TOK AWANG
NGAH - CETAKAN PERTAMA 1985
TAJUK
BUKU: ULAR DALAM KUBUR WANITA. (12 siri)
MADRASAH Tok Aji dibina di
depan rumahnya saja. Ramai penuntut-penuntut yang datang belajar di situ. Ada
yang datang dari Johor, ada yang datang dari Pahang, ada yang dari Selangor dan
ada yang datang dari Negeri Sembilan. Saya ikut sama belajar di madrasah Tok
Aji, kerana ayah saya lebih suka saya memulakan pelajaran pondok. Itu pun
dihantar pada sebelah petang saja, kerana paginya ayah mahu saya belajar di
sekolah Melayu atau sekarang ini di sekolah rendah.
Kegiatan saya masa di madrasah
Tok Aji ini memang cergas. Saya pernah memenangi pertandingan syarahan seluruh
daerah bagi murid-murid sekolah agama termasuk sekolah pondok. Ustaz Noor yang
membimbing saya hingga menjadi johan syarahan itu sangat gembira.
Tetapi yang hendak saya
ceritakan di sini bukanlah pengalaman ketika saya mengaji di madrasah Tok Aji.
Saya tertarik dengan beberapa cerita Tok Aji mengenai kisah masa remajanya ketika
di Sumatera lagi.
Seperti saya telah jelaskan,
Tok Aji adalah berasal dari Sumatera. Kemudian merantau ke Tanah Melayu ketika
umurnya sudah meningkat dua puluhan. Sebelum datang ke kampung di daerah saya
dan bernikah dengan nenek saya iaitu emak ayah saya, Tok Aji sudah menikah di
Semenyih, Selangor. Dia juga menikah di Singapura dan di Kota tinggi, Johor.
Apa yang Tok Aji ceritakan
ialah pengalamannya semasa di Sumatera dari aruah ayahnya. Ketika ini seorang
pelajar bertanya kepada ayah Tok Aji mengenai tingkah laku orang yang nazak,
sama ada mereka yang tersenyum itu sudah ternampak ganjaran baik dari Allah.
Ayah Tok Aji menerangkan belum
tentu orang yang nazak itu tersenyum kerana ternampak ganjaran dari Allah.
Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Boleh jadi orang yang tersenyum tatkala
nazak itu sedang mendengar janji-janji iblis yang menunggu peluang, manakala
orang yang masam mukanya itu sedang memarahi iblis yang cuba mengganggu.
"Kita tak tahu rahsia itu..." jelas
Tok Aji semasa mengajar apabila saya sudah mula dewasa.
Tok Aji juga menceritakan
tentang seorang yang terkenal sebagai ahli agama di Sumatera, yang mempunyai
madrasah sendiri. Dia juga digelar orang ulama di kampung tersebut. Ulama ini
mempunyai seorang anak yang mempunyai kelulusan dari Mesir.
Satu hari ulama itu pun
meninggal dunia. Selang beberapa hari selepas kematiannya orang-orang kampung
menjadi terkejut melihat seekor harimau
sedang wirid di atas masjid. Apabila dipandang dari belakang rupanya seakan-akan
ulama yang baru meninggal dunia itu.
Tiap-tiap waktu Maghrib harimau
berkenaan dilihat ada di tempat ulama itu selalu duduk. Disebabkan orang-orang
kampung takut dengan kehadiran harimau tersebut, mereka pun memberitahu
kejadian itu kepada anaknya. Setelah dilihat oleh anaknya, jelaslah kepada dia
memang harimau itu adalah jelmaan dari ayahnya.
Alangkah anehnya seorang ulama
apabila mati telah menjelma menjadi harimau. Sebagai orang yang berpelajaran
tinggi dalam agama, si anak tadi terus datang kepada harimau yang sedang wirid
itu. Berkatalah si anak, "Ayah, apa boleh buat kehendak Allah begini. Kita
tak boleh menolak iradatNya. Bagaimanapun janganlah ayah datang lagi ke sini,
kerana orang-orang kampung takut dengan keadaan ayah sekarang.
Mendengarkan kata-kata si anak
itu maka harimau itu menangis. Air matanya mengalir dari pelupuk mata, dia
hanya mengangguk-angguk seolah-olah faham akan kata-kata manusia. Kemudian dia
dipimpin oleh si anak turun dari masjid lalu dibawa balik ke kuburnya. Dia
ghaib sebaik saja sampai ke atas kubur.
"Rahsia demikian pun hanya
Allah saja yang Maha Mengetahui..." Tok Aji menerangkan.
