Saturday, March 28, 2015

117.BAHANA BADI TAK BERSEMAH

 KALAU bermimpi menemui sami India selalunya diganggu hantu raya, dan kalau bermimpi ular mahu menerkam memang jembalang tanah yang mengancam.  Petua Pak Tua Mahat ini sudah beberapa kali diingatkannya kepada saya, tetapi memang saya tidak pedulikan sangat petua-petua demikian.  Memang saya sendiri tidak pernah pula bermimpi menemui sami India atau dikejar ular.
Setiap kali mahu tidur Tok Aji selalunya ingatkan saya supaya hembus ke  tapak tangan, kemudian dibacakan surah al-Ikhlas, surah al-falaq dan surah an-Nas.  Setelah itu disapukan dari kepala hingga sampai ke kaki keserata tubuh badan.  Di ulangi pula sampai tiga kali.  Semasa m,ula rebahkan kepala  ke bantan, Tok Aji biasanya berdoa: Allahhumma bismika amutu wa-ahya.
Apabila bangun dari tidur Tok Aji berdoa juga: Alhamdullillahhil lazi ahyana ba’dama amatana wa-ilaihin nusyur.  Memang semua amalan demikain diamalkan oleh Rasullullah, yakni sentiasa berdoa kepada Allah dengan mensyukuri nikmatNya sekali pun tatkala mahu tidur.
Sebab itu saya tidak peduli sangat dengan mimpi yang di alami sewaktu tidur.  Perkara mimpi tidak penting sangat kerana ketentuan Allah siapa pun tidak dapat menolaknya atau mengharapkannya.
Tetapi Pak Tua Mahat memang menjadikan petuanya sebagai panduan apabila seseorang itu diganggu rasukan.   Dia mahu berpandukan kepada mimpi yang dialami supaya dapat mengesan gangguan sebenarnya yang merasuk.  Apabila Ludin Tepek mengalami mengalami kejadian rumahnya seperti diserak dengan pasir atapnya, memang Pak Tua Mahat bertanyakan mengenai mimpi yang dialaminya sepanjang malam.
Sukar juga Ludin Tepek mahu camkan mimpinya, kerana tidak dihiraukan sangat.  Tetapi isterinya Tijah Sengih mengaku fasal berminpi dikerjar ular sawa.  Lantas sahaja Ludin tepek mengagak tentu isterinya diuji dengan ilmu guna-guna oleh lelaki lain.
Dia percaya kalau mimpi di kejar ular memang ada lelaki lain yang mahu memikat isterinya.  Geram juga hatinya sekiranya benar ada lelaki lain yang cuba memikat isterinya dengan ilmu guna-guna.
Tersenyum Pak Tua Mahat apabila Ludin Tepek menuduh ada lelaki lain mahu memikat Tijah Sengih.  Siapa pula yang mahu memikat Tijah Segih yang sudah menjadi isteri Ludin Tepek? Lainlah kalau Tijah Sengih sendiri mahu melayaninya.
Tetapi sejak seminggu rumah Ludin Tepek diganggu seolah-olah atapnya diserak dengan pasir.  Apabila disuluh kelilingnya dengan lampu tidak kelihatan apa-apa.  Asal saja senja hingga tengah malam kejadian itu berulang lat setengah jam sekali.
Jiran-jiran yang datang ke situ pun hairan kerana tidak melihat siapa yang menyerakkan pasir ke atas atap.  Ali Kontong dengan Talip Cebek sengaja mengendap dari bawah pokok kundang di hujung halaman, tetapi mereka tidak nampak apa-apa-apa pun semasa atap rumah Ludin Tepek diserak dengan pasir.
“Kamu ni kena dajal orang, Ludin,” beri tahu Talip Cebek mengeluh pendek tersandar di jenang tingkap.  Sengaja dia membuka tingkap rumah kawannya itu supaya senang memerhati ke tengah kesamaran malam.
“Memang kami tak nampak apa pun,” ujar Ali Kontong pula kerana bunyi pasir diserak keatas atap rumah berterusan.
“Kenapa orang dengkikan aku, sampai gunakan sihir macam ni?” gerutu Ludin Tepek menggertap bibir kerana diganggu kejadian demikian.  “Kalau berani, mari berdepan dengan aku!” tegasnya marah sangat disebabkan rumahnya menjadi sasaran.
“Kalau dia berani berdepan, buat apa gunakan sihir,” sahut Talip Cebek memerhati ke luar tingkap dengan mata melingas-lingas.
Masa dia mengisar duduk tiba-tiba saja bungkusan kain putih tercampak di depannya.  Dia tidak melihat sesiapa pun melontarkan bungkusan tersebut.  Apabila dibuka oleh Talip Cebek dia melihat bungkusan kain putih berisi tanah kubur bercampur kemenyan.
Tetapi Talib Cebek tidak bimbang apa-apa.  Dia terus melompat turun ke tengah halaman dengan menghunus parang di tangan.  Belum pernah dia berundur kalau dicabar sesiapa pun.  Sebab itu dia mahu pastikan siapa berani lontarkan bungkusan kain berisi tanah kubur dengan kemenyan itu.
