Saturday, May 28, 2016

178. TULANG MENJADI ULAR SAWA



BERKALI-KALI diingat kan oleh datuknya Malim Bulak mengenai amalan sangkaguna yang boleh menukarkan diri menjelma menjadi lain daripada diri sendiri itu, tetapi Sumaleh tetap berkeras amalkan juga. Malim Bulak sudah ingatkan betapa amalan itu memudaratkan diri kalau tidak sempat dipulihkan. Satu-satunya yang boleh memulihkan semula sesiapa yang tersalah bawa, hanya guru yang menurunkan amalan sangkaguna itu.

Tahu sangat Malim Bulak mudaratnya kecuali seseorang itu sanggup bertahan dengan penuh kesabaran. Sewaktu sepupunya Jimin menemui ajal memang Malim Bulak melihat sendiri bagaimana seekor burung helang menjunam jatuh di tengah halaman akibat ditembak orang.

Sudah berkali-kali burung helang itu menyusup masuk ke tempat musuh melarikan senjata. Memang musuh tidak percaya apabila orang-orangnya memberi tahu mengenai Jimin yang menjelma menjadi helang. Tetapi Malim Bulak menyedari Jimin terpaksa melakukan kerana mempertahankan kampung halamannya daripada diceroboh musuh.

Marah sangat dia apabila kenangkan Belanda menceroboh di mana-mana meminta orang kampung serahkan padi kepada mereka. Siapa sahaja menentang akan ditangkap Belanda diheret sampai ke Betawi. Sebab itu Jimin tidak rela kampung halamannya di Solok Manggis diceroboh Belanda.

Ketika ini Belanda diganggu seekor helang yang akan menyambar senjata mereka, atau memusnahkan apa sahaja bekalan makanan. Beberapa kali diperangkap oleh musuh, tetapi helang berkenaan terlalu pintar melepaskan diri. Sebab itulah penduduk-penduduk kampung sendiri beritahu musuh mengenai helang tersebut jelmaan semata-mata.

Setelah dibantu oleh penduduk-penduduk kampung sendiri barulah musuh dapat memerangkap tatkala helang berkenaan hinggap di rumpun buluh. Mereka lepaskan tembakan hingga bulu sang helang bertaburan ke bumi, namun sang helang yang pintar itu tidak juga terhumban ke bawah. Lantas sahaja dia melambung semula ke udara terbang jauh ke awan.

Sewaktu helang itu jatuh ke tengah halaman rumah datuknya, Malim Bulak melihat Haji Maasih menitiskan air mata. Tidak bertangguh dia menyuruh sanak saudara mengangkat burung helang itu naik ke rumah laksana menatang jenazah manusia. Tidak siapa pun tahu mengenai rahsia burung helang yang jatuh ke tengah halaman dengan dadanya berlumurah darah itu.

"Jangan beritahu siapa pun, mengenai helang ini!" lantas Haji Maasih ingatkan sanak saudara supaya rahsiakan mengenai kejadian yang mereka lihat sendiri. "Ingat musuh dalam selimut," ujarnya menyimpan dendam yang membara terhadap orang-orang kampung yang sanggup menjadi penolong kepada musuh sendiri.

Kemudian dia memanggil Malim Bulak masuk ke tengah rumah tempat helang diletakkan bagai mayat sedang terbujur. Setelah diselimutkan dengan kain hijau, Haji Maasih meminta Malim Bulak berdiri di hulu kepala dengan berdiri sebelah kaki sahaja. Dia menyuruh Malim Bulak azan dengan diulangi sampai tujuh kali.

Dalam masa Malim Bulak melaungkan azan perlahan, Haji Maasih menepuk-nepuk kain hijau yang menyelimuti helang tersebut. Perlahan-lahan Haji Maasih menyebut 100 kali hingga bergegar seluruh tubuhnya:

Ya qadim, qa daim ya ahad, ya wahid, ya samad.

Ketika ini Malim Bulak seolah-olah tidak tahu apa sebenarnya berlaku, kerana dia merasa terapung-apung bersama buih di tengah ombak. Kakinya juga tidak terasa berjejak di lantai, kecuali terapung-apung di dalam air yang bergelombang. Dia terus juga azan hingga mencukupi tujuh kali seperti diperintahkan oleh Haji Maasih.

Memang Haji Maasih tidak benarkan siapa pun masuk menjengah apabila dia mengajak cucunya Malim Bulak masuk ke tengah rumah. Sanak saudara juga tidak peduli sangat tatkala orang tua itu menyuruh membawa bangkai helang yang jatuh ke tengah halaman diusung macam menatang jenazah manusia.

Sewaktu Malim Bulak selesai azan dia mendengar Haji Maasih berdoa hingga tersengguk-sengguk menahan rasa terharu:

Allahhumma inni as-alaka bis-mikal ahadal 'aza wada'waka, Allahhumma bis-mikal ahadal somada wada'waka Allahhumma bismikal 'azimil witri wada'waka, Allahhumma bismikal kabiral muta'alallazi mala al-arkana kullaha-an'tak'afa 'inni ma-osbahata wama amsista fihi.

