Sunday, March 13, 2016

167. BAHANA KEBAL MAKAN DIRI



KEJADIAN yang berlaku bertahun-tahun lampau hanya sekadar mendengar cerita sahaja, kerana tidak siapa pun melihatnya ketika itu.  Sudah tentu kisah yang berlaku ke atas Tok Semilih itu sekadar diketahui oleh anak cucunya sahaja.
Perkara kebal yang dimiliki oleh Tok Semilih bukanlah sengaja diada-adakan, tetapi bertahun-tahun dulu pun masih ada orang yang amalkan.  Seisi kampung tahu mengenai Aki Alang datuk saudara saya yang tidak lut kalau diradak senjata besi.
Tatkala dia diburu tentera Jepun seisi kampung melihat dia terjun ke tengah arus sungai.  Tiga hari tentera Jepun menunggu di tebing sungai namun Aki Alang tidak timbul ke permukaan air.  Sebab itu tentera Jepun percaya dia sudah mati lemas di tengah arus sungai.
Bukan tentera Jepun sahaja menuduh dia sudah mati lemas akibat terjun ke sungai, malah isterinya Uda Maesah juga tidak percaya Aki Alang akan balik juga ke rumah.  Terpaksa berbulan-bulan pula dia bersembunyi di hutan, biar tentera Jepun tidak dapat menjejaknya.
Tahu sangat Aki Alang fasal tentera Jepun juga dapat mengesan sesiapa yang kebal tidak lut oleh senjata besi.  Dia lihat sendiri kawannya Andak Katib diikat tentera Jepun ke tiang rumah ditetak beberapa kali dengan pedang tetapi tidak memberi bekas.
Lama Aki Alang meniarap di tengah belukar nenas mengendap kejadian yang menimpa kawannya Andak Katib.  Kalau dia berkeras menyerbu mahu selamatkan kawannya itu nescaya dia juga akan diikat sama ke tiang rumah.  Sebab itu Aki Alang hanya bersembunyi sahaja di tengah belukar nenas di keliling rumah Andak Katib, setelah diberi tahu mengenai kawannya itu ditangkap tentera Jepun.
Puas ditetak dengan pedang tidak juga memberi bekas, lantas Andak Katib ditembak berulang kali.  Baju Andak Katib sahaja ditembusi peluru hingga berlubang-lubang laksana sarang lebah terpokah, namun tubuhnya tidak lut langsung.
Ketika inilah Aki Alang melihat Mat Tugin jiran kawannya itu berbisik ke telinga tentera Jepun.  Terangguk-angguk ketua tentera Jepun itu sebaik sahaja Mat Tugin bisikkan kepadanya mengenai Andak Katib tidak lut senjata besi.
Lantas sahaja dia menyuruh orang-orangnya tonggengkan Andak Katib disebabkan terlalu marah tidak dapat tewaskan lelaki berkenaan.  Kemudian dia tusukkan hujung benet ke dubur Andak Katib menyebabkan jerit kesakitan melangsing kuat.  Menggeletek tubuh Andak Katib akibat mata benet ditusuk kedubur yang tidak dapat menahan lut kebalnya.
Marah benar Aki Alang dengan kejadian yang menimpa kawannya itu, hingga dendamnya terlalu membakar apabila Mat Tugin ditemui mati terselit kepala di celah rekahan buluh pering, tidak semena-mena Aki Alang dituduh disebabkan dia memang kawan rapat dengan Andak Katib.
Sepanjang hari tentera Jepun menggeledah keliling kampong mahu menangkap Aki Alang.  Tetapi Aki Alang mengaku dia tidak tahu langsung bagaimana Mat Tugin ditemui mati dengan kepala terselit dicelah rekahan buluh pering.
“Memang Aki Alang amalkan ilmu kebal,”  beri tahu Pak Tua Mahat apabila kenang Aki Alang tidak lut tatkala ditetak dengan parang oleh Juki Gila di depan surau.
Siapa pun tidak berani menyerbu sebaik sahaja Juki Gila menerpa neneknya dengan antan pengemping.  Terduduk Uda Libah menahan kepala memercik darah apabila diketuk oleh Juki Gila dengan antan pengemping yang dicapainya di bawah gelegar.
Tiba-tiba sahaja Juki Gila tinggalkan neneknya lantas mencapai parang di pelantar menghambat emaknya Saenah.  Terpaksa Saenah berlari menuju ke surau meminta bantuan kerana bimbang gila anaknya bertambah pasang.  Sewaktu Saenah termengah-mengah di tengah halaman, Juki Gila sudah semakin hampir.  Tidak bertangguh Aki Alang terjun ke tengah halaman surau menahan tangannya sebaik sahaja ditetak oleh Juki Gila.
Beberapa kali ditetak dengan parang tetapi tangan Aki Alang tidak berbekas apa-apa.  Lantas Pak Tua Mahat pula menerpa terus mengilas tangan Juki Gila hingga parang di tangannya terlucut dari genggaman.  Tiga kali ditepuk kepalanya oleh Pak Tua Mahat, barulah Juki Gila dapat ditenangkan semula.