Kalau berani ganggu rumah Ludin Tepek sama juga macam mengganggu dirinya, kerana Tijah Sengih sepupunya. Jangan siapa berani tunjuk keras kepala mengganggu Ludin Tepek, selagi dia masih terconggok di tengah kampong!.
Semasa ular tedung senduk berwarna hitam masuk ke rumah Tijah Sengih bersembunyi di sebalik tempayan beras, kelam kabut juga Ludin Tepek.  Selari ular berkenaan menyusup di sebalik tempayan beras itu, memang dia tidak boleh tidur di dalam rumah.  Bagaimana kalau ular tedung senduk itu menjalar ke tempat tidur?
Siapa lagi boleh diharapkan kalau bukan Talip Cebek.  Tidak bertangguh Tijah Sengih berkejar ke rumah Talip Cebek memberi tahu mengenai ular tedung senduk menyusup di sebalik tempauan beras.  Terkekeh-kekeh isteri Taib Cebek ketawakan Tijah Sengih sebaik sahaja diberi tahu mengenai ular tedung senduk itu.
Tetapi memang siap pun di dalam kampung akan mencari Talip Cebek kalau terserempak ular.  Tidak pernah dia mengalah sekiranya ular merayap di mana-mana.  Tahu sangat Taip Cebek mengenai rahsia ular sampai dia boleh jinakkan ular luar di tengah belukar pun.
Sebab itu Tijah Sengih serbu ke rumah Talip Cebek bari tahu mengenai ular tedung senduk yang menyusup di sebalik tempayan beras.  Biarlah suaminya Ludin Tepek perhatikan semana ular berkenaan merayap, supaya mudah dihambat oleh Talip Cebek.
“Agaknya ular tu nak tolong kau masak nasi!”  Minah Semba masih juga terkekeh-kekeh ketawa sekali pun suaminya Talip Cebek sudah menjengah di jendela.
“Hah, ketawakan kau orang awak tu pjn apa kurangnya,”  lantas saja Talip Cebek memarahi isterinya.  “Awak tu kalau Nampak ular sampai terkencing dalam kain!” tuturnya menyindir disebabkan Minah Semba tertawakan sepupunya itu.
“Awak yang gila nak tangkap ular,” sahut Minah Semba tersinggung juga apabila disindir demikian. “Dah tahu musuh tarah, buat apa nak buat main,” dia menambah kerana tidak bersetuju sangat suaminya gemar menangkap ular.
Tetapi Talip Cebek bukan mahu memperagakan kebolehan dia menangkap ular.  Dalam saat orang-orang kampung memerlukan pertolongan apa salahnya dia membantu.  Ular sawa tengah membelit kambing Itam Siah di dalam kandang pun, dia satu-satunya yang dapat mengheret ular itu ke tengah halaman.
Terkejut benar Itam Siah apabila kambingnya menjerit-jerit di dalam kandang selepas dia selesai solat Isya.  Cepat-cepat itam Siah membawa pelita ayan menyuluh ke kandang akibat kambingnya memgembik-embik tidak berhenti.
Sebaik melihat kambingnya terselit pada tiang kandang, tidak bertangguh Itam Siah menolak tubuh kambing itu mahu membantunya.  Ketika inilah tiba-tiba saja tangannya dipangut ular sawa yang marah.  Lantas Itam Siah melarikan diri sebelum sempat ular sawa berkenaan melepaskan belitan pada tubuh kambing.
Belum sempat naik ke rumah Itam Siah sudah jatuh di kaki tangga akibat pitam selepas dipatuk ular sawa.  Terketar-ketar dia memberi tahu cucunya Usup Bidik mengenai kambing di kandang tengah dibelit ular sawa.  Setelah diberi tahu Talip Cebek mengenai kejadian itu memang tidak bertangguh dia menyerbu ke kandang kambing Itam Siah.
Ular sawa itu masih lagi membelit kambing yang sudah mati itu, terus sahaja lehernya dicekak oleh Talip Cebek.  Tiga kali ditampar kepalanya oleh Talip Cebek, mudah sahaja dia menheret tubuh ular berkenaan di tengah halaman.  Bangkai kambing yang sudah lembut itu pun dilepaskan dari belitan tanpa melawan apa-apa.
Tetapi Talip Cebek sekadar boleh menangkap ular sawa sebesar batang pinang dara itu.  Tangan itam Siah yang banyak darah keluar itu dia mengaku tidak boleh membantu.  Puas diikat dengan kain pun habis berhelai-helai dibasahi darah.
Apabila Usup Bidik memanggil Usu Midun jampikan biar bisa ular boleh dibuang, Usu Midun sendiri mendesak supaya Itam Siah dibawa ke hospital.  Tetapi ketika itu hospital jauh dari kampung, masakan mudah mahu membawa Itam Siah dirawat di hospital.  Semasa perintah orang putih mahu keluar ke hospital pun mesti beri tahu ke balai polis terlebih dahulu di sebabkan tidak boleh keluar malam sesuka hati.
