Saturday, July 29, 2017

238. DENDAM PAWANG PONTIANAK



SEHINGGA santak tengah malam pun memang Mamak Sutan sanggup sengkang mata kalau sembang mengenai Bukittinggi atau Lubuk Sakaping. Dia tetap kenang Jam Gadang, Lubang Jepang dan Ngarai Sihanuk di Bukittingi. Malah dia akan tersengih-sengih apabila ditegur kerana lupakan Masjid Agung yang tersergam megah di pinggir pekan.

Apalagi jalan berbelok-belok dari Bukittinggi ke pekan Lubuk Sakaping melalui pokok-pokok besar di kiri kanan jalan sentiasa membawa kenangan Mamak Sutan tidak henti-henti teringatkan kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan.

Dia sekadar ingatkan sanak saudara yang sudah lama tidak dijengah, bukan disebabkan teringin mahu balik ke Lubuk Sakaping. Keluarganya ramai di sini, masakan dia tidak sukakan tempat di mana kakinya berpijak. Perkara teringatkan kampung halaman tidak sama dengan tidak sukakan tempat mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Tahu sangat Mamak Sutan rezeki ditaburkan di mana-mana, dan dia perlu berusaha mencarinya. Disebabkan di sini dia menemui rezekinya, Mamak Sutan tetap bersyukur di sinilah langit perlu dijunjung. Dia tetap tunduk taat tempat bumi dia menumpang mendapatkan rezeki yang dikurniakan Allah itu.

Apalah salahnya dia rindukan kampung halamannya di Lubuk Sakaping. Dia boleh ziarahi sanak saudara di sana apabila kerinduan itu memuncak. Namun hatinya tetap bersama keluarga di sini kerana anak cucunya lahir di sini. Jauh di lipatan hatinya Mamak Sutan juga mahu menutup matanya di sini sama macam Tok Aji yang tidak pernah jejak lagi Bukittinggi selepas menetap di sini.

"Tok Aji dulu tak sama dengan saya," ujar Mamak Sutan membelek-belek buku tulisan tangan peninggalan arwah Tok Aji yang masih disimpannya baik-baik. "Tok Aji dulu ke sini kerana diburu Belanda, saya ke sini semata-mata cari rezeki," dia menuturkan lemah lantas rnenghulurkan buku tulisan tangan itu kepada saya.

Gembira sangat dia dapat menunjukkan buku tulisan tangan yang dikatakannya kitab peninggalan Tok Aji itu kepada saya. Sudah beberapa kali dia berpesan kepada anaknya Haji Jusak supaya temukan dia dengan saya. Tetapi Haji Jusak masih teragak-agak mahu menuduh sama ada saya benar-benar cucu Tok Aji atau pun tidak.

Memang sekali dua Haji Jusak cuba mendekati saya apabila singgah di kedainya, sengaja saya mengelak kalau dia tanyakan mengenai Bukittinggi atau Lubuk Sakaping. Apalagi kalau dia sebutkan fasal Bangkinang, Kapur Sambilan atau Kampar Kiri. Cepat-cepat saya beri tahu tidak tahu apa-apa pun mengenai tempat-tempat yang ditanyakan.

Sekiranya saya tidak mengenali tempat berkenaan, memang Haji Jusak dapat mengagak tentulah saya tidak mempunyai hubungan dengan Tok Aji. Sengaja Haji Jusak mengusik dengan memberi tahu kejadian yang berlaku di rumah keluarga Mamak Sutan sewaktu dia menetap di Kapur Sambilan.

Setelah meninggalkan Lubuk Sakaping, terpaksa juga Mamak Sutan menumpang di mana sahaja mencari rezeki. Ketika di Kapur Sambilan setelah jejak kaki di Pekan Baru dia menumpang di rumah Angko Sahmin. Di situ dia mengenali Tok Aji yang mengajar di madrasah.

"Panggil saja budak ni Sutan Lubuk," Angko Sahmin perkenalkan kepada Tok Aji dalam ketawa memanjang. "Katanya dia datang dari Lubuk Sakaping," jelasnya mengerling Mamak Sutan yang tunduk dalam keadaan gementar.

"Jauh sangat kamu belajar madrasah?" Tok Aji kelihatan garang kalau bertutur dengan sesiapa pun. "Kenapa tak belajar di Lubuk Sakaping aje?" dia semacam mahu menduga.

 "Rezeki saya di sini, Tuanku," jelasnya merendah dengan memanggil Tok Aji tuanku yang bermaksud tuan guru,

 Lama juga dia di madrasah Tok Aji di Kapur Sambilan apabila berlaku kejadian Mat Tonen marah setelah Siti Sinor anak gadis Angko Sahmin tidak mahu menerimanya menjadi isteri. Puas dipujuk oleh Tok Aji pun Siti Sinor tetap berkeras menolak pinangan Mat Tonen.

