tetapi tidak mungkin ianya berasal dari perempuan mati beranak. Di dalam Islam perempuan yang mati kerana beranak itu dikira sebagai syahid, bagaimanakah kita boleh mempercayainya bertukar menjadi langsuyar?

Saya difahamkan langsuyar ini juga dikenali oleh orang-orang di selatan Semenanjung sebagai pontianak. Sebab itulah dalam tahun-tahun 50an dulu terdapatnya pengusaha filem tempatan membuat cerita pontianak. Saya juga pernah dibawa oleh sepupu saya menonton filem pontianak ini. Malah saya tertarik hati dengan pelakon yang jadi pontianak itu iaitu Maria Menado.

Apakah pontianak yang ujud di muka bumi sama seperti pontianak yang difilemkan? Atau samakah dengan kepercayaan orang-orang Melayu bahawa ianya berasal dari perempuan mati beranak? Tetapi kita tidak boleh menafikan ujudnya syaitan dan iblis serta makhluk halus yang sentiasa mengganggu ketenteraman manusia.

Sebaliknya kita harus yakin bahawa syaitan dan iblis itu takut kepada manusia. Syaitan dan iblis akan berani mengganggu manusia apabila dia digunakan oleh manusia yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan. Sedangkan syaitan dan iblis secara bersendirian dia tidak akan dapat mengganggu manusia.

Selalunya mereka berlindung pada manusia, sebelum mengganggu manusia. Sebaik-baiknya hendaklah manusia sendiri jangan mengamalkan ilmu-ilmu syaitan.

Hanya orang-orang yang mengamalkan ilmu syaitan saja memuja mayat perempuan mati beranak supaya melakukan suruhannya. Apabila mayat ini diresapi oleh semangat syaitan, jadilah ia langsuyar yang dikatakan mengganggu manusia.

Sebab itulah saya merasa kesihan dengan cerita Jali mengenai kematian emaknya 20 tahun lalu. Sebenarnya timbul cerita langsuyar ini, kerana tiba-tiba saja di Kampung Melang heboh mengenai pontianak mengganggu. Anehnya pontianak ini tidaklah menjadikan manusia sebagai mangsanya, sebaliknya ternakan.

Mereka dapati kambing, lembu atau kerbau mati terdapat kesan bertebuk di tengkuknya. Seolah-olah darah di tengkuk itu kena hisap. Apabila dibawa ke pengetahuan Pejabat Haiwan, pihaknya juga tidak dapat memastikan apakah binatang yang menghisap darah demikian.

Seorang kawan Jali dari Kampung Melang telah memberitahunya. Jadi, Jali pun dengan tidak bersoal jawab mengajak kawannya itu berjumpa dengan saya. Tentulah saya serba salah bila diajak ke Kampung Melang untuk menangkap pontianak itu.

 "Saya tak tau mengenai pontianak..." beritahu saya pada Jali dan kawannya Hasim.

 Memang saya tidak mahu pergi kalau semata-mata mahu menangkap pontianak. Tetapi ada juga keinginan saya mahu melihat sendiri apakah rupanya pontianak. Adakah ianya sama seperti yang digambarkan oleh Maria Menado dalam filem pontianak?

"Lebih baik ajak Pak Hid di Ulu Kelang" kata saya.

"Maukah dia pergi?" tanya Jali

"Kita cubalah beritahu dulu" ujar saya berkuat mahu mengajak Pak Hid pergi sama.

Biasanya Pak Hid ini kalau saya ajak ke mana-mana, memang dia sanggup. Lagi pun dia bukanlah ada kerja sangat. Tambah pula menduda sejak kematian isterinya. Anak pun tak ada. Jadi, bila ada anak-anak muda yang mahu berkawan dengannya dia pun samalah menjadi orang muda.

Pak Hid bukanlah tinggal di Ulu Kelang, tetapi menumpang di rumah seorang kawannya. Dia berasal dari Kuala Selangor. Sebelumnya menjadi nelayan di situ menangkap udang dan ketam di kuala sungai. Saya berkawan dengan Pak Hid pun baru saja, tetapi sudah terasa begitu mesra.

