DEMIKIANLAH diberitahu oleh
Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar. Dari apa yang diceritakan oleh Meon itu
saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara perubatan
tradisional. Kalau dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga,
bertih direndang, kemenyan dan sebagainya.
Cara yang dilakukan oleh Ulung
Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah dilakukan oleh
Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji. Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki
Sahak, Tok Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri.
Sebab itulah saya berminat
sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.
Saya datang ke rumah Meon di
Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah dia akan
balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya. Ulung Bahar
hanya menggunakan doa-doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya
menggunakan jampi mentera. Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih,
kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang lazim digunakan oleh dukun-dukun.
Inilah persamaan yang dapat
saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.
"Macam ustaz buat apa lagi
jumpa Ulung Bahar..." kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.
"Orang macam tu patut kita
jumpa" jelas saya lalu duduk. "Orang tua banyak pengalaman..."
ujar saya tertawa.
"Saya agak orang macam
ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa" isteri Meon
menyampuk.
"Ah, apa sangat saya
ni..." saya serba salah bila dikatakan begitu.
Sebenarnya saya baru setahun
mengenali Meon dari seorang kawan. Kawan saya itu mengidap sakit lelah beberapa
tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit
lelahnya itu sudah beransur baik. Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan
Meon.
Dari Meon pulalah saya
mendengar cerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga kelelakian
itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia
merasa pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada
mulanya saya tidak berniat untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita
mengenai beberapa kisah di kampungnya yang melibatkan Ulung Bahar, saya
tertarik hati pula mahu mendengarnya.
Kata Meon, satu waktu dulu
kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga hitam ini
akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya.
Kebanyakan wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya dibukakan pakaian wanita
berkenaan, kemudian dia melarikan diri.
Bagaimanapun Ketua Kampung
enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu menangkap
sendiri, siapakah yang melakukannya.
Seorang janda beranak terjerit
bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya hanya
sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh
lembaga berkenaan. Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga
tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari meninggalkan wanita tersebut dia
memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu.
Satu malam sampai lima enam
orang diganggunya. Dia tidak peduli sama ada anak dara, janda atau isteri
orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan
wanita tersebut dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.
Anehnya rumah-rumah yang
berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya.
Apabila diberitahu pada Ulung
Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan. Katanya sukar juga mahu memerangkap
lembaga hitam itu, keran tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya. "Kalau
kita tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia..."
jelas Ulung Bahar.
"Apa tujuannya lembaga
hitam ni Ulung?" Ketua Kampung hairan dengan suasana yang melanda kampung.
"Ah, ilmu sesat. Ilmu
orang tak ingat Allah..." beritahu Ulung Bahar selamba.
Bagaimanapun tiap-tiap malam
Ketua Kampung mengarahkan penduduk-penduduk kampung berkawal malam. Lembaga
hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan
dia akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan.
Sebenarnya Ulung Bahar boleh
memerangkap lembaga hitam berkenaan sekiranya mendapat kerjasama dari
penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk-penduduk kampung sendiri tidak
mahu bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka
membaca Yassin beramai-ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk
mengganggu.
Tetapi sebahagian besar
penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu. Mereka mahu tahu siapakah orangnya
yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar
enggan menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap
lembaga hitam tersebut, maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak
Musiro.
Pak Musiro mendakwa dialah yang
menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang kampung. Mengikut
cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu
ghaib. Bila ditanya siapakah pemuda berkenaan, Pak Musiro tidak mahu
menerangkannya.
"Nantilah, bila dapat kita
tangkap, kalian semua akan tau..." kata Pak Musiro.
Pak Musiro ini dipercayai
memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap oleh
askar-askar Jepun. Tetapi askar-askar Jepun tidak menemuinya. Semasa darurat
juga gerila komunis mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia
bersembunyi.
Satu hari seekor babi hutan
telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi apabila
terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak
Musiro. Sempat pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi
itu sampai tersungkur mati.
