Monday, August 24, 2015

138. BAYANG PENUNGGU DI RUMAH TINGGAL


BEBERAPA kali jiran berhampiran mendengar tangisan halus di tengah malam dari arah rumah limas besar peninggalan Anjang Kiman. Tidak siapa pun mendiami rumah limas berkenaan selepas kematian Anjang Kiman disebabkan anak-anak tidak menetap di kampung. Utih Bedah isterinya juga tidak menetap di kampung setelah kematian Anjang Kiman hampir dua tahun sebelumnya.
Memang Utih Bedah balik juga ke kampung menjengah rumahnya. Tetapi tidak lama dia mahu bermalam. Paling lama pun tiga malam sahaja Utih Bedah di kampung, anaknya Bahari akan segera menjemputnya. Kadangkala tidak sempat dia mahu berkemas-kemas sampai bersih keliling kelalang rumah disebabkan anaknya tergesa-gesa mengajak balik ke Kuala Lumpur.
Bimbang benar Bahari membiarkan emaknya lama di kampung kerana tidak ada siapa pun mahu menguruskan orang tua itu. Kalau tidak Bahari adiknya Saemah pula akan membawa emaknya ke Johor Bharu. Memang mereka tidak mahu emaknya tinggal sendirian di kampung setelah kematiannya ayahnya Anjang Kiman itu.
Semenjak dua tahun Utih Bedah dibawa tinggal bersama oleh anak-anaknya, jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah limas berkenaan mendengar suara perempuan menangis teresak-esak. Kadangkala mereka nampak lampu terpasang di bilik rumah. Tetapi mereka tidak pula berani mengendap mahu memastikan siapa memasang lampu di rumah berkenaan.
"Sudah beritahu kejadian itu pada Utih Bedah?" Mat Cebek bertanya pada bapa saudaranya Malim Kecik yang tinggal berdekatan dengan rumah tersebut.
"Serba salah nak beritahu dia," jelas Malim Kecik kerana tidak mahu kejadian itu menyinggung perasaan Utih Bedah. Manalah tahu orang tua itu akan berkecil hati sekiranya dituduh rumah limas peninggalan suaminya berhantu.
"Boleh jadi Utih Bedah yang balik," ujar Mat Cebek menuduh suara perempuan menangis itu memang perempuan berkenaan.
"Kalau dia balik, Utih Bedah datang ke rumah ni," cepat-cepat Alang Limah menyampuk kerana tidak mahu dia suami isteri dituduh sengaja mengada-adakan cerita mengenai suara perempuan menangis di rumah limas tersergam.
"Limah pun dengar," beritahu Malim Kecik setelah didesak oleh sepupunya itu.
Memang Mat Cebek tidak percaya sangat mengenai kejadian di rumah arwah bapa saudaranya Anjang Kimin itu. Masakan rumah peninggalan itu berhantu kalau arwah Anjang Kimin tidak pernah amalkan ilmu salah. Tahu benar Mat Cebek sikap bapa saudaranya yang tidak pernah ambil peduli masalah jiran-jiran.
Sepanjang masa dia habiskan waktunya di kebun sampai santak senja. Tidak ada waktu kalau dia mahu amalkan ilmu salah atau mengumpat jiran-jiran. Tetapi dia tidak pernah menolak sekiranya dijemput hadir kenduri kendara atau nikah kahwin dalam masyarakat kampung.
Jiran-jiran juga tahu mengenai arwah Anjang Kimin yang tidak pernah menyakiti hati mereka. Lagipun Anjang Kimin bukan suka sangat berbual-bual kalau tidak berkenaan di hatinya. Apabila menghadiri majlis kenduri atau kahwin jiran-jiran, dia sekadar mendengar orang berbual sahaja. Mahu mencelah cakap orang pun Anjang Kimin tidak gemar hingga memburuk-burukkan orang lain.
Sebab itu Mat Cebek tidak percaya suara perempuan menangis di rumah peninggalan bapa saudaranya itu berpunca daripada amalan salah yang diamalkan semasa hayatnya.
Setelah diberitahu oleh Malim Kecik dan Alang Limah mengenai kejadian di rumah limas itulah, Mat Cebek sengaja mahu memastikan. Dia sendiri akan mengendap ke situ kalau mereka nampak lampu terpasang di bilik tidur.
Hingga seminggu Mat Cebek di kampung puas dia menunggu di rumah Malim Kecik, tetapi tidak ada pun lampu terpasang. Apabila tidak ada lampu masakan ada suara perempuan menangis sayup-sayup di tengah malam. Kecewa benar Mat Cebek kerana habiskan masa di kampung samata-mata mahu mengendap di rumah limas arwah Anjang Kimin.
"Agaknya penunggu tu takutkan kamu, Mat," usik Alang Limah yang sama-sama hampa tidak dapat membuktikan dakwaannya.
Sudah ramai orang-orang kampung yang tahu mengenai kejadian di rumah Anjang Kimin itu. Memang Alang Limah sendiri yang beritahu kerana dia bimbang ada anak-anak muda sengaja mahu menakut-nakutkan dia.