Semasa menangguk udang di sebelah malam Pak Hid pernah bertemu dengan pontianak di satu belukar bakau. Dia mendengar pontianak itu ketawa mengilai sewaktu bulan mengambang penuh. Pak Hid terus menerpa ke arah bunyi pontianak mengilai itu. Dia dapat melihat jelas pontianak itu bertenggek di hujung pokok bakau.

Apabila Pak Hid menggoncang pokok tersebut dia telah dikencing oleh pontianak berkenaan. Akibat dukencing itu Pak Hid terpaksa membakar pakaiannya yang disimbahi oleh kencing pontianak itu. Katanya, bau hancing kencing pontianak itu tidak akan hilang sekalipun berkotak-kotak sabun basuh digunakan.

"Mengapa tak tangkap?" saya bergurau dengan Pak Hid.

"Memang aku nak tangkap, tapi dia lari..." sahut Pak Hid tersengih-sengih.

"Pak Hid bawa paku?" usik saya lagi.

"Buat apa..." katanya menggaru-garu tunggul janggut di dagu. Memang dia sudah menduga maksud saya bertanya demikian. "Ustaz mau saya berkahwin dengan pontianak? Buat apa...kan manusia ramai, lagi cantik..." ujarnya ketawa berderai.

Cerita orang-orang tua mengenai pontianak ini, kononnya tengkuk pontianak itu berlubang. Bila dicucukkan paku dia akan menjelma menjadi manusia dan tidak dapat kembali kepada asalnya. Saya kira inilah sebahagian dari cerita tahyol yang menyimpang dari akidah Islam. Kalaulah pontianak ini ujud dia tetap jenis syaitan juga yang menjadi musuh manusia. Tidak ada sebab dia boleh menjelma menjadi manusia dan tidak dapat kembali kepada kehidupan asalnya setelah lubang di tengkuknya disendal dengan paku.

Bila mengenang Pak Hid dikencing pontianak, saya juga pernah mengalami keadaan demikian. Masa ini saya masih anak nakal berumur dalam lingkungan 15 tahun. Saya telah menemankan seorang kawan menemui kekasihnya di satu malam berdekatan dengan belukar kubur. Semasa kawan saya pergi menemui kekasihnya itu, saya tercangkung kira-kira empat rantai dari tempat pertemuannya menunggu dia. Selapas itu kami akan sama-sama balik ke madrasah Tok Aji untuk tidur di sana.

Kalaulah Tok Aji tahu perbuatan nakal saya itu, tentulah saya akan dimarahinya. Tetapi saya sengaja memberanikan hati untuk menolong kawan saya itu. Bagaimanapun dia kemudiannya berkahwin juga dengan kekasihnya itu.

Jadi, ketika inilah saya mendengar bunyi orang ketawa mengilai di atas pokok rambai yang rimbun di tepi belukar kubur itu. Disebabkan saya tidak mempunyai perasaan takut, kerana Tok Aji telah mengingatkan supaya takut kepada Allah saja, saya pun menghampiri pokok rambai tersebut lalu menyuluh dengan lampu picit.

Tiba-tiba saya rasa air memercik dari atas, dan saya mendengar satu lompatan ke arah pokok enau yang berhampiran. Jelas pada silau lampu picit itu seekor musang berlari melarikan diri. Air yang memercik tadi, memangnya air kencing, Baunya hancing dan tidak hilang setelah direndam dan disabun.

Bagaimanapun saya tidaklah mahu bertanyakan kepada Pak Hid mengenai persamaan musang dengan pontianak. Bimbang juga saya kalau-kalau dia kecil hati dengan pertanyaan demikian. Tetapi saya percaya Pak Hid seorang yang berani, kerana ada kawan-kawannya yang mengatakan Pak Hid pernah mengejar harimau apabila terserempak sewaktu mencari ketam di kuala sungai.