Hanya selepas Haji Maasih mengusap tapak tangan ke muka, baru Malim Bulak menyedari yang terbujur di depannya mayat Jimin. Bukan lagi burung helang yang berlumuran darah. Tetapi memang Malim Bulak melihat dada mayat itu masih bersemburan darah akibat ditembusi peluru.

"Tak ada manfaat amalan sangkaguna tu," ujar Malim Bulak ingatkan cucunya mengenai amalan tersebut.

"Kalau untuk kebaikan apa salahnya," sahut Sumaleh tersengih-sengih macam mengejek datuknya.

"Ilmu Allah lebih berguna di dunia dan di akhirat," jelasnya kesal dengan sikap cucunya yang mencari ilmu kebatinan demikian.

"Semua ilmu berguna kalau tidak untuk kejahatan!" Sumaleh mencebek bibir kerana datuknya tidak bersetuju setelah menyedari dia amalkan amalan sangkaguna.

"Kalau kamu mati semasa menjelma jadi binatang, maka kamu akan mati sama macam bintang," tegas Malim Bulak tersinggung juga dengan sikap cucunya.

Tetapi dia tidak boleh memaksa sekiranya Sumaleh enggan mendengar nasihatnya. Perkara amalan ilmu di masa itu tidak berpandukan sangat kepada ajaran agama. Memang Malim Bulak menyedari hakikat ketika itu, setiap manusia berlumba-lumba mencari amalan ilmu.

Mereka yang kuat dengan amalan kebatinan sahaja dikira mempunyai kelebihan dalam masyarakat. Siapa yang berani mengganggu Sumaleh kalau dia sudah membentak marah. Sebab itu apabila orang-orang kampung mengadu kepada Malim Bulak, dia cuba juga menasihati cucunya supaya surut semula ke belakang.

Memang Sumaleh tidak mengganggu sesiapa pun di tengah kampung. Dia sekadar pertahankan diri apabila orang luar menceroboh. Tatkala seisi kampung diganggu mereka yang  amalkan ilmu pukau hingga seisi rumah nyenyak tidur, tidak bertangguh mereka menyelongkar di dalam rumah. Habis semua harta benda dipunggah tidak bersisa.

Siapa lagi mahu diharap setelah masing-masing cuba menghalang, tetapi pencuri yang amalkan pukau dapat juga memboloskan diri. Terpaksa Sumaleh menjelma menukarkan dirinya menjadi ular tedung selar merayap di tengah belukar. Dia melihat seorang lelaki mara ke tengah halaman rumah di dalam gelap malam.

Setelah menggenggam pasir halaman terus diserakkan ke atas bumbung, lelaki itu cuba balik ke rumah. Tiba-tiba dia terkejut apakala melihat kilauan sisik ular di kepala tangga. Terjerit dia ketakutan sampai jiran-jiran bergegas menyuluh ke tengah halaman.

Ketika ini mereka melihat Mat Kubin termengah-mengah duduk di tengah halaman dengan mata terkebil-kebil. Mat Kubin mengaku dia amalkan ilmu pukau mahu mencuri masuk ke rumah Deraman. Belum pernah dia diganggu ular tedung selar tatkala membolos masuk ke rumah sesiapa pun setelah amalkan pukau.

"Ke mana saja kau pergi akan diekori ular bisa, Mat Kubin!" dalam kegelapan malam itu tiba-tiba sahaja Sumaleh tercegat. "Selagi kau tak berhenti mencuri, ular bisa yang akan mengawasi kamu," jelasnya macam ingatkan lelaki itu supaya tidak mencabar.

"Kamu yang gunakan ular tu?" hairan juga Mat Kubin apabila Sumaleh cuba mengugut dirinya.

"Bukan ular saja, harimau juga akan muncul dalam kampung!" beritahu Sumaleh mengejeknya.

Tetapi Mat Kubin terpaksa juga berjanji tidak akan melakukan lagi setelah rahsianya di-ketahui. Sudah tentu orang-orang kampung akan menyerbu ke rumahnya kalau berlaku kecurian gunakan pukau. Mereka akan heret dia ke rumah tok ketua sama ada membantah atau pun tidak.

Bukan Mat Kubin sahaja sudah dihalang oleh Sumaleh tatkala amalkan ilmu pukau, malah Tonel yang kebal tidak lut senjata juga mati lagkah apabila cuba melawan. Memang Tonel mudah sahaja menghunus parang kalau sesiapa membantah kemahuannya.Seisi kampung tahu sangat mengenai kekebalan Tonel yang tidak lut senjata apabila ditetak ke tubuhnya.