Mungkin kerana mendengarkan
cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat mempelajari
ilmu ghaib dari orang tua tersebut. "Ilmu ghaib macam mana yang kau nak
belajar?" tanya Pak Musiro.
"Ilmu ghaib yang ada pada
Pak Musiro" sahut pemuda berkenaan.
"Ilmu ghaib ni ilmu
jahat..." beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu. "Tetapi kalau mahukan ilmu supaya tidak
ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin" dia menerangkan
selanjutnya.
"Saya bukannya ada
musuh..." kata pemuda itu tersengih-sengih.
Pak Musiro telah menerangkan
satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut tidak jadi
meneruskan usahanya mahu menuntut ilmu ghaib. Lagi pun Pak Musiro bukanlah
bersungguh-sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia
sendiri tidak pernah melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak
Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.
Kata Pak Musiro. "Kalau
kau berani cubalah".
"Cuba macam mana?"
pemuda itu mendesak.
"Aku ingat lebih baik tak
usah" dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.
"Saya sanggup buat apa pun
Pak Musiro" tegas pemuda berkenaan.
Akhirnya Pak Musiro mendapat
satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup melakukannya. Memang
kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang
disebutkan oleh Pak Musiro.
"Apabila ada orang mati,
kau ambil abuk papan lahad yang diketam. Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu
semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu
dimandikan dan taburkan abu papan itu di kepala..." ujar Pak Musiro tersengih-sengih
kerana pemuda tadi percaya sangat dengan apa yang dicakapnya.
"Lepas tu apa saya nak
buat?" tanya pemuda berkenaan dengan yakin.
"Kalau ada apa-apa datang,
kau curilah apa saja barangnya" kata Pak Musiro seterusnya.
"Lagi..." pemuda tersebut
sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.
"Kalau ada sesiapa
mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang" ujar Pak Musiro.
Pemuda itu mengangguk lemah.
Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan oleh Pak
Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk
melemahkan semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib.
Bagi Pak Musiro orang yang akan
mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah keluarga si
mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian
semasa si mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila
memberitahu demikian.
Selepas itu Pak Musiro tidak
tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi. Apabila orang-orang kampung gempar
dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya, Pak Musiro mula
teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu.
Hanya orang yang melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan
orang ramai.
Orang-orang kampung menjadi
bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa mengikut
lubang yang boleh ditembusi angin. Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan
tingkap, dia boleh masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.
Setelah berjanji untuk
menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan
dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk
air yang diambil dari tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu
datang ke rumahnya dan akan menggunakan 'pasung bumi' iaitu ilmu kebatinan yang
mengunci musuh tidak dapat mencari jalan keluar untuk melarikan diri.
Penduduk-penduduk kampung yang
ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar rumah Pak Musiro.
Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.
Kira-kira jam 9 malam, Pak
Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada setiap biji
limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis
bunga. Kemudian Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit
membaca mentera.
Lama dia membaca menteranya,
tiba-tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka terdengar
bunyi pergelutan di sekitar rumah itu. Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro
membakar kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar
kemenyan yang siap dijampi oleh Pak Musiro.
Orang ramai mahu membantu tidak
dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut. Hanya
barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh.
Mereka semua menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam
pergelutan itu. Dalam masa mereka tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro
terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak Musiro menahan kesakitan.
Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.
Pak Musiro terbaring di lantai
dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas melihatkan
Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam
yang mengganggu penduduk-penduduk kampung selama ini.
Dua hari Pak Musiro tidak
sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak. Kuku kaki dan tangannya sudah
menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh
isteri Pak Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini
tidaklah menganggap Ulung Bahar sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang
banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri tidak suka dirinya dipanggil
dukun seperti Pak Musiro.
Jiran-jiran masih ramai
berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung juga ada
sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak
Musiro yang sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan penduduk-penduduk
kampung.
Ulung Bahar memegang kepala Pak
Musiro. Kesan calar-balar di tubuhnya juga menjadi lebam.
