Sunday, March 27, 2016

169. LAWAN HARIMAU TERLANGGAR PANTANG



DISEBABKAN ketakutan yang mengganggu tidak juga reda bimbang juga Mat Jani kalau keadaan anaknya Leha bertambah teruk.  Mahu diharapkan Andak Miyah perempuan itu sendiri tidak sihat badan semenjak cuba jampikan Leha.  Memang dia sendiri melihat Andak Miyah terbatuk-batuk hingga merah padam muka semasa membakar kemenyan mahu mengubati anak gadis kecil itu.
Setiap kali terbatuk memang Andak Miyah terasa seolah-olah ekor tumbuh memanjang di punggungnya.  Berdebar juga hatinya apabila kenangkan kejadian yang menimpa Aki Kiman hingga bahagian punggung bertukar menjadi harimau tatkala terkejang mati di tengah rumah.  Tetapi Andak Miyah tahu dia bukan keturunan Aki Kiman sekiranya mahu dituduh saka mengganggu dirinya.
Semenjak dia berbidan Andak Miyah mewarisi amalan emaknya dari keturunan Munah dan Oyang Jami.  Tidak ada sangkut paut langsung dengan Aki Kiman yang berusaha meminta Munah musnahkan saka harimau cenaku yang menganggu hidupnya.  Sebab itu Aki Kiman tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun berkahwin disebabkan persumpahan saka harimau cenaku itu.
Setelah Andak Miyah tidak jejak kaki ke rumahnya, terpaksa juga Mat Jani minta bapa saudaranya Dukun Manap tengokkan Leha yang tergagau-gagau ketakutan asal sahaja mahu melelapkan mata.  Sejak berminggu-minggu Leha tidak boleh tidur akibat gangguan kelibat yang dilihatnya setiap kali mahu terlelap.
“Kamu takutkan apa?”  Dukun Manap memujuk setelah keadaan Leha semakin mencemaskn
Leha menggeleng-geleng dengan tidak bercakap sepatah pun.  Matanya meliar sambil mengangguk-angguk kepala memerhati keliling.  Sekali sekala dia akan melompat berlari berkeliling menjerit meminta tolong.  Kalau tidak dibawa beristighfar memang mahu juga Mat Jani menampar muka anak kecil itu.
Tetapi Leha bukan sengaja mahu terjerit-jerit tidak menentu.  Dirinya sudah dirasuk gangguan yang tidak boleh dilihat dengan pandangan biasa.  Sekiranya dibawa ke hospital boleh jadi Leha akan disyaki mengidap suhu panas badan berlebihan menyebabkan dia meracau-racau laksana hilang ingatan.  Mat Jani terpaksa menahan sabar setelah isterinya Ngah Sirah merungut salahkan dirinya yang menjadi punca Leha diganggu demikian.
Tentu Mat Jani tidak menyedari perbuatan balik jauh malam  melalui kawasan estet itu memang banyak puaka di sepanjang hutan belukar.  Manalah tahu puaka di kawasan bukit mengekori Mat Jani tatkala balik dari pekan kecil setelah bermain mahjong di kedai Ah Seng.  Apabila melintasi kawasan bukit melalui lorong estet itu tidak bertangguh puaka berkenaan menumpang sama.
Masakan puaka berkenaan berani ganggu Mat Jani disebabkan suaminya berkawan dengan orang-orang Cina di pekan kecil.  Sebab itu puaka itu merasuk Leha setelah mengekori Mat Jani sampai di rumah.
“Fasal awak balik jauh-jauh malam!”  lantas sahaja Ngah Sirah menuduh Mat Jani yang menjadi punca Leha diganggu puaka.
“Jangan percaya perkara karut macam tu,”  segera Mat Jani ingatkan isterinya supaya tidak ikutkan sangat perasaan.
“Puaka ni keras. Sebab itu Andak Miyah tak terlawan,”  jelas Ngah Sirah tidak berpuas hati dengan sikap suaminya mahu berdalih.
“Kalau puaka, biar aku yang lawan!”  marah benar Mat Jani fasal Ngah Sirah masih juga ungkit mengenai dia selalu balik jauh-jauh malam.
“Memang awak tu takbur,”  Ngah Sirah menyindir bercampur bimbang juga kalau-kalau suaminya akan menyerbu bukit di lorong estet.
Tahu sangat dia sudah beberapa kali orang kampung terserempak lembaga tidak berkepala berjalan di lorong estet berbukit sedikit itu.  Kadangkala mereka nampak banyak sangat lembaga tidak berkepala itu mengerang-erang meminta pertolongan.
Tidak siapa pun berani menolongnya apabila terserempak lembaga tidak berkepala berkeliaran di jalan berbukit itu.  Tetapi kalau  menunggang basikal mereka terpaksa juga turun apabila melalui jalan berbukit yang mendaki.  Ketika inilah lembaga tidak berkepala itu membonceng di belakang basikal mengerang-erang meminta bantuan.
Mereka percaya di bawah bukit itu tentera-tentera Jepun memancung leher orang Cina dalam masa kemelut.  Bagaimana pun mereka yang terserempak lembaga berkenaan tidak cam sama ada ianya Cina atau Melayu.  Disebabkan ketakutan mereka terus sahaja berlari mengheret basikal mendaki jalan berbukit itu.
Kadangkala mereka campakkan sahaja basikal itu ke tepi jalan terus berlari balik ke tengah kampung.  Tetapi tidak siapa pun yang dirasuk hingga meracau-racau ketakutan.  Mereka percaya lembaga tidak berkepala itu bukan mahu mengganggu, mereka sekadar mahu meminta pertolongan sahaja.
“Aku bukan takbur, kalau puaka di bukit tu biar aku lawan!”  tegas Mat Jani bersemangat.
“Kita nak ubat Leha, bukan nak bertengkar,”  segera Dukun Manap ingatkan mereka suami isteri.  Lagi pun memang patut dia menegur Mat Jani anak saudaranya kalau mahu bertengkar dalam masa Leha masih diganggu penyakit ganjil.
Setelah berhari-hari terlantar Leha semakin kerap terkencing di kain hingga terpaksa di gantikan berhelai-helai.  Hairan juga Ngah Sirah disebabkan Leha tidak banyak meneguk air, bagaimana pula boleh terkencing tidak henit-henti.
Sebab itu Mat Jani tidak percaya Leha diganggu puaka di bukit kalau takat lembaga tidak berkepala menjelma.  Tahu sangat Mat Jani dengan lembaga tidak berkepala yang ditemui di jalan berbukit mendaki itu.  Sudah dua tiga kali dia terserempak tatkala balik dari pekan kecil apabila melalui  tengah malam santak pukul dua belas.
Memang Mat Jani tidak berundur setapak pun apabila lembaga berkenaan memboceng di belakang basikal  semasa dia melompat turun.  Masakan mahu berkayuh sekuat hati mendaki jalan berbukit itu semata-mata takutkan lembaga berkenaan.
Sebaik sahaja lembaga tidak bekepala itu terconggok di belakang basikal, tidak bertangguh Mat Jani bacakan al-Fatihah tujuh kali, surah al-Ikhlas tujuh kali, Ayatul Kursi 17 kali.  Semasa dihembus kearah lembaga tidak berkepala itu dia bacakan pula:
Laqod ja-akum rasulum-min anfusikum ‘azizun ‘alaihi ma-‘anittum harisun ‘alaikum bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallu faqul hasbiyal Allah-hu la-ilaha illa huwa ‘alihi tawakkaltu wahuwa rabbul’arsyil azim.
Serentak itu Mat Jani mendengar jerit lolong bertele-tele di tengah malam diikuti dengan lembaga tidak berkepala yang membonceng basikalnya terhumban ke tebing jalan.  Kemudian menggelupur di dalam rumput longkang hingga hilang bersama hembusan angin malam.
Cubalah lembaga tidak berkepala itu ganggu dia tatkala melalui lorong berbukit mendaki itu!  Memang Mat Jani tidak bimbang apa-apa kalau takat mahu mengujinya.  Tetapi sekiranya Leha dirasuk puaka dia tidak mampu pulihkan semula anaknya.
Masakan dia berani melalui kawasan sepi demikian tatkala tengah malam kalau mudah terkejut apabila terserempak lembaga tidak berkepala.  Salangkan dia masuk ke hutan menebang pokok pun bermacam-macam gangguan menghalang, tidak pernah Mat Jani undur ke belakang.  Kawan-kawan Cinanya juga kecut perut apabila ular tedung selar menyerbu tengah belukar, tetapi Mat Jani pantas mencekak lehernya.
Tiga kali dia menepuk kepala ular tedung selar nescaya ular tersebut akan moyok tidak bertenaga.  Bila-bila sahaja kawan-kawan Cinanya berani lingkarkan ular tersebut di hehernya.  Sampai bila pun ular tersebut tidak akan mengangkat kepala mematuk mangsa.
Mat Jani tahu ular tedung selar yang sudah ditangkapnya tidak akan bertahan lama.  Tentu ular tersebut akan terkejang mati tidak dapat mencakup makan selagi bisanya tidak dipulangkan semula oleh Mat Jani.  Terpaksa dia mengheret ular berkenaan jauh ke tengah belukar dilepaskan di situ sebelum bisanya dipulangkan.
Setelah dipulangkan bisanya oleh Mat Jani nescaya ular tersebut akan melonjak garang semula merempuh ke tengah belukar.  Memang Mat Jani tidak bimbang apa-apa kalau dirinya mahu diuji.  Sia-sia dia lama tinggal bersama datuknya Itam Sibin kalau tidak minta turunkan amalan orang tua itu.
Lainlah bapa saudaranya Dukun Manap memang diberi hak oleh ayahnya Itam Sibin supaya meneruskan amalan turun termurun.  Sebab itu Dukun Manap sanggup menjadi dukun di dalam kampung.  Tetapi Mat Jani tidak mahu mewarisi dukun arwah datuknya Itam Sibin.  Biarlah bapa saudaranya Dukun Manap sahaja dikenali menjadi dukun sejak bertahun-tahun di kampungnya.
“Kita ubatkan Leha ni, jangan banyak soal jawab lagi,”  desak Dukun Manap kerana memahami anak saudaraya tidak bercakap bohong mahu berdepan dengan apa pun puaka yang berani menjelma di depannya.  Tetapi puaka yang menjelma macam lembaga tidak berkepala itu tidak sama dengan gangguan yang merasuk hingga menyebabkan Leha meracu-racau.
Apa lagi Leha tidak dapat menahan kencing yang berterusan sampai berhelai-helai kain terpaksa digantikan.  Dia sendiri tidak sedar bagaimana kencingnya meleleh tidak henti-henti asal sahaja ditukar kain yang baru.  Perkara gangguan syaitan yang merasuk Leha bukanya boleh dilihat macam nampak tunggu kayu tersergam tengah belukar.  Siapa mahu percaya Leha di ganggu syaitan yang merasuknya hingga meracau-racau tidak menentu.
Salangkan Haji Mewalid guru madrasahnya di Melaka pun orang macam tidak percaya tatkala digiring oleh orang putih naik ke kapal untuk dibawa ke Singapura.  Marah sangat orang putih disebabkan Haji Mewalid berdakwah minta murid-muridnya kuatkan semangat.  Apabila orang putih salah tafsiran maksudnya mereka tuduh Haji Mewalid mahu melawan.