Sewaktu Ucin Gila mengamuk mengibas parang panjang di tangan, cuma Tonel satu-satunya yang berani mencekik baju. Sekaligus Ucin Gila menetak parang terhunus ke kepala Tonel, tetapi mata parangnya sumbing macam timah lembut singgah ke batu.Tidak bertangguh pula Tonel mengilas tangan Ucin Gila ke belakang terus merampas parang terhunus.

Sebab itu apabila Tonel cekak leher Deraman kerana menolak pinangannya, memang tidak siapa berani membantu. Bukan Deraman tidak mahu menerima Tonel, tetapi anaknya Masinah sudah bertunang. Apa pula tuduhan orang kampung kalau dia memutuskan pertunangan semata-mata menurut kemahuan Tonel.

Tatkala Tonel menceroboh rumah Deraman hingga sanggup mahu mencabul Masinah, lantas sahaja Sumaleh tampil merentap rambutnya turun ke tengah halaman. Marah benar Tonel kerana Sumaleh cuba menunjukkan jantan untuk pertahankan Deraman.

"Sudah penuhkah ilmu di dada kamu?" bentak Tonel mengejek Sumaleh yang tercegat menunggu dia menyerang.

"Oh, kerana ilmu kebal kau, maka kamu mahu tunjuk kurang ajar!" sahut Sumaleh disebabkan Tonel berani mengganggu tunangnya Masinah. Kalau dibiarkan saja tentu Tonel akan tunjuk jantan di dalam kampung tidak mengira sesiapa lagi. Sebab itu dia mesti tundukkan Tonel depan orang-orang kampung.

"Apa lagi, sekarang mara kamu ke depan!" ejek Tonel membuka dada mengajak Sumaleh.

"Tunggu, hentikan pergaduhan," Deraman mendesak kerana bimbang Sumaleh akan kecundang di tangan Tonel. Dia melihat sendiri Tonel bukan lawan Sumaleh kalau bandingkan tubuh sasa dua anak muda bcrkenaan.

"Pak Tua Deraman takut Sumaleh berputih mata!" ketawa Tonel memanjang mengejek lawannya biar segera menerpa.

Tetapi Sumaleh yang berbadan kurus itu tidak menerpa. Dia sekadar mencemik muka sahaja menunggu Tonel sendiri memulakan pencak silatnya. Memang dia tahu tidak siapa pun berani melawan Tonel kalau dia sudah membentak marah. Takat parang terhunus di tangan jangan cuba mahu memangkas kalau tidak disertakan dengan ilmu di dada.

Bila-bila sahaja Tonel boleh kuis dengan kaki sampai tersungkur menyembam bumi. Mata parang juga akan sumbing sekiranya singgah mencecah tubuh Tonel macam golok kayu ditetakkan ke batu tersergam. Sebab itu Deraman cemas kalau Sumaleh terus juga melawan.

Apa salahnya Sumaleh mengalah setelah sama-sama tercegat di tengah halaman. Tentu Tonel bertimbang rasa juga tidak berdendam apabila Sumaleh merentap rambut mengajak turun ke tengah halaman tunjukkan jantan masing-masing.

"Belum tahu siapa berputih mata, Tonel" Sumaleh tetap tidak mengalah sambil matanya meliar memerhati gerak Tonel.

Tatkala Tonel menerkam ke arahnya, Sumaleh tidak mengelak apa-apa.Mereka bergomol di tengah halaman menyebabkan Masinah yang tercegat di tepi jendela memekik kuat. Dalam masa beberapa minit sahaja mereka bergomol, tiba-tiba Tonel segera melompat mengelakkan diri apabila menyedari dia bukan lagi bergomol dengan Sumaleh. Tetapi hampir sahaja dia dibelit ular sawa sebesar betis.

Mereka yang melihat kejadian itu terkejut juga apabila Sumaleh tiba-tiba sahaja bertukar menjadi seekor ular sawa yang hampir membelit Tonel. Tertegun Tonel setelah menyedari Sumaleh juga bukan calang-calang lawan yang mahu ditentang. Selama ini dia menyangka Sumaleh bertubuh kurus itu mudah sahaja ditewaskan kalau takat beradu tenaga. Tetapi Sumaleh bukan bergantung pada tenaga biasa, dia mempunyai amalan yang menggerunkan Tonel sendiri.

Sekiranya dia lambat melompat melepaskan diri nescaya tubuhnya akan dicerut ular sawa sebesar betis. Kelebihan dia sekadar kebal tidak lut senjata. Manalah dia boleh mengelak apabila dicerut belitan ular hingga sukar mahu bernafas.

Sebaik sahaja Tonel sempat menghunus parang, segera dia melompat tangkas mahu menetak kepala ular sawa yang masih berlingkari di tengah halaman.Tatkala dia menetak pantas Tonel sekadar melihat mata parangnya menyinggahi kain hitam berkibar-kibar ditiup angin. Sekaligus pula ular sawa berlingkar melayang ke udara menjadi helang berligar-ligar mahu menyambar.