Tetapi Aki Alang tidak mengaku dia tidak lut senjata disebabkan amalan kebalnya.  Dia sekadar memberi tahu mata parang yang ditetak Juki Gila tidak menyinggahi tangannya, hanya debus melayang ke udara.  Sekalipun Aki Alang berdalih, memang orang-orang kampung melihat Juki Gila menetak tanganya dengan parang terhunus.
Kalau Saenah tidak melarikan diri ke surau nescaya dia menerima nahas tatkala gila anaknya semkin pasang.  Ketika ini siapa pun tidak dapat menghalang.  Uda Libah yang selalunya mampu menghalang Juki Gila sekiranya lelaki itu hilang akal pun dihentak kepalanya dengan antan pengemping.
Setelah Juki Gila dapat di tenangkan, tidak bertangguh mereka dapatkan Uda Libah yang tersandar di kaki tangga rumahnya.  Darah banyak meleleh di kepalnya hingga baju yang dipakai basah boleh diperah.  Terpaksa pula Pak Tua Mahat gunakan tasak biar luka di kepala Uda Libah dapat ditahan darah daripada memercik berterusan.
“Kalau kapala Aki Alang kena pukul, memang tak berdarah!”  sengaja Pak Tua Mahat mengusik setelah Uda Libah dibawa ke hospital.
“Kepala aku kena pukul, tentu kepala Uda Libah tak berdarah,”  terkekeh-kekeh Aki Alang ketawa mengerling Pak Tua Mahat.  “Tetapi kepala akulah yang berdarah,”  ujarnya merendah diri sekali pun dalam nada mengusik.
“Hah, siapa tak kenal Aki Alang?”  sahut Pak Tua Mahat menyindir kerana Aki Alang sengaja mahu berdalih sekalipun seisi kampung tahu mengenai amalan kebalnya.
“Hai,orang ada nama macam aku, memang semua orang kenal,”  Aki Alang tetap juga bergurau untuk mengelakkan diri dari mengakui memiliki amalan kebal itu.
“Kalau tak ada nama, macam mana pula orang nak panggil Aki Alang,”  tegas Pak Tua Mahat tidak mahu melayani lagi orang tua itu.  Biarlah Aki Alang berdalih, namun seisi kampung tahu mengenai amalan kebalnya.
Lama Aki Alang tinggalkan kampung halaman sampai ke Pontian dan Rengit, semasa bekerja ikut kapal korek.  Apabila balik ke kampong Aki Alang membawa isterinya tinggal menetap di kampung halaman sendiri.  Sekali sekala dia balik juga menziarah keluarga isterinya di Pontian.
Sekiranya dia tidak ditanduk kerbau semasa tengah mencebak permatang sawah, memang tidak siapa pun tahu mengenai amalan kebalnya.  Terkejut juga mereka yang berceratuk di tengah sawah apabila kerbau jantan turun minyak hingga menyerbu ke mana sahaja.
Dalam saat cemas demikian terpaksa juga Aki Alang selamatkan isterinya Uda Maesah tengah membersihkan rumput di tengah sawah.  Disebabkan kerbau tengah naik minyak semakin hampir menerpa, tidak bertangguh dia tahankan dada supaya tidak bahayakan Uda Maesah.
Sebaik sahaja kerbau menanduknya terhumban Aki Alang ke tengah lopak sawah.  Cepat-cepat dia bingkas bangun menunggu serbuan kerbau berkenaan, lantas menyuruh isterinya segera berundur.  Tetapi Uda Maesah tidak berundur ke mana.  Biarlah dia sama menjadi mangsa bersama suaminya kalau kerbau tersebut masih berdegil mahu menyerbu.
Apabila kerbau ganas tengah naik minyak itu menerkam kali kedua, tidak bertangguh Aki Alang menumbuk kepala binatang berkenaan.  Sekali gus pula kerbau itu tersungkur di tengah selut lumpur.  Tidak bertangguh Aki Alang menghunus parang menyembelih kerbau itu sebelum terkejang mati.
Mereka di tengah sawah menyangka tentu Aki Alang cedera parah akibat tanduk runcing menyodok ke bawah perutnya.  Tetapi Aki Alang tidak cedera apa-apa.  Setelah kerbau itu dilapah baru mereka menyedari tengkorak kepala kerbau itu remuk bagaikan dihentak kayu balak lima enam pemeluk.
Satu-satunya yang tahu mengenai amalan Aki Alang, memang Uda Maesah sendiri.  Masakan Aki Alang boleh berbohong, kerana lama dia mengikut ayah Uda Maesah minta turunkan amalan sebelum menjadi menantu orang tua itu.  Tahu sangat Uda  Maesah mengenai amalan yang diturunkan oleh ayahnya kepada Aki Alang dengan jampi mentera.