Apabila Siti Sinor tidak mahu dipujuk lagi, Mat Tonen lantas mahu memaksa sahaja biar gadis itu tunduk dengan kemahuannya. Sia-sia sahaja dia menjadi guru pencak kalau tidak mampu menundukkan seorang gadis seperti Siti Sinor. Sebaik sahaja Mat Tonen mahu melompat dari tempat duduknya dia berasaskan punggungnya terlekat di lantai. Beberapa kali dia cuba meronta tetapi tidak juga dapat melepaskan diri.

Tersenyum Tok Aji melihat gelagat Mat Tonen terkial-kial mahu bingkas bangun, tetapi terhalang akibat punggungnya terlekat di lantai. Dia cuba sembunyikan rahsia kegelisahannya dari perhatian jiran-jiran yang berkumpul di rumah Angko Sahmin.

Lama Mat Tonen terkial-kial hingga berpeluh seluruh badan lantas dia meminta minuman. Segera Angko Sahmin hulurkan air kepadanya. Selepas meneguk air di gelas Mat Tonen masih juga tidak dapat melepaskan dirinya. Setelah diperhatikan oleh Angko Sahmin keadaannya barulah disedarinya anak muda itu dalam kepayahan.

 "Kenapa kamu, Mat Tonen?" hairan juga Angko Sahmin dengan tetamunya yang terkial-kial dalam keadaan resah gelisah.

 "Maaf Angko, lepaskan ambo," merah padam mukanya menahan rasa malu di hadapan rakan-rakanannya yang ramai berkunjung ke situ.

 "Lepaskan macam mana?" serba salah juga Angko Sahmin kerana tidak memahami apa-apa yang menimpa Mat Tonen ketika itu.

"Memang saya berniat jahat pada Angko," jelas Mat Tonen membuka rahsia mahu melarikan Siti Sinor sekiranya dia dapat bingkas bangun . Dia akan memaku siapa sahaja hingga tidak boleh bergerak ke mana-mana, sebelum melarikan Siti Sinor. Tentu siapa pun tidak boleh menghalang kemahuannya kalau dia sudah menggunakan pukau yang menyebabkan semua orang di situ terkaku.

 "Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa," jelas Angko Sahmin jujur setelah Mat Tonen merayu minta dia dibebaskan. "Macam mana saya mahu lepaskan kamu," lantas dia mendekati Mat Tonen mahu membantunya bangun.

Ketika dia mengajak beberapa orang lagi rakan Mat Tonen membantu lelaki itu mereka semua terkejut disebabkan kulit punggung Mat Tonen bersatu dengan lantai rumah. Kalau mereka gagahi juga menariknya nescaya daging punggung Mat Tonen akan terkoyak habis.

"Saya sudah minta maaf, tolonglah," Mat Tonen terus merayu meminta dia diselamatkan.

"Macam mana, Tuanku?" lantas Angko Sahmin berpaling pada Tok Aji yang tunduk dengan senyum mengulum.

 "Begini, tuan-tuan sama," Tok Aji mengisar duduk lantas menggamit Mamak Sutan duduk di sebelahnya. Sebaik sahaja Mamak Sutan menghampiri dia, Tok Aji melanjutkan, "Sutan Lubuk apa dia di dalam hati kamu!"

"Saya suka pada Siti Sinor, Tuanku," lancar sahaja Mamak Sutan menuturkan dengan tidak menghiraukan Angko Sahmin di hadapannya.

"Apa pula di dalam hati kamu, Siti Sinor?" ujar Tok Aji memandang Siti Sinor yang tertunduk malu hingga tersipu-sipu. "Saya juga suka sama Abang Sutan,' sahut Siti Sinor lembut dalam suara bergetar. •

"Sekarang kamu sudah dengar Mat Tonen," lantas Tok Aji ingatkan anak muda yang sombong dengan ketangkasannya memencak itu hingga pernah menampar Mamak Sutan kerana cuba mendampingi Siti Sinor. "Kamu tidak baik pisahkan mereka kerana kegagahan kamu!" tegasnya supaya pemuda itu memahami ketangkasan memencak bukan un'tuk memuaskan hawa nafsu sendiri.

"Saya juga suka pada Siti Sinor, Tuanku," beri tahu Mat Tonen hampa setelah mendengar keputusan anak gadis itu.

"Tapi, Siti Sinor tidak suka pada kamu!" sahut Tok Aji menampar kepala lututnya tiga kali menyebabkan Mat Tonen seolah-olah terkejut daripada tidur.

Setelah Mat Tonen mengusap-usap muka dengan tapak tangannya dia cuba mengisar duduk. Barulah Mat Tonen dapat melepaskan punggungnya yang terlekat di lantai. Beberapa kali dia menampar punggungnya kerana macam tidak percaya dengan kejadian yang menimpa dirinya.