Tetapi Tonel tidak bimbang sekiranya helang berligar menerkam ke arahnya. Dia tahu yang berligar di udara menjelma menjadi helang itu memang Sumaleh. Biarlah kuku helang mencengkam tubuhnya mahu dikopak macam mengerkah daging belakang induk ayam tengah mengekas! Nescaya kuku sang helang tidak mampu cederakan dia selagi amalan kebalnya tidak lut ditembusi senjata tajam.

Namun helang di udara tidak menerkam langsung. Dia sekadar berligar-ligar sahaja seolah-olah mahu menyambar mangsa. Kemudian dia melayang rendah terus hinggap di atas bumbung rumah.

"Aku takkan mengalah, Sumaleh!" laung Tonel bersemangat mahu terus mencabar. Malu juga dia kepada orang-orang kampung yang berkeliling sekiranya menyerah kepada Sumaleh.

"Cukuplah Tonel, hentikan saja," Deraman memujuk supaya anak muda berdua itu tidak mensia-siakan tenaga semata-mata disebabkan anaknya Masinah.

Tetapi Sumaleh bertahan bukan disebabkan tidak mahu berputih mata. Dia merasa terhina sekiranya membiarkan Tonel mngganggu tunangnya sendiri. Lainlah kalau Masinah bukan tunangnya yang tidak perlu dipertahankan maruah dirinya.

Saat ini dia merasa amalan sangkaguna itu terpaksa juga digunakan sekalipun sudah tersalah tempat. Sepatutnya dia mesti rahsiakan diri pengetahuan orang kampung supaya mereka mereka tidak mengesyaki apa-apa.Tetapi Tonel yang menyebabkan dia terpaksa gunakan juga sampai seisi kampung tahu mengenai dirinya boleh menjelma menjadi ular sawa dan helang dalam sekelip mata.

Disebabkan Tonel terus juga berkeras mahu menunjukkan kebalnya lebih gagah pertahankan diri, lantas sahaja Sumaleh mengepak-ngepak tangan hingga tubuhnya bertukar menjadi kerbau jantan bertubuh sasa. Tidak bertangguh dia menyondol menusukkan tanduk runcing menyinggahi ke dada Tonel. Terhumban Tonel berguling ke tanah laksana batang pisang dicampakkan.

Memang kulit Tonel kebal tidak berbekas apa-apa akibat ditanduk kerbau bertubuh sasa. Tetapi Tonel tergeliat-geliat tidak boleh bangun disebabkan rempuhan yang kuat. Terbatuk-batuk dia sampai termuntah darah beku di mulutnya.

Belum sempat Tonel terkial-kial bangun sekali gus kerbau jantan itu menghayun tanduk menyondol belakang. Terlambung tinggi tubuh Tonel ke udara macam belantan dilontarkan. Ketika ini Tonel bertambah lemah sekalipun kulitnya tidak luka langsung ditusuk tanduk runcing kerbau berkenaan.

Dalam keadaan Tonel tidak mampu lagi bergerak, kerbau berkenaan terus juga mahu menerkam. Tetapi langkahnya tertahan-tahan sebaik melihat Malim Bulak tercegat melindungkan Tonel. Memang Malim Bulak tahu keadaan Sumaleh sudah dirasuk syaitan hingga tidak boleh dileraikan. Kalaulah lambat Deraman berkejar ke rumahnya memberitahu kejadian yang berlaku, tentu Tonel bertambah teruk disondol kerbau jantan tengah memberang.

"Kamu nak membunuh orang ke, Sumaleh!" bentak Malim Bulak mengisar tumitnya ke tanah.Dia tidak boleh biarkan cucunya Sumaleh dirasuk syaitan hingga sanggup membunuh dengan amalan sangkaguna yang diamalkannya. Kemudian dia menghembus perlahan ke arah kerbau jantan yang menghentak-hentak kaki mahu menerkam, lantas membacakan:

Kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, innahu min-Sulaiman wa-innahu bismillahhir rahmanir-rahim.

Apabila Malim Bulak hentakkan tumitnya tiga kali ke tanah, kerbau jantan mahu menerkam itu menggeliat-geliat tubuh. Kulitnya luruh ke tanah laksana lilin cair terbakar. Perlahan-lahan Sumaleh mengirai-ngirai rambut bagaikan selepas mandi menyelam di tengah arus sungai.

"Apa yang kamu lakukan ni, Sumaleh?" Malim Bulak mencemik muka kesal dengan kejadian yang berlaku di kam-pungnya.

Tatkala memerhati ke arah Tonel yang terbaring dengan dipangku kepalanya oleh Mat Kubin, menggeleng-geleng lemah Sumaleh. Memang dia tidak menduga kejadian tersebut sampai ke peringkat mencederakan orang lain. Ketika menukar dirinya menjelma menjadi kerbau jantan bertubuh sasa, Sumaleh sudah tidak dapat mengawal dirinya. Dia melihat Tonel seolah-olah musuh yang mesti diserang berterusan.