Memang seronok mendengar Tok
Aji bercerita mengenai pengalamannya semasa menerangkan sesuatu kejadian yang
dianggap aneh oleh orang. Kerana bagi Tok Aji tidak ada satu kejadian pun di
muka bumi ini yang aneh, disebabkan semua itu adalah di dalam kudrat dan iradat
Allah belaka.
Dalam masa Tok Aji bercerita
mengenai pengalamannya inilah Dolah Moyok datang termengah-mengah mencari Tok
Aji. Tergagap-gagap Dolah Moyok bila ditanya mengapa dia tercungap-cungap macam
dikejar anjing gila. Lama Dolah Moyok jadi ayam berak kapur, barulah dia dapat
bertenang.
"Mengapa kau ni, ada apa
halnya?" Tok Aji geli hati dengan kelakuan Dolah Moyok termengah-mengah
berlari mendapatkan dia di madrasah.
"Mak, minta Pak Aji datang
ke rumah" jelas Dolah Moyok masih lagi tercungap-cungap menahan mengah.
"Apa halnya?" Tok Aji
mendesak.
"Dia suruh Pak Aji datang aje..."
beritahu Dolah Moyok tidak ketahuan.
Disebabkan Dolah Moyok tidak
dapat menerangkan maka Tok Aji tidaklah bertanya lebih lanjut. Sebaliknya dia
tersengih-sengih geli hati melihatkan telatah Dolah Moyok.
"Kau balik dulu, nanti Pak
Aji datang" kata Tok Aji.
Dolah Moyok terus balik. Dia
tidak peduli sama ada Tok Aji datang atau tidak. Dia pun tidak mahu menunggu
Tok Aji.
Tetapi Tok Aji tahu Dolah Moyok
itu bodoh-bodoh alang. Salahnya, Mak Munah sendiri yang mengharapkan anaknya
itu. Sudah tahu Dolah Moyok bodoh-bodoh alang mengapa diserahkan pada dia
membuat urusan. Bagaimana kalau Tok Aji menyangka urusan itu tidak penting, dan
dia sengaja lambat datang?
Puas memikirkan mengapa Dolah
Moyok datang tergesa-gesa, barulah Tok Aji mengambil keputusan mahu melihat
segera masalah yang dihadapi oleh Mak Munah. Kalau tidak perkara mustahak
tentulah Mak Munah tidak tergesa-gesa menyuruh Dolah Moyok menjemput.
Bagaimanapun Tok Aji mengajak
nenek pergi bersama.
Ketika Tok Aji sampai di rumah
Mak Munah keadaan di dalam rumah itu muram. Mak Munah menangis teresak-esak.
Dolah Moyok duduk di sudut serambi terkebil-kebil mata. Dua tiga orang jiran
sudah pun sampai terlebih dulu dari Tok Aji. Melihat keadaan itu Tok Aji
menjadi bingung.
"Mengapa ni...?"
tanya Tok Aji memerhatikan Mak Munah.
"Abang Aji dah
lambat..." Mak Munah mengongoi hiba.
"Mengapa?" ulangi Tok
Aji.
"Masuklah ke dalam"
katanya dengan tidak menerangkan apa-apa.
Tok Aji tidak membantah. Dia
terus masuk ke dalam mahu memastikan apakah yang menyebabkan Mak Munah muram.
Apabila dia masuk ke dalam dilihatnya anak gadis Mak Munah terlentang tidak
bergerak. Darah mengalir di mulut gadis itu. Nafasnya juga tidak berombak-ombak
lagi seperti sewaktu Dolah Moyok berkejar mendapatkan Tok Aji.
"Milah, Abang Aji"
jelas Mak Munah tersedu-sedu.
"Milah dah tak ada, dah
tak ada" dia masih mengongoi menahan kesedihan yang menimpa ke atas anak
gadisnya itu.
Milah baru berumur 16 tahun.
Orangnya memang cantik, sebab itu di kampung dia dikenali dengan panggilan
Milah Cantik. Kerana kecantikan Milah, ramai pemuda-pemuda yang terpikat
kepadanya. Tetapi bukanlah senang mahu memikat Milah.
Milah masih boleh mengawal
dirinya dari digoda. Apa lagi dia mendapat didikan agama dari madrasah Tok Aji.
Bagaimanapun hanya beberapa bulan sebelumnya malapetaka menimpa diri Milah Cantik.
Dia didapati mengandung enam bulan. Setelah perutnya membesar barulah berita
dia mengandung itu pecah.