Besi berintung besi berani, guli-guli guyur-guyur, air mengkunung muta, air unung-air unung sari, air beku kuzat, asal mu jadi air muta titis nama wali, lintuk air mengkunung, batu guruli lawan batu batu putih, air mengkunung anah nur putih, beraja mendak hati sekalian yang bernyawa, tidak berisi kehendak lawan diriku.
Bukan takat jampi mentera sahaja, tetapi Aki Alang juga dimandikan dengan air apung yang dicedok dari tujuh kuala, tujuh jeram dan tujuh telaga.  Semua rahsia kebal Aki Alang memang diketahui oleh Uda Maesah.
“Memang Aki Alang amalkan ilmu kebal,”  jelas Uda Maesah sebaik sahaja saya menjengah ke hospital setelah diberi tahu mengenai Aki Alang di langgar kereta hingga terpelanting ke seberang jalan.
Saya melihat bahagian siku Ali Alang calar sedikit, tetapi badannya tidak mengalami cedera apa-apa.  Bagaimana pun Aki Alang tidak dapat mahu duduk hingga dia termengah-mengah akibat susah bernafas.  Disebabkan pihak hospital mahu lakukan x-ray, berkeras sangat dia mendesak supaya dibawa saja balik ke rumah.
“Aku tak mahu lama di hospital!”  Aki Alang ingatkan anak-anaknya supaya segera bawa dia balik ke rumah.  Kalaulah dia boleh bangun melompat tentu dia tinggalkan katil  hospital tidak bertangguh.  Marah sangat dia disebabkan dimasukkan ke hospital sebaik sahaja dilanggar kereta hingga terpelanting ke seberang jalan.
“Nasib baik dia pengsan semasa kena langgar,”  ujar Ulung Lihun merungut perlahan disebabkan ayahnya berdegil sangat mahu balik ke rumah.
Tahu sangat Ulung Lihun sekiranya Aki Alang tidak pengsan nescaya dia membantah dibawa ke hospital.  Biarlah dia terkejang di rumah berhari-hari Aki Alang tidak terkilan apa-apa.  Anak-anak tidak datang menjengah pun dia tidak peduli, asal sahaja tidak diganggu tatkala dia terkejang.
Kalau di hospital Aki Alang tidak mahu tubuhnya diperiksa sampai pakaian juga dibuang habis.  Perkara dia dilanggar kereta tidak penting sangat kerana tidak ada satu pun bekas cedera parah di kulitnya.  Dia tidak mengalami luka-luka selain dari pengsan sebaik sahaja terpelanting ke seberang jalan.
Disebabkan Aki Alang berkeras mahu balik ke rumah, siapa pun tidak dapat menghalang.  Dia sekadar tidak dapat bangun sahaja akibat dilanggar kereta merempuh kuat, tetapi tubuhnya tidak cedera langsung.  Sebab itu doktor mahu x-ray untuk sahkan sama ada bahagian dalam mengalami cedera teruk atau pun tidak.
Memang Aki Alang bertambah lemah sekiranya dibiarkan dia terkejang di katil hospital.  Lantas ayah saya bisikkan pada Ulung Lihun supaya Aki Alang dibawa balik sahaja ke rumah.  Tahu sangat ayah saya tidak pernah seumur hidup pun Aki Alang mahu ke hospital sekalipun mengidap sakit teruk.
Kadangkala sengaja ayah saya menyindir sekiranya Aki Alang enggan berubat ke hospital, tetapi dia tersengih-sengih sahaja.  Tatkala belakangnya membengkak tumbuh bisul sebesar kepala tempurung nyiur, Aki Alang tetap tidak mahu ke hospital.  Dia suruh Uda Maesah pupuk sahaja dengan  daun inai ditumbuk lumat.
Puas dipujuk ke hospital namun Aki Alang lebih rela bisul besar di tengah belakangnya membengkak hingga mengangkut nanah.  Seelah diberi tahu kepada Tok Aji, dia juga tidak dapat mendesak Aki Alang supaya ubati bisul besar di belakangnya itu ke hospital.  Terpaksa Tok Aji gunakan kepala tempurung nyiur pula dijentiknya tiga kali dengan membacakan:
Nun, wal qolami wama yasthurun, ma-anta bini’mati rabbika majnun, wa-innsa laka la-ajran ghaira mimnun, wa-innaka la’ala khulqin ‘azim, fasatubsiru wayubsirun,bi-aiyakumul maftun, inna rabbaka huwa a’lamu biman dhalla ‘an-sabilihi wahuwa a’lamu bilmuhtadin.
Sebaik sahaja jari Tok Aji mengetuk kepala tempurung nyiur itu, saya melihat nanah bercampur darah memancut keluar dari bisul berpunat tiga di tengah belakang Aki Alang.
Tiga pagi berturut-turut Aki Alang menemui Tok Aji di madrasahnya minta doakan barulah bengkak di tengah belakang itu kempis.  Kalau tidak minta doa dari Tok Aji pun memang Aki Alang tidak akan jejak kaki ke hospital semata-mata minta diubati.