Tetapi bukan Alang Limah Malim Kecik sahaja yang terdengar suara perempuan menangis di rumah limas berkenaan, Abang Dusak juga mendengar. Sekalipun rumahnya jauh sedikit ke darat. Ngah Saenah juga dengar tangisan mendayu-dayu tengah malam itu bagaikan merintih tidak menentu.
Mulanya Ngah Saenah menyangka Alang Limah yang merintih akibat sakit kepala berdenyut-denyut. Pernah juga Alang Limah pitam tatkala menabur benih padi di tapak semaikan disebabkan sakit kepala menyerang tiba-tiba. terpaksa pula Ngah Saenah memapah cari tempat berlindung di bawah rumpun buluh merendang.
Bukan mereka sahaja terdengar, malah ramai orang-orang kampung yang mendengar suara perempuan merintaih di tengah malam itu. Setelah diamati-amati memang sah datangnya dari rumah limas tersergam. Mereka tidak ambil peduli sangat tangisan tersebut.
Tengah malam mungkin elusan angin menerobos ke celah dinding hingga kedengaran seperti rintihan orang menangis. Terkekeh-kekeh juga mereka tertawa apabila Cikgu Sidik beritahu mengenai elusan angin memukul atap kuarters sekolah dia mengajar masa perintah orang putih, kedengaran seperti orang berjalan.
Tidak siapa pun berani tinggal di kuarters sekolah berkenaan disebabkan gangguan demikian. Siapa sahaja mendiami kuarters berkenaan tidak boleh bertahan lama. Paling lama pun tiga minggu sahaja mereka bertahan, pasti akan mengambil keputusan berpindah. Mereka lebih rela menyewa rumah ditepi kampung asal sahaja tidak diganggu puaka di kuarters berkenaan.
Cuma Cikgu Sidik satu-satu-nya yang memberanikan hati mendiami kuarters tersebut. Biarlah puaka yang bertunggu-tangga di situ menguji dia setiap malam.
Memang isterinya juga tidak sanggup terus mendiami kuarters tersebut setelah diganggu bunyi tapak orang berjalan di tengah malam. Kemudian diikuti dengan rungutan kecil bagaikan orang berbisik-bisik. Setelah disuluh keliling kawasan sekolah dengan lampu sambung ubat enam, tidak ada bayang apa pun melintas.
Puas memikirkan cara mahu memerangkap gangguan berkenaan, Cikgu Sidik memadamkan semua lampu hingga kelilingnya menjadi gelap gelita. Biarlah isterinya ketakutan tinggal di dalam gelap demikian, asalkan gangguan yang ditakuti orang itu menjelma juga.
Masa perintah orang putih memang kuarters sekolah diperbuat dari rumah papan beratap dua lapis. Di sebelah atasnya atap rembia dan di bawahnya atap zink. Silingnya diperbuat daripada papan seperti lantai juga.
Setelah lampu semua padam hingga keliling sekolah bergelap, Cikgu Sidik sengaja duduk di tangga batu yang tinggi. Memang tiang rumah kuarters itu juga tinggi hingga boleh letakkan kereta di bawah rumah pun. Lama duduk di atas tangga Cikgu Sidik nampak bayangan melintas seperti burung dengan kapak melebar. Dia sengaja tidak menyuluh dengan lampu di tangan sekalipun dadanya berdebar juga. Bayangan melintas seperti burung terbang itu memang keluar di celah atap di antara zink dan rembia itu. Setelah lama memerhatikan bayangan melintas itu semakin banyak, lantas Cikgu Sidik menyuluh tidak bertangguh.
Tersengih-sengih dia apakala ternampak bayangan kelawar di dalam gelap itu yang banyak berkeliaran. Kepak kelawar itu berbunyi seperti tapak kaki orang berjalan di tengah halaman sewaktu menyusup ke bawah celah lapisan atap.
Serentak dengan itu pula bunyi rungutan orang berbisik-bisik itu kedengaran di celah alang rumah kuarters di kepala tiang yang berlubang-lubang dikorek oleh kumbang. Tahulah Cikgu Sidik bunyi berkenaan menjadi lebih seram tatkala angin malam mengelus memukul rimbunan pokok-pokok kayu di sekeliling sekolah.
"Hah, tengah malam bunyi kumbang dalam lubang pun macam orang merintih," ujar Cikgu Sidik apakala orang-orang kampung heboh dengan kejadian dirumah Anjang Kimin.
"Tapi, macam mana dengan Iampu terpasang di bilik tidur-nya tu, cikgu?" Malim Kecik yakin dengan kejadian yang dialaminya sekalipun Cikgu Sidik berkeras tidak mempercayainya. Manalah Cikgu Sidik yang lama merantau itu tahu dengan suasana dalam kampung. Lagi pun semenjak bersara Cikgu Sidik mudah sahaja tidur sebaik habis isya, disebabkan tidak banyak masalah mengganggu fikiran.