Sebab itu Haji Mewalid perlu dibawa ke Singapura menemui pegawai tinggi mereka.  Sewaktu Haji Mewalid dibawa naik ke kapal di kuala sungai tiba-tiba sahaja kapal tidak boleh bergerak setelah sauh diangkat.  Enjin kapal dihidupkan pun tidak mampu membawa kapal bergerak meninggakan kuala sungai.
Tentu siapa pun tidak percaya mengenai kapal orang putih tidak boleh bergerak kerana niat salah mahu membawa Haji Mewalid.  Memang mereka mahu larikan Haji Mewalid ke Singapura biar madrasahnya ditutup.  Sengaja orang putih mahu takut-takutkan murid Haji Mewalid supaya tidak datang belajar agama di madrasahnya.
“Siapa pun tak percaya dengan kejadian Haji Mewalid,”  ujar Dukun Manap apabila  bandingkan kejadian yang menimpa Leha.  Perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata masakan mudah mahu terangkan kepada sesiapa yang tidak memahaminya.
“Haji Mewalid tu orang alim, tak hairan apa-apa,”  sahut Mat Jani perlahan menatap muka bapa saudaranya.  Memang dia juga tahu mengenai kapal orang putih tidak bergerak di kuala sungai semasa mahu larikan Haji Mewalid ke Singapura.
“Semua itu dengan izin Allah,”  jelas Dukun Manap kerana tidak ada satu perkara pun yang menghairankan kalau Allah izinkan berlaku.
Apa sangat dengan kejadian kapal tidak bergerak selagi Haji Mewalid terconggok di atas geladak, kalau bandingkan dengan Haji Tulus semasa hayatnya memang orang alim yang warak.  Tetapi setelah bertahun-tahun Haji Tulus meninggal dunia, mereka sekadar mendengar cerita orang tua-tua sahaja mengenai doanya yang seringkali mereka harapkan.
Tidak pernah pun mereka menatap muka haji Tulus selain dari kuburnya tersergam tidak siapa pun mahu menjaga.  Lagi pun kubur lama memang terbiar tidak ada waris keturunan yang mahu ambil peduli.  Kalau musim hariraya mereka datang membersihkan kubur pun hanya ranggah rumput kuburan emak dan ayah sendiri sahaja.
Haji Tulus sudah beberapa keturunan mereka berlalu.  Tidak perlu lagi ambil peduli disebabkan rasa kekeluargaan sudah menipis.  Tetapi mereka bangga juga apabila disebut keturunan Haji Tulus guru agama yang disebut-sebut semasa hayatnya.
Hinggalah salah seorang orang besar di situ dibawa berubat ke hospital akibat terkejang lama menanggung kesakitan.  Disebabkan masa perintah orang putih hospital juga tidak cukup kelengkapan mahu mengubati orang besar berkenaan.  Memang keluarganya sanggup membawa berubat sampai ke England.
Dalam masa bersiap-siap mahu membawa orang besar itu berubat ke England, dia melihat seorang tua berjubah putih menjengahnya tatkala tengah malam sepi.  Lantas sahaja orang tua itu meminta isteri orang besar ambikan air satu jag.
Setelah dia doakan air di dalam jag itu disuruh orang besar minum dan basuhkan ke seluruh badan sama seperti mengambil suduk, dia bisikkan ke telinga orang besar supaya bacakan tujuh kali setiap kali mahu lelapkan mata:
Qul innama ana-basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum  ilahun wahidun faman kana yarju liqo-arabbihi falya’mal’amalan solehan wala yusrik bi’ibadati rabbihi ahadan.
Tiga malam berturut-turut lelaki berjubah putih itu menemui orang besar barulah dia memberi tahu mengenai dirinya Haji Tulus.  Memang tertegun apabila disebut Haji Tulus mengunjungi dia, disebabkan orang besar tahu Haji Tulus sudah meninggal dunia sejak bertahun-tahun.
“Jadi, tuan ni Tuan Tulus?”  gementar hati orang besar setelah mendapati dia dikunjungi oleh Haji Tulus.
“Sengaja nak tengok anak cucu dalam kesusahan,”  beritahu Haji Tulus tersenyum hingga tercium bau wangi di sekeliling bilik hospital oleh orang besar berkenaan.
“Penyakit saya dah beransur sembuh, tuan,”  jelas orang besar kerana menyedari dia bukannya bermimpi tatkala dikunjungi oleh Haji Tulus.  Tetapi selama tiga malam dia dikunjungi oleh Haji Tulus tidak terlintas di hatinya mahu memberi tahu sanak saudara.  Isterinya juga seolah-olah terlupa mengenai dikunjungi orang tua tersebut yang mendoakan air pada jag untuk diminum dan dibasuh ke seluruh badan macam mengambil wuduk.
“Alhamdullillah, bersyukur kepada Allah,”  Haji Tulus ingatkan orang besar supaya jangan terlalu kagum dengan air yang didoakan pada jag itu.
“Tapi, tuan yang ubatkan saya,”  orang besar tetap yakin dengan air yang didoakan oleh Haji Tulus itu menyebabkan dia sembuh serta merta.
Doktor di hospital juga berasa hairan disebabkan penyakit orang besar sembuh sebelum sempat dibawa ke England.  Macam tidak percaya doktor berkenaan apabila mendapati ketumbuhan dalam perut orang besar hilang dengan tidak perlu dibedah.
Keluarga yang sudah bersiap sedia mahu menghantar orang besar berubat ke England juga tidak percaya apabila diberi tahu mengenai kunjungan Haji Tulus.  Masakan Haji Tulus yang sudah meninggal dunia sejak bertahun-tahun tiba-tiba menjelma bukan di dalam mimpi.  Haji Tulus sendiri yang doakan air pada jag untuk minum dan disapukan ke seluruh badan.
Mereka sendiri melihat air di dalam jag yang di tunjukan oleh isteri orang besar.  Air di dalam jag itu digunakan untuk minum.  Apabila tinggal sedikit, cepat-cepat dituangkan oleh isteri orang besar air lain biar sentiasa penuh.
“Saya bersyukur kerana tuan telah selamtkan suami saya.”  tutur isteri orang besar melahirkan rasa gembira yang melonjak-lonjak di hati.
“Awak ni dah tak percayakan Allah ke?”  keras suara Haji Tulus macam tersinggung dengan ungkapan isteri orang besar yang semakin sihat di kalit hospital.  “Buat istighfar banyak-banyak, dan mengucap dua kalimah syahadat selalu!”  tegasnya ingatkan mereka suami isteri jangan mengulangi kata-kata demikian.
Terkejut juga mereka berdua apabila Haji Tulus memarahi mereka apabila sebut fasal kunjungan Haji Tulus itu menyelamatkan orang besar.  Kalau disebabkan Haji Tulus tidak menjelma nescaya orang besar akan dibawa ke England.  Belum tahu lagi ketumbuhan di dalam perut orang besar boleh diselamatkan apabila dibedah.  Sebab itu mereka percaya kunjungan Haji Tulus semata-mata mahu selamatkan orang besar yang terlantar sakit sejak berbulan-bulan.
Siapa lagi boleh diharapkan kalau hospital juga tidak memberi jaminan ketumbuhan dalam perut itu boleh diselamatkan.  Masa perintah orang putih bukan semuanya lengkap di hospital kalau mengidap penyakit bahaya seperti dialami oleh orang besar.
Dia sendiri sudah tidak menyimpan apa-apa harapan lagi apabila kenangkan ketumbuhan dalam perut itu boleh mengancam nyawanya.  Apalagi perjalanan membawanya ke England terpaksa memakan masa yang lama.  Siapa lagi boleh di harapkan selain dia berdoa kepada Allah memohon perlindungan dan pertolongan.
Kalau tidak disebabkan terkejang di katil hospital memang orang besar sanggup bangun tengah malam solat tahajud.  Dia bersedia cekang mata berturut-turut malam seperti disuruh oleh Lebai Mardah guru agama tempat dia bertanya.
Berkali-kali Lebai Mardah ingatkan dia supaya buat solat tahajud apabila berhadapan dengan kesukaran.  Memang Lebai Mardah juga kagum dengan kesunggguhan orang besar membantunya dirikan madrasah.  Bila-bila orang besar sanggup keluarkan duitnya sendiri kalau Lebai Mardah mahu mengajar agama.  Minta sahaja berapa banyak pun wang yang diperlukan untuk dirikan madrasah, memang orang besar tidak membantah apa-apa.
Perkara membuka madrasah bukan untuk kepentingan Lebai Mardah sendiri.  Masakan orang putih sanggup keluarkan duit beribu-ribu ringgit membantu mereka dirikan madrasah untuk anak-anak kampung belajar agama.  Satu-stunya yang boleh diharapkan oleh Lebai Mardah memang orang besar yang sanggup keluarkan duitnya menghulurkan bantuan.
Setelah orang besar terkejang sakit akibat ketumbuhan dalam perut, memang Lebai Mardah ingatkan dia supaya bangun tengah malam solat tahajud.  Tetapi orang besar sudah tidak bertenaga mahu bangun tengah malam akibat penyakitnya bertambah teruk.
Dalam masa harapkan dirinya sembuh sedikit untuk bangun tengah malam solat tahajud inilah dia dikunjungi oleh jelmaaan Haji Tulus di katil hospital.  Sebab itu orang besar suami isteri memang tidak dapat lupakan pertolongan Haji Tulus.
“Kenapa tuan kata begitu?”  hairan juga oang besar dengan pengakuan isterinya kerana mereka suami isteri terhutang budi kepada orang tua berkenaan.
“Allah yang menyelamatkan kamu, bukannya aku!”  ujar Haji Tulus terus menghilang dalam cahaya samar-samar di bilik hospital,
Sebaik sahaja keluar dari hospital, orang besar bina semula kubur Haji Tulus dengan diturap batu marmar.  Dia buat tahlil di masjid selepas berpuasa tiga hari berturut-turut.
Tahu sangat Dukun Manap kejadian yang pernah dialami oleh orang besar tersebut hingga terserempak Haji Tulus di bilik wad hospital.  Siapa yang tidak tahu mengenai Haji Tulus di kampung tempat tinggal orang besar itu, sekali pun sudah bertahun-tahun meninggal dunia.  Sampaikan kubur yang dibina oleh orang besar itu mereka kenali juga sebagai kubur Tuan Tulus.
Bukan orang besar sahaja pernah terserempak Haji Tulus, malah Dukun Manap juga menemui lelaki berjubah putih dengan janggutnya sampai ke dada itu semasa belajar di madrasah Lebai Mardah.  Hampir juga Dukun Manap terjerit ketakutan apabila orang tua berjubah putih itu tiba-tiba duduk di belakangnya semasa dia tunaikan solat sunat tahajud di tengah madrasah.