Mak Munah sudah pun menemui Tok
Aji meminta doanya supaya kandungan itu digugurkan, tetapi Tok Aji enggan. Tok
Aji nasihatkan supaya biarkan saja Milah Cantik lahirkan bayi dalam kandungan
itu sampai selamat. Manakala Milah Cantik pula tidak mahu memberitahu siapakah
yang melakukan sehingga dia mengandung.
"Kalau kita buang, sama
juga macam membunuh" jelas Tok Aji pada Mak Munah. "Apa nak dimalukan
kepada manusia, sedangkan kepada Allah tidak malu ketika melakukannya" Tok
Aji menasihatkan Mak Munah supaya bersabar.
Tetapi Mak Munah tidak dapat
menahan sabar. Dia mahu menghalau saja Milah Cantik dari rumah kerana memberi
malu kepada keluarga. Marah sangat dia dengan perbuatan anak gadisnya itu.
Sia-sia dia menyuruh belajar agama di madrasah Tok Aji. Sia-sia pelajaran agama
yang dididik oleh Tok Aji selama ini hingga sanggup mencemarkan nama baik
keluarga dan kampung halaman sendiri.
"Jangan bertindak
terburu-buru..." kata Tok Aji lagi mengingatkan Mak Munah. "Boleh
jadi bukan salah Milah. Boleh jadi dia diperkosa orang, sebab itu dia malu
menerangkan siapa yang melakukannya" dia menyabarkan Mak Munah yang sudah
mula hilang punca akibat malapetaka yang menimpa keluarganya itu.
Tidak pula disangka oleh Tok
Aji tindakan Milah selanjutnya sampai demikian. Baru beberapa hari sebelum itu
Tok Aji menasihatkan Milah Cantik supaya bersabar. Tok Aji sendiri meminta
Milah Cantik menerangkan siapakah lelaki yang telah melakukan perbuatan
terkutuk itu.
Milah Cantik menceritakan
kepada Tok Aji dengan linangan air mata. Segala rahsianya dicurahkan kepada Tok
Aji. Atas sebab-sebab inilah Tok Aji meminta dia bersabar, kerana pada pendapat
Tok Aji kesalahan itu tidak seharusnya dibebankan kepada Milah Cantik.
Sayangnya, Milah Cantik tidak dapat juga menerima nasihat Tok Aji. Dia membunuh
diri dengan meminum racun tikus yang digunakan oleh Mak Munah untuk meracun
tikus di sawah.
"Kalau saya cepat sampai
pun, mungkin Milah tak dapat diselamatkan Munah" Tok Aji menasihatkan Mak
Munah supaya bertenang. "Ajalnya sudah ditentukan demikian, siapa pun tak
dapat menyelamatkan..." keluh Tok Aji lalu menutup mayat Milah Cantik.
Bila mengenangkan cerita Milah
Cantik terasa juga sebaknya dada Tok Aji. Tidak disangkanya gadis secantik
Milah itu sanggup meminum racun tikus hanya disebabkan mengandung. Tetapi Tok
Aji sudah menasihatkannya supaya bersabar, sayangnya Milah Cantik tidak dapat
menahan kesabaran.
Sebagai gadis cantik, Milah
Cantik selalu diusik oleh pemuda-pemuda yang ingin memikatnya. Kadangkala
usikan itu sampai menyakitkan hati pula. Akibat dari usikan yang sudah
melampaui batas itu, sekali sekala Milah Cantik terpaksa juga mengeluarkan
kata-kata kesat. Inilah yang terjadi dengan seorang duda bernama Lajak Jongang
apabila mengusik Milah Cantik.
Kalau mahu dikira tua Lajak Jongang tidaklah
tua sangat baru berumur kira-kira 38 tahun. Tetapi tidaklah patut dia cuba
memikat gadis baru berumur 16 tahun seperti Milah Cantik. Dia bercerai dengan
isterinya disebabkan Lajak Jongang suka main daun terup berjudi. Kadangkala
semalaman tidak balik ke rumah.
Setelah bercerai Lajak Jongang
jadi miang tidak menentu. Pantang nampak dahi licin dia akan cuba memikat. Mahu
dikira tampan tidaklah tampan Lajak Jongang ini. Kulitnya putih kuning, tetapi
bertubuh kurus ceding. Giginya jongang sedikit dan mukanya banyak ditumbuhi
jerawat.
"Hai Milah..." tegur Lajak Jongang
ketika Milah Cantik singgah membeli biskut di kedai Mamak Kadir. "Orang
cantik bertambah cantik bila pakai kurung merah jambu" katanya mengusik.
Milah Cantik tidak menyahut.