Lainlah kalau di dalam kampung sahaja memang mereka bebas mahu ziarah jiran-jiran yang ditimpa musibah.  Sebab itu jiran-jiran cepat berkumpul sebaik sahaja diberi tahu mengenai Itam Siah dipatuk ular.  Cemas juga mereka disebabkan darah yang mengalir di tangannya tidak berhenti keluar.
“Lebih baik beri tahu Bilal Hud,” Talip Cebek ingatkan mereka setelah Usu Midun tidak sanggup untuk mengubati.  Kalau dibiarkan berterusan tentu darah semakin banyaj keluar, sedangkan mereka tidak berusaha memberi tahu ketua kampung mahu membawa Itam Siah ke hospital.
Malam itu juga Usup Bidik jejak kaki ke rumah ayah saya.  Merayu-rayu dia meminta ayah saya datang juga menjengah neneknya Itam Siah.
Terkejut juga ayah saya apabila Talip Cebek yang menyuruh Usup Bidik menjemputnya.  Kalau dipatuk ular tentulah Talip Cebek sendiri boleh merawat, disebabkan dia satu-satunya di kampung itu yang mahir mengenai rahsia ular.  Apa sangat dengan patukan ular sawa kalau bandingkan ular tedung selar yang boleh berdiri dengan ekor cecah ke tanah.
Kalau ular tedung selar yang mematuk sudah tentu mengsanya terkejang tidak boleh bergerak lagi.  Bisa ular tedung memang cepat meracuni sampai ke jantung.  Tidak pernah pun Talip Cebek mengalah kalau berdepan ular tedung selar yang bisa!.
Tetapi kenapa dia mengalah dengan ular sawa yang bisanya tidak seberapa.  Talip Cebek sendiri yang beri tahu mengenai ular sawa tidak berbisa lagi setelah bisanya habis diluahkan.  Memang Talip Cebek tahu sangat mengenai rahsia ular sawa yang luahkan      bisa tatkala lubuk yang ditimbanya ditinggalkan untuk memberi tahu anaknya.
Tatkala lubuk yang sudah kering ditimba itu ditinggalkan dengan ikan banyak menggelepar, tidak bertangguh orang-orang kampung mengutip ikan-ikannya.  Apabila mendapati lubuknya sudah tidak ber ikan ular sawa berkenaan menjadi marah, lantas dipatuknya jejek tapak kaki orang berpijak yang berbekas di atas lumpur
Bisanya bekas tapak kaki pun dipatuk nescaya mangsanya akan mati bungkang akibat bisanya yang amat sangat.  Semasa ular sawa menjalar ke dalam kampung dia memerhati gagak bertengek di atas dahan.  Di sebabkan ular sawa itu mendapat tahu orang-orang kampung bergembira kerana mendapatkan ikan banyak, dia merasakan patukannya kepada bekas tapak kaki itu sudah tidak berbisa lagi.
Memang orang ramai berkumpul di sebuah rumah disebabkan penghuninya mati tiba-tiba akibat bekas tapak kakinya dipatuk oleh ular sawa, yang menemui di tepi lubuk banyak ikan.  Tetapi ular sawa menyangka mereka berkumpul disebabkan  terlalu gembira.
Sebab itulah ular sawa luahkan bisanya sampai habis disebabkan marah dengan bisanya yang tidak berguna.  Sebaik sahaja dia muntahnya tidak bertangguh burung gagak mengambilnya, tetapi bisa berkenaan hanya tersangkut pada paruhnya sahaja.  Ular tedung selar yang mengambil bisa itu kemudiannya, diikuti oleh ular-ular lain.
Setelah bisanya habis disedut oleh binatang lain itulah ulat bulu pun sampai ke situ.  Disebabkan tidak ada lagi sisa muntah yang mahu disedutnya lantas ulat bulu menggolek-golekkan sahaja tubuhnya ke tempat bisa ular sawa dimuntahkan.  Akibatnya bulunya sahaja yang bisa sekiranya disentuh oleh mangsa.
Rahsia itulah yang dipegang kukuh-kukuh oleh Talip Cebek kalau dia menangkap ular-ular bisa.  Dia belajar mengenai amalan ular-ular itu mendapatkan bisanya, sebab itulah dia boleh tundukkan ular-ular berkenaan.  Apa sangat dengan ular yang bisa kalau hanya dapat melalui muntah ular sawa, sedangkan ular sawa boleh membunuh dengan sekadar mematuk bekas jejak tapak kaki saja yang kelihatan di pasir.
Talip Cebek mengaut semua bisa yang dimuntahkan oleh ular sawa itu sebelum ular-ular lain dapat menyedutnya.  Betahun-tahun dia amalkan rahsia secara makrifat mengaut bisa yang di muntahkan oleh ular sawa itu sebelum sempat ular-ular lain mengambilnya.