Saya tanya Pak Hid mengenai cerita dia mengejar harimau itu. Katanya "Aku terserempak harimau bintang. Dia membelakangkan aku di atas tebing, lalu aku pun sergah dia. Disebabkan dia terperanjat dia pun melompat langsung lari, aku pun pura-puralah mengejarnya. Aku tak kejar betul-betul, mana tau kalau dia berpaling, huh nahas aku dibahamnya" dia tertawa terkekeh-kekeh bila mengenang peristiwa dia dikatakan mengejar harimau itu.

Bagaimanapun saya berpendapat Pak Hid bukanlah berani membabi buta. Dia tidak akan menyergah seekor harimau sedang tidur, kalau dengan keberanian hati semata-mata. Tetapi sudah lama sejak beberapa bulan ini saya mendampingi Pak Hid masih belum dapat saya lihat kebenaran tentang cerita mengenai dirinya selama ini.

 Oleh itulah saya mengajak Pak Hid sama ke Kampung Melang iaitu kampung kawan Jali. Saya beritahu Hasim bahawa Pak Hid memang berpengalaman mengenai pontianak, padahal saya tidak tahu sama ada Pak Hid betul-betul berpengalaman atau tidak. Tujuan saya adalah untuk mengelak diri dari Hasim, supaya tidak dianggapnya saya tahu mengenai pontianak itu.

Sepanjang umur saya belum pernah bertemu dengan golongan syaitan ini di alam nyata, kecuali melalui perubatan secara tidur. Ketika ke Kuala Terengganu dengan seorang kawan, dia memberitahu mengenai peristiwanya bertemu dengan lembaga manusia di Bukit Kijal. Oleh itu dia mengingatkan saya agar tidak terkejut sekiranya ternampak lembaga berkenaan.

Alhamdulillah, apabila kereta kami sampai di Bukit Kijal kira-kira pukul 11.30 malam, saya tidak ternampak pun lembaga yang dibimbangkan oleh kawan saya itu. Saya memberitahunya, "Saya tak mau bertemu dengan syaitan, tetapi kalau bertemu saya tidak akan undur sebab dia adalah musuh saya". Mujurlah sepanjang perjalanan itu pergi dan balik, saya tidak bertemu dengan lembaga yang sangat ditakuti oleh pemandu-pemandu kereta di Bukit Kijal itu.

"Bagaimana kalau ustaz bertemu dengan lembaga tersebut?" soal kawan itu mahu menguji perasaan saya.

"Saya tidak akan peduli, kecuali kalau dia mengganggu saya" jelas saya perlahan.

"Kalau dia mengganggu?" tanya kawan itu lagi.

 "Saya memohon perlindungan Allah" beritahu saya.

Kawan saya terdiam. Dia sedar apabila seseorang itu sudah menyerahkan dirinya kepada Allah, bahawa dia tidak akan takut menghadapi sebarang musuhnya. Kawan saya itu memang pernah belajar menjadi dukun dari beberapa orang dukun terkenal. Malah dia pernah menuntut ilmu pendukunan dari seorang Tok Batin di Jerantut.

Bagaimanapun dia telah meninggalkan ilmu pendukunannya setelah menyertai satu kumpulan harakah Islam. Dia merasakan ayat-ayat Quran lebih tinggi martabatnya dari sebarang jampi serapah. Inilah hakikat sebenarnya tentang kekuatan ayat-ayat Quran itu, terutama dalam menghadapi musuh yang paling besar iaitu godaan syaitan.

Kawan saya itu pernah dihambat oleh lembaga yang menjelma seperti seorang wanita memakai pakaian nipis di tepi cermin keretanya semasa melalui Bukit Kijal dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur. Kawan saya ini dikenali di kalangan rakan-rakannya Kadir Misai. Dia ke Kuala Terengganu bersama kawannya dari Temerloh Suman Awangteh.