Dia mengerling masam. Menyampah sangat dia dengan Lajak Jongang. Tidak sedar
diri sudah beranak lima, cuba nak memikat gadis seperti dia. Bukan sekali dua
Lajak Jongang bersikap demikian. Sudah selalu sangat dia mengusik bila bertemu
dengan Milah Cantik.
"Janganlah marah, takkan tak boleh nak
bergurau sedikit" usik Lajak Jongang lagi.
Dua tiga orang pemuda ada
tercongok di bangku panjang di kedai Mamak Kadir itu sedang menunggu
kawan-kawan lain mahu bermain terup, tertawa berdekah-dekah mengejek Lajak
Jongang cuba memikat Milah Cantik.
"Anak orang jangan diusik
Abang Lajak" kata seorang pemuda. "Nanti kena ludah baru padan jadi
ubat jerawat..." ujarnya macam mahu menyakitkan hati Lajak Jongang.
Marah juga Lajak Jongang bila
diungkit fasal mukanya yang penuh jerawat itu. Mahu saja dipeluknya Milah
Cantik di situ untuk membuktikan pada anak-anak muda itu bahawa dia masih boleh
memikat gadis cantik seperti Milah Cantik.
"Kalau aku nikah dengan
Milah baru padan muka engkau orang" sahutnya kesal kerana diejek.
"Bagi can orang muda Abang
Lajak" anak-anak muda yang bertenggong di bangku panjang terus
mengejeknya. "Abang Lajak dah tua, anak dah empat lima orang. Nak
bersanding pun dah tak padan" siul mereka melangsing ikut sama mengusik
Milah Cantik.
"Kau tengoklah
nanti..." marah sangat Lajak Jongang dipersendakan oleh anak-anak muda.
"Kalau Lajak tak bersanding atas pelamin dengan Milah Cantik, jangan
haraplah kau orang nak bersanding. Kempunanlah engkau orang semua" ujarnya
menggertap bibir.
Anak-anak muda terus ketawa
mengejek. Masakan Milah Cantik boleh terpikat dengan Lajak Jongang kaki main
terup pakau. Rupa pun tidaklah boleh memikat. Sudahlah muka tirus, jerawat batu
pula timbul dua tiga hingga muka jadi bokop. Lainlah macam P.Ramlee bintang
filem terkemuka ketika itu. Walaupun badan kurus ceding, muka bokop berjerawat,
P.Ramlee boleh menyanyi, berlakon dan terkenal. Siapa yang tidak tergila-gilakan
bintang filem masa itu.
Tetapi Lajak Jongang orang
kampung menoreh getah. Asyik pula menghabiskan masa di belakang kedai kopi
Mamak Kadir bermain terup pakau. Ada isteri pun lari meninggalkan dia. Macam
mana pula ada keinginan memikat Milah Cantik gadis comel baru berumur 16 tahun
itu.
"Jangan pungguk rindukan
bulan Abang Lajak..." ketawa budak-budak semakin meninggi. Terasa pada
Lajak Jongang dia benar-benar dipandang seperti lelaki tidak berharga di sisi
wanita. Mentang-mentanglah isterinya lari menuntut cerai, tidak bererti dia
tidak dihargai oleh isterinya.
Malu benar-benar dihina oleh
anak-anak muda itu di depan Milah Cantik. Dia terus merapati Milah Cantik
tersengih-sengih.
"Milah..." dia tersenyum menegur
Milah Cantik.
"Ah, sudah..." bentak
Milah Cantik mencapai biskut yang dibelinya dari kedai Mamak Kadir. "Tak
padan dah tua nak jadi ulat bulu. Kalau miang sangat mengapa biarkan Kak Dah
lari dari rumah" kata Milah Cantik marah. Tersinggung sangat dia dengan
sikap Lajak Jongang tidak sedar diri itu.
"Hei, Milah..."
panggil Lajak Jongang serba salah. Tetapi Milah Cantik sudah pun berlari keluar
dari kedai Mamak Kadir.
Anak-anak muda di bangku
panjang terus ketawa mengejek. Tebal rasanya muka Lajak Jongang mendengar
kata-kata Milah Cantik tadi. Perkara Midah lari meninggalkan dia tidak wajar
diungkit oleh anak gadis seperti Milah Cantik. Mungkin Midah melarikan diri
disebabkan selalu meleteri dia, menyebabkan dia cepat naik angin.
Dia benar-benar merasa terhina
bila seorang gadis mentah berani mempertikaikan keruntuhan rumahtangganya.