Manalah Cikgu Sidik tahu fasal keadaan yang menyelubungi rumah peninggalan Anjang Kimin. Perkara gangguan yang ditakuti orang untuk tinggal di kuarters sekolah tempat Cikgu Sidik berkhidmat tentulah tidak sama dengan rumah peninggalan Anjang Kimin itu.
"Kalau takut, tunggul pun kita sangka hantu," Cikgu Sidik mengusik jirannya yang percaya sangat dengan kejadian di rumah Iimas tersergam itu tatkala malam menjelang.
"Saya dah seminggu menunggu tak ada dengar apa-apa pun," ujar Mat Cebek disebabkan hampa untuk melihat sendiri kejadian yang berlaku. Sewaktu mereka berkumpul di tangga surau selepas solat zohor berjemaah, Melah Becok termengah-mengah memberitahu anaknya Mat Cebek mengenai bunyi orang bertukang rumah dari arah rumah limas tersergam itu. Mat Cebek tidaklah tergesa-gesa mahu menjengah kerana bunyi orang bertukang rumah di siang hari hanya perkara biasa sahaja.
Tetapi Melah Becok mengakui bunyi orang bertukang itu datang dari rumah limas berkenaan. Sampaikan anak gadisnya Mayah pun gementar tidak menentu sebaik sahaja mendengar bunyi orang bertukang. Terketar-ketar Mayah memberitahu emaknya dia nampak Anjang Kimin memanjat tangga betulkan dinding dapur rumah limas itu yang tergajai jatuh.
Disebabkan mereka diberitahu mengenai Mayah ketakutan hingga pucat bibir, segeralah Mat Cebek mengajak jemaah lain ke rumah emaknya. Dia sendiri di antara percaya dengan tidak sahaja dakwaan emaknya mengenai bunyi orang bertukang di rumah Anjang Kimin.
Kalau adiknya Mayah menuding ke arah rumah itu memberitahu nampak Anjang Kimin memanjat tangga, tentulah perkara lain pula. Dia mesti desak adiknya beritahu apa sebenarnya yang dilihat. Setelah dua tahun Anjang Kimin meninggal dunia kenapa tiba-tiba sahaja jelmaannya muncul di siang hari?
Ketika mereka sampai di rumah Melah Becok, tidak siapa pun mendengar bunyi orang bertukang rumah. Alang Limah yang datang ke situ juga tidak mendengar apa-apa. Kalaulah benar bunyi bertukang itu datang nya dari rumah Anjang Kimin, tentulah dia lebih jelas mendengar disebabkan kedudukan rumahnya lebih dekat.
"Eh, Anjang Kimin jatuh tangga," terjengket-jengket Mayah mahu melompat terjun tingkap seolah-olah mahu membantu Anjang Kimin. "Cepatlah tolong Anjang Kimin jatuh tu, kesian dia!" rintih Mayah setelah ditegah oleh jiran-jiran supaya tidak terjun ikut tingkap.
"Mana ada Anjang Kimin!" jerkah Mat Cebek memarahi adiknya yang meronta-ronta mahu melepaskan diri. "Adik kamu ni sakit, Mat " lantas Malim Kecik mengingatkan. "Kena diubati, bukannya diherdik-herdik macam ni," tegasnya macam memarahi anak muda itu yang terburu-buru bertindak.
"Kamu tak tahu ke bezakan orang sakit dengan tidak?" Alang Limah juga tidak senang dengan sikap Mat Cebek demikian.
Terdiam Mat Cebek. MenyesaI juga dia apabila memarahi adiknya tidak bersebab. Dia menyangka Mayah sengaja berpura-pura menuduh Anjang Kimin jatuh memanjat tangga disebabkan terlalu ketakutan. Mungkin juga Mayah terkejut setelah seisi kampung gempar dengan cerita mengenai rumah Anjang Kimin ada penunggu.
Tetapi Mayah benar-benar dirasuk. Mulutnya mula berbuih dengan mata terbalik. Kalaulah jiran-jiran lambat sampai apabila Melah Becok berkejar ke surau menjemput Mat Cebek, belum tahu apa akan terjadi. Boleh jadi Mayah akan terkejang menggelepar dengan tidak dibantu apa-apa.
"Nak buat apa sekarang ni?" Melah Becok tidak keruan dengan keadaan anak gadisnya resah mahu melarikan diri. Dia mahu segera menyerbu ke rumah limas tersergam untuk membantu Anjang Kimin. Berkali-kali dia memberitahu Anjang Kimin jatuh tangga memanjat untuk betulkan dinding rumah yang tergajai.
"Macam mana cikgu?" segera Mat Cebek berpaling memandang Cikgu Sidik yang. terkebil-kebil mata. Hairan juga dia kejadian yang menimpa Mayah sekalipun jauh di sudut hatinya tidak percaya sangat mengenai bayangan Anjang Kimin.