Suman Awangteh yang memandu kereta. Biasanya lembaga berkenaan akan menghambat mangsanya dari tepi jalan saja. Lembaga wanita akan mengejar kalau kereta menuju ke Kuala Terengganu, manakala lembaga lelaki akan menghambat kalau kereta meninggalkan Kuala Terengganu. Seolah-olah macam satu simbolik pula iaitu apabila datang ke Terengganu akan dinanti oleh wanita, dan apabila balik meninggalkan wanita berkenaan maka akan diperhambatlah oleh lelaki pula.

Kadir Misai sudah mendengar kisah di Bukit Kijal ini. Dia menceritakan pada Suman Awangteh mengenai gangguan lembaga halus di Bukit Kijal. Tetapi Suman Awangteh macam percaya dengan tidak saja cerita Kadir Misai ini. Kebetulan malam itu kira-kira pukul 10.00 mereka melalui Bukit Kijal untuk ke Terengganu.

Sebaik saja menurun dari Bukit Kijal tiba-tiba Kadir Misai nampak satu lembaga putih menerkam ke arah kereta. Mujurlah cermin kereta sudah dinaikkan. Jadi, lembaga itu berdentam ke pintu kereta. Terkejut juga Suman Awangteh melihat kejadian itu. Bagaimanapun dia masih dapat mengawal perasaan supaya tidak dipengaruhi oleh ketakutan.

" Jangan peduli Kadir..." bisiknya mengerling ke arah Kadir Misai.

"Awak pun jangan lari laju sangat, kalau kita laju dia akan berlari laju juga" ujar Kadir Misai menjauhkan diri dari cermin kereta. Terasa olehnya tangan wanita itu seolah-olah dapat menggapai mukanya.

"Pontianak ke?" tanya Suman Awangteh.

"Bukan..." sahut Kadir Misai. "Kalau pontianak dia mengilai..." jelasnya masih dirundung bimbang.

"Orang bunian agaknya..." Suman Awangteh cuba menghilangkan ketakutan yang menyelubungi perasaannya.

"Tak mungkin" Kadir Misai mengeluh pendek.

Lembaga itu terus mengejarnya dari arah tepi jalan. Sekali sekala pintu kereta sampai terdengar bunyi dentamnya. Bagaimanapun tidaklah mengganggu kereta tersebut. Dia akan berlari mengikut kelajuan kereta. Muka lembaga itu tidaklah berapa jelas kepada Kadir Misai, tetapi jelas seorang wanita kerana rambutnya yang panjang mengurai, di samping pakaiannya seperti perempuan memakai baju tidur halus dan jarang.

"Kita berhenti saja..." Suman Awangteh mula marah dengan kelakuan lembaga itu merempuh ke arah keretanya.

"Jangan, lebih baik kita terus saja. Jangan pedulikan dia" kata Kadir Misai. Dia juga sudah mula rusuh dengan gangguan lembaga tersebut. Sekiranya dia mengikut cadangan Suman Awangteh bimbang juga lembaga itu bertindak lebih jauh. Mana tahu dia akan menghumbankan kereta Suman Awangteh ke bawah gaung.

Apa akan jadi kalau kereta tersebut dihumbankannya ke bawah gaung. Tentu dia dan Suman Awangteh terperangkap menjadi mangsa. Sudah tentu orang ramai mengatakan kereta mereka terbabas menyebabkan terhumban ke bawah gaung. Oleh itulah Kadir Misai melarang kawannya mengikutkan perasaan marah di hati.

Sehingga masuk ke kawasan kampung barulah lembaga tersebut tidak mengejar kereta itu lagi. Barulah lega hati Kadir Misai tidak digannggu oleh lembaga berkenaan. Kalaulah dia masih mengamalkan ilmu pendukunan memang diujinya lembaga tersebut.

"Mengapa kau tak gunakan ayat-ayat Quran?" tanya saya apabila dia menceritakan peristiwa itu kepada saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dalam bulan Januari tahun 85 lalu.