Dia satu-satunya murid di madrasah yang rajin bangun cekang mata di tengah malam untuk dirikan sunat solat tahajud.  Biarlah kawan-kawan yang lain nyenyak tidur kerana bimbang tidak sempat bangun solat subuh bersama Lebai Mardah.  Mereka akan kecewa sekiranya tertinggal solat subuh dengan berimamkan guru mereka, hingga terpaksa buat sendiri berseorangan kalau terlambat.
Tetapi Dukun Manap tidak pernah tertinggal solat subuh bersama Lebai Mardah sekali pun dia bangun tengah malam.  Perkara tidur bukan disebabkan cekang mata atau tidur yang menyebabkan mengantuk sangat, tetapi kesungguhan dalam diri sendiri.  Sebab itu Dukun Manap gagahi juga bangun tengah malam dirikan solat sunat tahajud di tengah madrasah.
Habis sahaja memberi salam, berdebar sangat hati Dukun Manap apakala tercium bau harum yang menusuk.  Sebaik sahaja dia berpaling ke belakang dia melihat lelaki tua berjumbah putih duduk di belakangnya memegang buah tasbih di tangan kanan.  Sementara tangan kiri memeluk tongkat yang di pangku di atas ribaan.
Dukun Manap tidak peduli sangat kehadiran orang tua berkenaan duduk di belakangnya.  Dia teruskan sahaja berzikir hingga terasa seluruh badannya meremang tegak bulu roma.  Sewaktu dia mahu balik ke tempat tidur, lelaki itu tidak kelihatan lagi di belakangnya.  Tetapi bau harum itu masih semerbak tercium di keliling madrasah.
Bagaimanha pun Dukun Manap tidak memberi tahu sesiapa pun mengenai lelaki tua berjubah putih yang tiba-tiba duduk di belakangnya.  Hingga tiga malam lelaki berkenaan menjelma tatkala dia solat sunat tahajud lantas Dukun Manap beranikan hati menegur sebelum sempat orang tua itu menghilang menjelang subuh.
“Aku nak berimamkan awak, apa salahnya?’  jelas lelaki berjubah itu tersenyum.
Setelah didesak oleh Dukun Manap perlahan dia memberi tahu mengenai dirinya Haji Tulus.  Sebaik mendengar nama Haji Tulus tertegun Dukun Manap kerana dia terkeliru dengan nama tersebut.  Seisi kampung hanya sekadar memanggilnya Tuan Tulus sahaja.  Dukun Manap juga mendengar dari kawan-kawannya di kampung berkenaan mengenai Tuan Tulus yang sudah meninggal dunia sejak bertahun-tahun dulu.
“Tuan ni, Tuan Tulus ke?”  tergagap-gagap Dukun Manap disebabkan terlalu gementar.
Tuan Tulus mengangguk.  Tersenyum dia kerana menyedari Dukun Manap dalam keadaan gementar.  Tahu sangat dia membaca hati Dukun Manap yang tidak percaya sedang berhadapan dengannya.  Lantas Haji Tulus menepuk-nepuk bahu Dukun Manap terus menuturkan.
“Kita ni sama-sama makhluk, jangan memuji-muji makhluk kerana segala puji itu hanya kepada Allah.”
Teragak-agak juga Dukun Manap mahu memberi tahu Lebai Mardah mengenai kejadian yang dialaminya tatkala tunaikan solat sunat tahajud di tengah madrasah.  Bimbang juga dia sekirannya Lebai Mardah tidak mempercayai dirinya.  Tentu kawan-kawan di madrasah menuduhnya sengaja berbohong semata-mata mahu menarik perhatian orang lain.
Sebab itu Dukun Manap tidak mahu memberi tahu sesiapa pun.  Biarlah Lebai Mardah tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang dialaminya itu.  Tetapi sewaktu sama-sama solat subuh selepas itu, terkejut benar Dukun Manap apabila Lebai Mardah menyuruhnya ke hadapan imamkan Jemaah.
“Perkara sakit Leha ni, memang perkara yang tak masuk akal!”  jelas Dukun Manap ingatkan anak saudaranya supaya bersabar menghadapi musibah demikian.
Di sebabkan Andak Miyah sendiri uzur, terpaksa juga Dukun Manap datang menjengah.  Sewaktu dia melangkah naik ke rumah Mat Jani memang sudah dirasanya dadanya di rempuh kuat seolah-olah kerbau jantan turun minyak menyondol laju.
Hampir juga Dukun Manap tercampak jatuh ke tanah akibat dirempuh kuat. Tetapi dia berpaut pada jenang pintu menyebabkan badannya melayang laksana bendera berkibar di tiang.  Terkejut juga Mat Jani kerana disangkanya bapa saudranya sengaja lunjurkan kaki dengan menghayun badan di muka pintu.
Setelah diberi tahu oleh Dukun Manap dia seolah-olah dirempuh kerbau jantan, tidak bertangguh dia membantu.  Lantas Dukun Manap ingatkan dia supaya berundur kerana perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata tidak sama dengan menghambat binatang liar tengah belukar.
Dia pun tahu fasal Mat Jani boleh cekak leher ular bisa mencodak kepala di mana-mana.  Bukan takat ular mencodak kepala sahaja boleh dicekak leher oleh Mat Jani, memburu buaya di tengah lubuk sungai pun dia sanggup lakukan.  Kadangkala merungut juga Ngah Sirah disebabkan suaminya buat kerja-kerja bahaya semata-mata mencari upah.
“Jauh kamu dari pintu`”  perintah Dukun Manap menyuruh anak saudaranya berundur.  Kemudian dia mjenahan nafas lantas membacakan: 
Wa-imma yanza ghannaka minasy saitoni nazghun fas-ta’iz billahhi innahu sami’ul ‘alim.
Tiga kali diulanginya segera Dukun Manap menampar jenang pintu tiga kali.  Sekali gus dia melompat semula ke tengah serambi lantas beristighfar beberapa kali.  Ketika ini tiba-tiba sahaja Leha terkekeh-kekeh ketawa seolah-olah mengejek Dukun Manap.
Sebaik sahaja Dukun Manap masuk ke tengah rumah dia melihat Leha bersila rapat bagaikan menunggu dia.  Apabila Dukun Manap perlahan-lahan duduk, tiba-tiba sahaja badan Leha terangkat hingga terapung-apung tiga kaki dari lantai.
“Apa pula bala ni?”  gerutu Ngah Sirah terkejut melihat kejadian yang menggerunkan dia. Tetapi Leha terkekeh-kekeh ketawa dengan terkencing mencurah di lantai.  Bertambah bingung Ngah Sirah menyebabkan dia menjerit tidak keruan.  Puas dipujuk oleh jiran-jiran yang perempuan, tetapi Ngah Sirah bertambah galak menjerit-jerit bagai mahu melepaskan geram yang mendongkol di hati.
Setelah diberi tahu oleh jiran-jiran mengenai Cikgu Karib terpaksa menjengah emaknya Andak Miyah selepas mengubati Leha, memang Dukun Manap sudah dapat mengagak gangguan tersebut tidak peduli siapa.  Asal sahaja cuba mengganggu akan diserbu tidak bertangguh.
Disebabkan jiran berkenaan memberi tahu Andak Miyah sudah beransur sihat setelah saya berkunjung ke situ, segera Dukun Manap mendesak Mat Jani mengajak saya menjengah Leha.  Dalam keadaan terdesak juga Mat Jani tidak bertangguh ke rumah Andak Miyah.  Dia berharap sangat Cikgu Karib memujuk saya mengikutnya jengah Leha ke rumah.
Sewaktu saya sampai di rumahnya bersama Cikgu Karib, keadaan Ngah Sirah masih belum reda.  Dia menjerit-jerit tidak menentu memaki sesiapa sahaja yang terlintas pada fikirannya.  Dalam masa yang sama Leha masih juga duduk terapung-apung dengan menumpu tangan ke kepala lutut.
Tersengih-sengih dia mengejek Dukun Manap yang tidak berganjak tersandar pada dinding.  Dia menunduk dengan berzikir jauh bergema dalam sanubari dengan tidak pedulikan jerit pekik Ngah Sirah.  Jiran-jiran juga cuba memujuk Ngah Sirah disebabkan suaranya juga sudah serak parau akibat menjerit-jerit tidak berkeputusan.
Sebaik sahaja saya duduk bersama Cikgu Karib, lantas Dukun Manap berjabat tangan.  Dia bisikkan kepada saya meminta sama-sama berdoa dengannya menghadapi gangguan yang tidak diketahui dari mana puncanya.  Saya mengangguk perlahan kemudian memberi isyarat kepadanya supaya mengawal Ngah Sirah sahaja.
Setelah Dukun Manap mendekati Ngah Sirah dia menudingkan jari telunjuknya ke muka terus membentak menyuruh Ngah Sirah duduk.  Apabila Ngah Sirah cuba membantah Dukun Manap menghembus ke dahinya dengan membacakan al-Fatihah tujuh kali.  Sekali gus Ngah Sirah terduduk dalam keadaan seluruh badannya menjadi lemah.
Apabila keadaan ngah Sirah mulai reda, saya kisarkan tapak tangan lantas mengusap-usap ke muka.  Setelah saya bacakan:
Allahhu yatawaffal anfusa hina mautiha wallati lam-tamut fi-manamiha fayumsikullati qoda ‘alihal mau-ta wayursilul ukhro ila-ajalin musammam,  inna fi-zalika la-ayatin liqaumim yatafakkarun,
 saya merasakan seluruh tubuh saya berputar ligat.
Lama berputar bagaikan air berpusar kuat, perlahan-lahan saya melihat Onyang Jami melaung-laung dari tingkap rumah.  Setiap kali Onyang Jami melaung, tergamang-gamang hati jirannya Aki Kiman.  Memang sudah menjadi pantang larang Aki Kiman tidak boleh mendengar perempuan melaung di tingkap tartkala senja masuk waktu.  Asal sahaja jeritan perempuan melaung kuat di tingkap dia merasa seluruh badannya seram sejuk.
Semenjak meninggalkan kampung halaman berpindah ke kampung tersebut Aki Kiman berharap amalan yang diamalkannya boleh luput.  Jauh dia merantau membawa isterinya hingga menyeberangi laut meninggalkan Kerinchi di Jambi semata-mata mahu selamatkan dirinya.  Aki Kiman kesal di sebabkan amalan itu juga dia menjadi mandul.
Setelah isterinya meninggal dunia, memang Aki Kiman mahu tinggalkan sahaja amalan tersebut.  Tetapi dia mesti harapkan anak kecil berumur sepuluh tahun sahaja boleh lakukan.  Kalau anak kecil itu berani memukul kepala jelmaan harimau yang mengganggunya dengan antan pengemping nescaya amalan tersebut luput juga.
Kalau tidak diperdayakan kawannya supaya minta turunkan amalan gurunya di Kerinchi memang Aki Kiman tidak akan terjun ke Sungai Kerinchi tengah malam tatkala gelap gelita.  Dia tidak akan meneguk air sungai itu tujuh teguk dalam masa menyelam hingga sampai ke dasar.  Manalah dia tahu boleh jadi mandul sampai tidak boleh mendapat anak langsung akibat amalan tersebut.
Tetapi tidak siapa pun anak kecil yang boleh diharapnya memukul kepala harimau jelmaan yang mendampingi dirinya.  Memang Aki Kiman tidak mahu lagi jelmaan harimau itu sentiasa terconggok di mana sahaja dia tergamang dengan laungan perempuan di tingkap tatkala senja masuk waktu.