"Musiro bernasib
baik..." keluh Ulung Bahar perlahan. "Dia hampir berjaya, tetapi tak
ada orang membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan"
katanya macam kesal.
Kekesalan yang terpancar di
mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak Musiro
semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti
Pak Musiro menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan,
sudah tentu Pak Musiro lebih mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada
sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.
"Minta aku air sejuk
segelas..." Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air.
"Meon, ambil wudhuk" perintahnya lalu berpaling pada Meon. Tidak
bertangguh Meon mengambil wudhuk.
"Azan..." katanya
lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro.
"Jangan berhenti selagi aku tak suruh" dia memberitahu Meon.
Meon pun azan seperti yang
disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh
berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di
depannya. Ulung Bahar tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.
"Bodoh!" itu saja
yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar. Selepas itu mereka
melihat mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.
Sebenarnya Ulung Bahar sudah
ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua berserban
kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Budha. Apabila mereka berdua
nampak Ulung Bahar mereka cuba melarikan diri. Ketika ini Pak Musiro sudah
menunggu di muka pintu, lalu mereka bertarik-tarikan.
Sebelah tangan Jalit ditarik oleh
lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak Musiro.
"Kau ajar dia jadi
jahat!" pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.
"Bukankah kau yang suruh
dia datang kepada aku?" lelaki tua itu mengejek.
"Aku tak suruh...!"
sahut Pak Musiro marah.
"Jangan pula kau
berdalih" lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro.
"Kau suruh dia datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!"
ujarnya masih memaut tangan Jalit. Sementara Jalit pula menjadi bingung tidak
bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua berserban kuning
dengan Pak Musiro.
Terkejut juga Pak Musiro bila
dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa pun.
Semua pertengkaran ini dilihat
oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu ialah Jalit
dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua
berserban kuning itu tidak menanggung apa-apa kecederaan. Setiap tendangan kaki
Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki itu semuanya menuju ke sasaran dada
Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi pelindung lelaki tua berkenaan apabila Pak
Musiro membuat serangan.
"Jalit cakapkan siapa yang
suruh kau datang menemui aku?" soal orang tua berserban kuning.
"Pak Musiro..."
beritahu Jalit.
"Jangan berdusta
Jalit!" marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.
"Bukankah Pak Musiro
menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?" Jalit
mengingatkan Pak Musiro. "Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku
ambil abunya. Pak Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro
suruh aku taburkan abu kulit papan ke kepala aku...!" jelasnya bergema
memukul gendang telinga Pak Musiro.
"Cukup...!" pekik Pak
Musiro marah. Merah padam mukanya bila mengingatkan balik peristiwa dia menipu
Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa-rupanya
Jalit betul-betul melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya
mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.
Sebaik saja diberitahu oleh Pak
Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada Pak
Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti
apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan
diri sendiri. Sama ada ajaran guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan.
Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang disuruh oleh Pak Musiro
kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.
Kebetulan tidak lama kemudian
ada orang meninggal dunia di kampung itu. Jalit terus menziarahi si mati dengan
nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro. Semasa orang
mengetam papan untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan
membawa ke lubang sampah. Pada penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin
membantu dengan membuangkan sampah tersebut.
Di situ dia membakar sampah
papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia menunggu sehingga
mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari. Orang ramai tidak
menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan
mayat hendak dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh
ke bawah rumah, teruslah menimpa kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu
sampah papan diketam.
Belum pun selesai mayat itu
dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi
bersamanya. Lelaki itu tidak bercakap sepatah pun. Sebelum masuk mandi bersama
dengan Jalit, dia meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala
tongkatnya tetap dipegang di tangan.
Jalit memerhatikan apakah
barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan
tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya
terlintas di kepalanya untuk melarikan serban yang tersangkut pada gelegar
rumah. Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak dipakainya.
Setelah melihat orang tua itu
asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai serban
kuning yang tersangkut di gelegar. Serentak dengan itu dia mendengar orang tua
itu menjerit memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat
hati menuju ke arah sungai.