"Aku tak tau ayat mana yang hendak digunakan..." keluhnya perlahan. "Surat Al Ikhlas itu sudah cukup untuk menghancurkan syaitan" kata saya menjelaskan.

Kadir Misai tidak menyahut. Sama ada dia tidak yakin dengan ayat tersebut, atau merasakan kata-kata saya itu hanya untuk menguji dia, tidaklah saya tahu. Tetapi dari keluhannya saya dapati dia tidak menyangka bahawa ayat yang sering dibacakan itu mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Tetapi dalam perjalanan itu saya tidaklah berharap untuk bertemu makhluk berkenaan di Bukit Kijal. Doa saya apabila memohon kepada Allah hanya lindungi saya dan berilah pertolongan apabila memerlukan. Hanya Allah sajalah yang melindungi dan memberi pertolongan kepada diri saya, kerana saya adalah lemah di sisiNya.

Itu sajalah cerita mengenai lembaga perempuan di Bukit Kijal yang saya dengar dari Kadir Misai. Tetapi dia mengatakan lembaga itu bukanlah pomtianak.

"Ustaz nak jumpa pontianak?" tanya Kadir Misai di satu masa yang lain.

 "Buat apa...!" jawab saya perlahan. "Saya tak ada urusan dengannya buat apa nak jumpa, kecualilah kalau terserempak" beritahu saya seterusnya. Memang tidak ada gunanya kita sengaja mempunyai tujuan untuk bertemu jenis-jenis benda begini.

Sebagai makhluk Allah syaitan juga mempunyai kegiatan hidup sehari-hari seperti kita. Cukuplah, kita menyedari bahawa syaitan itu wujud. Tanggungjawab syaitan ialah untuk memusnahkan anak-anak Adam, setelah dia tidak mahu sujud kepada Adam. Jadi, apa perlunya kita mahu menemui syaitan?

"Barulah kita dapat buktikan tentang pontianak..." ujar Kadir Misai tersengih-sengih.

"Apa untungnya...?" saya tersinggung juga dengan kata-kata Kadir Misai, seolah-olah saya sengaja mahu mencari syaitan.


"Kita mahu tunjuk pada orang mengenai pontianak" katanya lagi.

"Ah, kerja sia-sia Kadir" jelas saya mengingatkan dia. "Kalau orang percaya kepada ayat A'uzubillahhiminas syaitannir rajim, orang akan sedar syaitan itu ujud dan mengganggu manusia. Itulah buktinya..." ujar saya kesal dengan sikap Kadir Misai.

Tetapi saya tahu Kadir Misai hanya bergurau. Dia seolah-olah mahu mempersenda-sendakan pontianak itu. Disebabkan sudah lama terlibat dalam ilmu pendukunan tentulah dia sering ditanya oleh orang ramai mengenai hantu jembalang yang mengganggu pesakitnya itu. Selama itu juga dia tidak dapat membuktikan kepada orang ramai, apakah sebenarnya hantu jembalang tersebut.

Jadi dia menganggap saya menghadapi masalah demikian. Sedangkan berkali-kali saya memberitahu dia bahawa saya bukanlah seorang dukun.

Beginilah mulanya perkenalan saya dengan Jali yang berasal dari Bukit Mertajam itu. Pada mulanya dia dan isterinya datang ke rumah saya dengan tujuan membuat parti arcoroc. Kebetulan isterinya memang kenal kepada isteri saya, sebab itulah dia meminta isteri saya membantunya mengadakan parti arcoroc yang diusahakannya.

Jali ikut sama menghantar isterinya itu. Apabila Mimi isteri Jali mahu masuk ke pintu rumah saya, dia merasakan dirinya tiba-tiba seram sejuk. Kepalanya juga terasa pening menyebabkan dia hampir pitam. Akhirnya parti arcoroc itu juga tergendala. Jiran-jiran yang sudah datang berkumpul di situ pun terkejut melihat peristiwa yang tiba-tiba saja berlaku.