SELESAI



Monday, March 21, 2016

168. SEBAHAGIAN BADAN JADI HARIMAU



SEBAIK sahaja senja mula samar-samar tidak bertangguh Ngah Sirah melaung anak-anaknya bermain di tengah halaman segera naik ke rumah.  Tingkap dan pintu mesti ditutup rapat.  Dia tidak benarkan anak-anaknya bermain tengah halaman tatkala senja masuk waktu.  Terjerit-jerit dia melaung dari tingkap dengan menjengah muka memerhatikan anaknya Leha terlompat-lompat main galah adang bersama kawan-kawannya.

Leha yang baru berusia sepuluh tahun tidak membantah apabila suara emaknya meninggi menyuruh dia segera naik ke rumah.  Dia tidak mahu emaknya marah sampai terjun ke tanah menghambat dia dengan rotan lilin panjang sehasta.

Memang Ngah Sirah risau kalau Leha bermain di tengah halaman tatkala senja masuk waktu.  Sudah menjadi pantang larang orang tua-tua ketika senja inilah syaitan berkeliaran mencari mangsa.  Manalah tahu anaknya Leha yang menjadi mangsa disebabkan leka bermain tatkala senja demikian.

Harapkan suaminya Mat Jani memang tidak pernah lekat di rumah.  Asal sahaja turun ke pekan kecil melalui jalan estet santak malam baru Mat Jani balik ke rumah.  Puas Ngah Sirah berleter sepanjang malam pun Mat Jani tidak peduli apa-apa.

Tahu sangat Ngah Sirah memang Mat Jani terconggok main mahjong di kedai kopi Ah Seng apabila dia turun ke pekan kecil.  Tetapi Mat Jani tetap akan habiskan masa di situ asal sahaja sudah sediakan semua keperluan dapur setelah dapat duit gajinya.

Mat Jani berkeras mengakui dia tidak main mahjong ikut gila berjudi sampai lupa rumah tangga.  Kalau terconggok di kedai kopi Ah Seng pun hanya hujung minggu sahaja apabila berkumpul dengan kawan-kawan Cina yang sama ambil kontrak menebang pokok di hutan.  Setelah penat memikul mesen gergaji menebang pokok, apa salahnya dia habiskan masa bermain mahjong.

Kalau kalah dua tiga puluh ringgit pun Mat Jani tidak peduli.  Memang dia tidak akan habiskan wang di saku kerana ikutkan perasaan mahu berjudi sampai santak pagi.  Dia sekadar mahu berseronok dengan kawan-kawan sahaja setelah penat bekerja menebang pokok sampai seminggu dua di tengah hutan.