Dia sempat menyeberang sungai.
Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat menyeberang.
"Pulangkan serban
aku!" pinta orang tua tersebut.
"Tidak..." sahut
Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama
mandi air mayat tadi. "Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau
marilah menyeberang sungai ke sini..." dia megejek-ngejek.
"Memang aku nak beri
kau" orang tua itu tersenyum. "Memang aku tau kau berhajat sangat
hendakkan ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya"
beritahu orang tua itu.
"Apa syaratnya?"
"Senang saja..."
"Kalau aku tak ikut
syarat?"
"Aku ambil semula
serban"
"Ah! aku tak
percaya!" Jalit cuba mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang
tua tersebut.
Orang tua itu menunding jarinya
ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari tangan
Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan
orang tua berkenaan. Ternyata dia tidak dapat melawannya. Jalit tidak mempunyai
apa-apa kelebihan bagi mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia
hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh Pak Musiro dengan tidak
bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.
"Sekarang kau percaya atau
tidak?" tanya orang tua itu ketawa berdekah-dekah mengejek Jalit.
Pucat muka Jalit. Dia percaya
dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan mudah
dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat melarikan diri.
"Aku percaya..."
sahut jalit lemah. "Cakaplah apa syaratnya?" tanya Jalit mengharapkan
pertolongan dari orang tua tersebut.
"Kau mesti mencabul 44
orang perempuan!" ujar orang tua itu memberikan syaratnya. "Tetapi
ingat, kau tidak boleh menodai seorang pun..." katanya memberi amaran.
Lama Jalit berfikir sama ada
mahu menerima syarat tersebut atau tidak. Alang kepalang dia sudah pun hampir
mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.
"Ingat 44 orang perempuan
dalam masa dua minggu!" tegas orang tua itu lagi.
"Baiklah, aku
sanggup" Jalit memberi pengakuan.
"Kau mesti tandakan
sebagai bukti kau telah mencabulnya!" katanya lagi.
"Baiklah!" sahut
Jalit tegas.
Serban kuning itu dipulangkan
semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya boleh
berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana
dapat memenuhi maksudnya.
"Kalau kau tak berjaya
mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula" beritahu orang
tua itu menghilangkan diri dari pandangannya.
Untuk memenuhi tuntutan itulah
Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban kuning itu.
Apabila dia balik ke rumah hari itu dia telah bertemu Meon sedang mengembala
lembu masuk ke kandang. Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing
mencari suara Jalit yang memanggilnya.
Apabila serban itu ditanggalkan
barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang dipegang di
tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga
hitam mengganggu perempuan. Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang
perempuan telah dicabul. Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa
mengakui bahawa mereka tidak dinoda oleh lembaga hitam tersebut.
Hinggalah Jalit tidak dapat
mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro. Dia sudah berjaya mencabul hampir
30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah
kalah kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang
menjelma. Orang tua itu memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro.
Terpaksalah Jalit menentang Pak
Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro terlalu
keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua
berjubah kuning itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya
lalu sama-sama menyerang Pak Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak
berdaya lagi untuk bangun menentang.
Jalit juga mendapat cedera
parah. Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang menolongnya.
Hinggalah Ulung Bahar datang menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga
untuk melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.
"Kenapa kau lari?"
jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas
menarik Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro. "Kau takut pada aku?"
kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya ke lantai rumah Jalit.
Terpekik Jalit bila Ulung Bahar
menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa
berdekah-dekah bila Jalit terpekik.
"Kau takkan menang
Bahar..." ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.
Pak Musiro juga masih memaut
tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua berkenaan.
Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu,
tentulah mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi. Syaitan yang menjelma
sebagai orang tua itu berjaya menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila
diserang oleh manusia.
Tetapi Ulung Bahar bukan
semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit
dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan
rumah Jalit. Pak Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran
bertambah kuat.