Dia percaya betul-betul itulah rahsianya kenapa tidak satu pun bisa ular memberi bekas kepadanya apabila cuba mematuk.  Memang sejak bertahun-tahun Talip Cebek dikenali mampu tundukkan ular di kampung itu, tetapi tiba-tiba sahaja dia meminta Usup Bidik memanggil ayah saya apabila Itam Siah mengalami luka akibat dipatuk ular sawa.
Sudah berkali-kali dia suakan mulut ular sawa ke tempat luka Itam Siah, tetapi ular berkenaan tidak mahu mematuknya semula.  Talip Cebek  dapat mengagak memang bisa ular berkenaan tidak ada lagi di situ.  Darah yang banyak mengalir hanya disebabkan luka dipatuk ular sawa itu sahaja.
Kalau disebabkan bisa, memang Taip Cebek tahu bagaimana mahu mendesak ular berkenaan menyedut semula bisanya.  Ali Kontong dipatuk ular sawa tiung sudah lebam biru pun, dia masih boleh ikhtiarkan supaya ular yang mematuk itu menyedut semula bisanya.
Berjam-jam Talip Cebek bersiul menyeru semua ular naik ke rumah setelah keadaan Ali Kontong bertambah tenat.  Beberapa ekor ular yang naik di muka pintu terjun semula ke tengah halaman setelah kepalanya diketuk dengan jari telunjuk tiga kali oleh Talip Cebek,  Sebaik sahaja ular sawa tiung itu terjongol kepala di bendul pintu, Talip Cebek ketuk juga kepalanya tiga kali dengan jari telunjuk.  Tidak bertangguh ular sawa itu mematuk semula bekas patukan di betis Ali Kontong.  Hampir lima minit kepalanya berpulas-pulas di betis Ali Kontong sebelum dilepaskan semula.
Setelah dia mematuk betis Ali Kontong tidak bertangguh ular berkenaan terjun ke tengah halaman.  Belum sempat dia lari menyusup tengah belukar, di tengah halaman itu saja dia menggelepar mati.  Sisiknya biru leban dengan darah memercik di celah sisik itu.
Sebab itu dia tahu luka di tangan Itam Siah bukan disebabkan bisa patukan ular sawa berkenaan, tetapi menghairankan Talip Cebek sendiri kerana luka patukan ular tidak mungkin darahnya terlalu banyak.  Sudah berhelai-helai kain dibalutkan kepada luka itu, namun semuanya habis basah tidak bertahan.
Perkara luka hingga banyak darah keluar bukan disebabkan bisa ular, tetapi geruh lain pula yang manimpa. Itam Siah menjadi pitam disebabkan banyak darah yang mengalir.  Terpaksa Talip Cebek mendesak Usup Bidik supaya segera memanggil ayah saya.
Tengah malam itu juga Usup Bidik mengayuh basikal meranduk kegelapan dalam kebun getah ke rumah ayah saya.  Biarlah dia ditahan polis kalau terserempak sesiapa keluar waktu malam demikian ketika itu, asal saja dia boleh selamatkan neneknya.  Mahu ditunggu sehingga pagi memang tidak boleh lagi kerana sudah berhelai-helai kain dibalut kepada luka itu semunya habis basah.
Apabila ayah saya sampai dia sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan kerana luka yang di alami oleh Itam Siah akibat di patuk ular sawa.  Lainlah kalau lukanya ditusuk besi boleh juga didoakan supaya hilang bisa besi.  Tetapi luka akibat dipatuk ular sawa tidak pernah pula didengarnya boleh berdarah tidak henti-henti.
Disebabkan orang sudah berharap sangat maka ayah saya segera doakan saja dengan membaca: Bisnillahhi turbatu ardhina biriqoti ba’dhina yusfa bihi saqimuna biizni rabbana.  Setelah di doakan hanya dalam beberapa saat sahaja darah luka di tangan Itam Siah berhenti.
Kalau luka yang dialami Itam Siah memang Talip Cebek mengaku  dia tidak boleh membantu, tetapi kalau takat ular tedung senduk bersembunyi di sebalik tempayan tidak bimbang apa-apa pada dia.  Tatkala Talip Cebek sampai di tengah rumah, Ludin Tepek tercegat memerhatikan dari jauh tempayan berasnya.  Dia tidak berani menjengah rapat selagi ular tedung senduk itu masih berlingkar di situ.
Lantas sahaja Talip Cebek menerpa kearah tempayan beras itu.  Sewaktu dia mahu mengalihkan tempayan tiba-tiba sahaja kepala ular berkenaan tercagul tegak.  Sekali gus pula ular tersebut menyembur hingga air liurnya menyinggahi muka Talip Cebek.
Terasa juga pada Talip Cebek pandangannya menjadi kalabu akibat terkena semburan air liur ular tedung senduk itu.  Tidak bertangguh dia mencekak ular tedung senduk itu sampai membelit lengannya.  Tetapi belitan ular tedung senduk tidak segagah belitan ular sawa yang boleh membunuh.  Bila-bila sahaja dia boleh bertahan sekali pun di cerut kuat.