“Tak baik kamu terjerit-jerit senja macam ni, Sirah!”  emak saudaranya Andak Miyah ingatkan supaya tidak melaung anak dari atas rumah dengan menjengah muka di tingkap.

“Kalau tak buat macam tu, Leha tu degil,”  beritahu Ngah Sirah tidak sabar dengan sikap anaknya yang asyik bermain di tengah halaman sekali pun senja sudah masuk waktu.

“Pantang orang tua-tua melaung waktu senja!”  ujar Andak Miyah yang masih berpegang kuat pada petua dan pantang larang turun temurun.

Tertunduk Ngah Sirah apabila disebut mengenai petua dan pantang larang sejak turun temurun.  Seisi kampung memang mematuhi Andak Miyah dengan petua dan pantang larangnya.  Dia satu-satunya bidan yang diharapkan oleh penduduk-penduduk kampung.  Siapa lagi boleh diharapkan di tengah kampung kalau bukan bidan yang memelihara petua dan pantang larang turun temurun.

Bidan seperti Andak Miyah sama juga macam bomoh yang tahu mengenai petua dan pantang larang.  Siapa yang melanggar petua dan pantang larang nescaya menerima musibah.  Sebab itu Ngah Sirah tidak membantah apa-apa setelah diingatkan oleh emak saudaranya supaya tidak melaung memanggil anak dengan menjengah muka pada tingkap tatkala senja masuk waktu.

Memang Andak Miyah marah benar sekiranya sesiapa melaung anak dari tingkap sebaik sahaja senja masuk waktu.  Dia akan memarahi sesiapa sahaja kalau melanggar petua dan pantang larang demikian.  Andak Miyah akan merungut panjang kalau sesiapa berdegil melanggar pantang larang yang sudah di ingatkan sejak turun termurun itu.

Setiap kali marah apabila dilanggar pantang larang melaung dari tingkap tatkala senja itu,  Andak Miyah akan ungkit fasal Onyang Jami degil sangat hingga tidak pedulikan pantang larang tersebut.  Biar pun Onyang Jami sudah bertahun-tahun berlalu, tetapi Andak Miyah tahu neneknya memang keturunan Onyang Jami.

Marah benar Onyang Jami disebabkan dua orang anaknya Munah dan Simat leka bermain dengan anak-anak jiran yang sebaya di tengah halaman setelah masuk waktu senja.  Segera dia menjengah di tingkap lantas melaung anaknya Munah dan Simat.  Anak kecil yang  baru berumur dua belas tahun dan sepuluh tahun itu tidak pedulikan laungan emaknya di tingkap.

Mereka asyik bermain lompat gagak hingga hiruk pikuk di tengah halaman.  Dalam keadaan marah itulah Onyang Jami turun ke tengah halaman lantas memiat telinga Munah memaksanya segera naik ke rumah.  Sebaik melihat telinga kakaknya dipiat, Simat juga segera naik ke rumah.  Teresak-esak Munah menangis disebabkan telinganya dipiat kuat.  Ketika ini anak jiran-jiran juga bertempiaran lari balik ke rumah setelah Onyang Jami becok memarahi Munah.

Tetapi tangisan Munah berbaur-baur bagaikan riuh sangat sama seperti hiruk pikuk tatkala bermain di tengah halaman.  Puas dia menjerit memaksa Munah diamkan diri, tetapi tangisan anak kecilnya masih berbaur-baur dengan keriuhan yang tidak menentu.

Dalam suasana riuh berbaur-baur ini Onyang Jami mendengar namanya dipanggil dari tengah halaman.  Sebaik sahaja dia membuka pintu suaminya Tok Biran tercegat di situ mengajak dia segera ke rumah ayahnya tengah sakit tenat.

“Macam mana budak-budak?”  Onyang Jami bimbang juga mahu tinggalkan anak-anaknya.

“Ajaklah mereka sama,”  desak Tok Biran tergesa-gesa mahu cepat ke rumah ayahnya tengah sakit tenat.

Tetapi Munah bersama adiknya Simat tidak mahu ikut sama disebabkan menahan rasa mendongkol di hati akibat dipiat telinga oleh emaknya.  Kalau ditinggalkan pun Tok Biran tidak bimbang apa disebabkan rumah ayahnya bukanlah jauh sangat jaraknya.

Dalam keadaan tergesa-gesa itu tok Biran terpaksa tinggalkan juga Munah bersama Simat di rumahnya.  Selepas keadaan ayahnya pulih semula dia boleh jengah anak-anaknya, boleh pujuk ikut sama ziarah datuk mereka terkejang sakit.

Sewaktu melintasi halaman rumah Aki Kiman dia nampak lelaki itu duduk berjuntai kaki pada anak tangga.  Hairan juga dia melihat orang tua itu duduk di tangga dalam keadaan senja samar-samar.

“Aki buat apa tu?”  Tok Biran menegur sebaik sahaja melalui halamn rumah Aki Kiman.

“Ah , panas di dalam tu,”  sahutnya mengipas-ngipas badan dengan kain hitam ikat kepala.  “Kamu nak kemana pula senja macam ni?”  Aki Kiman tidak berganjak duduk di tangga juntai kaki ke bawah.

“Ayah saya sakit,”  beritahu Tok Biran sugul.

“Kalau ia pun lepaskan dulu senja,”  ujar Aki Kiman ingatkan Tok Biran yang tergesa-gesa suami isteri tinggalkan rumah menjengah ayah terkejang sakit.

“Kami nak cepat, budak-budak pun tinggal di rumah.”  lantas Onyang Jami pula mencelah.  “Tolonglah Aki tengok-tengokkan Munah dengan Simat,”  dia harapkan orang tua itu boleh jengah anak-anaknya semasa mereka tiada di rumah.

Aki Kiman mengangguk.  Apa sangat jengahkan kanak-kanak berkenaan semasa Tok Biran suami isteri tiada di rumah?  Lagi pun dia jiran terdekat yang perlu ambil tahu perkara susah senang Tok Biran anak beranak.  Kalau tidak di sebabkan ayahnya sakit tenat tentu lelaki itu tidak harapkan dia menjengah kanak-kanak tersebut.

Apabila Tok Biran dan Onyang Jami tinggalkan halaman rumah tidak bertangguh Aki Kiman masuk ke rumah.  Tatkala senja masuk waktu memang tidak baik dia terconggok di tangga juntai kaki ke bawah.  Tetapi dia terconggok di situ sementara menunggu masuk waktu maghrib.  Kalau tidak disebabkan Tok Biran suami isteri berhenti menegur, memang dia sudah bercadang mahu naik ke rumah juga.

Ketika inilah Munah yang menangis teresak-esak dipujuk oleh adiknya Simat setelah emak mereka tinggalkan rumah.  Apabila menyedari emak dan ayahnya tiada di rumah, mula perasaan takut menyusup dalam jiwanya.  Kalau tidak disebabkan hatinya mendongkol dipiat telinga oleh emaknya, memang Munah tidak berani tinggal dua beradik sahaja di rumah.

Mahu mengekori emaknya ke rumah datuknya tengah sakit tenat bimbang juga Munah di sebabkan malam semakin gelap.  Belukar di kiri kanan lorong tengah kampung menyerkup laksana mulut ternganga luas.  Manalah tahu ditengah belukar harimau tercangkung menunggu mangsa!  Kalau tidak harimau pun boleh jadi ular sawa sebesar batang pinang berlingkar di tengah belukar.

Di dalam gelap malam dia tidak dapat melihat apa-apa pun.  Sudah tentu harimau atau ular sawa mudah memerangkap tatkala mereka melalui lorong kecil diserkupi belukar di kiri kanan.  Sebab itu Munah memujuk adiknya Simat supaya menunggu ayah dan emak mereka di rumah sahaja.

Setelah pelita dipasang di tengah rumah, Munah mendengar Aki Kiman memanggilnya dari tengah halaman.  Lantas dia menyuruh adiknya Simat bukakan pintu.

“Emak kamu suruh aku tengok-tengokkan kamu,”  tersengih-sengih Aki Kiman naik ke rumah terus duduk di tiang tengah.

Gembira benar hati Munah apabila orang tua berkenaan sudi temankan dia dua beradik.  Memang Aki Kiman jiran terdekat yang selalu ambil tahu mengenai keluarga mereka.  Kadangkala kalau tidak ada kelapa untuk masak gulai, emaknya akan suruh minta di rumah Aki Kiman.  Sekiranya masak lemak ikan sungai campur tempoyak, ayahnya Tok Biran akan menyuruh mereka dua beradik hantarkan sepiring untuk Aki Kiman.

Lagi pun Aki Kiman tinggal sendirian sahaja di rumah semenjak kematian isterinya.  Memang dia suka dengan kanak-kanak disebabkan dia sendiri tidak mempunyai anak.  Kalau kanak-kanak riuh bermain di tengah halamannya Aki Kima tidak akan hiraukan, sekali pun dia mahu berbaring lepaskan penat di serambhi rumah.