Sewaktu jiran-jiran cuba membantu Tonel, mereka yang di atas rumah terkejut disebabkan Masinah pengsan tidak sedarkan diri. Giginya terkancing dengan tubuhnya sejuk laksana batang pisang tergolek.Cemas tidak keruan Ibunya memanggil suaminya Deraman yang terkial-kial memapah Tonel ke kaki tangga.

"Hah, apa pula balanya lagi?" gerutu Deraman apabila isterinya memanggil tidak menentu.

Sewaktu mereka naik ke rumah tubuh Masinah lemah longlai tidak bermaya. Bibirnya pucat laksana kulit langsat terkupas habis. Mereka berpandangan sama sendiri kerana tidak semena-mena sahaja Masinah rebah tatkala berdiri di tingkap.

Memang Ibun sendiri tidak menyedari bagaimana anaknya tiba-tiba rebah ke lantai hingga tubuhnya lemah longlai. Setelah dibantu oleh jiran-jiran dibaringkan di tengah serambi, keadaan Masinah masih juga tidak berubah.

"Macam mana ni, Pak Malim?" Ibun tersengguk-sengguk terharu dengan kejadian yang menimpa anaknya.

Malim Bulak tidak menyahut. Dia merenung lama ke mata Masinah dengan membacakan Fatihah tujuh kali. Apabila dia mengetuk jari telunjuknya ke dahi Masinah, gadis itu terkejut hingga bingkas duduk dengan terkebil-kebil mata.

"Kenapa kamu ni, Masinah?" segera Deraman memegang bahu anaknya yang masih terpinga-pinga tidak menentu.

Tetapi Masinah tertunduk dalam ketakutan menyelubungi perasaannya.Dia tidak berani mendongak memandang keliling, sekalipun Malim Bulak menyuruh mereka yang berkerumun undur jauh sedikit. Tentu Masinah kepanasan sekiranya jiran-jiran berasak mahu mendekatinya.

"Bagaimana kamu boleh jadi begini?" perlahan sahaja Malim Bulak menegur setelah menyedari Masinah tidak dirasuk apa-apa, kecuali terlalu ketakutan hingga perasaannya tertekan.

"Aku tak mahu bernikah dengan ular sawa!" Masinah menangis apabila kenang tunangnya Sumaleh berbelit-belit dengan Tonel hingga tubuhnya bersisik dari betis hingga ke pinggang. Dalam masa sekelip mata sahaja seluruh tubuh Sumaleh bersisik sebelum menjelma menjadi ular sawa sebesar betis. Geli geleman Masinah tatkala bayangkan Sumaleh akan menjadi teman di sisinya kalau sudah bernikah kelak.

"His, apa yang kamu cakapkan ni!" serba salah juga Deraman apabila anaknya membuat keputusan di depan Sumaleh. Tentu anak muda itu tersinggung dituduh Masinah demikian. Manalah tahu Sumaleh akan membalas dendam setelah hatinya terluka dengan kata-kata Masinah yang menghiris.

"Semua orang nampak, Sumaleh tu sebetulnya ular sawa," Masinah terus merungut tidak mahu menatap muka Sumaleh.Terbayang sahaja di benaknya kulit Sumaleh bersisik keras hingga berubah menjadi seekor ular sawa berbatik-batik.

Memang semua jiran-jiran melihat ular sawa yang berlingkar di tengah halaman membelit tubuh Tonel jelmaan dari Sumaleh. Bagaimana kalau Sumaleh bertukar menjadi ular sawa berlingkar di atas tempat tidurnya kalau ayahnya memutuskan juga dia mesti berkahwin dengan lelaki itu?

"Sumaleh bukannya ular sawa," pujuk Sumaleh setelah menyedari tunangannya ketakutan akibat dia menjadi ular sawa takala mahu pertahankan diri dari ancaman Tonel.

Tetapi Masinah tidak boleh dipujuk lagi. Dia tidak mahu menerima tunangannya Sumaleh setelah melihat sendiri lelaki itu menjadi ular sawa. Berkali-kali Masinah geli gelemam ketakutan seolah-olah melihat bayangan ular berlingkar di sisinya.

Saat ini Sumaleh berasa kesal disebabkan amalannya menjadi kebencian Masinah, sekalipun dia sekadar mahu selamatkan keluarga tunangnya itu. Jauh di lipatan hatinya dia menyedari kenapa datuknya Malim Bulak ingatkan dia mengenai mudarat amalan sangkaguna tersebut.

Lainlah kalau ajalnya sudah ditentukan seperti berlaku ke atas datuk saudaranya Jimin yang terkorban kerana pertahankan kampung halamannya diganggu musuh. Memang Haji Maasih mampu pulihkan semula supaya Jimin tidak mati menjadi bangkai burung helang yang tidak sempat dimandi dan dikapankan. Sebab itu Sumaleh percaya datuknya Malim Bulak juga mampu pulihkan dirinya sekiranya sudah ditentukan demikian.