Lajak Jongang terus meninggalkan kedai Mamak Kadir dalam ejekan anak-anak muda
yang ketawa berdekah-dekah.
Semalaman Lajak Jongang tidak
dapat melelapkan mata. Malu benar dia mendengar kata-kata Milah Cantik di depan
anak-anak muda yang suka mengejek. Kalau Milah Cantik tidak sudi menyahut pun
janganlah ungkit fasal kegagalan rumahtangganya dengan Midah.
Esoknya pagi-pagi lagi Lajak
Jongang menemui Tok Batin di hulu kampung. Hampir sebulan dia berulang alik
menemui Tok Batin sehingga dia tidak pernah lagi menjenguk muka di kedai Mamak
Kadir. Kuranglah kaki main terup pakau dengan ketiadaan Lajak Jongang.
Tup-tup satu hari terjongol
saja muka Lajak Jongang di kedai Mamak Kadir. Apabila dipelawa main terup, dia
terus saja tumpang sekali. Semasa bermain ini anak-anak muda juga mengusiknya.
Mereka mengatakan Lajak Jongang merajuk kerana Milah Cantik tidak mahu melayan.
"Merajuk, siapa nak pujuk
Abang Lajak!" Johar menyinggung bahunya sambil tersengih-sengih.
"Takkan Milah Cantik nak datang pujuk" celah Leman pula.
Mereka ketawa terkekeh-kekeh
untuk menyakitkan hati Lajak Jongang. Tetapi Lajak Jongang tidak marah.
Dia hanya tersenyum saja,
walaupun mukanya merah padam menahan marah.
"Nanti Abang Lajak gigit jari..."
cepat-cepat Kahar menyampuk. "Milah Cantik selalu jeling-jeling Johar
nampaknya sekarang ni" ujarnya disambut ketawa berderai.
Dalam masa mereka
mengusik-ngusik Lajak Jongang itu, Milah Cantik datang ke kedai Mamak Kadir.
Apabila mereka tahu Milah Cantik datang cepat-cepat Johar menguis bahu Lajak
Jongang. Tetapi dia tidak ambil peduli langsung anak-anak muda itu mengusiknya.
Sebaik sampai saja di kedai
Mamak Kadir, terus saja Milah Cantik menjengah ke belakang kedai memerhati
orang bermain terup. Tidak pernah selama ini dia menjengah ke situ. Selepas
terpandang Lajak Jongang bermain terup dia tersenyum mengerling ke arah lelaki
duda tersebut.
Lajak Jongang pura-pura tidak
nampak Milah Cantik memerhatikan dia. Anak-anak muda yang mengejek juga terdiam
dengan perubahan Milah Cantik mengerling dan tersenyum merenung Lajak Jongang
itu. Mereka melihatnya seperti dalam mimpi saja, bagaimanakah Milah Cantik
boleh tersenyum merenung Lajak Jongang.
Sejak dari hari itulah Milah
Cantik sentiasa teringatkan Lajak Jongang. Tidur pun sentiasa termimpi-mimpikan
Lajak Jongang datang. Dia merasa gembira apabila dibelai Lajak Jongang. Setiap
malam seperti ada saja orang memandunya datang menemui Lajak Jongang di rumah
lelaki duda bermuka bokop itu.
"Rumah abang
buruk..." bisik Lajak Jongang merangkul tubuh gadis itu.
"Milah bukan mahu
rumahnya" sahut Milah merebahkan kepala ke lengan Lajak Jongang.
"Habis, Milah mahu apa?" Lajak Jongang memain-mainkan anak rambut
Milah Cantik. Setiap sentuhan jari Lajak Jongang tetap mendebarkan dia. Milah
Cantik merasakan dunianya hanya untuk Lajak Jongang saja. Dia tidak mahu
berenggang walau sesaat pun dari Lajak Jongang.
"Milah mahu apa?"
ulangi Lajak Jongang perlahan.
"Milah mahu abang..."
sahut gadis itu mengusap-ngusap pipi lelaki duda tersebut.
"Abang tak lawa!"
"Ah, Milah pun bukannya
cantik sangat"
"Tapi, Milah memang cantik"
"Abang pun apa
kurangnya...!"
"Abang dah tua, duda pula..."
"Tapi Milah, sayangkan
abang". Akhirnya Milah menyerahkan segala-galanya pada Lajak Jongang.
Dapatlah Lajak Jongang membalas dendam, setelah Milah Cantik menghina dia
ketika di kedai Mamak Kadir. Selama berulang alik berjumpa Tok Batin itulah dia
telah memuja Milah Cantik.