Melihat keadaan isterinya cepat-cepat Jali menerpa datang. Dia juga terkejut dengan keadaan isterinya itu. Sementara isteri saya pula segera memanggil saya di bilik. Ketika ini saya sedang membaca buku, kerana saya tidaklah mencampuri sangat parti arcoroc yang dikelolakan oleh Mimi dengan bantuan isteri saya itu.

Apabila saya keluar mahu melihat Mimi, itulah pertama kali saya berkenalan dengan Jali. Selepas itu kami pun menjadi kawan baik pula.

"Badan saya ni rasa nak demam ustaz..." kata Mimi gelisah.

"Bila awak demam?" tanya saya.

"Tak tau, dari rumah tadi sihat" beritahu Jali serba salah kerana orang-orang yang dipanggil untuk parti arcoroc sudah pun datang, tiba-tiba tergendala pula.

"Selalukah dia kena macam ni..?" saya inginkan kepastian.

"Tak pernah" jelas Jali gugup. "Tapi, selalu juga dia mengadu sakit kepala, dan badannya lenguh-lenguh macam membawa beban berat" ujarnya lagi.

Saya menyuruh isterinya mengambil air sejuk segelas. Kemudian saya membaca Surah Al Ikhlas tiga kali dan menyuruh dia meminum air tersebut. Sebaik saja Mimi meminumnya dia terpekik, "Panas...!. Lantas dilemparkannya gelas tersebut. Jali melekapkan tapak tangannya kepada air yang jatuh di lantai. Dia keheranan dengan kelakuan isterinya menggelupur seperti terkena air panas sebentar tadi. "His, air ni sejuk aje. Mengada-ngada aje kau..." suaranya keras sedikit.

 "Awak jangan terkejut Jali..." saya merenungi dia. "Awak tak boleh marahkan dia, sebab dia ni ada gangguan..." jelas saya agar dia memahami bahawa Mimi sebenarnya memang sakit.

Gangguan terhadap Mimi sudah lama, tetapi mereka berdua tidak menyedarinya. Mimi hanya merasa kepalanya sering sakit dan badannya lenguh-lenguh. Apanila Jali membawa Mimi ke hospital atau klinik pihak doktor menyatakan darah tinggi. Anehnya, bila diuji ternyata Mimi tidak mengidap penyakit darah tinggi.

Disebabkan gangguan itu memang sudah sebati dengan tubuh Mimi, dia menjadi tertekan ketika masuk ke rumah saya. Sedapat-dapatnya dia tidak mahu masuk ke rumah saya, tetapi Mimi menguatkan azamnya untuk masuk juga. Perlawanan antara Mimi dengan gangguan semangatnya inilah yang menyebabkan dia menggelupur sebentar tadi.

Setelah meminum air sejuk yang dikatakannya panas tadi, Mimi mula bertindak ganas. Dia menampar pipi saya sekuat hatinya. "Mengapa kau ganggu aku! Dah lama aku dengan Mimi, tak ada siapa pun ganggu!" Mimi mula meracau sambil mahu menerkam ke arah saya.

Jiran-jiran pun segera memegangkan Mimi. Mereka juga tahu bahawa Mimi dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Awak sabarlah, Jali..." saya mengingatkan Jali.

Jali hanya mengangguk. Dia mengerling pipi ssya yang berbekas lima jari akibat ditampar MImi.

Inilah risikonya apabila kita mahu menolong orang yang diganggu semangat syaitan. Kebanyakan dukun-dukun juga menghadapi risiko begini. Kadangkala ditampar, dimaki hamun, diludah dan sebagainya. Tetapi kita terpaksa bersabar kerana yang melakukan perbuatan tersebut bukannya diri pesakit berkenaan, tetapi jiwanya yang sudah dirasuk.

Saya meminta izin dari Jali untuk memegang kepala isterinya. Kemudian saya membacakan 6 ayat terakhir dari Surah Yassin disambung dengan Ayat Kursi. Ketika ini Mimi memekik-mekik kesakitan.