Kenapa seisi kampung tidak melihat Anjang Kimin jatuh tangga untuk betulkan dinding rumah yang tergajai? Dia sendiri tidak melihat siapa pun di situ, apatah lagi bunyi orang bertukang rumah mengetuk martol memaku ke dinding.
Tetapi memang dia nampak tangga reput tersandar di bahagian dapur rumah, sedangkan dinding dapurnya tidaklah tergajai. Semua dinding masih kukuh sekalipun sudah dua tahun terbiar disebabkan tidak berpenghuni. Dua kali hari raya berlangsung pun, Utih Bedah tidak balik ke kampung. Dia berhari raya bersama sanak-anak sahaja dengan tidak menjengah ke rumah peninggalan.
Bukanlah Utih Bedah mahu melupakan kampung halaman. Sayu juga dia beritahu Alang Limah mengenai sikap anak-anaknya yang tidak mahu balik ke kampung. Mereka semua tidak perlu lagi balik ke kampung setelah membawa emaknya tinggal bersama.
Utih Bedah tidak boleh berkeras sekiranya anak-anaknya tidak mahu menghantar dia balik ke kampung. Lagi pun tentu dia berseorangan sahaja di kampung kalau anak-anak tidak balik menjengah. Bahari tidak benarkan dia balik ke kampung kalau sekadar mahu berhari raya sehari dua.
Bukan Bahari sahaja tidak rela emaknya balik ke kampung berhari raya, malah Semah juga mendesaknya supaya ke Johor Bharu. Dia sendiri akan menjemput emaknya supaya berhari raya ke Johor Bharu. Tentu abangnya Bahari juga akan ke Johor Bharu kalau mahu berhari raya dengan emaknya.
Tidak ada apa-apa diharapkan di kampung setelah ayahnya Anjang Kimin meninggal dunia. Keluarga emaknya tidak ada di kampung, kecuali saudara jauh sahaja. Biarlah emaknya dibawa tinggal bersama mereka daripada terbiar di kampung tidak ada sesiapa menjengah.
"Tak tahu saya nak buat macam mana," beritahu Cikgu Sidik setelah keadaan Mayah semakin pasang. "Kalau tak ada jalan lain, kita hantar sahaja ke hospital," desaknya agar mereka tidak membuang masa menghadap Mayah dalam keadaan gel isah tidak menentu itu.
"Hah, penyakit ni tak sesuai dihantar ke hospital," cepat sahaja Ngah Saenah membantah. Masakan keadaan Mayah meracau tidak menentu itu boleh dihantar ke hospital. Kalau berkeras dihantar ke hospital tentu Mayah dituduh demam panas.
Tahu sangat Ngah Saenah kalau sakit meracau-racau demikian tentu dituduh diganggu demam panas. Doktor sendiri yang ingatkan apabila seseorang itu suhu panasnya tinggi, tentu akan meracau-racau disebabkan hilang ingatan.
Tetapi Ngah Saenah tidak percaya Mayah diganggu demam panas. Hujung kaki Mayah juga sejuk macam ketul ais apabila dia meramas-ramas perlahan. Mayah juga terus menuding ke rumah Iimas tidak jauh dari situ memberitahu mengenai Anjang Kimin masih terjelepoh di tanah tidak dapat bangun setelah jatuh tangga.
"Kesian Anjang Kimin, dia jatuh!" tegasnya mengeluh pendek sambil mata liar melingas ke kiri ke kanan. Kalau tidak dipaut beramai-ramai memang Mayah akan menyerbu ke rumah Iimas itu kerana mahu membantu Anjang Kimin.
"Mana Anjang Kimin?" sengaja Ngah Saenah memujuknya supaya memberi tahu apa yang berlaku ke atas dirinya:
"Tak nampak ke Anjang Kimin jatuh tangga tu?" ujar Mayah menuding kasau atap seolah-olah menunjukkan ke arah rumah limas tersergam.
"Ngah tak nampak pun," tersengih-sengih Ngah Saenah mengusiknya kerana dia memang tidak nampak siapa pun di kasau atap. Sepanjang malam juga Mayah meracau mengenai Anjang Kimin jatuh tangga kerana membaiki dinding rumah tergajai. Sudah dijemput Itam Sidin di Pelangai pun keadaan Mayah tidak juga berubah. Dia ketakutan hingga pucat bibir setiap kali menuding kasau atap memanggil-manggil Anjang Kimin. Merintih sayu Mayah kerana tidak dapat membantu Anjang Kimin yang dikatakanya terkial-kial merangkak mahu naik ke rumah.
Menggeleng kepala Itam Sidin dengan keadaan yang berlaku ke atas diri Mayah. Kalau mahu dituduh dirasuk polong atau pelesit peliharaan Anjang Kimin masakan dia belas kesihan terhadap nasib yang menimpa orang tua itu. Lagi pun jiran-jiran percaya memang Anjang Kimin tidak memelihara polong atau pelesit.
Tahu sangat mereka sesiapa yang memelihara polong atau pelesit jangan cuba mengambil harta bendanya dengan tidak meminta izin. Bukan takat mengambil buah-buahan yang masak ranum musim menjadi, bahkan menyepak buah kelapanya tergolek di tepi pagar pun tentu akan dirasuk.