Kalau dia tidak menyimpan dendam mahu melarikan Siti Sinor tentu malang demikian tidak menimpa dirinya. Kesal juga Mat Tonen disebabkan rahsia yang terpendam di hatinya juga boleh diketahui oleh Tok Aji. Dia terpaksa turun meninggalkan rumah Angko Sahmin dengan menanggung aib tidak terhingga.

Selepas kejadian itu MatTonen terus sahaja meninggalkan Kapur Sambilan tidak diketahui ke mana menghilangnya. Tidak lama selepas itu pula Mamak Sutan menikahi Siti Sinor. Disebabkan jodoh mereka tidak panjang akibat kematian Siti Sinor semasa melahirkan anak, Mamak Sutan merajuk hati hingga menumpang kapal barang berpindah ke Semenanjung.

"Begitu kisah ayah saya di Kapur Sambilan dulu, bang," sengaja Haji Jusak menarik perhatian saya tatkala berhenti makan di kedainya.

Saya mengangguk perlahan. Memang saya tidak bertanya apa-apa lagi mengenai Kapur Sambilan atau pun Pekan Baru. Biarlah saya tidak mengenali sangat Haji Jusak itu.

Tetapi semasa isteri jirannya mengidap sakit kepala berdenyut-denyut asal sahaja masuk maghrib, memang dia dijemput menjengah. Lama juga Seniah mengidap sakit kepala hingga suaminya Lasah terpaksa meminta bantuan Haji Jusak juga.

Setelah didoakan oleh Haji Jusak sakit kepala yang dihidapi oleh Seniah itu beransur kurang. Tetapi lat dua kali maghrib sakit kepala berkenaan kembali menusuk-nusuk. Terjerit-jerit Seniah menahan kesakitan yang amat berat ditanggungnya. Haji Jusak sendiri mengakui tidak mampu mahu memulihkan.

Lagi pun Haji Jusak bukanlah tumpukan sepenuh masa mahu mengubati sesiapa yang memerlukan bantuan. Dia sekadar berdoa seperti ditunjuk-kan oleh ayahnya Mamak Sutan. Sebab itu dia sendiri berjanji akan menjemput ayahnya ke situ sekiranya Lasah bersetuju.

Memang bila-bila pun Lasah bersetuju asal sahaja penyakit yang dihidapi oleh isterinya sejak bertahun-tahun itu dapat disembuhkan. Sudah berkali-kali dibawa menemui doktor pakar, mereka sekadar mengesyaki migrain sahaja.

Disebabkan Haji Jusak sendiri tidak ada masa terluang untuk ke kampung mendapatkan ayahnya, terpaksa juga Lasah menemui Kadir Misai. Puas dia mendesak Kasir Misai supaya dapat merawat penyakit yang di ceritai oleh isterinya.

Kalau tidak kenangkan Lasah anak sepupu isterinya, memang Kadir Misai tidak akan mengajak saya sama melihat keadaan Seniah. Tahu sangat dia tentu saya seringkali berdalih kalau bukan saudara maranya yang rapat mengalami masalah.

Semasa saya bersama Kadir Misai sampai di rumah Lasah memang Haji Jusak juga sudah jejak kaki ke situ. Dia bersama isterinya juga serba salah apabila diberitahu oleh Lasah mengenai penyakit Seniah yang menyerang semula.

Sebaik sahaja saya duduk tidak semena-mena Seniah terus menerpa mahu mencekik leher saya. Cepat-cepat pula disambar oleh Lasah hingga sama-sama mereka berdua berguling, di lantai. Tetapi tenaga Seniah tiba-tiba menjadi gagah menyebabkan Lasah tidak mampu mengawalnya.

Apabila terlepas dari pelukan Lasah tidak bertangguh dia cuba menerkam saya. Belum sempat Seniah mahu bertindak dia terkaku sendiri hingga ter-cegat bagaikan ditampan kuat.

"Ini orang jahat, kenapa suruh dia ke sini?" Seniah meng-ejek dengan bercekak pinggang.

"Kalau jahat, lanyak saja le!" sahut Kadir Misai memberi isyarat supaya Seniah menerkam ke arah saya.

"Macam mana nak lanyak, dia lanyak dulu," tersipu-sipu Seniah tunduk tidak berani menatap muka saya. Rambutnya mengerbang tidak sempat disanggulkan oleh Hajah Mah isteri Haji Jusak.

"Tadi nampak garang, kenapa sekarang takut?" sengaja Kadir Misai mahu menyakiti hatinya.

Saya tahu di hadapan saya bukannya Seniah yang mengerbang rambut. Lantas saya berbisik kepada suaminya Lasah supaya tidak salah faham dengan perangai isterinya yang berubah, sekalipun saya menyedari Lasah bimbang sekiranya saya tersinggung.

 Tidak ada sebab saya mesti tersinggung dengan perangai Seniah ketika itu. Sudah kerapkali saya mengalami kejadian demikian, memang saya memahami latar belakang sebenarnya. Sekiranya Seniah siuman masakan dia sanggup bertindak mahu menyerang saya yang belum pernah dikenalinya sebelum itu.