Tetapi setiap kali Munah bersama Simat jejak kaki ke rumahnya Aki Kiman ingatkan dia, kalau tetamu datang ke rumah mesti hulurkan tepak sirih.  Aki Kiman suruh dia kacipkan kunyit biar melekat pada mata kacip itu.

Munah ingat sangat petua Aki Kiman sekiranya mahu menguji orang yang berkunjung berniat jahat atau tidak.  Sekiranya berniat jahat memang tetamu tidak akan sentuh kunyit yang melekat pada mata kacip.  Apa lagi kalau tetamu itu duduk di tiang tengah dengan tidak berganjak tempat.

“Makanlah sirih Aki,”  Munah hulurkan tepak sirih dengan kunyit melekat pada mata kacip.

Aki Kiman mengangguk perlahan, tetapi dia tidak menyentuh pun tepak sirih yang dihulurkan.  Sekali sekala dia terkuap-kuap bagaikan mengantuk sangat mahu rebahkan kepala ke bantal.

“Bila Munah nak tidur?”  tersengih-sengih Aki Kiman mengerling anak kecil di hadapannya.

“Aku tunggu emak dan ayah balik,”  sahut Munah ramah kerana dia mesti tunggu juga emak dan ayahnya kalau mahu tidur pun.

“Kalau nak tidur, tidurlah,”  Aki Kiman seolah-olah memujuknya.  “Biar Aki tunggu emak dan ayah kamu balik,”  dia menuturkan lembut supaya kanak-kanak dua beradik segera masuk tidur.

Tetapi Munah bersama adiknya tidak juga mengantuk.  Buat apa dia masuk tidur kalau tidak mengantuk.  Lagi pun tidak sampai hati dia mahu tinggalkan Aki Kiman tersandar di tiang tengah menunggu emak dan ayahnya balik dari menjengah datunya sakit tenat.

Setelah lama menunggu Aki Kiman berkisar duduk dalam keadaan resah.  Munah dan adiknyha Simat tidak juga masuk tidur.  Dia juga tidak menjamah sirih yang dihulurkan oleh Munah depannya.

“Makan lauk lebih sedap dari sirih,”  bergetar suara Aki Kiman menusuk perasaan Munah.  Ketika ini dia teringatkan pesan Aki Kiman setiap kali bermain di halaman orang tua itu supaya jatuhkan kacip ke bawah rumah kalau tetamu tidak mahu menjamah sirih.

Tidak bertangguh Munah jatuhkan kacip tersebut ke bawah melalui celah lantai.  Kemudian cepat-cepat dia meminta kebenaran Aki Kiman mahu mengambil kacip tersebut di bawah rumah.

“Adik ambilkan kacip yang jatuh tu,”  Munah memberi isyarat kepada adiknya supaya turun ke bawah rumah.

Tapi Simat gementar mahu turun berseorangan sahaja di dalam gelap malam.  Setelah menarik adiknya ke serambi dia berbisik kepada adiknya supaya melihat pada tiang tengah.  Kalau melihat ekor harimau berjuntai panjang dia mendesak adiknya lilitkan pada tiang.  Simat mesti pegang kuluh-kukuh sampai dia memberi isyarat dari atas rumah.

Setelah adiknya turun ke tanah, Munah segera mencapai antan pengemping di celah gelegar di bawa naik ke atas.  Hairan juga Aki Kiman melihat Munah membawa antan pengemping ke depannya.

“Nak buat apa antan pengemping ni?”  Aki Kiman seolah-olah gementar merenung antan pengemping di tangan Munah.

“Kalau pelanduk melompat kita pukul, boleh buat lauk,”  ujar Munah menunggu isyarat daripada adiknya di bawah rumah.

Memang Simat melihat sendiri ekor harimau terjuntai dari atas lantai menjulur pada tiang tengah.  Dalam keadaan gementar itu di terpaksa juga mematuhi perintah kakaknya melilitkan perlahan-lahan ekor yang terjuntai itu ke tiang.  Dia akan pegang kuat-kuat biar harimau yang tercangkung diatas rumah tidak dapat berkuat.

Simat percaya dengan bisikan kakaknya Aki Kiman yang tersandar di tiang tengah jelmaan harimau cinaku.  Beberapa kali Munah melihat orang tua itu meneran kuat di pangkal tiang seolah-oleh tengah buang air besar.  Sewaktu dia meneran Munah melihat mukanya merah padam bagaikan terasa sakit yang menyenak.

Sebab itu dia percaya bukan Aki Kiman yang terconggok di depannya.  Kalau Aki Kiman tentu sirih yang dihulurkan di jamahnya.  Ketika ini Munah tetap ingatkan petua yang selalu dibisikkan oleh Aki Kiman kepadanya kalau melihat jelmaan dia di mana-mana.

Sebaik sahaja melihat jelmaan Aki Kiman itulah dia hulurkan tepak sirih dengan lekatkan kunyit pada mata kacip.  Setelah Aki Kiman tidak menjamah sirih berkenaan Munah sudah dapat menangkap orang tua di hadapannya bukan Aki Kiman.  Masakan Aki Kiman tidak menjamah sirih sedangkan orang tua akan memintanya sediakan sirih kalau jejak kaki ke rumahnya.

Apabila lelaki itu meneran kuat sampai mukanya merah padam.  Munah juga dapat bayangkan bagaimana Aki Kiman ingatkan dia mengenai harimau cenaku meneran ekor.  Asal sahaja naik ke rumah harimau cenaku akan duduk di tiang tengah mencari lubang supaya mudah hulurkan ekornya ke bawah.

Sebab itulah Aki Kiman suruh lekatkan kunyit pada mata kacip, biar harimau cenaku sukar meneran ekor.  Selagi ekornya tidak dapat diteran memang tubuhnya tidak akan bertukar menjadi harimau.  Setelah ekornya diteran panjang baru dia boleh tercangkung mahu menerkam mangsa.

Simat yang sudah diberi tahu oleh kakaknya juga membelit ekor terjuntai itu kuat-kuat ke tiang.  Dia memegang kuat supaya ekor itu tidak terlucut setelah dibelit kukuh.  Apabila mendapati ekor harimau cenaku yang terjuntai sudah tidak dapat digerakkan, lantas Simat memberi isyarat kepada kakaknya dengan berbatuk-batuk tiga kali.

Ketika ini tidak bertangguh Munah memukul kepala lelaki di depannya dengan antan pengemping.  Jelmaan Aki Kiman di tiang tengah cuba meronta tetapi  ekornya yang terjuntai ke bawah rumah sudah terbelit kuluh pada tiang.  Dia tidak dapat berkuat lagi apabila antan pengemping berulang kali singgah di kepalanya.

“Ah, kau nak bunuh aku ke, Munah?”  jerit lelaki tua yang menjelma macam Aki Kiman itu.

“Memang aku nak bunuh, sebab kau bukan Aki Kiman!”  sahut Munah lantas memberi isyarat kepada adiknya dibawah rumah supaya tidak lepaskan belitan ekor harimau cenaku pada tiang.

Ketika ini harimau cenaku itu mengaum dengan mengangakan mulut mahu menakutkan Munah.  Tetapi kanak-kanak itu semakin galak memukul dengan antan pengemping.  Pukulan yang bertalu-talu itu menyebabkan kepala harimau cenaku itu memercik darah.

Hampir setengah jam dia memukul kepala lelaki berkenaan barulah tubuh lelaki itu menjadi lembik hingga terguling ke lantai.  Setelah yakin jelmaan Aki Kiman itu tidak bernyawa lagi segera Munah memanggil adiknya naik ke rumah.  Mereka berdua naik ke atas peran rumah bersembunyi di dalam gulung tikar, kerana bimbang jelmaan Aki Kiman itu akan bingkas bangun semula mahu membalas dendam.

Lama bersembunyi dalam gulung tikar di atas peran, Munah bersama adiknya Simat terlelap tidak sedar apa-apa.  Hingga Onyang Jami bersama suaminya Tok Biran balik ke rumah kanak-kanak itu masih lagi terlina dalam gulung tikar di atas peran.  Sebaik melihat lelaki tua yang bahagian punggungnya sudah menjadi harimau itu terkejang kaku dengan kepalanya berlumuran darah mereka suami isteri cemas juga.

Lantas Tok Biran menuduh dua orang anaknya menjadi mangsa lelaki yang hampir bertukar menjadi harimau itu.  Tidak bertangguh dia menghunus golok mahu memenggal leher lelaki berkenaan.  Memang dia terkejut apabila mendapati wajah lelaki itu iras-iras dengan Aki Kiman.

Ketika ini Tok Biran tidak dapat menahan sabar lagi, disebabkan ayahnya yang sakit tenat sudah meninggal dunia.  Dia balik ke rumah semata-mata mahu menjemput dua orang anaknya.  Tidak patut tinggalkan Munah dan Simat di rumah setelah datuk mereka meninggal dunia.