Siapa sahaja dirasuk pelesit atau polong akan meracau menyebut apa sahaja yang dilakukan terhadap harta benda tuan yang memelihara. Dia akan merungut fasal mencuri buah-buahan atau menyepak buah kelapanya di tepi pagar. Apa sahaja perbuatan yang tidak disenangi oleh tuan pemelihara polong atau pelesit akan diracau sepanjang malam.
Tetapi Itam Sidin percaya memang Mayah tidak dirasuk polong atau pelesit. Dia sendiri dapat mengagak keadaan rumah peninggalan Anjang Kimin itu tidak ada tanda-tanda orang tua itu pernah memelihara polong atau pelesit.
Cubalah pelesit atau polong menjelma di situ nescaya mudah sahaja diperangkap oleh Itam Sidin. Siapa yang berani menguji dia mengenai pelesit atau polong di kampungnya? Memang tahu sangat mereka yang diam di Pelangai mengenai keistimewaan Itam Sidin kalau dia sudah meramas-ramas kemenyan ke dalam bara.
Belum sempat dia hembuskan asap kemenyan, lantas sahaja orang yang dirasuk pelesit akan terjerit. Tidak bertangguh dia memberitahu siapa tuan yang memelihara. Serentak dengan itu belalang hijau sebesar kelengkeng akan jatuh tergolek di depannya. Menggelepar belalang itu terkial-kial kaki menendang angin hingga keluar tujuh helai rambut melilit seluruh tubuh. Belalang itu akan terkejang mati setelah tubuhnya dibelit rambut tersebut.
Di mana sahaja pelesit tidak dapat bersembunyi apabila Itam Sidin sudah mengukuhkan duduk lantas membacakan jampi serapahnya:
Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budang badang siah kiri siah kanan siahkan kata araku, aku tahu asal engkau jadi, darah ular sekati munur asal engkau jadi, terserak ke laut jadi tahi nagan, terserak ke darat jadi mambang kuning, ingang ingut di lautan gedang Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata Rasullullah...
Habis sahaja Itam Sidin menghembus ke arah siapa sahaja dirasuk nescaya tuan yang memelihara pelesit akan lemah tidak bertenaga. Seluruh tubuhnya akan terbakar seperti dihumban ke tengah api marak menyala. Segala belalang pelesit yang disimpannya akan berterbangan tidak menentu hingga bercempera menyelamatkan diri.
Sebab itu Malim Kecik desak juga Mat Cebek menjemput Itam Sidin di Pelangai. Biarlah jauh sedikit sampai ke Pelangai, memang Malim Kecik percaya bapa saudaranya itu mampu menghalau pelesit atau polong yang mengganggu Mayah.
"Bukan dirasuk pelesit atau polong!" gerutu Itam Sidin perlahan sambil menghela nafas.
"Takkan Anjang Kimin yang pelihara," sahut Ngah Saenah berharap supaya tidak siapa pun menuduh abangnya memelihara polong atau pelesit. Lagi pun abangnya sudah meninggal dunia, tidak patut lagi diungkit-ungkit. Biarlah semuanya disimpan baik-baik dalam hati jangan sampai terluah perasaan dendam kesumat.
"Memang dia tak simpan polong atau pelesit," tegas Itam Sidin memberi jaminan memang arwah Anjang Kim in tidak amalkan apa-apa. "Tapi, macam mana dengan Mayah ni?" gelisah juga hati Melah Becok dengan keadaan anak gadisnya masih tidak dapat dipulihkan.
Tiba-tiba ketika ini Alang Limah ternampak api terpasang di bilik tidur rumah limas peninggalan Anjang Kimin, sewaktu dia menjengah di tingkap untuk meludahkan air sirih. Berdebar benar dia lantas menggamit suaminya Malim Kecik supaya mara ke arahnya.
Mereka semua sama-sama memerhatikan ke arah rumah limas tersergam. Memang nampak cahaya lampu malap di bahagian bilik tidur tempat yang digunakan oleh arwah Anjang Kimin. Tidak bertangguh Mat Cebek turun ke tengah halaman mahu memastikan cahaya lampu yang sudah seminggu ditunggunya.
Sebaik sahaja Mat Cebek melangkah menuju ke rumah limas, Itam Sidin bersama Malim Kecik juga mengekor dari belakang. Mereka juga hairan dengan cahaya lampu di rumah yang tidak didiami sesiapa itu. Kalau Utih Bedah balik ke kampung pun dia tidak akan tidur di situ,
Sewaktu mengendap di bawah rumah, mereka bertiga terbau kemenyan dibakar. Keliling kawasan rumah memang sudah ditumbuhi rumput memanjang, bimbang juga mereka sekiranya ular berlingkar di situ. Dalam gelap demikian masakan mereka boleh melihat di tengah rumput memanjang sekiranya ular berlingkar menunggu mangsa.