Tiba-tiba sahaja dia memusuhi saya disebabkan dirinya sudah dirasuk hingga tidak dapat mengawal dirinya. Syaitan yang merasuk dirinya itu mencetuskan perasaan supaya membenci saya. Selagi saya bertahan di situ sudah tentu syaitan berkenaan sukar mahu merasuk diri Seniah yang sudah dikuasainya sekian lama.

Setelah Seniah tidak boleh bergerak sekalipun tangannya menggapai-gapai bagaikan mahu melepaskan diri daripada ikatan, saya jerkah dia supaya merenung ke muka saya. Segera dia mengangkat muka terus meludah ke arah saya.

"Kenapa ikat aku, kalau berani lepaskan!" sahut Seniah terkial-kial bagaikan seluruh badannya diikat kuat dengan tali.

"Mana pula kau kena ikat," sahut Kadir Misai mengejeknya. "Aku tak nampak pun tali yang mengikat kau, pembohong!" dia mencebek bibir mahu menyakitkan lagi hati syaitan Yang merasuk Seniah.

"Awak mana nak nampak!" marah benar suara Seniah melepaskan geram. "Ustaz ni memang jahat, tak boleh tengok orang senang," dia mula mendengus-dengus. menyembunyikan rasa gelisah di hatinya. Lama kelamaan Seniah menangis setelah saya bacakan al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas tiga kali dan dihembuskan ke mukanya.

Semenjak bertemu di rumah Lasah itulah Haji Jusak cuba mencari latar belakang saya, kerana dirasakannya seakan-akan ada kaitan dengan Tok Aji yang diharap-harapkan oleh ayahnya Mamak Sutan. Dah tiga kali saya singgah di kedai makannya memang Haji Jusak tidak pernah mahu menerima bayaran apa-apa, menyebabkan saya enggan mengajak Kadir Misai berhenti makan di situ lagi.

Tetapi Haji Jusak tidak berputus asa. Dia desak juga Lasah supaya kunjungi rumah saya. Disebabkan mereka berjiran memang Lasah tidak keberatan mengajak Haji Jusak ikut sama. Apabila berkunjung ke rumah saya barulah Haji Jusak dapat mengagak mengenai Tok Aji yang diceritakan oleh ayahnya itu.

Setelah yakin dengan anggapannya tidak silap lantas sahaja Haji Jusak memberi tahu ayahnya. Memang terkejut juga saya apakala Haji Jusak membawa ayahnya berkunjung ke rumah saya. Saya sendiri tidak dapat mahu menerangkan bagaimana gembiranya Mamak Sutan setelah mengetahui saya cucu Tok Aji.

"Dia tuanku saya semasa di Kapur Sambilan," jelas Mamak Sutan ingatkan masa silamnya semasa bersama Tok Aji di Pekan Baru.

Memang saya mengakui sudah jejak kaki ke Kapur Sambilan bersama Mamak Ban-daro sebelum itu. Tetapi Mamak Sutan tidaklah mengenai Mamak Bandaro, sekalipun diberi tahu mengenai hubungan bapa saudara saya itu dengan Tok Aji.

Perkara mengenali Mamak Bandaro memang tidak penting sangat pada Mamak Sutan. Dia sendiri sudah lama meninggalkan Kapur Sambilan di propinsi Riau atau pun Lubuk Sakaping di propinsi Sumatera Barat. Beberapa kali sahaja dia jejak kaki ke sana setelah dibawa oleh Haji Jusak. Tidak ada apa-apa pun yang diharapkannya setelah kematian Siti Sinor.

"Siti Sinor meninggal semasa melahirkan anak," keluh Mamak Sutan tidak dapat menghalang keputusan orang-orang kampung mahu kebumikan Siti Sinor mengikut kepercayaan mereka setelah perempuan mati semasa melahirkan bayi.

Terbayang di wajahnya kesalan yang berpanjangan sekalipun Siti Sinor sudah lama meninggalkannya. Terlalu banyak darah tumpah apabila bayi yang dilahirkan mati sewaktu dalam kandungan lagi. Siti Sinor terpaksa menanggung beban derita yang tidak terhingga.

Mamak Sutan tidak dapat menghalang apa-apa sebaik sahaja Pawang Manar menyuruh sepuluh jari Siti Sinor ditusuk dengan jarum. Sebentuk cincin sama dimasukkan ke dalam mulut dan sebiji telur diletakkan di bawah ketiak mayat. Keputusan Pawang Manar ini dipersetujui oleh Angko Sahmin sendiri. Siapa pun tidak berani membantah setelah Angko Sahmin dan Pawang Manar sendiri sudah membuat keputusan.

Lainlah kalau Tok Aji membantah. Angko Sahmin akan mematuhi keputusan Tok Aji sebelum dia bersetuju dengan kemahuan Pawang Manar. Tetapi selepas Mamak Sutan dikahwinkan dengan Siti Sinor, terpaksa juga Tok Aji meninggalkan Kapur Sambilan sebaik sahaja Belanda menyerbu ke situ.

Ketika meninggalkan Kapur Sambilan inilah dia tidak membawa sama buku tulisan tangannya yang ditinggalkan pada Malim Sutan. Sebab itu Malim Sutan simpan baik-baik setelah mendengar Tok Aji berhijrah ke Semenanjung. Dia sendiri berazam mahu mencari Tok Aji apabila jejak kaki Semenanjung beberapa tahun kemudiannya.

"Mereka seksa mayat!" gerutu Mamak Sutan mencebek bibir meluahkan rasa terkilan yang berpanjangan. "Kalau ustaz ada pun, tentu ustaz tak bersetuju!" matanya bergenang dengan air yang membasahi pelupuk.

 "Tentu mereka bimbang mayat tu jadi pontianak,": sahut Haji Jusak sudah dapat mengagak kenapa mayat perempuan yang mati semasa melahirkan anak diperlakukan demikian.

"Mereka yang jadi pontianak, bukannya mayat tu!" Mamak Sutan menggertap bibir memerhati buku tulisan tangan peninggalan Tok Aji itu.

"Habis, mayat Siti Sinor jadi macam mana?" Haji Jusak pula mendesak ayahnya.

Mamak Sutan menggeleng lemah. Dia sendiri tidak tahu apa-apa selepas itu kerana balik semula ke Lubuk Sakaping. Biarlah segala kenangan pahit di Kapur Sambilan itu dikuburkan bersama dengan Siti Sinor. Dia tahu Siti Sinor tidak akan menjadi pontianak sekiranya. dikebumikan seperti mayat biasa.

Tetapi Pawang Manar berkeras ingatkan Angko Sahmin supaya tidak melanggar pantang larang. Seisi kampung tahu kejadian yang menimpa Saibah sebelum itu apabila perempuan itu mati setelah tiga hari melahirkan anak akibat tumpah darah. Tok Aji yang melarang mayat Saibah ditusuk dengan jarum semua sepuluh jarinya.

Keputusan Tok Aji itu dipersetujui pula oleh Angko Sahmin sekalipun Pawang Manar sudah ingatkan mereka padahnya. Apabila Saibah dikebmikan di sebelah malamnya seisi kampung mendengar hilaian ketawa melangsing dari arah tanah perkuburan.

 Beberapa malam pula orang-orang kampung melihat bayangan putih melayang di udara dengan hilai ketwa memanjang. Marah . benar Pawang Manar kerana mereka tidak mematuhi perintahnya semasa kebumikan mayat Saibah. Siapa lagi mahu disalah-kan setelah Pawang Manar mengakui pontianak yang ber-keliaran di kampung memang jelmaan Saibah.

Mereka salahkan Angko Sahmin kerana terpengaruh sangat dengan kemahuan Tok Aji. Mereka dalam ketakutan setelah jelmaan pontianak itu berkeliaran sepanjang malam. Kadangkala pontianak berkenaan hingga di atas bumbung rumah lantas terkencing hingga mencurah melalui cucur atap laksana hujan.

Betapa hancingnya kencing pontianak berkenaan sampai berbau tiga empat hari. Disimbah dengan air pun bau hancing kencing itu tetap menusuk-nusuk. Pawang Manar mengaku dia tidak dapat menghalau pontianak jelmaan Saibah itu, disebabkan petua yang diberikannya sudah dilanggar.

Angko Sahmin perlu bertanggung jawab biar seisi kampung tidak diganggu jelmaan pontianak. Kalau dia mematuhi larangan Pawang Manar sudah tentu mayat Saibah tidak menjelma menjadi pontianak. Sudah menjadi petua mereka turun temurun asal sahaja perempuan mati tatkala melahirkan anak mayatnya mesti dikebumikan mengikut pantang larang.

Jarum mesti ditusukkan pada sepuluti jari tangannya supaya kuku tidak menjulur panjang. Cincin emas dimasukkan ke dalam mulutnya biar tidak ternganga mengilai sepanjang malam. Telur diletakkan di bawah ketiak bagi mengelakkan dia terbang ke udara mencari mangsa. Petua ini memang diamalkan oleh Pawang Manar sejak turun temurun.

Kenapa pula Angko Sahmin percaya dengan keputusan Tok Aji supaya mayat wanita mati tatkala melahirkan anak jangan diseksa? Pawang Manar tidak menyeksa mayat, tetapi amalkan petua yang dipesakai sejak turun temurun. Sekiranya petua demi-kian dilanggar sudah tentu seisi kampung menerima padah.

"Saibah menjelma jadi pontianak," beri tahu Mat Hadan apabila kenangkan malang yang menimpa arwah isterinya itu.

"Itu urusan Allah, kita tak mampu nak mengetahui perkara yang ghaib," Tok Aji nasihatkan lelaki itu setelah orang-orang kampung mendesak dia supaya bacakan Yassin di atas kubur Saibah.

"Saya diminta baca Yassin di atas kuburnya," Mat Hadan menuturkan sayu dalam keluhan pendek. "Siapa yang menyuruh kamu buat begitu?" soal Tok Aji tidak mahu Mat Hadan dipermain-mainkan oleh orang-orang kampung.

Perkara bacakan Yassin di atas kubur bukan disebabkan setelah didesak oleh orang-orang kampung. Mat Hadan boleh lakukan dengan ikhlas sebagai mengingati arwah isterinya. Tok Aji tidak mahu Mat Hadan terpengaruh sangat dengan kepercayaan orang-orang kampung pontianak yang berkeliaran itu jelmaan mayat Saibah.

Sebab itu dia suruh juga Mamak Sutan temankan Mat Hadan ke kubur sebelum maghrib bacakan Yassin. Setelah dibacakan Yassin mereka berdua curahkan air di atas kubur Saibah. Tiga petang mereka berdua patuhi arahan Tok Aji membaca Yassin di atas kubur Saibah, kejadian pontianak melayang di udara itu tidak kelihatan lagi.

Memang mereka menuduh tentu mayat Saibah menjelma menjadi pontianak. Setelah dibacakan Yassin tiga petang berturut-turut sebelum maghrib jelmaan itu menghilang. Tentu jelmaan pontinak itu tidak dapat bertahan setelah Mat Hadan dan Mamak Sutan bacakan Yassin di atas kubur Saibah.

Tetapi jelmaan pontianak di dalam kampung tidak juga berakhir setelah beberapa bulan selepas kematian Saibah. Anak-anak balik dari mengaji al-Quran di madrasah terserempak lembaga wanita berpakaian serba putih dengan kukunya panjang tercegat di simpang jalan. Muka peremuan itu hodoh dengan rambut mengerbang ditiup angin.

Bercempera lari kanak-kanak' itu balik semula ke madrasah memberi tahu Tok Aji. Segera Tok Aji keluar bersama Mamak Sutan menjejaki lembaga wanita yang dikatakan pontianak itu. Kalau benarlah jelmaan Saibah bila-bila Tok Aji akan ingatkan dia supaya tunduk dengan ketentuan dan hak Allah.

Sewaktu sampai di persimpangan jalan memang jelmaan wanita berpakaian serba putih itu masih tercegat di situ. Tok Aji terus mara mendapatkan lembaga itu setelah menyuruh Angko Sahmin dan Mamak Sutan menunggu jauh di belakang. Biarlah dia berseorangan sahaja berhadapan dengan lembaga berkenaan.

Sebaik sahaja Tok Aji sampai di depannya jelmaan lembaga wanita itu mengangkat tangannya hingga nampak kuku jarinya yang panjang. Dia menyeringai menampakkan taring yang panjang. Apabila jelmaan itu mahu melayang ke udara lantas Tok Aji membacakan:

"Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, Allahhu yatawaffal anfusahina mau-tiha wallati lam-tamut fi manamihafayumsikul lati qosa 'alaihal mau-ta wayursilul ukhra ila ajalin musammam, inna fi fi-zalika la-ayatin liqau mim yatafakkarun."

Serentak dengan itu lembaga itu terhentak semula ke tanah tidak dapat melepaskan diri. Kemudian Tok Aji mengisar tapak tangannya menyebabkan lembaga berkenaan bergoncang kuat. Lama tubuh lembaga itu bergoncang baru Tok Aji berhenti mengisar tapak tangannya. Ketika Angko Sahmin dan Mamak Sutan yang berdiri tidak jauh di belakangnya terdengar lembaga wanita itu merungut-rungut tidak menentu.

Apabila dihembus oleh Tok Aji ke arahnya dengan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas sekaligus pakaian putih lembaga itu disambar api. Dalam masa yang sama angin bertiup kencang menyebabkan api semakin marak menyala. Beberapa minit sahaja lembaga itu rentung dibakar api hingga tinggal debu-debu yang berterbangan.

Semenjak itu tidak ada siapa pun mendengar hilaian ketawa memanjang di mana-mana. Mereka juga tidak pernah lagi terserempak lembaga pontianak menjelma di pohon jejawi berhampiran tanah perkuburan. Apabila ditanyakan oleh Mamak Sutan mengenai jelmaan pontianak itu Tok Aji sekadar mengingatkan dia:

 "Allahhumma yaman nurohu fi-sirrihi wasirruhu fi-khalqihi ikhfini 'an a'yunin nazirina waqulubil hasidina walbaghina kama hafaztar roha fil-jasadi innaka 'ala kulli syai-in qodirun."

Sehingga Tok Aji meninggalkan Kapur Sambilan pun Mamak Sutan tidak tahu apakah sebenarnya rahsia di sebalik jelmaan pontianak di kampung berkenaan. Tetapi Tok Aji ingatkan Mat Hadan supaya tidak mempercayai Saibah yang menjelma menjadi pontianak.

Tok Aji tetap yakin wanita yang mati sewaktu melahirkan anak adalah syuhada yang wajar dimuliakan. Tidak ada sebab menuduhnya menjelma menjadi pontianak yang hodoh dengan rambut mengerbang. Mamak Sutan tahu memang Tok Aji tidak mahu menyinggung perasaan Pawang Mawar kalau dia berkeras menafikan jelmaan pontianak berkenaan.

Tetapi apabila kejadian demikian menimpa Siti Sinor, kecewa benar Mamak Sutan tidak dapat mempertahankan isterinya daripada ditusuk jarum pada sepuluh jarinya. Ayah mentuanya Angko Sahmin sendiri bersetuju mematuhi kemahuan Pawang Manar supaya dilakukan demikian. Bangga benar Pawang Manar kerana selepas kematian Siti Sinor tidak menjelma lagi pontianak seperti yang berlaku ke atas kematian Saibah.

Berdetak juga hati Mat Hadan mahu mempercayai petua Pawang Manar yang dapat menghalang Siti Sinor daripada menjelma menjadi pontianak. Tetapi Mamak Sutan tetap yakin dengan penjelasan Tok Aji, sekalipun tidak dapat menghalang desakan orang-orang kampung. Perkara mayat Siti Sinor diperlakukan dengan cara yang menyedihkan hatinya memang menyeksa perasaannya.

Sebab itu Mamak Sutan saban malam bangun waktu dinihari tunaikan solat sunat tahajud. Kepedihan hatinya dapat diubati dengan solat tahajud setiap malam. Biarlah dia menyerahkan segala kedukaan hatinya kepada Allah kerana tidak dapat melindungi mayat arwah isterinya. Terasa pada Mamak Sutan dirinya terlalu kerdil, tidak sama dengan Tok Aji yang sanggup berhadapan dengan siapa pun.

Tidak lama selepas itu Mamak Sutan mengambil keputusan balik sahaja ke Lubuk Sakaping. Tiga bulan dia menenetap di kampung, Mamak Sutan menerima surat dari Mat Hadan mengenai Pawang Manar ditemui mati di tengah rumahnya dengan kesan cengkaman kuku tajam di lehernya. Tengkuk Pawang Manar juga terkulai bagaikan patah tulang.

Semasa mahu meninggalkan kampung halamannya menuju ke Semenanjung memang Mamak Sutan singgah juga di Kapur Sambilan menemui ayah mentuanya Angko Sahmin. Tergenang juga air di pelupuk mata Angko Sahmin apabila Mamak Sutan tetap terkilan dengan perbuatan menusuk jarum ke jari arwah Siti Sinor.

"Jadi, Pawang Manar dicekik pontianak?" sengaja Mamak Sutan mengusik ayah mentuanya dalam sindiran yang menghiris.

 "Orang kampung percaya begitulah," beri tahu Angko Sahmin mencepak-cepak bibir.

"Siapa pula jadi pontianak, kalau Siti Sinor sudah dikebumi ikut petua?" ujar Mamak Sutan tidak dapat menahan perasaan terkilan yang sekian lama dibiarkan terpendam.

 "Betul kata Tuanku dulu," sahut Angko Sahmin kesal sambil mengesat pelupuk matanya. "Pontianak bukan jelmaan perempuan mati beranak, memang syaitan yang wujud semula jadi!" katanya terangguk-angguk kemudian merenung di kejauhan.

Tetapi Mamak Sutan tidak peduli apa pun yang disebut Angko Sahmin mengenai pontianak. Dia hanya percaya bahawa isterinya tidak akan menjelma menjadi pontianak sekalipun sepuluh jarinya tidak ditusuk dengan jarum, mulutnya tidak disumbat dengan sebentuk cincin emas dan ketiaknya tidak dikepitkan dengan dua biji telur ayam.

Kalau mereka boleh menuduh Saibah menjelma menjadi pontianak disebabkan petua Pawang Manar tidak dipatuhi, bagaimana pula dengan jelmaan pontianak selepas kematian Siti Sinor? Apa sahaja petua yang ditetapkan oleh Pawang Manar semuanya mereka patuhi dengan tidak membantah. Tetapi kenapa Pawang Manar juga diserbu pontianak?

Isterinya tidak dapat membantu apa-apa tatkala Pawang Manar terjerit-jerit sewaktu tidur. Beberapa kali isterinya melihat dia menepis-nepis seolah-olah lehernya dicekik kuat. Tidak siapa pun dilihatnya mencekik Pawang Manar ketika itu.