Kemudian Talip Cebek suakan belakang tangannya biar dipatuk oleh ular berkenaan.  Lantas sahaja ular tedung senduk melepaskan marahnya mematuk sampai memercik darah.  Talip Cebek sengaja titikkan darah di tangannya ke mulut ular tedung senduk dengan menamparnya tiga kali.
Sebaik sahaja ditampar kepala ular tedung senduk itu, belitan ditangan Talip Cebek mulai mengendur.  Ular itu juga tidak lagi garang meronta-ronta, tetapi menjadi jinak tidak melawan apa-apa.  Setelah ular garang itu bertukar menjadi jinak, barulah Talip Cebek meminta Ludin Tepek ambilkan kelapa muda.
Dia membasuh mukanya dengan air kelapa muda itu setelah pandangannya menjadi kelabu setelah terkena semburan ular tedung berkenaan.  Memang Ludin Tepek juga melihat mata Talip Cebek merubah menjadi merah laksana mengidap sakit tidak boleh di buka pelupuk.
Memang Talip Cebek tidak bimbang apa-apa sekali pun diganggu sihir.  Dia sendiri hairan kenapa rumah Ludin Tepek tidak sudah-sudah diganggu orang? Bagaimana bungkusan kain putih berisi tanah kubnur dan kemenyan itu dilimparkan melalui tingkap?  Kalau manusia biasa yang melontarkan tentu boleh dilihat kelibatnya dalam kesamaran malam.
Semenjak kejadian ular tedung hitam menyusup di sebalik tempayan beras itu pun, Talip Cebek sudah dapat mengagak sepupunya diganggu orang.  Tidak pernah ular tedung senduk demikian sempat menyemburkan air liur kearah mukanya, kenapa tiba-tiba sahaja dia disembur sewaktu mahu megalihkan tempayan beras itu.
Tetapi Talip Cebek tidak mahu beri tahu Ludin Tepek mengenai ular yang menyemburnya itu apakala terlihat kelibat api menyambar.  Sewaktu dia mencekak leher ular tedung berkenaan, seolah-olah dia memegang besi panas terbakar.
“Orang ni gunakan jembalang tanah!” gerutu Talip Cebek setelah naik semula ke atas serambi.
“Apa sangat yang orang dengkikan aku ni?”  Ludin Tepek menggertap bibir setelah menyedari dirinya dianiaya.  “Nak kata kaya, aku ni tak ada harta,” tegasnya menggeleng-geleng lemah apabila kenangkan kenapa masih ada juga orang mahu menganiaya dirinya.
“Orang nak menganiaya bukan kira kita ni kaya atau tidak!”  sahut Ali Kontong bimbang juga kalau dia pula menjadi sasaran.  Manalah tahu jembalang tanah itu akan mencari geruh dirinya pula disebabkan mahu membantu Ludin Tepek.
Sehingga tengah malam mereka menunggu di rumah Ludin Tepek tidak ada gangguan selain dari kain putih membungkus tanah kubur dengan kemenyan itu.  Terpaksalah Talip Cebek dan Ali Kontong balik juga ke rumah masing-masing.  Sekiranya Luding Tepek memerlukan bantuan, dia boleh laung sahaja dari tingkap.  Bila-bila mereka akan datang ke situ disebabkan jarak rumah mereka bukanlah jauh sangat.
Setelah Talip Cebek dan Ali Kontong meninggalkan rumah mereka, memang Luding Tepek sendiri tidak mudah mahu lelapkan mata.  Apa lagi isterinya Tijah Sengih sentiasa cemas bila kenangkan bungkusan kain putih berisi tanah kubur dengan kemenyan yang sudah dibuangkan oleh Talip Cebek ke sungai.
Macam mana mereka suami isteri mahu lelapkan mata, apabila sekali-sekala bunyi pasir diserakkan keatap masih berterusan.  Setiap kali bunyi pasir itu diserakkan keatas atap, Ludin Tepek akan membacakan Ayatul Kursi sampai seratus kali.  Setelah dibacakan Ayatul Kursi itu serta merta sahaja bunyi pasir diserak keatap itu hilang.
“Kalau orang main sihir, tak boleh kita hendap aje,”  Tijah Sengih ingatkan suaminya supaya segera meminta bantuan.
“Kita belum tahu sama ada sihir atau bukan,” sahut Ludin Tepek masih belum yakin sama ada dia benar-benar dianiaya atau tidak.  Malu juga dia mahu meminta bantuan kalau gangguan itu perbuatan anak-anak nakal.  Manalah tahu bungkusan kain putih berisi pasir kubur dan kemenyan sekadar perbuatan budak-budak nakal sahaja mahu menakut-nakutkan mereka suami isteri.
“Ular masuk dalam rumah pun, kita tak buat doa tolak bala lagi,” jelas Tijah Sengih sengaja salahkan suaminya tidak ambil peduli perkara demikian.  Ludin Tepek tetap menuduh dia percayakan sangat tahyol hingga ular tersesat masuk ke dalam rumah pun dianggap jembalang tanah.