Apabila Tok Biran menyerbu ke rumah Aki Kiman, dia terkejut melihat orang tua itu terkuap-kuap membuka pintu.  Hairan juga Aki Kiman apabila diberi tahu oleh Tok Biran mengenai harimau cenaku tergolek di atas rumahnya.  Apa lagi diberi tahu mengenai Munah dan Simat tidak ada di mana-mana.

“Bukankah kamu yang datang beri tahu aku, tak payah jengah anak-anak kamu?” ujar Aki Kiman memberi tahu Tok Biran sendiri datang ke rumahnya tatkala dia bersiap-siap mahu menjengah Munah dan Simat.

“Sepanjang malam aku di rumah ayah,”  jelas Tok Biran di sebabkan dia tidak berganjak duduk di sisi ayahnya tengah nazak.

“Hah, kita kena perdaya,”  sahut Aki Kiman terus mengajak Tok Biran segera balik ke rumah.

Memang dia melihat sendiri Tok Biran tercegat di tengah halaman beritahu mahu membawa anak-anaknya menjengah ayahnya tengah tenat.  Aki Kiman tidak perlu lagi temankan kanak-kanak tersebut.  Tidak bertangguh Aki Kiman terus sahaja masuk tidur setelah dua kanak-kanak itu megikut ayahnya.

Sebaik sahaja sampai di rumah Tok Biran terkejut juga Aki Kiman melihat lelaki tergolek itu menyerupai dirinya sekali pun bahagian punggung nya sudah bertukar menjadi harimau.  Aki Kiman dapat mengagak tentu harimau cenaku itu telah memperdayakan mereka seisi kampung.

Dalam masa cemas dengan kehilangan Munah dan Simat inilah kanak-kanak dua beradik itu terjaga.  Cepat-cepat mereka turun dari peran memberi tahu kejadian yang menimpa mereka.  Menghela nafas panjang Aki Kiman apabila kenang kanak-kanak dua beradik itu hampir menjadi mangsa harimau cenaku.

“Kalau Munah tak ingatkan pesan orang tua-tua, tentu dia binasa,”  keluh Aki Kiman beristighfar beberapa kali.  Mujur juga Munah ingatkan pesanan dia supaya tidak mudah percayakan tetamu yang datang berkunjung tatkala senja samar-samar.

Tahu sangat Aki Kiman jelmaan harimau cenaku yng menyerupai dirinya itu memang sudah bertahun-tahun mencari mangsa.  Sebab itu dia ingatkanh Munah supaya tidak terpedaya sekiranya terserempak dirinya berkunjung ke rumah tatkala sanja samar-samar.  Sudah lama dia mahu menghalang jelmaan harimau cenaku itu, tetapi bukan mudah mahu ditewaskan.

Kalau tidak kenang jelmaan itu memang keturunannya bila-bila Aki Kiman akan buka rahsia tersebut kepada orang-orang kampung.  Cuma satu-satunya yang boleh musnahkan jelmaan itu anak kecil seperti Munah.  Masakan anak kecil seperti Munah boleh diharapkan membunuhnya kalau diberi tahu berterus terang.

Tidak lama selepas harimau cenaku ditemui mati tergolek di rumah Tok Biran itulah mereka dikejutkan dengan kematian Aki Kiman.  Seluruh badannya calar balar bagaikan dicakar harimau liar.  Memang bahagian punggung Aki Kiman juga sudah bertukar menjadi harimau dengan ekor menjulur panjang.

Sebab itu Andak Miyah pantangkan jiran-jirannya supaya tidak melaung anak-anak dari jendela dengan menjengah muka tatkala senja masuk waktu.  Sejak turun termurun dari Onyang Jami lagi dia sudah diingatkan mengenai pantang larang tersebut, kerana tatkala senja syaitan berkeliaran mencari mangsa.

Tetapi semenjak dimarahi Andak Miyah itu memang Ngah Sirah tidak berani lagi menjengah di tingkap asal sahaja senja menjelang.  Kalau terdengar suaminya Mat Jani menongkat basikal di bawah rumah pun dia tidak akan jengah.  Biarlah Mat Jani terjongol sendiri di muka pintu naik ke rumah.

Seminggu selepas itu anaknya Leha pula seringkali mengigau tatkala nyenyak tidur tengah malam.  Kadangkala Leha akan berjalan ke dinding terkial-kial mahu memanjat.  Terpaksa pula Mat Jani menepuk-nepuk pipi anak kecil itu biar dia segera sedar.

Kadangkala Leha akan terkencing di tempat tidur akibat ketakutan semasa mengigau.  Apabila ditanya oleh Mat Jani memang Leha mengaku dia bermimpi lelaki tua menyerbu masuk ke dalam rumah.  Bahagian punggungnya sudah bertukar menjadi harimau dengan ekor terjulur panjang.

Setelah diberi tahu Andak Miyah dia sendiri membakar kemenyan menyeru Onyang Jami menjelma biar penyakit Leha dapat diubati.  Tiga malam berturut-turut Andak Miyah membakar kemenyan dia sendiri mengalami sakit kepala berdenyut-denyut sampai merapik-rapik.

Hampir seminggu Andak Miyah demam diganggu sakit kepala berdenyut-denyu anaknya Cikgu Karib mengajak saya datang menjengah.  Memang Andak Miyah lemah tidak bertenaga semasa saya bersama  Cikgu Karib jejak kaki ke rumahnya.

“Biar ustaz ni tengokkan penyakit mak,”  Cikgu Karib beri tahu dia supaya bersabar dalam masa diganggu penyakit.  “Selepas ni, boleh kita ke hospital,”  dia cuba memujuk emaknya yang enggan kalau disebut mahu dibawa ke hospital.

“Bila ustaz ni jampikan, malam ini ke?”  tersenyum Andak Miyah dengan harapan anaknya tidak berkeras mahu membawanya ke hospital.  Kalau saya tidak datang menjengah bersama Cikgu Karib, dia sendiri sudah bercadang minta jemputkan Dukun Baseli.

“Ustaz ni bukan bomoh,”  jelas Cikgu Karib perlahan.  “Dia doakan emak aje, tak payah tunggu malam,”  ujar dia selanjutnya kerana menyedari emaknya menyangka saya akan menunggu sehingga malam.

Tahu sangat Andak Miyah kalau harapkan Dukun Baseli, memang dia akan membuat ramuan ubat pada sebelah malam sahaja.  Tidak pernah pun dukun mengubati pesakit waktu siang.  Kalau di beri tahu siang hari pun, Dukun Baseli akan menjengah sebaik sahaja malam kian gelap.

Hanya setelah malam gelap sahaja Dukun Baseli boleh menyeru pendampinganya datang menjelma.  Apabila pendampingnya menyeru datang barulah Dukun Baseli dapat mengagak penyakit yang mengganggu.  Dia juga akan dapat mengagak ramuan ubat yang perlu disedaiakan setelah dibisikkan ke telinganya oleh pendampingnya.

Siapa pun tidak melihat pendamping yang sentiasa tercegat di sisi Dukun Baseli tatkala dia membakar kemenyan.  Cuma dia satu-satunya yang melihat pendampingnya laksana lembaga hitam seperti asap berkepul.  Sekali sekala pendamping itu akan menjelma seperti harimau tercangkung di depan tempat bakar kemenyan.

Memang hairan Andak Miyah apabila diberi tahu oleh Cikgu Karib saya tidak berjampi hingga terpaksa menunggu malam hari baru mahu mulakan mengubati dia,  Cikgu Karib jelaskan saya sekadar berdoa sahaja dengan tidak menetapkan waktu malam sahaja.  Bila-bila masa sahaja boleh berdoa kerana Allah sahaja menentukan sama ada dimakbulkan atau sebaliknya, sama ada dicepatkan atau dilambatkan.

“Sakit kepala sikit aje, tapi rasa berat pula,”  keluh Andak Miyah apabila disuruh oleh Cikgu Karib berlunjur kaki di depan saya.

Saya menyuruh dia letakkan tapak tangan kanan ke dada sebelah kiri dengan menyebut Allah berulang kali seberapa banyak yang boleh dengan tidak dilafazkan.  Tidak sampai seratus kali dia mengulangi menyebut Allah,  Andak Miyah mengakui debar dadanya bergoncang kuat.  Tetapi saya suruh juga dia lakukan berterusan.

Ketika ini saya beristighfar 100 kali, diikuti dengan tasbih juga 100 kali.  Apabila saya membaca al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali dan Ayatul Kursi tiba-tiba sahaja Andak Miyah menangis tersengguk-sengguk.

Lantas saya menyuruh Cikgu Karib memegang ibu jari kaki emaknya dengan membacakan Ayatul Kursi sampai 100 kali.  Semakin diulangi oleh Cikgu Karib membaca Ayatul Kursi bertambah galak Andak Miyah tersengguk-sengguk menangis.  Setelah melihat Andak Miyah terlalu sebak menahan tangisan yang menggegar tubuhnya saya bacakan ke telinganya:

“Innama ilahukumul lahhul lazi la-ilaha illa huwa, wasi’a kulla syai-in ‘ilman.”