 "Cakap! siapa awak!" jerkah saya merenung mata Mimi. Di matanya saya lihat perempuan tua yang lemah menunggu kedatangan saya. Tetapi perempuan tua cuba melindungi kelemahannya, sebaliknya berpura-pura gagah mahu menentang saya.

 "Siapa awak?" soal saya keras.

"Ustaz jangan kacau saya" sahut perempuan tua itu marah.

"Saya sayangkan budak Mimi ni, buat apa ustaz nak pisahkan kami" katanya mengancam.

"Mimi tak sukakan awak!" balas saya.

Perempuan itu menjengilkan mata mengancam saya. Kemudian dia tertawa mengilai. Ketawa itu sungguh menggerunkan, dan dapat saya rasakan itulah hilaian pontianak. Saya mengagak inilah jenis pontianak yang selalu mengganggu manusia.

"Awak simpan pontianak ye...?" bentak saya bila melihat tiba-tiba perempuan muda berwajah jelita berdiri di belakang perempuan tua itu.

 "His, aku tak kenal dia" sahut perempuan tua mengalih pandangan kepada perempuan muda yang mengilai tadi.

"Kau nak berolok-olok dengan aku!" ujar saya lalu membacakan ayat yang lain. Api tiba-tiba menyala di depannya menyebabkan perempuan tua itu terpekik-pekik mengatakan panas. Seluruh badannya menggelupur akibat bahang api yang menyala di kelilingnya.

Perempuan muda itu cuba melarikan diri dari api menyala, tetapi cepat-cepat disambar oleh perempuan tua tadi. Mereka berpeluk-peluk menghadapi api yang menjulang.

"Tolong..." kata perempuan muda itu merayu. "Tolong ustaz...! saya tak tau hal, saya tersesat jalan. Orang tua ni yang tipu saya" ujarnya merintih-rintih.

Tetapi memang dasar syaitan tidak mahu mengaku kesalahannya. Dia akan menyalahkan orang lain bila dirinya terancam. Oleh itu saya tidaklah terpengaruh dengan rintihan dia. Saya terus membacakan beberapa potong ayat lagi untuk menyerangnya.

"Ustaz, tolong saya" rayunya meminta belas kasihan. "Saya tersesat jalan, percayalah saya tersesat jalan. Saya bukan nak ke sini tadi, tapi orang tua ni perdayakan saya" jelasnya.

"Aku tak percaya!" sahut saya keras.

"Saya tak bohong ustaz..." ujarnya lagi merayu-rayu.

"Awak mahu pergi tinggalkan Mimi?" soal saya tegas.

"Saya memang nak pergi" dia memberitahu.

Memang saya lihat dia mahu pergi, tetapi perempuan tua itu memaut pinggangnya kuat-kuat.

"Macam mana awak boleh sesat?" tanya saya.

"Saya nak balik, orang tua ni ajak singgah" katanya meronta-ronta mahu lepaskan diri dari pautan perempuan tua berkenaan.

Perempuan muda berkenaan mengaku dirinya pontianak. Dia sebenarnya mahu melarikan diri dari manusia. Demikian yang dialami oleh Pak Hid semasa dia terserempak dengan pontianak. Pak Hid memberitahu saya pontianak memang takut pada manusia. Dia akan lari apabila terserempak dengan manusia sampaikan terkeluar kencing. Tetapi mengapa manusia takut kepada pontianak?

Dia diperalatkan oleh perempuan tua itu bagi menjadi perisainya apabila diserang dengan api. Sebab itulah ketika dia melintasi kawasan berkenaan, dia terpedaya sehingga termasuk ke dalam jebak wanita tua itu. Dia tersesat kerana tidak diketahuinya bahawa perempuan itu sedang terancam.

"Baiklah, kalau awak nak balik, baliklah sekarang" kata saya sambil memberhentikan serangan. Perempuan muda itu mengilai panjang sebaik saja api menyala itu padam.

Tetapi dia tidak dapat bergerak. Pinggangnya dipaut kuat oleh perempuan tua berkenaan.