“Lepas solat aku baca doa tolak bala tu,” beri tahu Ludin Tepek meminta isnterinya bersabar menghadapi gangguan demikian.
“Doa tolak bala lain,. Panggil Udu Midon semah rumah kita ni lain,”  Tijah Sengih mendesak suaminya supaya buat juga semah supaya jauhkan bala setelah ular masuk ke dalam rumah.
Sudah menjadi petua orang tua-tua, sekiranya ular masuk ke dalam rumah mesti dipanggil Usu Midun buat semah supaya lindungkan mereka dari mala petaka.  Bukan ular masuk ke rumah sahaja, kalau ayam jantan berkokok di atas rumah juga mesti diberi tahu pada Usu Midun.  Tentu Usu Midun akan buat semah dengan menepung tawar sekeliling rumah.
Rumput sambau akan di tanam pada empat penjuru supaya bala tidak mengganggu.  Tetapi Ludin Tepek sengaja tidak pedulikan petua orang tua-tua, sekali pun sudah diingatkan beberapa kali oleh Tijah Sengih.  Ayam jantan berkokok di atas rumah pun di kira perkara biasa sahaja oleh Ludin Tepek disebabkan bapak ayamnya tidak ada tempat mahu bertenggek.
Setelah berlaku kejadian demikian di rumahnya pun, dia masih mahu memastikan siapa membuat angkara.  Setelah lebih seminggu atap rumahnya seperti diserak dengan pasir dia tetap berkeras tidak mahu hebohkan sangat.  Kalaulah Tijah Sengih tidak beri tahu kepada sepupunya Talip Cebek, memang Ludin Tepek tidak akan beri tahu pun.
Kalau mahu dituduh atap diserak dengan pasir tidak pula ada kesan pasir berserak-serak di situ.
Di sebabkan Ludin Tepek tidak juga mahu memberi tahu sesiapa, Tijah Sengih sendiri menemui Usu Midun.  Tetapi Usu Midun tidak berani datang membantu sekiranya Ludin Tepek sendiri tidak menemuinya.  Manalah tahu Ludin Tepek akan tersinggung sekiranya dia sengaja datang ke rumah lelaki itu mendesaknya supaya bersemah.
Apa lagi dia tahu Ludin Tepek memang berkawan baik dengan ayah saya sampaikan sanggup berulang ke surau setiap hari.  Tetapi semenjak gangguan berlaku di rumahnya, terpaksa juga Ludin Tepek mematuhi kemahuan isterinya supaya tidak ke surau pada sebelah malam.
Disebabkan sudah lebih seminggu Ludin Tepek tidak ke surau itulah ayah saya mengunjungi dia bersama Pak Tua Mahat. Sewaktu ayah saya sampai bersama Pak Tua Mahat, memang Talip Cebek terconggok di situ.  Terkejut juga ayah saya apabila diberi tahu oleh Talip Cebek mengenai kejadian yang menimpa rumah Ludin Tepek.
Tetapi sehingga pukul 11.00 malam ayah saya di situ bersama Pak Tua Mahat tidak pula kedengaran bunyi pasir diserak ke atas atap itu.  Tidak ada apa-apa pun gangguan seperti pernah dialami oleh Ludin Tepek suamai isteri.
“Agaknya hantu ni takutkan pada Bilal dengan Pak Tua ni,” sengaja Talip Cebek mengusik dengan terkuap-kuap menahan mengantuk.
Setelah ayah saya bersama Pak Tua Mahat balik hanya selepas sepuluh minit sahaja tiba-tiba pasir berserak di lantai dari atas atap.  Terjerit Tijah Sengih ketakutan dengan kejadian yang mendebarkan perasaannya. Dari mana pula tanah pasir itu berserak kerana bumbung atap bukanlah bocor hingga tiris dengan sertakan pasir itu.
Hujan turun pun rumah tersebut tidak tiris, kenapa pula seluruh lantai rumah habis dengan pasir berserak-serak.  Segera Talip Cebek memanjat kasau atap menepuk-nepuk atap rembia rumah. Memang tidak ada pun bocor di mana-mana hingga menyebabkan pasir berserak-serak tiris ke lantai.
“Tak ada atap yang bocor,” rungut Talip Cebek sebaik sahaja terjun dari kepala tiang.
“Ludin ni degil,” gerutu Tijah Sengih melepaskan geram yang mendongkol di hati.  “Suruh semah rumah ni, dia tak mahu!” ujarnya mencemik muka dengan sikap suaminya berkeras tidak mahu bersemah.
“Semah apa pula?” hairan juga Talip Cebek apabila diberi tahu oleh Tijah Sengih mengenai bersemah rumah berkenaan.
“Rumah ni masuk ular dulu, masih tak semah lagi!” jelas Tijah Sengih masih terkilan di sebabkan Ludin Tepek sentiasa berdalih kalau disuruh bersemah.  Apa salahnya panggil saja Usu Midun semahkan rumah mereka setelah dimasuki ular tedung hitam.  Lagi pun sudah beberapa kali Tijah Sengih bermimpi diserbu ular di dalam rumahnya hingga hampir saja dipatuk tidak bertangguh.
“Kenapa tak semah, Ludin?”  Talip Cebek macam mendesak lelaki itu disebabkan berkeras tidak mahu bersemah.
Ludin Tepek hanya tersengih-sengih sahaja.  Apa sangat dengan bersemah kalau setakat ditepung tawar keliling rumah dengan air direnjis daun sepulih dan beras kunyit ditabur merata tempat.  Kemudian empat penjuru rumah ditanam dengan rumput sambau setelah diasap kemenyankan oleh Usu Midun.
Memang seisi kampung akan menjemput Usu Midun kalau rumah dimasuki ular atau ayam jantan berkokok naik ke rumah.  Usu Midun akan diminta bersemah supaya rumah mereka tidak diganggu mala petaka.  Sudah menjadi petua turun temurun mesti bersemah kalau rumah sudah dimasuki ular atau ayam jantan berkokok bertenggek di isi-kisi tingkap.
Tetapi Ludin tetap berkeras tidak akan bersemah apa-apa.  Perkara mala petaka tidak akan kena mengena dengan ular masuk ke rumah atau ayam jantan berkokok naik ke rumah.  Dia percaya mala petaka itu sekadar musibah yang mesti ditempuhi dengan sabar.  Sebab itu dia tidak cemas apa-apa dengan kejadian yang menimpa rumahnya sejak lebih seminggu.
Hampir sepuluh minit rumah Ludin Tepek di hujani tanah pasir berserak hingga memenuhi lantai rumahnya.  Setelah diamat-amati oleh Talip Cebek tanah pasir itu sama dengan tanah yang dikorek dari kubur.  Marah juga dia dengan sikap Ludin Tepek yang tidak ambil berat dengan kejadian itu, sebaliknya dia pula yang terpaksa bersusah payah.
Kalau tidak kenangkan Tijah Sengih yang merayu meminta dia membantu memang Talip Cebek juga tidak peduli apa-apa.  Biarlah Ludin Tepek bersabar hingga tidak mahu bersemah memanggil Usu Midun.  Siapa lagi dukun yang diharapkan kalau bukan Usu Midun setelah Dukun Samid meninggal dunia.
“Biarlah aku balik dulu,”  Talip Cebek macam merajuk dengan sikap Ludin tepek itu.  Apalah gunanya dia berkerja keras sedangkan Ludin Tepek tidak peduli apa-apa dengan kejadian yang menimpa rumahnya.
Terus saja Talip Cebek balik ke rumah setelah serakan pasir dari atap itu berhenti.  Dia tidak mahu jejak lagi kaki ke rumah Ludin Tepek sekiranya lelaki itu tidak mahu berikhiar.  Takat berdoa saja tidak memadai kalau tidak diusahakan mencari punca kenapa gangguan itu berterusan.
Selagi tidak dicari punca tentulah Ludin Tepek tidak dapat hindarkan mala petaka berkenaan.  Takat berdoa saja hanya sebahagian daripada ikhtiar, yang kadangkala boleh mendorong kepada usaha-usaha selanjutnya.  Kalau takat baru belajar di surau, tidak sepatutnya Ludin Tepek mahu tunjukkan dirinya serba tahu.
Semenjak berulang belajar di surau mudah saja Ludin Tepek mahu tinggalkan petua orang tua-tua.  Lantas saja tidak mahu percaya lagi mengenai mala petaka dan geruh yang mendapat petunjuk dari petua-petua demikian.  Petua orang tua-tua juga percaya bahawa mala petaka itu datang mengganggu pun dengan izin Allah.
Setelah Talip Cebek balik, Tijah Sengih tidak bertangguh mahu tidur saja.  Biarlah suaminya Ludin Tepek terus berjaga.  Sengaja pula Ludin Tepek tidak benarkan dia menyapu tanah pasir yang berserak di lantai yang jatuh dari atap itu.
Belum pun dapat lelapkan mata Tijah Sengih dikejutkan bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam rumah.  Dia bingkas bangun menerpa kearah Ludin Tepek yang duduk bersila di hujung serambi memegang buah tasbih.  Memang Ludin Tepek baru saja selesai solat sunat apabila kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam rumah.
Bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam rumah itu berligar-ligar saja di tengah induk rumah.  Kadangkala terlanggar ke dinding hingga bergegar kuat.  Tetapi Ludin Tepek tidak berganjak dari tempat duduknya sambil memberi isyarat supaya isterinya Tijah Sengih bertenang.
Ketika ini dia membacakan sepuluh kali : Bismillahhir Rah-mannir wala haula-wala qauwata illa billahhil ‘aliyul ‘azim.  Kemudian dia membanyangkan dirinya sendiri tercegat di depannya seolah-olah berhadapan dengan cermin.  Setelah itu dia terus membacakan.