Tetapi perkara ular di tengah belukar rumput bukanlah menakutkan Malim Kecik. Kadangkala ular berlingkar itu akan menghambur lari tidak bertangguh sekiranya terhidu bau Malim Kecik melintas. Kalau ular berkeras mahu menerkam bila-bila sahaja akan disambar tengkuknya oleh Malim Kecik sampai tidak boleh mengangkat kepala.
Asal sahaja kepala ular sudah digenggam oleh Malim Kecik, dia akan biarkan binatang itu memagut tangannya sampai memercik darah. Selepas itu Malim Kecik akan sapu kepala ular itu dengan darahnya. Sebaik sahaja kepala ular sudah disapu dengan darah memang tenaga ular berkenaan menjadi lemah.
Apabila dipanggil Malim Kecik dia tidak perlu gunakan besi perejang menusuk kepala ular berkenaan. Dia akan masuk ke reban terus mengheret ular sawa ke tengah halaman. Tetapi MalIim Kecik tidak benarkan siapa pun membunuh ular yang ditangkapnya. Biarlah dia sendiri melepaskan semula ular berkenaan ditengah hutan.
Sekiranya mereka mahu bunuh juga, Malim Kecik tidak mahu dibunuh di depannya. dia balik ke rumah dulu kalau berkeras mahu membunuh ular yang telah ditangkap itu. Sudah menjadi pantang larang Malim Kecik tidak akan melihat ular dibunuh di depannya.
Sebab itu Mat Cebek juga tidak bimbang meranduk rumput memanjang di tengah halaman sampai ke kaki tiang. Tahu benar dia Malim Kecik boleh diharap buangkan bisa kalau dipatuk ular sekalipun. Siapa yang ubatkan Andak Siti dipatuk ular tiung di betis tatkala selamatkan itiknya dibelit di perdu rumpun senduduk?
Siapa yang selamatkan Busu Cot dipatuk ular tedung senduk kalau bukan Malim Kecik? Memang mereka harapkan Malim Kecik membantu sekira-nya geruh dipatuk ular bisa. Asal sahaja Malim Kecik letakkan batu geliga hitam di tempat dipatuk ular nescaya batu tersebut melekat seperti paku diketuk ke dinding sekiranya bisa tengah pasang.
Apabila batu geliga hitam tertanggal jatuh bermakna tidak ada lagi bisa yang meracuni sampai menusuk ke jantung. Ketika ini Malim Kecik akan jampikan supaya darah tidak banyak mengalir keluar.
"Ada perempuan menangis," bisik Malim Kecik memegang bahu Itam Sidin sebaik sahaja mereka terdengar esakan tangisan yang mendayu-dayu. Mat Cebek juga mara ke dinding mahu rmengintai, dari celah dinding. Puas terhendap-hendap dia dapat melihat melalui lubang di celah dinding reput. Tidak ada siapa pun dilihatnya di ruang bilik tidur itu selain elusan angin yang menyeramkan di tengah malam demikian.
"Nampak apa-apa?" Mahal Kecik mendekati Mat Cebet tidak berganjak memerhatikan sekeliling bilik.
 "Suara tangisan to bukannya di bilik tidur," ujar Mat Cebek perlahan lantas berundur memberi laluan kepada Malim Kecik untuk mengintai di celah lubang berkenaan.
"Dari arah tengah rumah," beritahu Itam Sidin dengan berhati-hati mencari arah datang-nya esak tangisan yang berhenjut-henjut itu.
Tetapi mereka tidak mendengar siapa pun bercakap merintih-rintih. Puas mengendap di bahagian bilik tidur memang mereka tidak dapat melihat apa-apa pun. Belum sempat mereka mahu mencari ruang mengendap ke tengah rumah, tiba-tiba sahaja lampu dipadamkan. Kawasan rumah menjadi gelap gelita.
Lama mereka menunggu kalau-kalau esak tangisan itu terus merintih, tetapi tidak lagi kedengaran apa-apa. Terpaksalah Itam Sidin mengajak Malim Kecik dan Mat Cebek balik semula ke rumah Melah Becok.
Ketika mereka naik ke rumah, Mayah sudah terlena tidur. Sebaik sahaja mereka turun menuju ke rumah limas tersergam, memang Mayah tidak lagi merengek-rengek. Dia dapat lelapkan mata akibat keletihan setelah lama meracau-racau.
"Nampak sesiapa di rumah tu?" tidak bertangguh Alang Limah mendesak suaminya. "Ah, syaitan bukan boleh nampak dengan mata kasar," sahut Malim Kecik hampa.
"Kami di sini pun dengar tangisan merintih-rintih tu, beritahu Ngah Saenah semaca terkilan kerana siapa pun tidak dapat memastikan suara siapa dari arah rumah limas tersergam itu.
"Kalau arwah Anjang Kimin, kenapa suaranya perempuan?" hairan juga Melah Becok apabila fikirkan bagaimana suara perem- puan merintih itu kedengaran dari rumah peninggalan Anjang Kimin.