Tetapi Sumaleh tidak amalkan sangkaguna sama dengan arwah datuk saudaranya Jimin. Dia mampu pulihkan semula dirinya sekalipun tidak dapat mengawal perasaan tatkala menjelma macam amalan sangkaguna arwah Jimin. Sebab itu dia tidak bimbang apa-apa setelah datuknya Malim Bulak tidak senang dengan amalannya.

Apabila tunangnya Masinah takut setiap kali kenangkan dirinya, Sumaleh terasa amat malu mahu menatap wajah gadis berkenaan. Selagi dia masih terconggok di tengah kampung, tentu ketakutan Masinah tidak boleh diubati. Dia diberitahu mengenai Masinah tergamang-gamang asal sahaja mendengar nama Sumaleh disebut di depannya.

Puas ayahnya Deraman meminta Malim Bulak pulihkan semula semangat Masinah, tetapi keadaannya tidak juga berubah. Kadangkala dia akan merapik tidak menentu hingga meracau-racau tatkala tengah nyenyak tidur. Dia gementar asal sahaja termimpi-mimpi tubuh Sumaleh bersisik keras lantas perlahan-lahan bertukar menjadi ular sawa berlingkar.

Disebabkan malu kepada keluarga Masinah, terpaksalah Sumaleh tinggalkan juga kampung halaman. Dia sekadar heritahu datuknya Malim Bulak mahu memulakan penghidupan ke Jambi. Kalau Masinah pulih setelah mereka berjauhan, dia akan balik juga menjengah datuknya di Solok Manggis.

Semasa di Jambi dia merasa lebih seronok menumpang kapal barang menyeberangi Selat Melaka. Biarlah segala kenangan di Solok Manggis di simpan jauh di sudut hatinya.Kalau tidak dapat menatap wajah datuknya Malim Bulak pun dia tidak terkilan apa-apa. Datuknya sendiri sudah ingatkan dia supaya tidak jejak kaki lagi di kampung halaman.

Sampai bila pun ketakutan Masinah tidak akan dapat dipulihkan selagi dia melihat kelibat Sumaleh. Asal sahaja mendengar Sumaleh terconggok di tengah kampung, lantas sahaja terbayang di benak Masinah lelaki itu akan duduk di sisinya. Dalam masa sekelip mata sahaja sisik akan tumbuh laksana tunggul janggut di dagu.

Apabila seluruh tubuhnya dihinggapi sisik keras nescaya Sumaleh akan menjadi ular sawa. Bagaimana dia mahu mengelak sekiranya Sumaleh duduk di sisinya? Tentu ular sawa itu akan membelitnya bagaikan memerangkap induk ayam tengah reban. Sebab itu Masinah tidak mahu menatap muka lelaki yang sama dengan seekor ular sawa berlingkar.

"Saya dengar mengenai Pak Suma boleh menjadi ular," ujar saya mengusiknya setelah beberapa kali bersua di kampung pedalaman melalui jalan kayu balak.

"Ustaz percaya cerita macam tu?" tersengih-sengih dia berdalih sambil menguis-nguis abuk rokok daunnya yang jatuh ke lantai.

"Tok Aji yang banyak beritahu saya mengenai Pak Suma," sengaja saya sebut mengenai hubungan baiknya dengan Tok Aji sewaktu sama-sama jejak kaki datang ke Tanah Melayu.

"Huh, Tok Aji kamu memang begitu," jelasnya tersenyum mengerling ke arah saya. "Dia pun apa kurangnya, Pak Sumi tahu dia!" dia menambah dalam suara perlahan.

Tetapi saya menemui Sumaleh bukan disebabkan dia amalkan sangkaguna yang boleh menukarkan dirinya menjelma menjadi haiwan. Memang Tok Aji beritahu mengenai kawannya yang pernah ditemui tatkala di Pontian sewaktu mula-mula jejak kaki ke Tanah Melayu. Lama juga Sumaleh menumpang di rumah Tok Aji sebelum mereka sama-sama meninggalkan perkampungan di situ.

Apabila Tok Aji berpindah ke Endau, dia mendapat tahu Sumaleh sudah berkahwin di Tangkak. Beberapa kali juga Tok Aji menemui dia di Tangkak hingga masing-masing tidak dapat berhubungan lagi. Sementelahan pula Tok Aji tidak pernah menetap lama di mana sahaja dia singgah. Hanya setelah dia sampai di kampung Nenek Aji baru dia mengambil keputusan terus menetap di situ.

Sebab itu dia beritahu saya mengenai kawan-kawan lamanya yang sama datang ke Tanah Melayu. Bagaimanapun dia tidaklah mendesak sangat supaya mencari Sumaleh. Cuma bila kenangkan masa lalunya Sumaleh memang terkilan apabila tunangnya Masinah enggan menerima dia.