Bismillahhi amana billahhi waman yaumin billahhi lahaufu ‘alaihi, Subhanallahhi wabihamdihi, subhanallahhal’azim. Dia membacakan tiga kali lantas merenung ke dalam tubuhnya yang berbayang seperti di dalam cermin di depannya.
Apabila bayang dicermin itu pecah, dia tahu dirinya masih tetap bertahan.  Dia tidak akan hancur seperti bayangnya di dalam cermin yang mudah sahaja dihancurkan.  Setelah merasa dirinya semakin kukuh bersila di hadapan cermin yang telah menghancurkan bayangnya, lantas ludin Tepek meneruskan doanya:
Ma-asoba mim-musibatin illa bi-iznillahhi, wamaiyukmin billahhi yahdai qolbahu, wallahhu bikulli syai-in ‘ilman.
Ketika ini bunyi tapak kaki orang berjalan itu berlari pula hingga berdentum dentam lantai rumah Kemudian pintu serambi berbuka kuat, dan kedengaran pula seperti orang terburu-buru menuruni tangga.  Tijah Sengih semakin longlai di sisi suaminya akibat terkejut dengan kejadian yang berlaku di dalam rumahnya.
Memang dia tidak dapat menahan perasaan takutnya setelah mendengar sendiri bunyi tapak kaki berjalan di dalam rumah hingga lantai berdentum dentam.  Lainlah kalau dia dapat melihat siapa yang berjalan di dalam rumah ketika itu, tentulah tidak membimbangkan apa-apa.  Tetapi dia hanya sekadar mendengar sahaja bunyi tapak kaki itu, sedangkan tidak siapa pun tercegat di tengah rumahnya.
Selepas mengalami kejadian yang menakutkan hatinya itulah Tijah Sengih merasa tubuhnya lemah hingga sengal-sengal sendi.  Dia tidak dapat mahu bangun menyebabkan kakinya juga tidak dapat bergerak kuat.
“Dah lebih enam bulan, Tijah ni lumpuh, ustaz,”  beri tahu Ludin Tepek sayu dengan keadaan isterinya yang terkejang sewaktu saya datang menziarahinya bersama emak saya.
Memang emak saya beri tahu mengenai Tijah Sengih yang lumpuh apabila saya balik ke kampung.  Sudah puas dia berurut dengan nenek saya, tetapi keadaan lumpuh kakinya tidak juga berubah.  Usu Midun sendiri mengakui Tijah Sengih diganggu jembalang tanah yang menyusup seperti ular tedung senduk di sebalik tempayan berasnya.
Kalau ular tedung senduk itu tidak ditangkap oleh Talip Cebek nescaya akan dipatuknya juga Tijah Sengih sampai lumpuh.  Disebabkan jembalang tanah itu ditangkap oleh Talip Cebek, lambat ianya merasuk untuk lumpuhkan Tijah Sengih.
Akibat lumpuh yang berlarutan itu kadang kala Tijah Sengih bagaikan hilang akal hingga tersengih-sengih saja sepanjang hari.  Puas dipujuk oleh Ludin Tepek namun dia tersengih-sengih juga tidak menentu. Tetapi ada kalanya Tijah Sengih akan kembali siuman dan dia mengakui akan keadaan dirinya sejak berbulan-bulan terlantar sakit.
“Apalah nak jadinya saya ni, ustaz?”  keluh Tijah Sengih sayu dengan keadaan kakinbya yang lumpuh itu.
Dia juga beritahu mengenai Usu Midun yang jelaskan mengenai lumpuhnya disediakan kenan ular sawa tedung yang menjalar.  Tetapi Talip Cebek tidak pun membunuh ular tedung tersebut kalau dikatakan terkena kenan.  Talip Cebek sudah lepaskan ular tersebut ke tengah belukar tepi hutan biar binatang itu tidak ganggu sesiapa pun di dalam kampung.
“Abang Ludin dah doakan tu, cukuplah,”  sahut saya meminta dia bersabar dengan musibah demikian.
Tetapi nenek saya mengaku setiap kali dia mengurut kaki Tijah Sengih seolah-olah betisnya bersisik hingga geli-geleman nenek rasa macam memegang ekor ular.
Disebabkan isterinya memdesak sangat, Ludin Tepek juga terpaksa menuruti kemahuannya supaya rumah tersebut ditepung tawar juga oleh Usu Midun.  Terpaksa pula perigi mereka di bibih tahi besi di dasarknya sengan pelepah mengkuang di kerat tujuh panjang sejengkal.
Sebelum balik sempat juga saya doakan Tijah Sengih dengan azan di telinga kanannya tujuh kali, diikuti dengan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.  Kemudian saya bacakan Ayatul Kursi, 11 ayat terawal surah as-Saffat, ayat 22,22 dan 24 surah al-Hasyr dan surah at-Tariq.

SELESAI












1 comment:

  1. Status blog ini akan ditukarkan kepada private. Sila baca pengumuman di sebelah kiri .

    ReplyDelete