Sebab itu dia berkeras juga mahu balik ke rumah setelah tidak berdaya bangun akibat dirempuh kereta di selekoh jalan.  Sampai bila pun Aki Alang tidak rela dia terkejang di hospital dengan dihadap jururawat atau atendan.
Setelah balik ke rumah, tiga pagi pula Uda Maesah terpaksa mencari embun di daun  biar Aki Alang usapkan ke seluruh badannya.  Apabila disapukan embun ke seluruh tubuhnya barulah Aki Alang segar semula.  Dia boleh duduk bersila tatkala menjamah sarapan yang dihidangkan.
“Kebal hanya kulit aje,”  ayah saya ingatkan Aki Alang setelah dia boleh bergerak kuat.  “Tapi, di dalam badan tak kebal apa-apa,”  tegasnya supaya Aki Alang dapatkan juga bantuan hospital biar di x-ray seluruh badan.
Manalah tahu terdapat darah beku di mana-mana semasa dirempuh kuat oleh kereta yang melalui selekoh jalan.  Tetapi berturut-turut hari juga Cina pemandu kereta menjengah Aki Alang bawakan ubat-ubatan Cina biar dia segera sembuh.
Tapi apa sangat dengan dirempuh kereta kalau bandingkan dia ditimbus runtuhan batu yang diletupkan di kuari.  Hampir tiga jam pekerja-pekerja datang membantu mahu keluarkan dia dari runtuhan batu kuari selepas diletupkan.  Ketika dikeluarkan hanya dia lemah sahaja tidak bermaya, tetapi tubuhnya tidak cedera apa-apa.
“Macam mana pun dia tak mahu ke hospital,”  ujar Uda Maesah seolah-olah pertahankan Aki Alang.  Lagi pun setelah dapat mandi embun tiga pagi berturut-turut dia sudah semakin segar.  Apalah guna lagi jejak kaki ke hospital kalau tenaganya sudah pulih seperti sedia kala?
Memang Aki Alang juga mengaku di depan saya dia amalkan amalan kebal dengan mandi apung.  Ketika ikut sesiapa sahaja perlu amalkan amalan yang boleh pertahankan diri, kerana musuh tidak tahu di mana.  Lainlah masa sekarang amalan kebal tidak penting lagi, disebabkan musuh tidak boleh melakukan sesuka hati.
Cubalah cederakan orang dengan tidak bersebab, nescaya akan diheret polis ke balai!  Semasa Aki Alang masih muda musuh boleh lakukan apa sahaja dengan tidak dihalang.  Manalah polis mahu mengheret ke balai kerana kampung mereka jauh di pendalaman.
Kalau musuh cederakan mereka, siapa pun tidak akan membantu.  Tok Penghulu sendiri tidak berani angkat muka sekiranya diancam oleh musuh yang perkasa.  Sebab itu masing-masing perlu amalkan amalan kebal semata-mata mahu pertahankan diri.
Kejadian yang berlaku semasa Tok Semilih digeruni oleh orang-orang kampung juga, memang tidak siapa  sanggup menentangnya disebabkan amalan kebalnya. Sia-sia sahaja berhadapan dengan Tok Semilih kalau tidak cukup amalan di dada.  Salangkah Tok Kumbah yang boleh menjelmakan dirinya menjadi harimau garang pun boleh ditewaskan oleh Tok Samilih, apa sangat kalau sekadar menghunus golok mahu menentangnya.
Tetapi saya tidak beri tahu pun Aki Alang mengenai Tok Semilih di kampung tempat saya bertugas.  Tentu amalan mereka berbeza kerana pada masa Tok Semilih keadaan negeri belum terbuka sangat.  Sebab itu amalan kebal ketika itu semata-mata mahu mengejar kuasa yang boleh menundukkan orang lain dengan kekuatan sahaja.
Disebabkan siapa pun tidak berani menentang Tok Semilih, dia bertambah berani merampas perempuan cantik hatta sudah menjadi isteri orang lain.  Asal sahaja cuba melawan nescaya akan menjadi korban tidak bersisa.  Kalau Resat Tempang tidak lari meninggalkan kampung halaman sampai jauh di perantauan di Pahang, tentu dia tidak bertemu Itam Bawar.
Hanya Itam Bawar satu-satunya yang mengetahui rahsia kebal Tok Semilih disebabkan mereka sama seguru.  Tetapi Aki Alang tidak ada apa-apa rahsia yang mahu disembunyikan.  Tahu sangat isterinya Uda Maesah memang amalan kebal Aki Alang diturunkan oleh ayahnya Wak Rengit di Pontian.
Tidak pernah pula Aki Alang mencekak leher sesiapa pun semata-mata mahu tunjukkan dia tidak lut senjata besi, kalau tidak diserbu kerbau jantan tengah naik minyak tatkala tercegat di lopak sawah memang siapa pun tidak tahu dia amalkan amalan kebal.
“Kebal ni bukannya nak tunjuk kuat,”  beri tahu Aki Alang apabila saya desak mahu mengetahui mengenai amalan kebalnya.
Memang sudah diingatkan oleh Wak Rengit mengenai amalan kebal itu sekadar mudahkan dia buat kerja.  Kalau kaki terjelantus pada tunggu kayu sewaktu meranduk belukar tidak akan luka memercik darah.  Apa lagi kepala mudah terantuk pada besi palang tatkala kendalikan kapal korek, tentulah terbengah hingga berdarah sekiranya tidak amalkan malan kebal.
Kalau turun ke laut pun dia tidak perlu bimbang disengat duri semilang atau dipatuk ular bias.  Duri semilang atau taring ular tidak akan tembus menusuk kulit akibat amalan kebalnya.  Tentu taring ular akan terkopak kalau singgah ke kulit Aki Alang hingga menggelepar tidak menentu menghempas tubuh ke tengah rumput memanjang.
“Kalau ditekan hidung dengan bantal, kebal pun tak guna!”  jelas Aki Alang kenangkan Wak Rengit selalu ingatkan dia supaya tidak menunjuk-nunjuk sangat dengan amalan kebal demikian.
Apa sangat dengan kebal yang tidak boleh ditembusi senjata besi tajam, kerana musuh boleh gunakan helah lain.  Bagaimana kalau kepala ditumuskan ke dalam air hingga lemas tidak dapat bernafas?  Tidak boleh ditusuk dengan senjata besi tajam, musuh boleh himpit muka dengan bantal sampai termengah-mengah tidak dapat bernafas.
Sebab itu Aki Alang amalkan juga amalan boleh bernafas di dalam air.  Berjam-jam dia menyelam di dalam air Aki Alang tidak bimbang apa, setelah lama menuntut dengan Kiyai Maasur di Kukup.  Terpaksa pula dia mematuhi semua pantang larang orang tua itu sehingga amalan tersebut diturunkan kepadanya.
Memang Wak Rengit sendiri tidak tahu mengenai Aki Alang lama di Kukup menemui Kiyai Maasur.  Berdebar juga hati Wak Rengit sebaik sahaja diberi tahu Aki Alang terjun ke sungai apabila diburu tentera Jepun.  Arus sungai yang deras memang tidak siapa pun menyangka Aki Alang balik semula ke rumah selepas tiga malam ditunggu tentera Jepun di tebing sungai.
Beberapa bulan selepas dia dirempuh kereta di selekoh jalan itulah Ulung Lihun memberi tahu saya, ayahnya beberapa kali terbatuk mengeluarkan darah.  Aki Alang juga mengadu sering diganggu sakit dada hingga sukar mahu bernafas.  Tetapi dia tetap berkeras tidak mahu dibawa ke hospital, sekali pun ayah saya sendiri mendesaknya.
“Kalau boleh Angah doakan, Aki ni,”  tersengih-sengih Aki Alang apabila saya kunjungi setelah diberi tahu mengenai dirinya semakin uzur.
“Termakan bisa agaknya,”  lantas sahaja Uda Maesah menuduh disebabkan Aki Alang terbatuk sampai muntahkan darah.
“Tak mungkin, kalau termakan bisa batuknya lain,”  sahut Ulung Lihun tidak percaya ayahnya termakan bisa sampai terbatuk-batuk sepanjang malam.
“Batuk ayah kamu memang bercampur darah,”  beri tahu Uda Maesah bimbang dengan keadaan Aki Alang bertambah lemah semenjak berhari-hari tidak mahu menjamah nasi.
“Tentu kesan kena rempuh kereta dulu,”  segera Ulung Lihun ingatkan emaknya mengenai kecederaan yang dialami oleh ayahnya mungkin di sebelah dalam tubuhnya.  Manalah tahu tulang atau paru-parunya cedera tatkala dirempuh kuat oleh kereta yang melucur di selekoh jalan, tetapi kulit badannya tidak luka apa-apa akibat amalan kebalnya.
“Betul juga cakap Lihun tu,”  Aki Alang mengangguk lemah setelah Ulung Lihun menjelaskan demikian.
Tahu sangat dia mengenai Ulung Lihun yang dapat mengesan amalan kebalnya tidak akan dapat melindungi bahagian dalam tubuh daripada cedera parah.  Rempuhan kuat kerea yang meluncur laju bukan macam ditusuk keris musuh yang dating meluru.  Tentu tulang dadanya retak juga akibat di rempuh terlalu kuat.
Tetapi kecederaan yang di alaminya tidak terasa sebaik sahaja tenaganya pulih semula selepas diubati dengan air embun.  Lama kelamaan retak di bahagian tulang tidak dapat bertahan disebabkan gerakan tubuh sentiasa berterusan apabila membuat kerja di sawah.
Bukan takat Aki Alang sahaja tidak mampu bertahan dirempuh kereta, kalau Tok Semilih pun akan terhumban jauh.  Amalan kebalnya tidak mampu lindungkan dia sekiranya dirempuh tenaga yang terlalu kuat seperti kereta meluru kencang.  Tok Kumbah juga tidak sempat menjelmakan dirinya menjadi harimau mengaum garang sekiranya rempuhan kereta menyerbu sekali gus.