Sumaleh percaya tidak akan mengalami kejadian yang menimpa datuk saudaranya Jimin kerana hampir menjadi mangsa tatkala menjelma menjadi helang. Kalaulah tidak dipulihkan oleh Haji Maasih memang dia akan mati seperti seekor burung helang juga.

Tetapi Jimin lama bertapa di dalam hutan setelah minum air tujuh kuala. Kemudian terpaksa pula berendam tengah air pada tujuh jeram tatkala malam gelap. Selepas itu Jimin akan berlari dari kaki bukit ke puncaknya hingga boleh sampai dalam sekelip mata sahaja.

Tahu sangat Sumaleh amalan datuk saudaranya Jimin terlalu sukar mahu diamalkan. Dia tidak mampu ikut amalan tersebut kalau sekadar mahu menjelmakan dirinya menjadi seperti haiwan. Tetapi Jimin sanggup lakukan semata-mata untuk pertahankan kampung halamannya dari gangguan musuh.

Semua pengalaman di kampung halamannya di Solok Manggis diberitahu kepada Tok Aji sewaktu mereka sama-sama menetap di Pontian. Sebab itu dia mendesak Tok Aji supaya membantunya buangkan sahaja amalan yang menyebabkan dia terpisah dari Masinah. Tentu dia tidak boleh salahkan Masinah apabila gadis itu geli gelemam membayangkan dirinya seekor ular sawa berlingkar.

"Memang saya menyesal, abang Aji," Sumaleh memberi pengakuan disebabkan tidak menyangka akibat amalannya dia terpaksa berpisah dengan Masinah.

"Tapi di Pontian ni, tak sama dengan Solok Manggis," jelas Tok Aji memujuk kawannya yang masih tidak dapat melupakan kejadian di kampung halamannya.

"Di sini memang orang tak ambil peduli sangat amalan tu," terangguk-angguk Sumaleh menghela nafas apabila kenang kawan-kawannya di perkampungan itu tidak bersusah payah mahu amalkan kebatinan. Tidak sama dengan kawan-kawannya di Solok Manggis hingga Mat Kubin pun mahu amalkan pukau atau Tonel dengan kebal tidak lut senjata.

Tetapi gangguan memang ada di mana-mana. Apabila penduduk kampung gelisah disebabkan kelibat toyol menyusup masuk ke dalam rumah hingga mencuri duit tersimpan di bawah lipatan kain, masing-masing tidak tahu bagaimana mahu menghalang.

Memang Tok Aji tidak peduli sangat seisi kampung gelisah dengan kejadian duit hilang dalam simpanan. Lagi pun dia tidak mahu menunjuk-nunjuk pandai di kampung halaman orang, kerana bimbang dituduh mahu mengambil kesempatan. Namun Sumaleh sudah mendengar orang-orang kampung sengaja menuduh Tok Aji yang menyimpan toyol.

Mereka percaya setelah Tok Aji berpindah ke perkampungan itu sahaja kejadian toyol mengganggu itu menjadi-jadi. Sebab itu Sumaleh tidak rela membiarkan orang-orang kampung menuduh Tok Aji. Tetapi Tok Aji tidak bimbang apa-apa kerana perkara toyol itu memang bencana syaitan yang mahukan penduduk kampung tuduh menuduh.

"Orang kampung tuduh abang Aji simpan toyol," beritahu Sumaleh tidak sabar dengan ancaman orang-orang kampung.

"Biar mereka tangkap sendiri toyol tu,” sahut Tok Aji berkeras tidak mahu berpindah setelah didesak oleh Sumaleh.

"Macam mana kalau mereka cederakan abang Aji?" desak Sumaleh disebabkan orang-orang kampung semakin galak menuduh.

"Kita hanya mohon perlindungan dari Allah," jelas Tok Aji memberi keputusan. Sekiranya mereka berdua tinggalkan kampung tersebut tentu seisi kampung percaya memang dia menyimpan toyol. Biarlah mereka dapat buktikan dulu perbuatan siapa gunakan toyol sebelum mereka berpindah dari situ.

Disebabkan Tok Aji tidak mahu berundur itulah Sumaleh terpaksa juga mengendap di tengah kegelapan malam. Sewaktu dia tersergam menjelma menjadi pokok cenerai di hujung halaman, dia melihat lembaga hitam dengan seluruh kulitnya diselaputi kudis membimbing tangan lembaga kecil seperti bayi. Dia melihat sendiri lembaga hitam itu memerintahkan lembaga seperti bayi itu menyusup masuk ke rumah Haji Derani.

Dalam masa beberapa minit sahaja lembaga seperti bayi keluar membawa peti kecil berisi barang-barang kemas. Sebaik sahaja lembaga bayi itu melompat turun ke tengah halaman, Sumaleh melihat dua lembaga itu menjelma menjadi keluang lantas melayang pantas di tengah kegelapan malam.