"Awak lawan dia dan pergi dari sini!"

Perempuan muda yang mengaku dirinya pontianak itu meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi ternyata rontaannya tidak dapat membuka pautan tangan perempuan tua. Saya menjadi marah dengan sikap perempuan tua itu. Dia tahu selagi perempuan muda berkenaan dapat dipautnya, saya tidak akan menyerang dia.

"Innahu minsulaiman wainnahu bismillahhirahmannirrahim..." saya menghentakkan kaki. Saya mempunyai iktikad bahawa pontianak itu adalah hamba yang boleh saya perintah. Pontianak itu akan mengikut apa saja perintah saya selagi dia di dalam kekuasaan saya.

"Sekarang awak cakar muka perempuan tua itu dengan kuku awak!" perintah saya kepada pontianak yang mendakwa dirinya tersesat tadi.

Sekaligus dia mencakar muka perempuan tua dengan kukunya yang panjang dan keras. Perempuan tua itu terjerit-jerit kesakitan. Di sini bererti saya berjaya menggunakan syaitan untuk menyerang syaitan yang lain. Saya gunakan pontianak tersesat tadi menyerang perempuan tua itu.

Mau tidak mahu perempuan itu melepaskan pontianak tadi. Terlalu gembira pontianak itu apabila dia terlepas dari pautan perempuan tua. Dia mengilai lagi sebagai tanda berjaya.

"Sekarang awak pergi, jangan mengganggu lagi..." perintah saya setelah menyedari bahawa dia bercakap benar.

"Baiklah ustaz, saya pergi sekarang" sahutnya lalu melayang hilang dari pandangan saya.

Setelah pontianak itu pergi saya melihat orang tua tadi menekup mukanya yang calar balar dicakar pontianak. Dia mengerang-ngerang kesakitan. Tidak berani memandang saya.

"Awak jangan ganggu Mimi lagi, tau!" jerkah saya mengancam dia.

"Tujuh tahun aku bela dia..." perempuan tua itu terisak-isak menangis. "Tujuh tahun aku bela Mimi, sekarang senang-senang awak nak rampas dia dari tangan aku" dia menahan kesakitan akibat dicakar kuku pontianak.

 "Fasal apa awak bela dia, dia ada keluarga?" ejek saya. "Aku sayangkan dia..." sahut perempuan tua itu lagi. "Mimi tak sayang kau, lebih baik kau tinggalkan dia" ujar saya mengingatkan dia.

Perempuan tua itu menangis terisak-isak. Kesakitan dicakar oleh pontianak sebenarnya tidak menjadi ancaman pada dirinya. Tetapi dia tidak dapat bertahan dari ayat-ayat Quran yang dibacakan di hadapannya.

Rupanya perempuan itu adalah pemilik tanah tempat tinggal Jali dan Mimi yang dibelinya di Bukit Mertajam. Perempuan itu telah lama meninggal dunia iaitu sejak tujuh tahun lalu. Keluarganya menjualkan tanah tersebut kepada Jali.

Disebabkan harga tanah itu murah, maka Jali pun membelinya. Sejak membeli tanah itulah Mimi selalu merasa kepalanya sakit. Badannya lenguh-lenguh seperti membawa beban berat. Apabila dibawa berubat ke hospital doktor mengesyaki penyakit darah tinggi. Tetapi setelah diuji tidak ada pula kesan-kesan darah tinggi itu.

Setelah Mimi sedar, saya menasihatkan Jali dan jiran-jiran supaya tidak menceritakan kepada Mimi apa yang berlaku sewaktu dia tidak sedarkan diri. Segala percakapan saya dengan perempuan tua dan pontianak yang tersesat itu dapat mereka dengar melalui Mimi.

Bermula dari kisah itu jugalah Jali mengajak kawannya Hasim menemui saya untuk mengajak ke Kampung Melang. Saya pula mengajak Pak Hid bersama, kerana saya percaya Pak Hid juga mempunyai pengalaman lebih dari saya.

TAMAT


1 comment: