Sunday, February 19, 2017

216. PUAKA BERBULU TERKURUNG DI JERAM



Surat daripada Mamak Bandaro sudah dibaca oleh isteri saya apabila saya unjukkan kepadanya. Baru sahaja seminggu saya balik dia sudah mengirim surat. Sepatutnya saya yang menulis surat terlebih dahulu kepadanya memberitahu fasal sudah selamat sampai di rumah.
Di dalam suratnya Mamak Bandaro menjelaskan ketika balik daripada menghantar saya ke Medan di sebelah paginya, tiba-tiba sahaja Mak Tua Sarinah menerpa datang. Belum sempat pun Mamak Bandaro keluar dari kereta Mak Tua Sarinah terus sahaja memberitahu adik sepupunya Pak Ahdar terkejang sakit.
Isteri Pak Ahdar, Hamsiah pun sama menunggu Mamak Bandaro balik dari Medan. Cuma dia satu-satunya yang diharapkan oleh Hamsiah memulihkan penyakit Pak Ahdar yang datang secara mendadak.
 "Ahdar tu kan banyak ilmu kebatinan?" gerutu Mamak Bandaro sebaik sahaja didesak isterinya supaya segera menjengah Pak Ahdar. "Macam mana dia boleh tewas?" keluhnya mengerling Agoes yang baru sahaja keluar dari kereta.
"Entahlah," beritahu Hamsiah cemas semakin tidak keruan. "Tiba-tiba saja rumah kami bergoyang lantas runtuh menimpa Ahdar," ujarnya macam tidak percaya dengan kejadian yang menimpanya.
Memang Hamsiah hairan benar apabila rumahnya tiba-tiba sahaja bergoyang kuat malam tatkala saya berkemas-kemas mahu balik ke Semenanjung. Kalaulah dia dan anak-anaknya tidak sempat larikan diri ke luar, tentu mereka semua ditimpa runtuhan rumah.
Sewaktu jiran-jiran memapah Pak Ahclar keluar dari bawah runtuhan rumahnya dia hanya tersengih-sengih sahaja. Tetapi air liur meleleh keluar dari mulutnya berlendir-lendir. Suaranya tidak keluar kecuali merungut-rungut tidak menentu. Apabila jiran-jiran mahu membawanya terus ke hospital, Pak Ahdar menggeleng-geleng berkeras tidak mahu dibawa.
Lantas sahaja Mamak Bandaro mengajak Agoes menjengah Pak Ahdar sebelum sernpat masuk ke rumah. Mak Tua Sarinah juga bergegas ikut sama setelah didesak Hamsiah. Sebaik sahaja sampai memang semua anak-anak Pak Ahdar sudah duduk berkeliling. Pak Ahdar terkejang sahaja tidak bergerak disebabkan seluruh badannya keras kaku tetapi peluh memercik hingga basah lukus pakaiannya.
"Kenapa kau Ahdar?" segera Mamak Bandaro mengusap kepalanya sebaik sahaja duduk di sisi Pak Ahdar, tetapi lelaki itu tidak menyahut apa-apa. Dia memalingkan muka tidak mahu menatap wajah Mamak Bandaro.
Tempat Pak Ahdar dibaringkan terkejang itu hanya bahagian dapur rumah yang masih kukuh. Hairan juga mereka disebabkan bahagian rumah yang runtuh itu hanya di bahagian bilik tempat Pak Ahdar tidur. Segala kayu palang dan kasau rumah semuanya jatuh menimpa Pak Ahdar.  Tetapi Pak Ahdar tidaklah cedera sangat sekalipun runtuhan rumah menimpanya hingga tersepit tidak dapat memboloskan diri.
"Mujur ayah tak cedera, Pak Tua," Kusma anak gadis Pak Ahdar memberitahu dalam suara yang bergetar menahan keharuan.
"Ayah kamu banyak ilmu kebatinan," jelas Mamak Ban-daro perlahan. "Tapi aku hairan bagaimana dia boleh tewas?" bisiknya apabila kenangkan nasib yang menimpa sepupu isterinya itu.
Apabila Mamak Bandaro letakkan tapak tangan di kepala Pak Ahdar, terasa kepala itu sejuk bagaikan ketul air batu. Tetapi Mamak Bandaro sengaja rahsiakan daripada Hamsiah. Biarlah mereka semua sekadar melihat Pak Ahdar terkejang, sekalipun kepalanya sahaja bergerak-gerak lemah. Manalah tahu Hamsiah akan bertambah cemas kerana bimbang akan keselamatan suaminya.
Perlahan--lahan Mamak Bandaro bacakan surah al-Fatihah 17 kali diikuti dengan surah al-Ikhlas 17 juga dan Ayatul Kursi sebanyak 17 kali. Selesai sahaja dia bacakan tiba-tiba Pak Ahdar terbersin kuat. Selepas itu bersemburan air keluar dari mulutnya hingga penuh ditadah sebesen.
"Di mana kau sembunyikan, Ahdar?" jerkah Mamak Bandaro keras lantas mengisar tapak tangannya. Semakin kuat dia mengisar tapak tangan, jiran-jiran melihat asap keluar dari kepala Pak Ahdar.
 "Mana keponakan kau?" tiba-tiba sahaja Pak Ahdar membentak dengan mengangkat kepala sekalipun tubuhnya masih tidak bergerak seolah-olah terhimpit di bawah timbunan beban yang terlalu berat. "Dia tu orang jahat, mesti dimusnahkan!" ujarnya dalam suara garau yang menggerunkan.