Apabila saya ulangi tiga kali membacanya Andak Miyah mula dapat mengawal perasaannya, tetapi tangisannya masih juga tesengguk-sengguk.  Berkali-kali dia beristighfar setelah saya menyuruhnya berbuat demikian.  Setiap kali dia beristighfar perlahan-lahan Andak Miyah mengesat pelupuk matanya dengan lengan baju.

Selesai sahaja saya doakan dia Andak Miyah mengaku hatinya sebak seolah-olah dirinya bagaikan mayat terbujur.  Doa yang dibacakan itu terlalu memilukan hatinya hingga tidak dapat menahan sebak di dada.

“Andak dengar apa yang ustaz baca,”  ujarnya melirik senyum mengerling saya,  “Tapi, Andak tak dapat kawal perasaan,”  dia merasa hairan kerana mengalami kejadian demikian.

Dia bukanlah pengsan hingga tidak sedar diri langsung.  Tatkala saya bacakan doa memang Andak Miyah tahu apa sahaja berlaku, Cuma dia tidak dapat mengawal perasaan.  Berulang kali dia menahan sebak di dada supaya tidak menangis tersengguk-sengguk, namun semakin galak pula dia mengongoi panjang.

Sebab itulah Cikgu Karib desak juga saya ikut dia jengah emaknya selepas habis bertugas tengah hari.  Andak Miyah sendiri berharap sangat saya datang kerumahnya, di sebabkan semenjak saya datang menjengah sakit kepalanya tidak mengganggu lagi.  Demam yang datang hingga terasa seram sejuk asal sahaja senja masuk waktu juga tidak lagi terasa.

Saya terpaksa penuhi juga ajakan Cikgu Karib disebabkan masa terluang memang ada.  Apalah salahnya jengah Andak Miyah setelah dia berasa pulih dari sakit yang mengganggunya.  Tetapi sewaktu saya sampai bersama Cikgu Karib dia tiba-tiba merungut-rungut tatkala kami melangkah masuk.  Hidangan tengah hari yang disediakannya juga tidak sempat di jamah, apabila Andak Miyah lantas sahaja menjerkah saya.

Terkejut Cikgu Karib dengan sikap emaknya yang berubah menjadi bengis sebaik sahaja saya jejak kaki ke atas rumah.  Marah benar Andak Miyah melihat saya tercegat di belakang Cikgu Karib.

“Kenapa kau bawa ustaz ni, Karib?”  jerkah Andak Miyah bercekak pinggang merenung tepat ke muka Cikgu karib.

“Bukankah emak yang suruh dia datang?”  pujuk Cikgu Karib bimbang saya tersinggung dengan sikap emaknya itu.

“Aku tak suruh dia datang, kamu yang memandai-mandai!”  jerit Andak Miyah mahu menerkam kearah saya,  Tetapi dia teragak-agak disebabkan Cikgu karib berdiri di hadapan saya.

“Kenapa mak marah-marah ni?”  serba salah Cikgu Karib dengan perubahan emaknya tiba-tiba.

Tetapi segera saya bisikkan pada Cikgu Karib ketika itu bukannya Andak Miyah yang merungut-rungut marah.  Terpaksa kami berdua tidak sempat menjamah hidangan tengah hari yang disediakan oleh Andak Miyah, setelah gangguan yang merasuk dirinya mula melawan.  Memang ketika mula-mula saya datang menjengah gangguan yang merasuk itu bersembunyi di sebalik tangisan Andak Miyah yang tersengguk-sengguk.

Ketika itu memang dia sudah menderita terseksa apabila dibacakan ayat-ayat dari al-Quran.  Setelah menyedari saya akan membacakan lagi ayat-ayat Allah, sebab itulah gangguan yang merasuk itu lantas melawan.

Apabila saya mahu mendekati Andak Miyah tidak bertangguh dia menerkam.  Belum pun sempat dia menghampiri saya sekali gus dia terpelanting jatuh bergolek di lantai.  Bertambah marah dia disebabkan jatuh seolah-olah ditolak kuat.

“Ilmu apa yang awak pakai ni?”  gerutu Andak Miyah menukar suara menjadi serak parau bagaikan lelaki tua terketar-ketar.

Saya tidak menyahut apa-apa kerana tidak perlu melayani gangguan yang merasuk Andak Miyah itu.  Tidak bertangguh saya bacakan:  

Wala tad’u ma’aAllahhi ilahan akholra la-ilaha illa huwa kullu syai-in halikun illa waj-hahu lahul hukmu wa-ilaihi turja’un.

Apabila saya genggam tangan dan menggoncang-goncangnya beberapa kali saya melihat tubuh Andak Miyah ikut bergoncang sama.  Dia terjerit-jerit meminta saya hentikan sahaja menggoncang tangan.  Tetapi saya tidak perlu mendengar apa pun permintaannya kerana gangguan syaitan tidak boleh dilayani kemahuannya.

“Kenapa ganggu aku?”  gerutu Andak Miyah menggertap bibir menahan rasa geram di hati.

“Ganggu apa pula!”  sahut Cikgu Karib sudah memahami apa sebernya yang menimpa emaknya ketika itu.

“Ustaz nak halau aku dari sini!”  Andak Miyah mencebek bibir meluahkan perasaan yang mendongkol.

“Tidak, ustaz tak halau sesiapa,”  Cikgu Karib memujuk emaknya supaya bertenang.

“Kamu apa tahu, ustaz ni biadap!”  bertambah marah Andak Miyah setelah Cikgu Karib cuba melayaninya.

Dalam masa Cikgu Karib cuba memujuk emaknya saya teruskan juga membaca: 

Alif lam mim sad, kaf ha ya a’in sad, ha mim a’in sim kof, uskun aiyuhal waji’billazi, inyasya  yuskinirriho fayazlalna rawakido’ala zoh-rihi, inna fi-zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.

Apabila saya kisarkan tapak tangan Andak Miyah mula merangkak laksana harimau dengan mencakar-cakar lantai.  Tersenyum saya disebabkan gangguan syaitan yang merasuk sudah tidak dapat berselindung lagi di sebalik Andak Miyah.

“Hah, sekarang dah tunjukkan diri ye?”  sengaja saya mengejek menyebabkan Andak Miyah berubah suara lantas menderam bagaikan harimau liar di tengah hutan.

“Aku nak jaga Miyah, kenapa ustaz nak halau?”  Andak Miyah menunduk dalam suara yang lemah.

“Awak pun makhluk, buat apa nak jaga makhluk!”  ujar saya keras terus mengejeknya dengan mencemik muka.

“Kesian tengok Miyah, tak ada orang nak jaga dia,”  sahutnya mahu mengelirukan saya dan Cikgu Karib.

“Allah lebih tahu melindungi sesiapa yang dikehendakinya,”  jerkah saya merenung tepat ke mukanya dengan tidak berkedip mata.  Tersengih-sengih Andak Miyah, kerana saat ini dia menyedari saya melihat bahagian punggungnya sudah bertukar menjadi harimau.  Ekornya yang panjang juga terkotek-kotek.

Tentu Cikgu Karib tidak memahami apa sebenarnya berlaku ketika itu.  Tetapi Andak Miyah sendiri diperdayakan oleh jelmaan lelaki yang bahagian pinggang hingga ke kaki bertukar menjadi harimau.  Tubuh lelaki itu seakan-akan bersatu dengan tubuh Andak Miyah.

Apabila saya hembuskan al-Fatihah tujuh kali, surah al-Ikhlas tujuh kali dan Ayatul Kursi 11 kali, tubuh lelaki itu seolah-olah terkopak dari tubuh Andak Miyah menyebabkan dia terjerit-jerit kesakitan.  Ketika ini Cikgu Karib melihat emaknya mengeliat-geliat bagaikan kulitnya tersiat menahan kesakitan.

Lelaki yang bahagian punggung hingga ke kakinya menjelma bagaikan harimau itu mengerang-erang apabila tubuhnya dipisahkan dari tubuh Andak Miyah dengan hembusan al-Fartihah.  Kemudian dia menangis teresak-esak setelah saya memaksanya berundur jauh dari Andak Miyah.

Asal sahaja dia cuba mendekati Andak Miyah saya ulangi membacakan Ayatul Kursi 11 kali menyebabkan kilat berkilau diikuti petir menyambar dari udara.  Tubuhnya melecur teruk akibat disambar petir setiap kali Ayatul Kursi dibacakan berulang-ulang.

Tatkala petir dan kilat menyambar bayang jelmaan lelaki yang sebahagian tubuhnya menjadi harimau itu, Andak Miyah bertambah lemah.  Dia terlentang di atas tikar dengan termengah-mengah.  Ketika inilah Mat Jani tercungap-cungap memanggil Cikgu Karib dari tengah halaman.

Memang dia sudah mendengar Cikgu Karib balik menjengah Andak Miyah yang tidak sihat sejak beberapa hari setelah mengubati Leha.  Dia juga diberi tahu oleh bapa saudaranya Dukun Manap mengenai kunjungan saya menjengah Andak Miyah tidak sihat badan itu.

Sebab itu Dukun Manap desak Mat Jani supaya ajak saya menjengah Leha yang diganggu ketakutan tidak bersebab.



SELESAI