Memang mereka tidak dapat menuduh punca esak tangisan tersebut. Kalau mahu dituduh orang kampung sendiri naik ke rumah tersebut, tidak ada kesan pintu dibuka. Bagaimana mere-ka naik ke rumah tersebut sekira-nya pintu tertutup rapat?
Apa pula kaitan dengan gangguan yang merasuk Mayah, apabila tiba-tiba sahaja dia tidak lagi meracau setelah suara tangisan di dengar dari arah rumah limas tersergam.
"Malam esok kita tengok lagi!" beritahu Itam Sidin semasa turun untuk balik semula ke Pelangai.
Tetapi keesokan paginya Mayah sudah bingkas bangun. Dia kelihatan segar seolah-olah tidak diganggu apa-apa penyakit pun. Apabila ditanyakan mengenai gangguan yang merasuknya, Mayah sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku.
Dia hanya menyedari semasa di tingkap dapur ternampak seolah-olah arwah Anjang Kimin memanjat tangga untuk memaku dinding rumah yang tergajai. Tiba-tiba sahaja anak tangga patah meyebabkan dia tercampak ke tanah. Mayah nampak Anjang Kimin melambai lambai tangan ke arahnya meminta bantuan untuk memapahnya naik ke rumah.
Selepas itu dia sendiri tidak tahu lagi apa yang berlaku. Hanya apabila terjaga pagi harinya, Mayah terasa tubuhnya penat-penat sahaja. Dia gagahi untuk bangun mandi biar seluruh tubuhnya segar semula. Selepas mandi pagi memang Mayah terasa tubuhnya sihat setelah disirami air.
Kebetulan Itam Sidin termuntah-muntah apabila balik dari rumah Melah Becok, me-nyebabkan dia tidak dapat memenuhi janjinya untuk datang semula menjengah. Mat Cebek juga  tidak datang menjemputnya setelah dia memberi pengakuan untuk datang sendiri.
Tetapi setelah disampaikan pesan oleh Itam Sidin mengenai dirinya termuntah-muntah akibat perut memual-mual, Melah Becok tidaklah mendesak sangat. Lagi pun Mayah sendiri sudah pulih betul sepanjang hari.
"Kalau benar ada gangguan di rumah limas tu, mari kita sama-sama buat sembahyang hajat," Cikgu Sidik mencadangkan supaya jiran-jiran tidak meng-harapkan orang lain untuk selamatkan kampung mereka. Kalau kampung mereka diganggu bencana tentulah mereka sendiri wajib lindungkan.
"Siapa nak mulakan?" Malim Kecik juga bersetuju menerima cadangan Cikgu Sidik. Apalah salahnya mereka menerima cadangan yang baik asal sahaja memberi manfaat kepada semua penduduk.
"Kita sama-sama buat di surau!" tegas Cikgu Sidik guru bersara yang sudah berumur lebih 70 tahun. Tidak ada sebab mengapa dia tidak mampu mengajak jiran-jiran disebabkan pengalamannya yang luas. Bukan takat merantau ke bebe-rapa tempat semasa mengajar sebagai guru, tetapi sudah kerap-kali melalui pengalaman demi-kian apabila bertugas di kawasan perndalaman.
"Cikgu imamkan," lantas sahaja Mat Cebek memberi pengakuan untuk sama-sama tunaikan.
Mereka semua berkumpul di surau sebelum masuk waktu maghrib. Sengaja Cikgu Sidik mengajak berjemaah maghrib dan isya terlebih dahulu sebelum mereka dirikan sembahyang hajat. Biarlah doa mereka makbul untuk jauhkan bencana di dalam kampung.
Ketika mulakan sembahyang hajat, Cikgu Sidik menyuruh mereka semua buat empat rakaat dengan dua salam. Rakaat pertama selepas al-Fatihah dia suruh bacakan Ayatul-Kursi tujuh kali, dan diikuti rakaat kedua selepas al-Fatihah mem baca dua ayat terakhir dari surah at-Taubah lima kali.
Habis sahaja sembahyang hajat lantas Cikgu Sidik memanggil Mat Cebek mara ke hadapan. Dia menyuruh Mat Cebek duduk berzikir sambil merenung tapak tangannya yang diangkat tinggi melepasi kepala. Semasa Mat Cebek menguatkan zikir yang tidak dilafazkan, tetapi bergema jauh ke dalam sanubari, Cikgu Sidik berdoa perlahan:
Allahhu yatawaffal anfusahi-na mautiha wallati lamtamut fi manamiha fayumsikullati qoda 'alaihalmauta wayursilul ukhra ila ajalim musammam inna fi zalika la ayatim liqaumim yatafakkarun.
Sekaligus Mat Cebek melihat tapak tangan Cikgu Sidik hitam hingga kelilingnya menjadi gelap. Dia seolah-olah menyusup ke dalam genggaman Cikgu Sidik apabila tapak tangannya mengembang menjadi lebar. Sebaik sahaja dia digenggam oleh Cikgu Sidik sayup-sayup suara orang tua itu menyuruh dia keluar dari gelungan gelap.