Memang masa Tok Semilih hidup jauh bertahun-tahun lebih dulu dari Aki Alang, tetapi amalan kebal mereka tetap seakan-akan sama.  Disebabkan dalam masa Tok Semilih belum ada kereta meluru laju, namun dia tewas juga setelah petua mengalahkannya diketahui oleh Resat Tempang.
Apabila kenangkan Tok Semilih bimbang juga saya sekiranya Aki Alang akan mengalami kejadian yang sama sekiranya sampai ajal.  Manalah tahu Aki Alang akan bertukar menjadi seperti harimau tertiarap dengan kemaluannya mencodak tidak boleh diturunkan.
“Amalan kebal macam ni tak apa,”  bisik Ulung Lihun semasa mengajak saya ke hujung serambi rumah.
Perlahan-lahan dia beri tahu saya mengenai pengalamannya memindahkan kubur lama ke kawasan baru.  Memang Ulung Lihun satu-satunya yang berpengalaman menggali kubur lama untuk dipindahkan ketempat lain.  Kadangkala sampai santak tengah malam dia terpaksa mengorek kubur kumpulkan semua tulang temulang sebelum dipindahkan.
Macam-macam bentuk tulang mayat yang ditemuinya apabila kubur lama digali semula.  Kadangkala berserakan tidak menentu seolah-olah dikuis orang di tengah padang lapang.  Terpaksa Ulung Lihun kaut semula ke dalam pungkis supaya tidak ada tulang temulang yang tercicir.
Ulung Lihun temui juga tulang yang tersusun baik langsung terikat kukuh.  Apabila dimasukkan ke dalam pungkis pun tidak satu pun tulang temulang itu tertanggal.  Tetapi terkejut juga Ulung Lihun tatkala menemui tulang siku yang panjang sampai lebih dua hasta.
Lantas sahaja dia mengagak tentu tubuh badan mayat itu besar bagaikan gergasi semasa hayatnya kalau bandingkan tulang siku lebih dua hasta.  Tetapi yang berdebar Ulung Lihun menggali apabila melihat tulang temulang yang digali dihurung semut hitam.  Dari mana pula semut hitam boleh masuk jauh ke dalam liang kubur menghurung tulang temulang berkenaan.
Terpaksa dia kikis semula tulang temulang berkenaan buangkan semut hitam yang bersarang di situ.  Semuanya Ulung Lihun lakukan setelah dia memberi pangakuan kepada ketua kampung sanggup melakukan kerja menggali semula kubur lama supaya dipindahkan ke kawasan tunah perkuburan baru.
“Memang aku jumpa mayat tak hancur,”  keluh Ulung Lihun menghela nafas kesal.  Beberapa kali dia beristighfar apabila kenangkan kejadian menemui mayat bertahun-tahun dikebumikan tidak hancur dimamah masa.
Tetapi Ulung Lihun melihat keadaan mayat berkenaan mengecut dengan kukunya memanjang melilit seluruh tubuh laksana akar ara menyalut pokok tempat tumbuhnya.  Bukan kuku tangannya sahaja yang tumbuh memanjang malah kuku kaki juga menusuk ke dalam tebing kubur.
Menggeleng kepala Ulung Lihun apabila diberi tahu oleh Puyang Malim mayat tidak hancur dililit kuku itu memang amalkan amalan kebal tahi.  Siapa pun tidak boleh tewaskan dia selagi tubuhnya tidak berendam mandi di sungai berarus deras.  Kalau ditembak dengan kaki berjejak di atas tepurung pun amalan kebalnya tidak boleh ditewaskan.  Sebab itu tubuhnhya juga tidak hancur apabila dikebumikan setelah mati.
“Puyang Malim kata kubur tu, kubur Tok Meguk,”  jelas Ulung Lihun setiap kali kenangkan menggali kubur berkenaan.
Siapa pun tidak tahu kubur Tok Meguk sebenarnya disebabkan batu nisan kubur lama tidak ada dituliskan nama.  Tetapi seisi kampung tahu mengenai Tok Meguk yang dikatakan menjelma menjadi harimau selepas matinya.  Beberapa kali penduduk kampung terserempak harimau jelmaan Tok Meguk tercangkung di kawasan tanah kubur.
Semenjak bertahun-tahun pula penduduk kampung tidak pernah lagi melihat jelmaan harimau Tok Meguk, tetapi sekadar melihat bekas tanah di sondol babi liar.  Hanya sekali sekala penduduk kampung terserempak babi liar di kawasan tanah perkuburan.
Babi liar itu tidak diketahui menghilang ke mana kerana di sekelilingnya perkampungan yang terputus dari kawasan hutan.  Kalau mahu dikatakan bibi hutan itu bersembunyi di tanah kubur, tidak ada belukar boleh babi berkenaan menyusup.
“Begitulah amalan yang tak baik,”  jelas Puyang Malim ingatkan Ulung Lihun mengenai Tok Meguk yang diketahuinya sejak turun temurun amalkan amalan kebal tahi.  “Mula-mula memang nampak jelmaan harimau, lepas itu jelmaan babi, tak tahu selepas ini boleh jadi jelmaan biawak pula!” dia menelan keluhan pendek disebabkan Tok Meguk itu ada hubungan keluarga dengan keturunannya.
Asal sahaja bangun pagi sebelum basuk muka, Tok Meguk akan buang air besar terlebih dahulu.  Dia akan sapukan najis ke seluruh badannya dengan merenung matahari tengah naik sepenggalah.  Sehingga matahari memancarkan kilauan cahaya keras baru dia habiskan amalannya.
Sepanjang hari pula dia tidak akan sentuh air disebabkan pantang larangnya tidak boleh mandi.  Selagi dia beramal memang Tok Meguk tidak akan mandi sampai bila-bila, sekali pun tubuhnya berbau busuk.  Sekiranya mahu mandi nescaya dia akan mencari jeram menggolekkan badannya dari atas hingga terhumban ke bawah.
Tok Meguk akan tersenyum apabila melihat batu-batu jeram yang ditimpa tubuhnya berderai laksana dihempap batu besar dari atas.  Tahu sangat seisi kampung mengenai Tok Meguk amalkan ilmu kebal, disebabkan jatuh dari pokok tidak memberi kesan apa-apa kepadanya.  Tatkala mereka melihat Tok Meguk jatuh dari pokok kelapa, hanya tanah di perdu pokok itu sahaja berlubang hingga retak ditimpa tubuhnya.
Berkali-kali dia diingatkan oleh abangnya mengenai amalan demikian tidak dierima oleh bumi, namun Tok Meguk tetap berkeras amalkan juga.  Dia sanggup tidak mahu jejak kaki ke rumah abangnya Pawang Sikin disebabkan berani menegur kemahuannya.
“Pawang Sikin tu nenek moyang aku,”  ujar Puyang Malim menunduk menahan rasa terharu dengan kejadian yang menimpa Tok Meguk.
Menyedari tenaganya gagah itulah Tok Meguk tidak peduli apa.  Asal sahaja kemahuannya dihalang dia akan serbu mencabar lawan.  Tetapi siapa yang boleh berdepan dengan Tok Meguk kalau diradak dengan golok nescaya mata golok akan terlipat macam timah tidak berguna.
Bukan takat mata golok sahaja berlipat, harimau ganas tengah hutan juga jangan cuba menerkam dari belakang.  Mudah sahaja dia berpusing lantas menyekah mulut sampai ternganga tidak boleh dikatupkan lagi.  Kuku harimau yang mencakar akan luruh laksana serpih kayu reput.
Sebab itu Tok Meguk berani merampas isteri orang apabila hatinya mula berkenan.  siapa sahaja mengejek bau badannya busuk bagaikan bau najis, nescaya akan diheret dibawa balik ke rumah.  Biarlah isteri orang sekalipun Tok Meguk akan paksa juga mengikutnya balik.  Suami yang membantah akan ditampar saja sampai menggelupar tidak boleh bergerak.
Apa sangat dengan menampar muka suami yang cuba melawan, kalau dia menampar perdu pokok kelapa pun nescaya buahnya akan berguguran jatuh.  Tiga hari sahaja daun kelapa itu akan layu hingga luruh tidak bertampan.  Tentulah suami yang menjadi mangsa akan terkejang tidak bernyawa setelah ditamparnya kuat.
Satu-satunya yang ditakuti oleh Tok Meguk memang abangnya, Pawang Sikin.  Sebab itu penduduk-penduduk kampung harapkan Pawang Sikin lindungkan mereka daripada ancaman Tok Meguk.  Selagi Tok Meguk tidak dihalau dari kampung halaman, tentu mereka terpaksa menyerah dengan segala kemahuan lelaki itu.
Dalam keadaan serba salah itulah Pawang Sikin terpaksa juga menemui adiknya Tok Meguk supaya surut semula ke belakang.  Perbuatan Tok Meguk yang sudah melebihi batas itu memang takbur.  Memang Pawang Sikin tahu bukan mudah mahu menewaskan amalan kebal tahi Tok Meguk, kecuali dia juga sanggup lakukan amalan yang sama.
Memang loya tekak Pawang Sikin apabila kenang mahu lumakkan najis ke seluruh badan dengan merenung matahari di tebing sungai. Kemudian dia akan menunggu sehingga seluruh badannya memercik peluh.  Sekali gus pula percikan peluh itu dilurut dengan tangan dan dipercikkan pula ketengah arus sungai.
Kalau seluruh tubuh sudah dilumakkan dengan najis hingga berpantang mandi berminggu-minggu, masakan boleh tunaikan solat.  Apalah ertinya amal yang tidak disertakan dengan solat kalau semata-mata mahukan kebal tubuh badan?