"Yang jahat pastinya kau," sahut Mamak Bandaro ter-sengih-sengih mengejek. "Kau cuba peralatkan Ahdar, betul atau tidak?" bentaknya lantas menampar kuat ke kepala lutut tiga kali.
Terjeluih Pak Ahdar bagaikan mahu muntah apabila Mamak Bandaro memukul kepala lutut itu. Air masih tersembur-sembur daripada mulut Pak Ahdar bagaikan membuak tumpah.
"Kau pun sama dengan keponakan kau," ujar Pak Ahdar cuba menggerakkan badannya tetapi masih keras kaku macam batang pisang tumbang tepi belukar.
Mamak Bandaro mencebek bibir mengejeknya. Dia terus bacakan ayat 22, 23 dan 24 daripada surah al-Hasyr dengan diulangi 10 kali menyebabkan Pak Ahdar tiba-tiba meronta mahu melompat bangun. Tetapi tubuhnya tetap tidak dapat digerakkan laksana terhimpit di celah timbunan beban yang amat berat.
 "Keponakan kau yang sebabkan aku jadi begini!" terlalu marah Pak Ahdar lantas menjerit kuat.
"Aku tahu, kau bukan Ahdar," sahut Mamak Bandaro keras mengejeknya berterusan. "Memang wajar keponakanku lakukan begitu," sengaja dia mahu menyakiti hati lawannya.
 "Memang jahat keponakan kau tu," semakin berang Pak Ahdar mencemik muka. Kalau tubuhnya boleh digerakkan sudah tentu dia akan menghambur tangkas menerkam Mamak Bandaro.
Sampai santak malam pun Mamak Bandaro masih tidak dapat memulihkan Pak Ahdar. Sekalipun Pak Ahdar sudah boleh merungut-rungut marah, tetapi tubuhnya masih terkejang kaku tidak boleh digerakkan langsung. jiran-jiran yang datang menziarah lantas sahaja menuduh Pak Ahdar memang diganggu siluman.
Tetapi mereka tidak bimbang apa-apa sekiranya gangguan siluman selagi Mamak Bandaro tercegat di situ. Masakan siluman boleh dapat melepaskan diri ke mana-mana kalau sudah dijebak oleh Mamak Bandaro. Sekiranya tidak boleh dalam sehari dua, nescaya dalam seminggu atau dua minggu selepasnya siluman itu akan menyerah kalah juga.
Siapa lagi diharap di kampungnya kalau bukan Mamak Bandaro sekiranya keluarga mereka diganggu siluman. Di mana pun siluman tidak akan dapat bersembunyi apabila Mamak Bandaro sudah mengisar tapak tangan dengan tumit dipasak kuat ke bumi. Sekaligus siluman itu akan jelmakan dirinya tidak dapat bertahan dengan ilmu kebatinan Mamak Bandaro.
Masakan siluman mampu menentang Mamak Bandaro tatkala dia bacakan ayat-ayat Quran. Kilat akan memancar lantas menyambar siluman sampai terbakar hangus. Kalau siluman terus juga bertahan nescaya guntur akan berdentam kuat bersama panahan api yang akan menjunam menerjah siluman. Masakan siluman yang ganggu Pak Ahdar berani berdepan dengan Mamak Bandaro.
"Keponakan kau yang buat aku jadi begini!" ulangi Pak Ahdar merintih-rintih sambil mengerling Mamak Bandaro. Tetapi Mamak Bandaro tidak pedulikan apa-apa pun yang dituturkan oleh lelaki berkenaan. Memang bukan siluman yang ganggu Pak Ahdar sekira-nya tidak menjelma ketika itu.
Tentu jiran-jiran yang duduk berkeliling akan terkejut sekiranya siluman itu menjelma sampai tersergam haiwan atau pun manusia di tengah rumah. Bila-bila Mamak Bandaro akan menjebak sekiranya siluman itu menjelma disebabkan tidak dapat bersembunyi di mana-mana.
Hingga masuk hari ketiga keadaan Pak Ahdar masih tidak berubah. Mamak Bandaro tidak dapat menlebak siluman yang pintar bermain dengan helah. Puas Mamak Bandaro berikhtiar, tetapi tidak memberi kesan langsung. Tentu siluman yang mengganggu Pak Ahdar tidak sama dengan siluman yang menjelma tatkala dia mengalami peristiwa bas rosak di tengah perjalanan.
"Apa ilmu yang keponakan kau amalkan?" geram benar Pak Ahdar hingga terbatuk-batuk rmenahan rasa marah.
"Mana aku tahu!" sahut Mamak Bandaro tersenyum mengejek. "Dia hanya baca ayat-ayat Quran, kau tak dengar ?" bentaknya semacam mahu menguji kedegilan makhluk yang merasuk tubuh Pak Ahdar.
"Dia bukan orang sini," ujar Pak Ahdar mencebek bibir. "Ilmu kau pun tak tinggi macam dia!" tersengih-sengih dia sengaja mahu menyakiti hati Mamak Bandaro.
 "Alhamdulillah, biarlah ilmunya lebih tinggi daripada aku," jelas Mamak Bandaro terus mengejeknya. "Setidak-tidaknya kau tidak boleh lawan dia," tuturnya untuk menyinggung perasaan makhluk yang merasuk Pak Ahdar.
Disebabkan Mamak Bandaro tidak berupaya memulihkan keadaan Pak .Ahdar, lantas sahaja Agoes mendesak supaya dijemput Haji Salim di Tanah Datar. Dia sendiri sanggup menjemput Haji Salim sekalipun terpaksa rnelalui jalan beratus kilometer.
Tatkala Agoes menelefon adiknya Sarifudin minta uruskan kedatangan Haji Salim ke Bukittinggi, tetapi Sarifudin tidak dapat mencari di mana orang tua itu sejak satu minggu tidak mengajar di madrasah.
"Ke mana pula Pak Maulana?" soal Agoes macam tidak percaya dengan penjelasan adiknya.
"Hajah Patornah juga tidak tahu," beritahu Sarifudin yang membantu Haji Salim mengendalikan pembelajaran di madrasah berkenaan. "Seminggu ni aku yang uruskan madrasah," ujarnya dalam keluhan pendek melalui telefon.
"Ah, bagaimana mahu hubungi Pak Maulana," gerutu Agoes memandang Mamak Bandaro sebaik sahaja meletakkan telefon.
Kalaulah dia terus sahaja ke Tanah Datar tentulah sia-sia sahaja disebabkan Haji Salim tidak ada. Memang Haji Salim tidak ke Pariaman atau ke Maninjau. Dia akan memberitahu Hajah Patomah sekiranya mengajar di mana-mana.
Hanya selepas makan malam baru Sarifudin menelefon memberitahu Haji Salim sudah balik ke rumah. Masakan dia mesti tergopoh-gopoh ke Tanah Datar meranduk kegelapan malam mahu menjemput Haji Salim.
 "Aku pergi ke Pariaman," jelas Haji Salim sebaik sahaja bercakap di telefon dengan Mamak Bandaro. "Ada apa-apa saja Bandaro di Bukittinggi tu?" sengaja dia mengusik sepupunya.
"Ahdar diganggu siluman," lantas sahaja Mamak Bandaro menjelaskan.
"Ah, bukankah kamu juga hebat," ujar Haji Salim ketawa memanjang apabila Mamak Bandaro berharap sangat ke-padanya.
"Saya sudah tak berupaya, bang aji," beritahu Mamak Bandaro perlahan.
"Tengoklah besok, kalau sihat aku datang, insya Allah," Haji Salim memberi pengakuan.
Terpaksalah mereka tunggu sehingga besoknya juga kalau mahu harapkan Haji Salim. Sekiranya dijemput juga malam berkenaan tentulah sia-sia kerana perjalanan memakan masa lebih tiga jam. Hamsiah perlu bersabar menghadapi gangguan tersebut.
Manalah tahu Haji Salim mampu memberikan bantuan bagi meredakan penyakit yang diderita oleh Pak Ahdar. Apabila Haji Salim sudah memberi pengakuan, memang dia akan datang juga jejakkan kaki ke Bukittinggi. Kalau lewat petang pun dia sampai keesokan harinya apalah salahnya Hamsiah menunggu clengan sabar.
Selepas menerima telefon Haji Salim itulah, Mamak Bandaro mengajak Agoes menjengah Pak Ahdar semula. Setidak-tidaknya mereka dapat tenangkan hati Hamsiah yang bergantung harapan pada jiran-jiran sahaja untuk membantu pulihkan suaminya.
Tatkala mereka naik ke rumah Hamsiah, dia diberitahu oleh perempuan itu, Haji Salim baru sahaja sampai. Gembira benar Hamsiah membukakan pintu sebaik sahaja Mamak Bandaro memberi salam.
"Kata Abang Maulana, Abang Bandaro yang beritahu," ujar Hamsiah terus mengajak Mamak Bandaro duduk di sisi Haji Salim.
"Bagaimana abang Aji datang?" segera Mamak Bandaro memeluk leher Haji Salim. Haji Salim tidak menyahut. Dia hanya tersenyum sambil mengisar duduknya. Tercengang-cengang Agoes disebabkan baru beberapa minit sahaja bercakap dengan Haji Salim di telefon, tiba-tiba .sahaja orang tua itu menjengah muka.
 Tetapi apabila kenangkan kejadian masa lalu bersama Haji Salim, dia sekadar beristighfar beberapa kali. Kemudian membongkok mengucup tangan Haji Salim.
"Saya baru saja menelefon Sarifudin," beritahu Agoes perlahan menatap muka Haji Salim.
 "Aku tahu," sahut Haji Salim mengangguk. "Sarifudin sudah beritahu segalanya," jelasnya lantas mengajak Mamak Bandaro mendekati Pak Ahdar, seolah-olah tidak mahu siapa pun bertanya lagi.
 Mamak Bandaro tidak membantah. Memang dia harapkan Haji Salim dalam saat terdesak demikian. Sebab itu dia tidak perlu bertanya apa-apa kepada sepupunya setelah Haji Salim terconggok di situ. Perkara Haji Salim boleh jejak kaki di rumah Pak Ahdar dalam masa beberapa minit sahaja sekalipun jaraknya beratus-ratus kilometer, tidak penting pada Mamak Bandaro.
 Kalau semua sudah diizinkan Allah Subhanahu wata'ala tidak ada lagi yang menghairankan dia. Apa sangat dengan Haji Salim boleh datang dalam beberapa minit sahaja sekalipun jaraknya hampir 300 kilometer, kalau bandingkan dengan pertukaran malam dan siang yang tetap mengikut waktunya.
"Aku tak fikir Ahdar ni diganggu siluman, Bandaro," ujar Haji Salim meletakkan tapak tangan pada dahi Pak Ahdar. Kemudian dia terus sahaja bacakan surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.
Setelah itu dia menggamit Mamak Bandaro supaya mulakan mengubati Pak Ahdar yang terkejang terkebil-kebil mata. Selepas sahaja sama-sama berdoa, terus sahaja Haji Salim bacakan:
Allahumma in-na naj-'aluka fi nuhurihim, wa n.a'uzubika min syururihim,
dengan diulangi tiga kali.
Apabila dihembuskan ke ubun-ubun Pak Ahdar terbatuk-batuk dia hingga memercik darah. Tetapi tubuh Pak Ahdar masih juga kaku tidak dapat bergerak. Dengan mengisar-ngisar tapak tangannya, Haji Salim hembuskan tapak tangan tiga kali serta diusapkan ke seluruh badan Pak Ahdar.
Sewaktu Haji Salim cuba memulihkan tubuh Pak Ahdar, tidak bertangguh Mamak Bandaro bacakan tujuh ayat terakhir daripada surah Yassin dengan diikuti Ayatul Kursi.
Ketika ini Pak Ahdar terbatuk-batuk hingga memercik darah di mulut. Tubuhnya tetap kaku dengan kaki dan tangan-nya sejuk bagaikan ketul ais. Tetapi Mamak Bandaro tidak peduli apa-apa disebabkan Haji Salim terconggok di sisinya. Dia terus membacakan:
Walahu masakana fil-lalili wannahari wahuwas sami'ul 'alim, summa sauwa hu wanofakho fihi min-rohihi._ waja'ala lakumus sam-'a wal absaro wal af-idata qolilan m,a-tasykurun, wa-nunazzilu minal-Qurani mahuwa syifa-un warahmatun lil-mukminin.
Terketar-ketar bibir Pak Ahdar merenung tajam ke muka Mamak Bandaro bagaikan menyimpan dendam. Hanya kepala sahaja digerakkan untuk meluahkan rasa marah yang mendongkol di hati.
"Ambilkan air, Hamsiah," Haji Salim semacam memberi perintah.
"Mahu minum, abang Aji?" Hamsiah mahu memastikan.
 "Tidak," Haji Salim menggeleng perlahan. "Bawakan aku air dalam besen," ujarnya lantas mengusap-usap tapak tangan ke muka.
Segera Hamsiah bangun ambilkan air ditadah dengan besen. Tidak bertangguh dia hulurkan besen berisi air itu ke hadapan Haji Salim. Sebaik sahaja merenung air di dalam besen, Haji Salim mengocak-ngocak jari telunjuk ke dalam air.
Apabila dia mengetuk-ngetuk jari telunjuknya ke bibir besen, Haji Salim tersenyum mencebek bibir. Matanya tidak berkedip merenung ke dasar besen dengan membacakan Fatihah 7 kali.
"Kenapa Pak Maulana?" cemas juga Agoes apabila Haji Salim rnerenung ke dasar besen dengan tidak berkedip mata.
Tetapi Haji Salim tidak menyahut apa-apa. Dia hanya beristighfar beberapa kali sebelum renjiskan air dari dalam besen itu ke seluruh tubuh Pak Ahdar.
"Bagaimana, bang Aji?" Hamsiah pula bertanya dalam keadaan masih lagi diselubungi bimbang.
 "Kita tengok dulu sepuluh minit," sahut Haji Salim lantas berundur sedikit mahu menyandarkan belakang ke dinding.
Setelah dapat bersandar pada dinding, Haji Salim. lelapkan mata seolah-olah mahu tidur akibat keletihan. Mereka semua sudah mengagak tentu Haji. Salim letih sangat tidak sempat berehat sebaik sahaja balik dari Pariaman. Ketika datang ke rumah Hamsiah pun belum sempat berehat, Mamak Bandaro sudah terjongol.
Disebabkan Haji Salim sudah lelapkan mata dengan duduk bersandar ke dinding, Mamak Bandaro terpaksa juga teruskan. Selepas mengisar tapak tangan dengan merenung tepat ke muka Pak Ahdar, dia bacakan pula:
Allahhu yatawaffal anfusa-hina mau-tiha wallati lam-tamut fi-manamiha fayum sakullati qoda 'alaihal mauta wayur-silul ukhra musamman in-nafi zalika la-ayatin liqaurnim yatafakkarun.
Saat ini Mamak Bandaro rnerasakan tubuhnya lenyap dalam pusaran angin lembut hingga tercampak ke batu jeram di tengah hutan rimba yang penuh dengan pokok-pokok besar menjulang. Memang terkejut dia apabila melihat Pak Ahdar terhimpit di celah batu-batu jeram hingga seluruh tubuhnya terendam ke bawah air. Cuma kepalanya sahaja terkutik-kutik terlangut di atas batu.
Mamak Bandaro nampak beberapa makhluk siluman cuba lepaskan Pak Ahdar tetapi mereka sendiri ikut terhimpit akibat batu-batu jeram yang besar runtuh menimpa. Terkial-kial pula mereka meminta bantuan Pak Ahdar mahu melepaskan diri daripada runtuhan batu-batu jeram itu.
Setiap kali Mamak Bandaro cuba mendekati Pak Ahdar untuk bebaskan dia, sekaligus Mamak Bandaro terhumban ke belakang seolah-olah ditolak angin kencang. Beberapa kali dicubanya gagahi juga mahu selamatkan Pak Ahdar, dia tidak berupaya menentang hembusan angin kencang yang berpusar itu.
"Ahdar, kenapa tak cuba lepas diri kamu?" laung Mamak Bandaro di seberang jeram kerana hairan kenapa dia tidak dapat mara mendekati lelaki itu.
Pak Ahdar menggeleng lemah setelah mendengar suara laungan Mamak Bandaro. Matanya sahaja terkebil-kebil dengan kepala terlangut di batu jeram.
"Gunakan ilmu kebatinan kau!" seru Mamak Bandaro semakin hairan kerana tidak dapat mendekati Pak Ahdar.
"Siluman ni tak dapat membantu aku," beritahu Pak Ahdar terketar-ketar kesejukan akibat lama terendam di dalam air jeram.
"Kenapa kau minta bantuan siluman?" soal Mamak Bandaro mengejeknya. "Bukankah minta pertolongan daripada Allah lebih baik?" ujarnya macam kesal dengan perbuatan sepupu isterinya yang masih gunakan siluman.
"Aku nak menguji keponakan kau, bukan sungguh-sungguh," lantas sahaja dia mengakui perbuatannya.
"Jadi, bagaimana harus aku lakukan sekarang?" Mamak Bandaro terus berusaha mahu melepaskan Pak Ahdar dari timbunan batu-batu jeram tersebut.
Terkebil-kebil mata Pak Ahdar menahan kesejukan akibat lama terendam di bawah jeram. Kepalanya sahaja bergerak seolah-olah mahu melepaskan diri dari timbunan batu-batu bertupang tindih.
Memang dia mengaku di depan Mamak Bandaro mahu menguji saya semasa menjengah sanak saudara di Bukittinggi. Tiga hari berturut-turut dia mencuba dengan tuju angin hingga terpaksa beramal sepanjang malam sampai santak pagi.
Mahu dicuba gunakan siluman, bimbang juga mahu berdepan dengan Mamak Bandaro. Tentu Mamak Bandaro akan menjadi penghalang besar sekiranya dikirimkan siluman menjelma di tengah rumah. Apatah lagi Mamak Bandaro memang sudah terbilang kalau berdepan dengan siluman di mana-mana, tentu akan tunduk melutut di depannya. Mamak Bandaro sendiri boleh gunakan siluman untuk menyerang siluman yang lain. Cubalah!
Malam ketiga dia menguji saya, tiba-tiba sahaja tubuhnya diheret lembaga hitam berbulu ke rumah Mamak Bandaro. Puas dia bertahan, tetapi lembaga itu terus juga meletakkan Pak Ahdar ke atas tengkuknya. Hinggalah mereka sama-sama tercegat di tingkap dapur rumah Mamak Bandaro menyebabkan Fitriati terkejut tidak menentu.
Sebaik sahaja Fitriati terserempak lembaga hitam berbulu tercegat di tingkap lantas dia menjerit ketakutan. Saat ini Pak Ahdar yang duduk di tengkuk lembaga hitam berbulu itu nampak cahaya memancar dari arah saya berdiri. Semakin lama dia memerhati ke arah saya seluruh tubuhnya menjadi semakin panas.
Lembaga hitam berbulu itu cepat-cepat melarikan diri meninggalkan Pak Ahdar apabila diburu cahaya yang memancar dari tubuh saya. Semasa lembaga itu melarikan diri memang Pak Ahdar nampak Fitriati diheret jauh.
Dia tidak berupaya mahu menyelamatkan Fitriati setelah ditinggalkan oleh lembaga berkenaan. Tidak bertangguh Mamak Bandaro perintahkan makhluk siluman memburu lembaga hitam berbulu itu supaya merampas Fitriati daripada cengkamannya.
Tetapi setiap kali siluman-siluman itu cuba menghampiri mereka semua habis dipijak oleh lembaga tersebut. Kepala siluman yang dipijak hancur remuk bertindih di bawah kaki.
Apabila siluman-siluman yang mematuhi perintah Mamak Bandaro tidak mampu merampas Fitriati, semakin ramai lagi siluman dikerah memburu lembaga hitam berbulu yang bertubuh besar. Hinggalah Pak Ahdar melihat saya berdiri di tengah lingkaran cahaya putih yang memancar panas. Terjerit-jerit lembaga hitam berbulu itu kesakitan apabila mengelak terjahan cahaya putih yang memijar panas. Setiap kali saya menghembus kelilingnya bergema dengan zikirullah hingga menggegar di mana sahaja bumi tempat kakinya berpijak. Tatkala lembaga hitam itu bersembunyi di sebalik batu jeram tiba-tiba seluruh batu di situ luruh menimpanya hingga tertimbun habis.
Cepat-cepat lembaga hitam berbulu itu melepaskan Fitriati daripada cengkamannya. Kemudian tidak bertangguh dia berpaut kuat pada kaki Pak Ahdar. Disebabkan batu-batu jeram itu menimpanya, Pak Ahdar juga terperangkap sama. Mereka tertimbus di bawah runtuhan batu-batu yang menerjah macam guni beras tumpah. Hanya kepala Pak Ahdar sahaja tersangkut di atas batu tupang tindih.
"Lepaskan aku!" bentak Pak Ahdar tidak dapat menggerakkan badannya yang terhimpit di celah runtuhan batu jeram.
"Bukankah kau yang panggil aku, Ahdar?" ujar lembaga di bawah himpitan batu terketar-ketar memaut kaki Pak Ahdar.
"Aku tak pernah panggil kau!" sahut Pak Ahdar marah dengan muslihat lembaga hitam berbulu itu.
"Bukankah kau sudah menyeru tujuh petala langit?" beritahu lembaga itu ingatkan Pak Ahdar mengenai amalan menteranya. "Tapi aku tak boleh lawan ustaz tu, tak tahu aku apa ilmunya!" gerutunya tetap tidak mahu melepaskan kaki Pak Ahdar sekalipun sama-sama tertimbus di bawah timbunan batu jeram yang runtuh.
Siluman yang diperintah Mamak Bandaro menarik Pak Ahdar keluar dari runtuhan batu itu puas terkial-kial hingga tergelincir kaki tatkala memijak batu-batu berkenaan. Kalau mereka berkeras mahu menarik tangan Pak Ahdar semakin bertambah banyak batu-batu jeram runtuh dari puncak bukit.
Siapa pun tidak boleh bergerak lagi di kawasan jeram. Asal sahaja cuba gerakkan badan nescaya semakin banyak batu di puncak bukit runtuh menimpa mereka. Di mana-mana sahaja gema zikir terus menggoncang sehingga mereka semua tidak dapat lagi bertahan.
"Suruh keponakan kau hentikan zikir!" jerit lembaga hitam berbulu yang tertimbus itu dari bawah timbunan batu dengan merentap-rentap kaki Pak Ahdar.
"Keponakan ku sudah balik ke Semenanjung," beritahu Mamak Bandaro yang tercegat di seberang jeram.
"Tapi, kenapa suaranya masih lagi berzikir di sini," rungut Pak Ahdar mengeluh. Dia tidak berani lagi meronta. Bimbang juga kalau batu- batu di puncak bukit akan runtuh sekiranya terus meronta kuat.
"Aku tak dengar pun," sahut Mamak Bandaro memerhatikan siluman yang diperintahnya terkial-kial di bawah timbunan batu. Mereka juga tidak dapat lepaskan diri daripada bahana asal sahaja bergerak mahu bebaskan Pak Ahdar.
Dalam masa mereka ketakutan mendengar gema zikir yang terus mengancam kawasan jerarn, tiba-tiba kelihatan Haji Salim berjalan di udara laksana meniti jambatan sahaja. Dia menghulurkan tangan lantas menarik Pak Ahdar di atas.
Sekaligus pula lembaga hitam berbulu itu menghulurkan tangan dari bawah timbunan batu-batu. Dia cuba menyambar kaki Pak Ahdar yang terlepas daripada pautannya. Belum sempat tangannya menghulur habis, batu-batu di puncak bukit luruh menimpanya sampai dia tertimbus di situ.
Gema zikir itu terlalu bingit menyebabkan mereka terpaksa memekap telinga. Siluman-siluman yang terperangkap juga ketakutan dengan gema zikir yang menggegar. Mereka tergapai-gapal tangan meminta Mamak Bandaro selamatkan, tetapi Mamak Bandaro juga tidak dapat mahu mendekati. Kalau cuba digagahi juga nescaya dia akan terpelanting tidak bertampan akibat disambar kilauan kilat yang memancar.
Tersengih-sengih Haji Salim mengejek mereka yang terjerit-jerit ketakutan dengan gema zikir. Mereka mendengar seolah-olah suara zikir saya berterusan tidak henti-henti di kawasan jeram berkenaan.
"Salah kau juga, Ahdar!" lembut sahaja suara Haji Salim memarahi Pak Ahdar. "Kenapa dengan ilmu syaitan, kau mahu menguji ustaz?" tuturnya mencemik muka disebabkan terlalu kesal dengan sikap Pak Ahdar.
Tertunduk Pak Ahdar tidak berani menyahut apa-apa. Malu benar dia diejek guru agama yang telah menyelamatkan dia daripada terperangkap di bawah timbunan batu-batu jeram.
Sewaktu Haji Salim berjalan di udara memimpin Pak Ahdar, segera Mamak Bandaro mengekorinya. Apabila sampai di kawasan lapang yang berkabus, Haji Salim hilang bersama Pak Ahdar. Tidak bertangguh pula Mamak Bandaro beranikan hati merempuh kabus putih yang tergendeng laksana dinding itu.
Tersentak Mamak Bandaro apabila merasakan dia terhumban jatuh ke bawah sebaik sahaja menembusi kabus putih itu seolah-olah terjun ke tengah jurang. Sebaik sahaja membuka mata terpisat-pisat Mamak Bandaro apabila dia sebenarnya sedang terconggok menghadap Pak Ahdar yang sudah pun duduk dalam keadaan masih letih.
Tubuhnya juga sudah boleh digerakkan sekalipun tenaganya lemah tidak bermaya. Lantas Haji Salim meminta Hamsiah sediakan minuman biar tenaga Pak Ahdar pulih semula.
"Bagaimana, Pak Maulana?" Agoes bertanya selepas keadaan Pak Ahdar pulih sedikit.
"Insya Allah, dia akan sembuh," beritahu Haji Salim tidak mahu menerangkan apa-apa lagi. Sekalipun didesak dia sekadar menggeleng kepala sahaja sambil beristighfar berulang kali.
"Mari ke rumah dulu, abang Aji," Mamak Bandaro bersungguh-sungguh mengajak Haji Salim semasa dia mahu balik.
"Ah, malam ni biar aku di rumah Ahdar saja," sahut Haji Salim perlahan dengan tidak mengangkat mukanya. "Kalau ada masa lapang, aku akan ke rumah kau pula," dia menambah sambil mengusap-usap tangan ke muka.
Mamak Bandaro tidak mendesak sangat. Kalau Haji Salim sudi tidur di rumahnya memang dia menerima dengan hati terbuka. Perkara Haji Salim mengambil keputusan mahu tidur di rumah Pak Ahdar dia tidak boleh mendesak kerana orang tua itu berkunjung ke Bukittinggi semata-mata mahu ziarahi Pak Ahdar.
Sebaik sahaja sampai di rumah Agoes terus menelefon adiknya Sarifudin memberitahu Pak Ahdar sudah mulai sembuh. Dia juga beritahu fasal Haji Salim yang datang berkunjung membantu doakan sampai Pak Ahdar dapat dipulihkan.
"Apa, kata kau, bang?" terkejut juga Sarifudin apabila diberitahu mengenai guru agama itu ke Bukittinggi. Siapa pula yang hantarkan Haji Salim kerana waktu itu kenderaan awam sudah tidak ada? Bukannya dekat Tanah Datar mahu ke Bukittinggi hingga beratus-ratus kilometer itu.
"Pak Maulana sekarang ada di rumah Pak Andar," jelas Agoes.
"His, tak mungkin, Haji Salim baru selesai solat di madrasahnya sebentar tadi," ujar Sarifudin ketawa perlahan. "Kami sama-sama berjemaah di madrasah, dia yang jadi imam," katanya tidak percaya dengan penjelasan abangnya kalau Haji Salim ke Bukittinggi.
Sebaik sahaja letakkan gagang telefon segera Agoes ke rumah Pak Ahdar semula. Hairan juga dia dengan penjelasan Sarifudin sekiranya Haji Salim solat berjemaah di madrasahnya di Tanah Datar, tatkala dia melihat guru agama itu duduk bersila rapat di hadapan Pak Ahdar.
Ketika Agoes bersama Mamak Bandaro sampai di rumah Pak Ahdar, Hamsiah beritahu mengenai Haji Salim sudah ke Masjid Agung untuk solat. Dia mahu balik awal pagi ke Tanah Datar.
"Tak payah kita cari ke Masjid Agung," bisik Mamak Bandaro setelah dapat mengagak hanya sia-sia sahaja mahu jejaki Haji Salim. Kita tak dapat ikut perjalanan dia, yang pentingnya Ahdar sudah sembuh, cukup..." tuturnya dalam keluhan pendek.
Semua yang dialaminya itu dituliskan di dalam surat yang dikirimkannya kepada saya oleh Mamak Bandaro. Dia juga menyampaikan salam Pak Ahdar yang kesal dengan kejadian yang menimpa diri saya semasa di rumah Mamak Bandaro. Memang saya sendiri tidak tahu bagaimana yang berlaku selepas Fitriati dapat dipulihkan.
Perkara Haji Salim datang ke Bukittinggi dalam masa Sarifudin melihatnya solat berjemaah di Tanah Datar, bukanlah aneh sangat. Sebab itulah Mamak Bandaro tidak peduli sangat mengenai kunjungan Haji Salim pada malam dia jejak kaki ke rumah Pak Ahdar.
Tahu sangat saya mengenai kejadian Haji Subid di Melaka yang mahu dibawa oleh Inggeris ke Singapura, tiba-tiba sahaja kapal tidak boleh bergerak dari pelabuhan. Kalaulah Haji Subid tidak meninggal dunia dalam usianya terlalu muda, tentu ramai orang dapat menatap wajahnya selepas negeri merdeka pun.
Memang anak-anak murid Haji Subid gelisah apabila guru agama itu diperintahkan ke Singapura. Mereka sudah mengagak tentu guru agama mereka akan dihukum berat oleh Inggeris apabila dilarikan dari bumi Melaka. Tetapi setelah naik ke kapal, tiba-tiba sahaja kapal tidak boleh bergerak meninggalkan pelabuhan.
Hanya selepas Haji Subid diturunkan dari kapal tersebut, barulah mereka dapat belayar ke Singapura. Tetapi Haji Subid yang dituduh menghasut pelajar-pelajar madrasahnya melawan pemerintah Inggeris itu telah menemui Allah lebih awal, tidak sempatlah dia melihat negerinya merdeka.
"Haji Subid meninggal ketika usianya terlalu muda," keluh Sarim Cabai apabila kenangkan guru agama tersebut. Sekalipun dia tidak sempat belajar dengan Haji Subid, tetapi Sarim Cabai banyak mengetahui kisah guru agama itu daripada kawan-kawannya.