Sebaik sahaja Mat Cebek melepaskan diri dari serkup gelap, dia terasa tercampak ke tengah halaman rumah limas tersergam. Kelilingnya terang benderang sehingga Mat Cebek nampak seolah-olah Anjang Kimin memanjat tangga mahu memaku papan dinding.
Apabila anak tangga patah, terus sahaja Anjang Kimin tercampak ke tanah. Akibat jatuh terhentak pinggang, tiba-tiba sahaja Anjang Kimin tidak boleh bangun lagi. Kakinya kejang tidak boleh digerakkan. Siapa pun tidak datang membantu semasa Anjang Kimin jatuh tidak bertahan.
Dalam masa dia terkial-kial wilah Mat Cebek nampak seorang perempuan muda mara mendapatkan Anjang Kimin. bersusah payah perempuan itu mahu membantu, tetapi segera dibantah oleh Anjang Kimin. Dia lebih rela terkial-kial seorang diri merangkak daripada mengharapkan bantuan perempuan berkenaan.
"Kenapa kau tak mahu dibantu, Kimin?" pujuk perempuan ilu seolah-olah mahu menggoda berterusan.
"Aku dah tua, biarlah aku lumpuh macam ni!" tegas Anjang Kimin tetap berdegil.
"Kaki kau boleh dipulih-kan," perempuan itu tetap berkeras memujuk Anjang Kimin.
Ketika ini Mat Cebek terdengar Cikgu Sidik menyuruhnya membacakan al-Fatihah tiga kali lantas dihembuskan ke arah perempuan berkenaan. Apabila dibacakan oleh Mat Cebek hembusan nafasnya bertukar menjadi api memancar seperti kilat menyambar tubuh perempuan berkenaan.
Tercampak perempuan itu akibat disambar api kilat dari hembusan Mat Cebek. Sebaik dia ternampak Mat Cebek tercegat di depannya perempuan itu terketar-ketar bagaikan menyerah kalah. Tetapi Mat Cebek mendengar Cikgu Sidik membacakan:
Qul mai yunajjikum min zuluma-til barri walbahri tad 'unahu tadharru 'au wakhufyatan la-in anja-na min hazihi lanaku nanna minasy syakirin.
Ketika ini perempuan itu berputar dikisar angin kencang hingga dia terbongkok-bongkok muntah tidak bertahan. Dia mendongak memerhati Cikgu Sidik meminta belas kasihan supaya tidak menyeksanya berterusan.
"Cukuplah, tuan haji..." dia merintih-rintih menahan sebak di dada. "Dah lama saya menderita, janganlah seksa saya lagi," rayunya tersengguk-sengguk menangis.
"Apa yang kau sedihkan sangat!" segera Mat Cebek bertanya dengan merenung perempuan itu tidak berkedip mata. "Suamiku lumpuh, disebabkan jatuh masa bertukang," beritahu perempuan itu bergetar mengharapkan belas ihsan.
"Itu bukan suami kau, itu Anjang Kimin," tegas Mat Cebek menuding Anjang Kimin yang terkial-kial akibat para pinggang terhentak ke tanah. Tetapi Cikgu Sidik tidak benarkan Mat Cebek terus melayani perempuan tersebut. Orang tua itu mengancam akan terus menyerang kalau perempuan tersebut terus bertahan di rumah limas tersergam. Perempuan itu tidak berhak mengganggu orang-orang kampung dengan menjelma di situ sekalipun tidak memudaratkan sesiapa.
"Tolonglah aku, tuan haji," rintih perempuan mengharapkan Cikgu Sidik berhenti membaca-kan doa-doanya.
Selagi perempuan itu berkeras, Cikgu Sidik tetap membacakan al-Fatihah, surah al-lkhlas dan Ayatul-Kursi berulang kali. Serentak dengan itu petir berdantam dari udara menyambar di mana sahaja perempuan itu berlindung.
Setelah perempuan itu mengaku meninggalkan kawasan rumah limas, barulah Mat Cebek terasa tubuhnya dicengkam semula oleh Cikgu Sidik. Sewaktu dia membuka mata, Mat Cebek terpinga-pinga di tengah surau dikelilingi jemaah.
"Kau dah tengok, Mat?" usik Cikgu Sidik tersenyum menepuk-nepuk bahu Mat Cebek.
Mat Cebek tidak menyahut. Dia sekadar mengangguk lemah seolah-olah bangun dari tidur mengingatkan mimpi yang dialaminya.
Seminggu selepas itu baru Itam Sidin mengajak saya ke kampung tersebut. Sewaktu bertemu di rumah Melah Becok lama Cikgu Sidik cuba camkan saya. Memang pernah juga terserempak dia sewaktu tunaikan umrah di Mekah, tetapi hampir terlupa saya kerana beberapa kali menemui dia semasa berkunjung ke rumah arwah Ustaz Mat Dah sepupu saya. Cikgu Sidik mengaku lama juga dia belajar dengan Ustaz Mat Dah.