Apabila jiran-jiran datang menerpa sebaik sahaja mendengar jeritan Pawang Manar, mereka melihat kesan cakaran di leher pawang berkenaan. Darah berbekam merah bekas dicakar kuku yang tajam. Siapa pun tidak dapat mengagak bencana apa yang menimpa Pawang Manar.

"Alhamdullillah, kita dapat berjumpa, ustaz," Mamak Sutan menjadikan buku tulisan tangan peninggalan Tok Aji itu sebagai bukti dia mempunyai hubungan yang rapat.

Sekiranya tidak ditunjukkan buku tulisan tangan itu pun, saya percaya dengan pengakuan dia. Memang ramai murid-murid Tok Aji sebelum dia datang ke Semenanjung. Mamak Bandaro sendiri memberi tahu saya sewaktu dalam perjalanan ke Batusangkar menemui Haji. Salim, masih ramai lagi murid-murid Tok Aji yang mengenalinya.

 Apabila Haji Salim membawa saya ke Pariaman pun, beberapa orang lelaki terkejut kerana menyangka saya sama dengan Tok Aji. Hampir sahaja mereka menuduh Tok Aji tidak dimakan usia disebabkan masih sama seperti mereka temui bertahun-tahun dulu. Lelaki-lelaki itu juga mengakui memang pemah belajar daripada Tok Aji sebelum itu.

"Tapi saya terkilan, tak dapat menemui dia!" jelas Mamak Sutan kerana sejak jejak kaki ke Semenanjung tidak pernah dia menemui Tok Aji.

Sewaktu datang ke Semenanjung memang Mamak Sutan tidak bermaksud mahu mencari Tok Aji. Dia sekadar mahu memulakan penghidupan baru sahaja dengan bekerja di ladang. Setelah berpindah ke utara baru dia teringin mahu mencari Tok Aji. Itu pun tidaklah bersungguh-sungguh sangat, hanya sekadar berharap akan terserempak di mana-mana.

Semasa dia bekerja di ladang di Johor, Mamak Sutan diberi tahu oleh pekerja ladang mengenai Tubin terserempak pontianak tatkala menangguk udang di sungai yang dipenuhi belukar teberau di kiri kanan tebing. Tubin nampak lembaga perempuan hodoh itu terkapar di atas belukar teberau laksana burung helang patah sayap. Apabila Tubin mendongak dia melihat lembaga perempuan hodoh itu terseringai menampakkan taringnya. Dalam keadaan senja mula berbalam-balam itu, tidak bertangguh Tubin berlari balik ke tengah kampung.

Beberapa orang kampung bersama Mamak Sutan menyerbu ke sungai berkenaan. Ketika mereka sampai di situ lembaga berkenaan masih lagi terkapar di celah belukar teberau. Disebabkan mereka datang beramai-ramai lembaga berkenaan melayang ke udara hilang dalam kegelapan malam.

Tidak lama selepa situ seisi kampung tahu memang Mamak Sutan diharapkan kalau mereka diganggu pontianak. Dalam masa kampung masih dikelilingi belukar, memang mereka percaya sangat dengan pontianak berkeliaran. Apalagi negeri di bawah perintah orang putih, ke mana lagi mereka mahu mengadu sekiranya diganggu jelmaan demikian.

 "Pontianak juga jenis syaitan," jelas Mamak Sutan tersengih-sengih membiarkan saya membelek-belek buku tulisan tangan peninggalan Tok Aji itu.

Tetapi Haji Jusak tidak pernah melihat ayahnya menangkap pontianak di mana-mana pun. Dia sekadar mendengar pekerja-pekerja ladang beritahu mengenai ayahnya menangkap pontianak. Cubalah pontianak menjelma di mana-mana dengan bayangan perempuan hodoh tercegat! Biarlah taringnya terjulur dari celah bibir berkedut-kedut dengan kuku di jari panjang menggerunkan, Mamak Sutan tidak akan berundur.

 Dia akan mengisar tapak tanganya sama seperti dilakukan oleh Tok Aji, menyebabkan pon-tianak juga bertindak balas dengan menyemburkan air liur hingga terasa bagaikan disinggahi tempias hujan. Siapa sahaja disinggahi air liur pontianak nescaya akan meruam gatal seluruh badan seperti tersentuh ulat bulu.

"Mereka anggap ayah ni, pawang pontianak, ustaz," tersengih-sengih Haji Jusak memberitahu mengenai latar belakang ayahnya. Tetapi Mamak Sutan tidak peduli sangat fasal orang yang mengenalinya menganggap dia pawang pontianak.

 Mamak Sutan tidak berbangga apa-apa. Dia sekadar membantu sesiapa sahaja yang diganggu jelmaan perempuan hodoh yang mengilai memanjang. Sama ada bayangan lembaga itu boleh ditangkap atau tidak bukanlah penting sangat pada Mamak Sutan, dia sekadai mahu membuktikan isterinya Siti Sinor tidak pernah menjelma menjadi pontianak!