Selepas puas melepaskan hawa
nafsunya terhadap gadis mentah itu, Lajak Jongang pun memulihkan semula
semangat Milah Cantik. Sejak itu Milah Cantik kembali sedar apa yang berlaku.
Dia bagaikan mahu menjerit bila menyedari bahawa kehormatannya sudah dinoda
oleh lelaki yang dibencinya selama ini.
Apabila dia menyedari dirinya mengandung,
Milah Cantik sengaja mendiamkan diri. Dia bimbang kalau dia menerangkan
kedudukan sebenarnya tentulah emaknya memaksa dia bernikah dengan Lajak
Jongang, sedangkan hatinya tidak terbuka pun mahu menerima Lajak Jongang.
Hinggalah saat Milah Cantik
menutup mata dengan meminum racun tikus, tidak siapa pun mengetahui rahsianya.
Kecuali Tok Aji satu-satunya yang mengetahui tentang Lajak Jongang. Tok Aji
jugalah yang tahu tentang perbuatan Lajak Jongang memuja semangat Milah Cantik
supaya menyerah kepadanya.
Ketika hayatnya Milah Cantik
disuruh oleh Tok Aji melakukan solat sunat Tahajud setiap malam, supaya dirinya
dilindungkan dari sebarang bencana malu. Biarlah masyarakat dapat menerima
hakikat sebenarnya bahawa dirinya telah diperalatkan oleh syaitan yang
bertopengkan manusia.
Sama ada dia melakukannya atau
tidak, Tok Aji sendiri tidak tahu. Tetapi menurut cerita Mak Munah memang
setiap malam Milah Cantik bangun tengah malam menunaikan solat sunat. Apakah
doanya tidaklah diketahui oleh Mak Munah.
Tetapi, mengapa pula dia tergamak meminum
racun kalau sentiasa mengerjakan solat?
Disebabkan dia mati ketika
mengandung orang-orang kampung menasihatkan Mak Munah supaya mengkebumikan
Milah Cantik mengikut kepercayaan mereka iaitu membubuh jarum di tapak tangan,
telur di bawah ketiak dan emas di dalam mulutnya. Kononnya, kalau tidak
dilakukan begitu dia akan bertukar menjadi langsuyar.
Walaupun Tok Aji tidak
bersetuju dengan kepercayaan tersebut, tetapi dia tidaklah membantah. Dia tidak
mahu masyarakat akan membuat anggapan buruk pula kalau ditegur kepercayaan
mereka. Akibatnya boleh mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat apabila
berbantah-bantah.
Dalam masa orang ramai sedang
membuat persiapan untuk memandikan, tiba-tiba suasana menjadi gempar bila Lajak
Jongang datang menangis-nangis menyembah kaki Mak Munah. Dia mengaku di depan
Mak Munah melakukan perbuatan terkutuk itu menyebabkan Milah Cantik mengandung.
Dia sendiri tidak menyangka Milah Cantik tergamak membunuh diri. Malah kalau
Milah Cantik sudi dia sanggup mengambilnya menjadi isteri.
Akhirnya Lajak Jongang terpaksa
menceritakan semua yang dilakukannya terhadap Milah Cantik. Orang-orang kampung
mendengar pengakuan itu dengan rasa benci, kerana selama ini mereka menuduh
tentulah kalau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Dengan pengakuan
Lajak Jongang itu barulah mereka sedari bahawa Milah Cantik hanya teraniaya
selama ini.
Serentak dengan itu Mak Munah
sudah mencapai parang mahu menerkam Lajak Jongang. Terpaksalah orang ramai
mententeramkan keadaan.
"Yang mati, dah tentulah
mati...!" Ketua Kampung mengingatkan Mak Munah. "Jangan yang hidup
pula, tak ada beban batu digalas. Cukuplah Munah, jangan ikutkan sangat
perasaan kau" nasihat Ketua Kampung.
"Binatang ni salah,
binatang ni salah!" Mak Munah menangis teresak-esak sambil meronta mahu
melepaskan diri dari pegangan orang ramai.
Lajak Jongang tidak berganjak
menunggu serangan Mak Munah. Dia seolah-olah menyerahkan diri saja tidak
bertindak melarikan diri pun.
"Munah...!' Tok Aji pula
bersuara. "Pengakuan Lajak di hadapan orang ramai ini satu rahmat besar
dari Allah. Sepatutnya kau bersyukur, kerana Allah telah menunjukkan kepada
hambaNya bahawa anak kau tidak berdosa. Dia dianiaya" jelas Tok Aji meminta
Mak Munah bertenang.