Ketika Pawang Sikin menyeru dia dari tengah halaman disebabkan melarikan isteri Mat Tuman, marah benar Tok Meguk.  Tidak patut abangnya mencampuri urusan dia, selagi dia tidak mengganggu Pawang Sikin.  Kenapa abangnya mahu menjadi pembela Mat Tuman, setelah Lisah isteri Mat Tuman sendiri menghina dirinya.
Tentu Tok Meguk tidak dapat menahan sabar apabila Lisah tidak menyahut tatkala di tegur semasa berselisih bahu.  Tiba-tiba sahaja Lisah meludah ke tanah akibat bau busuk badanya menusuk ke hidung.  Loya sangat tekaknya tercium bau najis semasa berselisih bahu dengan Tok Meguk yang menegurnya ramah mesra.
Tidak bertangguh Tok Meguk mengheretnya balik ke rumah sekali pun Lisah terjerit-jerit memint pertolongan.  Siapa lagi berani memberikan pertolongan kalau Mat Tumin sendiri terkebil-kebil mata melihat isterinya dilarikan oleh Tok Meguk.
Sebab itu Mat Tuman berkejar ke rumah Pawang Sikin merayu-rayu supaya membantunya.  Tersinggung juga Pawang Sikin disebabkan adiknya sudah berjanji di depannya tidak akan lakukan perbuatan keji.  Kalau tidak disebabkan Mat Tuman merayu-rayu, memang Pawang Sikin juga tidak akan campur urusan orang lain.
“Ini bukan urusan kamu, Sikin!”  sahut Tok Meguk di muka pintu mencebek bibir.
“Bukan urusan aku, tapi urusan masyarakat,”  ujar Pawang Sikin bercekak pinggang di tengah halaman.
“Aku tak mahu lawan kau Sikin,”  Tok Meguk tersengih-sengih mengerling Lisah teresak-esak menangis dengan berkemban di pintu tengah.  “Tapi kalau terpaksa, aku lawan juga!” dia berkeras tidak mahu mengalah sekali pun abangnya cuba menghalang.
“Terpulang pada kau, Meguk,”  sahut Pawang Sikin tenang tetapi terharu dengan nasib yang menimpa Lisah terjelepoh di pintu tengah.
Sewaktu Tok Meguk menuruni tangga, Pawang Sikin mengisar tumitnya ke tanah dengan makrifatkan menghentak anak tangga hingga patah.  Sebaik sahaja kaki Tok Meguk jejak anak tangga sekali gus patah menyebabkan dia terbolos terkangkang.  Ketika telurnya terhanyak pada anak tangga Tok Meguk menggelupur dengan kankang tersangkut di tangga.
Memang dia terkial-kial menahan kesakitan tersangkut pada anak tangga dengan kaki terkangkang tidak jejak ke tanah.  Ketika inilah Pawang Sikin memberi isyarat kepada Mat Tumin supaya simbah badan Tok Meguk dengan air yang ditampung dalam daun keladi.  Sebaik sahaja disimbah oleh Mat Tumin kulit tubuh Tok Meguk bagaikan melecur tidak bertahan.
Di atas tangga itu juga Tok Meguk menemui ajalnya setelah disimbah oleh Mat Tumin dengan air yang ditampung dengan daun keladi.  Selepas kematian Tok Meguk itulah Pawang Sikin memberi tahu adiknya amalkan kebal tahi.
“Tapi, aku tak nampak kesan melecur pada mayat tu,”  jelas Ulung Lihun beri tahu mengenai mayat yang diemuinya tidak hancur tatkala menggali pindahkan kubur lama.
“Sama juga macam cerita Tok Semilih,”  ujar saya apabila kenangkan kejadian yang belaku ke atas Tok Semilih yang mati ditembak oleh keluarganya sendiri.
“Sama macam mana, Angah?”  hairan juga Ulung Lihun disebabkan saya memberi tahu ada persamaan.
“Mereka sama-sama kebal, tapi mati di tangan keluarga sendiri,”  memang saya mudah terharu dengan kejadian seperti ini. 
“Hanya keluarga sendiri boleh lemahkan kebal tu,”  Ulung Lihun mengakui seperti dijelaskan oleh Puyang Malim.
Siapa sahaja yang amalkan kebal akan menerima ajalnya di tangan keluarga sendiri, disebabkan pantang larangnnya sudah disuratkan demikian. Memang Tok Semilih yang tidak boleh ditewaskan oleh sesiapa pun itu ditembak oleh sepupunya Resart Tempang dengan berdiri di atas tempurung supaya kaki tidak jejak ke bumi.
Tok Meguk juga menerima nasib yang sama apabila anak tangga patah hingga telurnya tersangkut di situ semata-mata mahu menyerbu abangnya Pawang Sikin.  Jauh di sudut hati saya bagaimana pula nasib yang akan menimpa Aki Alang dengan amalan kebalnya?
Sewaktu saya menziarahinya dia memang sudah bertambah uzur.  Keadaannya bertambah teruk setelah beberapa bulan sahaja selepas dirempuh kereta.

SELESAI