Sekali gus pula Sumaleh menukar dirinya menjadi jaring terentang memerangkap keluang yang pantas meranduk kegelapan malam. Sebaik sahaja dua ekor keluang itu tersusup ke dalam jaring terentang peti berisi barang kemas juga jatuh ke tanah. Terpinga-pinga lembaga keluang itu bertukar menjadi lelaki dipenuhi kudis seluruh badan mahu melepaskan diri daripada perangkap jaring.

"Apa bendanya ni, toyol?" bisik lelaki berkudis seiuruh badan itu hairan disebabkan tiba-tiba sahaja mereka terperangkap ke dalam jaring.

"Ini bukan jaring biasa," sahut lembaga seperti bayi itu perlahan dalam keadaan serba salah.

"Kalau jala buruk, kita balik jadi keluang," ujar lembaga hitam kulit berkudis itu memberi arahan.

Apabila mereka kembali menjadi keluang mahu merempuh jaring yang terentang, kepak mereka tersangkut tidak boleh melepaskan diri. Semakin kuat mahu meronta bertambah terjerut mereka di dalam jaring.

Lembaga tersebut terpinga-pinga disebabkan tidak dapat memboloskan diri. Setelah mereka kembali menjelma menjadi lelaki hitam berkulit penuh kudis yang dibantu lembaga seperti bayi, mereka tidak dapat juga menyusup keluar.

"Siapa tuan kamu?" bentak Sumaleh tidak melepaskan mereka dari jaring yang terentang.

"Tuan aku di rumah besar tu," terketar-ketar lembaga hitam Itu ketakutan.

"Sekarang kau serakkan barang-barang kemas ni sampai ke tangga rumah tu!" perintah Sumaleh bagaikan gemuruh suaranya menggegar di udara menyebabkan dua lembaga tetsebut bertambah kecut.

Dua lembaga berkenaan tldak membantah. Mereka serakkan barang-barang kemas yang dicuri dari rumah Haji Derani hingga ke halaman rumah Itam Suging.

Kepalang marahnya Itam Suging setelah melihat dua lembaga suruhan balik ke rumah tidak membawa apa-apa yang berharga. Dua lembaga suruhan itu sekadar menggeleng-geleng kepala apabila didesak Itam Suging menjelaskan sebab-sebab mereka tidak boleh lakukan.

Memang Sumaleh melihat sendiri seluruh tubuh Itam Suging dipenuhi kudis seluruh badan. Merungut-rungut Itam Suging salahkan Tok Aji yang menjadi punca kudis di tubuhnya tidak kunjung sembuh. Tahu sangat dia berturut-turut malam Tok Aji bangun solat sunat tahajud memohon perlindungan Allah supaya orang-orang kampung tidak menuduhnya menyimpan toyol lagi.

"Sekarang kamu pergi ke rumah Tok Aji!" bentak Itam Suging mengisar kain putih reput bersama tanah kubur di tapak tangannya. "Ini kain kapan dengan tanah liang lahad akan bersama kamu," serunya memberi perintah kepada dua lembaga di sisinya.

Tetapi lembaga hitam bersama lembaga bayi itu terketar-ketar tidak mahu berganjak. Mereka memerhati ke arah Sumaleh vang menjadi jaring terentang akan memerangkap mereka. Puas dipuja oleh Itam Suging supaya dua lembaga itu menjadi keluang biar melayang pantas memburu Tok Aji namun mereka tetap menggeleng-geleng kepala.

Sebaik sahaja suara Tok Aji seolah-olah bergema di udara melaungkan azan sampai tujuh kali, tidak bertangguh dua lembaga itu menerkam ke arah Itam Suging. Apabila mereka bertukar menjadi keluang lantas sahaja kukunya mencakar seluruh badan Itam Suging yang dipenuhi kudis.

Saat ini memang Sumaleh seakan-akan mendengar suara Tok Aji bergema di udara membacakan:

Qola haza rahmatam min rabbifa-izaja a-wa'du rabbi ja' alahu dakka- wakana wa' du rabbi hoqqan.

Sekali gus tubuh Itam Suging berguling-guling akibat dicakar dua ekor keluang yang menerpa tidak ketentuan.

Sewaktu Sumaleh balik ke rumah dia melihat Tok Aji masih duduk di atas tikar sembahyang tunaikan solat sunat tahajud. Tok Aji sendiri tidak hiraukan kenapa dia balik jauh tengah malam. Tatkala Sumaleh rebahkan badan memang Tok Aji masih belum selesai solatnya.

Hanya keesokan paginya sebelum matahari naik sepenggalah seisi kampung dikejutkan dengan kematian Itam Suging. Isterinya Incum beritahu mengenai suaminya yang mati dengan kesan calar balar seperti dicakar binatang liar. Di sisi mayat Itam Suging memang ada dapur perasap berbara dengan secarik kain putih reput dan sekepal tanah kubur.                       



SELESAI