Semakin lemah Mak Munah
dipegang ramai-ramai. Dia tidak berdaya lagi mahu meronta. Kalau ikutkan
perasaannya memang dia tidak benarkan Lajak Jongang menjejakkan kaki ke
rumahnya. Tetapi Lajak Jongang sedikit pun tidak mengangkat muka walau dimaki
macam mana pun.
"Sabarlah Munah" pujuk Tok Aji lagi.
Mak Munah dipapah ke dapur
untuk meredakan suasana kerana Lajak Jongang tetap melutut di sisi jenazah. Dia
tidak mahu berundur walaupun orang ramai menasihatkan dia supaya meninggalkan
rumah tersebut buat sementara waktu. Bila keadaan sudah pulih barulah
diselesaikan perkara itu dengan Mak Munah.
Ketika jenazah hendak
dimandikan orang menjadi bingung kerana mereka tidak terangkat jenazah untuk
ditatang ke tempat dimandikan. Hingga tujuh lapan orang lelaki mencuba
mengangkatnya, tetapi jenazah tidak bergerak sedikit pun.
Puas mencubanya, maka mereka
pun mengadukan hal itu kepada Ketua Kampung.
"Macam mana Pak Aji...?" tanya Ketua
Kampung dalam kebingungan. "Tak pernah pula saya menemui kejadian macam ni
seumur hidup saya" katanya keheranan mendengar penerangan dari orang-orang
yang mahu memandikan jenazah.
"Lajak..." Tok Aji memanggil Lajak
Jongang. "Boleh jadi dia meminta pertolongan kau" ujarnya menyuruh
Lajak Jongang mengangkat jenazah itu ke tempat hendak dimandikan.
Mudah saja Lajak Jongang
menatang jenazah itu seorang diri. Heran juga orang yang mengangkat mua-mula
tadi, kerana mereka telah mencubanya beramai-ramai tetapi tidak berjaya.
Bagaimana dengan Lajak Jongang hanya seorang diri saja boleh mengangkat jenazah
tersebut.
Mereka mula menuduh Lajak
Jongang masih menggunakan ilmu Tok Batin, sebab dia sendiri mahu mengangkat
jenazah Milah Cantik. Memang Lajak Jongang yang menyebabkan mayat menjadi
berat. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan mereka supaya tidak menuduh sesuka
hati.
"Serahkan kepada Allah,
hanya Allah Yang Maha Mengetahui..." Tok Aji mengingatkan mereka.
Tetapi mereka tidak puas hati
dengan alasan Tok Aji. Saudara mara Mak Munah juga menyimpan dendam pada Lajak
Jongang. Kalaulah tidak mengenangkan Tok Aji dengan Ketua Kampung memang mereka
mahu menghalau Lajak Jongang dari situ. Kedatangan Lajak Jongang semata-mata
untuk menimbulkan keributan saja.
"Entah apa tangkal yang
dipakainya, fasal itu jenazah jadi berat" rungut salah seorang dari
mereka.
Tok Aji tidak peduli sangat
dengan rungutan demikian. Dia hanya memberi nasihat, kalau orang tidak mahu
mendengar nasihatnya dia tidak ambil peduli sangat. Terpulanglah pada orang itu
sama ada mahu menerima nasihatnya atau tidak.
Setelah selesai dimandikan
dengan sempurna maka dikapankan oranglah jenazah Milah Cantik. Terpaksalah
Lajak Jongang mengangkat jenazah itu untuk dikapankan dan kemudiannya
diletakkan di depan Tok Aji untuk disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan
dimasukkan ke dalam usungan. Lajak Jongang juga terpaksa membawanya ke dalam
usungan.
Ketika usungan hendak dibawa ke
kubur sekali lagi tidak dapat dilakukan. Usungan tidak bergerak langsung dan
mereka yang memikul usungan terasa jenazah itu terlalu berat. Mahu tidak mahu
dipanggil juga Lajak Jongang memikul usungan.
Barulah orang-orang yang
merungut tadi sedar akan kata-kata Tok Aji hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Kalau semasa memandikan jenazah bolehlah mereka menuduh Lajak Jongang menggunakan
tangkal azimat supaya jenazah menjadi berat, bagi membolehkan dia memeluk
jenazah untuk melepaskan geramnya kepada gadis kesayangannya. Tetapi bagaimana
pula dengan usungan?
Sepanjang jalan kira-kira
setengah batu menuju ke tanah perkuburan Lajak Jongang tidak dapat
bergilir-gilir seperti orang lain memikul usungan jenazah. Kalau Lajak Jongang
menukarkan kepada orang lain maka usungan itu tidak dapat dibawa bergerak ke
depan.