"Musiro, kuatkan zikir
kau..." Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke
telinganya. Pak Musiro mengangguk. Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat
Allah. Ketika ini dia merasa gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro
terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung Bahar azan.
Hanya orang tua itu saja
terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.
"Nanti..." orang tua
itu merayu meminta Ulung Bahar berhenti azan. Tetapi tangannya tetap berpaut
pada Jalit.
"Lepaskan Jalit
dulu..." perintah Ulung Bahar. Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin
galak Ulung Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah
Jalit. Orang tua itu terumbang ambing macam bertih direndang dalam kuali
terlompat ke kiri ke kanan.
"Tolong berhentikan! Aku
tau kau tak sama dengan Musiro. Aku kalah dengan kau, tolong..." rintihnya
memanjang.
"Lepaskan Jalit
dulu..." tegas Ulung Bahar. Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar
tidak akan berhenti azan.
Tidak tahan dengan gegaran yang
semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit
dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit
tidak bersalah. Jalit hanya terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh
syaitan.
"Aku tak bermusuh dengan
kau" gerutu orang tua itu marah. "Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan
saja Musiro melawan aku" ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.
"Kalau kau tak mahu
bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau" sindir Ulung
Bahar.
"Jangan! Aku tak mahu
bermusuh dengan kau...!" sahut orang tua itu lemah.
"Aku nak bermusuh dengan
kau...!" jerkah Ulung Bahar.
"Mengapa pula?" dia
sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung Bahar.
"Memang syaitan musuh
aku!" balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.
"Aku nak berlawan dengan
Musiro..." beritahu orang tua itu lagi.
"Kenalah langkah mayat aku
dulu!" Ulung Bahar terus mencabar.
Orang tua itu berlegar-legar mahu
menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak Musiro menendang
dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini
dia tidak dapat lagi menggunakan Jalit
sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan akibat
tendangan kuat dari Pak Musiro.
Marah benar dia ditendang oleh
Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia menerkam tetapi
sempat dielak dengan pantas oleh Pak Musiro.
"Di depan Bahar kau memang
handal..." bentak orang tua itu marah.
"Baca Fatihah
Musiro..." bisik Ulung Bahar.
Pak Musiro membaca Fatihah tiga
kali. Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti uri gasing
berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang
itu. Lama dia diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak
Musiro.
"Sekarang kau nak lawan
Musiro lagi?" kata Ulung Bahar mengejeknya.
Orang tua itu tidak dapat
bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi. Ternyata dia terlalu lemah untuk
bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro. Walaupun
Pak Musiro dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila
kalah dia akan berundur buat sementara dulu. Kemudian akan datang semula
mengganggu.
Tetapi dengan Ulung Bahar dia
tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat diekori oleh
Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat-dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu
dengan Ulung Bahar.
"Sekarang kau lawanlah
Musiro..." ulangi Ulung Bahar.
"Kau tolong dia, fasal itu
aku tak terlawan" rintihnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.
"Aku tak tolong dia, kau
yang tak terlawankan dia" Ulung Bahar mengejeknya.
Orang tua itu bangun terhuyung
hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu menerkam,
Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas,
Pak Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke
arah orang tua itu. Jerit orang tua itu bergema menahan kesakitan.
Pak Musiro melihat orang tua
tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya. Apabila
dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya. Malam itu juga Pak
Kadut ayah Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak
nafas tiba-tiba.
Alangkah terperanjatnya dia
bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit. Bagaimanapun Ulung
Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu
hendaklah diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.
"Itulah ceritanya
ustaz..." kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut
ilmu.
Sebelum saya balik malam itu,
kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu balik
terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk
ke bilik bila mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya
dia keluar semula dalam keadaan cemas.
"Jangan balik dulu
ustaz..." katanya rusuh. "tolong tengokkan Simah dulu" ujarnya
tidak ketahuan.
"Astaghafarullah
hala'zim..." keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.
TAMAT
lahhh.. apa jd kat isteri meon tu
ReplyDelete??