"Buat apa ceritakan Haji Subid pada ustaz," segera Alang Bumin yang datang berkunjung ke rumah saya bersama Sarim Cabai itu menegur kawannya. "Ustaz tu lagi banyak pengalaman dia dari kita, tentu dia dah tahu fasal Haji Subid tu," ujarnya ingatkan Sarim Cabai.
Tetapi saya memang tidak tahu mengenai Haji Subid itu sekiranya tidak diberitahu oleh Sarim Cabai. Dia lama belajar di Melaka tentulah banyak mengetahui mengenai Haji Subid itu. Lainlah Alang Bumin banyak rnengenali ramai guru-guru agama tetapi sengaja mahu rahsiakan pengalamannya.
"Bukan semua perkara saya tahu," jelas saya tersenyum mengerling Sarim Cabai.
Memang Sarim Cabai tidak akan memberitahu apa-apa lagi sekiranya Alang Bumin sudah menegah. Perkara Haji Subid di Melaka itu hanya berlaku beberapa tahun sahaja sebelum merdeka. Tidak tahu sebabnya kenapa pemerintah Inggeris marah sangat terhadapnya hingga memaksa sahaja ditutup madrasah kepunyaannya.
Tetapi bukan Haji Subid di Melaka sahaja yang dipaksa menutup madrasah. Banyak lagi guru agama dipaksa demikian, sekalipun tidaklah berterus terang.
Sebab itu Sarim Cabai tidak bimbang apa-apa sekiranya dia terdesak menghadapi kejadian-kejadian yang tidak diduganya. Sudah berkali-kali dia terserempak dengan kejadian demikian, tetapi hatinya masih belum puas seolah-olah tidak dapat menyelami peristiwa di sebaliknya.
Tatkala dia berbual dengan Pak Hassan sambil minum di warung teh simpang jalan sedih juga dengan keadaan kawannya itu yang tinggal bersendirian selepas kematian isteri. Terpaksa Pak Hassan habiskan masa menjadi pengawal keselamatan di kilang sepanjang malam kerana tidak mahu balik ke rumah.
Anak-anak Pak Hasan juga tidak ambil peduli sangat dengan ayah mereka selepas kematian Mak Bisah. Kesal juga Sarim Cabai tidak dapat ziarah semasa kematian isteri Pak Hasan disebabkan dia ke Johor Bharu. Tetapi isterinya Rasiah memang ziarah juga kerana sebelum berpindah ke Kuang mereka berjiran rapat.
 Hanya ketika balik ke rumah Rasiah memberitahu Sarim Cabai mengenai Pak Hasan yang meninggal dunia semasa dia menziarah ke Kuang. Tetapi Sarim Cabai tersengih-sengih sahaja mengejek isterinya. Tentu Rasiah mahu bergurau untuk memeranjatkan dia.
Semasa minum di warung simpang jalan memang Pak Hasan yang duduk di sisinya. Tersenyum sahaja Pak Hasan mencapai rokok yang dihulurkan dengan Sarim Cabai sendiri pasangkan api. Bagaimana Rasiah boleh berbohong memberitahu mengenai Pak Hasan yang meninggal dunia sejak tiga minggu dulu.
Sebelum ke Johor Bharu memang Sarim Cabai sudah menziarah Mak Bisah yang terlantar sakit. Puas juga Sarim Cabai memujuk supaya berubat ke hospital tetapi dia berkeras tidak mahu ke mana-mana lagi. Biarlah rumahnya sahaja menentukan sama ada penyakitnya sembuh atau pun tidak. Lagipun sakit lelah yang telah lama dihidapinya itu tidak diharap langsung boleh sembuh lagi.
Memang Pak Hasan mengadu tidak sampai hati mahu tinggalkan Mak Bisah terlantar di rumah tatkala dia bekerja malam menjadi pengawal keselamatan kilang. Harapkan anak-anak mereka semua jarang balik menjengah. Pak Hasan juga tidak peduli sangat sama ada anak-anak mahu menjengah atau pun tidak. Biarlah dia berulang sejam sekali dari tempat kerja untuk melihat keadaan isterinya yang sakit.
Tatkala duduk berbual di warung berkenaan, memang Pak Hasan masih sedih ditinggalkan oleh isterinya. Dia terlalu sepi hingga tidak tergamak mahu balik ke rumah. Biarlah tidur sahaja di tempat kerja sepanjang malam.
"Selepas seminggu Pak Hasan meninggal, baru isterinya meninggal," ujar Sarim Cabai apabila kenangkan kejadian tersebut di depan saya.
Kalau Sarim Cabai boleh terserempak Pak Hasan yang sudah meninggal dunia lantas minum di warung sambil menghisap rokok, apa sangat dengan kejadian Haji Salim datang menjengah Pak Ahdar sakit.
Saya sendiri mengalami kejadian di Masjid Agung apabila pemuda yang berkudis seluruh badan itu hilang dari pandangan, tiba-tiba menjelma Haji Salim di sisi saya. Hanya selepas Haji Salim keluar rneninggalkan masjid, baru terasa sayu di hati saya. Kenapa saya bersusah payah mencari sanak saudara yang jauh, sedangkan sanak saudara di sini pun masih ramai lagi yang belum dapat ditemui.
Memang apa sahaja ujian Allah Subhanahu wata'ala itu membawa rahmat yang tidak terhingga besarnya. Terlalu sayu hati saya apabila kenangkan kejadian di Masjid Agung tatkala ditinggalkan oleh bayangan Haji Salim.