Masing-masing merasa terlalu
berat. Mereka tidak dapat melangkah langsung. Mahu tidak mahu terpaksa juga
Lajak Jongang memikulnya dengan tidak dapat bergilir-gilir. Lajak Jongang tidak
membantah. Dia terpaksa melakukan kerana dia merasa berdosa menyebabkan Milah
Cantik jadi demikian.
Untuk menebus dosanya, dia
sanggup melakukan apa saja di hari pengebumian Milah Cantik. Orang ramai yang
melihat Lajak Jongang berpeluh-peluh memikul usungan itu mula merasa simpati
terhadapnya. Tetapi mereka tidak dapat menolong. Walaupun ada orang yang mahu
menggilirkan dia memikul usungan, tiba-tiba saja usungan tidak bergerak. Kaki
mereka tidak dapat melangkah kerana menahan beban yang terlalu berat.
"Sabarlah, Lajak" bisik Tok Aji yang
berjalan berhampiran dengannya.
Lajak Jongang hanya mengangguk.
Dia teringat juga akan masa manisnya bersama Milah Cantik, sekalipun melalui
guna-guna yang dipuja oleh Tok Batin. Memanglah Milah Cantik bukan dengan rela
hati menyerahkan tubuhnya kepada dia, namun kenikmatan itu tetap tidak dapat
diluputkan dari jiwanya.
"Ingatlah, Allah Maha
Pengampun..." Tok Aji memberi nasihat kepadanya kerana kasihan melihat
Lajak Jongang tersenget-senget bahu memikul usungan jenazah.
Lajak Jongang tidak menyahut.
Dia mengangguk lemah. Air matanya berlinang di pelupuk mata menyesali
perbuatannya terhadap gadis mentah yang tidak berdosa itu.
Apabila sampai di kubur, sekali
lagi menjadi kecoh kerana jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad. Mereka
semua tidak terdaya mahu mengangkat jenazah. Disebabkan mereka sudah tahu
masalahnya, maka disuruh saja Lajak Jongang masuk ke dalam kubur menyambut
jenazah.
Lajak Jonganglah menyambutnya,
dan dia jugalah yang memasukkan jenazah ke liang lahad. Sebaik saja orang
mengambuskan tanah, tiba-tiba Lajak Jongang tidak dapat mengangkat kakinya. Dia
meronta-ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di tanah.
"Tanah ni lekit..."
katanya sambil menghulurkan tangan minta ditarik ke atas. Sebaik saja mahu
ditarik ke atas kakinya semakin tenggelam. Terpaksalah berhenti orang
menariknya. Asal saja cuba ditarik maka kakinya akan bertambah tenggelam. Puas
Lajak Jongang meronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak juga berjaya.
Selagi Lajak Jongang tidak
ditarik naik ke atas maka kubur tersebut tidak dapat dikambus. Memang keadaan
semakin terdesak. Tok Aji pun menyuruh Lajak Jongang berastaghfar.
Masing-masing bertambah bingung dengan kejadian yang berlaku tidak semena-mena
itu.
"Cuba kau melompat
Lajak..." ujar Mak Munah yang mula kasihan melihat Lajak Jongang bersusah
payah mengkebumikan anaknya.
Lajak Jongang cuba melompat
tetapi tidak boleh bergerak. "Kaki saya panas" katanya mendongak ke
atas terkebil-kebil mata. Suaranya gementar dalam ketakutan.
Tok Aji mengadap kiblat terus
azan dengan lantang suaranya. Selepas azan Tok Aji merenung ke liang lahad,
lalu dia masuk ke lubang kubur. Tok Aji membongkok bagaikan bercakap-cakap
dengan jenazah Milah Cantik. Kemudian dia berdiri semula sambil berkata dengan
tenang,
"Milah, pergilah kau saja.
Tinggalkan Lajak di sini, biarlah urusan Allah diserahkan kepada Allah".
Setelah itu Tok Aji memberi
isyarat supaya Lajak Jongang ditarik ke atas. Barulah Lajak Jongang dapat
ditarik. Selepas itu disempurnakanlah pengkebumian Milah Cantik. Bagaimanapun
Lajak Jongang tidak lama kemudiannya jadi gila. Seluruh badannya dipenuhi
tokak. Kira-kira dua tahun dia menanggung pernderitaan itu, Lajak Jongang pun
meninggal dunia.
TAMAT
No comments:
Post a Comment